QISTUR RUWAIDAH mengusap kandungannya yang kini sudah mencecah usia lapan bulan. Kandungan sudah terlalu sarat dan semakin terserlah tonjolan perutnya yang tidak boleh diselindungkan lagi. Dia tersenyum tatkala kandungan kembarnya memberikan respons terhadap elusan yang diberikan oleh dirinya itu. “Anak-anak ummi… Ummi tak sabar nak berkonvokesyen dengan anak-anak ummi ni. Kita naik pentas sama-sama ya nanti,” bicaranya dengan penuh gembira.
Sedar tidak sedar, tinggal sebulan sahaja lagi sebelum Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kali Ke-35 akan berlangsung buat Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin.
Kehidupan Qistur Ruwaidah semakin bermakna dengan kehadiran Mohamad Salahuddin sebagai suaminya yang akan berkonvokesyen dengan dirinya dan disinari dengan kehadiran cahaya mata kembar lelakinya, Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil. Juga, sepasang cahaya mata kembar perempuan yang sedang menghuni dalam rahimnya.
Tiba-tiba dada Qistur Ruwaidah dirangkul oleh suaminya dari belakang. “Termenung apa tu, sayang?” bicara Mohamad Salahuddin. Lalu, dia mengucup pipi isterinya itu.
Qistur Ruwaidah tersenyum dengan rangkulan dan ciuman di pipi yang diberikan oleh suaminya itu. “Sayang terfikir pasal majlis konvokesyen nanti. Lagi sebulan je. Sayang tak sabar nak bergelar graduan secara rasmi,” balasnya.
“Itulah… Habibi pun tak sabar juga. Habibi ingat… Esok… Habibi nak cari pergi cari kemeja untuk dipakai masa hari kejadian nanti. Kita pakai warna sedondon ya, sayang.”
“Okey, tak ada masalah, habibi. Sayang ikut je. Ni mesti nak nampak sweet, kan?
“Eh, mestilah sayang! Kenalah sweet! Kata nak husband and wife until Jannah, kan.”
Qistur Ruwaidah tertawa. Bijak sungguh suaminya membalas kata-katanya. Bagaimanalah dia semakin tidak mencintai Mohamad Salahuddin bin Mohd Firdaus yang bijak bermain madah-madah cinta… Romantik pula! Ah, beruntungnya dia!
Mohamad Salahuddin meleraikan dakapan itu. Lalu, dia mengubah posisi untuk melutut di hadapan Qistur Ruwaidah bersama pandangan penuh cinta. Dia tidak menafikan bahawa isterinya kelihatan semakin cantik sejak mengandung ini. Terserlah aura keibuan dan kelembutan yang terpancar pada wajah isterinya. Sungguh, dia semakin mencintai Qistur Ruwaidah binti Isyraf Imrani tanpa jemu. Cinta hatinya… Penawar duka resahnya.
Qistur Ruwaidah tersenyum dengan pandangan yang dihulurkan oleh sang suami itu. Lalu, dia memegang kedua-dua belah pipi suaminya itu. “Kenapa ni, habibi? Rindukan sayang?”
Mohamad Salahuddin membelai tangan kanan isterinya itu. “Mestilah. Kalau habibi tak pandang sayang sehari, habibi tak keruan tahu!” luahnya. Lalu, dia menyentuh kandungan isterinya bersama usapan penuh kasih sayang sebagai seorang ayah buat janin-janinnya itu. “Puteri-puteri abi sihat tak hari ni? Abi tak sabar nak jumpa puteri-puteri abi. Abi dah rindu sangat ni.”
Qistur Ruwaidah tertawa kecil menyaksikan gelagat suaminya. Memang itulah rutin Mohamad Salahuddin… Berbicara dengan dua janin yang berada dalam kandungan isterinya sejak mereka berdua dikurniakan Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil pada dua tahun lepas.
“Sayang tahu tak… Habibi tak sabar nak tunggu anak ketiga dan anak keempat kita ni. Macam manalah rupa puteri-puteri kita agaknya ya? Ikut rupa sayang lagi atau ikut rupa habibi pula?” luah Mohamad Salahuddin seraya memegang tangan kanan isterinya. Dia mengucup dengan lemah lembut.
“Habibi… Sayang pun tak sabar nak jumpa puteri-puteri kita. Sayang pun tak sabar nak tengok rupa dia orang. Kali ni, moga puteri-puteri kita ikut rupa habibi pula tapi rambut Qalyubi dan Qurtubi pun ikut habibi,” balas Qistur Ruwaidah seraya mengusap rambut suaminya itu.
Seperti Mohamad Salahuddin, Qistur Ruwaidah juga tidak sabar menanti detik untuk bergelar seorang ibu lagi. Apa yang penting, dia mengharapkan agar anak-anaknya dilahirkan dalam keadaan sihat dan sempurna fizikal. Itu sahaja.
“Tak apalah kalau anak-anak perempuan kita tak ikut rupa habibi pun. Kalau masih ikut rupa sayang, okey juga. Ibarat habibi ada lima orang Qistur Ruwaidah kat rumah ni,” seloroh Mohamad Salahuddin.
“Eh, boleh pula macam tu!” balas Qistur Ruwaidah bersama tawa.
Mohamad Salahuddin juga turut tertawa. Mana mungkin dia tidak bahagia bersama cinta hatinya yang telah dinikahi selama tiga tahun itu.
16 NOVEMBER 2019
Pada tarikh ini merupakan hari pertama bagi seluruh bakal graduan UIAM mengambil pakaian konvokesyen, kad undangan dan kad multimedia di Cultural Activity Centre (CAC) yang kini telah ditukar namanya menjadi International Islamic University Malaysia Cultural Centre (ICC).
Pakaian konvokesyen mengandungi jubah konvokesyen, hood dan topi mortabod (topi segi empat siswazah). Kad undangan sebagai pas masuk terhad kepada dua orang ahli keluarga sahaja bagi menyaksikan graduan menerima skrol. Kad multimedia pula diberikan kepada setiap graduan dan perlu dibawa semasa hari konvokesyen bagi memaparkan nama graduan di skrin dan juga, siaran langsung menerusi laman YouTube.
Sebenarnya, item-item untuk konvokesyen ini boleh diambil pada tarikh lain tetapi kebanyakan siswazah mahu mengambil pada hari pertama kerana bimbang saiz jubah konvokesyen yang laku keras, iaitu saiz XS dan S akan habis dan biasanya memang habis berdasarkan penceritaan senior yang telah bergelar graduan pada tahun-tahun sebelumnya.
Ikutkan, Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin boleh sahaja mengambil item konvokesyen pada hari lain. Namun, mereka berdua turut mahu menyertai kemeriahan hari pertama tersebut dan bertemu dengan rakan-rakan yang akan susah untuk bersua lagi selepas majlis konvokesyen nanti. Masing-masing akan membawa haluan sendiri.
Aalqayubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil tidak dibawa sekali dan dijaga oleh Sakeenah dan Encik Mohd Firdaus di rumah. Pada keesokan harinya pula, sesi bergambar prakonvokesyen Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin akan diadakan di UIAM dan mereka berdua telah mengupah jurugambar tidak lain tidak bukan, iaitu Afkar Irsyad, sahabat baik Suhaibul Umar.
Kelihatan ramai siswazah sedang berada di dalam Banquet Hall, ICC itu bagi mencuba jubah konvokesyen yang tersedia sebelum mengambil keputusan untuk mengambil saiz yang tepat di Robe Room, ICC nanti.
“Habibi… Tempat majlis kesyukuran kita dulu. Teringatnya…” luah Qistur Ruwaidah. Dia masih ingat pada hari bahagianya, dia memakai gaun kembang rona merah jambu ibarat sang puteri manakala suaminya memakai sut putera ala-ala Prince Charming dalam cerita Cinderella.
“Itulah… Dah tiga tahun berlalu. Mana mungkin habibi lupa… Sayang cantik sangat masa tu. Macam puteri,” ujar Mohamad Salahuddin seraya memandang isterinya bersama senyuman.
Qistur Ruwaidah tertawa malu. “Habibi ni… Menyempat! Cuba habibi tengok kat sana… ramai orang sungguh. Baru pukul 7.30 pagi. Betullah cakap senior-senior kita dulu. Nak berebut saiz XS dan S punya pasal,” kata Qistur Ruwaidah.
“Itulah. Dahsyat betul ni. Padahal, kaunter buka pukul 9.00 pagi nanti. Jom, kita pergi cuba jubah konvokesyen kat situ. Habibi pun nak tahu juga habibi kena pakai saiz apa nanti,” kata Mohamad Salahuddin.
“Jom, jom,” kata Qistur Ruwaidah.
Lalu, pasangan itu menuju ke bahagian sampel jubah konvokesyen yang tergantung itu.
“Sayang nak cuba saiz M,” kata Qistur Ruwaidah.
Mohamad Salahuddin mencapai jubah konvokesyen bersaiz saiz M itu. Lalu, dia membantu isterinya untuk memakai jubah tersebut. Dia telah menonton tutorial untuk memakai jubah konvokesyen di YouTube. Cara-cara untuk memakai jubah tersebut dengan mengambil kedua-dua belah tali yang dijahit di bahagian dalam jubah dan diletakkan di celah ketiak. Kemudian, tali tersebut diikat ke belakang.
“Selesa tak habibi ikat?” tanya Mohamad Salahuddin.
“Selesa, habibi,” balas Qistur Ruwaidah.
Seterusnya, jubah tersebut dibawa ke hadapan dan terdapat cangkuk di sebelah kanan dan kiri les jubah konvokesyen itu. Mohamad Salahuddin cuba mencangkuk jubah tersebut. “Habibi rasa, sayang kena cuba saiz L. Sendat juga ni. Habibi tak nak baby bump sayang nampak sangat walaupun sayang dah sarat. Aurat, kan?”
Qistur Ruwaidah tersenyum dengan kepekaan suaminya terhadap auratnya, lagi-lagi tonjolan perutnya sebagai salah satu aurat yang harus dilindungi oleh mana-mana ibu mengandung. “Okey. Sayang ikut je.”
Mohamad Salahuddin menanggalkan semula cangkuk dan tali yang diikat di belakang tubuh isterinya itu. Lalu, dia menggantung semula jubah bersaiz M dan mengambil jubah bersaiz L pula.
“Okey, saiz ni lulus. Nanti habibi ambilkan saiz L untuk sayang,” kata Mohamad Salahuddin.
Bagi siswazah yang mahukan wakil untuk mengambil item-item konvokesyen, siswazah tersebut perlu menyertakan robe form, authorization form for collecting robe set on behalf, tracer study MOE, IIUM, salinan kad pengenalan siswazah, salinan kad pelajar dan salinan kad pengenalan wakil.
Memandangkan Qistur Ruwaidah sudah sarat mengandung dan akan membuatkan dirinya letih untuk beratur panjang nanti, suaminya menjadi wakil kepada dirinya bagi mengambil item-item konvokesyen tersebut kerana menurut senior-senior yang telah bergelar graduan, barisan lelaki tidak sepanjang barisan perempuan pada hari pertama.
Giliran Mohamad Salahuddin pula mencuba jubah konvokesyen bersaiz M sambil dibantu oleh Qistur Ruwaidah.
“Okey je, kan?” tanya Mohamad Salahuddin sambil mendepakan tangannya.
“Okey je. Elok terletak,” kata Qistur Ruwaidah.
“Sayang nak tunggu kat dalam kereta tak? Kesian pula nak tunggu lama kat sini,” ujar Mohamad Salahuddin seraya menanggalkan jubah konvokesyen itu.
“Sayang okey je. Kan ada banyak kerusi kat sini. Sayang duduk jelah. Habibi jangan risau.”
“Macam mana habibi tak risau? Sayang dah sarat sangat. Takut terberanak awal je. Majlis kita lagi dua minggu. Tak boleh jangka juga ni.”
Qistur Ruwaidah tergelak. “Habibi… Insya-Allah, semuanya baik-baik je. Setakat ni, sayang tak rasa apa-apa lagi.”
Tiba-tiba…
“Qist!” panggil Tihaani dengan penuh gembira. Lalu, dia menuju ke arah sahabat baiknya.
Wajah Qistur Ruwaidah berubah ceria. Ah, sahabat baiknya! Kelihatan Tihaani mendakap dirinya. Mereka berdua benar-benar saling rindu.
“Alaa… Tak boleh nak peluk erat-erat. Kandungan kau dah besar,” seloroh Tihaani.
Qistur Ruwaidah tertawa dengan kata-kata Tihaani itu. “Kau sihat ke? Datang dengan siapa?”
“Siapa lagi kalau bukan aku.” Kedengaran suara seseorang di belakang pasangan itu. Tihaani tersenyum.
Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin menoleh ke belakang. Kelihatan Wan Abdullah di belakang pasangan itu.
“Eh, Wan Dolah!” ujar Mohamad Salahuddin dengan penuh ceria. Dia bersalaman dan berpelukan dengan sahabat baiknya itu.
“Eh, kau orang bercinta ke!” ujar Qistur Ruwaidah dengan penuh teruja.
“Bercinta apanya. Kita orang dah bertunang pun. Surprise!” kata Tihaani seraya menunjukkan jari manis kanannya tersemat cincin pertunangan yang diberikan oleh Wan Abdullah kepada dirinya.
“Subhanallah! Tahniah Wan Dolah, Tihaani! Ini memang mengejutkan! Tak sangka pengapit aku dan Qist dulu berjodoh juga,” ujar Mohamad Salahuddin seraya memandang Qistur Ruwaidah bersama sengihan.
“Itulah… Tak sangka betul. Bila kau orang bertunang?” balas Qistur Ruwaidah.
“Pertama sekali, kita orang nak minta maaflah kat kau orang sebab tak beritahu dan tak jemput pergi majlis. Kita orang pun buat kecil-kecilan je. Hanya keluarga aku dan keluarga Wan Dolah. Saudara-mara kita orang pun, kita orang tak jemput. Kita orang baru bertunang dua minggu lepas,” terang Tihaani.
“Wah, baru sangat tu! Tak apa, tak apa. Kita orang faham je. Samalah macam aku dan Din dulu. Kita orang beritahu kau orang lepas kita orang dah tunang. Jadi, adil je. Tahniah! Bila kau orang nak nikah?” luah Qistur Ruwaidah dengan nada gembira.
“Insya-Allah, bulan Jun tahun depan,” balas Wan Abdullah.
Lalu, mereka berempat rancak bersembang sehinggalah tibalah detik yang dinantikan, iaitu untuk mengambil item-item konvokesyen.
“Kita orang pergi dulu,” kata Mohamad Salahuddin dan ditemani oleh Wan Abdullah. Wan Abdullah juga akan menjadi wakil Tihaani untuk mengambil item-item tersebut. Beg jenama IVEA juga turut dibawa sekali bagi mengisi segala item konvokesyen di dalamnya, terutama jubah konvokesyen yang cukup berat untuk dibawa dengan menggunakan tangan.
“Aku tumpang gembira untuk kau dan Wan Dolah,” beritahu Qistur Ruwaidah setelah dua orang lelaki itu berlalu pergi.
“Terima kasih, Qist. Aku pun macam tak percaya aku dah jadi tunang dia. Tak pernah berangan pun. Dia dah lama cuba mengurat aku lepas majlis kesyukuran kau dan Din dulu tapi aku tak layan. Jual mahal katakan,” ujar Tihaani. Lalu, dia tertawa kecil.
“Alaa… Kau jual mahal pun, syukur Wan Dolah masih setia cuba nak dapatkan kau.”
“Tapi… Tak boleh lawan Din. Pendam perasaan kat kau sampai tiga tahun. Itu lagi dahsyat. Setia pula dengan kau sampai sekarang. Memang kau beruntung sangat, Qist. Cara dia pandang kau, macam mula-mula kau orang kahwin dulu.”
“Jangan macam tu, Tihaani. Lain lelaki, lain cara dia. Cuma, kau fikir jelah macam ni. Wan Dolah tu kawan baik Din. Mesti sedikit sebanyak, Wan Dolah pun nak mencontohi Din.”
“Betul juga, kan. Aku patut bersyukur sebab Wan Dolah nak kat aku. Walaupun kehidupan aku jauh beza dengan dia tetapi aku menghargai kesungguhan dia. Aku pun dah sedia nak hidup dengan cara dia pula. Dia pun dah cakap, dia tak mampu nak sediakan rumah yang mewah macam rumah mummy daddy aku. Menyewa je dulu. Tak apalah. Pasal rumah, aku dan dia boleh sama-sama berusaha. Bisnes MUA aku pun tak putus-putus. Minggu konvokesyen nanti, aku tak menang tangan juga. Ramai klien nakkan perkhidmatan aku.”
“Okeylah macam tu. Sekurang-kurangnya, Wan Dolah dah jujur dengan kau dan kau pun boleh nak terima keadaan taraf kehidupan dia. Jadi, tak ada masalah.”
MOHAMAD SALAHUDDIN dan Wan Abdullah telah mengambil nombor giliran untuk menuju ke robe room nanti. Sementara menunggu giliran, mereka berdua bersembang bagi menghilangkan rasa bosan.
“Barisan sisters panjang sungguh. Nasib baik kita jadi wakil. Kalau tak, jenuh Tihaani dan Qist nak tunggu. Lagi-lagi Qist. Dahlah dia mengandung,” kata Wan Abdullah sambil anak matanya memandang barisan siswazah perempuan yang semakin panjang seperti anakonda.
“Itulah… Kita yang brothers ni relaks je. Eh, giliran kita dah kena panggillah! Jom Wan Dolah!” gesa Mohamad Salahuddin tatkala dia ternampak angka gilirannya dan Wan Abdullah terpapar di skrin televisyen.
“Tak sempat nak berehat pun. Bagus juga. Sekejap lagi, boleh kita ambil gambar berempat. Adik aku tengah tunggu kat dalam kereta.”
“Elok juga tu.”
Kemudian, dua orang sahabat baik itu menuju ke robe room dan menyerahkan dokumen-dokumen yang diperlukan sebelum mereka menerima item-item konvokesyen. Tidak sampai lima minit, selesai pengambilan item-item tersebut.
Berjalanlah Mohamad Salahuddin dan Wan Abdullah dengan senang hati untuk menuju semula ke Banquet Hall.
“Bahagia betul. Sekejap je,” kata Wan Abdullah.
“Itulah. Jom, kita ambil gambar dulu. Lepas ni, kau pun mesti ada agenda dengan Tihaani,” balas Mohamad Salahuddin.
Wan Abdullah menggelengkan kepala. “Tak adalah. Kita orang pun jumpa kat sini je. Sebenarnya, kita orang datang asing. Dia datang dengan driver dia. Emm… Aku pun nak jadi macam kau dan Qist. Kalau kita orang nak jumpa, bawa mahram dan jumpa pun jarang-jarang. Aku terinspirasi.”
Mohamad Salahuddin tersenyum. “Mana yang baik, itu semua datang dari Allah. Aku bukan apa… Aku fikir, kalau aku nak hubungan yang berkat selepas nikah, sebelum nikah lagi dah kena jaga. Wan Dolah, bulan Jun tu tak lama pun. Pejam celik, pejam celik, Tihaani pun jadi isteri kau. Buat masa sekarang, kau kena sabar. Jaga batas. Ada kemanisannya nanti. Aku nak bagi nasihat lebih-lebih pun, aku baru kahwin tiga tahun. Lagi afdal, kau mintalah nasihat kat ibu kau. Ibu kau dah bertahun-tahun kahwin dengan arwah ayah kau. Macam aku sendiri sebelum kahwin, aku banyakkan bertanya dan minta nasihat kat ayah aku dan arwah mak tiri aku.”
“Insya-Allah. Aku akan tanya mak aku nanti tapi itulah… Bila aku fikir balik, kehidupan aku dan Tihaani macam langit dan bumi. Dia daripada keluarga kaya dan mommy daddy dia pun pangkat ‘Dato’ dan ‘Datin’. Aku pula daripada keluarga sederhana. Lepas aku dah bertunang dengan Tihaani, aku fikir balik. Sekufu ke aku dengan dia?”
“Kau dah jujur dengan dia, kan?”
“Dah tapi aku masih rasa ragu-ragu. Entahlah Din. Susah aku nak cakap pasal ni tapi aku memang cintakan Tihaani. Bukan sebab dia berduit tapi aku suka peribadi dia. Dia tegas, tepati masa, terus terang… Emm…”
“Wan Dolah… Aku rasa, baik kau istikharah balik dan bincang betul-betul dengan Tihaani. Ini melibatkan soal masa depan. Kahwin bukan perkara main-main. Sebenarnya, aku risau… Lagi-lagi pasal isu sekufu. Aku pun setuju pasal kehidupan kau dan Tihaani. Jauh beza. Apa-apa pun, kau bincanglah balik. Jom… Kita pergi kat Qist dan Tihaani balik.”
Sesampai Mohamad Salahuddin dan Wan Abdullah ke Banquet Hall semula sambil menggalas beg IVEA itu, kelihatan Qistur Ruwaidah dan Tihaani sedang bersembang.
“Rancak betul kau orang bersembang,” usik Mohamad Salahuddin.
“Eh, cepatnya!” ujar Qistur Ruwaidah dalam nada terkejut.
“Mana tak cepat. Barisan brothers pendek je. Kesian tengok barisan sisters. Dah macam anakonda.”
Qistur Ruwaidah dan Tihaani baru tersedar akan barisan siswazah perempuan yang sudah panjang itu. Punyalah rancak bersembang sehingga tidak sedar dengan keadaan sekeliling. “Kita orang rancak sangat bersembang. Tak sedar barisan dah panjang macam tu. Nasib baik kau orang ada,” kata Tihaani.
“Nanti kau orang kena belanja kita orang, okey. Jom, kita tangkap gambar berempat kat padang ICC dulu. Kita rasmikan robe. Wan hubungi adik Wan sekejap,” kata Wan Abdullah seraya mengeluarkan telefon pintarnya bagi menghubungi adiknya.
“Allah jelah yang mampu membalasnya, Wan,” kata Tihaani bersama sengihan.
“Pandailah…” kata Wan Abdullah. Lalu, dia menghubungi adiknya.
Sementara itu, Qistur Ruwaidah, Mohamad Salahuddin dan Tihaani mula merasmikan dengan memakai jubah konvokesyen. Pakaian yang menjadi idaman buat mereka sejak mereka mendaftarkan sebagai mahasiswa ijazah pada tahun 2015 dahulu.
“Lain macam rasa bila dah sarung jubah ni. Tak sangka… Kita berkonvokesyen juga akhirnya,” kata Qistur Ruwaidah memakai topi mortabod.
“Itulah… Macam mimpi. Aku pun tak sangka… aku berjaya habiskan BAR. Teringat balik belajar nahu dan sorof, eii… taubat aku! Aku tak nak jumpa dah subjek tu,” kata Tihaani.
Qistur Ruwaidah tertawa dengan ayat Tihaani itu. Memang benar… Subjek Nahu dan Sorof merupakan subjek yang cukup ditakuti oleh mereka berdua kerana dua subjek tersebut berkaitan tatabahasa Arab. “Tulah… Aku pun tak nak jumpa dah nahu dan sorof. Weh, mortabod aku dah okey? Nampak ke tengah tak?” tanyanya kepada Tihaani.
“Dah okey,” kata Tihaani. Lalu, dia membantu Qistur Ruwaidah dengan mencatumkan pita velkro tersebut agar topi mortabod tersebut berada dalam keadaan kukuh. “Hari konvokesyen nanti, kau jangan lupa cucuk guna jarum peniti. Jatuh mortabod nanti,” pesannya.
“Okey, okey. Nanti kau ingatkan aku lagi sehari sebelum konvokesyen.”
Kebanyakan siswazah perempuan yang berkongsi pengalaman mereka pada hari konvokesyen dulu, jarum peniti merupakan alat yang paling penting untuk dicucuk pada tudung bersama topi mortabod kerana permukaannya licin dan boleh menyebabkan topi tersebut mudah tertanggal.
Kelihatan Wan Abdullah juga sudah selesai berpakaian konvokesyen dengan lengkap dan telah dibantu oleh Mohamad Salahuddin.
“Okey, nampaknya semua dah siap. Adik aku pun dah sedia nak ambil gambar kita,” kata Wan Abdullah.
Kemudian, empat orang sahabat itu diabadikan di dalam satu gambar sebagai kenangan pada hari pengambilan item-item konvokesyen, hasil tangkapan gambar oleh adik kepada Wan Abdullah itu. Kebetulan, adiknya juga memang sedang mengambil bidang yang berkaitan dengan fotografi. Sahlah gambar-gambar tersebut menjadi cantik dan penuh berseni.
Seterusnya, sesi bergambar untuk Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin pula. Mereka berdua diarahkan untuk berdiri di bawah pokok sambil memegang topi mortabod.
“Phewwiiittt! Pengantin lama macam model. Tak nak kalah!” usik Wan Abdullah.
Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin meledakkan tawa. “Come on, Wan Dolah. Kita orang dah biasalah. Setakat bergaya macam ni, senang je,” balas Mohamad Salahuddin.
“Ceh, berlagak! Kau tunggulah kita orang kahwin nanti,” kata Wan Abdullah.
Masing-masing tertawa.
“SAYANG, dah siap ke belum tu? Lama lagi ke?” laung Mohamad Salahuddin dari ruang tamu. Dia dan si kembar sudah bersedia bagi menghadiri sesi foto prakonvokesyen bersama Suhaibul Umar, Encik Mohd Firdaus, Sakeenah dan keluarga Inspektor Anwar.
Kelihatan Qistur Ruwaidah muncul di ruang tamu sambil menyarung sarung lengannya itu. Wajahnya kelihatan cukup penat. “Okey, okey… Sayang dah siap. Maaflah habibi. Sayang mengah ni.”
Mohamad Salahuddin tersengih. “Kesiannya penguin habibi ni.”
Qistur Ruwaidah segera menepuk manja lengan suaminya itu. “Eiii! Habibi ni, kan… Jahat!”
Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil ketawa menyaksikan kerenah ibu bapa mereka itu.
Kemudian, berlalulah keluarga kecil itu bagi menuju ke Taman Tasik Titiwangsa untuk sesi foto prakonvokesyen.
KELIHATAN Suhaibul Umar, Encik Mohd Firdaus, Sakeenah dan keluarga Inspektor Anwar telah tiba di Taman Tasik Titiwangsa itu. Bagi mengelakkan daripada merebut parkir dengan kenderaan lain, mereka hadir sebelum jam 8.00 pagi.
“Maaf lambat!” laung Mohamad Salahuddin dari kejauhan bersama isteri dan anak-anak.
“Abang Long ni… Orang yang nak konvokesyen pula lambat. Abang Afkar sampai paling awal antara kita semua tahu,” usik Sakeenah.
Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah tersengih.
Kelihatan Suhaibul Umar menyerahkan jubah konvokesyen kepada pasangan itu. “Nah,” katanya.
“Terima kasih, abang,” kata Qistur Ruwaidah. Lalu, dia terdiam seketika. “Abang ada bawa gambar keluarga kita?”
Suhaibul Umar mengangguk. “Ada dalam beg ni. Jangan risau. Kita boleh tangkap gambar dengan keluarga kita banyak-banyak.”
Tanpa sepatah bicara, Qistur Ruwaidah mendakap abangnya itu meskipun kandungannya sudah sarat.
Suhaibul Umar tersentak. Namun, dia membalas dakapan itu bersama senyuman. Dia tahu… Adiknya merindui lima orang keluarga mereka berdua yang telah tiada.
“Terima kasih,” bisik Qistur Ruwaidah ke telinga abangnya.
“Sama-sama. Jangan sedih-sedih, adik. Hari ni, kita nak bergembira. Kita nak meraikan semua orang yang ada,” pujuk Suhaibul Umar.
Perlahan-lahan, Qistur Ruwaidah meleraikan dakapan tersebut. “Insya-Allah adik okey je. Adik nak ada banyak gambar dengan abang nanti. Sekurang-kurangnya, adik tak terlalu rindu.”
“Boleh je. Ha, cepat pakai robe tu. Din pun dah pakai mortabod tu.”
Cepat-cepat Qistur Ruwaidah menyarung jubah konvokesyen tersebut sambil dibantu oleh suaminya.
Usai semuanya, bermulalah sesi foto prakonvokesyen. Jurukamera, iaitu Afkar Irsyad akan memberikan yang terbaik buat keluarga besar itu dan semestinya, dia tahu betapa bermaknanya setiap insan-insan itu dalam kehidupan Qistur Ruwaidah. Mana mungkin dia tidak mengenali peribadi adik kepada Suhaibul Umar itu sejak sekolah menengah dahulu? Dia sendiri menjadi saksi betapa kasihnya Qistur Ruwaidah buat sahabat baiknya itu. Begitu juga Suhaibul Umar yang turut mengasihi adiknya.
SUNGAI PUSU
“Abang Long, Kak Long… Jangan risau pasal Qalyubi dan Qurtubi. Keena, ayah dan Abang Suhaib boleh tengok-tengokkan dia orang. Nanti sesak pula kalau kau orang tak gerak ke UIA sekarang,” kata Sakeenah.
“Okey Keena tapi sebelum tu… Abang Suhaib, nak minta tolong ambil gambar kami berempat sementara Qalyubi dan Qurtubi tengah okey ni,” pinta Mohamad Salahuddin.
Suhaibul Umar tersenyum. “Boleh, boleh.”
Mujurlah Aalqalyubi Shafiy tidak banyak kerenah dan memang dia suka bergambar. Berbeza pula dengan Aalqurtubi Shakil yang jenis pemalu dan agak takut untuk berada di hadapan kamera.
“Qurtubi, tengok sini,” kata Suhaibul Umar sambil memegang permainan kegemaran Aalqurtubi Shakil itu bagi menarik perhatian anak saudaranya itu.
“Aalqurtubi Shakil, abi ada ni. Kita nak ambil gambar,” pujuk Mohamad Salahuddin.
Kelihatan Aalqurtubi Shakil sedikit tenang, namun dia masih takut. Tubuhnya mula mendakap ayahnya. Mohamad Salahuddin memegang bahagian tubuh belakang anaknya itu.
Cepat-cepat Suhaibul Umar mengabadikan gambar keluarga kecil itu walaupun wajah Aalqurtubi Shakil kelihatan agak takut. Entahlah apa yang ditakuti oleh anak kecil itu. Akan tetapi, dia berjaya juga mendapatkan satu potret keluarga adiknya itu.
“Kenapa takut ni, anak abi? Abi ada ni,” pujuk Mohamad Salahuddin sambil mendukung anak keduanya itu.
Aalqurtubi Shakil mendakap erat ayah tercintanya. Bibirnya hanya menyebut “abi” sahaja.
Qistur Ruwaidah tersenyum menyaksikan dua beranak itu. Dia memandang pula Aalqalyubi Shafiy yang begitu ceria bersama Suhaibul Umar, Encik Mohd Firdaus dan Sakeenah itu. Kelihatan Suhaibul Umar menunjukkan gambar tersebut kepada anak saudaranya.
‘Ya Allah… Aku bahagia dengan kehidupan kini,’ bisik hati sang ibu itu sambil mengusap kandungannya yang kini sudah memasuki bulan kelapan.
MAJLIS KONVOKESYEN UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA KALI KE-35 (23-26 NOVEMBER 2019)
Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin berehat di Human Sciences Dry Area (HS Dry Area) sementara menunggu sidang keempat untuk mereka berdua yang akan berlangsung pada pukul 2.00 petang nanti.
“Alhamdulillah… Tak sangka kita akan berkonvokesyen petang ni,” ucap Mohamad Salahuddin.
“Itulah… Sayang pun tak sangka sayang akan berkonvokesyen dengan habibi. Takdir sungguh untuk kita. AIKOL dengan BAR jatuh pada hari yang sama dan sidang yang sama,” luah Qistur Ruwaidah sambil mengelus kandungannya itu.
Mohamad Salahuddin turut mengusap kandungan isterinya itu. “Sayang… Sebelum habibi lamar sayang dulu, memang impian habibi nak berkonvokesyen dengan sayang. Sarung robe dan mortabod dengan sayang. Allah Maha Mendengar doa habibi. Bukan habibi berkonvokesyen dengan sayang je, habibi berkonvokesyen dengan Qalyubi, Qurtubi dan puteri-puteri kita dalam kandungan sayang. Cantik sungguh aturan Allah untuk habibi. Habibi kira, impian habibi dah tercapai.”
“Habibi… Sayang tak pernah mengimpikan semua ni. Sayang ingatkan, sayang akan sambut konvokesyen dengan Abang Suhaib dan keluarga Abah Anwar je tapi tak sangka… Sayang dah ada habibi, Qalyubi dan Qurtubi. Sayang akan ‘bawa’ pula puteri-puteri kita naik pentas sekejap lagi.”
“Sayang bahagia?”
“Mestilah sayang bahagia. Tanpa habibi, tak adalah anak-anak yang memeriahkan rumah tangga kita. Kita ada dua pasang kembar. Dua lelaki dan dua perempuan. Sayang rasa kehidupan sayang dah cukup lengkap. Kalau sayang tak bersyukur lagi, tak tahulah nak cakap macam mana.”
“Sayang tahu apa yang paling membahagiakan habibi sepanjang tiga tahun kita kahwin ni?”
“Ada sayang dan anak-anak kita?”
“Itu salah satunya tapi paling membahagiakan habibi, habibi mampu mengekalkan kesetiaan habibi hanya untuk sayang. Istilah dua jiwa menjadi satu, dah cukup sebati dalam diri kita. Segala baik dan buruk antara kita, kita dah terima seadanya. Tanpa sayang juga, mana mungkin habibi akan rasa nikmat menjadi seorang ‘zauj’ dan ‘abi’. Sebab sayang sudi berkorban untuk hidup dengan habibilah, habibi dapat merasa nikmat kahwin. Kalau tak, mungkin sampai sekarang, habibi memilih untuk hidup sendiri kalau sayang tak pilih habibi dulu.”
“Habibi… Jangan cakap macam tu. Sayang lebih teringat masa habibi kena sihir dulu. Habibi nyaris-nyaris nak mati dan sayang takkan berkonvokesyen dengan habibi hari ni. Emm… Habibi… Kita jangan cakap lagi pasal kenangan-kenangan pahit tu. Sayang akan jadi sedih. Kita nak berkonvokesyen sekejap lagi. Tak nak sedih-sedih. Please?”
Mohamad Salahuddin memegang tangan kanan isterinya. “Sayang tahu habibi masih rasa bersalah dengan tahun pertama kita kahwin dulu?”
Qistur Ruwaidah menggelengkan kepalanya. “Shhh… Habibi… Dah, dah. Jangan sebut lagi. I love you. Balik nanti, sayang akan tenangkan habibi… manjakan habibi. Okey?”
Seketika, Mohamad Salahuddin tertawa kecil. “Sayang ni… Ingat habibi budak kecil ke?”
Qistur Ruwaidah turut tertawa. Tiba-tiba janin-janinnya memberikan tindak balas. “Aduh!”
“Eh, sayang dah rasa nak beranak ke!” Mohamad Salahuddin mula menggelabah. Kalau isterinya bersalin hari ini, alamatnya tidak berkonvokesyenlah jawabnya dan akan ditangguh pada tahun hadapan.
“Isy! Taklah! Habibilah ni buat lawak. Tak pasal-pasal anak-anak kita dalam ni pun rasa tahu sampai dia orang tendang perut sayang!”
“Alhamdulillah, lega… Kalau sayang terberanak hari ni, tak jadilah konvokesyen.”
“Dah, dah. Habibi jangan nak merepek. Jom, kita pergi masjid. Dah pukul 12.30 ni. Ambil masa juga untuk sayang nak bersiap sekejap lagi.”
“Jom,” kata Mohamad Salahuddin seraya meninggalkan tempat duduk tersebut. Dia segera membantu isterinya.
USAI Qistur Ruwaidah menunaikan solat zuhur, dia bertemu semula dengan suaminya di Business Compound sebelum mereka berdua bergerak ke ICC Hall sekejap lagi.
Kelihatan Encik Mohd Firdaus dan Sakeenah juga sudah tiba bersama Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil. Suhaibul Umar juga baru sahaja tiba bersama sahabat baiknya, Afkar Irsyad yang akan menjadi jurukamera. Tidak dilupakan juga, keluarga Inspektor Anwar sekali.
“Ibu, abah… Ni kad undangan nak masuk kat dalam ICC Hall sekejap lagi,” kata Qistur Ruwaidah seraya menyerahkan kad undangan kepada Puan Raihan.
Kelihatan Puan Raihan menyambut kad undangan tersebut. “Okey. Boleh ke Qist nak jalan sampai kat ICC ni? Ibu risau pula. Qist dah sarat sangat ni,” luahnya dengan nada risau.
Qistur Ruwaidah tersenyum. Dia mengerti kegusaran ibu angkatnya itu. “Insya-Allah. Qist larat je, ibu. Kalau Qist tak larat, Qist minta kerusi roda nanti.”
Kelihatan Sakeenah sedang melayani anak saudara kembarnya itu. Qistur Ruwaidah tersenyum. “Ibu, sekejap ya. Nak jumpa Keena dan kembar sekejap.”
“Okey, Qist.”
Qistur Ruwaidah mula menghampiri Sakeenah dan anak-anaknya itu. “Keena…” panggilnya.
Kelihatan si kembar terus meluru ke arah ibunya sambil memeluk kaki ibu tercinta. Qistur Ruwaidah tertawa. “Alaa… Mengadalah anak-anak ummi ni. Ummi panggil Mok Sulah, sayang-sayang ummi.” Kandungannya yang sudah sarat itu benar-benar membataskan dirinya untuk membongkokkan tubuhnya. Dia hanya mampu mengusap kepala si kembar itu.
“Ya Kak Long. Kenapa Kak Long panggil Keena?” ujar Sakeenah.
“Ha, Kak Long terlupa pula. Kak Long nak tanya ni. Keena okey ke nak tengokkan Qalyubi dan Qurtubi ni? Kak Long kesian pula kat Keena. Lagi-lagi nak tengokkan Qalyubi yang aktif lain macam.”
“Insya-Allah okey je. Adik-beradik angkat Kak Long pun ada. Tak jadi masalah sangat rasanya. Abang Azim pun akan datang juga nak raikan Kak Long dan Abang Long sekejap lagi tapi sekarang, dia tengah ada kelas.”
“Oh yalah. Kak Long lupa pula. Sekarang, orang tu dah ada tunang, kan,” seloroh Qistur Ruwaidah.
“Alaaa… Tunang je pun, Kak Long. Bukannya kahwin lagi,” kata Sakeenah seraya tersengih.
Qistur Ruwaidah turut tersengih. Ah, adik iparnya sudah dewasa dan bakal bergelar isteri dalam sebulan lebih sahaja lagi! Serasa bagaikan baru sahaja dia mengenali Sakeenah.
“Sayang, jom gerak sekarang. Dah pukul 2.00 ni,” ujar Mohamad Salahuddin.
Tiba-tiba Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil menuju ke arah ayah mereka berdua sambil merengek, “Abi!”
Mohamad Salahuddin tersenyum dengan gelagat anak-anak kesayangannya itu. Lalu, dia menyambut dengan mendakap kedua-dua orang puteranya itu. “Ya anak-anak abi… Nanti Qalyubi dan Qurtubi duduk dengan Mok Su Keena, Mak Long Rahah, Pak Ngah Zabdan, Mak Lang Darirah, Mak Jang Adriana, Mak Uda Unaisah dan Pak Su Ubbad elok-elok tahu.”
Kemudian, berlalulah Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin ke ICC Hall dengan memasuki pintu masuk yang telah ditetapkan untuk para graduan.
MAJLIS KONVOKESYEN UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA KALI KE-35
24 NOVEMBER 2019, 2.00 PETANG, SIDANG 4
Takdir Allah, kulliyyah (fakulti) Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin jatuh pada hari, masa dan sidang yang sama. Sejujurnya, mereka bersyukur juga kerana jimat masa.
“Kita berpisah kat sinilah ya, sayang. Habibi akan rindukan sayang,” ucap Mohamad Salahuddin.
Qistur Ruwaidah mengangguk. “Okey habibi,” ucapnya. Lalu, dia mengucup tangan suaminya itu. “Sayang pun akan rindukan habibi tapi habibi… Jangan nak gatal-gatal dengan sisters lain pula ya. Sayang cucuk mata habibi tu nanti. Ingat… Habibi dah nak jadi abi kepada empat orang anak tahu,” pesannya dalam nada serius.
Mohamad Salahuddin tertawa. “Ya Allah… Tak ada maknanyalah sayang!”
Lalu, mereka berdua sama-sama tertawa dan berpisah mengikut barisan masing-masing.
Kelihatan ahli jawatankuasa (AJK) yang terdiri daripada kalangan staf UIAM memeriksa setiap graduan dari segi pemakaian dan juga, mereka memastikan bahawa setiap graduan beratur mengikut barisan dan angka yang betul sebelum mereka melangkah masuk ke dalam ICC Hall.
Qistur Ruwaidah terharu tatkala AJK begitu mengambil berat terhadap dirinya yang sedang sarat mengandung. Siap menawarkan kepada dirinya untuk duduk di atas kerusi roda. Namun, dia menolak dengan baik. Dia masih gagah untuk berjalan sambil mengusung janin-janinnya itu.
Tidak lama kemudian, para AJK dan graduan mula bergerak untuk menuju ke dalam ICC Hall setelah mendapat arahan daripada pengerusi majlis.
“Assalamualaikum wb.t.. Announcing the procession of graduands.”
Kedengaran muzik gamelan menemani setiap iringan langkah para AJK yang mengetuai barisan untuk membawa para graduan ke tempat masing-masing.
‘Alhamdulillah. Tak sangka aku akan jadi graduan UIAM hari ni macam Abang Suhaib juga,’ bisik hati Qistur Ruwaidah sambil mengusap kandungannya itu.
Ketika itu, hatinya mula berasa sayu. Betapa dia ingin arwah ibu bapanya turut menyaksikan detik bersejarah ini. Namun, dia mula memujuk hati. Dirinya bakal disaksikan oleh suaminya, abangnya, ayah mentuanya dan ibu bapa angkatnya yang turut berada dalam ICC Hall ini.
Suhaibul Umar, Encik Mohd Firdaus, Puan Raihan dan Inspektor Anwar juga sudah berada di dalam dewan bagi menyaksikan kejayaan Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin menerima skrol serta sekali gus, menjadi siswazah UIAM.
“Alhamdulillah… Qist berkonvokesyen juga hari ni,” kata Puan Raihan.
“Itulah. Abang bangga dengan dia. Dia anak yang kuat, sama macam Suhaib,” kata Inspektor Anwar.
Pasangan itu memandang Suhaibul Umar yang sedang ralit menyaksikan skrin besar yang terpapar di dinding.
Bagi Suhaibul Umar pula, tiada apa yang dia mampu lafazkan buat adik dan adik iparnya itu, melainkan dia amat berbangga dan tumpang gembira dengan kejayaan mereka. Dia juga teringat akan peristiwa dia menjadi seorang graduan pada tahun 2016 dahulu. Sepertimana adik dan adik iparnya meraikan hari konvokesyennya dahulu, begitulah juga dia mahu buat yang sama untuk pasangan itu dengan berada di ICC Hall ini.
Encik Mohd Firdaus turut berbangga dengan kejayaan anak dan menantunya. Dulu, dia pernah berimpian untuk meraikan majlis konvokesyen pasangan itu bersama Puan Zaidah (Ida), namun, perancangan Allah mengatasi segala-galanya. Dia reda.
Tibalah acara kemuncak, iaitu ketibaan dif-dif kehormat.
“Procession enters the hall. Please rise,” umum pengacara majlis.
Kelihatan para hadirin mula bangun dari tempat duduk setelah mendapat arahan daripada pengacara majlis.
Para dif kehormat dan AJK mula melangkah masuk ke dalam ICC Hall dan diiringi Selawat Burdah yang dialunkan oleh Centre for Arts and Cultural Sustainable Development, International Islamic University Malaysia (CiTRA-IIUM) untuk menuju ke pentas utama.
Seketika, Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin yang terpisah tempat duduk kerana kulliyyah yang berbeza, masing-masing teringat semula selawat tersebut yang pernah dimainkan ketika majlis kesyukuran mereka pada tahun 2016 di Banquet Hall yang terletak di sebelah ICC Hall. Begitu juga Suhaibul Umar yang telah berkonvokesyen pada tahun 2016 itu. Betapa dia merindui Selawat Burdah versi UIAM itu! Lain daripada yang lain.
Kelihatan dif-dif kehormat dan AJK berjalan dengan tertib bagi meraikan para graduan yang telah berhempas pulas menimba ilmu selama tiga/empat/lima/enam tahun di Taman Ilmu dan Budi ini.
Alunan Selawat Burdah yang menjadi ikonik itu benar-benar memberikan ketenangan kepada para hadirin kerana rentaknya yang menenangkan jiwa.
Usai sahaja ketibaan dif-dif kehormat dan AJK di pentas utama dan alunan Selawat Burdah UIAM…
“Let us sing together the ‘Negaraku’, followed by the university song,” ujar pengacara majlis tersebut.
Apabila tiba waktu untuk menyanyikan lagu UIAM, Qistur Ruwaidah mula menjadi sebak. Bermakna, ini merupakan kali terakhir untuk dia mendengar lagu tersebut secara rasmi. Jika dia berhajat untuk menyambung peringkat pascasiswazah (sarjana/doktor falsafah) di sini, dia berpeluang untuk mendengar lagi nanti.
Akan tetapi, dia tiada sebarang perancangan untuk menyambung peringkat pascasiswazah kerana dia mahu fokus kepada suami dan anak-anaknya. Apatah lagi, dia sedang menantikan kelahiran anak ketiga dan anak keempatnya dalam dua atau tiga minggu sahaja lagi. Cukuplah dia melanjutkan sehingga peringkat ijazah sahaja. Dia sudah cukup bersyukur.
Berbeza pula dengan Mohamad Salahuddin, memang dia mahu menyambung peringkat sarjana dalam tiga atau empat tahun nanti setelah anak ketiga dan anak keempatnya sudah besar sedikit. Kini, dia juga mahu fokus kepada kerjaya dan keluarganya terlebih dahulu.
RIVERSIDE IIUM
“Qalyubi, jangan lari. Nanti jatuh!” pesan Sakeenah kepada Aalqalyubi Shafiy yang kini berusia dua tahun. Anak buah pertamanya itu ternyata merupakan seorang anak yang aktif dan mudah bermesra dengan sesiapa sahaja manakala Aalqurtubi Shakil setia bersama ibu saudaranya dan tidak ke mana-mana.
“Tak apa, Keena. Akak pergi tengok-tengokkan Qalyubi,” kata Darirah. Lalu, dia mendapatkan Aalqalyubi Shafiy dan melayan anak saudara angkatnya itu.
Kelihatan Abdul Azim muncul di Riverside IIUM bersama beg galasnya. Kuliahnya baru sahaja selesai dan dia terus berjumpa dengan tunangnya itu. Dia teruja untuk bertemu Sakeenah, namun, dia sedar bahawa Sakeenah masih belum menjadi isterinya melainkan hanyalah sekadar tunang. Lalu, dia memujuk diri. Sakeenah tidak akan ke mana-mana dan mereka berdua akan disatukan dalam sebulan lebih sahaja lagi.
“Eh, Abang Azim!” kata Sakeenah dengan penuh ceria tatkala dia ternampak kehadiran Abdul Azim. Tunangnya sudah selesai kuliah.
Abdul Azim menghadiahkan senyuman. “Maaf lambat,” ucapnya. Selain dia mahu bertemu Sakeenah, semestinya dia mahu meraikan kejayaan Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin yang akan menjadi sebahagian daripada ahli keluarganya setelah dia bernikah dengan Sakeenah kelak.
“Eh, taklah! Abang tak lambat pun. Majlis pun tak habis lagi. Lama lagi ni rasanya. Abang Long cakap, sekarang graduan IRK tengah ambil skrol.”
“Graduan IRK memang ramai. Abang tak terkejut.”
“Mok Su… Par,” luah Aalqurtubi Shakil.
“Lapar ya. Okey, jom cari makanan. Mok Su pun lapar,” pujuk Sakeenah.
“Ha, jomlah kita cari makan. Abang pun lapar juga ni,” kata Abdul Azim.
Tiba-tiba Aalqurtubi Shakil menuju ke arah Abdul Azim. Dia mahukan perhatian daripada bakal ayah saudaranya itu. Abdul Azim tersenyum. Lalu, dia mendukung anak kecil itu. Dia memang sukakan kanak-kanak dan dia sendiri memiliki ramai anak saudara. Tinggal dia sahaja yang masih bujang dalam kalangan adik-beradiknya.
“Wah, Qurtubi nak Abang Azim! Biasanya, Qurtubi ni susah nak kat orang yang dia tak kenal. Ha, abang pakai apa-apa ya!” sakat Sakeenah.
“Eh, tak adalah! Abang pun tak sangka dia nak kat abang. Mungkin dia tahu abang ni bakal jadi ‘Pok Su’ dia. Tu dia nak bermanja,” ujar Abdul Azim. Lalu, dia mengucup pipi Aalqurtubi Shakil itu.
Sakeenah tersenyum dengan sifat kasih yang ada dalam diri Abdul Azim. Ternyata dia tidak salah menilai tentang tunangnya itu. Dia percaya bahawa lelaki itu akan tulus mencintainya setelah dia menjadi isteri.
ICC HALL, IIUM
Qistur Ruwaidah memberikan kad multimedianya kepada AJK setelah dia berada di tangga untuk menunggu gilirannya mengambil skrol. Namanya akan terpapar di skrin besar dan laman YouTube.
“Qistur Ruwaidah binti Isyraf Imrani,” kedengaran suara pengacara majlis memanggil nama Qistur Ruwaidah setelah tiba gilirannya untuk mengambil skrol.
Langkah Qistur Ruwaidah diatur dengan penuh berhati-hati sambil memegang kandungannya. Dia tidak mahu sebarang risiko terjadi kepada dirinya dan kandungannya. Biar lambat, asal selamat. Tepukan gemuruh diberikan oleh para hadirin kepada dirinya.
“Congratulations,” ucap pemberi skrol kepada sang graduan itu.
“Thank you,” ucap Qistur Ruwaidah. Kemudian, dia berlalu pergi sambil memegang skrol rona biru firus bersaiz A4 dan bersegi empat tepat serta tertera logo dan nama UIAM rona emas di muka hadapan skrol tersebut.
Sepanjang dalam perjalanannya untuk menuju ke tempat duduk, hatinya tidak berhenti mengucap hamdallah atas kejayaannya. Setelah dia tiba di tempat duduknya, dia mengeluarkan semula telefon pintarnya yang diletakkan di dalam beg galas kecilnya. Ucapan tahniah membanjiri dalam grup WhatsApp yang terdiri daripada gabungan keluarga dia, Suhaibul Umar, keluarga suaminya dan keluarga angkatnya.
Grup WhatsApp Keluarga Jannah:
+ Tahniah Qist dan Din!
+ Tahniah! Bangga tengok kau orang ambil skrol tadi.
+ Nak masuk UIA macam Kak Qist dan Abang Din!
... serta beberapa lagi ucapan yang memeriahkan grup tersebut. Menitik air mata Qistur Ruwaidah. Betapa dia terlalu terharu dengan ucapan-ucapan tersebut. Tiba-tiba dia menerima mesej peribadi WhatsApp daripada abangnya.
WhatsApp Suhaibul Umar:
Assalamualaikum adik. Tahniah sebab adik dah bergelar graduan secara rasmi. Abang bangga dengan adik. Setelah apa yang adik lalui selama ni, berkat kesabaran adik, adik berkonvokesyen juga pada hari ini.
Kalau dulu adik tengok abang berkonvokesyen, hari ni, abang buat perkara yang sama. Mana mungkin abang mahu melepaskan kenangan terindah ni selepas adik kahwin dengan Din dan adik lahirkan anak-anak adik. Tak lama lagi, adik akan lahirkan anak ketiga dan keempat. Abang doakan semua urusan adik dimudahkan.
Nanti adik beritahulah apa yang adik nak. Abang nak bagi hadiah konvokesyen.
Sekali lagi, tumpas air mata Qistur Ruwaidah membaca ucapan daripada abangnya itu! Semakin terharu dirasakan.
Kemudian, dia mendapat mesej peribadi daripada suaminya pula.
WhatsApp Mohamad Salahuddin:
Assalamualaikum sayang. Tahniah untuk kita berdua! Tak sangka kita berkonvokesyen sama-sama, kan? Habibi bangga dengan sayang. Dengan sayang mengandungnya, praktikalnya, Qalyubi dan Qurtubi nak sayang memanjang… Habibi tahu tak mudah untuk sayang tapi sayang berjaya. Sekali lagi, tahniah!
Adanya sayang dalam kehidupan habibi, habibi bersyukur. Sayang dah banyak mudahkan urusan habibi dari hari pertama kita kahwin. Terima kasih.
Ucapan selebihnya kat rumah nanti, ya. I love you, sayang.
Qistur Ruwaidah menjadi semakin sebak. Dia segera mengesatkan air matanya. Dia tidak mahu orang yang berada di kiri dan kanannya terperasan.
Sudahlah tadi sebelum Qistur Ruwaidah mengambil skrol, majlis konvokesyen direhatkan seketika untuk persembahan lagu “Ayah dan Ibu” (nyanyian Allahyarham Sudirman) yang didendangkan oleh CiTRA-IIUM bagi menghargai pengorbanan para ibu bapa graduan yang hadir ke majlis konvokesyen. Pada saat itu, dia tidak mampu menahan sebaknya. Dia menangis kerana dia merindui arwah Puan Mahfuzah dan Encik Isyraf Imrani. Dia segera menghadiahkan Surah al-Fatihah dalam hati buat kedua-dua ibu bapanya serta tiga orang adik-beradiknya yang telah pergi.
‘Ya Allah… Kuatkanlah aku,’ bisik hati Qistur Ruwaidah. Tiba-tiba dua janinnya menghadiahkan tendangan manja kepada ibu tercinta. Serta-merta, dia tersedar. Dia terlupa seketika bahawa dia ditemani dua janinnya. Dia sepatutnya tidak berasa sedih dan seharusnya dia bersyukur dengan kehidupannya yang sudah berumah tangga. Adanya Mohamad Salahuddin, Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil serta bakal anak kembar perempuannya dalam rahimnya.
SETELAH berakhirnya valedictory speech atau ucapan perpisahan daripada wakil graduan terbaik dan doa penutup, pengacara majlis menjemput dif kehormat daripada Member of IIUM, Board of Governors untuk menyampaikan ucapan terakhir kepada para graduan UIAM.
“Dear graduands, you are now officialy alumni of the International Islamic University Malaysia.”
Tepukan gemuruh mula membanjiri ICC Hall, IIUM itu. Ah, berakhir sudah majlis konvokesyen untuk sidang empat ini!
Secara rasmi, Qistur Ruwaidah binti Isyraf Imrani dan Mohamad Salahuddin bin Mohd Firdaus telah bergelar alumni UIAM! Perjalanan yang cukup mencabar dan pastinya menjadi kenangan buat pasangan itu yang berkahwin sewaktu belajar dulu.
PADANG ICC
“Tahniah untuk kau dan Qist. Aku tumpang gembira dengan kau orang,” ucap Abdul Azim bersama senyuman tatkala dia berbual bersama Mohamad Salahuddin sahaja.
“Alhamdulillah. Terima kasih Azim. Terima kasih jugalah sebab sudi datang hari ni. Aku doakan supaya kau pun akan tamat belajar dengan jayanya,” balas Mohamad Salahuddin.
“Sama-sama. Insya-Allah. Aku pun tak sabar nak habis belajar tahun 2021 nanti. Lepas tu, aku tunggu Keena habis belajar pula.”
Mohamad Salahuddin tersenyum dengan kata-kata terakhir Abdul Azim itu. “Tak lama pun tahun 2021 tu. Sekarang pun dah akhir bulan 11 2019. Bulan 1 2020 nanti pula, kau dah nak jadi suami Keena.”
Sekali lagi, Abdul Azim tersenyum tetapi kali ini, senyumannya semakin lebar. “Ah, itulah! Dah tak lama. Aku pun harap semuanya berjalan lancar nanti.”
Setelah dua orang lelaki itu berbual sesama mereka, tibalah sesi bergambar berlatarbelakangkan bangunan ICC untuk Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin bersama insan-insan yang cukup bermakna dalam kehidupan mereka berdua.
Usai sahaja sesi bergambar antara Qistur Ruwaidah, Mohamad Salahuddin, Suhaibul Umar, Encik Mohd Firdaus, Sakeenah, Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil, mereka mengajak Abdul Azim pula untuk bergambar sekali dengan keluarga itu sebagai tanda, mereka mahu meraikan Abdul Azim juga yang akan menjadi sebahagian dalam keluarga kelak.
“Eh, tak apa!” Abdul Azim menolak dengan baik. Dia sedar bahawa dia masih belum menjadi suami Sakeenah. Apatah lagi, dia menghormati Sakeenah dan Qistur Ruwaidah sebagai perempuan bukan mahram untuk dirinya.
“Tak apa, Azim. Kenangan. Jomlah masuk sekali. Kesian kat Keena ni. Nanti dia sedih pula tunang dia tak nak bergambar sekali,” sakat Qistur Ruwaidah. Dia telah menerima bahawa lelaki itu bakal menjadi birasnya kelak dan dia tidak mahu Abdul Azim berasa canggung dengan dirinya.
Pada saat itu, wajah Sakeenah mula merona merah tatkala kakak iparnya sengaja menyakatnya. “Isy, Kak Long ni, kan! Mana adalah. Pandai-pandai je,” katanya dengan malu-malu. Abdul Azim juga sudah malu apabila disakat sedemikian.
Masing-masing tertawa dengan gelagat pasangan itu.
“Jom Azim. Berdiri sebelah pak cik ni,” pelawa Encik Mohd Firdaus. Dia juga mahu meraikan bakal menantu keduanya itu.
Tidak mahu menghampakan permintaan keluarga itu, Abdul Azim menghampiri juga ke arah keluarga tersebut dan berdiri di sebelah kanan Encik Mohd Firdaus.
Suhaibul Umar hanya tersenyum dengan situasi tersebut. Dia turut tumpang gembira untuk Abdul Azim dan Sakeenah. Dirinya pula… Entahlah bila dan di mana dia akan menemui cinta sejatinya. Apatah lagi, keadaan tubuhnya yang menjadi jijik pada pandangan orang lain. Dia menggelengkan kepalanya.
Bersatulah Abdul Azim, Encik Mohd Firdaus, Sakeenah, Mohamad Salahuddin, Qistur Ruwaidah, Aalqalyubi Shafiy, Aalqurtubi Shakil dan Suhaibul Umar dalam satu potret berlatarbelakangkan bangunan ICC yang menjadi tempat ikonik untuk mana-mana graduan bergambar bersama keluarga masing-masing selepas tamatnya majlis konvokesyen.
9 DISEMBER 2019
Segala puji Allah, Qistur Ruwaidah telah selamat melahirkan puteri kembarnya secara normal lagi pada pukul 1.53 dan 1.55 pagi tadi. Secara rasmi, Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil juga telah menjadi seorang abang. Harapan Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin buat si kembar lelaki tersebut agar mereka berdua menjadi pelindung buat adik-adik perempuan itu.
“Terima kasih untuk sekali lagi, sayang,” ucap Mohamad Salahuddin.
“Sama-sama habibi. Sayang hanya menjalankan amanah sebagai isteri dan ummi, habibi,” balas Qistur Ruwaidah bersama senyuman.
“Jangan cakap macam tu, sayang. Habibi hargai jasa sayang. Sayang dah banyak berkorban untuk keluarga kita sepanjang habibi cari nafkah.”
“Habibi pun dah banyak berkorban untuk keluarga kita. Terima kasih juga.”
“Sama-sama sayang. Sayang berehatlah dulu. Anak-anak dan keluarga kita datang pukul 9.00 pagi nanti.”
Qistur Ruwaidah mengangguk. Lalu, dia memejamkan mata untuk mendapatkan tenaga semula. Sungguh, perjalanan dia melahirkan kembar perempuan tadi sama penat seperti dia melahirkan kembar lelakinya dahulu.
Mohamad Salahuddin membelai kepala isterinya sehingga isterinya dapat tidur dengan nyenyak. Pada masa yang sama juga, dia ralit memerhatikan puteri kembarnya. Syukur… Kedua-dua puterinya sihat sejahtera dan sempurna fizikalnya. Sebagai seorang ayah yang kini mempunyai anak perempuan, pastinya dia risau akan masa hadapan puteri-puterinya dan cabaran untuk membesarkan anak perempuan sangat berat agar anak-anak perempuannya terpelihara daripada fitnah dunia.
‘Ya Allah… Kau lindungilah isteri dan anak-anak perempuanku,’ bisik hati sang suami dan ayah itu.
Tidak lama kemudian, Mohamad Salahuddin terlena di atas katil bersebelahan dengan katil isterinya.
Pada pukul 10.00 pagi, kelihatan Suhaibul Umar, Encik Mohd Firdaus, Sakeenah, Abdul Azim, Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil melangkah masuk ke dalam wad sambil membawa buah tangan buat keluarga Qistur Ruwaidah itu. “Assalamualaikum,” ucap mereka.
“Waalaikummussalam,” balas Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin. Alangkah mereka berdua begitu gembira dengan kehadiran tetamu-tetamu istimewa itu.
Cepat-cepat Mohamad Salahuddin membawa putera kembarnya untuk berkenalan dengan adik-adik mereka. “Qalyubi… Qurtubi… Ni adik-adik Qalyubi dan Qurtubi tahu.”
Kelihatan Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil begitu teruja dengan kehadiran adik-adik baharu. “Adik… Adik…” panggil mereka berdua dengan ceria.
Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin tersenyum dengan sifat penyayang yang ditunjukkan oleh si kembar lelaki itu.
Aalqurtubi Shakil memandang ke arah Abdul Azim. Kemudian, dia menuju ke arah lelaki itu dengan memeluk kaki lelaki itu. Abdul Azim tersenyum, lalu dia mendukung si kecil itu.
“Eh, Qurtubi! Nak pula dia kat Azim. Biasanya, dia tak nak langsung kat orang yang dia tak kenal,” kata Qistur Ruwaidah.
“Dari konvokesyen Kak Long dan Abang Long hari tu lagi, dia nak kat Abang Azim. Tak tahulah kenapa dia suka sangat kat Abang Azim,” kata Sakeenah.
“Abang guna jampi,” seloroh Abdul Azim.
Semua orang tertawa dengan kata-kata lelaki itu.
Kemudian, Mohamad Salahuddin mula memperkenalkan puteri kembar kepada tetamu-tetamu itu. “Bismillahirrahmannirrahim. Kita orang perkenalkan puteri kembar kita orang. Si kakak, Aalqarihah Syibrah. Boleh panggil Syibrah.”
Qistur Ruwaidah menyambung pula. “Si adik pula, Aalqarirah Syuhrah. Boleh panggil Syuhrah.”
“Subhanallah! Assalamualaikum Syibrah dan Syuhrah! Ni Mok Su Keena,” kata Sakeenah dengan penuh teruja kepada kembar perempuan itu.
Aalqarihah Syibrah dan Aalqarirah Syuhrah sedang enak dibuai mimpi setelah Qistur Ruwaidah menyusui kedua-duanya. Tidak terganggu dengan suara-suara manusia itu.
Suhaibul Umar juga berasa teruja dengan kehadiran anak-anak saudara baharunya itu dengan mengusap lembut kepala si kembar perempuan itu. Dia mendoakan agar Aalqarihah Syibrah dan Aalqarirah Syuhrah menjadi anak-anak solehah dan taat pada perintah Allah serta menjaga diri dan maruah sebagai seorang perempuan. “Syibrah… Syuhrah… Ni Baba Suhaib. Selamat datang ke dunia.”
Qistur Ruwaidah tersentuh hati dengan situasi itu. Dia tahu betapa abangnya amat mengasihi semua anak saudaranya.
Abdul Azim turut berinteraksi dengan si kembar itu. Dia tumpang gembira untuk dua orang bekas rakan sekelasnya itu.
“Sabar ya, Azim, Keena… Sebulan je lagi,” sakat Mohamad Salahuddin.
“Isy, Abang Long ni, kan!” kata Sakeenah dengan penuh geram.
Abdul Azim tersenyum. Ya, dia sendiri pun sudah tidak sabar untuk menempuh kehidupan baharu bersama Sakeenah kelak.
Seterusnya, giliran Encik Mohd Firdaus berinteraksi dengan cucu-cucu baharunya itu. “Assalamualaikum cucu-cucu Tok Ayoh,” ucapnya sambil bermain dengan jari-jemari si kecil itu. Betapa dia gembira kerana kini, dia merupakan seorang datuk kepada empat orang cucu.
“Habibi… Tengok ayah,” kata Qistur Ruwaidah.
Mohamad Salahuddin memerhatikan ayahnya yang sedang ralit berinteraksi dengan anak-anaknya itu. “Ayah seronok sangatlah tu ada cucu-cucu baharu.”
“Alalala… Syibrah, Syuhrah… Cucu kesayangan Tok Ayoh ni. Jadi anak-anak yang solehah untuk ummi dan abi tahu,” bicara Encik Mohd Firdaus dengan penuh ceria.
Setelah Encik Mohd Firdaus seronok berinteraksi dengan cucu-cucunya itu, hajatnya dia mahu menuju ke sofa untuk berehat seketika. Entah mengapa tiba-tiba sahaja dia menjadi letih. Dia mula diserang sakit kepala dan penglihatannya kabur. Tangan kirinya memegang dadanya. Keadaan dadanya pula sangat sakit seperti ditekan-tekan serta tubuhnya berasa amat sejuk dan berpeluh.
BUK! Dalam perjalanan hendak merehatkan diri di sofa, Encik Mohd Firdaus rebah di atas lantai. Semua orang terkejut dengan situasi tersebut. Lalu, mereka meluru ke arah orang tua itu.
“Ayah, bangun ayah! ” kata Sakeenah bersama linangan air mata.
“Ayah, bangun ayah! Along ni!” kata Mohamad Salahuddin dalam kekalutan itu.
Suhaibul Umar segera memanggil jururawat yang bertugas. Sepantas kilat, dia tiba bersama jururawat yang bertugas. Encik Mohd Firdaus dibaringkan di atas katil bersebelahan dengan katil Qistur Ruwaidah.
Jururawat tersebut mula memeriksa keadaan Encik Mohd Firdaus. Lalu, dia menghentikan tugasnya setelah dia merasakan tubuh Encik Mohd Firdaus yang dingin kesejukan itu. “Ayah encik ke?” tanyanya kepada Mohamad Salahuddin.
“Haah,” balas Mohamad Salahuddin.
“Maafkan saya, encik. Ayah encik telah meninggal dunia. Saya perlu panggil doktor untuk periksa punca kematian ayah encik,” ucap jururawat itu dengan nada perlahan.
Masing-masing terkedu dengan perkhabaran itu. Encik Mohd Firdaus meninggal dunia? Apakah semua ini? Mustahil! Walhal, keadaan Encik Mohd Firdaus tadi kelihatan sihat dan seronok berinteraksi dengan Aalqarihah Syibrah dan Aalqarirah Syuhrah.
Sakeenah terduduk lemah di atas kerusi bersebelahan katil yang didiami oleh ayahnya. Air matanya kian deras mengalir. Qistur Ruwaidah mengagahkan dirinya dengan meninggalkan katilnya untuk menghadiahkan kekuatan kepada adik iparnya itu.
“Kak Long…” Itu sahaja yang mampu diungkapkan oleh Sakeenah.
Qistur Ruwaidah segera mendakap adik iparnya itu. Dia tahu betapa peritnya untuk si bongsu itu menerima hakikat bahawa Encik Mohd Firdaus telah meninggal dunia secara mengejut.
Mohamad Salahuddin memandang wajah ayahnya yang seolah-olah sedang lena dan tersenyum itu. ‘Ayah… Maafkan Along. Moga ayah ampunkan segala salah dan silap Along selama Along jadi anak ayah. Moga ayah berbahagia dengan ummi di sana. Along juga akan menyusul nanti. Moga kita bertiga bertemu di Syurga,’ bisik hatinya.
Suhaibul Umar dan Abdul Azim juga terkejut dengan apa yang telah berlaku. Mereka berdua saling berpandangan tanpa sepatah kata. Masing-masing memegang bahu Mohamad Salahuddin.
“Salam takziah, Din,” ucap Abdul Azim.
Mohamad Salahuddin diam membisu. Sungguh, dia tidak tahu bagaimana dia mahu meneruskan kehidupan tanpa ayahnya yang selama ini tidak jemu menasihatinya agar dia menjadi ketua keluarga yang baik.
Perkhabaran gembira atas kelahiran Aalqarihah Syibrah dan Aalqarirah Syuhrah bertukar menjadi perkhabaran duka atas kematian Encik Mohd Firdaus secara tiba-tiba pada tarikh yang sama. Sungguh, Mohamad Salahuddin benar-benar tertampar dengan peristiwa ini.
Qistur Ruwaidah juga rasa tertampar dengan apa yang berlaku pada hari ini tatkala dia menyaksikan jasad almarhum ayah mentuanya yang terkaku di atas katil itu. Tiga tahun lebih sahaja dia menjadi menantu kepada Encik Mohd Firdaus. Sungguh, kehilangan ayah mentuanya cukup terasa selepas dia kehilangan ayah kandungnya.
‘Ayah… Rehatlah. Maafkan Kak Long selama Kak Long jadi menantu ayah. Halalkan makan minum Kak Long. Kak Long tak sangka ayah pergi hari ni. Hari yang sama anak-anak Kak Long lahir. Kak Long akan rindu ayah. Terima kasih sebab terima Kak Long dan anggap Kak Long macam anak ayah sendiri. Maafkan Kak Long tak dapat nak bagi penghormatan terakhir kat ayah sekejap lagi.’
Air matanya yang ditahan sejak tadi mula mengalir sederasnya.
JENAZAH Encik Mohd Firdaus telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam AU4 Lembah Keramat selepas solat zuhur, di mana tempat bersemadinya juga ahli keluarga Qistur Ruwaidah di situ.
Mohamad Salahuddin dan Sakeenah berteleku di pusara ayah mereka berdua itu.
“Patutlah ayah pernah cakap masa hari merisik Keena dulu, ayah rasa lega sebab Keena jumpa Abang Azim. Ayah ada cakap juga, kalau apa-apa jadi kat ayah, Abang Azim ada. Ayah macam tahu-tahu dia akan pergi,” Sakeenah memulakan bicaranya.
“Ayah rahsiakan daripada kita… dia ada masalah jantung. Abang Long rasa ralat sangat,” luah Mohamad Salahuddin dengan penuh kekesalan. Andailah ayahnya memberitahu tentang masalah jantungnya itu, nescaya dia akan memberikan yang terbaik untuk ayahnya.
“Keena pun rasa ralat. Walaupun Keena duduk dengan ayah tapi Keena langsung tak tahu ayah sakit. Emm… Agaknya, ayah tak nak kita susah hati dengan keadaan dia.”
“Keena… Walau apa-apa jadi, Abang Long tetap ada untuk Keena. Walaupun kita lain mak, Keena tetap adik Abang Long.”
Sakeenah mengangguk. Lalu, dia mendakap abangnya itu. “Keena sayang Abang Long.”
“Abang Long pun sayang Keena.”
Abdul Azim memandang tunangnya itu. Sungguh, hatinya runtun. Sudahlah Sakeenah pernah diuji dengan almarhumah ibunya yang merupakan tukang bomoh dan keberadaan mayat ibunya tidak diketahui. Kini, ayah tercinta pula menghadap Ilahi secara mengejut. Baginya, sebagai seorang bakal menantu kepada Encik Mohd Firdaus, dia juga berasa sedih kerana tidak sempat menjalankan tugas sebagai seorang menantu kelak.
“Jagalah Keena baik-baik nanti. Dia pun dah tak ada siapa-siapa lagi. Din pun takkan boleh bagi perhatian sepenuhnya kat Keena. Din pun dah ada kehidupan sendiri,” kata Suhaibul Umar secara tiba-tiba.
Abdul Azim memandang sahabat baiknya itu. “Insya-Allah. Azim akan buat yang terbaik untuk Keena.”
“Azim pun tahu dia dah lama suka Azim, setia kat Azim… Macam mana abang pernah pesan kat Din supaya jaga Qist elok-elok, macam tulah juga abang minta Azim jaga Keena elok-elok. Keena tu dah macam adik perempuan ketiga abang lepas Qina dan Qist.”
“Insya-Allah abang. Emm… Patut ke Azim pergi kat Keena? Azim tak nak Keena rasa Azim ni tak pedulikan dia.”
“Buat masa sekarang, biarlah dia dengan Din dulu. Insya-Allah, abang rasa Keena faham je kalau Azim tak bercakap dengan dia. Dia fikir batas antara dia dan Azim.”
Sekali lagi, Abdul Azim memandang Sakeenah yang masih setia mendakap Mohamad Salahuddin. Ingin sahaja dia menghadiahkan dakapan buat insan yang dicintainya itu tetapi dia sedar bahawa dia masih belum menjadi suami Sakeenah. Ingin sahaja dia menyegerakan pernikahan antara mereka berdua supaya dia dapat menjaga Sakeenah. Akan tetapi, dia sedar bahawa tunangnya baru sahaja kehilangan ayah tercinta.
Setiap yang bernyawa, pasti akan merasai mati. Tidak akan terlambat walau sesaat.
MASJID SULTAN HAJI AHMAD SHAH, UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA, GOMBAK (SHAS UIAM)
AHAD, 12 JANUARI 2020
“Bismillahirrahmannirrahim. Abdul Azim bin Uthman…” ucap Mohamad Salahuddin bersama senyuman. Dia teringat pula ketika abang ipar mewalikan isterinya dahulu. Kini, dia merasai situasi ini sama seperti abang iparnya untuk mewalikan Sakeenah bagi menggantikan Encik Mohd Firdaus yang telah tiada.
Walaupun Encik Mohd Firdaus yang sepatutnya mewalikan Sakeenah sudah tiada dan hari ini sudah sebulan tiga hari pemergiannya, hidup tetap perlu diteruskan. Tipulah jika kesedihan itu telah terpadam.
“Ya saya,” sambut Abdul Azim dengan penuh debaran. Lafaz suci itu akan cuba dilafazkan dengan sebaik mungkin.
“Aku nikahkan dan aku kahwinkan dikau dengan adikku, Sakeenah binti Mohd Firdaus dengan mas kahwinnya RM10,000 berserta sebentuk cincin emas dan seutas rantai emas leher tunai.”
Sepenuh keyakinan, Abdul Azim menyambut lafaz akad tersebut. Dia sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang suami buat Sakeenah, juga menjaga amanah arwah Encik Mohd Firdaus dan Puan Zaidah (Ida) serta Mohamad Salahuddin dengan sebaiknya. “Aku terima nikah, Sakeenah binti Mohd Firdaus dengan mas kahwinnya RM10,000 berserta sebentuk cincin emas dan seutas rantai emas leher tunai.”
Tatkala itu, jantung Abdul Azim bagaikan hampir mahu meletup setelah dia menyambut lafaz suci itu. Mujurlah nama Sakeenah satu perkataan sahaja. Jika nama Sakeenah panjang, risau juga kalau dia tersasul.
“Sah?” soal Mohamad Salahuddin kepada dua orang wakil saksi tersebut.
“Sah,” balas kedua-dua orang saksi itu.
“Alhamdulillah… Al-Fatihah,” kata Mohamad Salahuddin. Lalu, dia mengetuai bacaan surah tersebut buat kedua-dua mempelai.
Lafaz kesyukuran mula terbit dalam jiwa Abdul Azim dan Sakeenah. Kini, bermulalah perjalanan mereka berdua sebagai pasangan suami isteri yang telah ditakdirkan oleh Maha Pencipta.
Sakeenah mendakap kakak iparnya itu. Itu sahajalah ahli keluarga perempuan dewasa yang ada untuk dirinya kini. Selepas-selepas ini, dia perlu pandai membawa diri sebagai isteri, menantu dan adik ipar. Apatah lagi, Abdul Azim mempunyai seramai tiga orang abang dan empat orang kakak. Semestinya, dia gementar untuk menyertai keluarga besar Abdul Azim.
“Tahniah Keena. Selamat menempuh alam rumah tangga bersama Azim,” ucap Qistur Ruwaidah.
“Insya-Allah Kak Long. Tolong doakan Keena. Keena takut nak masuk dalam keluarga Abang Azim. Adik-beradik Abang Azim ramai. Keena takut Keena tak boleh jadi adik ipar yang baik. Selama ni, Keena membesar dengan Abang Long berdua je,” luah Sakeenah.
“Tak ada apa-apa, Keena. Insya-Allah, semuanya baik-baik je. Apa yang paling penting, Keena kena taat kat Azim selari dengan syarak dan hormat bonda baba Azim. Bonda baba Azim jelah sekarang mak ayah untuk Keena. Memang arwah mak ayah Keena takkan boleh diganti tapi cukuplah Keena buat apa yang termampu untuk bonda baba Azim. Pasal adik-beradik Azim pula, nasihat Kak Long, buatlah apa-apa yang mampu senangkan diri Keena. Jangan paksa diri untuk terlalu ramah. Jadi je diri sendiri. Kalau rindu Kak Long, hubungi je Kak Long. Okey?”
“Insya-Allah. Okey Kak Long. Keena akan ingat pesan Kak Long.”
Pelukan itu dileraikan.
Qistur Ruwaidah memandang suaminya dan Abdul Azim berpelukan sesama mereka. Secara rasmi, dia dan Abdul Azim telah menjadi biras pada hari ini. Betapa dia teringat hari perkahwinannya pada tahun 2016 dahulu di masjid yang sama ini. Abang dan suaminya berpelukan sesama mereka setelah sahnya lafaz akad nikah itu dengan linangan air mata.
‘Ya Allah… Moga Kau meredai perkahwinan adik iparku, Sakeenah binti Mohd Firdaus dan birasku, Abdul Azim bin Uthman. Meskipun Abdul Azim pernah melamar aku dan aku menolak lamarannya sehingga dia pernah kecewa, namun aku gembira untuk dirinya kini… menjadi suami kepada Sakeenah. Kau kurniakanlah zuriat yang soleh dan solehah buat mereka. Amin…’ bisik hati Qistur Ruwaidah.
Kelihatan Sakeenah dan Abdul Azim dipanggil untuk acara pembatalan air wuduk, iaitu menyarung cincin ke jari manis pasangan masing-masing. Atas persetujuan bersama, mereka tidak akan menunaikan solat sunat selepas nikah dan sujud syukur di Masjid SHAS UIAM ini, sebaliknya mereka akan menunaikannya di hotel nanti.
Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin sudah tersenyum-senyum dengan gelagat malu-malu kucing yang ditonjolkan oleh Sakeenah dan Abdul Azim.
“Sayang teringat hari kita kat sini dulu,” luah Qistur Ruwaidah sambil matanya juga memerhatikan Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil sedang bermain sesama mereka manakala Aalqarihah Syibrah dan Aalqarirah Syuhrah sedang lena di atas tilam nipis. Si kembar perempuan pasangan itu baru sahaja memasuki usia sebulan pada tiga hari lepas.
“Mana boleh habibi lupa. Habibi pun teringat. Emm… Habibi lega untuk Keena. Ada Azim yang boleh tengok-tengokkan dia.”
“Itulah… Sayang pun lega untuk Keena. Biarlah orang nak cakap apa-apa pasal umur Keena tapi untuk sayang, ada wajarnya Keena kahwin sekarang. Sayang sendiri sedih sebab tak boleh nak bagi komitmen yang penuh kat Keena macam dulu.”
“Itu apa yang habibi fikirkan lepas ayah meninggal dulu. Siapa nak tengok-tengokkan Keena. Lagi-lagi dia seorang je kat CFS Gambang sana. Nak balik KL pun seorang dia je. Habibi risau dengan keselamatan dia. Emm… Kita pun tak boleh nak selalu ziarah dia macam ayah selalu buat untuk dia dulu. Anak-anak kita pula perlukan perhatian penuh. Habibi sedih juga. Walaupun Keena cakap dia tak kisah pun, habibi tetap rasa serba salah. Sebelum kita pergi masjid tadi, berkali-kali habibi minta maaf kat Keena pasal isu tu.”
“Tak apa, habibi. Sekarang, Keena pun dah selamat dalam jagaan Azim. Azim pun ada cakap kat kita yang dia akan ulang-alik lawat Keena setiap minggu kat CFS Gambang sana sampai Keena habis belajar kat situ. Insya-Allah, kita doakan supaya rumah tangga dia orang bahagia sampai syurga.”
“Insya-Allah. Habibi pun harapkan yang sama untuk Keena dan Azim. Emm sayang… Terima kasih sebab sayang dah buat yang terbaik untuk Keena. Besar peranan sayang sebagai mak dan kakak untuk Keena lepas mak dah tak ada.”
“Habibi… Keena tu dah macam adik sayang. Sayang sendiri pun tak ada adik perempuan. Melalui Keena, sayang belajar untuk jadi kakak.”
Mohamad Salahuddin memegang tangan isterinya dengan erat. Tiada apa lagi yang dia pinta melainkan dia dipanjangkan umur untuk dia terus berjuang untuk isteri dan anak-anaknya. “I love you, sayang,” ucapnya dengan perlahan.
“I love you too, habibi,” balas Qistur Ruwaidah seraya mengeratkan pegangan tangan itu. Dia juga mengharapkan agar rumah tangganya kekal bahagia bersama suami dan anak-anaknya.
Berbaki dua bab sahaja lagi sebelum berlabuhnya novel ini. Terima kasih kerana sudi menunggu sejak tahun 2021 :)
Share this novel