SEMESTER TIGA SESI 2013/2014
30 JANUARI 2014
Setelah sekian lama grup WhatsApp ‘Ikan Bilis’ itu membisu, tiba-tiba menjadi kecoh kembali apabila timbulnya isu cuti Tahun Baru Cina.
WhatsApp Amirul Azhar:
Wei kau orang! Esok cuti Tahun Baru Cina ke?
WhatsApp Qatrun Nadiah:
Yalah. Cuti umum Azhar oii! Seronoknya tak ada kelas. Yezza!
WhatsApp Abdul Azim:
Aduh! Seriuslah esok cuti?
WhatsApp Qatrun Nadiah:
Yalah Azim. Esok cuti. Kau pula kenapa? Orang lain semua nak cuti. Kau je yang tak nak.
WhatsApp Abdul Azim:
Aku nak je cuti tapi masalahnya, aku baru ingat nak pergi beli barang-barang untuk projek aku esok. Mesti banyak kedai tutup esok. Lagi parah, banyak barang aku dah tak ada. Kalau aku tak ada barang-barang tu, matilah aku. Sir Hafiy mesti akan gagalkan aku punya.
Pada asalnya, Qistur Ruwaidah hanya menjadi pembaca dalam diam sahaja, namun hatinya merasa kasihan terhadap pemuda itu. Dia yang sudah sedia menyukai Abdul Azim, timbul rasa ingin membantu jejaka itu.
Secara kebetulan pula, memang dia bercadang untuk mencuci mata seorang diri di Pusat Beli-Belah Adenium esok. Abangnya juga telah mengizinkan dirinya untuk menggunakan keretanya itu. Alang-alang itu, bolehlah dia belikan sekali barang-barang yang diperlukan oleh Abdul Azim. Dia segera merespons perbualan itu.
WhatsApp Qistur Ruwaidah:
Azim, kau nak kirim barang apa? Aku boleh tolong belikan. Memang kebetulan aku nak pergi pusat beli-belah esok.
Abdul Azim agak terkejut dengan mesej itu. Dia tidak menyangka bahawa perempuan itu sudi menghulurkan bantuan kepadanya. Memandangkan dia berada dalam keadaan terdesak sekarang, dia berharap agar permintaannya itu tidak membebankan Qistur Ruwaidah.
Sekiranya dia keluar untuk ‘outing’ pada hari esok pun, belum tentu kedai alat tulis yang berdekatan dengan CFS IIUM akan buka dan pastinya dia akan merasa penat jika dia mencari barang-barang di tempat yang agak jauh.
Soal perasaan Qistur Ruwaidah terhadap dirinya, dia tidak mahu mengendahkannya. Apa yang dia tahu, dia hanya mahu mendapatkan bantuan mahasiswi itu kerana mahasiswi itu sudi membantu dirinya. Tidak lebih daripada itu.
WhatsApp Abdul Azim:
Betul ke ni aku tak susahkan kau?
WhatsApp Qistur Ruwaidah:
Tak adalah. Aku okey je.
WhatsApp Abdul Azim:
Kalau kau cakap macam tu, okeylah. Aku nak minta kau belikan water-colour jenama Alpha yang ada 18 warna, berus dan kertas water-colour saiz A3. Dahulukan duit kau ya. Nanti aku bayar. Terima kasih sangat. Kalau kau tak faham, nanti tanya je aku.
WhatsApp Qistur Ruwaidah:
Oh okey. Boleh. Tak ada masalah. Sama-sama Azim.
Perbualan mereka terhenti begitu sahaja. Grup itu menjadi bisu kembali. Qistur Ruwaidah sendiri merasa segan untuk bertanya lebih-lebih berkenaan barang-barang yang dimaksudkan oleh lelaki itu di grup tersebut.
Hakikatnya, dia sendiri kabur tentang barang-barang yang diperlukan oleh lelaki itu. Cat air jenama Alpha? Jenama apa itu? Bila masa pula ada jenama itu? Jenama cat air yang dia tahu, hanyalah jenama Buncho sahaja. Kertas cat air? Itulah pertama kali dia mendengar nama kertas sebegitu. Begitulah hakikat dirinya sebagai seorang mahasiswi yang bukan berjurusan Asasi Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar (AED) itu.
Dia bercadang untuk bertanya kepada Amirul Azhar, memandangkan dia pernah bercerita mengenai perasaannya terhadap Abdul Azim kepada lelaki itu. Jadi, dia tidaklah berasa kekok sangat untuk menegur kawannya itu.
Tiba-tiba Amirul Azhar menghantar mesej peribadi kepadanya. Sememangnya, dia mengetahui bahawa Qistur Ruwaidah menyukai kawannya itu. Dia segera membantu mahasiswi itu.
WhatsApp Amirul Azhar:
Qist, ni jenama water-colour yang Azim nak tu.
Amirul Azhar menghantar gambar cat air jenama Alpha itu supaya Qistur Ruwaidah mendapat gambaran. Lega hati Qistur Ruwaidah. Tidak adalah dia tersilap beli nanti.
WhatsApp Qistur Ruwaidah:
Wah, Azhar! Terima kasih sangat tahu. Aku ingat baru nak whatsapp kau.
WhatsApp Amirul Azhar:
Hahaha! Sama-sama. Aku boleh agak kau mesti tak faham.
WhatsApp Qistur Ruwaidah:
Azhar, kertas water-colour tu macam mana? Serius aku blur. Azim kata dia nak saiz A3. Macam drawing block ke?
WhatsApp Amirul Azhar:
Haah. Saiz sama macam drawing block. Kertas tu memang macam drawing block tapi permukaan kertas tu khusus untuk water-colour. Kau jangan risaulah. Memang kat muka depan tu nyatakan ‘Watercolour Pad’.
WhatsApp Qistur Ruwaidah:
Oh okey. Serius aku baru tahu. Terima kasih. Memang aku tak pernah dengar sebelum ni.
WhatsApp Amirul Azhar:
No problem. All the best!
Perbualan mereka berdua terhenti setakat itu sahaja. Betapa bersyukurnya Qistur Ruwaidah apabila jejaka itu menerangkan tentang barang-barang yang diperlukan oleh Abdul Azim.
“Si Azim tu pun satu hal. Apa kejadahnya pergi pesan kat grup. Tolong guna whatsapp peribadilah selepas nakkan bantuan aku. Haih!” omel Qistur Ruwaidah sendirian.
Tiba-tiba dia tersenyum apabila mengenangkan bahawa dia akan berjumpa dengan Abdul Azim pada keesokan harinya, namun hatinya tetap menjadi resah dan debar.
“Kau dah kenapa nak kena berdebar pula, Qist? Aku nak jumpa Azim sekejap je pun esok. Nak beri barang je. Cuba kau relaks,” bicaranya sendirian.
“Emm… Qist, macam mana kau nak berhadapan dengan Azim esok? Isy! Segannya!” bicaranya lagi.
Dia melirik ke arah jam dinding biliknya. Jam sudah menunjukkan pukul 11.00 malam. Nampaknya dia perlu tidur sekarang. Dia akan menggunakan banyak tenaga pada hari esok.
“SEMUANYA berharga RM90. Cik nak guna tunai atau kad debit?” tegur jurujual Kedai Buku Network.
“Kad Debit, cik,” balas Qistur Ruwaidah.
‘RM90? Mahalnya barang-barang arkitek ni. Patutlah Abang Suhaib sampai ikat perut tak berbelanja sangat. Dahlah abang pernah pengsan sebab tak makan beberapa hari. Kesiannya abang,’ bisik hati Qistur Ruwaidah.
Setelah melakukan pembayaran, Qistur Ruwaidah mula meninggalkan Kedai Buku Network itu.
‘Apalah susah sangat aku nak faham tadi barang-barang yang Azim nak? Macam orang bodoh rasanya,’ bisik hati perempuan itu dalam kereta MyDi itu.
“Arghhhhhh!” Qistur Ruwaidah menjerit dalam kereta.
Dia teringat semula peristiwa di kedai buku tersebut.
“Cik cari apa?” tanya salah seorang jurujual perempuan yang bertugas sambil tersenyum kepadanya.
“Saya mencari water-colour jenama Alpha yang ada 18 warna, berus dan kertas water-colour saiz A3,” balas Qistur Ruwaidah.
“Untuk kelas seni lukis ke?”
“Saya pun tak tahulah. Kawan saya tolong pesan je. Sebenarnya, saya pun tak tahu water-colour jenama Alpha tu macam mana. Kertas water-colour pun lagilah saya tak pernah tengok.”
“Ah baik. Cik boleh ikut saya.”
Jurujual itu menunjukkan barang yang diperlukan oleh Qistur Ruwaidah di bahagian alat tulis. “Kat sini ya,” katanya.
Qistur Ruwaidah ternampak cat air jenama Alpha itu. Meskipun terang-terang cat air itu tertera jenama Alpha, dia masih merasa ragu-ragu. “Ni ke water-colour jenama Alpha tu?”
“Ya betul cik. Nak berapa banyak warna?”
“18.”
Melihatkan Qistur Ruwaidah seperti tidak yakin untuk memilih barang-barang yang diperlukan, jurujual itu segera membantunya. Dia mengambil satu set cat air jenama Alpha yang mempunyai 18 warna, kertas cat air dan berus yang mempunyai pelbagai saiz. “Okey tak berus jenis ni?” soalnya.
“Sekejap ya cik. Saya tanya kawan saya sekejap. Cik, tolong berikan barang-barang tu sekejap. Saya nak tangkap gambar untuk tunjuk kat kawan saya,” jawab Qistur Ruwaidah.
Jurujual itu memberikan barang-barang tersebut kepadanya. Kelihatan Qistur Ruwaidah segera menangkap gambar set cat air, set berus dan kertas cat air itu. Kemudian, dia whatsapp Abdul Azim dengan menghantar gambar tersebut.
WhatsApp Qistur Ruwaidah:
Assalamualaikum Azim. Maaf ganggu. Aku nak tanya. Betul tak barang-barang yang kau perlukan ni?
Hantar. Tidak lama kemudian, kelihatan Abdul Azim merespons whatsapp Qistur Ruwaidah setelah dia mengamati gambar yang dihantar oleh mahasiswi itu.
WhatsApp Abdul Azim:
Waalaikummusslam. Ya, betul semua barang yang kau tunjuk.
WhatsApp Qistur Ruwaidah:
Set berus tu okey tak? Aku tak tahu nak ambil yang mana.
WhatsApp Abdul Azim:
Okey je set berus yang kau tunjuk tu.
“Cik, okeylah. Saya nak semua barang ni,” balas Qistur Ruwaidah.
“Baik. Saya bawa barang-barang yang cik perlukan ni kat kaunter ya. Cik ada nak cari apa-apa lagi ke?” balas jurujual itu.
“Bahagian kad ucapan kat mana?”
“Saya tunjukkan.”
Jurujual itu membawa Qistur Ruwaidah ke bahagian kad ucapan. “Kat sini ya cik. Saya bawa barang-barang cik ni kat kaunter.”
Qistur Ruwaidah menghadiahkan senyuman. “Baik cik. Terima kasih sangat.”
Setelah jurujual itu meninggalkan Qistur Ruwaidah dengan membawa barang-barang yang diperlukan olehnya itu, mata Qistur Ruwaidah tertangkap kepada sekeping kad ucapan segi empat sama yang tertera ucapan ‘Good Luck’ berwarna merah dan bersaiz kecil.
Tiba-tiba dia teringat sesuatu akan warna merah itu. Itu merupakan warna kegemaran Abdul Azim.
“Azim, bila tarikh lahir kau dan apa warna kegemaran kau?” soal Qistur Ruwaidah kepada Abdul Azim pada suatu hari.
“Kau nak beri aku hadiah ke?” soal Abdul Azim semula.
“Tak adalah. Aku nak tahu je.”
Abdul Azim berbicara sesuatu dengan hatinya. ‘Aku nak tengok sejauh mana si Qist ni suka kat aku. Kalau betul apa yang Sya, Azhar dan Din pernah cakap, aku nak buat apa? Emm… Apa-apalah Azim. Kau beritahu jelah apa Qist nak tahu. Kau juga nak tahu sejauh mana Qist suka kau.’
“Aku lahir pada 20 Februari dan merah merupakan warna kegemaran aku,” balas Abdul Azim.
Qistur Ruwaidah tersenyum apabila teringat semula perbualannya bersama jejaka itu. Lantas, sekeping kad ucapan berwarna merah itu diambilnya.
Mengingatkan semula apa yang telah berlaku dalam Kedai Buku Network tadi, Qistur Ruwaidah segera menggelengkan kepalanya. Sekarang, dia perlu menuju ke Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (CFS IIUM) untuk menghantar barang-barang yang diperlukan oleh Abdul Azim. Sebuah whatsapp ditinggalkan untuk jejaka itu.
WhatsApp Qistur Ruwaidah:
Azim, aku baru nak gerak ke CFS. Aku sampai dalam 20 ke 30 minit. Insya-Allah.
Dia membaca doa naik kenderaan dan memulakan pemanduannya.
Abdul Azim baru sahaja membaca whatsapp Qistur Ruwaidah. Dalam diam, sebenarnya dia juga berdebar untuk berjumpa dengan mahasiswi itu sebentar lagi.
‘Aku nak cakap apa dengan dia? Eh, kenapa tiba-tiba kau nak debar pula, Azim? Kalau betul kau tak ada apa-apa perasaan terhadap Qist, kau tak patut rasa macam ni,’ bisik hati jejaka itu.
‘Ah, apa-apalah!’ bisik hatinya lagi.
Selepas setengah jam berlalu, akhirnya Qistur Ruwaidah tiba di CFS IIUM dan memarkir keretanya di kotak parkir Mahallah Aisyah kerana kolej kediaman Abdul Azim bersebelahan dengan kolej kediamannya, iaitu Mahallah Abu Bakar.
Namun begitu, dia masih tidak memaklumkan ketibaannya kepada Abdul Azim kerana dia hendak menulis sesuatu kepada jejaka itu di atas kad ucapan yang telah dibelinya itu.
Setelah dia berpuas hati dengan apa yang telah ditulisnya, dia menyelitkan kad kecil tersebut ke dalam cat air Alpha itu. Sekali lagi, dia segera whatsapp jejaka itu.
WhatsApp Qistur Ruwaidah:
Azim, aku dah sampai. Aku kat depan ABC. (Abu Bakar College)
Setelah membaca mesej itu, Abdul Azim bingkas bangun dari katilnya dan menuruni anak tangga Mahallah Abu Bakar itu. Dia ternampak susuk tubuh Qistur Ruwaidah yang berpakaian tudung bawal bidang 60 rona merah jambu lembut dan di setiap hujung tudung tersebut dihiasi corak garisan rona ‘salamander orange’, berblaus Muslimah rona ‘red cardinal’ dan berseluar Palazo rona ‘peacock blue’.
Kelihatan Qistur Ruwaidah juga ternampak kelibat mahasiswa itu berpakaian Baju-T lengan panjang rona hitam dan berseluar khakis rona coklat gelap.
Kedua-dua orang mahasiswa dan mahasiswi itu cuba berlagak normal seperti tiada apa-apa yang berlaku. Pada sisi Qistur Ruwaidah, dia tidak pasti sama ada Abdul Azim sudah mengetahui ataupun tidak akan perasaannya itu. Pada sisi Abdul Azim pula, dia sendiri tidak pasti apa yang dia sedang rasai kini apabila berhadapan dengan Qistur Ruwaidah.
“Emm… Azim. Ni barang-barang yang kau perlukan,” kata Qistur Ruwaidah seraya menyerahkan sebungkus beg plastik kepada lelaki itu. Jantungnya berdegup kencang tatkala dia hendak menyerahkan bungkusan itu kepada Abdul Azim sehingga terketar-ketar tangannya.
Abdul Azim terperasan sahaja tangan mahasiswi itu terketar-ketar, namun dia bersikap normal. Dia menghadiahkan senyuman seraya menyambut bungkusan itu daripada Qistur Ruwaidah. “Berapa RM semua?” soalnya.
“RM90,” balas Qistur Ruwaidah.
Abdul Azim terperasan juga bahawa Qistur Ruwaidah tidak menurunkan tangan kanannya sejak dia mengambil bungkusan itu daripada mahasiswi itu. Dia sendiri tidak pasti sama ada mahasiswi itu menyedarinya atau tidak.
Namun begitu, memang Qistur Ruwaidah tidak menurunkan tangannya itu. Akan tetapi, Abdul Azim tidak berkata apa-apa tentang itu. Dia mengeluarkan dompetnya seraya menyerahkan RM150 kepada mahasiswi itu.
“Eh, Azim! RM90 jelah. Kenapa kau bayar kat aku sampai RM150 pula?” tegur Qistur Ruwaidah. Waktu itu, Abdul Azim terperasan barulah mahasiswi itu menurunkan tangan kanannya itu.
“Tak apalah. Duit minyak sekali. Rezeki kau. Terima kasih sangat tahu sebab kau dah tolong aku hari ni,” balas Abdul Azim.
Akhirnya, Qistur Ruwaidah menerima RM150 tersebut daripada jejaka itu seraya memasukkan wang tersebut ke dalam dompetnya. “Sama-sama Azim. Tak ada apalah. Aku gerak dulu ya.”
Abdul Azim mengangguk. Dia memandang Qistur Ruwaidah sedang berjalan sehingga ke keretanya. Setelah mahasiswi itu tiba ke keretanya, dia memulakan langkahnya untuk menuju ke biliknya semula.
Qistur Ruwaidah pula memandang mahasiswa itu dari kejauhan sehinggalah lelaki itu hilang dari pandangannya.
Setibanya Abdul Azim di biliknya, dia mengeluarkan barang-barang tersebut dari bungkusan plastik itu. Dia membuka penutup cat air itu untuk melihat warna-warnanya. Tiba-tiba, terdapat sekeping kad kecil terselit di dalamnya. Pada sampul kad tersebut, tertulis:
Kepada: Abdul Azim bin Uthman
‘Eh, ada kad pula,’ bisik hatinya. Dia mengeluarkan kad tersebut dari sampulnya dan membaca isi kandungannya.
'Semoga berjaya siapkan projek kau. Jangan hantar lewat pula kat pensyarah. - Qist'
Kad ucapan tersebut membuatkan Abdul Azim mengukir senyuman secara tidak sedar.
BULAN Februari… Ada apa dengan bulan tersebut? Bulan cintakah atau lebih dikenali sebagai Hari Valentines pada 14 Februari setiap tahun? Oh, memang tidaklah bagi seorang Qistur Ruwaidah untuk meraikannya. Dia tahu bahawa hari tersebut merupakan hari yang diharamkan oleh orang Islam untuk menyambutnya. Namun begitu, terdapat satu tarikh lain pada bulan tersebut yang dianggap istimewa untuknya.
20 Februari.
‘Eh, hari ni merupakan hari lahir Azim yang ke-19!’ bisik hati Qistur Ruwaidah sambil dirinya tersenyum girang.
Terus dia whatsapp jejaka itu.
WhatsApp Qistur Ruwaidah:
Assalamualaikum Azim. Selamat hari lahir yang ke-19. Semoga dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki.
Hantar. Tidak lama kemudian, Abdul Azim membalas whatsapp mahasiswi itu.
WhatsApp Abdul Azim:
Waalaikummussalam Qist. Alhamdulillah. Terima kasih atas ucapannya.
‘Tu je kau balas, Azim? Tak apalah. Janji kau balas whatsapp aku,’ bisik hati Qistur Ruwaidah.
Dia tersenyum-senyum membaca mesej di antaranya dengan jejaka itu.
‘Hmm… Aku nak beri apa lagi ya kat dia? Eh, nanti sekejap. Aku ni seperti terhegeh-hegeh je kat dia,’ bisik hatinya lagi.
‘Tapi semester ni merupakan semester akhir dia kat CFS sebelum dia sambung peringkat ijazah kat UIA Gombak. Entah-entah, selepas ni aku dah tak berpeluang nak jumpa Azim. Ah, lantaklah! Baik aku teruskan je niat nak hadiahkan kat dia supaya aku tak menyesal nanti.’
Pada semester tiga sesi 2013/2014 ini merupakan semester terakhir bagi Abdul Azim di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (CFS IIUM) sebelum dia menyambung peringkat ijazahnya di UIAM Gombak.
Matanya tertangkap pada satu kedai atas talian di Fac yang menjual kain jenis ‘felt’. Kedai itu juga menerima tempahan bekas alat tulis yang diperbuat dari kain ‘felt’. Apa yang menarik perhatiannya, bekas alat tulis tersebut boleh diletakkan nama juga.
Tanpa melengahkan masa, dia terus membuat tempahan bekas alat tulis kepada jurujual menerusi atas talian itu.
Jurujual itu memaklumkan bahawa tempahan tersebut akan disiapkan dalam tempoh seminggu hingga ke dua minggu. Qistur Ruwaidah terus membuat bayaran secara atas talian. Tidak mengapalah dia terlambat sedikit untuk memberi hadiah kepada mahasiswa itu.
Dua minggu kemudian, bungkusan itu tiba di rumah Qistur Ruwaidah.
“Adik, barang adik dah sampai,” kata Suhaibul Umar.
Mendengar kata-kata abangnya itu, Qistur Ruwaidah bingkas bangun untuk mendapatkan bungkusan itu.
“Terima kasih abang sebab tolong ambilkan bungkusan adik,” ucap Qistur Ruwaidah.
“Sama-sama. Kali ni, adik beli apa pula?”
Qistur Ruwaidah tersengih. “Adalah.”
“Amboi, tak nak beritahu abang ya sekarang!”
“Alaa… Abang ni. Dah mula nak merajuklah tu. Okeylah, adik beritahu. Adik beli bekas alat tulis yang ditempah khas. Hadiah hari lahir untuk kawan adik. Ha, puas hati?”
Suhaibul Umar ketawa kecil mendengar penjelasan adiknya itu. “Baiklah. Abang puas hati dengan penjelasan adik.”
Qistur Ruwaidah tersengih. Mujur abangnya tidak bertanya lebih-lebih. Dia bingkas memasuki biliknya untuk melihat bungkusan tersebut.
“Eii… Seronoknya barang ni dah sampai. Tak sabarnya nak beri kat Azim,” kata Qistur Ruwaidah sendirian di atas meja belajarnya. Tersenyum dia dibuatnya.
Bungkusan itu terus digunting. Kelihatan sebekas alat tulis berkain ‘felt’ rona merah yang ditempah khas untuk Abdul Azim itu sudah pun tiba.
“Wah, cantiknya akak tu buat! Kemas sungguh. Bolehlah aku tempah lagi nanti untuk diri sendiri pula,” pujinya.
Dia meletakkan bekas alat tulis itu di atas meja. Tiba-tiba matanya tertangkap kepada sebingkai gambar di atas meja belajarnya itu. Baru dia teringat akan seseorang yang sudah lama dia tidak berhubung.
Sufi Waazin.
“Ya Allah, lamanya aku tak hubungi Sufi. Apa khabarlah dia agaknya?”
Lantas, nombor jejaka itu dicari pada bahagian ‘Contacts’. Nama Sufi Waazin ditekan.
SUFI WAAZIN sedang merebahkan dirinya di atas perbaringan sementara menunggu azan isyak. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Dia melihat nama pemanggil tersebut.
Qistur Ruwaidah
“Lamanya aku tak berhubung atau jumpa dengan dia,” bicaranya sendirian. Lantas, dia menjawab panggilan itu.
“Assalamualaikum Sufi,” kedengaran suara Qistur Ruwaidah begitu ceria di hujung talian tersebut.
“Waalaikummussalam Qist. Lamanya kita tak berhubung atau berjumpa,” kata Sufi Waazin.
“Tulah masalahnya. Maaflah Sufi. Aku sibuk sangat dengan tugasan. Tak boleh dibawa bincang serahan tugasan yang makin menjadi-jadi.”
“Tak apa Qist. Samalah aku. Sibuk sangat dengan tugasan. Lagipun, ni pula semester akhir aku sebelum aku masuk main campus.”
“Eh! Ni dah semester akhir kau ke?”
“Insya-Allah kalau tak ada aral melintang. Kau pula bila?”
“Aku ada lagi setahun ni sebab yalah, Bahasa Arab aku mana exempted lagi. Aku tak boleh nak belajar subjek teras BAR selagi Bahasa Arab aku tak exempted. Mereputlah aku dua tahun kat CFS ni.”
Kedengaran Sufi Waazin ketawa di hujung talian apabila mendengar ayat terakhir kawannya itu. “Aduhai! Sabarlah ya Qist. Allah tahu sejauh mana kemampuan kau,” balasnya.
“Insya-Allah Sufi. Kau pun semoga dipermudahkan urusan untuk semester akhir ni,” ucap Qistur Ruwaidah.
“Abang Suhaib sihat ke?”
“Alhamdulillah. Sihat je. Bila-bila kau lapang, marilah datang rumah aku. Pintu rumah aku sentiasa terbuka untuk kau dan keluarga kau.”
“Insya-Allah. Kalau tak ada aral melintang, tamat je semester akhir ni nanti, kita jumpa ya kalau ada rezeki.”
“Insya-Allah.”
“Apa cerita kau dengan Bro Azim tu?”
“Azim? Mana ada apa-apa cerita. Kita orang ni bukannya kekasih pun. Lagipun, aku dah tak ada kelas dengan dia. Dia kan budak AED. Aku pula dah jadi budak BAR sekarang. Lagi susahlah aku nak jumpa dia.”
“Kau tak luahkan perasaan kau kat dia ke?”
“Entahlah. Aku pun tak tahulah aku patut atau tak luahkan perasaan aku kat dia. Dia tu ramai peminatlah kat AED. Aku rasa peluang aku tipis. Silap haribulan, dia dah ada kekasih pun. Eh! Kau ni sibuk je nak tahu pasal aku dengan Azim. Kau pula apa cerita? Tak jumpa sesiapa ke kat ENGINE tu?”
“Tak kuasalah aku! Kewangan sendiri pun masih belum ada lagi. Ada hati pula aku nak cari kekasih. Tolonglah Qist. Kita baru 19 tahun. Bergembira dulu. Apa kau ingat universiti ni tempat untuk mencari jodoh ke?”
“Alamak! Ustaz Sufi Waazin dah mulakan tazkirahnya. Okey okey. Maafkan saya, ustaz.”
“Banyaklah kau punya ustaz!”
Qistur Ruwaidah meledakkan tawanya di hujung talian. Kelihatan kedua-dua orang mahasiswa dan mahasiswi itu gembira dapat berhubung kembali.
Usai berhubung dengan Qistur Ruwaidah, Sufi Waazin tersenyum sendirian. Sifat sahabatnya itu tidak pernah berubah sejak mereka mula berkenalan sewaktu umur 13 tahun dahulu.
Matanya tertangkap kepada sesuatu di atas meja. Beberapa helai kertas kajang yang masih belum digunakan telah menarik perhatiannya untuk mencoret sesuatu kepada sahabatnya itu. Dia tahu Qistur Ruwaidah amat menyukai ucapan yang ditintakan melalui warkah.
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, tangannya mencapai sebatang pen, lalu ditulis sesuatu untuk sahabatnya itu.
ABDUL AZIM sedang menyiapkan projek replika modelnya sehingga membuatkan matanya berpinar-pinar kerana replika bangunan berkonsepkan rumah dua tingkat itu memerlukan ketelitian yang sangat tinggi dan rapi. Terutamanya, replika tingkap yang bersaiz mini itu membuatkan dia terasa pening untuk menyusun satu-persatu dengan cermat.
Cermin matanya ditanggalkan seketika. Dia bingkas menggelengkan kepalanya agar dia mampu fokus dengan apa yang sedang dia lakukan itu. Kemudian, dia menyarung kembali cermin matanya itu.
TING! Tiba-tiba telefon pintarnya berbunyi notifikasi dari whatsapp. Bermakna, ada seseorang telah menghantar mesej peribadi kepadanya.
Dia memberhentikan seketika aktiviti membina replika itu seraya mencapai telefon pintarnya itu.
Qist (320)
Secara tidak sedar, dia tersenyum melihat nama insan itu. Qistur Ruwaidah berhubung dengan dirinya tepat pada masanya. Dia membuka mesej mahasisiwi itu.
WhatsApp Qistur Ruwaidah:
Assalamualaikum Azim. Kau lapang tak sekarang? Aku ada barang nak beri kat kau.
“Dia nak beri apa pula kali ni? Qist, kau tak penat memberi ke?” soal Abdul Azim sendirian.
Dia membalas whatsapp mahasiswi itu.
WhatsApp Abdul Azim:
Waalaikummussalam Qist. Insya-Allah aku lapang je. Kau nak beri apa?
WhatsApp Qistur Ruwaidah:
Adalah. Nanti kau tahu. Kita jumpa sekarang boleh?
‘Kerja kau ni memang suka berahsia ke, Qist?’ soal hatinya sendirian.
WhatsApp Abdul Azim:
Okey boleh. Kita jumpa kat tempat biasa.
Si mahasiswa dan mahasiswi itu segera menuruni anak tangga kolej kediaman masing-masing dan bertemu di antara Mahallah Abu Bakar dan Mahallah Aisyah.
“Serentak pula kita sampai ya,” tegur Qistur Ruwaidah.
“Tulah. Lagipun, mahallah kita bersebelahan je,” balas Abdul Azim.
Tiba-tiba Qistur Ruwaidah menyerahkan sebuah beg kertas berwarna hitam kepada Abdul Azim. Kelihatan mahasiswa itu terpinga-pinga dibuatnya.
“Apa benda ni?” soal Abdul Azim.
“Hadiah daripada aku untuk kau sempena hari lahir kau yang dah lepas hari tu. Maaflah. Baru sekarang aku berkesempatan nak beri,” balas Qistur Ruwaidah.
“Susah-susah je kau ni. Apa-apa pun, terima kasih,” balas Abdul Azim seraya mengambil beg kertas itu. Dalam hatinya, entah mengapa dia merasakan bahawa pertemuan kali ini lebih tenang berbanding sewaktu Qistur Ruwaidah membantu dirinya dalam membelikan barang-barang projeknya dahulu.
“Sama-sama. Azim, ni kiranya semester akhir kaulah, kan?”
“Insya-Allah kalau tak ada apa-apa halangan. Kau pula bila?”
“Aku ada setahun lagi. Dua tahunlah aku kat CFS.”
“Semoga dipermudahkan segala urusan untuk kau. Dua tahun kat CFS IIUM ni bukanlah bermakna kau tak pandai tetapi Allah lebih tahu supaya kau lebih bersedia untuk subjek-subjek teras kat peringkat ijazah nanti.”
‘Eh! Kenapa pula aku beri nasihat macam tu kat Qist?’ bisik hati Abdul Azim.
Kelihatan Qistur Ruwaidah tersenyum mendengar nasihat Abdul Azim. Benar apa yang dikatakan oleh mahasiswa itu. Dia tidak sepatutnya merasa rendah diri apabila dia ditakdirkan untuk berada di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (CFS IIUM) selama dua tahun. Dia pasti akan menemui hikmahnya nanti.
“Terima kasih Azim. Insya-Allah aku okey je,” balas Qistur Ruwaidah.
“Sama-sama. Aku gerak dulu ya. Sekali lagi, terima kasih untuk hadiah ni,” ucap Abdul Azim seraya menunjukkan beg kertas tersebut.
Mereka berdua berpisah haluan untuk menuju ke kolej kediaman masing-masing semula.
Setibanya Abdul Azim di bilik, dia terus mengeluarkan hadiah itu dari beg kertas tersebut.
Sebuah bekas alat tulis berkain ‘felt’ rona merah yang tertera nama ‘A.Azim’ dan dihiasi dengan corak bola sepak di sebelahnya.
‘Qist… Kenapa kau bersusah payah untuk semua ni? Aku tak minta semua ni,’ bicara hatinya.
Ketika dia memegang bekas alat tulis itu, dia dapat merasakan terdapat sesuatu di dalamnya. Dia menarik zip bekas alat tulis itu untuk melihat isi dalamnya. Nampaknya Qistur Ruwaidah turut menyelitkan lipatan nota. Dia mengeluarkan nota itu dan mula membacanya.
Bismillah.
Buat Abdul Azim, Selamat Hari Lahir yang ke-19 walaupun hari lahir kau sudah berlalu beberapa minggu lepas. Semoga dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki. Semoga kau terus sukses dalam pengajian kau serta apa jua yang kau lakukan. Apa-apa pun, aku mengucapkan tahniah kepada kau siap-siap kerana ini merupakan semester akhir kau sebelum kau menuju ke alam ijazah.
Azim, harapnya kau suka akan hadiah ini dan maaflah kalau tidak seberapa. Aku kira itu merupakan pemberian terakhir aku kepada kau di CFS IIUM ini. Semoga hadiah itu bermanfaat untuk kau.
Terima kasih kerana kau sudi berkawan dengan aku dan hadir dalam kehidupan aku. Sejujurnya, aku sangat gembira dapat berkenalan dengan kau walaupun kita menjadi rakan sekelas selama satu semester sahaja.
Memandangkan semester akhir semakin menghampiri kita, aku mengucapkan selamat maju jaya dalam menghadapi peperiksaan semester akhir yang akan berlangsung lebih kurang tiga minggu sahaja lagi.
Abdul Azim bin Uthman, sekali lagi terima kasih untuk semuanya dan aku mendoakan agar segala urusan kau dipermudahkan oleh Allah. Semoga kita berjumpa lagi. Insya-Allah.
Yang benar,
Qistur Ruwaidah binti Isyraf Imrani
Usai membaca warkah itu, hati Abdul Azim berbicara. ‘Qistur Ruwaidah, aku tak tahu apa yang aku sedang lalui kini. Mengapakah hati kau begitu baik? Sedangkan aku melayan kau seperti acuh tidak acuh. Kau sudah banyak memberi sedangkan aku tidak pernah memberi apa-apa kepada kau. Qist, berbaloikah untuk kau menghabiskan wang demi aku? Tidakkah hati kau terasa sakit apabila kau melakukan semua ini? Tidakkah kau pernah rasa apa yang kau lakukan ini semuanya sia-sia? Benarkah kau begitu gembira dapat berkenalan dengan aku atau hanya sekadar kau mahu menyedapkan hati kau dengan mengungkapkan ayat sedemikian? Tidakkah kau mengetahui bahawa aku hanya mahu melihat dan menilai sejauh mana kau menyukai aku? Andainya kau tahu, kau akan sakit. Kau akan benci aku.’
Dia melipat kembali warkah itu dan memasukkan semula ke dalam bekas alat tulis itu. Sejujurnya, dirinya kebuntuan. Segala memori bersama mahasiswi itu ibarat susun suai gambar (jigsaw puzzle) yang memerlukan sebuah jawapan. Dia sendiri tidak mampu menjawab semua ini. Di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (CFS IIUM) inilah, benar-benar mencabar jiwanya tatkala dia menemui seorang mahasiswi yang menaruh perasaan terhadapnya di saat dia melanjutkan pengajiannya selama setahun sahaja.
Sama ada dari sisinya suka ataupun tidak dia terhadap mahasiswi itu, dia tidak tahu. Setiap kali dia bertemu dengan mahasiswi itu, dia tidak tahu apakah perasaan yang sedang bertandang dalam atmanya itu. Sukakah dia? Gembirakah dia? Pemalukah dia? Bencikah dia? Egokah dia?
‘Egoiskah aku ini, Azim?’ tanya hatinya.
Dia merenung bekas alat tulis itu bersama jiwa penuh kecelaruan.
SEMESTER tiga sesi 2013/2014 sudah tiba ke penghujungnya bagi seluruh mahasiswa dan mahasiswi Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (CFS IIUM). Ketika itu, Qistur Ruwaidah sedang menunggu abangnya yang sedang dalam perjalanan untuk mengambil dirinya.
Tiba-tiba dia teringat kepada Abdul Azim. Dia perlu mengucapkan sesuatu kepada jejaka itu sebagai tanda perpisahan mereka berdua di CFS IIUM. Selepas ini, Abdul Azim akan melanjutkan pengajian ijazahnya pada bulan September ini. Sementara itu, dirinya pula akan menghadapi tahun kedua semester satu di pusat asasi tersebut pada bulan Jun ini.
Lantas, jari-jemarinya ligat menari pada papan kekunci telefon pintarnya itu.
WhatsApp Qistur Ruwaidah:
Assalamualaikum Azim. Emm... Aku dah nak balik sekejap lagi. Just wanna say that... I’m sorry for everything, all the best kat main campus Gombak sana dan all the best jawab ICT.
Hantar.
Abdul Azim sedang mengulang kaji pelajaran untuk subjek ICT yang akan berlangsung pada keesokan harinya. Tiba-tiba dia menerima notifikasi daripada Qistur Ruwaidah. Lantas, dia membuka mesej perempuan itu.
Usai dia membaca mesej Qistur Ruwaidah itu, dia membalas mesej mahasiswi itu.
WhatsApp Abdul Azim:
Waalaikumussalam. Aku pun minta maaf kalau ada salah or anything yang buat kau terasa. Kau tak ada salah apa-apa pun. Kalau ada, aku dah maafkan. Syukran, pray for me. See you in Gombak. Selamat jalan untuk perjalanan balik dan untuk kau, semoga semakin maju dalam bidang penulisan. Good luck and all the best.
Kali ini, dia sudah menemui sebuah jawapan tentang perasaannya terhadap mahasiswi itu.
Perasaannya…
Kosong.
Qistur Ruwaidah hanyalah akan menjadi masa lalunya yang mewarnai kehidupannya di CFS IIUM ini. Kini, dia sudah menyedari dan mengakui akan kata-kata Muhammad Syarafuddin, iaitu:
“Amboi, Azim! Nampaknya Sis Qist tu macam minat kat kau je. Baru je second class ni.”
Manakala, Muhammad Amirul Azhar pula pernah mengatakan:
“Ia-ia je tu hadiah persahabatan. Entah-entah sebenarnya, dia nak beri kat kau je tetapi dia beri kat aku dan Sya juga supaya kita bertiga tak syak dia suka kat kau.”
Kata-kata Mohamad Salahuddin juga menguatkan lagi hujah tentang perasaan Qistur Ruwaidah terhadap dirinya, iaitu:
“Seriuslah Azim. Takkan aku nak bohong kau pula. Dia dah lama ada perasaan kat kau sejak semester lepas lagi.”
Akhirnya, dia mula mengakui akan kata-kata ketiga-tiga kawannya itu walaupun sebelum ini dia menafikan sekeras-kerasnya bahawa Qistur Ruwaidah mempunyai perasaan terhadapnya.
Walau bagaimanapun, dia tidak mahu memikirkan soal perasaan yang dirasakan remeh-temeh itu. Apatah lagi, perasaan Qistur Ruwaidah itu. Dia benar-benar tidak mahu menjebakkan dirinya berkenaan soal hati sehinggalah tiba waktu yang sesuai nanti.
Sama ada hatinya untuk Qistur Ruwaidah atau mungkin juga untuk perempuan lain, dia sendiri tidak mahu memikirkannya untuk tempoh ini.
Dia berharap agar mahasiswi itu akan melupai dirinya dan juga perasaan terhadapnya. Bagi dirinya kini, ingatannya hanya satu, iaitu dia mempunyai sebuah misi untuk meraih segulung ijazah dan kelak, dia membawa pulang kejayaannya itu kepada kedua-dua ibu bapanya.
Sila jenguk di IG tuan penulis, iaitu @bintuqist untuk melihat lukisan digital berbentuk 'comic strip' sebanyak tiga halaman, iaitu babak kegemaran tuan penulis, di mana sewaktu Qistur Ruwaidah membantu Abdul Azim untuk membelikan barang-barang untuk projeknya. Terima kasih ^_^
Share this novel