BAB 39

Drama Completed 13621

SABTU, 16 DISEMBER 2017
"THE LAST REUNION @ PJ CAMPUS"

Pada tarikh bersejarah ini, Qistur Ruwaidah, Mohamad Salahuddin, Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil tiba di Centre for Foundation Studies, International Islamic University Malaysia, Petaling Jaya (CFS IIUM PJ) sempena CFS IIUM PJ bakal ditutup. Penutupan CFS IIUM PJ disebabkan oleh harta tanah yang akan diserahkan kepada pihak asal semula. CFS IIUM akan berpindah ke tanah baharu yang terletak di Gambang, Pahang.
Jadi, Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin mahu menggamit kenangan di tempat mereka berdua mula berkenalan sebagai rakan sekelas. Kini, mereka berdua hadir di CFS IIUM PJ, tempat penuh kenangan itu sebagai suami isteri dan diserikan pula dengan kehadiran si kembar.
Rezeki keluarga kecil itu, terdapat parkir kosong di Masjid Malaya dan sangat dekat untuk berjalan ke CFS IIUM PJ kerana CFS IIUM PJ dan Masjid Malaya hanya bersebelahan dan dipisahkan dengan pagar sahaja.
Bagi memudahkan Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin dalam membawa Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil sepanjang mereka berada di CFS IIUM PJ, mereka menggunakan penggendong bayi berbanding kereta sorong bayi kerana lebih mudah untuk mereka bergerak pantas. Selain itu, barang keperluan si kembar itu juga turut dibawa bersama dengan menggunakan beg galas.
“Ya Allah… Teringatnya kenangan sayang daftar kat CFS ni dulu. Abang Suhaib parkir kereta dia kat parkir Masjid Malaya nilah. Masa tu, dia turunkan sayang kat bulatan sekitar FZC. Ingat lagi… Sayang kena gigih berjalan sikit dari situ ke AMF,” terang Qistur Ruwaidah.
FZC, merupakan singkatan untuk Fatimah Az-Zahra College dan lokasinya berada di sebelah pintu pagar utama laluan masuk CFS IIUM PJ. Meskipun namanya FZC tetapi mahallah (kolej kediaman) ini diduduki oleh para siswa. AMF atau AMF Hall pula, iaitu Al-Malik Faisal Hall, dewan utama di CFS IIUM PJ yang menjadi tempat bagi menganjurkan program besar dan juga, tempat pendaftaran mahasiswa semasa Minggu Taaruf atau Taaruf Week.
“Samalah! Ayah parkir kereta pun kat sini juga. Rezeki habibi dapat kat ABC. Senang nak pergi masjid. Kenangan sungguh!” terang Mohamad Salahuddin.
ABC merupakan singkatan untuk Abu Bakar College, namun ABC yang berada di belakang Masjid Malaya itu telah dipindahkan pada awal tahun 2015 ke Khadijah College (KC), iaitu satu-satunya bangunan yang mempunyai lif manakala KC pula dipindahkan ke ABC. Dua buah mahallah tersebut memang terkenal dengan suka berpindah mahallah secara bergilir-gilir.
“Habibi pernah fly pergi kat Jaya One atau Midvalley guna pintu pagar ni tak?” sakat Qistur Ruwaidah.
Pada ketika itu, mereka berempat melangkah masuk ke CFS IIUM PJ dengan menggunakan pintu pagar yang menghubungkan di antara CFS IIUM PJ dan Masjid Malaya. Pintu pagar tersebut terkenal dengan para siswa dan siswi suka mencuri keluar dari CFS IIUM PJ secara senyap-senyap untuk melencong ke tempat lain. Pintu pagar ini juga sering dijaga oleh pengawal dan biasanya, kalau ada siswa atau siswi yang tertangkap, kena samanlah jawabnya.
Mohamad Salahuddin tertawa. “Uish! Habibi baik kut! Mana pernah fly. Bila outing Selasa je, baru habibi keluar okey. Jumaat, Sabtu, Ahad… Tu lain cerita. Brothers sisters boleh keluar jalan-jalan atau balik rumah. Mesti sayang antara yang selalu balik rumah, kan? Mentang-mentanglah rumah dekat. Boleh naik bas dan LRT je,” gilirannya pula mengenakan isterinya.
Qistur Ruwaidah mencebikkan wajahnya. “Eh, habibi baik sikit! Mana ada ya! Sayang jarang baliklah. Kan sayang dulu sibuk dengan kelab debat bahasa Arab.”
Mohamad Salahuddin tersengih. “Betul juga. Habibi ingat lagi, sayang aktif sangat kat sini. Eh, sebut pasal outing, kan… Sayang ingat tak kita ada outing book?”

“Outing book? Ya Allah! Mestilah sayang ingat. Sesi 2013/2014, buku tu warna hijau. Sesi 2014/2015, buku tu warna biru. Asal nak outing atau balik rumah je, mesti kena minta tandatangan kat felow,” ujar Qistur Ruwaidah bersama sengihan. Meskipun terlalu banyak peraturan di CFS IIUM PJ, namun itulah kenangan.

Felow merupakan orang yang bertanggungjawab bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar dijaga dengan baik. Felow merupakan para pensyarah yang terpilih bagi mengemudi mahallah dengan baik dan mengikut hisbah yang ditetapkan. Hisbah pula merupakan bahagian setiap tingkat yang dijaga oleh seorang felow bagi satu hisbah. Setiap mahallah mempunyai pengetua tersendiri di atas felow.
Pada ketika itu, Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin dapat menyaksikan betapa meriahnya di AMF Hall dengan kehadiran para mahasiswa, staf, alumni UIAM dari pelosok negeri bersama ahli keluarga yang sedang membuat pendaftaran di tempat tersebut. Mereka berdua juga tidak ketinggalan untuk mendaftarkan diri bagi mengambil kupon dan button badge seperti yang telah didaftar dengan menggunakan Google Form dalam beberapa minggu lepas dan bayaran dikenakan sebanyak RM10 untuk seorang.
Sesi pendaftaran "The Last Reunion @ PJ Campus" itu benar-benar menggamit kenangan bagi Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin tatkala mereka berdua mendaftarkan diri di pusat asasi tersebut pada 10 Jun 2013 dahulu.
“Habibi… Sayang teringat sangatlah hari kita daftar dulu kat AMF ni. 10/06/2013 untuk budak-budak LAWS dulu,” luah Qistur Ruwaidah.
“Ya sayang… Habibi pun teringat juga tarikh kita sama-sama daftar dulu. Entah-entah, kita pernah terjumpa kat sini dulu masa hari daftar. Cuma, kita tak kenal lagi masa tu sebelum kita jadi kawan kelas kat KC,” kata Mohamad Salahuddin.
“Haah… Boleh jadi juga. Habibi… Cantik button badge ni. Memang akan tinggalkan kenangan kat kita,” kata Qistur Ruwaidah sambil memegang button badge tersebut.
“Itulah… Kena jaga baik-baik. Lepas ni, kita dah takkan datang sini.”
Selain itu, terdapat gerai jualan cenderamata seperti pelekat kereta, key chain, cawan serta pelbagai barang lagi yang menjadi perhatian Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin.
“Kita kena beli sticker kereta ni, habibi,” kata Qistur Ruwaidah dengan teruja.
“Wajib. Apa-apa cenderamata CFS, memang habibi nak beli. Sayang pun kalau nak apa-apa, ambil je,” kata Mohamad Salahuddin sambil ralit memerhatikan cenderamata yang dijual di gerai tersebut.
Setelah pasangan itu puas membelek segala cenderamata yang dijual, akhirnya mereka membeli beberapa cenderamata seperti pelekat kereta, pen dan key chain. Kemudian, mereka ternampak terdapat beberapa gerai lain yang berada di luar AMF, iaitu gerai makanan.
“Sayang nak apa-apa kat luar ni?” soal Mohamad Salahuddin.
“Belum lagi. Sekejap lagilah kita datang sini balik. Sekali ambil gambar. Kita pergi kat mahallah habibi dan sayang dululah,” balas Qistur Ruwaidah.
Dahulu, Qistur Ruwaidah tinggal di Aisyah College (AC), iaitu bersebelahan dengan mahallah Mohamad Salahuddin, iaitu Abu Bakar College (ABC) sebelum ABC dipindahkan ke Khadijah College (KC), yakni sebelah Umar Al-Khattab College (UKC).
Lokasi dua tempat tersebut terletak di belakang AMF dan mereka berdua perlu berjalan sedikit. Jalan itu juga sedikit berbukit. Namun, itu tidak mematahkan semangat Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin sambil membawa si kembar yang sedang lena dalam penggendong bayi masing-masing. Bahkan, pasangan itu cukup teruja untuk tiba ke sana.
“Wah, mahallah ni dah cat baharulah! Habibi lupa pula,” luah Mohamad Salahuddin setelah mereka tiba di KC yang pada asalnya menjadi bangunan ABC.
“KC ni dah cat baharu lepas insiden ABC terbakar sebelum ABC pindah kat sebelah UKC. Sayang ingat lagi insiden tu berlaku masa kita baru je masuk second year dalam dua tiga minggu macam tu,” terang Qistur Ruwaidah.
Peristiwa kebakaran yang berlaku di KC ini masih segar dalam kotak fikiran Qistur Ruwaidah. Ianya berlaku pada 26 Jun 2014. Pada ketika itu, dia tiada kelas dan dia ingat lagi kekecohan yang melanda agar semua mahasiswa yang tinggal di AC dan ABC pada waktu itu diminta untuk meninggalkan mahallah masing-masing dan berkumpul di tempat berkumpul yang terletak di parkir Zainab Jahsy College (ZC). Namun, tiada sebarang kematian jiwa dan kawasan yang terbakar hanyalah di bahagian hadapan sahaja dan tidak merebak teruk. Lokasi AC, ABC dan ZC ini saling berdekatan.
“Eh, haah! Pasal kebakaran tu, habibi pun ingat juga. Patutlah dah cat baharu. Kalau tak, pudar macam tu jelah,” kata Mohamad Salahuddin bersama sengihan.
“Betul. Dah cantik banyak,” kata Qistur Ruwaidah.
Kemudian, Qistur Ruwaidah menangkap gambar suaminya yang berdiri di hadapan bangunan KC itu. Meskipun mahallah tersebut telah menjadi mahallah untuk mahasiswi, namun Mohamad Salahuddin tidak akan lupa bahawa mahallah tersebut merupakan tempat dia pernah berteduh dulu.

