ISNIN, 2 OKTOBER 2017
11 MUHARAM 1439H
HOSPITAL BERSALIN AZ-ZAHWAH
Pada tarikh keramat ini, Qistur Ruwaidah bakal bersalinkan anak kembar buat kali pertama dalam sejarah hidupnya kerana dia sudah mula merasakan kontraksi yang semakin kerap menerusi mesin kardiotokografi (CTG), iaitu sejenis mesin bagi memantau denyutan jantung bayi. Walaupun Mohamad Salahuddin tidak dapat merasakan kesakitan isterinya itu, namun dia tetap dapat melihat tahap kesakitan itu kian meningkat melalui graf yang dipaparkan oleh mesin CTG di sebelah katil isterinya.
Pada tarikh tersebut juga, mujurlah Mohamad Salahuddin tidak menghadiri ke kuliah kerana dia sudah berkemeja rona biru firus gelap dan berseluar slack hitam. Dia setia berada di sisi isterinya seperti yang dijanjikan oleh dirinya sendiri terhadap Qistur Ruwaidah.
Dua hari sebelum Qistur Ruwaidah bersalin, dia telah diarahkan oleh doktor untuk berada di wad sebagai persediaan awal kerana kelahiran kembar merupakan kelahiran berisiko tinggi serta dia sendiri telah mengalami sedikit pendarahan bersama keputihan. Apatah lagi, seorang ibu seperti Qistur Ruwaidah baru merasai pengalaman pertama ini buat seumur hidupnya.
“S… Sakit,” luah Qistur Ruwaidah bersama linangan air mata. Mata dan hidungnya sudah berubah merah.
“Habibi tahu, sayang. Okey, sayang tarik nafas. Satu, dua, tiga,” kata Mohamad Salahuddin seraya memegang tangan isterinya.
Qistur Ruwaidah mula menarik nafas dan mengira dalam hati. “Huu…”
“Okey, hembus perlahan-lahan sambil sebut ‘Allah’,” kata Mohamad Salahuddin lagi.
Qistur Ruwaidah menghembuskan nafasnya bersama kalimah ‘Allah’ sebagai penguat semangat bagi menahan sakit kontraksi ini. Kemudian, dia mengulang lagi teknik menarik dan menghembus nafas itu. Akan tetapi, sakit kontraksi itu tetap menguasai mindanya. Dia perlu kuat untuk semua ini demi melahirkan dua cinta hati yang dikandung selama sembilan bulan itu. Sudah 10 jam dia menahan sakit kontraksi tetapi kali ini kontraksinya semakin kerap.
“Makan sikit. Sayang nak kena guna banyak tenaga sekejap lagi,” kata Mohamad Salahuddin seraya mengambil bekas makanan yang berisi nasi goreng pataya. Lalu, dia menyuakan nasi goreng tersebut ke arah mulut isterinya.
Meskipun Qistur Ruwaidah tiada selera kerana dia terlalu sakit menahan kontraksi tetapi dia memaksa juga dirinya untuk menjamah makanan. Dia menyambut suapan yang diberikan oleh suaminya.
“Sayang nak muntah,” luah Qistur Ruwaidah secara tiba-tiba.
Cepat-cepat Mohamad Salahuddin mengambil plastik berwarna kuning yang telah diletakkan dalam bekas khas. Lalu, Qistur Ruwaidah memuntahkan segala makanan yang telah dijamahnya sehingga dia tidak larat lagi. Tidak lama kemudian, sakit kontraksinya semakin kerap sehingga ke lima minit kekerapannya.
“Sayang rasa makin sakit. Rasa macam dah nak beranak,” luah Qistur Ruwaidah.
Mohamad Salahuddin terus menekan butang Sistem Panggilan Jururawat.
Tidak lama kemudian, kelihatan beberapa jururawat bersama Dr. Ainun, doktor yang menguruskan Qistur Ruwaidah kembali bagi memeriksa bukaan rahim si bakal ibu itu atau istilah yang dipanggil para ibu mengandung, iaitu ‘seluk’. “Puan, minta maaf ya. Saya nak periksa bukaan puan sekali lagi,” ujar Dr. Ainun.
“O…key,” luah Qistur Ruwaidah dalam kesakitan.
Lalu, Dr. Ainun mula memeriksa bukaan rahim pesakit itu. “Okey, dah 7 cm. Puan Qist dah boleh ke labour room,” beritahu beliau kepada para jururawat yang bertugas.
Kelihatan para jururawat mula bergegas dan bergerak pantas dengan menolak katil tersebut bagi menguruskan Qistur Ruwaidah untuk dibawa ke dewan bersalin. Sejujurnya, dia rasa cemas dengan keadaan yang dirasakan sangat pantas itu. Tahu-tahu sahaja katilnya mula digerakkan. Dia juga dapat menyaksikan riak wajah para jururawat itu sangat tenang walaupun dalam keadaan serba mencemaskan itu.
Para jururawat menolak dengan pantas agar bayi-bayi Qistur Ruwaidah tidak keluar sebelum berada dalam dewan bersalin kerana boleh menjadi risiko yang terlalu tinggi seperti jangkitan kuman atau ibu akan mengalami tumpah darah.
Sementara Mohamad Salahuddin pula, dia terus memaklumkan kepada keluarganya, Suhaibul Umar, keluarga Inspektor Anwar, keluarga Tihaani dan Wan Abdullah berkenaan keadaan terkini Qistur Ruwaidah. Kemudian, dia tidak fokus lagi kepada telefon pintarnya kerana dia mahu fokus kepada isterinya.
Sesampai Qistur Ruwaidah di dewan bersalin, dia diberikan pakaian khas sebelum bersalin. Tilamnya sudah diletakkan alas agar tidak mengotorkan cadar dan tilam. Katilnya pula dilaraskan mengikut ketinggian yang bersesuaian. Selain itu, dia juga telah menerima arahan agar tidak menjerit, tidak mengetap bibir dan sentiasa mengawal pernafasan semasa meneran nanti agar proses bersalin itu menjadi mudah.
Mohamad Salahuddin pula diberikan pakaian dan pelindung kepala khas bagi menemani isteri tercinta sebelum dia melangkah masuk ke dalam dewan bersalin.
Tatkala Mohamad Salahuddin menyaksikan keadaan isterinya yang sudah bersedia untuk melahirkan dua zuriat, hatinya sayu. Dia tidak boleh membayangkan bagaimana isterinya hendak berjuang melahirkan si kembar tanpa dia di sisi jika dia terkorban sebagai mangsa sihir dahulu.
“Encik Din, masih ada masa nak cakap apa-apa dengan Puan Qist,” kata Dr. Ainun.
Mohamad Salahuddin menjadi kelu seketika. Sejujurnya, dia mula cemas dan risau tatkala menyaksikan isterinya itu. Dia hanya mampu menuturkan, “Habibi halalkan semuanya.”
Qistur Ruwaidah mengangguk. Tiada sepatah bicara diluahkan. Kini, sakit kontraksinya semakin kerap menjadi setiap seminit kekerapannya. Air ketuban juga sudah pecah.
Sekali lagi, Dr. Ainun memeriksa bukaan rahim pesakitnya itu. “Okey Puan Qist. Bukaan dah 9 cm. Puan tarik dan hembus nafas dulu. Bila saya cakap ‘sedia’, puan boleh teran,” katanya. Kemudian, dia memegang perut Qistur Ruwaidah. Perut pesakit itu sudah mengeras. “Sedia.”
Sekuat hati, Qistur Ruwaidah mula mencari kekuatan bagi melahirkan kembar pertama terlebih dahulu. Kemudian, dia menggunakan teknik tarik dan hembus nafas. Setelah dia bersedia, dia mula meneran. Terasa nyawanya bagai dihujung tanduk. Air matanya tidak berhenti mengalir, bahkan semakin deras. ‘S…Sakit!’ bisik hatinya. Dia menggenggam tangan suaminya dengan penuh erat. Sungguh dia takut jika ini merupakan hari terakhirnya.
Betapa Mohamad Salahuddin tersentuh hati tatkala dia merasakan genggaman isterinya itu. Namun, genggaman yang diberikan oleh isterinya bertukar pula dengan cara tangannya dipulas, diramas dan dicengkam sehingga membuatkan Mohamad Salahuddin terasa cukup sakit. Pasti kesakitan isterinya itu semakin berganda. Tatkala itu, keinsafan mula bertandang dalam hatinya.
Akan tetapi, semakin Qistur Ruwaidah kuat memulas, meramas dan mencengkam tangan suaminya, semakin membuatkan Mohamad Salahuddin menjadi sebak dan bahagia. Dia tahu pengorbanan isterinya tidak mampu diganti dengan wang ringgit. Apatah lagi, nyawanya sendiri. Isterinya perlu berjuang sendirian bagi menghadapi kesakitan bersalin ini.
“Bagus, puan. Tarik nafas lagi. Hembus,” kata Dr. Ainun.
Qistur Ruwaidah cuba meneran lagi dengan sepenuh kudratnya. Kali ini, dia menggenggam tangan Mohamad Salahuddin sekuat hati. Dia benar-benar memerlukan kekuatan dan mengharapkan anak-anaknya selamat dilahirkan.
“Habibi tahu sayang boleh!” bisik Mohamad Salahuddin di tepi telinga isterinya itu.
Sekali lagi, Qistur Ruwaidah cuba mengambil nafas dan meneran buat kesekian lagi dengan seluruh kudrat yang dia miliki. Mendengar bisikan suaminya itu, dia tahu dia tidak boleh mengalah. ‘Ya Allah! Keluarlah cepat anak-anak ummi!’ bisik hatinya.
“Okey, Encik Din. Boleh ke sini untuk sambut. Kepala bayi hampir dah nak nampak,” kata Dr. Ainun tatkala dia ternampak kepala bayi pertama semakin menjengah ke dunia.
Cepat-cepat Mohamad Salahuddin meluru ke arah doktor tersebut. Alangkah terujanya dia tatkala dia ternampak kepala bayi pertama itu muncul keluar dari rahim isterinya. “Sikit lagi, sayang! Kepala anak kita dah keluar,” katanya sambil memberikan sokongan kepada isteri tercinta.
Dr. Ainun tersenyum menyaksikan sokongan yang diberikan oleh Mohamad Salahuddin buat isterinya.
Air mata Qistur Ruwaidah semakin deras tatkala mendengar kata-kata suaminya sambil dia cuba meneran lagi. Betapa dia tidak sabar untuk menatap wajah anak kembarnya itu.
Akhirnya, bayi lelaki pertama berjaya dikeluarkan dan tangisannya menyinari dewan bersalin tersebut. “Okey, anak lelaki,” umum Dr. Ainun.
“Alhamdulillah!” ucap semua yang berada di situ bersama sorakan gembira.
Dr. Ainun segera memandang jam digital yang berada di dinding. “Pukul 8.48 pagi,” sebutnya dengan nada kuat bagi memaklumkan kepada jururawat agar mencatat masa kelahiran bayi pertama Qistur Ruwaidah.
Kemudian, tali pusat bayi lelaki pertama itu dipotong oleh Mohamad Salahuddin. Lalu, bayi pertama itu ditunjukkan kepada Qistur Ruwaidah. Alangkah sebak hatinya tatkala dia menyaksikan bayinya yang cukup sifat itu.
“Puan, tengok anak pertama puan. Anak apa?” ujar Dr. Ainun.
“Anak saya,” jawab Qistur Ruwaidah dengan selamba. Sepatutnya, dia menjawab anak lelaki. Fikirannya masih belum boleh berfikir dengan waras.
Masing-masing ketawa mendengar jawapan Qistur Ruwaidah. Suaminya juga turut tertawa.
Bayi pertama mula ditimbang oleh jururawat. Kemudian, bayi itu terus dimandikan agar dia tidak berada dalam kesejukan dan juga, bagi mengelakkan jangkitan kuman.
“Jangan rehat dulu, puan. Ada seorang lagi kat dalam. Sekejap lagi, puan boleh tengok anak-anak puan betul-betul,” pesan Dr. Ainun.
Qistur Ruwaidah mengangguk perlahan. Sejujurnya, dia sudah kehabisan tenaga dan ingin tidur. Namun, dia tidak boleh mengalah. Dia meneran pula bagi mengeluarkan bayi lelaki kedua. Air ketuban kali kedua ini juga sudah pecah bagi mengeluarkan anak kedua. Kali ini, lebih mudah untuk si ibu itu meneran berbanding yang pertama tadi.
“Bayi lelaki. Pukul 8.53 pagi,” maklum Dr. Ainun kepada jururawat.
Bayi lelaki kedua pun selamat menjengah ke dunia bersama tangisan. Sekali lagi, tali pusat bayi tersebut dipotong oleh Mohamad Salahuddin. Tercapai hasratnya bagi menyambut dan memotong tali pusat anak-anaknya itu. Tidak lama kemudian, bayi kedua diserahkan kepada jururawat untuk dimandikan.
Segala puji bagi Allah, berakhirlah penderitaan yang ditanggung oleh Qistur Ruwaidah bagi memastikan kedua-dua puteranya selamat dilahirkan setelah beberapa jam dia bertarung nyawa dalam menahan kontraksi dan mengeluarkan dua cinta hatinya. Rezeki dia dilahirkan secara normal.
Sementara pasangan itu menunggu kedua-dua orang bayi itu, Qistur Ruwaidah berpelukan dengan Dr. Ainun. “Terima kasih doktor,” ucapnya.
“Sama-sama puan. Tahniah untuk puan dan suami. Puan antara ibu yang bertuah sebab bersalin kembar secara normal. Rezeki,” ucap Dr. Ainun bersama senyuman. Dia mengangguk hormat kepada Mohamad Salahuddin. “Tahniah ya, encik,” ucapnya kepada sang ayah itu.
“Terima kasih doktor. Terima kasih juga sebab dah uruskan isteri saya,” ucap Mohamad Salahuddin.
“Sama-sama encik. Enjoy your parenthood.”
Tidak lama kemudian, kedua-dua orang bayi itu pun tiba dalam keadaan bersih dan telah pun dimandikan. Lalu, pasangan kembar itu diletakkan di atas tubuh Qistur Ruwaidah agar anak-anaknya dapat merasai sentuhan seorang ibu secara langsung. Juga, anak-anak itu dapat mengenali bau dan merasai degupan jantung sang ibu itu. Rasa penat dan sakit Qistur Ruwaidah terus hilang tatkala dia melihat dua wajah suci itu.
“Sebelah kanan ni, abang. Sebelah kiri ni, adik,” maklum jururawat tersebut.
Jururawat yang bertugas memberikan peluang seketika kepada pasangan tersebut bagi menatap wajah dua bayi itu sebelum dipindahkan ke wad yang didiami oleh Qistur Ruwaidah semula. Namun, jururawat itu ada berpesan sesuatu kepada pasangan suami isteri itu.
“Puan, encik… Saya nasihatkan puan dan encik tak cium anak-anak ni buat masa sekarang sebab takut kena jangkitan kuman. Lagi-lagi, mulut dan air liur orang dewasa ada banyak kuman. Imunisasi bayi-bayi ni tak kuat lagi.”
Qistur Ruwaidah memandang jururawat itu. “Misi, saya dan suami minta nak cium sekejap je. Boleh ya?” pintanya.
Jururawat itu tersenyum. Dia mengerti… Mana-mana ibu bapa pun geram dengan kecomelan anak mereka dan sentiasa ingin mencium anak sendiri. “Okey boleh, puan, encik tapi cium kat ubun-ubun mereka ya.”
Perlahan-lahan, Qistur Ruwaidah mencium ubun-ubun anak pertama dahulu. ‘Anak-anak ummi abi sayang… Selamat datang ke dunia,’ bisik hati sang ibu. Kemudian, dia mencium ubun-ubun anak keduanya pula. Bau bayi-bayi itu sangat menenangkan jiwanya.
Mohamad Salahuddin terharu menyaksikan situasi tersebut. Apatah lagi, dia juga berasa sebak tatkala dia mencium ubun-ubun kedua-dua orang anaknya itu buat seketika. Dia bagaikan tidak percaya bahawa dia telah pun menjadi seorang ayah. Sangkaannya, dia tidak berpeluang untuk melihat anak-anaknya pada suatu ketika dahulu gara-gara sihir ibu tirinya, namun Allah Maha Penyayang… Dia masih dipanjangkan usia bagi mengecapi kebahagiaan bersama keluarga kecilnya itu.
Bersaksikan apa yang telah dilihat oleh Mohamad Salahuddin sebentar tadi, dia bersyukur kerana dikurniakan seorang isteri yang sangat kuat jiwanya. Dia juga bersyukur apabila ketiga-tiga permata hatinya semuanya selamat. Tatkala itu, dia mula teringatkan almarhumah ibu kandungnya. Pasti itulah yang dilalui oleh ibunya sewaktu ibunya sedang melahirkan dirinya.
Akhirnya, Qistur Ruwaidah tertidur kepenatan buat seketika sepanjang katil itu ditolak ke wad bagi mendapatkan tenaga semula agar dia lebih bersemangat untuk berinteraksi dengan anak kembarnya nanti.
Mohamad Salahuddin turut mengikuti isterinya. ‘Rehatlah sayang,’ bisik hatinya.
KELIHATAN dua orang jururawat melangkah masuk ke wad Qistur Ruwaidah sambil menolak dua buah katil bayi. Kelihatan Mohamad Salahuddin sedang menemani isterinya yang sudah tersedar dari lena. Betapa cerianya wajah pasangan itu setelah dua buah katil itu mendekati ke arah mereka berdua.
“Sebelah kanan ni, abang. Sebelah kiri ni, adik. Tag kat pergelangan kaki mereka ada tertera nombor 1/2 dan 2/2. Jadi, jangan risau kalau tak tahu yang mana satu abang dan mana satu adik,” terang jururawat itu.
Kedua-dua orang jururawat itu mengajarkan cara untuk mendukung bayi kepada Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin sehinggalah pasangan itu sudah mahir mendukung anak-anak sendiri. Alangkah sejuknya hati pasangan itu tatkala mereka berdua menatap wajah permata hati mereka yang sungguh comel itu. Benarlah… Anak-anak merupakan penyejuk mata bagi setiap ibu bapa serta amanah yang dikurniakan oleh Allah.
“Assalamualaikum anak-anak ummi abi. Subhanallah! Comelnya sayang-sayang ummi abi ni,” bicara Qistur Ruwaidah dengan penuh kelembutan sambil anak matanya memandang suaminya.
“Assalamualaikum anak-anak abi ummi,” ucap Mohamad Salahuddin pula kepada dua orang puteranya itu, penyambung warisnya.
Kelihatan kedua-dua bayi itu menguap secara serentak. Cepat-cepat pasangan itu menutup mulut si kembar itu dengan menggunakan dua jari.
“Puan, maaf ganggu. Puan kena susukan anak-anak ni ya,” tegur salah seorang jururawat itu.
Pada mulanya, kelihatan Qistur Ruwaidah agak kekok. Bagaimanalah agaknya dia hendak menyusukan dua orang puteranya dalam waktu yang sama? Mujur jururawat tersebut mengajarkan teknik untuk menyusukan anak kembar secara serentak. Dia juga boleh menyusukan anak seorang demi seorang terlebih dahulu. Akhirnya, dia tidak lagi kekok untuk menyusu dua orang puteranya itu.
“Terima kasih misi,” ucap Qistur Ruwaidah.
“Sama-sama puan. Nanti, lepas puan dah habis menyusu, giliran encik pula azan dan iqamat kat telinga anak-anak ni. Azan kat telinga sebelah kanan dan iqamat kat telinga sebelah kiri tapi jangan kuat sangat macam nak panggil orang solat. Baca perlahan dan lembut je. Bukan apa… Sebab ada ayah lain pernah buat macam tu. Terkejut bayi. Bayi baru lahir sangat sensitif dengan bunyi,” kata jururawat tersebut. Lalu, dia tertawa kecil apabila dia teringat semula gelagat beberapa orang bapa dahulu.
Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin juga turut tertawa apabila mereka mendengar pengalaman jururawat itu menguruskan para bapa berkenaan azan dan iqamat ke telinga anak-anak mereka.
“Baik misi. Ada apa-apa lagi ke yang kami kena buat?” ujar Mohamad Salahuddin.
“Setakat ni, tak ada. Sekejap lagi, saya akan bagi uri Puan Qist untuk encik tanam kat rumah nanti. Pihak kami dah tolong basuh dan bungkus. Tinggal encik nak tanam je. Ada apa-apa lagi?”
“Okey. Setakat ni, tak ada. Terima kasih.”
Setelah dua orang jururawat itu meninggalkan wad yang didiami oleh Qistur Ruwaidah, Mohamad Salahuddin menuju semula ke arah isterinya. “Sayang dah habis menyusu si abang?” soalnya.
“Belum lagi. Si abang ni nampak lapar sungguh,” kata Qistur Ruwaidah seraya menatap wajah bayi lelaki pertama yang sedang asyik menyusu itu.
“Kalau macam tu, habibi pergi ambil wuduk dulu,” kata Mohamad Salahuddin. Kemudian, dia menuju ke bilik air.
Dia pernah terbaca bahawa afdal bagi seorang ayah berada dalam keadaan suci sebelum mengazankan dan mengiqamatkan ke telinga anak.
Usai sahaja Qistur Ruwaidah menyusui anak pertama, dia menyerahkan kepada Mohamad Salahuddin bagi mengazankan dan mengiqamatkan ke telinga si abang. Kemudian, giliran anak kedua pula untuk disusui oleh sang ibu.
Mohamad Salahuddin mendukung bayi itu dan menghadap kiblat. Dengan nama Allah, dia mula mengazankan ke telinga anak pertamanya secara lemah lembut. Pada saat itu, hatinya sebak. Kemudian, dia mengiqamatkan anaknya pula di telinga sebelah kiri. Sementara dia menunggu Qistur Ruwaidah selesai menyusui anak kedua, dia ralit menggendong putera sulungnya itu.
“Alalala… Anak abi…” ucap Mohamad Salahuddin dengan penuh ceria. Kemudian, dia mengucup ubun-ubun anaknya itu buat seketika. Sungguh harum baunya. “Emm… Wanginya anak abi ni.”
Tidak lama kemudian, giliran putera kedua pula untuk diazankan dan diiqamatkan di kedua-dua belah telinga oleh Mohamad Salahuddin. Pada hari ini, betapa jiwanya cukup terharu apabila dia sudah bergelar sebagai seorang ayah.
“Sayang, habibi minta izin nak dukung kedua-dua anak kita,” pinta Mohamad Salahuddin.
“Habibi ni… Kenapa pula nak minta izin? Anak-anak habibi juga,” kata Qistur Ruwaidah bersama senyuman. Lalu, dia menyerahkan putera pertama kepada suaminya dengan penuh berhati-hati. “Hati-hati, habibi. Boleh ke tak tu?” ujarnya.
“Insya-Allah. Boleh,” kata Mohamad Salahuddin seraya menggendong kedua-dua orang anak lelaki dengan menggunakan kedua-dua belah tangannya. Lalu, dia berjalan-jalan sambil berbicara sesuatu dengan anak-anaknya. “Anak-anak abi… Bertuahnya anak-anak abi dilahirkan tanpa dosa. Abi janji, abi akan didik anak-anak abi dengan nilai keislaman yang tinggi. Insya-Allah,” bicaranya sendirian seraya mengucup ubun-ubun kedua-dua orang anaknya itu.
Dari kejauhan, Qistur Ruwaidah tersentuh hati melihat suaminya yang bersifat cukup penyayang itu. Ternyata dia tidak salah dalam memilih Mohamad Salahuddin sebagai suami untuk dirinya dan juga, ayah kepada anak-anak mereka itu. Dia sentiasa mendoakan agar suaminya tidak berubah hati dan setia terhadap dirinya. Kemudian, dia mengambil telefon pintarnya bagi dia merakam momen di antara ayah dan anak itu secara diam-diam terlebih dahulu.
“Habibi, mari sini. Sayang tolong tangkapkan gambar habibi dan anak-anak,” panggil Qistur Ruwaidah.
Mohamad Salahuddin memandang isterinya bersama senyuman. Kemudian, dia menuju ke arah isterinya. Wajahnya kelihatan cukup gembira bercampur bangga tatkala mendukung kedua-dua orang permata hati itu.
“Okey… Satu, dua, tiga…” kata Qistur Ruwaidah seraya menekan butang di skrin telefon pintarnya.
Setelah beberapa posisi berjaya ditangkap dan dirakam oleh Qistur Ruwaidah, giliran Mohamad Salahuddin pula merakamkan detik di antara ibu dan anak itu. Kedua-dua orang bayi itu diletakkan di atas tubuh Qistur Ruwaidah. “Alaa… Anak-anak ummi sayang…” kata Qistur Ruwaidah dengan penuh kasih.
Usai semuanya, Mohamad Salahuddin berkongsi satu gambar anak-anak mereka berdua kepada keluarganya, Suhaibul Umar, keluarga Inspektor Anwar, keluarga Tihaani dan Wan Abdullah yang setia menunggu berita berkenaan kelahiran Qistur Ruwaidah. Tidak lama kemudian, ucapan tahniah mula membanjiri WhatsApp di telefon pintar Mohamad Salahuddin.
“Ayah, Keena, Abang Suhaib, keluarga abah, keluarga Tihaani dan Wan Dolah ucap tahniah kat kita. Insya-Allah semua akan ziarah kita sekejap lagi. Habibi suruh dia orang datang dalam pukul 2.00 petang. Nak bagi sayang cukup rehat dulu,” kata Mohamad Salahuddin dengan penuh gembira.
“Tak sabarnya nak jumpa semua nanti,” kata Qistur Ruwaidah seraya ralit memandang anak-anaknya yang sedang lena di atas tubuhnya itu.
Mohamad Salahuddin menatap wajah isterinya dan dua orang anak kecil itu. Dia akui. Cintanya terhadap Qistur Ruwaidah kian mekar hari demi hari. Pengorbanan wanita yang amat dia cintai itu terlalu besar nilainya.
“Habibi…” panggil Qistur Ruwaidah seraya memandang wajah suaminya.
“Ya sayang,” balas Mohamad Salahuddin. Dia meletakkan tangan kirinya di atas tangan kiri isterinya. Pada saat itu, dia semakin mencintai Qistur Ruwaidah yang telah bertarung nyawa dalam melahirkan si kembar dan dia bangga dengan kekuatan isterinya itu.
Qistur Ruwaidah menghadiahkan senyuman. “Terima kasih sebab temankan sayang tadi. Kalau habibi tak ada, sayang pun tak tahulah macam mana. Sayang rasa sayang tak kuat nak bersalin tanpa habibi. Dahlah kena teran dua kali.”
Perlahan-lahan Mohamad Salahuddin menggelengkan kepalanya. “Sayang… Bukan sayang yang kena ucapkan terima kasih kat habibi. Sepatutnya, habibilah kena ucap terima kasih kat sayang sebab sayang kuat lahirkan anak-anak kita ni. Apalah sangat habibi buat pun.”
Sekali lagi, Qistur Ruwaidah tersenyum mendengar kata-kata suaminya itu. “Habibi… Habibi tetap ada peranan teman sayang tadi. Habibi ibarat painkiller untuk sayang dari segi sokongan emosi masa sayang nak lahirkan anak-anak kita.”
Pada ketika itu, Mohamad Salahuddin turut tersenyum. “Ada dalam beberapa minggu lepas, ayah pesan kat habibi supaya teman sayang bersalin. Tengok pengorbanan isteri nak lahirkan anak. Jujur, habibi insaf tengok sayang tadi. Habibi terfikir… Macam manalah suami yang boleh tergamak curang dengan perempuan lain, boleh buat macam tu kat isteri yang dah susah payah lahirkan zuriat dia?”
Benarlah, masing-masing saling memerlukan. Qistur Ruwaidah tahu bahawa dia tidak mampu bersalin jika tiada suami di sisinya. Mohamad Salahuddin pula merasakan bahawa sangat wajar untuk dirinya menemani isterinya itu kerana ayahnya pernah berpesan agar jangan sesekali membiarkan si isteri mengharungi seorang diri ketika bersalin kerana kehadiran seorang suami sebagai sumber kekuatan si isteri.
“Itulah, habibi… Sayang pun tak faham kenapa nak kena curang? Sedangkan, isteri yang halal ada depan mata. Dicari juga yang haram,” luah Qistur Ruwaidah.
Wajah Mohamad Salahuddin berubah serius seketika. “Biasalah… Yang haram depan mata memang nampak sedap dan seronok tapi akibatnya… menjawablah depan Allah nanti.”
“Aiii habibi… Emosi nampak,” seloroh Qistur Ruwaidah.
“Macam mana habibi tak emosi… Geram tahu.”
Tiba-tiba anak kedua mereka berdua merengek. Cepat-cepat Mohamad Salahuddin mendukung si adik dan menepuk lembut tubuh belakangnya. “Shhh… Abi ada ni,” pujuknya.
Sementara Qistur Ruwaidah pula, dia juga menepuk lembut tubuh belakang anak pertama. Dia tidak jemu membiarkan anaknya berada di atas tubuhnya.
Setelah anak kedua mereka tidak lagi merengek, Mohamad Salahuddin membaringkan anak tersebut di atas katil bayi semula. “Sayang nak habibi baringkan yang abang kat katil?”
“Boleh juga,” kata Qistur Ruwaidah seraya menyerahkan anak pertama kepada suaminya itu bagi dibaringkan di atas katil bayi.
Kemudian, Mohamad Salahuddin memfokuskan isterinya semula. Wajah Qistur Ruwaidah masih nampak letih. “Sayang kena tidur ni. Nampak muka sayang letih sangat. Sekejap lagi, ramai nak ziarah kita,” tegurnya.
“Okey, okey. Sayang ada sikit lagi nak cakap sebelum sayang nak tidur. Habibi… Hari ni, sayang bersyukur sangat dengan kehidupan penuh makna ni. Sayang ada habibi, ada anak kembar kita ni. Sekarang, sayang rasa kehidupan sayang dah cukup lengkap. Alhamdulillah.”
“Alhamdulillah. Hari ni, habibi pun rasa bahagia sangat. Habibi ada sayang dan anak kembar kita, penguat semangat habibi. Moga kita jadi ummi abi terbaik untuk dia orang. Macam apa yang sayang pernah cakap masa hari pertama kita kahwin dulu, moga zuriat kita terhindar dari fitnah dunia,” ucap Mohamad Salahuddin dengan penuh ceria.
Qistur Ruwaidah tersenyum. Gembira untuk kebahagiaan suaminya itu. “Subhanallah! Habibi ingat ya.”
Mohamad Salahuddin membalas senyuman Qistur Ruwaidah, lalu dia mencium ubun-ubun sang isteri itu. “Mestilah. Hari kita disatukan, sayang. Habibi takkan pernah lupa setiap momen hari pertama kita kahwin dulu. Kenangan paling indah. Okey, sayang… Sayang kena tidur. Nanti kita sambung lagi. Kalau tak, sampai tahun depan pun kita tak habis sembang.”
Qistur Ruwaidah tersengih. “Okey habibi.”
Tidak lama kemudian, Qistur Ruwaidah tidur dengan nyenyak sekali setelah berbulan-bulan dia tidak cukup tidur manakala Mohamad Salahuddin tersenyum ceria menyaksikan tiga orang cinta hatinya tidur dengan penuh aman. Dalam diam, dia mengabadikan momen itu dalam telefon pintarnya. Sementara menunggu kehadiran para tetamu, dia mengambil keputusan untuk mengambil sarapan pagi kerana dia sendiri pun masih belum bersarapan dari tadi.
SUHAIBUL UMAR asyik tersenyum sepanjang dalam perjalanan ke wad adiknya sambil membawa hadiah untuk pasangan tersebut dan anak-anak saudaranya. Dia sanggup menunda perjumpaan dengan kliennya yang sepatutnya dijadualkan pada petang ini. Betapa dia terlalu gembira untuk adiknya dan Mohamad Salahuddin yang telah menerima dua orang ahli baharu.
“Assalamualaikum,” ucap Suhaibul Umar dengan penuh ceria.
“Waalaikummussalam,” balas Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin. Masing-masing gembira dengan kehadiran Suhaibul Umar.
“Tahniah adik, Din. Nah, hadiah untuk kau orang dan anak-anak,” kata Suhaibul Umar seraya menyerahkan hadiah kepada Mohamad Salahuddin. Kemudian, dia bersalaman dengan pasangan itu.
“Adik rindu sangat kat abang,” ucap Qistur Ruwaidah tatkala dia memeluk abangnya.
“Alahai… Dah jadi ummi pun, masih nak bermanja dengan abang?” usik Suhaibul Umar.
“Abang juga pernah cakap, sampai bila-bila pun, adik ni tetap budak kecil kat mata abang. Tak kisahlah.”
Suhaibul Umar tersenyum di sebalik dakapan itu. Benar, adiknya masih dikira kanak-kanak di matanya. Adik yang ditatang bagai minyak penuh selepas kematian ibu bapa mereka berdua.
Kemudian, dua beradik itu meleraikan dakapan. Lalu, Suhaibul Umar menuju pula ke arah si kembar yang sedang nyenyak tidur. Subhanallah! Alangkah dia terlalu geram melihat bayi-bayi itu.
“Assalamualaikum kembar. Baba Suhaib datang ni. Dah lama baba nak jumpa kau orang tahu,” ucap Suhaibul Umar dengan lembut kepada dua orang anak saudaranya itu.
Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin tersenyum dengan gelagat Suhaibul Umar itu. “Abang nak dukung?” soal Qistur Ruwaidah.
“Eh, adik ni! Budak-budak ni tengah tidur. Takkan abang nak kacau pula.”
Tiba-tiba si kembar mula menangis. Gelabah Suhaibul Umar dibuatnya. “Adik ni, kan… Tengok! Dah menangis budak-budak ni,” katanya dengan risau.
Pasangan itu tergelak. Mohamad Salahuddin menuju ke arah abang iparnya. “Baguslah. Boleh abang dukung,” katanya seraya perlahan-lahan mendukung anak keduanya itu. Lalu, dia menyerahkan si adik kepada Suhaibul Umar.
“Eh, abang takutlah nak pegang! Mana abang pernah pegang bayi seumur hidup!” kata Suhaibul Umar dengan gelabah.
Sekali lagi, pasangan itu tertawa. “Tak apa. Masa nilah abang boleh berlatih pegang bayi. Manalah tahu kalau abang jumpa jodoh dalam waktu terdekat ni,” sakat Qistur Ruwaidah.
“Pandailah adik ni. Okeylah… Abang cuba pegang. Ni abang ke adik?”
“Ni adik,” kata Mohamad Salahuddin. Perlahan-lahan, dia menyerahkan si adik kepada Suhaibul Umar.
Meskipun Suhaibul Umar kekok, namun dia tetap mahu cuba mendukung salah seorang anak saudaranya itu. Perlahan-lahan, dia menyambut bayi itu sambil dibantu oleh Mohamad Salahuddin.
Tiba-tiba si adik tidak lagi menangis dalam dukungan Suhaibul Umar. Menitis air mata sang ayah saudara itu buat seketika. Alangkah dia teringat ketika rumah tangga Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin bergolak, dialah insan pertama yang mengetahui kewujudan si kembar itu dan menjaga kandungan adiknya dengan sebaik mungkin. Andai Mohamad Salahuddin telah ditakdirkan tiada, dia sudah bersedia untuk mengambil alih tanggungjawab buat si kembar itu.
“Ha, diam pula bila Baba Suhaib dukung,” kata Mohamad Salahuddin sambil mendukung dan mendodoikan si abang.
Suhaibul Umar tersenyum. Dia turut berinteraksi dengan si abang. “Din dah boleh cam muka dia orang?”
“Belum lagi. Setakat ni, Din masih mengharapkan tag kat kaki dia orang je dulu. Insya-Allah, nanti lama-lama Din okeylah kalau tengok dia orang betul-betul,” balas Mohamad Salahuddin bersama senyuman.
Sementara itu, Qistur Ruwaidah pula tersentuh hati tatkala menyaksikan suami dan abangnya mendukung si kembar yang sedang lena kembali. Dia mula terbayangkan almarhum ayah tercinta, Encik Isyraf Imrani turut bersama-sama dengan Mohamad Salahuddin dan Suhaibul Umar di situ. Alangkah seronoknya… Akan tetapi, dia tetap bersyukur untuk semuanya. Kehilangan lima orang ahli keluarganya diganti pula dengan kehadiran suami di sisi dan kelahiran anak kembarnya.
“Apa nama anak kau orang ni?” soal Suhaibul Umar.
Mohamad Salahuddin memandang isterinya. Qistur Ruwaidah juga turut memandang suaminya. Masing-masing tersenyum.
“Habibi umumkan nama abang. Sayang umumkan nama adik,” kata Qistur Ruwaidah.
“Okey Abang Suhaib… Bismillahirrahmannirrahim… Nama si abang, Aalqalyubi Shafiy bin Mohamad Salahuddin,” umum Mohamad Salahuddin.
Giliran Qistur Ruwaidah pula mengumumkan nama putera kedua. “Nama si adik pula, Aalqurtubi Shakil bin Mohamad Salahuddin.”
“Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil? Betulkan apa yang abang dengar?” ujar Suhaibul Umar bersama sengihan.
“Betul. Jadi, anak yang abang dukung tu, Qurtubi namanya,” kata Mohamad Salahuddin bersama senyuman. Kemudian, dia memandang pula Aalqalyubi Shafiy yang berada dalam dukungannya.
Tidak lama kemudian, Suhaibul Umar menyerahkan Aalqurtubi Shakil kepada Qistur Ruwaidah. Dia mahu mengabadikan empat beranak itu dalam satu gambar. Di samping itu, dia juga membawa kamera DSLR agar cantik kualiti gambarnya.
Sebuah keluarga sempurna… Qistur Ruwaidah, Mohamad Salahuddin, Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil berada dalam satu gambar.
“Alhamdulillah. Kau orang dah berempat. Rezeki sungguh. Cepat je masa berlalu,” kata Suhaibul Umar.
“Itulah. Sedar tak sedar, dah setahun lebih kita orang kahwin. Abang doakan perkahwinan kami terus bahagia sampai ke Syurga tahu,” kata Qistur Ruwaidah.
“Insya-Allah. Abang tak pernah lupa nak doakan untuk adik-adik abang ni. Sekarang, abang nak kena tambah doa untuk anak-anak saudara abang pula. Moga Qalyubi dan Qurtubi membesar jadi anak-anak yang soleh dan penyejuk mata untuk adik dan Din.”
“Amin!” ucap pasangan itu.
Tidak lama kemudian, kelihatan Encik Mohd Firdaus, Sakeenah, keluarga Inspektor Anwar, keluarga Tihaani dan Wan Abdullah pun tiba. Masing-masing begitu teruja dengan kehadiran si kembar itu.
Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin saling berpandangan bersama senyuman. Kini, tanggungjawab mereka semakin besar daripada suami isteri kepada ibu bapa pula bagi mendidik Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil agar menjadi insan-insan yang soleh serta taat pada perintah Allah.
Dua hari kemudian, Qistur Ruwaidah dibenarkan keluar dari hospital dan bil hospital telah ditaja sepenuhnya oleh Dato Jauzi, ayah Tihaani sebagai hadiah buat anak-anak dan cucu-cucu angkat kesayangannya itu.
BERMULALAH episod bagi Qistur Ruwaidah melalui pantang di rumah arwah ibu bapanya yang diuruskan oleh Datin Hasyimah, ibu Tihaani dengan baik sekali. Pelbagai hidangan pantang yang cukup enak. Selain itu, dahi Qistur Ruwaidah turut disapu dengan pilis.
Pilis merupakan campuran herba khusus yang disapukan pada dahi ibu berpantang. Bahan asas, iaitu campuran tepung beras bersama ramuan herba seperti kencur, kunyit, kenanga, halba dan sebagainya. Antara kebaikan memakai pilis, iaitu meredakan pening kepala, melancarkan peredaran darah, menyegarkan mata dan memberikan keselesaan pada ubun serta mengurangkan rasa pitam.
Badan Qistur Ruwaidah juga turut dimanjakan dengan cara mengurut, mandi herba, bertungku, berbengkung dan bertangas. Sungguh badannya terasa cukup ringan setelah dia dijaga dengan baik oleh Datin Hasyimah. Dia seronok melalui pantang ini. Si kembar juga turut diberikan urutan manja oleh nenek angkat mereka berdua.
Qistur Ruwaidah juga turut mendengar nasihat daripada doktor di klinik kesihatan agar dia melakukan senaman ringan seperti berjalan bagi mengelakkan darah beku tatkala dia dan Mohamad Salahuddin membawa si kembar untuk memeriksa perkembangan dan tahap kesihatan ibu dan anak-anak. Setakat ini, Qistur Ruwaidah sihat sejahtera. Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil juga turut berada dalam keadaan sihat dan semakin montel, hasil susu ibu. Mohamad Salahuddin juga bahagia dan lega apabila tiga cinta hatinya sihat belaka.
Selain itu, Qistur Ruwaidah juga dapat tidur malam dengan selesa. Anak-anak pula dijaga oleh suami dan abangnya secara bergilir-gilir. Sungguh dia bersyukur dengan kerajinan Mohamad Salahuddin dan Suhaibul Umar dalam melayan si kembar. Dia hanya perlu berjaga apabila anak-anak minta disusukan. Mentalnya juga menjadi lebih sejahtera dan positif untuk menguruskan si kembar pada sebelah siang kerana suami dan abangnya mengambil alih tugas pada waktu malam.
Kalau begini, Qistur Ruwaidah sanggup sahaja bersalin setiap tahun kerana suami dan abangnya turut memainkan tanggungjawab dalam menjaga dia dan anak-anaknya.
Pernah pada satu malam, Qistur Ruwaidah terbangun apabila anak-anaknya menangis kerana minta ditukarkan lampin. Belum sempat dia hendak bangun, Mohamad Salahuddin lebih pantas bangun dari katil. Pada ketika itu, mereka baru sahaja menjadi ibu bapa selama empat hari. Masing-masing masih cuba hendak menyesuaikan diri dengan rutin dan tanggungjawab baharu.
“Sayang rehatlah. Biar habibi yang uruskan Qalyubi dan Qurtubi,” kata Mohamad Salahuddin. Dia sudah bersedia mengorbankan waktu tidurnya pada waktu malam seperti burung hantu. Biarlah isterinya dapat berehat dan tidur dengan selesa, memandangkan isterinya baru sahaja bersalin pada empat hari yang lepas. Apalah sangat berbanding pengorbanan isterinya sewaktu mengandung dan melahirkan anak-anak mereka berdua dahulu. Selain itu, dia juga boleh menyiapkan tugasan yang tertangguh sambil memerhatikan si kembar.
Sungguh Qistur Ruwaidah bersyukur dan terharu dengan sifat ringan tulang suaminya. Dia tahu Mohamad Salahuddin letih menjadi seorang suami, siswa dan kini, seorang ayah pula. Namun, dia tidak pernah mendengar suaminya merungut. Suaminya hanya tersenyum dan tergelak-gelak jika anak-anak meragam. Dia cukup mengagumi kesabaran suaminya yang cukup tinggi itu.
Adakalanya, apabila Mohamad Salahuddin tidur mati, Qistur Ruwaidah tidak akan mengejutkan suaminya jika anak-anaknya merengek minta disusukan, ajak bermain atau ajak bersembang pada pagi buta. Sungguh dia tidak sampai hati untuk mengganggu suaminya kerana dia tahu suaminya terlalu letih dengan urusan seharian, yakni belajar pada waktu siang serta mencari nafkah sebagai seorang guru tuisyen dan guru mengaji pada sebelah malam.
Namun, Qistur Ruwaidah tahu… Mohamad Salahuddin tidak akan membiarkan dia sendirian. Satu peristiwa yang pernah menyentuh hatinya sebagai isteri apabila dia sedang menyusui Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil secara serentak, tiba-tiba Mohamad Salahuddin terbangun dari lena.
“Kenapa tak kejut habibi?” soal Mohamad Salahuddin dalam keadaan mamai.
“Habibi nampak letih sangat. Sayang tak sampai hati nak kejut habibi,” balas Qistur Ruwaidah dengan serba salah.
“Tak ada apalah, sayang. Habibi tak ada masalah kalau sayang nak kejut habibi. Lagi-lagi bila Qalyubi dan Qurtubi nak menyusu serentak. Kan susah. Sayang juga tak selesa. Lepas-lepas ni, jangan takut nak minta tolong. Habibi temankan sayang.”
Kemudian, Mohamad Salahuddin bersandar di belakang isterinya supaya isterinya kurang lenguh dan dapat menyusu dengan lebih selesa. Usai Qistur Ruwaidah menyusui Aalqalyubi Shafiy, dia menyerahkan putera sulung itu kepada suaminya. Kelihatan Mohamad Salahuddin mendodoi Aalqalyubi Shafiy bersama alunan selawat.
Usai Qistur Ruwaidah menyusui Aalqurtubi Shakil dan membaringkan dirinya semula, Mohamad Salahuddin mendodoikan pula putera keduanya itu sehinggalah si kecil itu tidur. Kemudian, barulah si ayah akan tidur.
JABATAN PENDAFTARAN NEGARA (JPN) TAMAN MELAWATI
JUMAAT, 6 OKTOBER 2017
‘Kena tulis ejaan nama Qalyubi dan Qurtubi betul-betul. Kau jangan silap langsung ya, Din. Ejaan ‘Al’ kena ada dua ‘A’. Ejaan nama kau dan Qist pun jangan nak salah kat surat beranak tu,’ bisik hati Mohamad Salahuddin tatkala dia mendaftarkan kelahiran anak-anaknya di JPN.
Berkali-kali dia memeriksa ejaan nama Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil di telefon pintar agar dia tidak tersilap langsung. Dia mahu memberikan yang terbaik buat anak-anaknya itu.
AALQALYUBI SHAFIY BIN MOHAMAD SALAHUDDIN
AALQURTUBI SHAKIL BIN MOHAMAD SALAHUDDIN
‘Insya-Allah. Betul dah ni,’ bisik hatinya lagi. Kali ini, dia sudah bersedia bagi mendaftarkan kelahiran anak-anaknya sebagai pertambahan lagi warganegara Malaysia.
Segala puji bagi Allah, selesailah amanat Mohamad Salahuddin bagi mendaftarkan kelahiran anak-anaknya. Tiada apa yang dia pinta sebagai seorang ayah melainkan anak-anaknya terus kuat mengharungi ujian dunia dan penuh tipu daya.
PADA hari ketujuh kelahiran Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil, rambut mereka berdua telah dicukur oleh datuk mereka, Encik Mohd Firdaus selaku pemulanya, diikuti oleh ayah mereka, Mohamad Salahuddin dan ayah saudara mereka, Suhaibul Umar. Qistur Ruwaidah dan Sakeenah tidak ketinggalan juga mahu mencukur rambut si kembar itu sekali. Masing-masing teruja melaksanakan cukur jambul ini, seiring dengan sunah Rasulullah agar rambut bayi dicukur pada hari ketujuh selepas bayi dilahirkan.
Dari Samurah ibn Jundub, Rasulullah S.A.W bersabda… “Setiap anak tertebus dengan akikahnya, korban dilakukan atas namanya pada hari ketujuh, dicukur kepala dan diberi nama.” - Hadis Sunan Abu Daud: 2838 (Sahih Al-Albani)
Rambut si kembar juga telah ditimbang dan didarabkan dengan nilai emas semasa untuk Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin melakukan majlis akikah kelak bagi menjamu kepada para tetamu. Selain itu, mereka berdua juga telah berhasrat untuk bersedekah di mana-mana rumah anak yatim yang berdekatan sebagai tanda syukur kepada Allah dan berkongsi kegembiraan.
Setelah selesai semuanya, Suhaibul Umar, Encik Mohd Firdaus dan Sakeenah pulang ke rumah kediaman masing-masing.
“Anak-anak abi dah botaklah,” sakat Mohamad Salahuddin kepada anak-anaknya sambil menyembamkan wajahnya ke arah perut si kembar dengan penuh geram.
“Isy, habibi ni! Disakatnya pula anak-anak kita,” kata Qistur Ruwaidah seraya mencubit manja lengan suaminya itu.
Mohamad Salahuddin tersengih nakal. Meskipun dia telah menjadi seorang ayah, namun sifat kuat mengusik itu tetap ada. Dia sudah membayangkan apabila anak-anaknya membesar nanti, pasti mereka bertiga kelihatan sebaya. Mungkin…
Dia juga telah mengimpikan bahawa dia mahu menjadi seorang ayah dan pada masa yang sama juga, seorang kawan kepada anak-anaknya. Dia mahu membentuk keluarga yang harmoni tetapi syaratnya, dialah perlu bijak sebagai ketua keluarga.
“Sayang… Kita boleh hebahkan kelahiran anak-anak kita hari ni kat media sosial, kan?” soal Mohamad Salahuddin.
“Haah… Dah hari ketujuh. Eloklah kita ikut sunah Nabi. Habibi tahu apa yang habibi nak kena buat, kan?” ujar Qistur Ruwaidah.
“Maksud sayang?”
“Macam mana habibi tak nak muka sayang jadi tatapan lelaki ajnabi kat media sosial dan jadi mangsa kedengkian mata-mata manusia, macam tulah juga habibi kena buat yang sama untuk Qalyubi dan Qurtubi.”
“Oh, betul, betul… Terima kasih sebab ingatkan habibi. Jangan risau. Habibi buat pengumuman kat status je. Habibi tak nak letak gambar anak-anak kita.”
Lalu, Mohamad Salahuddin menghebahkan berita kelahiran Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil di media sosial.
Fac (FB) dan Instagram (IG) Mohamad Salahuddin:
Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani serta selawat dan salam buat junjungan Nabi Muhammad dan para sahabat Baginda.
Alhamdulillah, isteri saya, Qistur Ruwaidah telah selamat melahirkan cahaya mata kembar lelaki pada 2 Oktober 2017 bersamaan 11 Muharam 1439H di Hospital Bersalin Az-Zahwah.
Saya, mewakili isteri saya juga, menghebahkan nama anak-anak kami, iaitu:
Aalqalyubi Shafiy (‘The’-nisbah-yang menyembuhkan)
Aalqurtubi Shakil (‘The’-nisbah-yang sesuai)
Mohon doakan agar anak-anak kami menjadi anak-anak soleh dan taat pada perintah Allah. Amin ya rabbal alamin…
Akaun media sosial Qistur Ruwaidah turut ditag oleh Mohamad Salahuddin agar para kenalan Qistur Ruwaidah juga turut dimaklumkan berkenaan kelahiran anak kembar mereka berdua.
Tidak lama kemudian, ucapan tahniah mula menghujani di FB dan IG. Rata-rata berasa amat terkejut dengan hebahan yang cukup tidak disangka-sangka ini. Anak kembar! Sesuatu yang amat mengujakan.
Ada juga yang meminta agar Mohamad Salahuddin berkongsikan gambar Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil, namun dia tidak membalas apa-apa. Keselamatan anak-anaknya menjadi keutamaannya. Apatah lagi, dia pernah menjadi mangsa sihir ibu tirinya. Lagilah dia perlu berjaga-jaga. Cukuplah dia sekadar menghebahkan kelahiran anak-anaknya itu menerusi ayat sahaja. Hendak menurut kemahuan orang, itu bukanlah dirinya.
Qistur Ruwaidah, Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil… Harta yang paling berharga buat Mohamad Salahuddin. Akan dia jaga tiga cinta hatinya itu dengan sepenuh hati.
“Haih… Aneh-aneh jelah dia orang kat FB dan IG ni, sayang,” omel Mohamad Salahuddin.
“Kenapa, habibi?” soal Qistur Ruwaidah, kehairanan.
“Menyesal pula habibi hebahkan kelahiran anak-anak kita. Ada ke patut dia orang suruh habibi kongsi gambar Qalyubi dan Qurtubi kat dalam media sosial? Habibi nak padamlah hebahan kat FB dan IG.”
“Eh, sekejap, sekejap… Jangan padam lagi. Sayang nak tengok dulu.”
Lalu, Qistur Ruwaidah mula membuka kedua-dua aplikasi tersebut dan membaca komen-komen daripada para kenalan mereka. Sejujurnya, dia sendiri menjadi tidak selesa seperti suaminya. “Okey habibi. Padamlah. Sayang pun jadi tak selesa. Ada yang komen lucah pula, cakap habibi ni kuatlah, apalah… Ya Allah! Seramnya… Dia orang tak fikir mak bapak ke apa! Komen macam tak ada iman sungguh! Memalukan!”
“Habibi pun dah malu sangat bila ada yang komen macam tu. Haih… Habibi padam sekarang,” kata Mohamad Salahuddin. Kemudian, dia memadam hebahan tersebut. Kali ini, jiwanya lebih tenang. “Lepas ni, kalau kita ada rezeki anak lagi, tak payahlah buat hebahan. Siapa yang tahu tu, tahulah. Pengajaran sungguh buat kita,” ujarnya.
“Betul. Sayang setuju. Kesian habibi. Habibi jangan peduli dengan komen-komen lucah dan tak ada adab tu,” pujuk Qistur Ruwaidah.
“Tak adalah. Habibi dah okey lepas dah padam hebahan tu. Sayang jangan risau. Apa yang penting, habibi bahagia dengan adanya sayang, Qalyubi dan Qurtubi. Kau orang keutamaan habibi. Setakat komen lucah dan tak ada adab macam tu, habibi anggap dia orang tak betul.”
Qistur Ruwaidah tersenyum. Dia tahu Mohamad Salahuddin memang tidak akan mengambil endah lagi dengan apa yang terjadi.
HARI-HARI yang dilalui oleh Mohamad Salahuddin seorang suami, siswa dan kini, ayah pula, kehidupannya berubah 360 darjah. Ternyata kelahiran Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil telah memberikan impak yang cukup besar agar dia menjadi seorang ayah yang lebih bertanggungjawab. Meskipun agak mencabar dalam menjaga si kembar, namun itu tidak mematahkan semangatnya. Bahkan, dia lebih bersemangat untuk menamatkan pengajian dan berkonvokesyen bersama isteri dan anak-anak kelak.
Setiap kali dia menghadiri kuliah undang-undang, matanya menjadi sembap akibat dia sering berjaga malam. Namun, dia akan cuba buat yang terbaik demi diri sendiri dan keluarga kecilnya itu.
“Din, kau okey tak ni?” soal Nik Hidawi tatkala dia memerhatikan Mohamad Salahuddin menguap mulutnya dalam beberapa kali sementara menunggu kehadiran pensyarah bagi kuliah yang seterusnya.
“Macam mana Din nak okey? Kau tengok mata dia. Dah macam panda aku tengok,” seloroh Khuzairi Nuwair pula.
Mohamad Salahuddin tersengih malu. “Maaflah kau orang. Sejak-sejak aku dah jadi ‘abi’ ni, boleh kata setiap malam aku berjaga malam kalau anak-anak aku terbangun.”
“Bila kita orang boleh nak tengok Qalyubi dan Qurtubi depan-depan?” tanya Nik Hidawi.
Mohamad Salahuddin tersenyum. Kemudian, dia menguap lagi buat kesekian kali. “Tunggu isteri aku habis pantang. Kita orang cadang nak buat majlis akikah lepas isteri aku habis pantang. Semester depan, kau orang boleh tengok Qalyubi dan Qurtubi setiap hari sampai jemu. Insya-Allah kita orang akan bawa dia orang pergi kelas. Nak hantar kat pengasuh pula, kita orang risau tapi kalau keadaan memaksa sangat untuk kita orang tinggalkan kembar, cadangnya nak hantar kat IIUM Educare.”
“Tak apa, Din. Kalau kau ada kelas, aku boleh jaga anak-anak kau. Aku suka jaga budak,” kata Nik Hidawi.
“Terima kasih, Hidawi. Kita tengok macam mana dengan semester depan nanti.”
Perbualan mereka terus berhenti apabila Prof. Naseh tiba ke kelas bagi subjek ‘Public International Law 1’.
SABTU, 25 NOVEMBER 2017
Dewan Makan Masjid Al-Hidayah dibanjiri dengan para tetamu yang hadir sempena majlis akikah anak kembar Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin, iaitu Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil yang kini sudah berusia hampir dua bulan dalam enam hari lagi. Qistur Ruwaidah juga sudah selesai berpantang dan dia kembali cergas seperti dahulu.
Betapa para tetamu amat teruja dan geram melihat dua orang bayi lelaki yang sungguh bersemangat di atas pelamin bayi itu. Mana tidaknya… Si kembar lelaki itu amat kuat menyusu. Ramai mengatakan bahawa wajah si kembar mewarisi wajah Qistur Ruwaidah manakala warna kulit si kembar mewarisi warna kulit Mohamad Salahuddin.
“Subhanallah! Geramnya Kholah (ibu saudara) Haani tengok awak berdua ni!” ujar Tihaani dengan nada penuh geram sambil mencubit manja pipi Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil setelah mendapat keizinan daripada Qistur Ruwaidah.
Aalqalyubi Shafiy tersengih penuh gembira. Dia merupakan seorang bayi yang sangat periang dan suka kepada sesiapa sahaja. Berbeza pula dengan Aalqurtubi Shakil, dia mula menangis kerana takut dengan orang yang tidak dikenali.
“Uweeeeekkkk!” tangis Aalqurtubi Shakil.
“Alamak! Aku dah buat… Eh, sekejap! Siapa menangis ni!” kata Tihaani dengan panik.
Qistur Ruwaidah tertawa kecil. Lalu, dia mendukung Aalqurtubi Shakil sambil mendodoi-dodoi dengan penuh lemah lembut. “Yang menangis ni, Qurtubi. Memang dia tak berapa nak kat orang sangat. Alalala… Sayang ummi ni. Kholah Haani tak makan awaklah. Kholah Haani sayang kat Qurtubi tahu.”
Barulah Aalqurtubi Shakil berhenti menangis tetapi dia menyorokkan wajahnya.
“Alaa… Qurtubi ni. Kholah Haani nak merajuklah macam ni,” kata Tihaani dengan wajah rajuk.
Qistur Ruwaidah tertawa kecil. “Ah, sudah! Kau jangan nak buang tabiat pula macam budak kecil. Pening kepala aku nanti.”
Tiba-tiba Mohamad Salahuddin menghampiri isterinya. “Qurtubi okey tak tu, sayang?”
“Macam nilah, habibi. Tak nak kat orang. Qalyubi okey je kalau habibi nak dukung,” kata Qistur Ruwaidah yang masih setia mendukung Aalqurtubi Shakil sambil menepuk lembut tubuh belakang anaknya itu.
Mohamad Salahuddin tersenyum. “Habibi nak dukung Qalyubi. Rindu pula kalau tak dukung salah seorang dalam sehari,” katanya seraya mendukung Aalqalyubi Shafiy. Kelihatan Aalqalyubi Shafiy gembira tatkala dia ternampak ayahnya itu. “Amboi, cerianya dia bila abi dukung ya!” ujar si ayah itu dengan nada ceria.
Kini, Mohamad Salahuddin boleh mengecam putera kembarnya berdasarkan bentuk muka. Aalqalyubi Shafiy memiliki bentuk wajah yang agak tembam dan berisi manakala Aalqurtubi Shakil memiliki bentuk wajah yang sedikit panjang dan saiz badannya kecil sedikit berbanding kembarnya. Sang ayah itu juga telah memahami perbezaan riak wajah anak-anaknya itu setelah memerhatikan berhari-hari. Tidaklah susah pun sebenarnya.
Qistur Ruwaidah tersenyum. Setiap hari, dia tidak jemu mengucap syukur di atas nikmat yang Allah kurniakan kepada dirinya. Dikurniakan suami yang penyayang dan penuh cinta serta dikurniakan pula dua orang putera kembar seiras yang menyinari hari-harinya, biarpun dia penat melayan kerenah dan ragam mereka berdua yang cukup berbeza.
“Sayang okey tak?” soal Mohamad Salahuddin. Baginya, amat penting bagi dia mengetahui emosi dan mental isterinya.
“Insya-Allah. Setakat ni, sayang okey je. Habibi tu… Sayang lagi risau tahu. Okey ke tak?” ujar Qistur Ruwaidah.
Mohamad Salahuddin tersenyum. “Insya-Allah. Habibi pun okey. Mental habibi dah makin kuat. Sayang jangan risau. Kalau habibi tak okey, habibi akan cakap.”
Lega Qistur Ruwaidah mendengar jawapan suaminya itu. “Alhamdulillah kalau macam tu. Habibi pergilah bawa Qalyubi kat kawan-kawan habibi. Sayang tak boleh nak bawa Qurtubi ni. Nanti makin teruk pula dia menangis.”
“Tak apa. Sayang jaga diri dengan Qurtubi kat sini. Nanti kita sembang berdua lagi. Habibi dah rindu sebenarnya.”
“Sayang pun rindu juga. I love you, habibi.”
“I love you too, sayang. More and more.”
TANGISAN serentak Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil bergema di kamar tidur Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin. Sudah dua hari si kembar itu merengek dan menangis kerana demam secara serentak buat kali pertama selepas mereka berdua menjengah ke dunia. Pasangan kembar itu juga sudah dibawa ke klinik bagi pemeriksaan lanjut.
“Shhh… Qalyubi, Qurtubi… Ummi abi ada ni,” pujuk Qistur Ruwaidah. Namun, hatinya sebak. Dia tidak sanggup melihat anak-anaknya sakit. Andai dia boleh mengambil alih sakit anak-anaknya itu, dia sanggup! Asalkan anak-anaknya gembira dan ceria seperti sediakala. ‘Ya Allah… Kau sembuhkanlah anak-anakku. Aku tak kuat! Aku tak sanggup tengok anak-anak aku menangis.’
“Sayang kena rehat ni. Biar habibi tengokkan dia orang,” pujuk Mohamad Salahuddin.
“Sayang tak sanggup tengok anak-anak kita menangis macam ni,” luah Qistur Ruwaidah.
“Habibi tahu, sayang. Habibi pun tak sanggup tapi kita kena jadi kuat depan anak-anak kita. Kalau kita tak kuat, macam mana anak-anak kita nak kuat?”
Qistur Ruwaidah mendakap suaminya. Dia benar-benar memerlukan kekuatan daripada suaminya itu. “Qalyubi dan Qurtubi takkan apa-apa, kan?”
“Insya-Allah dia orang akan okey. Sayang jangan risau sangat. Kita dah jumpa doktor. Doktor pun cakap Qalyubi dan Qurtubi demam sebab dalaman dia orang tengah bina imunisasi. Jom, habibi teman sayang sampai sayang tidur.”
Lalu, Mohamad Salahuddin memimpin Qistur Ruwaidah sehingga isterinya telah baring di atas katil. “Sayang rehat ya. Jangan fikir sangat. Habibi ada untuk tengok anak-anak kita,” pesannya. Kemudian, dia mengucup dahi isterinya.
Qistur Ruwaidah mengangguk. Dia juga sedar bahawa dia memerlukan rehat yang cukup. Matanya menyaksikan suaminya menuju semula ke arah katil bayi.
“Shhh… Anak-anak abi… Abi ada ni. Jangan menangis ya,” pujuk Mohamad Salahuddin seraya menepuk lembut tubuh anak-anaknya itu. Tidak dilupakan juga, dia mengucapkan kalimah ‘Tiada Tuhan selain Allah, Nabi Muhamad pesuruh Allah’ mengikut rentak yang menenangkan jiwa.
Akhirnya, Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil tidak lagi menangis dan meragam setelah menerima sentuhan seorang ayah itu.
Barulah Qistur Ruwaidah boleh tidur dengan lena setelah dia mencuri pandang suaminya yang begitu sabar melayan si kembar tercinta itu. Pada saat itu, hatinya semakin mencintai Mohamad Salahuddin. Bahkan, bertambah mekar rasa cintanya itu.
Mohamad Salahuddin turut mencuri pandang isterinya yang disangkakan sedang tidur. Walhal, isterinya sedang berpura-pura tidur. Lalu, dia menuju ke arah Qistur Ruwaidah semula. Dia melabuhkan punggungnya bersebelahan isterinya. Tidak dilupakan, dia mengusap ubun-ubun isterinya sambil berbicara sendirian.
“Sayang… Terima kasih untuk semuanya. Habibi tahu sayang lelah. Sayang dah buat yang terbaik untuk habibi, Qalyubi dan Qurtubi. Rehatlah… Ni yang terbaik.”
Kata-kata Mohamad Salahuddin itu membuatkan Qistur Ruwaidah sebak di sebalik pejaman matanya.
Mohamad Salahuddin meneruskan bicaranya. Dia masih menyangkakan isterinya sedang tidur. “Kalaulah habibi meninggal dunia masa tu, habibi tak tahu macam mana sayang nak harungi tanpa habibi… Mengandung, bersalin dan didik Qalyubi dan Qurtubi tanpa habibi. Habibi hanya mampu serah sayang, Qalyubi dan Qurtubi kat bawah jagaan Allah. Habibi percaya, ayah dan Abang Suhaib juga akan jaga sayang dan anak-anak kita dengan baik kalau betullah habibi dah tak ada masa tu.”
Qistur Ruwaidah tidak mampu menahan lagi rasa sebaknya. Dia membuka matanya. “Habibi…” panggilnya.
Alangkah Mohamad Salahuddin terkejut! Sangkaannya, Qistur Ruwaidah telah tidur. “S… Sayang! Terkejut habibi. Ingatkan sayang dah tidur.”
“Tak boleh tidur lagi. Sayang dengar apa yang habibi cakap. Sayang sebak, habibi. Janganlah buat sayang sedih pasal peristiwa tu.”
Mohamad Salahuddin membaringkan dirinya. Dia bertentang wajah dengan isterinya. Tangan isterinya dipegang. “Sayang… Habibi minta maaf. Habibi tahu habibi tak patut bangkitkan balik pasal tu,” suaranya mula berubah sebak.
Tanpa sepatah bicara, Qistur Ruwaidah mendakap suaminya. Dia mahu suaminya terus bahagia tanpa lagi terperangkap dengan masa lalu penuh kegelapan itu. Dia mula bersuara. “Habibi… Sayang tak nak habibi sedih lagi. Sayang tahu habibi dah cukup derita. Sekarang, kita dah ada Qalyubi dan Qurtubi. Mak pun dah tak ada. Mak dah takkan kacau kita. Syukur untuk tu. Kalau mak ada lagi, sayang tak boleh nak bayangkan.”
Mohamad Salahuddin hanya membisukan dirinya.
Qistur Ruwaidah menyambung bicaranya. “Emm… Habibi ada cakap tadi, sayang dah buat yang terbaik untuk habibi dan anak-anak kita. Sayang pun nak cakap yang sama. Habibi pun dah buat yang terbaik untuk sayang dan anak-anak kita. Sayang tahu habibi pun letih. Kita sama-sama letih untuk Qalyubi dan Qurtubi tapi dia orang amanah kita. Kita juga yang nakkan kehadiran dia orang…”
“Jadi, sayang harap habibi terus kuat. Kalau bukan untuk sayang pun, untuk anak-anak kita yang sentiasa perlukan perhatian daripada habibi. Apa yang sayang perasan, Qalyubi dan Qurtubi lebih rapat dengan habibi berbanding sayang. Sejujurnya, sayang bersyukur pasal tu. Memang dia orang perlukan figura seorang abi. Sayang percaya, Qalyubi dan Qurtubi akan hormatkan habibi bila habibi sendiri tunjuk akhlak yang baik sebagai abi dan…”
“Habibi kena tahu yang sayang dan anak-anak kita akan sentiasa ada untuk habibi.”
Mohamad Salahuddin menjadi tidak segan silu untuk mengalirkan air matanya. Betapa dia terlalu tersentuh mendengar bicara isterinya. “Isk… Isk… Isk… T… Terima kasih sayang. Habibi reda dengan sayang dan anak-anak kita.”
“Sama-sama habibi. Sayang akan tetap cintakan habibi sampai bila-bila.”
RUTIN yang dilalui oleh Mohamad Salahuddin setelah lahirnya Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil, dia menjadi tidak sabar untuk berjumpa dengan si kembar itu. Kalau dulu sebelum wujudnya anak kembarnya, dia tidak sabar pulang ke rumah kerana isterinya. Sekarang, dia tidak sabar untuk bertemu dengan tiga cinta hatinya.
Meskipun Mohamad Salahuddin penat dengan kelas tutor yang biasanya tamat dalam pukul 6.15 atau 6.30 petang tetapi setelah dia bertemu dengan keluarga kecilnya itu, penatnya terus hilang.
“Assalamualaikum! Alalala… Anak-anak abi… Aalqalyubi Shafiy… Aalqurtubi Shakil…” tegur Mohamad Salahuddin dengan penuh gembira setelah bertemu dengan putera kembarnya yang sedang lena di ruang tamu. Namun, dia tidak menyentuh anak-anak itu kerana dia risau jika dia pulang bersama virus sekali. Dengan hanya menatap wajah si kembar itu, sudah cukup membuatkan kalbunya tenang dan damai. Tatkala itu, dia terlupa pula dengan isteri tercinta.
Qistur Ruwaidah memuncungkan wajahnya setelah suaminya menghulurkan beg galas belajar kepada dirinya dan suaminya terus meluru ke arah si kembar. “Amboi, cari anak-anak dulu! Tinggal sayang macam ni je. Terus lupa kat sayang lepas dah ada Qalyubi dan Qurtubi ya! Sayang merajuklah.”
Mohamad Salahuddin tertawa. Nampaknya, dia perlu memujuk isterinya yang turut mahukan perhatian daripada dirinya. “Alololo… Merajuk pula sayang habibi ni. Mana boleh habibi lupa kat sayang. Kalau sayang tak ada, tak wujudlah anak-anak kita ni. Nak peluk habibi?” ujarnya bersama sengihan. Lalu, dia mendepakan tangannya.
Seketika, Qistur Ruwaidah tersenyum. “Habibi… Pergi mandi dulu. Baru habibi boleh peluk sayang dan anak-anak. Sayang dah sediakan pakaian habibi kat atas katil macam biasa. Makan malam pun sayang dah siapkan. Sekejap lagi, kita makan sama-sama.”
“Alhamdulillah. Terbaik! Terima kasih sayang sebab dah mudahkan urusan habibi dari dulu. I love you.”
“Sama-sama habibi. I love you too.”
“BISMILLAH,” ucap Mohamad Salahuddin tatkala dia menyuapkan makanan kepada isterinya. Dia mahu rumah tangganya sentiasa mekar dan tidak hambar.
Qistur Ruwaidah menyambut suapan suaminya itu. Dia teringat semula hari pertama mereka berdua disatukan dahulu. “Teringatnya hari pertama kita kahwin dulu,” luahnya.
“Habibi pun teringat juga. Sebab tu, habibi suap sayang. Sejak-sejak ada Qalyubi dan Qurtubi, habibi selalu terlupa nak romantik dengan sayang macam dulu.”
“Tak apa, habibi. Sayang fahamlah. Kan kita dah jadi ummi abi. Kena pandai-pandai curi masa.”
Tiba-tiba kedengaran tangisan Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil di ruang tamu. Masing-masing tersengih. Sudah faham sangat dengan kerenah bayi-bayi itu. Seperti biasa, Mohamad Salahuddin akan membawa pinggan itu bagi menyuapi isterinya di ruang tamu sambil menjaga si kembar. Kemudian, giliran Qistur Ruwaidah pula menyuapi suaminya.
Meskipun tidak mudah menjaga dua putera itu, namun kedua-dua orang ibu bapa itu tetap tidak mahu mengalah dan mahu memberikan yang terbaik buat Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil. Mereka perlu berkorban masa, tenaga dan wang demi menjaga dan mendidik anak-anak dengan penuh sabar.
SEPERTI ibu bapa lain, Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin juga di antara ibu bapa yang mahu mengabadikan momen anak-anak yang baru lahir dengan mengupah khidmat jurugambar profesional. Setiap kenangan penting bersama anak kembar tersayang, pasti mereka tidak mahu sia-siakan. Peristiwa ini telah berlaku ketika Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil baru sahaja berumur 12 hari.
“Senangnya kami uruskan Qalyubi dan Qurtubi ni. Moga mereka jadi anak-anak soleh,” puji salah seorang jurugambar bernama Kak Nuriyah yang telah berpengalaman selama lima tahun dalam menangkap gambar bayi baru lahir.
“Amin…” ucap Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin dengan rendah diri. Besar harapan pasangan itu buat si kembar yang cukup bermakna buat mereka berdua sejak Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil berada dalam kandungan lagi. Penyelamat Mohamad Salahuddin daripada terkorban menjadi mangsa sihir ibu tirinya dahulu.
Semestinya juga, terdapat sesi fotografi di antara ibu bapa dan anak-anak. Qistur Ruwaidah mendukung Aalqurtubi Shakil manakala Mohamad Salahuddin mendukung Aalqalyubi Shafiy. Wajah mereka berdua memandang pasangan kembar itu dengan penuh kasih. Tidak tergambar rasa dan ekspresi betapa nikmatnya memiliki cahaya mata.
Jurugambar itu menunjukkan gambar tersebut kepada pasangan itu. “Macam mana? Okey?”
“Okey sangat ni, kak,” puji Qistur Ruwaidah bersama senyuman. Pada ketika itu, hatinya benar-benar gembira. Kehidupannya kini telah lengkap sebagai seorang wanita yang memiliki tiga orang hero, iaitu Mohamad Salahuddin, Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil. Sungguh dia bersyukur! Mereka bertigalah merupakan pengganti kepada lima orang ahli keluarganya yang telah tiada.
Sejak Qistur Ruwaidah berkahwin dengan Mohamad Salahuddin pada tahun lepas, kehidupan lalunya sebagai mangsa dera kanak-kanak dahulu terhapus sedikit demi sedikit. Sebolehnya, dia tidak mahu mengingati zaman penuh kejam itu.
Peristiwa dia pernah menjadi mangsa keganasan rumah tangga yang telah dilakukan oleh Mohamad Salahuddin dahulu juga, dia tidak mahu mengingati kembali dan dia tidak berdendam hatta sekelumit pun terhadap suaminya itu kerana bukan salah Mohamad Salahuddin! Semuanya berpunca daripada ibu tiri suaminya!
Setelah sesi fotografi itu selesai, Qistur Ruwaidah ralit memandang Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil yang sedang tidur lena. Perlahan-lahan, dia mengucup ubun-ubun si kembar.
“Sayang…” panggil Mohamad Salahuddin seraya menghampiri isterinya.
“Ya habibi?” balas Qistur Ruwaidah sambil memandang suaminya itu. Sebuah senyuman dihadiahkan kepada cinta hatinya itu.
“Habibi ada kejutan untuk sayang.”
“Kejutan? Habibi ni… Ada-ada je tahu. Okey, apa kejutannya?”
“Sayang pejam mata dulu.”
Qistur Ruwaidah mula memejamkan matanya. Tiba-tiba dia dapat merasai hembusan nafas suaminya di tepi telinganya.
“I love you, Qistur Ruwaidah,” ucap Mohamad Salahuddin dalam nada berbisik ke telinga isterinya.
Berderau darah Qistur Ruwaidah. Cepat-cepat dia membuka matanya. “H… Habibi…” panggilnya dengan nada terketar-ketar.
Tiba-tiba Mohamad Salahuddin tertawa kecil. “Berdebar?” soalnya.
“Eiii! Habibi ni, kan! Suka betul buat sayang cuak. Sayang ingatkan apalah,” luah Qistur Ruwaidah. Kemudian, dia memuncungkan bibirnya.
Seketika, Mohamad Salahuddin tersenyum. “Habibi teringat kali pertama habibi bisik kat telinga sayang. Dengan muka sayang malu-malu masa tu. Kenangan sangat. Saja habibi nak kembalikan kenangan tu lepas kita dah ada Qalyubi dan Qurtubi ni.”
“Habibi… Mana mungkin sayang lupa pasal tu! Kalaulah masa boleh undur, memang sayang nak kembali ke momen tu.”
Tiba-tiba Mohamad Salahuddin menyerahkan sesuatu kepada Qistur Ruwaidah. “Nah. Ni kejutan sebenar untuk sayang.”
Dua helai kertas warna putih yang dilipat dua… Qistur Ruwaidah mencapai kertas itu. Lalu, dia membuka helaian kertas itu. Terdapat dua keping gambar di antara dia dan suaminya semasa mereka berdua berbulan madu di Hotel Grand Lexis Port Dickson (PD) dan Genting Highlands pada Januari 2017, iaitu pada 10 bulan yang lalu. Kemudian, dia membaca pula isi kandungan yang ditulis tangan oleh Mohamad Salahuddin.
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani…
Buat isteri habibi, Qistur Ruwaidah binti Isyraf Imrani…
Masihkah sayang ingat kenangan kita berbulan madu di Hotel Grand Lexis PD ini? Kemudian, kita berbulan madu pula di Genting Highlands. Kali pertama kita berbulan madu betul-betul selepas empat bulan kita melayari bahtera rumah tangga. Habibi pasti, sayang ingat, kan? Siapa sangka… Sayang mengandungkan Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil selepas kita pulang berbulan madu dari dua tempat itu sebelum bergolaknya rumah tangga kita. Syukur alhamdulillah.
Habibi ingat lagi masa kita sama-sama buat ujian kehamilan sayang pada hari lahir habibi, kita sama-sama kecewa. Suami isteri mana yang tidak mahukan zuriat sebagai pengikat kasih? Habibi menangis dalam diam masa kita bermalam kat rumah sayang untuk sambut hari lahir habibi dengan Abang Suhaib pula tetapi rupa-rupanya… Sayang tengah mengandung masa tu kalau ikut tarikh akhir sayang datang haid. Cuma, kita yang tak perasan atau salah waktu buat ujian atau mungkin juga, sihir mak mengaburi kita. Entahlah, kan? Allah Maha Tahu.
Apa-apa pun, habibi bersyukur untuk semuanya sekarang. Kita sudah berempat. Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil merupakan pengikat kasih kita. Bukti cinta dan maruah habibi kepada sayang yang habibi pertahankan khas buat sayang. Tidak pernah habibi serahkan kehormatan diri habibi atau merosakkan anak dara orang melainkan hanya untuk perempuan yang habibi gelar isteri, iaitu sayang sendiri. Wanita yang habibi pernah rindu, tunggu dan pendam perasaan sampai tiga tahun lamanya. Sayang terlalu istimewa untuk habibi dan takkan ada wanita lain setanding sayang.
Namun, kadang-kadang hati habibi tetap diuji dengan godaan daripada rakan sekelas perempuan habibi. Habibi belajar kuatkan iman. Berkali-kali habibi ingatkan diri habibi… Habibi ada isteri yang hebat, kuat dan tabah dari kecil. Itulah keistimewaan sayang berbanding perempuan-perempuan lain yang habibi pernah kenal. Biarlah habibi tidak menghebahkan kepada dunia menerusi media sosial seperti yang pernah kita setuju masa hari pertama kita kahwin dahulu. Apa yang habibi tahu, sayang ini sangat mahal dan berharga untuk habibi. Hanya habibi yang tahu betapa manja dan romantisnya sayang untuk habibi selama setahun lebih kita melayari rumah tangga ini. Habibi tidak mahu menjadi suami dayus dengan mempamerkan kecantikan sayang daripada menjadi tatapan lelaki ajnabi. Sayang tahu habibi cemburu orangnya.
Biarpun kita sudah menjadi ummi abi dengan lahirnya Qalyubi dan Qurtubi, namun habibi mengharapkan agar rumah tangga kita tetap romantis seperti dahulu, sama seperti dua gambar yang habibi lampirkan buat sayang untuk tatapan dan kenangan.
Pasti sayang tertanya-tanya… Kenapa habibi menulis surat ini, kan? Sebab sayang cakap sayang suka dapat surat bertulis tangan. Jadi, habibi menulis sempena sayang dah selamat beranak walaupun lenguh jugalah jari-jemari habibi ini (xD)
Buat bidadari habibi, Qistur Ruwaidah, cinta hati habibi sampai mati… Terima kasih kerana menjadi isteri solehah dan taat pada habibi berlandaskan syariat-Nya. Semoga perkahwinan dan cinta yang kita bina ini, kekal hingga ke Syurga. Maaf di atas segala salah dan silap sepanjang habibi mengemudi rumah tangga yang baru setahun jagung ini. Habibi masih cuba jadi suami dan abi terbaik.
Akhir kalam, habibi mencintai sayang sedalam hati habibi sehingga maut sahaja yang memisahkan kita. I love you, Qistur Ruwaidah binti Isyraf Imrani. I love you so much! Takkan ada wanita lain boleh menggantikan sayang dalam hati habibi sampai habibi mati.
Salam cinta dan salam rindu…
‘Zauj’mu, Mohamad Salahuddin bin Mohd Firdaus.
Khamis, 12 Oktober 2017, 11.40 malam
P/S: Lepas sayang habis pantang nanti, kita bercuti kat Hotel Grand Lexis PD lagi. Kali ni dengan Qalyubi dan Qurtubi. Okey?
Usai Qistur Ruwaidah membaca warkah tersebut, dia memandang suaminya. Kelihatan suaminya menghadiahkan senyuman buat dirinya. “Ha… Habibi… A… Apa ni?” soalnya dengan sebak.
“Sayang suka?” soal Mohamad Salahuddin pula.
Gugur air mata Qistur Ruwaidah itu. Air mata penuh terharu. “Mestilah sayang suka! Surat dan gambar ni mahal sangat… Janganlah buat sayang macam ni lagi, habibi. Sayang sebak. Sayang tak tahu nak cakap macam mana.”
Mohamad Salahuddin tersenyum. “Boleh habibi peluk sayang?”
Qistur Ruwaidah mengesatkan air matanya bersama anggukan. “Kenapa habibi nak kena minta izin pula? Kan sayang ni halal untuk habibi selagi lafaz ijab kabul setia dengan kita.”
Mohamad Salahuddin terus mendakap isterinya. “Sayang… Sayang takkan tinggalkan habibi, kan?”
“Habibi merepek apa ni! Jangan nak mula merepek,” luah Qistur Ruwaidah dengan penuh manja. Dia mengeratkan lagi dakapan penuh cinta itu.
Kedengaran Mohamad Salahuddin tertawa kecil di sebalik dakapan itu. “Okey, okey… Habibi minta maaf. Sementara Qalyubi dan Qurtubi tengah tidur ni, habibi ingatkan nak ajak sayang melukis. Selama kita kahwin ni, tak pernah lagi kita melukis sama-sama, kan?”
Qistur Ruwaidah meleraikan sedikit dakapan itu bersama renungan ke arah wajah suaminya. “Ya Allah! Yalah! Jom kita cuba lukis Qalyubi dan Qurtubi tengah tidur ni. Sayang pun nak asah kemahiran lukis balik guna iPad. Dah berkarat rasa.”
Lalu, Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin mencapai iPad masing-masing. Kemudian, mereka membuka aplikasi Procreate yang hanya boleh digunakan oleh pengguna iOS dan iPadOS bagi mengasah semula kemahiran melukis yang sudah lama tertangguh itu.
TANAH PERKUBURAN ISLAM AU4 LEMBAH KERAMAT
Setelah Qistur Ruwaidah menamatkan pantangnya, barulah dia berkesempatan untuk membawa anak kembarnya ke tempat persemadian ahli keluarganya buat kali pertama serta ditemani suaminya. Surah Yaasin dan tahlil tidak lupa disedekahkan sekali.
“Qalyubi, Qurtubi… Nilah kubur keluarga ummi. Arwah atuk, nenek, Mak Ngah Qina, Pak Jang Harraz dan Pak Su Harzan ada kat sini,” bicara Qistur Ruwaidah kepada pasangan kembar tersebut. Pada saat itu, hatinya cukup reda. Kali ini, dia tidak sendirian lagi. Tiga heronya ada untuk menemani dan melindungi dirinya. Tidak dilupakan juga, abangnya sekali sebelum dia berkahwin dahulu.
Anak mata Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil memandang pusara keluarga ibu mereka berdua. Meskipun mereka berdua masih tidak mengerti, mereka tidak merengek atau menangis.
Selain itu, Qistur Ruwaidah juga mahu ‘memperkenalkan’ dan ‘memaklumkan’ kepada ahli keluarganya bahawa kini, dia telah menjadi seorang ibu kepada dua orang cahaya mata.
“Mama, baba, Kak Qina, Dik Harraz, Dik Harzan… Qist dah selamat jadi ‘ummi’ dua bulan lepas. Ni Qist dan Din bawa Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil jumpa dengan semua. Kalaulah semua ada lagi, mama dah jadi nenek. Baba dah jadi atuk. Kak Qina dah jadi Mak Ngah Qina. Dik Harraz dah jadi Pak Jang Harraz dan Dik Harzan dah jadi Pak Su Harzan…”
“Mama… Lepas Qist dah jadi ‘ummi’ ni, barulah Qist faham betapa besarnya pengorbanan mama lahirkan kami lima beradik. Qist minta maaf kalau dulu Qist dah susahkan mama. Baba… Lepas Qist dan Din dah jadi ‘ummi-abi’ ni, barulah kami faham betapa besarnya pengorbanan baba cari nafkah dan didik anak-anak. Terima kasih mama baba. Insya-Allah, Qist dan Din akan didik Qalyubi dan Qurtubi baik-baik.”
Pada pertemuan kali ini, kalbu Qistur Ruwaidah menjadi amat tenang dan gembira di hadapan pusara lima orang ahli keluarganya. Wajahnya juga mempamerkan senyuman penuh bahagia. Tiada lagi tangisan menemani dirinya. Apa yang dia rasakan kini, dia telah pun menemui kebahagiaan bersama suami dan anak-anak tercinta di atas izin Ilahi. Dia mengucap syukur dalam hati.
Mohamad Salahuddin memegang bahu isterinya. Kali ini, dia nampak isterinya lebih tenang dan tidak lagi menangis seperti biasa jika mereka berdua menziarahi pusara ahli keluarga Qistur Ruwaidah itu. “Sayang okey?”
“Insya-Allah. Sayang okey je. Sayang kena belajar move on, kan? Sayang tak patut menangis lagi. Walaupun Allah dah ambil lima orang keluarga sayang, nilah hikmah yang sayang nampak. Allah gantikan habibi, Qalyubi dan Qurtubi pula. Alhamdulillah.”
“Alhamdulillah. Habibi gembira dengan kekuatan sayang. Sayang tak keseorangan. Habibi, Qalyubi, Qurtubi… Ada untuk sayang.”
Qistur Ruwaidah mengangguk bersama senyuman. Mohamad Salahuddin, Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil… Penenang jiwanya!
TANAH PERKUBURAN ISLAM TAMAN KEMBOJA
Selepas mengunjungi pusara ahli keluarga Qistur Ruwaidah, Qistur Ruwaidah membawa pula keluarga kecilnya itu ke pusara arwah Pak Long Megat Arif, Mak Long Rauzah dan Puteri Masyitah. Inilah kali pertama buat Mohamad Salahuddin, Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil mengunjungi pusara keluarga Mak Long Rauzah itu.
Niat Qistur Ruwaidah, dia hanya mahu ‘bertemu’ dengan Pak Long Megat Arif. Bukan Mak Long Rauzah dan Puteri Masyitah. Namun, pusara dua perempuan itu saling bersebelahan dengan pusara Pak Long Megat Arif. Dua insan itu benar-benar meninggalkan kesakitan yang amat mendalam dalam jiwanya. Seorang kaki dera manakala seorang lagi pula merupakan kaki penipu dan kaki pentingkan diri. Sehingga kini, Qistur Ruwaidah masih berdendam dan tidak mampu memaafkan kedua-dua orang arwah perempuan itu.
Pernah dia terdetik dalam hati, apalah yang Almarhum Pak Long Megat Arif lihat kepada Almarhumah Mak Long Rauzah? Sepatutnya, almarhum ayah saudaranya itu berhak kepada wanita yang lebih baik.
“Sayang… Habibi tahu sayang hanya nak ziarah Pak Long Arif. Sayang jangan paksa diri untuk Mak Long dan Kak Syita,” kata Mohamad Salahuddin. Dia juga mengerti rasa dendam isterinya yang cukup mendalam itu sepertimana dia berdendam dengan Puan Zaidah. Mujurlah dia tidak tahu keberadaan mayat ibu tirinya itu.
Qistur Ruwaidah mengangguk. Dia memegang batu nisan almarhum Pak Long Megat Arif dengan penuh rasa rindu. “Pak Long Arif… Qist datang ni. Maafkan Qist sebab dah lama tak jenguk Pak Long. Kali ni, Qist datang dengan suami dan anak-anak Qist. Alhamdulillah… Qist dah berkeluarga, Pak Long. Qist kahwin tahun lepas. Nama suami Qist, Mohamad Salahuddin. Panggil Din je. Dua bulan lepas, Qist beranak anak kembar lelaki. Nama anak-anak Qist, Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil. Alhamdulillah, Qist dapat anak kembar lelaki macam almarhumah mama juga…”
“Pak Long… Terima kasih sebab jaga Qist dan Abang Suhaib walaupun sekejap je. Sampai sekarang, Qist masih ingat kasih sayang yang Pak Long bagi kat kita orang. Pak Long tak pernah marah kita orang. Pak Long tak pernah pukul atau dera kita orang. Pak Long sabar sangat layan kita orang bila kita orang rindu keluarga kita orang. Pak Long tak jemu ingatkan kita orang supaya sedekah Al-Fatihah kat dia orang kalau kita orang rindu. Qist bersyukur sangat sebab dapat ayah saudara sebaik Pak Long. Rezeki Qist juga sebab jumpa Din dan ayah mentua yang baik macam Pak Long.”
Mohamad Salahuddin hanya memerhati dan mendengar isterinya ‘berbual-bual’ dengan Almarhum. Dia tahu betapa isterinya amat menyayangi dengan menghormati Pak Long Megat Arif seperti ayah sendiri. Akan tetapi, nasib isterinya menjadi malang setelah dia berada di bawah jagaan Almarhumah Mak Long Rauzah. Saban hari dia berdoa agar dia terus dipanjangkan umur bagi menemani Qistur Ruwaidah, Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil.
Sementara Qistur Ruwaidah, dia masih ‘berbual’ dengan ayah saudaranya itu. “Pak Long… Mungkin ni kali terakhir Qist dan keluarga Qist datang ‘jumpa’ Pak Long sebab Qist tak kuat nak hadap kubur Mak Long dan Kak Syita sebelah-sebelah je dengan kubur Pak Long tapi Pak Long jangan risau… Qist tak pernah lupakan Pak Long. Qist minta maaf, Pak Long. Qist sayang Pak Long sama macam Qist sayang baba,” ucapnya dengan penuh sebak. Dia tidak mahu mengorbankan mentalnya lagi.
Air mata Qistur Ruwaidah gugur jua. Mujur Mohamad Salahuddin berada di sisinya sambil menghadiahkan kucupan di atas kepalanya.
“Shhh… Kita doakan Pak Long Arif aman kat sana ya,” pujuk Mohamad Salahuddin.
Tiba-tiba Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil meragam kerana kepanasan dan rimas. Pasangan itu menenangkan anak-anak mereka berdua.
“Kita gerak sekaranglah. Budak-budak ni dah panas. Lepas ni, kita nak ziarah kubur Sufi pula,” kata Mohamad Salahuddin.
Qistur Ruwaidah mengangguk. “Emm… Okey habibi. Nanti kita singgah kat mana-mana RNR dulu. Sayang nak mandikan budak-budak ni dan tukar baju dia orang.”
Lalu, keluarga kecil itu mula meninggalkan pusara Almarhum Pak Long Megat Arif tanpa ‘bertemu’ dengan arwah Mak Long Rauzah dan Puteri Masyitah.
TANAH PERKUBURAN ISLAM TAMAN KIRANA
Setelah Qistur Ruwaidah, Mohamad Salahuddin dan si kembar mengunjungi pusara lima orang keluarga Qistur Ruwaidah, Almarhum Pak Long Megat Arif serta dia dan Mohamad Salahuddin telah memandikan dan menukarkan pakaian Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil di salah sebuah RNR, kini mereka berempat tiba pula di pusara Almarhum Sufi Waazin, sahabat baik Qistur Ruwaidah yang telah meninggal dunia pada tahun 2014. Bermakna, sudah tiga tahun lelaki itu meninggal dunia.
“Ni kubur Sufi,” kata Qistur Ruwaidah.
Mohamad Salahuddin memandang pusara Sufi Waazin buat kali pertama itu. Dia masih ingat lagi semasa hari pertama dia berkahwin dengan Qistur Ruwaidah, dia ingin ‘bertemu’ dengan sahabat baik isterinya yang telah banyak membantu isterinya semasa zaman sekolah menengah dahulu. Tatkala itu, timbul rasa sedih dan sebak dalam kalbunya buat Almarhum Sufi Waazin. Dia tahu lelaki itu juga turut mempunyai perasaan terhadap Qistur Ruwaidah seperti dirinya. Moga Allah mengurniakan bidadari yang cukup cantik di sana buat Sufi Waazin di atas kesabaran lelaki itu dalam menahan hawa nafsu, tidak sempat berkahwin ketika di dunia serta almarhum perit memendam perasaan terhadap Qistur Ruwaidah.
‘Sufi Waazin… Moga kau aman kat sana. Terima kasih sebab kau dah banyak tolong isteri aku dulu. Kalau kau hidup lagi, aku akan undur diri dan biarkan kau hidup bahagia dengan Qist sebab kau muncul dulu dalam kehidupan Qist. Bukan aku,’ bisik hati lelaki itu.
“Habibi…” panggil Qistur Ruwaidah.
Mohamad Salahuddin tersentak dari lamunannya. Kelihatan isterinya telah membentangkan tikar di atas tanah dan berada di atas tikar bersama Aalqurtubi Shakil yang berada dalam penggendong bayi. Lalu, dia menanggalkan kasut dan melabuhkan punggung bersebelahan dengan isterinya bersama Aalqalyubi Shafiy dalam penggendong bayi yang dipakai olehnya.
Surah Yaasin dan tahlil mula diketuai oleh Mohamad Salahuddin dan diikuti oleh Qistur Ruwaidah.
Usai semuanya, Mohamad Salahuddin memberikan ruang kepada Qistur Ruwaidah terlebih dahulu untuk ‘berbual-bual’ dengan Almarhum Sufi Waazin.
Qistur Ruwaidah memulakan bicaranya. “Assalamualaikum Sufi Waazin, sahabat yang aku hormati. Lama aku tak jumpa kau kat sini. Sekali je aku jenguk kau dulu, kan? Dah makin ramai jenazah yang ‘menghuni’ kat taman ni. Dulu, aku ingat lagi… Masa hari kau dikebumi, kubur tak sebanyak ni. Sufi… Dah tiga tahun kau pergi. Sebenarnya, aku dah kahwin tahun lepas dan aku baru beranak dua bulan lepas. Aku dah berkeluarga, Sufi… Suami aku, Mohamad Salahuddin nak sangat jumpa kau dari tahun lepas, lepas aku pernah cerita kebaikan yang kau pernah buat kat aku. Dia ada kat sebelah aku ni dengan anak-anak aku, Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil…”
“Abang Suhaib pun sihat sejahtera. Sekarang, dia sibuk dengan bisnes gubah hantaran. Dia pun tak pernah lupakan kau. Kebaikan kau memang tak boleh disangkal. Aku pun minta maaf sebab dah lama tak ziarah keluarga kau. Aku ada jemput keluarga kau datang ke majlis kesyukuran aku dan Din tahun lepas tapi dia orang tak dapat datang sebab dia orang tengah tunai umrah masa tu. Setiap kali aku bersembang dengan ibu ayah kau, tak pernah dia orang tak sebut pasal kau. Dia orang terlalu rindukan kau, Sufi. Aku pun rindu kat kau. Aku teringat kenangan kita sama-sama kat SMIB dulu…”
“Sufi… Terima kasih untuk semuanya, segala kenangan kita bersama dulu. Aku terima semua ni takdir yang Allah tentukan untuk aku dan kau. Aku harap supaya kau sentiasa aman kat sana. Kau pergi dalam usia yang agak muda dan belum sempat pun kau sambung ijazah. Kalau kau masih hidup lagi, mesti kau habis belajar dalam tahun depan. Ibu ayah kau pun mesti bangga dengan kau.”
Sejujurnya, Mohamad Salahuddin turut sebak tatkala mendengar bicara isterinya itu. Pasti bukan mudah untuk isterinya melepaskan segala kenangan lalu bersama almarhum lelaki itu. Kalaulah lelaki itu masih hidup, semestinya Qistur Ruwaidah tidak akan memikirkan tentang dirinya mahupun Abdul Azim. Namun, ini semua ketentuan takdir. Allah mengizinkan dia untuk menjadi suami dan pelindung Qistur Ruwaidah.
Setelah Qistur Ruwaidah ‘berbual’ dengan Almarhum Sufi Waazin, kini giliran Mohamad Salahuddin ‘berbicara’ dengan almarhum. Namun, dia meminta isterinya berjalan ke tempat lain kerana dia mahu ‘berbicara’ secara seorang diri tanpa didengari oleh isterinya. Permintaannya itu dihormati oleh isterinya.
Mohamad Salahuddin memulakan bicaranya. “Assalamualaikum Sufi Waazin. Berjumpa juga kita kat sini. Kau ingat tak aku, Mohamad Salahuddin? Kau je kawan aku yang panggil aku, Salahuddin. Kawan-kawan yang lain, panggil aku Din. Dulu, kita satu mahallah masa kat CFS. Aku selalu tegur kau sebab bilik kita depan-depan. Aku tak sangka kau kawan baik Qist. Aku baru tahu lepas aku kahwin dengan dia…”
“Qist ada cerita kat aku, kau ada perasaan kat dia. Rupanya, kau pun sama macam aku juga. Pendam perasaan kat Qist. Kau dan aku tahu Qist ada perasaan kat Azim tapi pasal Azim tu… Kuasa Allah, Sufi. Qist pilih aku dan dia tak pilih Azim. Mula-mula aku tak percaya dengan keputusan lamaran dia tapi Allah lagi tahu. Panjang cerita macam mana aku bersaing dengan Azim nak dapatkan Qist dan aku lamar Qist. Cuma, sekarang… Alhamdulillah, aku dah jadi suami Qist dan kita orang pun dah berempat…”
“Sufi, bila aku dapat tahu betapa baiknya kau kat Qist, kau dah banyak tolong dia masa kau orang sama-sama sekolah menengah dulu, jujur… Aku cemburu dengan kebaikan yang kau ada. Aku pun terinspirasi nak jadi baik macam kau, Sufi. Nak mati dalam husnul khatimah (pengakhiran yang baik). Aku sendiri hampir mati dulu sebab sihir… Aku hampir nak tinggalkan Qist dan anak-anak. Aku ingatkan anak-anak aku pun akan jadi anak yatim senasib macam Qist tapi aku bersyukur sangat, Allah masih panjangkan umur aku…”
“Sufi… Kalaulah aku tahu kau ada perasaan kat Qist, aku lebih rela undur diri dan lupakan hasrat nak kahwin dengan dia. Apatah lagi, nak jadi ayah kepada anak-anak dia. Kau tahu sebab apa? Sebab kau terlalu baik sepanjang kita jadi jiran bilik, jauh lebih baik daripada aku. Kau selalu belanja aku makan, ajak aku solat berjemaah kat Masjid Malaya, ajak puasa sunat, ajak sertai usrah… Emm… Banyak lagi… Satu lagi, sebab kau muncul dalam kehidupan Qist dulu. Lepas tu, baru aku. Mungkin sebab kau baik sangatlah, Allah ambil kau awal. Kehilangan kau dulu cukup buat aku terasa.”
“Aku harap kau sentiasa aman kat sana. Mungkin juga kau dah jumpa bidadari-bidadari cantik. Sufi, aku nak ucap terima kasih untuk semua kebaikan yang kau dah buat kat aku dan isteri aku. Hanya Allah yang dapat balas jasa kau. Sufi… Aku, Qist dan anak-anak aku pergi dulu ya. Moga kita akan berjumpa lagi satu hari nanti. Insya-Allah.”
Berakhirlah ‘perbualan’ Mohamad Salahuddin di pusara Almarhum Sufi Waazin. Kemudian, dia mula bangkit dari tikar dan melipatnya. Seterusnya, dia menuju ke arah bidadarinya yang sedang ralit melayan si kembar itu di luar taman perkuburan itu.
“Habibi ‘borak’ apa dengan Sufi?” soal Qistur Ruwaidah.
“Mana boleh habibi beritahu sayang. Rahsia… ‘Private and confidential’ okey. Apa yang pasti, habibi dah ucap terima kasih kat dia sebab dia dah banyak tolong sayang dulu,” balas Mohamad Salahuddin bersama senyuman.
“Eh, habibi ni! Dengan sayang pun, habibi nak berahsia ya. Habibi ada mengumpat sayang ya?”
“Isy… Taklah sayang! Jangan fikir yang bukan-bukan. Dah, jom balik. Tercapai hasrat habibi nak jumpa semua orang yang bermakna dalam hidup sayang lepas sayang dah habis pantang ni. Terima kasih juga sebab sayang sudi bawa habibi dan anak-anak kita kat kubur Pak Long Arif dan Sufi.”
Qistur Ruwaidah tersenyum. “Sama-sama habibi. Nanti, giliran habibi pula bawa sayang dan anak-anak kita kat kubur ummi pula. Insya-Allah, kita akan dapat jumpa kubur ummi kat Kelantan tu nanti. Sayang yakin.”
Mohamad Salahuddin turut tersenyum. “Insya-Allah sayang. Moga Allah mudahkan urusan kita nak cari kubur ummi nanti.”
Tidak lama kemudian, keluarga kecil itu meninggalkan Tanah Perkuburan Islam Taman Kirana dengan perasaan yang tenang. Ternyata menziarahi kubur itu dapat menimbulkan rasa insaf serta peringatan bahawa setiap insan akan merasai mati. Tiada siapa yang terkecuali.
Firman Allah Taala dalam Surah Ali Imran, ayat 185:
Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu, sesiapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke Syurga, maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.
Maafkan tuan penulis kerana bab ini bercampur baur emosi gembira dan sedih xD
Share this novel