BAB 3

Drama Completed 13621

‘APA! Tak mungkinlah!’ batin Qistur Ruwaidah menjerit apabila melihat keputusan English Placement Test (EPT) dan Arabic Placement Test (APT) yang ditampal pada papan Office of Science Department Program (OOSDP).
Sekali lagi, matanya melihat kepada nama, nombor matrik dan keputusannya. Akhirnya, dia terpaksa akur. Dia mendapat band 5 untuk EPT dan band 2 untuk APT. Sungguh dia tidak boleh menerima hakikat akan keputusan APT tersebut.
Dia keluar dari kelompok para mahasiswa dan mahasiswi yang berebut-rebut untuk melihat keputusan tersebut. Hatinya benar-benar kecewa.
‘Kenapa APT aku dapat band 2 je? Apa aku jawab hari tu? Aku tak kisah sangat pasal EPT tetapi APT aku... Hmm... Entahlah. Terima jelah hakikat APT kau memang band 2. Memang mustahil kau nak tukar jurusan untuk semester ni, Qist.’
Batin Qistur Ruwaidah sudah menangis, namun dia masih menahan air matanya dari merembes keluar. Tunggu bila-bila masa sahaja untuk tumpas.
Dia mencari nombor abangnya. Betapa dia amat memerlukan teman untuk meluahkan apa yang dia sedang rasai kini. Moga abangnya tidak sibuk pada waktu ini.
“Assalamualaikum adik,” kedengaran suara abangnya memberi salam.
Qistur Ruwaidah tersenyum sendirian apabila abangnya mengangkat panggilannya meskipun hatinya sakit, sedih dan kecewa. “Waalaikummussalam abang. Abang sihat?”
“Alhamdulillah. Macam biasalah adik. Adik pula macam mana kat sana?”
Air mata Qistur Ruwaidah tumpas! Dia tidak mampu membendungnya lagi. Suhaibul Umar tersentak mendengar tangisan adiknya.
“Eh, adik. Kenapa ni? Adik tak okey ke kat CFS tu?” Suhaibul Umar amat risau apabila mendengar adiknya menangis.
“Bukan adik tak okey dengan CFS. Alhamdulillah adik okey je. Tak ada masalah pun. Cumanya...” balas Qistur Ruwaidah menahan sedu.
“Cumanya?”
“Adik baru lepas tengok keputusan APT dan EPT kat Science Department ni.”
“Ha, macam mana adik? Okey tak?”
“Emm... Untuk EPT, adik dapat band 5 tetapi keputusan APT-lah. Mesti abang terkejut dengar keputusan APT adik ni.”
“Dah kenapa pula dengan APT adik?”
“Adik dapat band 2.”
Suhaibul Umar tidak percaya apa yang telah didengari olehnya mengenai keputusan adiknya itu. Mustahil adiknya dapat setakat peringkat itu sahaja. Pensyarah salah tandakah kertas adiknya itu?
Jika adiknya meraih band 4 untuk APT, mungkin boleh diterima lagi dan adiknya berpeluang besar untuk menukar jurusan dari Asasi Undang-Undang (LAWS) ke Asasi Bahasa Arab (BAR) tetapi isunya sekarang, adiknya meraih band 2 untuk APT. Memang adiknya tidak berpeluang untuk menukar jurusan bagi semester ini. Adiknya perlu menunggu permohonan dibuka sebelum menghampiri peperiksaan akhir semester satu ini nanti.
Seingat Suhaibul Umar, untuk menukar dari sesuatu jurusan yang menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa pengantar, seseorang pelajar itu perlu mendapat sekurang-kurangnya band 4 bagi APT.
Bekas rakan sebiliknya dulu, iaitu Bahzi juga begitu. Dia juga telah membuat permohonan untuk menukar dari Asasi Bahasa Inggeris ke Asasi Bahasa Arab ketika Minggu Taaruf tetapi permohonannya ditolak kerana Bahzi mendapat band 2 untuk APT. Bahzi tetap bersabar untuk satu semester itu dan belajar bersungguh-sungguh ketika kelas Bahasa Arab. Dia melakukan permohonan buat kali kedua pada akhir semester tahun pertama semester satu. Berkat kegigihan dan kesabarannya mempelajari subjek Bahasa Arab, dia terus dikecualikan dari memasuki kelas Bahasa Arab dan permohonannya untuk tukar dari Asasi Bahasa Inggeris ke Asasi Bahasa Arab diterima.
Sekarang ini, adiknya ibarat sedang buat lawak dengan dirinya sekarang. “Err... Band 2? Adik tak jawab ke apa ni? Abang tak percayalah. Adik buat kelakar ni,” respons Suhaibul Umar, ragu-ragu.
“Laa... Abang ingat adik buat kelakar ke? Tak abang. Ni serius. Adik tak tipu. Tolonglah percayakan adik,” balas Qistur Ruwaidah.
Geram juga dirinya apabila abangnya masih tidak mahu mempercayainya. Apakan daya, dia sudah melakukan sehabis baik untuk peperiksaan tersebut. Setakat itu sahajalah rezekinya.
“Okey, okey. Abang percaya walaupun sebenarnya, susah untuk abang percaya. Tak apalah adik. Akhir semester satu ni nanti, adik cuba yang terbaik untuk APT. Masuk kelas Bahasa Arab nanti, adik belajar bersungguh-sungguh tahu. Jangan menangis lagi, adik. Abang tak boleh kalau adik abang ni menangis. Nanti abang pun ikut menangis sama.”
Qistur Ruwaidah terus meledakkan tawanya di hujung talian apabila mendengar kata-kata akhir abangnya itu. Dia tahu abangnya amat menyayangi dirinya. Dialah segala-galanya buat Qistur Ruwaidah setelah semua ahli keluarganya pergi menghadap Ilahi.
“Okeylah. Adik dah tak menangis. Abang jangan risau. Cuma, adik perlukan masa untuk terima semua ni,” balas Qistur Ruwaidah seraya menyeka air matanya.
“Tak apa adik. Adik ambil masa dulu. Abang tahu situasi ni sangat sukar untuk adik. Mungkin esok abang ziarah adik selepas solat asar. Dalam pukul 5.00 macam tulah. Adik nak apa-apa?” balas Suhaibul Umar. Sebenarnya, dia amat merindui adiknya itu.
“Oh okey. Rasanya, adik tak nak apa-apa. Jumpa esok ya. Adik ada hal sekarang. Assalamualaikum.”
Tanpa menunggu balasan salam abangnya, Qistur Ruwaidah segera mematikan panggilannya.
Suhaibul Umar terpinga-pinga dengan tindakan adiknya itu. ‘Dah kenapa dengan adik aku ni?’
Dia menggeleng kepalanya.

KAFE MAHALLAH (KOLEJ KEDIAMAN) ZAINAB JAHSY (ZC)
Suhaibul Umar memandang adiknya. Riak wajah adiknya itu tidak berapa gembira. Dia faham betapa adiknya sangat kecewa. Dengan berbekalkan keputusan Arabic Placement Test (APT), iaitu band 2, memang tiada harapan untuk adiknya menukar jurusan ke Asasi Bahasa Arab yang memerlukan keputusan APT sekurang-kurangnya band 4.
“Adik nak roti canai?” soal Suhaibul Umar seraya menyuakan roti canai ke arah adiknya.
Qistur Ruwaidah menggeleng. Tiba-tiba dirinya menjadi sangat sensitif. “Adik tak ada selera. Hmm... Kenapa abang susah-susah datang sini? Adik dah okeylah. Jangan risau.”
“Sebab adik tak berapa okey semalam. Adik juga kata adik okey nak jumpa abang. Abang datang nak jumpa adik sebab nak beri semangat kat adik. Abang kenallah adik. Nak sorok apa lagi daripada abang?”
“Habis tu, abang nak suruh adik cakap apa? Adik memang tak ada idea nak cakap apa. Kalau abang datang sini semata-mata nak tengok adik okey ke tak, tak payah datang pun tak apa. Bukannya adik budak-budak lagi.”
Selera Suhaibul Umar terus mati. Dia tersenyum tawar. Nampaknya kehadirannya tidak dihargai oleh adiknya. Dia hadir untuk adiknya kerana perasaan rindu yang cukup mendalam.
Apabila mendengar kata-kata adiknya itu, betapa dia terasa hati. “Tak apalah kalau macam tu adik. Abang balik dululah. Baru abang teringat, abang ada tugasan nak diserahkan kat lecturer esok.”
“Eh, abang kan baru datang. Roti canai ni pun tak habis lagi.”
“Adik habiskanlah. Abang kena balik sekarang.”
Qistur Ruwaidah baru tersedar bahawa kata-katanya itu telah mengguriskan hati abangnya. “Abang, maafkan adik pasal tadi ya. Serius adik tak berniat nak cakap macam tu.”
Suhaibul Umar terus bangun dari tempat duduknya tanpa sepatah bicara dan membiarkan roti canai serta air milo panas yang masih berbaki separuh itu. Hajatnya, dia memang mahu menghabiskan makanan dan minuman tersebut tetapi dek kerana dia terasa akan kata-kata yang begitu tajam menikam daripada adiknya itu hingga hatinya tertusuk pedih, dia terus menghala ke tempat parkir. Dia tidak peduli lagi akan adiknya itu.
Qistur Ruwaidah terkedu akan tindakan abangnya itu. Dia bingkas bangun dari tempat duduknya untuk mendapatkan abangnya. “Abang!” panggilnya.
Suhaibul Umar memandang adiknya. Tidak memberi apa-apa reaksi. Punat kunci kereta Mydi ditekan. Segera pintu kereta dibuka olehnya. Lantas, dia memasuki perut kereta dan menguncinya. Buat masa ini, dia tidak ingin bercakap apa-apa dengan adiknya. Betapa dia amat terasa hati. Dia merasakan bahawa kehadiran dirinya untuk adiknya itu menjadi satu pertemuan sia-sia. Enjin kereta dihidupkan dan dia terus meninggalkan tempat pengajian adiknya itu.
Sekali lagi, Qistur Ruwaidah tergamam akan tindakan abangnya itu. Langkahnya terus terhenti. Buat masa ini, hendak mengejar abangnya dirasakan amat tidak sesuai. Wajahnya penuh kehampaan dan penyesalan. ‘Macam mana aku nak pujuk Abang Suhaib? Memang dia terluka sangat. Ya Allah, ampunilah aku! Moga Abang Suhaib baik-baik je.’
Qistur Ruwaidah memujuk dirinya agar dia tidak mengganggu abangnya dalam situasi begini. Biasanya rajuk Suhaibul Umar paling teruk pun dalam tiga hari sahaja.
‘Maafkan adik, abang,’ bisik hatinya seraya membuang pandangan ke arah awan yang kelihatan mendung tika itu. Dia juga merasakan bahawa dirinya ibarat awan itu dan sedang menunggu masa untuk memuntahkan hujannya. Begitu juga dirinya, hanya menunggu masa penglihatannya bakal bercucuran tangisan duka.

