KULLIYYAH OF ARCHITECTURE AND ENVIRONMENTAL DESIGN FESTIVAL 2016 (KAEDFEST 2016)
FEBRUARI 2016
‘Menarik betullah KAEDFest ni. Patutlah Abang Suhaib beriya-iya suruh aku datang. Ada pameran pasal reka bentuk rupanya tapi lagi menarik kalau Abang Suhaib ada. Dia ada kelas pula. Tak apalah. Apa salahnya kalau aku datang seorang pun. Seronok juga aku menyendiri sekali-sekala,’ bicara hati Qistur Ruwaidah setelah dia tiba di bangunan kebanggaan siswa dan siswi KAED.
Sudah namanya bangunan seni bina dan reka bentuk alam sekitar, mestilah setiap reka bentuk bangunannya mempunyai unsur abstrak, geometri, paksi simetri dan apa jualah berkaitan dengan seni bina. Bagi Qistur Ruwaidah sebagai siswi sastera, dia tidaklah memahami bidang ini tetapi dia tetap suka berkaitan seni kerana abangnya.
Suhaibul Umar rajin menceritakan bidang yang dipelajari oleh dirinya kepada adiknya. Qistur Ruwaidah mendengar sahaja dengan penuh tekun walaupun ada terma-terma yang tidak difahami, namun dia meraikan sahaja abangnya itu kerana abangnya juga meraikan sahaja cerita berkaitan bidangnya, iaitu Bahasa Arab.
Pendek kata, masing-masing saling memahami dan meraikan di antara satu sama lain.
Anak mata Qistur Ruwaidah ralit memerhatikan setiap sudut maklumat berkenaan seni bina dan reka bentuk yang tergantung pada dinding dengan menggunakan tali rafia dan beberapa jenis tali lain mengikut kreativiti para siswa dan siswi KAED.
“Kreatifnya budak-budak KAED ni. Tisu pun boleh buat bangunan ya. Aku kagum betullah. Tabik juga kat Abang Suhaib,” kata Qistur Ruwaidah sendirian.
Dalam diam, Abdul Azim sudah lama memerhatikan Qistur Ruwaidah sejak siswi itu tiba di bahagian pameran. Betapa dia ingin menegur gadis itu sebenarnya, namun dirinya masih teragak-agak dan malu. Teringat pula peristiwa dia tersedak di restoran tempoh hari.
Nota penulis: Abdul Azim… Pepatah Melayu ada mengatakan ‘pucuk dicita ulam mendatang’. Maksudnya ‘memperoleh sesuatu yang dihajati’. Apa lagi! Pergilah kejar gadis idaman kau. Takkan kau nak sia-siakan lagi peluang macam dulu? Mestilah kau tak nak, kan?
‘Patut ke tak aku tegur? Gadis idaman aku tengah ada kat sini. Takkan aku tak nak cuba? Peluang ni, Azim! Okey! Aku kena berani! Muktamad!’ bisik hati Abdul Azim.
Lalu, langkah Abdul Azim mula menuju ke arah gadis itu dan berlakon seolah-olah dia baru sampai di tempat tersebut. Sudut maklumat itu dibaca dengan penuh teliti konon-kononnya. Padahal, dia tidak fokus pun. Azim oh Azim!
Tiba-tiba Qistur Ruwaidah terpandang ke arah gerangan yang berdiri tidak jauh darinya. Dia cukup mengenali jejaka yang selalu mengenakan baju rona merah dan semestinya, cermin mata. “Azim?” tegurnya.
Abdul Azim menoleh ke arah si pemanggil itu. Ya! Lakonannya menjadi! ‘Bagus lakonan kau, Azim. Tahniah, tahniah!’ pujinya dalam hati. Amboi, menyempat!
“Eh, Qist! Tak sangka kita terserempak kat sini,” balas Abdul Azim dengan mesra, lalu dia menghampiri gadis itu.
Bagusnya skrip Abdul Azim ya! Terserempaklah sangat…
Qistur Ruwaidah tersenyum. Dia tidak menyangka setelah apa yang terjadi berkenaan peristiwa abangnya dahulu, Abdul Azim semakin ramah dengan dirinya. Jauh beza sewaktu di zaman asasi dahulu. Bagaimanalah jejaka itu tidak menjadi semakin ramah? Mestilah dia mahu meraih hati si gadis idaman.
“Kau tak ada kelas ke?” Qistur Ruwaidah berbasa-basi.
“Pukul 2.00 baru aku kelas. Kau?” ujar Abdul Azim.
“Samalah. Pukul 2.00 baru aku ada kelas. Tu aku boleh datang lepak sini sekejap. Ingatkan Abang Suhaib ada kat sini tapi dia ada kelas pula. Kalau tak, bolehlah juga aku dengar celoteh dia.”
Pucuk dicita ulam mendatang… Inilah masanya!
“Apa kau nak tahu pasal pameran ni?” soal Abdul Azim.
“Apa-apa yang kau rasa kau nak beritahu, kau beritahu je. Aku suka dengar pasal seni bina dan reka bentuk daripada Abang Suhaib walaupun aku taklah faham sangat tapi aku layan je,” balas Qistur Ruwaidah.
Entah mengapa… Sebelum ini, Qistur Ruwaidah rasa malu sangat. Sekarang, dia menjadi selesa pula untuk berbicara dengan lelaki itu. Mungkin kerana Abdul Azim menjadi mesra dan ramah. Jadi, dia pun rasa selesa.
“Okey…” bicara Abdul Azim, lalu dia memulakan penceritaannya berkenaan bangunan-bangunan yang megah di Malaysia seperti KLCC dan Menara Condong yang terletak di Teluk Intan, Perak.
Qistur Ruwaidah mendengar penerangan lelaki itu dengan penuh khusyuk. Cara penceritaan Abdul Azim penuh kesungguhan itu dapat disaksikan oleh Qistur Ruwaidah bahawa pengetahuan lelaki itu berkenaan menara-menara di Malaysia sangat luas.
“Azim… Kalau aku tengok replika Muzium Negara ni, guna tisu semata-mata ke? Ke mata aku salah tengok?” soal Qistur Ruwaidah sambil menunjukkan replika bangunan Muzium Negara yang telah disaksikan olehnya tadi.
“Betul. Memang replika ni menggunakan tisu semata-mata. Beribu-ribu tisu kena pakai untuk hasilkan replika ni supaya kukuh dan stabil. Aku antara yang terlibat bagi projek replika ni. Aku terus teranglah kat kau. Projek ni paling susah yang kita orang pernah buat masa semester lepas untuk dipamerkan kat semester ni,” terang Abdul Azim.
Qistur Ruwaidah melongo seketika akan penjelasan lelaki itu. “Wah, hebat! Aku tak boleh bayangkan. Kau orang ni memang berfikir luar kotak sungguh.”
Abdul Azim tersengih kecil tatkala dia menyaksikan riak wajah gadis itu. “Nak buat macam mana. Nama pun budak KAED. Memang kena berfikir luar kotak. Kalau tak, macam mana nak sumbangkan idea kalau dah kerja nanti, kan?”
“Betul juga. Menariklah pameran ni. Aku suka. Oh ya. KAEDFest ada banyak program lain, kan?” ujar Qistur Ruwaidah.
“Haah… Sekejap, aku pergi ambilkan brosur. Memang kita orang ada brosur supaya senang, pengunjung tahu pasal program kita orang,” balas Abdul Azim.
“Okey Azim,” balas Qistur Ruwaidah.
Lalu, Abdul Azim meninggalkan Qistur Ruwaidah seketika. Sementara itu, mata Qistur Ruwaidah ralit memerhatikan replika-replika yang lain.
“Nah,” balas Abdul Azim setelah dia berjaya mendapatkan brosur bersaiz mini A5 dalam bentuk segi empat tepat, lalu diserahkan kepada gadis itu.
“Wah, terima kasih, Azim! Elok juga ada brosur ni. Senang,” balas Qistur Ruwaidah dengan mengambil brosur tersebut dari tangan Abdul Azim.
“Sama-sama Qist. Nanti datanglah program kita orang yang lain. Semua program KAEDFest ada starpoint.”
Starpoint atau markah merit, iaitu sistem pengumpulan markah bagi siswa dan siswi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk dimasukkan ke dalam sijil transkrip ko-kurikulum setelah mereka bergraduasi kelak.
“Menarik! Insya-Allah aku akan sokong semua program kau orang. Salah satu sebab lagi, mestilah aku nak sokong abang aku juga sebagai budak KAED,” balas Qistur Ruwaidah sambil tersenyum tatkala dia membicarakan berkenaan abangnya itu.
Abdul Azim terperasan akan senyuman gadis itu. Segera dia teringat akan sahabat baiknya. Suhaibul Umar juga akan tersenyum sekiranya dia menceritakan perihal Qistur Ruwaidah kepada dirinya. ‘Qist, Abang Suhaib… Aku nampak betapa kau orang saling sayang. Moga Allah sentiasa suburkan rasa sayang kau orang tanpa jemu,’ bisik hatinya.
“Terima kasih atas sokongan kau,” balas Abdul Azim sambil tersenyum kecil. Sungguh, hatinya kini sedang berbunga-bunga bak mekar di taman dan ditemani beberapa ekor rama-rama.
“Sama-sama Azim. Tak ada masalah. Ha, kat luar ada gerai makanan apa ya? Tiba-tiba aku rasa lapar pula,” ujar Qistur Ruwaidah.
“Kalau kau nak makan makanan berat, ada nasi lemak, nasi berlauk, nasi tomato, nasi dagang, nasi kerabu… Emm… Setahu aku banyak. Makanan ringan pun ada. Jomlah tengok kat luar tu. Aku belanja kau.”
Qistur Ruwaidah menggeleng perlahan. Dia menjadi segan pula. Sudahlah lelaki itu pernah membelanjai dia dan abangnya di restoran mewah dulu. Kali ini, lelaki itu mahu membelanjai dirinya lagi. “Eh, tak apalah, Azim! Buat susah-susah je. Seganlah!”
Abdul Azim memberikan reaksi normal. Dia cuba juga untuk meraih hati gadis itu dengan mengumpan berkaitan Suhaibul Umar. Dia tahu. Pasti gadis itu akan bersetuju. “Alaa… Tak apa. Aku tak kisah pun. Alang-alang tu, aku nak belanja Abang Suhaib sekali. Dia pesan nak nasi kerabu tapi aku tak beli lagi. Lagipun, sekarang dah pukul 12.45 tengah hari. Sekejap lagi, mesti ramai punya.”
Mendengar sahaja nama ‘Abang Suhaib’, akhirnya Qistur Ruwaidah bersetuju untuk menerima pelawaan lelaki itu. Alang-alang lelaki itu mahu membelanjai dirinya, bagus juga. Jimat duit poket. “Hmm… Okeylah macam tu. Terima kasih sebab sudi nak belanja aku.”
Abdul Azim mengangguk sambil tersenyum. “Sama-sama Qist. Jom,” ujarnya sambil hatinya berbisik. ‘Susah juga ya aku nak ambil hati, Qist. Bila aku sebut nama Abang Suhaib, baru dia okey. Tapi… Yalah. Salah aku juga. Dulu, dia dah suka aku, aku pula buat acuh tak acuh. Tak apa, Azim. Teruskan ambil hati Qist.’
Lalu, mereka berdua pun menuju di gerai makanan yang tersedia. Namun, ada mata-mata memerhatikan Abdul Azim sedang berjalan bersama seorang gadis. Sudahlah ketinggian mereka berdua juga tidak jauh beza. Memandangkan Abdul Azim seorang yang dihormati dalam warga KAED, jadi mereka beranggapan mungkin itu kakaknya. Mungkin juga adik perempuannya bagi yang tidak mengetahui status Abdul Azim sebagai anak bongsu.
Qistur Ruwaidah dan Abdul Azim berjalan-jalan di seluruh gerai yang ada, namun Qistur Ruwaidah masih belum menemui gerai makanan yang sesuai dengan tekak seleranya. Abdul Azim sekadar mengekori gadis itu dan tidak bersuara apa-apa. Dia mengerti bahawa mungkin Qistur Ruwaidah masih ketandusan idea.
Sejujurnya, Qistur Ruwaidah tidak pasti apa yang dirasakan kini berkenaan Abdul Azim itu. Berputikkah kembali perasaannya buat jejaka dari Segamat, Johor itu seperti di pusat asasi dahulu? Berkali-kali dia mengingati dirinya bahawa tindakan lelaki itu hanyalah sebagai seorang kawan yang sudi membelanjai dirinya dan juga, abangnya. Tidak lebih dari itu.
“Azim, maaflah. Lama pula kau tunggu apa yang aku nak. Aku rasa aku dah tahu nak makan apa,” Qistur Ruwaidah bersuara akhirnya setelah mereka berdua berjalan di gerai demi gerai.
“Ha, kau nak apa? Cakap je,” balas Abdul Azim.
“Aku nak nasi berlauk kat kedai tadilah,” kata Qistur Ruwaidah sambil tersengih kecil. Sudahlah tadi Abdul Azim baru sahaja membeli nasi kerabu untuk abangnya di kedai yang sama.
Abdul Azim ketawa kecil. “Punyalah kita pusing semua gerai, kau nak nasi berlauk rupanya. Okey, boleh je. Kau nak air apa?”
“Aku dah tengok tadi, aku nak Thai Green Tea.”
“Okey. Kalau macam tu, aku beli Thai Red Tea untuk Abang Suhaib.”
Setelah Abdul Azim melakukan pembayaran bagi kedua-dua menu tersebut, dia dan Qistur Ruwaidah sudah mahu berpisah haluan kerana masing-masing perlu menghadiri kuliah pada jam 2.00 petang nanti. Sekarang pun, jam sudah menunjukkan pukul 1.15 petang.
“Azim, terima kasih sangat sebab kau dah belanja aku. Moga Allah murahkan rezeki kau. Semoga berjaya untuk hari-hari yang seterusnya bagi KAEDFest ni,” ucap Qistur Ruwaidah.
“Sama-sama Qist. Insya-Allah,” balas Abdul Azim bersama sebuah senyuman.
Setelah Qistur Ruwaidah meninggalkan Bangunan KAED, Abdul Azim memeriksa WhatsApp yang dihantar oleh seseorang.
WhatsApp Suhaibul Umar:
Assalamualaikum Azim. Kita jumpa kat Kafe KAED. Abang dah ada kat sini.
WhatsApp Abdul Azim:
Waalaikummussalam abang. Okey, sekejap ya. Azim dalam perjalanan nak ke sana.
Tiba-tiba bahu Abdul Azim disentuh oleh seseorang. “Azim.”
Abdul Azim menoleh ke belakang. Nahdhan, salah seorang rakan satu bidang dengan dirinya, iaitu Ijazah Sarjana Muda Seni Gunaan dan Seni Reka (Kepujian) atau Bachelor of Applied Arts and Design (Honours).
“Ya Nahdhan. Kenapa?” ujar Abdul Azim.
“Aku jumpa buku ni. Terjatuh kat pameran tadi. Buku ni milik sister yang jalan-jalan dengan kau tadi. Puas juga aku cari dia tapi aku tak jumpa pula. Boleh tak kau tolong bagi kat dia?” terang Nahdhan sambil menghulurkan sebuah buku lakaran bersaiz A4.
Memandangkan Abdul Azim bakal berjumpa dengan Suhaibul Umar di kafe, bolehlah dia memulangkan buku tersebut melalui abang kepada siswi itu. “Okey, boleh,” balasnya seraya menyambut buku lakaran tersebut.
Memang betul buku lakaran tersebut merupakan milik Qistur Ruwaidah kerana tertera nama gadis tersebut di kulit buku lakaran itu. Hati Abdul Azim seakan meronta-ronta untuk membuka buku lakaran tersebut. Ingin sekali dia menyaksikan apa yang terkandung dalam buku lakaran tersebut.
‘Isy! Aku tak patut tengok!’ marah hati Abdul Azim.
‘Tapi… Ni buku lakaran. Mestilah pasal lukisan. Emm… Tengok muka surat awal jelah,’ sambung bisikan hati lelaki itu.
Tangan Abdul Azim mula membuka halaman pertama buku lakaran tersebut. Alangkah terkejutnya dia tatkala dia menyaksikan lukisan potret Qistur Ruwaidah bersama Suhaibul Umar. Dia tidak menyangka bahawa gadis itu mempunyai bakat seni. Di bawah lukisan potret itu, Qistur Ruwaidah mencoret sesuatu.
Suhaibul Umar bin Isyraf Imrani… Seorang mama dan baba untuk aku. Aku sangat sayangkan Abang Suhaib! Moga Allah merahmati abang. Bagaimanalah kalau abang pergi dulu daripada adik? Adik tak sanggup nak hadap kehilangan abang pula.
Betapa sebaknya Abdul Azim membaca coretan gadis itu. Dari halaman pertama, dia meneruskan ke halaman-halaman lain.
Terdapat halaman yang menggambarkan sebuah lukisan potret dua orang kanak-kanak sedang berpelukan bersama riak wajah penuh ketakutan. Juga, terdapat lakaran potret seorang wanita dewasa sedang memegang tali pinggang.
Abang Suhaib… Sakitkan kita kena pukul dengan Mak Long dulu? Bukan takat tali pinggang je kita rasa. Banyak lagi barang yang Mak Long guna masa dia dera kita dulu, kan? Adik selalu terfikir, macam manalah kita bertahan dulu? Ingatkan kita boleh jumpa mama, baba, Kak Qina, Dik Harraz dan Dik Harzan dulu tapi belum ada rezeki. Rindulah kat dia orang.
Apa yang Abdul Azim dapat simpulkan berkenaan buku lakaran tersebut, ianya merupakan perjalanan hidup Qistur Ruwaidah yang penuh dengan kesedihan. Dia dapat merasai betapa deritanya Qistur Ruwaidah berdasarkan potret-potret yang dilukis oleh gadis itu. Hatinya hiba dan dia tidak boleh mengalirkan air mata di kawasan terbuka itu.
Sungguh, jiwa lelaki itu menjadi amat sensitif.
‘Ya Allah… Kuatnya kau, Qist! Aku tak tahu macam mana kau dan Abang Suhaib lalui semua ni dulu. Aku betul-betul minta maaf atas jawapan aku dulu! Kalau aku tahu semua ni, aku takkan teragak-agak nak terima kau dan bahagiakan kau. Bonda baba pun restui kau kalau kau sudi terima lamaran aku nanti,’ bisik hati Abdul Azim.
SETELAH tamat kuliah, Abdul Azim mengambil keputusan untuk melewati di bangunan Kulliyyah Sains Kemanusiaan atau Kulliyyah of Human Science (HS) yang begitu asing dan meresahkannya. Selama dia menjadi pelajar ijazah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dia tidak pernah menjejakkan kaki sekali pun ke bangunan tersebut. Entah mengapa, dia menjadi buang tabiat pula untuk meluru ke arah bangunan itu.
Anehnya, dia boleh pula tersesat dalam Bangunan HS itu. Keadaan bangunan tersebut pula terlalu suram dan hanya ditemani cahaya lampu malap sebagai panduan untuk dia mencari jalan keluar, bahkan terdapat juga lampu yang telah terbakar mentolnya dan itu menambahkan lagi keresahannya.
Abdul Azim sendiri tidak mengerti akan keberadaannya di Kulliyyah HS itu. Mengapa bukan di kulliyyah sendiri, iaitu Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar (KAED)? Jika dia berada di situ, sudah semestinya dia arif akan keseluruhan bangunan tersebut. Sedangkan, dia baru sahaja menamatkan kuliahnya di Bangunan KAED tadi.
Pada waktu sebelumnya, dia ada bertemu dengan Qistur Ruwaidah dan siap membelanjai gadis itu. Juga, dia menyaksikan potret dan coretan luahan dalam buku lakaran Qistur Ruwaidah sebelum dia menyerahkan semula kepada Suhaibul Umar.
Aneh!
‘Ya Allah… Aku kat mana ni? Tempat ni seramlah! Aku nak keluar dari sini. Aku tak patut ada kat sini,’ bisik hatinya.
Tiba-tiba Abdul Azim ternampak seseorang sedang melalui kawasan tersebut.
Qistur Ruwaidah!
Kalbu Abdul Azim menjadi sedikit lega dan tenang apabila dia ternampak kelibat siswi itu. Bukan apa. Dia tidak menyangka pula bahawa dia bertemu dengan Qistur Ruwaidah pada waktu tersebut selepas dia membelanjai gadis itu sebelum azan zuhur berkumandang. Entah mengapa, dia begitu berani untuk mendapatkan gadis itu.
Lalu, Abdul Azim memulakan bicara dengan nada penuh resah. “Qist, aku minta maaf sebab aku terpaksa kacau kau. Sebenarnya, aku nak tahu, aku ada kat mana sekarang? Aku tersesat. Aku tak tahu macam mana aku boleh sampai kat sini dan aku tak tahu macam mana nak keluar dari bangunan ni. Bangunan ni terlalu asing untuk aku. Boleh tak kau tunjukkan jalan keluar? Kau lagi tahu kedudukan bangunan ni.”
Kelihatan Qistur Ruwaidah agak terkejut dengan kehadiran Abdul Azim di bangunan tersebut. Namun begitu, dia hanya memandang lelaki itu dengan jelingan penuh tajam serta dia membisukan dirinya.
Apatah lagi, Qistur Ruwaidah tidak mempedulikan penerangan Abdul Azim. Lalu, dia meneruskan langkahnya dengan pantas sehingga Abdul Azim hampir tidak berdaya untuk mengejar gadis tersebut. Namun, Abdul Azim tetap mengerahkan seluruh kudratnya untuk mendapatkan sang perempuan itu meskipun dia merasakan tenaganya kian hilang.
“Qist! Tunggu!” panggil Abdul Azim dengan bertalu-talu sehingga dia menjadi tercungap-cungap. Meskipun begitu, dia masih terus mengejar Qistur Ruwaidah tanpa putus asa.
Ketika tangan Abdul Azim hampir sahaja mahu meraih lengan Qistur Ruwaidah, tiba-tiba hadirnya seorang lelaki misteri menghalang perbuatannya untuk mendapatkan gadis itu sehingga langkah Abdul Azim terundur ke belakang dengan sendiri.
Secara tiba-tiba juga, Qistur Ruwaidah lesap!
Abdul Azim tersentak dengan apa yang disaksikan olehnya itu. Pada masa yang sama, tubuhnya menggigil ketakutan. Dia tidak pernah berasa sedemikian. Peluh mula merembes dari tubuhnya sehingga membasahi pakaiannya tanpa henti, namun dikuatkan hati untuk berhadapan dengan lelaki misteri itu.
“Siapa kau, hah! Kenapa tiba-tiba kau halang laluan aku nak dapatkan perempuan tu! Aku perlukan dia supaya aku boleh keluar dari bangunan nilah!” bentak Abdul Azim.
Tiba-tiba kedengaran lelaki misteri itu ketawa seraya berkata dalam nada mengejek. “Hahaha! Abdul Azim oh Abdul Azim. Padan muka kau! Inilah balasan sebab kau tolak perasaan Qist dulu. Kau tengok tadi, kan? Qist pun dah lesap depan mata kau. Ha, mana kau nak cari dia?”
‘Di… Dia tahu nama aku?’ bisik hati Abdul Azim.
Bagaimanakah lelaki itu mengetahui namanya? Dia betul-betul bingung.
Lelaki misteri itu bersuara lagi. “Kau jangan terkejut macam mana aku tahu nama kau. Akulah sebahagian diri kau, Abdul Azim bin Uthman. Kau ni masih tak sedar lagi ke? Dah banyak kali aku datang dalam mimpi kau sebab aku nak beritahu kau, itulah balasan sebab memang kau ni tak reti nak hargai luahan Qistur Ruwaidah dulu. Dia suka kat kau sebab dia percayakan kau! Patutnya, kau bersyukurlah, Azim!”
“Sebahagian diri aku? Kau datang? Balasan? Apa kau merepek ni! Aku tak faham!” bentak Abdul Azim lagi.
Lelaki misteri itu ketawa lagi. Kali ini, tawanya lebih kuat. “Hahaha! Buwek! Balasan sebab kau ni ego kat masa lalu kau. Azim oh Azim… Kau ni pun satu! Dah terang-terang kau suka perempuan tu. Kau nak tunggu apa lagi? Pergilah beritahu dia. Boleh tak jangan jadi bodoh? Penat tahu jadi bodoh ni.”
Abdul Azim kian bingung. Dia langsung tidak mengerti apa yang diperkatakan oleh lelaki misteri itu. Pada masa yang sama, dia mengharapkan agar lelaki itu segera hilang dari pandangannya. Semakin lama, ketakutan semakin menguasai dirinya. Namun, dia cuba melawan lagi lelaki misteri itu dengan sekuat hatinya.
“Apa kau mengarut dari tadi ni! Kau tahu tak, aku tak faham apa-apa! Sekarang, aku tak ada masa nak dengar penjelasan mengarut kau! Aku nak keluar dari bangunan nilah!”
“Aduhai… Lembablah kau ni, Abdul Azim bin Uthman. Apa yang kau susah sangat nak faham? Pergi lamar Qistur Ruwaidah, suri hati idaman kau tu. Kau rapat dengan abang dia, kan? Takkan pasal tu pun aku nak ajar kau? Satu lagi… Kalau kau terlambat nak lamar Qist, kau bakal terima padahnya.”
Wajah Abdul Azim terus berubah apabila lelaki misteri tersebut menyebut tentang lamaran. Dia menjadi amat terkejut sehingga membuatkan dia terduduk lemah. Tubuhnya menjadi lemah longlai sehingga dia terbaring di atas lantai, menandakan dia berasa amat lemah dan tidak berdaya untuk bangkit mahupun bersuara kembali.
Kelihatan lelaki misteri itu menghampiri Abdul Azim dengan berbisik sesuatu ke telinganya. “Isy, isy, isy… Kau ni, Azim. Kesian… Bila aku sebut nama Qist, kau terus jadi lemah sampai macam ni. Apalah… Oh ya. Satu pesanan kat kau sebelum aku pergi…”
Lelaki misteri itu memandang tepat ke arah wajah Abdul Azim. “Kau jangan menyesal, Abdul Azim bin Uthman!”
Tiba-tiba lelaki misteri itu terus menghilangkan diri dari pandangannya.
Tika itu, Abdul Azim terus tersedar dari mimpi anehnya itu. “Allah!” ucapnya dengan nafas tercungap-cungap dan tubuhnya mula dibasahi peluh. Siswa itu segera meraup wajahnya seraya beristighfar berkali-kali.
Betapa anehnya mimpi itu. Boleh pula dia bermimpi dia berada di KAEDFest sewaktu semester dua ini, sedangkan KAEDFest diadakan pada setiap semester satu, yakni bulan September, Oktober atau November. Lagi aneh, kenapa pula dia boleh bermimpi bahawa dia begitu beriya-iya untuk membelanjai Qistur Ruwaidah dan mengetahui coretan gadis itu menerusi buku lakaran tersebut?
Apakah makna semua itu? Seolah-olah dia dapat merasai pula perasaan gadis itu sebagai bekas mangsa dera. Semuanya tidak logik dek akal!
Abdul Azim melepaskan keluhannya. Pada setiap malam, mimpi aneh itu menghantuinya. Dia sendiri tidak tahu siapakah gerangan lelaki misteri tersebut yang acap kali menghalangnya untuk mendapatkan Qistur Ruwaidah dalam mimpi tersebut.
‘Ya Allah… Siapa lelaki misteri tu? Kenapa dia datang dalam mimpi aku setiap malam? Petanda apa yang Kau nak tunjukkan kepada aku, ya Rabb?’ bisik hati Abdul Azim. Tubuhnya mula menggigil ketakutan. Surah al-Insyiraah dibaca berkali-kali bagi mendapatkan ketenangan.
Dia mula berperang dengan dirinya sendiri. Ibarat separuh dirinya sedang muncul di hadapannya kini.
“Azim, kita selesaikan pasal Qist hari ni juga. Baik kau jujur dengan diri kau tu. Kau sayangkan Qist tak? Kau cintakan Qist tak? Kau nak kahwin dengan dia tak?”
“Err... A... Aku...”
“Hati kau lebih tahu, Azim. Jangan bohong dengan perasaan kau lagi. Sampai bila kau nak tipu hati kau? Selama ni, kau tak penat ke nak bermain dengan perasaan kau sendiri? Dah sampai masanya kau beritahu Qist. Aku percaya dia akan faham.”
“Aku mengaku. Memang aku penat bermain dengan perasaan aku sendiri tapi aku dah pernah beritahu dia, aku tak nak fikir soal perasaan waktu tu. Aku tolak mentah-mentah perasaan dia.”
“Ah, kau ni! Persetanlah dengan apa yang kau pernah cakap dulu. Itu masa lalu kau. Waktu tu, kau tak nak fikir soal perasaan lagi, kan. Okey, aku faham. Aku nak kita bincang pasal soal perasaan kau sekarang. Soal masa depan kau. Soal jodoh kau. Lupakan jelah peristiwa lepas tu. Tak ada gunanya kau nak berpatah balik dan bukannya boleh pun. Sekarang, kau pun dah bersedia, kan?”
“Emm… Tapi… Aku malu dengan tindakan aku dulu. Takkan aku nak jilat balik kata-kata yang aku dah ludah dulu? Nampak macam aku tak tahu malu sangat. Kau pun tahu aku dah pernah kecewakan dia. Aku tak nak Qist rasa aku bagi harapan palsu.”
“Abdul Azim bin Uthman, boleh tak kau jangan ego sangat? Sampai bila kau nak jadi macam ni? Aku nak pesan kat kau. Kalau dia kena kebas dengan lelaki lain nanti, macam mana? Kau juga merana. Boleh tak kau cuba dulu? Ini tak. Belum apa-apa, kau dah rasa negatif. Kalau kau betul-betul berani, pergilah lamar dia. Jangan jadi macam ni. Takkan selesai pun.”
Sepi.
Abdul Azim benar-benar buntu. Dia mencapai telefon pintarnya. Jam sudah menunjukkan pukul 2.58 pagi. Tinggal dua minit sahaja lagi sebelum penggera jam telefon pintarnya berbunyi, menandakan waktu untuk dia berjumpa dengan Maha Pencipta. Dia mematikan penggera jam tersebut. Bimbang bunyi tersebut mengganggu rakan sebilik lain.
Dia tidak mahu menyerabutkan fikirannya lagi. Lantas, dia bangkit dari perbaringannya. Hanya Maha Pencipta yang ingin dicarinya tika ini untuk dia meluahkan kegusarannya.
Usai dia membersihkan diri dan berwuduk, dia mula menghadap kiblat untuk bertemu Yang Maha Esa. Saat itu, dia merasakan betapa kerdil dirinya sebagai hamba Allah. Solat sunat tahajud menemani dirinya untuk sebuah ketenangan. Kemudian, dia menunaikan solat sunat taubat pula bagi memohon ampun di atas segala khilafnya sebagai manusia dan makhluk Allah.
Tibanya solat sunat istikharah, dia rasa terpukul. Ingatannya mula menerjah terhadap Qistur Ruwaidah. Bayangan perempuan itu gagal ditepis olehnya. Dia segera beristighfar berkali-kali sehingga dia merasakan bahawa dia berjaya untuk melawan bayangan insan itu.
‘Ya Allah, kenapa bayangan Qist hadir di saat aku mahu meminta petunjuk dari-Mu? Bisikan syaitan benar-benar menggoyahkan jiwaku agar aku melupakan diri-Mu dan membuatkan aku lebih mengingati Qist. Ya Ilahi, akulah hamba-Mu yang lemah. Kau menghadirkan perasaan fitrah ini tanpa aku pinta tetapi aku tahu, aku perlu bijak mengawalnya. Ya Allah, inilah saksi aku sebagai hamba-Mu. Moga dengan istikharah ini, aku menemui sebuah jawapan dan ketenangan.’
Usai dia bertemu Maha Pencipta, dia mengalirkan air matanya. Dia mula merasakan cintanya terhadap Ilahi kian utuh. Pada masa yang sama, dia juga semakin yakin untuk menjadikan Qistur Ruwaidah sebagai isterinya. Dia tidak tahu mengapa tetapi apa diketahui olehnya, dia semakin yakin terhadap siswi itu tanpa ragu-ragu lagi.
‘Ya Allah, terima kasih untuk keheningan malam ini. Aku telah menemui jawapan tentang Qistur Ruwaidah,’ ucapnya.
Sujud syukur menemaninya sebelum azan subuh berkumandang.
SETELAH berlakunya peristiwa pada pagi tadi untuk Abdul Azim, dia meluahkan kisah tersebut kepada dua orang rakan sebiliknya, iaitu Muhammad Syarafuddin dan Muhammad Amirul Azhar selepas mereka bertiga selesai menunaikan solat maghrib di masjid.
Kelihatan wajah Muhammad Syarafuddin dan Amirul Azhar agak terkejut apabila mendengar kisah Abdul Azim termasuklah mimpi aneh yang dialami oleh sahabat mereka itu.
“Sekejap Azim. Aku masih terkejut lagi bila aku tahu pasal ni. Seriuslah kau suka Qist? Aku rasa kat CFS dulu, bukan main lagi kau menafikan perasaan kau kat dia,” respons Amirul Azhar yang sememangnya mengetahui bahawa Qistur Ruwaidah pernah suka akan sahabatnya itu di pusat asasi dahulu berdasarkan pengakuan gadis itu dahulu.
Anehnya, kini sahabatnya itu pula menyukai Qistur Ruwaidah. Sesuatu yang amat mengejutkan buat Amirul Azhar kerana dia masih ingat lagi bahawa Abdul Azim tidak mengambil endah tentang insan tersebut. Namun begitu, dia sudah lama tidak berhubung dengan siswi itu. Jadi, dia tidak mengetahui akan perkembangan terkini perempuan itu.
“Ya, aku serius, Azhar. Aku tahu kau terkejut sebab masa kat CFS dulu, aku macam tak ambil kisah pasal Qist, kan? Tapi emm… Itulah nak jadi ceritanya. Sekelip mata je hati aku berubah untuk suka dia. Sejujurnya, memang aku ada niat nak memperisteri dia tapi aku takut. Lagi-lagi, aku pernah tolak perasaan dia,” balas Abdul Azim. Wajahnya agak muram.
Suasana di bilik mereka terjeda seketika.
“Azim… Aku pun sama macam Azhar. Aku terkejut kau suka kat Qist. Tak ada angin, tak ada ribut ya tapi aku ingatlah, masa aku sakat kau lepas kelas pertama Bahasa Inggeris kat CFS dulu, konon je kau cakap tak nak fikir pasal perasaanlah, kau tak selesa aku sakat kau dengan dialah, apalah. Tengok, tak pasal-pasal kau dah suka dia. Tulah kau. Lain kali jangan nak ego sangat,” Muhammad Syarafuddin memulangkan buah paku keras.
Abdul Azim tersengih malu. Ya, dia mengakui akan kata-kata Muhammad Syarafuddin itu. “Ya, aku tahu aku silap dulu tapi kali ni, aku serius untuk Qist. Aku dah bertekad nak lamar dia dalam hari Sabtu ni. Insya-Allah. Cuma, macam aku cakap tadilah. Aku takut. Rasa tak yakin. Aku pun tak tahulah Qist okey ke tak. Takut dia tolak terus lamaran aku.”
“Emm… Aku rasa macam nilah, Azim. Tak boleh ke kalau kau sampaikan hasrat kau kat Abang Suhaib? Lagipun, kau kan kawan baik Abang Suhaib. Peluang kau tu cerah sangat. Satu lagi, pasal lelaki misteri yang muncul dalam mimpi kau setiap malam tu, aku rasa dia nak beritahu kau supaya kau bertindak segera untuk halalkan hubungan kau dengan Qist. Dia tak nak kau rasa menyesal kalau kau terlambat beritahu hasrat kau tu,” Muhammad Syarafuddin meluahkan pendapatnya.
Abdul Azim menghelakan keluhan berat. “Aku pun rasa macam tu. Hmm… Memang betul cakap kau. Aku boleh nak beritahu Abang Suhaib dan peluang aku cerah sangat nak dapatkan Qist tapi aku tak nak guna Abang Suhaib sebagai orang tengah. Kalau boleh, aku nak cakap terus kat depan Qist supaya dia tahu aku betul-betul serius nakkan dia. Lagi-lagi, aku pula pernah kecewakan dia dulu. Aku tak nak dia rasa aku bagi harapan palsu atau dia rasa aku akan kecewakan dia lagi macam dulu. Apa-apa pun, aku tetap akan maklumkan dulu kat Abang Suhaib pasal ni sebelum aku nak beritahu hasrat aku kat Qist nanti,” balasnya.
“Azim, aku nak cakap lebih-lebih pun, bukan aku yang tengah rasa. Kau lagi tahu apa sepatutnya kau buat. Terpulang kat kau kalau kau rasa cara tu terbaik untuk diri kau. Aku sebagai sahabat kau, aku hanya mampu doakan kebahagiaan dan kesejahteraan untuk kau. Semoga berjaya,” ujar Muhammad Syarafuddin.
“Aku pun akan doakan untuk kau. Aku minta maaf sebab tak dapat nak bagi pendapat yang sepatutnya. Cuma, pesanan aku, kau kena beritahu cepat-cepat kat Qist. Takut dia kena kebas dengan lelaki lain pula. Kau juga gigit jari nanti,” sampuk Amirul Azhar, mengingatkan.
“Insya-Allah. Terima kasih atas nasihatnya, Sya, Azhar. Kau orang tolong doakan aku tahu,” ucap Abdul Azim.
Dia benar-benar berterima kasih dan terharu akan dua orang sahabatnya itu.
MOTOSIKAL yang ditunggang oleh Abdul Azim tiba di hadapan rumah Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah. Sebuah degupan mula bertandang dalam kalbunya itu tatkala dia ternampak gadis itu. Sangkaannya, Qistur Ruwaidah berada dalam rumah pada waktu begini. Ah sudah! Emosinya kacau-bilau.
Kelihatan Qistur Ruwaidah sedang menyapu di luar pekarangan rumah. Kerja menyapunya itu terhenti seketika apabila dia terdengar bunyi enjin motosikal di hadapan rumahnya. Dia membuang pandangannya ke arah luar pagar itu.
Alangkah terkejutnya dia apabila Abdul Azim hadir ke rumahnya! Entah mengapa dia menjadi gementar pula dengan kehadiran lelaki itu. Sebelum ini, dia rasa biasa sahaja.
Demi menghormati lelaki yang menziarahi rumahnya itu sebagai tetamu, Qistur Ruwaidah menuju ke arah pagar itu meskipun perasaan segan membaluti dirinya.
Kelihatan Abdul Azim mengangguk hormat kepada perempuan itu. “Assalamualaikum Qist. Abang Suhaib ada tak?” ucapnya.
“Waalaikummussalam. Ada je. Kau ada beritahu abang aku ke kau nak datang?” respons Qistur Ruwaidah.
“Haah. Aku ada whatsapp dia pagi tadi.”
“Okey sekejap. Aku panggilkan abang aku.”
Qistur Ruwaidah melangkah masuk ke dalam rumah, lalu dia memanggil abangnya.
“Adik, tolong sediakan teh o panas ya. Abang ada beli kuih juga tadi. Ada kat atas meja dapur”. Begitulah pesanan Suhaibul Umar sebelum dia menjemput sahabat baiknya itu untuk mengajak masuk ke dalam rumah mereka.
Tidak lama kemudian, kelihatan Suhaibul Umar melangkah keluar dari rumah. “Ha Azim. Jemput masuk,” pelawanya seraya membuka pagar rumahnya.
Abdul Azim melangkah masuk ke rumah sahabat baiknya itu. “Emm abang… Kita sembang kat bangku tu jelah. Azim segan nak masuk dalam rumah. Adik abang ada,” ujarnya.
“Okey, boleh. Lepas tu, kita masuk dalam ya. Adik abang tengah siapkan minuman petang sekejap,” balas Suhaibul Umar.
Abdul Azim mengangguk akur.
Dua orang jejaka itu melabuhkan punggung mereka di atas bangku yang tersedia di luar rumah itu. “Kenapa Azim nak jumpa abang? Ada apa-apa masalah ke?” Suhaibul Umar mula bersuara.
Abdul Azim berpeluk tubuh seraya menundukkan wajahnya. Dia tidak tahu bagaimana dia hendak memaklumkan hasrat untuk melamar adik kepada sahabat baiknya itu. “Err… Azim… Emm… Segan pula kat abang.”
“Aik? Dah kenapa pula tiba-tiba Azim jadi segan dengan abang?” soal Suhaibul Umar. Terpinga-pinga dibuatnya apabila dia memerhatikan gelagat tidak keruan Abdul Azim itu.
“Emm… Sebenarnya, Azim tak tahu nak cakap macam mana. Tujuan Azim datang ni pun sebab Qist,” jawab Abdul Azim.
“Sebab Qist? Dah kenapa pula dengan adik abang?”
“Sebelum Azim cakap kat Qist sekejap lagi, ada baiknya Azim berterus terang dulu kat abang,” Abdul Azim menghentikan kata-katanya itu.
Suhaibul Umar masih menunggu sambungan ayat sahabat baiknya itu. Lalu, dia memberikan keyakinan buat Abdul Azim. “Azim… Teruskan je apa yang Azim nak cakap pasal adik abang. Abang okey je”
“Sebenarnya… Emm… Azim…” Abdul Azim masih berusaha untuk meluahkan hasrat hatinya itu. Demi Allah, dia cukup berdebar untuk memaklumkan kepada wali Qistur Ruwaidah itu. Bukannya dia tidak sedar bahawa Suhaibul Umar merupakan wali tertinggi selepas almarhum ayah sahabatnya itu. Disebabkan dia sedarlah, dia menjadi cuak berganda.
Suhaibul Umar juga menjadi cuak untuk menunggu sambungan kata-kata Abdul Azim, namun dia membiarkan sahabat baiknya itu bertenang seketika.
Sekuat hati seorang Abdul Azim itu, akhirnya dia meluahkan hasrat murninya itu. “Emm… Tujuan Azim datang ni sebab Azim nak lamar Qist sebagai isteri Azim. Azim dah jatuh hati kat Qist.”
Riak wajah Suhaibul Umar berubah terkejut seketika akan tujuan sebenar kehadiran Abdul Azim di rumahnya, namun dia tidak terkejut akan soal hati sahabat baiknya itu sejak Abdul Azim membelanjai dia dan adiknya di Restoran ‘Fruit De Mer’ dalam tiga minggu lepas.
Ternyata apa yang Suhaibul Umar rasa berkenaan Abdul Azim terhadap adiknya tidak salah sejak hari itu. Pada masa yang sama, dia menjadi amat gembira setelah dia mengetahui akan semua ini. Namun, dia tidak boleh terlalu gembira. Dia bimbang jika adiknya tidak mahu menerima lamaran sahabat baiknya itu.
Lalu, Suhaibul Umar bersuara. “Sebenarnya Azim, abang tak terkejut Azim suka kat adik abang sejak Azim belanja kita orang kat Restoran ‘Fruit De Mer’ dulu. Abang dah boleh agak masa tu. Cuma, abang terkejut sikit jelah Azim datang hari ni sebab Azim nak lamar adik abang.”
Abdul Azim tersentak. “Err… A… Azim minta maaf abang.”
“Dah kenapa Azim nak minta maaf pula? Abang okey jelah. Abang gembira tahu bila Azim sudi lamar Qist. Cuma, abang nak tahulah, sejak bila Azim suka Qist? Baru lagi ke?”
Lega hati Abdul Azim mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Dia mula menjadi selesa. “Emm… Sebenarnya… Dah lama Azim suka Qist masa kat CFS lagi. Sebelum tu, Azim nak minta maaf sebab Azim pernah tipu abang. Masa kita lepak kat Taman Tasik Titiwangsa dulu, abang pernah tanya soalan ni… Azim ada minat kat siapa-siapa ke tak? Kan Azim cakap Azim tak minat kat siapa-siapa tapi sebenarnya… Hati Azim dah ada Qist. Satu lagi, Qist suka Azim dan Qist jugalah pernah luahkan perasaan dia kat private message Fac Azim dulu,” terang Abdul Azim.
Suhaibul Umar menjadi terkejut apabila dia mengetahui bahawa adiknya begitu berani meluahkan perasaan kepada Abdul Azim. Dia tidak menyangka langsung sejauh itu keberanian Qistur Ruwaidah. “Serius ke Azim? Qist tak pernah cerita apa-apa pasal Azim kat abang. Mati-mati abang ingat kau orang ni kawan sekelas je. Rupa-rupanya, kau orang pernah ada sesuatu dulu. Memang abang tak sangka tapi Azim bagi jawapan apa kat adik abang?”
“Mungkin ada sebab Qist tak cerita kat abang. Azim tahu, biasanya abang dan Qist takkan simpan apa-apa rahsia. Abang jangan salahkan Qist. Waktu tu, Azim tolak terus perasaan dia sebab Azim tak nak fikir soal perasaan kat CFS dulu. Dulu, Azim ingat lagi. Qist tak pernah mengalah nak dapatkan hati Azim. Macam-macam dia buat untuk Azim sampai Azim suka je dia tapi sebab fikir durasi setahun kat CFS dulu, Azim macam main tarik tali dengan dia. Lagi teruk, Azim sedar Azim bagi harapan palsu kat adik abang. Emm… Azim pernah je menangis lepas Azim tolak perasaan dia. Waktu tu, baru Azim sedar… Memang Azim suka dia tapi ego Azim membatasi segala-galanya dulu. Azim pun tak tahu apa yang Azim fikir dulu,” luah Abdul Azim, kecewa.
Abdul Azim melepaskan keluhannya. Sungguh, pilu hatinya apabila mengenangkan kembali akan perbuatan masa lalunya menolak perasaan perempuan itu. Dia tidak sepatutnya bertindak sedemikian dengan cara tersebut. Dia tahu betapa hati Qistur Ruwaidah amat sakit dan dia rasa bersalah sangat untuk hal tersebut. Kini, dia hadir untuk berterus terang tentang hasratnya itu tetapi…
Entahlah… Sekejap lagi, bagaimanakah penerimaan Qistur Ruwaidah apabila dia memberitahu hasrat sucinya itu? Sudikah Qistur Ruwaidah untuknya? Bencikah Qistur Ruwaidah terhadap dirinya? Mungkinkah juga Qistur Ruwaidah bakal menjauhkan diri sepertimana dia pernah lakukan dahulu? Allah… Dia benar-benar rasa bersalah untuk perempuan itu.
Suhaibul Umar memegang bahu sahabat baiknya itu. “Azim… Jangan salahkan diri Azim. Abang faham masa lalu Azim tak mengizinkan Azim nak suka adik abang. Lagi-lagi, Azim nak fokus pengajian Azim. Bukannya abang tak nampak. Abang nampak usaha gigih Azim untuk pengajian Azim. Abang pasti, Qist faham sangat situasi Azim waktu tu.”
“Sebenarnya, Azim berharap sangat Qist faham keadaan Azim masa tu. Demi Allah, bukan niat Azim nak main-mainkan hati Qist dulu. Apatah lagi, nak hancurkan hati Qist. Azim rasa bersalah sangat kat Qist.”
Tidak lama kemudian, kelihatan Qistur Ruwaidah menjemput abangnya dan Abdul Azim untuk menjamu hidangan petang di dalam rumah. “Abang Suhaib, Azim… Jom masuk dalam rumah. Hidangan dah siap.”
Kelihatan Abdul Azim tertunduk segan apabila munculnya gadis itu. Hatinya mula berdebar-debar. ‘Qist… Macam mana aku nak cakap dengan kau?’ bisik hatinya.
Suhaibul Umar mengangguk. “Okey adik. Emm Azim… Jomlah kita sambung sembang kat dalam rumah pula. Alang-alang tu, bolehlah Azim beritahu hasrat Azim kat adik abang.”
Akhirnya, Abdul Azim bersetuju untuk melangkah masuk ke dalam rumah sahabat baiknya itu. Mahu tidak mahu, dia perlu berhadapan dengan Qistur Ruwaidah juga. Dia kena berani!
Kelihatan Qistur Ruwaidah sedang menuang teh o panas ke dalam dua buah cawan kaca, lalu dihidangkan kepada abangnya dan Abdul Azim. “Minum ya,” ucapnya dengan lembut.
Abdul Azim mengangguk. Sungguh hatinya makin terpaut kepada perempuan itu. Walaupun dia tidak mengenali wanita pujaannya itu secara sepenuhnya tetapi dia tahu Qistur Ruwaidah punya hati yang sarat dengan kasih sayang berdasarkan penceritaan sahabat baiknya dulu.
Juga, Abdul Azim menyaksikan sendiri cara Qistur Ruwaidah melayani abangnya dengan lemah lembut dan penuh sabar tatkala sahabat baiknya mengalami gangguan stres pascatrauma atau Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD) dahulu. Itu membuatkan Abdul Azim semakin yakin untuk perempuan itu tanpa ragu-ragu lagi.
“Adik, lepas ni adik ada hal lain tak?” soal Suhaibul Umar.
“Tak ada. Kenapa abang?” ujar Qistur Ruwaidah.
“Adik duduk sekejap. Azim ada perkara penting nak beritahu kat adik.”
Dada Qistur Ruwaidah mula berombak kencang apabila mendengar permintaan abangnya itu. Abdul Azim mahu mengatakan sesuatu kepada dirinya? Biar betul! Namun begitu, berkenaan apa? Adakah dia telah melakukan sebarang kesalahan terhadap lelaki itu? 1001 persoalan menerjah dalam fikirannya.
Perlahan-lahan, Qistur Ruwaidah melabuhkan punggungnya di atas kerusi dengan posisi menghadap Abdul Azim. Dia menjadi malu untuk memandang wajah lelaki itu kerana Abdul Azim pernah mengetahui isi hatinya. Begitu juga Abdul Azim. Dia juga malu untuk memandang wajah Qistur Ruwaidah tetapi dia perlu juga berjumpa depan-depan dengan gadis itu.
Suhaibul Umar mula memecahkan suasana kekok itu. Dia tahu bahawa dua orang insan itu saling malu, lantaran sejarah lalu di antara mereka berdua. “Azim nak cakap dengan Qist secara privasi ke?” soalnya.
“Tak apa abang. Azim okey je abang ada sekali,” balas Abdul Azim.
Suasana kembali jeda. Hanya kedengaran bunyi kipas sedang berpusing nyaman. Namun, kipas itu tetap tidak mampu menyenangkan debaran kalbu Qistur Ruwaidah mahupun Abdul Azim.
Abdul Azim sedang mengumpul kekuatan untuk memberitahu hasratnya itu. Tangan dan kakinya sudah terlalu seram sejuk. “Qist…” tegurnya. Bergetar hatinya apabila dia menyebut nama siswi itu.
“Ya Azim?” respons Qistur Ruwaidah.
“Se… Sebenarnya, aku tak tahu nak cakap macam mana dengan kau. A… Aku...” Abdul Azim kehilangan bicara untuk menyambungnya. Sungguh dia malu!
Qistur Ruwaidah pula masih menunggu sambungan bicara lelaki itu. Pelik sungguh dia rasakan berkenaan Abdul Azim itu. Dia memerhatikan tindak-tanduk lelaki itu menjadi tidak keruan di hadapannya. Setahunya, jejaka itu sangat tenang orangnya.
“Emm Qist… A… Aku… Err… Aku nak lamar kau jadi isteri aku,” ujar Abdul Azim.
Akhirnya, terluah juga sebuah lamaran dari bibir jejaka itu.
Berderau darah Qistur Ruwaidah apabila dia mendengar kata-kata lelaki itu. “K… Kau biar betul Azim? Kau nak lamar aku jadi isteri kau? A… Aku t… tak... tak salah dengar, kan? Kau tak main-main, kan?” ujarnya dengan penuh gugup.
“Demi Allah, Qist. Aku serius. Aku tak main-main dan kau tak salah dengar. Memang aku nak lamar kau jadi isteri aku,” ucap Abdul Azim dengan penuh keyakinan. Selepas ini, apa mahu jadi, jadilah!
Allah… Ketika itu, Qistur Ruwaidah ingin sahaja meninggalkan meja makan itu apabila dia mengetahui lamaran Abdul Azim. Dia tidak menyangka bahawa lelaki yang pernah dia jatuh hati suatu ketika dahulu, kini jatuh hati terhadap dirinya pula. Semua ini tidak masuk akal!
“Err... A… Azim, a… aku tak sangka. Bu… Bukan dulu kau…” Qistur Ruwaidah sudah kehilangan kata. ‘Ya Allah… Apa semua ni? Aku tak sangka naluri Abang Suhaib tepat untuk aku pasal hadirnya jodoh dalam waktu terdekat ni. Ya Allah, bantulah aku!’ bisik hatinya.
Sungguh Qistur Ruwaidah tidak tahu apa yang perlu lakukan kini. Dia terlalu buntu. Sudahlah pada empat lepas, dia baru sahaja dilamar oleh insan yang tidak disangka-sangka, iaitu Mohamad Salahuddin.
Sejak jejaka itu melamarnya, dia belum memaklumkan kepada abangnya berkenaan lamaran lelaki itu. Dia masih belum bersedia untuk membuka mulut tentang Mohamad Salahuddin kepada abangnya.
Empat hari kemudian, Abdul Azim pula datang melamarnya. Ah, sebuah lamaran lagi! Suatu ketika dahulu, sudahlah lelaki itu pernah membuatkan dia jatuh hati. Namun begitu, dia sendiri tidak pasti akan perasaannya terhadap jejaka itu. Dia masih lagi terkejut dan buntu!
“Ya, aku akui. Dulu, aku pernah tolak perasaan kau tapi percayalah, aku betul-betul nak memperisteri kau lepas aku dah istikharah berkali-kali,” balas Abdul Azim dengan penuh keyakinan.
Semakin buntulah Qistur Ruwaidah apabila dia menerima dua lamaran pada minggu yang boleh dikatakan serentak ini. Nampak gayanya, dia terpaksa membuka mulut berkenaan lamaran Mohamad Salahuddin kepada abangnya dan juga, Abdul Azim.
“Emm Azim… Aku hargai sangat lamaran kau. Cuma… Empat hari lepas...” Qistur Ruwaidah terdiam seketika.
Dada Abdul Azim mula berombak kencang. “Kenapa Qist?”
“Emm… Kau ingat kawan kelas BI kita nama Din, kan?” soal Qistur Ruwaidah.
“Kau maksudkan Salahuddin Firdaus ke?” tanya Abdul Azim untuk kepastian.
“Betul. Sebenarnya, Din ada lamar aku empat hari lepas,”luah Qistur Ruwaidah.
Abdul Azim berasa agak terkejut kerana dia tidak menyangka bahawa Mohamad Salahuddin mempunyai perasaan terhadap Qistur Ruwaidah, namun memanglah dia merasakan sesuatu berkenaan bekas rakan sekelasnya itu terhadap Qistur Ruwaidah tetapi tidak sangka pula… Ah, semua ini sungguh mengejutkan!
Satu sahaja persoalan Abdul Azim. Sejak bila pula Mohamad Salahuddin menaruh perasaan terhadap Qistur Ruwaidah?
Tiba-tiba, barulah dia teringat sesuatu tentang kata-kata Mohamad Salahuddin sewaktu dia terserempak dengan Mohamad Salahuddin dan adiknya di kedai buku pada suatu ketika dahulu.
“Aku? Insya-Allah tengoklah dalam tahun depan atau dua tahun lagi. Memang aku tengah tunggu seseorang.”
Bermakna, perempuan yang ditunggu oleh Mohamad Salahuddin selama ini, iaitu Qistur Ruwaidah. Jadi, kemungkinan besar lelaki itu sudah lama menaruh perasaan terhadap siswi itu. Sejujurnya, Abdul Azim masih terkejut tentang lamaran bekas rakan sekelasnya itu terhadap gadis tersebut.
Barulah Abdul Azim menyedari bahawa dia dan Mohamad Salahuddin telah jatuh hati terhadap perempuan yang sama. Apabila dia mengetahui berkenaan lamaran Mohamad Salahuddin itu, dia merasakan bahawa bekas rakan sekelasnya itu merupakan saingannya. ‘Din… Arghhh! Kenapa kau lamar Qist dulu sebelum aku! Kenapa kau suka kat perempuan yang sama juga! Kenapa jarak lamaran kita tak jauh beza!’ jerit batinnya.
Pada masa yang sama, Abdul Azim memikirkan keadaan Qistur Ruwaidah. Dia merasakan bahawa dia sudah menambahkan kekusutan perempuan itu. Sungguh dia rasa makin bersalah setelah dia menolak lamaran gadis itu dahulu. ‘Qist… Aku minta maaf,’ bisik hatinya.
Bermakna, mimpi aneh yang dilalui oleh Abdul Azim pada setiap malam itu, rupa-rupanya lelaki misteri itu telah memberikan petanda kepadanya bahawa ada lelaki lain telah melamar Qistur Ruwaidah sebelum dirinya.
Rupa-rupanya Mohamad Salahuddin bin Mohd Firdaus telah bertindak dahulu sebelum dirinya.
Bukan sahaja Abdul Azim terkejut, bahkan Suhaibul Umar juga turut terkejut apabila dia mengetahui bahawa adiknya menerima sebuah lamaran lagi sebelum sahabat baiknya. Dia tersenyum hambar dalam diam. Benarlah naluri hatinya terhadap Qistur Ruwaidah berkenaan jodoh dahulu.
Kini, jodoh adiknya telah pun tiba. Bukan setakat seorang lelaki tetapi hadirnya dua orang lelaki untuk adiknya. Dia perlu bersiap sedia untuk menyerahkan adiknya kepada salah seorang jejaka itu nanti bagi menjaga, mencintai dan menyayangi adiknya itu jika adiknya berkeinginan untuk meneruskan fasa seterusnya, iaitu alam rumah tangga.
Abdul Azim bertanyakan lagi sesuatu berkenaan lamaran Mohamad Salahuddin itu. “Apa jawapan kau kat Din?”
“Aku tak buat apa-apa lagi pasal lamaran Din sebab yalah… Dia pun baru lamar aku empat hari lepas. Sebenarnya, aku tak beritahu lagi kat Abang Suhaib pasal lamaran Din. Tiba-tiba kau pula lamar aku hari ni. Sejujurnya, aku masih terkejut pasal semua ni. Aku tak pernah terfikir pun jodoh aku datang masa umur 21 tahun ni,” balas Qistur Ruwaidah.
“Qist, aku minta maaf pasal lamaran ni. Aku pun tak sangka Din lamar dulu sebelum aku. Kalau kau rasa lamaran aku mengacau kau untuk kau nak nilai pasal Din, aku nak tarik balik lamaran aku ni.”
“Kau cakap lamaran kau mungkin mengacau aku dan aku pun boleh juga cakap, lamaran Din mengacau aku. Kau jangan salah faham pasal ni. Macam aku cakap tadi, aku tak terfikir pun jodoh aku datang seawal ni. Bukan aku terus nak tolak lamaran kau. Tak adil kalau aku buat macam tu sebab lamaran Din pun, aku tak buat apa-apa dan aku sendiri pun masih buntu. Aku harap kau faham, Azim. Aku harap kau dapat bagi aku masa untuk aku pertimbangkan lamaran kau dan Din.”
“Aku faham, Qist. Tak apa. Kau ambillah masa dulu. Aku tahu kau kena fikir masak-masak pasal kahwin ni. Sekali lagi, aku minta maaf pasal lamaran ni.”
“Tak apa Azim. Kau tak salah pun. Kau ada hak nak lamar aku. Apa-apa pun, terima kasih untuk lamaran kau. Insya-Allah, aku akan buat pertimbangan pasal kau dan juga, Din. Aku kena adil dan jujur dengan hati aku sendiri.”
“Sama-sama Qist. Aku pun nak berterima kasih pasal pertimbangan lamaran kau.”
“Sama-sama Azim,” balas Qistur Ruwaidah sambil memandang abangnya pula.
“Emm Abang Suhaib… Adik nak minta maaf sebab adik tak beritahu pasal lamaran seorang lagi kawan adik. Adik tak bersedia lagi nak beritahu pasal dia. Tiba-tiba Azim datang lamar hari ni pula. Adik terpaksa buka cerita pasal lamaran dia.”
“Tak apa adik. Nanti kita bincang kemudian pasal ni,” ringkas sahaja balasan Suhaibul Umar. Memang banyak perkara yang ingin dia ketahui berkenaan dua orang lelaki itu daripada perspektif adiknya.
Qistur Ruwaidah memandang Abdul Azim semula. Lalu, dia menuturkan sesuatu. “Azim… Sekali lagi, aku berterima kasih sangat pasal lamaran kau. Aku harap kau dapat bagi masa. Aku kena istikharah dan tanya pendapat Abang Suhaib pasal ni. Kau faham, kan?”
“Sama-sama. Tak apa Qist. Aku faham je. Siapa-siapa pun pilihan kau, itu hak kau. Hati kau lagi tahu,” balas Abdul Azim.
Qistur Ruwaidah mengangguk perlahan. “Okey Azim. Emm… Kau ada apa-apa lagi ke nak cakap? Kalau tak ada, aku nak masuk bilik dulu.”
“Tak ada dah, Qist. Apa-apa pun, terima kasih untuk hari ni.”
“Sama-sama Azim. Aku pergi dulu.”
Qistur Ruwaidah segera bangun dari tempat duduk itu. Lalu, dia menuju ke biliknya di tingkat atas. Sungguh, dia berasa amat malu untuk berlama-lama di situ. Tambahan pula, dia sudah mengetahui Abdul Azim menaruh perasaan terhadap dirinya. Bahkan, lelaki itu mengharapkan sebuah jawapan pula melibatkan masa hadapannya.
Abdul Azim bin Uthman? Mohamad Salahuddin bin Mohd Firdaus? Siapakah pilihan hati Qistur Ruwaidah? Dia benar-benar buntu. Hendak menolak kedua-dua lamaran itu, dia juga tidak pasti. Apa-apa pun, dia perlu berbincang dengan abangnya selaku walinya. Seandainya ibu dan ayahnya masih ada, pastinya mereka berdua akan memberikan solusi terbaik buat dirinya.
Qistur Ruwaidah tahu bahawa alam rumah tangga bukan sesuatu perkara yang boleh dibuat main. Apatah lagi, dia tidak boleh bersikap acuh tidak acuh. Perkahwinan merangkumi pelbagai aspek. Jika dia sekadar menyukai dan mencintai seseorang, itu masih tidak mencukupi jika dia tiada persiapan ilmu perkahwinan yang cukup. Dia tidak mahu membabi buta tentang alam rumah tangga.
Di pihak Qistur Ruwaidah sendiri, dia perlu bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menjadi seorang isteri dan bakal ibu jika diizinkan Ilahi. Namun, bersediakah dia untuk menempuh alam baharu dengan seseorang yang amat asing untuk dirinya? Bersediakah dia untuk menjadi seorang isteri dalam tempoh masih belajar? Bersediakah dia untuk meninggalkan alam bujang di saat ramai kenalannya masih belum membina masjid? Pelbagai persoalan menerjah dalam mindanya.
‘Ya Allah… Aku buntu. Apa yang aku kena buat? Serius… Lamaran Azim dan Din sangat mengejutkan aku!’ bisik hati Qistur Ruwaidah.
Air mata mula menemaninya. Dia kian terasa lemah.
Sementara itu, di ruang makan…
“Azim… Banyakkan berdoa ya. Kalau Azim cintakan Qist, sentiasalah doakan Qist. Buat masa ni, abang sendiri pun tak ada ayat sesuai nak bagi kat Azim. Cuma, itu jelah yang Azim boleh buat kat Qist. Mohon selalu doakan kebahagiaan dan kesejahteraan adik abang tu,” bicara Suhaibul Umar selepas Qistur Ruwaidah meninggalkan ruang makan itu.
“Insya-Allah abang. Azim selalu je doakan Qist tapi hati Azim rasa macam… Qist akan pilih Din,” balas Abdul Azim.
“Kenapa Azim cakap macam tu? Kita masih tak tahu lagi apa jawapan Qist dan dia belum istikharah. Azim pun boleh nampak, dia pun buntu sangat. Sama ada Azim atau abang sendiri, kita tak tahu macam mana hati Qist. Allah je tahu apa yang tersimpan dalam hati adik abang. Pokok pangkalnya, hati dia akan tentukan jawapan bila dia dah ada keputusan. Hati manusia ni takkan boleh menipu macam hati Azim dah mengaku, Azim cinta kat adik abang.
Abdul Azim mengakui akan kata-kata sahabat baiknya itu. Mengapa dia begitu pesimistik? Sepatutnya, dia perlu optimis dan terus berdoa. Hanya doa sahaja merupakan senjata terakhirnya setelah dia berusaha melalui solat sunat istikharah bagi memohon petunjuk dari Allah dan memberitahu hasratnya kepada Qistur Ruwaidah tadi.
‘Ya Allah, moga Kau berikan petunjuk sebenar buat Qistur Ruwaidah. Aku reda jika aku tak ditakdirkan untuk dirinya. Meskipun Qist berada dalam hati aku, siapalah aku untuk mengawal hati Qist agar hati Qist kekal untuk aku. Ya Rahman, aku bersalah di masa lalu. Qist tak bersalah. Aku mengharapkan agar hati Qist masih untuk diriku ini,’ bisik hatinya.
Melihatkan Abdul Azim tidak bersuara, Suhaibul Umar menegur sahabat baiknya itu. “Azim? Azim okey?”
Abdul Azim tersenyum bagi mengurangkan rasa resahnya itu. “Insya-Allah, Azim okey je. Abang jangan risau. Biasalah. Soal perasaan ni, ada je dramanya,” katanya, lalu dia tertawa kecil.
Suhaibul Umar menjadi lega akan kata-kata Abdul Azim itu.
Sebuah doa tidak lupa dititipkan oleh Suhaibul Umar buat adik tercinta. ‘Ya Allah, moga Kau permudahkan urusan adikku tentang soal jodoh,’ bisik hatinya.
SETELAH Abdul Azim selesai menjamah hidangan petang yang disediakan oleh Qistur Ruwaidah, dia meminta izin untuk mengundur diri. “Abang, Azim gerak dulu ya. Nak kena siapkan tugasan.”
“Okey Azim. Apa-apa pun, terima kasih sebab jadi berani tadi. Abang kagum,” puji Suhaibul Umar.
Abdul Azim tersengih kecil. “Sama-sama abang. Dah Azim nakkan adik abang, mestilah Azim kena jadi berani tapi paling penting, Azim takkan boleh buat ni kalau Azim tak dapat restu dan reda daripada abang dulu sebagai wali Qist.”
“Soal lamaran Azim, abang restu je dan abang tak kisah pun. Andainya kita ada jodoh sebagai ipar, seronok juga tapi tulah… Kita tak tahu lagi macam mana hati adik abang tu,” ujar Suhaibul Umar.
“Tak apa abang. Jangan paksa dia pula. Apa-apa pun keputusan Qist, Azim okey je.”
Ketika itu, kedua-dua orang lelaki itu berada di luar rumah. Kelihatan Abdul Azim berada di atas motosikalnya sambil ditemani oleh Suhaibul Umar.
“Kalau abang nak masuk dalam rumah dulu, masuklah. Azim nak periksa telefon Azim sekejap,” kata Abdul Azim, lalu dia menghadiahkan senyuman buat sahabat baiknya itu.
“Okey Azim. Hati-hati tahu balik UIA tu. Jangan tunggang laju-laju sangat. Laju-laju nak pergi mana?” pesan Suhaibul Umar.
“Insya-Allah abang,” balas Abdul Azim seraya tersengih.
Setelah Suhaibul Umar mengunci pagar dan pintu rumahnya, Abdul Azim memandang rumah dua beradik itu. Entah mengapa, dia berasa amat damai tatkala menyaksikan rumah penuh syurga itu. Mungkin kerana rumah itu dihuni oleh insan-insan yang menjaga ayat-ayat Allah.
‘Alhamdulillah. Aku dah lega beritahu lamaran aku kat Qist. Sekarang, aku tunggu jawapan Qist je. Apa yang penting, aku kena doa banyak-banyak,’ bisik hati Abdul Azim.
Namun begitu, hati Abdul Azim masih yakin bahawa dirinya masih berada dalam kalbu Qistur Ruwaidah biarpun lamarannya terlewat sedikit daripada Mohamad Salahuddin. Dia tidak boleh mengalah untuk lelaki itu!
Kalbu Abdul Azim berbisik sesuatu. ‘Din… Kenapa kau lamar Qist? Kau tahu Qist suka aku. Sedangkan, kau sendiri pun pernah beritahu pasal perasaan Qist kat aku. Aku pelik. Kenapa kau boleh suka Qist pula? Patutlah aku dah lama rasa sesuatu pasal kau. Tak sangka… Kita jatuh hati kat perempuan yang sama. Memang kau begitu mengejutkan aku, Mohamad Salahuddin.’
Tiba-tiba dia teringat sesuatu berkenaan perbualan di antara dirinya dan Mohamad Salahuddin.
Imbau kembali…
“Dia cakap apa dengan kau?” soal Abdul Azim.
“Dia cakap dia suka kau,” balas Mohamad Salahuddin sambil membongkarkan perasaan siswi itu kepada Abdul Azim.
Abdul Azim hanya menghadiahkan senyuman hambar. “Hmm… Ya ke dia suka aku?”
“Seriuslah Azim. Takkan aku nak tipu kau pula. Dia dah lama ada perasaan kat kau sejak semester lepas lagi.”
Lamunan imbau kembali Abdul Azim menjadi mati apabila dia terdengar bunyi hon kereta, selang beberapa buah rumah dari rumah dua beradik itu.
“Isy, ada ke patut hon kat kawasan rumah! Salah tahu. Ni mesti tak dengar elok-elok masa ceramah kursus JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) dulu. Tak pun, tak baca buku memandu betul-betul,” omel Abdul Azim sendirian.
Eh, menyempat pula Abdul Azim membebel! Azim oh Azim!
Para pembaca, tinggal satu bab sahaja lagi sebelum jawapan penerimaan dan penolakan lamaran Qistur Ruwaidah terhadap Abdul Azim dan Mohamad Salahuddin. Teruskan menunggu dan terima kasih kerana menyokong novel 'Zauj Untuk Qist' ini. :)
Share this novel