SEPANJANG bergolaknya rumah tangga Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin bagi kedua-dua fasa tersebut…
“Macam mana, Khadam? Kau berjaya buat dua orang tu bergaduh teruk?” soal seorang wanita tua berpakaian serba hitam setelah dia nampak kelibat pembantunya di bilik rahsianya.
Pembantu bernama Khadam itu memberikan isyarat bagus sambil menikmati ayam hitam dan pulut kuning kesukaannya, termasuklah telur ayam hitam itu dengan penuh rakus. “Kau jangan risaulah, puan. Aku dah berjaya buat si Din tu belasah bini dia sampai lunyai. Seronok aku tengok selama banyak hari ni. Padan muka! Aku suka bila kau suruh aku buat kerja macam tu tapi aku tak puas lagi bila kau suruh aku keluar dari badan Din tu.”
Wanita tua itu mengangguk sebagai tanda dia berpuas hati. “Bagus, bagus. Memang kau boleh diharap dari dulu. Alaa… Sabar dulu, Khadam. Tu baru pengenalan. Nanti aku bagi arahan seterusnya. Kau tunggu. Sebagai balasan untuk kerja kau yang sangat bagus, aku tambahkan ayam hitam lagi. Kau nak tak?”
“Okey tapi puan, aku nak darah juga.”
“Darah? Haih… Kau ni. Tak habis-habis nak darah. Sekejap, aku tengok dulu. Rasanya darah anak si Jenab hari tu masih ada lagi. Kalau tak ada, kau makan jelah ayam hitam lagi. Nanti aku pergi ambil stok lagi.”
Kelihatan Khadam itu berterusan menikmati hidangan kegemarannya. Tidak menghiraukan lagi tuannya itu. Wanita tua itu pula tersenyum melihat betapa berseleranya pembantunya itu. Dia ketawa besar, namun tawanya itu tidak menganggu si pembantunya yang sedang khusyuk menikmati hidangan. Sudah biasa… “HAHAHAHA! Masa bahagia kau orang dah tamat, Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah. Cukuplah… Kau orang pun dah beberapa bulan rasa bahagia, kan? Sekarang, masa derita pula. HAHAHAHA!” ujarnya dengan senyuman penuh kejam sambil menyentuh gambar pasangan itu. Tawanya masih menemani dirinya.
“Puan, aku nak darah,” pinta Khadam. Kelihatan ayam hitam tersebut sudah habis dijamahnya. Betapa dia amat dahagakan darah agar ia kekal bertenaga.
Tawa wanita itu terus terhenti. Kacau daun betullah si Khadam ini! Lantas, dia menarik telinga pembantunya itu. “Isy, kau ni! Tak bagi peluang kat aku langsung! Aku nak bergembira pun tak boleh!” ujarnya seraya menunjal kepala makhluk itu pula.
Khadam berbunga mekar tatkala diperlakukan sedemikian oleh tuannya. Betapa dia amat mencintai tuannya itu sejak dulu. ‘Ah, seronoknya! Buatlah lagi macam tu, puan. Aku suka!’ bisik hatinya.
Kelihatan wanita itu menuju ke arah sebuah peti khas yang menyimpan segala jenis darah milik manusia-manusia yang tidak berdosa, termasuklah ibu yang tumpah darah dan terkorban. Kemudian, dia membawa semangkuk darah kepada pembantunya itu.
Wajah Khadam berubah menjadi sangat ceria tatkala dia ternampak mangkuk darah yang cukup dikenalinya itu. Ah, darah yang dinanti-nanti sudah pun tiba! Lalu, dia menyambut dengan gelojoh bagi menghidu sentuhan bekas tangan tuan kesayangannya menerusi mengkuk tersebut sebelum ia menghirup darah tersebut. Bau tuannya itu… Nyaman! Betapa dia terlalu menempel kepada tuannya sejak dari dulu. Dia tidak mahu berenggang dengan tuannya selagi tuannya itu tidak mati!
Setelah Khadam puas menikmati bau tuannya, ia mula menghirup darah itu dengan penuh kelazatan. “Eeeerrrkkk! Sedapnya! Aku dah kenyang. Nak tidur,” katanya seraya mengusap perutnya. Ekspresinya sungguh puas.
“Tu jelah kerja kau! Tidur, tidur, tidur! Letih aku nak layan perangai kuat makan kau. Pergilah tidur kat dalam peti tu. Tolong ghaibkan diri kau sekali. Sekejap lagi, ada klien aku nak datang. Dia dah nak dekat sampai. Nanti dia terkejut nampak kau pula,” arah wanita tua tersebut.
“Alaa puan… Dah tu je kerja aku selain rasuk orang. Aku nak buat apa lagi, kan?”
Wanita itu menjeling tajam. “Dah, pergi. Aku nak sambut kawan aku.”
Berlalulah si Khadam itu dan bersembunyi di dalam peti yang dimaksudkan oleh wanita itu.
Tidak lama kemudian…
“Ida! Lamanya tak jumpa kau! Kali terakhir aku jumpa kau masa kau nak pergi sambung belajar kat luar negara dulu,” ujar seorang klien yang telah tiba di dalam rumah wanita itu atau lebih tepat, bilik rahsia.
Wanita itu tersenyum penuh ceria. Ida atau lebih tepat, Puan Zaidah terlalu gembira dapat bertemu semula dengan kenalan lamanya. “Tulah… Tak sangka kita jumpa balik. Fac dah temukan kita balik.”
“Firdaus tak ada, kan? Mampus kau kalau dia tahu kau buat kerja ni,” ujar kenalan Puan Zaidah bernama Puan Khamsiah itu.
“Kau jangan risaulah, Siah. Dah bertahun aku buat kerja ni. Dia tak pernah perasan pun. Sejak aku pulang dari UK (United Kingdom) dulu, aku gian nak guna balik ilmu hitam aku tapi aku sempatlah juga belajar ilmu hitam baharu kat sana. Boleh kembangkan lagi kemahiran ilmu hitam aku. Haih… Lapan tahun aku tinggal kat sana ikut Firdaus. Nasib baik lapan tahun je. Kalau dia nak menetap kat UK terus, mahu aku mati kutu. Kena buat jarak jauh jelah kalau ada yang minta perkhidmatan aku.”
Puan Khamsiah tertawa mendengar ayat Puan Zaidah itu. “Dah kau cintakan Firdaus, kenalah ikut. Aku ingat lagi kau punya tergila-gilakan Firdaus dulu tu, dahsyat! Aku kagum dengan kesetiaan kau. Nasib baiklah Firdaus tunduk dengan ilmu kau. Dapat jugalah kau kahwin dengan dia. Bagus betul kau belajar ilmu hitam jenis sana pula.”
Puan Zaidah mencebikkan wajahnya. “Ilmu sihir ni mestilah kena kembangkan lagi kalau nak jadi bomoh yang handal. Tak boleh nak tetap kat satu jenis je. Emm… Kau ingat senang aku nak bagi Firdaus tunduk kat aku sampai sekarang? Nasib baiklah sepanjang aku bersama dengan dia, aku akan gigit manja kat siku dia supaya dia akan terus tunduk kat aku.”
“Fuh, hebat kawan aku ni! Aku kagum! Eh, anak kau berapa orang? Almaklumlah, lama kita tak jumpa, kan.”
“Dua orang. Salahuddin dan Sakeenah. Salahuddin dah kahwin. Sekarang, umur dia 22 tahun, belajar kat UIA. Sakeenah pula umur 16 tahun. Tahun depan, ‘SPM’lah dia.”
Tiba-tiba wajah Puan Khamsiah berubah ceria. “Eh, samalah umur Sakeenah dengan anak ketiga aku, Wafdan! Eloklah juga kalau kita boleh jadi besan nanti. Kalau anak aku tu tak nak, apa susah. Aku cari kau. Biar anak aku tergila-gilakan anak kau macam mana kau tergila-gilakan Firdaus dulu. Senang aku bila kau buat perkhidmatan ilmu hitam ni.”
Puan Zaidah tertawa. “Aiii… Kau ni, Siah. Belum apa-apa lagi, dah berangan nak jadi besan aku ya tapi apa salahnya. Okey juga. Ha, ya Siah. Apa masalah kau datang nak jumpa aku ni? Perkhidmatan apa yang kau perlukan daripada aku?”
“Hmm… Macam ni… Suami aku, si Manaf tu kahwin nombor dua senyap-senyap kat rumah bini kedua dia tu. Tak beritahu aku. Mengamuklah aku! Paling aku sakit hati, anak-anak aku pun semua tahu. Aku nak kau hantar santau ke, apa ke kat satu keluarga aku, termasuk bini kedua tu. Aku nak bini kedua tu mandul atau buatlah macam mana pun supaya bini kedua tak ada waris,” luah Puan Khamsiah dengan penuh geram.
“Sekejap… Bila masa si Manaf tu kahwin lain? Aku ingat lagi dulu. Bukan main dia cuba mengurat kau masa kita satu sekolah dulu. Anak-anak kau tu pun, dah kenapa tak beritahu kau? Sakitnya hati aku tahu cerita kau ni. Memang patut pun kau jumpa aku. Aku boleh bagi pilihan kat kau. Pertama, aku hantar ‘pembantu’ aku kat suami kau dan bini kedua dia. Biar dia orang gaduh dan dia orang sama-sama mandul. Kedua, kau pakai susuk biar si Manaf tu tergila-gilakan kat kau balik dan dia ceraikan betina tu. Ketiga, aku boleh hantar santau kat bini kedua tu. Untuk anak-anak kau pula, aku boleh sediakan bahan santau dan tabur kat masakan kau supaya bila dia orang makan, muntah berdarah dan mati dalam dua hari. Pilihan kat tangan kau.”
Puan Khamsiah terdiam seketika, memikirkan pilihan yang diberikan oleh Puan Zaidah itu. “Okey, macam ni, Ida. Aku nak pakai susuk. Pasal Manaf dan bini kedua dia tu, aku nak dia orang bergaduh sampai cerai. Kalau boleh, hari ni juga aku nak si Manaf tu ceraikan betina tak guna tu! Manaf tu milik aku seorang je. Betina tu tak boleh dapatkan Manaf aku. Eiii… Geramnya aku! Pasal anak-anak aku pula, aku nak dia orang kena kacau selama seminggu sampai dia orang sedar kesalahan dia orang buat macam ni kat aku. Aku takkan dapat kesannya, kan?”
“Memang kau tak dapat kesan tapi kau kena ikut pantang larang yang aku akan beritahu nanti. Aku akan pastikan kau tak kena kacau. Lepas tu, kau kena bagi pengeras kat aku.”
Lalu, Puan Zaidah menuju ke almari dan mengambil beberapa bahan yang diperlukan di dalamnya. Kemudian, dia kembali semula ke tempat duduk dan menghidupkan asap kemenyan yang sudah menjadi kelaziman sebelum dia membaca mantera-mantera yang telah dipelajari sewaktu sebelum dia berkahwin dengan Encik Mohd Firdaus dulu.
Puan Khamsiah hanya memerhati perbuatan Puan Zaidah itu. Dalam hatinya, dia kagum dengan ilmu yang dimiliki oleh sahabatnya itu. Memang dia sudah sedia maklum bahawa Puan Zaidah boleh menghantar sihir menerusi jarak jauh tanpa memerlukan apa-apa bahan mangsa. Hanya sebut nama penuh mangsa, sudah cukup membuatkan mangsa terduduk rebah dan maut di tangannya.
Seketika, Puan Zaidah menghentikan bacaan manteranya. “Siapa nama penuh suami kau? Termasuk nama atuk dia. Nama bini kedua dia tu sekali.”
“Manaf bin Rasyad bin Lamin. Kalau bini kedua aku tahu nama penuh dia je. Sofie binti Zahir,” balas Puan Khamsiah.
“Okey, tak apa. Tu pun dah cukup,” balas Puan Zaidah. Kemudian, dia menyambung semula bacaan manteranya sambil menyebut nama penuh suami dan madu sahabat baiknya itu.
Usai kesemuanya, Puan Zaidah tersenyum seraya menyerahkan sesuatu kepada Puan Khamisah. “Dah berjaya. Aku dapat rasa suami kau tengah batuk sekarang. Maknanya, sihir tu dah ada dalam badan dia. Tak lama nanti, bergaduhlah dia dengan si Sofie tu. Ni pula serbuk untuk kau masukkan dalam masakan kau. Syaratnya, lepas kau dah matikan dapur gas api dan lauk dah suam. Kalau kau masukkan serbuk ni sebelum kau matikan dapur gas dan makanan tengah panas lagi, sihirnya takkan berkesan.”
Puan Khamsiah menyambut bungkusan tersebut bersama senyuman penuh puas hati. Lalu, dia memasukkan bungkusan tersebut ke dalam tas tangannya. Alangkah dia tidak sabar untuk menyaksikan kejatuhan keseluruhan ahli keluarganya. Betapa dia lupa Allah yang telah melarang setiap orang Islam bersekongkol dengan Jin dan Syaitan.
“Okey, sekarang kau baring kat tilam tu. Aku nak masukkan susuk kat muka kau. Tanggalkan tudung sekali,” arah Puan Zaidah seraya menunjukkan tilam yang tidak jauh dari tempat ritual.
Puan Khamsiah membangkitkan dirinya. Kemudian, dia menanggalkan tudung dan berbaring di atas tilam tersebut.
Puan Zaidah memandang seketika kawannya itu dari jauh. Puan Khamsiah… Satu-satunya sahabat yang memang mengetahui kegiatannya itu sejak zaman remaja.
Sahabatnya itu juga menjadi saksi bahawa dirinya pernah menggunakan ilmu hitam di salah sebuah kawasan rahsia belakang sekolah bagi membalas dendam terhadap mana-mana kawan kelas yang mencari pasal dengan dirinya. Akan tetapi, setelah dia berkahwin dengan Encik Mohd Firdaus, mereka berdua terputus hubungan. Mujurlah Fac menemukan mereka berdua kembali. Jika tidak… Sampai bila-bila pun mereka berdua tidak bertemu semula.
Kemudian, dia mencapai beberapa jenis susuk seperti susuk jarum emas, susuk berlian dan susuk bunga cempaka putih. Perkhidmatan ini antara perkhidmatan popular dan sering dicari oleh para kliennya.
Puan Zaidah menghampiri ke arah Puan Khamsiah yang sudah berbaring di atas tilam. “Okey Siah. Sebelum aku nak masukkan susuk kat muka kau, aku akan jelaskan kandungan-kandungan susuk ni. Pertama, aku akan guna susuk jarum emas. Susuk jenis ni akan membuatkan aura kat muka kau bersinar-sinar dan terpesona. Kedua, aku akan guna susuk berlian. Fungsinya, meningkatkan aura pengasih yang kuat dan memancarkan pesona kewanitaan kau. Ketiga, ni pilihan, tak wajib pun. Aku akan guna susuk bunga cempaka putih. Susuk ni akan bagi kau tenaga pengasih yang sangat tinggi. Mesti Manaf akan tergila-gila kat kau balik tapi semua ni ada pantang larangnya bila kau dah pakai susuk-susuk ni dan ada syarat khas untuk susuk bunga cempaka putih.”
“Okey. Apa pantang larangnya?” soal Puan Khamsiah.
“Pantang larangnya… Pertama, kau tak boleh makan pisang tanduk sebab ada kaitan dengan lopak kerbau untuk buang susuk sebab bentuk pisang tu sendiri. Kedua, labu air sebab sifat labu air tu sejuk. Ketiga, sate sebab makanan tu jenis berlidi. Lidi ni dikaitkan dengan jarum. Isi sate pula dikaitkan dengan daging manusia. Bila kau makan sate, secara tak langsung memisahkan lidi dengan sate dan ibarat jarum terpisah dari isi kulit. Boleh je kau nak makan daging tapi syaratnya, jangan guna apa-apa alat tusuk sebab boleh hilang khasiat susuk tu sendiri,” balas Puan Zaidah. Kemudan, dia menghentikan bicaranya sebentar.
Sambungnya lagi… “Keempat, kau tak boleh lalu bawah ampaian jenis besi tapi kalau ampaian tu jenis tali, tak ada masalah sebab ibaratnya kau tak setia lagi dengan khadam atau dalam erti kata lain, makhluk halus. Khadam akan sentiasa tunduk dengan orang yang pakai susuk. Kelima, daun kelor. Daun kelor ni antara alternatif bagi nak buang dan keluarkan susuk. Tu sahaja pantang larangnya tapi untuk susuk bunga cempaka putih, tak ada pantang larang. Cuma, kau wajib makan bunga cempaka putih setiap hari Isnin dan ada ritual yang kau kena buat untuk susuk jenis ni supaya susuk kau sentiasa kebal dan tenaga pengasih kau semakin kuat. Kau setuju dengan semua ni sebelum aku nak masukkan susuk kat badan kau?”
Puan Khamsiah berfikir seketika. Dia tiada masalah dengan susuk jarum emas dan susuk berlian tetapi susuk bunga cempaka putih itu… Ah, leceh pula! “Aku okey dengan semua syarat dan pantang larang tu. Cuma, aku tak nak susuk bunga cempaka putih. Macam banyak hal je.”
“Okey, boleh je kalau kau tak nak susuk jenis tu. Kalau macam tu, aku guna susuk jarum emas dan susuk berlian jelah. Aku mulakan ya?” ujar Puan Zaidah.
“Boleh,” balas Puan Khamsiah dengan penuh tekad dan tanpa ragu-ragu lagi. Semuanya kerana sifat marah dan tamak halobanya.
Kelihatan Puan Zaidah begitu komited dengan tugasnya. Mulutnya terkumat-kamit membacakan mantera. Proses bagi menanam susuk ke wajah ini memakan masa sehingga empat ke lima jam.
Usai kesemuanya, Puan Khamsiah mengucapkan terima kasih kepada sahabatnya itu dan pulang ke rumah dengan senang hati. Tunggulah nasib seluruh ahli keluarganya itu!
Sementara Puan Zaidah pula, dia menyambung tugasnya sebagai seorang tukang bomoh kepada suri rumah tangga pula bagi menghidangkan makan malam untuk Encik Mohd Firdaus dan Sakeenah sebelum mereka berdua pulang.
Tertanya-tanya apakah latar belakang sebenar Puan Zaidah ini? Dia merupakan seorang tukang bomoh yang cukup handal sejak zaman remajanya dan telah mempelajari ilmu hitam daripada arwah ibu bapanya sendiri, iaitu Ishak bin Mat Rie dan Salmah binti Wali. Arwah ibu bapanya saling berkenalan gara-gara ayahnya mahu mendapatkan perkhidmatan ilmu hitam daripada almarhum datuk sebelah ibunya.
Atas dasar cinta dan pandangan pertama, berkahwinlah Ishak dan Salmah. Setahun kemudian, lahirlah Puan Zaidah. Dia dididik dan diasuh oleh kedua-dua orang ibu bapanya berkenaan ilmu hitam sehingga menjadikan dia sebagai seorang anak tukang bomoh yang handal. Tidak cukup dengan itu, zaman remajanya dihabiskan dengan mempelajari ilmu hitam di Thailand sewaktu cuti sekolah dan dibawa oleh ibu bapanya bagi berjumpa dengan pawang yang cukup handal bernama Aroon Chaiya.
Semasa hari lahir Puan Zaidah yang ke-17, Aroon Chaiya menghadiahi seorang pembantu bernama Khadam kerana dia amat berpuas hati dengan kehandalan gadis itu dan Khadam masih setia berkhidmat dengan dirinya sehingga kini. Khadam merupakan makhluk halus yang pernah berkhidmat dengan Aroon Chaiya. Nama asal Khadam, iaitu Nak Phra. Namun, Puan Zaidah lebih gemar dengan sebutan nama Malaysia. Setelah dia dan Nak Phra mendapat kata putus, akhirnya Nak Phra bersetuju untuk menukar namanya kepada Khadam.
Hakikatnya, sudah lama Puan Zaidah menantikan detik ini. Penantian apa? Hadirnya jodoh Mohamad Salahuddin itu supaya dia boleh meneruskan misi bagi menyihir anak lelakinya itu. Sebuah dendam yang masih belum dilunaskan oleh dirinya terhadap Mohamad Salahuddin selama 23 tahun ini. Memang dia amat bersetuju anaknya mahu berkahwin dalam tempoh awal ini agar dia boleh melancarkan misinya. Selagi anaknya itu tidak berkahwin, selagi itulah dia tidak boleh menyihir lelaki itu!
Hendak menceraikan pasangan itu, pun tidak boleh juga. Terbatallah segala sihir Puan Zaidah selama ini dalam menyihir Mohamad Salahuddin dan sia-sialah usahanya juga kerana syarat untuk dia menyihir anak lelakinya itu, mestilah dalam tempoh berkahwin. Jika anaknya itu bercerai, anaknya dianggap sebagai bujang semula. Ah, terhalang niat jahatnya itu! Syarat-syarat ilmu hitam apalah begini! Di manalah arwah ibu bapanya belajar sihir sebegini? Pelik dan menyusahkan!
Namun, itulah bayaran yang perlu dia hadapi jika dia mahu menyihir anak lelakinya itu. Mahu tidak mahu, terpaksalah dia membiarkan Mohamad Salahuddin merasai erti kebahagiaan dalam perkahwinan!
Tambahan pula, Puan Zaidah tidak berkenan dengan calon pilihan anak lelakinya itu. Qistur Ruwaidah binti Isyraf Imrani… Ah, menantunya itu! Gara-gara perempuan itu merupakan seorang penghafaz Al-Quran yang sangat istiqamah menghafaz isi kandungan dalam kitab tersebut tanpa culas, dia tidak boleh menyihir anak lelaki dan menantunya menjadi mandul dengan bantuan Khadam.
Wanita itu tidak mahu Mohamad Salahuddin mempunyai zuriat sebagai penyambung keturunan. Dia mahu anak lelakinya mati! Kalau bukan kerana Qistur Ruwaidah sebagai seorang penghafaz Al-Quran, memang anak lelakinya itu boleh terus mati pada hari pertama pernikahan pasangan itu.
Puan Zaidah masih ingat betapa kecewanya dia! Khadam memujuk tuannya. “Puan, kau jangan risau. Aku masih boleh uruskan Din tapi aku tetap tak boleh nak bunuh dia sebab dia dah bersama dengan bini dia. Apa yang aku mampu buat, aku masuk dalam badan Din dan cederakan bini dia. Aku boleh sepak kat perut bini dia banyak kali. Harapnya dengan cara ni, boleh ada potensi untuk mandulkan bini dia…”
Sambungnya lagi… “Din tu doakan je untuk bini dia setiap hari tapi dia lupa nak doakan untuk dia sendiri supaya terhindar daripada sihir. Memang silap besarlah. Tu peluang terbesar aku boleh masuk dalam badan dia. Aku akan berjuang untuk kau, puan.”
Doa yang selalu diamalkan oleh Mohamad Salahuddin untuk Qistur Ruwaidah, iaitu doa untuk sang isteri.
“Ya Allah, aku memohon pada-Mu dari kebaikannya dan kebaikan apa yang Engkau tetapkan kepadanya, dan aku berlindung pada-Mu dari kejahatannya dan kejahatan yang Engkau tetapkan padanya. Ya Allah, berkatilah isteriku ini ke atasku dan lindungi dirinya dari segala keburukan perbuatan orang-orang yang dengki dan perbuatan tukang sihir.”
Oleh sebab itu, Qistur Ruwaidah terlindung daripada perbuatan sihir ibu mentua dia dan juga, amalan-amalan lain yang dilazimi oleh gadis itu selain suaminya membacakan doa tersebut. Itu yang membuatkan Khadam tidak mampu menyerang sang isteri. Betapa agungnya doa itu tetapi untuk Mohamad Salahuddin, dia telah terkorban dengan menjadi mangsa sihir ibunya sendiri!
Selain itu, Puan Zaidah berkebolehan untuk mengawal Mohamad Salahuddin dengan menggunakan bantuan Khadam supaya anak lelakinya itu boleh kelihatan normal dan ada masanya, kelihatan seperti orang gila yang sanggup mencederakan isteri sendiri.
Selama ini, perbuatan Mohamad Salahuddin terhadap Qistur Ruwaidah bukanlah di atas kerelaan sang suami itu tetapi dirinya telah dikawal oleh ibunya sendiri dengan bantuan makhluk halus!
Patutlah… Apabila Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin berjumpa dengan perawat di Pusat Rawatan Islam Al-Ikhtiyar itu, Ustaz Fuad dan isterinya, Ustazah Afra tidak boleh mengesan keberadaan Khadam kerana makhluk itu telah keluar daripada tubuh Mohamad Salahuddin semasa fasa pergolakan pertama pasangan itu dahulu, iaitu kecemburuan Mohamad Salahuddin terhadap Suhaibul Umar hingga menyebabkan dia mencederakan Qistur Ruwaidah secara tiba-tiba dan tiada penjelasan kukuh.
Namun, pasangan perawat itu dapat mengesan kesan yang ditinggalkan oleh Khadam menerusi kisah Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah serta lebam-lebam di tubuh Qistur Ruwaidah yang tiba-tiba menghilang secara misteri. Cuma, mereka berdua masih tidak tahu siapakah pelaku sebenar.
Betapa liciknya Puan Zaidah menggunakan ilmu hitamnya itu. Sebab itulah, pawang Aroon Chaiya amat mengagumi kehandalan wanita itu. Akan tetapi, pawang tersebut telah tiada kerana sudah lanjut usia dan usianya jauh lebih tua daripada arwah ibu bapanya.
Fasa pergolakan kedua dalam rumah tangga Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin pula, gara-gara Mohamad Salahuddin memang pernah mencemburui Abdul Azim, telah memberikan ruang kepada Khadam yang memerhatikan setiap pergerakan lelaki itu untuk mencucuk jarum cemburu sehingga ke tahap dengki pula. Ruang itu jugalah telah membuatkan makhluk itu memasuki semula ke dalam tubuh lelaki tersebut, gara-gara peristiwa diari pula dan dia masih mengawal tubuh Mohamad Salahuddin dengan arahan Puan Zaidah sehingga kini. Cuma, tidak aktif.
Puan Zaidah membelai makhluk tersebut. “Aku kagum dengan kau, Khadam. Tak apalah. Kalau kau tak dapat serang menantu aku, Din pun tak apa. Jantan tu lagi penting. Lagipun, aku dah gian sangat nak bunuh dia. Perancangan aku yang seterusnya…”
Dia membisikkan sesuatu ke arah Khadam. Kemudian, tertawalah dia bersama pembantu kesayangannya itu.
USAI sahaja subjek tutor sekitar jam 6.30 petang di Bangunan Ahmad Ibrahim Kulliyyah of Laws (AIKOL), Mohamad Salahuddin dan Wan Abdullah mula meninggalkan kelas AIKOL MM 1.3. Tinggal mereka berdua sahaja dalam kelas tersebut sementara membiarkan rakan-rakan yang lain meninggalkan kelas itu terlebih dahulu. Kebiasaannya, itulah rutin dua sahabat tersebut, iaitu menjadi orang terakhir.
“Din, kau rasa kau faham tutor tadi tak? Aku tak faham sepatah habuk pun,” ujar Wan Abdullah.
Tiba-tiba Mohamad Salahuddin menyandarkan dirinya di dinding. “Wan Dolah… A…Aku tak sedap badanlah. S…Sejuk. Tak tahu kenapa…”
“Eh, Din!”
Tiba-tiba Mohamad Salahuddin menuju ke longkang bersama muntah darah dalam kuantiti yang agak banyak. Dia terduduk di atas lantai. Badannya terus menjadi lemah longlai dan lembik.
Sementara Wan Abdullah pula, dia benar-benar terkejut dengan apa yang telah disaksikan oleh dirinya berkenaan keadaan sahabat baiknya itu! “Din, kau kenapa ni! Kau sakit apa!” luahnya dengan kelam-kabut.
Mohamad Salahuddin menggelengkan kepalanya. Dia sendiri tidak tahu. Dirinya sudah terlalu lemah.
“Aku hubungi Qist ya!” pinta Wan Abdullah dalam kekalutan.
Cepat-cepat Mohamad Salahuddin menghalang sahabatnya itu. Sebolehnya, dia masih cuba menyimpan rahsia kemelut rumah tangganya itu. “J…Jangan… Aku tak nak Qist susah hati. Dia tengah ada kat rumah Abang Suhaib sekarang. Aku tak nak rosakkan momen dia dengan abang dia. Kau tolong bawa aku pergi Klinik UIA. Kereta aku ada kat Convest Hill.”
“Okey, okey. Aku papah kau,” kata Wan Abdullah seraya mengambil beg galas lelaki itu untuk digalas di tubuhnya. Kemudian, dia membangunkan Mohamad Salahuddin.
Lalu, Wan Abdullah memapah sahabatnya sehingga ke kaki lima laluan pejalan kaki bawah tanah yang memudahkan para siswa dan siswi AIKOL untuk pulang ke mahallah (kolej kediaman) untuk pulang ke Mahallah Nusaibah, Mahallah Sumayyah dan Mahallah Salahuddin Al-Ayyubi bagi membiarkan lelaki itu berehat di situ terlebih dahulu sementara dia mengambil kereta Mohamad Salahuddin.
Mohamad Salahuddin tersandar lemah. Tiba-tiba dia muntah berdarah lagi sementara menunggu kehadiran Wan Abdullah! ‘Ya Allah… Kenapa dengan aku ni? Ni ke balasan sebab aku cederakan Qist?’ bisik hatinya.
Tidak lama kemudian, Wan Abdullah sampai di kawasan pejalan kaki. Dia bertambah panik tatkala menyaksikan muntah darah sahabat baiknya itu buat kali kedua. Bagaimanalah agaknya dia mahu membersihkan muntah darah sahabat baiknya itu yang pastinya akan menjadi kecoh nanti pada keesokan hari?
