ISNIN, 5 FEBRUARI 2018
Pada tarikh tersebut, bermulalah semester baharu untuk Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin. Bagi Qistur Ruwaidah, dia telah selesai melalui hari-hari pantangnya dan semakin cergas untuk menimba ilmu. Semester tersebut merupakan tahun ketiga semester dua buat Qistur Ruwaidah manakala Mohamad Salahuddin pula merupakan siswa tahun keempat semester satu. Kini, masing-masing berumur 23 tahun.
Untuk Mohamad Salahuddin, berbaki satu semester sahaja lagi untuk dia menyempurnakan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian). Kemudian, dia akan menyambung tahun kelimanya pada Februari 2019 untuk Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Syariah) (Kepujian).
Namun, perjalanan pasangan suami isteri ini tidaklah mudah kerana kini, mereka telah mempunyai Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil yang baru sahaja berusia empat bulan serta memerlukan kesabaran dan eksperimen bagi membawa si kembar itu ke kelas, memandangkan Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin tidak mahu mengambil risiko untuk meninggalkan anak kembar itu kepada pengasuh yang entah boleh dipercayai atau tidak. Apatah lagi, si kembar masih memerlukan susu ibu secara penuh.
Hendak meninggalkan si kembar kepada Suhaibul Umar, lagilah pasangan itu tidak mahu menyusahkan atau menambahkan tekanan lelaki itu. Suhaibul Umar juga mempunyai komitmen lain sebagai seorang penggubah hantaran dan sangat sibuk.
Kalau sebelum ini Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil dijaga sepenuhnya oleh Qistur Ruwaidah kerana dia berada dalam pantang dan mengambil cuti belajar manakala Mohamad Salahuddin boleh meneruskan pengajiannya tanpa rasa gusar. Sekarang, Qistur Ruwaidah juga perlu bijak membahagikan masa sebagai seorang isteri, ibu dan siswi seperti suaminya.
“Kita cuba pisahkan Qalyubi dan Qurtubi sekejap. Habibi bawa Qalyubi, sayang bawa Qurtubi. Kita tengok macam mana,” cadang Mohamad Salahuddin.
“Budak-budak ni tak pernah berenggang. Sayang risau kalau dia orang menangis memanjang je kat dalam kelas. Nanti mengganggu satu kelas pula,” luah Qistur Ruwaidah dalam nada gusar.
“Tak apa. Kita tengok dalam 15 minit atau setengah jam pertama. Kalau tak boleh, terpaksalah minta izin pensyarah nak keluar kelas. Kita fikir cara lain pula. Okey?”
“Okeylah. Kita tengok macam mana untuk hari pertama ni.”
KELAS DI SEKITAR BANGUNAN ISLAMIC REVEALED KNOWLEDGE…
Aalqurtubi Shakil menjadi perhatian rakan-rakan sekelas Qistur Ruwaidah yang sedang berada dalam penggendong bayi sebagai penahan dan dia duduk di atas ribaan ibunya.
“Subhanallah! Alahai… Comelnya Qurtubi ni!”
“Teringinlah nak tengok kembar dia. Kenapa tak bawa sekali?”
... dan banyaklah lagi kata-kata yang cukup menyerabutkan fikiran Qistur Ruwaidah sebagai seorang ibu.
Pada mulanya, Aalqurtubi Shakil masih kelihatan tenang tetapi lama-kelamaan, dia mula menjadi tidak selesa dan menangis. Mujurlah pensyarah masih belum tiba. Qistur Ruwaidah terpaksa keluar dari kelas tersebut bagi memujuk anak keduanya itu.
“Qurtubi sayang… Shhh… Ummi minta maaf ya sebab terpaksa bawa Qurtubi kat kelas,” luah Qistur Ruwaidah dengan penuh sebak. Dia mula merasakan bahawa dia merupakan seorang ibu yang teruk kerana tidak dapat memberikan keselesaan buat anak tercintanya itu.
Aalqurtubi Shakil masih menangis dan terus menangis tanpa henti. Itu membuatkan Qistur Ruwaidah semakin sedih. Betapa dia ingin menemui Mohamad Salahuddin dan Aalqalyubi Shafiy sebagai penguat semangat.
Tiba-tiba kelihatan pensyarah Qistur Ruwaidah, iaitu Dr. Marwati menegur dirinya. Dr. Marwati memang mengingati anak muridnya itu kerana Qistur Ruwaidah pernah menjemput beliau ke majlis kesyukuran dahulu serta kisah Qistur Ruwaidah mengambil cuti belajar kerana bersalin dan berpantang juga turut diketahui oleh beliau.
“Qist…” panggil Dr. Marwati.
Qistur Ruwaidah menoleh ke belakang. Alangkah terkejutnya dia tatkala Dr. Marwati menegurnya.
“Awak okey? Kenapa dengan anak awak ni?” soal Dr. Marwati dengan penuh prihatin.
“Saya tak tahu, Dr.. Anak saya ni menangis dari tadi. Saya dah cuba pujuk dia dengan macam-macam cara tapi tak jalan. Saya tak tahu nak buat apa. Saya tak nak tertinggal kelas Dr.,” luah Qistur Ruwaidah.
“Boleh saya cuba pujuk… Err… Siapa nama dia? Awak ada anak kembar lagi seorang, kan?”
“Qurtubi, Dr.. Haah… Seorang lagi nama Qalyubi tapi Qalyubi ikut abi dia. Boleh juga Dr. kalau Dr. boleh bantu saya,” kata Qistur Ruwaidah seraya menyerahkan Aalqurtubi Shakil kepada pensyarahnya itu.
Dr. Marwati menyambut Aalqurtubi Shakil yang masih menangis, lalu beliau mendodoi sang bayi itu dengan kalimah-kalimah Allah. Tidak lama kemudian, Aalqurtubi Shakil lena dalam dakapan pensyarah itu.
“Dr. buat macam mana sampai anak saya boleh senyap terus? Dr. ada apa-apa petua ke?” soal Qistur Ruwaidah dalam nada kagum.
Dr. Marwati tersenyum mendengar soalan siswi itu. “Saya tak ada petua apa-apa. Mungkin Qurtubi ni panik sebab dia tengok ramai sangat orang kat kelas tu. Satu lagi, saya rasa Qurtubi ni nak kembar dia ada sekali. Pergilah jumpa suami dan anak awak lagi seorang dulu. Saya izinkan awak masuk kelas lambat sikit,” katanya seraya menyerahkan Aalqurtubi Shakil kepada Qistur Ruwaidah semula.
Betapa Qistur Ruwaidah terharu dengan sifat empati yang dimiliki oleh pensyarahnya itu. Kemudian, dia terus menghubungi suaminya. Sementara Dr. Marwati pula, dia mula melangkah masuk ke dalam kelas bagi mendidik para siswa dan siswi yang telah menantikan kehadiran beliau.
“Shhh… Jangan menangis sayang. Kita tak jauh pun. Habibi dan Qalyubi tunggu sayang dan Qurtubi kat The Grill,” kata Mohamad Salahuddin di hujung talian. Dia tahu isterinya sedang panik.
Qistur Ruwaidah menyeka air matanya. Dia lega mendengar suara suaminya itu. “Okey habibi. Habibi cepat datang ya. Sayang tak kuat,” katanya.
“Okey, okey… Sementara tu, sayang istighfar dan selawat banyak-banyak. Ingat Allah.”
Semakin Qistur Ruwaidah mencintai suaminya yang tidak jemu mengingatkan dirinya kepada Maha Pencipta.
“RASANYA betullah Qalyubi dan Qurtubi ni tak boleh berpisah. Qalyubi pun menangis memanjang je lepas dia tak nampak kembar dia. Habibi pergi ambil baby stroller dia orang dulu kat dalam kereta sekejap. Hari ni, habibi bawa dia orang kat kelas dulu. Esok, sayang pula. Kita gilir-gilir. Boleh?” kata Mohamad Salahuddin setelah dia mendengar kisah isterinya itu.
“Okey juga kalau macam tu. Terima kasih habibi. Kalau habibi tak ada, tak tahulah macam mana sayang nak uruskan budak-budak ni sendiri,” luah Qistur Ruwaidah.
“Sama-sama sayang. Sayang tengokkan Qalyubi dulu ya,” kata Mohamad Salahuddin seraya menanggalkan penggendong bayi bagi mengeluarkan Aalqalyubi Shafiy dari penggendong bayi tersebut. Kemudian, dia menyerahkan Aalqalyubi Shafiy kepada isterinya.
“Habibi pergi ambil stroller sekejap,” maklum Mohamad Salahuddin. Kemudian, dia berlalu.
Qistur Ruwaidah memandang suaminya dari kejauhan buat seketika. Tiba-tiba lamunannya mati tatkala Aalqalyubi Shafiy merengek manakala Aalqurtubi Shakil sedang tidur lena dalam penggendong bayi.
“Ya sayang ummi… Alalalala… Abang Qalyubi rindu Adik Qurtubi ya?” bicara Qistur Ruwaidah kepada anak sulungnya itu.
Aalqalyubi Shafiy terus berhenti merengek dan dia mula menguap. Cepat-cepat Qistur Ruwaidah menutup mulut anaknya dengan dua jarinya. “Sabar ya, Qalyubi. Abi tengah ambil stroller. Sekejap lagi, Qalyubi boleh tidur dengan selesa kat situ.”
Tidak lama kemudian, Mohamad Salahuddin pun tiba sambil menolak kereta sorong bayi. Dia dapat menyaksikan anak-anaknya sedang lena manakala isterinya sedang ralit memerhatikan si kembar itu.
Qistur Ruwaidah menoleh ke arah suaminya. Hatinya mula menjadi lega dengan kehadiran suaminya.
Tanpa sepatah bicara, Mohamad Salahuddin mendukung Aalqalyubi Shafiy terlebih dahulu untuk dibaringkan di kereta sorong bayi. Qistur Ruwaidah mula menanggalkan penggendong bayi bagi mengeluarkan Aalqurtubi Shakil dari penggendong bayi. Lalu, dia membaringkan Aalqurtubi Shakil bersebelahan dengan Aalqalyubi Shafiy.
“Jangan risau pasal kita orang. Insya-Allah, kita orang okey je,” kata Mohamad Salahuddin. Dia tahu apa yang bermain dalam fikiran isterinya.
Qistur Ruwaidah tersengih malu. “Nampak sangat habibi dah faham sayang.”
“Sayang… Tahun ni, kita kahwin dah nak masuk dua tahun. Habibi dah masak sangat dengan perangai sayang. Jangan fikir sangat. Sayang kena jaga kesihatan mental sayang. Sayang kena ada masa untuk diri sayang sendiri juga.”
Qistur Ruwaidah mengangguk. Lalu, dia mengucup tangan suaminya dengan penuh rasa kasih. “Sayang minta reda dan restu habibi. Sayang nak berjihad cari ilmu ni. Nak jadi ummi yang berilmu untuk anak-anak kita.”
Mohamad Salahuddin menyentuh ubun-ubun isterinya. “Pergilah. Habibi reda dan restu untuk sayang. Moga Allah merahmati sayang. Dia menjadi saksi untuk setiap langkah sayang ke kelas sebab sayang nak cari ilmu.”
Lalu, Qistur Ruwaidah mengangkat kepalanya bersama senyuman. “Terima kasih habibi. Sayang rasa tenang bila habibi cakap macam tu.”
Mohamad Salahuddin turut tersenyum. “Sama-sama. Belajar elok-elok.”
Lalu, berpisahlah pasangan itu bagi menuju ke kulliyyah masing-masing. Mohamad Salahuddin memandang isterinya dari kejauhan. Betapa dia mula merindui bidadarinya itu. Kemudian, dia memandang Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil pula di kereta sorong bayi itu.
“Anak-anak abi tidurlah ya. Kau orang dah jumpa balik, kan. Bagi abi belajar dengan tenang tahu,” bicara Mohamad Salahuddin sendirian.
Tidak lama kemudian, Mohamad Salahuddin tiba di kelasnya semula sambil menolak kereta sorong bayi itu. Semua mata tertumpu kepadanya, termasuklah pensyarahnya, iaitu Ustaz Hamid Jusoh.
“Salahuddin… What are the reasons are you bringing your sons to my class? Do you want your sons to study laws?” selorohnya.
Masing-masing tertawa dengan kata-kata pensyarah itu. Ustaz Hamid Jusoh memang terkenal dengan suka bergurau senda dengan para siswa dan siswi Ahmad Ibrahim Kulliyyah of Laws (AIKOL).
Mohamad Salahuddin juga turut tertawa. Kemudian, dia menuturkan sesuatu kepada pensyarahnya itu. “Ustaz, I’m so sorry for coming late,” ucapnya.
“It’s okay. I understand. Please, have a seat.”
Lalu, Mohamad Salahuddin menolak kereta sorong bayi tersebut sehinggalah dia melabuhkan punggung di tempat duduknya.
USAINYA kelas Ustaz Hamid Jusoh, Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil yang berada dalam kereta sorong bayi itu mula menjadi perhatian rakan sekelas Mohamad Salahuddin.
Kelihatan wajah Aalqalyubi Shafiy begitu ceria tatkala orang ramai mengerumuninya manakala wajah Aalqurtubi Shakil pula berada dalam ketakutan, namun mujurlah dia tidak menangis kerana kembarnya berada di sisinya.
“Din, macam mana kau bezakan anak-anak kau?” soal salah seorang rakan sekelas Mohamad Salahuddin, iaitu Ahmad Taqiuddin.
Mohamad Salahuddin tersenyum. “Yang nampak tembam sikit, tu abang. Adik pula nampak kurus sikit. Mula-mula dulu, aku pun ingat mustahil aku nak kenal anak-anak aku tapi lama-lama tu, taklah susah sangat pun sebenarnya.”
“Mesti mencabar nak jaga kembar, kan?”
“Agak mencabar juga tapi bila pasangan saling membantu, insya-Allah okey je. Cuma, aku dan isteri aku tetap kena bersabar dengan kerenah anak-anak kita orang. Nasihat aku, kalau tak bersedia nak kahwin dan ada anak, baik jangan lagi. Perkahwinan memerlukan komitmen yang tinggi. Takkan sama macam zaman bujang. Kalau dulu, aku fikir untuk diri aku je tapi sekarang, aku nak kena fikir untuk isteri dan anak-anak aku pula.”
“Fuh, nampak gayanya memang taklah aku nak fikir pasal kahwin lagi. Aku ada banyak perkara lagi nak kena fikir,” celah Imdad pula.
Tiba-tiba kelihatan Dr. Hanis melangkah masuk ke kelas untuk subjek seterusnya, iaitu Criminal Procedure I.
PUTERI RAUDHAH IDEAL MEDICAL CENTRE
“Sayang tunggu kat luar ni,” kata Qistur Ruwaidah di luar wad Abdul Azim bersama Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil yang berada dalam kereta sorong bayi.
“Okey. Kalau sayang tak nak jumpa Azim lepas habibi, tak apa. Habibi faham je,” kata Mohamad Salahuddin.
“Sayang okey je nak jumpa dia. Jangan risau.”
Lalu, Mohamad Salahuddin melangkah masuk ke wad yang didiami oleh Abdul Azim. Namun, dia tersentak tatkala dia bertemu dengan ibu bapa Abdul Azim, iaitu Puan Tengku Aulia dan Encik Uthman yang turut berada dalam wad tersebut. Dia mula mengucapkan salam. “Assalamualaikum pak cik, mak cik.”
Anak mata Puan Tengku Aulia dan Encik Uthman memandang ke arah jejaka itu yang kelihatan sebaya dengan anak mereka berdua.
“Waalaikummussalam. Kawan Azim ya?” Encik Uthman mula berbasa-basi dengan Mohamad Salahuddin.
“Ya, saya. Saya Salahuddin. Boleh panggil Din. Dulu, saya ada datang ziarah Azim dengan isteri tapi isteri saya ada kat luar dengan anak-anak. Nak bawa masuk pun kat dalam ni pun, risau juga. Kami masuk bergilir dulu,” balas Mohamad Salahuddin.
“Oh, tak apa kalau macam tu. Kami tunggu kat luar. Din ‘sembang-sembang’lah dengan Azim.”
“Eh, tak apa, tak apa! Boleh je pak cik dan mak cik nak kekal kat dalam wad ni. Tak mengganggu pun.”
“Tak apa. Kami nak bagi privasi kat Din. Lagipun, dah sejam kami ada kat sini.”
Kemudian, berlalulah Puan Tengku Aulia dan Encik Uthman untuk berada di luar wad. Alangkah terkejutnya pasangan itu tatkala mereka berdua ternampak Qistur Ruwaidah. Itulah kali pertama buat pasangan itu bertemu dengan adik Suhaibul Umar itu. Selama ini, mereka hanya pernah menyaksikan Qistur Ruwaidah menerusi gambar yang pernah ditunjuk oleh Suhaibul Umar dan Abdul Azim.
Kelihatan Qistur Ruwaidah menghulurkan senyuman seraya membangunkan diri dari tempat tidurnya untuk bersalaman dengan bonda Abdul Azim itu.
“Isteri Din ya?” soal Puan Tengku Aulia. Sengaja dia ingin berbasa basi dengan wanita yang pernah menjadi dambaan anak bongsunya itu.
Patutlah Abdul Azim pernah menyukai wanita itu. Raut wajahnya penuh kelembutan, sama seperti Suhaibul Umar. Tambahan pula, raut wajah Qistur Ruwaidah semakin lembut setelah wanita itu telah menjadi ibu menerusi penglihatan Puan Tengku Aulia terhadap kereta sorong bayi yang berada di sebelah wanita itu.
“Ya saya,” kata Qistur Ruwaidah bersama kuntuman senyuman.
Lalu, mereka bertiga melabuhkan punggung di atas kerusi yang disediakan oleh pihak hospital itu.
“Kalau tak silap, isteri Din ni adik Suhaib ke?” soal Encik Uthman. Giliran dia pula untuk berbasa-basi dengan Qistur Ruwaidah.
“Ya, betul. Saya adik Abang Suhaib. Nama saya, Qist. Saya lupa pula abang saya rapat dengan mak cik dan pak cik sekali. Abang saya pernah cerita dulu,” kata Qistur Ruwaidah.
“Betul. Sebelum Azim kemalangan dulu, selalu juga Suhaib datang ziarah kami kat Johor. Sekarang, Azim tengah koma pula. Suhaib akan maklum kat kami apa-apa pasal Azim. Setakat ni, Azim macam tu jelah. Dr. cakap tak ada perkembangan apa-apa. Dia pun dah koma setahun lebih,” terang Encik Uthman dengan tenang. Namun, dalam hati siapa yang tahu?
Betapa hibanya hati Qistur Ruwaidah tatkala mendengar kata-kata ayah Abdul Azim itu. Dia tahu perasaan orang tua Abdul Azim itu setelah dia menjadi seorang ibu. Anak kembarnya pernah mengalami demam, sudah cukup membuatkan dirinya tidak keruan. Apatah lagi, Puan Tengku Aulia dan Encik Uthman sedang tabah menyaksikan anak bongsu mereka berdua terlantar koma sejak setahun lebih yang lalu.
Tiba-tiba salah seorang anak Qistur Ruwaidah merengek. Cepat-cepat Qistur Ruwaidah menepuk lembut di bahagian peha Aalqurtubi Shakil. Tidak lama kemudian, anaknya lena semula.
“Eh, kembar ya!” ujar Puan Tengku Aulia dengan teruja tatkala dia ternampak dua orang bayi yang sedang lena dalam kereta sorong bayi.
Qistur Ruwaidah tersenyum. “Ya. Kembar lelaki. Baru masuk empat bulan dalam dua hari lepas.”
“Oh ya. Kalau tak silap, Qist pun ada adik kembar, kan? Suhaib ada cerita dulu.”
“Betul, adik kembar lelaki tapi adik kembar tu dah meninggal dunia. Tinggal saya dan Abang Suhaib je.”
“Emm… Qist… Kalau Qist tak kisah, boleh tak kita sambung sembang kat kafe? Ada cerita yang mak cik nak kongsikan dengan Qist.”
Qistur Ruwaidah berasa agak pelik dengan ajakan Puan Tengku Aulia secara tiba-tiba itu. Namun, dia menghormati wanita itu untuk bertemu dengan dirinya. “Boleh tapi saya nak hubungi suami saya sekejap. Nak minta izin.”
Puan Tengku Aulia gembira dengan penerimaan ajakan daripada wanita itu. “Boleh, boleh. Mak cik pun nak maklumkan kat suami mak cik sekejap.”
Setelah Qistur Ruwaidah dan Puan Tengku Aulia mendapat keizinan daripada suami masing-masing, lalu mereka menuju ke kafe yang terdapat di dalam bangunan hospital tersebut. Sungguh mewah dan eksklusif. Berbaloilah dengan status hospital tersebut sebegai salah sebuah hospital swasta terbaik di Malaysia.
“Mak cik belanja,” ujar Puan Tengku Aulia bersama senyuman. Sudah lama dia ingin berbicara dari hati ke hati dengan wanita di hadapannya ini.
Setelah pesanan menu telah diambil oleh pelayan, masing-masing terdiam seketika. Terasa canggung pula.
“Sebelum tu, mak cik minta maaf sebab tiba-tiba je mak cik nak jumpa Qist tapi sebenarnya, memang mak cik dah lama nak jumpa Qist,” ujar Puan Tengku Aulia.
“Mak cik nak cakap pasal Azim ke?” duga Qistur Ruwaidah. Sejujurnya, dia juga ingin bertanyakan sesuatu berkenaan lelaki itu atau lebih tepat, soal hati Abdul Azim yang tidak pernah diketahui oleh dirinya selepas lamaran jejaka tersebut telah ditolak oleh dirinya.
“Betul, kalau Qist tak kisah tapi kalau Qist tak selesa atau tak suka, tak apa. Mak cik faham. Lagipun, Qist dah kahwin. Dah ada anak pula. Jadi, mungkin Qist tak nak ingat apa-apa pasal Azim.”
“Tak apa, mak cik. Saya okey je. Saya terbuka untuk mak cik nak beritahu apa-apa pasal Azim kat saya. Saya sendiri pun nak tahu pasal Azim. Mak cik boleh mulakan.”
Puan Tengku Aulia tersenyum. Dia lega dengan penerimaan wanita beranak dua itu untuk dia berkongsi berkenaan anak bongsunya itu. “Mak cik kenal Qist dah lama, melalui Azim. Masa tu juga, Suhaib baru kali pertama datang kat rumah kami. Azim pernah beritahu mak cik dan pak cik yang dia suka Qist tapi masa tu, dia masih ragu-ragu dan memang dia ada berhasrat nak lamar Qist bila dia dah sedia…”
“Bila dia cerita serba sikit pasal latar belakang Qist dan Qist ni adik Suhaib, sejujurnya, mak cik dan pak cik suka sangat kat Qist sebab status Qist sebagai anak yatim piatu. Memang kami ada cakap kat Azim, bagus juga cari isteri yang berstatus anak yatim atau anak yatim piatu macam Qist sebab boleh mengingatkan kematian dan belajar erti rendah diri.”
Dalam hati Qistur Ruwaidah, dia mula menjadi sebak. Dia tidak menyangka bahawa ibu bapa Abdul Azim telah lama merestui dirinya tetapi sayangnya, ibu tiri Mohamad Salahuddin terlalu jauh beza dengan Puan Tengku Aulia ini, malah ibu tiri suaminya itu telah bertindak di luar kawalan. Namun, dia tetap bersyukur kerana ayah mentuanya menerima dia seadanya sebagai menantu.
Puan Tengku Aulia menyambung bicaranya. “Tapi, Qist jangan rasa serba salah. Hak Qist untuk memilih suami. Qist lagi tahu apa yang terbaik untuk diri Qist. Mak cik percaya, ada sebab Azim tak ditakdirkan untuk Qist. Memang masa lamaran dia kena tolak, dia sedih sangat dan ambil masa nak terima hakikat yang Qist tak terima lamaran dia sampai dia bercuti kat luar negara dan tunai umrah. Apa yang buat mak cik kagum dengan Azim, dia bangkit balik daripada rasa kecewa tu dan fokus untuk bisnes dia. Lagi buat mak cik kagum, dia ada cerita kat mak cik sebelum dia kemalangan yang dia ada datang majlis kahwin Qist sebab dia tumpang bahagia untuk kawan-kawan dia.”
Jawapan Qistur Ruwaidah telah terjawab sedikit berkenaan jejaka itu. “Mak cik… Azim ada simpan rasa dendam kat saya tak? Yalah, sebab saya dah tolak lamaran dia.”
Puan Tengku Aulia menggelengkan kepalanya. “Azim yang mak cik kenal, dia tak pernah berdendam kat siapa-siapa walaupun ada yang pernah ambil kesempatan kat Azim dan buli Azim tapi Azim tak pernah balas. Apa yang dia buat, dia kuatkan hubungan dia dengan Allah. Boleh kata, setiap malam dia bangun untuk qiamullail sejak dari sekolah menengah. Sama juga situasi bila Qist tolak lamaran dia. Dia tak salahkan takdir. Dia mengakui kesalahan dan kelemahan dia sebab tak pandai tawan hati Qist tapi mak cik percaya, dia ambil pengajaran daripada peristiwa tu. Ikutkan, dia nak minta maaf kat Qist sebab dia pernah tolak luahan perasaan Qist masa kau orang belajar kat Asasi UIA dulu tapi tulah… Masih belum kesampaian dan dia pun masih belum sedar dari koma.”
“Mak cik… Azim tu anak dan kawan yang baik. Cuma, disebabkan peristiwa tulah, membuatkan saya sedikit tawar hati kat Azim dan saya pilih suami saya tapi tipulah kalau masa tu saya tak rasa keliru. Suami saya dan Azim, masing-masing ada kelebihan tersendiri.”
“Betul. Macam mak cik cakap tadi, hak Qist. Qist dah jumpa orang yang tepat untuk Qist. Jadi, Qist jangan risau. Azim tak berdendam pun.”
“Mak cik… Saya pernah terdetik dalam hati, saya doakan supaya Azim akan sedar dari koma dan pulih sepenuhnya. Tu harapan saya sebagai bekas rakan sekelas dia. Saya harap mak cik dan pak cik terus kuat dan jangan mengalah untuk Azim. Moga akan ada keajaiban untuk Azim. Amin.”
“Amin… Insya-Allah. Kami takkan pernah berputus asa untuk Azim. Terima kasih Qist sebab sudi meluangkan masa dengan mak cik sekejap. Mak cik rasa tenang bila mak cik dah dapat jumpa Qist juga akhirnya. Apa-apa pun, mak cik doakan supaya Qist dan suami terus bahagia hingga ke Syurga.”
“Amin… Sama-sama mak cik. Saya pun nak ucap terima kasih sebab mak cik sudi berkongsi pasal Azim kat saya. Sekurang-kurangnya, semua persoalan saya dah terjawab pasal Azim.”
Kini, segala persoalan Qistur Ruwaidah berkenaan Abdul Azim telah terjawab. Jauh di sudut hatinya juga, dia juga mahu memohon maaf secara berhadapan dengan lelaki itu. Dia sudah berumur 23 tahun dan mahu menyelesaikan secara matang dengan Abdul Azim. Barulah kini dia menyedari hakikat bahawa dialah yang kejam dengan menjelaskan jawapan penolakan lamaran itu secara tidak profesional dahulu. Dia meminta abangnya menyampaikan jawapan tersebut melalui rakaman suara sahaja. Bukan secara bertentang mata.
‘Azim… Aku minta maaf. Andai kau dah sedar dari koma, aku nak minta maaf sedalam hati ni,’ bisik hati wanita itu.
“HABIBI tak nak tanya kenapa mak Azim ajak sayang jumpa kat kafe hospital tu?” soal Qistur Ruwaidah setelah keluarganya pulang ke rumah dari Puteri Raudhah Ideal Medical Centre.
Mohamad Salahuddin menggelengkan kepalanya bersama senyuman. “Habibi tak nak tanya sebab habibi tahu, mestilah peribadi untuk kau orang. Orang biasanya panggil apa… hal wanita? Takkan habibi nak menyibuk pula.”
Qistur Ruwaidah tertawa kecil. “Betul juga tapi manalah tahu kalau habibi nak tahu juga.”
“Isy, tak kuasalah habibi! Baik sayang simpan untuk diri sayang je. Dah, jom. Kita baringkan Qalyubi dan Qurtubi baby coat. Lepas tu, kita siapkan tugasan.”
Qistur Ruwaidah tersengih. Ternyata dia amat mengagumi Mohamad Salahuddin yang menghormati hal peribadinya dalam kes seperti ini.
KHAMIS, 17 MEI 2018, 1 RAMADAN 1439H
Pada bulan Ramadan kali ini, ini merupakan tahun kedua buat Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin menyambut bulan tersebut sebagai suami isteri. Akan tetapi, bagi pasangan tersebut, ianya ibarat tahun pertama mereka menyambut bulan puasa bersama-sama kerana tahun lepas merupakan tahun penuh kedukaan buat mereka akibat berlakunya penghantaran sihir daripada Puan Zaidah sehingga hampir meragut nyawa di bulan penuh mulia itu. Apatah lagi, pasangan itu juga tidak dapat berpuasa penuh.
“Alhamdulillah… Tahun ni, dapat juga kita puasa sama-sama, kan sayang?” ujar Mohamad Salahuddin dengan penuh ceria.
“Itulah… Alhamdulillah. Kali ni, kita dah ada Qalyubi dan Qurtubi pula. Ha, habibi jangan lupa bayar zakat fitrah untuk anak-anak kita sekali. Kita dah berempat ni,” balas Qistur Ruwaidah. Lalu, dia tersengih.
“Insya-Allah. Sekejap lagi, habibi pergi bayar zakat kat masjid kalau kaunter adalah. Kalau tak, habibi bayar online je tapi sejujurnya, habibi lagi suka bayar kat kaunter. Boleh simpan kertas bukti bayaran zakat tu.”
“Kan… Okey juga macam tu tapi tahun lepas, ikutkan habibi sempat bayar tak zakat untuk kita?”
“Habibi sempat je bayar masa habibi sakit tu. Wan Dolah ingatkan habibi. Kebetulan ada kaunter zakat buka sebelah pagi kat sekitar Masjid UIA tu. Habibi tak lupa tanggungjawab habibi sebagai suami.”
“Alhamdulillah… Kita ni nak solat kat Masjid UIA ke?”
“Ikutkan macam tulah. Tak jauh dari rumah kita tapi nanti, habibi ada pelan. Kita buka puasa dengan ayah, Keena dan Abang Suhaib kat rumah sayang. Lepas tu, kita buka puasa kat rumah ayah pula. Okey, kan?”
“Eh, okey sangat tu. Wajib buka puasa kat rumah sayang! Mesti Abang Suhaib rasa seronok bila ada ramai orang. Kita lepak dalam seminggu kat rumah sayang. Bolehkan?”
“Okey juga tu. Nanti, kita ajak Abang Suhaib lepak kat rumah kita pula.”
Tiba-tiba…
“Assalamualaikum!” laung seseorang di luar rumah pasangan itu.
“Eh, siapa pula datang?” soal Qistur Ruwaidah.
“Sekejap, habibi pergi tengok,” kata Mohamad Salahuddin seraya menuju ke arah pintu rumah. Lalu, dia memusing tombol pintu itu.
Kelihatan Suhaibul Umar berada di luar rumah bersama senyuman. Di bahunya, dia menggalas sesuatu buat keluarga kecil itu.
“Ya Allah! Abang Suhaib! Sayang… Abang Suhaib datang ni!” suara Mohamad Salahuddin berubah menjadi sangat ceria. Dia segera mengambil kunci bagi membuka mangga gril pintu rumah. Kali ini, dia mahu meraikan abang iparnya dengan lebih baik berbanding sebelumnya walaupun dia tahu, apa yang telah terjadi dahulu, abang iparnya memahami dan tidak menghukumnya. Cuma, dia masih rasa serba salah kerana pernah ‘membenci’ abang iparnya di saat dirinya dalam kawalan sihir dahulu.
“Ha! Abang Suhaib? Ya Allah… Cepat jemput Abang Suhaib masuk, habibi,” kata Qistur Ruwaidah bersama nada penuh ceria. Alangkah dia merindui abangnya itu dan dia tahu… Abangnya turut merindui dirinya. Jika tidak, masakan abangnya tiba-tiba sahaja datang bertandang ke rumah ini tanpa memaklumkan kepada dirinya.
“Jemput masuk, abang,” kata Mohamad Salahuddin.
Suhaibul Umar tersenyum. Lalu, dia melangkah masuk ke dalam rumah keluarga kecil itu dan meletakkan beg kitar semula di atas meja makan. Kelihatan adiknya terus meluru ke arah dirinya dan mendakap dia dengan penuh erat tanpa rasa kekok, sama seperti ketika adiknya bujang dahulu meskipun kini, adiknya telah menjadi seorang isteri dan ibu.
“Adik rindu abang,” ucap Qistur Ruwaidah. Kemudian, dia meleraikan dakapan itu.
“Abang pun rindu sangat kat adik. Sebab abang rindu adiklah, abang datang mengejut ni. Maaflah tak hubungi adik atau Din. Saja nak buat kejutan. Abang ada bawa makanan untuk kita berbuka sekejap lagi. Abang masak untuk kau orang tahu. Cuma, nasi jelah kena masak,” kata Suhaibul Umar.
Mohamad Salahuddin mengeluarkan beberapa bekas makanan dari beg kitar semula itu. Lauk-lauknya masih panas lagi. Dia membuka setiap penutup makanan itu agar makanan tersebut tidak cepat basi.
“Wah, ikan keli goreng, pajeri nanas, sayur campur dan sambal belacan! Rezeki sungguh ni!” kata Mohamad Salahuddin dengan penuh ceria.
“Resepi sambal belacan tu, abang ikut resepi yang Qist bagi. Resepi mak Din, kan?” balas Suhaibul Umar. Namun, menerusi ayat terakhirnya, dia risau jika Mohamad Salahuddin terkesan apabila dia menyebut tentang Puan Zaidah.
“Haah… Walaupun Din tak tahu mayat mak kat mana tapi Din tetap mendoakan kesejahteraan dia. Sambal belacan tulah kenangan yang Din takkan pernah lupa bila Din teringat kat mak. Moga Allah ampunkan dia.”
Qistur Ruwaidah dan Suhaibul Umar saling berpandangan seketika. Tiba-tiba mereka berdua teringat kepada Almarhumah Mak Long Rauzah yang sama kejam seperti Puan Zaidah. Sejujurnya, mereka masih tidak mampu memaafkan wanita itu sehingga kini.
“Sayang masak nasi dulu. Habibi dan abang sembanglah dulu. Kalau abang nak jumpa Qalyubi dan Qurtubi, dia orang tengah tidur kat bilik tu,” cepat-cepat Qistur Ruwaidah mengubah topik perbualan seraya menunjukkan bilik yang didiami oleh si kembar.
Setelah Qistur Ruwaidah menghilangkan diri di dapur, Mohamad Salahuddin dan Suhaibul Umar bersembang di bilik yang didiami oleh si kembar. Risau pula jika membiarkan si kembar itu tanpa pengawasan sesiapa.
“Makin sihat sungguh Qalyubi dan Qurtubi ni,” kata Suhaibul Umar. Dalam hatinya, dia gembira terhadap perkembangan fizikal anak-anak saudaranya yang semakin sihat dan montel itu.
“Alhamdulillah. Makin kuat menyusu anak-anak saudara abang ni dan dia orang dah boleh mula makan pejal bulan lepas. Tu yang abang nampak dia orang makin sihat ni,” kata Mohamad Salahuddin seraya memandang anak-anaknya itu.
“Dah tujuh bulan umur dia orang, kan?”
“Haah… Alhamdulillah. Sekarang, dia orang dah pandai duduk dan merangkak. Keluar suara pun dah pandai. Tak lama lagi, dah boleh berjalan dan bercakap pula.”
“Subhanallah! Makin bijak. Abang doakan Qalyubi dan Qurtubi terus membesar dengan sihat.”
“Amin!”
Tiba-tiba Qistur Ruwaidah memasuki bilik tersebut. “Kau orang kat sini rupanya. Ingatkan kat manalah tadi.”
Mohamad Salahuddin dan Suhaibul Umar tersengih.
Tiba-tiba kelihatan Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil mula mencelikkan mata bersama tangisan.
“Ha, bagus. Baru ingat nak kejutkan dia orang. Kalau tak, dia orang ni tak tidur malamlah jawabnya,” luah Qistur Ruwaidah seraya mendukung Aalqurtubi Shakil. “Ya sayang ummi. Kita pergi mandi ya.”
Mohamad Salahuddin turut mendukung Aalqalyubi Shafiy. “Qurtubi… Jom mandi dengan Abang Qalyubi sekali ya?”
Suhaibul Umar tersenyum dengan gelagat pasangan suami isteri itu yang kelihatan sudah selesa dan rutin dan tugas baharu sebagai ibu bapa. Dia masih ingat lagi… Kalau dulu, masing-masing masih cuba menyesuaikan diri. Dia juga turut terlibat dalam menjaga si kembar itu bergilir-gilir dengan Mohamad Salahuddin pada sebelah malam dalam beberapa bulan dahulu. “Abang nak rehat kat bilik belajar kau orang ya. Kau orang nak mandikan Qalyubi dan Qurtubi tu.”
“Boleh, boleh. Abang pergilah rehat. Malam ni, tidur sini tahu,” pelawa Qistur Ruwaidah.
“Haah, abang… Tidur sini. Abang ada tinggalkan pakaian abang kat sini,” pelawa Mohamad Salahuddin juga.
“Okey, abang tidur sini malam ni. Kau orang nak tarawih kat mana?” ujar Suhaibul Umar.
“Insya-Allah, kita orang nak tarawih kat Masjid UIA.”
“Okey. Kalau macam tu, abang pergi rehat dulu.”
Setelah Suhaibul Umar meninggalkan bilik tersebut, Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin segera menguruskan Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil. Begitulah rutin pasangan itu. Mereka perlu memandikan pasangan kembar itu secara serentak. Jika tidak, menangislah si kembar jika salah seorang tiada di sisi.
Itulah cabaran yang perlu dihadapi oleh Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin, namun mereka tetap bahagia dengan telatah si kembar itu dan semestinya, mereka berdua akan merindukan momen sebegini setelah anak-anak mereka berdua membesar kelak.
JUMAAT, 15 JUN 2018, I SYAWAL 1439H
KOTA BHARU, KELANTAN
Allahu Akbar… Allahu Akbar… Allahu Akbar… La Ilahaillallahu Wallahu Akbar… Allahu Akbar Walillahil Hamd…
Pada tahun lepas, Hari Raya Aidilfitri tidaklah begitu bermakna buat Qistur Ruwaidah rentetan peristiwa suaminya masih tidak sedarkan diri dan roh suaminya terperangkap di dunia Lingkaran. Sungguh, peristiwa tersebut cukup menikam jiwanya. Tambahan pula, dia sedang berbadan dua pada ketika itu dan cukup mencabar untuk dia terus bertahan buat suami dan kandungannya.
Segala puji bagi Allah, pada tahun ini, Hari Raya Aidilfitri cukup bermakna buat dirinya kerana Mohamad Salahuddin sudah pulih sepenuhnya serta hadir pula Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil sebagai penyeri rumah tangga. Itulah sambutan raya buat kali pertama bagi si kembar tersebut.
Di Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini, mereka berempat menyambut di Kelantan bersama Encik Mohd Firdaus, Sakeenah dan Suhaibul Umar. Bagi Qistur Ruwaidah dan Suhaibul Umar, semestinya mereka berdua teruja untuk beraya di negeri tersebut buat kali pertama kerana selama ini, mereka hanya beraya di negeri mereka sahaja. Mereka menginap di rumah yang telah dibeli oleh Encik Mohd Firdaus di sekitar Kota Bharu.
Usai mereka semua bersarapan dan menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid yang berdekatan, mereka meneruskan aktiviti bersalaman di ruang tamu. Bermula dengan Mohamad Salahuddin selaku anak sulung.
“Ayah… Selamat hari raya. Along nak minta maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki selama Along hidup. Terima kasih untuk semuanya. Along takkan lupa jasa dan pengorbanan ayah dalam membesarkan Along dan Keena. Halalkan makan minum Along. Terima kasih juga sebab restu Along kahwin dengan Kak Long,” ucap Mohamad Salahuddin.
Encik Mohd Firdaus tersenyum. “Selamat hari raya juga, Along. Ayah halalkan semua. Ayah pun nak minta maaf kalau selama ni, ayah tak didik Along dengan baik. Sekarang, Along pun dah ada keluarga sendiri. Apa-apa yang ayah dah pernah ajar selama ni, mana yang baik, gunalah untuk rumah tangga Along. Mana yang buruk, jadikan pedoman. Nah, duit raya untuk Along.”
Mohamad Salahuddin tersengih malu. Walaupun dia sudah menjadi seorang suami dan ayah, Encik Mohd Firdaus masih sudi memberikan duit raya kepada dirinya. “Allah… Malu pula Along nak ambil. Along dah kahwin ni, ayah.”
“Tak apa… Untuk kegunaan Along juga bila Along terdesak nak guna duit ni.”
Lalu, Mohamad Salahuddin dan Encik Mohd Firdaus saling berpelukan.
Seterusnya, giliran Sakeenah bersama Encik Mohd Firdaus. Qistur Ruwaidah bersalaman dengan suaminya terlebih dahulu sementara hendak menunggu gilirannya.
“Habibi… Selamat hari raya. Sayang nak minta maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki. Sayang tahu sayang banyak kekurangan. Pernah termarahkan habibi. Terima kasih sebab habibi banyak bimbing sayang untuk jadi wanita lebih baik dan sabar dengan sayang. Terima kasih juga sebab jadi suami terbaik untuk sayang dan abi terbaik untuk Qalyubi dan Qurtubi,” ucap Qistur Ruwaidah dengan penuh sebak.
Mohamad Salahuddin mengucup ubun-ubun isterinya. “Selamat hari raya juga, sayang. Habibi maafkan segala silap sayang. Habibi pun nak minta maaf di atas segala salah dan silap habibi selama habibi jadi suami sayang. Kita sebagai manusia, takkan pernah terlepas dari kesalahan. Segala ucapan terima kasih yang sayang cakap, sama-sama habibi ucapkan. Perjalanan perkahwinan kita masih jauh tapi habibi harap, kita terus kuat macam sekarang.”
“Insya-Allah habibi. Sayang pun maafkan habibi. Sayang tak simpan apa-apa dendam atau makan hati dengan habibi. Sayang bahagia sangat kahwin dengan habibi.”
“Habibi pun sama. Sayanglah pelengkap hidup habibi. Terima kasih untuk semuanya, sayang. Terima kasih sebab jadi isteri terbaik untuk habibi dan ummi terbaik untuk Qalyubi dan Qurtubi. Sebagai tanda terima kasih, ni duit raya daripada habibi,” ujar Mohamad Salahuddin. Lalu, dia mengeluarkan sampul duit raya dari poket baju Melayunya.
Qistur Ruwaidah menyambut sampul duit raya tersebut dengan wajah penuh gembira. “Sama-sama dan terima kasih kembali, habibi.” Lalu, dia mendakap suaminya dalam tempoh yang cukup lama. “I love you, habibi,” bisiknya perlahan ke telinga suaminya.
Mohamad Salahuddin tersenyum. “I love you too, sayang,”
Seterusnya, Qistur Ruwaidah bersalaman dengan Encik Mohd Firdaus. “Ayah, selamat hari raya. Terima kasih sebab terima Kak Long sebagai menantu ayah. Kak Long nak minta maaf selama Kak Long jadi menantu ayah, Kak Long ada terguriskan hati ayah.”
Encik Mohd Firdaus tersenyum. “Selamat hari raya juga, Kak Long. Terima kasih juga sebab sudi terima Along sebagai suami Kak Long, terima ayah dan Keena juga. Kak Long menantu ayah yang cukup baik. Ayah tahu Kak Long dah lalui macam-macam dulu tapi ayah bangga, Kak Long masih bertahan sampai hari ni. Kalau mama baba Kak Long hidup lagi, ayah pasti… Mereka akan bangga dan gembira untuk Kak Long. Teruskan jadi anak, adik, isteri, menantu dan ummi yang kuat.”
Alangkah sebaknya Qistur Ruwaidah mendengar ucapan daripada ayah mentuanya itu. “Insya-Allah ayah,” ucapnya. Kemudian, dia mendakap ayah mentuanya itu. Pada ketika itu, dia seolah-olah terasa keberadaan Encik Isyraf Imrani.
“Nah, duit raya untuk Kak Long,” kata Encik Mohd Firdaus seraya mengeluarkan sampul duit raya dari poket baju Melayu.
Qistur Ruwaidah menyambut dengan senyuman. “Terima kasih ayah.”
“Sama-sama Kak Long.”
Seterusnya, giliran Qistur Ruwaidah bersalaman dengan abangnya. “Selamat hari raya, abang. Adik nak minta maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki.”
Suhaibul Umar mengangguk bersama senyuman. “Selamat hari raya juga, adik. Abang halalkan semuanya. Abang pun nak minta maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki selama abang jadi abang adik.”
“Abang… Selama ni, adik tahu adik dah banyak menyusahkan abang. Besar pengorbanan abang yang adik tahu, adik takkan mampu ganti dengan nyawa atau duit.”
“Adik… Tak pernah terlintas dalam fikiran abang yang adik ni menyusahkan abang. Apa yang abang tahu, adik ni nyawa abang lepas keluarga kita dah tak ada. Sekarang, adik pun dah ada kehidupan sendiri dengan Din, Qalyubi dan Qurtubi. Jujur, abang rindu masa zaman adik tak kahwin lagi tapi abang tahu, nilah pengorbanan yang abang perlu buat. Adik berhak untuk bahagia dengan Din dan abang lepaskan adik sebab kalau apa-apa jadi kat abang, Din ada.”
Qistur Ruwaidah terus mendakap abangnya. Air matanya mengalir deras. “Abang… Adik tak pernah lupa segala pengorbanan abang dulu. Abang banyak lindungi adik daripada Mak Long. Abang sanggup ikat perut sebab semata-mata nak bagi adik kenyang. Adik tahu semua tu. Adik pun rindu kenangan kita sama-sama sebelum adik kahwin dulu.”
Suhaibul Umar turut menitiskan air matanya. “Adik dah pilih jalan untuk kahwin dan adik berkorban untuk tinggalkan abang sebab adik ikut suami. Jangan terdetik langsung untuk rasa menyesal. Anggaplah apa yang jadi dulu antara kita sebagai memori. Adik tolong doakan abang supaya abang dapat jumpa isteri macam adik, yang faham abang. Macam mana adik harapkan suami adik macam abang, macam tulah juga apa yang abang harapkan untuk isteri idaman abang, sama macam adik.”
“Insya-Allah abang. Insya-Allah.”
Lama dua beradik itu berpelukan dan meluahkan apa yang terbuku di hati. Masing-masing rasa berat dengan perasaan yang dipendam ini. Qistur Ruwaidah sudah berkorban meninggalkan abangnya kerana dia memilih jalan untuk hidup bersama dengan Mohamad Salahuddin manakala Suhaibul Umar pula mengorbankan perasaan rindu dan kesunyian yang tidak terhingga terhadap adiknya setelah adiknya berumah tangga.
Kemudian, giliran Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil bersalaman dengan ibu bapa mereka, datuk serta ibu dan bapa saudara mereka berdua sebagai sesi penutup untuk aktiviti bersalaman di pagi raya. Si kembar itu menerima duit raya daripada semua orang. Betapa mereka berdua dikasihi oleh semua orang. Masing-masing tahu bahawa roh si kembar itu telah menyelamatkan roh Mohamad Salahuddin di saat nyawa lelaki itu di ambang maut.
Usai sesi bersalaman dan bermaaf-maafan, tibalah giliran bergambar yang ditangkap oleh Suhaibul Umar untuk potret adiknya, anak-anak saudaranya dan keluarga Mohamad Salahuddin. Kemudian, giliran Mohamad Salahuddin pula menangkap potret isteri dan abang iparnya. Masing-masing saling membantu. Akhir sekali, semua orang berada dalam satu potret dengan menggunakan ‘self-timer’.
Itulah kisah raya yang cukup bermakna buat Qistur Ruwaidah bersama insan-insan yang bermakna dalam kehidupannya.
1 SEPTEMBER 2016 - 1 SEPTEMBER 2018
Pada tahun ini, genaplah usia pernikahan Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin yang kedua. Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil pula bakal berusia 11 bulan pada keesokan harinya kerana mereka dilahirkan pada 2 Oktober 2017. Pada bulan hadapan, genaplah hari ulang tahun kelahiran mereka yang pertama.
Mohamad Salahuddin membawa isteri dan anak-anaknya bagi menyambut ulang tahun perkahwinan di Restoran ‘Fruit De Mer’. Keluarga kecil itu berpakaian sedondon rona hitam dan kelabu. Nampak elegan.
“Alhamdulillah. Sedar tak sedar, kita dah kahwin dua tahun rupanya ya, sayang,” kata Mohamad Salahuddin seraya memegang tangan isterinya.
Meskipun kehidupan Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah tidak lagi sama seperti tahun pertama mereka berkahwin dahulu kerana keutamaan tanggungjawab mereka berdua kini beralih kepada Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil pula tetapi itu tidak bermakna Mohamad Salahuddin mengabaikan sifat romantiknya terhadap Qistur Ruwaidah.
“Alhamdulillah. Allah masih panjangkan jodoh kita, habibi,” kata Qistur Ruwaidah. Sejujurnya, dia sendiri tidak menyangka bahawa jodohnya bersama suami tercinta masih panjang sehingga ke saat ini.
“Tengok Qalyubi dan Qurtubi tu. Tak boleh berenggang langsung,” kata Mohamad Salahuddin seraya memandang Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil yang sedang berada di kerusi kanak-kanak serta memerhatikan keadaan sekeliling. Ada ketikanya, anak-anaknya tertawa gembira apabila dia mengagah si kembar itu.
Qistur Ruwaidah tersenyum dengan keakraban yang dibina oleh Mohamad Salahuddin terhadap putera kembar mereka berdua. Dia tahu bahawa suaminya mahu menjadi seorang ayah dan pada masa yang sama, seorang kawan juga buat Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil.
Psikologi anak-anak menjadi keutamaan buat pasangan itu agar si kembar itu membesar dengan mental yang sihat. Pasangan itu telah berjanji untuk menjadi ibu bapa yang memahami minat serta perasaan anak-anak. Apatah lagi, Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin merupakan Generasi Z manakala Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil merupakan Generasi Alfa. Semestinya, zaman cukup berubah.
“Nampak gayanya… sayang dah jadi nombor dua ni,” seloroh Qistur Ruwaidah.
Mohamad Salahuddin yang ralit melayan kerenah si kembar, terus memandang isterinya. “Takkan sayang cemburu pula?” Dia memulangkah paku buah keras terhadap isterinya.
“Ha, yalah. Qalyubi dan Qurtubi dah curi perhatian habibi. Sayang cemburulah.”
Mohamad Salahuddin tertawa kecil. “Alamak… Habislah habibi! Ada tiga orang berebutkan habibi. Habibi lari dulu.”
Lalu, pasangan itu tertawa kecil. Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil turut ketawa dengan mimik muka ibu bapa mereka.
Tidak lama kemudian, menu yang dipesan telah pun tiba di meja makan yang diduduki oleh keluarga kecil itu. Bagi Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil, Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin telah memberi makan kepada anak-anak mereka di rumah tadi.
“Nah sayang,” kata Mohamad Salahuddin seraya menyuapi isterinya. Alangkah dia teringat kenangan itu di meja makan bahagian dapur rumah isterinya pada hari pertama mereka berkahwin dulu.
Qistur Ruwaidah menyambut hidangan tersebut. “Alahai… Sayang betul-betul rasa kita macam pengantin baharu balik. Sayang teringat bila habibi suap sayang kat meja makan dapur rumah sayang dulu.”
“Ya. Sebab tu, habibi suap sayang. Sayang ingat sebagai tanda apa?”
“Mestilah sayang ingat. Sebagai tanda, sayang ni keutamaan habibi dalam apa jua habibi nak buat.”
“Subhanallah! Sayang ingat! Bijak isteri habibi ni. Untung habibi ada isteri yang berfikiran cerdas.”
Qistur Ruwaidah tersenyum. Lalu, giliran dia pula menyuapi suaminya. Mohamad Salahuddin menyambut suapan daripada isterinya itu.
Usai pasangan itu menjamu selera, masing-masing memberikan perhatian kepada anak-anak pula. Kalau dulu, ada masa juga untuk mereka bersembang dari hati ke hati selepas makan. Sekarang, mereka perlu bijak mencuri masa untuk sesi “pillow talk” di kamar tidur sahaja selepas lahirnya si kembar itu.
Sebelum Qistur Ruwaidah, Mohamad Salahuddin dan anak-anak mereka mahu pulang ke rumah, Qistur Ruwaidah mengajak suaminya untuk swafoto secara berdua di hadapan cermin. Lalu, Mohamad Salahuddin bersetuju dan kenangan itu terus ditangkap oleh Qistur Ruwaidah dengan menggunakan telefon pintarnya. Sejujurnya, mereka berdua sudah lama tidak berswafoto begini.
“Sayang, bila kita dah sampai rumah dan kita dah tidurkan Qalyubi dan Qurtubi nanti, habibi nak ‘pillow talk’ dengan sayang. Pasal masa depan kita. Boleh?” ujar Mohamad Salahuddin.
“Okey, habibi. Boleh. Rasanya, lama juga kita tak ‘pillow talk’ sama-sama, kan?” balas Qistur Ruwaidah.
Wajah Mohamad Salahuddin menjadi serba salah. “Itulah. Habibi rindu sebenarnya. Habibi minta maaf sangat sebab habibi sibuk mengajar sebelah malam. Bila habibi balik, sayang dah tidur pula dengan anak-anak kita.”
“Tak apa, habibi. Sayang faham habibi sibuk cari nafkah untuk keluarga kita. Alang-alang habibi lapang malam ni, bolehlah kita curi masa. Sayang pun nak minta maaf juga sebab sayang dah tidur bila habibi balik. Sayang mengantuk sangat sebab uruskan Qalyubi dan Qurtubi.”
“Tak apa, tak apa. Habibi faham sayang pun penat. Kita sama-sama penat. Rutin kita dah tak sama macam dulu. Kadang-kadang tu, habibi rasa ralat juga sebab tak dapat nak bagi perhatian penuh kat sayang dan anak-anak kita. Kalau badan habibi ni boleh belah separuh, dah lama habibi buat.”
Qistur Ruwaidah tersengih mendengar ayat terakhir suaminya itu. “Tak apa. Nilah pengorbanan yang kita kena buat untuk Qalyubi dan Qurtubi. Kalau dulu masa kita berbulan madu, kita nak sangat ada anak. Sekarang, bila kita dah ada anak-anak ni, hadaplah apa yang kita minta. Tak boleh nak mengeluh sebab situasi dah tak sama dengan sebelum ada anak dan selepas ada anak. Fokus utama kita sekarang, kita nak didik Qalyubi dan Qurtubi tapi cinta sesama kita juga tetap boleh seiring.”
Mohamad Salahuddin mengangguk. Dia bersetuju akan kata-kata isterinya itu.
Selepas keluarga kecil itu pulang ke rumah, Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin menguruskan Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil terlebih dahulu sehinggalah anak-anak mereka berdua dibuai lena. Kemudian, giliran mereka berdua pula membersihkan diri sebelum bermulanya sesi “pillow talk”.
Qistur Ruwaidah menyisir rambutnya, lalu dia mengikat rambutnya, namun Mohamad Salahuddin meleraikan ikatan getah rambut itu.
“Sayang lagi cantik kalau tak ikat rambut. Dah lama habibi tak tengok sayang tak ikat rambut macam ni,” puji Mohamad Salahuddin.
“Sayang tahu habibi suka kalau sayang tak ikat rambut tapi sayang rimas. Okeylah, malam ni sayang tak ikat rambut.”
Mohamad Salahuddin tersenyum. Sungguh, dia merindui kenangan ini pada hari pertama dia menjadi suami untuk Qistur Ruwaidah. Tanpa sepatah bicara, dia menggendong isterinya sehingga ke katil. Dia mahu mengembalikan kenangan itu.
Qistur Ruwaidah tersenyum. Dia tahu bahawa suaminya mahu mengembalikan memori itu. Tubuhnya mula dibaringkan oleh suaminya dengan penuh lemah lembut. Kemudian, suaminya berbaring di sebelahnya.
“Sayang rindu bila habibi buat macam tu?” soal Mohamad Salahuddin.
“Mestilah! Buat sayang makin jatuh cinta kat habibi tahu,” balas Qistur Ruwaidah dengan ceria.
“Habibi pun makin jatuh cinta kat sayang. Habibi tak pernah bosan dengan sayang. Bagi habibi, sayang ni penenang jiwa habibi dari hari pertama kita kahwin.”
Semakin berbungalah hati Qistur Ruwaidah mendengar bicara suaminya itu. “Sayang pun tak pernah bosan dengan habibi. Bila habibi pergi kelas atau kerja, sayang rindu sangat kat habibi. Mujur ada Qalyubi dan Qurtubi sebagai pengubat rindu tahu.”
“Alahai… Habibi pun rindu sangat kat sayang. Okey, ‘pillow talk’ kita malam ni, macam habibi cakap kat restoran tadi, habibi nak bincang pasal masa depan kita. Sebenarnya, habibi ingatkan… Okey tak kalau kita tambah ahli baharu dalam tahun depan kalau Allah bagi peluang lagi kat kita?”
Qistur Ruwaidah terdiam seketika. “Tambah ahli baharu?”
“Haah… Tapi, kalau sayang tak sedia lagi, tak apa. Habibi faham. Yalah, bulan depan Qalyubi dan Qurtubi baru je masuk setahun. Tiba-tiba kita nak tambah anak pula.”
“Kalau sayang mengandung lagi tahun ni, jujur sayang cakap, sayang tak bersedia lagi. Trauma bersalinkan Qalyubi dan Qurtubi pun tak hilang lagi. Lagipun, kalau sayang mengandung lagi dalam tempoh sekarang, kemungkinan sayang takkan dapat berkonvokesyen dengan habibi sekali tahun depan. Sayang nak hadap praktikal lagi masa ‘short sem’ tahun depan. Kalau sayang nak pun, tunggu lepas kita sama-sama habis belajar dulu. Baru kita fikir nak tambah anak. Boleh?”
“Kalau macam tu, habibi hormat keputusan sayang. Habibi faham sayang masih perlukan masa.”
“Habibi tak terasa sayang cakap macam tu, kan?”
“Eh, taklah! Habibi okey jelah. Kita tengah bincang, kan.”
Qistur Ruwaidah tersenyum mendengar kata-kata suaminya itu. Betapa dia amat bersyukur dengan sifat toleransi yang dimiliki oleh Mohamad Salahuddin. “Habibi… Alang-alang habibi tengah buka topik pasal nak tambah anak ni, kalau ikut kemampuan habibi, habibi nak berapa orang anak? Habibi kena fikir juga dari segi keperluan dia orang. Memang anak tu rezeki Allah tapi kita kena tengok juga kemampuan kita nak besarkan dia orang. Kita kena rancang anak. Kalau anak terabai, tak boleh juga. Tu kira kita dah menyeksa anak namanya. Kita tak amanah dan tak hormat anak-anak kita.”
“Habibi suka dengar hujah sayang. Memang betul apa yang sayang cakap. Keperluan anak-anak kita paling utama dari segi keperluan diri, bilik untuk setiap anak-anak kita, pendidikan, simpanan dan beberapa aspek lain. Sejujurnya, habibi mampu sampai tujuh orang anak. Habibi nak beritahu perancangan dan kejutan daripada habibi untuk sayang. Habibi dah rancang untuk enam hingga 10 tahun pertama kita kahwin ni, kita menyewa kat sini dulu. Lepas tu, habibi dan ayah dah tinjau beberapa rumah sekitar kawasan Gombak dan Ulu Klang, memang habibi dah berkenan dalam beberapa rumah. Nanti habibi tunjuk kat sayang dan anak-anak kita,” balas Mohamad Salahuddin dengan penuh bersemangat.
Alangkah terkejutnya Qistur Ruwaidah mendengar perancangan masa hadapan suaminya itu. “Seriuslah! Maknanya, target habibi nak beli rumah antara enam hingga 10 tahun dari sekarang?”
“Haah… Insya-Allah. Doakan habibi. Habibi nak bagi keselesaan kat sayang dan anak-anak kita. Kalau kat rumah sewa ni, kita tak boleh nak hias apa-apa dan tak boleh nak tebuk dinding. Bilik tidur pun tak cukup.”
“Banyaknya duit habibi. Sayang tak pernah nak tanya duit habibi banyak mana. Kalau habibi tak kisah, boleh habibi kongsi dengan sayang?”
Mohamad Salahuddin tersenyum. “Boleh… Jumlah duit yang habibi ada…” Kemudian, dia berbisik ke telinga isterinya.
Qistur Ruwaidah terkedu dengan jumlah wang yang dimiliki oleh Mohamad Salahuddin serta perancangan kewangan yang dilakukan oleh suaminya itu.
Mohamad Salahuddin turut berkongsi kisahnya kepada isterinya bahawa dia menyimpan di beberapa tempat pelaburan, hasil dia bekerja sampingan sejak umur 18 tahun dan duit belanja yang diberikan oleh ayahnya juga turut disimpan sedikit tanpa culas. Memang dia sudah mempunyai kesedaran melakukan simpanan sejak dia mula jatuh cinta kepada Qistur Ruwaidah. Dia juga bertanya kepada orang yang arif berkenaan persediaan kewangan sebelum dia mengambil keputusan untuk melamar Qistur Ruwaidah pada umur 21 tahun dahulu.
“Subhanallah! Habibi ni… Memang sayang tabiklah! Kat mana lagi sayang nak jumpa lelaki macam habibi?” luah Qistur Ruwaidah.
“Edisi terhad,” balas Mohamad Salahuddin bersama sengihan.
“Betullah tu. Sayang beruntung sangat jadi isteri habibi. Kalau macam ni, sayang sanggup je nak mengandung lima kali lagi tapi masa nak bersalin tulah… Aduh…”
Mohamad Salahuddin tertawa. “Sayang… Sayang… Tak apalah. Badan sayang kena rehat buat masa sekarang. Kita pun nak kena fokus kat Qalyubi dan Qurtubi. Dia orang pun masih menyusu.”
Qistur Ruwaidah mengangguk. “Betul. Emm… Habibi… Jom teman sayang malam ni?” ujarnya dengan nada manja.
Mohamad Salahuddin mengangguk bersama senyuman. Dia mengerti keinginan isterinya itu.
DUA MINGGU sebelum ulang tahun kelahiran pertama Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil, sebuah peristiwa yang amat menyentuh hati Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin sebagai ibu bapa.
Dengan kuasa Ilahi, Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil sudah boleh berjalan. Mereka juga sudah boleh menyebut “ummi” dan “abi”. Bagaikan baru sahaja si ibu itu melahirkan putera kembarnya.
“Ummi… Abi…” panggil si kembar itu tanpa pelat dengan penuh ceria seraya berjalan terkedek-kedek tetapi laju.
“Qalyubi, Qurtubi… Mari kat abi,” kata Mohamad Salahuddin seraya mendepakan tangannya.
Si kembar itu begitu pantas berjalan ke arah ayah mereka berdua. Qistur Ruwaidah pula merakam video untuk situasi itu dengan penuh rasa terharu. Anak-anaknya sudah membesar dengan baik dan bijak sekali.
“Umminya tak nak ikut anak-anak peluk abinya sekali?” sakat Mohamad Salahuddin seraya mendukung Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil secara serentak. Kelihatan anak-anaknya begitu bangga kerana mempunyai seorang ayah di sisi mereka berdua.
Qistur Ruwaidah tersengih. “Tak naklah! Malu kat anak-anak,” balasnya dengan malu-malu. Namun, dia gembira untuk tiga beranak itu. Allah masih mengizinkan buat si kembar tersebut bagi merasai erti kasih sayang seorang ayah. Jika tidak, kasihan anak-anaknya akan mengalami nasib yang sama seperti dirinya.
Syukur! Itu sahaja apa yang Qistur Ruwaidah mampu rasakan kini bersama keluarga kecilnya itu. Dia sudah cukup bahagia!
2 OKTOBER 2017 - 2 OKTOBER 2018
Allah selamatkan kamu… Allah selamatkan kamu… Allah selamatkan Qalyubi dan Qurtubi… Allah selamatkan kamu.
Kemudian, dinyanyikan pula dalam versi bahasa Inggeris. Happy birthday to you… Happy birthday to you… Happy birthday to Qalyubi and Qurtubi. Happy birthday to you.
Begitulah nyanyian lagu hari lahir sempena ulang tahun yang pertama buat Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil oleh para tetamu. Betapa si kembar itu sangat gembira walaupun mereka masih tidak mengerti apa yang terjadi pada hari ini. Tambahan pula, maskot Burger King juga memeriahkan suasana di rumah kediaman arwah ibu bapa Qistur Ruwaidah dan Suhaibul Umar.
Lilin yang dicucuk di atas kek milik Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil mula ditiup oleh Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin. Kemudian, tangan si kembar itu mula memotong kek sambil dibantu oleh ibu bapa mereka juga.
Tema majlis ulang tahun kelahiran Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil berkonsepkan beruang dan dekorasi majlis tersebut mendapat sentuhan daripada Suhaibul Umar selaku perancang majlis hari lahir si kembar itu dan dibantu oleh sahabat baiknya, Afkar Arsyad.
Idea maskot Burger King itu datangnya daripada Suhaibul Umar juga kerana dia tidak mahu anak-anak saudaranya merasai seperti dirinya dan Qistur Ruwaidah, iaitu mereka berdua dipulau oleh kawan-kawan sekolah rendah kerana tidak menjemput mereka berdua ke majlis hari lahir di sekolah. Hanya kerana mereka tidak pernah menyiapkan kerja sekolah dan dibenci oleh para guru dan rakan-rakan.
“Aku tahu kau nakkan yang terbaik untuk keluarga adik kau. Kau dah buat yang terbaik, Suhaib. Aku bangga. Qalyubi dan Qurtubi pun mesti bangga ada pak cik macam kau,” ujar Afkar Irsyad.
“Kau pun tahu kenapa aku beria untuk hari ni sampai aku ajak kau untuk sama-sama jayakan majlis Qalyubi dan Qurtubi?” balas Suhaibul Umar.
“Aku tahu. Sebab kau tak pernah rasa benda macam ni selama kau tinggal dengan mak saudara kejam kau tu. Suhaib… Aku tak salahkan kau bila kau cakap kau masih tak boleh nak maafkan mak long kau. Kau ada sakit mental pun sebab dia juga.”
Suhaibul Umar mengangguk perlahan. “Aku rindu mama, baba, Dik Qina, Dik Harraz dan Dik Harzan, Afkar…”
Afkar Irsyad memegang bahu sahabat baiknya itu. “Suhaib, aku faham tapi kau kena kuat untuk waktu sekarang ni. Kita tengah ada majlis ni. Lepas habis majlis ni, kalau kau nak menangis kat aku, menangislah.”
Sekali lagi, Suhaibul Umar mengangguk perlahan. Memang Afkar Irsyad seorang sahabat yang cukup baik dan hadiah yang Allah kurniakan kepada dirinya selama 12 tahun ini. Sekali pun, Afkar Irsyad tidak pernah meninggalkan dirinya. Bukan seperti kawan baik di sekolah rendahnya dahulu, iaitu Anas dan dia sendiri tidak mengetahui keberadaan Anas itu setelah dia bebas daripada cengkaman Mak Long Rauzah. Dia juga sudah lupa nama penuh Anas itu.
Biarlah… Lebih baik begitu. Lagipun, Suhaibul Umar berkawan dengan Anas sekejap sahaja. Seringkali dia beranggapan bahawa Anas kejam, meninggalkan dirinya sendirian dahulu. Dia hanya ada Qistur Ruwaidah sebagai sahabat baik di sekolah rendah itu.
Nama sekolah rendah itu juga dihapuskan dalam kotak memori Suhaibul Umar. Begitu juga dengan Qistur Ruwaidah. Masing-masing tidak mahu mengingati semula apa-apa berkenaan sekolah tersebut. Duka buat mereka berdua itu terlalu mendalam.
“Abang Suhaib! Jom bergambar!” panggil Qistur Ruwaidah.
Suhaibul Umar tersenyum. Lalu, dia menuju ke arah keluarga kecil itu. Si kembar itu juga turut memanggil ayah saudara mereka. “Ba…ba!” Semakin terharulah sang ayah saudara itu tatkala Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil sudah boleh memanggil dirinya. Bagaikan baru semalam dia mengetahui berkenaan kandungan adiknya. Kini, si kembar itu telah berusia setahun serta sudah boleh berjalan dan bercakap.
Pada hari tersebut, majlis hari lahir Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil cukup meriah dan dirasakan sangat berkat kerana anak-anak yatim juga turut memeriahkan majlis si kembar itu.
Usai sahaja majlis tersebut pada sebelah petangnya dan si kembar juga sudah tidur di bilik arwah Harrazul Umair dan Harzanul Uzair dan ditemani oleh Mohamad Salahuddin, tinggallah Qistur Ruwaidah dan Suhaibul Umar di ruang tamu.
“Abang, terima kasih sebab dah jayakan majlis Qalyubi dan Qurtubi. Memang terbaik. Dia orang pun seronok sangat hari ni. Untung dia orang ada pak cik yang pandai menghias,” puji Qistur Ruwaidah.
“Sama-sama. Apa-apa je untuk adik, Din, Qalyubi dan Qurtubi. Abang pun gembira sebab apa yang abang buat untuk kau orang hari ni, berbaloi,” balas Suhaibul Umar.
“Emm… Adik nampak abang menangis kat Abang Afkar tadi,” luah Qistur Ruwaidah. Dia mengharapkan abangnya masih sudi berkongsi dengan dirinya apa jua masalah walaupun dia sudah berkeluarga.
Suhaibul Umar terdiam seketika. Perlukah dia jujur dengan adiknya itu? Dia tidak mahu menyerabutkan adiknya. Adiknya juga sudah mempunyai kehidupan sendiri, pening untuk menguruskan keluarga. Lagi-lagi, anak kembar adiknya yang makin aktif dan lincah. Takkanlah dia mahu menyerabutkan fikiran adiknya untuk perkara sebegini pula.
“Abang… Abang tahu adik akan dengar je apa-apa masalah abang, kan?” luah Qistur Ruwaidah.
“Adik dah kahwin. Adik kena bagi perhatian kat keluarga adik. Dah tak sama macam dulu,” balas Suhaibul Umar.
Qistur Ruwaidah segera mendakap abangnya. “Abang… Jangan rasa macam tu. Walaupun adik dah kahwin tapi tak bermakna adik tak nak dengar masalah abang macam sebelum adik kahwin dulu. Memang adik dah ada suami dan dah jadi ummi tapi adik tetap adik untuk abang. Adik tahu abang sunyi lepas adik dah keluar dari rumah ni tapi percayalah, adik risau kat abang. Adik risau kat sakit PTSD abang.”
Suhaibul Umar diam membisu. Sungguh, konflik dalamannya benar-benar menyakiti jiwanya. Sejujurnya, dia reda bahawa adiknya tidak boleh selalu ada untuk dirinya seperti dahulu. Hendak menelefon adiknya, dia risau jika dia mengganggu adiknya yang sibuk menguruskan rumah tangga.
“Abang… Cakaplah sesuatu. Jangan simpan. Kenapa abang menangis tadi?” pujuk Qistur Ruwaidah.
Akhirnya, Suhaibul Umar meluahkan apa yang terbuku di hati. “Adik… Memang abang rasa sunyi lepas adik dah kahwin. Abang ingat, abang kuat bila abang lepaskan adik kat Din tapi sebenarnya, abang tak kuat rupanya. Ibarat macam adik dah tak ada. Adik dah ‘ikut’ keluarga kita. Berkali-kali abang cuba terima hakikat. Macam-macam cara abang cuba untuk ubat rasa sunyi abang tapi abang gagal. Hampir setiap malam, abang mengadu kat Allah supaya Dia kuatkan abang tapi abang ni manusia, adik. Abang tahu abang tak patut cakap macam ni. Kalau Din dengar, abang tahu dia akan kecil hati.”
“Tak, abang. Tak. Adik tahu Din pun akan faham. Sebab tu, dia selalu pesan kat adik supaya hubungi abang. Dia tak nak abang rasa sunyi. Dia pun rindu kat Keena tu. Lepas mak dah tak ada, lagilah dia risau kat Keena. Kita orang pun sama-sama rasa macam ni. Sebab tu, kita orang cuba bahagikan masa untuk abang, ayah dan Keena,” luah Qistur Ruwaidah.
Suhaibul Umar mengalirkan air matanya. “Abang sunyi, adik. Abang menangis kat Afkar tadi sebab abang teringat zaman sekolah rendah kita kat sekolah tu. Kita kena pulau dengan cikgu dan kawan-kawan. Kawan-kawan tak ajak kita pergi majlis hari jadi dia orang. Satu lagi… Abang rindu kat keluarga kita. Bila Qalyubi dan Qurtubi lahir, buat abang makin teringat kat keluarga kita dan abang tak nak dia orang jadi macam kita. Abang nak dia orang jadi budak-budak bahagia.”
“Adik tahu, abang. Abang dah buat yang terbaik untuk Qalyubi dan Qurtubi dari hari pertama abang tahu adik mengandung sampailah sekarang. Adik bangga dengan abang. Kembar pun sayang kat abang. Abang pun tengok sendiri kalau abang ziarah kembar, mesti dia orang nak ajak abang keluar jalan-jalan sebab dia orang tahu, dia orang ada ‘ayah kedua’ yang sayang sangat kat dia orang. Abang pun dah bagi macam-macam kat dia orang. Memang beruntung sungguh budak kembar tu.”
Suhaibul Umar masih berterusan menangis dalam dakapan adiknya. Qistur Ruwaidah membiarkan abangnya menangis dalam dakapannya. Dia tahu abangnya memerlukan sentuhan kasih sayang.
Dalam diam, Mohamad Salahuddin mencuri dengar perbualan dua beradik itu. Dia juga turut tersentuh hati mendengar luahan hati Suhaibul Umar selaku abang dan ayah saudara. Jujur, dia tidak terasa hati. Dia juga selaku anak sulung memahami apa yang terbuku di hati lelaki itu. Dia juga merindui Sakeenah. Namun, dia lega kerana sekurang-kurangnya Encik Mohd Firdaus masih ada untuk menjaga si bongsu itu. Namun, Suhaibul Umar? Dia tiada sesiapa.
Pada saat itu, dia berazam untuk membeli rumah berdekatan dengan rumah arwah ibu bapa mentuanya ini agar isteri dan anak-anaknya dapat melawat Suhaibul Umar dengan lebih kerap. Suhaibul Umar juga boleh menziarahi keluarganya tanpa sempadan. Lagi bagus jika ada jiran di sekitar ini yang mahu menjual rumah kepadanya. Dia juga merasakan bahawa rumah sewa di kawasan Sungai Pusu itu telah membataskan kasih sayang yang terbina di antara dua beradik itu.
TUMPAT, KELANTAN
“Dulu, ayah membesar kat Tumpat dan bersekolah pun kat Tumpat,” cerita Mohamad Salahuddin.
Misi Mohamad Salahuddin adalah untuk mencari kubur ibu kandungnya, iaitu Puan Zaidah (Adah). Sekarang, baru dia berpeluang untuk memulakan misinya. Di hari perayaan Aidilfitri yang lalu, dia masih belum berhasrat untuk mencari kubur Puan Zaidah (Adah) kerana dia mahu fokus menyambut hari kemenangan tersebut bersama keluarga tercinta di Kota Bharu.
“Jadi, tak mustahil ummi pun dari Tumpat, kan? Sebab mak pernah cakap, diorang bertiga belajar satu sekolah dulu dari rendah sampai menengah,” balas Qistur Ruwaidah.
“Betul. Ayah masih ingat nama sekolah menengah dia. Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Geting. Mungkin kita ada harapan nak cari maklumat pasal ummi kat situ,” kata Mohamad Salahuddin.
“Jom, kita cuba.”
Sesampai kereta Mohamad Salahuddin di parkir pelawat Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Geting…
“Sayang tunggu dalam kereta dengan anak-anak. Biar habibi pergi cari sendiri. Apa-apa nanti, habibi hubungi sayang,” kata Mohamad Salahuddin.
“Okey habibi. Hati-hati…” pesan Qistur Ruwaidah.
“Sayang ni… Habibi nak pergi cari maklumat pasal ummi je pun. Bukannya nak pergi berperang.”
Lalu, Qistur Ruwaidah tertawa. Betul juga kata suaminya itu. Akhirnya, suaminya mula meninggalkan mereka bertiga di dalam kereta itu. Jauh di sudut hati sang isteri itu, dia tetap risau akan suaminya. Namun, dia meletakkan suaminya di bawah jagaan Allah.
Mohamad Salahuddin terus memulakan misi bagi mendapatkan maklumat ibu kandungnya di pejabat sekolah. Walaupun dia merasakan agak mustahil untuk pihak sekolah menyimpan segala maklumat pelajar, lebih-lebih lagi sudah lebih 20 tahun berlalu, hati kecilnya masih mengharapkan agar apa-apa maklumat berkenaan Puan Zaidah (Adah) masih disimpan.
Tiba-tiba…
“Mohamad Salahuddin…” panggil seseorang.
Mohamad Salahuddin menoleh ke kiri, ke kanan dan ke belakang, namun tiada siapa. Ah, sudah! Dia mula menjadi seram sejuk. Adakah dia akan melalui peristiwa aneh lagi seperti dahulu?
“Hei! Siapa tu! Keluarlah! Kau ingat aku takut ke!” laung Mohamad Salahuddin dengan penuh berani. Dia tidak boleh takut.
“Mohamad Salahuddin…” suara itu masih memanggilnya lagi.
Mohamad Salahuddin segera membaca doa pelindung. Dia tahu, memang bukan manusia yang menyeru dirinya.
“Pak cik tahu kamu nak cari pasal mak kandung kamu, kan?” ujar suara itu. Tiba-tiba dia muncul di hadapan Mohamad Salahuddin dalam bentuk manusia. Raut wajahnya dalam 40-an lebih, lebih kurang seperti ayahnya.
Alangkah terkejutnya Mohamad Salahuddin sehingga dia hampir terjatuh tatkala dia ternampak lelaki itu. “Astaghfirullah!” ucapnya.
“Pak cik minta maaf sebab pak cik dah buat kamu terkejut. Nama pak cik, Hasan. Pak cik macam Adah juga. Disihir oleh Ida tapi bezanya, pak cik masih hidup. Cuma, roh pak cik terperangkap kat sini dan pak cik nampak lumpuh kat realiti. Pak cik tak dapat nak masuk dalam badan pak cik. Ida dah perangkap pak cik supaya pak cik tak boleh keluar dari sekolah ni dari umur pak cik 17 tahun sampailah sekarang. Pak cik sama baya dengan dia orang, termasuklah ayah kamu, Firdaus.”
Semakin terkejutlah Mohamad Salahuddin tatkala mendengar penerangan pak cik tersebut. Adakah dia sudah berkebolehan untuk melihat roh-roh ghaib? Sungguh, dia semakin buntu.
“Pak cik, saya minta maaf. Saya betul-betul tengah buntu. Apa yang saya tengah alami sekarang? Macam mana pak cik tahu saya ni anak Adah? Kenapa saya boleh nampak roh pak cik?” luah Mohamad Salahuddin.
“Pak cik tahu pun sebab setiap kali roh Ida jumpa pak cik kat sini, dia akan beritahu perkembangan kamu dan tunjuk rupa kamu. Kenapa kamu boleh nampak roh pak cik? Sebab kamu pernah terperangkap kat dunia ciptaan Ida. Kamu dah terkena tempias sihir yang dia ada. Salahuddin… Ida tu dah tak betul. Sanggup bunuh Adah dengan cara halus, kat mana dunia nyata tak nampak. Setiap kali Ida cerita pasal Adah, dia akan gelak kuat-kuat. Macam tak ada penyesalan,” cerita Pak Cik Hasan.
“Ya Allah… Tapi pak cik, Ida dah mati. Sepatutnya, sihir dia dah terbatal dengan sendiri dan pak cik boleh keluar dari sini.”
“Pak cik tahu dia dah mati tapi tak semua sihir dia boleh terbatal dengan sendiri. Pak cik perlukan ‘kunci’ atau dalam erti kata lain, orang yang dah berjaya bunuh Ida.”
Serta-merta, Mohamad Salahuddin teringatkan anak kembarnya. “Pak cik… Kalau saya boleh bawa orang yang dah berjaya bunuh Ida, pak cik nak buat apa?”
“Pak cik perlukan nyawa dia sebagai ganti dan pak cik akan beritahu apa-apa yang kamu nak tahu pasal Adah,” balas Pak Cik Hasan.
Mohamad Salahuddin tersentak tatkala mendengar jawapan Pak Cik Hasan itu. Mana mungkin dia akan mengorbankan Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil sebagai ganti, semata-mata untuk tahu berkenaan Puan Zaidah (Adah). Dia lebih rela untuk tidak mengetahui apa-apa berkaitan ibu kandungnya dan menganggap semua ini telah selesai.
“Tak apalah, pak cik. Saya lebih rela cari sendiri dengan kudrat yang saya ada ni. Alang-alang saya dah ada kat sekolah ummi ayah saya, lebih baik saya tanya sendiri dengan pihak sekolah,” balas Mohamad Salahuddin.
“Kamu tahu siapa yang bunuh Ida?” Tiba-tiba itu soalan yang terpacul daripada Pak Cik Hasan.
Tiba-tiba…
“Abi!” Panggil Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil sambil lari terkedek-kedek ke arah ayah mereka.
Mohamad Salahuddin terkejut dengan kehadiran anak-anaknya. Kelihatan isterinya juga turut meluru ke arahnya. Seketika, jiwanya tenang. Dia segera mendakap tiga cinta hatinya itu.
“Ayah, tu… tu…” kata Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil dengan pelat seraya jarinya menunjukkan ke arah Pak Cik Hasan. Nampaknya, dua orang kanak-kanak itu juga boleh melihat roh lelaki tua itu.
Mohamad Salahuddin tersentak tatkala anak-anaknya juga dapat menyaksikan roh Pak Cik Hasan itu. Bermakna, anak-anak dia juga telah terkena tempias sihir Puan Zaidah kerana mereka juga pernah berada di dunia Lingkaran itu. Lalu, dia meleraikan dakapan tersebut. Dia menoleh semula ke arah Pak Cik Hasan. “Pak cik, kalau saya tahu pun, saya tak dapat nak beritahu pak cik.”
Qistur Ruwaidah terpinga-pinga. Suaminya bercakap dengan siapa? Dia dapat melihat bahawa tidak ada sesiapa pun situ kecuali mereka berempat. Sungguh, inilah punca yang membuatkan dia risau akan suaminya itu. Apa-apa sahaja boleh terjadi sejak suaminya terperangkap di dunia Lingkaran dulu.
“Bermakna, kamu tahu siapa yang bunuh Ida?” Kedengaran nada Pak Cik Hasan tidak berpuas hati.
“Tak dan saya tak tahu. Noktah. Saya pergi dulu,” kata Mohamad Salahuddin seraya mendukung kedua-dua orang anaknya. Kali ini, dia tidak mahu melayan lagi ‘roh gila’ seperti Pak Cik Hasan itu. Jika tidak, habislah nyawa anak-anak dia terancam. Lelaki tua itu mahukan nyawa anak-anaknya. Psiko! Lalu, dia dan keluarganya mula meninggalkan kawasan tersebut.
Pak Cik Hasan merengus kasar. Musnah harapannya untuk terus hidup di alam realiti dan terbiar begini.
MOHAMAD SALAHUDDIN mula membuka cerita tentang apa yang telah berlaku di kawasan tersebut tadi. Qistur Ruwaidah mendengar dengan penuh tekun. Akan tetapi, dia masih terkejut kerana suaminya dikurniakan kebolehan untuk melihat roh. Dia juga telah mengetahui berdasarkan penceritaan suaminya bahawa Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil berkebolehan seperti suaminya kerana anak-anaknya sudah terkena tempias juga.
“Takkan habibi nak korbankan Qalyubi dan Qurtubi semata-mata habibi nak tahu pasal ummi dan kat mana kubur ummi? Lebih baik habibi anggap, semua ni dah selesai. Biarlah habibi tak tahu kubur ummi kat mana. Janji, habibi tak lupa doakan untuk ummi. Sekurang-kurangnya, habibi pernah jumpa ummi dalam mimpi,” luah Mohamad Salahuddin.
Qistur Ruwaidah memegang tangan suaminya. Dia tahu apa yang dirasai oleh suaminya itu. Rindu kepada orang yang telah tiada, semestinya amat menyakitkan jiwa. Sekurang-kurangnya, dia sempat bersama arwah ibu bapanya sehingga dia berumur enam tahun. Suaminya pula tidak pernah menatap wajah ibu kandung sendiri. Semestinya, lebih menyakitkan. “Tak apa, habibi. Jangan paksa diri lagi. Jom, kita balik rumah ayah. Sekarang, kesihatan habibi lagi penting. Kalau habibi sakit, macam mana habibi nak cari nafkah untuk keluarga kita? Kalau habibi tak larat, biar sayang pandu.”
“Insya-Allah. Habibi larat. Emm… Terima kasih sayang. Habibi dah tak nak cari apa-apa pasal ummi atau kat mana kubur ummi. Esok, kita bertolak ke KL. Bukan habibi putus asa. Cuma, cukuplah habibi tahu ummi dah tak ada sebab mak dah bunuh ummi.”
“Sama-sama habibi. Tak apa, tak apa. Untuk ketenangan habibi, kita balik KL esok. Jangan paksa diri lagi.”
Mohamad Salahuddin mengangguk. Sesampai sahaja dia di rumah ayahnya itu, dia mahu mendakap Qistur Ruwaidah dengan erat. Dia benar-benar memerlukan kekuatan.
“HABIBI dah okey?” soal Qistur Ruwaidah setelah Mohamad Salahuddin mendakap dirinya dengan penuh erat di kamar tidur itu dalam tempoh yang cukup lama.
“Habibi tak tahu. Habibi masih rasa gelisah, takut… Ingatan habibi kat ummi makin kuat,” luah Mohamad Salahuddin.
Qistur Ruwaidah menggenggam tangan suaminya. “Habibi, tarik nafas, hembus… Mungkin habibi terlalu banyak fikir ni sampai habibi rasa tak tenang.”
Mohamad Salahuddin hanya mengikut apa yang disarankan oleh isterinya. Akalnya masih belum boleh berfikir dengan tenang. Namun, apa yang dia tahu, kalbunya masih benar-benar mahu mencari kubur ibu kandungnya itu. Dia masih cuba untuk tidak mengalah. “Sayang… Habibi masih nak cuba cari kubur ummi tapi habibi tahu mustahil.”
“Sayang tak kisah kalau habibi nak tinggal kat Kelantan ni dalam beberapa hari lagi. Sayang sokong je apa yang habibi nak buat. Memang hak habibi untuk cari kubur ummi sampai jumpa. Sayang tahu habibi rindu sangat kat ummi.”
“Sayang temankan habibi malam ni. Kita buat solat hajat. Manalah tahu Allah bagi ilham atau petunjuk kat habibi.”
“Boleh, habibi. Apa-apa je untuk habibi.”
ENCIK MOHD FIRDAUS menyentuh dadanya. Entah mengapa dia berasa tidak sedap hati. Tiba-tiba dia teringat akan anak sulungnya, Mohamad Salahuddin. Secara tidak langsung juga, dia teringat akan Puan Zaidah (Adah) selaku isteri pertamanya.
Sebelum ini, dia tidak pernah teringat langsung berkenaan almarhumah isteri pertama itu akibat sihir Puan Zaidah yang telah membuatkan dia lupakan berkenaan cinta pertamanya itu. Entah mengapa kali ini, barulah dia teringat. Namun, wajah wanita itu tiada dalam kotak memorinya.
Tiba-tiba…
“Teringat kat Adah ke, cik abang sayang?” Muncul Puan Zaidah (Adah) secara tiba-tiba di hadapan Encik Mohd Firdaus.
Encik Mohd Firdaus terkaku tatkala dia ternampak seseorang yang amat dirindui olehnya itu. Mustahil…
“Ni Adah, abang. Isteri pertama abang ni,” kata Puan Zaidah (Adah) bersama senyuman.
“A… Adah!” luah Encik Mohd Firdaus. Barulah dia teringat raut wajah wanita yang telah berjaya mencuri hatinya sejak sekolah menengah dahulu. Serta-merta, dia terus teringat wajah Puan Zaidah (Adah) ketika sekolah menengah. Sangat lembut dan mendamaikan. Seiras wajah anak mereka berdua, iaitu Mohamad Salahuddin.
Puan Zaidah (Adah) masih kekal tersenyum. “Ya abang. Ni Adah. Adah tahu abang kena sihir dengan Ida supaya abang tak ingat langsung kat Adah. Adah tak salahkan abang. Adah rasa, sihir yang Ida dah hantar kat abang dah musnah. Tu yang abang boleh teringat kat Adah tiba-tiba ni.”
“Adah!” jerit Encik Mohd Firdaus dengan penuh rasa terharu. Dia segera mendakap isterinya itu.
“Abang Firdaus…” balas Puan Zaidah (Adah) dengan nada terharu juga.
Pasangan itu berpelukan dengan penuh erat dalam tempoh yang lama. Kedamaian cukup terasa.
“Abang rindu kat Adah,” luah Encik Mohd Firdaus.
“Adah lagilah rindu kat abang. Salahuddin sekali. Anak kita. Pengikat kasih sayang kita,” luah Puan Zaidah (Adah) juga dengan penuh rasa rindu.
“Tapi… Kita ni kat mana?”
“Entah… Adah pun tak tahu tapi apa yang Adah boleh cakap, Adah rasa kita boleh jumpa sebab doa Salahuddin.”
“Doa Salahuddin?”
“Ya. Adah ada pernah jumpa Salahuddin kat mimpi dia tapi masa tak mengizinkan sayang nak sembang lama dengan dia tapi sekurang-kurangnya, Salahuddin dapat tengok muka sayang walaupun kat mimpi je.”
“Adah… Sekarang, Salahuddin kat Kelantan. Dia tengah cari kubur sayang. Abang tak ingat Adah kebumi kat mana. Pasal Adah pun, abang langsung tak ingat abang pernah kahwin dengan Adah. Ida buat memori abang hilang langsung pasal Adah.”
“Adah tak salahkan abang. Memang Ida kejam. Dia putuskan cinta kita, bunuh sayang dan Salahuddin hilang kasih sayang Adah. Emm… Adah kebumi kat mana? Sejujurnya, Salahuddin takkan boleh jumpa kubur Adah. Ida dah culik setiap roh keluarga yang berkait dengan Adah dan bunuh seluruh keturunan Adah. Dia kebumi kami semua kat alam yang dia cipta. Alam tu, namanya ‘Katarsis’. Sebab tu, tak ada orang tahu pasal keluarga besar Adah kalau Salahuddin nak tanya orang. Orang hanya akan ingat Ida je.”
Wajah Encik Mohd Firdaus berubah sedih. Sampai begitu sekali jahatnya Puan Zaidah menyeksa seluruh keluarga Puan Zaidah (Adah)? “Abang takkan ampunkan Ida. Dia terlalu kejam.”
“Tak apa, abang. Allah Maha Adil. Biar Dia je yang hukum setiap kejahatan Ida.”
Tiba-tiba Puan Zaidah (Adah) hilang dari pandangan mata Encik Mohd Firdaus. “Adah! Jangan tinggalkan abang! Tunggu! Abang nak ikut Adah sekali! Abang rindukan Adah!” jerit Encik Mohd Firdaus.
Encik Mohd Firdaus terbangun dari lenanya yang dirasakan aneh itu. “Astaghfirullah…” Dia mengucap panjang. Apakah mimpi yang telah dilalui oleh dirinya itu? Bahkan, dia sudah mengingati isteri pertamanya dan segala perbualan yang terdapat dalam mimpi itu.
“Aku kena hubungi Along,” katanya sendirian. Nombor Mohd Salahuddin segera dicari dalam senarai panggilan telefon pintarnya.
AIR MATA Mohamad Salahuddin mengalir tatkala dia mendengar kisah mimpi Encik Mohd Firdaus di hujung talian itu. Ayahnya juga telah ingat Puan Zaidah (Adah) dan ‘bertemu’ dengan ibu kandungnya di dalam mimpi. Bermakna, kubur Puan Zaidah (Adah) bukan di dunia ini. Sungguh, hatinya semakin dihiris-hiris. Musnah harapannya untuk menziarahi kubur ibu kandungnya itu.
Bermakna, dia boleh pulang ke Kuala Lumpur bersama keluarganya pada hari ini. Tiada guna lagi untuk dia berlama-lama di Negeri Serambi Mekah tersebut. Pencariannya hanya akan terus menjadi sia-sia.
Mohamad Salahuddin terus berkongsi dengan isterinya berkenaan mimpi yang telah dialami oleh Encik Mohd Firdaus.
“Kubur ummi kat alam lain, sayang. Nama alam tu, ‘Katarsis’. Habibi takkan dapat jumpa kubur ummi sampai bila-bila. Mak kejam! Tergamak mak seksa ummi dan keluarga besar ummi sampai macam tu sekali!” luah Mohamad Salahuddin bersama tangisan.
Qistur Ruwaidah turut bersedih dan bersimpati untuk Mohamad Salahuddin. Impiannya untuk menziarahi kubur ibu kandung suaminya juga turut musnah. Dia terus mendakap suaminya. “Shhh… Sayang tahu habibi dah cukup terseksa disebabkan mak. Sayang tahu habibi kena ambil masa nak terima semua keadaan ni.”
“Isk! Isk! Isk! Habibi rindukan ummi, sayang! Isk! Isk! Isk! Habibi nak jumpa ummi lagi! Isk! Isk! Isk! Tak cukup lagi ke mak seksa ayah dan habibi sampai macam ni sekali! Isk! Isk! Isk! Habibi hilang ummi, ayah hilang isteri!” tangis Mohamad Salahuddin ibarat anak kecil.
Qistur Ruwaidah membiarkan Mohamad Salahuddin menangis dalam dakapannya. Semoga Allah mengurniakan ketabahan buat suami tercintanya itu. Dia tahu… Suaminya boleh mengharungi ujian ini dengan penuh tabah. “Habibi… Nanti, kita sedekahkan doa untuk ummi ya. Kita bacakan Yaasin sekali untuk ummi. Kita buat amal jariah banyak-banyak untuk ummi,” pujuknya.
Isk… Isk… Isk… Mohamad Salahuddin berterusan menangis dan menangis. Jiwanya benar-benar lemah. Selama 23 tahun dia menghembuskan nafasnya di muka bumi ini, inilah penderitaan yang benar-benar meragut jiwanya. Dia tidak pernah merasai kasih sayang ibu kandungnya sendiri! Namun, dia tahu bahawa dia perlu reda untuk semua ini. Takdir yang Allah telah ciptakan untuk dirinya selaku hamba.
SEJAK dari peristiwa itu, Mohamad Salahuddin lebih kerap mendoakan kesejahteraan Puan Zaidah (Adah). Dia juga banyak bersedekah di atas nama ibu kandungnya dan juga, dirinya sendiri. Bahkan, dia juga telah mengupah orang melakukan badal haji untuk Puan Zaidah (Adah). Dia mahu menjadi anak soleh dan dia tahu, ibunya menunggu doa daripada dirinya selaku anak.
Qistur Ruwaidah juga turut memberikan sokongan penuh di atas usaha suaminya untuk berbakti kepada Puan Zaidah (Adah). Setiap kali dia, suami dan anak-anaknya menziarahi masjid, dia akan mengingatkan suaminya untuk bersedekah di atas nama Puan Zaidah (Adah).
Setiap malam Jumaat, pasangan suami isteri itu menyedekahkan Yaasin dan doa buat Puan Zaidah (Adah). Tidak dilupakan juga, buat keluarga Qistur Ruwaidah yang telah tiada.
“Terima kasih sayang sebab sayang tak jemu ingatkan habibi untuk berbakti kat ummi,” ucap Mohamad Salahuddin.
“Sama-sama habibi. Dah jadi tanggungjawab sayang. Lagipun, sayang pun boleh berbakti kat keluarga sayang yang dah tak ada. Sayang dan Abang Suhaib pun dalam usaha nak kumpul duit untuk badal haji mama baba. Keluarga belah mama cakap, mama baba tak sempat tunai haji,” balas Qistur Ruwaidah.
“Sayang dan Abang Suhaib perlukan lagi berapa ribu untuk badal haji mama baba?”
“Dalam RM1200 lagi. Insya-Allah, cukuplah duit kita orang dalam bulan depan.”
“Kalau macam tu, habibi tolong tambahkan lagi RM1200 tu. Sekejap lagi, habibi bank in kat akaun sayang. Tak payah bayar balik. Sayang boleh beritahu Abang Suhaib yang habibi tolong bayar RM1200. Lagipun, habibi pun boleh berbakti untuk mama baba. Perkara elok, kita jangan tangguh.”
“Wah, alhamdulillah! Okey, habibi. Kalau macam tu, sayang hubungi Abang Suhaib sekejap lagi. Kita lepak kat rumah sayang dalam dua tiga hari ni, nak?”
“Okey juga tu. Jom, kita siap sekarang.”
Kali ini, Mohamad Salahuddin berasa lebih tenang dengan apa yang dilakukan oleh dirinya buat semua insan yang dicintai oleh dirinya. Rentetan peristiwa dia pernah mencuri dengar perbualan isteri dan abang iparnya itu, dia akan bersetuju sahaja jika isterinya mahu bermalam di rumah arwah ibu bapanya itu. Dia tahu Qistur Ruwaidah dan Suhaibul Umar saling memerlukan sebagai adik-beradik dan penguat semangat.
Mohamad Salahuddin pula? Dia akan terus berjuang juga untuk almarhumah Puan Zaidah (Adah), Encik Mohd Firdaus dan Sakeenah. Tidak dilupakan juga buat Qistur Ruwaidah, Aalqalyubi Shafiy, Aalqurtubi Shakil dan Suhaibul Umar.
Share this novel