PADA suatu malam, Qistur Ruwaidah sedang menggosok pakaian sekolahnya bagi persediaan hari persekolahan pada keesokan harinya. Sementara itu, Suhaibul Umar pula sedang berusaha untuk menyiapkan kerja sekolahnya. Dia memberikan peluang kepada adiknya terlebih dahulu untuk adiknya menggosok pakaian sekolahnya itu.
Tiba-tiba…
“Alamak! Baju sekolah adik terbakarlah, abang!” kata Qistur Ruwaidah, lalu dia menunjukkan baju sekolahnya yang telah terbakar pada bahagian pesak itu sehingga berlubang akibat dia memasang suhu yang agak tinggi pada seterika tersebut.
Seterika itulah menjadi alat untuk Mak Long Rauzah mendera Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah serta seterika itu jugalah menjadi alat untuk dua beradik itu menggosok pakaian sekolah mereka berdua.
Namun begitu, mereka berdua telah menerima hakikat dengan ujian yang hadir silih berganti tanpa henti. Tubuh mereka berdua juga sudah terlalu banyak meninggalkan kesan melecur, luka, parut dan lebam. Akan tetapi, Maha Suci Allah yang memberikan kekuatan yang cukup luar biasa sehingga dua orang anak yatim piatu itu masih boleh bertahan sehingga kini.
“Mari abang tengokkan,” kata Suhaibul Umar.
Qistur Ruwaidah menyerahkan baju tersebut kepada abangnya. Suhaibul Umar memeriksa di bahagian yang terbakar itu.
“Emm… Abang cuba jahitkan,” kata Suhaibul Umar lagi seraya mencapai selembar benang berwarna putih.
Qistur Ruwaidah dapat melihat abangnya terkial-kial untuk memasukkan benang tersebut ke dalam lubang jarum. Juga, dia dapat melihat abangnya terkial-kial untuk menjahit pada bahagian yang terbakar itu. “Abang okey?” tanyanya.
“Macam susah sikit tapi abang cuba juga. Nanti, mesti adik malu nak pergi sekolah kalau pakai baju terbakar macam ni,” kata Suhaibul Umar.
Agak sukar untuk Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah mempunyai dua pasang pakaian sekolah sahaja. Sepasang lagi pakaian sekolah mereka berdua sedang digantung dalam bilik air untuk disidai di luar rumah pada keesokan harinya.
Meskipun rumah Mak Long Rauzah mempunyai mesin basuh, namun dua beradik itu tidak pernah dibenarkan untuk menggunakannya. Segala pakaian mereka berdua hanya boleh dibasuh dengan menggunakan tangan sahaja.
Bertambah menyedihkan buat Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah apabila kasut sekolah mereka mula lusuh dan terdapat beberapa bahagian yang telah koyak. Namun begitu, segala keperluan sekolah mereka berdua tidak dipedulikan oleh Mak Long Rauzah. Kerjanya, dia hanya akan membayar yuran persekolahan tetapi biasanya, dia akan sengaja membayar lewat yuran bulanan tersebut. Mujur dia baik dengan pengetua sekolah tersebut.
Tambahan pula, Mak Long Rauzah sudah mengugut anak-anak saudaranya itu agar mereka berdua tidak menghebahkan kegiatannya itu kepada sesiapa pun. Dia tahu benar akan ketakutan dan trauma yang dialami oleh Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah setelah dua beradik itu diseksa bertalu-talu. Kalau ikut perkiraannya, sudah masuk bulan kelapan dia mendera anak-anak yatim piatu itu sejak tahun lepas, iaitu dua minggu selepas kematian suaminya itu.
Demi suaminya, Megat Arif bin Megat Jafri, dia akan terus menyeksa dua orang anak saudaranya itu. Dia peduli apa Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah itu bernasabkan nama adiknya, Isyraf Imrani. Dia kisah apa akan adik iparnya, si Mahfuzah binti Daud yang telah bersusah payah mengandungkan dan melahirkan putera dan puterinya itu sejak sembilan dan tujuh tahun lepas. Mereka berdua sudah berada dalam kubur. Bukannya dua orang si mati itu tahu apa yang terjadi.
Apa-apa pun, dia sudah bercadang hendak menghentikan sesi persekolahan anak-anak saudaranya itu pada pertengahan tahun ini atau pada akhir tahun ini. Bergantung pada budi bicaranya.
Tidak kuasa lagi untuk dirinya memikirkan tentang masa hadapan anak-anak kecil itu. Apa mahu jadi pada masa hadapan Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah itu, dia tidak peduli! Janji, dua orang anak yatim itu merupakan tempat untuk dia melampiaskan amarahnya dengan sesuka hati.
Begitu kejamnya Mak Long Rauzah terhadap dua beradik itu dalam menyeksa jasad, mental, jiwa, kehidupan dan masa hadapan mereka berdua tanpa belas kasihan.
PADA awal tahun persekolahan dahulu, Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah melewati hari-hari persekolahan dengan penuh ceria dan gembira kerana sekolah sahajalah merupakan tempat untuk mereka berdua melupakan segala kesedihan dan kesakitan yang membaluti diri tentang keadaan di rumah.
Namun begitu, hari demi hari, sekolah bukan lagi menjadi tempat untuk dua beradik itu mencapai kegembiraan kerana para guru mula berputus asa di atas sikap Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah yang semakin hari tidak menyiapkan kerja sekolah sehingga menimbulkan rasa benci dan sakit hati oleh setiap guru yang mengajar dua beradik itu.
Setiap kali dua beradik itu sering diasak dengan pertanyaan “Kenapa awak tak pernah siapkan kerja sekolah?”, dua beradik itu hanya diam membisu kerana bimbang mereka berdua akan bersuara tentang kegiatan ibu saudara mereka berdua itu.
Di kelas Suhaibul Umar…
“Siapa tak hantar kerja sekolah lagi, sila angkat tangan,” kata Cikgu Mawar.
Perlahan-lahan Suhaibul Umar mengangkat tangannya. Perasaan takut mula membaluti dirinya. Dia mengetahui bahawa dia akan dimarahi lagi oleh guru disiplin itu.
Cikgu Mawar menghampiri meja anak murid itu, lalu dirotannya pada permukaan meja belajar Suhaibul Umar.
PANG!
“Kamu lagi, Suhaibul Umar! Kenapa kamu tak pernah nak siapkan kerja sekolah cikgu! Kamu buat apa kat rumah, ha!” bentak Cikgu Mawar.
PANG! Sekali lagi, meja anak murid itu dirotan dengan kuat. Suhaibul Umar hanya menundukkan wajahnya. Sehingga kini, dia ingat akan pesanan ibu saudaranya itu agar dia tidak menghebahkan perlakuan wanita itu kepada sesiapa pun. Dia rela didenda dan dimarahi oleh guru-gurunya.
“Suhaibul Umar!” panggil Cikgu Mawar.
Anak muridnya itu hanya diam membisu sehingga membuatkan Cikgu Mawar hilang sabar terhadap kanak-kanak itu, lalu ditariknya tangan Suhaibul Umar untuk berada di hadapan kelas.
Tatkala itu, Suhaibul Umar hanya mampu menundukkan wajahnya. Dia berasa amat malu apabila dia perlu berhadapan dengan situasi tersebut. Sebuah situasi yang bukan dikehendaki olehnya.
“Murid-murid, inilah contoh pelajar yang tak pernah siapkan kerja sekolah! Kalau macam nilah sikap seorang pelajar, boleh berjaya ke?” Cikgu Mawar mula bersuara di hadapan anak-anak murid yang lain.
“Tak cikgu!” satu kelas menjawab serentak.
“Kamu dengar tak, Suhaib? Kalau macam nilah perangai kamu, sampai bila-bila kamu takkan boleh berjaya. Cikgu tak tahu apa masalah kamu dan adik kamu tak pernah siapkan kerja sekolah yang cikgu bagi tapi cikgu dah tak larat nak marah kamu setiap kali adanya kelas cikgu. Bukan cikgu je marah dan geram dengan kamu tapi semua cikgu yang ajar kamu meluahkan perkara yang sama pasal kamu. Apabila kami tanya kenapa kamu tak pernah siapkan kerja sekolah, kamu diam,” beritahu Cikgu Mawar.
Suhaibul Umar masih diam membisu. Tipulah kalau dia tidak berasa sedih di atas kata-kata yang dilontarkan oleh gurunya itu. Sebolehnya, dia mahu jadi anak murid yang baik dan disayangi oleh para guru, namun dia menyedari bahawa dirinya tiada di hati guru-guru yang mengajarnya, hanya kerana dia tidak pernah menyiapkan kerja sekolahnya.
Ingin dia meluahkan dari kalbunya, ‘Sebab saya selalu kena pukul dengan Mak Long saya. Saya kena buat kerja rumah yang Mak Long saya suruh sampai saya tak sempat nak siapkan kerja sekolah yang semua cikgu bagi’, namun dia tidak mampu menzahirkannya.
“Tadah tangan kamu,” arah Cikgu Mawar.
Perlahan-lahan, Suhaibul Umar menghulurkan tapak tangan kirinya itu.
PANG! Dia telah menerima hukuman rotan sebanyak 15 kali di atas tapak tangannya. Setelah dirinya menerima hukuman rotan itu, dia menggosok kedua-dua belah tangannya bagi mengurangkan kesakitan yang dialami olehnya.
“Kamu pergi berdiri kat luar kelas. Kalau kamu ada dalam kelas ni, cikgu tak boleh nak ajar,” luah Cikgu Mawar.
Suhaibul Umar mengangguk, lalu langkahnya mula meninggalkan kelas tersebut. Kemudian, dia berdiri di sebelah pintu kelas. Begitulah rutin hariannya, iaitu didenda untuk berdiri di luar kelas.
“Okey murid-murid. Hari ni kita akan belajar topik baru, iaitu ‘Cita-Cita Saya’. Sila buka buku teks muka surat 30,” kedengaran suara Cikgu Mawar memulakan kelasnya.
Suhaibul Umar mencuri pandang di sebalik tingkap kelas itu. Hatinya berbisik sesuatu. ‘Wah, seronoknya kawan-kawan aku belajar topik baru! Aku kena dengar ni.’
Setelah dia mendengar satu persatu penerangan demi penerangan guru itu dari luar kelasnya, hatinya berbisik lagi. ‘Apa cita-cita aku masa besar nanti? Tak pernah fikir pula. Aku kena pergi perpustakaan dengan adik waktu rehat nanti. Hari tu, aku ada jumpa buku pasal cita-cita. Ha! Mungkin kat situ aku tahu aku nak jadi apa. Satu lagi, aku nak cari maksud perkataan ‘dera’. Dari hari tu aku asyik lupa je.’
‘Tapi kan… Kalau aku dah tahu apa cita-cita aku, mestilah aku kena belajar bersungguh-sungguh. Bukannya tak siapkan kerja sekolah langsung. Cikgu Mawar pun cakap aku tak boleh berjaya kalau aku macam ni tapi… Macam mana aku nak siapkan kerja sekolah semua cikgu aku? Aku asyik kena pukul dengan Mak Long je,’ bisik hatinya lagi.
Dia mula menggaru kepalanya yang tidak gatal itu.
‘Macam manalah adik kat kelas dia? Okey ke tak?’ soal hati sang abang sambil merenung awan putih bersama langit kebiru-biruan itu.
Di kelas Qistur Ruwaidah pula…
Sementara menunggu ketibaan guru bagi subjek seterusnya, Qistur Ruwaidah menghabiskan masanya dengan membaca buku teks subjek kegemarannya, iaitu Bahasa Melayu memandangkan tiada seorang pun yang ingin berkawan dengannya lagi kerana dia telah dipulau oleh semua kawannya. Baginya, aktiviti membaca buku itulah dapat menjadi teman akrabnya.
“Rasyid sedang melukis ikan manakala Aisyah sedang menyapu lantai,” Qistur Ruwaidah petah membaca ayat yang dikarang dalam buku teks tersebut.
Tiba-tiba beberapa gumpalan kertas dibaling ke arahnya sehingga membuatkan dirinya terganggu.
“Siapa baling ni! Kenapa baling kat kita!” marah Qistur Ruwaidah.
Kelihatan beberapa gumpalan kertas dicampak lagi ke arahnya. Terdengar suara-suara ejekan yang begitu menyakitkan telinga Qistur Ruwaidah itu.
“Buweek!”
“Kalau awak baca buku pun, bukannya awak pernah siapkan kerja sekolah pun!”
“Cikgu tak suka kat awaklah, Qist!”
“Eii… Kenapa baju dan kasut awak koyak? Awak ni miskin ke?”
“Kita orang tak nak kawan dengan awak. Awak jahat!”
Ejekan demi ejekan itu membuatkan Qistur Ruwaidah mula menangis. Sekali lagi, dia diejek oleh kawan-kawan sekelasnya.
“Eii… Qist menangislah! Dah besar pun nak nangis.”
Mahu tidak mahu, Qistur Ruwaidah terpaksa mendengar ejekan demi ejekan itu. Betapa dia memerlukan abangnya waktu ini. Abangnya sahajalah sudi berkawan dengan dirinya di sekolah ini. Semua orang sudah tidak mahu berkawan dengannya lagi.
Hendak mengadu kepada ibu bapanya, ibu bapanya sudah tiada. Dia segera mengesatkan air matanya itu, lalu langkahnya mula mencapai penyapu dan penyodok bagi membersihkan gumpalan kertas di sekitar lantai mejanya itu. Dia tidak mengendahkan lagi ejekan-ejekan kawan-kawan sekelasnya itu.
‘Mama baba… Kenapa mama baba tinggalkan Qist dan Abang Suhaib? Mama baba tak sayang Qist dan Abang Suhaib ke?’ soal hatinya sambil dia menyapu gumpalan-gumpalan kertas tersebut di bahagian lantai mejanya itu.
‘Mama baba… Kenapa Qist dan Abang Suhaib tak ikut sekali macam Kak Qina, Dik Harraz dan Dik Harzan ya? Eh, kau tak boleh sedihlah, Qist! Kau kena gembira. Kan Abang Suhaib dah ajar. Kalau sedih, senyum,’ bisik hatinya lagi.
Serta-merta, dia terus mengukir senyuman apabila dia teringatkan pesanan abangnya jika dia berasa sedih. Benar kata abangnya itu. Senyuman dapat menenangkan kalbunya yang dirundung kesedihan. Kemudian, dia meletakkan kembali penyapu dan penyodok ke tempat asalnya, lalu dia melabuhkan punggung di atas kerusi dan meneruskan pembacaannya itu.
Tidak lama kemudian, guru subjek Matematik, iaitu Cikgu Salwa mula melangkah masuk ke kelasnya. Cepat-cepat Qistur Ruwaidah memasukkan buku teks Bahasa Melayu ke dalam beg sekolahnya, lalu dikeluarkan pula buku teks Matematik.
“Selamat pagi cikgu!” laung salah seorang rakan Qistur Ruwaidah, iaitu Hazim selaku ketua kelasnya.
“Selamat pagi cikgu!” laung semua murid itu.
“Selamat pagi murid-murid. Sila duduk,” ucap Cikgu Salwa.
“Cikgu!” panggil salah seorang rakan Qistur Ruwaidah, iaitu Thuufah Kamilah.
“Ya Thuufah. Kenapa?” respons Cikgu Salwa.
“Tadi, Qist marahkan kami satu kelas.”
Qistur Ruwaidah tersentak. Sudah kenapa pula si Thuufah Kamilah sengaja mencari fasal? Sedangkan dia telah dibuli dengan dibaling gumpalan kertas oleh rakan-rakannya tadi sebelum ketibaan Cikgu Salwa.
Cikgu Salwa memandang Qistur Ruwaidah. Memang dia cukup pantang mendengar nama itu atau apa sahaja yang dilakukan oleh anak murid itu waima tindakannya itu benar ataupun tidak. Sama seperti Cikgu Mawar, dia juga sudah naik meluat dan menyampah akan muridnya itu.
“Cikgu, saya…” belum sempat Qistur Ruwaidah hendak membela dirinya, Cikgu Salwa mula menuju ke arah mejanya.
“Apa lagi awak buat, Qist! Tak habis-habis menyusahkan cikgu dan kawan-kawan awak yang lain!” tengking Cikgu Salwa.
Isk… Isk… Isk… Air mata Qistur Ruwaidah mula menemaninya di saat dia menerima tengkingan itu. ‘Mama, baba… Cikgu-cikgu dan kawan-kawan, semua tak suka Qist. Kalau mama baba ada, mesti Qist tak kena marah dengan cikgu,’ bicara hatinya.
Kedengaran rakan sekelasnya mentertawakannya. Dia pasrah dengan kehidupannya di sekolah ini.
Tiba-tiba dia dibawa oleh Cikgu Salwa untuk pergi ke suatu tempat. Sebelum Cikgu Salwa meninggalkan kelas yang diajari oleh beliau, beliau meninggalkan pesanan kepada ketua kelas. “Hazim, tolong tengokkan kawan-kawan awak. Kalau ada yang bising, tolong catat nama. Cikgu nak pergi bawa Qist kat tempat lain sekejap.”
“Baik cikgu,” akur Hazim.
Kelihatan Qistur Ruwaidah dibawa oleh Cikgu Salwa di kawasan kaki lima sekitar tingkat satu kerana kelasnya berada di tingkat dua. Tiba-tiba, mereka berdua ternampak kelibat Cikgu Laili bersama Suhaibul Umar.
“Eh Laili! Kau buat apa kat sini?” tegur Cikgu Salwa.
“Aku buat apa kat sini? Mestilah nak bagi denda kat Suhaib ni. Macam biasalah budak ni. Tak siapkan kerja sekolah. Penat tahu asyik nak marah je. Kau pun sama ke?” balas Cikgu Laili.
“Ya, samalah aku. Qist gaduh dengan kawan-kawan kelas dia. Geram jugalah aku. Dahlah kerja sekolah yang aku suruh buat, tak pernah nak siap. Penatlah aku jadi cikgu Matematik dia ni. Alang-alang tu, kita dendalah budak-budak ni kutip sampah. Bagi pengajaran sikit,” balas Cikgu Salwa dalam nada geram.
“Okey juga tu. Aku setuju.”
Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah hanya berpandangan sesama mereka berdua apabila mendengar perbualan dua orang guru tersebut. Fahamlah dua beradik itu bahawa mereka berdua bakal dikenakan denda.
“Suhaib, Qist. Kamu nampak tak sampah-sampah tu?” soal Cikgu Salwa.
“Nampak cikgu,” jawab dua beradik itu serentak.
“Pastikan kamu berdua kutip sampah-sampah tu sampai tak ada sampah kat kawasan tu. Selagi kami tak datang, selagi tu kamu berdua jangan pergi ke mana-mana. Faham?”
“Faham cikgu,” akur dua beradik itu.
“Pergi kutip sampah-sampah tu,” arah Cikgu Laili pula.
Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah mula menjalankan denda yang diberikan oleh dua orang guru itu. Terbongkok-bongkok dua beradik itu mengutip sampah demi sampah. Kelihatan dua orang guru tersebut mula meninggalkan dua beradik tersebut untuk mengajar subjek masing-masing di kelas.
“Adik okey?” tanya Suhaibul Umar sewaktu mereka berdua membuang sampah secara serentak ke dalam tong sampah.
Qistur Ruwaidah menghadiahkan senyuman kepada abangnya itu. “Okey je. Cuma, adik penat sikitlah kutip sampah ni.”
“Emm… Betul ke Cikgu Salwa cakap adik gaduh dengan kawan-kawan adik?”
“Taklah. Adik tak gaduh pun dengan kawan-kawan adik. Masa Cikgu Salwa tak masuk kelas lagi, adik tengah baca buku. Adik tak kacau siapa-siapa pun. Tiba-tiba kawan-kawan adik baling kertas kat adik. Adik pun marahlah tapi kalau adik cakap kat cikgu pun, cikgu takkan percaya cakap adik.”
“Kalau cikgu tak percaya cakap adik, abang percaya cakap adik. Abang tahu adik budak baik.”
“Adik budak baik? Wah, abang je cakap macam tu kat adik! Tak ada cikgu yang cakap adik ni budak baik tahu.”
“Tak apa adik. Abang kan ada. Adik jangan sedih tahu,” kata Suhaibul Umar seraya memegang bahu dan mengusap tubuh belakangnya seketika. Masih terasa bisa penderaan yang dilakukan oleh Mak Long Rauzah pada dua hari lepas.
“Abang rasa sakit lagi Mak Long pukul abang?” tanya Qistur Ruwaidah.
“Haah. Abang rasa sakit lagi tapi abang tak naklah layan sangat. Okey, jom kita kutip sampah lagi. Nanti Cikgu Laili dan Cikgu Salwa nak tengok tempat ni dah bersih,” kata Suhaibul Umar.
Lalu, dua beradik itu menjalankan semula aktiviti mengutip sampah sambil membongkokkan tubuh.
Setelah Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah membersihkan kawasan tersebut, mereka berdua melepaskan lelah di bangku yang berdekatan.
“Penatlah,” luah Qistur Ruwaidah.
Suhaibul Umar tersenyum melihat adiknya itu. “Adik, cuba tengok tempat ni lepas kita dah kutip semua sampah.”
Anak mata Qistur Ruwaidah memerhatikan keadaan sekeliling. “Kenapa abang?” tanyanya sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal itu.
“Adik tak rasa bersih ke? Kan tadi tempat ni kotor,” kata Suhaibul Umar seraya dia menunjukkan jari telunjuknya ke tempat yang telah dibersihkan oleh dirinya dan adiknya.
Barulah Qistur Ruwaidah mengerti akan kata-kata abangnya itu. “Haahlah…”
“Adik rasa seronok tak tengok tempat ni dah bersih sebab kita dah kutip semua sampah?”
“Mestilah adik rasa seronok sebab adik kutip sampah tapi adik penatlah.”
“Tak apa adik. Memang penat tapi Cikgu Ahmad pernah cakap tahu, setiap kali kalau kita buat baik, Allah nampak tahu. Kita dapat pahala.”
“Ooo… Jadi, Allah nampaklah apa kita yang buat tadi?”
“Haah. Allah nampak je. Mesti Allah bagi kita pahala sebab kita dah buat baik tadi.”
Tiba-tiba wajah Qistur Ruwaidah berubah menjadi keruh. “Tapi abang… Kan kita tak pernah siapkan kerja sekolah yang cikgu-cikgu bagi sampai kita kena marah, kena rotan, kena denda berdiri kat luar kelas dan kutip sampah. Allah marah tak? Kita dapat pahala tak?”
Wajah Suhaibul Umar juga mula berubah menjadi keruh apabila menerima soalan sedemikian daripada adiknya. Dia mula menjungkitkan bahunya. “Hmm… Entahlah. Abang pun tak tahu. Abang minta maaf adik.”
“Tak apa abang. Abang… Adik gembira tahu dapat kutip sampah dengan abang hari ni. Rasa macam kita buat kerja sama-sama kat rumah. Cuma, kat rumah ada Mak Long. Kat sini tak ada Mak Long. Tak adalah adik takut kena pukul dengan Mak Long kalau kita pergi sekolah. Adik suka pergi sekolah. Memanglah kita selalu kena marah dengan cikgu. Cikgu dan kawan-kawan tak suka kita tapi adik tetap gembira sebab adik rasa kat sini je adik boleh main dan baca buku dengan abang. Sekarang, abang jelah kawan adik. Adik seronok tahu,” luah Qistur Ruwaidah dalam nada ceria, lalu dia mendakap abangnya itu seketika.
Dia tersengih ceria dalam pelukan abangnya itu, lalu dia meleraikan dakapan tersebut.
“Haah. Abang pun seronok pergi sekolah. Kita boleh buat apa je yang kita suka kat sini. Kalau kat rumah, kita kena ikut apa yang Mak Long suruh buat dan Mak Long suka pukul kita. Emm… Adik ada cakap tadi, abang je kawan adik. Kawan-kawan adik tak nak kawan dengan adik ke?” respons Suhaibul Umar.
“Dulu, memanglah semua orang nak kawan dengan adik tapi lepas adik selalu kena marah dengan cikgu sebab adik tak pernah siapkan kerja sekolah, semua orang tak nak kawan dah dengan adik. Dia orang kata dia orang tak nak jadi budak jahat macam adik. Dia orang cakap macam tulah tapi adik okey je walaupun bosan juga tak ada kawan. Rindulah nak main dengan dia orang.”
“Adik tak ada kawan baik ke?”
“Kawan baik? Ha, ada, ada! Tapi… Dululah adik ada kawan baik. Nama dia Urmah tapi sekarang… Urmah pun dah tak nak kawan dengan adik. Urmah ada kawan baik baru. Nama dia Nazili. Kalau waktu rehat, dia orang mesti pergi kantin sama-sama. Adik tak naklah kacau. Abang jelah kawan baik adik. Hihihi… Abang pula? Abang ada kawan baik tak?”
“Dulu, abang pun ada kawan baik tahu. Nama dia Anas tapi sebab abang ni sama macam adik, tak pernah siapkan kerja sekolah, Anas pun tak nak kawan dah dengan abang. Emm… Abang rindu nak kawan dengan Anas tapi Anas kata abang ni budak jahat. Dia tak nak jadi budak jahat. Tak apalah. Abang ada adik. Adik jadi kawan baik abang pun abang seronok. Adik takkan cakap abang ni budak jahat, kan?”
“Eh, abang tak jahatlah! Abang baik tahu. Abang suka tolong adik. Kalau Anas tak nak jadi kawan dengan abang, adik ada. Adik boleh jadi kawan baik abang.”
Suhaibul Umar hanya mampu menghadiahkan senyuman hambar.
Tipulah jika hati dua beradik itu tidak terkesan akan kehilangan kawan-kawan yang sebelum ini sudi menerima mereka berdua sebagai kawan. Namun begitu, Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah sentiasa cuba untuk belajar menggembirakan hati masing-masing.
“Manalah Cikgu Salwa dan Cikgu Laili ni? Kita dah buang semua sampah ni,” kata Qistur Ruwaidah sambil anak matanya melilau-lilau mencari kelibat dua orang guru tersebut.
“Tulah. Rasa macam lama pula. Tak apalah adik. Kita tunggu je. Kan cikgu kata tadi kita jangan pergi mana-mana sampai cikgu datang. Ha! Apa kata kita zikir dan doa untuk keluarga kita dan Pak Long? Tak adalah kita bosan,” Suhaibul Umar mengusulkan idea.
“Aaa… Boleh, boleh. Eiii… Seronok juga! Mesti keluarga kita dan Pak Long tunggu doa daripada kita, kan abang?”
“Betul. Jom kita buat.”
Lalu, dua beradik itu mula berzikir dalam hati dan memanjatkan doa buat ahli keluarga dan almarhum Pak Long Megat Arif.
SETELAH Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah dibenarkan oleh Cikgu Salwa dan Cikgu Laili untuk meninggalkan kawasan sekitar kaki lima itu bagi menikmati waktu rehat, dua beradik itu menuju ke perpustakaan.
Tangan Suhaibul Umar bingkas mengambil sebuah buku berkenaan senarai cita-cita dan sebuah Kamus Pelajar Edisi Kedua.
“Abang nak buat apa dengan kamus tu?” tanya Qistur Ruwaidah di sisi abangnya itu.
“Adik ingat tak masa Kak Syita bergaduh dengan Mak Long dulu, Kak Syita ada sebut perkataan ‘dera’?” soal Suhaibul Umar kembali.
“Kak Syita ada sebut ‘dera’ ke? Hmm… Adik tak ingatlah abang. Apa maksudnya?”
“Sebab tulah abang ambil kamus ni. Abang pun tak tahu maksudnya.”
Lalu, dua beradik itu melabuhkan punggung mereka berdua di atas kerusi perpustakaan. Qistur Ruwaidah hanya memerhatikan jari-jemari abangnya ligat menyemak helaian halaman Kamus Pelajar tersebut.
Sebelum Puan Mahfuzah meninggal dunia, dia sempat mengajarkan kepada Suhaibul Umar cara menggunakan kamus. Jadi, Suhaibul Umar sudah arif cara penggunaannya.
“Ha, jumpa pun perkataan ‘dera’!” kata Suhaibul Umar dengan nada perlahan.
“Apa maksudnya abang?” tanya Qistur Ruwaidah.
“Sekejap. Abang baca dulu. Nanti abang cakap kat adik.”
Suhaibul Umar mengamati bait demi bait perkataan yang menerangkan maksud ‘dera’ itu secara berkali-kali. Lalu, dia membacakan kepada adiknya dengan nada perlahan.
“Kamus ni kata, ‘dera’ ni maksudnya ‘1 - pukulan dgn rotan (cemeti dll) sbg hukuman. 2 - seksa; hukuman (dgn cara apa jua)’. Abang dah baca tadi tapi abang tak fahamlah,” terang Suhaibul Umar sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia tidak memahaminya. Tambahan pula, kamus tersebut menggunakan perkataan singkatan juga. Nampaknya, dia perlu bertanya kepada seseorang.
“Kalau abang tak faham, adik pun lagilah tak faham. Emm… Apa kata kita tanya Kak Ila? Kak Ila kan baik,” balas Qistur Ruwaidah.
“Boleh ke? Macam mana kalau Kak Ila tanya kenapa kita tanya perkataan ‘dera’ tu?”
“Alaa… Abang cakaplah abang jumpa perkataan ‘dera’ dalam buku. Kan Kak Ila tahu kita memang suka baca buku.”
Bijak juga Qistur Ruwaidah itu dalam memberikan idea tersebut.
“Betul juga. Okey, jom kita tanya Kak Ila.”
Berlalulah dua beradik itu untuk menuju ke arah seorang perempuan yang sedang sibuk melaksanakan tugasnya di hadapan komputer.
“Kak Ila…” panggil Suhaibul Umar.
Perempuan yang disapa Kak Ila itu menoleh ke arah si pemanggil itu. Sebuah senyuman dihadiahkan kepada dua beradik itu. “Ya Suhaib, Qist. Ada apa Kak Ila boleh tolong?”
Khalilah atau lebih dikenali sebagai Kak Ila merupakan seorang pembantu perpustakaan sekolah yang bertanggungjawab untuk mentadbir perpustakaan dengan baik. Sememangnya dia mengenali Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah kerana dua beradik itu selalu berada di perpustakaan pada waktu rehat. Jarang sekali dia melihat dua beradik itu ke kantin. Dia amat menyenangi dua orang kanak-kanak itu kerana mereka berdua rajin juga mengajukan soalan kepada dirinya.
Meskipun dia mengetahui bahawa satu sekolah memboikot dan tidak menyukai Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah gara-gara dua beradik itu terkenal sebagai pelajar yang tidak pernah menyiapkan kerja sekolah, namun dia tetap melayani mereka berdua dengan sebaiknya kerana bagi dirinya, dua beradik itu sangat sopan santun dan berbudi bahasa. Tidak pernah pula dua beradik itu bersikap kurang ajar dengan dirinya seperti apa yang dimaklumkan oleh para guru kepadanya.
Suhaibul Umar menunjukkan Kamus Pelajar tersebut kepada Khalilah. “Suhaib tak faham maksud ‘dera’. Suhaib carilah kat kamus ni. Memang Suhaib jumpa tapi Suhaib tak fahamlah lepas Suhaib baca banyak kali. Nak terangkan kat Qist pun, Suhaib tak faham. Ada perkataan ‘d-g-n’, ‘d-l-l’, ‘s-b-g’. Apa maksud tu?”
Tanpa mengesyaki atau merasa hairan dengan pertanyaan anak kecil itu, Khalilah menyambut kamus tersebut daripada Suhaibul Umar, lalu dia membacakan maknanya.
“Okey. Sebelum Kak Ila terangkan perkataan ‘dera’, Kak Ila beritahu dulu pasal tiga perkataan yang Suhaib dan Qist tak faham. Suhaib dan Qist kena tahu, dalam kamus guna ejaan singkatan sebab nak jimat ruang. Kalau guna ejaan penuh, kamus makin tebal. Satu lagi, perkataan-perkataan tu digunakan banyak kali dalam kamus. ‘D-g-n’ tu maksudnya ‘dengan’. ‘D-l-l’ maksudnya ‘dan lain-lain’. ‘S-b-g’ maksudnya ‘sebagai’. Faham?”
“Faham,” jawab Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah secara serentak.
“Kak Ila tahu ayat kamus ni macam susah untuk Suhaib dan Qist nak faham. Jadi, Kak Ila cuba terangkan ikut apa yang Suhaib dan Qist boleh faham. ‘Dera’ ni maksudnya pukul orang dengan pakai apa-apa alat. Contohnya, macam penyapu dan rotan. Orang yang memukul tu pula, dia pukul kuat sangat sampai badan boleh jadi luka dan sakit. Biasanya, budak-budak macam Suhaib dan Qist nilah yang kena dera dengan orang besar atau dipanggil sebagai orang dewasa macam mak, ayah, pak cik dan mak cik. Mak, ayah, pak cik dan mak cik tu dipanggil sebagai ‘orang dewasa’. Orang yang kena dera ni juga boleh mati sebab selalu kena pukul dengan alat-alat yang macam Kak Ila cakap tadi. Orang yang suka dera ni sebab dia rasa seronok, geram, tertekan ataupun dia marah dengan orang lain tapi orang lain yang kena. Padahal, orang kena dera tu bukannya buat salah pun.”
Tatkala itu, fahamlah Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah bahawa tindakan Mak Long Rauzah menggunakan penyapu dan rotan terhadap mereka berdua selama ini dan dipukul dengan sesuka hati walaupun mereka berdua tidak melakukan apa-apa kesalahan, itulah dipanggil sebagai ‘dera’. Namun begitu, Suhaibul Umar mahu bertanya dengan lebih lanjut, adakah tindakan-tindakan lain yang pernah dilakukan oleh Mak Long Rauzah itu juga dipanggil sebagai ‘dera’?
“Kak Ila, kalau orang tu kena air panas, kena seterika, kena besi panas, kena sepak, tu pun maksudnya ‘dera’ juga ke?” soal Suhaibul Umar.
Khalilah tergamam seketika akan soalan Suhaibul Umar. “Sekejap. Macam mana Suhaib tahu perbuatan-perbuatan tu?”
“Aaa… Suhaib tahu daripada bukulah. Kan Suhaib suka baca buku,” bohong Suhaibul Umar. Nahas dia jika dia membongkarkan bahawa dia dan adiknya merupakan mangsa dera ibu saudara mereka berdua itu.
“Oh betul juga. Ya Suhaib. Tu pun dikira sebagai dera tapi perbuatan yang Suhaib cakap tadi sangat jahat dan kejam. Orang yang kena dera dengan cara macam tu boleh mati.”
Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah berpandangan sesama mereka berdua.
PENERANGAN Khalilah, pembantu perpustakaan sekolah pada waktu rehat pagi itu tadi telah membuatkan Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah memahami makna ‘dera’ dan apa yang mereka berdua telah lalui selama ini bukanlah denda.
Tamat sahaja sesi persekolahan, telah menjadi rutin kebiasaan bagi Qistur Ruwaidah menunggu abangnya di luar kelas jika kelasnya berakhir terlebih dahulu daripada abangnya. Begitu juga Suhaibul Umar akan melakukan sedemikian terhadap adiknya.
Kelihatan Suhaibul Umar melangkah keluar dari kelasnya. Dia tersenyum apabila muncul kelibat adiknya di hadapan kelasnya itu. “Dah lama adik tunggu abang?” tegurnya.
“Tak lama pun,” balas Qistur Ruwaidah.
Berjalanlah dua beradik itu dari sekolah untuk pulang ke rumah Mak Long Rauzah yang memakan masa 30 minit hingga 45 minit. Tambahan pula, memang Mak Long Rauzah sengaja tidak mengambil perkhidmatan van yang disediakan oleh pihak sekolah kepada para pelajar.
Meskipun agak jauh, namun Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah tidak pernah mengeluh. Perjalanan dua beradik itu biasanya dihiasi dengan perbualan atau berzikir pada Ilahi bagi menghilangkan rasa bosan.
“Abang… Boleh tak kita rehat sekejap? Adik tak laratlah,” adu Qistur Ruwaidah. Wajahnya menjadi letih dan pucat.
“Boleh. Kita duduk kat atas bangku tu,” kata Suhaibul Umar seraya menunjukkan sebuah bangku yang tidak jauh dari mereka berdua.
Menujulah dua beradik itu ke tempat yang dimaksudkan oleh Suhaibul Umar, lalu mereka berdua melabuhkan punggung.
Suhaibul Umar mengamati wajah adiknya itu. Pada hari itu, wajah adiknya nampak kurang ceria dan tidak bermaya jika mereka berdua pulang ke rumah. Dia menyentuh dahi adiknya itu. “Adik demamlah! Dahi adik panas ni,” katanya dengan penuh kerisauan.
“Emm… Adik tak larat nak jalan, abang…” balas Qistur Ruwaidah, lemah.
Wajah Suhaibul Umar bertukar menjadi sedih apabila mendengar intonasi adiknya itu. Sudahlah perjalanan mereka berdua masih jauh untuk sampai ke rumah Mak Long Rauzah.
Sebagai seorang abang, pastinya Suhaibul Umar mahu adiknya berada dalam keadaan selesa dan dia tidak sanggup untuk membiarkan adiknya berjalan dalam keadaan demam kerana dia pernah merasainya dahulu, namun adiknya tidak pernah mengetahuinya. Lalu, dia mengubah posisi beg sekolahnya di bahagian hadapan tubuhnya.
“Mari abang dukungkan adik,” kata Suhaibul Umar seraya bercangkung. Dia mahu mendukung adiknya itu.
Qistur Ruwaidah menghampiri abangnya, lalu dia memautkan kedua-dua belah tangannya di atas bahu abangnya dari belakang. Suhaibul Umar memegang erat kedua-dua belah peha adiknya itu agar adiknya tidak terlepas dari dukungannya.
Berjalanlah Suhaibul Umar sambil mendukung adiknya yang berada di belakangnya. Betapa kasihnya seorang abang itu terhadap Qistur Ruwaidah tanpa syarat meskipun tubuhnya juga menjadi penat. Tambahan pula, tubuhnya juga tidak pernah hilang rasa sakitnya itu di atas penderaan yang dilakukan oleh Mak Long Rauzah hampir setiap hari.
“Abang… Adik minta maaf,” ucap Qistur Ruwaidah.
“Kenapa adik tiba-tiba nak minta maaf?” soal Suhaibul Umar dalam nada termengah-mengah, menahan kepenatan dengan berjalan kaki sambil mendukung adiknya serta menggalas beg sekolah, namun dia tetap gembira untuk melindungi dan menyayangi satu-satunya ahli keluarganya yang masih hidup itu.
“Mesti abang penat dukung adik, kan?”
Suhaibul Umar tergelak kecil. Kebahagiaan sementara itu terasa seketika. “Mana adalah. Abang okey je. Mama baba pernah cakap kat abang, abang ni kuat tahu. Kalau abang tak kuat, tak adalah abang boleh dukung adik.”
“Haah… Abang kuat. Adik pun nak jadi kuat macam abanglah,” kata Qistur Ruwaidah.
“Adik pun kuat. Kita sama-sama kuat. Kalau Mak Long dera kita pun, memanglah kita rasa sakit tapi kita kuat sampai sekarang. Macam Kak Ila cakap tadi, apa yang kita dah kena dengan Mak Long, kita boleh mati tahu.”
“Kalau kita mati, mesti kita boleh jumpa mama, baba, Kak Qina, Dik Harraz, Dik Harzan dan Pak Long, kan abang?”
“Mestilah boleh tapi Pak Long ada cakap dulu, kita kena banyak berdoa kat Allah supaya kita dapat jumpa keluarga kita.”
“Sampai je kat rumah nanti, adik nak doa kat Allah. Abang pun doa sekali tahu.”
“Okey adik. Kita doa sama-sama nanti.”
Akhirnya, dua beradik itu tiba di rumah Mak Long Rauzah. Suhaibul Umar menurunkan adiknya daripada dukungannya.
Kelihatan Mak Long Rauzah sedang berhubung dengan seseorang menerusi panggilan telefon di luar rumah. Dua beradik itu segera melangkah masuk ke dalam rumah. Setiap kali munculnya kelibat wanita itu, perasaan takut membaluti mereka berdua sehingga menyebabkan anak-anak kecil itu menjadi pasif dan kurang ceria.
Usai Qistur Ruwaidah dan abangnya mencuci pakaian sekolah mereka berdua, menunaikan solat zuhur berjemaah dan mendoakan buat ahli keluarga mereka berdua serta Pak Long Megat Arif, Suhaibul Umar melipat sejadah miliknya dan adiknya manakala Qistur Ruwaidah menggantungkan telekungnya di atas paku yang dijadikan sebagai penyangkut.
“Hari ni kita nak buat kerja apa, abang?” tanya Qistur Ruwaidah.
“Adik rehatlah. Kan adik demam. Abang nak basuhkan baju sekolah adik tadi, adik tak bagi,” balas Suhaibul Umar.
Qistur Ruwaidah menggelengkan kepalanya tanda enggan. “Adik nak teman abang juga. Kalau abang buat seorang, mesti abang penat.”
Lantas, Suhaibul Umar mendakap adiknya itu. “Tak apa adik. Abang okey je. Jangan fikir abang. Adik kena fikir pasal kesihatan adik. Adik nak cepat baik, kan?”
“Emm… Okey abang. Adik minta maaf tahu sebab tak tolong abang hari ni.”
“Tak apa. Kan adik demam. Adik pergilah rehat.”
Akhirnya, Qistur Ruwaidah membaringkan dirinya di atas tilam nipis tersebut. Suhaibul Umar menyelimuti adiknya itu, lalu dia mengusap rambut adiknya itu. Kelihatan adiknya tersenyum lemah kepadanya. “Abang okey?”
Suhaibul Umar menghulurkan senyuman kembali kepada adiknya itu. “Abang okey je. Adik rehat dulu ya. Abang nak pergi dapur sekejap. Sekejap lagi abang datang balik.”
Berlalulah Suhaibul Umar ke dapur untuk menjerang air panas di atas dapur gas bagi menyediakan air suam untuk dilapkan ke badan adiknya itu.
Dari mana seorang kanak-kanak berumur sembilan tahun itu mengetahuinya? Dia pernah menyaksikan Puan Mahfuzah berbuat demikian sewaktu wanita tersebut hendak menyediakan air suam kerana cerek dapur di rumahnya pernah rosak. Jadi, ibunya pernah menggunakan alternatif tersebut.
“Mama buat apa tu?” soal Suhaibul Umar apabila ibunya sedang mengisi air di dalam periuk besi.
“Mama nak panaskan air kat dapur gas. Cerek elektrik dah rosak,” balas Puan Mahfuzah.
“Ooo… Boleh ya buat macam tu, mama?”
“Boleh sayang tapi bahayalah kalau abang buat. Abang kecil lagi. Kalau abang dah besar sikit, baru mama ajar abang. Okey sayang mama?”
Suhaibul Umar tersenyum gembira apabila mendengar kata-kata ibunya itu. “Okey mama. Abang tak sabar nak belajar!”
Begitulah kenangan lalu antara Suhaibul Umar bersama almarhumah ibunya.
Berulang-alik Suhaibul Umar mengisi air dari paip sinki ke periuk besi yang diletakkan di atas dapur gas. Setelah dia berpuas hati dengan sukatan air tersebut, dia mula menghidupkan dapur gas.
Sementara dia menunggu air mendidih, dia mengamati seketika kulitnya yang semakin memerah dan menggelupas. Teringat pula betapa seksa dan azabnya dia apabila ibu saudaranya tergamak dengan menyimbah air panas ke tubuhnya itu buat beberapa kali.
“Lepas air dah jadi panas, tuang air biasa. Mama pernah cakap air tu jadi air suam. Banyaknya mama pernah ajar aku dulu. Terima kasih mama,” katanya sendirian. Surah al-Fatihah dihadiahkan buat ibu tercinta.
Setelah Suhaibul Umar menyediakan air suam tersebut, dia melangkah masuk ke bilik tidur semula. Kelihatan adiknya sedang memejamkan matanya. Dia mencapai sehelai kain kecil, lalu dimasukkan ke dalam besen.
Akhirnya, dia melabuhkan punggungnya untuk duduk bersebelahan dengan adiknya. Dia mengejutkan adiknya itu buat seketika. “Adik… Abang nak lap badan adik sekejap ya.”
Qistur Ruwaidah membuka matanya. Kelihatan abangnya sedang memerah kain, lalu abangnya mengelap di bahagian mukanya dengan penuh kelembutan. Dia dapat melihat juga betapa wajah abangnya itu sangat penat.
Kemudian, Suhaibul Umar mengelap di bahagian tangan dan kaki Qistur Ruwaidah dengan penuh berhati-hati kerana dia takut adiknya terasa pedih akibat luka daripada hasil penderaan yang masih baharu. “Pedih tak, adik?” tanyanya.
“Tak abang. Adik okey,” balas Qistur Ruwaidah dengan nada lemah.
Usai Suhaibul Umar mengelap keseluruhan tubuh adiknya, dia meletakkan kain tersebut di bahagian dahi adiknya agar demam adiknya itu beransur-ansur kebah.
“Abang pergi buat kerja rumah. Adik tidurlah,” beritahu Suhaibul Umar.
“A…bang,” panggil Qistur Ruwaidah, perlahan.
“Ya adik. Adik nak apa-apa ke?”
“Emm… Adik lapar sangat tapi adik tahu, mesti Mak Long akan marah adik. Mesti kita kena dera lagi.”
Luluh hati Suhaibul Umar mendengar akan kata-kata adiknya itu. Namun begitu, apakah yang boleh dilakukan olehnya? Dia sendiri berasa lapar. Hendak memberitahu kepada Mak Long Rauzah, wanita itu tidak akan mempedulikan permintaan dua beradik itu, malah mereka berdua ‘dihadiahkan’ pula dengan penderaan kerana dia pernah berbuat demikian. Hasilnya, dia dan adiknya tidak diberi makan hampir dua minggu dan hanya dihidangkan air kosong. Kejam!
Pada minggu ini, sudah hampir empat hari mereka berdua tidak diberi makan oleh wanita kejam itu. “Adik tidur ya. Tak adalah adik teringat nak makan,” kata Suhaibul Umar dengan nada sedih.
Qistur Ruwaidah mengangguk perlahan. Itulah sahaja cara untuk dia melupakan rasa lapar biarpun seketika. Tidak lama kemudian, dia pun melelapkan matanya.
Suhaibul Umar tersenyum apabila adiknya sudah tidur. ‘Okey! Aku dah siap uruskan adik. Sekarang, aku nak kena kemas apa-apa yang patut. Nanti Mak Long marah pula,’ bisik hatinya, lalu dia meninggalkan biliknya untuk melakukan kerja-kerja rumah tanpa adiknya itu.
Dalam diam, Qistur Ruwaidah mencuri pandang abangnya itu. Sifat abangnya itu benar-benar mengingatkan dirinya terhadap almarhumah ibunya yang penuh kelembutan dan kasih sayang.
Share this novel