Ah, apa-apalah! Janji nyawa Mohamad Salahuddin lebih penting buat masa sekarang daripada memikirkan mulut orang!
INTERNATIONAL ISLAMIC UNIVERSITY MALAYSIA HEALTH AND WELLNESS CENTRE
“Kau dah okey sikit?” tanya Wan Abdullah setelah dia melakukan pendaftaran untuk sahabat baiknya itu.
Mohamad Salahuddin menggelengkan kepalanya. Dia hanya mampu bersandar pada kerusi tanpa sepatah bicara. Kepalanya berpinar-pinar.
Tidak lama kemudian, angka giliran Mohamad Salahuddin terpampang di skrin televisyen. Wan Abdullah segera memapah sahabat baiknya itu sehingga ke bilik rawatan. Kelihatan doktor tersebut berasa amat terkejut tatkala menyaksikan keadaan pesakitnya itu.
“Aku tunggu kat luar,” kata Wan Abdullah.
Mohamad Salahuddin mengangguk. Lalu, tinggallah dia bersama dengan doktor bernama Dr. Zaidan.
“Kenapa brother?” soal Dr. Zaidan.
Mohamad Salahuddin mula menceritakan apa yang telah terjadi di AIKOL tadi. Dr. Zaidan mengangguk faham.
“Okey, saya periksa keadaan brother dulu. Saya risau kalau brother ada sakit kritikal macam kanser yang brother tak perasan,” terang Dr. Zaidan seraya memeriksa dada siswa itu dengan menggunakan stetoskop.
Betapa terkejutnya Mohamad Salahuddin tatkala doktor itu menyebut perkataan kanser! Namun, dia cuba menenangkan dirinya.
“Pelik ni, brother,” kata Dr. Zaidan.
“Kenapa doktor?” soal Mohamad Salahuddin dengan penuh debaran.
“Dalaman brother elok je. Tak ada apa yang meragukan. Kalau ada bahagian yang meragukan, saya dah nak suruh brother buat kat klinik luar untuk x-ray, ambil sampel darah dan air kencing. Kalau nak buat kat sini, memang ketiga-tiga perkhidmatan tu tak ditawarkan untuk sesi malam. Kena buat kat klinik luar. Kalau brother sakit dalam pagi atau tengah hari macam tu tadi, klinik masih boleh terima tapi masalahnya sekarang, dalaman brother sihat walafiat je.”
“Tapi doktor… Saya tak tipu. Memang saya muntah berdarah tadi. Kawan saya jadi saksi.”
“Saya tahu tapi brother… Ni bukan sakit biasa. Ni sakit yang tak nampak atau dalam erti kata lain, kemungkinan brother telah disihir.”
Disihir? Mohamad Salahuddin terpempan! Tiba-tiba dia teringat apa yang telah terjadi dahulu sebelum rumah tangganya bergolak kembali. Pada saat itu, ingatannya terhadap Qistur Ruwaidah terlalu kuat. Alangkah sakit dirinya apabila dia menyakiti isterinya lagi buat kali kedua!
Dr. Zaidan menyambung bicaranya. “Adik saya pun pernah jadi macam brother. Muntah berdarah. Bila pergi hospital, doktor cakap adik saya tak sakit apa-apa tapi keadaan adik saya tak reda dan makin teruk. Pergi bawa berubat. Ustaz sahkan adik saya kena sihir. Tak lama lepas tu, adik saya pun meninggal dunia sebab sihir yang dihantar tu terlalu kuat,” luahnya. Dia sedih memikirkan peristiwa buruk itu! Adiknya telah menjadi mangsa kedengkian manusia!
“Ya Allah…” ucap Mohamad Salahuddin. Betapa beratnya ujian yang telah dilalui oleh doktor tersebut dan juga, dirinya sekarang. Mahu tidak mahu, nampaknya dia perlu berhubung kembali dengan staf di Pusat Rawatan Islam Al-Ikhtiyar itu, iaitu Ustaz Fuad.
Bagaimanakah dia harus menghubungi isteri tercinta? Sudah sebulan lebih dia tidak bersua dengan cinta hatinya itu! Dia telah menghalau Qistur Ruwaidah keluar dari rumah sewa mereka berdua dan abang iparnya pasti sudah tahu perbuatan yang telah dilakukan oleh dirinya. Pastinya Suhaibul Umar tidak akan memaafkan dirinya!
“YA ALLAH! Din… Kau biar betul! Aku tak sangka! Siapa sanggup buat khianat kat kau! Kenapa baru sekarang kau beritahu aku!” luah Wan Abdullah tatkala Mohamad Salahuddin membongkarkan apa yang telah terjadi dengan rumah tangganya setelah mereka berdua menunaikan solat maghrib di rumah sewa Mohamad Salahuddin.
Mohamad Salahuddin terpaksa menceritakan apa yang telah terjadi, memandangkan keadaan dirinya itu tidak dapat diselindungkan lagi. “Aku minta maaf, Wan Dolah,” luahnya.
“Tak, Din… Kau tak perlu minta maaf pun. Bukannya salah kau. Ni semua salah si penghantar tak guna tu! Lagi tiga hari nak masuk bulan puasa, penghantar tu tak reti nak insaf ke! Tak takut dosa ke! Patutlah kau lain sangat semester ni berbanding semester-semester lepas. Kau kena sihir rupanya dalam keadaan kau tak sedar,” luah Wan Abdullah dengan penuh geram.
“Emm… Boleh tak kau temankan aku pergi pusat rawatan tu dalam lepas isyak nanti? Aku dah whatsapp ustaz tu. Aku tak rasa aku boleh pergi kelas esok. Mesti aku lembik balik dari berubat nanti.”
“Boleh. Emm... Esok, aku akan teman kau. Aku pun tak pergi kelas. Aku tak pernah ponteng kelas lagi untuk semester ni.”
Mohamad Salahuddin menjadi sebak. Sangkaannya, Wan Abdullah akan menghakiminya dan tidak mahu terus bersahabat dengan dirinya kerana dia telah melakukan keganasan terhadap Qistur Ruwaidah. Namun, dia telah tersalah anggap. Apatah lagi, sahabat baiknya itu tidak akan meninggalkan dirinya. “Wan Dolah… Terima kasih,” ucapnya.
“Terima kasih untuk?” soal Wan Abdullah.
“Ada untuk aku dari CFS. Kau tak pernah tinggalkan aku sampai sekarang. Aku tak nak beritahu kau pasal rumah tangga aku sebab aib untuk aku bercerita dengan orang luar. Hatta keluarga aku sendiri pun tak tahu pasal hal rumah tangga aku tapi… aku terdesak sekarang. Aku tak tahu nak buat macam mana. Aku ingat kau akan tinggalkan aku lepas kau tahu semua ni. Yalah… Aku dah belasah isteri aku. Aku dayus!”
“Din, aku kenal kau dah empat tahun. Kau tak pernah berubah. Kalau kau berubah pun, adalah sebabnya. Kenapa aku nak tinggalkan kau pula sebab masalah rumah tangga kau? Kau tak boleh terus nak salahkan diri kau. Apa yang kau dah buat kat Qist, tu bukan salah kau atau kehendak kau. Kau tak dayus. Sekarang, kau lupakan dulu pasal ni. Kita pergi jumpa ustaz tu.”
Mohamad Salahuddin mengangguk.
PUSAT RAWATAN ISLAM AL-IKHTIYAR
“Abang… Saya boleh rasa keberadaan dia. Dia ada kat dalam bilik ni. Tengah perhatikan kita semua, terutama Salahuddin,” kata Ustazah Afra, isteri kepada Ustaz Fuad.
Wan Abdullah berasa amat seram dan meremang bulu romanya tatkala mendengar kata-kata ustazah itu, namun dia menguatkan hati bagi terus merakam keadaan sahabat baiknya untuk ditunjukkan kepada keluarga Mohamad Salahuddin, Qistur Ruwaidah dan Suhaibul Umar sebagai bukti jika mereka tidak percaya.
“Hei makhluk yang telah merosakkan anak Adam, muncullah! Aku tahu kau ada kat dalam bilik ni! Kau ikut Mohamad Salahuddin sejak sekian lama! Siapa tuan kau! Kau nak apa daripada dia! Apa motif kau! Hari tu, kau begitu licik ya sampai aku dan isteri aku tak boleh kesan keberadaan kau! Sekarang, kenapa kau tak ghaib macam hari tu!” laung Ustaz Fuad.
Sepi…
Ustaz Fuad memberikan isyarat kepada isterinya dan Ustaz Lubaid agar membuat benteng ghaib supaya makhluk itu masuk ke dalam badan Mohamad Salahuddin dan tidak boleh lari ke mana-mana lagi. Sebolehnya, ketiga-tiga orang staf itu mahu menangkap makhluk itu pada malam ini juga!
“Masuklah kau! Kau degil ya! Kami nak tahu siapa tuan kau!” laung Ustazah Afra. Lalu, bibirnya terkumat-kamit membacakan doa dan zikir khas dan diikuti juga oleh Ustaz Lubaid.
Tiba-tiba Mohamad Salahuddin meraung kesakitan. “Arghhh! Us…taz!”
Ustaz Fuad, Ustazah Afra dan Ustaz Lubaid sudah bersedia bagi menghalau keluar makhluk yang menjadi igauan ngeri buat Mohamad Salahuddin selama ini. Wan Abdullah pula semakin seram, namun dia menguatkan hati dengan membaca doa pelindung. Seumur hidupnya, inilah kali pertama dia melihat situasi sebegini. Biasanya, dia hanya mendengar cerita daripada orang lain.
Kali ini, Mohamad Salahuddin tertawa sambil mengilai-ilai. Suaranya juga sudah berubah. Makhluk tersebut telah mengambil alih tubuh lelaki itu. “HAHAHAHA! Hebat sungguh kau paksa aku masuk dalam badan lelaki ni. Hei! Kau ingat aku nak beritahu tuan aku siapa? Aku setia dengan dia dari umur dia 17 tahun! Aku tak diajar oleh tuan asal aku untuk mengkhianati tuan baharu aku! HAHAHAHA!” bicara Khadam. Kemudian, ia tertawa lagi.
“Siapa kau! Siapa tuan asal dan tuan baharu kau! Siapa! Jangan sampai kami gunakan kekerasan sampai kau beritahu kami siapa tuan-tuan kau dan apa motif tuan kau suruh musnahkan hidup Mohamad Salahuddin ni!” bentak Ustaz Lubaid.
“HAHAHAHA! Kau yakin kau boleh buat kekerasan kat aku? Aku tetap takkan beritahu siapa tuan aku. Jangan harap kau orang boleh apa-apakan tuan aku. Aku sanggup buat apa sahaja untuk tuan aku. Sejak aku nampak tuan baharu aku buat kali pertama dulu, memang aku dah suka sangat kat dia. Dahlah cantik. Lagi-lagi bila dia pijak dan sepak aku kalau dia tengah mengamuk. Aku bahagia sangat! Aku rasa diperlukan oleh tuan aku! HAHAHAHA! Sekarang pun, aku teringat kat tuan aku. Mesti tuan aku tengah tunggu aku balik. HAHAHAHA!” ujar Khadam bersama tawa lagi.
Ketiga-tiga pekerja Pusat Rawatan Islam Al-Ikhtiyar berpandangan sesama mereka bertiga. Makhluk ini… Gila! Entah apalah yang tuannya itu berikan kepada ia sehingga menjadikan ia makhluk yang cukup setia.
Khadam bersuara lagi. “Hei semua manusia durjana, tuan aku tahulah aku ada kat sini! Aku boleh suruh tuan aku buat apa sahaja supaya lelaki ni mati! Alang-alang aku dah ada dalam badan dia ni,” ejek Khadam.
“Kau yakin kau boleh balik kat tuan kau semula? Kau yakin tuan kau tahu kau ada kat sini? Aku dah pasang pelindung untuk Salahuddin ni dari jarak jauh dalam diam sejak dia beritahu kami yang dia dah kena santau petang tadi. Aku tahu tu bukan kerja kau tapi kerja tuan kau. Tuan kau tak tahu keberadaan kau sekarang. Kau dah masuk dalam perangkap kami! Kalau kau tak percayalah, cubalah kau seru tuan kau,” balas Ustazah Afra.
Tiba-tiba Mohamad Salahuddin meluru ke arah Ustazah Afra bagi membunuh wanita itu, namun berjaya dihalang oleh Ustaz Fuad seraya menahan lelaki itu dengan bantuan Ustaz Lubaid. Makhluk tersebut terlalu agresif. “Hei! Kau ingat aku akan biarkan isteri aku dicederakan oleh kau? Afra, Lubaid… Dia ni degil sangat tak nak beritahu siapa tuan dia. Ayuh, kita bacakan segala ayat yang para ustaz dah ajar kat kita.”
“Hei, lepaskan akulah! Aku takkan beritahu siapa! Puan, tolong aku! Manusia-manusia ni buat pasal!” bentak Khadam seraya meronta-ronta minta dilepaskan.
Akan tetapi, bagi Puan Zaidah di sana pula, dia tidak merasai perkara buruk atau apa-apa yang aneh terhadap pembantunya itu melalui gerak hati. Benarlah pembenteng Ustazah Afra dan Ustaz Lubaid telah mengaburi Khadam sehingga tuannya itu tidak dapat mengesan keberadaannya sekarang.
“Kan aku dah cakap. Tuan kau tak boleh dengar atau tahu kau kat mana. Nasib kau! Selamat datang ke dunia kami!” kata Ustazah Afra seraya memegang bahagian ibu jari kaki kanan dan kiri Mohamad Salahuddin dengan menggunakan sarung tangan sebagai pelapik agar tidak bersentuhan dengan lelaki itu. Hanya dia sahaja yang berkebolehan dalam memaksa setiap makhluk halus memberitahu pelaku dan motif.
Berbekalkan bacaan ayat Al-Quran, doa dan zikir, mulut ketiga-tiga orang staf pusat rawatan Islam itu terkumat-kamit membacakan segala apa yang telah dipelajari oleh para alim yang telah meninggal dunia dan juga, kelas-kelas rawatan Islam di beberapa tempat bagi memahirkan ilmu rawatan Islam mereka bertiga sehingga kini.
Tatkala Khadam merasakan sentuhan itu, dia mula berasa panas! “Lepaskan akulah, manusia durjana!”
“Aku takkan lepaskan selagi kau tak beritahu siapa tuan kau dan kenapa kau buat Mohamad Salahuddin macam ni!” bentak Ustazah Afra seraya menekan lagi di bahagian ibu jari kaki lelaki itu.
“Sakit!” raung Khadam.
Wan Abdullah sudah menangis tatkala menyaksikan sahabat baiknya yang kian terseksa gara-gara makhluk durjana itu. ‘Ya Allah… Lindungilah Mohamad Salahuddin! Aku tak sanggup tengok dia macam tu!’ bisik hatinya.
“Aku tak tahan, manusia durjana! Berhenti! Aku akan beritahu! Aku akan beritahu! Hentikan! Aku panas! Pedih!” raung Khadam. Tidak pernah seumur hidupnya merasai pengalaman sebegini sebagai makhluk halus yang disakiti oleh orang-orang alim.
Ustaz Fuad memberikan isyarat mata kepada Ustazah Afra agar isterinya menghentikan sentuhan itu. Barulah Khadam berhenti menjerit, namun ia masih ditahan oleh Ustaz Fuad dan Ustaz Lubaid agar makhluk tersebut tidak terlepas. Mereka bertiga sudah sedia maklum akan kelicikan makhluk halus bagi melepaskan diri. Semasa mereka bertiga kurang pengalaman dan masih mentah dahulu, beberapa kali mereka ditipu oleh makhluk halus. Berdasarkan daripada pengalaman-pengalaman lalu, mereka sudah lali dengan kelicikan makhluk-makhluk tersebut.
“Sekarang, beritahu kami… Siapa kau! Siapa tuan kau!” ujar Ustaz Lubaid, tegas.
“A… Aku Khadam! Aku pembantu tuan aku. Tuan aku, m…mak lelaki ni… Zaidah! Zaidah binti Ishak! Dialah orang yang suruh aku seksa dan hancurkan lelaki ni!” luah Khadam dengan ketakutan. Dia tidak mahu terseksa lagi dengan sentuhan yang diberikan oleh Ustazah Afra.
‘M…Mak Din? Y… Ya Allah! K… Kenapa mak Din sanggup buat macam ni kat Din! Apa salah Din!’ bisik hati Wan Abdullah. Sungguh, dia tidak percaya dengan apa yang didengari oleh dirinya sendiri! Dia tahu, pasti Mohamad Salahuddin juga tidak akan percaya dan akan kecewa sedalamnya!
“Mak Salahuddin? Apa salah anak ni sampai mak dia sanggup sihirkan anak sendiri?” soal Ustaz Lubaid lagi.
“Tuan aku cuma cakap, dia tak pernah terima anak lelaki dia selama ni dan hanya terima anak perempuan dia. Aku tak tahu kenapa. Bukan dia je jadi mangsa sihir tuan aku tapi suami dia sendiri pun kena sihir selama ni. Aku cuma ikut je apa yang tuan aku nak,” balas Khadam.
‘Mak Din dah gila!’ bentak hati Wan Abdullah.
“Apa lagi pasal tuan kau yang kami kena tahu?” soal Ustaz Lubaid lagi.
“Tuan aku bomoh yang handal masa zaman remaja dia sampai sekarang. Kebolehan dia, dia boleh sihir dengan cara jarak jauh dan sebut nama penuh je. Dia belajar sihir dengan mak ayah dia sendiri dan belajar kat Thailand juga. Tuan asal aku dari Thailand sebelum aku diserahkan kat tuan baharu aku ni sebagai hadiah. Nama tuan lama aku, Aroon Chaiya. Tuan lama aku suka dengan kehandalan tuan baharu aku. Itu sahaja yang aku tahu… Kenapa dia tak pernah terima anak lelaki dia sampai dia nak anak dia ni mati dan kenapa suami dia kena sihir, tu aku tak tahu. Cuma, aku nak pesan, tuan aku takkan diam bila dia tahu aku dah kena tangkap. Dia akan buat apa sahaja melalui anak dia ni. Tak guna bantuan aku pun, tak apa,” cerita Khadam.
Ustaz Fuad, Ustazah Afra dan Ustaz Lubaid berpandangan sesama mereka. Nampaknya, motif sebenar Puan Zaidah masih belum diketahui tetapi sekurang-kurangnya mereka bertiga telah mengetahui pelakunya. Nampaknya, kes ini masih belum selesai! Mereka bertiga pasti, ibu kepada Mohamad Salahuddin akan melakukan sesuatu yang lebih teruk daripada ini. Alangkah kasihannya lelaki ini… Menjadi mangsa dendam ibu sendiri!
Kelihatan Ustazah Afra meninggalkan suaminya dan rakan sekerjanya bagi mengambil sesuatu. Memandangkan makhluk ini sudah jujur, mereka tiada cara lain melainkan mereka perlu memasukkan Khadam ke dalam botol khas agar ia tidak bekerjasama dengan Puan Zaidah lagi, tidak berkeliaran dan tidak mengganggu Mohamad Salahuddin lagi.
Kemudian, Ustazah Afra muncul semula dengan membawa botol khas. Dia melutut di hadapan Mohamad Salahuddin sambil memegang ibu jari kaki lelaki itu semula. “Bismillahirrahmannirrahim… Keluarlah Khadam. Jangan kau ganggu lagi anak Adam yang tak berdosa ni!” ucapnya seraya memicit dan menolak ibu jari kaki kanan lelaki itu dari bawah ke atas bagi mengeluarkan Khadam.
“Arghhh! Sakit!” jerit Khadam.
Ustazah Afra menarik keluar makhluk tersebut dengan sekuat hati sehinggalah Khadam telah selamat berada dalam botol. Cepat-cepat Ustazah Afra menutup botol tersebut.
Kelihatan Mohamad Salahuddin terbangun sendiri dari perbaringan sehingga dia mengeluarkan muntah darah buat kesekian kali di atas lantai.
“Muntah lagi, Salahuddin,” kata Ustaz Lubaid.
“Uweek! Uweek!” Mohamad Salahuddin masih berterusan muntah sehingga dia terlalu lembik.
Wan Abdullah terus mematikan rakaman video itu dan mendapatkan sahabat baiknya itu. Bukti sudah ada! Bermakna, video tersebut tidak boleh ditunjukkan kepada Puan Zaidah. Lalu, dia membaringkan Mohamad Salahuddin di atas pahanya. “Ustaz, ustazah… Macam mana keadaan Salahuddin sekarang?” soalnya.
“Ikutkan dia masih belum pulih sepenuhnya sebab sihir dalam badan dia masih belum keluar sepenuhnya. Kami baru berjaya keluarkan makhluk suruhan mak dia je dulu. Dia kena dapatkan rawatan lagi dalam dua hari. Encik boleh temankan Salahuddin sampai dia dah sedar dan dah ada tenaga nak balik rumah. Sekejap lagi, isteri saya bagi minuman herba untuk dia,” terang Ustaz Fuad.
“Saya minta maaf bagi pihak Salahuddin. Habis lantai bilik ni kotor dengan muntah dia. Saya tolong bersihkan sekejap lagi.”
“Tak perlu, encik. Tak perlu bersihkan pun. Muntah darah dia ni jenis hilang sendiri secara automatik sebab hasil sihir. Sihir mak dia ni bukan calang-calang punya sihir. Mak dia bomoh luar biasa. Saya pasti, dia akan buat sesuatu yang lagi teruk kat Salahuddin sebab mak dia memang nak dia mati dan pembantu dia pula dah kena tangkap dengan kami.”
Wan Abdullah dapat menyaksikan muntah darah itu hilang dengan sendiri secara sedikit demi sedikit seperti magik! “Saya risau, ustaz. Salahuddin tak patut terima nasib macam ni. Dia anak yang baik dan dengar cakap mak ayah dia. Tak pernah saya tengok dia marah atau tengking kat mak ayah dia. Dia selalu cerita pasal mak dia. Mak dia baik sangat, selalu masakkan makanan kegemaran dia.”
“Saya tahu. Tengok riak muka Salahuddin ni, memang dia anak yang baik tapi itulah… Kenapa sebenarnya Zaidah tak pernah terima Salahuddin dan sanggup sihir suami dia sendiri, itu masih menjadi persoalan. Selagi Zaidah tu tak tunjuk belang dia, selagi tu kita takkan tahu motif dia. Dia dah kahwin, kan? Isteri dia kena tahu pasal dia. Kesian dia. Tolong kembalikan semangat Salahuddin ya.”
“Haah… Dah kahwin. Nanti saya cuba pujuk Salahuddin supaya dia cerita kat isteri dia. Insya-Allah.”
SUNGAI PUSU
RUMAH MOHAMAD SALAHUDDIN DAN QISTUR RUWAIDAH
“Jangan beritahu Qist lagi buat masa sekarang. Aku tak nak dia tengok aku macam ni. Aku tak sanggup,” pinta Mohamad Salahuddin berkali-kali setelah Wan Abdullah menceritakan apa yang berlaku di pusat rawatan Islam tadi dan menunjukkan rakaman tersebut. Hatinya terlalu hancur tatkala dia mengetahui bahawa semua ini berpunca daripada ibunya sendiri dengan motif sebenar yang masih belum diketahui.
“Din… Kali ni, aku tak setuju kau nak berahsia dengan Qist pasal ni. Kau sangat perlukan Qist sekarang. Bulan puasa lagi tiga hari je. Takkan kau tak nak puasa sama-sama dengan Qist buat kali pertama lepas kau orang jadi suami isteri?” pujuk Wan Abdullah.
“Aku masih tak bersedia nak jumpa Qist. Apatah lagi, nak hadap abang dia. Aku pasti Qist pun dah bahagia tanpa aku. Aku tahu dia pun tengah tunggu aku lafazkan cerai. Aku tak sanggup nak lepaskan dia kalau dia dah tawar hati dan dah bertekad tak nak hidup dengan aku,” luah Mohamad Salahuddin dengan sebak.
“Mana kau tahu Qist tunggu kau nak ceraikan dia? Mana kau tahu Qist jadi tawar hati? Perempuan ni, Din… Hati dia orang akan lembut bila kita sebagai lelaki pandai pujuk dan beritahu keadaan sebenar. Dalam hal ni, kau tak bersalah langsung. Selama ni, kau jadi mangsa sihir mak kau sendiri. Aku pasti Qist pun akan cakap yang sama macam aku cakap ni. Dia takkan salahkan kau.”
“Wan Dolah… Kita tangguhkan dulu pasal nak beritahu Qist. Lagi dua hari, aku nak kena dapatkan rawatan, kan? Biarlah Qist bergembira dengan abang dia buat sementara ni. Lagipun, kelas dah nak tamat untuk semester ni. Tak lama lepas tu, peperiksaan akhir semester mula. Aku tak nak ganggu dia. Lepas tamat peperiksaan, aku akan cari Qist balik. Aku janji.”
Namun, kalbu Mohamad Salahuddin meronta-ronta kesakitan kerana isteri yang amat dicintai oleh dirinya itu! ‘Aku masih mencintaimu, Qistur Ruwaidah! Ampunkan aku! Maafkan aku! Kembalilah! Jangan tinggalkan aku! Ni semua bukan salah aku! Aku tak boleh hidup tanpa kau!’
Wan Abdullah mengangguk perlahan. “Okey. Aku pegang janji kau. Aku akan teman kat rumah ni sampai kita sama-sama selesai peperiksaan dan untuk kau, pastikan kau cari Qist lepas kertas terakhir nanti. Insya-Allah perkahwinan kau masih boleh diselamatkan. Aku nak kau dan Qist bahagia semula.”
SEPANJANG bulan Ramadan yang dilalui oleh Mohamad Salahuddin, beberapa kali dia mendapatkan rawatan Islam agar sisa sihir berbentuk serpihan kaca di dalam tubuhnya dapat dikeluarkan sepenuhnya. Akan tetapi, semakin serpihan kaca tersebut dikeluarkan dari tubuhnya melalui muntah, serpihan kaca tersebut terus berkembang dan membiak bagaikan tiada kesudahan sehingga dia terlalu lelah dan ingin mati!
Wan Abdullah setia bersama Mohamad Salahuddin tidak kira ke mana sahaja sahabat baiknya itu pergi sehingga dia tidak menginap lagi di mahallah (kolej kediaman) pada minggu-minggu terakhir bagi menemani Mohamad Salahuddin sehingga semua masalah ini reda kelak dengan izin Ilahi. Tambahan pula, dia risau membiarkan Mohamad Salahuddin keseorangan.
“Mak encik terlalu handal. Kami tak dapat nak hapuskan serpihan kaca yang ada dalam badan encik selagi mak encik tak mati. Terlalu banyak. Kalau mak encik dah mati, sekurang-kurangnya segala sihir dia akan terbatal dengan sendiri,” kata Ustaz Fuad sambil mengelap peluhnya.
Air mata Mohamad Salahuddin mula mengalir. Alangkah beratnya ujian yang perlu tanggung olehnya sehingga ke saat ini! Dia perlu kuat meskipun tiada Qistur Ruwaidah di sisinya buat sementara waktu.
Bulan puasa yang dilalui oleh dirinya pada tahun ini, tiada erti tanpa isteri di sisi dan sangat mencabar dirinya sebagai hamba Allah. Dia terpaksa untuk tidak berpuasa kerana rawatan yang diterimanya, pasti dia akan muntah dan puasanya terbatal. Apabila dia bebas daripada sihir ibunya secara sepenuhnya, dia akan menggantikan semula puasanya itu.
Tambahan pula, dia perlu cekalkan diri bagi menjawab peperiksaan akhir semester dan bertawakal sepenuhnya kepada Allah di atas apa yang telah dilalui oleh dirinya sepanjang semester ini. Apa hendak jadi dengan keputusan peperiksaannya kelak sama ada lulus atau ada subjek yang dia perlu mengulang semula untuk semester akan datang, dia reda.
“Din, aku tak sanggup tengok kau macam ni lagi. Kau dah cukup terseksa jadi mangsa sihir mak kau walaupun mak kau tak tahu yang kau dah tahu. Sekarang, kita dah selesai semua peperiksaan. Kau kena beritahu ayah kau, Keena, Qist dan Abang Suhaib. Dah nak masuk pertengahan bulan Ramadan, kau masih macam ni. Sihir dalam badan kau masih tak hilang sampai sekarang. Kau ingat aku tak menangis ke tengok keadaan kau selama kita jawab peperiksaan sama-sama? Kau tahan sakit. Ramai tegur kau makin kurus kering,” luah Wan Abdullah pada suatu hari setelah tamatnya peperiksaan terakhir.
Mohamad Salahuddin terbaring lemah di atas katil. Wajahnya semakin cekung dan tubuhnya semakin susut akibat sihir yang semakin memakan dirinya itu. “Aku tahu tapi…”
“Tapi apa lagi, Din? Kau masih nak berahsia? Kau sedar tak kau masih ada isteri? Kau sedar tak kau masih ada ayah, adik dan abang ipar yang sentiasa sokong kau? Takkan kau nak dia orang tahu lepas kau dah tak ada? Cukuplah, Din. Jangan sembunyikan apa-apa lagi daripada dia orang. Pasal mak kau tu, lantaklah! Aku dah tak boleh nak sangka baik dengan mak kau. Aku tak tahu nak cakap macam mana pasal mak kau tapi mak kau tu bukan macam mak. Takkan ada seorang mak sanggup sihir anak sendiri! Lagi dahsyat, mak kau sendiri tukang bomoh! Gila, Din! Mak kau dah gila!”
Mohamad Salahuddin mengalirkan air matanya. Alangkah sakit fikirannya tatkala dia teringat akan ibunya. Selama ini, dia begitu mengasihi dan mencintai Puan Zaidah dengan sepenuh hati dia sehingga dia menginginkan bakal isterinya seperti ibunya yang begitu handal di dapur. Dengan izin Ilahi, dia mendapat Qistur Ruwaidah yang turut handal di dapur.
Dia masih ingat lagi sewaktu dia dan isterinya bercuti di rumah keluarganya di Bangi. Pada ketika itu, Puan Zaidah dan Qistur Ruwaidah berada di dapur bagi menyediakan makan tengah hari dan merapatkan hubungan sebagai ibu mentua dan menantu.
“Wah, sedapnya bau!” puji Mohamad Salahuddin tatkala bau ikan goreng memenuhi sekitar ruang dapur sehingga ke ruang tamu. Dia mendakap ibunya sambil menghadiahkan kucupan di pipi Puan Zaidah.
“Sedap, kan? Mak tengah goreng ikan siakap. Ayah beli dua ekor semalam. Dia tahu Along dan Kak Long nak datang. Kak Long pula akan masak sayur campur dan buat sambal belacan. Mak dah ajar Kak Long buat sambal belacan cara mak yang Along suka. Kak Long tu cekap orangnya,” terang Puan Zaidah sambil memandang Qistur Ruwaidah begitu ralit memotong sayur kubis dan karot.
Kelihatan Qistur Ruwaidah begitu khusyuk dan tidak sedar dengan keadaan sekeliling. Mohamad Salahuddin tersengih menyaksikan keasyikan isterinya apabila melibatkan hal di dapur. Isterinya sangat berdedikasi terhadap masakannya. “Along pergi kat Kak Long ya, mak. Nak tolong Kak Long.”
“Pergilah…”
Apabila Mohamad Salahuddin mengingati semula momen berkenaan cinta hatinya bernama Puan Zaidah, jiwanya semakin merana. Tangisannya semakin deras. Selama ini, betapa hebat lakonan Puan Zaidah demi mencari ruang dan peluang bagi menyihir dirinya dan lebih menyakitkan, ibunya tidak pernah menerima kehadirannya tetapi mengapa? Apakah salah dia sehingga dia dihukum sebegini?
Wan Abdullah memegang bahu sahabat baiknya itu. “Din… Aku rayu. Kali ni, kau kena beritahu keluarga kau, terutama Qist. Qist isteri kau. Aku kesian kat kau, aku kesian kat Qist. Kau orang jadi mangsa keadaan. Selama ni, mana pernah kau orang berenggang macam ni. Aku dah tahu keseluruhan cerita kau dan aku jadi saksi kau menderita sebab sihir, aku tumpang simpati. Aku tahu kau cintakan Qist…”
Bicaranya bersambung… “Kalau kau terus nak rahsia pasal ni daripada dia, kau hanya seksa diri kau dan Qist. Din… Tak selamanya aku boleh ada untuk kau. Aku pun nak kena balik ke pangkuan keluarga aku dalam tiga hari lagi sebab aku nak kena kemas barang-barang aku kat mahallah dulu. Sekarang, ni masa untuk semua tahu keadaan kau kecuali mak kau. Kalau kau takut nak berhubung dengan Abang Suhaib dan Qist, aku boleh tolong wakilkan untuk kau. Aku akan jelaskan semuanya.”
Akhirnya, Mohamad Salahuddin bersetuju. Ada benarnya kata sahabat baiknya itu. Inilah masanya untuk dia mendapatkan sokongan moral dan adanya keluarga dia di sisinya pada saat getir, terutama Qistur Ruwaidah! “Tolong aku, Wan Dolah! Tolong beritahu Qist dan Abang Suhaib dan minta dia orang datang kat sini! Aku dah cukup terseksa!”
“Okey, okey… Kau jangan risau. Aku akan tolong kau.”
“ALHAMDULILLAH… Kenyangnya! Terima kasih abang sebab masakkan spageti aglio olio dan belikan coconut milkshake kat adik. Haih… Dahsyat betul adik punya mengidam,” kata Qistur Ruwaidah sambil mengelus kandungannya yang sudah memasuki bulan kelima. Dia tersandar kekenyangan selepas dia berbuka puasa bersama abangnya di rumah.
Sudah beberapa hari juga dia berpuasa dan telah mendapatkan keizinan doktor bagi meneruskan puasanya. Berbeza dengan dua minggu pertama dia berpuasa. Setiap hari dia akan membuka puasa sebelum jam 12.00 tengah hari kerana dia terlalu letih dan risau dengan kandungannya.
Suhaibul Umar tertawa kecil. “Sama-sama adik. Teruk sangat adik punya mengidam macam hari tu. Abang rasa anak-anak adik tu orang putihlah. Selera adik kebanyakannya nak makanan barat.”
“Mana taknya, abang… Kan Din pernah membesar kat UK. Adik rasa logik je anak-anak adik terkena tempias Din.”
Suhaibul Umar tidak memberikan respons berkenaan kata-kata terakhir adiknya itu. Dia tahu Qistur Ruwaidah terlalu merindui Mohamad Salahuddin melalui kata-kata sang bakal ibu itu. Ke manalah agaknya lelaki itu pergi? Tidak teringatkah si suami itu kepada sang isteri yang sedang berjuang dengan kehamilan yang dinanti-nanti oleh sang suami sendiri? “Abang nak basuh pinggan. Adik pergilah lepak kat ruang tamu. Sekejap lagi, abang datang.”
“Okey abang,” kata Qistur Ruwaidah sambil dia terkial-kial untuk bangkit dari kerusi. Abangnya segera membantunya.
“Kesian adik abang ni. Dah makin susah nak bangun sendiri. Tak apa. Pahala untuk adik,” kata Suhaibul Umar.
Termengah-mengah Qistur Ruwaidah dibuatnya. “Huh… Itulah… Demi anak-anak adik ni, adik kenalah jadi ummi yang kuat. Okey abang, adik pergi ke depan dulu.”
“Hati-hati jalan tu.”
Tiba-tiba telefon Suhaibul Umar berbunyi di ruang tamu. “Abang, telefon abang berbunyi!” laung Qistur Ruwaidah.
Suhaibul Umar segera mendapatkan telefon pintarnya. Urusan di dapur ditangguhkan seketika.
Din Firdaus
‘Din?’ bisik hati Suhaibul Umar sambil memandang adiknya seketika. Mengapakah pula lelaki ini menghubungi dia dan tidak menghubungi menerusi nombor adiknya? Cepat-cepat dia menjawab panggilan tersebut. “Helo, assalamualaikum,” ucapnya seraya menuju ke dapur.
“Waalaikummussalam. Abang Suhaib, saya Wan Dolah. Kawan Din yang jadi pengapit Din dulu,” Wan Abdullah memperkenalkan dirinya.
“Kenapa pula Wan Dolah hubungi abang? Mana jantan tak guna tu? Abang nak cakap dengan dia! Abang nak jumpa dia!” bentak Suhaibul Umar. Namun, dia memperlahankan intonasi suara bentaknya itu. Dia tidak mahu adiknya terdengar perbualan tersebut. Lagi-lagi berkaitan Mohamad Salahuddin.
Berderau darah Wan Abdullah tatkala mendengar ayat lelaki itu. Mohamad Salahuddin turut mendengar perbualan tersebut menerusi pembesar suara telefon pintarnya. “Abang, saya minta maaf bagi pihak Din. Memang Din nak cakap dengan abang tapi dia tengah tak sihat. Dia minta abang datang kat rumah sewa dia ni.”
Suhaibul Umar menghamburkan kemarahannya. “Apahal pula! Tak boleh tunggu dia sihat ke, baru dia hubungi abang? Ni sampai Din nak kena minta tolong Wan Dolah jadi wakil pula. Apa ni? Heh! Pengecut! Belasah isteri, beranilah tapi jumpa wali isteri tak berani pula? Kalau dia betul-betul lelaki sejati, jumpa abang sendirilah macam mana dia minta nak kahwin dengan adik abang dulu! Bukan abang yang nak kena jumpa dia! Jumpa isteri dia sekalilah!”
Mohamad Salahuddin menjadi sebak tatkala mendengar kata-kata abang iparnya itu. Ternyata Suhaibul Umar amat marah dengan dirinya kerana dia memusnahkan amanat yang telah diberikan, iaitu tidak menyakiti Qistur Ruwaidah langsung dan jaga adiknya dengan baik.
Wan Abdullah membalas. “Abang, saya faham abang marah sangat. Bukan Din tak nak jumpa abang tapi keadaan kesihatan dia tak mengizinkan untuk dia sendiri pergi jumpa abang. Ada sesuatu yang abang dan Qist perlu tahu masa kau orang nak jumpa Din nanti. Saya tak boleh nak cerita kat sini. Terlalu panjang.”
“Tahu sesuatu? Kenapa? Apa dah jadi dengan Din?” barulah emosi kemarahan Suhaibul Umar menjadi reda sedikit. Timbul rasa tidak sedap hati pula berkenaan adik iparnya itu.
“Sebab tu, saya minta abang datang ke rumah sewa Din. Sekarang, dia ada je dengan saya dan dia dengar apa yang abang cakap. Dia tahu abang marah.”
Tiba-tiba…
“Abang… Din ke tu?” soal Qistur Ruwaidah di belakang Suhaibul Umar.
Mohamad Salahuddin dan Wan Abdullah yang berada dalam talian, tersentak mendengar suara Qistur Ruwaidah itu. Hati Mohamad Salahuddin mulai rawan tatkala dia mendengar kelembutan suara isteri yang amat dirindui oleh dirinya!
Suhaibul Umar mulai gelabah. “Abang hubungi semula nanti,” katanya seraya mematikan panggilan itu. Ah, adiknya mendengar perbualan itu!
Wajah Qistur Ruwaidah mula berubah menjadi sayu sambil dia mengusap kandungannya. “Din ke tadi?” soalnya buat kesekian kali. Hatinya mula runtun tatkala dia mendengar nama suaminya menerusi perbualan abangnya dengan seseorang. Jujur, dia terlalu merindui Mohamad Salahuddin! Emosinya kian bergelora hebat! Dia tidak mahu berpisah dengan lelaki itu walaupun sebelum ini dia pernah mengatakan bahawa dia pasrah jika suaminya tidak mahu meneruskan perkahwinan ini, namun dia tahu bahawa dia tidak kuat sebenarnya!
Cintanya dia terhadap Mohamad Salahuddin begitu utuh sehingga ke saat ini! Lagi-lagi dia sedang mengandungkan zuriat lelaki itu! Bukan satu janin tetapi dua janin!
“Bukan Din tapi Wan Dolah,” beritahu Suhaibul Umar.
“Wan Dolah? Kenapa dia hubungi abang? Dia ada cakap apa-apa pasal Din ke? Din okey tak?” soal Qistur Ruwaidah bertalu-talu.
“Memang Wan Dolah ada cakap sesuatu pasal Din. Dia cakap kita kena tahu sesuatu pasal Din. Kita kena pergi rumah adik sekarang. Din ada kat sana dengan Wan Dolah.”
Wajah Qistur Ruwaidah mula bercahaya tatkala abangnya menyebut berkenaan rumahnya bersama Mohamad Salahuddin. Bermakna, dia akan bertemu semula dengan cinta hatinya! “Adik akan jumpa Din, kan? Adik boleh beritahu kat Din, adik mengandung, kan?”
Suhaibul Umar tersenyum hambar. “Insya-Allah adik. Jom, kita bersiap sekarang.”
Qistur Ruwaidah mengusap kandungannya. “Anak-anak ummi… Sekejap lagi, kita akan jumpa abi ya. Ummi minta maaf sebab buat anak-anak ummi tertunggu-tunggu. Ummi pun rindu abi.”
Janin-janin Qistur Ruwaidah mula menari gembira di dalamnya. Seolah-olah mereka mengerti bahawa mereka akan bertemu dengan ayah tercinta!
“DIN tengah tidur tapi dia cakap kejut je dia lepas kau dan Abang Suhaib dah dengar penjelasan daripada aku,” kata Wan Abdullah kepada Qistur Ruwaidah setelah dia menjemput dua beradik itu untuk berada dalam rumah.
Qistur Ruwaidah dan Suhaibul Umar mengangguk faham. Lalu, Wan Abdullah mula membuka cerita. “Ceritanya macam ni…”
Tatkala dua beradik itu mengetahui keseluruhan kisah Mohamad Salahuddin dan termasuklah rakaman video ketika lelaki itu dirawat di pusat rawatan Islam buat kali pertama dalam bulan lepas, Qistur Ruwaidah menangis semahunya sambil menyentuh kandungannya itu. Betapa dia tidak percaya bahawa selama ini, ibu mentuanya sendiri sanggup memporak-perandakan rumah tangga mereka berdua dan menyihir suaminya! Ya Allah… Kasihan suaminya itu!
Mujur Qistur Ruwaidah tidak mengambil langkah terburu-buru bagi memfailkan penceraian di mahkamah. Dia tahu apa yang telah terjadi semua ini, bukan salah suaminya sejak suaminya cemburu dengan Suhaibul Umar dan juga, diari berkenaan Abdul Azim. Itu semua kerja ibu mentuanya yang kejam dan tidak berguna itu!
Cuma, dia masih tertanya-tanya, apakah motif ibu mentuanya sanggup menghantar sihir kepada suaminya? Apakah pula motif Alia Najiha tidak menghapuskan diari itu? Suatu hari nanti, dia akan mengetahui dua kebenaran itu! Sekarang, suaminya paling utama. Dia mahu bertemu dengan suaminya dan memaklumkan berita gembira yang disimpan selama dua bulan ini berkenaan kandungannya.
“Aku nak pergi jumpa Din,” kata Qistur Ruwaidah seraya membangunkan dirinya dengan terkial-kial.
Suhaibul Umar segera membantu adiknya dan memimpin adiknya sehingga mereka berdua tiba di hadapan kamar tidur. “Abang ada je kat ruang tamu ni. Nak teman Wan Dolah. Apa-apa jadi, adik jerit tahu,” pesannya.
“Okey, abang.”
Perlahan-lahan, Qistur Ruwaidah memusingkan tombol pintu bilik tidur tersebut. “Assalamualaikum,” ucapnya seraya menutup daun pintu itu. Sebuah debaran mula menemani dirinya. Timbul rasa kekok juga kerana dia sudah lama tidak bersua dengan suaminya itu.
Kelihatan Mohamad Salahuddin sedang tidur dan tidak mendengar ucapan salam yang diberikan oleh isterinya. Alangkah sayunya Qistur Ruwaidah tatkala melihat keadaan suaminya kini, terlalu cekung dan kurus kering. Cepat-cepat dia menggelengkan kepalanya. Dia hanya mahu suaminya menyaksikan senyumannya, bukan air matanya. Lalu, dia memegang tangan suaminya. “Habibi…” panggilnya. Betapa dia terlalu rindu untuk menggunakan panggilan itu!
Sentuhan Qistur Ruwaidah itu membuatkan Mohamad Salahuddin tersedar dari lenanya. Alangkah terkejutnya dia tatkala dia terlihat bidadari tercintanya di hadapannya kini. “S…Sayang,” ujarnya dengan gugup. Namun, dia berusaha untuk bangun dari perbaringannya.
“Habibi, baring je ya. Habibi tak sihat ni,” kata Qistur Ruwaidah seraya menghadiahkan senyuman. Tangan suaminya digenggam erat.
Pertemuan ini, ternyata pertemuan penuh syahdu di antara Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin. Masing-masing cuba untuk tidak menitiskan air mata di hadapan pasangan.
“Habibi minta maaf, sayang! Habibi minta ampun! Tolong maafkan habibi!” ucap Mohamad Salahuddin berkali-kali tanpa jemu. Dia tidak mampu menahan rasa sebak di dada lagi. Air mata lelakinya tumpas! Pada masa yang sama, tubuhnya sedang sakit akibat sisa sihir berbentuk serpihan kaca yang masih membelenggu dalamannya. Rasa seperti mencucuk-cucuk isi dalamnya.
Secara tidak langsung, Qistur Ruwaidah turut menangis. Dia juga tidak mampu menahan sebaknya lagi. Apatah lagi, menyaksikan keadaan terkini suaminya itu. Hilang segala kesakitan dan kepedihan yang telah ditinggalkan oleh suaminya dahulu. Hilang niatnya untuk bercerai dengan suaminya! Bukan salah suaminya! Sekarang, dia kembali untuk suaminya. Dia mahu memulakan hidup baru bersama suami dan anak-anak di dalam kandungan. Dia tidak mengambil hati langsung setelah mengetahui kebenaran daripada Wan Abdullah.
“Habibi, jangan minta maaf. Habibi tak bersalah langsung selama rumah tangga kita bergolak dulu. Sayang dah tahu semuanya. Sayang tak boleh nak maafkan mak sebab buat kita macam ni… Buat kita terseksa. Habibi… Sayang masih cintakan habibi. I love you. Sayang takkan tinggalkan habibi lagi macam ni,” luah Qistur Ruwaidah bersama tangisannya.
“Sayang tak pernah tinggalkan habibi tapi habibi yang tinggalkan sayang. Habibi halau sayang keluar dari rumah kita ni. Habibi berdosa, sayang. Habibi pun masih cintakan sayang sedalam hati habibi macam dulu. I love you too… Rumah tangga kita masih boleh diselamatkan, kan? Kita takkan berpisah dan bercerai, kan?” luah Mohamad Salahuddin sambil terbatuk-batuk.
Cepat-cepat Qistur Ruwaidah menggelengkan kepalanya. Penceraian itu tidak akan terjadi sampai bila-bila! “Apa habibi merepek ni! Siapa cakap kita akan bercerai! Dalam hal ni, tak ada siapa bersalah kecuali mak. Bukan sayang, bukan habibi! Mak yang buat kita macam ni! Sayang punyalah cukup hormatkan mak dan sayangkan mak macam almarhumah mama sendiri. Sayang tak faham kenapa dia buat kita macam ni? Kenapa dia seksa kita macam ni?”
“Habibi…” belum sempat Mohamad Salahuddin hendak meneruskan kata-katanya, tiba-tiba dia merasakan isi dalam tubuhnya disiat-siat. “Y… Ya Allah…” ucapnya sambil terbatuk-batuk.
Qistur Ruwaidah dapat menyaksikan serpihan kaca keluar dari mulut suaminya seperti hologram. Sekejap hilang, sekejap muncul. Pasti suaminya cukup terseksa sekarang. “Habibi… Kuat ya. Kita lalui semua ni bersama macam dulu. Seteruk macam mana pun keadaan habibi sekarang, sayang takkan tinggalkan habibi!”
“Ha…bi…bi t…tak la…rat,” luah Mohamad Salahuddin dengan nada lemah. Serpihan kaca tidak berhenti-henti keluar dari mulutnya.
“Tolong habibi… Habibi kena kuat berjuang. Bukan untuk sayang tapi…” ujar Qistur Ruwaidah seraya melekapkan tangan kanan suaminya ke arah kandungannya. “Anak kita, habibi.”
Mohamad Salahuddin terdiam seketika tatkala dia merasakan sentuhan tersebut di perut isterinya. Lalu, anak matanya memandang isterinya. “A…nak ki…ta? Sa…yang me…ngan…dung?” soalnya dalam kesakitan itu. Alangkah dia benar-benar terkejut dengan apa yang dia rasai terhadap perubahan perut isterinya yang sedang mengeras itu dan semakin ke hadapan.
Qistur Ruwaidah menyeka air matanya itu. Lalu, dia menghadiahkan senyuman penuh kesyukuran. “Ya habibi… Alhamdulillah… Habibi akan jadi ‘abi’ dalam akhir bulan September atau awal bulan Oktober ni. Impian kita nak jadi ‘ummi-abi’ dah tercapai, habibi. Allah dengar doa kita!”
“Subhanallah… Alhamdulillah… Allahu Akbar!” ucap Mohamad Salahuddin dengan penuh rasa syukur dalam kesakitan itu. Tangannya masih setia melekap di kandungan isterinya itu, seolah-olah tidak mahu melepaskan isteri dan kandungan itu.
Qistur Ruwaidah tersenyum menyaksikan tangan kanan suaminya masih setia di atas kandungannya itu. “Habibi… Itu baru kejutan pertama. Kejutan kedua pula, habibi akan jadi abi kepada dua orang anak kita. Sayang mengandung kembar dua, habibi! Jantina dia orang, lelaki. Insya-Allah. Tercapai impian habibi nak rasa ada anak kembar, kan? Allah dah dengar dan Allah dah bagi. Habibi berboraklah dengan anak-anak kita. Anak-anak kita dah terlalu rindukan habibi. Kalau sayang sebut pasal habibi masa dia orang tengah aktif, terus anak-anak kita diam.”
Semakin sebaklah Mohamad Salahuddin mengetahui akan semua ini. Betapa agungnya kuasa Ilahi mengurniakan dua zuriat lelaki yang sedang menghuni dalam rahim isterinya. “Assalamualaikum anak-anak abi… Abi ni. Anak-anak abi buat apa tu? Rindu abi ya? Maafkan abi sebab lama menghilang,” ucapnya seraya mengiringkan tubuhnya bagi mengucupi kandungan isterinya itu dengan penuh sebak.
Pada saat itu, Mohamad Salahuddin seolah-olah mempunyai semangat baharu untuk terus bertahan demi keluarga kecilnya. Dia tidak mahu Qistur Ruwaidah ditinggalkan sebagai seorang balu dan bakal anak-anak lelakinya dilahirkan tidak berbapa jika dia berterusan begini. Dia perlu kuat sebagai seorang ketua keluarga! Dia masih belum bersedia untuk meninggalkan dunia yang penuh fana ini.
Perjalanannya untuk mengecapi kebahagiaan bersama keluarganya itu masih panjang lagi. Dia mahu bergraduasi dengan jayanya bersama isteri dan anak-anaknya kelak. Impiannya untuk menjadi seorang pengamal undang-undang sivil atau syariah masih belum tercapai selagi dia tidak menamatkan ijazahnya. Dia mengharapkan agar Allah masih memanjangkan usianya bagi dia meneruskan misi dan impiannya untuk menjadi seorang suami, siswa dan bakal ayah serta diberikan kesembuhan sepenuhnya. Betapa dia mengharapkan agar sisa sihir dalam tubuhnya akan hilang dengan izin-Nya!
Qistur Ruwaidah turut menjadi sebak tatkala suaminya mengucupi kandungannya itu dalam tempoh yang agak lama. Dia mengusap rambut suaminya. “Kita orang bertiga ada untuk habibi. Insya-Allah, habibi akan lebih kuat daripada apa yang habibi sangkakan.”
Tidak lama kemudian, Mohamad Salahuddin berbaring semula dalam posisi asal. Dia memegang erat tangan isterinya. “Bila sayang tahu sayang mengandung?”
Qistur Ruwaidah mengimbau kembali momen dia mengetahui bahawa dia mengandung sehari selepas dia dihalau keluar dari rumah sewa ini, gara-gara dia mengidam burger tepi jalan dan pengalamannya melakukan pemeriksaan kandungan di klinik bersama abangnya. Juga, dia menceritakan pengalamannya membeli barangan bayi dan abangnya dalam proses untuk mengecat dinding bilik arwah adik kembarnya.
Namun, Qistur Ruwaidah pelik. Suaminya tidak gembira mahupun teruja tatkala dia menceritakan momen-momen tersebut, melainkan hanya air mata sahaja yang menemani suaminya. “Habibi… Kenapa menangis ni? Habibi tak gembira dengar pengalaman sayang sepanjang sayang mengandung ni?” soalnya seraya menyeka air mata sang suami.
“Sayang… Bukan habibi tak gembira. Habibi gembira sangat. Terima kasih kat Abang Suhaib sebab jaga sayang elok-elok tapi habibi menangis sebab… Bukannya habibi lupa atau tak sedar yang habibi dah sepak kat perut sayang banyak kali! Selama rumah tangga kita bergolak ni, sayang tengah mengandung! Habibi seksa sayang! Habibi hampir bunuh anak-anak kita! Ya Allah! Habibi minta maaf, sayang! Masa tu, habibi terperangkap dengan diri habibi! Ni semua bukan kehendak habibi! Jangan tinggalkan habibi!” luah Mohamad Salahuddin bersama tangisan lagi.
Berkali-kali sang suami itu meminta ampun kepada cinta hatinya. Alangkah hancurnya hati dia sebagai seorang suami dan bakal ayah! Jika isterinya keguguran disebabkan sepak terajang yang diberikan oleh dirinya sendiri, dia tidak akan memaafkan dirinya! Juga, Puan Zaidah selaku punca utama!
Cepat-cepat Qistur Ruwaidah menggelengkan kepalanya. “Tak, habibi! Bukan salah habibi! Sayang takkan salahkan habibi. Sayang tahu habibi tak ada niat nak buat macam tu kat sayang dan anak-anak kita masa tu. Kan Khadam mak yang kawal habibi. Jangan seksa diri habibi lagi. Kalau habibi masih rasa serba salah, sayang maafkan habibi tapi sayang tahu sayang tak patut cakap macam tu. Sayang nak habibi rasa lega dan tak rasa serba salah.”
Mohamad Salahuddin berterusan menangis dan menangis sehingga dia berasa lega. “Terima kasih sebab maafkan habibi, sayang. Habibi reda dengan sayang,” ucapnya.
Qistur Ruwaidah tersenyum. “Sama-sama, habibi. Habibi… Sekejap ya. Sayang nak jumpa Abang Suhaib dan Wan Dolah. Sekejap lagi, kita sambung sembang.”
Kelihatan Qistur Ruwaidah membangunkan dirinya secara perlahan-lahan dan terkial-kial. Alangkah sayunya Mohamad Salahuddin menyaksikan pengorbanan isterinya yang begitu kuat membawa zuriat mereka berdua itu.
“Huh… Letih,” luah Qistur Ruwaidah setelah dia berdiri sambil menyentuh kandungannya itu.
“Sayang okey? Habibi minta maaf tak dapat nak tolong sayang. Kalau habibi tengah sihat sekarang, dah lama habibi tolong,” luah Mohamad Salahuddin dengan serba salah.
Qistur Ruwaidah tertawa kecil. “Alhamdulillah. Okey je. Sayang dah biasa tapi habibi… Sayang nampak macam penguin, kan?”
Mohamad Salahuddin turut tertawa kecil. “Mana adalah. Sayang nampak makin cantik dan berseri-seri. Habibi bersyukur ada sayang.”
“Habibi puji sayang ni, habibi teringin nak makan masakan sayang ya? Tak apa. Esok, sayang jalankan tanggungjawab untuk masak kat habibi balik. Habibi puasa tak?”
“Habibi tak mampu nak puasa lagi tahun ni. Setiap kali habibi dapatkan rawatan, habibi akan muntah. Seksa, sayang… Sihir mak terlalu kuat.”
“Tak apa, habibi. Utamakan diri habibi dulu. Sayang pun nak kena ganti puasa banyak hari juga nanti. Kita boleh ganti puasa sama-sama nanti. Sayang keluar sekejap.”
Lalu, Qistur Ruwaidah meninggalkan kamar tidur itu. Kelihatan Suhaibul Umar dan Wan Abdullah sedang bersembang sesama mereka berdua.
“Macam mana, adik?” soal Suhaibul Umar.
“Alhamdulillah. Kita orang okey je. Din pun tak agresif. Wan Dolah… Terima kasih sebab jaga dan teman Din sepanjang rumah tangga kita orang bermasalah. Terima kasih juga sebab bawa dia pergi dapatkan rawatan Islam. Tak terbalas jasa kau,” ujar Qistur Ruwaidah.
“Sama-sama, Qist. Din tu sahabat baik aku dari CFS. Lagipun, aku dah anggap Din macam adik-beradik aku sendiri. Aku kesian kat kau dan Din… Kau orang dah jadi mangsa keadaan,” balas Wan Abdullah.
“Kau doakan kita orang, terutama Din.”
“Insya-Allah. Aku harap masalah ni dapat diselesaikan dengan segera, terutamanya selesaikan hal mak mentua kau tu. Moga ada pembalasan untuk dia. Apa-apa pasal Din, tolong beritahu aku. Emm… Aku nak kena balik UIA sekarang.”
“Kau nak balik naik apa?”
“Grab. Aku baru nak tempah ni.”
“Tak apa, Wan Dolah. Abang belanja tambang sebagai tanda terima kasih jaga Din. Abang nak tolong hantar Wan Dolah, risau pula kat adik abang dan Din. Takut Din agresif balik,” sampuk Suhaibul Umar seraya mengeluarkan beberapa kepingan wang ringgit. Lalu, dia menyerahkan kepada lelaki itu.
“Eh, abang! Banyak ni. Tak apa, tak apa. Jangan susah-susah,” kata Wan Abdullah seraya menolak dengan lembut.
“Tak apa. Ambil je. Abang tahu Wan Dolah perlukan duit. Selama Wan Dolah jaga Din, mesti dah guna banyak duit.”
Akhirnya, Wan Abdullah mengambil wang tersebut. Lalu, dia mula menempah kereta dengan menggunakan aplikasi Grab untuk pulang ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Tidak lama kemudian, sebuah kereta jenama Honda tiba di rumah sewa Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin bagi menjemput Wan Abdullah.
“Terima kasih, Qist, Abang Suhaib. Jumpa lagi!” ucap Wan Abdullah.
Kemudian, berlalulah Wan Abdullah meninggalkan kawasan Sungai Pusu itu. Qistur Ruwaidah dan Suhaibul Umar melangkah masuk semula ke dalam rumah.
“Abang ingat… Adik dan Din tinggal kat rumah kita buat sementara waktu. Abang risau nak tinggalkan kau orang berdua je kat rumah ni. Adik tengah mengandung. Dibuatnya Din agresif, belasah adik lagi… Abang takut kalau apa-apa jadi kat kandungan adik,” luah Suhaibul Umar.
“Adik pun fikir macam tu juga. Adik pun takut bila abang tak ada. Kita orang perlukan abang,” luah Qistur Ruwaidah.
“Insya-Allah. Abang ada je. Malam ni, kita tidur sini. Esok, kita bawa Din dan pakaian dia kat rumah kita.”
“Abang tak nak jumpa Din sekejap?”
“Boleh juga. Abang tak nak dia rasa serba salah kat abang. Dia adik ipar yang baik. Lagipun, bukan salah dia pun. Salah mak dia. Abang pun nak minta maaf kat Din sebab dah tuduh dia yang bukan-bukan. Selama ni, memang dia jaga adik elok-elok sebelum rumah tangga kau orang bermasalah.”
Qistur Ruwaidah tersenyum. Lalu, dia membawa abangnya ke kamar beradu.
“Habibi… Sayang bawa Abang Suhaib ni,” kata Qistur Ruwaidah. Kemudian, dia melabuhkan punggungnya di atas katil bersebelahan dengan suaminya.
Anak mata Mohamad Salahuddin memandang tepat ke arah wajah abang iparnya itu. Air matanya mengalir buat kesekian kalinya. “Abang Suhaib…”
Suhaibul Umar melabuhkan punggungnya di atas kerusi yang diduduki oleh Qistur Ruwaidah tadi. “Abang tahu Din nak minta maaf. Jangan, Din… Jangan. Bukan salah Din. Abang yang patut minta maaf kat Din sebab dah tuduh Din macam-macam sampaikan abang minta Qist bercerai dengan Din. Din… Adik ipar abang yang cukup baik. Memang Din pegang amanat abang baik-baik. Cuma, sihir mak Din yang buat kau orang macam ni. Maafkan abang, Din.”
Mohamad Salahuddin menggelengkan kepalanya. “Abang pun tak salah. Kita semua jadi mangsa keadaan. Din minta maaf bagi pihak mak Din sebab dah buat kita semua sengsara macam ni.”
“Tak perlu nak minta maaf bagi pihak mak Din. Din tak patut pun. Sekarang, abang nak kita selesaikan semua ni dengan cepat. Beritahu ayah Din dan Keena. Dia orang kena tahu kejahatan mak Din. Esok, Din dan adik abang tinggal kat rumah abang sementara nak tunggu keadaan reda. Abang risau nak tinggalkan kau orang berdua je dalam rumah ni.”
“Okey, abang. Din ikut je. Abang… Boleh abang imamkan solat isyak dan solat tarawih? Din tak berkesempatan lagi nak solat tarawih. Din tak larat. Lepas habis solat isyak je, Din terus tidur.”
Suhaibul Umar tersenyum. “Boleh, Din. Abang tolong papahkan Din kat bilik air. Nak minta tolong Qist, dia mengandung dan batal wuduk pula nanti. Ni pun antara sebab abang nak kau orang tinggal kat rumah abang. Abang tahu Qist tak boleh nak buat seorang. Kena ada abang,” katanya seraya membantu Mohamad Salahuddin bagi meninggalkan katil tersebut.
Pada saat itu, alangkah tersentuhnya hati Mohamad Salahuddin. Abang iparnya sangat berjiwa murni. Dia memanjatkan kesyukuran kepada Ilahi kerana dikurniakan seorang abang ipar yang cukup baik.
Qistur Ruwaidah juga turut tersentuh. Kasih abangnya terhadap suaminya tidak berbelah bahagi.
SETELAH Qistur Ruwaidah, Mohamad Salahuddin dan Suhaibul Umar menunaikan solat isyak dan solat sunat tarawih secara berjemaah di kamar tidur pasangan itu, Suhaibul Umar meninggalkan pasangan itu. Harapannya… Semoga adik dan adik iparnya baik-baik sahaja. Sebuah pesanan juga turut ditinggalkan oleh dirinya kepada pasangan itu. “Kalau ada apa-apa masalah, hubungi abang.”
Qistur Ruwaidah membaringkan dirinya dalam posisi mengiring ke kanan bagi memastikan kandungannya berada dalam posisi selamat dan juga, dia mahu berbicara dengan suaminya dari hati ke hati. “Habibi dah tidur?” soalnya.
“Belum, sayang. Tengah tunggu sayang. Rindu nak sembang dengan sayang,” balas Mohamad Salahuddin seraya memegang tangan isterinya.
Kelihatan Qistur Ruwaidah membetulkan selimut suaminya supaya tubuh suaminya diselimuti sepenuhnya. Kemudian, dia mengusap wajah suaminya. “Rindu ya? Sayang pun rindu. Okey, habibi nak sembang apa?”
“Macam mana peperiksaan sayang hari tu? Sayang boleh buat?”
“Alhamdulillah. Walaupun rumah tangga kita bermasalah dulu, Allah tetap mudahkan perjalanan belajar dan peperiksaan sayang. Anak-anak kita pun baik je. Sepanjang sayang mengandung ni, sayang tak loya atau alah apa-apa. Cuma, kuat mengidam je.”
Mohamad Salahuddin menyentuh kandungan isterinya. “Anak-anak kita tengah buat apalah agaknya? Dia orang tak gerak ke? Habibi teringin nak rasa anak-anak kita bergerak.”
“Rasanya tidur lagi ni. Biasanya, dia orang akan aktif bila sayang tengah tidur. Habibi pun macam mana dengan peperiksaan hari tu? Okey?”
“Entahlah… Habibi rasa macam ada subjek yang repeat. Habibi jawab ala kadar sebab tak larat sangat. Otak habibi fikir nak rehat je kat rumah. Sayang… Mesti sayang dah banyak kali menderita dengan sakit PTSD sayang, kan?”
“Insya-Allah tak repeat. Paling pun, sayang doa cukuplah kita berdua lulus supaya kita tak perlu hadap balik subjek tu. Seksa. Sayang dah pernah rasa kat CFS dulu. Tak nak dah hadap lagi kat ijazah ni! Pasal PTSD sayang tu, nak buat macam mana, kan… Kadang-kadang sayang boleh kawal tapi kebanyakannya, sayang tak boleh kawal juga. Dalam dua minggu lagi, sayang akan dapatkan rawatan psikiatri balik. Habibi, jangan risau ya.”
“Okey sayang. Kalau habibi dah sembuh, habibi akan temankan sayang. Kalau belum lagi, terpaksa minta tolong Abang Suhaib. Bila lagi pemeriksaan kandungan sayang? Habibi teringin nak teman sayang bila habibi dah sembuh nanti. Nak tengok anak-anak kita.”
“Lagi tiga minggu. Insya-Allah, nanti kita tengok sama-sama. Sayang simpan lagi tahu gambar ultrabunyi anak-anak kita masa sayang buat pemeriksaan kali pertama dulu. Sayang nak tunjuk kat habibi nanti.”
“Wah, sayang tunjuk kat habibi terus esok tahu. Nak tengok!” ujar Mohamad Salahuddin dengan penuh teruja. Hilang seketika rasa sakitnya mendengarkan kisah kandungan isterinya.
“Boleh, habibi. Boleh. Apa sahaja untuk habibi kesayangan sayang ni,” kata Qistur Ruwaidah seraya mencuit hidung suaminya.
Mohamad Salahuddin tersenyum. Ah, isterinya juga cukup romantik dan penuh manja. Sungguh, dia merindui momen-momen ini seperti dulu. “Sayang… Abang Suhaib ada cakap dia minta sayang mohon cerai tadi. Habibi tertanya… Kenapa sayang tak bertindak terus nak minta fasakh kalau betul sayang dah bencikan habibi? Habibi pun dah banyak kali cederakan sayang.”
“Siapa cakap sayang bencikan habibi? Sayang masih cintakan habibi. Memang betul Abang Suhaib ada minta sayang mohon cerai tapi sayang tak sanggup. Perkahwinan kita pun tak sampai setahun lagi. Sebolehnya, sayang masih nak pertahankan rumah tangga kita. Sejak kita berdua dapat tahu rumah tangga kita bermasalah sebab sihir dan ustazah pun dah pesan, ‘pembantu’ mak akan kacau rumah tangga kita lagi, sayang dah sedia kalau kena belasah lagi dengan habibi dan ya, rumah tangga kita bermasalah balik. Sayang tahan je apa yang habibi buat kat sayang sebab sayang kenal habibi. Habibi bukan kaki pukul atau panas baran. Habibi sangat penyabar. Keena pun cakap habibi bukan jenis cepat marah.”
“Terima kasih sayang sebab fikir rasional dan tak lapor kat pihak polis. Habibi tak tahulah apa nasib habibi kalau macam jadi macam tu. Padahal, bukan salah habibi. Sihir mak terlalu dahsyat. Habibi pun tak tahu sihir mak ni tahap apa sampai dia boleh kawal habibi. Habibi tak tahu nak cakap macam mana kat ayah dan Keena. Ayah tu cinta sangat kat mak. Keena pun bukannya boleh kalau tak ada mak. Habibi kesian kat dia orang.”
“Sama-sama habibi. Sayang fikir apa yang terbaik untuk rumah tangga kita. Sayang terlalu sayangkan perkahwinan kita. Emm… Khadam cakap ayah kena sihir juga. Habibi tak rasa ke mak dah guna-gunakan ayah untuk sebab lain? Sebab yang kita tak tahu. Lagipun, Khadam cakap mak tak pernah terima habibi selama ni. Tak logik seorang mak kandung nak benci anak sendiri.”
“Entahlah sayang. Habibi pun buntu juga tapi mak memang hebat berlakon pura-pura sayangkan habibi selama ni. Bila habibi dapat tahu, hati habibi hancur… Tawar hati kat mak. Habibi sayang sangat kat mak. Apa yang mak nak, habibi cuba tunaikan supaya mak sentiasa gembira. Apa salah habibi sampai habibi kena hukum macam ni sekali?”
“Shhh… Tak apa, habibi. Kita lupakan dulu pasal mak. Insya-Allah, sayang hubungi ayah esok juga. Sayang dan Abang Suhaib akan fikirkan cara macam mana nak suruh ayah dan Keena datang rumah sayang tanpa bawa mak.”
“Biasanya, ayah akan jemput Keena kat sekolah dalam pukul 5.00 petang macam tu. Mak pula memang takkan pergi mana-mana kecuali beli barang dapur je. Kalau sayang minta dia orang terus datang rumah sayang lepas ayah jemput Keena dari sekolah dan berbuka puasa dengan kita, macam mana? Okey tak?”
“Wah, boleh juga! Bagus idea habibi. Okey, sayang cakap dengan Abang Suhaib esok.”
Disebabkan Qistur Ruwaidah dalam emosi penuh teruja, tiba-tiba janin-janinnya begitu aktif bergerak. “Habibi! Anak-anak kita dah mula gerak! Dia orang tengah aktif! Habibi boleh rasa sekarang!” katanya dengan nada penuh teruja seraya melekapkan tangan kanan suaminya ke arah kandungannya bagi Mohamad Salahuddin merasai pergerakan janin-janin itu.
Tatkala Mohamad Salahuddin merasai pergerakan janin-janin itu buat kali pertama, betapa dia amat teruja dan tersentuh hati sebagai seorang bakal ayah! “Subhanallah… Aktifnya anak-anak abi ni! Nanti… Bila anak-anak abi dah lahir, kita belajar memanah, menunggang kuda dan berenang sama-sama ya. Abi nak anak-anak abi jadi lelaki yang cergas, pintar dan tabah macam ummi. Satu lagi, abi nak anak-anak abi hafaz satu Al-Quran macam ummi,” bicaranya seraya memandang wajah isterinya dengan penuh cinta.
Qistur Ruwaidah membalas pandangan suaminya. “Ummi pula nak anak-anak lelaki ummi ni jadi sebaik dan setulus abi… Jadi lelaki yang bertanggungjawab, setia, lemah lembut dan pandai masak macam abi. Juga, sayangkan ummi dan abi sampai kami dah tak ada nanti.”
Janin-janin itu bergerak dengan penuh riang. Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin tersenyum bahagia merasai pergerakan janin-janin yang amat dicintai itu!
‘Ya Allah… Kau panjangkan umurku agar aku sempat melihat anak-anak aku dilahirkan ke dunia. Kau kuatkanlah aku dalam mengharungi ujian sihir ini. Moga aku akan terus bertahan demi isteri dan bakal anak-anak aku,’ bisik hati Mohamad Salahuddin.
PUSAT RAWATAN ISLAM AL-IKHTIYAR
“Saya kenal Zaidah tu. Nama dia memang mudah ingat. Zaidah binti Ishak. Saya panggil dia, Ida. Dia kawan saya masa kita orang sama-sama belajar kat UK dulu sebelum saya kenal abang. Masa tu, dia dah kahwin dan saya sendiri pernah jumpa Salahuddin. Serius… Ida memang baik orangnya. Muka lembut tapi tak sangka pula dia tukang bomoh. Sihir pula anak sendiri,” ujar Ustazah Afra pada suatu hari selepas Mohamad Salahuddin mendapatkan rawatan buat kali kedua dahulu.
“Tapi… Cara awak jumpa Salahuddin kali pertama dulu masa isteri dia teman dia sekali, gaya awak macam tak kenal,” kata Ustaz Fuad.
“Muka Salahuddin dah lain. Memang saya tak cam langsung. Saya jumpa Salahuddin pun, masa tu umur dia empat tahun tak silap. Dah lama tak jumpa. Pernah juga saya jaga Salahuddin masa Ida dan suami dia ada kelas. Pintar budaknya. Petah bercakap lagi.”
Ustazah Afra merupakan lepasan graduan dalam bidang psikologi di salah sebuah universiti terbaik di United Kingdom (UK) sama seperti Puan Zaidah. Selepas dia menamatkan pengajian ijazah dalam bidang tersebut, dia menyambung pula pengajian sarjana di UIAM dalam bidang Sarjana Ilmu Wahyu dan Warisan Islam Dalam Pengajian Quran dan Sunah (Master of Islamic Revealed Knowledge and Heritage in Quran and Sunnah Studies). Di tempat pengajian itulah, dia bertemu jodoh dengan Ustaz Fuad. Suaminya juga turut mengambil sarjana dalam bidang yang sama dengan dirinya.
“Tak boleh ke kalau awak berhubung dengan Ida tu melalui telepati ke apa? Awak je yang boleh buat. Ilmu abang dan Lubaid cukup terbatas pasal tu,” ujar Ustaz Fuad seraya menatang buah betik kesukaan isterinya.
“Saya dah cuba tapi benteng Ida terlalu ampuh. Saya sebut nama penuh dia dan Salahuddin tapi tak berjaya,” kata Ustazah Afra seraya memeriksa maklumat peribadi Mohamad Salahuddin.
“Masa awak belajar kat UK tu, awak tak rasa apa-apa yang pelik ke pasal Ida tu?”
“Tak. Masa tu, saya tak belajar ilmu ni lagi, kan? Lepas saya kahwin dengan abang, baru saya belajar. Kalau saya dah belajar masa tu, mesti saya boleh rasa dan selamatkan suami dia. Ni pun, saya ada cuba tembus roh suami dia. Roh suami dia tengah cuba minta tolong tapi terhalang dengan entiti lain. Saya tak boleh nak tolong. Kesian suami Ida dan Salahuddin.”
“Macam mana kita nak tolong keluarga tu? Kesian abang tengok Salahuddin. Serpihan kaca kat dalam badan dia makin berkembang. Macam tak ada kesudahan. Makin lama dibiarkan, dia boleh mati.”
“Tak ada cara lain. Memang kita kena menghadap Ida secara depan-depan atau bila dia dah lancarkan serangan kat Salahuddin tapi saya dah buat benteng khas untuk Salahuddin dari jarak jauh ni supaya dia terlindung daripada kena serang lagi dengan Ida tapi saya tak tahu seampuh mana benteng saya untuk lindungi Salahuddin. Harapnya kuatlah tapi kalau cara Khadam tu cerita, Ida memang handal. Mungkin saya boleh kalah.”
“Tak apa. Kita tengok macam mana nanti. Kalau tak, kita kena minta tolong kat Ustaz Marzuqi atau Ustaz Tirmizi. Kita doakan kebaikan untuk Salahuddin dan isteri dia. Juga, ayah Salahuddin. Makanlah buah betik ni. Mesti awak lapar.”
“Terima kasih, abang. Tulah… Saya risau sangat kat Salahuddin. Dia anak dan suami yang baik. Syukurlah dia tak terlafaz cerai kat isteri dia sepanjang rumah tangga dia orang bermasalah. Kalau tak, entahlah…”
“Sama-sama. Tak apa awak. Sementara klien kita tak ramai ni, kita buatlah apa yang boleh untuk Salahuddin.”
TAMAN LEMBAH KERAMAT
“Habibi rehat ya. Sayang nak kemas pakaian habibi dalam almari,” kata Qistur Ruwaidah seraya mengusap rambut suaminya.
Pada ketika itu, dia, suami dan abangnya baru sahaja tiba di rumah Taman Lembah Keramat setelah mereka bertiga bermalam di rumah Sungai Pusu. Mohamad Salahuddin selamat dibaringkan oleh Suhaibul Umar di atas katil.
Di bahagian bawah tubuh Mohamad Salahuddin, diletakkan pelapik di atas tilam supaya apabila dia tiba-tiba termuntah, tidaklah mengotorkan tilam.
“Sayang… Habibi lapar. Nak bubur,” luah Mohamad Salahuddin.
“Nak bubur ya… Okey, boleh. Sayang pergi masakkan. Habibi tunggu,” kata Qistur Ruwaidah. Nampaknya, niat dia untuk mengemaskan pakaian suaminya terpaksa ditangguhkan seketika.
Tiba-tiba…
UWEK!
“Habibi!” jerit Qistur Ruwaidah tatkala dia menyaksikan suaminya muntah berdarah buat kali pertama.
Sekali lagi, Mohamad Salahuddin muntah darah di atas tilam tersebut. Semakin banyak kuantiti muntah darah yang keluar dari tubuhnya itu. Dia benar-benar terseksa!
“Adik! Kenapa tu!” jerit Suhaibul Umar tatkala dia terdengar jeritan adiknya. Dia segera membuka pintu tanpa keizinan adiknya, memandangkan jeritan adiknya begitu membuatkan jantungnya berdegup kencang. “Astaghfirullah! Din!” ucapnya tatkala menyaksikan keadaan adik iparnya itu.
“Sa…yang, A…bang Su…haib,” panggil Mohamad Salahuddin dengan lemah. Lalu, dia muntah lagi.
Qistur Ruwaidah menangis teresak-esak sambil menggosok tubuh belakang suaminya. Pada saat itu, dia tiada kudrat untuk membantu suaminya. Buntu! Suhaibul Umar juga turut buntu. Alangkah kasihannya Mohamad Salahuddin dihukum sebegini oleh ibunya!
“Adik, bagi nombor ustaz tu,” pinta Suhaibul Umar.
Qistur Ruwaidah segera mencapai telefon pintarnya dan mencari nombor telefon pusat rawatan Islam itu. Lalu, dia menyerahkan telefonnya kepada Suhaibul Umar.
Dari sisi Mohamad Salahuddin, dia ternampak sesuatu di bucu dinding. Bayangan entiti berupa makhluk gergasi bersaiz beruang dengan mata berwarna merah serta memiliki mulut dan gigi taring yang panjang seperti harimau belang.
“Mohamad Salahuddin…” panggil entiti tersebut dengan nada penuh gerun.
“Pergi! Jangan kacau aku! Beritahu tuan kau, aku takkan mati!” jerit Mohamad Salahuddin bagaikan orang gila. Tangan kanannya menunjukkan sesuatu ke arah bucu dinding itu.
Air mata Qistur Ruwaidah semakin deras bersama rasa panik yang amat dahsyat. “Habibi, nampak apa?” soalnya dalam ketakutan. Dia tidak nampak apa-apa melainkan dia hanya dapat menyaksikan suaminya terjerit-jerit dan tangan kanannya menunjukkan ke arah dinding.
Kelihatan entiti tersebut semakin menghampiri Mohamad Salahuddin seraya mencekik leher lelaki itu.
“To…long… l…le…pas…kan a…ku,” rayu Mohamad Salahuddin. Dia hampir tidak boleh bernafas. Kedua-dua belah tangannya memegang tangan entiti itu.
Sekali lagi, Qistur Ruwaidah dapat menyaksikan perbuatan suaminya memegang lehernya sendiri. “Habibi! Kenapa ni!” jeritnya.
Kedengaran entiti tersebut ketawa. “HAHAHAHA! Kesian kau… Ya ke kau takkan mati? Aku rasa tuan aku tu tak sabar nak bunuh kau. Aku datang ni cuma nak beritahu, makin lama kau muntah, badan kau makin kurus. Serpihan kaca tu takkan boleh hilang sampai bila-bila selagi tuan aku tak mati. HAHAHAHA!”
“Y… Ya Allah…” ucap Mohamad Salahuddin dengan lemah. Air matanya mengalir. Seolah-olah dia sudah berada di ambang sakaratul maut.
“Selamat tinggal. Nikmatilah saat-saat bahagia terakhir bersama isteri kau sebelum kubur panggil kau!” kata entiti tersebut dengan sinis. Kemudian, ia menghilangkan diri.
UHUK… UHUK… UHUK… Mohamad Salahuddin terbatuk-batuk bersama muntah darah selepas entiti itu melepaskan cekikan yang begitu mengazabkan dirinya.
“Habibi…” panggil Qistur Ruwaidah dengan penuh kerisauan. Air matanya masih menemani dirinya.
“Sayang… Habibi rasa… tak lama,” ucap Mohamad Salahuddin. Lalu, dia rebah di atas pangkuan isterinya.
“Habibi! Habibi! Abang Suhaib! Tolong adik! Abang!” jerit Qistur Ruwaidah seraya menggoncangkan tubuh suaminya.
Suhaibul Umar segera memasuki bilik pasangan itu setelah dia selesai berhubung dengan Ustaz Fuad. “Ya Allah! Din! Bangun Din! Bangun!” kejutnya seraya menggoncangkan tubuh adik iparnya. Dia tidak peduli lagi muntah darah yang telah membanjiri di atas tilam dan lantai.
Reaksi dan tubuh Mohamad Salahuddin kaku dan tidak sedarkan diri, namun dia masih bernafas.
“Abang! Macam mana ni! Adik tak sedia lagi nak hilang Din! Anak-anak adik tak lahir lagi! Adik dan anak-anak masih perlukan Din!” rayu Qistur Ruwaidah dengan tangisan penuh deras.
“Shhh… Sabar, adik. Din bernafas lagi ni. Ustaz dan isteri dia dalam perjalanan ke rumah kita. Sabar ya,” pujuk Suhaibul Umar. Dia juga sudah hampir menangis. Namun, dia cuba tahan. Dia perlu kuat demi adiknya.
Tiba-tiba darah yang membanjiri di atas tilam dan lantai beransur-ansur hilang, termasuklah pada pakaian mereka bertiga. Dua beradik itu terkejut. Kejadian ini sungguh aneh!
“K…Kenapa muntah darah ni boleh hilang pula?” soal Qistur Ruwaidah dalam ketakutan.
“Abang tak tahu… Kita tunggu ustaz dan ustazah ya,” pujuk Suhaibul Umar seraya membaringkan Mohamad Salahuddin di atas bantal semula.
Tidak lama kemudian, Ustaz Fuad dan Ustazah Afra tiba di rumah Qistur Ruwaidah dan Suhaibul Umar.
“Ustaz… Ustazah… Tolong suami saya!” rayu Qistur Ruwaidah dengan penuh pengharapan. Tangan ustazah tersebut dipegang erat.
Ustazah Afra mendakap wanita itu. “Sabar ya, puan. Saya dan ustaz akan cuba tolong mana yang mampu. Boleh puan cerita… Apa dah jadi dengan Salahuddin? Saya dengar dia jerit-jerit masa abang puan hubungi ustaz tadi,” ujarnya seraya meleraikan dakapan itu.
Qistur Ruwaidah mula menceritakan peristiwa tadi sambil menunjukkan bucu dinding yang ditunjuk oleh suaminya tadi.
Lalu, Ustazah Afra menuju ke arah bucu dinding yang dimaksudkan oleh wanita itu. Tangannya mula memegang bucu dinding itu sambil membacakan sesuatu. Matanya dipejamkan bagi mengimbas peristiwa yang telah dialami oleh Mohamad Salahuddin. Dengan izin Ilahi, dia mempunyai kelebihan istimewa dalam mengimbas sesuatu seperti hadirnya entiti tadi menerusi bucu dinding walaupun dia tiada dalam kejadian.
“Astaghfirullah! Salahuddin!” ucap Ustazah Afra setelah dia menyaksikan apa yang telah terjadi menerusi pejaman mata. Keadaan entiti itu begitu menyeramkan! Dia tiada kudrat untuk berlawan dengan entiti suruhan Puan Zaidah itu!
Nampaknya, benteng ajaib Ustazah Afra tidak mampu melindungi Mohamad Salahuddin. Sudah musnah! Ternyata Puan Zaidah bukan calang-calang bomoh untuk dia berdepan kelak.
“Afra… Kenapa ni?” soal Ustaz Fuad.
“Serpihan kaca dalam badan Salahuddin… Takkan hilang selagi mak dia tak mati. Salahuddin takkan bertahan lama. Makhluk tu… Saya tak boleh lawan! Saya pun bukan lawan Ida! Kita kena panggil Ustaz Marzuqi atau Ustaz Tirmizi. Ida tu bukan calang-calang bomoh,” luah Ustazah Afra dengan sebak. Dia tidak mampu membantu lelaki itu, lelaki yang pernah dijaga oleh dirinya sewaktu kecil.
Mohamad Salahuddin… Seorang anak lelaki dan suami yang cukup baik dan bertanggungjawab.
Qistur Ruwaidah dan Suhaibul Umar tidak memahami apa yang diperkatakan oleh Ustazah Afra.
“Apa maksud ustazah? Kami tak faham,” ujar Suhaibul Umar.
Lalu, Ustazah Afra menceritakan apa yang telah dilihat oleh Mohamad Salahuddin sebelum lelaki itu rebah. Qistur Ruwaidah sudah menangis teresak-esak. Suhaibul Umar menjadi sugul.
“Tak ada cara lain ke nak bantu suami saya? Saya masih perlukan suami saya,” luah Qistur Ruwaidah dalam tangisan.
“Puan… Saya minta maaf. Memang kebolehan saya cukup terbatas. Mak mentua puan bukan calang-calang bomoh. Saya tak boleh lawan dia. Dia dah belajar macam-macam jenis ilmu hitam sampai buat dia berkuasa tapi saya dan ustaz akan minta bantuan daripada ustaz lain untuk bantu kami. Sebelum tu, maafkan saya, puan. Sebenarnya, saya kenal mak mentua puan. Kami pernah belajar sama-sama kat UK dulu. Saya pun tak sangka dia pilih jalan ni,” luah Ustazah Afra.
“Ya Allah…” luah Qistur Ruwaidah. Dia terduduk di atas sofa. Dia mengusap kandungannya. ‘Anak-anak ummi… Kita kena kuat. Abi akan tinggalkan kita bila-bila je. Ummi tak kuat,’ bisik hati sang ibu itu.
Mahu tidak mahu, Qistur Ruwaidah perlu memaklumkan keadaan suaminya kepada Encik Mohd Firdaus dan Sakeenah pada waktu sekarang juga sebelum mereka berdua pulang ke rumah dan bertemu dengan Puan Zaidah!
ALANGKAH terkejutnya Sakeenah tatkala dia menyaksikan kehadiran ayahnya, Encik Mohd Firdaus di pejabat sekolah bagi menjemputnya pulang selepas namanya dipanggil menerusi pembesar suara untuk datang ke pejabat sekolah dengan segera.
“Ayah, kita nak pergi mana ni? Ada apa-apa kecemasan ke?” soal Sakeenah di dalam kereta.
“Ayah dapat panggilan daripada Kak Long. Dia cakap Along tengah sakit teruk dan dalam bahaya. Dia ada pesan kat ayah, jangan beritahu apa-apa kat mak dan jangan bawa mak sekali. Ayah tak sempat nak tanya lagi, terus Kak Long matikan panggilan. Sekarang, kita pergi ke rumah Suhaib. Ayah pun ambil cuti kecemasan ni,” terang Encik Mohd Firdaus.
Penerangan sang ayah itu membuatkan Sakeenah berasa amat risau terhadap abang tercinta. “Ha! Abang Long sakit? Sakit apa? Kenapa pula Kak Long tak bagi ayah beritahu mak?”
“Ayah pun tak tahu, Keena tapi suara Kak Long sedih sangat. Kita banyakkan berdoa semoga Along tak ada apa-apa.”
Suasana hening mula menemani Encik Mohd Firdaus dan Sakeenah. Masing-masing dalam kerisauan dan mendoakan kesejahteraan buat Mohamad Salahuddin.
Pelbagai persoalan yang menerjah dalam minda mereka berdua. Mohamad Salahuddin sakit apa? Adakah teruk sakitnya itu? Mengapakah Puan Zaidah tidak dibenarkan untuk ikut bersama? Mengapakah mereka berdua tidak boleh memberitahu Puan Zaidah? Apakah pula perkaitan di antara sakit Mohamad Salahuddin dengan tidak membenarkan Puan Zaidah turut ikut serta?
Masing-masing memujuk hati. Semuanya akan terbongkar selepas mereka berdua mengetahui kebenarannya di sana nanti.
Maaf di atas kekejaman Tuan Penulis terhadap Mohamad Salahuddin xD
Share this novel
beta reader here!