SETELAH peristiwa kelam dan hampir meragut nyawa itu berlalu pergi, kini kehidupan Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin kembali aman tanpa lagi gangguan daripada Puan Zaidah. Rentetan dari peristiwa itu juga, pasangan tersebut mengambil insiatif dengan mengukuhkan lagi hubungan dengan Maha Pencipta. Doa-doa dan zikir harian semakin membasahi lidah mereka berdua hari demi hari.
“Aku tahu kau baca doa ubun-ubun kat bini kau setiap hari tapi doa untuk kau sendiri? Kau lupa. Haih… Lemah!” - Puan Zaidah
Dek kerana kata-kata Puan Zaidah itu dahulu, membuatkan Mohamad Salahuddin tertampar pedih. Sejak dari itu juga, dia tidak lupa untuk membacakan doa untuk diri sendiri selain buat isteri dan anak-anak dalam kandungan.
Sehinggalah pada suatu hari…
“Habibi…” panggil Qistur Ruwaidah dengan penuh manja. Tangannya mula mengurut bahu suaminya yang sedang ralit membaca buku undang-undang.
Mohamad Salahuddin tersenyum tatkala mendengar suara isterinya dan urutan bahu yang dihadiahkan oleh isteri tercinta. “Ya sayang… Sedapnya sayang urut bahu habibi. Kuat sikit.”
“Amboi, kita dah bagi sudu, dia nak kawah terus!” seloroh Qistur Ruwaidah seraya mengurut bahu suaminya dengan lebih kuat.
Berkerut-kerut wajah Mohamad Salahuddin tatkala dia menerima urutan daripada isterinya. “Aduh, sakitnya! Sayang nak lenyek habibi sampai habibi jadi cekodok ke apa?” ujarnya seraya menoleh ke arah isterinya. Kelihatan wajah Qistur Ruwaidah menghadiahkan sengihan nakal.
“Ya Allah… Boleh pula habibi sebut cekodok. Mulalah sayang mengidam nak cekodok pula!”
Mohamad Salahuddin segera bangun dari tempat duduknya. Perlahan-lahan dia merangkul pinggang isterinya. Tonjolan perut isterinya sudah semakin ke hadapan, namun itu tidak menghalang dirinya untuk dia terus memadu kasih bersama isteri tercinta. Sebuah pandangan penuh cinta dihadiahkan buat bidadarinya itu. “Sayang nak cekodok? Okey, habibi belikan sekejap lagi.”
Pandangan cinta Mohamad Salahuddin terhadap Qistur Ruwaidah, tidak pernah berubah seperti hari pertama mereka berdua disatukan.
“Habibi… Cara habibi pandang sayang, tak pernah berubah dari dulu. Macam mana sayang makin tak cintakan habibi. I love you,” luah Qistur Ruwaidah. Sungguh dia tenggelam dalam pandangan cinta suaminya itu.
Mohamad Salahuddin menyentuh dagu isterinya. “I love you too, sayang. Pernah ke habibi berubah? Sayang tengah mengandung ni, lagilah buat habibi makin cintakan sayang. Sayang nampak makin cantik sejak mengandung ni. Habibi beruntung sangat,” ujarnya. Lalu, dia mengubah posisi untuk mendakap isterinya dari belakang. Dia meletakkan kedua-dua belah tangannya di atas kandungan isterinya, lalu dia mengusap kandungan isterinya dengan penuh kelembutan.
Kemudian, dia menyambung bicaranya. “Sampai sekarang, habibi tak percaya… Kita bakal jadi ‘ummi’ dan ‘abi’. Lagi dua bulan lebih je kita akan jumpa anak-anak kita. Lagi habibi tak percaya, habibi masih dipanjangkan umur sampai hari ni. Alhamdulillah.”
“Alhamdulillah. Anak-anak kita penyelamat habibi. Sampai sekarang, sayang pun masih tak percaya. Setiap kali anak-anak kita tendang je perut sayang, sayang akan rasa… ‘Aku dah nak jadi ummi ya’. Cepatnya masa berlalu,” luah Qistur Ruwaidah.
Mohamad Salahuddin tersenyum. Ya, dia juga merasai perasaan yang sama. “Samalah habibi… Habibi pun akan rasa ‘Aku dah nak jadi abi rupanya’. Habibi ingat lagi masa anak-anak kita selamatkan habibi dulu, salah seorang cakap macam ni kat habibi… Dia orang gembira sangat bila habibi usap perut sayang, cium perut sayang… Emm… Dia orang tunggu habibi tegur dia orang. Sebab tu, habibi selalu buat macam tu kat anak-anak kita.”
“Mesti comel anak-anak kita kat dunia tu, kan?”
“Habibi pun tak ingat macam mana rupa dia orang tapi dia orang nampak macam umur tiga atau empat tahun masa kat dunia Lingkaran tu. Alaa sayang… Semua bayi comel. Kita pun comel juga masa lahir.”
“Betul juga. Sayang rasa tak sabar sangat nak tengok anak-anak kita. Dengan muka samanya. Pakai baju sama. Eiii… Geramnya rasa.”
Riak wajah Mohamad Salahuddin berubah sugul seketika. “Tapi sayang… Habibi ni dahlah tak ada keturunan kembar. Macam manalah habibi nak bezakan anak-anak kita nanti? Tak ada pengalaman. Risau…”
Qistur Ruwaidah tergelak. Dia mengerti kerisauan suaminya itu. “Habibi ni… Kembar seiras ni taklah 100% sama. Tetap ada beza. Mungkin dari segi bentuk muka atau saiz badan. Macam arwah Dik Harraz dan Dik Harzan, beza dia orang kat air muka.”
“Abang Suhaib pun ada cakap pasal arwah kembar. Pernahlah habibi tengok muka dia orang tapi sayang… Seiras sangatlah. Sampai sekarang habibi tak faham macam mana kau orang boleh bezakan arwah kembar,” kata Mohamad Salahuddin seraya memonyokkan wajahnya.
Sekali lagi, Qistur Ruwaidah tergelak. “Bila si kembar ni dah lahir, insya-Allah habibi boleh bezakan. Sayang akan bantu habibi. Jangan risau. Kita sama-sama belajar.”
“Emm… Habibi ada terbaca pasal kembar kat internet dan baca pengalaman mak ayah yang ada anak kembar. Bila seorang menangis atau sakit, kembar dia pun akan ikut sama. Habislah kita nanti.”
Tiba-tiba janin-janin dalam kandungan Qistur Ruwaidah mula menendang dengan penuh aktif. Serentak, dia dan suaminya tertawa.
Lalu, Mohamad Salahuddin meleraikan dakapan tersebut dan melutut di hadapan kandungan isterinya. Dia mengucup kandungan isterinya itu. “Pantang betul anak-anak abi dan ummi ni ya. Kau orang laju je tendang perut ummi kalau abi dan ummi cakap pasal kau orang,” usiknya.
Semakin seronoklah janin-janin itu menendang perut ibu mereka berdua.
“Aduh!” luah Qistur Ruwaidah. Namun, dia cukup lega dengan pergerakan janin-janinnya yang cukup aktif.
“Eh, sayang okey tak ni!” soal Mohamad Salahuddin penuh kekalutan.
Qistur Ruwaidah tersengih. “Okey jelah. Jangan risau. Dia orang tengah aktif ni, sayang lega juga. Kalau dia orang tak banyak gerak, sayang risau pula.”
“Jomlah duduk. Sayang ni berdiri je dari tadi. Tak lenguh ke?” ujar Mohamad Salahuddin dengan penuh risau.
“Setakat ni, sayang okey. Doktor dah pesan, sayang kena banyak berjalan dan buat senaman ringan. Sebab tu, sayang urut bahu habibi tadi,” balas Qistur Ruwaidah seraya memegang tangan suaminya.
Mohamad Salahuddin tersenyum. “Oh, betul juga, kan. Kalau macam tu, jom kita pergi jalan-jalan kat Tasik Puspawarna lepas solat asar nanti. Alang-alang ada cekodok sedap kat situ.”
Qistur Ruwaidah segera memaut lengan suaminya. “Wah, boleh, boleh! Kita pakai baju warna kuning lembut ya.”
“Boleh sayang. Apa-apa je untuk sayang.”
TASIK PUSPAWARNA
5.00 PETANG
Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin sedang berjalan-jalan sambil menghirup udara segar di tasik tersebut bersama pegangan tangan yang cukup erat. Peristiwa tempoh hari membuatkan cinta mereka berdua semakin mendalam dan lebih utuh serta lebih menghargai di antara satu sama lain.
Lalu, mereka berdua mengambil kesempatan untuk menikmati air pancut yang begitu menenangkan jiwa.
“Habibi… Cantiknya air pancut tu. Tenang je sayang tengok,” beritahu Qistur Ruwaidah sambil tangan kanannya memegang tangan suaminya manakala tangan kirinya memegang kandungannya.
Mohamad Salahuddin tersenyum. Kelembutan suara isterinya cukup mendamaikan dirinya. Ah, sudah lama dia merindui kenangan sebegini sewaktu mereka berdua berbulan madu di Port Dickson dan Genting Highlands pada awal tahun tempoh hari. Siapa sangka, isterinya ditakdirkan mengandung selepas mereka berdua pulang dari berbulan madu itu sebelum bergolaknya rumah tangga mereka berdua.
Setelah apa yang telah menimpa Mohamad Salahuddin sebagai bekas mangsa sihir dan dia sendiri hampir mati dibunuh oleh ibu tirinya, cukup memberikan tamparan yang dahsyat serta kesan cinta dan kasih sayang yang kian mendalam buat keluarga kecilnya itu.
Sejak dari peristiwa itu juga membuatkan dirinya lebih menjaga dan semakin melindungi Qistur Ruwaidah serta kandungan isterinya dengan penuh berhati-hati. Tambahan pula, dia tidak mahu kehilangan salah seorang daripada tiga nyawa cinta hatinya itu.
Cukuplah… Dia tidak sanggup lagi membayangkan bahawa dia telah menyakiti isterinya dalam keadaan dirinya dikawal oleh makhluk ghaib suruhan ibu tirinya pada waktu itu. Selain itu, dia juga telah menghadiahkan penderaan yang berpanjangan seperti menyepak terajang di bahagian perut isterinya yang sedang membawa dua nyawa secara tidak sedar.
Walaupun dia tahu itu bukan salahnya tetapi dia tetap rasa amat berdosa dan bersalah untuk isterinya dan janin-janin yang menghuni dalam rahim isterinya itu!
“Habibi… Kenapa diam ni? Habibi ada masalah?” soal Qistur Ruwaidah tatkala suaminya sedang mengelamun ke tempat lain.
“Eh, maaf sayang! Habibi tengah fikir pasal semester depan. Syukurlah keputusan peperiksaan kita berdua semua lulus dan tak ada subjek kena ulang,” bohong Mohamad Salahuddin. Sejujurnya, dia ingin meluahkan tentang rasa berdosanya dia kepada Qistur Ruwaidah dan bakal anak-anak mereka berdua.
Kebetulan, memang keputusan peperiksaan bagi semester dua sesi 2016/2017 sudah keluar pada tiga hari yang lalu. Satu keajaiban buat pasangan itu, keputusan yang diperolehi oleh mereka berdua kekal cemerlang seperti semester-semester sebelumnya. Sangkaan mereka berdua, akan ada subjek yang perlu diambil semula pada semester akan datang.
“Oh, pasal tu! Memang sayang sendiri pun rasa ajaib. Ingatkan ada subjek kena ulang. Alhamdulillah sayang boleh bersalin dan berehat dengan aman,” balas Qistur Ruwaidah.
Pada semester hadapan, yakni semester satu bagi sesi 2017/2018, Qistur Ruwaidah telah mengambil cuti belajar kerana dia dijangka akan bersalin pada akhir September atau awal Oktober serta akan berpantang di rumah arwah ibu bapanya. Selain itu, abangnya boleh menjaga dirinya sementara suaminya boleh pergi ke kelas dengan penuh aman tanpa gusar memikirkan dirinya yang ditinggalkan keseorangan.
Mohamad Salahuddin cuba meluahkan juga berkenaan rasa serba salahnya yang menggunung tinggi terhadap isterinya. “Sayang… Sebenarnya, habibi…” ujarnya. Namun, kerongkongnya tersekat.
“Ya habibi… Kenapa ni? Habibi nak cakap apa?” soal Qistur Ruwaidah.
Wajah Mohamad Salahuddin mula berubah muram seraya ditundukkan wajahnya. “Habibi minta ampun, sayang! Habibi minta ampun! Sampai sekarang, habibi berdosa kat sayang dan anak-anak kita! Habibi pernah nak bunuh semua dulu!”
Tangan kanan Qistur Ruwaidah memegang wajah Mohamad Salahuddin dengan penuh cinta bersama kata-kata sokongan. Dia cuba mengembalikan semangat dan rasa trauma suaminya itu.
“Shhh… Habibi… Jangan macam ni. Sayang dah cakap banyak kali, kan? Bukan salah habibi. Sayang tak ambil hati pun dengan tindakan habibi dulu sebab sayang dah dapat agak keadaan habibi masa tu. Mohamad Salahuddin yang sayang kenal, tak pernah berubah dari hari pertama kita kahwin dulu. Agak mustahil untuk habibi berubah perangai secara tiba-tiba. Insya-Allah, habibi juga takkan berubah perangai untuk bakal anak-anak kita. Habibi ni suami yang sangat lemah lembut, penuh cinta dan penyayang. Sayang sentiasa percaya dengan ketulusan cinta habibi kat sayang sejak dari hari pertama kita disatukan dulu.”
“S… Sayang…” luah Mohamad Salahuddin.
Qistur Ruwaidah memegang kedua-dua belah tangan suaminya. “Macam nilah, habibi… Emm… Apa kata habibi buat ujian mental nanti? Mungkin boleh membantu.”
“Insya-Allah. Memang habibi dah cadang nak buat. Habibi tak nak anak-anak kita jadi mangsa nanti. Sayang pun kena tolong habibi. Habibi tak kuat nak hadap semua ni seorang diri. Habibi lemah. Habibi masih rasa trauma bila teringat balik pasal dunia Lingkaran tu.”
“Insya-Allah. Sayang akan teman habibi. Jangan takut. Sayang ada. Allah pun ada untuk habibi.”
ATAS cadangan daripada Qistur Ruwaidah, Mohamad Salahuddin mengambil inisiatif untuk melakukan ujian mental di salah sebuah hospital swasta serta dia mendapat sokongan penuh, bukan sahaja daripada isteri tercinta. Bahkan, Encik Mohd Firdaus dan Sakeenah juga.
Setelah Mohamad Salahuddin melalui ujian dengan menjawab soalan-soalan yang disediakan, keadaan mentalnya tidak berapa baik gara-gara peristiwa sihir yang telah menimpanya dahulu. Kemudian, dia perlu berjumpa dengan pakar psikoterapi untuk tindakan seterusnya.
Memandangkan keadaan mental Mohamad Salahuddin tidaklah terlalu teruk tetapi dia tetap perlu mendapatkan rawatan susulan di hospital agar sakitnya itu tidak berlaturan dan melarat pada masa hadapan.
Pada suatu hari, setelah Mohamad Salahuddin mendapatkan rawatan sambil ditemani oleh Qistur Ruwaidah…
“Alhamdulillah, habibi sayang ni kuat,” puji Qistur Ruwaidah sebagai simbol menyerahkan kekuatan kepada suaminya.
“Alhamdulillah. Ni semua sokongan daripada sayang, ayah dan Keena. Kalau tak, mungkin habibi jadi gila terus,” luah Mohamad Salahuddin.
Qistur Ruwaidah memegang tangan suaminya. “Isy… Nauzubillah, habibi. Tak… Habibi kuat. Sayang kagum dengan semangat habibi. Habibi sendiri ambil inisiatif untuk dapatkan rawatan pakar.”
Mohamad Salahuddin menyentuh kandungan isterinya itu. “Sebab sayang dan anak-anak. Sayang dan anak-anak penguat semangat habibi. Sayang pun sampai sekarang berjuang dengan penyakit sayang. Jadi, habibi terinspirasi dengan perjuangan sayang.”
Qistur Ruwaidah tersenyum gembira. Dia gembira dengan perubahan suaminya yang semakin positif. “Insya-Allah kita sama-sama kuat, habibi. Untuk anak-anak kita juga.”
Mohamad Salahuddin juga turut tersenyum. “Sempena sayang dah berjuang teman habibi, habibi nak belanja sayang. Sayang boleh minta apa-apa je yang sayang nak sebelum sayang bersalin. Tinggal sebulan lebih je sebelum sayang nak bersalin ni.”
“Sebenarnya, sayang baru teringat. Pakaian anak-anak kita baru ada 20 pasang. Sayang terlupa habis pasal tu tapi barang-barang lain, sayang dah beli dengan Abang Suhaib sebelum Ramadan dulu.”
“Okey, boleh. Kita pergi kat Adenium Mall sekarang. Sayang larat?”
“Insya-Allah larat je. Lagipun, elok juga untuk sayang. Doktor suruh banyakkan berjalan.”
“Okey. Apa lagi yang sayang nak? Habibi nak manjakan sayang habis-habisan ni. Habibi rasa ralat sangat terlambat tahu pasal kandungan sayang. Lagi ralat, habibi tak teman sayang masa kali pertama sayang dapat tahu sayang mengandung dan tak teman sayang beli barang untuk anak-anak kita. Sihir mak punya pasal, habibi merana.”
“Habibi… Bukan salah habibi. Jangan bagi peluang kat mental habibi menguasai habibi. Habibi kuat! Okey… Jom, kita pergi beli-belah. Habibi pun mesti teruja nak beli barang untuk anak-anak kita, kan? Habibi masih ada peluang untuk tebus rasa ralat tu.”
Barulah Mohamad Salahuddin rasa kuat kembali setelah mendengar pujukan daripada isterinya itu. “Terima kasih, sayang. Emm… Apa lagi yang sayang nak?”
Qistur Ruwaidah berfikir seketika. “Ha! Sempat lagi tak kalau kita nak bercuti sempena ‘babymoon’ ni? Sayang teringin nak rasa suasana hotel lagi. Rindu… Teringat bulan madu kita dulu. Satu lagi, sayang teringin nak maternity photo shoot macam pasangan lain,” luahnya.
Mohamad Salahuddin menepuk dahinya. “Laa… Kenapa sayang tak cakap dari awal? Mestilah boleh, sayang.”
“Kan habibi sakit. Berminggu-minggu juga habibi tak pergi kerja. Sayang risau sangat kalau duit habibi tak cukup.”
“Oh… Sayang risau pasal duit habibi rupanya. Masya-Allah sayang… Tak adalah. Duit habibi sentiasa ada. Selain habibi mengajar, habibi buat freelance juga. Lagi satu, ayah pun ada buat simpanan untuk habibi dan Keena dari kita orang kecil. Ayah boleh rasa anak-anak dia ni ikut jejak langkah dia… Kahwin awal. Tu yang ayah buat persediaan selain simpanan untuk belajar. Silap haribulan, Keena tu kahwin lepas SPM gamaknya.”
“Uish! Dia dah ada orang ke?”
Mohamad Salahuddin tersenyum. “Tak tahu tapi tak mustahil dia ada dalam senyap tu.”
Qistur Ruwaidah tersengih. “Okey, berbalik pasal sayang risau dengan duit habibi tu… Bila sayang dapat tahu, sayang lega juga sebenarnya.”
“Jadi, sayang jangan risau dengan duit habibi. Okey? Habibi tahu apa yang habibi buat dan habibi akan bagi terbaik untuk sayang dan bakal anak-anak kita. Insya-Allah. Ni janji habibi.”
Qistur Ruwaidah mengangguk. Perlahan-lahan dia menghadiahkan kucupan di pipi suaminya. “Terima kasih habibi untuk segala cinta dan pengorbanan habibi buat sayang dan anak-anak kita. Sayang percaya anak-anak lelaki kita ni akan ikut jejak langkah habibi.”
Wajah Mohamad Salahuddin merona merah. Namun, dia bahagia menerima kucupan itu. “Sama-sama sayang. Apa sahaja untuk sayang dan anak-anak kita, cinta hati habibi sampai mati.”
HOTEL BIANGLALA, KUALA LUMPUR
Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin sedang berjalan-jalan sambil menikmati pemandangan taman di sekitar Hotel Bianglala. Panorama taman tersebut sungguh cantik dan menenangkan setiap penghuni hotel.
Impian Qistur Ruwaidah untuk bercuti di hotel sebelum dia bersalin kelak telah pun dipenuhi oleh suaminya. Sempena ‘babymoon’ juga. Selepas dia meluahkan hasratnya itu, suaminya terus menempah menerusi aplikasi Agoda.
“Subhanallah… Taman ni terlalu cantik. Rasa tenang je,” luah Qistur Ruwaidah.
“Sayang bahagia?” soal Mohamad Salahuddin.
Qistur Ruwaidah memandang wajah suaminya. “Mestilah. Rasa macam tak nak tinggalkan taman ni. Taman ni macam dalam cerita ‘Barbie in the 12 Dancing Princesses’.”
“Oh. Cerita tu. Habibi ingat. Ada orang jahat nama Rowena, kan?”
“Haah… Eh, habibi pun tonton juga?”
“Macam mana habibi tak tonton? Layan Keena punya pasallah masa dia kecil dulu. Tak Disney, Barbie.”
Qistur Ruwaidah tersengih. “Hebat juga habibi ni. Sayang pun dah lupa nama orang jahat tu. Sayang suka betul masa puteri-puteri tu masuk dalam dunia rahsia guna lantai kat bilik dia orang.”
“Bahagian paling habibi suka, mestilah masa dia orang menari. Ada hero nama Derek, kan? Yang kahwin dengan Geneveive masa babak terakhir.”
“Betul! Wah, hebatlah habibi! Macam mana habibi boleh ingat cerita tu?”
Mohamad Salahuddin tersenyum. “Sebab habibi pernah berangan nak jadi macam Derek. Menari dengan orang yang dia cinta. Kan habibi boleh menari sama macam Derek. Jadi, habibi beranganlah siapa yang akan menari dengan habibi nanti. Sekarang, jawapan habibi pun dah terjawab,” balasnya bersama renungan penuh makna buat isterinya.
Wajah Qistur Ruwaidah penuh ceria. “Subhanallah! Sayang tak sangka sungguh. Habibi rindu nak menari dengan sayang ya?”
“Mestilah… Tapi taklah kita menari kat sini. Kita menari kat dalam bilik nanti. Senaman untuk sayang juga,” balas Mohamad Salahuddin. Lalu, dia berbisik di tepi telinga isterinya. “Nanti sayang pakai gaun yang habibi beli tu tahu.”
Qistur Ruwaidah tersenyum malu. Dia teringat akan pakaian tidur yang dibeli oleh suaminya itu. Cantik dan memikat hati. “Okey. Habibi, jom duduk kat situ. Sayang dah letih,” katanya seraya menunjukkan sebuah bangku yang tidak jauh dari mereka berdua.
“Jom,” kata Mohamad Salahuddin.
Setelah sampai di bangku tersebut, pasangan itu melabuhkan punggung.
“Ah, letih,” luah Qistur Ruwaidah seraya mengusap kandungannya. Kandungannya yang sudah memasuki bulan kelapan itu tidak boleh disembunyikan lagi di sebalik jubah yang dipakai oleh dirinya itu.
Mohamad Salahuddin melabuhkan punggungnya di sebelah isteri tercinta. Dia juga turut memegang kandungan isterinya itu. “Tiba-tiba habibi teringat sesuatu pasal anak-anak kita masa habibi kat dunia Lingkaran dulu.”
“Habibi teringat apa?”
“Anak-anak kita ada beritahu habibi… Dia orang sayang kat habibi. Dia orang ada beritahu juga, dia orang sayang kat sayang. Dia orang cakap, tak sabar nak jumpa kita. Habibi pun tak sabar nak jumpa anak-anak kita. Habibi dah rindu sangat kat anak-anak kita.”
“Aww… Sayang pun sayang sangat kat anak-anak kita. Sayang pun dah rindu nak jumpa dia orang. Tak sabar nak tunggu anak-anak kita lahir.”
Tiba-tiba janin-janin itu bergerak dengan penuh aktif. Bakal ibu dan ayah itu berasa amat teruja dan bahagia. Lantas, mereka berdua mengusap kandungan itu dengan penuh kasih. Sungguh, Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin tidak sabar untuk bertemu dengan dua permata hati yang bakal menyinari kehidupan rumah tangga mereka berdua. Pasangan itu juga sudah membayangkan acuan didikan yang diimpikan sejak dulu.
“Anak-anak kita macam faham je. Kan sayang?” ujar Mohamad Salahuddin. Betapa dia seronok merasai tendangan janin-janin itu.
Qistur Ruwaidah tersenyum. “Anak-anak kita boleh dengar suara kita, habibi. Mestilah dia orang faham.”
Mohamad Salahuddin masih ralit merasai tendangan janin-janin itu. Ada ketika, dia mencondongkan tubuhnya agar wajahnya ke arah perut Qistur Ruwaidah. “Anak-anak abi… Abi rindu sangat kat kau orang. Teruskan membesar dengan selamat sampai kau orang selamat dilahirkan tahu.”
Alangkah tersentuhnya hati Qistur Ruwaidah tatkala menyaksikan betapa sayangnya Mohamad Salahuddin buat bakal anak-anak mereka berdua itu. Ternyata pilihannya dalam memilih Mohamad Salahuddin sebagai suaminya dan seorang bakal ayah buat anak-anaknya tidak pernah salah. “Habibi… Boleh sayang bincang pasal nama anak kita? Lagipun, kita tak pernah bincang lagi, kan?” soalnya.
Mohamad Salahuddin menepuk dahinya. “Eh, haah! Sayang dah sarat nilah, baru kita fikir nak bercutilah, baru nak ‘photo shoot’lah, baru fikir nak bagi nama anaklah… Isy, isy, isy… Kalau pasangan lain, bila dapat tahu je isteri mengandung, rasanya dah terus fikir nak bagi nama apa. Kita ni pelik betul.”
“Tak peliklah. Normal je sayang rasa. Ha, habibi rasa nak nama anak-anak kita macam mana?”
“Habibi tak kisah. Ikut sayang. Apa yang penting, sayang selesa dan bagi nama yang baik untuk anak-anak kita.”
Qistur Ruwaidah memuncungkan bibirnya. “Mana boleh macam tu. Habibi pun berhak nak bagi nama kat anak-anak kita. Tanpa habibi, tak adalah anak-anak kita ni tahu.”
Mohamad Salahuddin tersengih. Dia suka menyaksikan raut wajah isterinya sebegitu. “Okeylah, okeylah… Tapi sayang, tanpa sayang juga, tak adalah anak-anak kita.”
Kalbu Qistur Ruwaidah berbunga-bunga. Ah, suaminya itu! Bijak bermain madah dengan dirinya. “Habibi ni… Ada je jawapan.”
Sekali lagi, Mohamad Salahuddin tersengih. “Okey, habibi nak dengar idea sayang dulu. Sayang nak nama anak-anak kita macam mana?”
“Apa yang pasti, nama yang bunyi kearaban. Lepas tu, sayang nak huruf Q dan S. Kiranya, nama anak-anak kita macam nama kita juga, ada dua perkataan tapi… Sayang tak tahu nak mulakan huruf Q atau S dulu. Sayang rasa macam nak Q dulu.”
“Kalau habibi, habibi setuju dengan sayang. Huruf Q dulu, baru S. Sebab apa tahu? Pengorbanan sayang mengandung dan melahirkan anak-anak kita nanti. Jadi, utamakanlah huruf Q. Peringatan juga untuk habibi. Bila habibi panggil nama anak-anak kita, habibi akan ingat pengorbanan sayang.”
Hati Qistur Ruwaidah menjadi sebak. “Ya Allah. Sayang tak terfikir macam tu. Habibi ni suka buat sayang terharu.”
Mohamad Salahuddin menggarukan kepalanya yang tidak gatal itu. “Aik? Terharu pula dah. Habibi cuma fikir apa yang sepatutnya. Lagipun, sayang dah banyak berkorban untuk habibi dan sayang pernah terseksa sebab habibi juga. Jadi, wajarlah huruf Q didahului untuk nama anak-anak kita. Sampai bila-bila pun, habibi takkan lupakan pengorbanan sayang sepanjang rumah tangga kita bergolak dulu. Demi Allah, tak terbalas jasa sayang. Hanya Allah yang mampu membalas jasa sayang.”
“Habibi… Habibi pun dah banyak berkorban untuk sayang dan bakal anak-anak kita. Habibi cari nafkah lepas kita sama-sama habis kelas, fikir ekonomi keluarga kita… Emm… Macam-macam lagi.”
“Senang cerita, sama ada habibi sebagai suami dan sayang sebagai isteri, kita ada pengorbanan tersendiri. Apa yang penting, kita kena berkorban pula sebagai ummi dan abi untuk anak-anak kita nanti.”
Qistur Ruwaidah mengangguk. “Sayang setuju. Habibi… Satu lagi pasal nama anak-anak kita, sayang nak tambah perkataan ‘Al’ kat depan.”
“‘Al’? Maksud sayang macam ‘Al-Qist’ ke? Maksud ‘Al’, ‘the’ kalau dalam bahasa Inggeris, kan?”
(Lanjutan berkenaan maksud nama ‘Al’ boleh dibaca menerusi pautan akhbar ini: )
“Betul dan ‘Al’ digunakan selepas kata nama khas kalau ikut nahu (tatabahasa) bahasa Arab tapi sayang nak bagi kelainan sikit. Biasanya, orang akan eja A-L. Lepas tu, ada tanda sengkang (-), kan? Tapi sayang tak nak ejaan macam tu sebab akan jadi susah bila ejaan yang ada simbol untuk apa-apa urusan. Sayang ada kawan nama ejaan macam tu. Setiap kali nak isi nama dia dalam sistem sekolah, sistem tak boleh baca nama dia yang ada simbol.”
“Oh okey. Jadi, sayang nak ejaan ‘Al’ tu tak ada tanda sengkang selepasnya?”
“Betul dan sayang nak tambah dua ‘A’ kat depan. Contoh, A-A-L-Q.”
“Sekejap… Jadi, macam ni?” soal Mohamad Salahuddin seraya mengeluarkan telefon pintarnya. Lalu, dia menekan di bahagian ‘Notes’ dan menaip ejaan yang disebut oleh isterinya itu.
AALQ
“Macam ni?” soal Mohamad Salahuddin untuk kepastian.
Qistur Ruwaidah tersenyum. “Betul sebab sayang nak anak-anak kita jadi terawal dari segi untuk senarai nama. Kita juga yang senang nanti. Okey tak, habibi? Okey tak? Lulus ya?”
Mohamad Salahuddin berfikir seketika. Kemudian, dia melakukan ‘thumbs up’. “Okey, lulus. Habibi tak ada bantahan. Habibi ingatkan sayang nak letak nama ‘Muhammad’ kat depan macam nama habibi.”
“Memang ‘Muhammad’ nama yang terbaik tapi sayang kenangkan, terlalu ramai nama ‘Muhammad’ kat dunia ni. Kalau nak letak nama ‘Ahmad’, nama anak kita jadi panjang. Ada tiga perkataan. Sayang tak nak. Kalau kita ada anak perempuan nanti pun, sayang tak nak letak nama ‘Nur’. Sayang tak suka sebab ramai sangat perempuan nama ‘Nur’. Kalau kita ada rezeki lagi lepas kembar lelaki ni pun, kita kekalkan akronim AQS.”
“Boleh sayang. Habibi ikut je. Jadi, sayang cari nama huruf Q, habibi cari nama huruf S?”
“Haah tapi habibi jangan beritahu sekarang. Habibi beritahu sayang bila sayang dah nak dekat bersalin. Sayang pun akan beritahu masa tu. Kiranya, kita buat kejutan. Kalau kita ada rezeki lepas kembar ni, terbalik pula. Habibi cari nama untuk huruf Q, sayang cari nama untuk S.”
“Okey. Habibi akan cari nama yang terbaik untuk kembar kita ni nanti. Insya-Allah. Sayang dah tak letih? Nak jalan-jalan lagi kat taman ni?”
“Bolehlah lagi satu pusingan. Lepas tu, kita naik ke bilik. Sayang nak makan malam daripada makanan room service jelah.”
“Nak makanan daripada Usrah Mart sekali? Habibi nak oden dia.”
“Nak, nak! Nak sandwic tuna mayonis sekali.”
“Amboi, makanan room service nak, Usrah Mart pun nak! Dahsyat selera sayang habibi ni.”
Qistur Ruwaidah membuat wajah kesian. “Sayang bukan bawa satu nyawa je. Dua nyawa ni sayang bawa. Mestilah selera sayang makin berganda. Kesianlah kat sayang.”
Mohamad Salahuddin mencubit pipi isterinya. “Sayang ni… Habibi fahamlah. Ya, habibi layan je apa yang sayang nak, okey. Nanti sayang kempunan pula masa pantang. Dah boleh nak jalan ke belum ni?”
Qistur Ruwaidah tersengih tatkala dia menerima cubitan daripada suaminya itu. “Boleh, boleh. Jom sambung senam.”
Lalu, pasangan itu berjalan-jalan semula di kawasan taman tersebut.
“Habibi, boleh sayang tanya soalan?” soal Qistur Ruwaidah.
“Tanyalah,” balas Mohamad Salahuddin.
“Bila anak-anak kita dah lahir, habibi sebagai abi… Habibi akan kongkong tak apa yang anak-anak kita minat? Contoh, macam melukis, berdebat, menulis.”
“Kenapa pula habibi nak kena sekat kalau dah tu yang anak-anak kita suka? Kita sendiri pun ada hobi yang sama. Suka melukis. Tak mustahil, minat kita tu turun kat anak-anak pula. Misal kata, anak-anak kita suka melukis atau menulis, kita hantar pergi bengkel. Asah kemahiran dan potensi dia orang. Bila minat dia orang tu terbawa-bawa sampai ke peringkat universiti, kita bagi dorongan sepenuhnya. Ikut jurusan dan universiti yang bersesuaian dengan hobi anak-anak kita. Itu tanggungjawab kita untuk tunjuk jalan. Tak semestinya anak-anak kita wajib belajar kat UIA walaupun kita sama-sama UIA. Habibi lebih tengok kecenderungan anak-anak kita ke arah jurusan apa, baru universiti.”
“Sayang setuju dengan habibi. Sayang pun fikir yang sama. Bukan apa… Sayang teringat bila ada kawan sayang kena paksa dengan mak ayah dia untuk sambung jurusan yang dia tak minat. Kesian sayang tengok dia.”
“Habibi pun ada kawan macam sayang. Sebab tulah, habibi ambil pengajaran dari situ. Kita ni sebagai bakal ummi dan abi, kita tak berhak nak paksa apa yang anak-anak kita tak suka. Samalah situasi macam kita sendiri, tak suka orang paksa, kan? Habibi bersyukur sangat… Ayah sendiri tak macam tu. Ayah bagi kebebasan kat anak-anak dia. Habibi sendiri yang pilih nak sambung undang-undang.”
“Samalah sayang dan Abang Suhaib. Ibu, abah dan cikgu-cikgu yang bagi jalan kat kita orang.”
“Sayang… Sayang kena tahu sesuatu daripada habibi. Habibi takkan pernah jemu dengan sayang. Sayanglah penguat semangat habibi untuk habibi teruskan hidup, buat habibi makin bersungguh-sungguh dalam belajar dan cari nafkah.”
“Habibi pun penguat semangat sayang. Kalau dulu sayang diuji pasal soal perasaan, habibi yakinkan sayang. Sayang tak menyesal kahwin dengan habibi. Habibilah suami dan bakal abi terbaik.”
“Walaupun habibi dah minta maaf pasal apa yang habibi dah buat kat sayang dulu, habibi masih nak minta maaf. Maafkan habibi untuk semuanya, segala penderaan yang habibi dah buat kat sayang dan anak-anak kita. Habibi tahu perbuatan tu tak boleh dimaafkan. Habibi tahu parut tetap ada kat badan dan hati sayang. Ditambah lagi dengan sayang ada PTSD…”
Qistur Ruwaidah meletakkan jari telunjuknya ke arah bibir suaminya. “Shhh… Dah, dah. Jangan cakap pasal tu. Tu hanya akan buat habibi makin triggered. Kita tutup kisah tu. Kita buka kisah baru. Kita pun dah nak jadi ummi dan abi, kan? Kita fokus untuk tu. Termasuklah pengajian kita tapi sayang minta maaf tak dapat berjuang dengan habibi untuk semester depan.”
Mohamad Salahuddin bersyukur kerana dikurniakan seorang isteri yang begitu tulus dan masih sudi menerima kekurangannya. Ternyata pandangan pertama dia terhadap isterinya di zaman asasi dahulu tidak pernah salah. “Jangan risau, sayang. Habibi cuba lawan rasa bersalah tu. Pasal semester depan kita, tak apalah. Lagipun, sayang tengah berpantang masa tu. Sayang pun dah tunjuk study plan sayang kat habibi. Insya-Allah kita akan berkonvokesyen sama-sama tahun 2019 nanti.”
“Haah betul… Habibi akan bergraduasi untuk LLB bulan Januari 2019. Lepas tu, habibi sambung LLB_S bulan Februari 2019 dan bergradusi Januari 2020, kan?”
“Betul. Insya-Allah. Kita cuma merancang, Allah jualah yang menentukan.”
“Insya-Allah. Habibi, boleh tak sayang nak jemput Tihaani dengan mummy dan daddy dia datang kat rumah kita nanti? Saja nak rapatkan silaturahim sebelum sayang bersalin. Habibi pun dapat sembang sekejap je dengan dia orang masa majlis kita dulu.”
“Boleh je, sayang. Habibi pun rasa senang hati. Lepas tu, kita jemput keluarga Abah Anwar pula. Mesti dia orang pun teruja tengok keadaan sayang nanti.”
“Kalau macam tu, kita buat hari Sabtu depan. Sesi pagi dengan keluarga Tihaani. Lepas zuhur, sesi dengan keluarga Abah Anwar. Kita ajak Abang Suhaib, ayah dan Keena sekali. Untuk dia orang, kita buat sesi malam. Tak pun, kita sekalikan dengan keluarga abah.”
“Wah, cun juga tu! Kalau macam tu, habibi akan tempah nasi arab.”
“Sedap tu! Elok juga. Sayang jarang makan nasi arab. Kalau macam tu, habibi tempah kunafa sekali.”
“Boleh, boleh. Nanti kita bincang balik pasal ni.”
PADA keesokan hari, Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin mendaftar keluar hotel dan meninggalkan Hotel Bianglala yang pastinya akan menjadi hotel pilihan pasangan itu untuk kembali lagi nanti. Destinasi mereka yang seterusnya, iaitu sesi foto ibu hamil di sebuah studio gambar yang terletak di Petaling Jaya.
“Pakaian sayang, mekap sayang… Semua okey, kan?” soal Qistur Ruwaidah sebelum dia dan suaminya akan keluar dari perut kereta.
Mohamad Salahuddin tersenyum sambil memeriksa keseluruhan diri isterinya itu, termasuklah stoking lengan dan stoking kaki isterinya. “Okey sayang. Okey sangat. Janji tutup aurat. Stoking lengan ada, stoking kaki pun ada. Tudung bawah dada. Okey, lulus.”
Lalu, mereka berdua menuju ke arah Kedai Gambar Simetri.
“Assalamualaikum. Encik Nazir ya,” sapa Mohamad Salahuddin.
“Waalaikummussalam. Ya betul. Encik Din ya?” balas Encik Nazir selaku pemilik Kedai Gambar Simetri. Kelihatan raut wajah lelaki hampir sebaya dengan Encik Mohd Firdaus.
“Betul. Panggil je saya, Din. Ni isteri saya, Qist.”
“Okey. Panggil je pak cik, Pak Cik Nazir. Formal sangat pula nak berencik-encik ni. Din dan Qist boleh masuk kat bilik sana. Boleh betulkan apa-apa yang patut dulu. Mekap ke, baju ke, tudung ke. Nanti anak perempuan pak cik yang akan ambilkan gambar Din dan Qist. Anak pak cik dah berpengalaman dalam 10 tahun untuk maternity photo shoot ni.”
“Baik pak cik. Terima kasih,” ucap Mohamad Salahuddin. Lalu, dia dan isterinya melangkah masuk ke dalam bilik yang dimaksudkan oleh Encik Nazir itu.
Masing-masing membelek diri.
“Habibi, semua okey, kan?” soal Qistur Ruwaidah.
Sekali lagi, Mohamad Salahuddin menilik isterinya itu. Dia berpuas hati dengan kecantikan isterinya itu. “Habibi puas hati. Habibi pula macam macam? Semua okey?”
Qistur Ruwaidah menilik suaminya pula. “Rambut okey. Lengan baju habibi tu… singsingkan! Habibi tahu sayang suka habibi singsingkan lengan baju, kan.”
“Eh, habibi lupa pula! Okey, okey. Habibi singsingkan sekarang,” kata Mohamad Salahuddin seraya menyingsingkan lengan bajunya sehingga paras tiga suku. “Sekarang, macam mana?”
“Ha, macam ni barulah nampak kacak ‘zauj’ sayang ni,” puji Qistur Ruwaidah. Lalu, dia berbisik sesuatu ke telinga suaminya. “You’re mine, habibi. I love you.”
Mohamad Salahuddin tersenyum bangga. Menyempat pula si isteri tercinta menggoda dirinya di bilik itu. “You’re mine too, sayang. I love you too. Sayang dah sedia ke?”
“Dah. Jom kita keluar.”
Lalu, pasangan itu keluar. Kelihatan seorang wanita dalam awal 30-an sedang menunggu pasangan itu sambil melakukan seting pada kamera DSLR. Kemudian, barulah dia menegur kedua-dua bakal ibu bapa itu. “Saya Kak Yamni, anak Pak Cik Nazir. Din dan Qist nak pakej satu jam, sekali dengan album, kan?” ujar Yamni.
“Betul tapi kami tak reti sangat nak bergaya dalam kamera,” terang Mohamad Salahuddin.
Yamni tersenyum. “Tak apa, Din. Jangan risau. Bab tu, serahkan kat akak. Insya-Allah Din dan Qist akan puas hati. Kandungan Qist dah berapa bulan?”
“Lapan bulan, kak. Insya-Allah kembar lelaki,” ujar Qistur Ruwaidah.
“Wah, kembar! Akak teruja! Dah sarat sangatlah ni.”
“Haah… Dah sarat sangat, kak.”
“Insya-Allah semoga semuanya dipermudah. Okey. Sekarang, Qist dan Din boleh berdiri kat sini,” kata Yamni seraya menujukkan kedudukan posisi yang dikehendaki.
Lalu, Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin berdiri di tempat yang dimaksudkan oleh Yamni.
“Akak tunjuk demo dulu. Qist, akak minta izin nak jadi model demo supaya Din faham,” pinta Yamni.
“Okey, boleh kak,” kata Qistur Ruwaidah.
“Qist akan buat macam ni,” kata Yamni seraya menunjukkan demo. “Lepas tu, Din pula akan buat macam ni kat Qist.”
Pasangan itu tersenyum. Semestinya posisi demo itu sangat romantis dan membuatkan cinta mereka berdua kian bercambah. Tanpa ragu-ragu, mereka berdua mula mengikuti posisi yang dimahukan oleh Yamni itu.
“Macam ni ke, kak?” soal Qistur Ruwaidah.
“Haah… Perut Qist selesa tak?” soal Yamni.
“Selesa je.”
“Okey, sedia. Satu, dua, tiga…”
Tangan kanan Mohamad Salahuddin memegang tangan kanan isterinya dan tangan kirinya memegang bahu kiri isterinya manakala tangan kiri Qistur Ruwaidah memegang bahu kiri suaminya. Wajah mereka berdua saling berpandangan bersama senyuman penuh cinta.
“Nah,” kata Yamni seraya menunjukkan gambar tersebut.
Betapa pasangan itu amat menyukai hasilnya. Mereka berdua sudah membayangkan apabila gambar-gambar itu dicetak dan dijadikan kenangan untuk ditunjukkan kepada anak-anak mereka kelak.
“Okey. Lepas tu, macam ni pula,” kata Yamni seraya menunjukkan demo kedua pula. Pasangan itu kian tersenyum dengan posisi tersebut.
Qistur Ruwaidah mula memautkan tangan kanannya ke bahu kanan suaminya dan tangan kirinya berpaut ke tangan kanannya, yakni kelihatan posisi dia sedang memeluk suaminya. Tangan kanan Mohamad Salahuddin pula memegang pergelangan tangan kiri isterinya dan tangan kirinya merangkul pinggang isterinya. Wajah mereka berdua menghadap lensa kamera.
Sesi foto ibu hamil ini diteruskan sehingga satu jam lamanya. Sungguh pasangan itu cukup gembira dengan sesi bergambar tersebut.
“Akak tengok Qist dan Din ni macam seronok je bergambar. Memandangkan Qist pun dah sarat mengandung, akak nak hadiahkan lagi setengah jam untuk kita bergambar kat luar pula. Ada taman permainan kat belakang kedai ni. Kena jalan sikit je,” kata Yamni.
“Ya Allah kak. Tak apa. Kami okey je sejam ni pun. Dah cukup banyak gambarnya,” kata Qistur Ruwaidah dengan penuh rasa terharu.
Yamni tersenyum. “Tak apa, Qist, Din. Anggaplah ni rezeki anak-anak sekali. Doakan juga bisnes akak dan ayah akak ni makin maju.”
“Kalau macam tu, terima kasih banyak, kak,” ucap Mohamad Salahuddin.
Kemudian, pasangan itu dan Yamni menuju pula ke taman permainan yang dimaksudkan oleh Yamni. Lalu, sesi bergambar itu diteruskan di taman pula selama setengah jam.
Setelah semuanya selesai, Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin pulang ke rumah kediaman mereka berdua.
“Tiga hari yang cukup menarik. Terima kasih habibi sebab dah sempurnakan impian dan permintaan sayang. Sayang takkan lupa,” bicara Qistur Ruwaidah.
Mohamad Salahuddin tersenyum. “Sama-sama sayang. Habibi pun rasa gembira bila tengok sayang gembira macam ni. Tinggal sebulan je kita nak jumpa anak-anak kita. Habibi dah tak sabar sangat.”
Qistur Ruwaidah turut tersenyum. “Sayang pun tak sabar tapi sayang rasa makin takut, berdebar… Yalah, ni kan pengalaman pertama sayang akan lahirkan anak-anak kita. Entahlah macam mana nanti. Sayang takut.”
Perlahan-lahan Mohamad Salahuddin mendakap isterinya itu. “Sayang, kita sama-sama dah pergi kelas pranatal. Doktor dah ajar macam-macam kat sayang dari segi teknik pernafasan, cara bersenam, cara sayang nak teran… Habibi sendiri pun ada peranan nak tolong sayang sepanjang sayang mengandung ni dan nak bersalin nanti tapi habibi faham, kandungan kembar ni lain sikit, sama ada sayang diberikan rezeki untuk bersalin cara normal atau bedah. Apa-apa pun, habibi akan doakan urusan sayang nak bersalin nanti dipermudah.”
“Habibi akan teman sayang bersalin nanti, kan? Sayang takut.”
“Insya-Allah habibi akan temankan sayang. Sayang jangan takut. Habibi sendiri dah berangan nak sambut anak-anak kita, potong tali pusat dan tanam uri anak-anak kita nanti.”
“Macam mana kalau sayang beranak nanti, habibi tengah kelas? Sayang takut sayang beranak seorang tanpa habibi.”
“Eh, sayang ni! Ke situ pula dia fikir. Pandai-pandailah habibi susun masa nanti. Apa yang pasti, habibi kena peka dengan tarikh sayang nak beranak. Habibi akan sedia teman sayang dalam dua atau tiga hari awal. Pensyarah habibi pun akan fahamlah nanti. Jangan risau.”
Barulah wajah Qistur Ruwaidah gembira semula. “Okey, sayang senang hati. Emm habibi… Setakat ni, kawan habibi yang tahu sayang mengandung, Wan Dolah je, kan?”
“Haah… Dia seorang je. Habibi dah minta dia suruh rahsiakan daripada kawan-kawan yang lain. Jangan risau. Dia boleh dipercayai. Dia pun tak sabar nak tunggu anak-anak kita lahir,” balas Mohamad Salahuddin.
TIBALAH hari yang dinanti-nantikan oleh Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin, iaitu sesi pertemuan bersama keluarga Tihaani pada waktu pagi, sesi bersama keluarga Inspektor Anwar serta Suhaibul Umar, Encik Mohd Firdaus dan Sakeenah selepas waktu zuhur.
“Assalamualaikum anak mummy,” ucap Datin Hasyimah seraya bersalaman dan mengucup kedua-dua belah pipi anak angkatnya itu.
“Waalaikummussalam mummy,” ucap Qistur Ruwaidah. Kemudian, dia bersalaman dengan Tihaani pula. Alangkah gembiranya dia bertemu dengan keluarga kawan baiknya itu.
Mohamad Salahuddin turut bersalaman dengan Dato Jauzi. “Assalamualaikum daddy,” ucapnya. Sejujurnya, dia masih gementar apabila bertemu dengan keluarga kawan baik isterinya itu kerana perbezaan pangkat dan dia tahu betapa berbezanya kehidupan dia dan keluarga Tihaani.
“Waalaikummussalam. Sihat ya, Din?” sapa Dato Jauzi dengan penuh mesra.
“Sihat, alhamdulillah. Jemput duduk semua,” kata Mohamad Salahuddin.
Lalu, mereka berlima melabuhkan punggung di atas sofa.
“Mummy gembira betul tengok anak-anak mummy ni. Dah nak jadi mak ayah tak lama lagi,” ujar Datin Hasyimah dengan penuh ceria.
Qistur Ruwaidah memegang tangan Mohamad Salahuddin. “Alhamdulillah mummy. Kami pun tak sabar nak tunggu anak-anak kami ni lahir. Tujuan kami ajak ni pun sebab nak minta doa daripada semua supaya Qist selamat bersalin nanti. Selain tu, boleh rapatkan silaturahim dengan semua sebelum Qist nak bersalin,” terangnya.
“Kandungan Qist dah berapa bulan? Kami terkejut betul bila Tihaani beritahu yang Qist mengandung kembar. Bukan apa… Kami teruja,” beritahu Dato Jauzi.
“Alhamdulillah. Dah nak masuk sembilan bulan, daddy. Tak lama dah ni. Silap haribulan, takut terberanak awal pula. Kami sedia je bila-bila masa,” terang Qistur Ruwaidah.
Pelbagai topik yang dibincangkan oleh dua buah keluarga itu dengan penuh rancak dan meriah sekali. Akan tetapi, pasangan itu merahsiakan tentang peristiwa Mohamad Salahuddin pernah disihir dan hampir maut. Itu tidak patut diceritakan kepada umum. Biarlah ahli keluarga terdekat dan Wan Abdullah sahaja yang tahu.
“Qist… Nanti kau bersalin kat mana?” soal Tihaani.
“Insya-Allah kat Hospital Bersalin Az-Zahwah. Klinik yang aku buat check up bagi saranan untuk bersalin kat situ sebab mesra perempuan. Mahal sikit tapi tak apalah, janji doktor perempuan yang sambut,” balas Qistur Ruwaidah.
“Oh, mummy tahu hospital tu. Pengarah dia kawan baik mummy dan daddy,” sampuk Datin Hasyimah.
“Haah… Alang-alang Qist dan Din dah terlanjur jemput kami ni, sebenarnya daddy dah berniat nak taja kos kelahiran anak-anak Qist dan Din nanti,” umum Dato Jauzi.
Terbeliak biji mata Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin tatkala mendengar pengumuman Dato Jauzi.
“Daddy biar betul?” soal Mohamad Salahuddin, inginkan kepastian.
“Eh, betullah. Untuk cucu-cucu angkat kami juga. Lagipun, nak tunggu Tihaani kahwin pun, tak tahu lagi bila,” balas Dato Jauzi.
“Daddy ni… Tihaani tak sedia nak kahwin lagi tahu. Tihaani pun sibuk dengan belajar dan bisnes mekap,” balas Tihaani.
Masing-masing tertawa kecil mendengar kata-kata Tihaani itu.
“Pasal daddy nak taja tu, daddy betul-betul ke? Kami terkejut lagi ni,” ujar Qistur Ruwaidah.
“Tak ada maknanya daddy tu nak bergurau, Qist,” kata Tihaani.
“Betul sayang mummy. Mummy pun dah berniat nak taja Qist masa Qist berpantang nanti. Insya-Allah mummy akan masak makanan pantang yang sedap dan takkan mengecawakan Qist. Anggaplah semua ni, rezeki anak-anak Qist dan Din.”
Semakin terharulah Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin tatkala mendengar kata-kata keluarga Tihaani itu. Benarlah, rezeki anak itu merupakan rezeki yang tidak disangka-sangka.
Sesi bersama keluarga Inspektor Anwar pula…
“Ya Allah! Anak-anak ibu ni dah nak ada anak!” luah Puan Raihan tatkala dia ternampak tonjolan perut Qistur Ruwaidah.
“Surprise semua!” ucap Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin dengan penuh gembira.
Inspektor Anwar dan adik-beradik angkat Qistur Ruwaidah juga turut terkejut dengan kejutan yang tidak disangka-sangka ini.
“Ya Allah, Qist. Dah berapa bulan ni!” luah Rahah.
“Dah nak masuk sembilan bulan, kak. Maaflah baru buat kejutan sekarang tapi, tapi, tapi… Kami ada satu lagi kejutan untuk semua,” beritahu Qistur Ruwaidah dengan nada penuh gimik.
“Ha, sudah! Apa lagi kejutannya,” kata Darirah, adik-beradik angkat Qistur Ruwaidah yang sebaya dengan dirinya.
“Ibu, abah dan semua adik-beradik Qist ni akan jadi nenek, atuk, mak saudara dan ayah saudara untuk anak kembar kami!” umum Qistur Ruwaidah.
Masing-masing semakin teruja dengan berita itu. Apatah lagi, adik angkat Qistur Ruwaidah, iaitu Unaisah dan Ubbad merupakan pasangan kembar juga tetapi tidak seiras.
“Qist, Din… Kau orang ni… Memanglah… Tak sangka kau orang jemput kita orang sebab ni rupanya,” kata Zabdan, abang angkat Qistur Ruwaidah yang sebaya dengan Suhaibul Umar.
“Maaf, Abang Zabdan. Baru sekarang kita orang beritahu,” ujar Qistur Ruwaidah seraya tersengih.
“Tak apa, Qist. Apa-apa pun, tahniah untuk Qist dan Din. Kami semua akan doakan urusan Qist nak beranak ni dipermudah. Kalau macam tu, bolehlah kita baca Yasin dan doa selamat untuk Qist dulu,” kata Inspektor Anwar.
Cadangan itu disambut baik oleh semua orang. Lalu, Inspektor Anwar sendiri yang mengetuai bacaan Yasin dan doa selamat. Kemudian, mereka menikmati nasi arab dan kunafa yang ditempah oleh Mohamad Salahuddin serta diselangi dengan perbualan rancak dan gelak ketawa.
Masing-masing mengimbau kembali kenangan kanak-kanak dahulu. Masih segar dalam fikiran keluarga Inspektor Anwar berkenaan pertemuan Puan Raihan dan adik-beradik angkat Qistur Ruwaidah sewaktu Qistur Ruwaidah dan Suhaibul Umar bertemu dengan mereka. Atas dasar kasih sayang, masing-masing menerima dua beradik itu tanpa syarat.
“Syukur Qist pun dah nak jadi ‘ummi’. Moga anak-anak Qist membesar dengan baik,” ucap Puan Raihan. Sebagai seorang ibu, dia amat terkesan dengan apa yang menimpa Qistur Ruwaidah dan Suhaibul Umar dahulu. Dia mengharapkan agar cucu-cucu angkatnya kelak tidak mengalami nasib yang sama seperti ibu kandung mereka.
Sementara Mohamad Salahuddin pula berborak dengan Inspektor Anwar dan Zabdan. Ubbad pula menikmati nasi arab di tempat lain bersama kembarnya, Unaisah dan salah seorang kakak mereka berdua, iaitu Adriana serta usianya pun masih muda bagi menyertai perbualan ketiga-tiga orang lelaki dewasa itu.
Tidak lama kemudian, muncul pula Suhaibul Umar, Encik Mohd Firdaus dan Sakeenah bagi memeriahkan pertemuan itu.
“Suhaib!” panggil Zabdan dengan penuh gembira tatkala ternampak adik-beradik angkatnya itu.
“Zabdan!” tegur Suhaibul Umar dengan penuh ceria. Alangkah dia merindui kenangan bersama Zabdan.
Sementara itu, Encik Mohd Firdaus pula bersalaman dengan Inspektor Anwar dan diikuti dengan Zabdan dan Ubbad manakala Sakeenah bersalaman dengan kakak iparnya dan keluarga angkat kakak iparnya yang sejantina dengan dirinya.
“Dah lama sampai, Anwar?” soal Encik Mohd Firdaus.
“Dah lama juga. Tadi pun, kami baca Yasin dan doa selamat untuk Qist,” terang Inspektor Anwar.
Sementara itu, Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin bertemu seketika di kamar beradu.
“Sayang okey?” tanya Mohamad Salahuddin.
“Okey je. Sayang gembira sangat dapat jumpa semua hari ni sebelum sayang beranak. Terima kasih, habibi. Terima kasih untuk semuanya,” ucap Qistur Ruwaidah. Lalu, dia mendakap suaminya itu.
Mohamad Salahuddin mengusap kepala isterinya. “Sama-sama sayang. Apa-apa je untuk sayang. Okey?”
“Okey, habibi. Emm… Abang Afkar ada hubungi habibi tak?”
“Dia ada whatsapp tadi. Insya-Allah dia dalam perjalanan.”
Tujuan Qistur Ruwaidah meminta suaminya berhubung dengan Afkar Irsyad, iaitu sahabat baik Suhaibul Umar untuk mengambil gambar seluruh insan yang amat dicintainya sebelum dia bersalin. Dia mahu meninggalkan memori indah.
Sungguh, Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin berasa amat bersyukur dengan segala nikmat yang Allah kurniakan buat mereka berdua pada hari tersebut, yakni bertemu dengan insan-insan yang dikasihi dan merapatkan silaturahim.
1 SEPTEMBER 2016 - 1 SEPTEMBER 2017
Segala puji bagi Allah, usia pernikahan Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin sudah genap setahun. Pada tarikh tersebut juga, jatuhnya Hari Raya Aidiladha. Mereka berdua juga mengambil kesempatan untuk menunaikan qiamullail sebagai tanda kesyukuran seorang hamba kepada Rabnya sebelum mereka berdua menuju ke Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM Gombak bagi menunaikan solat sunat Aidiladha pada jam 7.30 pagi nanti.
“Selamat ulang tahun perkahwinan pertama kita, sayang. Alhamdulillah kita masih bersama. Habibi masih panjang umur untuk hidup dengan sayang dan anak-anak kita,” ucap Mohamad Salahuddin dengan penuh sebak. Lalu, dia mendakap isterinya.
Qistur Ruwaidah juga turut sebak. Dia mengeratkan dakapan itu. “Alhamdulillah, habibi. Alhamdulillah… Allah Maha Berkuasa. Kita dah setahun kahwin. Dah macam-macam yang kita lalui selama setahun ni. Terima kasih sebab terima sayang seadanya. Terima kasih sebab jadi suami dan bakal abi terbaik buat sayang dan anak-anak kita. Sayang sebak.”
“Sama-sama sayang. Habibi sebak juga ni. Habibi pun nak ucap terima kasih sebab sayang masih cintakan habibi, korbankan segala-gala untuk habibi, termasuklah sayang mengandungkan anak-anak kita. Besar pengorbanan sayang yang habibi tak mampu balas dengan wang ringgit. Habibi reda untuk semuanya, sayang. Habibi tak sabar nak lalui hari-hari seterusnya dengan sayang dan anak-anak kita.”
“Sama-sama habibi. Sayang dah hilang kata sebab sayang ingat jodoh kita tak panjang kat dunia ni.”
Pada ketika itu, Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin sudah menangis teresak-esak. Masing-masing teringat kembali peristiwa pahit yang hampir meragut nyawa.
Dalam keadaan tersedu-sedu, Mohamad Salahuddin meneruskan bicaranya dalam dakapan itu. “Habibi tak nak kita sedih sempena genap setahun kita kahwin ni tapi nak buat macam mana… Habibi tak boleh nak lupa apa yang dah jadi. Habibi sakit, sayang.”
Qistur Ruwaidah menggosok tubuh belakang suaminya. “Sayang faham, habibi. Sayang faham. Tak apa. Menangislah… Sayang sentiasa ada untuk habibi. Sayang pun menangis juga ni. Allah tahu apa yang kita dah lalui. Allah kasihkan kita, habibi.”
Setelah tangisan pasangan itu reda, masing-masing meleraikan dakapan tersebut. Lalu, mereka menyeka air mata yang berguguran di pipi. Waima Qistur Ruwaidah mahupun Mohamad Salahuddin, mereka mengukir senyuman kembali.
“Sayang ingat sesuatu masa hari kita disatukan dulu… Kita masih malu-malu. Sayang takkan lupakan pandangan cinta habibi kat sayang, habibi bisik kat telinga sayang lepas kita solat sunat nikah… Habibi minta sayang tukar panggilan daripada ‘Din’ kepada ‘habibi’. Habibi nak sarung cincin kat sayang, sayang tertarik tangan sayang… Emm… Kalau sayang sebut lagi, terlalu banyak dan tak mungkin habibi lupa, kan?” luah Qistur Ruwaidah.
Mohamad Salahuddin memegang tangan isterinya. “Habibi tak pernah lupa. Sikit pun habibi tak pernah lupa. Habibi teringat kali pertama habibi tengok aurat sayang. Habibi malu tapi habibi suka sangat. Sayang nampak cantik dan eksklusif. Masa tu, habibi rasa sayang macam bidadari dan sampai sekarang pun, sayang tetap macam bidadari untuk habibi. Habibi takkan lupa kita menari sama-sama malam tu.”
Qistur Ruwaidah tersenyum malu. “Oh ya… Hari pertama habibi tengok aurat sayang. Sayang takkan lupa sampai terjatuhlah baju nikah sayang,” katanya. Lalu, dia tertawa kecil.
Mohamad Salahuddin turut tertawa kecil. “Sekarang, kita pun dah okey. Dah selesa. Sehari sayang tak ada kat sisi habibi atau tak nampak sayang, habibi tak keruan tahu. Boleh jadi gila.”
“Betul! Sayang pun akan rasa separuh mati bila habibi tak ada. Habibi… Sayang bersyukur sangat sayang pilih habibi jadi ‘zauj’ sayang dan ‘abi’ untuk anak-anak kita. Sayang tak pernah menyesal kahwin dengan habibi. Pilihan sayang tak salah untuk habibi dulu. Sekali lagi, terima kasih untuk semuanya, habibi… Segala cinta dan kesetiaan yang habibi dah kurniakan buat sayang tanpa putus asa. Terima kasih juga tak berputus asa nak dapatkan sayang dulu dan habibi pendam perasaan kat sayang sampai tiga tahun lamanya.”
“Sama-sama sayang. Sayang… Habibi lagi bersyukur bila sayang dah ada kat sisi habibi dan habibi pun tak menyesal kahwin dengan sayang. Pandangan pertama habibi kat sayang masa kat kelas BI dulu tak pernah salah. Sayang memenuhi ciri-ciri yang habibi idamkan sebagai isteri habibi. Habibi pun nak ucap terima kasih di atas segala cinta, kasih sayang dan pengorbanan yang sayang dah bagi kat habibi. I love you, Qistur Ruwaidah binti Isyraf Imrani.”
“Sama-sama, habibi. I love you too, Mohamad Salahuddin bin Mohd Firdaus. Hadiah ulang tahun pertama ni, sayang ‘hadiah’kan zuriat untuk habibi. Tak apakan kalau kita sambut biasa je tahun ni?”
“Habibi tak kisah pun, sayang. ‘Hadiah’ zuriat tulah, ‘hadiah’ termahal bukan untuk habibi je tapi ‘hadiah’ termahal yang Allah kurniakan untuk kita berdua. Lepas kita solat Aidiladha kat UIA, kita singgah makan kat mana-mana restoran. Okey?”
“Sayang okey je. Janji sayang dan anak-anak kita kenyang.”
“Sayang nak cakap apa lagi sempena kita dah setahun kahwin? Luahkan. Habibi nak dengar.”
“Terima kasih sebab jadi suami yang bertanggungjawab. Paling penting, habibi hebat masak! Sayang teringat hari kedua kita kahwin dulu. Sayang kagum dengan habibi masa habibi masak nasi goreng cina dulu. Masa tu juga, habibi bongkarkan pasal roti pita yang habibi buat masa kita tunang dulu.”
“Sama-sama sayang. Terima kasih juga sebab amanah dengan apa yang sayang buat dan hormatkan habibi sebagai suami sayang. Sayang pun hebat juga masak. Pandai buat kek dan biskut juga. Senang kata, sayang serba boleh bab masak macam almarhumah mama.”
“Sekali lagi, sama-sama habibi. Lepas ni, kehidupan kita akan berubah 360º sebagai ummi dan abi pula untuk anak-anak kita. Kalau dulu kita berkorban untuk pasangan dan diri sendiri, lepas anak-anak kita lahir… Kita akan berkorban pula untuk ‘AQS babies’ pula.”
“‘AQS babies’? Menarik juga nama panggilan anak-anak kita. Tak sabarnya nak tunggu ‘AQS babies’ lahir. Betul apa yang sayang cakap. Kehidupan kita akan berubah tapi habibi dah sedia berkorban tak tidur malam, cari nafkah, didik anak-anak kita… Emm… Apa lagi? Insya-Allah apa yang pasti, habibi dah sedia.”
Qistur Ruwaidah tersenyum. “Insya-Allah, sayang pun dah sedia.”
SETELAH kandungan Qistur Ruwaidah memasuki bulan kesembilan…
Mata Qistur Ruwaidah terbuka tatkala dia terasa tendangan yang cukup aktif daripada janin-janinnya itu serta kakinya terasa kejang. Dia tersenyum meskipun dia terasa sakit serta keletihan kerana dia tidak mendapat tidur yang cukup. Asalkan janin-janinnya itu sudah cukup aktif, itu membuatkan dirinya lega sebagai seorang ibu. Perlahan-lahan dia membangunkan dirinya untuk berada dalam posisi duduk dan bantal disandarkan di penghadang katil sebagai alas tubuh belakangnya. Lalu, dia mengusap kandungannya itu dengan penuh lemah lembut.
Kandungannya kian membesar dan sudah terlalu sarat. Perutnya juga sudah semakin ke bawah sebagai tanda bahawa anak-anaknya itu bakal dilahirkan tidak lama lagi atau mungkin pada bila-bila masa sahaja.
“Anak-anak ummi… Alhamdulillah untuk semuanya. Terima kasih sebab bertahan untuk ummi dan abi selama sembilan bulan ni. Ummi sayang anak-anak ummi,” Qistur Ruwaidah berbicara perlahan dengan janin-janinnya itu.
Semakin lama, janin-janin Qistur Ruwaidah semakin kuat menendang perutnya. Pada ketika itu, dia mula risau jika sudah tiba masa untuk dia melahirkan anak-anaknya. Sepatutnya, dia perlu berada di hospital lebih awal. Nampak gayanya, dia terpaksa mengejutkan suaminya.
“Habibi…” panggil Qistur Ruwaidah seraya menggoncangkan tubuh suaminya.
Mohamad Salahuddin tersedar dari lena tatkala dia merasakan tubuhnya digerakkan oleh isterinya. “Emm… Kenapa ni, sayang?” ujarnya seraya bangun dari lena.
“S…Sakit. Sayang tak tahu sayang dah nak beranak ke belum. Dari tadi anak-anak kita asyik menendang je,” luah Qistur Ruwaidah bersama linangan air mata.
Mata Mohamad Salahuddin terus terbeliak tatkala mendengar kata-kata isterinya itu. “Ha! Sayang dah nak beranak? Patutnya lagi tiga minggu, kan?”
“Tulah tapi doktor cakap kemungkinan sayang boleh beranak awal.”
Tanpa sepatah bicara, Mohamad Salahuddin mendekatkan kepalanya ke arah kandungan Qistur Ruwaidah. “Anak-anak abi dan ummi… Dah tak sabar nak keluar ya? Ke anak-anak abi dan ummi saja nak main pagi-pagi buta ni? Kalau anak-anak abi dan ummi tak sedia nak keluar lagi, kesian kat ummi. Ummi tak boleh tidur tahu,” bicara sang bakal ayah itu.
Secara automatik, janin-janin dalam kandungan Qistur Ruwaidah terus menjadi pasif tatkala mendengar suara Mohamad Salahuddin. Si bakal ibu juga tidak mengadu sakit lagi.
Mohamad Salahuddin memandang wajah isterinya. “Habibi rasa dia orang saja main-mainlah. Sayang pun dah tak rasa sakit, kan?”
Qistur Ruwaidah tersenyum seraya menyeka air matanya. “Haah… Dah tak sakit. Mungkin anak-anak kita takut dengan habibi. Tu yang dia orang terus tak aktif lepas habibi tegur.”
Cepat-cepat Mohamad Salahuddin mengusap kandungan isterinya. “Anak-anak abi… Janganlah merajuk. Abi minta maaf ya. Abi tak marah pun. Abi sayang anak-anak abi.”
Qistur Ruwaidah tertawa dengan tindakan spontan suaminya itu. Akan tetapi, dia tersentuh dengan tindakan suaminya. Dia percaya… Apabila anak-anak ini selamat dilahirkan, suaminya akan semakin mengasihi si kembar itu. “Habibi ni… Kelakar betul. Boleh pula macam tu.”
“Betullah habibi kena buat macam tu. Habibi kena berlatih dari sekarang untuk sentiasa minta maaf kat anak-anak kita kalau habibi salah. Kita ni, sayang… Kena belajar rendahkan ego untuk anak-anak. Itu apa yang habibi tengok daripada ayah kalau ayah buat salah kat habibi.”
“Sayang setuju. Emm… Habibi… Kalau habibi nak sambung tidur, tidurlah. Sekejap lagi, semester baru dah nak mula. Habibi kena cukup tidur.”
Pada hari tersebut, yakni semester satu sesi 2017/2018, Mohamad Salahuddin bakal menuju ke tahun ketiga semester dua. Qistur Ruwaidah pula mengambil cuti belajar dan akan menyambung semester baru pada semester dua tahun hadapan, yakni tahun 2018.
“Habibi kesian kat sayang. Sayang pun dah lama tak cukup tidur,” balas Mohamad Salahuddin.
“Tak apa sebab sayang study leave. Boleh qadak tidur waktu lain. Habibi lagi kena cukup tidur. Nak fokus belajar, kerja…” kata Qistur Ruwaidah.
Mohamad Salahuddin meraih tangan isterinya. Lalu, dia mengucupi tangan mulus itu. “Sayang… Habibi nak cakap infiniti terima kasih di atas pengorbanan sayang mengandungkan anak-anak kita. Habibi jadi senang hati sebab sayang berusaha jaga kandungan sayang dengan berhati-hati. Pengorbanan sayang terlalu besar.”
“Sama-sama habibi. Dah jadi tanggungjawab sebagai isteri dan bakal ummi. Habibi tidur ya. Sayang pun cuba nak sambung tidur.”
“Okey, sayang.”
Lalu, pasangan itu memejamkan mata semula. Masing-masing tidak sabar menempuh hari baru bagi menjadi seorang muslim lebih baik.
TAMAN LEMBAH KERAMAT
Sebelum menuju ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, Mohamad Salahuddin menghantar isterinya ke rumah kediaman arwah ibu bapa isterinya terlebih dahulu. Memandangkan kandungan Qistur Ruwaidah sudah terlalu sarat, dia risau isterinya ditinggalkan seorang diri. Jadi, bolehlah abang iparnya memantau isterinya.
Qistur Ruwaidah berpesan sesuatu kepada suaminya. “Belajar elok-elok, habibi.”
Mohamad Salahuddin mengusap kepala isterinya. “Insya-Allah sayang. Sayang pun jaga kandungan tu. Jangan buat kerja berat. Banyakkan bersenam. Kalau teringin nak makan apa-apa, hubungi je habibi,” pesannya pula. Kemudian, dia menyentuh kandungan isterinya. “Anak-anak abi… Jangan nakal-nakal tahu. Abi nak pergi belajar ni,” bicaranya kepada janin-janin itu pula.
Qistur Ruwaidah tersenyum. “Kalau macam nilah gayanya, sayang dah jatuh nombor dualah lepas anak-anak kita lahir nanti,” usiknya.
Mohamad Salahuddin tertawa kecil. “Mana boleh. Semua akan jadi nombor satu. Sayang dan anak-anak kita akan sentiasa jadi nombor satu dalam hati habibi. Dah, jom. Habibi hantar sampai sayang masuk dalam rumah.”
Kemudian, Mohamad Salahuddin mengambil beg isterinya di bahagian belakang tempat duduk penumpang. Lalu, dia memimpin isterinya sehingga isterinya selamat berada dalam rumah.
Kelihatan Suhaibul Umar baru sahaja menyiapkan hantaran kliennya. “Din nak pergi UIA ya lepas ni?” ujarnya.
“Haah… Semester baru pun dah mula. Nak pre-reg manual lagi. Abang tolong tengok-tengokkan Qist ni tahu. Kalau dia aktif sangat, abang tolong ikat dia tahu,” balas Mohamad Salahuddin bersama sengihan nakal.
“Habibi!” Qistur Ruwaidah menjerit kecil.
Suhaibul Umar tergelak kecil. Dia mengerti maksud adik iparnya itu. Qistur Ruwaidah memang seorang yang tidak reti duduk diam sepanjang dia mengandung sehingga merisaukan dirinya dan adik iparnya. “Jangan risau, Din. Kalau adik abang ni aktif sangat, abang lapor kat Din.”
Qistur Ruwaidah mencebik geram. “Abang!”
Suhaibul Umar dan Mohamad Salahuddin tertawa nakal. Betapa mereka berdua suka menyakat Qistur Ruwaidah. Kemudian, Suhaibul Umar menghilangkan diri ke dapur bagi menyiapkan snek pagi untuk adiknya.
“Habibi pergi dulu. Ingat pesan habibi tadi,” pesan Mohamad Salahuddin seraya mengucup dahi isterinya. Kemudian, dia mengucup pula kandungan isterinya. “Beratnya habibi nak tinggalkan sayang dan anak-anak. Habibi akan rindukan sayang dan anak-anak kita. Doakan habibi tahu,” luahnya.
Qistur Ruwaidah menyalam tangan suaminya. Kemudian, dia memegang pipi suaminya. “Sayang dan anak-anak kita pun akan rindukan habibi. Insya-Allah habibi boleh buat untuk semester ni. Habibi kuat. Sayang percaya.”
“Insya-Allah. Apa-apa, hubungi habibi tahu.”
Tidak lama kemudian, Mohamad Salahuddin pun mula meninggalkan kawasan Taman Lembah Keramat dan menuju ke UIAM Gombak bagi menempuh semester baru tanpa isteri tercinta untuk semester ini.
WAN ABDULLAH tercengang tatkala Mohamad Salahuddin menceritakan apa yang berlaku sepanjang dia sakit dahulu. Namun, dia bersyukur sahabat baiknya selamat dan kembali sihat seperti sediakala.
“Syukur mak tiri kau dah meninggal dunia. Aku lega sangat, Din. Kalau dia hidup lagi, entahlah… Makin huru-hara jadinya,” balas Wan Abdullah.
“Alhamdulillah. Aku pun lega juga. Sekarang, tinggal aku nak cari kubur ummi aku lepas Qist dah bersalin dan anak-anak kita orang dah besar sikit nanti,” balas Mohamad Salahuddin.
“Insya-Allah. Aku doakan semoga Allah mudahkan urusan kau nak cari kubur ummi kau nanti. Memang ayah kau masih tak ingat apa-apa pasal ummi kau?”
Mohamad Salahuddin mengangguk. “Haah… Tak apalah. Aku pun tak nak susahkan ayah aku. Ayah aku pun dah banyak menderita selama ni.”
Wan Abdullah menepuk bahu sahabat baiknya itu. “Tak apa, Din. Semua ni ada hikmah. Ha, bila Qist nak bersalin? Aku tak sabar nak tengok anak-anak saudara aku.”
“Ikutkan lagi tiga minggu tapi kita orang tak boleh nak ikut sangat tarikh jangkaan tu. Takut Qist terberanak awal. Aku pun kena sedia dan peka selalu dengan telefon aku. Pagi tadi pun, aku ingat Qist dah nak beranak sebab dia mengadu sakit tapi lama-lama, tak sakit pula. Aku syak anak-anak kita orang saja nak ajak main pagi-pagi buta tu.”
“Uish! Anak-anak kau orang buat cuak je! Mesti besar nanti, dia orang pandai macam kau dan Qist. Dari kandungan lagi, dia orang dah ikut Qist pergi kelas. Belajar sama-sama dengan Qist.”
“Aku aminkan je tapi paling penting, moga anak-anak kita orang lahir dalam keadaan cukup sifat dan sihat. Tu je yang aku harapkan sebagai bakal abi.”
“Amin! Sedar tak sedar, kau pun dah nak jadi ‘abi’. Rasa macam baru lagi kau kahwin dengan Qist. Tahu-tahu kau dah kahwin dengan Qist setahun lebih.”
“Tulah… Cepat je masa berlalu. Lepas ni, tanggungjawab aku makin bertambah. Kena fokus kat anak-anak pula.”
“Insya-Allah, kau boleh buat, Din. Aku kenal kau dari CFS. Kau bertanggungjawab orangnya. Jadi, tak ada masalah bila kau dah jadi suami dan bakal ‘abi’. Aku doakan urusan kau dan Qist dipermudah untuk hari-hari mendatang.”
“Amin! Aku harap macam tulah. Eh, jom! Kita nak kena masuk kelas sekarang.”
Kelihatan Mohamad Salahuddin terkocoh-kocoh berjalan untuk menuju ke kelas seterusnya. Wan Abdullah pula tersenyum menyaksikan gelagat sahabat baiknya itu. Dia gembira dengan keadaan terkini Mohamad Salahuddin.
KANDUNGAN Qistur Ruwaidah sudah memasuki minggu ke-37 dan masih belum ada tanda-tanda untuk dia bersalin. Beberapa kali juga dia melakukan pemeriksaan kandungannya di hospital sebagai langkah berjaga-jaga.
“Anak-anak ummi… Tak sabarnya nak tunggu anak-anak ummi keluar. Bila agaknya anak-anak ummi ni nak keluar? Abi pun tak sabar tahu,” bicara Qistur Ruwaidah sambil mengelus kandungannya.
“Sayang… Masa untuk makan lewat malam,” panggil Mohamad Salahuddin seraya menatang dulang yang diletakkan buah kurma ajwa, biskut oat, susu kambing madu dan air suam.
Qistur Ruwaidah memandang suaminya bersama senyuman kecil. Suaminya cukup sepersis abangnya. Wajib menghidangkan makan lewat malam untuk dia dan kandungannya agar dia tidak lapar pada waktu dinihari. “Alhamdulillah… Terima kasih habibi.”
“Sama-sama sayang,” ucap Mohamad Salahuddin. Lalu, dia meletakkan dulang tersebut di atas meja. Kemudian, dia melabuhkan punggung di sebelah isterinya.
Qistur Ruwaidah mengambil buah kurma ajwa terlebih dahulu sebagai pembuka selera. Dengan lafaz bismillah, dia mula menikmati makanan sunah terbaik itu. Kelihatan Mohamad Salahuddin juga turut menikmati buah kurma tersebut.
Kemudian, Qistur Ruwaidah menghirup pula susu kambing madu. Belum sempat dia hendak meletakkan cawan tersebut di atas meja, Mohamad Salahuddin mengambil cawan tersebut, lalu sang suami itu menghirup air susu kambing di tempat yang sama yang telah dihirup oleh sang isteri.
Betapa Mohamad Salahuddin mahu mencontohi akhlak Rasulullah dalam menjadi seorang yang romantik dengan isteri tercinta. Dia pernah terbaca satu hadis…
Dari Aisyah R.A, dia berkata;
“Aku biasa minum dari gelas yang sama ketika haid. Lalu, Baginda mengambil gelas tersebut dan meletakkan mulutnya di tempat aku meletakkan mulut. Lalu, Baginda minum.” (Hadis Riwayat Muslim)
“Nikmat betul dapat minum satu gelas dengan sayang. Habibi dapat rasa sentuhan sayang kat situ,” luah Mohamad Salahuddin bersama pandangan penuh menggoda.
“Ah, habibi ni!” ujar Qistur Ruwaidah dengan penuh malu-malu. Namun, dia juga tidak mahu kalah untuk menjadi seorang yang romantik. Biskut oat dicapai, lalu dia menyuakan kepada suaminya. “Nah. Gigitlah dulu.”
Mohamad Salahuddin tersenyum. Kemudian, dia menggigit biskut oat tersebut. Dia dapat menyaksikan Qistur Ruwaidah menggigit biskut itu di tempat yang sama yang telah digigit oleh dirinya.
“Biskut ni makin sedap bila habibi yang gigit dulu. Sebelum ni, tak sesedap macam ni,” kata Qistur Ruwaidah bersama senyuman.
Tiba-tiba Mohamad Salahuddin mengucup pipi isterinya buat seketika. Qistur Ruwaidah terkesima.
“Biskut tu jadi sedap sebab habibi gigit dengan kasih sayang. Tak ke macam tu?” ujar Mohamad Salahuddin bersama sengihan.
“Habibi ni… Menyempat pula,” kata Qistur Ruwaidah seraya mencebik.
Mohamad Salahuddin tertawa kecil. Kemudian, dia mengusap kandungan isterinya. “Anak-anak kita ni tak nak keluar lagi nampaknya. Habibi dah tak sabar nak jumpa dia orang.”
“Itulah… Sayang pun sama. Tak apalah. Belum sampai masa lagi ni. Ha, habibi. Rasanya, kita dah boleh umumkan nama anak-anak kita. Kita taip kat telefon.”
“Okey. Jom.”
Pasangan itu mula menaip di telefon pintar masing-masing. Kemudian, masing-masing saling berpandangan bersama senyuman.
“Habibi dah sedia?” soal Qistur Ruwaidah.
“Dah,” ujar Mohamad Salahuddin.
Secara serentak, mereka berdua menunjukkan nama yang ditaip di bahagian ‘Notes’ itu. (Nama si kembar akan dihebahkan setelah Qistur Ruwaidah bersalin kelak)
“Subhanallah!” ucap pasangan itu serentak.
Seketika, Qistur Ruwaidah memandang wajah suaminya. “Habibi setuju dengan nama-nama yang sayang bagi? Bukan apa… Takut habibi rasa menyusahkan pula nak sebut tapi sayang suka sangat dua nama ni.”
Mohamad Salahuddin mengangguk laju bersama senyuman. “Habibi suka je. Jangan risau. Bunyinya unik. Nama yang habibi bagi pula macam mana? Okey?”
“Mestilah okey. Sayang tak ada bantahan,” ujar Qistur Ruwaidah seraya menunjukkan isyarat bagus.
Lalu, pasangan itu tersenyum dengan penuh gembira. Nama anak-anak sudah dihebahkan sesama mereka berdua. Kini, tinggal untuk mereka berdua menerima ahli baharu yang bakal menyinari kehidupan bakal ibu bapa itu.
Sama-sama pembaca nantikan kelahiran anak kembar Qist dan Din ;) ≤3
Share this novel