Seterusnya, pasangan tersebut beralih pula ke AC yang terletak di sebelah KC itu. Qistur Ruwaidah memandang mahallah tersebut dengan penuh rindu. Tempat dia berteduh selama dua tahun. Meskipun bangunan tersebut kelihatan menakutkan, usang dan suram kerana catnya telah lama pudar serta menyebabkan dinding bangunan tersebut berubah menjadi putih kehitam-hitaman, namun AC tetap terbaik bagi siswi itu.

Ketika dia mula-mula mendaftarkan diri di CFS IIUM pada tahun 2013 dulu, dia sendiri merasakan AC ini tidak seronok, tidak secantik mahallah lain dan dia sendiri pernah membandingkan AC dengan mahallah lain. Apatah lagi, mahallah ini antara yang mempunyai ramai penghuni sehingga lapan orang untuk satu bilik tetapi setelah dia menginap di mahallah tersebut sehingga dua tahun lamanya, dia sudah jatuh cinta sepenuhnya walaupun AC agak jauh untuk para siswi menuju ke kelas.
“AC ni dah tutup dua tahun kalau tak silap. Lepas sayang dah habis belajar,” terang Qistur Ruwaidah.
“Oh, kenapa?” soal Mohamad Salahuddin. Dia mendengar sahaja bicara isterinya kerana isterinya lebih arif berkenaan CFS IIUM PJ ini berbanding dirinya.
“Kalau tak silap sayang, nak jimat kos sebab UIA tak mampu bayar sewa untuk AC ni.”
“Patutlah tak nampak orang keluar masuk. Dah tutup rupanya.”
Namun, pasangan itu ternampak ada beberapa orang memasuki ke pintu pagar AC. Nampak seperti orang luar sedang berziarah ke bangunan tersebut.
“Ada orang masuk AC tu. Nak cuba masuk tak? Tengok AC buat kali terakhir,” ujar Mohamad Salahuddin.
“Jomlah. Kita cuba,” kata Qistur Ruwaidah.
Lalu, pasangan itu melangkah masuk ke dalam bangunan AC. Kelihatan bangunan tersebut tidak terurus langsung dengan daun-daun gugur yang berselerakan, berhabuk, semakin suram dan hambar ketika mereka melalui kawasan televisyen terlebih dahulu atau lebih popular disebut sebagai ‘TV area’. Qistur Ruwaidah masih ingat lagi, tempat itulah selalu menjadi perhatian warga AC untuk melakukan apa-apa program dan juga, menjadi tempat menunggu buat ahli keluarga yang datang menziarahi kakak atau adik yang belajar di CFS IIUM PJ.

Apatah lagi, rumput tumbuh meliar dan menumbuh tinggi sehingga menjadi semak samun di sekitar taman mini yang terletak di tengah bangunan AC, tempat Qistur Ruwaidah pernah melepaskan lelah selepas bersukan di tengah gelanggang. Sekali-sekala, dia suka menulis di taman mini itu. Selain itu, matanya juga turut terpandangkan kafeteria dan koperasi yang terletak bertentangan dengan taman mini.

“Sedihnya tengok AC macam ni. Sayang sangat… Kat AC nilah banyak memori. Dulu, sayang ingat lagi masa semester akhir sayang… Sayang sanggup balik lambat sampai tarikh akhir pulang kunci walaupun peperiksaan dah habis awal. Saja nak habiskan masa kat CFS ni,” luah Qistur Ruwaidah.
“Nak buat macam mana, kan. AC ni dah tutup. CFS pun dah nak tutup,” kata Mohamad Salahuddin.
“Emm… Tulah… Habibi tolong tangkap gambar sayang kat beberapa tempat yang sayang nak.”
“Okey, boleh.”
Lalu, Mohamad Salahuddin menangkap gambar isterinya berlatarbelakangkan beberapa tempat yang akan menjadi kenangan dan kerinduan buat isterinya.

Usai semuanya, Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin mula meninggalkan AC dan menuju pula ke ZC. Namun, pasangan itu hanya menatap di luar bangunan ZC sahaja kerana mereka berdua tiada keperluan untuk menjengah dan Qistur Ruwaidah sendiri tidak ada pengalaman sangat bersama tempat tersebut kecuali roti canai yang dijual di kafeteria itu.
“Betul ni sayang tak nak masuk ZC? Pergi tengok bahagian dalam betul-betul. Habibi boleh je tunggu kat luar ni sambil pegangkan Qurtubi sekejap,” ujar Mohamad Salahuddin.
“Tak apalah. Lagipun, memori sayang banyaknya kat Kafe ZC je. Roti canai ZC terbaik. Rangup kat luar, lembut kat dalam,” terang Qistur Ruwaidah bersama senyuman. Namun, hatinya hiba. Dia tahu ini merupakan hari terakhirnya bersama CFS IIUM PJ dan dia tidak akan kembali ke sini lagi.
“Tak nak singgah makan roti canai dulu? Nanti sayang menyesal. Habibi nak sayang hayati betul-betul setiap tempat yang kita lalu kat CFS ni. Lepas ni, kita dah takkan datang sini lagi.”
Akhirnya, Qistur Ruwaidah bersetuju dengan kata-kata suaminya. Lalu, mereka berempat singgah ke Kafe ZC buat seketika dan pasangan itu menikmati roti canai di ZC buat kali terakhir. Alangkah Qistur Ruwaidah gembira tatkala dia dapat merasai roti canai itu. Rasanya masih kekal sama walaupun dia sudah meninggalkan CFS IIUM PJ sejak tahun 2015 dulu.

SETELAH Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin usai menikmati roti canai, mereka menuju ke AMF Hall semula. Sebenarnya, terdapat jalan singkat yang boleh dilalui menerusi pintu pagar ZC dan akan berjumpa dengan Kedai Busana Kelab Kakitangan selepas menuruni anak tangga dari pintu pagar tersebut.
Qistur Ruwaidah sudah bercadang untuk ke Kedai Busana Kelab Kakitangan itu. Semasa dia belajar di CFS IIUM PJ, dia selalu juga pergi kedai tersebut yang menjual barang keperluan muslimah seperti tudung, jubah, baju-T Muslimah, serkup, stoking lengan dan banyak lagi.
Namun, bagi Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin, mereka tetap ada rasa malu untuk melalui jalan tersebut. Apatah lagi, Mohamad Salahuddin sedang berada di mahallah siswi. Cukuplah, mereka datang ke kafeteria sahaja dan menggunakan laluan yang sama semula walaupun jauh sedikit.
Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil masih kekal lena dalam penggendong bayi itu. Tidak merengek atau meragam. Sangat memudahkan urusan ibu bapa mereka berdua bagi menghayati setiap tempat di CFS IIUM PJ itu.
“Habibi, kita singgah tangkap gambar kat taman sebelah AMF ni sekejap. Lepas tu, sayang nak pergi kedai baju kat hujung tu,” kata Qistur Ruwaidah.
“Okey, boleh sayang,” kata Mohamad Salahuddin.
Lalu, pasangan itu menangkap gambar secara swafoto di taman bersebelahan dengan AMF Hall itu dengan menggunakan kamera GoPro. Kecil, fleksibel dan mudah dibawa ke mana-mana. Mereka terperasan juga apabila banyak mata-mata memandang mereka. Mungkin kerana si kembar Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil menjadi perhatian.
Kemudian, mereka menuju pula ke Kedai Busana Kelab Kakitangan yang tidak jauh dari taman tersebut.
Qistur Ruwaidah ralit membelek pakaian-pakaian yang terdapat di kedai tersebut. Sekali, dia ternampak Mohamad Salahuddin sedang memandang sesuatu. “Habibi tengok apa?” tanyanya.
Mohamad Salahuddin tersenyum. “Tengok purdah. Saja.”
“Habibi nak sayang pakai ke?”
“Taklah sayang. Habibi suka tengok je tapi tak bermakna habibi suruh sayang pakai. Ha, sayang nak beli apa kat kedai ni?”
“Tak ada. Sayang nak tengok-tengok je. Lagipun, habibi baru belanja sayang stoking lengan dan stoking kaki minggu lepas.”
Setelah mereka melangkah keluar dari Kedai Busana Kelab Kakitangan, terdapat satu lorong sebelah kanan. Lokasinya terletak di hadapan sedikit dari kedai tersebut. Lorong itu boleh dikatakan di antara laluan utama bagi para siswi menuju ke kelas. Qistur Ruwaidah masih ingat lagi, boleh dikatakan hampir setiap hari Rabu akan diadakan pemeriksaan mengejut oleh pengawal bagi memeriksa para siswi yang tidak memakai tudung rona putih dan diwajibkan untuk memakai tudung rona putih pada setiap hari Rabu.
“Teringat sungguh kat lorong ni. Pak guard rajin buat spot check untuk tengok mana-mana sisters tak pakai tudung putih masa hari Rabu,” kata Qistur Ruwaidah.
“Haahlah… Sisters wajib pakai tudung putih. Habibi pun baru teringat pasal tu. Brothers pula wajib pakai kemeja ada kolar dan necktie masa hari Rabu. Kalau tak pakai, kena samanlah jawabnya macam biasa,” balas Mohamad Salahuddin.
“Dulu, sayang rasa CFS ni terlalu banyak peraturan dari segi pakaian tapi bila dah belajar kat UIA Gombak, rindu pula kat dress code CFS.”
Mohamad Salahuddin tertawa. “Aik sayang… Dress code CFS pun sayang rindu ke?”
Qistur Ruwaidah turut tertawa. “Tulah… Sayang ni pelik-pelik jelah.”
“Sayang nak lalu sini? Ke nak pergi kat kawasan klinik dan beberapa tempat kat situ?”
“Kita pergi situlah. Kat sini tak ada apa pun. Jumpa studio AED je.”
Tatkala Qistur Ruwaidah menyebut perkataan AED atau nama panjangnya, Foundation of Architecture and Environmental Design, iaitu fakulti pengajian Abdul Azim dahulu di CFS IIUM PJ ini, dia terpandangkan wajah suaminya. “Sayang minta maaf,” ucapnya dengan serba salah.
“Eh, sayang nak minta maaf sebab apa pula?” soal Mohamad Salahuddin, kehairanan.
“Takut habibi salah faham pula bila sayang sebut AED. Habibi faham maksud sayang, kan?”
“Oh, sayang maksudkan Azim ke?”
Qistur Ruwaidah mengangguk. Semakin serba salah dirasakan oleh dirinya itu.
“Tak adalah. Habibi okey jelah. Lagipun, habibi tak salahkan sayang. Memang sejarah lalu, sayang ada perasaan kat dia masa zaman CFS ni dulu. Itu hakikat dan kenangan yang sayang tak boleh buang. Habibi pun terima je kenyataan tu. Kalau sayang fikir habibi cemburu… habibi pernah dera sayang disebabkan diari yang sayang pernah tulis pasal Azim tu, habibi minta maaf sangat. Sayang tahu tu bukan habibi, kan?” luah Mohamad Salahuddin. Dia turut rasa serba salah.
“Tak, tak… Sayang tak salahkan habibi. Sayang tak berdendam dengan habibi pasal tu. Habibi jangan risau. Sekarang, kita dah bahagia. Alhamdulillah. Ada Qalyubi dan Qurtubi yang tengah tidur ni. Okey, dah. Kita jangan fikir lagi pasal tu. Jom pergi kat kawasan klinik dan beberapa tempat kat situ.”
Lalu, Qistur Ruwaidah memegang tangan Mohamad Salahuddin dan menuju ke tempat seterusnya. Mereka ternampak lorong untuk memasuki ke air pancut buatan yang terletak di sekitar Admission and Records (ANR) Department.
“Sayang nak tangkap gambar kat fountain tu?” soal Mohamad Salahuddin.
“Tak payahlah. Sayang tak ada kenangan sangat kat sini tapi kat tingkat atas, sayang ada kenangan. Sebelum tu, kita pergi kat kawasan klinik, LY building, ANNEX dan library. Kita kena pergi tempat wajib tu,” balas Qistur Ruwaidah.
Dalam perjalanan ke tempat seterusnya, pasangan itu ternampak sebuah papan tanda yang tertera, ‘Welcome to CFS IIUM. This is an English speaking campus. Please speak English.’
“Habibi nak tangkap gambar papan ni. Legenda betul,” kata Mohamad Salahuddin. Lalu, dia menangkap gambar papan tanda tersebut.
“Kita selfie pula, habibi. Sayang nak juga,” kata Qistur Ruwaidah.
Kemudian, mereka berswafoto di papan tanda penuh kenangan itu.
“Habibi rasa, kita patut pergi mana dulu? Alang-alang kita kat tengah-tengah kawasan ni,” ujar Qistur Ruwaidah.
“LY building dulu. Kita tak payah patah balik. Lepas tu, ANNEX, library, klinik… Okey tak?” cadang Mohamad Salahuddin.
“Boleh juga. Kalau macam tu, jom pergi LY dulu.”
Keluarga kecil itu menuju ke LY building terlebih dahulu. Apabila mereka baru sahaja hendak melangkah masuk ke dalam bangunan itu, bau kabut (fog) terus menusuk ke dalam hidung.
“Tak pernah hilang bau fog ni. Kenangan betul,” luah Mohamad Salahuddin. Kemudian, dia tertawa kecil.
Qistur Ruwaidah juga turut tertawa kecil. “Kadang sayang terfikir, bangunan ni memang selalu buat fogging ke macam mana?”
“Kan? Habibi pun terfikir juga yang sama. Emm… Kita ni nak masuk ke? Bau fog ni bahaya pula untuk Qalyubi dan Qurtubi.”
“Ikutkan, sayang nak masuk sekejap je. Nak imbau balik kenangan habibi bagi tisu kat sayang. Kita pergi kelas LY001 je. Selfie sekejap. Lepas tu, kita keluar terus. Boleh tak?”
“Kalau macam tu, okeylah. Jom.”
Lalu, pasangan itu melangkah masuk ke dalam bangunan LY dan terus menuju ke arah kelas yang dinamakan sebagai LY001. Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin memandang kelas itu dengan penuh rasa rindu. Masing-masing saling berpandangan bersama senyuman.
“Habibi ada tisu tak? Sayang tak ada duster nak padam whiteboard,” ujar Qistur Ruwaidah. Kemudian, dia tersengih. Sengaja dia mahu mengembalikan kenangan itu.
“Ya Allah… Sayang boleh ingatkan habibi balik pasal momen tu. Habibi malulah! Malu terjumpa sayang sampai nak terlepas beg galas habibi masa tu tahu. Nasib baik sayang tak perasan,” luah Mohamad Salahuddin dalam nada malu.
Qistur Ruwaidah tergelak kecil. “Memang sayang sengaja nak sakat habibi pun. Nak tengok muka malu-malu habibi.”
“Ya Allah… Dia ni, kan! Tak apa, tak apa… Ada ubi ada batas, ada hari boleh balas. Sayang tunggu nanti. Habibi akan kenakan sayang pula.”
Lalu, pasangan itu tertawa kecil. Tanpa melengahkan masa, mereka berswafoto di dalam kelas tersebut dan papan tanda LY001.
Sebelum keluarga kecil itu meninggalkan kelas LY001, Mohamad Salahuddin menoleh ke belakang. Dia teringat dahulu setelah Qistur Ruwaidah meninggalkan kelas tersebut, matanya tidak lepas dari memandang isterinya sehingga isterinya hilang dari pandangan mata. Kenangan sungguh… Dia mengucap syukur di dalam hati. Kini, Qistur Ruwaidah berada di sampingnya bersama anak kembar lelaki yang menyinari alam rumah tangga.
“Habibi tengok apa kat belakang tu?” tegur Qistur Ruwaidah.
“Lepas kita keluar dari bangunan ni, habibi beritahu sayang,” kata Mohamad Salahuddin. Dia tidak mahu berlama-lama di dalam bangunan itu kerana terkenangkan anak-anak mereka berdua yang sedang lena dalam penggendong bayi dan menghirup udara kabut dalam tempoh yang lama.
Setelah mereka berempat meninggalkan bangunan LY, Mohamad Salahuddin mula membuka cerita. “Lepas sayang dah tinggalkan LY001 tu, habibi tengok je sayang sampailah habibi dah tak nampak sayang.”
Wajah Qistur Ruwaidah berubah terkejut. “Seriuslah habibi ni!”
Mohamad Salahuddin tersenyum. “Betullah… Habibi siap berharap lagi dalam hati… Tolonglah patah balik jumpa habibi tapi sayang tak patah balik. Lepas tu, habibi pun dah niat, kalau habibi dah tak jumpa sayang kat CFS ni, habibi akan jumpa sayang kat UIA Gombak pula. Memang Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui hati habibi. Allah izinkan kita jumpa balik. Tahu-tahu, kita dah kahwin. Sekarang, kita dah ada Qalyubi dan Qurtubi pula. Hebatnya perancangan Allah untuk kita, sayang.”
“Subhanallah! Tiba-tiba sayang rasa terharu pula dengan habibi. Cinta habibi kat sayang hebat sangat. Terlalu tulus. Sayang sendiri terpaksa mengaku, cinta sayang sendiri tak sehebat habibi. Sayang nak kena banyak belajar lagi erti cinta tulus daripada habibi.”
“Cara habibi belajar untuk setia sepanjang habibi kahwin dengan sayang, tundukkan pandangan bila terpaksa jumpa kawan perempuan. Habibi akan sentiasa semat kat dalam hati habibi, hanya sayang seorang je ada dalam hati habibi dan habibi dah kahwin tapi sebenarnya, tak senang juga. Sebab apa? Ada je sisters AIKOL cuba nak mengurat habibi walaupun dia orang tahu habibi dah kahwin tapi tak ada maknanya habibi nak layan. Sisters yang tergedik pun ada. Haih… Perempuan macam tu, bukan type habibilah. Nampak murah. Sayang je yang boleh menggedik dan bermanja dengan habibi. Eksklusif, bila kita kat rumah.”
“Isy… Sayang makin cairlah bila habibi cakap macam tu. Buat sayang makin nak jadi mahal kat depan mata habibi.”
“Teruskan jadi isteri solehah untuk habibi. Kalau habibi tersilap dari segi perbuatan atau kata-kata sebagai suami, tolong tegur habibi. Tolong ingatkan habibi juga pengabadian kita kat Allah. Dia bagi rasa cinta ni kat kita. Sebagai balasan, kita kenalah makin taat dan patuh dengan perintah Dia melalui perkahwinan ni.”
“Insya-Allah. Habibi pun tolong tegur sayang dan bimbing sayang. Sayang masih perlukan bimbingan habibi. Lagi-lagi, bila kita dah masuk fasa jadi ummi abi ni.”
“Insya-Allah. Kita sama-sama perbaiki diri dan berazam jadi hamba Allah yang lebih baik untuk didik Qalyubi dan Qurtubi pula.”
Kemudian, pasangan itu menuju pula ke bangunan ANNEX, iaitu sebuah bangunan yang terkenal dengan penyaman udara yang amat sejuk.
“Sejuknya… Air cond kat ANNEX ni memang tak boleh bawa bincang dari dulu,” luah Qistur Ruwaidah.
“Itulah… Sejuk-sejuk nak pergi mana, kan?” seloroh Mohamad Salahuddin.
“Betullah tu. Jom naik atas. Rindu pula kat Computer Lab dan kelas BTQ.”
Mohamad Salahuddin menggarukan kepalanya yang tidak gatal. “Computer lab? Ada computer lab eh?”
Qistur Ruwaidah menepuk dahinya. “Laaa… Seriuslah habibi lupa? Mestilah ada habibi oii… Kan kita kena ambil subjek ICT masa mula-mula kita kat CFS ni. Ingat tak lecturer suruh kita buat website dulu?”
“Ya Allah! Betul, betul! Habibi baru teringat. Assignment paling pening kepala. Nak suruh kita jadi programmer ke apa?”
“Sayang suka je assignment tu. Sangat membantu sayang tahu bila sayang nak kena buat website sendiri tapi bab nak jawab exam, memang susah. Alhamdulillah sayang lulus cukup makan. Dapat C. Okeylah daripada sayang kena repeat. Taubat, taubat…”
“Habibi dapat gred apa ya untuk ICT? Emm… Entah. Tak ingat.”
Lalu, pasangan itu menggunakan tangga bagi menaiki ke tingkat atas.
“Tangga ni…” luah Qistur Ruwaidah.
Mohamad Salahuddin tersenyum. “Sayang teringat masa sayang jatuh ke?”
Qistur Ruwaidah mengangguk. “Tak tahulah kenapa sayang boleh terjatuh tapi nasib baik habibi ada masa tu. Apa yang sayang ingat, sayang hampir pitam. Tu yang buat sayang boleh jatuh tergolek.”
“Kalaulah kita dah kahwin masa tu, boleh juga habibi dukung sayang sampai kat klinik. Kesian sayang nak kena berpaut sampai sayang dah selamat sampai klinik. Habibi pula tak boleh nak buat apa-apa.”
“Alaa… Tak apa. Sekarang, habibi pun dah puas dukung sayang, kan?”
Lalu, pasangan itu tertawa. Mereka menuju ke kelas-kelas yang pernah menjadi kenangan buat mereka berdua.
Setelah pasangan itu puas menatap dan berjalan-jalan di sekitar bangunan ANNEX, mereka menuju ke perpustakaan pula yang terletak di bawah bangunan ANNEX. Namun, ada juga kelas di ANNEX yang sebaris dengan perpustakaan. Kemudian, pasangan itu berbisik sesama mereka.
“Senang betul bawa Qalyubi dan Qurtubi ni. Tidur je dari tadi,” kata Mohamad Salahuddin seraya memandang Aalqalyubi Shafiy yang sedang lena dalam penggendong bayi yang dibawa olehnya.
“Macam mana budak-budak ni tak sedap tidur? Dapat rasa air cond dari tadi,” balas Qistur Ruwaidah yang turut memandang Aalqurtubi Shakil yang sedang lena dalam penggendong bayi.
“Kita nak pergi mana?”
“Naik ataslah. Kita pergi section buku-buku laws dan Arab.”