QISTUR RUWAIDAH melilau-lilau mencari kelasnya Bahasa Arab (BA). Dirinya sudah bertekad untuk menerima Asasi Undang-Undang (LAWS) pada semester ini selepas keluarnya keputusan permohonan pertukaran jurusan. Permohonannya ditolak untuk menukar jurusan ke Asasi Bahasa Arab (BAR) kerana Arabic Placement Test (APT) yang diraih olehnya setakat band 2 sahaja. Dia berjanji bahawa dia akan buat yang terbaik untuk subjek BA nanti agar dia dapat menukar jurusan yang dia idamkan.
Asasi Bahasa Arab atau BAR. Ya, itulah jurusan impiannya!
Dia juga telah memaklumkan kepada abangnya dan Sufi Waazin. Abangnya masih tidak merespons apa-apa tetapi abangnya telah membaca whatsapp yang dihantar olehnya. Fahamlah dia bahawa abangnya masih terasa dengan tindakannya.
Sufi Waazin pun turut bersedih di atas keputusan APT yang diraih oleh Qistur Ruwaidah dan permohonan pertukaran jurusan sahabat baiknya ditolak. Sementara itu, dia pula berjaya menempatkan dirinya daripada Asasi Ekonomi dan Sains Pengurusan (ECONS) ke Asasi Kejuruteraan dan Sains Komputer (ENGINE).
Apabila Qistur Ruwaidah telah berjaya menemui kelasnya, dia melihat terdapat beberapa orang mahasiswa dan mahasiswi sudah berada dalam kelas tersebut. Masing-masing memandangnya seketika, kemudian mereka menyambung perbualan semula.
Tanggapannya, mereka tiba pada awal waktu untuk mencari kelas dan masing-masing telah berjaya menyesuaikan diri walaupun baru sahaja mengenali antara satu sama lain atau mungkin mereka sudah kenal sebelum memasuki Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (CFS IIUM) atau barangkali juga mereka merupakan rakan sebilik.
Dia hanya memberi pandangan kosong terhadap mereka yang menjadi rakan sekelasnya untuk semester ini. Fikirannya berada di awang-awangan memikirkan tentang abangnya.
Sejak peristiwa tempoh hari hinggalah Majlis Penutup Minggu Taaruf semalam, sudah tiga hari abangnya tidak menghubunginya. Sungguh hatinya pilu. Walau bagaimanapun, dia berharap akan ada mahasiswi yang akan masuk selepasnya. Bolehlah dia bersembang memandangkan dia jenis bermulut becok sebenarnya.
‘Abang, adik rindu abang,’ bisik hatinya.
Tiba-tiba seseorang mematikan lamunannya. “Ada orang tak kat sebelah?”
Qistur Ruwaidah memandang orang tersebut. Kelihatan mahasiswi tersebut tersenyum kepadanya.
“Tak ada orang pun. Duduklah,” balas Qistur Ruwaidah.
Mahasiswi tersebut melabuhkan punggungnya. “Saya nak tanya. Betul ke ni kelas BA untuk Grup 305?”
“Betullah ni. Insya-Allah tak salah kelas.”
“Fuh, alhamdulillah. Nama siapa? Nama saya Alia.”
“Qistur Ruwaidah. Panggil je Qist.”
Bersembanglah dua orang mahasiswi itu dengan rancaknya sehingga pensyarah tiba ke kelas. Masing-masing mula mendiamkan diri dan memberi tumpuan untuk kelas tersebut.
‘BA level two ni seronok juga rupanya. Rasa macam kembali ke sekolah rendah semula,’ bisik hati Qistur Ruwaidah.
Pada mulanya, dia agak terkejut juga apabila pensyarah tersebut tiba-tiba terus mulakan pembelajaran. Tidak seperti zaman sekolah dahulu, hari pertama biasanya akan ada sesi perkenalan diri terlebih dulu. Namun begitu, hatinya perlahan-lahan mulai menerima peringkat BA tahap dua ini.

SEJAK perkenalan pertama Qistur Ruwaidah dengan Alia Najiha atau nama panggilannya, iaitu Alia, kebiasaannya mereka berdua akan berkepit dan pergi ke kelas bersama-sama memandangkan masing-masing sudah selesa antara satu sama lain. Alia Najiha juga sudah mengetahui tentang keadaan Qistur Ruwaidah yang sudah lama kehilangan ahli keluarga tercinta dan ketidakmahuannya terhadap Asasi Undang-Undang (LAWS).
Namun begitu, Alia Najiha kagum terhadap kawannya itu yang mempunyai semangat juang yang sangat tinggi dan tidak akan sesekali mengalah dalam apa jua cabaran.

WhatsApp Qistur Ruwaidah:
Alia, kau pergilah kelas dulu ya. Aku akan masuk kelas lambat sikit. Ada hal. Jaga tempat untuk aku.
WhatsApp Alia Najiha:
Okey. Kalau kau tak datang pun, beritahu juga ya. Tak adalah aku tertunggu-tunggu kau.
Sejak peristiwa hari itu, Suhaibul Umar tidak menghubunginya ataupun menziarahinya. Selama hari itu jugalah, Qistur Ruwaidah tidak pulang ke rumah. Tanggapan Qistur Ruwaidah bahawa abangnya sangat terasa hati dengannya. Hakikatnya, dia sangat merindui abangnya itu. Jika dia pulang ke rumah dengan menaiki kenderaan awam sekali pun, belum tentu abangnya sudi melayannya.
‘Abang, balaslah whatsapp adik. Tak pun missed call adik. Adik betul-betul rindukan abang,’ hatinya merintih.
Dia memandang skrin telefon bimbit dengan penuh pengharapan. Lama juga dia merenung skrin tetapi hampa. Tiada balasan whatsapp mahupun panggilan masuk daripada abangnya. Dia mengeluh perlahan. Nampak gayanya dia perlu ke kelas. Tiada guna lagi untuk dia menunggu.
Dengan lemah-longlai, dia turun dari katil seraya menyarung tudungnya. Kelas Bahasa Inggeris (BI) sedang menunggunya.
“Apa nama lecturer BI tu? Tiba-tiba tak ingat,” bicara Qistur Ruwaidah sendirian.
Rakan sebiliknya yang lain sudah menuju ke kelas seawal jam 8.00 pagi. Tinggallah dia seorang sahaja yang baru hendak menuju ke kelas pada jam 10.00 pagi. Oleh sebab itulah, dia berani bercakap seorang diri. Jika adanya mana-mana kawan sebiliknya itu, memang tidaklah dia akan bercakap seorang diri. Nanti dicap sebagai orang gila pula.

KELAS Bahasa Inggeris (BI) sudah bermula di KC001, Mahallah (Kolej Kediaman) Khadijah. Nampak gayanya Qistur Ruwaidah tiba agak lewat ke kelas. Perlahan-lahan dia mengetuk pintu seraya membuka pintu.
Terkocoh-kocoh juga dia berjalan dengan pantas dari Mahallah Aisyah ke Mahallah Khadijah yang mengambil masa dalam 10 minit jika dia berjalan dengan pantas. Dalam bangunan Mahallah Khadijah juga, ada beberapa buah bilik yang dijadikan kelas.
“Assalamualaikum madam. Sorry, I’m late. I had an emergency,” Qistur Ruwaidah berbasa-basi dalam BI. Terpaksalah dia menipu pensyarahnya itu memandangkan dia bukan mempunyai apa-apa masalah pun. Hanya sekadar menunggu balasan whatsapp daripada abangnya.
Kebiasannya untuk Qistur Ruwaidah jika dia mempunyai masalah atau dia tidak ada mood, dia tidak akan pergi ke kelas atau lambat masuk ke kelas.
“Waalaikummussalam. It’s alright. Please have a seat. The class had just started,” pensyarahnya membalas dalam BI.
Lega hati Qistur Ruwaidah. Segera dia mengambil tempat duduk. Seperti biasa, dia duduk bersebelahan dengan Alia Najiha.
“Alright students. My name is Nafilah. I’m married but you can call me Miss Nafilah, alright?” Pensyarah tersebut mula memperkenalkan dirinya.
Masing-masing menghamburkan tawa. “Why can’t we call you madam, miss?” Kedengaran Ahmad Mustaqim, salah seorang rakan sekelas Qistur Ruwaidah bertanyakan soalan tersebut.
“Because I feel old if you call me madam,” selamba sahaja pensyarahnya membalas.
Sekali lagi, semuanya ketawa.
Ketika Miss Nafilah sedang mengajar, kedengaran pintu bilik diketuk. Anak mata para mahasiswa, mahasiswi dan Miss Nafilah memandang ke luar. Terdapat tingkap kecil pada daun pintu tersebut.
Kelihatan Miss Nafilah memberi isyarat, tanda mengizinkan kepada pelajar yang berada di luar untuk melangkah masuk ke dalam kelas.
Pintu kelas dibuka. Kelihatan tiga orang mahasiswa melangkah masuk. Dua orang berkaca mata dan seorang lagi tidak berkaca mata.
“Assalamualaikum madam. We are from AED, and we received an instruction saying we are moved to this group. Is this Group 320 for English class?” tanya seorang lelaki yang berkaca mata dan kulitnya bersawo matang dalam BI.
“Waalaikummussalam. Yes, brother. Welcome. You’re in the right class. Please have a seat,” balas Miss Nafilah dalam BI.

Bergeraklah tiga orang mahasiswa itu ke tempat duduk yang kosong. Semua mata tertumpu ke arah tiga orang mahasiswa yang sedang mengambil tempat duduk itu. Kemudian, mata mereka kembali fokus kepada pensyarah di hadapan.

Qistur Ruwaidah, salah seorang turut berada dalam Grup 320 itu sedang memandang ke arah tiga orang mahasiswa dari Asasi Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar itu atau panggilan singkatannya, iaitu AED dengan pandangan penuh pertanyaan. ‘Hmm... Kenapa brothers AED dipindahkan ke sini? Musykil sungguh. Ni kan grup untuk pelajar LAWS je?’
‘Fokus! Fokus! Bukannya masuk peperiksaan pun!’ Qistur Ruwaidah bermonolog lagi dalam hatinya.
Akhirnya, soalan itu berlalu sepi. Walau bagaimanapun, kehadiran tiga orang mahasiswa dari AED itu masih menjadi tanda tanya buatnya.

APABILA tiba kelas Bahasa Inggeris (BI) bersama Madam Izyanie pula pada keesokan harinya itu, pensyarah muda itu meminta para pelajarnya memperkenalkan diri. Untuk kelas BI di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (CFS IIUM) ini, terdapat dua orang pensyarah yang akan mengajar subjek BI mengikut waktu dan hari yang ditetapkan.
Anak mata Qistur Ruwaidah tertumpu kepada salah seorang mahasiswa yang berpakaian Baju Melayu rona ungu, namun dia memakai seluar slack rona hitam, berkaca mata dan berkulit sawo matang dari jurusan Asasi Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar (AED) itu. Bagai ada magnet yang menarik dirinya supaya terus memandang mahasiswa itu sejak mahasiswa itu bertanya tentang Grup 320 kepada Miss Nafilah pada hari semalam.
Mahasiswa itu memperkenalkan dirinya sebagai Abdul Azim. Dia merupakan anak kelahiran Segamat, Johor.
Namun begitu, Qistur Ruwaidah hanya memandang lelaki itu seketika. Kemudian, anak matanya menghala ke arah lain.
‘Abdul Azim. Hmm... Sedap juga nama dia. Muka pun boleh tahan kacaknya,’ bisik hati Qistur Ruwaidah seraya tersenyum dalam diam.
Adakah dia sudah mula menyukai mahasiswa itu? Boleh jadi ya, hatinya terpaut dengan mahasiswa yang berasal dari Johor itu, hanya kerana raut wajah lelaki itu segak memakai cermin mata. Sedap mata memandang orang kata.
Tanggapannya tentang Abdul Azim itu, dia kelihatan sebagai seorang mahasiswa yang agak pendiam tetapi penuh berkarisma. Sememangnya, Qistur Ruwaidah menyukai lelaki yang jenis pendiam dan berkaca mata.
Usai sahaja kelas BI, terdetik hati Qistur Ruwaidah untuk menegur Abdul Azim itu. Sungguh mahasiswa itu bagaikan magnet untuk dia terus mengejarnya. Dia mula menghampiri mahasiswa itu dan memberanikan diri untuk menegurnya serta mendapatkan jawapan mengapa mahasiswa itu dan dua orang rakan AED-nya dipindahkan ke grup LAWS.
“Err… Azim. Maaf nak tanya. Kau belajar kat mana dulu?” tanya Qistur Ruwaidah.
Abdul Azim memandang wajah mahasiswi itu seraya menguntum senyuman. Sememangnya dia murah dengan senyuman. Senyuman itu jugalah mula membuatkan Qistur Ruwaidah jatuh hati terhadap jejaka itu. “Aku belajar kat Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah, Segamat, Johor dulu. Kau?” balas Abdul Azim.
“Aku belajar kat Sekolah Menengah Islam Bisyrunnadwi kat Gombak dulu. Tak jauh pun kalau dari UIA Gombak,” balas Qistur Ruwaidah, ramah.
Abdul Azim mengangguk. Sebenarnya, agak aneh juga mahasiswi itu menegurnya secara tiba-tiba tetapi dia tidaklah mahu berfikiran yang bukan-bukan. Dia beranggapan bahawa mahasiswi itu hanya sekadar mahu mengetahui latar belakang pendidikan sekolah menengahnya dahulu. “Oh okey. Aku pergi dulu ya. Jumpa lagi nanti.”
“Eh, Azim. Sekejap. Sebenarnya, aku nak tanya sesuatu,” kata Qistur Ruwaidah.
“Err… Tanyalah,” balas Abdul Azim. Sebenarnya, dirinya tidak selesa untuk berlama-lama bersama mahasiswi itu walaupun ada sahaja dua orang kawan sejurusan dengannya sedang menemaninya. Namun begitu, atas dasar hormat, dia cuba relaks.

Sejarahnya berlatarbelakangkan sekolah agama dahulu membuatkan dirinya menjadi pemalu dengan mana-mana perempuan kerana amat jarang dia bercakap dengan perempuan. Walau bagaimanapun, dia tidak mahu terlalu bersifat jumud seperti zaman sekolah dulu dan cuba berlatih untuk membiasakan diri dengan berhadapan mana-mana perempuan di zaman asasi ini.
“Boleh aku tahu kenapa kau orang dipindahkan ke grup LAWS? Aku tertanya-tanya sejak semalam,” soal Qistur Ruwaidah.

“Oh. Berkenaan tu, pihak atasan kata sebab kami dan beberapa kawan-kawan AED yang lain dalam lapan orang je dapat BI level five. Kebanyakannya dapat level six dan exempted. Kami bertiga dihantar ke grup 320 manakala kawan-kawan AED yang lain dihantar ke grup LAWS yang lain. Kalau nak adakan level five untuk grup AED pun, tak berbaloi sebab pelajar yang dapat level five tak ramai sangat,” terang Abdul Azim.

‘Nak tanya pasal tu rupanya. Aku ingatkan soalan apalah,’ bisik hatinya.

“Ah, okey. Terima kasih atas penjelasan tu. Baru aku faham. Maaf dah curi masa kau,” balas Qistur Ruwaidah seraya mengangguk kepalanya sedikit.
“Sama-sama. Tiada masalah. Aku pergi dulu ya. Jumpa lagi nanti.”

Abdul Azim mula meninggalkan Qistur Ruwaidah bersama dua orang lagi rakannya, iaitu Muhammad Syarafuddin dan Muhammad Amirul Azhar yang merupakan mahasiswa dari jurusan Asasi Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar seperti Abdul Azim juga.
‘Isy! Kenapa hati aku berdebar-debar apabila berhadapan dengan Azim tadi? Ya Allah, apa yang dah berlaku dengan hati ni? Aku dah mula sukakan dia ke?’ soal hati Qistur Ruwaidah bertalu-talu sambil membuang pandangannya ke arah tiga orang mahasiswa itu yang mula meninggalkan kelas tersebut.

“AMBOI, Azim! Nampaknya Sis Qist tu macam minat kat kau je. Baru je second class ni,” sakat Muhammad Syarafuddin. Dia merupakan seorang yang suka senyum memanjang. Kelihatan senyumannya semakin lebar.

Mana-mana cawangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), termasuklah Pusat Asasi UIAM (CFS IIUM), panggilan brother/s (bro) - sister/s (sis) sudah menjadi panggilan kebiasaan jika tidak mengenali antara satu sama lain atau merujuk kepada seseorang itu, malah para pensyarah juga memanggil para mahasiswa dan mahasiswi dengan panggilan brother/s - sister/s. Itulah keunikan UIAM.
“Isy, kau ni, Sya! Merepek je kerja. Dah dia tanya. Aku jawab jelah,” bidas Abdul Azim. Kedengaran nadanya sungguh tidak selesa akan usikan tersebut.
“Okeylah Azim. Kalau betullah dia tak minat kau, kenapa dia tak tanya aku dan Azhar juga?”
“Eh, kau ni, Sya. Melebih-lebih pula mengusik aku. Ni kes tak ada topik lain nak mengusik ke macam mana atau kau dah ketandusan idea nak buat reka bentuk baharu?”
“Tak adalah. Saja nak menyakat kau. Apa salahnya? Aku nampak okey je kalau kau dengan sister tu. Bagai pinang dibelah dua.”
Amirul Azhar ketawa mendengar usikan Muhammad Syarafuddin. Abdul Azim hanya menggelengkan kepalanya. Baginya, dia tidak ada masa untuk memikirkan soal perasaan di CFS IIUM yang hanya berdurasi setahun ini. Projek yang diberikan oleh para pensyarah pun sudah melimpah ruah di bilik tercinta walaupun kelas baru sahaja bermula tiga hari.
“Macam nilah, Sya. Kalau kau suka sister tu, kau menguratlah dia. Aku nak fokus belajar dan aku tak ada motif nak mengurat anak dara orang kalau aku tak ada niat nak kahwin dengan dia. Bukan aku tuju kalau kau nak mengurat Sis Qist je. Tak kisahlah mana-mana perempuan pun,” Abdul Azim meluahkan apa yang dia rasakan.
“Alahai, bro. Relakslah. Aku gurau je. Jangan ambil hati pula,” pujuk Muhammad Syarafuddin.
“Eh, kau ni. Aku relaks jelah. Tak ambil hati pun. Cuma, jangan sakat aku dah dengan sister tu. Aku tak selesa. Itu je.”
“Okey, okey. Lepas ni, aku takkan buat macam tu dah. Nanti aku belanja kau supaya kau tak ambil jantung dah dengan aku.”
“Ambil jantung? Pun bolehlah. Kau kata nak belanja, kan? Aku okey sangat bab orang nak belanja ni. Kau pilih masa dan hari. Aku sangatlah okey.”
“Azim bab makan laju je. Nasib kaulah Sya. Pergi sakat si Azim tu lagi,” celah Amirul Azhar seraya tersengih nakal.
“Setakat belanja tu, apalah sangat. Tak ada hallah, bro,” balas Muhammad Syarafuddin.
“Aku main-main je ya, Sya. Kau jangan belanja aku betul-betul pula. Okeylah. Aku nak pergi jumpa kawan aku. Nanti tugasan Madam Izyanie beri tadi tu, kita berkumpul semulalah ya untuk bincang,” kata Abdul Azim.
“Okey. Apa-apa hal, nanti aku dan Azhar whatsapp kau balik.”
Muhammad Syarafuddin dan Amirul Azhar menuju ke Mahallah (Kolej Kediaman) Abu Bakar. Abdul Azim pula menuju ke kawasan klinik sambil duduk di bangku yang tersedia di luar klinik. Hakikatnya, dia tidak ada mahu berjumpa dengan sesiapa pun. Cuma, dia ingin mendapatkan ketenangan hati berikutan hatinya yang sedang bergolak kini.
‘Ya Allah! Apa dah jadi dengan aku ni? Takkan aku dah mula suka Qist? Nampak macam mengarut dan merepek. Aku ni dahlah jenis malu dengan perempuan. Tiba-tiba nak ada perasaan suka pula. Syaitan ni memang sengaja nak goyahkan hati aku. Azim, kerja kau sekarang jangan kecewakan bonda dan baba yang mengharapkan kejayaan. Impian kau sebagai seorang arkitek pun perlu diteruskan. Selepas tu, barulah kau fikir pasal soal jodoh.’

Tiba-tiba ingatan Abdul Azim mula menerawang sewaktu kelas Bahasa Inggeris (BI) tadi. Dia mula teringatkan mahasiswi bernama Qistur Ruwaidah sewaktu mahasiswi itu mula memperkenalkan dirinya.

“Assalamualaikum. My name is Qistur Ruwaidah binti Isyraf Imrani. You can call me Qist. I'm from Kuala Lumpur. I am a law student and I am so happy to meet all of you.”

Begitulah dialog yang diucapkan oleh Qistur Ruwaidah kepada rakan sekelasnya dalam bahasa Inggeris bagi sesi suai kenal. Nama mahasiswi itu kedengaran agak unik dan mudah diingati jika dipanggil nama singkatannya. Disebabkan nama mahasiswi itulah juga, membuatkan Abdul Azim tertarik dalam diam.
‘Apa maksud nama Qist agaknya ya? Nak tanya dia, aku segan pula. Eh, Azim! Apa kau melalut ni? Tak ada perkara lain ke kau nak fikir? Kenapa mesti sister tu pula?’ marahnya dalam hati.
Abdul Azim meraup wajahnya. Dia mula rasa goyah. Benar, mungkin dia sudah mula sukakan perempuan itu. Dia bertanya hatinya lagi.
‘Aku suka Qist sebagai apa? Motif aku nak suka Qist?’
Dia bermonolog lagi. Nampaknya, dia tiada jawapan bagi soal hatinya itu. Cepat-cepat dia menggeleng kepalanya.
‘Ni nafsu semata-mata je Azim. Kau sendiri juga cakap dengan Sya tadi jangan cuba nak mengurat mana-mana perempuan kalau kau tak ada niat nak kahwin dengan dia. Azim, kau tu baru 1st year 1st sem kut. Jangan terjebakkan diri kau untuk perkara tak penting ni. Perjalanan kau masih jauh dan kewangan kau sendiri pun masih belum ada lagi.’
Tiba-tiba ada satu suara menyapanya mesra. “Eh Azim, kau buat apa kat sini?”
Abdul Azim mengangkat wajahnya. Alangkah terkejutnya dia apabila ternampak Qistur Ruwaidah di hadapannya.
“Eh Qist. Err... Aku saja melepak kat sini sekejap. Kau pula buat apa kat sini? Nak pergi klinik ke?” Abdul Azim membalas. Gementar dibuatnya apabila berhadapan dengan mahasiswi itu.
“Aku nak keluarkan duit. Sekali nampak kau, tu yang aku tegur,” balas Qistur Ruwaidah, ramah.
“Oh begitu. Okeylah. Aku balik dulu ya.”
Qistur Ruwaidah mengangguk.
Abdul Azim bingkas bangun dari tempat duduknya. ‘Aduh! Dia ada kat sini pula. Baru nak layan perasaan. Bahaya betul Qist ni. Semua tempat dia wujud.’
Namun begitu, secara tidak sedar, hatinya mula menyenangi dengan kehadiran mahasiswi itu.

SELEPAS mengeluarkan wang dari mesin ATM, Qistur Ruwaidah berjalan dengan pantas ke kolej kediamannya atau lebih dikenali sebagai mahallah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Fikirannya hanya mahu berbaring di atas katil sahaja buat masa ini. Dia sudah membayangkan tilam dan bantal yang empuk ibarat melambai-lambai kepadanya.
Tiba-tiba namanya dipanggil oleh seseorang. Berkali-kali juga hingga lamunannya mati seraya langkah kakinya terhenti seketika. Dia menoleh ke arah si pemanggil nama itu.
Tersentak.
“Abang?” Qistur Ruwaidah bagaikan tidak percaya bahawa abangnya berada di hadapannya kini.
Suhaibul Umar tersenyum. “Ha ya. Abanglah ni. Berkali-kali abang hubungi adik tetapi adik tak jawab. Adik letakkan telefon adik dalam mod senyap ke?”
Segera Qistur Ruwaidah mengeluarkan telefon bimbitnya dari beg galasnya. Benarlah kata abangnya. Terdapat 10 panggilan masuk daripada abangnya yang tidak berjawab dan dia sendiri meletakkan telefon bimbitnya dalam mod senyap. “Eh, betullah abang. Maaf sangat. Adik ada kelas tadi. Tu adik letakkan telefon adik dalam mod senyap.”
“Jom kita keluar. Hari ni hari outing, kan?” kata Suhaibul Umar.
“Eh, yalah. Boleh juga.”
Memandangkan hari Selasa merupakan hari outing ke pasar malam bagi para pelajar Pusat Asasi UIAM (CFS IIUM) cawangan Petaling Jaya dari pukul 5.00 petang sehingga 8.00 malam. Selain para pelajar boleh ke pasar malam yang tidak jauh dari CFS IIUM, ada juga pelajar yang keluar ke Pusat Beli-Belah Jaya One, menjamu selera di Restoran Murniey SS6 dan tidak kurang juga, ada pelajar yang sempat pergi ke Pusat Beli-Belah Midvalley.
Suhaibul Umar dan adiknya menuju ke arah kereta Suhaibul Umar yang diparkir di kawasan parkir Mahallah Zainab Jahsy. Punat kunci keretanya ditekan. Dua beradik itu terus memasuki perut kereta.
Di dalam kereta, Qistur Ruwaidah memeluk abangnya seraya menangis. “Kenapa abang buat macam ni kat adik? Adik whatsapp dan call, abang tak respons. Adik sedih sangat tahu. Adik tahu adik dah buat abang terasa hari tu.”
Suhaibul Umar menenangkan adiknya. “Maafkan abang, adik. Betul, abang memang terasa hari tu tetapi sekejap je. Selebihnya, abang sibuk dengan projek dan tugasan sampai abang tak ada masa nak periksa telefon. Tu yang tak sempat nak balas. Pukul 4.00 petang tadi baru abang berpeluang nak periksa telefon. Banyak whatsapp, mesej dan panggilan masuk daripada adik. Itu buat abang terus datang sini. Abang minta maaf sangat sebab abang dah buat adik risau.”
Qistur Ruwaidah menyeka air matanya. Lega hatinya apabila abangnya sudah berada dalam angin (mood) baik terhadapnya. Tidak lagi terasa hati dengannya.
“Jangan menangis lagi ya, adik. Senyum sikit,” pujuk Suhaibul Umar seraya menguntum senyuman.
Akhirnya, Qistur Ruwaidah menguntum senyuman.

DUA beradik itu sedang menjamu selera di Restoran Murniey SS6. Suhaibul Umar amat merindui kenangan keluar bersama kawan-kawan Asasi Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar (AED) suatu ketika dahulu. Sekali sahaja dia keluar menjamu selera di sini kerana dia perlu berjimat cermat waktu itu. Itu pun bekas rakan sebiliknya membelanjai dirinya.
Walaupun dia menerima duit elaun dan juga zakat pada setiap semester tetapi baginya, masih tidak mencukupi untuk dirinya yang perlu membeli barang keperluan berkaitan arkitek yang sememangnya mahal hingga membuatkan dia perlu mengikat perut untuk makan.
Dia pernah jatuh pengsan di kelas studio kerana dia pernah tidak menjamah sebarang makanan dalam beberapa hari dan hanya berbekalkan air kosong sebagai penguat tenaganya. Sungguh dia merasakan kehidupannya agar sukar waktu zaman asasinya itu.
Kini, hidupnya lebih senang kerana dia menerima biasiswa di atas keputusannya yang begitu cemerlang pada semester satu dahulu di alam ijazah.
“Adik terjumpa Sufi?” soal Suhaibul Umar selepas adiknya menceritakan pertemuan antaranya dengan Sufi Waazin.
“Haah. Abang ingatkan dia?” soal Qistur Ruwaidah.
“Mestilah ingat. Kawan baik adik tu. Ingatkan dia sambung jurusan perubatan. Kita semua tahu dia merupakan pelajar paling pandai masa belajar SMIB dulu.”
SMIB merupakan singkatan bagi Sekolah Menengah Islam Bisyrunnadwi. Dua beradik tersebut merupakan bekas pelajar sekolah tersebut. Umumnya, satu Malaysia mengetahui bahawa SMIB merupakan sekolah terbaik swasta di Malaysia setanding dengan Sekolah Berasrama Penuh, Maktab Rendah Sains MARA, Sekolah Kluster Kecemerlangan dan beberapa lagi kategori sekolah yang hebat.
“Sepatutnya memang dia dapat tawaran sambung belajar perubatan kat Rusia tapi dia ada pengalaman ternampak kemalangan jalan raya. Dia fobia bila tengok darah dan kaki mangsa terputus. Terus dia ubah fikiran. Dia mohon UIA dan dia dapat ECONS tapi dia berjaya tukar jurusan ENGINE masa Minggu Taaruf hari tu,” cerita Qistur Ruwaidah.
“Okeylah kalau macam tu. Janji dia boleh buat. Adik pula okey tak belajar?”
“Alhamdulillah. Kelas BI, BA dan ICT tak ada masalah. Cuma, untuk kelas LAWSOC, adik masih gigih nak faham. Maafkan adik. Memang adik tak minat jurusan LAWS. Walaupun kuliah baru je mula beberapa hari tapi adik dah cuba paksa diri adik supaya terima LAWS tapi memang adik tak boleh.”
LAWSOC merupakan panggilan singkatan bagi subjek Law and Society. Sememangnya Qistur Ruwaidah tidak boleh menghadam akta mahupun memahami sesuatu kes yang dikemukakan oleh pensyarah. Hendak menjawab soalan yang ditanya oleh pensyarah pun, dia tidak mampu menjawabnya.
“Gigih yang macam mana tu?”
“Adik tak faham satu apa pun. Harap kawan-kawan tolong jelaskan je.”
“Kalau macam tu, adik tahu tentang drop subject dan withdrawal subject?”
“Drop subject? Withdrawal subject? Apa tu?”
“Untuk drop subject, adik tak ambil sesuatu subjek untuk semester ni sebab adik tak boleh buat atau jam kredit (credit hour) yang adik ambil semester ni terlalu banyak dan masih sempat adik nak drop subject selagi tak melepasi tarikhnya dan tak dikenakan sebarang bayaran. Namun begitu, untuk withdrawal subject pula, misal kata adik masih nak mencuba subjek LAWSOC sehingga ke minggu sekian tetapi adik rasa memang adik tak boleh nak teruskan, adik boleh je nak drop LAWSOC tetapi adik kena bayar sebab adik dah melepasi tarikh drop subject. Abang tak ingat berapa harganya,” Suhaibul Umar menghentikan penerangannya seketika.
“Untuk kes adik ni, adik teruskan dulu belajar subjek LAWSOC sebab kuliah baru je mula beberapa hari, kan? Masih terlalu awal untuk adik menilai ketidakmampuan adik untuk jurusan LAWS ni tetapi kalau tak boleh juga, baru adik withdraw subject LAWSOC untuk adik jaga CGPA. Abang risau kalau adik tak boleh jawab masa peperiksaan nanti, adik repeat subjek LAWSOC. Sekali gus, permohonan adik nak tukar jurusan, kena tolak sekali lagi sebab CGPA adik. Saranan abang, baik adik jumpa kaunselor untuk masalah ni. Insya-Allah ada penyelesaiannya.”
CGPA, iaitu Cumulative Grade Pointer Average dan dalam Bahasa Melayu disebut sebagai Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK), iaitu sistem pengiraan himpunan markah pelajar di institusi pengajian tinggi tertentu.
“Oh okey. Baru adik tahu. Terima kasih abang. Insya-Allah, adik akan jumpa kaunselor nanti untuk bincang masalah ni,” balas Qistur Ruwaidah.
Qistur Ruwaidah menghirup Air Ribena Special bagi membasahkan tekaknya yang sudah kering dan dia terus menjamah Nasi Lemak Murniey yang baru sahaja tiba. Suhaibul Umar memandang adiknya begitu khusyuk menjamah makanannya.
Sedar tidak sedar, adiknya sudah berumur 18 tahun. Dia pula berumur 20 tahun pada tahun ini. Apabila dia mengenang semula zaman kanak-kanaknya, bukan mudah baginya sebagai seorang abang perlu menggalas tanggungjawab sebagai ibu dan ayah sekali gus bagi adiknya suatu ketika dahulu.
Sebolehnya, dia tidak mahu mengingati peristiwa lalu.
“Abang, termenung apa lagi tu? Makanlah. Nanti makanan sejuk pula,” Qistur Ruwaidah mematikan lamunan abangnya itu.
Suhaibul Umar tersenyum mendengar kata-kata adiknya. Sifat adiknya saling tidak tumpah seperti almarhumah ibunya. Dia masih ingat bahawa almarhumah ibunya pernah berkata perkara sama seperti adiknya. Dia menghamburkan tawanya. “Alahai adik ni. Okeylah abang makan.”
Kelihatan Abdul Azim baru tiba di Restoran Murniey SS6 bersama kawan-kawan sebiliknya. Tiba-tiba matanya tertangkap kepada Qistur Ruwaidah bersama seorang lelaki. Dia juga menyaksikan adegan mahasiswi itu menyuapkan makanan kepada lelaki itu.
‘Siapa lelaki tu? Kekasih dia ke? Eh sekejap. Kenapa kau sibuk sangat nak ambil tahu dia dah ada kekasih ke belum, Azim?’ soal hati Abdul Azim.
Kehadiran Abdul Azim tidak disedari langsung oleh Qistur Ruwaidah yang kelihatan sangat mesra dengan lelaki itu. Siap bergelak ketawa lagi. Tiba-tiba hatinya menjadi tidak senang apabila mahasiswi itu terlalu mesra bersama lelaki itu.
‘Aku cemburu ke? Isy, kau ni Azim. Lantak dialah keluar dengan siapa-siapa pun,’ bicara hatinya.
Abdul Azim menggeleng perlahan. Dia menyedari bahawa dia baru sahaja berumur 18 tahun. Baru sahaja melanjutkan pengajian di peringkat asasi dan dia baru sahaja mengenali Qistur Ruwaidah. Apakah yang dia faham tentang suka? Apakah yang dia faham tentang cinta? Sungguh dia tidak pernah merasai perasaan begini.
Pada zaman sekolahnya dulu, dia tidak mengambil kisah tentang rakan perempuannya dek kerana sifatnya yang pemalu. Bahkan, dia tidak ingat langsung nama-nama rakan perempuannya meskipun satu kelas dahulu. Dia hanya fokus terhadap pelajarannya. Soal perasaan, tidak pernah dia ambil peduli.
Namun begitu, tidak bagi mahasiswi bernama Qistur Ruwaidah itu. Dia bagaikan ada tarikan magnet untuk Abdul Azim.
‘Ya Allah. Apakah yang sedang aku lalui kini?’ soal hatinya.
Soalan itu berlalu tanpa jawapan buat dirinya. Dia mengharapkan bahawa semua ini hanyalah sementara.

Pertemuan pertama dan perjalanan Qistur Ruwaidah dan Abdul Azim kini bermula. ^_^

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience