AZAN subuh mula berkumandang dari Masjid As-Sobirin. Para jemaah lelaki dan juga jemaah perempuan tidak ketinggalan bagi menunaikan solat subuh di masjid kebanggaan mereka itu.
Tidak ketinggalan juga buat dua beradik, Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah yang menjadikan rutin harian mereka berdua dalam menunaikan solat subuh di masjid tersebut secara berjemaah. Suhaibul Umar sudah menyarung jubah hitam kegemarannya. Begitu juga Qistur Ruwaidah telah menyarung telekungnya.
“Adik, dah siap ke belum?” soal Suhaibul Umar.
“Dah. Jom,” balas Qistur Ruwaidah.
Mereka berdua melangkah ke luar rumah, lalu Suhaibul Umar mengunci pintu mangga rumah tersebut. Berjalanlah dua beradik itu ke masjid tersebut yang terletak dalam 500 meter dari rumah mereka.
Sesampai mereka di masjid tersebut, Suhaibul Umar meninggalkan pesanan. “Selepas tamat kuliah Subuh, kita jumpa kat tempat biasalah ya.”
“Okey abang,” balas adiknya.
Berpisah dua beradik tersebut sehingga tamatnya kuliah Subuh.
“ADIK, tadi kuliah Ustaz Zuhair seronok, kan? Mujurlah ustaz pandai buat lawak. Kalau tak, abang dah tersengguk-sengguk,” Suhaibul Umar memecahkan kesunyian perjalanan mereka.
“Tulah. Adik dah tergelak-gelak masa ustaz cerita bahagian suami curang tu. Boleh pula si suami tu terkantoi dengan isteri dia. Nasib baiklah si suami tu tak kena baling periuk,” balas Qistur Ruwaidah seraya meledakkan tawanya.
Suhaibul Umar lega melihat adiknya itu kembali ceria selepas dia berhadapan dengan kematian Sufi Waazin. “Amboi, adik ni! Seronok betul bab tu ya.”
“Alaa... Sekali-sekala abang. Dah lama sangat adik tak gelak macam ni tahu selepas Sufi meninggal dunia tiga bulan lepas. Rindu pula kat dia.”
“Kalau adik rindu kat orang yang dah tak ada, apa adik perlu buat?” soal Suhaibul Umar.
“Sedekahkan al-Fatihah atau kalau rajin, sedekahkan Surah Yaasin sekali dan doakan kesejahteraannya supaya sentiasa aman kat sana,” balas Qistur Ruwaidah.
Suhaibul Umar menghadiahkan senyuman kepada adiknya seraya memaut lengannya itu ke bahu adiknya. Kasihan adiknya masih merindui almarhum teman baiknya itu. Dia mengerti bahawa perpisahan abadi di antara adiknya dengan Sufi Waazin pastinya memakan masa.
Dia juga sudah lama tidak ketawa. Hakikatnya, kelukaan lalu dan peristiwa hitam itu menjadi igauannya yang dia sendiri mengharapkan agar ianya berlalu pergi, namun dia masih gagal untuk melupakannya. Sesuatu yang amat sukar untuk dirinya melepaskan pergi biarpun peristiwa tersebut sudah berlalu bertahun-tahun lamanya.
Yang tinggal kini, hanyalah parut yang begitu membekas dalam jiwanya dan sukar untuk disembuhkan lagi. Pasti adiknya juga turut merasai perasaannya.
“Abang Suhaib, kita dah sampai rumah ni. Termenung apa lagi tu? Mana kunci rumah?” kata Qistur Ruwaidah sambil mematikan lamunan abangnya itu.
Suhaibul Umar menggelengkan kepalanya. “Tak ada apalah. Ha, sekejap,” balasnya seraya mengeluarkan kunci rumah dari kocek jubahnya.
Pintu mangga rumah dibukanya. Qistur Ruwaidah segera menanggalkan telekungnya, lalu menghempaskan tubuhnya di atas sofa. Suhaibul Umar menggeleng sahaja melihat perlakuan adiknya itu sehingga dia sendiri menghidupkan suis kipas tersebut. “Tak panas ke?” soalnya.
“Rasa sejuk je. Abang, adik nak tidur dulu tahu. Mengantuk sangatlah,” balas Qistur Ruwaidah.
“Okey adik. Adik tidurlah dulu. Abang nak pergi beli roti canai kat Kedai Bumbung Biru tu.”
“Eh, tak perlu beli abang! Adik lupa nak beritahu kat abang, adik ada buat roti canai selepas solat isyak semalam. Ada kat bahagian freezer. Adik buat 10 keping. Abang nak masak berapa keping pun, ikut sukalah ya. Untuk bahagian adik pula, abang tak perlu masak tahu. Adik masak sendiri nanti. Okey, adik tidur dulu.”
Belum sempat Suhaibul Umar hendak bertanya lanjut, adiknya sudah memejamkan mata. Adik oh adik!
‘SEDAP juga adik aku buat roti canai ni. Kat manalah budak bertuah ni belajar? Dari dulu lagi dia memang pandai masak. Rasa macam…’ monolog Suhaibul Umar.
“… Almarhumah mama buat. Sama sangat rasanya.”
Akhirnya, itulah yang terluah dari bibirnya. Seketika, air matanya menitik di sebalik tubir matanya. Dia bingkas mengesatnya dengan kasar. Sungguh dia benci berperasaan begini apabila melibatkan ahli keluarganya yang telah tiada. Tika ini, kerinduannya terhadap mereka kian membuak-buak.
‘Abang rindu semua. Tunggu abang dan adik menyusul juga ke sana nanti,’ bisik hatinya.
Serta-merta seleranya mati dari meneruskan hidangan itu. Mengapakah setiap saat perasaan rindu itu sering menerpa dalam kalbunya? Mengapakah juga setiap saat kenangan pahit itu sering menerjah dalam fikirannya?
‘Allah... Kenapa?’ bisik hatinya lagi.
Lantas, memori silam kembali mengejarnya.
13 TAHUN LALU…
Kelihatan Suhaibul Umar sengaja menarik tudung yang dipakai oleh adik keduanya, Qinawiyur Ruhiyah sehingga adiknya itu mengadu kepada ibunya. Si abang memang terkenal dengan sifatnya yang suka mengusik adik-adiknya sehingga membuatkan adik-adiknya menangis atau menjerit kegeraman.
“Mama! Tengok Abang Suhaib ni! Abang Suhaib tarik tudung Qina! Qina nak tidur!” kedengaran suara Qinawiyur Ruhiyah menjerit dalam kereta.
Puan Mahfuzah menggelengkan kepalanya apabila dia mendengar suara anak keduanya itu. Tidak lain tidak bukan, pasti kerja usikan nakal Suhaibul Umar yang membuatkan Qinawiyur Ruhiyah mula mengadu kepada dirinya. Dia sudah masak benar akan perangai si abang itu. Suhaibul Umar oh Suhaibul Umar… Anak sulung bertuah itu sudah mula dengan aktiviti mengusik anak keduanya itu.
Lalu, si ibu menoleh ke belakang setelah dia mendengar dua beradik itu bergaduh di bahagian tempat duduk penumpang. “Abang… Janganlah usik Dik Qina. Kesian kat baba. Baba tengah memandu ni.”
Suhaibul Umar menarik wajahnya. Habis masam mencuka jadinya. Qinawiyur Ruhiyah menjelir lidahnya, tanda kemenangan.
Si abang mula menunjukkan tanda protesnya dengan memejamkan matanya. Sebenarnya, dia berasa amat bosan apabila tiada aktiviti yang boleh dilakukan olehnya dalam kereta ayahnya itu, lalu diusik adiknya itu. Kalau dia mengusik adiknya semula, pasti dia akan ditegur oleh ibunya lagi.
Sekali lagi, Puan Mahfuzah menoleh ke belakang. Risau pula dia jika si abang dan si adik itu masih berkelahi lagi. Sudahlah anak kembar bongsunya, iaitu Harrazul Umair dan Harzanul Uzair tidak mahu berada di kerusi keselamatan kanak-kanak kerana kedua-duanya tidak mahu berenggang langsung dengan si ibu. Lantaran itu, Puan Mahfuzah terpaksa meriba si kembar itu dengan menggunakan kedua-dua belah tangannya.
Kelihatan Suhaibul Umar dan Qinawiyur Ruhiyah sudah melelapkan mata. Qistur Ruwaidah pula memang tidak kedengaran suaranya langsung. Betapa anak kecil itu tidur dengan nyenyaknya.
Puan Mahfuzah memalingkan wajahnya ke hadapan semula sambil menarik nafas lega. ‘Lega…’ bisik hatinya.
“Budak-budak tu dah tidur ke?”
Tiba-tiba Encik Isyraf Imrani bersuara.
“Dah. Lega Zah. Kalau budak-budak tu bergaduh lagi, peninglah Zah dibuatnya. Emm… Abang tak nak rehat dulu ke? Zah boleh gantikan abang pula.”
“Setakat ni, abang okey lagi. Kalau Zah pandu, si kembar bertuah ni pula merengek. Bukannya mereka boleh berpisah dengan Zah.”
Puan Mahfuzah ketawa kecil. “Abang ni. Suka sangat usik Zah. Patutlah Suhaib pun kuat mengusik adik-adik dia. Ikut abang.”
Encik Isyraf Imrani ketawa kecil sambil anak matanya melirik seketika ke arah isterinya, lalu dia tersenyum. “Mana adalah. Abang tak macam tu,” katanya, menafikan. Namun begitu, memang karakternya suka mengusik isterinya.
“Eleh… Tak nak mengakulah tu. Malu kalau anak-anak kita dengar, kan?” Puan Mahfuzah memulangkan paku buah keras.
Sekali lagi, Encik Isyraf Imrani ketawa, namun perlahan. Bimbang anak-anaknya terbangun pula nanti. “Okeylah sayang. Abang mengalah. Ya, ya, abang suka usik Zah. Ha, puas hati?”
Puan Mahfuzah turut ketawa kecil, lalu dia memegang tangan kiri suaminya itu seketika. Betapa dia mencintai suaminya sepenuh hatinya sejak hari pertama mereka berdua disatukan.
Encik Isyraf Imrani menggenggam erat tangan kanan isterinya itu biarpun seketika. Seperti Puan Mahfuzah, dia juga mencintai isterinya dengan sepenuh hati. Baginya, isterinyalah merupakan cinta pertama dan cinta terakhir untuknya. Tiada wanita lain yang akan mampu menggantikan isterinya itu jika isterinya meninggalkan dirinya terlebih dahulu.
Tambahan pula, isterinya telah bertarung nyawa dalam melahirkan seramai lima orang anak. Masakan, dia hendak menghancurkan hati insan yang amat dicintainya itu.
Encik Isyraf Imrani terus fokus pada pemanduannya. Anggarannya, dia sekeluarga akan tiba di Pulau Pangkor dalam dua jam lagi.
Dalam ketenangan Encik Isyraf Imrani memandu, tiba-tiba dia terdengar sesuatu bunyi seperti dilanggar menyebabkan ‘sesuatu’ itu terkena pada keretanya, membuatkan dirinya hilang kawalan dalam mengemudi stereng kereta tersebut, lalu keretanya terlanggar pada pembahagi jalan (divider). Waktu itu, semua anak Encik Isyraf Imrani dan Puan Mahfuzah terbangun apabila kereta ayah mereka terhentak pada pembahagi jalan.
“Ya Allah!” ucap Encik Isyraf Imrani.
“Allah! Abang!” jerit Puan Mahfuzah.
Anak-anak mereka berdua juga turut menjerit.
Kedengaran suara kali terakhir buat keluarga itu, iaitu jeritan kalimah “Allah!” sebelum kereta itu terhempas ke arah kenderaan lain.
Dunia terus berputar gelap.
KEMALANGAN itu telah meragut nyawa keseluruhan ahli keluarga itu di tempat kejadian kecuali Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah sahaja terselamat, namun mereka didudukkan di atas kerusi roda akibat kecederaan yang menimpa mereka berdua. Akan tetapi, keadaan mereka berdua tidak begitu teruk kerana mereka dipakaikan tali pinggang keledar di bahagian penumpang.
Namun begitu, bagi Encik Isyraf Imrani, kematiannya berpunca akibat pendarahan dalam otak disebabkan oleh hentakan pada stereng kereta. Punca kematian Puan Mahfuzah juga sama seperti suaminya akibat kepalanya terhentak pada tingkap penumpang sehingga cermin di bahagian tingkap tersebut pecah.
Qinawiyur Ruhiyah meninggal dunia akibat pendarahan dalaman pada bahagian abdomen.
Suhailul Uzair dan Suhaidul Umair pula meninggal dunia akibat tercampak keluar dari cermin kereta sehingga pecahnya cermin kereta bahagian sisi hadapan, lalu tubuh mereka berdua terbaring di atas jalan raya. Tambahan pula, mereka berdua tidak berada di atas kerusi keselamatan kanak-kanak.
Kepala Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah berbalut serta luka memenuhi pada keseluruhan tubuh akibat terkena serpihan cermin kereta. Tangan mereka berdua juga berbalut akibat keretakan pada tulang.
Dua beradik itu tertanya-tanya akan keberadaan ahli keluarga mereka berdua yang lain. Kematian lima orang ahli keluarga itu masih lagi tidak diketahui oleh Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah.
Keluarga kakak kepada almarhum ayah mereka, iaitu Mak Long Rauzah dan suaminya, Pak Long Megat Arif serta anak tunggal mereka, iaitu Puteri Masyitah tiba di Hospital Raja Permaisuri Bainun setelah Mak Long Rauzah mendapat panggilan daripada pihak polis.
Menurut pihak polis dan pihak forensik yang menjalankan siasatan di tempat kejadian, kemalangan itu berpunca daripada pemandu lori yang mempunyai masalah brek dan menyebabkan pemandu lori itu hilang kawalan, lalu terlanggar empat buah kenderaan, termasuklah kereta milik keluarga kepada dua beradik tersebut.
Puteri Masyitah menemani Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah yang berwajah sugul itu. Dia tidak sampai hati untuk memaklumkan kepada dua beradik tersebut akan kematian ahli keluarga mereka yang lain. Biarlah ayahnya sendiri memberitahu kepada dua orang sepupunya itu meskipun dia didesak oleh dua beradik tersebut untuk menjawabnya.
Kelihatan Pak Long Megat Arif menuju ke arah mereka bertiga bersama isterinya setelah pegawai perubatan menerangkan segala-galanya. Berat hati untuk dia memaklumkan berita tersebut kepada dua orang anak saudaranya yang masih kecil itu. Sebenarnya, sangat sukar bagi Pak Long Megat Arif untuk menerangkan keadaan sebenar, namun dia perlu maklumkan juga kepada anak-anak saudaranya itu meskipun kebenaran tersebut pahit untuk ditelan.
“Suhaib, Qist…” tegur Pak Long Megat Arif seraya melutut di hadapan dua anak kecil itu yang kini sudah bergelar anak yatim piatu.
“Pak Long, mana mama? Mana baba? Mana adik-beradik kami?” soal dua beradik itu bertalu-talu.
Puteri Masyitah dan Mak Long Rauzah sebak melihat situasi tersebut. Apatah lagi, Pak Long Megat Arif yang sedang berhadapan dengan anak-anak itu.
Pak Long Megat Arif cuba menguatkan hati agar dia tidak mengalirkan air mata di hadapan anak-anak saudaranya itu. Sungguh dia berasa sayu melihat wajah anak-anak kecil itu kerana usia sekecil itu sudah diuji dengan kehilangan insan tersayang.
“Mereka dah tak ada.”
Itulah yang terluah dari bibirnya. Perit. Untuk menyebut perkataan ‘mati’ itu agak kasar dan menyayat hati.
Suhaibul Umar tersentak, namun dia memahami apa yang diperkatakan oleh ayah saudaranya itu. Akan tetapi, sukar bagi Qistur Ruwaidah yang berusia enam tahun itu untuk memahami bahawa keluarganya sudah tiada. “Tak ada? Mereka pergi mana, Pak Long?” soal Qistur Ruwaidah.
“Adik, mereka dah mati,” perlahan suara Suhaibul Umar memberitahu adiknya itu. Itu sahaja perkataan yang mudah difahami oleh adiknya meskipun kasar kedengarannya.
Qistur Ruwaidah terdiam. Fahamlah dia bahawa ahli keluarga mereka berdua sudah tiada lagi.
JENAZAH lima orang ahli keluarga Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam AU4 Lembah Keramat, tidak jauh dari rumah kediaman dua beradik itu. Kini, tinggallah mereka berdua sahaja yang perlu meneruskan kehidupan. Dua beradik itu berteleku di hadapan pusara ahli keluarga mereka berdua. Air mata dua beradik itu setia menemani tanpa henti.
“Suhaib, Qist… Jom kita balik ya,” pujuk Pak Long Megat Arif.
Dua beradik itu menggeleng laju. Sungguh, mereka berdua menjadi berat hati untuk meninggalkan pusara lima insan itu.
“Qist nak ikut mama baba!” rengek Qistur Ruwaidah dalam tangisan. Suhaibul Umar pula hanya mendiamkan diri, namun air mata setia menemaninya.
Selepas beberapa kali dipujuk oleh keluarga Pak Long Megat Arif, barulah dua beradik tersebut akur meninggalkan tanah perkuburan tersebut.
Apabila mereka berlima melangkah masuk ke dalam perut kereta, dua beradik itu tertidur kepenatan akibat terlalu banyak menangis. Keluarga Pak Long Megat Arif melihat dua beradik itu dengan pandangan belas kasihan.
Semoga mereka berdua dikurniakan ketabahan dan kekuatan untuk menempuh cabaran dunia tanpa ibu bapa di sisi pada saat-saat genting ini.
‘Ya Allah, Kau kuatkanlah Suhaib dan Qist dalam mengharungi ujian-Mu,’ bisik hati Puteri Masyitah sambil mencium dahi dua beradik itu.
Serta-merta, kasihnya terhadap kedua-dua orang sepupunya itu kian mekar.
SEJAK kematian ahli keluarga Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah, mereka berdua tinggal bersama keluarga Pak Long Megat Arif setelah mendapat kata sepakat daripada keluarga sebelah Puan Mahfuzah. Dua beradik itu juga telah berpindah sekolah dan tadika berhampiran dengan rumah ayah saudara mereka itu.
“Suhaib dan Qist okey?” tanya Pak Long Megat Arif pada setiap hari agar mereka berdua merasakan bahawa masih ada insan yang menyayangi mereka berdua.
“Kami okey je, Pak Long. Cuma, kadang-kadang tu kami rindu kat keluarga kami,” luah Suhaibul Umar, juga mewakili adiknya itu.
Kelihatan emosi dua beradik itu semakin stabil setelah lima bulan ahli keluarga mereka berdua menghadap Ilahi meskipun adakalanya mereka berdua meluahkan rasa rindu kepada ayah saudara mereka itu. Kelihatan Pak Long Megat Arif sangat mengambil berat terhadap dua beradik itu.
“Tak apa, Suhaib, Qist. Keluarga Pak Long ada ni. Kami sayang sangat kat Suhaib dan Qist,” ucap Pak Long Megat Arif sambil mendakap anak-anak saudaranya itu.
Berbeza pula dengan Mak Long Rauzah. Lama-kelamaan, dia seperti tidak mengendahkan langsung akan kehadiran anak-anak saudaranya itu. Apatah lagi, dia tidak bertanya khabar langsung kepada anak-anak itu dari segi emosi dan mental. Walhal, anak-anak saudaranya itu merupakan anak-anak kepada almarhum adiknya, iaitu Encik Isyraf Imrani.
Jauh di sudut hatinya, dia semakin rimas dan lemas akan kewujudan Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah di rumahnya itu sehingga menimbulkan rasa menyampah dalam kalbunya. Suaminya pula terlalu memanjakan dua beradik itu dengan memberikan pelbagai alat mainan dan buku-buku meskipun anak-anak saudaranya itu tidak pernah meminta pun.
Sehinggalah pada suatu hari, Mak Long Rauzah menerima panggilan daripada pihak polis bahawa Pak Long Megat Arif meninggal dunia akibat motosikal yang ditunggang oleh suaminya telah bertembung dengan sebuah kereta, lalu tubuhnya tercampak jauh dari motosikalnya.
Alangkah terkejutnya Mak Long Rauzah menerima perkhabaran duka itu sehingga membuatkan dia terduduk rebah. Dia masih ingat akan kata-kata suaminya sebelum suaminya bergerak ke tempat kerja pada waktu pagi tadi, dia akan pulang lewat sedikit kerana dia hendak melakukan kejutan hari lahir yang keenam kepada Qistur Ruwaidah dengan mencari kek, belon dan hadiah.
Sedikit sebanyak, hati Mak Long Rauzah mula membenci kepada Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah itu. Kehadiran mereka berdua ibarat membawa bala dalam keluarganya. Gara-gara Pak Long Megat Arif memanjakan sangat Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah sehingga almarhum suaminya sanggup pulang lewat hanya kerana untuk hari kelahiran Qistur Ruwaidah, akhirnya Mak Long Rauzah dan anak tunggalnya telah hilang tempat pergantungan.
Wanita itu bagaikan terlupa bahawa ajal suaminya itu telah ditetapkan oleh Allah. Seringkali dia menyalahkan dalam diam terhadap anak-anak saudaranya itu tanpa henti.
Bagi Puteri Masyitah, sememangnya dia amat terkesan di atas pemergian ayahnya itu kerana dia begitu rapat dengan ayahnya berbanding ibunya. Begitu juga Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah. Sudahlah mereka berdua baru sahaja kehilangan ahli keluarga tercinta. Kini, ayah saudara mereka pula menghadap Ilahi selang empat bulan selepas pemergian ahli keluarga mereka.
“Kak Syita… Qist rindu kat keluarga Qist. Qist rindu juga kat Pak Long,” luah Qistur Ruwaidah pada suatu hari.
Puteri Masyitah menjadi sebak apabila mendengar luahan anak kecil itu. Lantas, dia mendakap Qistur Ruwaidah. “Sabar ya Qist. Kak Syita pun rindu kat mereka semua,” balasnya seraya menggosok tubuh belakang sepupunya itu.
Suhaibul Umar juga turut terkesan akan luahan adiknya itu tetapi tiada apa yang dia mampu lakukan. Hanya doa menjadi pengubat rindu.
DUA MINGGU selepas almarhum Pak Long Megat Arif menghadap Ilahi, Mak Long Rauzah pun mula berubah sikap selepas berlakunya suatu peristiwa sehingga meninggalkan parut yang begitu mendalam buat Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah. Juga, wanita itu telah membuatkan fizikal, mental dan jiwa mereka terdera.
Ketika itu, Suhaibul Umar sedang mencuci pinggan-mangkuk manakala Qistur Ruwaidah pula sedang mengelap meja makan. Tiba-tiba mangkuk kesayangan Mak Long Rauzah yang dipegang oleh Suhaibul Umar itu terjatuh ke lantai, lalu pecah berkecai. Dia mulai resah kerana dia takut dimarahi oleh ibu saudaranya.
Sudahlah wanita itu bukan kelihatan sebagai seorang yang mesra orangnya. Jauh beza dengan peribadi almarhum Pak Long Megat Arif yang seringkali mengambil berat akan keadaan mereka berdua.
Suhaibul Umar segera mengambil penyapu dan penyodok untuk menyapu kaca-kaca yang berselerakan itu.
Sementara itu, Mak Long Rauzah juga terdengar bunyi kaca yang sedang pecah seraya langkahnya menuju ke dapur. Alangkah terkejutnya dia apabila mangkuk kesayangan jenama ‘Corelle’ yang merupakan edisi terhad itu telah pecah.
Wajah wanita itu terus berubah menjadi bengis. Dia sudah hilang sabar akan kehadiran anak-anak saudaranya itu di rumahnya. Baginya, Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah benar-benar telah mencabar dirinya untuk bertindak di luar kawalan.
“Siapa pecahkan mangkuk aku ni! Mengaku sekarang!” Mak Long Rauzah mula menghamburkan kemarahannya.
Dua beradik itu berasa takut kerana mereka berdua tidak pernah melihat wanita itu menghamburkan kemarahannya sedemikian rupa.
Tangan Suhaibul Umar mula terhenti daripada aktiviti menyapu, lalu dia menundukkan wajahnya kerana dia tahu itu merupakan salahnya. Qistur Ruwaidah pula segera menghentikan aktiviti mengelap meja makan itu untuk mendapatkan abangnya kerana dia berasa amat takut setelah dia mendengar tengkingan ibu saudaranya itu. Dia tidak peduli akan serpihan-serpihan kaca yang bersebaran itu.
“Sekali lagi, aku tanya! Siapa buat! Pekak ke!” tengking Mak Long Rauzah sekali lagi.
Suhaibul Umar mula berasa takut. Lantas, dia memeluk adiknya bagi mendapatkan kekuatan untuk berterus terang kepada ibu saudaranya itu.
“Hoi! Suhaib, Qist! Dah jadi bisu ke! Jawablah budak!” sergah Mak Long Rauzah.
Akibat terlalu takut, akhirnya Suhaibul Umar berterus-terang. “Su... Suhaib minta maaf, Mak Long. Suhaib yang terpecahkan mangkuk tu. Suhaib tak sengaja,” jawab Suhaibul Umar, perlahan.
“Ha, reti pun jawab! Ke sini kau, Suhaib!”
Perlahan-lahan, Suhaibul Umar melepaskan pelukan erat adiknya itu, lalu langkahnya mula menghampiri ibu saudaranya.
Tanpa sepatah kata, Mak Long Rauzah terus menarik telinga anak saudaranya itu.
“Kau memang cari nahas, Suhaib! Kau tahu tak mangkuk yang aku beli tu mahal harganya! Dahlah edisi terhad! Senang-senang kau boleh pecahkan pula! Sekarang, aku tak peduli sama ada kau sakit atau tak, memang aku nak kena ajar kau! Rasakanlah aku pulas telinga kau kuat-kuat!” bentaknya.
“A… Aduh! Mak Long, Su... Suhaib minta maaf! Suhaib tak sengaja!” Suhaibul Umar mula menjerit sakit, namun dikuatkan hati agar dia tidak mengalirkan air matanya.
Akan tetapi, air matanya menemani juga dirinya dek kerana terlalu sakit.
Qistur Ruwaidah dapat melihat abangnya merintih sakit yang tidak tertanggung, namun dia tidak tahu apa yang dia perlu lakukan. Dia menjadi terlalu takut apabila melihat keadaan abangnya itu.
Air mata Suhaibul Umar semakin mengalir deras. Dia merasakan ibarat telinganya hampir tercabut. Telinga kanannya sudah bertukar menjadi merah. Semakin dia merintih sakit, ibu saudaranya semakin galak menarik dan memulas telinganya dengan sekuat hati sehingga membuatkan dirinya menjerit kesakitan berganda.
“Mak Long! Ma…Maafkan Suhaib! Suhaib janji Suhaib takkan buat lagi!” rayunya.
Melihatkan penderitaan Suhaibul Umar yang tidak tertanggung itu, Qistur Ruwaidah segera mendapatkan ibu saudaranya sambil menangis. Dia mencapai kaki ibu saudaranya sambil merayu dalam tangisan sedu-sedan agar ibu saudaranya menghentikan perbuatan tersebut. “Mak… Mak Long, ja.. jangan buat abang macam tu. Abang Suhaib sa… sakit.”
“Ni lagi seorang! Menyemak! Tepilah!” Mak Long Rauzah menyepak Qistur Ruwaidah sehingga dia tercampak ke dinding. Kelihatan anak saudaranya itu menangis kesakitan.
Suhaibul Umar terkesima. Dia segera mendapatkan adiknya, lalu dia memeluk adiknya dengan erat. Kesakitan yang dialami pada telinganya tidak dipedulikan lagi. Apa yang difikirkan olehnya kini hanyalah adiknya. Diungkapkan sesuatu kepada adiknya itu. “Shhh… Abang ada ni, dik.”
Mak Long Rauzah berasa tidak puas dalam mengerjakan anak-anak saudaranya itu. Segera, dia menuju ke ruang tamu dan tangannya pantas mencapai rotan yang digantung pada dinding. Lalu, dia kembali ke dapur dan terus merotan pada bahagian tubuh belakang Suhaibul Umar tanpa belas kasihan.
“Ha! Rasakan pukulan aku ni, budak tak guna! Dah lama aku tunggu saat ni!” bentak wanita itu.
Tatkala Suhaibul Umar merasakan pukulan rotan yang pertama daripada ibu saudaranya itu, dia mula menjerit sakit. “Arghhhh! Ampunkan Suhaib, Mak Long! Arghhhh!”
Jeritan dan tangisan Suhaibul Umar semakin kuat apabila tubuh belakangnya dirotan secara bertubi-tubi sehingga bajunya terkoyak pada bahagian belakangnya. Semakin lama dia merasai pukulan demi pukulan rotan itu, dia merasakan azab yang amat pedih pada bahagian tubuh belakangnya sehingga membuatkan dirinya penat dan lemah akibat terlalu banyak menjerit dan menahan sakit.
Pada masa yang sama, dia melindungi adiknya itu dalam dakapannya agar adiknya tidak dipukul seperti dirinya kerana dia tidak mahu adiknya juga turut merasai kesakitan seperti dirinya.
Qistur Ruwaidah berterusan menangis dalam dakapan abangnya itu apabila abangnya diperlakukan sedemikian rupa. Dia tahu abangnya sudah terlalu lemah dan sakit. “Isk… A… Abang… Isk… Isk…”
Setelah Mak Long Rauzah berpuas hati dapat melepaskan geram dan amarahnya ke tubuh kecil Suhaibul Umar itu, lalu dia mencampakkan rotan tersebut ke lantai seraya berkata sesuatu kepada dua orang anak kecil itu.
“Puas hati aku! Sedap tak kena rotan, Suhaib! Hei, budak-budak tak guna! Kau orang tahu tak kau orang ni dah menyusahkan aku! Disebabkan suami aku terlalu memanjakan kau orang dululah, suami aku meninggal dunia! Anak aku dah tak berbapa! Memang kau orang ni dasar pembawa bala! Ingat ya, Suhaib, Qist! Ni baru sikit! Aku akan pastikan kau orang kena lebih teruk dari ni dan hidup kau orang akan terus terseksa selama kau orang tinggal dengan aku ya! Satu lagi, malam ni jangan harap kau orang boleh makan ya!”
Mak Long Rauzah semakin galak memaki anak-anak saudaranya itu seraya menunjal kepala Suhaibul Umar yang kian lemah kudratnya. Kemudian, dia beredar dari situ tanpa mempedulikan anak-anak saudaranya lagi.
Sepi…
Setelah Suhaibul Umar merasakan keadaan agak selamat, dia melepaskan adiknya dari pelukannya, lalu dia terkulai layu di atas lantai. Kelihatan dia mengerutkan wajahnya, menahan kesakitan yang sukar diungkap tatkala tubuh belakangnya mengenai pada lantai jubin tersebut. “Sa… Sakit!” adunya sendirian.
“A…bang, j… jom pergi bilik,” ucap Qistur Ruwaidah dalam tangisan sedu-sedan. Hiba hatinya melihat abangnya dalam keadaan begitu.
Suhaibul Umar mengangguk lemah. Perlahan-lahan, dia cuba bangkit dengan bantuan adiknya meskipun kepalanya terasa pening. Namun begitu, dia berjaya mengerahkan seluruh tenaganya untuk bangkit berdiri.
Pada mulanya, dia cuba menjadikan dinding sebagai penahan buat dirinya, namun dia tidak terdaya dan terumbang-ambing sehingga adiknya terpaksa menahan dirinya dengan memapahnya agar dirinya tidak rebah. Akhirnya, Qistur Ruwaidah memapah abangnya sehingga ke bilik tidur abangnya.
Setelah tiba di bilik tidur Suhaibul Umar, perlahan-lahan Qistur Ruwaidah mendudukkan abangnya di atas katil.
Kelihatan Suhaibul Umar menghadiahkan senyuman kepada adiknya meskipun dia terasa bahagian belakang tubuhnya menjadi terlalu bisa dan pedih. “Terima kasih adik. Emm… Adik tolong ambilkan minyak gamat kat atas meja tu,” ucap Suhaibul Umar.
“Sama-sama. Okey abang,” balas Qistur Ruwaidah seraya mencapai minyak gamat di atas meja yang dimaksudkan oleh abangnya itu.
Suhaibul Umar menanggalkan Baju T-nya yang telah terkoyak pada bahagian belakangnya dengan perlahan-lahan akibat pukulan yang diterima olehnya, lalu dia melihat tubuh belakangnya pada cermin. Bahagian belakang tubuhnya menjadi berbirat, kemerah-merahan dan lebam. Dia hanya tersenyum hambar apabila melihat keadaan dirinya itu.
‘Tak apa, Suhaib. Kau okey je, kan? Kau rasa sakit sikit je ni,’ pujuk hatinya.
Qistur Ruwaidah terkesima apabila menyaksikan tubuh abangnya itu. Kasihan abangnya! Sebak dia melihat tubuh abangnya begitu.
“Adik sapu minyak macam ni. Sapu perlahan-lahan tahu,” kata Suhaibul Umar, lalu dia mengajar adiknya cara untuk menyapu minyak gamat.
Setelah Qistur Ruwaidah memahami, dia menyapu minyak itu dengan cermat pada bahagian belakang tubuh abangnya itu. Ada ketikanya, abangnya mengadu sakit apabila dia tersapu dengan kasar secara tidak sengaja. “A… Adik minta maaf, abang,” ucapnya, serba salah.
“Tak apa adik. Abang tak rasa sakit sangat pun,” balas Suhaibul Umar. Walhal, dia berasa amat sakit sebenarnya. Cuma, dia tidak mahu adiknya risau akan dirinya.
Usai Qistur Ruwaidah menyapu minyak gamat pada tubuh abangnya, Suhaibul Umar berbaring secara perlahan-lahan dalam bentuk mengiring. Wajah adiknya dipandang dengan penuh rasa kasih. Hilang seketika rasa sakitnya itu apabila memandang wajah polos adiknya itu.
“Aaa… Abang… Tadi, Mak Long kata abang dan adik dah menyusahkan Mak Long. Menyusahkan tu apa?” soal Qistur Ruwaidah. Dia mempunyai daya ingatan yang agak tajam, namun anak kecil berumur enam tahun itu tidak mengerti maknanya.
Seketika, fikiran Suhaibul Umar ligat memikirkan sesuatu. Dia memikirkan jawapan yang boleh difahami untuk adik kecilnya itu. “Hmm… Maksudnya, kita dah buat sesuatu perkara yang Mak Long tak suka.”
Mulut Qistur Ruwaidah membentuk bulat. Suhaibul Umar tersengih kecil melihat telatah comel adiknya itu. “Ooo... Kita jahatlah ya, abang. Sebab tu, Mak Long tak suka kita?”
“Bukan macam tu, adik. Maksudnya, kalau kita buat salah, kita mesti kena denda macam mana abang kena dengan Mak Long tadi,” balas Suhaibul Umar seraya mengusap rambut adiknya. Dia sendiri masih tidak memahami bahawa dia telah didera oleh ibu saudaranya. Tanggapannya, dia telah dikenakan denda seperti apa yang pernah dirasai olehnya di sekolah.
“Tapi kan abang… Mak Long pukul abang sampai terkoyak baju abang. Mama baba mana pernah buat macam tu kat kita. Pukul pun tak pernah.”
“Abang tahu tapi… Kan mama dan baba dah tak ada, adik. Kan kita tinggal dengan Mak Long sekarang. Kita terima jelah Mak Long buat macam ni kat kita, ya?”
Qistur Ruwaidah mengangguk faham. Kemudian, dia berbaring di atas katil menghadap abangnya. “Kalau abang sakit lagi, abang beritahu adik tahu. Adik sapukan minyak lagi.”
Suhaibul Umar tersenyum mendengar kata-kata adiknya itu. Qistur Ruwaidah memang seorang yang sangat manja dengan dirinya. Juga, penawar dukanya. Tambahan pula, siapa lagi yang adiknya boleh bermanja kalau bukan dengan dirinya sahaja sekarang.
“Okey adik,” jawabnya.
Sekali lagi, dia mengusap rambut adiknya dengan penuh kasih sayang. Kelihatan adiknya begitu tenang dengan perlakuannya itu. Sebolehnya, dia mahu adiknya berasa selesa dan gembira meskipun kesedihan dan kesakitan mula menemaninya.
Tiba-tiba Qistur Ruwaidah meluahkan sesuatu…
“Abang, Mak Long kata tadi, kita tak boleh makan malam ni, kan? Adik takut adik laparlah nanti.”
Luahan itu menyentakkan jiwa seorang Suhaibul Umar. Sebak dan hiba jadinya untuk mereka berdua meneruskan hidup dalam keadaan begini. Tambahan pula, adiknya masih tidak mengerti apa yang berlaku. Adiknya beranggapan bahawa ibu saudaranya itu bertindak untuk menghukum mereka berdua hanya buat sementara waktu sahaja. Sejujurnya, dia sendiri berusia lapan tahun itu sukar untuk menerangkan keadaan sebenar kepada adiknya, namun dia cuba juga menerangkan kepada adiknya itu mengikut kefahamannya.
Namun begitu, melalui kata-kata ibu saudaranya tadi telah membuatkan dia mengerti bahawa wanita itu tidak menyukainya dan adiknya. Apatah lagi, menerima kehadiran mereka berdua.
“Haah… Kita tak boleh makan malam ni tapi… Kita cuba tahan ya adik? Abang tahu adik akan lapar malam nanti. Abang pun harap Mak Long bagi kita makan esok. Kalau Mak Long tak bagi kita makan juga, kita puasa sunat jelah,” balas Suhaibul Umar.
“Okey! Kalau macam tu, adik nak mula belajar puasalah esok. Abang pun puasa sekali tahu,” kata Qistur Ruwaidah, ceria.
Suhaibul Umar tersenyum seraya mengusap lagi kepala adiknya itu. “Okey adik. Esok kita puasa tapi sebelum tu, mama dan baba pernah ajar abang, kalau kita nak puasa, kita kena lafaz niat puasa. Adik ikut tahu.”
Sang abang mula mengajarkan lafaz niat puasa kepada adiknya itu. Tidak susah bagi si adik untuk mengikuti bacaannya memandangkan si adik begitu cekap sekali.
Setelah Suhaibul Umar mengajarkan lafaz niat puasa sunat itu, Qistur Ruwaidah bersorak ceria. “Yeay! Yeay! Esok kita puasa! Kalau mama baba, Kak Qina, Dik Harraz, Dik Harzan ada sekali ni, mesti seronok. Boleh kita puasa ramai-ramai. Kan abang?”
Sambungnya lagi. “Oh ya! Satu lagi. Adik terlupa pula. Kak Syita dan Pak Long sekali. Kalau dia orang ada pun, seronok juga tapi… Sekarang Kak Syita kat Kedah, Pak Long pula dah tak ada. Kalau nak ajak Mak Long, mesti Mak Long marah-marahkan kita dan pukul abang lagi. Adik takutlah. Tak apalah. Kita puasa berdua jelah.”
Suhaibul Umar tersentak seketika dan terasa sayu akan adiknya itu. Dia tahu selepas apa yang berlaku tadi, keadaan mereka berdua tidak akan sama lagi. Bukan lagi sebagai kanak-kanak yang ceria tetapi sebagai permulaan penderitaan untuk mereka berdua.
SETAHUN KEMUDIAN…
Kehidupan Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah mula berubah menjadi 360 darjah sejak terjadinya peristiwa Suhaibul Umar didera buat kali pertama oleh Mak Long Rauzah dulu. Mereka berdua telah didera oleh wanita itu untuk melakukan pelbagai kerja rumah sehinggakan mereka berdua tidak mempunyai masa untuk menyiapkan kerja sekolah yang diberikan oleh para guru.
Rutin mereka, usai sahaja pulang dari sekolah, mereka perlu melaksanakan kerja-kerja rumah biarpun tugas itu tidak sepatutnya dilakukan oleh mereka berdua sebagai kanak-kanak yang berumur tujuh dan sembilan tahun seperti memotong dahan pokok, memanjat tangga untuk membersihkan bilahan kipas dan pelbagai tugas lagi yang dikerah oleh wanita itu meskipun penat menguasai mereka.
Tambahan pula, setiap penderaan yang dihadapi oleh mereka berdua membuatkan dua beradik itu tidak terdaya. Pada waktu pagi, mereka berdua akan pergi ke sekolah. Pada waktu tengahari pula setelah mereka berdua pulang dari sekolah sehingga waktu asar, mereka perlu melakukan kerja-kerja rumah.
Apabila mengenangkan Mak Long Rauzah akan mendera mereka berdua jika mereka berdua tidak melakukan kerja-kerja rumah atau berehat seketika, mereka berdua terpaksa mengerahkan seluruh kudrat yang ada.
Selepas itu, barulah mereka berdua boleh berehat. Pada sebelah malamnya, dua beradik itu cuba mencuri masa untuk menyiapkan kerja sekolah yang dibekalkan oleh guru-guru, namun biasanya bagi Suhaibul Umar mahupun Qistur Ruwaidah, mereka berdua tidak akan sempat menyiapkannya atau tertidur kepenatan.
Namun begitu, selalunya pada waktu malam juga, tubuh dua beradik itu akan menjadi sasaran Mak Long Rauzah untuk dia melakukan aktiviti penderaan itu jika dia stres di tempat kerja atau dia teringat akan almarhum suaminya. Baginya, mendera anak-anak saudaranya itu bagaikan suatu kepuasan dan terapi untuk dirinya kerana sehingga kini dia masih menyalahkan punca kematian suaminya itu berpunca daripada anak-anak saudaranya sendiri.
Sewaktu Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah sedang menyiapkan kerja sekolah, pintu bilik tidur mereka dibuka dengan kasar. Dua beradik itu mula menjadi takut serta-merta apabila kelibat Mak Long Rauzah mula muncul di hadapan dua beradik itu.
Ingatan Suhaibul Umar hanya satu, iaitu adiknya! Lantas, dia mendakap adiknya agar adiknya itu tidak diapa-apakan. Biar dia sahaja yang menanggung kesakitan yang ‘dihadiahkan’ oleh ibu saudaranya itu.
“M… Mak Long, to…tolong jangan pukul kami lagi,” rayu Suhaibul Umar sambil memberikan pandangan belas kasihan.
Qistur Ruwaidah hanya menyorokkan wajahnya di sebalik tubuh abangnya itu. Dia menjadi terlalu takut untuk menatap wajah wanita itu.
“Tengok muka kau orang ni, buat aku rasa menyampah! Menyusahkan! Kalau tak kerana kau orang, suami aku tak matilah! Sepatutnya, kau orang mati macam mak bapak dengan adik-beradik kau oranglah!” bentak Mak Long Rauzah.
PAP!
Seutas tali pinggang milik almarhum Pak Long Megat Arif mula menghinggapi pada tubuh Suhaibul Umar. Saat itu, Suhaibul Umar semakin mendakap erat adiknya untuk mendapatkan secebis kekuatan dengan apa yang dirasainya olehnya kini.
“Sa…kit Mak Long!” jerit Suhaibul Umar dalam kesakitan.
ZASS! ZASS! ZASS! Entah sudah berapa kali dia merasakan kesakitan demi kesakitan itu.
Qistur Ruwaidah dapat merasakan betapa sakit dan deritanya abangnya itu melalui pelukan yang didakap oleh Suhaibul Umar itu. Dia dapat mendengar abangnya menuturkan sesuatu kepadanya biarpun abangnya sedang berada dalam kesakitan.
“A…dik, t…ta…han si…kit t…t…ahu. A…bang t…t…tak n…nak a…dik s…sa…kit,” menggigil-gigil suara Suhaibul Umar itu.
ZASS! ZASS! ZASS! Bunyi pukulan tali pinggang yang mengenai pada tubuh Suhaibul Umar itu seakan irama yang sungguh menyenangkan buat Mak Long Rauzah. Suhaibul Umar hanya mampu menjerit dan terus menjerit.
Begitulah rutin yang biasa dialami oleh Suhaibul Umar. Kebiasaannya, dia banyak melindungi adiknya itu tanpa sebarang keluhan. Kasih sayangnya terhadap Qistur Ruwaidah tidak bertepian. Adiknya sahajalah merupakan penguat semangatnya untuk dia menempuh kehidupan di rumah Mak Long Rauzah itu.
Disebabkan rumah Mak Long Rauzah jauh dari rumah jiran-jiran yang lain, mereka tidak pernah mengetahui kesengsaraan yang dihadapi oleh Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah. Tambahan pula, jiran-jiran tidak akan mendengar jeritan dua beradik itu setiap kali mereka berdua didera oleh wanita itu.
Apatah lagi, Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah telah diugut oleh ibu saudara mereka berdua agar tidak menghebahkan perlakuannya kepada sesiapa pun hatta kepada pihak sekolah. Jika tidak, mereka berdua akan diberhentikan sekolah, didera tanpa henti serta tidak diberikan sebarang makanan langsung.
Dua orang anak yatim piatu itu akan dihidangkan makanan hanya mengikut angin (mood) ibu saudara mereka sahaja. Selalunya, mereka berdua hanya dihidangkan nasi kosong sahaja atau diselang-selikan nasi berlaukkan telur rebus. Tiada lagi lauk ayam atau ikan dihidangkan untuk mereka berdua sehingga dua beradik itu sudah terlupa akan rasa ayam dan ikan itu.
Bertambah menyedihkan lagi untuk dua beradik itu apabila mereka berdua terpaksa berkongsi makanan dalam satu pinggan sahaja. Jika mereka menginginkan nasi itu berkuah, hanya air kosong menjadi penggantinya. Sekurang-kurangnya, terubat jugalah rasa rindu anak-anak yatim piatu itu terhadap lauk yang berkuah seperti sup ayam dan sup tom yam yang dimasak oleh almarhumah ibu mereka berdua biarpun air kosong itu tidak berperisa.
“Abang Suhaib… Adik teringatlah kat sup ayam mama. Sedap kan?” luah Qistur Ruwaidah pada suatu hari.
“Yalah. Abang pun teringat juga. Tom yam mama pun sedap. Ha! Abang ada idea. Apa kata kita tuang air kosong ni dalam nasi? Kita cuba. Nak?” respons Suhaibul Umar.
“Tuang air kosong dalam nasi ni? Okey! Jom cuba.”
Suhaibul Umar mula menuangkan air kosong tersebut ke dalam nasi kosong yang tidak berlauk itu.
“Wah, nampak macam sup ayam mamalah! Mesti sedap!” kata Qistur Ruwaidah, ceria.
Lalu, dua beradik itu mula merasa nasi yang dituangkan air kosong sebagai pengganti sup ayam. Masing-masing terdiam seketika.
“Tak rasa apa-apalah adik,” luah Suhaibul Umar.
“Haahlah abang… Alaa… Rindunya sup ayam mama. Tapi kan abang… Tak apalah. Sedap juga ni. Tak adalah kita makan nasi tak ada kuah je,” balas Qistur Ruwaidah, lalu dia meneruskan suapan kedua.
“Betul. Dapat juga kita rasa makanan baru. Tak dapat macam sup ayam dan tom yam mama pun tak apalah. Nasi kosong dan air kosong pun sedap juga.”
Dua beradik itu tersenyum dan ketawa kegembiraan. Itu pun sudah menjadi kebahagiaan buat Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah tatkala masing-masing sakit menahan rindu terhadap masakan almarhumah ibu tercinta.
Hakikatnya… Sungguh menyayat hati!
Paling lama Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah tidak diberikan sebarang makanan dalam tempoh seminggu. Hanya air kosong menjadi peneman mereka berdua agar perut mereka kenyang sehingga saiz tubuh mereka berdua yang normal mula menjadi kurus kering akibat tidak menerima zat makanan yang secukupnya.
“Mulai hari ni, ni je lauk kau orang! Jangan banyak songeh!” kata Mak Long Rauzah pada suatu ketika dahulu ketika penderitaan mereka berdua baru sahaja bermula.
Wanita itu menghidangkan nasi kosong tanpa sebarang lauk.
Suhaibul Umar mengangguk faham. Berbeza dengan Qistur Ruwaidah. Pada mulanya, agak sukar untuk dirinya memahami apa yang sedang berlaku. Dia mula bersuara. “Mak Long, tak ada ikan atau ayam ke yang Qist dan Abang Suhaib boleh makan dengan nasi ni?”
Mendengar pertanyaan anak kecil itu, Mak Long Rauzah menjegilkan matanya. Suhaibul Umar segera melindungi adiknya dengan mendakapnya. “Mak… Mak Long, jangan apa-apakan adik. Adik masih tak faham lagi. Dia kecil lagi. Suhaib minta maaf bagi adik Suhaib. Nanti Suhaib terangkan kat adik.”
“Lepaskan Qist, Suhaib! Aku nak kena ajar adik kau ni supaya dia faham bahasa!” tengking Mak Long Rauzah.
“Mak Long, ja…jangan!” rayu Suhaibul Umar.
Tanpa mempedulikan rayuan anak saudara itu, Mak Long Rauzah menarik kedua-dua belah tangan Suhaibul Umar agar dia melepaskan dakapan tersebut. Qistur Ruwaidah perlu diajar supaya dia faham.
Kelihatan anak kecil itu memandang ibu saudaranya dengan penuh ketakutan. Suhaibul Umar hanya mampu melihat dan tidak mampu berbuat apa-apa.
Mak Long Rauzah menarik rambut anak kecil itu dengan sekuat hatinya. Qistur Ruwaidah mula menjerit sakit. “A…duh! Sa… Sakit Mak Long!”
Tatkala itu, betapa hancurnya hati Suhaibul Umar apabila adiknya diperlakukan begitu. ‘A… Adik, abang minta maaf sebab a…abang tak boleh nak lindungi adik,’ bisik hatinya. Sebak terasa.
“Kau ni memang kena ajar supaya kau tahu erti menumpang kat rumah aku ni! Ha, makan ni! Makan!” bentak Mak Long Rauzah sambil menggenggam nasi kosong itu, lalu dingangakan mulut Qistur Ruwaidah seluasnya seraya disuapkan ke dalam mulut dengan begitu kasar. Habis bertabur nasi yang tumpah itu di atas lantai, lalu wanita itu mengutip nasi di atas lantai pula seraya menyumbat ke dalam mulut anak saudaranya itu.
“Ha, nasi atas lantai ni pun kau makan ya! Makanan ni je layak untuk kau! Serupa sampah!” maki Mak Long Rauzah.
Qistur Ruwaidah menangis apabila dia dipaksa untuk menjamah nasi yang telah tumpah itu. Dalam kepayahan, dia terpaksa menguyah secara perlahan-lahan. Suhaibul Umar juga menangis melihat adiknya diperlakukan sedemikian rupa tetapi tiada apa yang dia mampu lakukan kini.
Setelah Mak Long Rauzah berpuas hati ‘mengajar’ Qistur Ruwaidah, dia mula meninggalkan dua orang anak saudaranya itu dalam kesedihan. Sebelum wanita itu meninggalkan dua beradik itu, dia berkata sesuatu kepada Suhaibul Umar “Kau pun makanlah nasi atas lantai tu ya, Suhaib. Selayaknya sampah untuk kau macam adik kau juga!”
Suhaibul Umar mula menghampiri adiknya yang sedang menangis itu lagi. Didakap adiknya itu dengan penuh kasih sayang. “Abang minta maaf ya, adik. Salah abang.”
“T… Taklah abang. Bu… Bukan salah abang. Sa…salah adik,” balas Qistur Ruwaidah dalam sedu-sedan.
“Kita makan ya. Nanti kita lapar. Abang kutip nasi-nasi ni sekejap.”
Meskipun Suhaibul Umar tahu bahawa mereka berdua tidak boleh menjamah makanan yang telah tumpah itu tetapi mereka berdua tiada pilihan lain. Lalu, dia mengutip nasi itu sebutir demi sebutir. Akhirnya, dia berjaya mengumpul butir-butir nasi itu. Dia cuba menerangkan keadaan sebenar kepada adiknya itu.
“Adik… Sebenarnya, kita tak boleh makan makanan yang dah tumpah kat atas lantai ni sebab dah kotor dan ada kuman tapi ni je makanan yang kita ada. Lepas ni, kalau Mak Long bagi apa-apa makanan kat kita, kita makan je tahu. Jangan cakap atau tanya apa-apa. Kalau adik tanya lagi macam tu, memang adik akan kena lagi dengan Mak Long macam tadi,” terangnya.
“O… Okey abang. Adik minta maaf,” ucap Qistur Ruwaidah.
“Tak apa adik. Selepas ni, kita jangan buat Mak Long marah lagi.”
Dengan berat hati, Suhaibul Umar mula menyuapkan nasi tanpa lauk itu ke dalam mulutnya demi kelangsungan hidup. Kemudian, dia menyuapkan nasi tersebut kepada adiknya pula. Bercucuran air mata seorang abang itu di saat dia terpaksa menyuakan makanan sedemikian kepada sang adik.
Qistur Ruwaidah menyeka air mata abangnya itu seraya berkata sesuatu. “Abang janganlah menangis. Adik sedih kalau abang menangis. Lepas ni, adik takkan buat abang sedih lagi. Sekarang, adik dah faham. Kalau kita buat salah atau cakap apa-apa pasal Mak Long, kita kena pukul dengan Mak Long lagi. Eiii… Adik tak naklah kena pukul lagi. Sakit! Adik nak jadi budak baik.”
Suhaibul Umar terasa sebak akan kata-kata adiknya, lalu dia mendakap erat si kecil itu. “Abang sayang adik dan abang akan sentiasa jaga adik walaupun keadaan kita dah tak sama macam dulu. Abang akan gembirakan adik walaupun kita selalu kena pukul dengan Mak Long. Abang janji.”
Dia menyedari bahawa dirinya bukan lagi sebagai seorang abang yang suka mengusik adik-adiknya yang telah pergi. Akan tetapi, sebagai seorang abang yang perlu melindungi dan mengasihi satu-satunya adik yang masih hidup bersama dirinya kini, iaitu Qistur Ruwaidah.
Tiada lagi gurau senda mahupun petah bercakap buat Suhaibul Umar. Dia telah menjadi seorang yang sangat pasif dan pendiam sama ada di rumah mahupun di sekolah setelah dia menjadi mangsa penderaan kanak-kanak. Hanya kepada adiknya sahaja, dia akan bercakap jika dia perlu.
“Adik pun sayang abang. Kalau Mak Long tak sayangkan adik, tak apalah. Adik ada abang,” ucap Qistur Ruwaidah.
Qistur Ruwaidah menepuk lembut di bahagian belakang abangnya itu tanpa sepatah bicara. Meskipun umurnya baru sahaja enam tahun, namun dia mengerti apa yang telah berlaku.
Sejak peristiwa itu, dia semakin berhati-hati dengan tindakan serta kata-katanya itu dan melalui hari demi hari dengan penuh kepayahan. Dia juga telah memahami bahawa kehidupannya dan abangnya tidak sama seperti dahulu lagi.
Maafkan tuan penulis kerana berlaku kejam terhadap watak Qistur Ruwaidah dan abangnya, Suhaibul Umar sewaktu zaman kanak-kanak mereka berdua. Sobs! Sila jenguk ke IG tuan penulis, iaitu @bintuqist untuk melihat komik yang amat menyedihkan dan menyayat hati. Sobs lagi!
Share this novel