Lalu, pasangan itu menuju ke tingkat tiga terlebih dahulu, di mana terletaknya buku-buku undang-undang. Qistur Ruwaidah menangkap gambar suaminya di sekitar rak buku di perpustakaan tersebut.
“Eh, sayang dah terlupa ada tempat printing dan photocopy kat sini,” kata Qistur Ruwaidah sambil menunjukkan kedai fotokopi dan percetakan yang menjadi tempat hangat bagi para siswa dan siswi di perpustakaan itu. Namun, kedai tersebut tutup pada hari tersebut kerana cuti hujung minggu.
“Eh, haahlah… Habibi pun dah terlupa. Dah banyak tempat yang habibi lupa. Nak tangkap gambarlah. Biar kita ingat semua tempat yang ada kat CFS PJ ni,” kata Mohamad Salahuddin. Lalu, dia menangkap gambar kedai tersebut sebagai kenangan.
Seterusnya, pasangan itu menuruni anak tangga bagi menuju ke tingkat dua, di mana terletaknya kitab-kitab bahasa Arab. Giliran Mohamad Salahuddin pula menangkap gambar isterinya di tempat tersebut.
“Banyak betul khazanah kitab-kitab Arab kat sini. Banyak juga kitab-kitab Arab kat sini yang sayang pinjam buat fotostat. Nak beli, sayang tak mampu,” beritahu Qistur Ruwaidah.
“Samalah habibi. Lepas kita habis belajar nanti, mesti kita rindu nak buat semua ni, kan?” luah Mohamad Salahuddin.
“Habibi ni… Suka buat sayang sedih. Dahlah sayang sedih CFS ni dah nak tutup.”
“Alaa… Habibi pun sedih juga. Kalaulah anak-anak kita minat nak sambung belajar kat UIA macam kita bila dia orang dah besar nanti, kita kena hantar dia orang kat CFS Gambang.”
“Itulah… Kita pun kena korbankan rasa rindu kat anak-anak. Apa yang penting, kita ajar anak-anak kita jihad dalam belajar, besarnya pengorbanan belajar jauh sebab nak cari ilmu.”
“Insya-Allah. Moga Allah kabulkan apa yang kita impikan ni satu hari nanti.”
Setelah pasangan itu puas berjalan-jalan di perpustakaan, lalu mereka meninggalkan perpustakaan tersebut yang telah banyak meninggalkan kenangan. Elok sahaja Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin keluar dari perpustakaan, tiba-tiba Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil terus mencelikkan mata bersama rengekan.
“Alalala… Dah bangun pun anak-anak ummi abi ni. Assalamualaikum sayang-sayang ummi abi,” tegur Qistur Ruwaidah kepada Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil.
Mohamad Salahuddin tersenyum menyaksikan kelembutan isterinya itu. Dia mengusap ubun-ubun Aalqalyubi Shafiy. “Anak-anak abi ummi ni seronok betul tidur ya. Abi ummi dah pergi banyak tempat tahu.”
Serentak, Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil tersenyum mendengar suara kedua-dua orang ibu bapa mereka berdua.
“Eh, eh… Senyum pula. Cairlah abi tengok anak-anak abi ni senyum,” ujar Mohamad Salahuddin.
Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil tersengih kepada ibu bapa mereka. Bagaimanalah Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin tidak geram dengan dua orang permata hati itu!
“Alang-alang anak-anak abi ummi dah bangun ni, kami nak tunjuk klinik CFS kat Qalyubi dan Qurtubi. Abi nak tunjuk tempat yang buat abi makin jatuh cinta kat ummi,” terang Mohamad Salahuddin kepada anak-anaknya. Kemudian, dia memandang isterinya bersama renungan penuh cinta.
Perlahan-lahan, Qistur Ruwaidah memegang tangan suaminya. Lalu, dia menuturkan sesuatu. “I love you, habibi,” ucapnya.
“I love you too, sayang. Sekarang, habibi bukan kena cakap ‘I love you’ kat sayang je. Kena cakap ‘I love you’ kat Qalyubi dan Qurtubi sekali,” seloroh Mohamad Salahuddin.
Qistur Ruwaidah tertawa. “Betul. Kita kena ekspresikan rasa sayang kita kat anak-anak. Barulah anak-anak kita rasa dihargai.”
Kemudian, pasangan itu membawa Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil ke klinik CFS IIUM PJ atau nama spesifiknya, iaitu University Medical Centre International Islamic University.
“Qalyubi, Qurtubi… Ni salah satu tempat yang buat abi makin cinta kat ummi,” bicara Mohamad Salahuddin kepada dua orang puteranya itu.
Qistur Ruwaidah tersengih malu. Mujurlah anak-anak tersebut masih tidak memahami kisah cinta ibu bapa mereka. Namun, dia tahu… Setelah Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil sudah besar dan memahami erti kehidupan, pastinya timbul rasa ingin tahu dalam diri si kembar itu.
Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil memandang University Medical Centre International Islamic University itu dengan pandangan kosong.
“Nasib baik Qalyubi dan Qurtubi tak faham lagi tahu. Kalau tak, sayang malu. Tak tahu nak sorok muka kat mana,” seloroh Qistur Ruwaidah.
Mohamad Salahuddin tersengih. “Tunggulah anak-anak kita dah boleh cakap. Mesti dia orang akan tanya kita. Kan, Qalyubi, Qurtubi?”
“Ah, habibi ni! Dah, dah. Jom selfie.”
Lalu, keluarga kecil itu berswafoto di hadapan klinik tersebut. Seketika, Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin saling berpandangan.
“Sayang akan rindu kenangan kita kat klinik ni. Kita dah takkan datang sini lagi,” luah Qistur Ruwaidah dengan nada sayu.
“Sayang… Jangan sedih-sedih. Kalau rindu, kita boleh tengok balik kat GoPro ni. Insya-Allah, memori kita kat CFS PJ ni takkan terpadam sampai bila-bila,” pujuk Mohamad Salahuddin.
Qistur Ruwaidah menghadiahkan senyuman. “Okey habibi… Emm… Habibi tengok ATM Muamalat tu. Habibi ada kenangan tak kat situ?” ujarnya seraya menunjukkan Mesin Teler Automatik (ATM) milik Bank Muamalat yang diletakkan di kawasan klinik itu.
Mohamad Salahuddin memandang mesin itu buat seketika. “Yang habibi ingat, tak kira brothers atau sisters, mesti beratur panjang nak keluarkan duit bila duit elaun dah masuk.”
“Duit elaun? Ya Allah… Sayang lupa habis pasal tu. Almaklumlah… Bila dah sambung degree, kena bayar sendiri.”
“Betullah tu. Sayang pula? Ada apa-apa kenangan tak kat sini?”
“Sayang? Ha, habibi nampak pintu kat belakang ATM tu?”
Mohamad Salahuddin memandang pintu kaca yang dimaksudkan oleh isterinya itu. “Oh ya. Bilik kelab debat. Habibi ingat sayang aktif sangat dengan debat Arab dulu. Selalu lepak bilik tu. Kadang-kadang, habibi pun ada ternampak sayang. Cuma, habibi malu nak tegur sayang. Cepat-cepat habibi lari kalau habibi nampak sayang.”
“Habibi ni… Tak baik habibi buat macam tu kat sayang dulu. Sedih sayang tahu…” luah Qistur Ruwaidah seraya memonyokkan wajahnya.
“Ya ke sayang sedih? Masa tu… Kan sayang nampak Azim je. Habibi ni halimunan,” sakat Mohamad Salahuddin. Lalu, dia tertawa kecil.
“Eiii… Habibi ni, kan! Berani ingatkan sayang pasal Azim balik.”
“Alaa… Tadi, sayang sakat habibi kat LY. Sekarang, giliran habibi pula sakat sayang kat klinik ni.”
Qistur Ruwaidah mencubit manja lengan suaminya itu. “Eiii… Dahlah. Jom kita pergi tempat lain pula. Banyak lagi tempat kita nak kena pergi.”
Mohamad Salahuddin tersenyum. Lalu, dia dan keluarga kecilnya mula meninggalkan kawasan klinik itu.
Namun, bagi Qistur Ruwaidah pula, memang dia ada kenangan di kawasan bangku yang terletak di luar klinik itu, berdekatan dengan klinik gigi. Dia pernah menegur Abdul Azim di bangku tersebut pada hari kedua dia menjadi rakan sekelas dengan lelaki itu. Cuma, dia tidak akan membuka kisah itu kepada suaminya. Dia tidak mahu Mohamad Salahuddin beranggapan bahawa dia masih belum boleh melepaskan pergi perasaannya daripada jejaka itu. Walaupun dia tahu suaminya tidak kisah tetapi bagi dirinya, biarlah kenangan itu hanya terpahat dalam kotak memorinya.
Seterusnya, Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin membawa Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil ke Co-op Mart yang tidak jauh dari kawasan klinik atau lebih tepat di sekitar kawasan Central Spine.
“Ah, teringatnya ko-op ni!” luah Qistur Ruwaidah.
“Siapa punya botol kaca jus durian belanda pecah ya masa tu?” sakat Mohamad Salahuddin.
Qistur Ruwaidah meraup wajahnya seketika. Dia malu! “Habibi! Malulah sayang! Tak pasal-pasal habibi tengok sayang menangis masa tu.”
“Habibi sedih tengok sayang menangis masa tu. Hati habibi hancur tahu. Habibi ingat sayang tak berapa ada duit tapi sayang teringin sangat. Habibi tak menyesal belanja sayang masa tu.”
“Sayang ingat memori tu sampai bila-bila. Terima kasih habibi sebab sudi korbankan untuk sayang dari dulu sejak kita jadi kawan sampai sekarang.”
“Sama-sama sayang. Ha, sayang teringin nak jus durian belanda tak? Habibi nak pergi beli ni.”
“Tak apalah, habibi. Sayang tak dahaga lagi.”
Kemudian, keluarga kecil itu menaiki tangga berlingkar atau lebih terkenal dengan sebutan ‘tangga spiral’ yang berdekatan dengan pejabat Pos Malaysia dan tidak jauh dengan Co-op Mart.
Akhirnya, mereka tiba di hadapan Office of Arts Department Program (OOADP).
“Teringat kenangan kat Arts Department ni. Hari sayang minta borang tukar jurusan dulu. Lepas tu, sayang terjumpa habibi,” kata Qistur Ruwaidah.
“Betullah. Lepas tu, habibi ada ternampak sayang jumpa Azim kat Science Department pula. Habibi cemburu tahu masa tu,” luah Mohamad Salahuddin. Lalu, dia tersengih.
“Ha, sudah… Dia mula dah. Nak kena habibi ni,” balas Qistur Ruwaidah seraya mencubit manja lengan suaminya.
Lalu, pasangan itu tertawa. Si kembar turut menjadi ceria menyaksikan kedua-dua orang ibu bapa mereka itu.
“Bila kita sebut pasal Azim, dia dah koma setahun, kan? Habibi sedih pula bila ingat balik dia kemalangan lepas dia balik dari majlis kesyukuran kita dulu,” ujar Mohamad Salahuddin.
“Haah… Abang Suhaib masih setia jenguk dia kat hospital tu setiap minggu. Sayang kesian tengok Abang Suhaib. Mesti dia rindu kat Azim. Dia orang tu tak pernah berenggang langsung macam mana Abang Suhaib rapat dengan Abang Afkar,” maklum Qistur Ruwaidah.
“Itulah… Habibi ingat nak ziarah dia nanti tapi mesti budak-budak ni tak boleh masuk.”
“Tak apa, habibi. Kita gilir-gilir masuk kalau betul habibi nak ziarah Azim nanti. Jom kita tangkap gambar kat sini.”
Lalu, keluarga kecil itu menangkap gambar di kawasan tersebut, termasuklah di Lecturer Hall (LH) A dan B yang terletak tidak jauh dari OOADP. LH A dan B juga antara tempat kenangan buat Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin bagi menghadiri kuliah atau program.
Seterusnya, Qistur Ruwaidah, Mohamad Salahuddin, Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil berada di Blok D, iaitu sebuah tempat kenangan bagi Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin. Mereka berdua terkenang kembali bahawa di tempat tersebutlah, mereka berdua mengabadikan kenangan bersama rakan-rakan sekelas daripada Grup 320 ketika tahun satu semester pertama di CFS IIUM PJ itu.
“Apa khabar kawan-kawan 320 kita, habibi? Lama tak dengar cerita lepas sayang dah tukar jurusan BAR dulu,” luah Qistur Ruwaidah.
“Alhamdulillah. Masing-masing okey je kat AIKOL tapi ada juga yang tukar jurusan lain. Mus, Aber dan Natrah antara yang tukar jurusan. Dia orang tukar ke HS tapi majoring dalam apa, habibi tak tahu,” terang Mohamad Salahuddin.
“Sebut pasal kawan-kawan 320 kita, sayang teringat kat Alia. Habibi ingat tak, dia bagi diari sayang kat habibi dulu?”
“Haah… Habibi ingat. Jujurlah ya, sayang. Habibi sendiri tak tahu kenapa dia bagi diari tu kat habibi. Bersungguh pula tu nak suruh habibi ambil masa tu. Bila habibi nak jumpa dia, terus dia lari daripada habibi. Habibi pun nak penjelasan daripada dia, motif dia bagi diari tu kat habibi. Kalau bukan disebabkan sihir mak, memang habibi takkan cemburu pun.”
“Sayang pun tertanya juga. Ikutkan hati ni, nak jumpa dia. Sayang nakkan penjelasan.”
“Tak apalah. Nanti habibi cuba lagi nak jumpa dia.”
Tiba-tiba Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil merengek seketika. Lalu, pasangan itu mencari tempat berteduh atau lebih tepat di kelas yang kosong di sekitar bangunan ANNEX tadi.
“Alahai… Kesiannya Qalyubi dan Qurtubi. Ummi abi minta maaf ya. Teruja sangat tengok CFS ni,” kata Qistur Ruwaidah kepada anak-anaknya setelah si kembar dikeluarkan dari penggendong bayi tersebut.
“Lampin dia orang dah penuh ni. Habibi uruskan Qalyubi dulu. Sekejap lagi, habibi uruskan Qurtubi pula,” kata Mohamad Salahuddin seraya memeriksa lampin si kembar itu.
Sejujurnya, Qistur Ruwaidah berasa amat bersyukur kerana dikurniakan seorang suami dan ayah yang cukup bertanggungjawab sebagai ketua keluarga.
Tanpa sebarang keluhan, Mohamad Salahuddin menguruskan Aalqalyubi Shafiy terlebih dahulu di bilik air yang berdekatan. Sebagai persediaan, dia juga membawa beg plastik untuk memasukkan lampin bayi yang telah digunakan untuk dibuang. Qistur Ruwaidah pula cuba menenangkan Aalqurtubi Shakil sementara menunggu suaminya menguruskan anak sulung mereka.
Usai Mohamad Salahuddin menguruskan Aalqalyubi Shafiy, dia menguruskan pula Aalqurtubi Shakil. Sementara itu, Qistur Ruwaidah pula menyusui Aalqalyubi Shafiy. Kelihatan Aalqalyubi Shafiy begitu ralit menikmati susu ibu.
“Lapar ya, Qalyubi… Ummi minta maaf, sayang. Minum susu sampai kenyang ya,” bicara Qistur Ruwaidah dengan penuh lemah lembut.
Tidak lama kemudian, kelihatan Mohamad Salahuddin telah siap menguruskan Aalqurtubi Shakil. Sementara menunggu Aalqalyubi Shafiy siap menyusu, Mohamad Salahuddin bermain-main dengan anak keduanya itu.
“Anak abi sayang… Cak! Dah selesa, kan?” Mohamad Salahuddin mengagah Aalqurtubi Shakil. Kelihatan anak keduanya tersenyum dan tertawa. Anak keduanya itu hanya selesa dengan ibu bapa tercinta. Jika Aalqurtubi Shakil bersama orang lain, dia akan merengek dan menangis sahaja.
Qistur Ruwaidah tersenyum menyaksikan kebahagiaan dua beranak itu. Harapan dia sebagai seorang isteri dan ibu agar rumah tangga yang dibina ini kekal bahagia dan semakin kukuh dengan hadirnya zuriat sebagai pengikat kasih. Sungguh, dia ingin berterima kasih kepada Maha Pencipta di atas segala kurniaan yang cukup indah.

