BAB 17

Drama Completed 13626

USAI pertemuan Mohamad Salahuddin bersama Qistur Ruwaidah di Kafe Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan (KENMS), anak matanya hanya mampu menghantar pandangan sahaja ke arah siswi itu tanpa sepatah bicara. Sungguh, dia masih terkesan akan isi hati Qistur Ruwaidah.
“Kau beritahu aku, Din… Macam mana aku nak move on dengan Azim lepas Azim dah rapat dengan abang aku?” luah Qistur Ruwaidah.
‘Qist… Kenapa hati kau masih untuk Azim? Apa kurangnya aku? Ya Allah… Memang aku tak ada harapan agaknya,’ bisik hati Mohamad Salahuddin. Batinnya menjerit kekecewaan.
Namun begitu, akal waras Mohamad Salahuddin mengatakan agar dia perlu berfikiran rasional dan jangan kerana cinta, dia menjadi rebah. Tanggapannya, bukan salah Qistur Ruwaidah kerana siswi itu tidak tahu akan isi hatinya. Jadi, perempuan itu berhak untuk terus mempunyai perasaan terhadap Abdul Azim. Siapalah dia untuk mengawal hati Qistur Ruwaidah.
Akhirnya, Mohamad Salahuddin mengambil keputusan untuk meninggalkan Kafe KENMS itu. Sepanjang perjalanannya menuju ke arah kolej kediamannya, iaitu Mahallah Zubair Al-Awwam, lidahnya mengalunkan zikrullah sambil anak matanya ralit memerhati segenap landskap yang amat indah di universiti kesayangannya itu. Dedaun pepohon hijau bergoyang ceria seolah-olah memahami jiwanya kini memerlukan ketenangan.
Akan tetapi, dia tetap mengukir senyuman tatkala dia mengenang kembali akan pertemuan bersama Qistur Ruwaidah di kafe tadi. Tipulah dia tidak gembira apabila siswi itu sudi untuk berjumpa dengan dirinya dan berkongsi kisah. Betapa dia menghargai akan hal itu kerana siswi itu mempercayai dirinya sebagai seorang pendengar.
Tiba-tiba terkoyak senyuman Mohamad Salahuddin itu. ‘Sebenarnya, siapakah aku untuk kau tadi, Qistur Ruwaidah? Kawan biasa, kawan baik atau selain dari tu?’
Tanpa sedar, langkahnya mula menyembah tanah. “Allah!” ucapnya.
Perlahan-lahan, Mohamad Salahuddin membetulkan posisi dengan menjulurkan kakinya, namun dia merasakan bahawa kakinya terseliuh kerana dia berasa sakit setelah dia menggerakkan kakinya itu. “Aduh! S… Sakitnya! Masa ni jugalah kaki kau nak terseliuh, Mohamad Salahuddin oii! Tulah kau. Berangan lagi! Kan dah mendapat!”
Anak matanya memerhati akan keadaan sekeliling bagi mendapatkan bantuan jika ada sesiapa yang lalu di kawasan tersebut. Malangnya, tiada sesiapa pula yang melalui kawasan tersebut pada waktu ini. Dia menjadi kebuntuan. Nampak gayanya, dia terpaksa menghubungi rakan sebiliknya yang setia bersama dirinya sejak di pusat asasi dulu. Telefon pintarnya dikeluarkan dari kocek seluar, lalu dia mencari nama seseorang.
“Assalamualaikum Wan Dolah...” ucap Mohamad Salahuddin setelah panggilannya dijawab oleh rakannya itu. Lalu, dia menceritakan keadaannya itu.
Tidak lama kemudian, kelihatan rakan sebiliknya, iaitu Wan Abdullah tiba di tempat tersebut. Wan Abdullah ternampak sahabatnya itu sedang duduk di atas rumput dengan terjulur kakinya itu. Berkerut-kerut wajah Mohamad Salahuddin menahan kesakitan.
“Ya Allah, Din… Macam mana kau boleh terseliuh ni?” tanya Wan Abdullah dengan penuh kerisauan.
“Entahlah, Wan Dolah. Aku pun tak tahu. Maaf, aku tak berhati-hati,” balas Mohamad Salahuddin. Walhal, dirinya termenung berkenaan Qistur Ruwaidah sehingga ke Planet Neptun tadi.
“Tak apalah Din. Nak buat macam mana, kan? Emm… Kau rasa, kau boleh berdiri tak?”
“Insya-Allah, boleh kut tapi kau kena tolong aku. Aku tak boleh bangun sendiri.”
Wan Abdullah segera memapah Mohamad Salahuddin tanpa banyak soal untuk membawa sahabatnya itu ke klinik dengan meminjam kereta rakan sebiliknya merangkap senior AIKOL tahun empat. Hanya pelajar tahun empat, pelajar tinggal di luar kampus dan pelajar yang mempunyai masalah kesihatan sahaja dibenarkan untuk menggunakan kereta di dalam kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan syarat, seseorang pelajar itu perlu memohon pelekat kenderaan UIAM bagi kategori pelajar. Jika pelajar itu tidak berbuat demikian, alamatnya akan disaman oleh para pengawal.
Setelah dua sahabat itu tiba di Klinik UIAM atau International Islamic University Malaysia Health and Wellness Centre, Wan Abdullah berkata sesuatu setelah dia keluar dari perut kereta. “Sekejap Din. Aku pergi ambil kerusi roda.”
Tidak lama kemudian, Wan Abdullah tiba ke arah kereta seniornya sambil menolak kerusi roda. Mohamad Salahuddin keluar dari kereta tersebut dengan penuh berhati-hati sambil dibantu oleh sahabatnya. Akhirnya, dia berjaya melabuhkan punggungnya di atas kerusi roda itu.
Setelah mereka berdua memasuki kawasan klinik itu, Mohamad Salahuddin menyerahkan kad matriknya kepada Wan Abdullah untuk proses pendaftaran.
Sementara itu, Mohamad Salahuddin memaklumkan akan keadaannya kepada ahli keluarganya di grup WhatsApp. Tiba-tiba ayahnya terus menghubunginya.
“Assalamualaikum Along. Along okey tak?” suara ayahnya, Encik Mohd Firdaus itu kedengaran risau.
Mohamad Salahuddin mengukir senyuman di hujung talian itu. Dia tahu sangat ayahnya cukup risau jika dia jatuh sakit. “Waalaikummussalam. Alhamdulillah. Okey je ayah. Along sakit sikit je. Ayah jangan risau. Ayah pun tahu Along selalu terseliuh,” bicaranya sambil ketawa kecil.
“Along… Along… Sebab Along selalu terseliuhlah, ayah makin risau tahu,” luah Encik Mohd Firdaus dengan penuh risau.
Sejak kecil, memang anak sulungnya selalu terjatuh sehingga kakinya terseliuh. Bagaimanalah hati seorang ayah itu tidak risau…
“Along minta maaf sebab dah buat ayah susah hati. Along tahu Along kena berhati-hati,” ucap Mohamad Salahuddin dengan nada serba salah.
“Tak apa Along. Nak buat macam mana. Emm… Along ada kat klinik ke tu?” respons Encik Mohd Firdaus.
“Haah ayah. Along ada kat Klinik UIA.”
“Sekejap lagi, ayah, mak dan Keena sampai kat UIA. Ayah bawakan tongkat. Along tunggu je kat klinik tu. Hantar lokasi klinik kat WhatsApp tahu.”
“Eh, ayah janganlah susah-susah nak datang sini! Kaki Along taklah teruk sangat.”
“Tak apa Along. Emm… Along balik Bangi ya? Dah dua bulan Along tak balik rumah. Ayah rindu kat Along tahu. Bolehlah ayah, mak dan Keena tolong tengok-tengokkan Along.”
Tatkala itu, hati Mohamad Salahuddin menjadi amat sebak. Barulah dia menyedari bahawa sudah dua bulan dia tidak bersua dengan ahli keluarganya itu. Sejujurnya, dia juga merindui ahli keluarganya, namun apakan daya… Tugasannya yang begitu menimbun menyebabkan dia jarang pulang ke rumah, namun dia tidak pernah lupa berhubung dengan mereka bertiga itu. Alang-alang kakinya terseliuh, lebih baik dia pulang ke rumah dan berehat seketika dari menghadap tugasan. Benar juga kata ayahnya, ahli keluarganya boleh melihat akan keadaannya itu.
“Kalau macam tu, okeylah ayah. Along tunggu kat sini. Sekejap lagi, Along hantarkan lokasi.”
Setelah Mohamad Salahuddin berhubung dengan ayahnya, kelihatan Wan Abdullah sudah duduk di sebelahnya, lalu dia memulangkan semula kad matrik kepada sahabatnya berserta angka giliran.
“Siapa hubungi kau?” tanya Wan Abdullah.
“Ayah aku. Ayah aku cakap dia nak ambil aku sekejap lagi. Kiranya, aku tak balik mahallah. Aku tunggu kat sini je,” balas Mohamad Salahuddin.
“Okey juga kau balik rumah. Lagipun, kau pun dah lama tak balik. Kalau kau nak balik mahallah sekarang, susah juga kau nak naik tangga. Dahlah bilik kita kat tingkat tiga.”
Mohamad Salahuddin mengangguk. Tiba-tiba anak matanya terpandangkan ke arah seseorang yang baru sahaja mendaftarkan diri di kaunter pendaftaran.
“Din,” tegur Abdul Azim.
“A… Azim,” balas Mohamad Salahuddin dengan gugup. ‘Ah, sudah! Kenapa aku boleh terserempak dengan dia kat sini? Dahlah aku sedih dengan jawapan Qist tadi, boleh pula aku jumpa dengan lelaki yang dia suka kat sini. Alahai… Apalah nasib kau ni, Din,’ bisik hatinya.
“Kau sakit apa?” soal Abdul Azim, prihatin.
“Kaki aku terseliuh masa nak balik mahallah. Kawan aku ni bawakan aku kat sini,” balas Mohamad Salahuddin sambil ibu jarinya menunjukkan ke arah Wan Abdullah. Kelihatan Wan Abdullah menghadiahkan senyuman kepada Abdul Azim.
“Syafakallah bro,” ucap Abdul Azim.
‘Syafakallah’ bermaksud ‘Semoga Allah memberikan kesembuhan kepadamu’ dan diucapkan untuk pesakit lelaki.
“Amin ya rabbal alamin… Kau pula sakit apa?” respons Mohamad Salahuddin. Tatkala itu, dirinya menjadi semakin relaks apabila berhadapan dengan Abdul Azim itu. Mungkin kerana sifat prihatin lelaki itu. Tiada sebab untuk dia rasa gugup lagi.
“Dah dua hari aku demam. Demam aku tak kebah. Semalam, aku tak larat sangat nak bergerak. Hari ni, baru aku larat sikit nak datang klinik,” balas Abdul Azim.
Tiba-tiba nombor giliran Mohamad Salahuddin tertera di skrin televisyen. “Syafakallah juga. Azim… Aku kena jumpa doktor sekarang. Ada masa, kita jumpa lagi nanti. Insya-Allah.”
“Amin! Okey Din. Insya-Allah.”
Akhirnya, Abdul Azim meninggalkan dua sahabat itu.
“Siapa Azim tu?” soal Wan Abdullah sambil menolak kerusi roda itu.
“Dia kawan kelas Bahasa Inggeris aku masa kat CFS dulu,” balas Mohamad Salahuddin.
Sejujurnya, Mohamad Salahuddin masih belum bersedia untuk membuka cerita berkenaan Abdul Azim dan juga, perasaannya terhadap Qistur Ruwaidah kepada Wan Abdullah itu biarpun sahabatnya itu pernah mengesyaki akan perasaannya terhadap siswi itu. Dengan Wan Abdullah, dia tidak pernah menyembunyikan apa-apa rahsia kerana dia sudah menganggap sahabatnya itu bagaikan adik-beradiknya sendiri. Namun, pada satu hari nanti, dia akan berkongsi juga berkenaan hal itu.

“ABANG LONG, hati-hati jalan tu. Keena risau tahu Abang Long terseliuh tadi,” pesan Sakeenah sambil memerhatikan cara jalan Mohamad Salahuddin itu.
Mohamad Salahuddin tersenyum mendengar akan kata-kata adiknya itu. Namun begitu, langkahnya tetap diteruskan secara terincut-incut dengan bantuan tongkat aksila yang dibawa khas oleh Encik Mohd Firdaus untuk dirinya itu sewaktu dia melangkah masuk ke dalam rumah. Kakinya juga telah berbalut dengan kain pembalut elastik.
Ayahnya, Encik Mohd Firdaus dan ibunya, Puan Zaidah berjalan di belakangnya. Mereka berdua menjadi risau jika anak sulung itu terjatuh lagi.
Tiba-tiba Mohamad Salahuddin terjatuh buat kesekian kali. “Aduh!” luahnya dalam kesakitan.
Masing-masing sudah agak akan keadaan Mohamad Salahuddin itu. Encik Mohd Firdaus segera mendukung anak sulungnya dengan menggunakan tubuh belakangnya itu. Dia tahu benar anaknya berpotensi untuk terjatuh lagi.
Setelah tiba di bilik Mohamad Salahuddin, Encik Mohd Firdaus mendudukkan anaknya di atas katil itu sambil perlahan-lahan, tangannya mengangkat kedua-dua belah kaki Mohamad Salahuddin, lalu diambil salah satu bantal kepala dan diletakkan di bahagian bawah kaki anaknya yang terseliuh itu.
Puan Zaidah dan Sakeenah juga turut berada dalam bilik Mohamad Salahuddin untuk memeriksa keadaan si sulung itu.
“Ayah… Along minta maaf. Tak pasal-pasal Along terjatuh dua kali. Along dah susahkan ayah pula,” ucap Mohamad Salahuddin dengan serba salah.
“Tak apa, Along. Ayah dah tahu sangat kalau Along terjatuh sekali, Along akan terjatuh lagi,” balas Encik Mohd Firdaus sambil mengusap kepala anaknya itu.
“Along rasa makin sakit tak?” tanya Puan Zaidah.
“Along rasa sakit masa tadi je. Sekarang, Along dah okey sikit. Mak jangan risau ya,” balas Mohamad Salahuddin.
“Kalau Along cakap macam tu, okeylah. Along nak makan apa-apa tak? Mak masakkan.”
“Along baru makan dengan kawan sebelum Along terseliuh tadi,” balas Mohamad Salahuddin seraya menghadiahkan senyuman kepada ibunya itu.
“Okey. Along rehatlah ya.”
“Okey mak.”
Kelihatan Puan Zaidah dan Encik Mohd Firdaus meninggalkan bilik si sulung itu bagi memberikan ruang privasi kepada Mohamad Salahuddin dan Sakeenah untuk berborak sesama mereka berdua. Pasangan itu cukup tahu akan keakraban si sulung dan si bongsu itu. Anak-anak mereka berdua itu saling bercerita apa jua rahsia.
Mohamad Salahuddin memulakan perbualan setelah ibu bapa mereka meninggalkan bilik itu. “Keena… Abang Long minta maaf sangat sebab Abang Long tak berhati-hati. Abang Long dah buat Keena risau pula sampai Abang Long terjatuh dua kali tadi. ”
“Tak apa, Abang Long. Keena faham je keadaan Abang Long dari dulu. Asalkan Abang Long dah rasa okey sikit, tu pun dah cukup okey untuk Keena,” balas Sakeenah.
Mohamad Salahuddin tersenyum sambil mengusap kepala adiknya itu seketika. Betapa dia merindui adik bongsunya itu. Kasih sayangnya terhadap Sakeenah cukup mendalam biarpun dia suka mengusik adik bongsunya itu. “Abang Long rindu sangat kat Keena. Lama tak jumpa Keena,” ucapnya.
“Tulah. Keena pun rindu sangat kat Abang Long. Lama tak gaduh dengan Abang Long,” kata Sakeenah sambil tersengih nakal.
“Amboi, itu je yang Keena ingat!”
Sakeenah meledakkan tawanya. “Mestilah! Dah Keena selalu kena kacau dengan Abang Long.”
Mohamad Salahuddin juga turut tertawa. Betapa dia gembira bersama adiknya itu. Pengubat dukanya. Hilang seketika rasa sedihnya berkenaan jawapan Qistur Ruwaidah itu.
“Emm Keena… Sebelum Abang Long terseliuh tadi… Sebenarnya, Abang Long baru lepas jumpa Qist tadi. Abang Long makan dengan dialah. Keena jangan beritahu mak ayah pula pasal ni,” Mohamad Salahuddin mula membuka cerita berkenaan pertemuannya dengan Qistur Ruwaidah itu.
Terbeliak anak mata Sakeenah. “Apa! Abang Long dah jumpa Kak Qist! Seriuslah? Tak ajak!”
Mohamad Salahuddin ketawa kecil apabila melihatkan reaksi adiknya itu. “Haah Keena... Abang Long dah jumpa juga kakak kesayangan Keena tu. Dia baru je masuk UIA Gombak semester ni. Kita orang berjumpa pun sebab kita orang terserempak semalam dan dia ajak jumpa hari ni.”
“Alaa… Abang Long ni, kan! Keena nak jumpa Kak Qist juga.”
“Sabar dulu, Keena. Abang Long pun baru je jumpa dia balik. Takkan Abang Long terus nak kenalkan Keena kat Qist.”
“Eh, betul juga! Okeylah. Keena tunggu tahu. Emm… Kan Abang Long dah jumpa Kak Qist. Apa pelan Abang Long seterusnya?”
Senyuman Mohamad Salahuddin bertukar menjadi lebar. “Pelan Abang Long? Insya-Allah Abang Long akan cuba tawan hati Qist dulu sebelum Abang Long nak beritahu perasaan Abang Long kat dia tapi Abang Long tak boleh buat seorang diri tanpa doa daripada Keena. Kalau betul Keena nak Qist jadi ‘kak long’ Keena, Keena kena berdoa kat Allah supaya Allah lembutkan hati dia nak terima Abang Long. Boleh Keena tolong doakan untuk Abang Long?”
Sakeenah meraih tangan abangnya itu. “Abang Long… Kalau Abang Long tak cakap pun, sejak dari hari pertama Abang Long beritahu Keena pasal perasaan Abang Long kat Kak Qist, memang setiap hari Keena doakan untuk Abang Long, semoga Allah satukan Abang Long dengan Kak Qist. Jadi, Abang Long jangan risau pasal tu.”
Sekali lagi, Mohamad Salahuddin tersenyum lebar. Ternyata adiknya bersungguh benar untuk dirinya itu.
Hatinya berbisik… “Sakeenah, adikku… Maksud nama kau sangat kena dengan diri kau, ketenteraman. Memang kau sentiasa menenangkan aku sejak lahirnya kau 14 tahun lepas.”
Usai dua beradik itu berborak, Sakeenah mula meninggalkan bilik abangnya itu. Lalu, Mohamad Salahuddin mengeluarkan telefon pintar dari kocek seluarnya. Ingin dia memaklumkan kepada Qistur Ruwaidah berkenaan perihal dirinya itu atau lebih tepat, dia mahu siswi itu mengambil berat untuk dirinya itu.
Seketika Mohamad Salahuddin menggelengkan kepalanya. ‘Emm… Nak beritahu Qist ke tak pasal kaki aku terseliuh ni? Macam tak patut je tapi… Rasanya dia patut tahu kut sebab dia jumpa aku tadi,’ bisik hatinya sambil memikirkan tindakan rasionalnya untuk berhubung dengan Qistur Ruwaidah. Selain itu, boleh juga dia memulakan langkah secara rentak perlahan bagi memaut hati siswi itu.
Dia mula menaip sesuatu untuk gadis itu.

WhatsApp Mohamad Salahuddin:
Assalamualaikum Qist. Aku minta maaf kalau aku ganggu kau. Aku ada berita nak beritahu kau.
Ketika itu, Qistur Ruwaidah sedang membaca novel di bilik mahallah (kolej kediaman). Telefon pintarnya membunyikan notifikasi mesej peribadi WhatsApp. Dia memasukkan penanda buku di bahagian halaman yang telah dibaca olehnya itu. Sebagai seorang pencinta buku, dia tidak akan sesekali melipat mana-mana helaian halaman dan membuatkan halaman itu menjadi ‘cacat’ dengan kesan lipatan tersebut.
Dia terpinga-pinga apabila menerima WhatsApp peribadi daripada Mohamad Salahuddin. ‘Din hantar WhatsApp?’ soal hatinya itu. Tanpa banyak soal lagi, dia terus membuka aplikasi tersebut.
Setelah membaca mesej itu, dia mula meresponsnya.

WhatsApp Qistur Ruwaidah:
Waalaikummussalam Din. Ya? Kau nak beritahu apa?
Mohamad Salahuddin tersenyum apabila siswi itu sudi membalas mesejnya. Jari-jemarinya menari rancak pada skrin sentuh papan kekunci itu.

WhatsApp Mohamad Salahuddin:
Aku nak beritahu kau… Emm… Kaki aku terseliuh lepas aku jumpa kau.
Alangkah terkejutnya Qistur Ruwaidah tatkala dia mengetahui keadaan lelaki itu. Perasaan risaunya mula menjalar dalam kalbu. Dia tidak boleh kalau ada mana-mana kenalannya jatuh sakit.

WhatsApp Qistur Ruwaidah:
Allah! Syafakallah Din. Kau okey tak tu? Kau ada kat mana? Kau dengan siapa?
Sekali lagi, Mohamad Salahuddin tersenyum. Baginya, comel pula pertanyaan bertalu-talu daripada Qistur Ruwaidah itu. Jelas menampakkan bahawa perempuan itu amat risaukan dirinya.

WhatsApp Mohamad Salahuddin:
Amin! Alhamdulillah aku okey je. Normallah sakit terseliuh ni, kan. Sekarang, aku ada kat rumah. Keluarga aku ada boleh tengok-tengokkan aku.
Lega Qistur Ruwaidah mengetahui akan keadaan dan keberadaan lelaki itu.

WhatsApp Qistur Ruwaidah:
Alhamdulillah kalau macam tu. Kalau kau ada kat mahallah, baru aku ingat aku nak belanja kau makan. Ialah, kau tengah sakit, kan. Aku boleh pesan makanan guna Grab.
Apabila Mohamad Salahuddin membaca mesej Qistur Ruwaidah, bagaimanalah hatinya tidak menjadi kian suka terhadap siswi itu.

WhatsApp Mohamad Salahuddin:
Eh, tak perlu susah-susah, Qist! Aku okey je. Kaki aku taklah teruk sangat.
Setelah perbualan maya itu berakhir, hati Mohamad Salahuddin berbunga-bunga. Dia bagaikan terlupa bahawa hatinya telah disakiti oleh isi hati Qistur Ruwaidah itu tetapi dia tidak kisah langsung. Janji siswi itu sudi berhubung dengan dirinya. Sungguh, cinta Mohamad Salahuddin bin Mohd Firdaus itu buta. Ibarat tiada perempuan lain yang mampu menggantikan siswi itu.

“HACHUUUUUM!” Abdul Azim tidak berhenti dari bersin gara-gara demam dan selesema yang dia alami sejak semalam. Biasanya begitulah apabila demam menyerang dirinya. Kepalanya juga berpinar-pinar. Pejaman mata sahaja yang mampu mengurangkan rasa ketidakselesaannya itu.
Mujurlah dua orang sahabat baiknya, Muhammad Amirul Azhar dan Muhammad Syarafuddin membantu dirinya dari segi membeli makanan.
‘Allah… Aku pinta kepada-Mu agar Kau kurniakan kesembuhan buat diriku ini,’ doa dirinya itu.
Tiba-tiba minda Abdul Azim menerawang kembali berkenaan pertemuannya dengan Mohamad Salahuddin di Klinik UIAM tadi. Sejujurnya, dia sendiri tidak tahu perasaan yang bertandang dalam kalbunya tatkala dia bertemu dengan bekas rakan sekelasnya itu buat kali pertama setelah mereka berdua berada di UIAM ini. Sebelum ini, mereka berdua telah terserempak di kedai buku dalam Pusat Beli-Belah Adenium.
Dalam perjalanan dia ke Klinik UIAM, bukannya dia tidak terperasan bahawa Mohamad Salahuddin bertemu dengan Qistur Ruwaidah di Kafe KENMS. Kelihatan mereka berdua berborak mesra dan diselangi dengan gelak ketawa. Perasaan seorang Abdul Azim itu? Mestilah terselit rasa cemburu! Namun begitu, dia tidak mahu mengendahkan perasaan cemburu itu.
Qistur Ruwaidah binti Isyraf Imrani… Ah, gadis itu bukanlah sesiapa pun buat dirinya! Gadis itu hanyalah bekas teman sekelasnya yang pernah menyimpan perasaan terhadapnya. Akan tetapi, dia bodoh dan buta terhadap perasaan perempuan itu dahulu.
Jauh di sudut hati Abdul Azim, sejujurnya dia tidak kisah pun Qistur Ruwaidah memulakan langkah perigi mencari timba, namun dia tidak mampu menilai akan perasaannya waktu itu. Dia tersilap langkah dengan terus menolak perasaan perempuan itu. Mujurlah perempuan itu mampu bersikap normal dan tidak menjauhkan diri daripadanya. Dia sudah cukup bersyukur berkenaan hal tersebut. Jika tidak… Entahlah!
Sampai bila dia harus menunggu masa yang sesuai bagi meluahkan hasrat penuh suci itu? Dia sendiri tidak mampu menjawabnya dan masih mencari masa. Peluangnya cukup besar bagi memiliki hati gadis itu kerana dia tahu Qistur Ruwaidah masih mempunyai perasaan terhadap dirinya. Apatah lagi, dia bersahabat baik dengan abang kepada siswi itu.
Namun… Abdul Azim merasakan sesuatu yang berat. Mohamad Salahuddin bin Mohd Firdaus… Lelaki itu penuh misteri. Kenapa dalam ramai-ramai jejaka, Qistur Ruwaidah berjumpa dengan bekas rakan sekelasnya itu? Kenapa Qistur Ruwaidah tidak sudi bertemu dengan dirinya dengan berjumpa di mana-mana sepertimana siswi itu lakukan untuk Mohamad Salahuddin?

Tuan penulis nak masuk campur: Abdul Azim bin Uthman… Kau ni, kan! Kau nakkan Qistur Ruwaidah, mestilah kau yang kena aturkan langkah nak jumpa! Takkan Qistur Ruwaidah pula! Mohamad Salahuddin pun sendiri mengambil langkah inisiatif untuk ajak berjumpa. Aduhailah! Abdul Azim oh Abdul Azim! Kenapalah kau tak berapa bijak sangat pasal ni? Takkan aku nak kena ajar pasal bab ni? (Tepuk dahi!)

‘Mohamad Salahuddin… Memang kau sesuatu,’ bisik hati Abdul Azim.
Akan tetapi, Abdul Azim pandai menyembunyikan resah hatinya dengan memberikan reaksi normal tatkala dia terserempak dengan Mohamad Salahuddin di klinik tadi. Pertemuannya dengan Mohamad Salahuddin semuanya kebetulan. Aneh sungguh dia rasakan. Bukannya dia tidak perasan wajah Mohamad Salahuddin sedikit terkejut dan bicaranya sedikit gagap tatkala dirinya menegur lelaki itu.
‘Kenapa kau macam cuak je apabila terjumpa aku, Din? Kau ada sembunyikan sesuatu yang kau tak puas hati pasal aku ke?’ soal hati Abdul Azim.

SEJAK pertemuan di antara Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah di Kafe KENMS dahulu, hubungan mereka berdua mula menjadi akrab sepanjang semester satu sesi 2015/2016 itu. Seringkali Qistur Ruwaidah berhubung dengan mahasiswa itu jika dia mempunyai masalah.
Tambahan pula, Mohamad Salahuddin rajin mendengar masalah mahasiswi itu. Selain itu, dia juga tidak lokek berbelanja untuk siswi itu sama ada dalam bentuk makanan, minuman atau barangan sebagai tanda dia hendak memancing hati insan itu dalam diam. Juga, dia terkesan dengan kisah masa lalu perempuan itu. Dia cuba membantu Qistur Ruwaidah dengan semampunya.
Apa yang membuatkan Mohamad Salahuddin bertambah jatuh hati dengan gadis itu, gadis itu jenis menerima apa jua yang diberikan olehnya tanpa banyak soal. Bahkan, Qistur Ruwaidah sentiasa mengucapkan terima kasih kepadanya tanpa jemu.
Apabila tibanya cuti semester satu sebelum memasuki semester dua sesi 2015/2016 itu, Mohamad Salahuddin sudah bersedia untuk memperkenalkan adiknya, Sakeenah kepada Qistur Ruwaidah. Dia tidak pernah lupa akan keinginan adiknya itu untuk berjumpa dengan sang penulis itu, cuma dia masih menunggu waktu yang sesuai.
Kepada Sakeenah, dia telah memaklumkan akan pertemuan itu. Betapa gembira bukan kepalang adiknya itu. Sakeenah siap berpesan kepada abangnya itu agar memaklumkan kepada Qistur Ruwaidah supaya mereka bertiga berpakaian sedondon warna biru tua. Mohamad Salahuddin tersengih akan permintaan adiknya itu. Nampak gaya, memang adiknya itu sengaja memasukkan jarum sekali dalam perjalanan buat dirinya meraih hati Qistur Ruwaidah tetapi dia suka sahaja akan idea adiknya itu.
Mohamad Salahuddin mula menghubungi mahasiswi itu. “Assalamualaikum Qist.”
Kedengaran Qistur Ruwaidah menjawab panggilannya. Suaranya sangat relaks dan bersahaja. “Waalaikummussalam Din. Kenapa hubungi aku?”
“Emm... Qist. Kau lapang tak esok? Aku nak pertemukan kau dengan seseorang kalau kau okey,” jawab Mohamad Salahuddin.
“Wah, siapa nak jumpa aku! Boleh sangat! Insya-Allah, aku lapang je,” nada Qistur Ruwaidah kedengaran penuh teruja.
Mohamad Salahuddin tersenyum tatkala dia mendengar intonasi siswi itu. Andailah Qistur Ruwaidah tahu bahawa sebenarnya pertemuan ini merupakan salah satu taktik bagi dirinya memancing hati sang siswi itu selain adiknya mahu bertemu dengan perempuan itu, pasti siswi itu tidak mahu bertemu dengan dirinya. “Aku tak boleh nak beritahu. Esok jelah kau akan tahu siapa. Dah lama sangat dia nak jumpa kau. Kita jumpa kat Pusat Beli-Belah Adenium. Pukul 10.30 pagi. Dia minta kau pakai baju warna biru tua.”
“Amboi, siapalah agaknya gerangan yang nak jumpa aku tu! Siap minta aku pakai baju warna tu lagi tapi okey juga. Taklah aku buntu nak pilih warna apa. Kalau macam tu, kita jumpa esok. Insya-Allah, seperti yang dijanjikan.”
Pada keesokan harinya, Qistur Ruwaidah tiba di Pusat Beli-Belah Adenium. Dia segera bergegas ke Taman Saujana, sebuah tempat rehat mini yang tersedia di dalam pusat beli-belah tersebut bagi mana-mana pengunjung ingin melepak mahupun berehat di situ.
Ketika itu, mata Qistur Ruwaidah tertangkap kepada Mohamad Salahuddin sedang membaca buku yang tersedia di rak Taman Saujana itu. Berpakaian sedondon seperti dirinya, iaitu berkemeja kasual rona biru tua, berseluar khakis rona hitam berserta kasut kanvas.
‘Eh! Dah kenapa pula si Din pakai baju warna biru tua juga ni?’ bisik hati Qistur Ruwaidah.
Namun begitu, dia malas untuk memikirkan tentang itu. Dia pula mengenakan tudung bawal satin rona hitam bidang 60, berblaus labuh muslimah paras punggung material denim rona biru tua, berseluar palazo rona hitam serona dengan tudungnya dan berkasut sandal. Huluran salam diucapkan kepada jejaka itu. “Assalamualaikum Din,” ucap Qistur Ruwaidah.
“Waalaikummussalam,” ucap Mohamad Salahuddin seraya menutup buku tersebut. Dia menghulurkan senyuman kepada insan itu. Sudah sampai pun. Betapa hatinya melonjak riang seperti kanak-kanak ribena.
“Err… Sebenarnya, kau ke yang nak jumpa aku, Din? Sebab kau seorang je ni,” bicara Qistur Ruwaidah.
“Nampak je aku keseorangan tapi bukan aku orangnya. Orang tu ada kat belakang kau,” terang Mohamad Salahuddin seraya menunjukkan jarinya telunjuknya ke arah seseorang.
Qistur Ruwaidah mula menoleh ke belakang. Kelihatan seorang remaja perempuan kecil molek sedang tersenyum kepadanya. Berpakaian tudung labuh bulat rona biru tua, berblaus muslimah serona tudungnya, berskirt rona hitam dan berkasut kanvas. Wajahnya amat seiras dengan Mohamad Salahuddin.
Kelihatan Mohamad Salahuddin menghampiri ke arah remaja itu seraya memegang kedua-dua belah bahu perempuan itu. “Aku perkenalkan adik aku, Sakeenah. Boleh panggil dia Keena. Dialah orang yang teringin sangat nak jumpa kau.”
Sakeenah terus menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan Qistur Ruwaidah. Tangan remaja itu disambut mesra oleh Qistur Ruwaidah. “Alahai, comelnya Keena ni. Kecil molek je orangnya. Abangnya pula tinggi,” respons Qistur Ruwaidah, ceria.
Mohamad Salahuddin tersenyum. Waktu itu, dia dapat merasakan bahawa perempuan itu sangat berjiwa keibuan dan penuh kelembutan. Sakeenah pula tersengih mendengar kata-kata Qistur Ruwaidah.
“Adik aku ni memang rendah orangnya. Orang ingat dia darjah empat. Padahal, tahun ni dah tingkatan tiga. Nak PT3 dah pun. Kesian… Rendah sangat,” terang Mohamad Salahuddin, selamba.
“Eii… Abang Long ni, kan! Mulalah nak cari pasal dengan Keena lagi!” kata Sakeenah seraya mencubit lengan abangnya itu.
Qistur Ruwaidah ketawa akan telatah dua beradik itu. Betapa dia merasakan bahawa Sakeenah seronok memiliki seorang abang seperti Mohamad Salahuddin. Begitu juga akan dirinya. Dia juga beruntung memiliki seorang abang seperti Suhaibul Umar. Bezanya, abang Sakeenah itu kuat menyakat manakala abangnya pula pendiam.
“Tak sangka kau ni kuat menyakat orangnya, Din,” kata Qistur Ruwaidah seraya tersenyum.
“Abang Long ni memang Kak Qist! Suka sangat cari pasal dengan Keena! Penat tahu nak layan Abang Long ni,” Sakeenah mula mengadu akan sifat abangnya itu.
“Mengadalah! Dah dapat jumpa kakak kesayangan dia tu, mulalah nak mengadu,” Mohamad Salahuddin mengenakan adiknya lagi.
“Kakak kesayangan?” soal Qistur Ruwaidah. Hairan.
“Aku banyak bercerita pasal kau kat dia. Dia seronok sangat nak kenal kau dengan lebih lanjut. Ha Keena! Beritahulah apa yang Keena nak sangat Kak Qist tahu. Kak Qist nak tahu jawapan tu,” terang Mohamad Salahuddin.
Sakeenah tersenyum seraya mengeluarkan sesuatu dari begnya. Kelihatan dua buah novel berada di tangannya itu, lalu ditunjuknya kepada Qistur Ruwaidah. Qistur Ruwaidah tersentak. Itu novel ‘Prangko Salsabila’! Hasil tulisannya sendiri.
“Macam Abang Long cakap tadi, Abang Long banyak cerita pasal Kak Qist kat Keena lepas Keena terjumpa novel ‘Prangko Salsabila’ ni. Memang kebetulan Keena nak beli novel sebab semua novel dah habis baca. Sekali, Keena ternampak novel Kak Qist ni. Terus Keena beli. Dalam tahun lepas Keena beli novel ni. Bukan Keena seorang je tahu yang beli. Abang Long pun beli juga novel Kak Qist. Itu yang ada dua buah novel ‘Prangko Salsabila’ ni,” terang Sakeenah.
“Allah…” ucap Qistur Ruwaidah. Sebak hatinya. Terus dipeluknya Sakeenah itu. “Terima kasih sebab sudi beli novel Kak Qist ni. Kak Qist terharu sangat,” ucapnya.
“Sama-sama Kak Qist. Kak Qist jangan menangis pula,” bicara Sakeenah dengan nada perlahan.
Qistur Ruwaidah melepaskan dakapan itu seraya tersengih kecil. “Tak adalah. Mana ada Kak Qist menangis.”
Hati Mohamad Salahuddin tersentuh tatkala dia melihat situasi itu. Dia merasakan bahawa Qistur Ruwaidah mula menyayangi adiknya itu. Tambahan pula, dia mengetahui bahawa perempuan itu tiada adik perempuan jika adik kembar lelakinya itu masih hidup. Kelihatan Qistur Ruwaidah memandang dirinya itu. “Kau pun beli juga, Din?”
“Haah. Sebagai tanda sokongan untuk kau,” terang Mohamad Salahuddin.
Qistur Ruwaidah bertambah terharu akan sokongan dua beradik itu. “Maafkan aku sebab aku terlupa nak beritahu kau pasal pelancaran novel ni. Mujur adik kau terjumpa novel aku ni.”
Mohamad Salahuddin menggelengkan kepalanya dengan perlahan. “Tak apa, Qist. Aku tak kisah. Apa-apa pun, tahniah untuk kelahiran novel ni. Memang jalan ceritanya seronok dan mudah difahami. Aku berjaya habiskan novel kau dalam masa satu jam lebih je sebab muka suratnya tak tebal sangat pun.”
“Alhamdulillah. Aku gembira dapat maklum balas daripada kau. Jomlah kita duduk. Baru aku sedar, kita ni dah berdiri agak lama juga.”
Mereka bertiga berjaya menemui tempat lepak yang agak tersorok daripada pengunjung lain.
“Macam mana pula komen Keena pasal novel Kak Qist ni? Okey tak?” Qistur Ruwaidah mula berinteraksi dengan Sakeenah. Dia sudah selesa bersama remaja itu. Lagipun, memang karakternya mudah masuk dengan semua orang walaupun dia baru sahaja mengenali seseorang itu.
“Memang seronok! Keena baca berulang kali tahu. Keena tertanya-tanya juga, macam mana Kak Qist boleh suka tulis novel? Bukan semua orang suka menulis,” balas Sakeenah.
Qistur Ruwaidah mula membuka kisah tentang penglibatan awalnya dalam aktiviti menulis karya kreatif itu. “Sebenarnya, apa-apa pun bermula dengan membaca tapi tak semestinya, orang yang suka membaca akan suka menulis. Asalnya, Kak Qist suka membaca je. Masa umur Kak Qist 13 tahun, sekolah Kak Qist pernah anjurkan pertandingan menulis cerpen bagi pelajar tingkatan satu dan dua. Semua pelajar wajib sertai. Kak Qist cuba jelah tulis cerpen pasal pengorbanan seorang ayah. Dulu, Kak Qist tulis cerita guna pen dan kertas kajang je tahu. Sekarang, taip cerita guna laptop je. Alang-alang Kak Qist pun dah ada laptop. Lepas tu, Kak Qist cuba kembangkan cerpen yang Kak Qist nukilkan tu jadi sebuah novel pula. Lama-lama, Kak Qist rasa seronok pula menulis dan sampai sekarang, Kak Qist jatuh hati dengan penulisan karya kreatif.”
“Wah, menariknya! Kak Qist menang pertandingan tu tak?”
“Alhamdulillah. Dapat juara. Masa tu, Kak Qist pun tak sangka sebab tu merupakan kali pertama Kak Qist tulis cerpen untuk pertandingan. Biasanya, Kak Qist tulis cerpen untuk subjek Bahasa Melayu je. Nak kata Kak Qist betul-betul minat menulis masa tu, taklah sampai tahap jatuh hati macam sekarang ni.”
Mohamad Salahuddin turut mendengar perbualan dua orang perempuan itu dan tidak menyampuk apa-apa, namun dia tertarik akan kisah perjalanan Qistur Ruwaidah terjebak dalam dunia penulisan karya kreatif. Biarlah adiknya sahaja bersembang dengan perempuan itu.
“Macam mana Kak Qist dapat idea untuk menulis?” tanya Sakeenah.
“Dari bahan bacaan, memerhati dunia sekeliling, dengar kisah orang, tonton televisyen, bahkan dengan melihat barang pun boleh dijadikan idea juga tahu. Sama macam novel ‘Prangko Salsabila’. Kak Qist boleh dapat idea dengan hanya tengok koleksi setem kawan sekolah Kak Qist dulu. Perkataan ‘Prangko’ pula, Kak Qist cari perkataan seerti dengan ‘setem’ di kamus atas talian Dewan Bahasa dan Pustaka atau DBP sebab semua orang tahu perkataan ‘setem’. Oleh sebab tu, Kak Qist nakkan kelainan,” terang Qistur Ruwaidah.
“Wah, ada ya kamus atas talian DBP! Keena tahu Kamus Dewan warna merah tu je.”
“Ada. Namanya Pusat Rujukan Persuratan Melayu atau PRPM. Kat situ, mudah je Keena. Macam Kamus Dewan, kita kena cari kata dasar dulu, kan? Kat PRPM, tak perlu taip kata dasar. Boleh taip dengan letak imbuhan sekali. Selain tu, PRPM pun ada kamus Bahasa Inggeris. Ada juga bahagian ‘Khidmat Nasihat’. Misal kata Keena ragu-ragu dengan sesuatu ayat, perkataan atau apa-apa tentang Bahasa Melayu, boleh ajukan soalan kat ‘Khidmat Nasihat’ tu. Sebenarnya, banyak lagi fungsi PRPM. Nanti Keena boleh godek-godek ya.”
“Menariknya! Ni kali pertama Keena dapat tahu pasal PRPM. Apa nama pautan (link) laman web tu, Kak Qist?” kata Sakeenah seraya mengeluarkan telefon pintarnya untuk mencatat nama pautan laman web Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) di aplikasi ‘Notes’.
“,” jawab Qistur Ruwaidah. Dia telah menghafal nama pautan laman web tersebut.
Kelihatan Mohamad Salahuddin juga turut mencatat nama pautan laman web yang diberikan oleh mahasiswi itu di telefon pintarnya. ‘Wah, info baru ni! Berguna sangat untuk tugasan aku nanti. Bagusnya kau, Qist. Nampaknya, hati aku tak pernah salah untuk kau,’ bisik hati kecilnya itu.
“Kak Qist… Boleh tak Keena nak autograf Kak Qist?” pinta Sakeenah seraya tersengih. Sebenarnya, dia malu untuk meminta autograf daripada si penulis tetapi alang-alang dia sudah bersua muka dengan penulis itu, dia tidak mahu mensia-siakan peluang itu. Apatah lagi, perempuan itu merupakan insan yang diminati oleh abangnya.
Qistur Ruwaidah tersenyum. “Mestilah boleh. Mari sini novel-novel tu.”
Sakeenah menyerahkan kedua-dua buah novel itu kepada Qistur Ruwaidah. “Ni Keena punya. Yang tak balut tu, Abang Long punya,” katanya seraya menunjukkan sebuah novel yang berbalut dan sebuah novel lagi tidak berbalut.
“Wah, Keena balut novel ya! Rajin sungguh,” puji Qistur Ruwaidah.
“Mestilah! Keena tak boleh kalau tak balut novel-novel yang Keena beli.”
“Samalah Kak Qist pun. Tak boleh juga kalau novel tak berbalut. Nak nangis rasa.”
“Yeah, kita ganglah, Kak Qist!” Sakeenah bersorak ceria seraya dia memberikan high five kepada Qistur Ruwaidah. Lalu, Qistur Ruwaidah menyambutnya gembira. Terasa sinergi dan serasi itu.
“Amboi, seronok betul kau orang berdua ni ya! Kita ni dibuat macam halimunan je,” barulah Mohamad Salahuddin bersuara.
“Eh, Abang Long ada rupanya! Ingatkan dah hilang kat Gua Santubong tadi,” perli Sakeenah.
“Taklah. Bukan Gua Santubong. Jauh sangat tu. Abang Long pergi jumpa Tok Gaharum kat Gua Semangka tadi.”
Qistur Ruwaidah ketawa terbahak-bahak mendengar perbualan Mohamad Salahuddin dan adiknya itu. Dia mula menyenangi dua beradik itu sedalam hatinya. “Kau orang berdua ni, kalau tak bertekak sekejap, tak boleh ke?” tanyanya seraya tersengih.
“Boleh sangat Kak Qist tapi Keena kena tunggu Abang Long balik UIA dulu. Kan Abang Long suka cari pasal dengan Keena. Barulah Keena tak bertekak dengan Abang Long. Aman sikit hidup Keena,” terang Sakeenah.
“Eh eh budak ni!” kata Mohamad Salahuddin seraya menyentuh awning tudung adiknya. Senang sahaja dia hendak membuli adiknya itu.
“Abang Long!” Sakeenah menjerit kecil seraya membetulkan semula awning tudungnya itu.
Bertambah ketawalah Qistur Ruwaidah menyaksikan adegan dua beradik itu. Memang Mohamad Salahuddin dan Sakeenah tidak penat bertekak sesama mereka. “Isy, kau orang ni! Dah, dah. Kak Qist nak tandatangan autograf ni.”
Lalu, dua beradik itu berhenti bertekak. “Kak Qist, ejaan nama Keena lain sikit tahu,” kata Sakeenah.
“Ha, macam mana nak eja nama Keena?” tanya Qistur Ruwaidah.
“S-A-K-E-E-N-AH,” jawab Sakeenah, ceria.
Qistur Ruwaidah mula menulis nama Sakeenah itu. “Wah, ikut ejaan Arab sungguh ni! Ada dua harakat untuk huruf ‘ya’ (?) kat nama Keena tu,” responsnya.
“Haah. Mak ayah kita orang belajar Bahasa Arab kat Jordan dulu dalam tempoh empat bulan. Kan Abang Long?”
“Haah Keena,” jawab Mohamad Salahuddin.
Kelihatan Qistur Ruwaidah menulis sesuatu dalam novel milik Sakeenah itu. Lalu, dihulurkan kembali novel tersebut kepada remaja itu. Dia mengambil pula novel milik Mohamad Salahuddin. “Din, ejaan nama kau S-A-L-A-H-U-D-D-I-N, kan? Seingat akulah kalau ikut senarai kedatangan kelas kita dulu.”
“Wah, memang kau ingat ejaan nama aku ya!” respons Mohamad Salahuddin.
“Mestilah aku ingat sebab aku suka tengok senarai kedatangan kelas. Secara tak langsung, aku hafal ejaan nama-nama kawan aku,” balas Qistur Ruwaidah seraya menulis sesuatu di dalam novel tersebut. Dihulurkan semula kepada jejaka itu.
“Jom kita tangkap gambar, Kak Qist,” pinta Sakeenah.
“Mestilah boleh untuk Keena,” balas Qistur Ruwaidah seraya tersenyum manis kepada remaja perempuan itu.
“Abang Long, tolong tangkapkan gambar kita orang,” pinta Sakeenah seraya menghulurkan telefon pintarnya kepada abangnya itu.
Mohamad Salahuddin mengangguk seraya mengambil telefon pintar milik adiknya itu. “Okey, sedia ya. Satu, dua, tiga.”
Qistur Ruwaidah dan Sakeenah memberikan gaya formal terlebih dahulu bersama novel ‘Prangko Salsabila’ itu. Kemudian, gaya bebas pula. Ternyata Sakeenah sangat gembira dapat berjumpa dengan penulis kegemarannya itu.
“Abang Long, masuklah pula,” kata Sakeenah seraya tersengih nakal. Dia tahu abangnya mahu bergambar dengan gadis itu sebenarnya.
Mohamad Salahuddin menggeleng perlahan. Walhal, sebenarnya hatinya mahu sangat bergambar dengan siswi itu. Cuma, dia risau Qistur Ruwaidah menjadi tidak selesa pula. “Tak apalah, Keena. Takut Kak Qist tak selesa pula.”
“Eh, tak adalah, Din! Aku okey je. Kau pun salah seorang pembaca aku. Mestilah aku okey je nak bergambar dengan kau. Jomlah,” pelawa Qistur Ruwaidah.
Hati Mohamad Salahuddin bersorak gembira. Dia segera menghampiri perempuan itu untuk berdiri di sebelahnya dan jaraknya tetap dijaga. Jantungnya berdegup kencang tatkala dia menghampiri mahasiswi itu meskipun dia tidaklah berdiri terlalu dekat dengan Qistur Ruwaidah. Kelihatan perempuan itu relaks sahaja.
“Okey, satu, dua, tiga,” kata Sakeenah seraya menangkap gambar dengan menggunakan telefon pintarnya.
Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah berada dalam gaya formal terlebih dahulu. Kemudian, gaya bebas pula.
‘Manisnya! Nampak macam kekasih sangat. Dahlah pakai baju warna lebih kurang sama. Aku harap sangat Abang Long akan bersatu dengan Kak Qist. Amin!’ bisik hatinya setelah dia menangkap gambar dua orang kawan itu. Kemudian, dia menghilangkan dirinya seketika.
“Terima kasih Qist,” ucap Mohamad Salahuddin, tenang. Lebih tenang berbanding tadi.
“Sama-sama Din. Terima kasih juga sebab temukan aku dengan adik kau. Aku gembira sangat dengan perjumpaan hari ni,” balas Qistur Ruwaidah.
Tiba-tiba…
“Abang Long, Kak Qist, jom tangkap gambar bertiga,” kata Sakeenah seraya membawa staf yang bertugas di Taman Saujana itu. Pantas betul.
Tanpa banyak bicara, mereka bertiga mula bersedia untuk menangkap gambar secara bertiga pula. Sudahlah semuanya berpakaian sedondon.
Usai staf tersebut menangkap gambar mereka bertiga, Sakeenah mengucapkan terima kasih kepada staf yang bertugas itu.
“Nanti Keena whatsapp gambar-gambar ni kat Kak Qist dan juga, Abang Long,” beritahu Sakeenah.
“Boleh Keena. Nanti Keena minta nombor Kak Qist kat Din ya. Sekarang, jom kita pergi makan. Kak Qist belanja Keena dan Din,” kata Qistur Ruwaidah.
Tiba-tiba Mohamad Salahuddin menyampuk. “Eh, tak perlulah Qist! Buat susah-susah je,” katanya.
“Kau dah banyak belanja aku, Din. Apa salahnya aku belanja kau pula? Keena sekali. Aku okey jelah. Ha, Keena. Nak makan apa? Cakap je.”
“Yeay! Kak Qist nak belanja! Ikut Kak Qist nak belanja kat mana-mana pun. Keena okey je. Abang Long pun tak kisah juga.”
Setelah mendengar jawapan Sakeenah itu, Qistur Ruwaidah tersenyum. Dia tahu tempat makan yang ingin dibawanya itu untuk dua beradik tersebut. Tidak lain tidak bukan, KFC!

DI bilik Sakeenah, Sakeenah tersenyum-senyum membaca bait kata yang ditulis oleh Qistur Ruwaidah dalam novel tersebut. Biarpun ringkas tetapi tetap menggembirakan hatinya.

Teristimewa buat Sakeenah,
Terima kasih kerana sudi mendapatkan novel ini. Semoga bermanfaat dan terinspirasi.

Di bawah kata-kata itu, disertakan tandatangan si penulis itu.
Dia masih teruja dan gembira dengan perjumpaan tadi. Ternyata Qistur Ruwaidah itu sangat ramah sehingga dia juga menjadi senang hati dengan penulis itu. Tidak sombong langsung dan sangat berpengetahuan dalam dunia penulisan dan juga, dunia buku. Siap belanja makan untuk dirinya dan abangnya. Banyak perkara yang dibual dan dikongsikan oleh Qistur Ruwaidah kepada dua beradik itu di KFC tadi.
Bukan seperti beberapa orang penulis yang pernah ditemui olehnya. Kebanyakannya agak sombong, namun tidak bagi penulis bernama Qistur Ruwaidah itu. Dia makin menyukai kawan abangnya itu.
Selain itu, dia juga tidak lupa untuk menerjah laman web PRPM yang telah disebut oleh Qistur Ruwaidah. Benarlah kata sang penulis itu. Laman web itu mudah untuk digunakan dan terdapat banyak kegunaan. Insya-Allah boleh membantu dirinya dalam Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi subjek Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
Andai dia berjaya dan meraih keputusan cemerlang bagi kedua-dua subjek itu hasil bantuan PRPM, dia ingin berterima kasih kepada si penulis itu. Dia juga tidak lupa mendoakan agar perempuan itu terbuka hati untuk Mohamad Salahuddin. Dia sanggup buat apa sahaja demi abangnya itu kerana abangnya merupakan segala-galanya buat dirinya. Paling penting, abangnya sangat bersifat pelindung!
‘Kak Qist… Kalaulah Kak Qist tahu Abang Long suka kat Kak Qist, Kak Qist beruntung sangat. Abang Long tu penyayang sangat tahu walaupun dia suka cari pasal dengan Keena tapi Abang Long seorang pelindung untuk Keena. Kalaulah Kak Qist kahwin dengan Abang Long, Kak Qist akan jadi perempuan paling beruntung. Abang Long takkan sia-siakan Kak Qist,’ bisik hati Sakeenah itu.
Di bilik Mohamad Salahuddin pula…
Seperti Sakeenah, Mohamad Salahuddin juga tersenyum-senyum membaca kata-kata yang dititipkan oleh Qistur Ruwaidah.

Buat Salahuddin,
Terima kasih kerana sudi mendapatkan novel ini. Aku terharu sangat dan aku tidak menyangka kau sudi menyokong aku dalam dunia penulisan ini. Terima kasih juga kerana menjadi kawan terbaik aku. Aku hargai kehadiran kau dalam kehidupan aku selama ini.

Tandatangan si penulis itu disertakan sekali di bawahnya.
‘Sama-sama Qist. Aku pun gembira jadi kawan kau. Dah lama kau curi hati aku sejak dulu, Qist. Aku nak halalkan hubungan aku dan kau jika diizinkan oleh Allah tapi kau akan sudi tak, Qist? Setiap hari aku mohon pada Allah agar hati aku diberi ketetapan untuk kau. Semakin lama, aku rasa tenang bersama kau dan aku nak kahwin dengan kau.’
Sejak Mohamad Salahuddin mula jatuh hati terhadap Qistur Ruwaidah hampir tiga tahun lalu, seringkali dia bertanya pada Maha Pencipta melalui solat sunat istikharah. Mulanya, dia rasa kabur dan keliru. Namun begitu, hatinya kini semakin yakin dan tenang akan pilihannya itu. Tambahan pula, pertemuannya bersama perempuan itu di alam ijazah semakin akrab.
Kini, Mohamad Salahuddin sudah bersedia untuk meneruskan fasa seterusnya, iaitu meluahkan perasaannya kepada Qistur Ruwaidah serta dia juga sudah bersedia dari aspek kewangan, fizikal dan mental untuk menjaga anak dara orang. Jadi, rasanya tiada masalah bagi dirinya untuk berkahwin sewaktu belajar kerana ibu bapanya juga berkahwin ketika belajar. Pasti ibu bapanya mengizinkan dirinya untuk berkahwin waktu belajar juga.
Tambahan pula, setelah Mohamad Salahuddin mengetahui latar belakang Qistur Ruwaidah yang telah kematian ibu bapa serta adik-beradiknya itu dan dia hanya memiliki seorang abang sahaja yang masih hidup, membuatkan dirinya semakin tekad untuk menjaga perempuan itu sepenuh jiwa raganya.
Namun begitu, dia sedia maklum bahawa Qistur Ruwaidah pernah mengatakan kepadanya bahawa perkahwinan tiada dalam senarai impiannya buat sementara waktu tetapi dia tetap juga ingin mencuba. Sama ada luahannya diterima atau ditolak, itu belakang kira. Apa yang penting, dia perlu berusaha terlebih dahulu.
Satu perkara sahaja yang merisaukan Mohamad Salahuddin, iaitu abang Qistur Ruwaidah. Dia takut jika abang perempuan itu tidak boleh menerima dirinya kerana dia masih ingat lagi akan kata-kata perempuan itu bahawa abangnya sangat susah untuk rapat dengan seseorang.
Bukan niat Mohamad Salahuddin mahu merampas atau memisahkan kasih sayang Qistur Ruwaidah daripada Suhaibul Umar itu. Sejuta kali bukan itu niatnya tetapi nalurinya untuk memiliki keluarga sendiri dan mencurahkan rasa cintanya terhadap perempuan itu kian membuak-buak dan dia mahu mendapatkan gadis itu dengan cara terhormat melalui abang perempuan itu.
Sejujurnya, Mohamad Salahuddin takut untuk menghadap Suhaibul Umar. Sekiranya ayah Qistur Ruwaidah masih hidup, logiklah juga dia kurang rasa takut untuk berhadapan dan berkenalan dengan Suhaibul Umar terlebih dahulu sebelum dia menghadap ayah perempuan itu tetapi masalahnya, lelaki itu merupakan wali teratas selepas almarhum Encik Isyraf Imrani. Bukannya ada pengantara lain. Ah, bimbangnya dia!
Bagaimanakah kalau Suhaibul Umar tidak suka akan dirinya? Bagaimanakah jika sang wali itu tidak merestui dirinya untuk berkahwin dengan gadis yang amat dicintainya itu? Bagaimanakah kalau lelaki itu tidak membenarkan adiknya berkahwin sewaktu masih belajar?
Bagaimana? Bagaimana? Bagaimana? Persoalan demi persoalan membaluti diri Mohamad Salahuddin itu.
‘Isy, mana boleh macam tu, Din! Kau kena bersangka baiklah dengan abang Qist. Mana tahu abang Qist jenis okey je sebenarnya. Kau je fikir yang bukan-bukan. Nak tak nak, kau kena berani berdepanlah dengan abang Qist! Bukannya jadi pengecut! Kau nak adik dia, mestilah kau kena hadap wali dia. Kau nak pikat hati Qist, mestilah kau kena pikat hati abang Qist juga. Okey Din. Kau kena serius! Jangan dibuat main pasal kahwin ni,’ bisik hatinya dengan penuh tekad.
Perjumpaan mereka berdua di Pusat Beli-Belah Adenium itu tadi juga telah membuatkan Mohamad Salahuddin bertekad untuk memberitahu ibu bapanya tentang hasrat hatinya itu. Dia harus segera mempercepatkan urusan jodohnya itu dan dia risau jika ada lelaki lain atau lebih tepat, Abdul Azim yang lamar dulu sebelum dirinya untuk Qistur Ruwaidah itu. Dia tidak mahu terlambat.
Lantas, dia segera berjumpa dengan ibu bapanya yang sedang berada di ruang tamu itu. Kelihatan Sakeenah juga turut bersama orang tua mereka. Ah bagus! Mudah bagi dirinya memberitahu kepada seluruh ahli keluarganya itu.
“Mak, ayah…” panggil Mohamad Salahuddin seraya melabuhkan punggungnya di atas sofa menghadap ibu bapanya itu.
“Ya Along,” respons kedua-dua ibu bapanya itu.
“Along ada perkara penting nak beritahu ni,” umum Mohamad Salahuddin.
“Teruskan Along. Kami dengar,” kata Encik Mohd Firdaus.
Tanpa rasa cuak dan takut, Mohamad Salahuddin terus memberitahu hasratnya itu. Dia benar-benar sudah bersedia. “Along nak kahwin.”
Terlopong kedua-dua ibu bapa Mohamad Salahuddin itu akan kata-kata anak sulung mereka itu. Sakeenah juga agak terkejut sebenarnya. Walhal, mereka berdua baru sahaja berjumpa dengan Qistur Ruwaidah pada pagi tadi. Tidak sangka abangnya mahu memaklumkan secepat ini kepada ibu bapa mereka berdua. Namun begitu, dia tetap gembira akan berita tersebut untuk abangnya itu.
“Tak ada angin, tak ada ribut, tiba-tiba je Along cakap Along nak kahwin. Along tak pernah beritahu mak pun,” kata Puan Zaidah.
“Bukan niat Along tak nak beritahu mak ayah. Along perlukan ruang dan masa terlebih dulu. Sekarang, Along dah sedia. Baru Along ada kekuatan nak beritahu mak ayah pasal ni,” terang Mohamad Salahuddin.
“Budak perempuan tu dari mana? UIA?” tanya Encik Mohd Firdaus.
Mohamad Salahuddin mula membuka cerita tentang Qistur Ruwaidah kepada ibu bapanya dan juga perkenalan awalnya dengan mahasiswi itu. Termasuklah kisah lalu yang dihadapi oleh perempuan itu.
“Maknanya, Qist masih tak tahulah yang Along suka kat dia?” tanya Puan Zaidah.
“Belum lagi, mak. Along cadang nak beritahu Qist apabila Along sambung belajar semula dalam bulan Februari nanti,” terang Mohamad Salahuddin.
“Pasal Qist, ayah tak ada masalah. Ayah restu dengan pilihan Along. Ayah okey je Along nak kahwin dalam masa terdekat ni. Memandangkan Along pun bekerja sambilan, memang ayah percaya Along boleh jaga Qist.” beritahu Encik Mohd Firdaus.
“Mak okey je Along nak kahwin sekarang tapi mak kurang berkenanlah dengan calonnya tu,” terang Puan Zaidah.
Penjelasan Puan Zaidah itu membuatkan Encik Mohd Firdaus, Mohamad Salahuddin dan Sakeenah sangat terkejut.
“Laa… Dah kenapa pula Ida rasa tak berkenan dengan Qist? Abang okey je dengan budak tu. Berdasarkan Along punya cerita, elok je budak Qist tu. Kalau tak, macam manalah Along boleh setia suka kat budak tu dari umur Along 18 tahun. Mak ayah Qist pun dah tak ada. Eloklah anak kita nak jaga dia. Sekurang-kurangnya, terbela juga kehidupan Qist kalau Along kahwin dengan dia. Apa-apa terjadi kat abang Qist, sekurang-kurangnya Along ada,” Encik Mohd Firdaus melontarkan hujahnya berkenaan rasa kurang setuju Puan Zaidah itu.
“Entahlah tapi hati Ida ni rasa Qist bukan terbaik untuk Along,” jawab Puan Zaidah, ragu-ragu. Tidak pasti dengan apa yang diungkap olehnya sendiri.
Mendengar jawapan Puan Zaidah, Mohamad Salahuddin terus memasuki perbualan ibu bapanya itu. “Emm… Ayah okey, mak pula tak okey. Mak… Dah lama sangat Along jatuh hati kat Qist. Mak izinkanlah Along luahkan hasrat Along ni kat Qist. Mungkin mak rasa macam tu sebab mak tak jumpa lagi orangnya. Insya-Allah, mak dah jumpa Qist nanti, mak akan suka dia.”
“Ialah, ialah. Ikut suka kamulah, Along. Mak tak boleh nak halang. Betul juga cakap Along. Mak tak jumpa lagi orangnya,” balas Puan Zaidah. Dia mengalah dengan pilihan anak sulungnya itu dan dia sendiri tidak mahu memanjangkan cerita lagi berkenaan hal ini. Biarlah Mohamad Salahuddin melakukan sendiri keputusannya itu. Lagipun, anak sulungnya itu sudah berumur 21 tahun dan cara berfikirnya juga sudah matang. Dia bukannya kanak-kanak lagi.
Mohamad Salahuddin tersenyum puas.
Setelah mereka berbual mengenai isu jodoh Mohamad Salahuddin itu, masing-masing mula meninggalkan ruang tamu untuk beradu di kamar tidur. Saat itu, Mohamad Salahuddin berasa amat tidak sabar untuk memberitahu hasrat sucinya itu kepada Qistur Ruwaidah bersama restu ahli keluarga yang turut mengiringinya. Ingin sahaja dia memberitahu waktu itu juga, namun akalnya berpesan supaya bersabar dan jangan tergopoh-gapah.
Masih banyak masa lagi untuk dirinya itu.
Mohamad Salahuddin menatap gambar-gambar di antara dirinya dan Qistur Ruwaidah yang telah dihantar oleh Sakeenah menerusi WhatsApp. Sebuah tekad dijulang dalam atmanya itu. Dia tidak mahu mempedulikan lagi akan soal hati Qistur Ruwaidah terhadap Abdul Azim. Kini, sudah tiba masa bagi dirinya bertindak tanpa rasa ragu-ragu lagi. Juga, dia tidak mahu melukakan lagi kalbunya itu.
Sudah sampai had bagi Mohamad Salahuddin memendam rasa terhadap Qistur Ruwaidah sejak tahun 2013 sehinggalah tahun 2016 ini dan dia tidak menyalahkan Qistur Ruwaidah yang tidak menyedari isi hatinya itu. Dia menyalahkan dirinya sendiri kerana dia memendam perasaannya sehingga dirinya sudah cukup terluka, merana dan merintih pilu. Sedangkan, siswi itu tidak mengetahui langsung. Ya, bukan salah Qistur Ruwaidah!
Tekad! Noktah buat seorang Mohamad Salahuddin bin Mohd Firdaus itu.
‘Qistur Ruwaidah… Satu hari nanti, akan aku pastikan bahawa kau jadi milikku. Aku takkan mengalah untuk kau biarpun hati kau masih ada Azim! Dah terlalu lama sangat kau menghentak jiwaku ni untuk dapatkan kau. Aku tetap nak cuba raih hati kau biarpun kau pernah cakap kahwin tiada dalam senarai impian kau buat masa ni. Aku tak peduli dan aku takkan kalah dengan Azim! Din… Kau serahkan semuanya kat Allah. Kau dah usaha dan kau pun dah istikharah. Allah Maha Mendengar soal hati kau! Allah tak tidur!’ bisik hatinya.
Lalu, Mohamad Salahuddin memejamkan matanya. Melepaskan segala urusan duniawi buat sementara waktu.

Boleh jenguk di IG tuan penulis: @bintuqist untuk melihat lukisan bagi babak pertemuan di antara Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah di Pusat Beli-Belah Adenium.

Share this novel

Atirah Amalina
2021-07-10 01:17:26 

Alalala qist... aku paham perasaan kau, nak2 si azim tu masih berlegar dalam life kau kan,, siap kenal rapat dgn suhaib pulak. mmg makin payah nak lupakan. Takpe qist, percayalah ada insan lain yg sudi tunggu kau.. dekat aje dgn kau, ce gosok mata tu sikit, kot terang sikit pandangan mata tu hahaha


NovelPlus Premium

The best ads free experience