KEDENGARAN derapan langkah demi langkah Suhaibul Umar tiba agak awal di Kafe The Grill pada jam 9.30 pagi. Lokasi kafe itu berdekatan dengan Perpustakaan Dar Al-Hikmah. Memang kebanyakan mahasiswa dan mahasiswi suka melepak di kafe tersebut, terutama pelajar antarabangsa kerana mereka dapat menyaksikan berpuluh-puluh ekor burung merpati menghiasi kawasan tersebut.
Bahkan, ramai juga warga Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) rajin memberikan makanan kepada burung-burung tersebut.
Namun begitu, burung-burung merpati itu tidak menarik perhatian Suhaibul Umar untuk berinteraksi dengan ‘mereka’ pada hari tersebut. Biasanya, dia rajin juga melayan burung-burung tersebut.
Pada hari bersejarah adiknya itu, dia berpakaian baju kasual lengan panjang rona kuning lembut dan berseluar khakis rona coklat gelap. Rambutnya disikat rapi berserta sandal lelaki rona hitam.
Dia telah meninggalkan pesanan di grup whatsapp bagi memaklumkan ketibaannya di kafe itu.
WhatsApp Suhaibul Umar:
Assalamualaikum semua. Abang dah sampai kat The Grill. Kau orang tak perlu tergesa-gesa tahu. Memang abang sengaja datang awal. Untuk @Salahuddin Firdaus, abang pakai baju warna kuning lembut.
Sebelum Suhaibul Umar tiba di kafe tersebut, dia ada berhubung dengan adiknya tadi. “Adik nak abang ambil adik kat mahallah tak?” tanyanya.
“Tak apa abang. Adik jalan kaki je. Abang jagalah tempat kalau abang sampai dulu daripada kita orang semua,” balas Qistur Ruwaidah.
Pada hari ini, Suhaibul Umar bakal berjumpa dengan Mohamad Salahuddin buat kali pertama. Sebenarnya, dia tidak sabar untuk berjumpa dengan jejaka itu. Sementara dia menunggu ketibaan adiknya, Abdul Azim dan Mohamad Salahuddin, dia mengambil keputusan untuk mengulang hafazan Al-Qurannya bagi mengisi masa lapangnya.
Tidak lama kemudian, kelihatan Mohamad Salahuddin tiba di kafe tersebut. Pada hari tersebut, dia memakai kemeja-T berlengan pendek rona hijau dan dipadankan dengan seluar khakis rona hitam berserta kasut kanvas jenama Adidas. Matanya melilau mencari abang Qistur Ruwaidah itu.
Akhirnya, dia ternampak Suhaibul Umar berpakaian baju rona kuning lembut itu. Sebuah debaran kalbu berdegup-degap. Seperti Suhaibul Umar juga, itulah kali pertama Mohamad Salahuddin bertentang mata dengan lelaki tersebut. Sebelum ini, dia hanya menyaksikan wajah lelaki itu di media sosial Qistur Ruwaidah.
Sebuah ucapan salam dihulurkan oleh Mohamad Salahuddin buat wali Qistur Ruwaidah itu. “Assalamualaikum. Abang Suhaib, kan?” tegurnya. Jantungnya hampir meletup tatkala dia mula bertegur sapa dengan Suhaibul Umar. ‘Ya Allah… Cuaknya! Seriuslah aku tengah berdepan dengan abang Qist sekarang ni?’ bisik hatinya.
Dia cuba bersikap normal bak air sungai yang mengalir tenang.
Suhaibul Umar memandang lelaki itu seketika, lalu dia menguntum senyuman. Ah, ini rupanya gerangan Mohamad Salahuddin! Jejaka penuh setia yang telah jatuh hati terhadap adiknya sejak sekian lamanya. “Waalaikummussalam. Haah… Salahuddin ke?”
“Haah… Saya Salahuddin. Boleh panggil Din je.”
Mohamad Salahuddin menghulurkan tangannya untuk berjabat tangan dengan lelaki itu meskipun dia cuak.
Lalu, Suhaibul Umar menyambut huluran salam yang diberikan oleh lelaki itu. Masih terlalu awal untuk dia melakukan sebarang tanggapan terhadap Mohamad Salahuddin. “Duduklah,” sapanya dengan penuh mesra.
Sepertimana dia telah menerima Abdul Azim dalam kehidupannya, begitulah juga dia perlu menerima Mohamad Salahuddin dalam kehidupannya jika adiknya menerima jejaka itu kelak. Jika adiknya tidak memilih Mohamad Salahuddin pun, dia tetap akan menghormati lelaki tersebut jika mereka berdua bertembung lagi di pusat pengajian ini.
‘Tak kisahlah adik aku pilih Din ni ke atau Azim, janji salah seorang akan jaga amanah aku baik-baik,’ gumam kalbu Suhaibul Umar.
Lalu, dua orang siswa itu mula melabuhkan punggung di atas kerusi. Hembusan bayu turut menemani pertemuan yang cukup mendebarkan tetapi penuh keindahan.
Posisi Mohamad Salahuddin menghadap Suhaibul Umar. Dia berasa lega akan layanan abang perempuan itu terhadap dirinya. Sebenarnya, dia bimbang andai lelaki itu tidak merestui dirinya kerana dia tahu Suhaibul Umar rapat dengan Abdul Azim. Nampaknya, dia telah silap menduga berkenaan wali itu.
“Din, apa khabar?” Suhaibul Umar berbasa-basi dengan lelaki itu.
“Alhamdulillah. Sihat je, abang. Abang?” ujar Mohamad Salahuddin.
“Alhamdulillah sihat juga. Macam mana jawab semua peperiksaan? Okey tak?”
“Alhamdulillah. Setakat ni, Din rasa okey je tapi tulah… Takut juga kalau ada subjek yang gagal. Minta jauhlah. Tak sanggup rasanya nak ulang kelas balik. Bila tengok ada kawan-kawan yang gagal dan kena masuk kelas yang sama balik, boleh rasa penat tu.”
Tika itu, Mohamad Salahuddin sudah mula selesa dengan Suhaibul Umar.
Kelihatan Suhaibul Umar tersengih mendengar kata-kata lelaki itu. “Abang pun sama juga. Risau… Dahlah ni semester akhir abang sebelum abang berkonvokesyen bulan 11 nanti. Harapnya okey jelah semua. Insya-Allah,” terang Suhaibul Umar.
“Oh ya. Qist ada cerita kat Din, semester ni semester akhir abang. Tahniah Din ucapkan,” balas Mohamad Salahuddin.
“Insya-Allah. Terima kasih Din.”
Dua jejaka itu terus rancak berborak seperti mereka berdua sudah lama mengenali di antara satu sama lain. Lagi-lagi, topik berkenaan isu semasa.
Pada tanggapan Mohamad Salahuddin, jika lelaki di hadapannya ini bakal menjadi abang iparnya, pasti hubungan mereka berdua akan menjadi kamceng. Memandangkan dia merupakan anak sulung sama seperti Suhaibul Umar, dia tidak pernah merasa adanya seorang abang dalam kehidupannya.
Namun begitu, itu hanyalah angan-angannya. Entah-entah sekejap lagi, Qistur Ruwaidah tidak memilih pun dirinya.
“Assalamualaikum,” ucap seseorang.
Dua jejaka itu menjawab salam sambil memandang ke arah gerangan si pemberi salam itu.
Nampaknya, Abdul Azim juga sudah tiba dengan berpakaian baju kemeja-T berlengan pendek rona merah, berseluar coklat gelap berserta kasut kanvas jenama Skechers. Kelihatan dia berjabat tangan dengan Suhaibul Umar terlebih dahulu.
Sewaktu Abdul Azim hendak berjabat tangan dengan bekas rakan sekelasnya pula, Mohamad Salahuddin bangun dari tempat duduknya seketika, lalu dia menyambut huluran tangan tersebut.
Kini, posisi Abdul Azim dan Mohamad Salahuddin saling berhadapan sesama mereka. Tiada sepatah bicara yang keluar dari bibir mereka buat seketika ini melainkan hanyalah bicara hati yang bergumam dalam sanubari.
‘Abdul Azim… Tak sangka kita akan jumpa balik pada hari ni lepas pertemuan kebetulan kita kat Adenium Mall dan Klinik UIA dulu. Aku kira, ni takdir yang Allah aturkan kat kita. Kita jatuh hati kat perempuan yang sama, bekas rakan sekelas kita sendiri masa kat CFS dulu tapi aku tahu, mustahil Qist akan pilih aku sebab dia suka kau dari CFS. Aku tak nak berharap apa-apa dan aku terima je apa pun jawapan dia sekejap lagi. Azim… Aku reda kalau Qist tak pilih aku sebab kau ada dalam hati dia dan aku sendiri jadi saksi pengakuan Qist masa aku jumpa dia semester lepas. Dia masih tak lupakan kau,’ bisik hati Mohamad Salahuddin.
‘Mohamad Salahuddin… Aku tak tahu nak cakap macam mana lepas aku tahu kau ada perasaan kat Qist. Sebelum ni, memang aku dah rasa sesuatu pasal kau dari CFS. Aku boleh rasa kau suka Qist tapi kau sendiri tahu Qist suka aku. Kau sendiri yang beritahu pasal perasaan Qist kat aku. Din… Aku tak tahu kau dah jatuh hati kat dia berapa lama tapi aku percaya, kau dah lama jatuh hati kat Qist, kan? Kau jangan risau. Apa pun jawapan Qist kat aku sekejap lagi, aku sendiri akan undur diri dan reda kalau Qist pilih kau,’ bisik hati Abdul Azim.
Itulah bicara hati Mohamad Salahuddin dan Abdul Azim, seolah-olah mereka berdua dapat membaca hati berlainan pihak.
Suhaibul Umar menjadi pemerhati. Risau dibuatnya. Bukan dia tidak tahu bahawa dua orang lelaki itu sedang bermain dengan sangkaan terhadap jawapan yang bakal diberikan oleh adiknya sebentar sahaja lagi.
Kelihatan gaya kedua-dua orang jejaka itu seperti mahu bertumbuk dan berperang pula. Dia perlu bertindak sebagai pendamai dan membuatkan suasana tidak menjadi terlalu tegang, namun dia percaya Abdul Azim mahupun Mohamad Salahuddin tidak akan berbuat demikian.
“Azim, Din… Cara kau orang ni macam nak pergi berperang je. Kalau ya pun, duduklah dulu,” usik Suhaibul Umar.
Usikan Suhaibul Umar itu membuatkan Mohamad Salahuddin dan Abdul Azim tersengih kecil serentak. Mujurlah Suhaibul Umar bijak menceriakan suasana. Kalau tiada dia, mungkin betullah tanggapan lelaki itu. Kebarangkalian mereka berdua akan bertumbuk itu sangat tinggi.
Lalu, Abdul Azim dan Mohamad Salahuddin melabuhkan punggung. Namun begitu, hanya Allah sahaja yang tahu betapa kekoknya kedua-dua orang siswa itu rasakan kini tetapi mereka berdua cuba menjadi setenang yang boleh.
“Azim, macam mana subjek terakhir semalam? Okey?” Suhaibul Umar berbasa-basi. Dia meraikan Abdul Azim pula.
“Alhamdulillah. Okey je. Rasa macam boleh skor subjek tu. Insya-Allah,” balas Abdul Azim dengan tenang.
Tiba-tiba Mohamad Salahuddin bersuara. Dia tidak mahu menampakkan bahawa dia seperti bermusuh dengan bekas rakan sekelasnya itu pula. “Eh, Azim! Aku nak tanya. Kau sokong kumpulan bola sepak mana?”
“Aku? Mestilah ‘Chelsea’!” balas Abdul Azim.
“Eh, samalah! Kau tonton permainan semalam tak?” ujar Mohamad Salahuddin. Ah, bagus juga dia membangkitkan isu bola sepak.
“Uish! Mana boleh aku tak tonton kumpulan kegemaran aku tu. Nasib baik ‘Chelsea’ menang! Aku ingat ‘Liverpool’ nak menang dah masa minit akhir tu.”
“Ya weh! Aku punya jantung nak tercabut dah bila tonton semalam. Aku lega ‘Chelsea’ menang.”
Suhaibul Umar tersengih kecil apabila kedua-dua orang jejaka itu boleh menjadi kamceng berkenaan isu bola sepak. Mujur mereka berdua minat kumpulan yang sama. Kalau minat kumpulan yang berbeza, gamaknya boleh jadi bertumbuk juga. Dirinya pula tidaklah meminati sukan bola sepak, namun jika ada kenalan yang mengajaknya untuk menonton siaran langsung sukan itu di kedai mamak, dia meraikan sahaja.
Sementara mereka bertiga menunggu ketibaan Qistur Ruwaidah, kelihatan Abdul Azim dan Mohamad Salahuddin rancak berborak berkenaan kumpulan bola sepak ‘Chelsea’ itu sehingga seolah-olah Suhaibul Umar menjadi halimunan pula, namun dia tidak kisah pun. Dia lebih bersifat pendengar sahaja.
Qistur Ruwaidah pula masih dalam perjalanan dari Mahallah Salahuddin Al-Ayubi ke Kafe The Grill yang mengambil masa dalam 15 minit untuk sampai di tempat tersebut. Sepanjang perjalanannya itu, hatinya bertanyakan soalan serupa berulang kali.
‘Ya Allah… Benarkah aku mahu menamatkan zaman bujang lepas aku memilih dia? Qist… Betul ke keputusan kau nak pilih dia? Kau tak salah pilih, kan?’ soalnya. Kelihatan dia masih berperang dengan naluri hatinya itu.
Tiba-tiba langkahnya terhenti seketika.
Dia memandang beg galas rona coklat yang berisi dompet, telefon pintar dan dua helai sampul surat. Lalu, dia mengeluarkan sampul surat berwarna merah dan hijau itu dari begnya seraya ditatapnya bersama sebuah senyuman dan Surah Al-Insyiraah dibaca dalam hati.
Sebuah keyakinan mula menemani dirinya. Ya, untuk jejaka itu, dia pasti! Tekad! Sebentar sahaja lagi, dia akan bertemu dengan dua orang mahasiswa itu. ‘Aku pasti untuk dia. Insya-Allah aku tak tersalah pilih,’ tekad kalbunya.
Langkah demi langkah diteruskan sehinggalah dia tiba di Kafe The Grill. Kelihatan abangnya, Abdul Azim dan Mohamad Salahuddin sedang bersembang. Entahlah topik apa yang dibualkan oleh lelaki-lelaki itu, namun derapan langkahnya semakin menghampiri mereka bertiga bersama sebuah degupan jiwa yang tidak keruan.
Sekuat hatinya, dia mula menghulurkan salam. “Assalamualaikum,” ucap Qistur Ruwaidah seraya tersenyum kecil bersama 1001 debaran jiwa.
Tidak sangka… Dia, Abdul Azim dan Mohamad Salahuddin, iaitu bekas rakan sekelas Bahasa Inggeris di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Petaling Jaya (CFS IIUM PJ) dahulu bertemu jua di Kafe The Grill pada hari ini. Namun, pertemuan mereka bertiga pada hari ini juga bakal merubah segala-galanya. Selepas ini, salah seorang daripada jejaka itu akan menjadi seseorang yang bermakna dalam kehidupannya.
Kedengaran ketiga-tiga jejaka itu menjawab salamnya. Tatkala itu jugalah, Abdul Azim dan Mohamad Salahuddin menjadi malu untuk menatap wajah siswi yang berperwatakan penuh ceria itu sebelum mereka berdua melamarnya. Saat ini, masing-masing cuba bertenang dan bertawakal sepenuhnya pada Ilahi.
“Waalaikummussalam adik. Duduklah,” pelawa Suhaibul Umar.
Qistur Ruwaidah tersenyum kepada abangnya seraya melabuhkan punggungnya dalam posisi menghadap kedua-dua orang siswa itu. Sejujurnya, dia juga malu untuk menghadap Abdul Azim dan Mohamad Salahuddin. Satu perasaan yang sukar untuk digambarkan. Semua ini bagaikan tidak logik dan terasa pantas!
Di hadapan Qistur Ruwaidah kini, iaitu Abdul Azim bin Uthman, siswa tahun kedua semester dua dari Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar atau Kulliyyah of Architecture and Environmental Design (KAED) dan Mohamad Salahuddin bin Mohd Firdaus, siswa tahun kedua semester satu dari Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim atau Ahmad Ibrahim Kulliyyah of Laws (AIKOL). Kedua-dua orang siswa itu sangat berperibadi hebat berbanding dirinya.
‘Azim, Din… Sebenarnya, apa yang kau orang tengok kat diri aku? Aku bukan siapa-siapa. Aku dah tak ada mama baba. Aku pernah jadi mangsa dera. Aku ada sakit mental. Kau orang masih nakkan aku?’ bisik hati Qistur Ruwaidah. Bicara hati itu hanya mampu bergumam dalam sukmanya.
Tiba-tiba gadis itu diselubungi rasa rendah diri, namun dia pantas membuang jauh perasaannya itu. Dia tidak mahu perasaan rendah diri itu membaluti dirinya. Jika dia bukan sesiapa bagi kedua-dua orang jejaka itu, masakan dua lamaran hadir buat dirinya dalam minggu yang sama.
Bagi tidak menjadikan suasana tersebut terlalu kekok, sepi dan penuh debar, Suhaibul Umar memainkan peranannya. “Adik… Memandangkan adik dah sampai, adik boleh beritahu jawapan adik,” ujar Suhaibul Umar. Sejujurnya, dia juga berdebar untuk mengetahui keputusan adiknya itu.
Qistur Ruwaidah mengangguk perlahan. Tubuhnya menggigil kesejukan. Dia tahu, dia tidak boleh lagi menyembunyikan rasa jiwanya terhadap salah seorang daripada jejaka itu dan dia bakal mengecewakan salah seorang daripadanya.
Selepas ini, terlafaz sahaja jawapan lamaran Qistur Ruwaidah itu, kehidupannya akan berubah untuk lelaki itu. Bukan lagi sebagai seorang kawan tetapi sebagai seorang peneman seumur hidupnya.
Suasana masih jeda. Abdul Azim dan Mohamad Salahuddin masih menunggu gadis itu membuka mulut.
“Azim, Din… Emm… Aku tak tahu nak mula macam mana tapi… Aku amat berterima kasih pasal lamaran kau orang dulu. Aku hargai. Sekali lagi, terima kasih sangat,” bicara Qistur Ruwaidah.
Kata-katanya terhenti seketika.
“Mula-mula aku dapat lamaran daripada kau orang dulu, tipulah kalau aku tak keliru, kan? Aku rasa semua ni tak masuk akal dan mengarut sebab kita bertiga muda lagi. Baru 21 tahun. Jujur, aku tak pernah terfikir pun pasal jodoh. Apatah lagi, nak kahwin dalam umur macam ni. Aku tanya diri aku. Mampu ke aku kahwin waktu belajar? Mampu ke aku nak galas tugas sebagai pelajar dan isteri nanti? Banyak persoalan bermain kat minda aku tapi Abang Suhaib dan para pensyarah telah membuka mata aku untuk mencari jawapan pasal lamaran kau orang dan kahwin…”
Qistur Ruwaidah menyambung bicaranya lagi. “Selama aku menilai pasal kau orang, jujur, aku rasa sukar sebab kau orang pernah jadi kawan sekelas aku. Aku tak berapa kenal kau orang. Jadi, aku tanya Abang Suhaib dan Keena sebab dia orang lagi kenal kau orang daripada aku. Azim, Din… Lepas aku dah kenal kau orang daripada Abang Suhaib dan Keena, aku rasa kau orang hebat sangat. Kadang-kadang aku rasa kau orang patut cari perempuan lain sebab banyak kali aku rasa, aku bukan siapa-siapa. Mama baba aku pun dah tak ada. Layak ke aku nak jadi isteri?”
Abdul Azim dan Mohamad Salahuddin menjadi sebak tatkala mendengar ayat terakhir gadis itu. Bukan itu yang dipandang oleh jejaka-jejaka itu! Namun, masing-masing masih tekun untuk mendengar sambungan ayat gadis itu.
Ujar Qistur Ruwaidah lagi. “Aku tahu aku tak sepatutnya letakkan diri aku macam tu. Berkali-kali aku istikharah, aku cuba dapatkan jawapan sampailah aku rasa… Okey, aku dah sedia dan aku dah ada jawapan lepas aku banyak membaca pasal realiti kahwin dan bertanya kat ahlinya. Allah dah berikan yang terbaik ikut gerak hati aku. Emm… Jadi, Azim dan Din…”
Lalu, Qistur Ruwaidah mengeluarkan dua helai sampul surat dari beg galasnya dan diletakkan di atas meja. Abdul Azim dan Mohamad Salahuddin terpinga-pinga menyaksikan sampul surat warna kegemaran masing-masing itu. Bermakna, gadis itu tidak pernah melupakan warna kegemaran mereka berdua.
“Emm… Aku akan jelaskan pasal sampul surat ni. Oh, sebelum tu… Memang aku ingat warna kegemaran kau orang. Itu sebabnya, aku buat sendiri sampul surat tu. Dalam sampul surat warna kegemaran kau orang ni, aku dah nyatakan jawapan. Jawapan untuk penerimaan lamaran, aku tulis ‘Alhamdulillah’. Kalau jawapan untuk penolakan lamaran pula, aku tulis ‘Maaf’. Sebelum aku serahkan sampul surat ni, aku harap kau orang berlapang dada dulu. Boleh?” ujar Qistur Ruwaidah.
Kelihatan Abdul Azim dan Mohamad Salahuddin mengangguk akur. Memang mereka berdua sendiri sudah pasrah dengan apa jua jawapan gadis itu.
“Kau orang dah sedia ke?” soal Qistur Ruwaidah.
“Insya-Allah,” balas Abdul Azim dan Mohamad Salahuddin bersahaja.
Lalu, Qistur Ruwaidah menyerahkan sampul surat berwarna merah kepada Abdul Azim manakala sampul surat berwarna hijau diserahkan kepada Mohamad Salahuddin.
Kelihatan Abdul Azim dan Mohamad Salahuddin segera membuka sampul surat tersebut dan mengeluarkan sehelai kertas putih yang dilipat menjadi dua bahagian. Tatkala itu, jantung mereka berdua amat berdebar untuk membuka lipatan kertas putih itu. Sebuah jawapan yang bakal membongkarkan pilihan hati Qistur Ruwaidah.
Sekuat hati, kedua-dua jejaka itu mula membuka lipatan kertas tersebut bersama selawat sebagai penenang jiwa. Sebuah senyuman mula terukir di bibir Abdul Azim dan Mohamad Salahuddin. Salah seorang tersenyum penuh gembira dan salah seorang lagi pula tersenyum reda.
Nampaknya, pilihan hati Qistur Ruwaidah itu, iaitu…
“Tahniah Din,” ucap Abdul Azim.
Tika itu, betapa berkecamuknya hati seorang Abdul Azim di atas keputusan yang diberikan oleh Qistur Ruwaidah. Sangkaannya, gadis itu masih mempunyai perasaan terhadap dirinya dan menerima lamarannya. Akan tetapi, mengapa lamarannya ditolak?
Sejujurnya, dia ingin mengetahui jawapan gadis itu, namun dilupakan hasrat kerana Mohamad Salahuddin berada di situ. Jika lelaki itu tiada, memang dia akan bertanya. Bukannya dia tidak menerima hakikat, namun dia hanya ingin tahu.
“Alhamdulillah. Terima kasih, Azim,” ucap Mohamad Salahuddin. Dia tahu, pasti Abdul Azim berasa amat kecewa kerana dia pernah berada di tempat lelaki itu.
Pada masa yang sama, ternyata Mohamad Salahuddin berasa amat gembira dan bersyukur akan penerimaan Qistur Ruwaidah buat dirinya. Doanya untuk hidup bersama gadis itu kelak telah pun dimakbulkan oleh Allah. Dia juga beranggapan doa daripada ahli keluarganya turut mengiringinya. Pasti Sakeenah merupakan insan paling gembira nanti!
Sungguhpun begitu, dia masih tidak percaya bahawa lamarannya diterima oleh siswi itu. Ingin dia ketahui sebabnya, namun didiamkan dulu bagi menghormati perasaan Abdul Azim.
Qistur Ruwaidah dapat menyaksikan riak wajah Abdul Azim begitu bersahaja dan lelaki itu pun memang bijak menyembunyikan ekspresinya. Namun begitu, dia tahu hati lelaki itu berasa amat kecewa kerana dia pernah berada di tempat lelaki itu sewaktu lelaki itu pernah menolak perasaannya. Bukan kerana dia ingin membalas dendam. Seribu kali itu bukan niatnya, namun dia mempunyai sebab yang tersendiri.
Akhirnya, Qistur Ruwaidah bersuara. “Azim… Aku minta maaf,” ucapnya dengan perlahan dan penuh rasa serba salah.
Abdul Azim menggelengkan kepalanya dengan perlahan seraya tersenyum. Sebuah senyuman ceria dipamerkan bagi menyembunyikan gelora jiwanya. “Eh, tak ada apalah! Aku okey je. Jangan risaulah. Apa-apa pun untuk kau orang, semoga dipermudahkan untuk fasa seterusnya.”
Raut wajah Abdul Azim kekal tenang meskipun hatinya remuk-redam. Berkecai. Betapa ucapan itu sunggguh perit buat jejaka itu, namun dia perlu reda bahawa Qistur Ruwaidah tidak ditakdirkan untuknya. Sudah tiba masanya untuk dia mengundur diri dari kehidupan gadis itu.
“Insya-Allah Azim. Doakan kita orang,” ucap Mohamad Salahuddin. Itu sahaja yang mampu diucapkan buat lelaki itu.
Qistur Ruwaidah pula kehilangan kata. Dia tidak tahu bagaimana untuk membalas kata-kata Abdul Azim. Kelu dirasakan. Rasa serba salah juga menyelimuti dirinya.
Untuk Suhaibul Umar pula, tipulah kalau dia tidak terselit sedikit rasa kecewanya apabila lamaran sahabat baiknya itu ditolak oleh Qistur Ruwaidah. Pernah juga dia berharap dalam diam dan berdoa agar adiknya menerima lamaran Abdul Azim. Alangkah seronoknya jika lelaki itu menjadi adik iparnya. Lagipun, dia sudah selesa dengan sahabat baiknya itu.
Namun, Suhaibul Umar sedar bahawa Abdul Azim tidak akan menjadi adik iparnya dan hati adiknya lebih penting. Dia juga perlu menghormati pilihan Qistur Ruwaidah dan adil untuk menerima Mohamad Salahuddin sepertimana dia menerima Abdul Azim dalam kehidupannya.
Abdul Azim melirik jam tangannya. Sengaja dia memberikan isyarat bahawa dia mempunyai urusan lain pula. Untuk apa lagi dia berada di situ? Buat kacau daun sahaja. “Ah ya! Aku nak kena balik sekarang. Ada hal. Abang Suhaib, bila-bila kita jumpalah ya,” ujarnya sambil menghulurkan tangan untuk berjabat tangan dengan sahabat baiknya itu.
“Okey Azim. Insya-Allah,” balas Suhaibul Umar sambil membalas huluran salam lelaki itu.
Giliran Abdul Azim menghulurkan tangan untuk berjabat tangan dengan Mohamad Salahuddin pula. Anak matanya memandang tepat ke arah mata lelaki itu. Sebuah kesyukuran diucapkan dalam hati buat jejaka itu. Dia yakin Mohamad Salahuddin amat mencintai Qistur Ruwaidah sepenuhnya. “Din, jumpa lagi. Insya-Allah.”
“Insya-Allah bro,” balas Mohamad Salahuddin. Huluran jejaka itu bersambut. Tipulah kalau dia tidak terkesan dengan pandangan anak mata di sebalik kaca mata Abdul Azim itu. Anak mata lelaki itu menggambarkan kekecewaan yang cukup mendalam.
Untuk Qistur Ruwaidah, Abdul Azim hanya sekadar mengangguk hormat tanpa sepatah bicara. Namun, berat hatinya untuk melepaskan insan yang telah menjadi cinta pertamanya itu. ‘Ya Allah… Aku kena reda,’ bisik hati jejaka itu.
Qistur Ruwaidah membalas anggukan kecil. ‘Azim… Aku minta maaf sangat.’
“Gerak dulu. Assalamualaikum,” balas Abdul Azim. Lalu, langkahnya mula meninggalkan Kafe The Grill itu.
Salamnya dijawab perlahan oleh ketiga-tiga insan itu.
Setelah langkah Abdul Azim sudah jauh sedikit dari kafe tersebut bersama 1001 perasaan dan tidak disedari oleh dua beradik itu serta Mohamad Salahuddin, dia menoleh ke belakang dari kejauhan. ‘Qist… Aku gembira untuk kau. Moga kau berbahagia bersama Din. Terima kasih sebab kau banyak ajar aku pasal kehidupan dalam diam melalui Abang Suhaib.’
Dia berehat seketika di bangku yang tersedia menghadap pintu masuk Perpustakaan Dar Al-Hikmah itu sambil memandang struktur bangunan perpustakaan itu.
Tiba-tiba ingatan Abdul Azim menerawang kembali tentang peristiwa di Restoran ‘Fruit De Mer’ pada tiga bulan lepas. Dia teringat kembali peristiwa dia tersedak di hadapan Qistur Ruwaidah. Lalu, dia tersengih sendirian sambil menggelengkan kepalanya.
“Memalukan betul! Macam manalah aku boleh tersedak masa tu?” bicaranya sendirian.
Dia teringat pula peristiwa tatkala dia terserempak dengan kereta Suhaibul Umar di tepi jalan dan dia menyaksikan air mata Qistur Ruwaidah buat kali pertama. Ketika itu, dia tidak mampu menyembunyikan air matanya. Lalu, kaca matanya ditanggalkan dan dikesat air mata itu.
Kenangan terindah bersulamkan kesayuan buat Abdul Azim terhadap Qistur Ruwaidah berkenaan memori itu tidak akan dilupakan oleh dirinya.
‘Ya Rahman… Aku tahu aku kena reda. Qist bukan jodoh aku dan Abang Suhaib takkan jadi abang ipar aku. Kau Maha Mengetahui. Aku tahu semua ini bersebab dan ada hikmahnya. Kau Maha Adil. Terima kasih Allah untuk hari yang penuh dengan pengajaran ini,’ bisik hatinya.
Air mata mula menemani kembali buat jejaka itu bersama kekecewaan yang tidak dapat diselindung lagi. Lantas, dia mencapai telefon pintar dari kocek seluarnya. Nombor bonda tercinta ditekan.
“Assalamualaikum bonda…” ucapnya bersama nada yang ditahan dengan penuh sebak.
SETELAH Abdul Azim meninggalkan Qistur Ruwaidah, Suhaibul Umar dan Mohamad Salahuddin, kelihatan Mohamad Salahuddin berborak dengan Suhaibul Umar manakala Qistur Ruwaidah hanya mendengar perbualan lelaki-lelaki itu.
Dalam hati Qistur Ruwaidah, dia bersyukur akan penerimaan abangnya terhadap insan yang dicintainya itu menerusi perbualan penuh rancak berkaitan seni. Ternyata Mohamad Salahuddin pandai meraikan abangnya.
“Sebenarnya, Din pun minat juga melukis tapi Din pandai lukis ‘anime’ jelah tapi tu pun dah lama tak lukis sebab dah sibuk dengan belajar. Tak ada masa sangat. Adik Din lagi hebat kalau bab lukisan ni. Macam-macam stail dia boleh lukis. Lukis orang pun boleh,” cerita Mohamad Salahuddin.
Suhaibul Umar mengangguk bersama wajah penuh ceria. Dia mula menyenangi lelaki itu secara perlahan-lahan. “Din pernah lukis ‘anime’ apa?”
“Detektif Conan, Naruto, Pokemon… Banyak jugalah Din pernah lukis dulu tapi Din paling suka lukis Edogawa Conan dan Kudo Shinichi. Kira, ‘anime’ paling kegemaranlah tu.”
“Menarik. Abang pun minat juga Detektif Conan. Biasanya, Din lukis kat tablet ke atau ‘sketch book’?”
“Masa sekolah rendah, Din guna ‘sketch book’. Bila ayah nampak Din suka sangat melukis, dia ada belikan Ipad dengan pen ‘stylus’ sekali masa Din kat sekolah menengah. Din tunjukkan beberapa hasil lukisan Din,” ujar Mohamad Salahuddin sambil menunjukkan lukisan-lukisan yang telah dilukis secara digital menerusi telefon pintarnya.
Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah ralit memerhati lukisan-lukisan Mohamad Salahuddin itu. “Cantik!” puji Suhaibul Umar.
Mohamad Salahuddin hanya tersenyum. Segan pula lelaki yang hebat dalam seni itu memuji lukisannya. Qistur Ruwaidah pula tidak menyangka bahawa lelaki itu mempunyai bakat melukis. “Cantik! Pandainya kau lukis, Din,” tegur Qistur Ruwaidah. Barulah dia berani membuka mulut.
Tiba-tiba… ‘Eh, rasa lain pula aku guna panggilan ‘aku-kau’ kat Din! Isy! Aku jadi segan pula kat Din,’ bisik hati gadis itu.
Mohamad Salahuddin tersenyum. “Kau tak tengok lagi lukisan Keena. Lagi cantik. Aku banyak belajar juga dengan dia. Oh ya, Abang Suhaib dan Qist nak makan apa-apa tak kat sini? Din belanja.”
“Tak apa, Din. Abang dah makan kat mahallah tadi,” balas Suhaibul Umar.
“Aku pun dah makan tadi,” balas Qistur Ruwaidah.
“Okeylah kalau macam tu. Emm… Abang Suhaib, boleh tak Din minta izin nak cakap secara privasi dengan Qist kat situ sekejap?” ujar Mohamad Salahuddin sambil jari telunjuknya menunjukkan suatu tempat yang tidak jauh dari kafe tersebut. Ada perkara yang ingin dia bualkan seketika bersama siswi itu.
Suhaibul Umar memandang jejaka itu seketika. Sebuah senyuman dihadiahkan. Sudah lelaki itu meminta izin dengan cara baik daripada dirinya selaku wali, dia membenarkan. Tidak mengapalah dia memberikan sedikit kelonggaran untuk adiknya. Lagipun, dia mengerti bahawa mereka berdua ada perkara penting yang mahu dibualkan seketika. Tambahan pula, adiknya dan Mohamad Salahuddin bakal berubah status.
“Okey Din. Boleh,” balasnya.
Qistur Ruwaidah memandang abangnya bersama pandangan penuh pertanyaan.
Memahami riak wajah Qistur Ruwaidah, Suhaibul Umar mengangguk kepalanya. “Tak apa adik. Abang okey je. Lagipun, abang ada kat sini. Abang tahu adik pun nak cakap sesuatu dengan Din, kan?”
“Emm… Okey abang. Terima kasih,” balas Qistur Ruwaidah.
Mohamad Salahuddin tidak mengerti maksud Suhaibul Umar. Juga, isyarat wajah Qistur Ruwaidah terhadap abangnya itu. Namun, dia tidak menyampuk apa-apa.
Lalu, Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah menuju ke suatu tempat yang tidak jauh daripada Suhaibul Umar.
“Okey ke kalau kita sembang kat sini?” soal Mohamad Salahuddin.
“Emm… Okey je, Din,” balas Qistur Ruwaidah. Dirinya mula menjadi malu terhadap lelaki itu kerana keadaan dirinya dan Mohamad Salahuddin telah berubah daripada seorang kawan kepada… Teman istimewa? Sebolehnya, dia tidak mahu memikirkan berkenaan itu. Penerimaan lamaran pun baru sahaja dimaklumkan.
Mohamad Salahuddin terperasan akan riak wajah malu Qistur Ruwaidah itu. “Qist… Kau okey?”
“Aku okey je. Cuma… Aku jadi malu dengan kau. Aku tak rasa kau ni macam kawan aku dah lepas aku setuju terima lamaran kau,” balas Qistur Ruwaidah.
Lalu, Mohamad Salahuddin tersenyum kecil. “Aku faham tapi sebelum aku nak cakap sesuatu dengan kau, aku tak faham ayat Abang Suhaib tadi sebenarnya. Ada apa-apa yang aku buat tadi, dia jadi tak senang ke?”
“Oh pasal tu. Kau jangan salah faham. Bukan dia tak senang dengan kau. Cuma, aku pernah kena tegur sebab tak manis keluar jalan-jalan atau berdua-duaan dengan lelaki bukan mahram. Itulah sebabnya aku rasa serba salah bila kau ajak aku sembang tanpa dia tapi aku tahu Abang Suhaib faham je kita perlu sembang secara privasi. Lagi-lagi, kita akan ke fasa seterusnya. Dia naklah hubungan kita ni mula dengan keberkatan sebelum kahwin. Tak keluar berdua-duaan. Kalau kita nak keluar pun, kena ada dia atau kawan-kawan perempuan teman aku kalau aku nak jumpa kau,” balas Qistur Ruwaidah, namun anak matanya tidak memandang terlalu tepat ke wajah Mohamad Salahuddin. Malu!
“Okey, aku faham. Kalau Abang Suhaib tak cakap macam tu pun, memang aku akan buat macam tu. Yalah, kita pun bukannya kahwin lagi. Bukan tiket untuk kita buat sesuatu yang Allah tak suka. Lepas aku dah selesai bercakap dengan kau ni, aku akan banyak berhubung dengan Abang Suhaib je untuk risik, tunang dan lain-lain. Cuma, akan ada ketika jelah aku terpaksa hubungi kau dan ajak kau keluar. Contoh, cari barang untuk majlis macam kad kahwin, pakaian kahwin, cincin dan barang-barang lain. Macam tulah. Kalau Abang Suhaib atau kawan-kawan perempuan kau tak lapang nak teman kau, kau beritahu aku. Aku akan minta Keena temankan aku,” terang Mohamad Salahuddin dengan tenang.
Ketika itu, Qistur Ruwaidah menjadi lega akan kata-kata lelaki itu. “Okey Din. Terima kasih sebab faham situasi kita sekarang.”
“Sama-sama. Tak ada masalah. Aku okey je. Oh ya. Sebenarnya, aku nak cakap sesuatu dengan kau. Qist… Pasal gelaran ‘aku-kau’ ni, boleh tak kalau kita guna panggilan lain? Sebab aku rasa kita masih macam kawan kelas. Satu lagi, aku rasa macam agak kasar,” ujar Mohamad Salahuddin.
Kelihatan Qistur Ruwaidah bermain dengan jari-jemarinya. Ah, lelaki itu tahu-tahu sahaja apa yang dia fikirkan berkenaan gelaran panggilan itu tadi. “Sebenarnya, aku pun rasa macam tu juga lepas aku puji lukisan kau tadi. Aku rasa lain. Betullah cakap kau. Bunyi macam kasar. Sedangkan, aku dah terima lamaran kau,” balas Qistur Ruwaidah.
“Kalau kita guna nama panggilan, okey tak?”
“Maksud kau, ‘Qist-Din’?”
“Haah… Tapi kalau kau rasa macam tak boleh, boleh guna ‘saya-awak’.”
“Okey je kut guna nama panggilan tapi… Kau mulakan dulu. Kalau aku mulakan dulu, mungkin tahun depan baru boleh.”
Mohamad Salahuddin tergelak kecil tatkala mendengar ayat terakhir gadis itu. “Okey. Emm… A… Ak… Err… D… Din mulakan. Isy, macam tak boleh je!”
Qistur Ruwaidah juga tergelak kecil. Aduhai… “Cuba lagi. K… Ka… Eh! D… Din boleh. Alamak… Betullah cakap kau!”
Akhirnya, sama-sama tertawa kecil. Bunga-bunga perasaan jiwa mula berputik di dasar hati Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin.
“Tak apa. D… Din cuba lagi. Fuh, boleh pun!” balas Mohamad Salahuddin seraya tersenyum kecil. Kelihatan perempuan itu juga tersenyum kepadanya.
Sambung Mohamad Salahuddin lagi… “Okey, kali ni kita serius. Qist… Sebenarnya, Din nak cakap terima kasih sebab Qist sudi terima lamaran Din dan percayakan Din. Din tak tahu nak cakap macam mana sebab Din rasa macam mimpi.”
Barulah lelaki itu merasakan bahawa Qistur Ruwaidah akan menjadi insan terpenting dalam hidupnya setelah dia menukar nama panggilan itu.
Kali ini, giliran Qistur Ruwaidah pula cuba menggunakan nama panggilan itu seperti yang dia lakukan kepada beberapa orang kenalan perempuannya. “Sama-sama D… Din. Sepatutnya, Q… Qist yang kena cakap terima kasih sebab Din sudi pilih Qist.”
Benarlah apa yang dirasai oleh Qistur Ruwaidah setelah nama panggilan tersebut telah ditukar. Terasa Mohamad Salahuddin merupakan seseorang yang akan menjadi istimewa dalam kehidupannya selepas ini.
“Sama-sama Qist. Okey je kita guna nama panggilan ni, kan?” ujar Mohamad Salahuddin.
Qistur Ruwaidah mengangguk. “Rasanya okey je. Emm Din… Sebelum tu, Qist nak minta maaf kat Din.”
“Eh, kenapa tiba-tiba Qist nak minta maaf kat Din pula!”
“Qist rasa macam Qist mempermainkan perasaan Din pula dulu bila Qist cakap kat Din, Qist masih tak boleh move on dengan Azim masa semester lepas. Qist rasa kejam pula.”
Tatkala itu, Qistur Ruwaidah menyedari bahawa dia tidak mahu kehilangan lelaki sebaik Mohamad Salahuddin selepas Sufi Waazin telah pergi buat selama-lamanya. Baru dia menyedari juga bahawa Mohamad Salahuddin merupakan bayangan Sufi Waazin yang suka membantunya dan tidak boleh melihat dirinya susah serta sanggup berkorban apa sahaja untuk dirinya.
Juga, Mohamad Salahuddin sanggup menadah telinga untuk mendengar apa jua celotehnya. Alangkah bodohnya dia baru menyedari semua itu dalam tempoh dia melakukan penilaian terhadap jejaka tersebut selama tiga bulan ini. Baginya, dia amat kejam. Mohamad Salahuddin terlalu baik dan cukup bersabar. Kini, dia bersyukur dengan penerimaan lamaran yang diberikan oleh dirinya buat lelaki itu.
Cepat-cepat Mohamad Salahuddin menggelengkan kepalanya. “Taklah Qist. Jangan rasa macam tu. Din tak ambil hati pun. Lagipun, Din fahamlah masa tu Qist masih ada perasaan kat dia. Tak apa. Tu kisah lalu. Sekarang, Qist pun dah terima lamaran Din. Kita fokus untuk hubungan kita je sekarang.”
Qistur Ruwaidah mengangguk. Dirinya menjadi lega. Betapa baiknya lelaki itu! “Sekali lagi, Qist minta maaf tahu pasal tu.”
Mohamad Salahuddin menghadiahkan senyuman. “Tak ada apalah, Qist. Oh ya. Pasal keluarga Din nak jumpa Qist nanti… Insya-Allah mungkin dalam minggu depan, keluarga Din akan datang rumah Qist. Din pun nak perkenalkan mak ayah Din kat Qist. Satu lagi, mesti Qist dah rindu Keena budak becok tu, kan?”
Wajah Qistur Ruwaidah berubah sedikit ceria tatkala lelaki itu menyebut nama Sakeenah. “Eh, yalah! Ya Allah… Rindunya kat Keena. Tak sabar nak jumpa dia. Tak sabar juga nak jumpa mak ayah Din tapi tulah… Qist takut… Debar…”
“Insya-Allah mak ayah Din okey je. Qist jangan risau. Mak ayah dah lama restu. Pasal perjumpaan kita nanti, Din akan maklumkan kat Abang Suhaib. Emm Qist… Boleh Din tanya sesuatu kat Qist sebelum kita berpisah lepas ni?”
“Boleh je. Tanyalah.”
“Din nak tahu… Emm… Kenapa Qist pilih Din? Bukan Azim?”
Qistur Ruwaidah tersenyum kecil. “Boleh tak Qist jawab soalan Din tu lepas kahwin nanti?”
“Eh! Laa… Rahsia rupanya! Okeylah macam tu. Din tuntut jawapan daripada Qist nanti.”
“Haah… Rahsia dulu. Bila dah sampai masa, insya-Allah Qist akan cakap. Din jangan risau tahu tapi kalau Qist terlupa, Din ingatkanlah Qist.”
Mohamad Salahuddin membalas senyuman gadis itu. “Okey. Emm… Jomlah pergi kat Abang Suhaib balik. Tak sedap pula kalau kita borak lama sangat. Din pun nak balik mahallah dah. Nak kemas barang. Lepas solat zuhur nanti, Din terus bertolak ke Bangi.”
“’Ah, okey Din. Jom.”
Lalu, mereka berdua menuju ke arah Suhaibul Umar kembali. Kedengaran alunan suara Suhaibul Umar sedang menuturkan kalamullah menerusi telefon pintarnya.
“Abang Suhaib…” panggil Qistur Ruwaidah.
Lafaz ‘Benarlah Allah Yang Maha Agung’ itu diucapkan oleh Suhaibul Umar. “Dah siap borak?” soalnya.
“Alhamdulillah. Dah abang. Terima kasih sebab bagi izin kat Din sembang dengan Qist sekejap. Lepas ni, Din pun nak balik Bangi dah. Apa-apa nanti, Din akan hubungi abang,” terang Suhaibul Umar.
“Sama-sama Din. Okey Din. Kalau Din rasa nak cakap apa-apa dengan abang nanti, cakap je tahu. Jangan takut. Bukannya abang nak makan Din,” balas Suhaibul Umar seraya tersengih kecil.
Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin tertawa kecil.
“Okey abang. Insya-Allah,” balas Mohamad Salahuddin seraya berjabat tangan dengan Suhaibul Umar.
Tidak lama kemudian, Mohamad Salahuddin mengangkat tangannya kepada dua beradik itu sebelum dia menghilangkan diri. Dalam hatinya, dia mengharapkan agar Qistur Ruwaidah dan Suhaibul Umar akan menjadi sebahagian daripada keluarganya tanpa sebarang halangan.
Selepas Mohamad Salahuddin menghilangkan diri, Suhaibul Umar tersenyum ke arah adiknya. “Adik…” panggilnya.
“Ya abang?” respons Qistur Ruwaidah.
“Adik rasa macam mana sekarang lepas adik dah terima lamaran Din?”
“Alhamdulillah. Adik rasa lega dah sebab adik dah tak buat Din dan Azim tertanya-tanya lagi pasal keputusan adik. Pasal Din pun, adik rasa gembira sebab penantian dia kat adik selama ni dah terbalas,” balas Qistur Ruwaidah. Lalu, dia tersenyum sewaktu dia menyebut berkenaan Mohamad Salahuddin itu.
Tatkala itu, Suhaibul Umar terperasan riak wajah adiknya menjadi sangat ceria. Tahulah dia bahawa lelaki itu telah memberikan sinar kebahagiaan buat adiknya. Dia mendoakan agar urusan adiknya dan Mohamad Salahuddin dipermudahkan untuk fasa yang seterusnya.
“Kalau macam tu, alhamdulillah. Abang pun jadi lega dengan adik. Emm adik… Boleh abang tanya sesuatu pasal lamaran adik?” ujarnya.
“Tanyalah,” balas Qistur Ruwaidah.
Lelaki itu terdiam seketika.
USAI Abdul Azim berhubung dengan ibu bapa tercinta di bangku yang tersedia di Perpustakaan Dar Al-Hikmah setelah dia memaklumkan keputusan Qistur Ruwaidah, dia meninggalkan bangku tersebut dan menghala ke arah masjid yang menjadi kebanggaan warga Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), iaitu Masjid Sultan Haji Ahmad Shah (Masjid SHAS).
‘Okey juga kalau aku lepak kat masjid sekejap. Lepas solat zuhur, aku balik mahallah nak kemas barang. Esok, aku balik Johor. Eh, tapi balik Johor lepas solat asar ni pun okey juga. Mana-manalah, kan. Janji bukan lusa. Tak sabarnya nak jumpa bonda baba. Rindu!’ bisik hati Abdul Azim.
Masjid SHAS… Sebuah tempat yang boleh menenangkan kalbu ketika ini. Betapa dia ingin mengadu pada Maha Kuasa akan apa yang dirasai olehnya kini walaupun dia tahu, Allah Maha Mengetahui akan segala isi hatinya itu. Lantas, dia teringat bahawa dia masih belum menunaikan solat sunat duha. Langkahnya dipercepatkan ke tempat suci itu.
Tanpa melengahkan masa, dia segera menanggalkan kasut kanvasnya. Lalu, dia menyarung selipar untuk mengambil wuduk. Tempat wuduk berada di luar kawasan masjid.
Di saat dia mengambil wuduk, jiwanya berasa amat tenang. Tiada apa yang mampu dia ucapkan kini melainkan ucapan ‘hamdallah’. Perasaan kecewanya sedikit berkurangan. Usai dia membaca doa selepas wuduk, dia terserempak dengan rakan sebiliknya.
“Azhar, Sya!” tegur Abdul Azim.
“Eh, Azim! Bukan kau patut jumpa Qist ke?” ujar Muhammad Syarafuddin.
“Haah… Baru je lepas jumpa dia tadi. Ni aku nak solat duha sekejap,” balas Abdul Azim seraya tersenyum. Senyuman hambar.
“Macam mana keputusan Qist?” soal Amirul Azhar.
Soalan Amirul Azhar itu membuatkan Abdul Azim tersentak seketika, namun dia cuba memberikan reaksi normal. “Aku nak pergi solat dulu. Nantilah aku beritahu kau orang.”
Gelora jiwa Abdul Azim menjadi runtun kembali tatkala dia ditanya soalan sedemikian, namun dia tahu kawan-kawannya itu tidak bersalah pun. Mestilah mereka berdua mahu mengetahui setelah dia memaklumkan bahawa Mohamad Salahuddin juga turut melamar Qistur Ruwaidah.
Sungguh, dia mula menyesal akan tindakannya selama ini. Mawar yang ingin dipetik oleh dirinya bakal menjadi hak milik orang lain. Perasaan itu menjadi amat sakit dan bertambah sakit. Dia mula mengejek dirinya sendiri. ‘Azim, terimalah padahnya! Memang kau bodoh. Konon je cakap tak ada apa-apa perasaan kat Qist dulu. Padan mukalah Qist dah tolak lamaran kau. Padan muka! Padan muka!’
Sungguh, hatinya dihiris-hiris.
“Okey Azim. Kau solatlah dulu. Kita orang boleh tunggu kau,” balas Amirul Azhar.
Sesampai tiga sahabat itu di dalam masjid, Amirul Azhar dan Muhammad Syarafuddin melabuhkan punggung tidak jauh dari tempat Abdul Azim menuaikan solat. Pada asalnya, niat mereka berdua mahu mengulang kaji bagi peperiksaan seterusnya di tempat lain.
Namun, menyaksikan riak wajah Abdul Azim seperti menyimpan kesedihan yang begitu mendalam di sebalik senyuman lelaki itu tadi, niat mereka berdua terbantut seketika.
Pandangan Abdul Azim mula menghadap tempat sujud. Dirinya terasa kerdil untuk bertemu dengan Yang Maha Satu. Hanya Allah sahaja yang mengetahui tahap kekecewaan jiwanya. Moga perjumpaan bersama Sang Pencipta ini dapat mengurangkan kesedihannya. Dia yakin bahawa Allah sebaik-baik Maha Perancang. Semuanya bersebab. Dia yakin.
“Allahu Akbar,” ucapnya sambil kedua-dua tangannya mula mengangkat takbir.
Amirul Azhar dan Muhammad Syarafuddin berbicara dengan nada perlahan sementara menunggu sahabat mereka itu usai solat.
“Sya, kau tengok muka Azim tadi. Nampak sedih walaupun dia senyum. Cara dia tegur pun tak ceria macam biasa. Satu lagi, aku tak pernah tengok dia macam tu. Kalau tugasan dia kena tolak dengan pensyarah pun, dia selamba je. Siap boleh gelak sakan lagi,” ujar Amirul Azhar.
“Hmm… Aku perasan je tadi tapi biasalah… Macam kau tak kenal Azim. Dia takkan tunjuk kalau dia sedih. Emm… Aku rasa lamaran dia kena tolak,” Muhammad Syarafuddin menyerkap jarang.
“Aku pun rasa macam tu tapi tak apa… Kita tunggu jawapan dia sekejap lagi.”
Mereka berdua membisukan diri sementara menunggu Abdul Azim usai menunaikan solat sunat tersebut.
Setelah Abdul Azim usai menunaikan solat sunat duha, dia mula berwirid dan bertafakur. Nama-nama Allah Yang Maha Agung dipuji dengan penuh rasa rendah diri dalam kalbunya sehingga dia tidak mampu membendung rasa kecewa berkenaan peristiwa di Kafe The Grill tadi. Air mata mula menemani dirinya.
‘Agaknya macam nilah perasaan Qist dulu bila dia baca respons aku lepas dia luahkan perasaan kat Fac dulu. Aku tahu tak ada guna lagi aku nak menyesal, Qist pun dah pilih Din. Dia orang pun bakal ke fasa seterusnya. Aku tak patut rasa macam ni,’ bisik hatinya.
Setelah dia puas berbicara dengan Maha Pencipta dan berasa tenang sedikit, akhirnya dia mengukir senyuman hambar bagi mengurangkan rasa kesakitan kalbu itu. Dia tahu Amirul Azhar dan Muhammad Syarafuddin sedang menunggu jawapan Qistur Ruwaidah berkenaan lamarannya. Sekuat hatinya, dia perlu kental untuk memaklumkan keputusan gadis itu kepada dua orang sahabatnya itu.
Akhirnya, Abdul Azim menghampiri kedua-dua orang siswa itu. Lalu, dilabuhkan punggungnya. “Lama ke kau orang tunggu aku?”
“Tak lama pun. Okey je. Kau okey tak, Azim? Nampak sedih,” soal Muhammad Syarafuddin.
Abdul Azim mengukir senyuman. Dia perlu kuat! “Alhamdulillah aku okey je. Emm… Pasal lamaran Qist tu… Emm… Dia pilih Din,” balasnya dengan reaksi normal. Dalam hati, siapa tahu?
Amirul Azhar dan Muhammad Syarafuddin berpandangan sesama mereka. Tergamam seketika. Akan tetapi, apabila mereka menyaksikan riak wajah Abdul Azim, nampak sahabat mereka itu seperti tenang sahaja.
“Betul ke ni kau okey? Kau tak sedih pun,” soal Muhammad Syarafuddin.
Abdul Azim menghamburkan tawa hambarnya itu. “Kau ni, Sya. Ingat ni drama pukul 7.00 malam ke? Watak lelaki menangis meroyan tak dunia? Aku okey je. Macam nilah… Tipulah kalau aku cakap aku tak kecewa. Mestilah aku kecewa tapi nak buat macam mana, kan? Aku tak ada jodoh dengan dia. Aku pun harap supaya aku tak kecewa lama sangat.”
Meskipun Abdul Azim kelihatan sangat tenang, namun melalui intonasi suaranya tetap menggambarkan kekecewaan dalam ketenangan itu.
“Azim… Susah macam mana pun apa yang kau tengah rasa sekarang, kita orang tetap ada untuk kau. Kau ingat ayat ni. Dalam Surah al-Taubah, ayat 40, Allah berfirman ‘…Janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita’,” ujar Amirul Azhar. Sejujurnya, dia pun tiada ayat yang mampu menyenangi hati Abdul Azim pada ketika ini.
“Insya-Allah. Aku akan sentiasa pegang ayat tu. Terima kasih Sya, Azhar. Kau orang ada waktu susah senang aku. Aku hargai,” ucap Abdul Azim dengan nada sebak.
“Sama-sama Azim. Tak ada hallah. Kau pun selalu ada untuk aku. Eloklah kau balik Johor cepat-cepat. Lagi-lagi, kau pun dah selesai semua peperiksaan. Sekurang-kurangnya, kau boleh ambil masa nak rawat hati kau. Bonda baba pun akan ada untuk kau. Memang kau kecewa sebab lamaran kau kena tolak tapi kau masih ada bonda baba yang selalu sokong kau,” pujuk Amirul Azhar.
“Sama-sama juga, Azim. Betul cakap Azhar. Kau masih ada bonda baba. Bonda baba sayang sangat kat kau. Apa dah jadi dengan keputusan Qist tu, insya-Allah ada hikmah lain Allah nak tunjuk kat kau. Cumanya, lambat atau cepat je. Moga Allah gantikan kekecewaan kau dengan sesuatu kegembiraan yang tak disangka-sangka. Insya-Allah. Allah tak kejam, Azim,” ujar Muhammad Syarafuddin.
“Insya-Allah. Aku pun bersangka baik jelah pasal lamaran kena tolak ni. Pasal nak balik Johor tu, memang aku pelan macam nak balik lepas zuhur atau lepas asar sekejap lagi. Emm… Kalau kau orang nak studi kat tempat lain, baik kau orang pergi sekarang. Aku rasa macam lama lagi nak lepak kat sini,” kata Abdul Azim.
“Tak apa, Azim. Kita orang studi kat masjid ni pun okey juga. Tiba-tiba aku macam malas nak studi kat KAED sana. Ikutkan, aku dan Sya nak belajar kat sana,” kata Amirul Azhar.
“Haah… Aku pun macam malas nak pergi KAED. Okey je kita orang belajar kat sini,” balas Muhammad Syarafuddin.
Tiba-tiba telefon pintar Abdul Azim bergegar dengan menandakan bahawa dia menerima mesej whatsapp daripada seseorang. Lalu, dia mengeluarkan telefon pintar dari kocek seluarnya.
Abang Suhaib (AAD)
“Kau orang studilah ya. Aku nak balas whatsapp Abang Suhaib,” kata Abdul Azim.
“Okey Azim,” balas Amirul Azhar dan Muhammad Syarafuddin sambil mengeluarkan komputer riba, buku serta nota masing-masing dari beg galas. Kelihatan mereka berdua begitu fokus dan komited dengan sesi ulang kaji tersebut.
Jari-jemari Abdul Azim ligat membalas perbualan maya bersama sahabat baiknya itu.
WhatsApp Suhaibul Umar:
Azim okey? Abang risau.
WhatsApp Abdul Azim:
Kalau Azim cakap okey, tipulah, kan? Sejujurnya, memang Azim kecewa tapi Azim pun tak naklah layan sangat. Lumrahlah setiap orang ada rasa kecewa, kan? Lagipun, Azim pun bersalah juga sebab Azim ego dengan perasaan Azim kat Qist masa CFS dulu. Nak menyesal pun dah tak guna.
Emm… Azim dah cuba buat yang terbaik pikat hati Qist masa ijazah ni tapi mesti Din dah buat sesuatu lagi baik daripada Azim sampai Qist pilih Din. Sebenarnya, Azim nak tahu juga jawapan Qist kenapa dia tolak lamaran Azim. Din ada pula tadi. Tak sedaplah, kan.
WhatsApp Suhaibul Umar:
Jangan rasa macam tu, Azim. Pada abang, Azim tak salah pun sebab peristiwa tu terjadi masa kau orang kat CFS. Apa yang Azim respons kat adik abang dulu tu dah betul. Azim tak nak fikir lagi masa tu tapi nak buat macam mana, kan? Dah tertulis hati Qist untuk Din.
Abang sendiri pun bagi pilihan kat dia dan abang tak paksa dia supaya dia terima Azim walaupun Azim kawan baik abang. Macam dia cakap tadi, dia ada risik pasal Azim kat abang. Sebenarnya, abang pun baru je tahu jawapan dia tadi kenapa dia pilih Din. Memang dia minta abang beritahu kat Azim.
Cumanya… Pasal tadi, apa pun keputusan dia, abang setuju je. Abang takkan paksa dia.
WhatsApp Abdul Azim:
Azim tahu. Betullah cakap abang tu. Hak Qist nak pilih siapa. Bukannya Azim boleh paksa dia. Azim pun tahu abang sokong je apa yang Qist buat. Azim faham je. Bila Azim muhasabah diri Azim tadi, Azim sedar… Azim ada banyak kekurangan yang perlu Azim perbaiki. Mesti Din ada kelebihan yang hebat sampai Qist tertarik kat dia.
Pasal jawapan Qist tolak lamaran Azim tu, Azim tanya lain kali jelah. Buat masa ni, Azim tak nak fikir lagi. Bila Azim rasa Azim dah cukup okey, Azim akan tanya balik kat abang nanti.
Azim ingat je abang pernah pesan sesuatu kat Azim dulu. Kalau Azim cintakan Qist, doakan kebahagiaan dia. Pasal tu, Azim sentiasa doakan dia. Azim mengaku. Azim cintakan Qist dan dia cinta pertama Azim tapi Azim sedar, Azim dah tak boleh nak buat apa-apa. Qist pilih Din.
Nak move on daripada Qist, memanglah ambil masa tapi Azim percaya… Satu hari nanti, Azim mampu walaupun tak mudah tapi nak lupakan Qist tu, mustahillah, kan? Dia pernah jadi kawan kelas Azim dan Azim pula jadi kawan baik abang.
Suhaibul Umar tersentak akan pengakuan cinta sahabat baiknya itu. Adiknya merupakan cinta pertama lelaki itu? Aduh, sakit!
Walaupun dia tidak pernah mengalami situasi sedemikian, namun dia mempunyai beberapa kenalan yang pernah kecewa kerana cinta dan ditolak lamaran seperti Abdul Azim. Jadi, dia mengerti. Namun, apa yang dia boleh lakukan untuk sahabat baiknya itu? Tiada apa. Keputusan Qistur Ruwaidah sudah muktamad.
WhatsApp Suhaibul Umar:
Emm Azim… Abang tak ada kata-kata terbaik nak bagi kat Azim. Cuma, abang boleh cakap, Azim kena kuat dan sabar dengan apa yang Azim lalui sekarang.
Abang tahu Azim kental. Abang doakan semoga Azim cepat-cepat bangkit. Cuti semester ni, Azim buatlah apa-apa aktiviti macam bercuti kat pulau ke.
Cuma, abang minta maaflah abang tak dapat nak lepak dengan Azim untuk cuti semester ni sebab abang nak kena buat persediaan untuk majlis adik abang.
WhatsApp Abdul Azim:
Tak apa. Apa yang abang cakap tadi pun, Azim okey je. Tinggal nak cari semangat balik.
Pelan Azim cuti semester ni, memang nak pergi bercuti. Kalau tak bercuti kat pulau pun, Azim rasa macam nak bercuti kat luar negara. Pusing satu Eropah ke, kan? Seronok juga.
Oh, betullah juga abang tak dapat nak lepak dengan Azim. Abang pun sibuk nak uruskan pasal adik abang nanti. Okey, moga dipermudahkan.
WhatsApp Suhaibul Umar:
Betul. Azim pun pernah cakap kat abang, Azim teringin nak pergi Eropah. Okey juga tu. Insya-Allah. Azim doakan semuanya berjalan lancar ya. Azim ada kat mana tu?
WhatsApp Abdul Azim:
Insya-Allah! Emm… Azim ada kat masjid sekarang. Azim ingat lepas solat zuhur atau asar nanti, Azim nak balik Johor terus. Ni pun tengah tunggu azan zuhur. Sya dan Azhar pun ada je kat sini. Tengah studi. Kebetulan kita orang terserempak. Abang jangan risau.
WhatsApp Suhaibul Umar:
Okey. Kalau macam tu, tak apa ke abang tak pergi jumpa Azim ni? Kutlah Azim ada nak cakap apa-apa lagi kalau abang ada dengan Azim sekarang.
WhatsApp Abdul Azim:
Eh, tak apa abang! Insya-Allah Azim okey. Abang baliklah. Jangan risau.
Seusai sahaja Abdul Azim berhubung dengan sahabat baiknya itu, dia memasukkan telefon pintarnya kembali ke dalam kocek seluar khakis. Kelihatan dua orang sahabatnya sedang ralit memerhati sesuatu pada skrin komputer riba milik Amirul Azhar.
“Woi, kau orang! Khusyuknya studi. Macam nak studi strategi lawan musuh pula,” seloroh Abdul Azim.
“Tak studi lagi pun. Aku dan Sya sengaja buka laman web Butik Kuraudo kegemaran kau. Kau tahu Azim… Kuraudo buat promosi ‘kaw-kaw’ punya. Baju kasual yang kau selalu pakai pergi kelas, harga asal RM120. Sekarang ni, sehelai RM50 je. Kalau kau beli dua helai, jadi RM40 sehelai,” beritahu Amirul Azhar.
Abdul Azim memandang Amirul Azhar. Heavy breathing...
“Sekejap! RM50 je? Isy, tak boleh jadi ni! Aku kena beli sekarang juga!” ujar Abdul Azim dengan teruja seraya terus menghadap skrin komputer riba milik Amirul Azhar. Memang dia suka membeli baju kasual di butik terkemuka tersebut. Isu duit bukan menjadi masalah buat dirinya. Petik jari sahaja.
Amirul Azhar dan Muhammad Syarafuddin tersengih memerhatikan gelagat Abdul Azim itu. Dalam hati, mereka berdua tahu bahawa lelaki itu sedang cuba bangkit dari kekecewaan dan kesedihan yang ranap dalam kalbunya itu.
“Nampaknya kau dan Kuraudo tak boleh nak berpisah dari CFS lagi,” seloroh Muhammad Syarafuddin.
“Mestilah. Koleksi baju Kuraudo semua padu. Kualiti hebat dan sedap pakai. Mana aku toleh kat kedai lain dah. Sebenarnya, kalau aku ada jodoh dengan dia, memang niat aku nak tempah atau sewa baju kahwin kat Kuraudo tapi tulah… Nak buat macam mana, kan? Dah aku tak ada jodoh dengan dia,” balas Abdul Azim.
Kedengaran intonasi lelaki itu semakin kecewa walaupun riak wajahnya kosong. Dia tidak sanggup lagi untuk menyebut nama Qistur Ruwaidah. Pengakhiran kisah perasaan yang cukup menyakitkan buat seorang Abdul Azim.
Amirul Azhar dan Muhammad Syarafuddin terus terdiam seketika. Namun, mereka berdua membiarkan lelaki itu ralit memerhatikan skrin. Abdul Azim begitu seronok menekan beberapa helai baju untuk dimasukkan ke dalam troli beli-belah (shopping cart).
Setelah Abdul Azim berpuas hati dengan beberapa koleksi pakaian kasual yang dipilih olehnya, dia melakukan pembayaran secara dalam talian. Sebuah senyuman terukir di bibirnya. “Okey! Aku dah siap beli,” ujarnya dengan penuh ceria.
Amirul Azhar menyaksikan jumlah pakaian yang dibeli oleh Abdul Azim. “Uish! Kau beli lapan helai? Biar betul!”
“Laa… Kalau aku beli dua helai, sehelai jatuh RM40. Aku belilah lapan helai. Bukan untuk aku seorang je. Aku belikan untuk kau orang juga. Semester depan aku bagi.”
“Eh, Azim! Apa kau ni! Susah-susah je,” kata Muhammad Syarafuddin dengan nada terkejut.
“Susah apanya, Sya? Senang je. Aku bayar kat dalam talian. Bukannya kena pergi mesin ATM,” seloroh Abdul Azim.
Amirul Azhar dan Muhammad Syarafuddin menggelengkan kepala. Sudah banyak kali Abdul Azim membelanjai mereka berdua. Walaupun mereka tahu Abdul Azim merupakan anak orang berada yang tidak terjangkau dek akal dan tidak luak pun duitnya itu serta mempunyai bisnes sendiri pula, namun mereka tetap rasa serba salah kerana mereka jarang menghadiahkan sesuatu buat siswa itu.
“Bukan apa, Azim… Kau dah belanja kita orang banyak kali. Kita orang jarang sangat nak belanja atau bagi kau apa-apa,” luah Amirul Azhar.
“Tak apa, Azhar. Aku tak kisah pun. Aku seronok belanja kau orang. Aku tak minta lain. Aku minta kau orang doakan supaya aku murah rezeki dan bisnes aku makin laku,” balas Abdul Azim dengan senyuman. Memang dia tidak lokek dengan senyuman.
“Insya-Allah,” ucap Muhammad Syarafuddin dan Amirul Azhar.
Sebuah doa dititipkan oleh dua orang sahabat itu agar Abdul Azim diberikan ketabahan di atas penolakan lamaran tersebut.
LAMUNAN Suhaibul Umar mula menguasai dirinya setelah keretanya diparkir di kawasan Mahallah (Kolej kediaman) Al-Faruq setelah dia menghantar adiknya ke Mahallah Salahuddin Al-Ayubi tadi. Enjin kereta masih belum dimatikan. Dia teringatkan Abdul Azim yang sedang berada di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah (Masjid SHAS) sekarang.
Sebenarnya, dia agak risau dengan keadaan sahabat baiknya itu dari cara ayat yang dikarang oleh Abdul Azim menerusi WhatsApp, namun memandangkan Amirul Azhar dan Muhammad Syarafuddin sedang bersama dengan Abdul Azim, rasa risaunya berkurangan sedikit. Namun begitu, dia tahu sahabat baiknya itu seorang yang cukup kuat.
Fikirannya terimbau kembali berkenaan perjumpaan di Kafe The Grill tadi. Setelah Mohamad Salahuddin hilang dari pandangan dia dan adiknya, dia bertanya sesuatu kepada adiknya.
“Emm adik… Boleh abang tanya sesuatu pasal lamaran adik?” soal Suhaibul Umar.
“Tanyalah,” balas Qistur Ruwaidah.
Suhaibul Umar terdiam seketika.
“Boleh abang tahu kenapa adik pilih Din? Adik jangan ingat abang tak suka kat Din pula. Cuma, abang tertanya. Dulu, adik pernah luahkan perasaan kat Azim tapi Azim tolak perasaan adik. Bila Azim dah lamar adik, adik tolak lamaran dia pula. Adik nak balas dendam ke apa?” ujar Suhaibul Umar.
Qistur Ruwaidah tersengih mendengar ayat terakhir abangnya itu. “Isy, abang ni! Ada ke pula adik nak balas dendam kat Azim. Taklah. Kalau adik nak balas dendam, baik adik tolak terus lamaran dia masa dia datang rumah kita dulu.”
Namun, dia terdiam seketika. Dia perlu memaklumkan kepada abangnya secara berhemah biarpun dia tahu dia akan beremosi sekejap lagi untuk disampaikan kepada Abdul Azim nanti. Lelaki itu berhak tahu jawapan penolakan lamarannya meskipun pahit.
“Abang… Memang betul adik pernah suka kat Azim tapi abang pun tahu hati manusia ni boleh berubah. Bukan sebab adik benci atau nak balas dendam kat Azim sebab dia pernah tolak perasaan adik dulu. Bukan…” ujar Qistur Ruwaidah. Lalu, dia membisukan dirinya seketika.
“Cuma, hati adik dah terpaut dengan kebaikan, usaha dan kesungguhan Din sejak kali pertama kita orang terjumpa balik kat UIA Gombak ni tapi adik tak nampak lagi masa tu. Lepas Din lamar adik, barulah adik faham dengan tindakan-tindakan dia dulu. Dia tak pernah putus asa untuk adik dalam diam. Satu lagi, adik pernah nampak sendiri cara Din layan adik dia. Dia sayang sangat kat adik dia. Din tak pernah berkira untuk adik, sama macam abang. Insya-Allah, adik percaya Din pun akan buat yang sama kat adik bila adik kahwin dengan dia nanti.”
Qistur Ruwaidah menyambung lagi bicaranya. “Pasal Azim pula, apa yang adik akan beritahu ni, abang boleh rakam suara. Nanti abang hantarlah rakaman suara adik ni kat Azim. Adik tahu dia nakkan penjelasan adik.”
Suhaibul Umar mengangguk, lalu dia menekan aplikasi ‘Recorder’ yang terdapat dalam telefon pintarnya. Butang perakam itu ditekan. “Okey adik. Adik luahkan je apa yang adik nak beritahu kat Azim,” ujarnya sebagai permulaan bicara bagi rakaman suara itu.
“Emm… Adik tak nafikan, Azim tu baik. Cuma, dia kurang usaha dari segi nak pikat adik. Memang betul dia ada belanja kita makan dulu dan tu salah satu taktik dia nak pikat adik tapi sekali tu jelah, dia berusaha untuk adik. Maaf untuk adik cakap ni tapi adik rasa dia tak berapa serius. Lagi-lagi dia pernah tolak perasaan adik…”
“Ya, salah adik juga sebab pergi luahkan tapi adik ingatkan masa tu… Dia suka kat adik sebab cara dia macam dia suka kat adik. Tu buat adik berani nak luahkan perasaan adik kat dia dengan harapan, manalah tahu dia suka kat adik, cuma, dia malu nak cakap dengan adik tapi… Dia cakap dia tak terfikir lagi nak luahkan perasaan kat siapa-siapa. Tak nak terjebak pasal cinta. Jadi, adik anggap, dia tak ada apa-apa perasaan kat adik…”
“Abang tahu… Adik ambil masa juga nak move on tapi susah. Bila tiba-tiba dia lamar adik, adik rasa macam… ‘Eh, apa ni! Dulu, kau cakap tak nak terjebak pasal cintalah, apalah… Tiba-tiba kau ada perasaan kat aku dan lamar aku!’. Adik rasa macam dipermainkan… Lagi-lagi, adik dah anggap dia tak ada apa-apa perasaan kat adik masa tu dan dia hanya anggap adik ni kawan dia je. Jadi, adik tak nak menaruh apa-apa harapan lagi lepas kita orang jumpa balik kat UIA Gombak ni…”
“Bagi adik, kalau dia suka kat adik, cakaplah suka. Jangan bagi harapan. Adik boleh tunggu. Satu lagi, bila masa entah dia tu ada perasaan kat adik, lagi adik musykil. Kalau dia suka adik dari CFS, lagilah adik kecewa. Sakit hati pun satu hal sebab betullah firasat adik pasal perasaan Azim kat adik dulu.”
“Kalau dia dah tahu macam tu, dia kenalah usaha lebih nak pikat hati adik balik. Buat jelah cara macam mana pun sebab adik dah pernah terluka dengan cara dia. Macam adik cakap tadi, setakat dia belanja… Satu lagi, dia tolong abang depan adik sekali tu je, masih belum cukup untuk adik dan Azim tak minta maaf pun pasal tindakan dia bagi harapan kat adik dulu. Adik tunggu je dia nak minta maaf pasal tu sepanjang adik pertimbangkan lamaran dia tapi tak ada. Dia minta maaf pasal lamaran yang dia bagi je. Adik kecewa…”
Suhaibul Umar masih tekun mendengar luahan hati adiknya berkenaan penolakan jawapan si adik itu terhadap Abdul Azim. Ternyata adiknya berasa amat kecewa dengan tindakan masa lalu Abdul Azim itu.
Sambung Qistur Ruwaidah lagi… “Memanglah Azim tu anak orang kaya, orang kaya tak masuk akal sampai adik rasa, adik tak boleh kut nak hidup mewah macam tu kalau adik pilih dia. Orang cakap apa… Ha, tak sekufu! Pada adik, Azim lagi sesuai dengan perempuan yang sekufu dan setaraf dengan dia. Pasal dia jenis tak tinggal qiamullail dan kaki masjid, adik kagum sangat. Cuma, tulah… Emm… Hati adik dah tak rasa apa-apa kat Azim. Lama-lama adik sedar, Azim tu ego…”
“Kalau Azim minta maaf pasal peristiwa tu, mungkin adik tak ragu-ragu nak terima Azim tapi sekarang… adik jadi tawar hati. Adik cuma nak dengar dia minta maaf pasal tu je. Satu je adik nak tanya kat Azim… Kalau dia minta maaf, dia akan rasa ego dia tercalar ke? Maaf… Macam mana adik nak kahwin dengan dia kalau dia perangai macam tu? Adik tak nafikan, lelaki dan ego memang tak dapat dipisahkan tapi setahu adik, seorang lelaki akan sanggup rendahkan ego untuk minta maaf kat perempuan yang dia cinta. Dalam hal ni, adik tak rasa Azim cintakan adik…”
“Untuk Azim, sebelum aku akhirkan rakaman suara ni, aku minta maaf atas segala ketelanjuran kata-kata aku dalam rakaman ni tapi nilah apa yang aku rasa sepanjang aku buat penilaian pasal kau. Sekali lagi, aku minta maaf,” ujar Qistur Ruwaidah sambil memberikan isyarat agar abangnya menghentikan rakaman suara itu.
Lalu, Suhaibul Umar menghentikan rakaman suara tersebut. Barulah dia mengerti… Itu rupanya yang dinilai oleh adiknya. Adiknya hanya mahu mendengar ucapan maaf daripada sahabat baiknya. Dia memerhatikan wajah adiknya. “Adik okey?”
“Emm… Adik okey je. Abang rasa apa adik cakap tadi keterlaluan ke?” balas Qistur Ruwaidah.
“Macam mana abang nak cakap ya… Emm… Memang ada beberapa bahagian, bunyinya agak kasar dan menyakitkan tapi abang faham. Adik simpan perkara ni dah lama. Tak apalah. Sekurang-kurangnya, biarlah Azim tahu macam ni walaupun sakit. Abang tahu adik cuba cakap sebaik yang boleh.”
Qistur Ruwaidah mengangguk perlahan. Dia tidak mahu memikirkan lagi berkenaan Abdul Azim itu. Perasaannya terhadap jejaka itu sudah mati. Apa mahu jadi setelah lelaki itu mendengar rakaman suaranya nanti, lantaklah! Dia tidak mahu peduli lagi.
Jika Abdul Azim menganggap dia merupakan seorang yang kasar dan tidak pandai menjaga hati orang lain melalui kata-kata, dia sendiri sudah lama makan hati dan penat dengan tindakan lelaki itu.
Suhaibul Umar mula mengubah topik. “Okeylah, kita lupakan pasal Azim. Nanti buat adik makin stres pula. Lagipun, adik pun dah terima Din. Sebenarnya, abang rasa tak puas lagi. Cuba adik cerita… Apa lagi yang buat adik pilih Din?”
Wajah Qistur Ruwaidah terus berubah ceria tatkala abangnya menyebut berkenaan Mohamad Salahuddin. “Kenapa adik pilih Din? Emm… Sekejap… Ada tu, memang ada je…”
Akhirnya, gadis itu tersenyum lebar. “Adik pilih Din sebab tindakan Din dari awal-awal lagi nampak dia suka kat adik walaupun adik terlambat sedar. Lebih baik adik pilih orang yang nak kat adik daripada adik yang nak kat orang, kan? Lagi-lagi, dia dah jatuh hati kat adik dari kelas pertama Bahasa Inggeris kat CFS dulu. Apa je yang Din buat kat adik, adik teringat kat abang. Dia sangat penyayang. Gentleman. Tu faktor terbesar adik jatuh hati kat Din. Dia ada figura abang,” ujarnya.
Lantas, Suhaibul Umar mendakap Qistur Ruwaidah dengan erat bersama linangan air mata. Kini, dia mengerti betapa adiknya menjadikan dirinya sebagai idola dan memerhatikan Mohamad Salahuddin seperti dirinya.
Melalui penceritaan Qistur Ruwaidah, dia tidak meragui akan pilihan adiknya itu. Dia yakin Mohamad Salahuddin akan menjaga adiknya dengan baik dan penuh kasih sayang. Satu hari nanti, dia akan menjemput lelaki itu untuk bermalam di rumahnya bagi dia mengenali hati budi lelaki itu dengan lebih lanjut.
Berkenaan Abdul Azim pula, dia akan menerangkan secara baik selepas dia berkongsi rakaman suara tersebut supaya lelaki itu berlapang dada di atas jawapan adiknya nanti.
Meskipun begitu, Suhaibul Umar tidak berpihak kepada sesiapa.
Hati Qistur Ruwaidah menjadi sebak akan dakapan yang dihulurkan oleh Suhaibul Umar. Dia tidak tahu apakah yang sedang bertandang dalam kalbu abangnya itu sekarang.
Lalu, Suhaibul Umat meleraikan dakapan itu. Matanya merah.
“Abang… Kenapa menangis ni?” soal Qistur Ruwaidah. Sebak.
“Kalau ikut apa yang adik luahkan tadi, abang dah faham kenapa adik pilih Din dan tolak lamaran Azim. Insya-Allah, abang yakin dengan pilihan adik. Bila abang tahu kenapa adik pilih Din, abang jadi terharu sebab adik tetap tengok abang. Rupa-rupanya, adik harapkan bakal suami adik macam abang,” balas Suhaibul Umar, menahan sebak.
“Abang… Sampai bila-bila pun, abang tetap idola adik. Kalau baba hidup lagi, adik percaya, sifat abang ni ada kat baba. Selama ni, adik selalu doa supaya Allah hadirkan seorang lelaki macam abang. Alhamdulillah, doa adik dah termakbul dengan hadirnya Din, lelaki yang adik terlambat sedar dengan ketulusan hati dia sejak hari pertama kita orang jadi kawan kelas. Abang tolong doakan adik supaya urusan adik nak kahwin dengan Din nanti dipermudahkan.”
“Lepas abang dah tahu semua, abang gembira dan lega sebab adik tahu apa yang terbaik untuk diri adik. Insya-Allah, abang akan doakan urusan kahwin adik dan Din dipermudahkan. Jangan risau. Satu lagi, jangan lupa rapatkan hubungan adik dengan keluarga Din nanti tahu,” nasihat Suhaibul Umar selaku ketua keluarga.
“Insya-Allah. Emm abang… Adik nak ucap terima kasih sebab abang restu pilihan adik dan izinkan adik kahwin. Ikutkan adik rasa… Adik ambil keputusan nak kahwin ni awal juga. Satu lagi, terlalu awal juga abang akan lepaskan adik nanti.”
“Sama-sama adik. Tak apa. Soal umur adik nak kahwin, abang tak ada masalah pun sebagai wali adik. Lagipun, bukannya kita ada siapa-siapa dah. Kalau abang dah tak ada nanti, nak harapkan siapa lagi kalau bukan bakal suami adik.”
Qistur Ruwaidah meraih tangan abangnya seraya mengucup dengan penuh syahdu. Sebak. “Abang… Janganlah cakap perkataan ‘kalau’ tu. Demi Allah, abang tetap jatuh nombor satu dalam hati adik.
Suhaibul Umar ketawa kecil seraya mengusap pipi adiknya itu. “Alahai, adik ni… Sekarang, bolehlah adik cakap abang ni nombor satu. Lepas kahwin nanti, keutamaan adik kat suami adik. Adik kena ingat tu.”
Qistur Ruwaidah mengangguk faham. Tiba-tiba dia terasa sebak akan kata-kata abangnya itu. Betul juga cakap Suhaibul Umar. Selepas dia berkahwin nanti, dia wajib taat kepada suaminya pula. “Okey abang.”
“Macam tulah adik abang. Oh ya, adik. Sebelum abang terlupa, kita daftar keluar mahallah petang nanti. Pasal adik dan Din, kita bincang nanti. Abang nak kemas barang dulu. Dalam pukul 5.00 petang macam tu, abang ambil adik kat mahallah.”
Tatkala Suhaibul Umar teringat semula perbualan bersama adiknya tadi, dia mengukir senyuman. Dia tahu adiknya telah membuat pilihan terbaik berdasarkan solat sunat istikharah, menilai, mengikut naluri hati serta merisik daripada dirinya dan juga, adik Mohamad Salahuddin itu.
Sedarilah dia bahawa Qistur Ruwaidah sudah dewasa dan bakal menuju ke satu lagi fasa, iaitu alam rumah tangga. Selama ini, dia selalu ingat bahawa adiknya masih seorang kanak-kanak untuk dia melindungi sepenuh hatinya.
Suatu hari nanti, dia perlu melepaskan adiknya kepada Mohamad Salahuddin kelak dengan harapan lelaki itu akan mencintai dan menyayangi setulus hati sepertimana dia lakukan untuk adiknya itu.
Akhirnya, dia mematikan enjin kereta. Selepas ini, dia akan menyambung semula aktiviti mengemas bilik dan membawa pulang semua barang kerana dia sudah selesai pengajiannya sebagai pelajar ijazah. Tinggal keputusan diumumkan sahaja.
‘Insya-Allah, aku akan bergraduasi dengan jayanya dan berkonvokesyen bulan 11 nanti. Bolehlah aku fokus secara penuh untuk bisnes aku,’ bisik hati Suhaibul Umar.
USAI menunaikan solat asar, Abdul Azim mendaftar keluar dari mahallah, menandakan bahawa cuti semester untuk dirinya sudah pun bermula. Lalu, dia meninggalkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak dan pulang ke negeri asalnya di Segamat, Johor bersama kekecewaan yang amat mendalam.
Pada semester hadapan, dia mengharapkan bahawa dia sudah bangkit dari kekecewaan dan emosinya kembali normal. Dia tidak mahu menoleh ke belakang lagi. Juga, dia tidak mahu beranggapan bahawa hidupnya sudah berakhir seperti orang mati. Berkali-kali dia mengingatkan dirinya bahawa bunga bukan sekuntum. Masih ramai lagi ‘bunga’ yang baik. Bukan Qistur Ruwaidah sahaja ‘bunga’ yang mekar di bumi Allah ini.
Sewaktu dia mengelamun di kawasan kolam ikan hasil reka bentuknya itu, perasaannya terhadap Qistur Ruwaidah masih terperangkap dalam sanubarinya. Sukar untuk dia melepaskan perasannya itu kerana cinta pertama yang dia rasai terhadap gadis itu amat mendalam.
Dia juga ingin meleraikan rasa terseksa yang membelenggu dirinya seperti bebasnya ikan-ikan yang sedang menari ceria dan bergerak tanpa batasan. Bebas dan sebebasnya tanpa memikirkan lagi soal hatinya terhadap Qistur Ruwaidah meskipun sukar. Apatah lagi, dia bersahabat baik dengan abang perempuan itu. Mustahil untuk dia melupai gadis itu!
Peristiwa lamaran itu sudah berlalu selama tiga minggu. Bermakna, selama tiga minggu itu jugalah, hati Abdul Azim menjadi kacau-bilau hingga kini. Meskipun dia berjumpa Sang Pencipta pada setiap waktu dinihari, namun dia tetap sedih dan kecewa. Air mata tidak pernah gagal menemani jejaka itu.
Hatinya berbisik. ‘Ya Allah… Aku mohon agar perasaan aku terhadap Qistur Ruwaidah binti Isyraf Imrani dilepaskan dari kalbuku ini. Sampai bila aku perlu rasa macam ni? Aku tahu… Aku tak ditakdirkan untuk Qist. Bukan aku tak reda dengan keputusan dia, aku reda tapi aku masih gagal nak move on. Apa lagi cara yang aku boleh buat untuk move on daripada Qist?”
Tiba-tiba bahunya disentuh oleh seseorang. “Azim…” panggil seseorang di belakangnya.
Abdul Azim menoleh ke belakang. Kelihatan Encik Uthman dan Puan Tengku Aulia. “Eh, bonda, baba!” tegurnya bersama senyuman.
Ah, dia bagaikan terlupa bahawa dia masih mempunyai ibu bapa yang menyayangi dirinya dengan sepenuh hati! Rezeki yang Allah kurniakan buat dirinya.
“Masih rasa kecewa?” duga Puan Tengku Aulia.
Kepada Puan Tengku Aulia dan Encik Uthman, Abdul Azim telah memaklumkan bahawa lamarannya ditolak oleh Qistur Ruwaidah menerusi panggilan telefon sejurus sahaja dia beredar dari kafe tempoh hari. Pasangan itu masih ingat lagi sejurus sahaja mereka berdua mengetahui akan perkhabaran duka itu, mereka dapat merasakan nada Abdul Azim menjadi sebak dan mereka tahu anak bongsu itu cuba melindungi rasa sedihnya.
Walaupun Abdul Azim tidak menangis di hadapan ibu bapanya tetapi ibu bapanya tetap merasai kekecewaan dan kesedihannya. Lalu, anak muda itu tersenyum hambar. “Tipulah kalau Azim cakap, Azim dah okey, kan? Azim tengah cuba nak move on tapi susah.”
Dari senyuman hambar, wajahnya bertukar menjadi keruh.
“Tak apa, Azim. Normal untuk Azim rasa macam tu tapi bonda baba harap, Azim terus kuat. Jangan kecewa lama-lama. Kami risau kat Azim,’ luah Puan Tengku Aulia.
Abdul Azim mengangguk perlahan. “Insya-Allah. Azim pun tak naklah kecewa lama-lama macam ni. Azim ingat dalam dua minggu lagi, Azim nak pergi bercuti kat Eropah. Okey, kan?”
“Elok juga tu, Azim. Pusing satu dunia pun okey. Boleh Azim tenangkan fikiran, belajar budaya luar, tambahkan ilmu… Kalau macam tu, baba tempahkan tiket penerbangan dalam esok atau lusa. Nanti Azim cakaplah… Azim nak jelajah negara mana dulu. Mengembaralah tengok bumi Allah, Azim. Moga tu yang terbaik untuk Azim,” balas Encik Uthman.
Wajah Abdul Azim bertukar sedikit ceria. Satu dunia! Wah, memang salah satu impiannya juga! Nampaknya, bolehlah dia berada di luar negara dalam tempoh yang lama. Ayahnya juga telah memberikan lampu hijau untuk dia mengembara. “Wah, alhamdulillah! Terima kasih baba! Azim tak nak sia-siakan peluang ni!”
“Sama-sama. Azim… Boleh baba kongsikan sesuatu dengan Azim?” ujar Encik Uthman.
Abdul Azim mengangguk.
“Baba tak pernah cerita macam mana baba jumpa bonda, kan? Sebenarnya, baba pun pernah ada pengalaman putus cinta. Selain tu, baba pun pernah putus tunang sebelum baba jumpa bonda. Waktu tu, umur baba 20 tahun. Tipulah kalau hati baba tak hancur tapi baba cuba juga bangkit dengan cara sibukkan diri dalam persatuan sampailah baba ditakdirkan berjumpa dengan bonda dalam program anjuran seluruh universiti Malaysia…” cerita Encik Uthman.
Sambungnya lagi… “Bila baba terpandangkan bonda kali pertama waktu tu, baba rasa bondalah jodoh baba. Baba pun tak tahu kenapa.”
Puan Tengku Aulia sudah tersengih malu apabila suaminya membangkitkan semula kisah percintaan mereka berdua dahulu.
Abdul Azim begitu tekun mendengar kisah cinta ibu bapanya itu. Menarik! “Lepas tu, apa jadi baba?”
“Sepanjang program tu berlangsung, baba tak boleh nak nafikan… Baba dah jatuh hati kat bonda. Lagi-lagi, bonda ni aktif dulu dan selalu tanya soalan kat para penceramah. Masa hari terakhir program, baba terus luahkan hasrat baba kat bonda tapi lamaran baba kena tolak. Baba kecewa tahu,” cerita Encik Uthman lagi. Lalu, dia tersenyum nakal kepada isterinya itu.
“Seriuslah bonda tolak perasaan baba!” soal Abdul Azim, tidak percaya.
Kelihatan Puan Tengku Aulia mengukir senyuman. “Apa baba cakap tu, memang betul tapi Azim fikirlah… Kami pun baru kenal kat program dan universiti kami pun berbeza. Azim pun tahu baba belajar kat UM (Universiti Malaya), bonda pula belajar kat UPM (Universiti Putra Malaysia). Takkanlah bonda terus nak terima lamaran baba pula. Tak logik langsung!”
Sambungnya lagi… “Tapi… Apa yang buat bonda terima juga baba sebab bonda nampak sangat usaha baba nak dapatkan bonda. Kawan bonda pun ada bagi nombor bonda kat baba. Baba siap minta nombor telefon arwah atuk lagi. Kalau dah namanya jodoh, memang tak ke mana, Azim. Bonda setuju. Akhirnya, kami kahwin masa umur bonda 19 tahun, baba pula 22 tahun. Setahun lepas tu, dapatlah Along Ammar sampailah ke Azim. Alhamdulillah. Macam tulah kisah kami.”
Apabila Puan Tengku Aulia menyebut perkataan ‘usaha’, Abdul Azim tersentak. Barulah dia merasakan bahawa usahanya sangat minimum untuk menghampiri Qistur Ruwaidah. Barulah dia menyedari bahawa dia kurang usaha untuk merapati gadis itu melainkan dia rapat dengan abang perempuan itu sahaja. Sedangkan, peluangnya sangat cerah pada waktu itu. Agaknya, itulah puncanya siswi itu menolak lamarannya.
Nampaknya, memang salah di pihaknya sendiri.
Namun begitu, apa yang tidak diketahui oleh Abdul Azim, faktor utama Qistur Ruwaidah kecewa dengan dirinya dan menolak lamarannya kerana tiada permohonan maaf disebabkan perbuatan lalu lelaki itu memberikan harapan dan gadis itu rasa dipermainkan.
Lalu, Abdul Azim merespons berkenaan kisah cinta ibu bapanya itu. “Tak sangka macam tu rupanya kisah cinta bonda baba. Azim boleh nampak cinta baba kat bonda mendalam sangat. Azim kagum tahu perkahwinan bonda baba boleh bertahan sampai sekarang. Dah nak dekat 45 tahun.”
Puan Tengku Aulia dan Encik Uthman tersenyum mendengar kata-kata si bongsu itu.
“Alhamdulillah. Jadi Azim… Bonda baba harap supaya satu hari nanti, Azim akan jumpa seseorang yang dapat terima Azim seadanya walaupun kami tahu, Azim takkan fikir dalam waktu terdekat ni,” pujuk Puan Tengku Aulia.
Lantas, Abdul Azim mendakap kedua-dua ibu bapanya. Betapa dia bersyukur kerana ibu bapanya masih dipanjangkan umur sehingga kini.
‘Ya Allah… Kau masukkanlah bonda babaku ke dalam Syurga-Mu tanpa hisab. Terima kasih atas nikmat yang Kau kurniakan kepadaku. Aku bersyukur sebab aku masih boleh rasa kasih sayang bonda baba.’
Namun, ingatan Abdul Azim terhadap Qistur Ruwaidah yang sudah kematian ibu bapa itu, membuatkan dia gagal untuk melepaskan perasaannya dan rasa sebak untuk gadis itu. Jauh di sudut hati, jikalau gadis itu menerima lamarannya, gadis itu akan menerima kasih sayang yang cukup mendalam daripada ibu bapanya. Namun, apakan daya…
Jodohnya tidak tertulis untuk Qistur Ruwaidah binti Isyraf Imrani.
‘Semoga Din dapat jaga Qist dengan baik macam mana Abang Suhaib jaga Qist dengan penuh kasih sayang. Semoga keluarga Din juga dapat terima keadaan Qist seadanya. Amin!’ doa kalbunya itu.
Buat Team Mohamad Salahuddin, kau orang bolehlah berjoget sakan. Hahaha! Akhirnya, Qist pilih Din dan Qist milik Din. Maaflah seksa kau orang selama sembilan bulan ni. Tuan penulis lagi terseksa sebab biarkan novel ini tergantung selama lapan tahun lamanya xD Buat Team Abdul Azim, ketahuilah bahawa tuan penulis juga bersama Azim secara hakikatnya. Namun, apakan daya... Hati Qist tidak lagi untuk Azim. Marilah kita menangis berjemah. Sobs!
Share this novel