USAI Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin menguruskan Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil di bangunan ANNEX, mereka menuju semula ke arah sekitar kawasan Blok D tetapi kali ini, mereka berada di Blok C. Sebuah tempat yang terkenal dengan reka bentuk bangunannya menggunakan batu-bata merah, sama seperti di Blok D.
“Sayang suka bangunan ni. Unik,” kata Qistur Ruwaidah.
“Betul. Habibi pun suka. Kita tak pernah ada kelas kat Blok C ni, kan?” ujar Mohamad Salahuddin.
“Tak pernah. Setahu sayang, budak-budak jurusan Sains yang banyak guna bangunan ni. Kita pergi sini pun sebab nak tangkap gambar kita dengan background batu-bata merah ni. Cantik bila jadi wallpaper.”
“Okey, jom.”
Lalu, mereka berempat diabadikan dalam satu gambar dengan latar belakang batu-bata merah yang cukup unik.
Seterusnya, keluarga kecil itu menuju pula ke Blok E, tidak jauh dari Blok C. Binaan bangunan Blok E seakan-akan rumah kampung yang sudah usang dan warna catnya pun sudah pudar dan beberapa bahagian kayu telah reput. Jadi, Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin perlu berhati-hati sepanjang mereka berada di Blok E itu.
“Dah usang sungguh Blok E ni,” kata Mohamad Salahuddin sambil memegang GoPro bagi merakam video. Sebenarnya, setiap tempat yang telah dilewati oleh mereka, Mohamad Salahuddin akan merakam video serta menangkap gambar dan akan disunting oleh Qistur Ruwaidah yang memang cukup mahir dalam menyunting video dan gambar.
“Itulah… Aduhai, sayang sungguh!” luah Qistur Ruwaidah.
Apabila sampainya mereka di salah sebuah kelas di Blok E itu…
“Kat sini ke kelas BI kita dulu?” soal Mohamad Salahuddin.
“Sayang pun tak ingatlah, habibi. Kita rakam jelah semua. Ingat tak ingat, belakang cerita,” kata Qistur Ruwaidah.
Sejujurnya, Qistur Ruwaidah sendiri pun sudah lupa kelas yang mana satu tetapi dia tidak pernah lupa kenangan bahawa dia pernah menegur Abdul Azim dengan bertanyakan latar belakang sekolah lelaki tersebut di bangunan ini selepas tamatnya kelas Bahasa Inggeris pada hari kedua mereka menjadi rakan sekelas dahulu.

“Err… Azim. Maaf nak tanya. Kau belajar kat mana dulu?” tanya Qistur Ruwaidah.
“Aku belajar kat Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah, Segamat, Johor dulu. Kau?” balas Abdul Azim.

Namun, Qistur Ruwaidah tidak akan menceritakan apa-apa berkenaan memori dia bersama Abdul Azim di bangunan itu kepada suaminya. Biarlah tersimpan di dasar kalbunya.

KINI, Qistur Ruwaidah, Mohamad Salahuddin, Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil berada di tempat paling menggamit kenangan di CFS IIUM PJ ini, iaitu London Bridge. Tempat ini boleh dikatakan tempat yang cukup popular juga bagi mengadakan program, bersembang, menjamu selera dan banyak aktiviti lagi yang boleh dilakukan di tempat tersebut.
Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin berpandangan sesama mereka berdua buat seketika. Kemudian, mereka berdua tersenyum.
“Sayang ingat lagi… Sayang belanja habibi jus anggur dulu,” luah Qistur Ruwaidah
“Belanja ada makna tu dulu,” sakat Mohamad Salahuddin.
“Eh, apa maksud habibi?”
“Ingat tak dulu… Sayang belanja habibi sebab apa?”
“Sekejap… Sebab apa ya? Sayang pun dah lupa. Hahaha! Sayang minta maaf, habibi.”
“Tak apa, tak apa… Habibi ingatkan balik. Masa tu, sayang belanja habibi sebab sayang nak cerita dan buat pengakuan sayang suka kat brother mana entah.”
Wajah Qistur Ruwaidah berubah seketika. Kemudian, dia meraup wajahnya. “Ya Allah! Sayang jumpa habibi sebab sayang beritahu kat habibi yang sayang suka Azim. Apalah yang sayang fikir masa tu! Argh! Memalukan okey!”
Mohamad Salahuddin ketawa terbahak-bahak. “Ha, ingat pun! Habibi sedih tahu. Macam nak pecah jantung habibi masa tu. Hancur hati habibi. Kesian kat habibi jadi tukang dengar masalah cinta sayang yang tak berbayar dulu.”
Wajah Qistur Ruwaidah berubah geram. Memang suaminya sengaja menyakat dirinya. “Habibi! Janganlah ungkit balik pasal tu… Sayang tahulah sayang salah dulu sebab sayang buta tak nampak habibi. Alaa… Habibi ni, kan! Bencilah… Tak nak kawanlah macam ni!”
Sekali lagi, Mohamad Salahuddin ketawa terbahak-bahak. Memang itulah sifatnya, kuat mengusik. “Alalala… Dah jadi ummi pun, mengada ya. Malu Qalyubi dan Qurtubi tengok ummi dia orang macam ni tahu,” usiknya lagi.
“Habibi!” ujar Qistur Ruwaidah dalam nada geram.
Redalah tawa Mohamad Salahuddin itu. Lalu, dia menuturkan sesuatu. “Sayang… Habibi tak kisahlah pasal sayang dan Azim. Nama pun masa lalu, kan. Sayang lagi banyak memori dengan Azim kat sini berbanding habibi. Sayang banyak memori dengan habibi kat UIA Gombak sana tapi apa-apa pun, CFS PJ dan UIA Gombak tetap ada memori tersendiri untuk kita.”
Qistur Ruwaidah tersenyum. Lalu, dia memegang tangan suaminya. “Sejujurnya, betul. Sayang ada banyak memori dengan Azim kat sini tapi itulah, kan… Semuanya kenangan masa lalu. Lagipun, sayang dah kahwin dengan habibi. Sayang anggap apa yang dah jadi antara sayang dan Azim dulu hanyalah memori persinggahan sayang. Dahlah… Jom kita rakam memori kat sini. Banyak lagi tempat kita nak pergi.”
Mohamad Salahuddin turut tersenyum. Tanpa sepatah bicara, dia mula merakam video dan menangkap gambar kawasan London Bridge itu.
Perjalanan mereka yang seterusnya, mereka menuju ke SMAWP 2 terlebih dahulu dan tidak jauh dari London Bridge. Cuma, mereka perlu menuruni anak tangga kerana London Bridge berada di tingkat atas. Selain SMAWP 2, terdapat SMAWP 3 juga dan kedua-dua bangunan tersebut saling bersebelahan sahaja.
“Wah, kat SMAWP 2 ni, sayang ada banyak kenangan, terutama subjek-subjek BAR banyak belajar kat SMAWP 2 dan 3!” luah Qistur Ruwaidah dengan penuh teruja.
Mohamad Salahuddin tersenyum mendengar luahan isterinya. “Subjek apa yang sayang belajar dulu kat sini?”
“Paling sayang ingat, subjek "Maharat Kitabah" dan "Al-Adab Wa Al-Nusus". Dua subjek tu paling sayang suka. "Maharat Kitabah" belajar pasal cara-cara nak menulis artikel, majalah, macam tulah… Kalau "Al-Adab Wa Al-Nusus" belajar pasal syair-syair Arab masa zaman jahiliah dan zaman Islam. Kena banyak menghafal.”
“Wah, menarik, menarik! Asalkan sayang boleh buat untuk BAR, habibi dah cukup gembira. Yalah, apalah guna sayang teruskan LAWS tapi sayang tak minat, kan.”
“Betul. Lepas sayang dah tukar daripada LAWS ke BAR, sayang rasa gembira sangat. Otak pun tak terbeban. Habibi pula ada memori ke dengan tempat ni?”
“Tak berapa sangat sebab habibi banyak kelas kat LY dan ANNEX. Kat sini, rasa macam satu dua subjek je tapi habibi pun tak ingat subjek apa. Jom, kita rakam video dan tangkap gambar kat SMAWP 2 dan 3 ni.”
Tidak dilupakan juga buat pasangan itu, mereka menuju ke hutan mini yang terletak di belakang SMAWP 3 dan terdapat pagar yang berhubung dengan Blok E sebagai jalan pintas.
“Sayang terlupa habis pasal hutan kat sini. Selalu juga lepak dengan kawan-kawan dulu,” kata Qistur Ruwaidah.
“Wah, berani juga sayang ni! Ikutkan, habibi seram juga datang sini,” kata Mohamad Salahuddin.
Lalu, Qistur Ruwaidah tertawa. “Alaa… Tu zaman nakal sayanglah. Konon dah rasa cukup hebat lepak sini. Kalau habibi dah rasa seram, jomlah kita tinggalkan tempat ni. Tak payah ambil gambar atau rakam apa-apa.”
“Betul ni? Nanti menyesal pula.”
“Okeylah. Tangkaplah gambar sayang. Sayang pun akan rindu tempat ni. Ingat lagi dulu… Kalau ada tugasan kena hasilkan video, mesti rakam kat tempat ni.”
Mohamad Salahuddin tersenyum. Lalu, dia menangkap gambar isterinya dan merakam video di kawasan tersebut.
“Habibi…” panggil Qistur Ruwaidah.
“Ya sayang?” balas Mohamad Salahuddin.
“Sekali lagi, terima kasih untuk semuanya. Segala cinta yang habibi dah bagi kat sayang dari hari pertama kita kahwin sampailah sekarang. Habibi dah banyak berkorban untuk sayang, Qalyubi dan Qurtubi.”
“Sama-sama sayang. Dah jadi tanggungjawab habibi sebagai ketua keluarga. Sayang, Qalyubi dan Qurtubi jadi keutamaan habibi. Sayang nak tengok hutan ni lagi sebelum kita pergi tempat lain pula?”
Mata Qistur Ruwaidah mula berkaca. Sejujurnya, dia terlalu merindui CFS IIUM PJ ini. Pengalaman dua tahun yang sungguh berharga dan mahal selama dia menjadi siswi di tempat ini.
“Eh, sayang! Kenapa mata jadi merah ni? Sayang sedih?” tegur Mohamad Salahuddin.
“Sedih nak tinggalkan CFS. Semua tempat kat dalam ni ada kenangan untuk sayang. Sayang rasa macam tak nak tinggalkan CFS,” luah Qistur Ruwaidah.
“Sayang… CFS PJ ni takkan kekal. Kita sebagai manusia pun takkan kekal. Semua ni hanyalah pinjaman. Tak kiralah pinjaman dari Allah atau pinjaman daripada manusia.”
Qistur Ruwaidah mengangguk perlahan. Dia mula tertampar dengan kata-kata suaminya. Benar… Semua ini hanyalah pinjaman. Dia mengesatkan air matanya. “Jom habibi. Kita pergi tempat lain pula,” ujarnya seraya memegang tangan suaminya.
Mohamad Salahuddin menggenggam erat tangan isterinya itu. Bagi dirinya, memori bersama CFS IIUM PJ tetap termahal sama seperti isterinya. Di tempat inilah, dia mula belajar erti jatuh cinta kepada seorang wanita bernama Qistur Ruwaidah binti Isyraf Imrani.
Lalu, keluarga kecil itu mula meninggalkan kawasan SMAWP 2 dan 3 bagi menuju ke destinasi yang seterusnya.

KHADIJAH COLLEGE (KC) yang telah berubah menjadi Abu Bakar College (ABC) merupakan destinasi yang seterusnya buat Qistur Ruwaidah, Mohamad Salahuddin, Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil. Di KC, bukan sahaja dijadikan sebagai mahallah (kolej kediaman) tetapi turut dijadikan beberapa buah kelas.
Meskipun mahallah tersebut telah bertukar daripada mahallah siswi kepada mahallah siswa, namun kenangan bagi Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin tidak pernah terpadam berkenaan tempat tersebut.
Kerana apa? Bagi Qistur Ruwaidah, tempat itulah merupakan titik tolak pandangan pertamanya terhadap Abdul Azim. Mohamad Salahuddin pula, itulah kenangan dia terpandangkan Qistur Ruwaidah buat kali pertama tatkala isterinya tiba lewat ke kelas Bahasa Inggeris sehingga rasa cintanya itu meresap ke dalam atmanya sehingga kini.
“Kalau habibi nak masuk dalam, masuklah. Sayang tunggu kat luar ni je. Sayang segan nak masuk. Semua brothers, kan,” kata Qistur Ruwaidah.
“Habibi nak sayang teman habibi sekali. Kita masuk sekejap je. Boleh ya, sayang? Kita imbau kenangan sama-sama. Tempat ni kenangan paling mahal untuk kita. Hari pertama kita sama-sama jadi kawan kelas dulu,” luah Mohamad Salahuddin.
“Okey. Sekejap je tahu.”
Lalu, keluarga kecil itu menuju di bahagian bilik yang dijadikan kelas. Masing-masing masih ingat lagi kedudukan kelas tersebut. KC001 yang kini telah bertukar ABC001.
“Kita tengok sekejap je, okey. Lepas tu, tangkap gambar dan rakam video. Terus kita keluar dari sini,” kata Mohamad Salahuddin.
Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin memandang seketika di bahagian dalam kelas yang boleh dinampak dari luar menerusi tingkap kecil pada pintu. Tanpa melengahkan masa, Mohamad Salahuddin terus merakam video dan menangkap gambar mereka berempat di papan tanda pintu ABC001 itu.
Pandangan orang lain mungkin akan rasa aneh tetapi bagi Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin, biarlah… kerana mereka ada kenangan dengan kelas tersebut. Kenangan paling mahal.
Usai semuanya, keluarga kecil itu mula meninggalkan bangunan ABC. Kini, destinasi mereka yang seterusnya berjalan di sekitar Umar Al-Khattab College (UKC).
“Eh, ada Bank Islamlah kat sini. Sayang baru ingat!” kata Qistur Ruwaidah.
“Sayang lupa kita pernah terserempak kat sini? Kebetulan habibi dan sayang sama-sama nak keluarkan duit,” imbau Mohamad Salahuddin.
Qistur Ruwaidah menutup mulutnya. “Eh? Baru sayang ingat. Haahlah! Habibi dengan kain pelekatnya. Aduhailah… Selamba betul!”
Mohamad Salahuddin tersengih. “Sebenarnya, habibi malu juga masa tu. Rasa macam terus jatuh saham habibi tahu.”
“Amboi, main saham-saham pula! Habibi ingat habibi artis ke?”
“Eh, mestilah! Sayang pun tahu habibi ada ramai peminat kat AIKOL tu, kan. Selayaknya habibi ni artis okey.”
Qistur Ruwaidah menghadiahkan mimik muka menyampah kepada suaminya. “Ah, sudah! Masuk bakul angkat sendiri pula! Menyampah!” ujarnya. Lalu, dia menjelir lidah kepada suaminya.
Mohamad Salahuddin tertawa kecil. “Sayang… Tolonglah mengaku yang habibi ni kacak.”
Sekali lagi, Qistur Ruwaidah membuat wajah menyampah. “Perasan lagi! Eiii… Dahlah. Baik sayang jalan-jalan dengan Qurtubi lagi bagus daripada layan habibi. Kesian Qalyubi duduk kat baby carrier habibi tu nak kena layan perangai kuat perasan abi dia,” katanya. Kemudian, langkahnya laju meninggalkan suaminya.
“Sayang! Apa ni tinggalkan habibi dan Qalyubi!” balasnya dalam kekalutan seraya berlari laju bagi mendapatkan isterinya.
Qistur Ruwaidah tersengih dan langkahnya dihentikan. “Ha, tahu pun. Nak buat perasan lagi tak?”
Mohamad Salahuddin memonyokkan wajahnya. “Sayang ni… Sampai hati sayang buat macam tu kat habibi.”
“Eiii! Dah jadi abi pun buat perangai macam budak-budak.”
Kemudian, pasangan itu tertawa. Si kembar juga turut tersenyum gembira menyaksikan kedua-dua ibu bapa mereka.
“Habibi tengok tu,” kata Qistur Ruwaaidah seraya jari telunjuknya ditunjukkan ke arah sebuah tempat yang menjadi perhatiannya.
Mohamad Salahuddin memandang ke arah tempat yang dimaksudkan oleh isterinya itu. Kelihatan perlawanan bola sepak sedang berlangsung dengan penuh meriah. Padang bola sepak itu berhadapan dengan UKC. “Kenapa? Ada apa-apa memori yang buat sayang teringat ke?”
“Haah tapi bukan kat tempat brothers main bola sepak, tempat kat hujung padang bola sepak sana,” balas Qistur Ruwaidah seraya menunjukkan ke arah yang dimaksudkan olehnya itu.
Mohamad Salahuddin memandang pula ke arah lain yang dimaksudkan oleh isterinya. “Okey… Kenapa dengan hujung padang tu?”
“Sayang teringat kita pernah tangkap gambar untuk poster tugasan LAWSOC dengan beberapa orang kawan kita tapi sayang tak ingat dengan siapa lagi. Sayang ingat habibi je,” ujar Qistur Ruwaidah. LAWSOC merupakan panggilan singkatan untuk subjek Law and Society.
“Haahlah! Kuatnya memori sayang. Habibi tak teringat langsung pasal hujung padang tu. Jari kita tunjuk simbol empat sebab nak tunjuk solidariti R4BIA kat Syria dulu tapi pasal apa kita buat macam tu, habibi lupa.”
“Pasal isu kita kena sebarkan perkara yang betul kat media sosial. Lebih kurang macam tulah.”
“Cepat betul masa berlalu. Sedar tak sedar, sayang dah ada kat sisi habibi sekarang. Alhamdulillah…”
“Boleh sayang cakap sesuatu?”
“Boleh sayang. Apa dia?”
“I love you, Mohamad Salahuddin.”
Serta-merta, Mohamad Salahuddin tersenyum mendengar ucapan cinta daripada isterinya itu. “Sayang… I love you too. Macam biasa, habibi cintakan sayang sampai habibi mati.”
Qistur Ruwaidah turut tersenyum jua. Sungguh, hatinya hanya untuk Mohamad Salahuddin bin Mohd Firdaus, pasangan sehidup semati.

SELEPAS Qistur Ruwaidah, Mohamad Salahuddin, Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil berada di sekitar UKC, mereka berpatah balik ke arah ABC tetapi kali ini, mereka melalui parkir kereta yang terletak berhadapan dengan ABC dan seterusnya, di sekitar parkir bas yang terletak bersebelahan dengan Fatimah Az-Zahra College (FZC).
“Habibi pernah tinggal kat FZC ni. Masa tu, semester akhir habibi kat CFS PJ ni,” kata Mohamad Salahuddin tatkala mereka melalui di bangunan FZC tersebut.
“Oh, habibi tukar mahallah rupanya. Jauh juga nak ke kelas,” kata Qistur Ruwaidah.
“Agaklah tapi seronoknya sebab FZC ni paling dekat dengan pagar utama CFS. Lagi-lagi kalau nak pergi outing atau tunggu bas.”
“Haah, kan. Betul juga.”
Destinasi seterusnya buat keluarga kecil itu, mereka melangkah keluar dari CFS IIUM PJ seketika bagi menangkap dinding marmar rona coklat yang tertulis ‘Garden of Knowledge and Virtue, Centre for Foundation Studies International Islamic University Malaysia’di pagar laluan keluar CFS IIUM PJ sebelum mereka melangkah masuk semula untuk menikmati beberapa tempat terakhir sebelum mereka meninggalkan pusat pengajian tersebut.
Mohamad Salahuddin mula menggunakan GoPro bagi mengabadikan gambar serta merakam video dia dan keluarga di dinding yang penuh bermakna buat dia dan isterinya sebagai alumni CFS IIUM PJ.
“Sayang dah mula rasa sebak. Tinggal lagi dua tiga tempat je sebelum kita nak tinggalkan CFS PJ ni,” luah Qistur Ruwaidah.
“Tak apa, sayang. Apa yang penting, semua memori ada dalam GoPro ni. Memang takkan sama bila tengok depan-depan dan tonton kat video tapi sekurang-kurangnya, memori kita takkan lupa untuk CFS PJ ni,” pujuk Mohamad Salahuddin.
Qistur Ruwaidah mengangguk perlahan. “Jom. Sayang dah sedia nak pergi ke tempat lain.”
Lalu, keluarga kecil itu melangkah masuk semula ke dalam CFS IIUM PJ. Kali ini, destinasi mereka di sebuah tempat parkir di sebelah pintu pagar laluan keluar CFS IIUM PJ dan bertentangan dengan FZC dan tempat tersebut selalu dijadikan sebagai tempat jualan, terutama untuk acara ‘Raudhah Festival’ atau nama singkatannya RaFest, iaitu sebuah acara tahunan CFS IIUM PJ. Acara tersebut ibaratnya seperti acara ‘Jom Heboh’. Selain itu, tempat tersebut juga bersebelahan dengan gelanggang futsal.
“Habibi ingat RaFest?” soal Qistur Ruwaidah.
“Mestilah. Acara paling meriah. Ada banyak jualan tapi habibi cari makanan je. Syurga betul,” balas Mohamad Salahuddin.
“Sayang pun sama tapi ada juga sayang melencong beli tudung atau baju-T Muslimah. Haih… Buat sayang makin sedih je bila ingat semua memori pasal CFS PJ ni tapi masa sayang belajar kat sini dulu, sayang tak menyesal pusing satu CFS sebelum sayang bergraduasi. Semuanya masih segar kat ingatan sayang.”
“Kenangan habibi kat sini tak sebanyak sayang sebab habibi belajar setahun setengah je tapi habibi tetap rasa CFS PJ ni istimewa untuk habibi. Selain RaFest, ada SMAC, kan?”
SMAC merupakan singkatan untuk acara "Sports and Martial Arts Carnival". Acara ini juga merupakan acara tahunan CFS IIUM PJ.
“Haah… Betul. Teringat dulu LAWS lawan IRKBAR tapi sayang tak ingat pertandingan apa masa tu. Sayang serba salah nak sokong kumpulan mana sebab kedua-dua jurusan tu sayang pernah belajar,” kata Qistur Ruwaidah bersama sengihan.
“Masa tu, habibi rasa macam bola sepak. Macamlah, kan,” kata Mohamad Salahuddin.
“Agaknyalah, kan. Jom kita pergi kat tempat terakhir. Gelanggang futsal sana. Sayang ada kenangan kat tempat tu,” ujar Qistur Ruwaidah seraya menunjukkan gelanggang futsal yang tidak jauh dari tempat parkir tersebut.
“Okey, jom.”
Kemudian, Qistur Ruwaidah, Mohamad Salahuddin, Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil menuju ke gelanggang futsal. Di seberang gelanggang futsal merupakan padang bola sepak yang telah dilalui oleh mereka berempat tadi.
“Sayang teringat dulu pasal gelanggang futsal ni. Kelas BA dibatalkan sebab pensyarah nak anak murid dia bersenam,” cerita Qistur Ruwaidah.
“Wah, menariknya! Kalau habibi dulu, jangan haraplah nak rasa macam tu,” respons Mohamad Salahuddin bersama sengihan.
Qistur Ruwaidah turut tersengih. “Rasanya semua tempat kita dah pusing, kan habibi?”
“Haah… Semua tempat dah. Jom kita pergi AMF balik. Habibi nak makan sikit.”
“Jom, sayang pun dah lapar.”
Kemudian, berlalulah keluarga kecil itu untuk menuju ke AMF Hall semula. Bagi Qistur Ruwaidah, dia teringat semula hari dia mendaftarkan diri dengan menggunakan jalan tersebut dan berjalan sendirian dari bulatan masuk FZC hinggalah ke AMF Hall, sama seperti apa yang dilakukan oleh dirinya kini. Namun, kali ini, dia melalui jalan tersebut bersama keluarganya sendiri. Mohamad Salahuddin, Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil… Tiga cinta hatinya!
Setelah keluarga kecil itu tiba di AMF Hall, mereka terus meluru ke arah gerai jualan yang menjual pelbagai aneka makanan dan minuman di sekitar dewan tersebut. Makanan serta minuman yang dicari oleh Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin, iaitu makanan bergoreng seperti hot dog, bebola ikan, jejari ikan, filamen berperisa ketam, air Milo dan air jagung.
“Sayang seronok sangat hari ni. Terima kasih habibi,” ucap Qistur Ruwaidah tatkala mereka menjamu selera di taman bersebelahan dengan AMF Hall.
Mohamad Salahuddin menggelengkan kepalanya. “Habibi lagi kena berterima kasih kat sayang sebab sayang banyak mengembalikan memori-memori kita kat sini walaupun tak sebanyak kat UIA Gombak.”
Seketika, Qistur Ruwaidah tersenyum. “Ada juga memori yang sayang lupa kat sini tapi habibi ingat.”
Kelihatan Aalqurtubi Shakil menangis dalam penggendong bayi yang dipakai oleh Qistur Ruwaidah. Mungkin kerana dia kepanasan.
“Habibi, tolong sayang tanggalkan cangkuk baby carrier ni,” kata Qistur Ruwaidah.
Mohamad Salahuddin membantu isterinya. Dia juga turut dibantu oleh Qistur Ruwaidah bagi menanggalkan cangkuk penggendong bayi tersebut agar Aalqalyubi Shafiy turut selesa seperti kembarnya.
“Ya sayang ummi. Panas ya,” pujuk Qistur Ruwaidah seraya mendukung Aalqurtubi Shakil bersama tepukan lembut pada punggung anak lelakinya itu. Barulah anaknya itu berhenti menangis.
Mohamad Salahuddin tersenyum menyaksikan gelagat isteri dan anak keduanya itu. Dia juga turut menepuk lembut di bahagian punggung Aalqalyubi Shafiy. “Qalyubi sayang… Abi ada ni,” ucapnya. Seringkali dia mengungkapkan ayat sedemikian kepada anak-anaknya agar mereka tahu bahawa mereka mempunyai seorang ayah yang sentiasa ada dan berjuang untuk mereka biarpun anak-anaknya masih tidak mengerti.
Aalqalyubi Shafiy kekal tenang bersama ayah tercinta, bahkan dia selesa lena dalam dukungan ayahnya itu.
“Habibi penat?” soal Qistur Ruwaidah.
“Penat? Tak adalah. Kenapa tiba-tiba sayang tanya macam tu?” ujar Mohamad Salahuddin.
“Err… Maksud sayang, lepas dah ada Qalyubi dan Qurtubi ni, habibi penat?”
“Oh. Penat tu, penatlah juga. Lagi-lagi masa umur dia orang sebulan. Kita pun baru nak biasakan diri dengan rutin baru tapi sekarang, habibi dah okey. Sekarang, habibi penat balik dari kelas dan kerja jelah tapi bila habibi dah jumpa sayang, Qalyubi dan Qurtubi, penat habibi terus hilang. Untuk Qalyubi dan Qurtubi ni, habibi akan cuba buat yang terbaik. Habibi penat macam mana pun, habibi akan pastikan sayang dan anak-anak kita selesa. Itu keutamaan habibi.”
Tiba-tiba Aalqalyubi Shafiy meragam seketika. Mohamad Salahuddin memujuk dan mengagah anaknya itu. “Alalala… Sayang abi. Abi sayang sangat kat Qalyubi.”
Qistur Ruwaidah menjadi sebak. Dia tahu pengorbanan suaminya terlalu besar buat dirinya serta anak-anak mereka. Pada saat itu, dia semakin mencintai Mohamad Salahuddin, bahkan bertambah rasa cintanya itu! ‘Ya Allah, aku mohon kepada-Mu agar Kau rahmatilah suamiku, Mohamad Salahuddin bin Mohd Firdaus sepanjang hidupnya ini. Luaskanlah rezekinya dalam mencari nafkah buat kami,’ doa sang isteri di dalam hati.
Setelah pasangan itu selesai menikmati juadah mereka berdua, lalu keluarga kecil itu mula meninggalkan CFS IIUM PJ buat kali terakhir dan tidak akan kembali lagi ke tempat penuh nostalgia itu.

Terima kasih kerana masih setia menunggu setiap bab untuk novel 'Zauj untuk Qist' ini <3 <3 <3 Kini, tuan penulis (TP) telah memulakan karier di Dewan Bahasa dan Pustaka. Jadi, proses untuk menyiapkan novel ini akan semakin lambat. Apa-apa pun, tolong doakan agar novel ini akan menemui pengakhirannya juga kelak. Sekali lagi, terima kasih kerana tetap setia membaca :)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience