BAB 12

Drama Completed 13621

PADA suatu keheningan malam, Qistur Ruwaidah ralit memeriksa akaun peribadi Fac miliknya melalui telefon pintarnya. Dua tiga menjak ini, dirinya menjadi tidak keruan. Entah mengapa ingatannya terhadap Abdul Azim semakin kuat. Walhal, lelaki itu sudah lama meninggalkan Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (CFS IIUM) kerana durasi pengajiannya selama setahun sahaja.
Dirinya pula?
Setahun lagi. Masih panjang lagi perjalanannya di CFS IIUM itu.
Dia menjadi makin tidak keruan apabila dia tidak mampu memendam lagi perasaannya itu. Selagi dia tidak meluahkan perasaannya kepada lelaki itu, jiwanya makin menderita. Lantas, dia teringat sesuatu tentang warkah Sufi Waazin. Almarhum lelaki itu pernah mengatakan sesuatu dalam warkahnya itu.

Tentang Azim, untuk aku, ada baiknya kau berterus terang supaya kau tidak sakit bermain dengan sangkaan.

Namun begitu, hatinya berperang pula dengan persoalan.
‘Kalau aku cakap kat Azim, apa pula reaksi Azim nanti? Nanti dia cap aku perempuan tak tahu malu pula. Kalau aku tak cakap, jiwa aku makin menderita.’
‘Diri sendiri, macam mana ni? Patut tak aku cakap dengan Azim?’
Jam sudah menunjukkan pukul 3.00 pagi. Semua rakan sebiliknya sudah lena dibuai mimpi. Tinggal dia sahaja masih sukar melelapkan mata lantaran persoalan remeh tersebut. Dia masih mahu memikirkan sama ada dia hendak meluahkan perasaannya itu ataupun tidak.
Akhirnya, setelah berperang dengan diri sendiri...
‘Okey. Baik aku luahkan jelah. Apa pun jawapan Azim, aku terima dengan hati terbuka tapi hati aku kuat mengatakan dia tak pernah suka aku pun.’
Jari-jemarinya ligat menaip sesuatu pada kekunci telefon pintarnya itu. Baginya, ini memang merupakan satu kerja gila merangka ayat luahan pada pukul 3.00 pagi. Memang dia rasa dia tidak mampu memendam lagi perasaannya itu.
‘Maafkan aku, Azim. Aku pun tak tahulah kenapa dalam ramai-ramai lelaki kat CFS ni, kau jugalah lelaki yang aku suka. Sedangkan almarhum Sufi sentiasa ada untuk aku dan paling rapat dengan aku sejak dulu pun, boleh pula aku tak ada perasaan kat dia. Aneh betullah perasaan ni,’ bisik hatinya.
Setelah dia berpuas hati dengan ayat yang telah dirangka, tanpa ragu-ragu dia menghantar mesej tersebut.

Mesej Peribadi Fac Qistur Ruwaidah

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum Azim,

Maafkan aku seandainya mesej peribadi ini membuatkan kau rasa tak selesa atau mengganggu fikiran kau tetapi aku rasa ada baiknya aku berterus terang sesuatu perkara dengan kau. Memandangkan aku rasa perkara ini sudah terlalu lama, maafkan aku kalau kau rasa tidak selesa dengan cara begini tetapi aku tak tahu bagaimana lagi untuk aku pendam perasaan ini. Semakin lama aku pendam, semakin perit aku rasakan.

Aku terpaksa buang juga sifat malu aku ini untuk aku mengetahui sebuah kebenaran meskipun sebenarnya aku berdebar sewaktu menaip mesej ini. Sekali lagi, maafkan aku kalau kau tidak selesa dengan cara aku ini. Aku hanya mahu menjernihkan keadaan dengan persoalan yang aku tidak menemui sebarang jawapan sehingga kini.

Azim, kau tahu aku mempunyai perasaan terhadap kau sejak tahun pertama semester satu dulu. Mungkin kau fikir aku main-main tetapi sehingga kini, aku masih sukakan kau walaupun kau sudah tamat pengajian di CFS IIUM.

Aku sendiri tidak tahu mengapa aku boleh sukakan kau. Secara jujurnya, memang aku rasa pelik. Satu lagi, aku berterima kasih kepada kau kerana aku dapat berkenalan dengan kawan-kawan AED kau, iaitu Hanim, Yasmeena dan Nadiah.

Azim, aku hanya mahu mengetahui perasaan kau terhadap aku. Insya-Allah, aku berlapang dada kalau memang kau tiada perasaan terhadap aku sejak awal pertemuan kita. Aku ingin tahu benar. Jika benar memang kau tiada apa-apa perasaan terhadap aku, aku terima. Aku tidak memaksa kau agar kau berikan jawapan tetapi ada baiknya jika kau berterus-terang supaya aku tidak menaruh sebarang harapan lagi terhadap kau.

Sekali lagi, maafkan aku, Abdul Azim dan terima kasih kerana kau hadir dalam perkenalan kita ini. Semoga kau tidak terganggu akan mesej peribadi ini dan juga, semoga kau terus fokus dalam pengajian kau.

Ketika itu, barulah Qistur Ruwaidah merasakan bebanan perasaan yang ditanggung olehnya selama ini bagaikan terlepas begitu sahaja. Apa jua respons lelaki itu nanti, dia terima sahaja sama ada dalam bentuk positif mahupun negatif.
Barulah dirinya aman untuk memejamkan matanya.

USAI menunaikan solat subuh, Abdul Azim bercadang untuk melayari aplikasi Fac menerusi telefon pintarnya itu. Entah mengapa dia rasa tergerak hati untuk memeriksa akaun peribadinya itu. Telefon pintarnya dicapai, lalu dia menekan aplikasi tersebut.
Dia terperasan bahawa seseorang telah menghantar mesej peribadi di bahagian peti masuk (inbox). ‘Siapa pula hantar mesej peribadi kat aku pagi-pagi buta ni?’
Tekan.

Qistur Ruwaidah Isyraf Imrani

‘Qist? Mimpi apa pula dia mesej aku ni? Dah lama aku tak dengar khabar dia sejak aku sambung ijazah kat Gombak ni,’ desis hatinya.
Tekan lagi.
Abdul Azim membaca satu demi satu bait-bait perkataan yang telah dinukilkan oleh mahasiswi itu menerusi mesej peribadinya. Usai membacanya, dia menarik nafas panjang. Sungguh dia tidak percaya bahawa Qistur Ruwaidah masih mempunyai perasaan lagi terhadapnya. Sedangkan dia mengharapkan agar mahasiswi itu telah melupakannya kerana mereka berdua sudah lama tidak berhubung di antara satu sama lain.
Dirinya tertanya-tanya berkenaan perkara tersebut. Selama ini, apakah yang dilihat oleh Qistur Ruwaidah terhadap dirinya sehingga perempuan itu masih lagi setia menyukainya sehingga kini?
Suatu ketika dahulu, memang dia sudah mengetahui bahawa mahasiswi itu mempunyai perasaan terhadapnya melalui gerak-geri. Muhammad Syarafuddin, Muhammad Amirul Azhar dan Mohamad Salahuddin juga pernah memberitahu perkara yang sama, namun memang dia tidak pernah ambil secara serius.
Dia masih terkejut akan mesej tersebut kerana dia tidak menyangka bahawa Qistur Ruwaidah masih lagi menyukai dirinya, malah mengharapkan pula sebuah jawapan dari hatinya. Sejujurnya, dia merasakan bahawa dia tidak pernah memberikan sebarang harapan kepada mahasiswi itu walaupun dari sudut Qistur Ruwaidah pula, jejaka itu telah memberikan harapan kepadanya.
Nampaknya, dia perlu menerangkan dari sudut hatinya pula terhadap Qistur Ruwaidah agar persoalan mahasiswi itu terjawab. Ikutkan memang dia tidak mahu memikirkan soal suka atau cinta terhadap mana-mana perempuan buat masa ini. Apatah lagi, dia tidak berniat langsung untuk menghadiahkan sebuah harapan yang melibatkan soal perasaan. Fokus utamanya, dia mahu belajar bersungguh-sungguh demi ibu bapanya.
Lantas, jari-jemarinya ligat menaip sesuatu.
Hantar.

Mesej Peribadi Fac Abdul Azim

Waalaikumussalam. Secara jujurnya, aku tidak pernah luahkan perasaan kepada sesiapa dan aku tidak terfikir untuk berbuat demikian dalam waktu ini. Apa yang aku boleh katakan, aku tidak mahu memikirkan tentang cinta buat masa ini dan aku sendiri tidak mahu terjebakkan diri. Aku mengharapkan agar jawapan ringkas ini dapat menjelaskan maksud aku serta aku berharap sangat agar kau tidak terasa atas jawapan aku ini. Maaf.

‘Maafkan aku, Qist. Harapnya kau tak rebah kerana aku,’ bisik hati Abdul Azim.
Telefon pintarnya dicampakkan di atas katil. Dia perlu fokus pada projeknya. Jauh di sudut hatinya, dia tidak mahu memikirkan lagi akan luahan Qistur Ruwaidah itu. Baginya, dia beranggapan bahawa Qistur Ruwaidah hanyalah sebagai kawan. Tidak lebih daripada itu.

‘HMM... Memang aku dah agak Azim tak pernah ada perasaan kat aku. Sabarlah ya, Qist. Sekurang-kurangnya aku dah tahu perasaan dia. Tak payah fikirlah pasal ni. Diri sendiri pun tak baik mana, kewangan sendiri pun tak berapa ada lagi, masih di bawah tanggungan Abang Suhaib, ada hati nak fikir soal perasaan pula. Siap luahkan perasaan lagi. Kau memang gila, Qistur Ruwaidah. Gila!’ desis hati Qistur Ruwaidah setelah membaca respons jejaka itu.
Ketika itu, timbul perasaan kecewa dari hati Qistur Ruwaidah apabila dia mengetahui penjelasan Abdul Azim, namun dia akur akan apa yang diperkatakan oleh lelaki itu. Mahasiswa itu tidak mahu memikirkan soal perasaan buat masa ini.
‘Tak apalah. Aku perlu hormati jawapan Azim,’ bisik hatinya lagi.
Tidak sedar, air matanya menemani dirinya. Sungguh dia berperasaan sangat kecewa. Dia memujuk dirinya berkali-kali. ‘Kenapa aku nangis dengan jawapan Azim? Aku kena terima hakikat, dia tak ada perasaan kat aku. Aku kena lupakan Azim. Jangan kacau dia lagi! Aku kena juga!’
Tiba-tiba telefon pintarnya berbunyi. Cepat-cepat diseka air matanya itu. Bingkas dia melihat nama pemanggil pada skrin telefon pintarnya. Dia tersenyum, lalu dia menjawab panggilan tersebut. “Assalamualaikum abang,” ucapnya.
“Waalaikummussalam adik. Adik sihat? Sibuk tak sekarang?” respons Suhaibul Umar.
“Alhamdulillah. Adik sihat je. Sekarang, adik tak sibuk pun. Macam biasalah, Fac. Kenapa abang? Ada apa-apa masalah ke?”
“Emm… Kak Syita hubungi abang tadi.”
“Kak Syita? Kenapa dia hubungi abang? Dah lama adik tak dengar khabar dia.”
Suhaibul Umar melepaskan keluhan berat. “Hmm... Kak Syita cakap Mak Long nak jumpa kita. Mak Long tengah sakit tenat. Kak Syita cakap lagi, Mak Long nak minta maaf kat kita.”
“Abang biar betul! Seriuslah Mak Long nak jumpa dan minta maaf kat kita! Sekarang, abang buat lawak komedi ke apa ni?” perli Qistur Ruwaidah.
“Adik, abang serius ni. Takkanlah abang nak bergurau dengan adik waktu ni. Kak Syita nak kita datang kat Hospital Semarak. Dia harap sangat kita datang. Emm… Lagipun, hari ni hari Jumaat. Kita pun tak ada kuliah. Abang ingat abang nak pergi ambil adik sekejap lagi. Lepas tu, kita terus pergi ke hospital.”
“Emm abang… Adik rasa berat hatilah nak jumpa Mak Long. Abang pun tahu kalau adik jumpa Mak Long, sakit hati adik akan muncul semula. Kalau boleh, adik tak nak jumpa orang tua tu. Manalah kita pernah terdetik nak ziarah dia kat penjara. Inikan pula nak ziarah dia kat hospital. Buang tabiat ke apa? Adik tak rasa adik sanggup nak hadap dia. Pada adik, biarlah dia terseksa tak dapat jumpa kita,” bicara Qistur Ruwaidah terhenti seketika.
Bicaranya bersambung lagi tetapi kali ini penuh dengan emosi. “Masa orang tua tu dera dan seksa kita sampai kita hampir mati dulu, ada tak dia fikir! Dahlah dia buat kita trauma sampai sekarang! Disebabkan dia selalu dera kita dulu, kita tak pernah siapkan kerja sekolah sampai cikgu-cikgu benci kita! Kita hilang kawan-kawan! Lepas tu, dia juga buat kita tak pergi sekolah sampai tiga tahun! Abang sendiri pun jadi trauma tengok kulit abang! Mak Long kerjakan abang dulu sampai jadi teruk sangat! Lagi teruk daripada adik! Mana Mak Long pernah ada rasa belas kasihan kat kita dulu! Patutnya dia datang melutut kat kita! Apa hal kita pula kena terhegeh-hegeh nak jumpa dia! Adik kisah apa… Dia sakit ke, nazak ke! Tak setanding pun dengan penyeksaan yang dia bagi kat kita dulu! Abang kena ingat. Disebabkan dia jugalah, abang dah tak rasa apa-apa sentuhan kat badan abang tu sampai abang pernah meracau-racau dan ambil masa nak terima keadaan abang! Itu pun abang rasa abang kuat nak berdepan dengan orang tua tu nanti?”
Suhaibul Umar membisukan dirinya tanda dia mengiakan akan kata-kata adiknya itu. Dia tahu betapa sukar bagi adiknya hendak memaafkan Mak Long Rauzah setelah apa yang wanita itu lakukan kepada mereka berdua suatu ketika dahulu. Kenangan yang telah mereka berdua lalui semuanya penuh hempedu. Tiada pelangi seperti kanak-kanak lain yang hidup dalam keadaan baik. Apatah lagi, tubuhnya meninggalkan kesan hasil penderaan yang telah dilakukan oleh ibu saudaranya itu dahulu.
Jauh di sudut hatinya, sebenarnya dia juga turut terluka seperti adiknya itu. Selama ini, berkali-kali hatinya cuba memaafkan ibu saudaranya itu, namun sukar sehingga ke hari ini. Pada masa yang sama juga, dia tidak mahu menunjukkan sifat dendam dan sukar memaafkan itu. Jika dia menunjukkan sifat negatifnya itu, pasti adiknya juga akan mengikuti perbuatannya. Sebagai seorang abang, dia perlu sentiasa menunjukkan akhlak yang baik terhadap adiknya meskipun hatinya amat sakit dan remuk-redam.
“Emm... Betul apa adik cakap. Memang perkara tu dah lama tapi abang masih trauma dengan apa yang Mak Long dah buat kat abang. Sejujurnya, memang abang rasa tak kuat nak berdepan dengan dia. Apa adik cakap tadi, abang tak nafikan dan sampai sekarang abang masih terasa. Abang faham adik masih marahkan Mak Long tapi adik… Kak Syita harap sangat kita datang. Mak Long meracau-racau panggil nama kita. Memang apa dia dah buat kat kita dulu sangat membekas untuk kita tapi dia tetap ibu saudara kita. Kakak almarhum baba kita. Kita pergi ya adik?”
“Abang, adik tak tahulah Mak Long tu mak saudara jenis spesis apa. Jin? Syaitan? Iblis? Azazil? Sanggup dera anak-anak saudara sendiri! Kita ni darah daging dia, abang! Kalau dia sayang almarhum baba, dia takkan sakiti kita! Memang adik berat hati nak berdepan dengan orang tua tu! Adik tak nak jumpa dia!”
Sekali lagi, air mata Qistur Ruwaidah gugur. Tadi, dia sudah menangis kerana jawapan Abdul Azim. Sekarang, dia menangis semula kerana dia teringat kembali akan perbuatan lalu ibu saudaranya itu. Kesakitan masa lalu yang sukar digambarkan. Silaplah abangnya maklumkan berkenaan ibu saudaranya itu dalam keadaan angin tidak baik ini.
Suasana menjadi khali seketika. Hanya kedengaran esakan Qistur Ruwaidah di tangga Mahallah Aisyah itu. Suhaibul Umar membiarkan adiknya melepaskan tangisannya itu di hujung talian. Setelah dia merasakan tangisan adiknya mulai reda, dia kembali memujuk adiknya itu agar adiknya berlembut hati untuk menemui ibu saudara mereka itu. “Adik…” panggilnya.
“Emm...” Itu sahaja balasan Qistur Ruwaidah. Sungguh berat hati bagi dirinya untuk menemui wanita kejam itu. Meskipun peristiwa penderaan itu sudah lama berlalu, kekejaman Mak Long Rauzah itu tidak pernah dilupakan olehnya hatta sekelumit pun.
Kuatkah hatinya untuk menemui kembali dengan wanita bernama Rauzah binti Mahmud itu setelah wanita tersebut dipenjara bertahun-tahun?
“Kita pergi ya? Anggaplah kita buat semua ni demi baba dan rasa kesian kat Kak Syita je. Abang faham… Memang kita tak mampu nak ikhlaskan hati nak maafkan dia tapi anggaplah apa yang kita buat ni hanya sebab nak tenangkan hati kita je. Bukan untuk Mak Long atau kita rasa kesian kat Mak Long. Okey?” pujuk abangnya lagi, lembut.
Akhirnya, Qistur Ruwaidah bersetuju untuk bertemu dengan Mak Long Rauzah. “Hmm... Okey.”
Apakah dia perlu katakan lagi? Kalau ikut rasa hatinya, memang dia tidak mahu bertemu dengan insan yang pernah menyakiti jiwa, fikiran, jasad dan kehidupannya itu, namun demi permintaan sepupunya, dia akur meskipun hatinya tidak merelakan untuk semua ini.
“Abang gerak dari UIA Gombak sekarang. Setengah jam macam biasa. Adik bersiap-siaplah ya.”
“Okey abang.”

LANGKAH Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah tiba di hadapan pintu wad yang didiami oleh Mak Long Rauzah. Kelihatan dua orang anggota polis sedang menjaga di bahagian pintu wad tersebut.
Salah seorang pegawai tersebut bertanya tujuan kehadiran dua beradik itu.
“Tuan, kami nak jumpa mak saudara kami, Rauzah. Tadi, anak dia, Masyitah ada hubungi saya. Masyitah kata, mak dia nak jumpa kami,” terang Suhaibul Umar.
“Jadi, kamu berdualah Suhaib dan Qist ya?” tanya salah seorang pegawai polis itu.
Suhaibul Umar tersentak seketika. Seolah-olah pegawai polis itu mengenali dia dan adiknya pula. “Err… Betul tuan. Kenapa tuan?”
“Emm… Sepanjang perjalanan kami dari penjara sampailah dia dah masuk wad ni, tak habis-habis dia panggil nama kamu berdua. Tulah… Apabila dah buat jenayah, dah kena tangkap dan dah kena hukuman mahkamah, tahu pula nak meroyan tak ingat dunia. Masa buat salah dulu, tak ada pula nak fikir panjang. Yalah, orang sedang seronok buat jenayah. Mana nak fikir. Okeylah, kamu berdua boleh masuk,” katanya dalam nada sinis terhadap Mak Long Rauzah itu.
Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah saling berpandangan tanpa sebarang bicara.
Sebelum dua beradik itu hendak melangkah masuk ke dalam wad tersebut, Qistur Ruwaidah menggenggam erat kedua-dua belah tangannya, menahan amarah yang tersimpan selama ini. Suhaibul Umar pula mengingatkan dirinya berkali-kali agar jangan terlalu diikutkan rasa hati.
Namun begitu, mereka berdua hanya memikirkan tentang almarhum Encik Isyraf Imrani yang merupakan adik kepada Mak Long Rauzah itu.
Akhirnya, pintu wad ditolak oleh Suhaibul Umar. Kedengaran Mak Long Rauzah sedang meracau-racau memanggil nama Qistur Ruwaidah dan Suhaibul Umar. Kelihatan Puteri Masyitah sedang cuba mententeramkan ibunya itu.
“Assalamualaikum,” ucap Suhaibul Umar dengan perlahan.
Puteri Masyitah menoleh ke arah gerangan yang memberi salam itu. “Waalaikummussalam Suhaib,” balasnya.
Qistur Ruwaidah menghadiahkan senyuman kepada sepupunya itu manakala Suhaibul Umar pula menghadiahkan senyuman hambar. Dia hanya sekadar mahu menghormati sepupunya itu meskipun hatinya remuk terhadap si sepupu itu. Sang perempuan itu sanggup membiarkan dia dan adiknya dalam penderitaan, ketakutan dan kesakitan demi kepentingan peribadi suatu ketika dahulu, namun adiknya tidak pernah mengetahuinya.
Puteri Masyitah menghampiri dua beradik itu yang masih tercegat berhampiran dengan pintu wad tersebut, lantas dipeluknya Qistur Ruwaidah. Air matanya gugur. “Suhaib, Qist… Terima kasih sebab sudi datang,” ucapnya, lalu dia melepaskan dakapan tersebut.
“Kita orang datang pun sebab kenangkan almarhum baba dan kesian kat Kak Syita je,” balas Qistur Ruwaidah. Nadanya kedengaran sedikit emosi.
“Adik...” tegur Suhaibul Umar.
“Emm… Tak apa Suhaib. Kak Syita faham Suhaib dan Qist marah sangat kat Mak Long tapi… Suhaib dan Qist sendiri dengar Mak Long meracau-racau panggil nama Suhaib dan Qist,” bicara Puteri Masyitah.
“Ya Kak Syita, kita orang dengar. Jadi, kita orang nak kena buat apa? Apa je kita orang boleh buat?” balas Suhaibul Umar agak tegas dan terselit nada sinis sedikit.
Puteri Masyitah tersentak seketika akan kata-kata dan intonasi Suhaibul Umar itu. Dia tahu betapa sepupunya itu sudah cukup terluka. Serasanya, dua beradik itu tidak mampu memaafkan ibunya. “Err… Mak Long nak dengar sendiri penerimaan maaf daripada Suhaib dan Qist. Kak Syita rasa Mak Long dah tak lama tu.”
“Emm… Mak Long sakit apa sampai masuk wad?” soal Suhaibul Umar.
“Sebenarnya, Mak Long menghidap kanser payudara tahap empat dalam tahun lepas. Pukul 4.00 pagi tadi, tiba-tiba Mak Long pengsan kat lokap. Pihak penjara hubungi Kak Syita dan Kak Syita terus datang sini. Masa Kak Syita jumpa Mak Long, Mak Long meracau-racau panggil nama Suhaib dan Qist. Emm… Satu lagi, kulit Mak Long jadi tompokan besar warna coklat kat beberapa tempat dan tahi lalat kat semua badan Mak Long jadi berdarah. Pada mulanya, doktor cakap tu simptom ‘Melanoma’. Lepas doktor dah buat pemeriksaan, doktor sahkan Mak Long ada kanser kulit juga. Terus Mak Long pengsan apabila Mak Long dapat tahu pasal tu. Apabila Mak Long dah sedar, Mak Long meracau-racau lagi panggil nama Suhaib dan Qist sampailah sekarang.”
Suhaibul Umar hanya memberikan reaksi kosong setelah mengetahui keadaan terkini ibu saudaranya itu. Dia tidak tahu apa yang sedang bertandang dalam kalbunya kini. Puas hatikah dia akan pembalasan Mak Long Rauzah itu? Baginya, adil bukan? Perbuatan Mak Long Rauzah itu dulu telah membuatkan kulitnya hilang deria serta warna asal kulitnya telah berubah dan wanita itu pula mengalami kanser kulit, siap dengan pakej kanser payudara.
Qistur Ruwaidah hanya diam membisu setelah mendengar penerangan sepupunya itu. Ingin sahaja dia katakan ‘padan muka’ kepada wanita itu sebagai kafarah yang telah diterima oleh wanita itu. Kalau ikut rasa hatinya, sekarang juga dia mahu menarik tangan abangnya itu agar batalkan sahaja niat untuk berhadapan dengan Mak Long Rauzah. Biar ibu saudara mereka berdua itu bertambah derita dan terseksa sepertimana telah derita serta seksanya dia dan abangnya suatu ketika dahulu, namun dia tahu abangnya berjiwa lembut sedikit berbanding dirinya.
Melihatkan dua beradik itu tidak merespons apa-apa, Puteri Masyitah memujuk sepupu-sepupunya itu. “Suhaib, Qist… Kak Syita harap Suhaib dan Qist tak berubah fikiran nak balik ya. Mak Long betul-betul nak jumpa Suhaib dan Qist. Dia nak sangat tengok muka anak-anak saudara dia ni.”
Akhirnya, Suhaibul Umar bersuara dari kebisuannya. “Okey Kak Syita. Suhaib dah bersedia nak berdepan dengan Mak Long tapi Suhaib tak tahu adik macam mana,” balasnya sambil memandang adiknya itu.
Akan tetapi, hatinya berbisik sesuatu. ‘Kuat ke aku, Suhaib?’
Qistur Ruwaidah hanya memberikan pandangan kosong kepada abangnya itu. Bermakna, dia juga perlu berhadapan dengan orang tua kejam itu. Dia tidak akan membiarkan abangnya bersua sendiri dengan Mak Long Rauzah tanpa dirinya! Sebagaimana abangnya telah banyak melindungi dirinya daripada wanita itu dahulu, kali ini dia mahu melakukan perkara yang sama untuk abangnya. Dia tidak mahu abangnya disakiti lagi oleh Mak Long Rauzah. Cukuplah! Kali ini juga, biarlah dia berkorban demi abangnya itu memandangkan abangnya tetap mahu berjumpa dengan orang tua itu.
“Qist okey ke nak berdepan dengan Mak Long?” tegur Puteri Masyitah apabila dia melihat keadaan Qistur Ruwaidah terus diam membisu.
Qistur Ruwaidah mengangguk perlahan. Dia tidak mahu mengeluarkan sepatah bicara lagi selepas ditegur oleh abangnya tadi. Bimbang dia jadi semakin beremosi jika dia terus bersuara.
Perlahan-lahan Suhaibul Umar memegang erat tangan adiknya itu bagi mendapatkan secebis kekuatan untuk berhadapan Mak Long Rauzah. Selama ini, adiknya sahajalah sumber kekuatan buat dirinya. Qistur Ruwaidah berbalas erat genggaman tangan abangnya itu. “Jangan takut abang. Adik ada,” katanya dengan nada perlahan. Abangnya mengangguk seraya tersenyum kecil.
Dua beradik itu membuntuti Puteri Masyitah. Setelah bertahun-tahun mereka berdua tidak bersua dengan Mak Long Rauzah, akhirnya mereka berdua bertemu juga pada hari ini. Kelihatan wajah wanita itu cengkung dan berkedut serta rambutnya semakin memutih. Pada bahagian pergelangan tangan kirinya telah dibelenggu dengan gari di penghadang katil.
Kelihatan Puteri Masyitah memaklumkan akan kehadiran dua beradik itu kepada ibunya. “Mak… Suhaib dan Qist dah sampai.”
Terus Mak Long Rauzah berhenti meracau apabila anak matanya ternampak susuk tubuh anak-anak saudaranya itu. “Suhaib, Qist…” panggilnya dengan lemah. Dia berusaha untuk membangunkan diri dari perbaringannya itu tetapi dihalang oleh anaknya.
“Mak Long, baring je ya. Kami dah ada depan Mak Long ni,” tegur Suhaibul Umar. Dalam hatinya, dia berdebar tatkala dia mula menegur wanita itu, namun dia cuba bertenang dan memujuk hatinya. ‘Suhaib… Adik Qist ada dengan kau sambil pegang tangan kau. Kau jangan takut. Lagipun, Mak Long dah dipenjara dan tangan dia bergari tu. Apa-apa jadi, pihak polis ada kat luar. Ingat Suhaib. Mak Long dah takkan boleh apa-apakan kau. Dah lama kau bebas dari cengkaman dia.’
Mak Long Rauzah mengangguk akur akan kata-kata anak saudaranya itu. Namun begitu, dia dapat melihat air muka Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah menjadi keruh. Perlahan-lahan dia menyentuh tangan kiri anak saudara lelakinya itu.
Suhaibul Umar tersentak akan sentuhan itu. Betapa dia teringat tangan itu telah banyak melakukan kebinasaan terhadap tubuhnya itu. Dia menepis perlahan. Langkahnya mula mundur ke belakang sedikit sehingga membuatkan dia jatuh terduduk di atas lantai. “To…long…” katanya dalam ketakutan. Adiknya terkesima melihat reaksinya itu!
Segera Qistur Ruwaidah menghampiri abangnya, lalu dia menggosok lembut tubuh abangnya itu agar Suhaibul Umar menjadi tenang. Dia risau jika penyakit mental abangnya boleh muncul kembali.
“Abang okey?” tanya Qistur Ruwaidah.
Suhaibul Umar menggeleng perlahan. Tubuhnya menggeletar kesejukan. “To…long a…bang,” ungkapnya lagi.
Qistur Ruwaidah segera merangkul erat abangnya itu sambil berbisik sesuatu sepertimana abangnya pernah lakukan terhadap dirinya sewaktu Mak Long Rauzah mendera mereka berdua dahulu. “Abang kena kuat. Jangan biarkan penyakit mental menguasai diri abang kembali.”
“Bi…la M…Mak Long sen…tuh ta…ngan a…bang, a…bang ta…kut,” balas Suhaibul Umar dalam ketakutan. Wajahnya disorokkan di sebalik tubuh adiknya sepertimana adiknya pernah lakukan kepada dirinya. Suaranya berubah menjadi sebak menahan tangis.
“Su… Suhaib...” nada Mak Long Rauzah menjadi sebak. Tiba-tiba dia teringat suara ketakutan Suhaibul Umar itulah merayu kepada dirinya agar dia menghentikan perbuatan kejam tersebut, namun dia buta dan kejam. Dia tidak mempedulikan rayuan, jeritan dan kesakitan seorang Suhaibul Umar pada usia kanak-kanak dahulu.
Di kala itu, fahamlah dia bahawa anak saudara lelakinya menjadi sangat takut terhadap dirinya. Hanya kerana sentuhan yang dihulurkan olehnya, membuatkan anak saudaranya itu menjadi trauma.
Puteri Masyitah tersentak melihat reaksi Suhaibul Umar. Namun begitu, dia memahami bahawa sepupunya itu menjadi terlalu trauma.
Qistur Ruwaidah memandang tajam ke arah Mak Long Rauzah itu. Berani sungguh tangan jijik orang tua itu menyentuh tangan abangnya! Kali ini, sudah tiba masanya bagi dirinya berhadapan dengan wanita itu, lalu wajahnya dipalingkan ke arah Mak Long Rauzah seraya dia berdiri bagi menghadap wanita itu.
“Puas hati Mak Long?” soal Qistur Ruwaidah dalam nada sinis.
Mak Long Rauzah tersentak akan kata-kata anak saudara perempuannya itu. Puteri Masyitah pula menundukkan wajahnya kerana soalan sepupunya itu juga bagaikan satu tamparan kasar buat dirinya juga di atas pilihan dulu, iaitu dia telah memilih ibunya.
“A…dik…” Suhaibul Umar menghalang adiknya agar adiknya itu tidak bersuara apa-apa. Segera dia berdiri semula dengan memegang tangan adiknya itu.
“Lepaskan adik, abang. Kali ni, abang jangan halang adik,” tegas nada Qistur Ruwaidah.
Perlahan-lahan Suhaibul Umar melepaskan tangan adiknya itu. Dia tahu dia tidak mampu menghalang adiknya jika adiknya mula dibaluti amarah. Akhirnya, dia membiarkan sahaja Qistur Ruwaidah bersuara berdasarkan apa yang terbuku di hati selama bertahun-tahun ini.
Sekali lagi, Qistur Ruwaidah berbicara sinis dengan ibu saudaranya itu. “Qist tanya ni, Mak Long. Mak Long puas hati tak tengok Abang Suhaib macam tu tadi?” soalnya sambil jari telunjuknya menunjukkan ke arah abangnya.
“Q… Qist…” suara Mak Long Rauzah menjadi sebak tatkala dia memanggil nama anak saudaranya itu.
“Terima kasih Mak Long sebab hadiahkan trauma kat Qist dan Abang Suhaib dari hari pertama Mak Long dera kita orang sampailah ke saat ni. Selama ni, Mak Long biarkan kita orang hidup dalam ketakutan dan seksa kita orang sampai kita orang hampir mati. Terima kasih jugalah sebab Mak Long buat kita orang ada penyakit mental kalau kita orang terbayangkan Mak Long. Heh! Berani sungguh ya Mak Long sentuh tangan Abang Suhaib tadi! Mak Long tahu tak kenapa Abang Suhaib jadi macam tu? Untuk pengetahuan Mak Long, disebabkan perbuatan kejam Mak Long dulu, Abang Suhaib dah tak sempurna sebab kulit dia dah hilang deria dan warna kulit dia dah berubah dari warna asal tapi… Qist takkan bagi Mak Long tengok keadaan badan Abang Suhaib. Sebab apa? Selama ni, Qist je pernah jadi saksi betapa deritanya Abang Suhaib!” luah Qistur Ruwaidah dengan penuh emosi.
Pada waktu itu, Mak Long Rauzah sudah menangis apabila dia mendengar luahan Qistur Ruwaidah itu. Apa boleh buat? Disebabkan tindakan melampaunya itu, dia telah pun dikenakan hukuman mahkamah. Ibaratnya, nasi sudah menjadi bubur.
Qistur Ruwaidah menyambung lagi luahan hatinya itu. “Mak Long tak pernah sayang Qist dan Abang Suhaib! Mak Long tak sayang almarhum baba kita orang! Kalau Mak Long sayang baba, Mak Long takkan dera kita orang! Mak Long tak pernah bersimpati dengan nasib Qist dan Abang Suhaib sebagai anak yatim piatu dulu. Almarhum Pak Long je sudi ambil berat dan sayang kat kita orang. Macam-macam Pak Long ajar kita orang lepas keluarga kita orang dah tak ada walaupun kita orang tak lama dengan Pak Long tapi… Apa Mak Long buat kat kita orang lepas Pak Long dah tak ada? Mak Long seksa kita orang! Mak Long bakar semua barang yang Pak Long pernah bagi kat kita orang sampai kita orang tak ada satu pun barang kenangan daripada Pak Long! Adil ke untuk kita orang, Mak Long! Adil ke!”
Tatkala itu, tangisan Mak Long Rauzah menjadi sedu-sedan. “M… Mak Long minta ampun, Qist, Suhaib! M… Mak Long minta maaf! Mak Long tak patut dera Qist dan Suhaib dulu! Mak Long tak patut seksa Qist dan Suhaib dulu! Mak Long tahu Mak Long salah!”
Saat itu, Qistur Ruwaidah menitiskan air matanya bagi melepaskan segala bebanan, namun dia menguatkan hati untuk meneruskan bicaranya. “Heh! Mak Long buat kelakar ya? Baru sekarang Mak Long nak minta maaf? Minta ampun? Wah, senangnya! Kalaulah memaafkan tu semudah minta maaf sepertimana Mak Long minta maaf kat kita orang sekarang, dah lama kita orang maafkan Mak Long tapi Mak Long… Bukan mudah bagi Qist mahupun Abang Suhaib nak lupakan apa yang dah jadi sebagai mangsa dera dulu.”
Sambungnya lagi. “Macam mana Qist dan Abang Suhaib nak maafkan Mak Long dengan keadaan Abang Suhaib macam ni? Hanya sebab Mak Long sentuh tangan Abang Suhaib tadi, Abang Suhaib jadi takut! Trauma! Abang Suhaib teringat apa yang Mak Long dah buat kat Abang Suhaib dulu. Satu lagi yang buat kita orang tak pernah lupa sampai bila-bila apabila Mak Long buat Qist dan Abang Suhaib tak pergi ke sekolah sampai tiga tahun! Disebabkan kita orang kena dera dengan Mak Long juga dulu, kita orang tak pernah siapkan kerja sekolah sampai cikgu-cikgu benci kita orang! Kita orang hilang kawan! Mak Long mana pernah tahu pasal tu! Qist sempat rasa darjah satu je masa tu sebelum Mak Long hentikan persekolahan kita orang. Lepas tu, Mak Long seksa kita orang sampai kita orang ingat, kita orang akan mati! Kalau Qist nak senaraikan satu-persatu segala penderaan yang Mak Long dah buat kat kita orang, Qist ingat je. Cuma, Qist tak sanggup nak sebut! Jadi, Mak Long puas hati, kan! Mak Long suka kita orang macam ni, kan!”
Sekali lagi, Mak Long Rauzah kehilangan kata. Hanya tangisan demi tangisan menemani dirinya. Dia tahu dirinya sudah berlaku terlalu kejam terhadap dua beradik itu tanpa belas kasihan dahulu.
Qistur Ruwaidah mengesatkan air matanya itu dengan kasar. Dia merasakan betapa dirinya itu menjadi terlalu bodoh kerana menangis di hadapan Mak Long Rauzah! “Maafkan Qist dan Qist wakilkan juga untuk Abang Suhaib sekali. Qist dan Abang Suhaib tak mampu nak maafkan Mak Long buat masa ini atau mungkin kita orang takkan maafkan Mak Long kerana luka lalu kita orang takkan pernah pulih. Selama ni, jiwa dan mental Qist dan Abang Suhaib dah cukup terseksa! Harus ke Mak Long tambahkan lagi luka Qist dan Abang Suhaib dengan merayu-rayu kat Kak Syita supaya kita orang jumpa Mak Long! Kalau Mak Long ada rasa empati kat kita orang dan tak nak kita orang rasa terseksa lagi, Mak Long takkan buat perangai macam ni! Mak Long patut sedar diri yang Mak Long tak patut berdepan dengan Qist dan Abang Suhaib! Ingat kita orang nak sangat ke jumpa Mak Long! Kita orang ada depan Mak Long ni sebab kita orang kenangkan baba dan kesiankan Kak Syita je!”
Setelah Qistur Ruwaidah puas meluahkan segala-galanya, dia segera memalingkan wajahnya ke arah lain. Dirinya sudah terlalu jijik bagi memandang wajah tua itu. Selama ini, dia tidak pernah membayangkan bagaimana seorang kakak sanggup mendera anak-anak adik lelakinya itu.
Suhaibul Umar pula hanya memandang adiknya sejak dari tadi. Matanya langsung tidak berani menatap wajah Mak Long Rauzah meskipun dia cuba mencuri pandang bagi mendapatkan secebis kekuatan untuk memaafkan wanita itu tetapi hatinya masih gagal untuk berbuat demikian.
Melihatkan dua beradik itu memandang ke arah lain bagaikan tidak memberi secebis ruang kemaafan terhadap wanita tua itu, Mak Long Rauzah memandang Puteri Masyitah dengan penuh simpati sambil berkata sesuatu kepada anaknya itu. “Syita… Tolonglah mak. Pujuklah Qist dan Suhaib supaya mereka maafkan mak.”
Puteri Masyitah terkedu akan permintaan ibunya itu. Adakah ibunya itu masih tidak mengerti bahawa Qistur Ruwaidah dan Suhaibul Umar sudah cukup terluka? Hendak memaksa sepupu-sepupunya itu memaafkan ibunya, bukanlah sesuatu yang mudah bagi mereka berdua.
Melihatkan ibunya masih merayu-rayu kepada dirinya agar dia perlu memujuk sepupu-sepupunya itu, dia terpaksa menebalkan mukanya. Lalu, dia menghampiri Qistur Ruwaidah dan meraih tangan sepupunya itu. Dia memandang wajah dua beradik itu dengan penuh pengharapan.
“Emm… Qist dan Suhaib tak boleh nak maafkan Mak Long ke? Mak Long merayu-rayu tu. Kesianlah kat mak Kak Syita. Dia dah tua dan dah dapat balasan pun daripada pihak mahkamah. Kak Syita tahu susah untuk Qist dan Suhaib nak terima semua ni tapi…”
Kata-kata Puteri Masyitah itu dicelah oleh Qistur Ruwaidah. “Tapi apa? Kak Syita pun tahu Qist dan Abang Suhaib dah cukup terluka. Jangan paksa kita orang maafkan Mak Long! Kak Syita takkan faham betapa seksanya kita orang dulu! Kak Syita tak ada dengan kita orang lepas Kak Syita nampak kita orang kena dera dulu! Lepas tu, Kak Syita menghilang tanpa Qist ketahui apa sebabnya! Cukuplah apa yang kita orang terpaksa lalui lepas kematian ahli keluarga kita orang!”
Suhaibul Umar tersentak akan kata-katanya adiknya itu. Kelihatan Puteri Masyitah hendak bersuara tentang kehilangannya dulu tetapi Suhaibul Umar memberikan isyarat tangan agar sepupunya tidak menceritakan berkenaan peristiwa tersebut dalam waktu yang sangatlah tidak sesuai ini.
Qistur Ruwaidah tidak betah lagi untuk berlama-lama di dalam wad tersebut. Semakin lama dia berada di sini, semakin sesak dibuatnya. Dia terus mengangkat langkah untuk meninggalkan wad tersebut.
“Adik!” panggil Suhaibul Umar.
Tika itu, Qistur Ruwaidah tidak mahu menoleh ke belakang lagi. Dia dapat mendengar suara Mak Long Rauzah memanggil dirinya juga. “Q…Qist! Tunggu!”
Suhaibul Umar menoleh ke arah Puteri Masyitah dan Mak Long Rauzah seketika, lalu dia berkata sesuatu. “Suhaib pergi dulu,” katanya. Lalu, dia meninggalkan wad tersebut tanpa menunggu balasan dua beranak itu. Kini, adiknya lebih penting. Apa-apa terjadi kepada adiknya di atas pertemuan hari ini, dia tidak akan memaafkan ibu saudaranya waima sepupunya itu.
“Su… Suhaib!” panggil Mak Long Rauzah.
Tiba-tiba tubuh Mak Long Rauzah mula menjadi kejung akibat terkena sawan. Alangkah terkejutnya Puteri Masyitah dengan keadaan ibunya itu, lalu dia segera menekan butang Sistem Panggilan Jururawat.
“Tolong! Mak saya kena sawan!” kata Puteri Masyitah dengan penuh hiba.
Kelihatan mulut Mak Long Rauzah berbuih-buih, namun dia cuba mengungkapkan sesuatu kepada anaknya itu tetapi dia tidak mampu bersuara. Semakin lama, semakin banyak buih yang keluar dari mulutnya. Nafasnya mula tercungap-cungap.
Kelihatan doktor yang menguruskan Mak Long Rauzah cuba menyelamatkan pesakit itu. Namun begitu, kuasa Allah mengatasi kepakaran sang petugas perubatan itu. Akhirnya, Mak Long Rauzah menghembuskan nafas terakhir di sisi anaknya itu tanpa dia mendengar permohonan maaf daripada Suhaibul Umar mahupun Qistur Ruwaidah.

Sekali lagi, Puteri Masyitah mempelajari sesuatu bahawa ajal itu pasti setelah dia mengharungi pemergian ayahnya suatu ketika dahulu. Tidak terlambat walaupun sesaat. Dia juga mengerti bahawa Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah tidak mampu memaafkan ibunya itu, namun dia mengharapkan agar sepupu-sepupunya itu dapat memaafkan almarhumah ibunya suatu hari nanti.

SETELAH hampir dua jam Abdul Azim berusaha untuk menyiapkan beberapa tugasan yang diberikan oleh para pensyarahnya, dia mengambil keputusan untuk berehat seketika. Telefon pintarnya dicapai bagi melayari aplikasi Fac. Semalam, dia tidak sempat memeriksa akaun media sosialnya itu.
Seketika, mindanya menerawang apa yang telah terjadi pada hari semalam, iaitu luahan hati Qistur Ruwaidah.
Semalam bersamaan hari Jumaat, bertarikh 12 September 2014.
Siapa sangka mahasiswi itu berani meluahkan perasaannya sehingga membuatkan jiwa Abdul Azim bergetar tatkala mengetahuinya.
Dia teringat akan sesuatu…
Sewaktu dia menghadapi semester dua sesi 2013/2014 dahulu, dia ternampak Qistur Ruwaidah bersama dengan Mohamad Salahuddin di sekitar Bangunan ANNEX. Bangunan tersebut terletak di atas Klinik Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (CFS IIUM). Bangunan ANNEX juga turut dikenali sebagai bangunan yang tidak boleh dibawa berbincang akan penyaman udaranya yang begitu sejuk pada setiap kelas.
Ketika itu, mata Abdul Azim tertangkap dari kejauhan apabila dia ternampak Qistur Ruwaidah menyerahkan sesuatu kepada Mohamad Salahuddin, sama seperti mahasiswi itu pernah lakukan kepada dirinya suatu ketika dahulu. Tatkala itu, hatinya berdegup resah. Dirinya menjadi tidak keruan bagaikan cacing kepanasan.
‘Qist bagi apa kat Din tu? Hadiah ke?’ soal hati Abdul Azim.
Serta-merta hatinya dipagut rasa cemburu. Sangkaannya, hanya dia sahaja yang menerima hadiah daripada perempuan itu selain dua orang sahabat baiknya, Muhammad Syarafuddin dan Muhammad Amirul Azhar, namun dia tidak kisah berkenaan kawan-kawannya itu.

Namun begitu, bukan untuk jejaka bernama Mohamad Salahuddin itu. Meskipun reaksi lelaki itu kelihatan biasa sahaja sewaktu lelaki itu menerima bungkusan tersebut tetapi tetap kelihatan lain dari sisi Abdul Azim. Tidak lama kemudian, dia dapat melihat pula Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah memberikan reaksi ketawa kecil. Apa yang seronok sangat pun, dia sendiri tidak mengetahuinya.
‘Aku cemburu ke?’ soal hatinya apabila dia terus menyaksikan hubungan mesra Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah itu.
Tiba-tiba Abdul Azim tersedar dari realiti kembali. ‘Eh, kau ni kenapa, Azim! Apa kena dengan kau ni! Perkara tu dah lama!’
Tanpa dipinta, bayangan Qistur Ruwaidah menerjah dalam kotak fikirannya. Batinnya menjerit hiba! ‘Ya Allah! Bantulah aku! Kenapa aku berperasaan macam ni! Lepas aku dah tak jumpa dia, tak ada pula aku teringat kat dia tapi… Kenapa bayangan Qist muncul dalam fikiran aku hari ni! Kenapa mesti Qist! Kenapa! Kenapa! Kenapa!’
Namun begitu, jari Abdul Azim mula menekan mesej peribadi Qistur Ruwaidah. Entah apa membuatkan jiwanya meronta untuk memeriksa kembali mesej daripada perempuan itu. Pada hari kedua kelas bahasa Inggeris dahulu, dia tidak menafikan bahawa mahasiswi itu mempunyai auranya yang tersendiri ibarat magnet.
Dia mula membaca kembali mesej yang ditaip oleh mahasiswi itu. Ingatannya mula menerawang kembali satu-persatu memori bersama mahasiswi itu ketika tahun pertama semester satu di CFS IIUM dahulu.
Dia mula mengingati satu-persatu akan kebaikan mahasiswi itu terhadapnya. Dia juga mengenang kembali ketika Qistur Ruwaidah mula menegurnya buat kali pertama dahulu di kelas Bahasa Inggeris dan pertemuan kebetulan mereka di sekitar Klinik CFS IIUM selepas kelas tersebut. Hatinya menjadi senang dan gembira akan kewujudan mahasiswi itu. Banyak lagi peristiwa lalu kembali menerjah dalam mindanya berkenaan kenangan bersama Qistur Ruwaidah itu.

Setelah mengenang kembali akan semua kenangan itu, hatinya kini berbolak-balik. Akhirnya, egonya terhadap perempuan itu mulai runtuh. Dia mula mengakui bahawa sebenarnya, dia telah jatuh hati terhadap Qistur Ruwaidah sejak dahulu lagi, namun dia baru sahaja menyedari akan semua ini setelah dia menolak perasaan mahasiswi itu. Dia tersandar lemah.
‘Apa kau dah buat ni, Azim! Kau dah lukakan hati Qist!’ bentak hatinya seraya menumbuk kedua-dua tangannya pada dinding sehingga luka dan berdarah, namun dia tidak menghiraukan kesakitan itu. Kesakitan kalbu yang dirasai olehnya kini lebih sakit dan menderita!
‘Kenapa kau tak boleh berfikir rasional! Ambil masa dulu! Bukannya terus bagi jawapan melulu! Bodohnya kau, Azim! Bodoh!’ bentak hatinya lagi
Hanya kerana sebuah ego dan penafian yang terdapat dalam dirinya selama ini, akhirnya memakan dirinya. Juga, tindakannya terhadap mahasiswi itu dahulu di pusat asasi. Dia benar-benar menyesal atas jawapan yang diberikan kepada mahasiswi itu pada hari semalam. Penyesalan yang begitu mendalam.
‘Qistur Ruwaidah, maafkan aku atas keegoan aku selama ni! Aku terlambat sedar bahawa aku sudah lama menyukai kau! Maafkan aku juga kerana aku seolah-olah memberi harapan kepada kau! Aku tak berniat pun, Qist. Sungguh aku tak berniat!’
Air mata lelakinya mulai tumpas buat kali pertama untuk Qistur Ruwaidah! Sungguh dia tidak pernah merasai kekecewaan yang melibatkan soal perasaan selama 19 tahun dia menghembuskan nafasnya itu. Hendak diputar kembali masa untuk mengubah jawapan itu, dia tidak boleh berbuat demikian buat sementara ini. Dia sudah terlanjur kata atas keegoannya. Dikesat air matanya itu seraya memujuk hatinya.
‘Ya Allah, aku tahu aku telah melukakan hati Qist. Aku ego dengan perasaan sendiri sehingga aku terluka sama seperti Qist. Ya Allah, aku mengharapkan agar satu hari nanti, aku dapat perbetulkan semula keadaan dan diberi kekuatan untuk berhadapan dengan dia. Aku janji aku akan mencarinya semula jika diizinkan oleh-Mu,’ bicara hatinya pada Maha Esa.
Hati Abdul Azim memasang tekad. Jika satu hari dia diizinkan Allah dan diberi kekuatan untuk berjumpa dengan Qistur Ruwaidah semula di Kampus Utama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) nanti, dia akan bersikap jujur semula terhadap perasaannya itu dan dia juga berjanji untuk tidak meninggalkan sebarang harapan lagi kepada mahasiswi itu.
Dia merenung semula mesej peribadi Fac itu. Berkali-kali hatinya mengungkap maaf kepada perempuan itu dengan penuh penyesalan.

Sejak peristiwa luahan perasaan tempoh hari, Qistur Ruwaidah tidak menegur lagi Abdul Azim selepas dia menerima sebuah jawapan jujur daripada mahasiswa itu tanpa dia ketahui bahawa sebenarnya mahasiswa itu telah jatuh hati terhadap dirinya. Dia telah menerima hakikat di atas pengakuan mahasiswa itu. Perlahan-lahan, dia bangkit kembali dari kekecewaan itu dan dia akan cuba sedaya upaya untuk melenyapkan perasaannya terhadap Abdul Azim. Tiada motif lagi untuk dia terus jatuh hati kepada seseorang yang tidak mempunyai perasaan terhadapnya.

Begitu juga Abdul Azim. Dia merasakan bahawa tiada motif lagi bagi dirinya bertegur sapa dengan mahasiswi itu selepas apa yang telah berlaku. Rasa serba salah menjalar dalam hatinya. Jika dia menegur kembali Qistur Ruwaidah, dia risau mahasiswi itu menaruh harapan kembali terhadapnya dalam keadaan yang tidak mengizinkan buat masa ini. Dia mengambil keputusan untuk membiarkan semua perkara ini berlalu begitu sahaja sehinggalah tiba waktu yang sesuai nanti.

Namun begitu, jauh di sudut hati kedua-dua insan itu, mereka menjadi sedih kerana kini, mereka ibarat orang asing. Seolah-olah mereka berdua tidak pernah mengenali antara satu sama lain. Walhal, mereka berdua merupakan rakan sekelas suatu ketika dahulu. Akan tetapi, segala media sosial yang mereka saling ikuti, mereka tidak bertindak untuk menyekatnya.
Kini, masing-masing membawa haluan sendiri. Abdul Azim melalui tahun pertama semester satu peringkat ijazah di Kampus Utama UIAM, iaitu Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar atau Kulliyyah of Architecture and Environmental Design (KAED) di bawah cabang Ijazah Sarjana Muda Seni Gunaan dan Seni Reka (Kepujian) atau Bachelor of Applied Arts and Design (Honours).

Qistur Ruwaidah pula menyambung tahun keduanya di CFS IIUM, berikutan dia baru sahaja lulus subjek Bahasa Arab (BA) pada semester lepas dan melayakkan dirinya untuk mengambil subjek-subjek teras Asasi Bahasa Arab (BAR).

Tempoh pengajiannya di pusat asasi itu bertambah setahun lagi. Jika dia masih belum lulus lagi subjek BA tersebut, dia masih tidak layak untuk mempelajari subjek-subjek teras BAR. Sungguh dia rasa amat mencabar dalam mempelajari subjek-subjek teras tersebut tetapi tidaklah sesukar ketika dia berada di Asasi Undang-Undang (LAWS) dahulu.
Selama ini, dia tidak pernah menceritakan perihal Abdul Azim kepada abangnya walaupun hubungan mereka berdua begitu akrab. Abangnya pula tidak pernah bertanya tentang isu perasaan kepadanya walaupun dia tahu abangnya sangat terbuka untuk mendengar apa jua masalahnya.
Sepanjang dia pernah menyukai Abdul Azim dahulu, dia akan mencurahkan segala isi hatinya tentang mahasiswa tersebut dalam diari miliknya. Ternyata jejaka itu memberi impak yang cukup besar dalam kehidupannya sepanjang tahun pertamanya dahulu, namun kini hanya tinggal sebuah kenangan.
Sewaktu Qistur Ruwaidah sedang mengemas meja belajarnya, matanya tertangkap pada dua bingkai gambar yang menghiasi meja tersebut. Bingkai pertama merupakan gambar di antara dirinya dan abangnya selepas dia menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Bingkai kedua pula merupakan gambar di antara dirinya dan...
Almarhum Sufi Waazin. Surah al-Fatihah dihadiahkan buat insan itu. Sungguh hatinya sebak tatkala dia menatap wajah lelaki itu. Seandainya Sufi Waazin masih hidup, dia tidak akan menaruh sebarang harapan lagi terhadap Abdul Azim dan menyambut perasaan almarhum lelaki itu. Dia hanya menyedari semua ini selepas perginya Sufi Waazin dari kehidupannya buat selama-lamanya melalui warkah yang ditinggalkan oleh lelaki itu dalam dompetnya.
Terselit rasa sesal di hatinya kerana dia terlambat tahu akan isi hati lelaki itu dan bertambah parah, dia pernah memberitahu lelaki itu akan soal perasaannya terhadap Abdul Azim di Medan Selera Midvalley suatu ketika dulu. Pasti patahnya hati seorang almarhum Sufi Waazin apabila dia mengetahui bahawa dirinya tiada di hati Qistur Ruwaidah.
Jika Qistur Ruwaidah tahu, dia tidak akan menceritakan tentang Abdul Azim kepada insan yang telah pergi itu! Apatah lagi, untuk terus menyukai Abdul Azim yang tidak mempunyai apa-apa perasaan terhadapnya!
Seandainya Sufi Waazin masih hidup lagi, dia akan membuang diari yang ditulis olehnya tentang Abdul Azim itu dan menggembirakan hati lelaki itu, namun dia perlu menerima hakikat bahawa lelaki itu sudah tiada lagi.

Satu keluhan berat dilepaskan. Jauh di sudut hati kecilnya itu, sebenarnya dia masih menyukai Abdul Azim tetapi tiada apa yang boleh dia lakukan lagi melainkan dia seharusnya melenyapkan perasaannya terhadap mahasiswa itu. Ikutkan, dia telah menerima hakikat akan semua ini dan kurang waraslah untuk dirinya jika dia masih menyukai Abdul Azim.
‘Ya Allah, mengapa soal perasaan ni begitu menyakitkan dan menyeksakan? Boleh tak jika ianya tak wujud untuk aku? Ya Allah, kenapa Kau pernah hadirkan Azim dalam kehidupan aku? Kenapa Kau ambil Sufi dari kehidupan aku buat selama-lamanya sepertimana Kau telah ambil ahli keluarga aku dulu?’ soal hatinya bertalu-talu.

Dia menggenggam erat bingkai gambar di antara dirinya dan Sufi Waazin itu.
‘Sufi Waazin, maafkan aku.’

USAI sahaja kuliah yang diberikan oleh Dr Yunus, iaitu subjek Sorof, Qistur Ruwaidah mengambil keputusan untuk berjalan di kawasan Central Spine untuk menjenguk gerai-gerai di sekitar kaki lima itu apabila dia melalui kawasan tersebut. Antaranya, gerai makanan ringan, gerai pakaian, gerai buku dan beberapa buah gerai lagi.
Tiba-tiba, dia ditakdirkan untuk berjumpa kembali dengan Alia Najiha, bekas rakan sekelasnya sewaktu Asasi Undang-Undang (LAWS) dahulu setelah sekian lama mereka berdua tidak bersua sejak dia bertukar jurusan ke Asasi Bahasa Arab (BAR). Kesibukan kuliah dan tugasan yang dilalui oleh mereka berdua menyebabkan dua orang itu tidak berkesempatan untuk berjumpa sesama mereka, lalu mereka berdua saling bersalaman dan berpelukan.
“Kau sihat ke, Qist?” soal Alia Najiha.
“Alhamdulillah. Aku sihat. Kau? Lamanya tak jumpa kau,” luah Qistur Ruwaidah.
“Alhamdulillah aku pun sihat. Itulah. Lama aku tak jumpa kau lepas kau dah tukar BAR. Eh, jomlah kita bersembang kat London Bridge!”
“Boleh juga. Alang-alang kita dah terserempak ni.”
Mereka berdua menuju ke London Bridge, sebuah tempat di mana para mahasiswa dan mahasiswi melepak dan menjamu selera, bahkan ada juga yang menggunakan tempat tersebut untuk mengadakan program atau tazkirah.
Kelihatan tempat tersebut tidaklah terlalu ramai tetapi tetap meriah dengan lautan suara manusia. Setelah dua orang mahasiswi itu menemui tempat duduk yang tidak diduduki oleh sesiapa, mereka berdua melabuhkan punggung di atas kerusi tersebut.
“Apa cerita kau dalam BAR? Okey tak?” soal Alia Najiha.
“Alhamdulillah. Kehidupan aku kat BAR lagi baik berbanding aku kat LAWS dulu. Boleh parah kalau aku teruskan,” balas Qistur Ruwaidah.
Alia Najiha ketawa apabila dia mendengar kata-kata kawannya itu. Dia masih ingat lagi betapa Qistur Ruwaidah tidak mahu dengan jurusan LAWS. Dia juga masih ingat lagi, boleh dikatakan hampir setiap hari kawannya itu mengatakan perkara yang sama bahawa dia sudah berputus asa dengan jurusan tersebut. Namun begitu, dia menyokong sepenuhnya apabila kawannya itu mengambil keputusan untuk membuang subjek teras LAWS itu dulu.
“Alhamdulillah. Lega aku dengar. Kalau tak, setiap hari aku kena dengar keluhan kau tak boleh bawa LAWS.”
Qistur Ruwaidah tersengih. “Kau pula apa cerita, Alia?”
“Cerita aku? Oh ya. Ini merupakan semester akhir aku kat sini sebelum aku sambung ijazah kat UIA Gombak nanti. Insya-Allah aku masuk ambilan Februari nanti. Kau?”
“Aku ada satu semester lagi. Dua tahunlah aku kat sini. Insya-Allah. Apa-apa pun, tahniahlah ni semester akhir kau.”
“Belum tentu lagi ni semester akhir aku. Dibuatnya kalau aku ada ulang subjek? Boleh jadi tempoh belajar aku sama dengan kau. Dari setahun setengah, tukar jadi dua tahun.”
“Kau boleh buat punyalah, Alia. Aku percaya. Kau pandai orangnya.”
“Pandailah kau. Eh, aku baru teringat nak tanya kau! Apa cerita kau dengan Azim? Dulu, aku ingat lagi kau selalu cerita pasal dia kat aku.”
Qistur Ruwaidah tersentak apabila Alia Najiha bertanyakan tentang Abdul Azim seraya melepaskan keluhan berat. Sudah hampir tiga bulan peristiwa itu berlalu. Sebolehnya dia tidak mahu mengingati kembali apa yang telah berlaku di antara mereka berdua.
“Ada apa-apa terjadi ke antara kau dan dia?” duga Alia Najiha.
Akhirnya, Qistur Ruwaidah membuka cerita tentang peristiwa tersebut. Alia Najiha kelihatan agak terkejut dengan kisah itu.
“Qist, seriuslah kau luahkan perasaan kau kat Azim! Beraninya kau!”
Qistur Ruwaidah mengangguk perlahan. “Aku pun tak tahu kenapa aku berani luahkan perasaan aku. Mungkin sebab aku dah penat memendam rasa dan aku rasa dia pula seperti bagi harapan kat aku. Ada baiknya aku tanya terus kat Azim supaya aku tak tertanya-tanya lagi.”
Alia Najiha mengangguk tanda mengiakan. Namun begitu, dia tetap kagum akan keberanian kawannya itu meluahkan perasaan kepada lelaki itu. Bukan semua perempuan akan berani bertindak seperti Qistur Ruwaidah.
Kebanyakan orang perempuan lebih suka memendam perasaan dari hati terluka jika luahan perasaan ditolak, namun tidak bagi seorang Qistur Ruwaidah. Dia ketepikan rasa malunya agar dia dapat mengetahui sebuah kebenaran meskipun sebuah jawapan yang dia terima itu pahit untuk ditelan.
“Betul juga tindakan kau dari kau terus pendam dan tak tahu jawapan. Sebenarnya, lagi sakit kau buat macam tu. Sekurang-kurangnya, kau dah tahu jawapan Azim walaupun pahit. Tak apa Qist. Ada hikmah semua ni. Mungkin kau akan jumpa lelaki yang jauh lebih baik daripada Azim,” pujuk Alia Najiha.
“Insya-Allah. Aku percaya Allah lebih mengetahui aturan perjalanan aku,” kata Qistur Ruwaidah.
Qistur Ruwaidah berbisik dalam hatinya. ‘Alia… Sebelum ni, aku dah jumpa pun lelaki yang cukup baik daripada Azim. Dia selalu ada untuk aku dulu tapi sekarang, dia dah tak ada. Dia dah tinggalkan aku. Alia, Sufi Waazin dah tinggalkan aku buat selama-lamanya!’
Alia Najiha tidak pernah mengetahui tentang almarhum Sufi Waazin kerana Qistur Ruwaidah tidak pernah membuka cerita tentang lelaki itu kerana dia menganggap bahawa tiada motif untuk dia menceritakan tentang keakraban mereka berdua kepada kawannya itu. Tambahan pula, tika itu Qistur Ruwaidah menganggap Sufi Waazin hanyalah sekadar teman baik. Alia Najiha hanya mengetahui tentang Abdul Azim sahaja.
Mereka berdua terus berborak panjang tentang kehidupan terkini, memandangkan mereka berdua sudah lama tidak bertemu sehinggalah Qistur Ruwaidah mengajak kawannya itu untuk ikut ke biliknya. Dia hendak memberikan sesuatu kepada kawannya itu. Alia Najiha bersetuju dengan ajakan tersebut.
Setibanya mereka berdua di bilik Qistur Ruwaidah, kelihatan rakan-rakan sebiliknya sedang melakukan hal masing-masing. Ada yang sedang menjamu selera, ada yang sedang melelapkan mata dan tidak kurangnya, ada yang sedang menonton drama Korea.
“Kau duduklah sini dulu. Aku nak cari barang tu sekejap,” pelawa Qistur Ruwaidah kepada Alia Najiha di tempat meja belajarnya.
Dia terus mencari barang tersebut di rak bukunya. Akhirnya, dia menemui barang tersebut. “Nah,” kata Qistur Ruwaidah seraya menyerahkan sebuah buku kepada kawannya itu.
“Buku apa ni?” soal Alia Najiha.
“Diari. Masa aku suka Azim dulu, mesti aku tulis apa je yang aku rasa kat dia dalam diari ni.”
“Tapi… Kenapa kau bagi diari ni kat aku? Kau nak aku suruh aku buat apa dengan diari ni?”
“Aku nak kau bakar, buang, kitar semula atau buat je macam mana pun. Aku tak ada kekuatan nak hapuskan diari ni. Tolong ya, Alia? Aku percayakan kau.”
Melihatkan sebuah pengharapan daripada Qistur Ruwaidah itu, Alia Najiha bersetuju untuk menerima diari tersebut. “Okeylah. Aku akan uruskan diari kau ni. Jangan risau. Kau boleh percayakan aku.”
“Terima kasih Alia!” ucap Qistur Ruwaidah penuh gembira.
“Sama-sama Qist.”
Alia Najiha memandang diari itu bersama 1001 persoalan. Apakah dia perlu lakukan dengan diari milik Qistur Ruwaidah itu nanti? Ah, nanti-nantilah dia memikirkan cara untuk menghapuskan diari tersebut!

Sebagai penulis sendiri, pembalasan Mak Long Rauzah serta apa yang telah terjadi kepada Abdul Azim setelah dia menolak perasaan Qistur Ruwaidah telah membuatkan tuan penulis berpuas hati sebenarnya. Muahahaha! Nantikan kewujudan watak Mohamad Salahuddin secara rasmi pada Bab 13 kerana bab ini hanya menceritakan Abdul Azim mengimbau kembali pertemuan Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin di hadapan matanya. Maaflah Azim sebab tuan penulis terpaksa buat kau tumbuk tangan kau kat dinding. Kah!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience