BAB 4

Drama Completed 13621

SUDAH tiga bulan Qistur Ruwaidah melalui sebagai seorang mahasiswi Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (CFS IIUM) dan dia sudah memahami sistem kehidupan sebagai pelajar universiti. Kuliah-kuliah yang dilalui olehnya juga semakin hari semakin baik dan berjalan lancar. Cumanya, dia tidak boleh mengelak dengan timbunan tugasan yang diberikan oleh para pensyarah.
Memandangkan dia sudah menilai keadaan dirinya apabila dia berada di Asasi Undang-Undang (LAWS), dia mengakui bahawa dia tidak mampu meneruskan apa yang dia sedang lalui kini. Hanya kerana abangnya menyuruh dirinya mencuba dahulu dengan jurusan LAWS, dia akur. Namun begitu, dia tahu kemampuannya. Dirinya tidak mampu lagi bertahan dengan jurusan tersebut berdasarkan keputusan peperiksaan pertengahan semester.
Dia hanya meraih dengan markah, iaitu 2/20 bagi subjek Law and Society (LAWSOC) dalam peperiksaan tersebut. Lalu, bagaimana dia mahu meneruskannya lagi? Dia tidak sanggup! Akhirnya, dia meluahkan apa yang dirasakan olehnya kepada abangnya.
“Okey adik. Abang faham adik tak mampu teruskan dengan LAWS. Teruskan dengan impian adik untuk tukar ke BAR. Abang akan sentiasa menyokong apa jua yang adik lakukan. Nanti, adik beritahulah berapa jumlah harga untuk tukar jurusan dan withdraw subject. Abang akan bank in nanti. Jangan lupa jumpa kaunselor nanti,” begitulah pesanan Suhaibul Umar kepada adiknya.

Qistur Ruwaidah menjadi amat lega setelah dia memberitahu ketidakmampuannya terhadap jurusan LAWS itu kepadanya abangnya. Atas saranan abangnya agar dia bertemu dengan kaunselor, dia telah pun berbuat demikian dan juga, dia telah bertemu dengan Ketua Jabatan LAWS bagi mengukuhkan lagi tujuannya untuk dia menukar jurusan tersebut.

Atas saranan daripada Ketua Jabatan LAWS berkenaan masalahnya itu, dia mengambil tindakan untuk menggugurkan subjek LAWSOC demi menjaga Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) dan dia sendiri tidak yakin untuk mengambil risiko dengan meneruskan subjek tersebut.

Semoga usahanya untuk menukar jurusan dari Asasi Undang-Undang ke Asasi Bahasa Arab tidak menjadi sia-sia untuk dirinya. Hanya pada Allah, dia menyandarkan segala-galanya. Apa yang penting, dia perlu melakukan sehabis baik dalam peperiksaan akhir semester Arabic Placement Test (APT) kelak.

SETIAP kali apabila tibanya kelas Bahasa Inggeris (BI), Qistur Ruwaidah tersenyum melihat kehadiran Abdul Azim. Hatinya memang sudah terpaut dengan mahasiswa itu.
Jika Abdul Azim tidak hadir ke kuliah, Qistur Ruwaidah akan menjadi resah gelisah. Adakalanya dia akan whatsapp Abdul Azim untuk mengetahui punca ketidakhadiran lelaki itu ke kelas BI. Setiap kali Abdul Azim melakukan pembentangan, mata Qistur Ruwaidah tidak berkelip bagi mendengar setiap butiran syarahan mahasiswa itu.
Qistur Ruwaidah juga pernah curi-curi memandang Abdul Azim sedang membaca majalah di sebalik televisyen yang ditonton olehnya ketika semua rakan sekelas Bahasa Inggerisnya telah diarahkan oleh Madam Nafilah dan Madam Izyanie untuk pergi ke bilik interaktif bagi melakukan aktiviti bebas.
Entah mengapa… Dia sangat suka melihat raut wajah lelaki itu.
Pendek kata, Qistur Ruwaidah sudah jatuh hati terhadap mahasiswa bernama Abdul Azim itu!
Sehinggalah pada suatu hari, Qistur Ruwaidah dan Sufi Waazin telah berjanji untuk bertemu di Pusat Beli-Belah Midvalley pada hari Sabtu. Qistur Ruwaidah hendak memaklumkan sesuatu kepada sahabat baiknya itu sehingga membuatkan Sufi Waazin tertanya-tanya mengapa sahabat baiknya itu hendak bertemu dengan dirinya.
Akhirnya, mereka berdua bersepakat untuk berjumpa di medan selera. Agak ramai juga pengunjung yang memenuhi medan selera itu pada hujung minggu ini. Rezeki mereka berdua, terdapat sebuah meja makan yang tidak diduduki oleh sesiapa. Mereka bergegas untuk mendapatkan meja makan yang tidak didiami oleh sesiapa itu.
“Kita nak makan apa ni?” soal Sufi Waazin.
“Sekejap lagilah kita makan. Kau pun tahu aku ni kena bercerita dulu. Baru boleh makan,” balas Qistur Ruwaidah.

Sufi Waazin tersengih mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. “Aku lupa pula. Almaklumlah, aku dah lama tak keluar dengan kau. Ha Qist. Apa yang kau nak beritahu aku?”

Qistur Ruwaidah menghelakan nafasnya, bunyinya lebih pada keluhan berat. “Emm... Sufi. A… Aku ada suka seorang brother kelas aku ni.”

Sufi Waazin tersentak seketika akan kata-kata kawan baiknya itu, namun dia tersengih nakal seraya menepuk tangannya. “Wow, satu perkembangan positif buat Qistur Ruwaidah! Siapa brother bertuah tu?”

Qistur Ruwaidah mencebik dengan tindakan Sufi Waazin yang seakan memerlinya. “Sufi! Pandailah kau perkembangan positif. Tu tak sepatutnya berlaku kat aku. Tiba-tiba je perasaan tu hadir masa kelas pertama dulu. Aku suka tengok muka dia je tapi aku tak sangka aku suka sampai tahap mendalam.”

“Qist, kau pernah dengar istilah ‘dari mata turun ke hati’? Istilah tu sangat sesuailah untuk kau sekarang,” jawab Sufi Waazin dengan selamba atau lebih tepat, loyar buruk.

“Kau ni, Sufi! Boleh tak jangan main-main! Aku tengah serius ni!” Qistur Ruwaidah geram akan kata-kata sahabat baiknya itu.

Sufi Waazin ketawa melihat wajah serius sahabat baiknya itu. “Okey, okey. Maafkan aku sebab aku tak serius. Berbalik kat soalan aku tadi, kau tak jawab lagi siapa brother bertuah tu.”

“Nama dia, Abdul Azim. Budak AED. Sebenarnya, aku tak tahu nak buat apa sekarang. Berkali-kali aku cuba menafikan perasaan aku ni tetapi aku tak boleh nak tipu yang memang aku suka dia. Aku punya tahap suka kat Azim sampai tahap jatuh hati,” balas Qistur Ruwaidah.

Seketika, Sufi Waazin kematian bicara. Apakah yang perlu dia katakan terhadap sahabat baiknya itu tentang isu perasaan tersebut? Sebolehnya, dia mahu membantu perempuan itu tetapi…

Soal perasaan Qistur Ruwaidah terhadap Abdul Azim? Ah, dia buntu, rumit! Jika perempuan itu mempunyai soal kewangan seperti biasa, dia tidak akan berkompromi untuk membantu sejak dari dulu lagi.

Melihatkan Sufi Waazin mengelamun jauh, Qistur Ruwaidah mengembalikan sahabatnya itu ke alam realiti. “Sufi Waazin ooo Sufi Waazin, kau ada kat sini tak? Ke dah ada kat planet lain?” perli Qistur Ruwaidah.

“Adalah kat bumi ni. Tak, sekarang ni, apa membuatkan kau suka kat brother tu sampai tahap jatuh hati ni?” respons Sufi Waazin.

“Dia tak buat apa-apa pun kat aku. Cuma, aku suka tengok muka dia. Tenang. Tu agaknya buat aku jatuh hati kat dia.”

“Dia tahu kau suka dia?”

“Boleh jadi ya, boleh jadi tak. Entahlah… Aku pun tak tahu.”

“Qist, kau kan berani. Kau beritahulah perasaan kau kat dia.”

“Memang aku ada niat tapi aku rasa kerja gila kalau aku beritahu dia. Tak pasal-pasal jadi musuh pula nanti. Aku tak nak ambil risiko tu.”

“Nasihat aku, baik kau jangan layankan sangat perasaan tu. Boleh kalau kau nak suka dia tapi belajarlah untuk berpada-pada. Emm… Sejujurnya, aku sendiri tak ada ayat sesuai nak beri kat kau. Selebihnya, terpulang kat kau. Aku harap kau boleh lalui ujian suka kat brother tu dengan tabah. Qist, aku kenal kau sejak tingkatan satu. Kau kuat orangnya.”

“Hmm... Terima kasih Sufi. Kaulah sahabat aku walaupun kau lelaki, aku perempuan tapi kau sangat memahami aku. Kalau orang lain, mesti dah kecam aku pasal ni.”

“Sama-sama Qist. Tak ada apalah. Lagipun, kita ni dah macam kembar. Kau pun tahu aku tak ada adik. Aku dah anggap kau macam adik aku. Boleh dibuat gaduh. Juga, Abang Suhaib sebagai abang aku sendiri.”

Perasaan Qistur Ruwaidah mula bercampur-baur apabila mendengar ayat yang dituturkan oleh Sufi Waazin itu. Ketika itu, air matanya gugur di hadapan sahabat baiknya itu.

Ingatan Qistur Ruwaidah mula menerjah kembali sewaktu dia memijakkan kaki ke Sekolah Menengah Islam Bisyrunnadwi (SMIB) semasa dia berumur 13 tahun. Di tempat itulah, dia mula mengenali Sufi Waazin.
Walaupun dia sekelas dengan Sufi Waazin, namun dia tidaklah rapat sangat dengan lelaki itu. Dia mula rapat dengan Sufi Waazin ketika berlaku satu peristiwa di koperasi sekolah. Ketika itu, dia hendak membeli tudung sekolah tetapi wangnya tidak mencukupi. Dia meletakkan semula tudung itu di rak dengan penuh kehampaan.

“Kenapa tak ambil tudung tu?” tanya seseorang kepadanya.

Qistur Ruwaidah menoleh ke belakang. Kelihatan Sufi Waazin sedang memandang ke arahnya. Bagaimana pula pelajar lelaki tersebut merangkap rakan sekelasnya boleh tersesat masuk ke koperasi perempuan ini? “Eh, apa kau buat kat sini, Sufi? Sini koperasi perempuanlah,” Qistur Ruwaidah tidak menjawab pertanyaan Sufi Waazin itu.

“Maaflah. Aku tersalah masuk koperasi perempuan ni. Aku ternampak kau tengah khusyuk belek tudung tu. Lama pula beleknya. Kenapa kau tak ambil tudung tu?” terang Sufi Waazin.

Koperasi SMIB dipecahkan pada dua bahagian, iaitu koperasi bagi pelajar lelaki dan koperasi bagi pelajar perempuan.

“Emm... Aku tak cukup duitlah, Sufi. Tu aku letak semula,” balas Qistur Ruwaidah.

“Aku belanjalah tudung tu. Mak ayah aku kata, kalau ada kawan yang susah, kena tolong,” Sufi Waazin menyatakan hasratnya itu.

“Eh, janganlah macam tu Sufi. Aku beli lain kali jelah. Aku masih tak tergesa-gesa nak beli tudung tu.”

“Memang aku nak tolong mana-mana kawan aku yang susah. Kau pula rakan sekelas aku. Apa salahnya?”

Tanpa melengahkan masa, Sufi Waazin mengeluarkan dompet dari kocek seluarnya. Tiga not RM10 dikeluarkan dari dompetnya seraya diletakkan di atas rak. Pantas dia meninggalkan koperasi perempuan itu.

“Sufi!” panggil Qistur Ruwaidah.

Kelihatan Sufi Waazin melambaikan tangannya dengan sengihan nakal seraya hilang dari pandangan Qistur Ruwaidah.

Qistur Ruwaidah mengeluh perlahan. Mahu tidak mahu, dia terpaksa mengambil wang yang ditinggalkan oleh Sufi Waazin itu. Hatinya mula berbisik… ‘Terima kasih Sufi.’

Atas bantuan lelaki itu, dapatlah Qistur Ruwaidah membeli tudung sekolah itu. Mengingatkan peristiwa itu semula, dia tidak sanggup untuk kehilangan sahabat sebaik Sufi Waazin.

“Sufi, kau memang sahabat yang cukup baik untuk aku. Terima kasih atas bantuan kau sejak dulu. Ikutkan, kau dah banyak sangat tolong aku kat SMIB dulu,” ucap Qistur Ruwaidah seraya mengesat air matanya.

Sejak dulu lagi, dia tidak segan silu menangis di hadapan mahasiswa itu.

Sufi Waazin menghadiahkan senyuman. Dia tahu benar sahabat baiknya itu mempunyai hati yang cukup sensitif. “Sama-sama Qist. Tak ada apalah. Aku tolong mana yang terdaya je.”

Dia menggenggam kedua-dua belah tangannya di atas peha. Ada sesuatu yang dia ingin maklumkan kepada Qistur Ruwaidah tetapi melihatkan emosi gadis tersebut tika itu, dia membatalkan hasratnya.

PADA suatu hari, di Dewan Al-Malik Faisal (AMF) diadakan acara jual beli sempena Minggu Kemanusiaan. Ada pelbagai jenis gerai. Antaranya, gerai makanan, gerai tudung, gerai pakaian dan banyak lagi tetapi gerai yang menarik perhatian Qistur Ruwaidah dan ramai pelajar CFS IIUM, iaitu gerai seni khat. Gerai itu menyediakan perkhidmatan tempahan menulis nama dalam bentuk khat. Terdapat pelbagai jenis saiz yang boleh ditempah mengikut cita rasa pelanggan.

Qistur Ruwaidah mula teringatkan Abdul Azim. Hajatnya, dia mahu menghadiahkan sekeping penanda buku bertulisan khat kepada mahasiswa itu. Tidak dilupakan juga kepada Muhammad Syarafuddin dan Muhammad Amirul Azhar supaya Abdul Azim tidak mengesyaki perasaan perempuan itu.

Setelah dia bertanyakan jurujual berkenaan harga penanda buku itu, dia mengambil kertas yang disediakan untuk menulis ketiga-tiga nama mahasiswa itu dalam tulisan jawi. Tidak dilupakan juga buat dirinya yang amat menyukai seni khat. Dia mencatat dalam kertas itu bahawa dia mahukan tulisan khat jenis Diwani. Dua keping not RM10 dihulurkan kepada jurujual itu. Sementara menunggu tempahannya siap sekitar 20 minit, dia mengambil keputusan untuk berjalan di gerai yang lain.

20 minit kemudian, dia menuju ke gerai khat itu semula. Dia tersenyum-senyum apabila melihat empat keping penanda buku sudah siap dengan sempurnanya.

‘Tak sabarnya nak beri kat Azim esok,’ bisik hatinya yang sedang berbunga itu.

Empat keping penanda buku itu disimpan rapi dalam failnya. Dia sendiri tidak boleh menduga bagaimana reaksi Abdul Azim apabila menerima hadiah kecilnya nanti.

PARA mahasiswa dan mahasiswi Grup 320 mula mengemas segala nota dan alat tulis setelah tamatnya kelas Bahasa Inggeris (BI). Mereka juga tidak lupa menyusun kerusi dengan teratur seperti sedia kala. Syahmi Akif, salah seorang rakan sekelas Qistur Ruwaidah sedang membersihkan papan putih.
Kelihatan Abdul Azim, Muhammad Amirul Azhar dan Muhammad Syarafuddin sudah hampir meninggalkan kelas yang diadakan di sekitar Dewan Al-Malik Faisal (AMF). Qistur Ruwaidah terus menghampiri ke arah ketiga-tiga mahasiswa itu.
“Kau orang, tunggu sekejap. Aku ada benda nak beri ni,” kata Qistur Ruwaidah.
“Beri apa?” soal Amirul Azhar, kehairanan.
“Sekejap,” balas Qistur Ruwaidah seraya mengeluarkan sesuatu dari failnya. Dia melihat satu-persatu nama yang ada pada penanda buku itu supaya dia tidak silap memberi. Dibuatnya dia memberi penanda buku yang mempunyai namanya, aniaya nanti! Sudah menjadi satu kerja pula nanti.
“Nah. Untuk kau orang bertiga. Pandai-pandailah cari nama kau orang,” kata Qistur Ruwaidah seraya menghulurkan tiga keping penanda buku itu kepada Amirul Azhar.
Amirul Azhar meneliti satu-persatu namanya. Setelah dia menjumpai namanya, dia menyerahkan kepada Muhammad Syarafuddin pula dan akhir sekali, Abdul Azim. Masing-masing memegang penanda buku itu dengan wajah teruja.
“Wah, menarik! Penanda buku tulisan khatlah. Dah lama aku nak. Terima kasih Qist,” kata Muhammad Syarafuddin.
“Sama-sama. Aku gembira kau suka, Sya,” balas Qistur Ruwaidah seraya tersenyum akan respons Muhammad Syarafuddin.
“Terima kasih juga Qist. Aku pun suka. Cumanya, kenapa kau beri kat kami? Sempena apa-apa ke?” soal Amirul Azhar.
“Sama-sama Azhar. Aku gembira kau suka. Tak ada sempena apa-apalah. Saja aku nak beri hadiah. Semoga penanda buku ni ada manfaat untuk kau orang,” balas Qistur Ruwaidah.
Abdul Azim ralit melihat namanya dalam tulisan khat jenis Diwani itu. “Cantik. Terima kasih Qist,” ucapnya kepada mahasiswi itu. Dia menghadiahkan senyuman kepada Qistur Ruwaidah seraya memasukkan penanda buku itu di dalam fail yang dipegang olehnya.
“Sama-sama Azim,” balas Qistur Ruwaidah bersahaja. Walhal, dalam hatinya sudah berbunga-bunga bak mekar di taman apabila mendengar ucapan lelaki itu.
“Kami gerak dulu Qist. Sekali lagi, terima kasih untuk ni,” kata Amirul Azhar.
“Okey. Sama-sama. Jumpa lagi nanti,” balas Qistur Ruwaidah.

ABDUL AZIM merebahkan dirinya di atas katil. Ingatannya menerawang kembali apa yang telah berlaku selepas kelas Bahasa Inggeris (BI) tadi. Sebenarnya dia agak terkejut dengan pemberian Qistur Ruwaidah tadi.
Jujur dari hatinya, dia tidak pernah menerima hadiah daripada mana-mana perempuan semasa zaman sekolah dulu. Sebenarnya, sedikit sebanyak dia agak gembira di atas hadiah yang diberikan oleh mahasiswi itu.
“Hairan.”
Tiba-tiba dia ditegur oleh seseorang.
Lamunannya terhenti apabila dia melihat kehadiran Muhammad Amirul Azhar. “Eh kau ni, Azhar. Berilah salam. Mujur aku tak sakit jantung,” kata Abdul Azim seraya bangkit dari perbaringannya.
“Dah aku tengok kau termenung je dari tadi. Aku redah jelah. Aku ni kenal kau dah tiga bulan. Bukannya aku kenal kau macam awal-awal kita masuk CFS dulu. Aku ganggu kau ke?” selamba sahaja balasan Amirul Azhar itu tanpa serba salah.
Abdul Azim tersengih. “Okeylah Azhar. Kau tak ganggu aku pun. Marilah sini,” pelawanya.
Amirul Azhar terus melabuhkan punggungnya di atas katil sahabatnya itu. Abdul Azim tidak kisah pun jika sahabatnya itu duduk tanpa bertanya dahulu kepadanya. Dia sendiri sudah mengizinkan sebelum ini. “Kenapa kau datang ni? Tiba-tiba je cakap hairan tadi.”
“Aku tertanya-tanya tentang hadiah Qist tu. Hairan juga. Aku tak rasa dia suka-suka je nak beri hadiah tu. Mesti ada sebab ni,” balas Amirul Azhar.
“Eh? Pula? Kau ni dah kenapa tiba-tiba nak timbulkan isu Qist beri hadiah?”
“Tak adalah. Aku pelik sangat. Tak ada angin, tak ada ribut, tiba-tiba je dia beri kat kita bertiga. Kau tak rasa pelik ke Azim?”
Abdul Azim mengangkat keningnya. “Aku rasa biasa je. Tak ada apa yang peliklah. Aku anggap itu hadiah persahabatan daripada dia je. Kau ni pun. Cubalah bersangka baik.”
Jawapan Abdul Azim itu masih tidak memuaskan hati Amirul Azhar. Nadanya berubah menjadi skeptikal. “Ia-ia je tu hadiah persahabatan. Entah-entah sebenarnya, dia nak beri kat kau je tetapi dia beri kat aku dan Sya juga supaya kita bertiga tak syak dia suka kat kau.”
Abdul Azim menggeleng kepalanya. Sudah kenapa dengan Amirul Azhar ini tiba-tiba melalut jauh? “Kau ni Azhar. Dah merepek sangat ni.”
“Okey maafkan aku tetapi aku rasa macam tulah Azim. Qist suka kat kau.”
Abdul Azim hanya tersenyum hambar. Tidak termakan dengan kenyataan sahabatnya itu. Sejauh mana kebenaran kata-kata Amirul Azhar itu, dia tidak mahu ambil secara serius. Dirinya bukan jenis bermain dengan sangkaan melainkan jika ianya benar berlaku di hadapan mata.

QISTUR RUWAIDAH tiba di Office of Arts Department Program (OOADP) bagi mengambil borang pertukaran jurusan selepas dimaklumkan oleh pihak yang bertugas di Jabatan Admission and Records (ANR) bahawa sebarang urusan pertukaran jurusan selepas Minggu Taaruf diuruskan oleh OOADP pula.
Hatinya menjadi girang apabila borang tersebut sudah berada di tangannya. Tinggal untuk dia melengkapkan apa-apa yang sepatutnya dan menyerahkan semula kepada jabatan tersebut.
‘BAR, kau tunggulah aku. Aku akan pastikan bahawa aku dapat kau masa semester dua nanti. Insya-Allah. Aku positif untuk tu,’ bisik hatinya.
Dia masih ingat pesanan abangnya untuk berjumpa dengan kaunselor tentang urusan pertukaran jurusan ini. Setelah dia berjumpa kaunselor dan menceritakan masalahnya, dia telah diberi ujian personaliti diri dan ujian kerjaya. Setelah dia melakukan kedua-dua ujian tersebut dan mendapat keputusan, ternyata Asasi Undang-Undang (LAWS) tidak sesuai untuknya. Itu menambahkan keyakinan untuk dirinya menukar jurusan tersebut ke Asasi Bahasa Arab (BAR), sesuai untuk dirinya yang meminati bahasa.

Dia juga telah dimaklumkan oleh kaunselor bahawa dia perlu meraih Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) sekurang-kurangnya 2.30 untuk menukar dari LAWS ke BAR. Nampaknya, dia perlu buat yang terbaik bagi subjek ICT manakala subjek Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab, tiada jam kredit dan tidak memberi kesan terhadap CGPA.

Namun begitu, keputusan yang akan dipaparkan nanti sama ada kekal di tahap tersebut, naik ke tahap seterusnya atau terus dikecualikan dari memasuki kedua-dua kelas tersebut. Kesannya, mempengaruhi tempoh pengajian yang dihadapi oleh seseorang pelajar tersebut di pusat asasi itu sama ada dalam tempoh setahun, setahun setangah atau dua tahun.

Tiba-tiba dia ternampak Abdul Azim sedang berurusan dengan staf di Office of Science Department Program (OOSDP) di mana jabatan tersebut terletak bertentangan dengan OOADP. Dia menunggu Abdul Azim yang masih lagi berurusan dengan staf OOSDP supaya dia boleh mengambil peluang untuk bersembang dengan mahasiswa itu biarpun tempohnya sekejap sahaja. Asalkan dia dapat berjumpa dan bercakap dengan mahasiswa itu, sudah cukup membahagiakan dirinya.
Usai sahaja urusan Abdul Azim dengan staf tersebut, Qistur Ruwaidah perlu berlakon bagi menampakkan bahawa kononnya dia baru sahaja melalui di kawasan tersebut dan terserempak dengan mahasiswa itu.
Ternyata lakonan Qistur Ruwaidah menjadi apabila Abdul Azim keluar dari jabatan tersebut, dia sedang melalui di hadapan lelaki itu. Lalu, bertemulah mereka berdua di hadapan OOSDP itu.
“Eh Azim,” tegur Qistur Ruwaidah. Sengaja dia buat-buat terkejut.
“Eh Qist. Buat apa kat sini?” soal Abdul Azim, reaksinya kelihatan sangat normal dan bersahaja.
“Aku pergi Arts Department tadi. Ambil borang tukar jurusan.”
Jawapan Qistur Ruwaidah tadi membuatkan Abdul Azim berminat untuk bertanya lanjut. “Kau nak tukar jurusan apa?”
“LAWS ke BAR. Aku tak minat LAWS. Tu pun ada satu subjek teras LAWS, aku dah withdraw sebab memang aku tak boleh buat.”
“Oh macam tu. Aku ingatkan kau okey dengan LAWS.”
Qistur Ruwaidah tersengih. “Taklah. Sebenarnya, memang aku tak nak jurusan LAWS dari mula-mula keputusan UPU keluar tapi aku terima jugalah sebab abang aku kata masa Taaruf Week boleh tukar jurusan. Aku dah mohon tukar BAR tapi keputusannya ditolak sebab APT aku dapat band 2.”
“Laa... Macam tu ceritanya. Maaflah aku baru tahu. Abang kau pun belajar UIA ke?”
“Haah. Dulu, dia sama jurusan dengan kau. AED juga. Sekarang, dia dah ada kat main campus. Dah second year kalau tak silap aku sebab dia belajar setahun je kat CFS ni.”
Abdul Azim mengangguk. Tiba-tiba dia teringat sesuatu. ‘Jadi, kemungkinan besar aku nampak Qist bersuap dengan seorang lelaki kat Restoran Murniey dulu, rasanya abang dialah tu. Astaghfirullah! Aku dah buruk sangka sangat kat Qist. Lebih baik aku tanya dia untuk kepastian,’ bisik hatinya.
“Qist, maaflah nak tanya. Dulu, aku ada ternampak kau dengan seorang lelaki kat Restoran Murniey. Tu abang kau ke?” soal Abdul Azim.
Qistur Ruwaidah tersentak seketika. “Eh, kau ada nampak aku?”
“Haah. Masa tu, aku outing dengan roommates makan kat situ.”
Wajah Qistur Ruwaidah terus merona merah apabila teringat semula adegan suap-menyuap antara dia dan abangnya. Pastinya Abdul Azim ternampak adegan itu. “Ah okey. Pasal tu, betullah. Tu abang aku. Err… Aku gerak dulu, Azim. Jumpa lagi.”
“Insya-Allah. Jumpa lagi,” balas Abdul Azim.
Akhirnya, berpisahlah mereka berdua membawa haluan masing-masing. Tiba-tiba langkah Qistur Ruwaidah terhenti seketika, menoleh ke belakang. Kelihatan Abdul Azim sudah jauh langkahnya.
Sepanjang dalam perjalanan ke mahallah (kolej kediaman) bagi Abdul Azim, dia sendiri tidak tahu mengapa dia merasa tenang apabila mendengar penjelasan Qistur Ruwaidah itu tadi. “Aku ni memang sudah dilamun perasaan suka kat dia ke?” soalnya sendirian.
Dia terdiam seketika di atas soalan yang ditimbulkan olehnya sendiri. Dia menggeleng kepalanya tanda menafikan.
‘Sudahlah Azim. Peperiksaan akhir nak dekat dah. Jangan difikirkan pasal ni. Bukannya penting pun. Kau kena ingat bonda baba,’ bisik hati kecilnya. Penuh tekad!
Dia segera merubah haluannya dari mahallah untuk menuju ke Masjid Malaya bagi menunaikan solat asar apabila bilal mula melaungkan azan waktu asar. Dia tidak pernah meninggalkan solat berjemaah di masjid kerana dia sudah terbiasa dilatih oleh ayahnya sejak kecil.

PENGHUJUNG SEMESTER SATU SESI 2013/2014
5 Oktober 2013 sehingga 14 Oktober 2013.
Semua mahasiswa dan mahasiswi Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (CFS IIUM), Petaling Jaya sedang menghadapi peperiksaan akhir tahun. Ada pelajar yang masih berjuang dengan peperiksaan akhir tahun sehingga 14 Oktober 2013 dan ada juga pelajar yang sudah selesai peperiksaan akhir tahun bagi semester tersebut.
Qistur Ruwaidah antara mahasiswi CFS IIUM yang telah selesai menghadapi ketiga-tiga peperiksaan bagi ujian Bahasa Inggeris, Bahasa Arab dan ICT bagi semester tersebut. ICT merupakan peperiksaan terakhir yang dihadapi olehnya. Dia sudah merindui abangnya. Hampir dua bulan juga dia tidak pulang ke rumah kerana dia hendak fokus dengan tugasan individu dan berkumpulan serta membuat persediaan bagi peperiksaan akhir semester.
“Abang aku dah sampai. Jumpa lagi masa short semester nanti,” ucap Qistur Ruwaidah apabila usai sahaja membaca pesanan whatsapp daripada abangnya.
“Untunglah dah selesai semua peperiksaan. Insya-Allah. Jumpa lagi masa short semester,” respons Puteri Nur Amylia.
“Alaa Puteri… Tu sebab aku dah withdraw subjek LAWSOC. Kalau aku teruskan ambil subjek tu, sama juga macam kau,” balas Qistur Ruwaidah.
Dia membawa beberapa barang yang penting ke rumah seperti bantal kepala, bantal peluk, selimut, pakaian, beg laptop dan beberapa buah buku yang tidak digunakan lagi untuk semester hadapan.
Rakan-rakan sebiliknya menawarkan diri bagi membantu dirinya untuk membawa barang-barang tersebut sehingga ke kereta abangnya. Dia amat terharu di atas bantuan yang dihulurkan oleh mereka.
“Qist, tu ke abang kau?” soal Siti Hajar apabila dia ternampak abangnya keluar dari perut kereta bagi memasukkan barang-barang Qistur Ruwaidah di bahagian belakang tempat duduk penumpang. Itulah pertama kali dia melihat abang kepada kawan sebiliknya itu.
“Ya, abang akulah tu,” balas Qistur Ruwaidah.
“Kacak juga abang kau. Bolehlah aku jadi kakak ipar kau nanti.”
“Isy kau ni Hajar. Gatal!”
Siti Hajar ketawa mendengar kata kawannya itu. Kedengaran abang Qistur Ruwaidah memanggil adiknya.
“Ni je barang-barang adik?” soal Suhaibul Umar seraya memandang barang-barang adiknya itu. Hairan juga dia dibuatnya apabila melihat barang-barang adiknya untuk dibawa pulang ke rumah tidak banyak untuk kali ini.
Biasanya, apabila dia mengambil adiknya di CFS IIUM pada hari Jumaat, pasti adiknya membawa pulang barang-barangnya seperti dia tidak kembali semula ke pusat pengajian tersebut.
“Yalah. Kenapa abang?” respons Qistur Ruwaidah.
“Kali ni, sikit je barang-barang adik. Ha, apa-apalah,” balas Suhaibul Umar seraya membawa masuk barang-barang adiknya ke dalam perut kereta di bahagian tempat duduk penumpang belakang.
Kedengaran kawan-kawan sebilik Qistur Ruwaidah ketawa di belakangnya. Qistur Ruwaidah hanya tersengih seperti kerang busuk. Dia berjabat tangan dengan setiap orang rakan sebiliknya seraya melangkah masuk ke dalam perut kereta. Butang tingkap kereta ditekan dan diturunkan bagi mengucapkan selamat tinggal dan melambai kepada rakan-rakan sebiliknya.
“Assalamualaikum kau orang. Jumpa lagi nanti!” laung Qistur Ruwaidah seraya melambai tangannya. Kelihatan rakan-rakan sebiliknya membalas lambaiannya kembali.
Butang tingkap kereta dinaikkan semula.
“Seronok nampak semester ni dah tamat,” Suhaibul Umar memulakan bicaranya.
“Eh, mestilah seronok! Adik tak sabar nak tunggu keputusan peperiksaan akhir dan keputusan tukar jurusan keluar nanti tahu,” respons Qistur Ruwaidah.
Suhaibul Umar tersenyum mendengar kata-kata adiknya itu. “Semoga keputusan adik cemerlang dan dapat tukar ke jurusan BAR nanti. Amin!”
“Amin! Abang doakan adik tahu!”
“Insya-Allah. Sentiasa untuk adik abang ni.”

PADA suatu malam ketika cuti semester, hati Qistur Ruwaidah meronta-ronta ingin mencari Muhammad Amirul Azhar, bekas rakan sekelasnya itu. Ingin dia memaklumkan tentang perasaannya terhadap Abdul Azim kepada mahasiswa itu kerana dia tahu Amirul Azhar agak rapat dengan mahasiswa itu.

WhatsApp Qistur Ruwaidah:
Assalamualaikum Azhar. Qist ni. Maaf ganggu. Ada perkara aku nak beritahu kau.


Hantar.

Tidak lama kemudian, kelihatan Amirul Azhar sedang menaip sesuatu.

WhatsApp Amirul Azhar:
Waalaikummussalam. Ya Qist. Tak ganggu pun. Kau nak beritahu apa?
WhatsApp Qistur Ruwaidah:
Aku nak beritahu sesuatu tentang Azim.

Amirul Azhar mengangkat keningnya apabila membaca whatsapp itu. Sudah kenapa pula Qistur Ruwaidah mencari dirinya tentang Abdul Azim? Hairan bin ajaib. Jarinya ligat menaip sesuatu.
WhatsApp Amirul Azhar:
Azim? Kenapa dengan dia?
WhatsApp Qistur Ruwaidah:
Aku tak tahu nak beritahu macam mana kat kau. Aku tahu mesti kau pelik tiba-tiba aku whatsapp kau nak cakap pasal Azim. Baik aku berterus terang jelah. Emm... Sebenarnya, aku suka kat kawan kau tu.

Hantar.

Tersengih Amirul Azhar membaca ayat terakhir mesej mahasiswi itu. Benarlah telahannya tepat berkenaan peristiwa penanda buku itu pada beberapa minggu lepas. Bekas rakan sekelasnya itu suka akan sahabatnya itu.

WhatsApp Amirul Azhar:
Aku tak rasa pelik sebab aku dah lama agak kau suka Azim. Aku pernah cakap kat Azim pasal kau suka dia selepas kau beri kami penanda buku tu tapi dia macam buat tak tahu je. Dia anggap tu hanya hadiah persahabatan daripada kau je.
WhatsApp Qistur Ruwaidah:
Alamak! Ya ke? Segannya aku. Kau rasa Azim tahu tak?
WhatsApp Amirul Azhar:
Aku tak tahulah dia tahu ke tak tapi aku rasa dia boleh agak kau suka dia. Kalau dia tahu pun, kau buat jelah tak tahu.
WhatsApp Qistur Ruwaidah:
Insya-Allah. Terima kasih Azhar. Kau jangan salah faham pula pasal penanda buku yang aku beri kat kau tu. Aku memang nak hadiahkan kat kau dan Sya sekali.
WhatsApp Amirul Azhar:
Sama-sama. Tak ada masalah. Aku hargai je.
Selesai Qistur Ruwaidah berkomunikasi dengan Amirul Azhar melalui medium Whatsapp, dia mengecas telefon bimbitnya di bahagian suis yang berdekatan dengan katilnya.
Tiba-tiba, barulah dia teringat sesuatu. Diarinya! Berminggu-minggu juga dia tidak mencoret sesuatu di dalam diari tersebut lantaran kerana terlalu sibuk dengan tugasan dan peperiksaan akhir semester.
Di situlah, dia meluahkan apa yang terbuku di hatinya tentang Abdul Azim selama ini. Lantas, dia mengeluarkan diari tersebut dari bawah bantal kepalanya seraya tangannya mencoret sesuatu pada diari tersebut.
Sabtu, 26 Oktober 2013
Ya Allah, jika benarlah Azim sudah mengetahui perasaanku ini, aku mohon pada-Mu agar dia tidak bermusuhan denganku atau menjauhkan diri daripadaku. Aku sendiri tidak pinta perasaan ini hadir. Sukar untuk aku buang perasaanku ini terhadapnya. Apa yang perlu aku lakukan? Jauhkan diri daripada Azim? Membencinya? Ya Allah, aku sendiri tidak tahu apa yang aku perlu lakukan. Azim tidak bersalah pun dalam hal ini. Aku yang bersalah sebab aku gagal mengawal perasaan ini. Maafkan aku, Azim.

Dia menutup diari tersebut dengan perasaan yang cukup tenang seraya meletakkannya di bawah bantal kepalanya semula. Dia membaca doa sebelum tidur dan membaringkan dirinya. Perlahan-lahan, dia memejam matanya. Mengharapkan agar Allah mempermudahkan hari-hari seterusnya buat dirinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience