BAB 41

Drama Completed 13621

BAB 41
ISNIN, 4 FEBRUARI 2019

Bermulalah sesi pengajian bagi semester dua sesi 2018/2019 buat para mahasiswa dan mahasiswi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak. Apa yang telah terjadi untuk semester satu pada tahun lepas, yakni tahun 2018, sangat memberikan kesan buat Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin. Gelora emosi gembira, sedih, marah, kecewa serta emosi lain yang bertandang cukup bercampur baur. Namun, mereka tetap bersyukur dengan hadirnya Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil sebagai kelegaan emosi tatkala pasangan itu rebah.
Kini, Qistur Ruwaidah merupakan siswi tahun keempat semester dua dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan (Bahasa dan Kesusasteraan Arab) (Kepujian) manakala Mohamad Salahuddin pula merupakan siswa tahun kelima semester satu dalam Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Syariah) (Kepujian). Masing-masing berumur 24 tahun pada tahun ini.
Segala puji bagi Allah, Mohamad Salahuddin telah berjaya menyempurnakan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dengan cemerlang. Keputusan peperiksaan tersebut telah dihebahkan dalam beberapa hari sebelum bermulanya semester baharu. Dia menangis semahunya tatkala dia merupakan salah seorang mahasiswa yang tersenarai dalam senarai rektor atau rector’s list setelah dia melihat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) terakhir yang terpapar di i-Ma’luum, iaitu portal untuk mahasiswa UIAM melihat keputusan peperiksaan pada setiap semester.
Imbau kembali setelah keluarnya keputusan peperiksaan bagi semester satu sesi 2018/2019…
“Subhanallah! Alhamdulillah! Tahniah habibi! Sayang bangga dengan habibi! Dapat rector’s list untuk LLB! Bukan senang tu,” puji Qistur Ruwaidah setelah suaminya berkongsi keputusan tersebut. Dia sebagai isteri turut tumpang bangga dan gembira untuk suaminya.
“Terima kasih, sayang. Sayang tahu apa yang habibi lalui selama habibi belajar LLB, kan?” luah Mohamad Salahuddin.
“Sama-sama habibi. Mestilah! Disebabkan kesabaran dan ketabahan habibi, Allah kurniakan rector’s list untuk habibi. Allah tak tidur, habibi. Dia jadi saksi selama habibi cari ilmu untuk LLB dan cari nafkah untuk keluarga kita. Memang habibi layak dapat rector’s list.”
“Rector’s list takkan pernah bermakna untuk habibi kalau tak ada sayang, Qalyubi dan Qurtubi. Kau oranglah penguat habibi untuk habibi terus berjaya. Habibi nak buat yang terbaik untuk LLB_S pula. Satu lagi, habibi tak sabar nak berkonvokesyen dengan sayang dan anak-anak kita untuk LLB bulan November nanti.”
“Insya-Allah. Habibi boleh buat punya untuk LLB_S. Sayang percaya. Doa sayang mengiringi habibi.”
“Amin! Ha, sayang punya keputusan pula macam mana?”
“Sayang takutlah nak tengok. Habibi pun tahu, kan? Hmm… Habibi tolonglah tengokkan keputusan sayang. Susah betul sayang nak kena hadap drama tengok keputusan setiap semester tahu. Letihlah macam ni. Haih… Tak sabar nak habis belajar!”
Mohamad Salahuddin tertawa mendengar kata-kata Qistur Ruwaidah itu. Memang benar apa yang dikatakan oleh isterinya itu. Dialah menjadi tukang menyaksikan keputusan isterinya terlebih dahulu. “Okeylah, okeylah… Habibi tengokkan sekejap.”
Lalu, Mohamad Salahuddin memasukkan nombor matrik dan kata kunci isterinya ke portal i-Ma’luum. Dia terus ke bahagian keputusan peperiksaan portal tersebut. Kemudian, dia mengamati satu-persatu keputusan yang diperolehi oleh isterinya.
Qistur Ruwaidah pula menoleh ke tempat lain. Dia tidak mahu menyaksikan keputusan tersebut selagi suaminya tidak berkata apa-apa.
“Subhanallah! Sayang! Tahniah! Sayang lulus semua subjek dan masih kekal dapat dean’s list!” ucap Mohamad Salahuddin dengan penuh gembira.
Barulah Qistur Ruwaidah berani memandang skrin laptop suaminya itu. Dia mula mengamati satu-persatu keputusan yang diperolehinya. Lantas, dia mendakap suaminya bersama linangan air matanya. “Habibi! Sayang tak sangka sayang lulus semua subjek sebab sayang ingatkan subjek ‘Arud tu sayang akan repeat. Subjek tu susah sangat,” luah Qistur Ruwaidah.
“Sayang… Allah dah bantu kita. Kita berjaya pun sebab berkat kesabaran kita kahwin dan ada anak masa belajar ni. Doa daripada ayah, Keena dan Abang Suhaib juga. Qalyubi dan Qurtubi pun antara faktor kita boleh berjaya sebab dia orang ajar kita untuk sabar dengan kerenah dia orang dan kita kena bijak urus masa dengan baik sebagai ibu bapa dan pelajar universiti.”
Tiba-tiba Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil memanggil ibu bapa mereka untuk ajak bermain. “Ummi, abi…”
Serta-merta, Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin terus memberikan fokus kepada dua permata hati itu.
Itulah kenangan setelah keluarnya keputusan bagi semester satu sesi 2018/2019 buat Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin.
Kini, Qistur Ruwaidah perlu berjuang lagi enam subjek untuk semester dua ini sebelum dia akan melalui latihan praktikal pada semester tiga, iaitu semester pendek yang ditawarkan di UIAM. Akan tetapi, bukan semua subjek ditawarkan ketika semester pendek. Hanya subjek-subjek tertentu dan latihan praktikal. Berakhirnya latihan praktikal nanti, berakhirlah pengajian ijazah buat mahasiswi itu.
“Habibi, doakan sayang untuk semester ni,” ucap Qistur Ruwaidah tatkala dia bersalaman dengan suaminya.
“Insya-Allah sayang. Sayang boleh buat,” kata Mohamad Salahuddin dengan penuh yakin.
Kemudian, giliran Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil bersalaman dengan ibu tercinta. Mereka berdua telah memahami tanggungjawab yang perlu digalas oleh ibu bapa mereka. Si kembar itu seronok mengikuti ayah mereka ke kelas.
Setakat ini, Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin masih tidak menghantar anak-anak mereka ke mana-mana taska. Masih terlalu awal untuk si kembar itu pergi ke taska. Mereka mahu Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil membesar dengan baik di mata mereka. Selagi ibu bapa itu mampu, mereka akan mengusahakan dengan kudrat mereka sendiri bagi menjaga dan mendidik si kembar itu.
“Ummi pergi kelas dulu, Qalyubi, Qurtubi. Jangan nakal-nakal. Dengar cakap abi tahu,” pesan Qistur Ruwaidah kepada anak-anaknya. Kemudian, dia mengucup kedua-dua belah pipi dan dahi anak-anaknya itu.
Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil mengangguk faham. Begitulah pesanan yang disemat oleh Qistur Ruwaidah buat kedua-dua orang puteranya itu setiap kali sebelum dia menuju ke kelas.
“Qalyubi, Qurtubi… Buat macam ni kat ummi,” kata Mohamad Salahuddin seraya menunjukkan simbol kucupan layang kepada anak-anaknya.
Kelihatan Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil mengikut perlakuan ayah mereka itu. Qistur Ruwaidah tersenyum gembira. Ah, dia semakin bersemangat untuk ke kelas! Demi suami dan anak-anak tercinta, dia perlu menamatkan pengajian ijazah tanpa putus asa. Mereka bertigalah sumber kekuatan buat Qistur Ruwaidah binti Isyraf Imrani.

NYET… NYET… NYET… Kasut Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil berbunyi sepanjang perjalanan mereka berdua dan Mohamad Salahuddin dari Ahmad Ibrahim Kulliyyah of Laws (AIKOL) ke Masjid Sultan Haji Ahmad Shah (SHAS). Kelihatan pasangan kembar itu begitu gembira dan berjalan dengan laju.
“Qalyubi… Qurtubi… Jangan jalan laju sangat,” pesan Mohamad Salahuddin sambil menolak kereta sorong bayi yang tidak diduduki oleh anak-anaknya apabila usai sahaja kelas di AIKOL pada jam 12.50 tengah hari.
Tiba-tiba Aalqurtubi Shakil terjatuh di atas lantai. Dia mula menangis dengan sekuat hati. Mohamad Salahuddin menggelengkan kepalanya. Cepat-cepat dia menuju ke arah si kecil itu. Dia perlu bersabar dengan kerenah anak sulungnya itu.
“Aalqurtubi Shakil… Kan abi dah pesan. Jangan jalan laju-laju. Kan dah jatuh ni,” tegur Mohamad Salahuddin seraya memeriksa lutut Aalqurtubi Shakil. Mujur tiada luka. Memandangkan dia tidak mahu sebarang drama lagi, dia membaringkan Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil di dalam kereta sorong bayi. “Duduk dalam ni elok-elok. Abi nak bawa Qalyubi dan Qurtubi pergi masjid ni.”
Si kembar itu tidak merengek atau meragam tatkala mereka berdua mendengar perkataan masjid. Juga, mereka patuh nasihat daripada ayah tercinta.
Sudah beberapa bulan juga Mohamad Salahuddin melatih Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil pergi ke masjid, tidak kira di Masjid SHAS atau masjid berdekatan dengan rumah sejak si kembar itu sudah boleh berjalan. Walaupun si kembar itu baru sahaja berusia setahun lebih, dia mahu anak-anak lelakinya itu membiasakan diri dengan masjid agar anak-anaknya tidak kekok.
Peribahasa terkenal iaitu, “melentur buluh biarlah daripada rebungnya” sentiasa disematkan ke dalam diri Mohamad Salahuddin untuk anak-anaknya itu. Sebagai seorang ketua keluarga, dialah perlu menunjukkan contoh kepada anak-anaknya. Bukan seperti “ketam mengajar anaknya berjalan”.
Setelah semuanya berada dalam keadaan baik dan terkawal, Mohamad Salahuddin menolak semula kereta sorong bayi itu sehingga ke masjid.
Sementara menunggu azan zuhur, Mohamad Salahuddin membentangkan kain yang telah disediakan oleh Qistur Ruwaidah sebagai alas agar mudah untuk Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil makan jika ada makanan yang tertumpah. Kemudian, dia memakaikan bib kanak-kanak yang turut disediakan oleh isterinya agar si kembar tidak mengotorkan pakaian mereka. Biasalah, kanak-kanak pada usia sebegitu masih berterabur cara makannya. Akhir sekali, barulah dia menghidangkan makanan buat anak-anaknya itu.
Kelihatan si kembar itu cukup lapar tatkala mereka menikmati spageti carbonara yang disediakan oleh ibu tercinta. Mohamad Salahuddin membiarkan anak-anaknya makan terlebih dahulu. Dia tersenyum gembira dengan tumbesaran anak-anaknya itu. Maha Suci Allah… Bagaikan baru semalam dia menyambut si kembar dari rahim isterinya di hospital. Kini, anak-anaknya sudah boleh berjalan dan makan sendiri.
“Abi, kan,” kata Aalqurtubi Shakil yang bermaksud ‘makan’. Dia mahu menyuapi ayahnya itu.
Alangkah tersentuhnya hati Mohamad Salahuddin tatkala anaknya itu mahu menyuapi dirinya. Dia menyambut makanan yang disuapi oleh Aalqurtubi Shakil. “Sedapkan ummi masak?”
Si kembar ralit menikmati hidangan yang telah dimasak oleh Qistur Ruwaidah itu sebagai tanda betapa lazatnya makanan yang dimasak oleh ibu tercinta.
Mohamad Salahuddin tersenyum. Tiba-tiba dia menerima WhatsApp daripada isterinya.

WhatsApp Qistur Ruwaidah:
Assalamualaikum habibi. Kat mana tu? Habibi dah makan? Anak-anak kita dah makan? Kau orang okey ke? Sayang dah rindu kat kau orang.

Mohamad Salahuddin tersenyum menerima WhatsApp daripada Qistur Ruwaidah itu. Jari-jemarinya ligat membalas mesej isterinya itu.

WhatsApp Mohamad Salahuddin:
Waalaikummussalam sayang habibi. Kita orang okey je. Ada kat masjid ni. Anak-anak kita tengah makan. Habibi tengah tunggu anak-anak kita habis makan dulu. Kita orang pun rindu kat sayang.
Qistur Ruwaidah tersenyum dengan balasan WhatsApp daripada suaminya itu. Semakin hari, semakin dia mencintai suaminya sedalam hati. Apatah lagi, suaminya banyak beralah dan berkorban berkenaan urusan anak-anak dan membawa mereka ke kelas tanpa jemu kerana Mohamad Salahuddin mahu dirinya belajar dengan selesa tanpa gangguan anak-anak.

WhatsApp Qistur Ruwaidah:
Alhamdulillah. Lega sayang. Habibi makan tahu. Jangan tak makan. Kalau habibi sakit perut, sayang susah hati ni.

Mohamad Salahuddin turut tersenyum dengan balasan WhatsApp isterinya itu.

WhatsApp Mohamad Salahuddin:
Ya sayang habibi. Jangan risau. Habibi akan makan lepas anak-anak kita dah selesai makan. I love you.

Semakin berbungalah hati Qistur Ruwaidah tatkala dia menerima ucapan cinta daripada suaminya.

WhatsApp Qistur Ruwaidah:
I love you too and I miss you, habibi. Jumpa nanti dengan anak-anak kita sekali.

Kelihatan Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil sudah selesai menikmati makanan tengah hari. Mohamad Salahuddin menanggalkan bib tersebut dan membawa mereka ke sinki yang berdekatan untuk membasuh tangan.
Begitulah rutin Mohamad Salahuddin sebagai seorang suami, ayah dan siswa pada sebelah siang. Dia sanggup bersusah payah demi Qistur Ruwaidah kerana isterinya telah berkorban dengan mengambil cuti belajar dahulu. Sekarang, biarlah gilirannya pula bersusah payah dalam menjaga Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil dengan membawa si kembar ke kelas.
Memang ada cabaran dan kesusahan untuk situasi begini buat Mohamad Salahuddin dalam menguruskan Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil sendirian tanpa bantuan Qistur Ruwaidah tetapi dia mahu isterinya belajar dengan selesa. Berkali-kali dia mengingatkan dirinya bahawa isteri dan anak-anaknya merupakan pintu rezeki buat dirinya. Tanpa tiga orang cinta hatinya itu, Mohamad Salahuddin tahu bahawa dia tidak akan mampu sehingga ke tahap ini. Sejak dia mempunyai isteri dan anak-anak, rezekinya mencurah-curah dalam pelbagai aspek.
Setelah Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil berada dalam kekenyangan, giliran Mohamad Salahuddin pula menikmati air tangan isteri tercinta sementara si kembar bermain dengan alat permainan mereka.

MOHAMAD SALAHUDDIN sedang menunaikan solat zuhur dengan penuh khusyuk, sementara Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil pula duduk bersebelahan ayah tercinta. Seketika, si kembar itu mengikuti perlakuan si ayah. Kemudian, mereka bermain pula. Langsung mereka berdua tidak kenal erti penat.
Namun, Aalqalyubi Shafiy mula meninggalkan tempat solat lelaki dan dia mula mencari ibunya di sekitar tempat solat perempuan manakala Aalqurtubi Shakil pula tidak bergerak ke mana-mana kerana dia tidak berani untuk berjalan ke tempat lain tanpa ayah atau ibunya.
Usai sahaja Mohamad Salahuddin memberikan salam kedua, dia hanya nampak Aalqurtubi Shakil berada di sisi manakala Aalqalyubi Shafiy pula tiada. Ah, sudah! Dia mula gelabah! Cepat-cepat dia mula menggalas beg belajar dan mendukung Aalqurtubi Shakil. Lalu, dia mula mencari Aalqalyubi Shafiy di sekitar tempat solat lelaki itu. Sungguh, dia tidak mampu berfikir apa-apa akibat kecuaiannya.
“Ya Allah… Qalyubi… Mana anak abi ni?” luah Mohamad Salahuddin sambil mencari lagi Aalqalyubi Shafiy tanpa putus asa. Sungguh, dia ingin menangis. Betapa dia harap anaknya tidak keluar dari kawasan masjid.
Kebetulan Suhaibul Umar dan Afkar Irsyad baru sahaja tiba di Masjid SHAS untuk menunaikan solat zuhur kerana selepas itu, mereka berdua mahu menikmati makanan di mana-mana kafe yang terdapat di UIAM Gombak ini.
Alangkah terkejutnya Suhaibul Umar tatkala dia ternampak anak saudaranya, Aalqalyubi Shafiy sedang menjenguk di bahagian tempat solat perempuan. Cepat-cepat dia meluru ke arah anak saudaranya itu. “Eh, Qalyubi! Qalyubi buat apa kat sini? Mana abi Qalyubi?” soalnya kepada si kecil itu.
Aalqalyubi Shafiy tersenyum gembira tatkala dia terjumpa ayah saudaranya itu. Kanak-kanak itu masih tidak memahami bahawa ayahnya sedang keresahan mencari dirinya yang hilang.
“Ya Allah! Qalyubi! Kat sini rupanya dia,” panggil Mohamad Salahuddin dengan penuh kelegaan sambil dia masih setia mendukung Aalqurtubi Shakil. Lalu, dia mendakap erat Aalqalyubi Shafiy. Syukur anaknya tidak hilang.
“Ummi… Ummi…” panggil Aalqalyubi Shafiy. Dia sedang mencari ibunya.
“Din?” tegur Suhaibul Umar. Kelihatan Afkar Irsyad berada di sebelahnya.
“Eh, Abang Suhaib, Abang Afkar!” jawab Mohamad Salahuddin. Dia bersalaman dengan dua orang lelaki itu. “Maaf sangat. Tadi, Din tengah solat. Bila dah habis solat, tahu-tahu Qalyubi hilang. Tu yang abang nampak Din tak tentu arah ni. Syukur abang jumpa dia,” luahnya.
Suhaibul Umar tersenyum. Barulah dia mengerti bahawa adik iparnya sedang mencari anak saudaranya itu. “Oh, patutlah… Abang pun baru sampai je kat sini dengan Afkar. Kita orang nak singgah solat dulu sebelum nak makan kat mana-mana kafe. Tiba-tiba abang nampak Qalyubi tengah tengok-tengok kat tempat solat sisters.”
Mohamad Salahuddin mendukung Aalqalyubi Shafiy dengan menggunakan tangan kirinya. Meskipun dia sudah lenguh mendukung Aalqurtubi Shakil dengan menggunakan tangan kanannya, namun demi kasihnya sebagai seorang ayah, dia rela mendukung kedua-dua orang anaknya itu. Lagipun, perbuatannya itu sebagai pengikat kasih di antara ayah dan anak. “Haih… Aalqalyubi Shafiy… Aalqalyubi Shafiy… Dia cari ummi dialah tu. Abang pun tahu dia ni jenis tak takut orang. Asal dia nampak mana-mana sisters pakai tudung labuh, mesti dia ingat ummi dia. Laju je dia pergi kat orang tak kenal.”
Kemudian, Mohamad Salahuddin mengucup kedua-dua belah pipi kedua-dua orang anaknya itu dengan penuh kasih. Si kembar itulah sebagai lambang cintanya bersama Qistur Ruwaidah.
“Itulah… Din kena hati-hatilah lepas ni. Mungkin kena gilir-gilir dengan Qist,” pesan Suhaibul Umar.
Mohamad Salahuddin mengangguk hormat. “Itulah… Insya-Allah, Din akan lebih hati-hati. Terima kasih abang. Din minta izin dulu ya. Ada kelas pukul 2.00 pula lepas ni.”
“Okey Din. Sama-sama. Jumpa lagi bila-bila.”
Kemudian, Mohamad Salahuddin menuju ke arah suatu tempat di sekitar masjid itu untuk mengambil kereta sorong bayi yang telah disorokkan oleh dirinya. Dia menurunkan anak-anaknya terlebih dahulu. Setelah kereta sorong bayi itu dibuka lipatannya, dia mendudukkan anak-anaknya ke dalam kereta sorong tersebut.
Dia membicarakan sesuatu kepada anak-anaknya. “Qalyubi, lain kali jangan buat macam tu. Abi nak menangis bila tahu Qalyubi hilang tadi. Qurtubi pun kena tengokkan Abang Qalyubi lepas ni tahu,” ujarnya dengan lembut. Walhal, jantungnya hampir tercabut tadi! Kemudian, dia mendakap si kembar itu. Dia tahu… Meskipun anak-anaknya masih tidak memahami, dia hanya sekadar mahu meluahkan betapa resahnya dia di atas apa yang terjadi tadi.
“Balik nanti, kita makan sama-sama dengan ummi ya,” katanya.
Si kembar itu membalas pelukan si ayah. Sentuhan tangan kecil Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil benar-benar memberikan ketenangan kepada Mohamad Salahuddin. Dia benar-benar mengasihi anak-anaknya itu.

SUNGAI PUSU
Qistur Ruwaidah segera mendakap Aalqalyubi Shafiy setelah Mohamad Salahuddin menceritakan apa yang telah terjadi di Masjid SHAS tadi. Sungguh, dia juga resah seperti suaminya. Mujurlah anak sulung mereka tidak hilang dan dijumpai oleh Suhaibul Umar.
“Aalqalyubi Shafiy bin Mohamad Salahuddin… Kenapa buat abi risau tadi?” luah Qistur Ruwaidah. Wajahnya berubah sedikit garang terhadap anak sulungnya itu.
Aalqalyubi Shafiy mendiamkan diri. Dia tahu bahawa ibunya sedang berada dalam keadaan marah.
“Sayang… Jangan garang sangat dengan Qalyubi. Dia kecil lagi tu. Mana dia faham lagi apa yang dia buat tu salah. Sayang nak jadi ummi penyabar, kan?” nasihat Mohamad Salahuddin dengan penuh lemah lembut.
“Kalau Qalyubi betul-betul hilang tadi, macam mana? Sayang yang lahirkan dia orang, habibi! Habibi cuai! Tak reti jaga anak kita betul-betul! Nasib baik Abang Suhaib yang jumpa Qalyubi. Kalau orang lain? Silap haribulan, mungkin Qalyubi dah kena culik tahu! Dahlah. Lepas ni, biar sayang jelah yang jaga dia orang,” luah Qistur Ruwaidah dengan penuh geram.
Mohamad Salahuddin tersentak dengan kata-kata isterinya itu. Namun, dia hanya diam membisu. Jujur, kata-kata isterinya cukup menusuk kalbunya. Sudahlah dia penat dengan urusan belajar pada sebelah siang dan malam nanti, dia kena bekerja pula demi mencari sesuap rezeki buat keluarganya. Tiba-tiba, isterinya boleh berkata begitu pula. Bukan dia sengaja, namun dia sendiri tidak menyangka bahawa Aalqalyubi Shafiy boleh bertindak selincah itu. Tanpa membalas apa-apa kepada isterinya, dia terus mendukung si kembar dan meninggalkan isterinya bagi menguruskan anak-anaknya.
“Qalyubi… Qurtubi… Jom mandi,” kata Mohamad Salahuddin dengan penuh lemah lembut tanpa menoleh ke arah isterinya.
Qistur Ruwaidah mula tersedar bahawa kata-katanya itu telah menghiris hati suaminya. Dia segera beristighfar di dalam hati. Sepatutnya, dia tidak boleh berkata begitu kepada suaminya. Suaminya sudah banyak berkorban untuk dirinya. Bahkan, suaminya yang menjaga anak-anaknya dengan gigih membawa si kembar itu ke kelas, semata-mata suaminya mahu dia belajar dengan selesa.
“Ha… Habibi…” panggil Qistur Ruwaidah. Dia tahu bahawa dia sudah tersilap bicara.
“Sayang pergilah siapkan makan malam. Habibi nak mandikan anak-anak kita ni,” balas Mohamad Salahuddin tanpa menoleh sedikit pun ke arah isterinya. Suaranya juga berubah dingin.
Suasana mula menjadi tegang.

3.00 PAGI
“Assalamualaikum warahmatullah…” ucap Mohamad Salahuddin untuk salam kedua setelah dia menunaikan solat sunat taubat. Lalu, dia mula beristighfar dengan suara perlahan.
Astaghfirullah… Astaghfirullah… Astaghfirullah… Zikir itu meniti di bibirnya berkali-kali. Sungguh, dia berusaha untuk tidak berterusan rasa marah kepada Qistur Ruwaidah di atas ketelanjuran bicara isterinya yang terjadi pada hari semalam. Bisikan-bisikan jahat mula meracuni fikirannya agar dia terus berperasaan tidak reda kepada isterinya.
Astaghfirullah… Astaghfirullah… Astaghfirullah… Mohamad Salahuddin masih terus membasahkan lidahnya dengan memohon ampun kepada Ilahi. Dia tahu isterinya tidak sengaja berkata sedemikian.
Qistur Ruwaidah tersedar dari lena tatkala cahaya lampu malap menyinari kamar beradu itu. Anak matanya ternampak bahawa suaminya sedang duduk bersimpuh di atas sejadah. Sejujurnya, dia tidak dapat tidur dengan lena tatkala suaminya tidur membelakangi dirinya malam tadi.
Biasanya, Mohamad Salahuddin akan tidur sambil memeluk Qistur Ruwaidah dengan penuh cinta serta mengungkapkan rasa cinta dan selamat malam kepada isterinya. Namun, tidak untuk malam tadi. Dia terus merebahkan diri dengan membelakangi isterinya tanpa mahu mendengar apa-apa bicara daripada isterinya.
Qistur Ruwaidah mula membangunkan diri dan meninggalkan tempat beradu itu. Lalu, dia menuju ke arah suaminya dan melabuhkan punggung di belakang suaminya. “Habibi…” panggilnya.
Mohamad Salahuddin tersentak. Namun, dia tidak menoleh ke belakang. Dia cuba menenangkan dirinya dengan menggunakan teknik tarik dan hembus nafas agar mindanya dalam keadaan tenang dan tidak beremosi sebagai ketua keluarga.
Qistur Ruwaidah tahu bahawa suaminya masih bersikap dingin terhadap dirinya dan memarahi dirinya dalam diam. “Sayang minta maaf. Sayang tak patut cakap kat habibi macam tu depan anak-anak kita. Sayang silap. Sayang tahu habibi tak sengaja. Sayang tahu habibi dah buat yang terbaik. Habibi dah banyak berkorban untuk sayang bab jaga anak sepanjang kita belajar ni. Habibi nak sayang belajar dengan tenang tanpa gangguan daripada anak-anak kita.”
Mohamad Salahuddin masih tidak menoleh ke arah isterinya dan diam membisu. Hatinya masih beristighfar. Ucapan maaf daripada isterinya itu sedikit sebanyak mempengaruhi emosinya daripada marah kepada reda.
“Habibi… Sayang tahu habibi marahkan sayang. Sayang sedar… Apa yang sayang cakap tu terlalu keterlaluan. Sayang minta ampun, habibi! Sayang tahu habibi letih dan sayang cakap macam tu pula kat habibi. Memang habibi patut marah sayang dan hukum sayang dengan cara macam ni,” ucap Qistur Ruwaidah dengan nada serba salah. Dia masih berusaha untuk memohon maaf kepada suaminya.
Namun, Mohamad Salahuddin masih diam membisu. Dia sendiri masih mencari kekuatan untuk menatap wajah isterinya semula.
Qistur Ruwaidah menyambung bicaranya. “Sekali lagi, sayang minta ampun… Sayang minta maaf sebab tak jaga mulut. Tak reti cakap baik-baik dengan habibi semalam. Sayang tahu sayang ada banyak kelemahan. Masih berusaha nak jadi isteri dan ummi yang baik untuk habibi dan anak-anak kita. Cuma, sayang terlalu fikir dengan keadaan Qalyubi. Sayang takut kalau Qalyubi hilang dan kena culik. Sayang tahu habibi tak sengaja. Kalau habibi dah tenang nanti, kita bincang pasal jadual gilir-gilir jaga Qalyubi dan Qurtubi ya. Sekali lagi, sayang tahu habibi penat untuk anak-anak kita. Kita ambil pengajaran apa yang dah jadi semalam untuk kita lagi berhati-hati pada masa akan datang.”
Pada ketika itu, amarah Mohamad Salahuddin menjadi sedikit reda setelah mendengar setiap kata-kata isterinya itu. Meskipun amarahnya masih belum reda sepenuhnya, namun demi kesejahteraan hubungan mereka berdua sebagai suami isteri, dia mula merendahkan ego dan rasa marahnya terhadap Qistur Ruwaidah. Dia menyedari bahawa perkahwinan yang dibina ini pasti ada salah faham dan pasang surutnya. Apatah lagi, dia tidak mahu kehilangan Qistur Ruwaidah lagi seperti dahulu dan dia amat mencintai isterinya sedalam hati. “Sayang… Mari duduk sebelah habibi.”
Wajah keruh Qistur Ruwaidah mula bertukar ceria tatkala dia mendengar suara Mohamad Salahuddin dan suaminya meminta dirinya untuk berada di sisi lelaki itu. Cepat-cepat dia menuju ke arah suaminya. Tangan suaminya dikucup dengan penuh rasa insaf. Selepas ini, dia perlu lebih berhati-hati untuk berbicara dengan pasangannya. “Maafkan sayang, habibi. Sayang janji sayang takkan cakap macam tu lagi kat habibi,” ucapnya bersama linangan air mata.
Mohamad Salahuddin melepaskan tangan isterinya dengan perlahan-lahan. Lalu, dia mendakap Qistur Ruwaidah dan membelai kepala isterinya itu. “Habibi maafkan sayang. Habibi pun nak minta maaf sebab buat sayang macam ni dan habibi minta maaf atas kecuaian habibi tak jaga Qalyubi betul-betul semalam. Habibi tahu sayang pun tak sengaja dengan terlepas cakap macam tu. Kita sama-sama penat semalam.”
“Isk… Isk… Isk… Sayang rasa serba tak kena bila habibi marah sayang. Sayang minta maaf, habibi. Ampunkan sayang. Isk… Isk… Isk…”
“Shhh… Dah, dah… Jangan menangis. Habibi dah tak marahkan sayang. I love you so much, sayang. Habibi tak nak hilang sayang lagi.”
Qistur Ruwaidah mendakap suaminya dengan penuh erat. “Isk… Isk… Isk… I love you too… so much, habibi. Jangan tinggalkan sayang macam ni lagi. Sayang takut. Isk… Isk… Isk…”
Mohamad Salahuddin tersenyum di sebalik dakapan yang diberikan oleh dirinya buat isteri tercinta. Ajaibnya, amarah yang tersisa dalam dirinya tadi, terus hilang dalam sekelip mata. Sungguh, dia makin mencintai isterinya. “Tak, tak. Habibi janji habibi takkan buat macam ni lagi. Habibi pun minta maaf ya, sayang.”
“Habibi… Sayang masih rasa berdosa. Sayang sanggup berkorban untuk mengandung dan bersalin sekali lagi kalau habibi nak tambah anak. Asalkan habibi tak marahkan sayang lagi.”
“Sayang… Istighfar banyak-banyak. Sayang dah melalut sangat ni. Jangan sampai macam tu. Kita ni pun masih trauma dengan Qalyubi hilang. Takkan nak tambah anak pula? Dia orang pun masih dalam fasa aktif ni. Nanti, baru kita fikir nak bagi adik kat Qalyubi dan Qurtubi ya?”
Perlahan-lahan Qistur Ruwaidah meleraikan dakapan itu. Dia mahu bertentang mata dengan Mohamad Salahuddin. Kelihatan suaminya tersenyum ke arahnya sambil menyeka air matanya. Senyuman lelaki itu cukup dirindui oleh dirinya. Anak mata si suami kelihatan cukup redup dan tenang. “Emm… Betul juga cakap habibi. Sayang dah melalut sangat ni. Sayang minta maaf.”
Mohamad Salahuddin memegang tangan isterinya itu. “Tak ada apalah, sayang. Habibi faham. Sayang nak qiamullail dengan habibi sekali tak? Habibi nak kena ambil wuduk balik ni. Dah batal pula.”
“Sayang baru je tak boleh solat lepas isyak semalam. Tak dapat nak buat pahala sama-sama dengan habibi.”
“Boleh je. Walaupun sayang tak boleh solat, sayang masih boleh berdoa. Minta apa-apa je kat Allah. Luahkan kat Dia. Lepas tu, kita boleh zikir sama-sama lepas habibi dah habis qiamullail ni. Boleh tak sayang tunggu habibi?”
“Boleh. Kalau macam tu, habibi pergilah ambil wuduk balik. Sayang tunggu. Alang-alang tu, sayang ikut saranan habibi.”
“Okey. Kalau anak-anak kita tak bangun lagi, habibi ingat nak…” ujar Mohamad Salahuddin. Lalu, dia terdiam seketika.
“Habibi nak apa?” soal Qistur Ruwaidah.
“Menari dengan sayang. Habibi nak ingat balik semua kenangan hari pertama kita kahwin dulu.”
“Aww~ Boleh sangat. Sayang pun rindu. Sejak ada anak-anak ni, sayang rasa kita terlalu sibuk untuk dia orang sampai kita terlupa masa untuk bercinta.”
“Kan… Tapi, kalau dia orang terbangun, nampaknya kita kena curi masa waktu lain pula.”
Qistur Ruwaidah tersengih. “Itulah… Tak apalah. Sekarang pun, sayang rasa macam kita tengah bercinta balik. Kita tengah ada masa untuk kita berdua je tanpa gangguan anak-anak.”
Mohamad Salahuddin masih kekal tersenyum. “Ya, habibi pun rasa macam tu. Habibi pergi ambil wuduk dulu ya.”
“Okey habibi.”
Lalu, Mohamad Salahuddin menuju ke bilik air manakala Qistur Ruwaidah memandang suaminya bersama senyuman. Hatinya mengucap syukur kepada Ilahi di atas kelembutan hati yang membaluti jiwa suaminya semula.

APRIL 2019…
Mohamad Salahuddin melangkah masuk ke rumah bersama-sama Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil. Dia baru sahaja tiba ke rumah dari UIAM Gombak. Kepalanya sudah berserabut dengan pelbagai tugasan dan pembentangan. Apatah lagi, statusnya sebagai seorang siswa tahun kelima AIKOL di bawah cabang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Syariah) (Kepujian) semakin mencabar dirinya bagi memahami hukum-hukum Islam dan medium bahasa yang digunakan, iaitu bahasa Arab. Berbaki satu semester sahaja lagi untuk dirinya yang akan bermula pada bulan September nanti.
Pada bulan November pula, dia akan berkonvokesyen sebagai graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) manakala dia akan berkonvokesyen untuk Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Syariah) (Kepujian) pada bulan November 2020, yakni pada tahun hadapan. Bermakna, dia mempunyai dua ijazah.
Qistur Ruwaidah selaku siswi tahun keempat Ijazah Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Arab (Kepujian) juga sedang berjuang untuk semester dua ini bagi menamatkan keseluruhan subjek sebelum dia memulakan latihan praktikalnya pada semester tiga nanti, iaitu sekitar bulan Julai.
Kalau ikutkan tempoh pengajian ijazah Qistur Ruwaidah, dia hanya mengambil masa dalam tempoh tiga tahun setengah sahaja. Sepatutnya, dia boleh bergraduasi pada bulan Januari yang lalu. Akan tetapi, dia mengambil cuti belajar selama satu semester kerana dia bersalinkan Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil. Itulah pengorbanan yang telah dilakukan oleh dirinya demi suaminya yang mahukan zuriat sebagai pengikat kasih dan menjadi insan yang berguna kepada agama.
Dengan izin Ilahi kelak, Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin dapat menyambut majlis konvokesyen bersama dua orang putera mereka pada bulan November nanti.
Kelihatan Qistur Ruwaidah sedang tidur lena di atas sofa tanpa menyedari bahawa suami dan anak-anaknya sudah pulang. Dia pulang awal ke rumah sekitar jam 10.00 pagi tadi dengan mengambil Grab kerana dia tidak sihat sejak pagi tadi.
Sebelum Mohamad Salahuddin mahu memberikan perhatian kepada isteri tercinta, dia menguruskan si kembar terlebih dahulu dengan memandikan mereka berdua terlebih dahulu. “Qalyubi… Qurtubi… Jangan kacau ummi. Ummi tengah tidur tu. Ummi tak sihat. Jom, mandi dulu. Abi nak ambil baju dan tuala Qalyubi dan Qurtubi sekejap,” katanya kepada anak-anaknya yang mahu menuju ke arah ibu tercinta.
Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil menuruti kata-kata ayah mereka. Lalu, mereka berdua menunggu ayah mereka untuk mengambil pakaian dan tuala sebelum mereka menuju ke bilik air.

USAI Mohamad Salahuddin menguruskan si kembar dan membiarkan anak-anak bermain di bilik mereka, dia menuju ke arah Qistur Ruwaidah. Jiwanya terasa damai. Rasa penatnya terus hilang tatkala dia melihat isterinya itu. Bidadarinya kian hari kian cantik menerusi pandangan matanya.
‘Alhamdulillah… Ya Allah, terima kasih kerana Kau kurniakan Qistur Ruwaidah binti Isyraf Imrani sebagai penyejuk mataku,’ bisik hati sang suami itu. Betapa dia amat bersyukur kerana dia memiliki seorang isteri yang memahami tugasnya sebagai seorang suami, siswa serta guru tuisyen dan guru mengaji. Isterinya itu jugalah setia menemani dirinya untuk menyiapkan tugasan bersama-sama tanpa jemu. Bahkan, isterinya juga tidak pernah lupa menyediakan kudapan untuk mereka berdua. Adakalanya, isterinya turut membantu dirinya dalam menterjemahkan perkataan Arab yang tidak difahami oleh dirinya.
Sungguh, Mohamad Salahuddin amat bersyukur kerana adanya isteri yang sanggup bersusah payah untuk dirinya.
Perlahan-lahan, dia menggoncangkan tubuh isterinya agar isterinya menyambung lena di kamar tidur mereka pula. Dia tahu bahawa isterinya sedang menunggu dia dan anak-anak mereka dari UIA Gombak. Namun, dia tidak kisah jika isterinya tidak menyambut dia dan si kembar. Apatah lagi, isterinya sedang tidak sihat pula pada hari ini. Dia menghargai segala usaha isterinya yang telah memperjuangkan rumah tangga ini sebagai sebuah rumah tangga yang diredai oleh Allah. “Sayang…” kejutnya.
Mata Qistur Ruwaidah terbuka perlahan-lahan tatkala dia terasa tubuhnya digoncang lembut oleh suaminya. “Oh, habibi dah balik rupanya. Maaflah, sayang tak masak lagi. Sayang rasa tak sihat lagi ni. Anak-anak kita mana?”
“Tak apa. Bab masak tu, sayang jangan risau. Sekejap lagi, habibi beli jelah. Anak-anak kita ada kat bilik dia orang. Tengah main. Sayang dah makan ubat?”
“Emm… Dah. Sayang tak berapa larat nak jalan ni. Pening sayang ni lain macam. Sayang tak pernah pening teruk macam ni.”
Tiba-tiba tekak Qistur Ruwaidah berasa amat loya dan seperti ingin memuntahkan isi. “Sayang rasa nak…” Belum sempat Qistur Ruwaidah mahu menghabiskan kata-katanya, cepat-cepat dia bangkit dari sofa dan menuju ke bilik air.
Tindakan Qistur Ruwaidah itu membuatkan Mohamad Salahuddin juga cepat-cepat menemani isterinya ke bilik kerana dia takut kalau apa-apa terjadi kepada insan yang dicintainya. Pada ketika itu, sang suami mula menjadi risau dengan keadaan isteri tersayang.
“Uweeekkk!” Qistur Ruwaidah memuntahkan segala isi nasi dan sup ayam yang dijamah dalam dua jam lepas di dalam mangkuk jamban.
Mohamad Salahuddin menggosok belakang isterinya. Sungguh dia berasa amat kasihan buat isterinya itu. “Sayang dah okey sikit?”
Qistur Ruwaidah menggelengkan kepalanya. Tiba-tiba dia muntah lagi sehingga tubuhnya menjadi terlalu lemah. Dia tidak mampu berfikir apa-apa buat masa sekarang. Apa yang dia fikir sekarang, dia hanya mahu merebahkan diri.
Betapa Mohamad Salahuddin semakin risau dengan keadaan isterinya itu. Demi Allah, dia tidak kuat menyaksikan isterinya sedang sakit dan lemah longlai sebegitu. “Sayang… Jom kita pergi klinik ya. Habibi risau. Sayang nampak teruk sangat ni.”
“Emm… Anak-anak kita, habibi…”
Barulah Mohamad Salahuddin teringat akan anak-anak mereka berdua. Nampaknya, dia perlu meminta bantuan Suhaibul Umar untuk memantau si kembar itu. Mujurlah rumah abang iparnya itu tidak jauh dari Sungai Pusu. Dia segera menghubungi lelaki itu.
“Ya Allah… Qist tak sihat? Ha, Din tunggu sekejap. Abang gerak sekarang. Assalamualaikum,” balas Suhaibul Umar di talian.
“Waalaikummussalam,” balas Mohamad Salahuddin. Kemudian, dia meletakkan telefon pintarnya di atas meja. “Abang Suhaib dalam perjalanan. Habibi pergi ambil pakaian sayang sekejap,” maklumnya.
Qistur Ruwaidah hanya memandang suaminya yang sedang mencapai jubah, anak tudung, tudung bulat dan stoking kakinya.
“Nah. Hari ni habibi bagi kelonggaran sayang tak pakai stoking lengan,” kata Mohamad Salahuddin seraya menyerahkan pakaian tersebut kepada isterinya. Kelihatan mata isterinya sangat kuyu dan tidak bermaya.
“Emm… Terima kasih habibi,” ucap Qistur Ruwaidah seraya menyarung jubahnya terlebih dahulu.
“Sama-sama sayang. Habibi pakaikan stoking untuk sayang,” balas Mohamad Salahuddin. Dia menyarung stoking ke kaki isterinya. “Sayang baringlah dulu sementara tunggu Abang Suhaib sampai. Habibi nak tengok anak-anak kita.”
Qistur Ruwaidah mengangguk perlahan. Lalu, dia membaringkan dirinya.

SETELAH Suhaibul Umar tiba di rumah pasangan tersebut bagi memantau si kembar, Mohamad Salahuddin terus mendukung isterinya untuk dibaringkan di dalam kereta. Anak mata Qistur Ruwaidah memandang suaminya dari sisi tepi. Betapa suaminya amat menyayangi dirinya tanpa jemu.
“Hati-hati. Apa-apa, beritahu abang. Jangan risau pasal Qalyubi dan Qurtubi. Abang ada je ni,” pesan Suhaibul Umar kepada adik iparnya.
“Insya-Allah. Din pergi dulu,” ujar Mohamad Salahuddin. Kemudian, dia menyalam tangan abang iparnya itu.
Berlalulah Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah ke klinik yang berdekatan dengan rumah.

KLINIK AL-KAYSAH
“Tahniah puan, encik. Puan Qistur Ruwaidah disahkan mengandung,” ucap Dr. Muzainah bersama senyuman sambil menunjukkan keputusan ujian kehamilan tersebut kepada pasangan suami isteri itu.
Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin terkedu seketika. Sepantas ini? Anak kembar sulung mereka pun masih belum genap dua tahun. Sungguh, mereka tidak menyangka dengan rezeki yang tidak disangka-sangka ini! Sepatutnya, perancangan mereka untuk memberikan adik kepada Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil selepas Qistur Ruwaidah menyempurnakan latihan praktikal. Namun, nampak gayanya…
Pasangan itu menerima dengan hati terbuka. Lagipun, memang impian suami isteri itu untuk menambah ahli keluarga lagi. Cuma, mereka tidak menyangka bahawa perancangan Allah jauh lebih hebat untuk mereka berdua.
Sebelumnya, Qistur Ruwaidah telah berjumpa dengan doktor dan menceritakan tentang keadaannya serta dia juga telah memaklumkan bahawa dia telah memiliki sepasang anak kembar. Dia juga telah diberikan bekas untuk mengisi air kencingnya sebagai ujian bagi mengenal pasti sakit yang sedang dialami oleh dirinya. Rupa-rupanya, dia tidak sihat disebabkan oleh pembawakan janin yang sedang menghuni dalam rahimnya buat kali kedua. Dia mengucap syukur.
Mohamad Salahuddin memegang tangan isterinya. Sungguh, dia gembira untuk menjadi seorang ayah lagi. Tambahan pula, berita kehamilan isterinya untuk kali ini lebih bermakna buat dirinya kerana sebelum ini, dia merupakan insan yang terlambat tahu berkenaan kandungan pertama isterinya gara-gara sihir ibu tirinya.
Seperti biasa, doktor bertanyakan tarikh Qistur Ruwaidah datang bulan untuk mengetahui tarikh jangkaan kelahiran wanita itu. Dia dijangka akan bersalin pada akhir bulan Disember 2019 atau mungkin lebih awal. Kemudian, dia diminta untuk berbaring di atas katil untuk mengesan kedudukan janin dengan menggunakan mesin ultrabunyi.
Kali ini, pemeriksaan kehamilan yang dirasai oleh Qistur Ruwaidah lebih bermakna kerana suaminya berada di sisinya sekali. Ketika dia mengandungkan Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil pada tahun 2017 dulu, dia melalui pemeriksaan ini seorang diri dan abangnya menunggu di luar kerana faktor aurat. Sungguh, momen itu amat memedihkan hatinya.
Mohamad Salahuddin setia memegang tangan isterinya. Adakalanya dia mengucup tangan isterinya. Sungguh, dia tidak sabar untuk melihat janin yang sedang menghuni dalam rahim isterinya melalui skrin ultrabunyi itu.
Dr. Muzainah mula memeriksa kandungan bakal ibu itu bagi mengesan kehadiran janin. Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin saling berpandangan seketika bersama senyuman.
“Ha, Puan Qist, encik… Ni janinnya. Kalau ikut tarikh period yang Puan Qist beritahu tadi, janin ni baru enam minggu usianya,” kata Dr. Muzainah sambil menunjukkan kedudukan janin tersebut.
“Subhanallah!” ucap pasangan itu dengan penuh gembira dan rasa syukur yang begitu mendalam dalam kalbu.
Pada kali ini, memang Qistur Ruwaidah terperasan bahawa haidnya datang lewat daripada kebiasaan. Cuma, dia tidak terfikir bahawa dia sedang hamil berikutan dia mengenangkan bahawa usia si kembar pun masih belum genap dua tahun. Nampak gayanya, seandainya dia ditakdirkan mengandung lagi nanti, dia perlu lebih peka berkenaan haidnya.
Seketika, Dr. Muzainah terdiam seketika sambil memeriksa semula kandungan Qistur Ruwaidah. “Puan… Puan cakap tadi, puan dan suami ada anak kembar, kan?” ujar beliau.
“Ya Dr.. Anak kembar kami ada kat rumah sekarang. Abang saya tengah tengok-tengokkan dia orang. Kenapa Dr.?” balas Qistur Ruwaidah.
“Memang Allah nak bagi rezeki sungguh kat puan dan encik ni,” kata Dr. Muzainah seraya menunjukkan sesuatu ke arah skrin ultrabunyi. “Sekali lagi, tahniah puan, encik. Puan mengandung anak kembar lagi. Ada dua kantung ni,” katanya dengan menunjukkan dua kantung yang terpapar di skrin tersebut.
Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin saling berpandangan seketika. Terkejut dengan pengumuman doktor tersebut! Mereka berdua bakal memiliki anak kembar lagi? Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil bakal menjadi abang kepada dua orang adik pula? Subhanallah! Betapa hebatnya kuasa Ilahi. Kemudian, air mata mereka berdua mengalir seketika.
Setelah semuanya selesai, Qistur Ruwaidah membangunkan dirinya. Lalu, dia mendakap suaminya. “Allah dengar doa kita lagi, habibi tapi sayang tak tahu nak cakap macam mana. Sayang masih terkejut ni,” ujarnya ke telinga suaminya.
“Habibi pun masih terkejut tapi habibi bersyukur. Tak sangka kita akan berenam pula akhir tahun ni.”
Dr. Muzainah tersenyum menyaksikan situasi pasangan suami isteri itu. “Saya tunggu kat meja,” katanya. Dia tidak mahu mengganggu pasangan itu buat seketika.

“AGAK-AGAK sayang sempat tak nak berkonvokesyen dengan habibi? Takut sayang terberanak awal pula tapi apa yang pasti, sayang dah sarat masa tu. Tarikh konvokesyen pun tak keluar lagi,” ujar Qistur Ruwaidah di dalam kereta.
Mohamad Salahuddin mengucup tangan kanan isterinya seketika. “Insya-Allah. Sempat je. Apa-apa pun, sayang buat yang terbaik untuk semester ni dan latihan praktikal nanti. Habibi tahu agak mencabar untuk sayang, dengan sayang tengah mabuk hamilnya tapi habibi percaya sayang boleh buat. Pasal anak-anak kita, jangan risaulah. Itu boleh ditanggung beres.”
“Emm… Sayang tak sangka sayang mengandung secepat ni. Bukan sayang tak gembira. Cuma, sayang rasa sayang masih tak bersedia. Sayang takut sayang tak boleh fokus sangat. Sayang rasa semester ni sangat mencabar. Nak latihan praktikal lagi masa semester tiga nanti. Sayang tak tahu kalau ada syarikat yang nak terima ibu mengandung atau tak.”
“Sebenarnya, habibi pun rasa tak bersedia tapi nak buat macam mana… Allah nak bagi awal daripada apa yang kita rancang. Kita cuba terima ya. Sayang jangan rasa janin-janin tu sebagai bebanan. Sayang pun tahu, janin-janin tu boleh rasa apa yang sayang rasa. Kalau sayang rasa macam tu, istighfar banyak-banyak. Habibi pun akan bantu sayang cari tempat praktikal yang sesuai dengan keadaan sayang sekarang. Okey?”
Qistur Ruwaidah mengangguk. Kemudian, dia mengelus kandungannya yang masih belum kelihatan itu. “Sayang-sayang ummi abi… Buat apa tu?” bicara dengan penuh ceria kepada kandungannya itu.
Mohamad Salahuddin tersenyum mendengar isterinya sedang berbual dengan janin-janin tersebut. “Sayang, kita ada kuota anak lagi tiga tapi habibi rasa, lepas sayang bersalin kembar ni, kita jumpa doktor untuk bincang pasal kaedah perancang anak. Habibi dah risau kalau sayang mengandung kembar lagi. Eloklah kita jarakkan dan fokus kat empat orang ni dulu.”
“Itulah… Memang sayang dah fikir nak merancang lepas bersalinkan budak-budak ni. Sayang pun dah risau. Doktor dah cakap tadi, kebarangkalian sayang mengandung kembar lagi lepas yang ni, sangat tinggi sebab ni dah kali kedua sayang mengandung kembar. Genetik kembar sebelah mama pun kuat juga. Pak Lang Haiman ada dua pasang anak kembar dua. Mak Su Anisah pun ada tiga pasang anak kembar dua. Sepupu sayang belah mama pun ada yang dapat anak kembar.”
“Aduh… Betul juga. Tak apa, tak apa. Kita cuba buat yang terbaik untuk Qalyubi, Qurtubi dan bakal adik-adik dia orang. Apa yang penting sekarang, kita kena positif.”
“Insya-Allah habibi.”

“SERIUSLAH adik tengah mengandung sekarang! Kau orang nak dapat anak kembar lagi?” soal Suhaibul Umar dengan nada tidak percaya. Wajahnya turut terkejut setelah adiknya mengumumkan bahawa dia sedang hamil anak kembar dua lagi.
Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin tersengih. Ya, mereka juga tidak menyangka dengan kurniaan Maha Agung ini.
“Itulah… Adik dan Din pun masih terkejut juga ni,” balas Qistur Ruwaidah.
Kelihatan Aalqurtubi Shakil datang untuk mendapatkan ibunya. Dia mahu ibunya mendukung dirinya. “Ummi…” Anak kecil itu memang rapat dengan Qistur Ruwaidah.
Qistur Ruwaidah tersenyum. Lalu, dia meriba anak keduanya itu. “Ya sayang… Nak ummi dukung ya? Ummi minta maaf sebab ummi dah tak dapat dukung Qurtubi. Qurtubi dah nak dapat adik ni. Qurtubi duduk atas riba ummi je ya.”
Kelihatan Aalqurtubi Shakil mendakap ibunya dengan manja. Qistur Ruwaidah membalas pelukan anak keduanya itu. “Ummi sayang Aalqurtubi Shakil,” ucap si ibu itu.
Mohamad Salahuddin dan Suhaibul Umar tersenyum menyaksikan momen ibu dan anak itu. Alangkah beruntungnya si kecil itu kerana memiliki seorang ibu yang cukup penyayang.
“Abi…” panggil Aalqalyubi Shafiy sambil menuju ke arah ayahnya.
“Ya Aalqalyubi Shafiy,” kata Mohamad Salahuddin. Lalu, dia mendukung putera sulungnya itu. Berkali-kali dia mengucup pipi si sulung itu. “Qalyubi… Qalyubi dan Qurtubi dah nak jadi abang tahu.”
“Ba?” tanya Aalqalyubi Shafiy dengan bicaranya yang masih pelat.
Masing-masing tertawa dengan bahasa pelat si kecil itu. Semestinya si kembar itu masih tidak memahami bahawa mereka berdua bakal menjadi abang.
Suhaibul Umar tumpang bahagia untuk keluarga adiknya itu. Jujur, timbul keinginannya untuk berumah tangga serta dia mahu mengikut sunah Rasulullah seperti adiknya dan Mohamad Salahuddin. Cuma, dia tiada sesiapa dan dia sendiri tidak yakin bahawa ada perempuan yang sudi menerima kekurangan dirinya sebagai orang kurang upaya.
Ah, biarlah… Apabila masanya sudah tiba, dia juga akan berpeluang untuk berumah tangga dengan izin Ilahi. Cuma, dia perlu mempersiapkan diri untuk menjadi ketua keluarga dan berdoa agar hadirnya jodoh sepersis adiknya.

ANAK MATA Mohamad Salahuddin sedang memerhatikan isterinya yang sedang lena dari kejauhan. Terselit perasaan sayu dan kasihan dalam diri si suami itu buat cinta hatinya. Mana tidaknya… Wajah Qistur Ruwaidah kelihatan sangat letih sejak dia disahkan berbadan dua lagi, ditambah pula dengan kerenah Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil yang tiba-tiba mahukan ibu mereka sahaja. Namun, dia amat mengagumi kesabaran isterinya dalam melayan kerenah anak-anak jika si kembar itu meragam.
Mohamad Salahuddin melabuhkan punggungnya perlahan-lahan di atas katil agar isterinya tidak terasa dengan pergerakan tilam yang boleh membuatkan isterinya terjaga dari lena. Dia menatap wajah isterinya itu sedalam-dalamnya.
Setiap kali dia menatap wajah isterinya ketika isterinya sedang tidur, pastinya timbul rasa penyesalan yang cukup mendalam dalam dirinya sehingga kini, iaitu dia telah mencederakan isterinya serta Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil yang sedang berada dalam kandungan isterinya pada ketika itu. Itulah kesilapan terbesar yang pernah dilakukan oleh dirinya terhadap isteri dan anak-anak sehingga jiwanya pernah merana.
Namun, syukurlah kandungan Qistur Ruwaidah tidak gugur pada ketika itu serta si kembar juga telah selamat dilahirkan dan bakal menjadi abang pula pada bulan Disember nanti.
Mohamad Salahuddin membelai rambut isterinya dengan lemah lembut seraya hatinya berbisik sesuatu. ‘Ya Allah… Terima kasih untuk kurniaan-Mu yang sungguh agung ini. Aku mohon kepada-Mu agar Kau sentiasa suburkan sifat sayang dan cintaku terhadap isteriku yang telah melahirkan amanah-Mu. Kini, Kau hadiahkan dua zuriat lagi yang tidak disangka-sangka oleh kami…’
‘Ya Rahman… Kau yang mengurniakan perasaan cinta ini dan Kau jugalah yang mampu mencabut perasaan cintaku ini jika aku diuji dengan kehadiran orang lain. Aku mohon kepada-Mu agar aku dijauhkan dari ujian sedemikian. Kau linduingilah Qistur Ruwaidah, Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil walau di mana sahaja mereka berada. Kau lindungilah juga kandungan isteriku. Semoga kehadiran ‘amanah’ yang sedang menghuni dalam rahim isteriku buat kali kedua ini, akan mengukuhkan lagi cinta dan kasih sayang yang terbina untuk kami. Amin ya Rab…’
Kemudian, Mohamad Salahuddin menyentuh kandungan isterinya yang masih tidak kelihatan itu buat seketika.
Tiba-tiba Qistur Ruwaidah terbangun. “Habibi…”
“Eh, sayang!” kata Mohamad Salahuddin dalam nada terkejut seraya dia menarik tangannya itu.
“Sentuh kandungan sayang ya?” Duga Qistur Ruwaidah bersama senyuman lemah.
Mohamad Salahuddin tersenyum. Lalu, dia mengangguk. “Habibi minta maaf. Habibi teruja sangat. Tak sabar nak tengok kandungan sayang makin besar macam dulu.”
“Sayang pun teruja juga ni. Tak sabar nak rasa dia orang bergerak. Alahai… Rindu pula. Nanti, kita ‘babymoon’ dan buat ‘maternity photo shoot’ lagi ya, habibi.”
“Boleh sayang. Sayang pun tahu habibi layan sayang macam permaisuri bila sayang mengandungkan Qalyubi dan Qurtubi dulu.”
“Ya, sayang ingat tapi kehamilan kali ni, sayang tak mengidam apa-apa. Cuma, sayang letih dan mabuk hamil tapi sebenarnya, lagi seksa sebab melibatkan tenaga, fizikal dan mental sayang.”
“Sayang banyakkan bersabar ya. Sayang dapat banyak pahala tahu sebab sayang berjihad cari ilmu, mengandung kembar lagi, jaga habibi, Qalyubi dan Qurtubi pula… Betapa Allah sayangkan sayang tahu. Habibi pun cemburu.”
Kata-kata Mohamad Salahuddin itu ternyata menggembirakan emosi ibu mengandung itu. Tiba-tiba sang suami itu menerima kucupan daripada Qistur Ruwaidah. Mohamad Salahuddin terkesima seketika. Kemudian, dia tersenyum. Mana mungkin dia tidak terkesan dengan tindakan isterinya itu.
“Terima kasih habibi. Sayang rasa gembira bila habibi cakap macam tu,” ucap Qistur Ruwaidah bersama senyuman. Memang dia sengaja bertindak sedemikian buat suami tercintanya agar suaminya itu terus kekal mencintai dirinya sampai bila-bila.
Mohamad Salahuddin menyentuh pipi isterinya. “Sama-sama sayang. Sayang tidur balik ya. Habibi baru teringat sesuatu. Habibi nak kena siapkan tugasan. Lagi tiga hari nak hantar.”
“Okey habibi tapi jangan lama sangat. Nanti sayang rindu.”
“Okey, okey… Habibi cuba siapkan secepat yang boleh tapi kalau habibi terlambat, habibi minta maaf awal-awal ya. Sebelum habibi nak buat tugasan, habibi nak sentuh kandungan sayang sekali lagi.”
“Ha, sentuhlah.”
Mohamad Salahuddin mengelus kandungan isterinya. Kemudian, dia mengucup pula kandungan isterinya itu. Akhir sekali, dia menghadiahkan kucupan buat isteri tercinta sebagai tanda balas. Kelihatan isterinya tersenyum penuh gembira. “Habibi pergi buat tugasan dulu. Rehat ya.”
Qistur Ruwaidah mengangguk. Kemudian, dia membaringkan diri sambil dibantu oleh suaminya.
“Good night, sayang. I love you,” ucap Mohamad Salahuddin. Kemudian, dia mengucup dahi isterinya.
“Good night, habibi. I love you too,” balas Qistur Ruwaidah.

AHMAD IBRAHIM KULLIYYAH OF LAWS (AIKOL)
Mohamad Salahuddin menyimpan nota-nota dan buku-buku subjek “Islamic Law of Evidence and Procedure I (Arabic)” di dalam beg galasnya. Hatinya mengucap syukur kerana berakhirnya semester ini selama 14 minggu sebelum bermulanya peperiksaan akhir semester dalam dua minggu lagi. Alangkah hatinya tidak sabar untuk bertemu dengan Qistur Ruwaidah dan anak-anak yang sedang dijaga oleh isterinya itu.
Seketika, mata Mohamad Salahuddin tertangkap kepada Alia Najiha, rakan sekelasnya itu. Kelihatan Alia Najiha cepat-cepat mengalihkan pandangannya ke arah lain dan siswi itu mahu melarikan diri daripada siswa tersebut.
“Din, aku rasa kau kena kejarlah si Alia tu. Dia dah cari pasal dengan kau sampai rumah tangga kau dan Qist jadi masalah. Kali ni, dia tak boleh terlepas,” kata Wan Abdullah yang turut mengetahui kisah diari yang telah diberikan oleh siswi itu kepada Mohamad Salahuddin.
“Jom teman aku. Memang aku nak jumpa dia tapi asyik-asyik terlepas. Geram betul aku. Dah tahu salah, tahu pula nak lari. Tak guna betul,” kata Mohamad Salahuddin seraya menggalas beg belajarnya itu. Langkahnya laju hendak mendapatkan rakan sekelasnya itu.
Wan Abdullah juga turut mengikuti langkah sahabat baiknya itu.
“Alia!” panggil Mohamad Salahuddin.
Alia Najiha menoleh ke arah belakang. Alangkah terkejutnya dia tatkala Mohamad Salahuddin sedang menuju ke arahnya. Dia mempercepat langkah. ‘Tak guna! Jantan tu masih tak putus asa rupanya!’ bisik hati siswi itu. Sungguh, dia masih geram kerana rumah tangga lelaki itu bersama Qistur Ruwaidah masih kekal utuh sehingga ke hari ini.
“Alia! Tunggu! Aku nak cakap dengan kau!” kata Mohamad Salahuddin.
“Aku cuba sekat dia,” kata Wan Abdullah seraya mempercepat langkah untuk menyekat Alia Najiha.
Belum sempat Alia Najiha mahu menuju ke arah pintu tangga, kelihatan Wan Abdullah lebih pantas pergerakannya dengan menyekat tubuhnya ke arah pintu tersebut.
“Tepilah, Wan! Aku nak turun!” bentak Alia Najiha.
Kelihatan Mohamad Salahuddin di belakang siswi itu. “Alia Najiha…” panggilnya. Kali ini, suaranya kedengaran neutral.
Alia Najiha menoleh ke belakang. Sekarang, dia telah disekat oleh dua orang siswa itu. Dia menyumpah dalam hati.
“Kita kena bincang,” kata Mohamad Salahuddin dengan tenang. Lalu, dia mengeluarkan sesuatu dari beg belajarnya itu. Sebuah diari dikeluarkan dari beg tersebut. “Apa motif kau bersungguh sangat nak bagi diari Qist ni kat aku dulu?”
Alia Najiha mendiamkan diri. Anak matanya menggambarkan kemarahan yang meluap-luap.
“Alia! Aku cakap dengan kau ni! Aku pun tak ingin nak jumpa kau. Buang masa aku je. Lagi bagus aku jumpa keluarga aku sekarang tapi masalahnya, kau dah cari pasal dengan aku dan Qist. Aku nak dengar penjelasan daripada kau pasal diari ni,” Mohamad Salahuddin meninggikan suaranya.
“Alia… Baik kau jangan buang masa Din. Qist dan anak-anak dia tengah tunggu dia. Selagi kau tak terangkan tujuan kau buat macam tu, aku pun takkan lepaskan kau,” kata Wan Abdullah.
“Hei… Semaklah kau orang dua ‘ekor’ ni! Ha, yalah, yalah! Aku beritahu! Aku dah lama dendam dengan Qist! Betina tu dasar lupa daratan lepas dah tukar course! Sekarang, bukan main rapat dengan Tihaani, budak MUA popular tu. Sedangkan aku ni, kawan pertama dia tahu! Kita orang rapat tahu dulu! Aku tukang dengar semua masalah dia. Sekarang? Boleh pula dia buat aku macam halimunan! Tak guna punya Qist! Ha, puas hati?” luah Alia Najiha.
Mohamad Salahuddin dan Wan Abdullah menggeleng-gelengkan kepala tatkala mereka mendengar alasan Alia Najiha yang sungguh tidak matang dan tidak munasabah itu.
“Kalau kau tak puas hati dengan Qist, jumpalah dia sendiri. Selesai sendiri dengan dia. Perlu ke kau libatkan aku sekali sampai bagi diari ni?” ujar Mohamad Salahuddin.
“Kau ingat, aku bagi diari tu kat kau, suka-suka je ke?” balas Alia Najiha dengan penuh sinis.
“Apa maksud kau?”
“Aku nak tengok rumah tangga kau orang hancur. Tu sebab aku bagi diari tu dengan harapan kau akan ceraikan Qist. Memang aku nak kau orang sengsara. Biar kau rasa yang Qist ni menduakan kau. Dia masih ada hati kat Azim.”
Mohamad Salahuddin menggenggam tangan kirinya, menahan amarah. “K… Kau… Kau ingat semudah tu ke rumah tangga aku dan Qist boleh musnah dengan cara tak matang yang kau dah buat kat kita orang? Kau ingat aku bodoh nak ceraikan Qist sebab diari yang dah lapuk ni? Aku kenal isteri aku. Aku tahu hati dia. Alia, aku kahwin dengan Qist dah nak masuk tiga tahun. Kita orang dah ada anak pun. Kau pun nampak, boleh kata hampir setiap hari aku bawa anak-anak kat kelas. Aku pun tahulah kisah lalu Qist dan Azim tapi kisah tu dah lepas, sister. Qist dah terangkan kat akulah pasal diari ni. Kau ingat aku ni bodoh bertindak ikut emosi? Takkan sebab diari lapuk ni, aku terus nak lafaz talak kat Qist? Lawak!”
Alia Najiha membuat wajah menyampah. “Buwek! Nak termuntah aku dengar. Sekarang, kau nak cakap, kau suami soleh? Suami mithali?”
“Lantaklah kau nak cakap apa pun tapi aku nak pesan sesuatu kat kau. Buanglah dendam kau yang entah apa-apa tu. Bunyi tak matang langsung. Satu lagi, aku cinta kat Qist. Aku percaya kat dia. Setakat perkara macam ni, tak berfaedah pun untuk kita orang. Baik kita orang fikirkan cara nak harmonikan hubungan, daripada layan benda-benda mengarut macam ni.”
Sekali lagi, Alia Najiha membuat mimik muka menyampah. “Whatever Din…” Lalu, langkahnya menuju ke tempat lain. Masih banyak laluan tangga lain yang boleh digunakan oleh dirinya.
“Hoi Alia! Din tak habis cakap lagilah!” laung Wan Abdullah.
“Biarlah dia. Aku pun dah malas. Perempuan macam tu memang tak makan saman,” kata Mohamad Salahuddin seraya memasukkan diari tersebut ke dalam beg belajarnya semula.
“Takkan kau nak biarkan Alia macam tu je?”
“Habis tu, kau nak suruh aku buat apa? Balas dendam? Dengan cara apa? Kalau macam tu, aku pun sama jelah macam Alia. Tak matang. Aku ni dah jadi suami dan abi, Wan Dolah. Anak pun dah nak masuk empat. Aku nak fokus untuk keluarga aku je sekarang.”
Wan Abdullah terdiam. Benar juga kata lelaki itu. Dia juga telah mengetahui bahawa Qistur Ruwaidah sedang hamil anak kembar lagi. Dia tumpang gembira untuk sahabat baiknya itu. “Betul juga. Kau pun dah kahwin. Tak patut layan benda-benda macam ni. Jomlah… Qist dan anak-anak kau pun mesti dah tunggu kau.”
Selepas Mohamad Salahuddin dan Wan Abdullah berpisah, Mohamad Salahuddin terus menuju ke Kafe Kulliyyah of Economics and Management Sciences (KENMS). Kelihatan Qistur Ruwaidah dan si kembar sedang menunggu dirinya di kafe tersebut. Pada ketika itu, Qistur Ruwaidah sedang menyuapi si kembar.
“Sayang… Anak-anak abi…” panggil Mohamad Salahuddin dengan penuh ceria. Alangkah dia begitu gembira dapat bertemu semula dengan keluarga tersayang. Peristiwa tadi terus dilenyapkan dari kotak memorinya.
“Abi!” panggil Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil dengan penuh girang. Mereka mahu memeluk ayah tercinta.
Mohamad Salahuddin terus mendakap dua orang puteranya itu. Jiwanya damai kerana memiliki keluarga penyayang. Kemudian, dia memandang isterinya pula. “Sayang…” panggilnya bersama senyuman. Lalu, dia melabuhkan punggungnya dalam posisi menghadap isterinya.
Qistur Ruwaidah membalas senyuman suaminya itu. “Hari ni habibi lambat pula.”
“Maaf sayang. Ada hal dengan Wan Dolah sekejap,” balas Mohamad Salahuddin. Dia tidak akan membuka cerita berkenaan pertemuannya dengan Alia Najiha. Biarlah… Tidak penting pun untuk isterinya tahu buat masa sekarang. Kini, dia lebih kisahkan emosi isterinya yang sedang berbadan dua. Kandungan isterinya masih belum kelihatan kerana usianya baru sahaja memasuki dua bulan.
“Habibi tak nak makan?”
“Kenyang lagi. Pukul 10.00 pagi tadi, Wan Dolah ajak habibi sarapan kat Kafe AIKOL. Sayang dan anak-anak kita macam mana kat kelas tadi? Okey?”
“Okey je. Anak-anak kita tidur je sepanjang dalam kelas. Pukul 12.30 tadi baru dia orang bangun. Senang sayang boleh fokus.”
“Alhamdulillah. Anak-anak dalam kandungan?”
“Okey juga. Semua okey. Habibi jangan risau ya. Qalyubi, Qurtubi… Nak nasi lagi tak?”
Pasangan kembar itu menggelangkan kepala mereka.
“Habibi tolong bersihkan mulut dia orang. Sayang nak makan,” pinta Qistur Ruwaidah.
“Okey sayang,” balas Mohamad Salahuddin seraya mengeluarkan tisu basah dari beg bayi yang diletakkan di atas meja makan. Lalu, dia mengelap mulut si kembar itu.
Sejak peristiwa mereka berdua berselisihan faham gara-gara kehilangan Aalqalyubi Shafiy buat seketika di Masjid SHAS tempoh hari, pasangan itu berbincang semula jadual penggiliran untuk memantau Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil sementara salah seorang daripada mereka solat terlebih dahulu.
“Habibi… Sayang teringin popia sira. Nak tiga biji. Tadi ada lagi kat kedai tu tapi tak tahulah sekarang ada lagi ke tak,” ujar Qistur Ruwaidah dengan nada manja.
Mohamad Salahuddin tersenyum. “Dah mula mengidamlah tu. Sekejap, habibi pergi tengok. Kalau tak ada?”
Qistur Ruwaidah tersengih malu. “Nampaknya macam tulah. Kalau tak ada, tak payahlah.”
“Okey sayang. Qalyubi, Qurtubi… Nak ikut abi tak?”
Cepat-cepat si kembar itu turun dari kerusi sebagai tanda mereka berdua mahu mengikuti ayah tercinta. Kasut kanak-kanak itu mula berbunyi.
“Laju betul. Lincah macam abi dia orang bila menari,” kata Qistur Ruwaidah bersama senyuman.
Mohamad Salahuddin tersengih. Dia mengerti maksud isterinya. “Habibi dan anak-anak pergi dulu.”
Qistur Ruwaidah mengangguk. Kemudian, kelihatan suami dan anak-anaknya menuju ke kedai berkenaan dengan penuh gembira. Dia percaya… Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil akan membesar sepersis Mohamad Salahuddin selagi suaminya mendidik dua orang kanak-kanak lelaki itu untuk menjadi insan berguna. Sungguh, dia amat menyayangi keluarganya. Pengganti kepada abangnya dan lima orang keluarganya yang telah tiada.

UHUK… UHUK… UHUK… Mohamad Salahuddin terbatuk-batuk. Dadanya berasa cukup sakit seperti ditekan-tekan. Dahinya juga telah ditepek dengan pelekat Koolfever. Sudah dua hari dia mengalami demam panas dan dia tidak mampu bekerja untuk mencari nafkah buat keluarga tersayang. Dia sendiri terpaksa mengaku bahawa dia tidak cukup rehat, semata-mata dia mahu membahagiakan isteri dan anak-anaknya.
Apatah lagi, dia bakal menjadi ayah lagi kepada bakal dua orang anaknya yang sedang menghuni dalam rahim isterinya. Keluarganya akan berkembang daripada empat orang kepada enam orang pula pada bulan Disember ini. Semestinya, dia perlu berusaha dengan lebih keras.
“Habibi…” panggil Qistur Ruwaidah seraya membawang dulang yang berisi bubur ayam dan coklat panas. Lalu, dia menatang di atas meja lampu bersebelahan katilnya.
Pada waktu itu, kandungan Qistur Ruwaidah sudah mencecah lima bulan dan dia juga sudah selesai menjalani latihan praktikal dengan jayanya di sebuah syarikat antarabangsa yang tidak jauh dari rumahnya. Secara tidak langsung, dia telah selamat bergraduasi sebagai lepasan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan (Bahasa dan Kesusasteraan Arab) (Kepujian) dan akan berkonvokesyen bersama suami dan anak-anak tercinta pada bulan November nanti.
“Makan bubur ni, habibi,” kata Qistur Ruwaidah seraya melabuhkan punggung di atas katil.
Perlahan-lahan, Mohamad Salahuddin membangunkan dirinya dan dia berada dalam posisi duduk. Kelihatan isterinya menyerahkan semangkuk bubur kepada dirinya. “Sayang… Kenapa sayang susah-susah buatkan bubur ni? Sampai nak kena berhidang kat bilik kita pula. Bahaya tahu. Sayang mengandung tu. Nak tengok-tengokkan Qalyubi dan Qurtubi pula. Habibi risau.”
Qistur Ruwaidah tersenyum manis. “Habibi sakit, kan. Sayang risau juga kat habibi.”
Wajah Mohamad Salahuddin berubah serba salah. “Tapi sayang… Tak perlulah sampai nak berhidang kat habibi. Habibi larat je nak jalan ke dapur. Lain kali, jangan buat macam ni tahu. Lainlah kalau sayang tak mengandung.”
“Okey habibi. Sayang minta maaf. Habibi makan ya. Sayang ada sediakan coklat panas sekali,” kata Qistur Ruwaidah seraya mengambil mug yang berisi coklat panas. Lalu, dia menyerahkan kepada suaminya.
“Ya Allah… Syurgalah tempat sayang sebab sayang layan habibi sampai macam ni sekali.”
“Itulah impian sayang. Nak masuk Syurga sama-sama dengan habibi. Nak jadi isteri yang taat pada suami.”
Mohamad Salahuddin tersenyum. Lalu, dia menikmati bubur ayam yang telah disediakan oleh isterinya itu. “Alhamdulillah. Sedap sungguh bubur ayam ni. Terima kasih sayang. Air tangan sayang memang sedap dari dulu. Kedai makan pun kalah.”
“Sama-sama habibi tapi habibi masak lagi sedap daripada sayang. Oh ya habibi. Sayang nak mengaji sekejap. Habibi habiskan bubur dan air coklat tu tahu.”
“Okey sayang.”
Lalu, Qistur Ruwaidah menuju ke bilik bagi mengambil wuduk. Kemudian, dia menuju pula ke tempat gantung dan mencapai telekungnya untuk disarung ke tubuh bagi menutup aurat. Seterusnya, dia mencapai pula Al-Quran yang setia digunakan sejak dia berumur 13 tahun hingga kini di atas meja solek dan dia mula melabuhkan punggung di atas lantai. Setakat ini, dia masih mempunyai kudrat untuk duduk di atas lantai.
Qistur Ruwaidah mula menyelak Surah Maryam. Sebagai seorang penghafaz Al-Quran, dia tidak perlu mencari surah tersebut menerusi isi kandungan yang terletak di halaman belakang kerana dia sudah arif dengan nombor halaman surah tersebut.
“Bismillahirrahmannirrahim…” Ungkap Qistur Ruwaidah terhadap kalimah agung itu sebelum dia memulakan hafazan Surah Maryam. Al-Quran yang dipegang sebagai rujukan jika dia tidak ingat atau tersilap. Tidak dilupakan juga, dia turut mengusap kandungannya yang semakin membesar itu. Dia berdoa agar dirinya dan kandungannya terpelihara sehingga tiba waktunya kelak. Begitulah juga apa yang dia pernah lakukan sewaktu dia mengandungkan Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil dahulu.
Surah Maryam yang dihafaz sangat menenangkan jiwa sang ibu itu. Sungguh, kisah Maryam hendak melahirkan Nabi Isa sangat menyentuh hatinya sebagai seorang ibu hamil. Tambahan pula, dia memahami bahasa Syurga tersebut.
Mohamad Salahuddin juga menjadi asyik tatkala dia mendengar suara isterinya. Sungguh dia terpukau dengan kemerduan suara isterinya itu. Dia meletakkan mangkuk bubur di atas meja lampu dan menghabiskan air coklat tersebut. Niatnya, dia mahu menemani isterinya. Kemudian, dia menuju ke arah isterinya dan melabuhkan punggung bersebelahan dengan isterinya.
Hafazan Qistur Ruwaidah terhenti seketika. Lalu, dia mengucap ‘Benarlah kata-kata Allah Yang Maha Agung’.
“Eh, kenapa sayang berhenti hafaz? Habibi nak dengar lagi. Seronok. Suara sayang merdu sangat,” ujar Mohamad Salahuddin.
“Oh, sayang ingat habibi ada nak cakap apa-apa. Tu sayang berhenti hafaz sekejap.”
“Boleh tak habibi nak baring atas paha sayang? Habibi nak dengar sambil menghayati apa yang sayang hafaz.”
Qistur Ruwaidah tersenyum. Dia tahu sangat niat suaminya itu. Dalam erti kata lain, suaminya mahukan perhatian dan bermanja dengan dirinya. “Boleh cik habibi sayang. Baringlah… Bukannya sayang tak tahu habibi nak perhatian sayang. Nak manja dengan sayanglah tu bila habibi tengah demam ni.”
Mohamad Salahuddin turut tersenyum. Bijak isterinya itu. “Sekali-sekala, apa salahnya, kan?”
“Baiklah habibi sayang. Mohamad Salahuddin bin Mohd Firdaus, silalah baring ya.”
Mohamad Salahuddin mula membaringkan kepala di atas paha isterinya. Pada saat itu, jiwanya tenang. Sungguh dia bersyukur dengan hadirnya si isteri sebagai penyejuk mata. Qistur Ruwaidah pula meletakkan tangan kirinya di atas bahu suaminya. Lalu, dia melihat Al-Quran semula sebelum dia menyambung hafazan Surah Maryam itu.

HOTEL BIANGLALA, KUALA LUMPUR
Hotel yang pernah didiami oleh Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin sempena ‘babymoon’ dahulu ketika Qistur Ruwaidah sarat mengandungkan Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil pada usia lapan bulan. Kali ini, mereka berdua hadir bersama si kembar dan janin kembar dalam kandungan serta sambutan ulang tahun perkahwinan mereka yang ketiga.
Kelihatan Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil sangat gembira bermain di kolam kanak-kanak sampai dipantau oleh ibu bapa mereka.
“Seronok betul tengok Qalyubi dan Qurtubi,” kata Mohamad Salahuddin sambil matanya memandang si kembar itu.
“Tulah… Alhamdulillah dia orang membesar dengan baik. Dia orang pun dah nak jadi abang lagi dua bulan lebih je,” kata Qistur Ruwaidah sambil mengusap kandungannya itu.
Segala puji bagi Allah, Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin bakal menimang cahaya mata kembar perempuan pula. Pemeriksaan jantina itu telah dilakukan seminggu sebelum ulang tahun perkahwinan pasangan itu. Lengkap dua pasang kembar lelaki dan perempuan yang menjadi dambaan kebanyakan pasangan suami isteri yang lain. Jadi, percutian ini juga sebagai hadiah dan khabar gembira.
Tiba-tiba Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil menuju ke arah ibu mereka. Lalu, mereka mencium kandungan Qistur Ruwaidah. “Dik…” Sebut mereka berdua dengan nada pelat.
Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin terharu dengan tindakan si kembar. Setiap hari, memang pasangan itu mengajar Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil untuk berkasih sayang dengan bakal adik-adik mereka melalui cara sedemikian. Ah, anak kembar lelaki mereka berdua itu sudah besar!
“Moga anak-anak kita macam Abang Suhaib. Habibi terinspirasi sangat dengan cara dia jaga sayang,” ujar Mohamad Salahuddin seraya membelai kepala anak-anak itu.
Qistur Ruwaidah tersenyum. “Amin, habibi. Habibi tengoklah ni. Langsung tak nak berenggang dengan adik-adik dia orang. Sayang sangat kat adik-adik ya, Qalyubi, Qurtubi,” katanya. Kelihatan Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil masih setia menyendeng tubuh mereka berdua ke arah kandungan ibu mereka itu.
Mohamad Salahuddin tersenyum dengan gelagat si kembar. Kemudian, dia memandang wajah isterinya yang sedang ralit melayan si kembar itu. ‘Ya Allah… Inilah kebahagiaanku. Aku bersyukur di atas kurniaan-Mu. Isteri dan anak-anakku sebagai penguat semangat aku. Tanpa mereka, aku akan rebah. Moga aku boleh menamatkan LLB_S untuk semester terakhir yang akan bermula Isnin ni. Semuanya demi mereka, lima insan yang cukup aku cinta. Tidak dilupakan juga, ayah, Keena dan Abang Suhaib.”
Tiba-tiba Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil menuju ke arah ayah mereka berdua pula dan menghadiahkan dakapan buat ayah tercinta. “Abi…” Mereka mahu mengajak sang ayah untuk bermain sekali di kolam renang.
“Okey, okey… Jom kita main,” kata Mohamad Salahuddin seraya memandang isteri tercinta. “Habibi pergi dulu. Anak-anak dah ajak main.”
Qistur Ruwaidah mengangguk. Lalu, dia menghadiahkan senyuman. Kemudian, dia mula mengelus kandungannya. “Anak-anak ummi… Ummi tak sabar nak tunggu kau orang keluar. Bolehlah kita pakai sedondon nanti. Rezeki ummi mengandungkan anak-anak perempuan pula. Moga anak-anak ummi ni jadi anak-anak solehah nanti tahu.”
Janin-janin dalam kandungan Qistur Ruwaidah mula menghadiahkan tendangan manja kepada si ibu itu. Sang ibu tersenyum gembira dengan respons yang diberikan oleh janin-janin tersebut. Dia bersyukur untuk kehidupannya setelah dia berkahwin dengan Mohamad Salahuddin, disinari pula dengan kehadiran Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil serta bakal anak kembar perempuan yang bakal dilahirkan pada bulan Disember ini dengan mengekalkan akronim nama AQS.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience