KELAS LY001, LY Building, Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (CFS IIUM). Sebuah bangunan yang terkenal dengan bau kabut (fog) nyamuk dan tidak dapat dinafikan lagi bahawa bangunan tersebut memang banyak nyamuk. Anehnya, bau kabut nyamuk tersebut tidak pernah hilang pula.
Namun begitu, setiap kelas dalam bangunan tersebut tetap menjadi rebutan para mahasiswa dan mahasiswi untuk mengadakan program, kelas ganti dan sebagainya pada sebelah malam atau cuti hujung minggu.
Tidak ketinggalan juga, seorang mahasiswa begitu tekun menganalisis sebuah kes jenayah untuk mock trial yang bakal dipersembahkan pada kuliah akan datang.
Mock trial merupakan tugasan bagi melatih para mahasiswa undang-undang agar mereka bersedia untuk menghadapi dunia peguam sebenar kelak. Mereka perlu mencari mana-mana kes sebenar dan mencipta bahan-bahan bukti berdasarkan kes yang dipilih. Kemudian, mereka perlu lakonkan semula dalam mahkamah mengikut prosedur yang betul.
Seketika, dia merehatkan minda dan merenggangkan tubuhnya dari meneruskan pembacaan berkenaan kes jenayah. Matanya mula melirik pada jam tangannya. Jam sudah menunjukkan pukul 5.00 petang. Bermakna, dia sudah berada dalam kelas tersebut selama dua jam sejak pukul 3.00 petang tadi.
“Nampaknya kau dah sedia nak mock trial minggu depan ya Din,” tegur seseorang.
Mohamad Salahuddin menoleh ke arah rakannya itu. Kelihatan rakannya, Wan Abdullah juga sedang berehat seketika dari pembacaannya.
“Tak adalah. Mana aku sedia lagi. Peninglah kes Datuk Kameel ni. Ada banyak keratan akhbar dan kes pasal beliau yang aku tak baca lagi. Dah dua jam kita dalam kelas ni,” balas Mohamad Salahuddin seraya meletakkan kedua-dua tapak tangan pada bahagian tengkuknya. Dia menarik dan menghembuskan nafasnya bagi mengurangkan rasa stres.
“Itulah. Kes rasuah Datuk Kameel ni berliku-liku aku nak faham,” kata Wan Abdullah.
“Aku rasa kita dah silap pilihlah kes Datuk Kameel ni. Sepatutnya, kita pilih kes Datin Sri Embun. Aku rasa okey sikit. Pasal dia nak saman Syarikat Purnama Sdn. Bhd tu.”
“Nampak sangat kau suka kes saman. Kau ada bercita-cita nak saman sesiapa ke?” seloroh Wan Abdullah.
“Ada. Aku nak saman sister yang dah curi hati aku,” selamba sahaja balasan Mohamad Salahuddin.
“Wah Din! Sister mana yang dah curi hati kau ni? Tak beritahu aku pun. Sampai hati kau.”
“Alaa… Kalau aku beritahu pun, bukannya kau kenal pun sister tu. Dia bekas rakan sekelas aku masa tahun pertama dulu. Dulu, dia jurusan LAWS juga tapi sekarang, dia dah tukar jurusan BAR.”
“Nada kau macam patah hati je, Din. Dia tolak cinta kau ke?”
“Isy! Bila masa pula aku luahkan perasaan aku kat dia? Kalau aku beritahu pun, dia ada suka orang lainlah.”
“Sister tu suka je, kan. Bukannya dia bercinta dengan orang yang dia suka tu. Belum tentu pun orang yang dia suka tu, suka kat dia balik.”
“Masalahnya, brother yang sister tu suka pun, macam suka kat sister tu. Aku tak naklah masuk campur. Lagipun, selama ni aku perhati sister tu dari jauh je.”
“Mana kau tahu brother tu suka kat sister tu? Sangkaan kau je tu. Bukannya kau tahu macam mana isi hati brother tu.”
Mohamad Salahuddin terdiam. Wan Abdullah ini sengaja beri ayat harapan atau bagaimana? Namun begitu, sebolehnya dia tidak mahu berharap apa-apa kepada mahasiswi itu atau lebih tepat mereka berdua sedang berbicara mengenai Qistur Ruwaidah dan Abdul Azim walaupun Wan Abdullah tidak mengetahui gerangannya.
Ya, memang Mohamad Salahuddin mempunyai perasaan terhadap Qistur Ruwaidah sejak tahun pertama semester satu dahulu kerana kepetahan dan keberanian mahasiswi itu tetapi dia tahu hati Qistur Ruwaidah telah dicuri oleh Abdul Azim sejak mahasiswi itu pernah mengatakan kepadanya bahawa dia mempunyai perasaan terhadap Abdul Azim di London Bridge suatu ketika dahulu.
Sejujurnya, dia yakin bahawa dua insan itu saling mempunyai perasaan tetapi Qistur Ruwaidah bersikap pendam perasaan manakala Abdul Azim pula bersifat egois. Dia masih ingat lagi bahawa dia ternampak dua orang kawannya itu di antara Mahallah Aisyah dan Mahallah Abu Bakar dari kejauhan.
Tanpa disedari oleh Qistur Ruwaidah dan Abdul Azim, Mohamad Salahuddin pernah menyaksikan dalam diam tika mahasiswi itu menyerahkan bungkusan kepada Abdul Azim suatu ketika dahulu.
Bungkusan apa? Dia sendiri tidak mengetahuinya, namun dia masih ingat lagi senyuman Abdul Azim itu. Nampak sangat dia menyukai Qistur Ruwaidah. Jadi, dia tidak mahu masuk campur untuk menjadi orang ketiga pula.
Walhal, Mohamad Salahuddin tidak mengetahui bahawa Abdul Azim telah pun menolak perasaan Qistur Ruwaidah.
Tiba-tiba dia ternampak kelibat Qistur Ruwaidah di luar kelas itu. Pada masa yang sama, Wan Abdullah juga ternampak kelibat mahasiswi itu. “Eh, tu macam Qist!” katanya.
“Qist?” tanya Mohamad Salahuddin kembali. Sebenarnya, dia agak terkejut Wan Abdullah turut mengenali mahasiswi itu.
“Eh, aku ni pun! Tiba-tiba je sebut nama Qist. Macamlah kau kenal.”
“Kau maksudkan Sis. Qistur Ruwaidah ke?”
“Eh laa… Kau kenal juga rupanya.”
“Mestilah aku kenal sis tu. Rakan sekelas aku dulu tu. Kau pula macam mana boleh kenal dia?”
“Dulu, kan aku diwajibkan oleh pensyarah aku untuk sertai debat bahasa Arab masa kelas bahasa Arab level six. Masa tulah, aku kenal Qist dari situ. Kalau kau nak tahu, Qist tu terkenallah dalam debat bahasa Arab. Dia jadi jurulatih juga. Kalau ada mock debate, mesti dia jadi salah seorang peserta. Tak sahlah kalau dia tak ada. Dia sangat komited orangnya.”
“Ya, aku pun tahu memang dia aktif debat bahasa Arab. Bukan dia ada jawatan ke dalam kelab debat tu?”
“Ya betul. Penolong ketua kelab debat bahasa Arab.”
Jeda seketika.
‘Janganlah si Wan Dolah bangkitkan semula isu aku suka siapa. Dahlah kebetulan si Qist tu lalu,’ bisik hati Mohamad Salahuddin.
Lega hatinya apabila Wan Abdullah tidak membangkitkan semula isu perasaannya itu. Kelihatan kawannya itu menyambung semula pembacaannya tentang kes rasuah Datuk Kameel itu.
Namun begitu, fikiran Mohamad Salahuddin mula melayang terhadap mahasiswi itu. Cepat-cepat dia beristighfar. ‘Astaghfirullah! Kau dah kenapa fikir pasal Qist ni, Din! Kau kena ingat, ni semester akhir kau kat CFS IIUM. Jangan macam-macam!’ bisik hati Mohamad Salahuddin.
Jika tiada aral melintang, dia akan menyambung peringkat ijazahnya di Kampus Utama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ambilan bulan Februari pada tahun hadapan. Bermakna, dia berada di CFS IIUM selama setahun setengah.
Namun begitu, fikirannya masih gagal untuk menepis bayangan mahasiswi itu.
‘Ya Allah, aku bukan sesiapa untuk Qist! Hapuskanlah bayangan dia dari mindaku ni.’
Mohamad Salahuddin meraup wajahnya. Seketika, ingatannya mula menerawang kembali sewaktu dia pernah menjadi rakan sekelas mahasiswi itu.
“Assalamualaikum. My name is Qistur Ruwaidah binti Isyraf Imrani. You can call me Qist. I'm from Kuala Lumpur. I am a law student and I am so happy to meet all of you.”
Perkenalan yang dihulurkan oleh Qistur Ruwaidah kepada seluruh rakan sekelasnya itu masih segar dalam ingatan jejaka itu. Dia masih ingat juga keberanian mahasiswi itu sering bertanya soalan kepada para pensyarah mahupun kawan-kawannya yang melakukan pembentangan.
“Salahuddin, may I ask question about bona fide?”
Itu merupakan salah satu soalan yang pernah diutarakan oleh Qistur Ruwaidah kepadanya. Dia tersenyum dalam diam. ‘Qist, kenapalah kau tukar ke BAR? Sayangnya... Kalau tak, boleh dah aku nak kenal kau dengan lebih mendalam. Kau sangat berbakat dalam LAWS,’ bisik hatinya.
Namun begitu, dia menghormati pendirian Qistur Ruwaidah dalam diam setelah dia mengetahui bahawa mahasiswi itu dalam proses untuk menukar jurusan.
Tika itu, Mohamad Salahuddin masih ingat lagi akan pertemuan kebetulannya dengan Qistur Ruwaidah di Office of Arts Department Program (OOADP).
“Eh, Qist! Kau buat apa kat sini?” tanya Mohamad Salahuddin.
“Eh, hai Din! Aku nak ambil borang tukar jurusan,” balas Qistur Ruwaidah.
Riak wajah Mohamad Salahuddin berubah sedikit apabila mendengar jawapan mahasiswi itu. “Kau nak tukar jurusan?”
“Ya. Aku nak tukar BAR. Aku tak minatlah LAWS. Susah nak faham akta dan aku tak suka fakta. Serabutlah. Dibuatnya aku salah sebut nama penjenayah dan pesalah, tak ke aniaya bakal klien aku nanti,” balas Qistur Ruwaidah, selamba.
Mohamad Salahuddin tersengih mendengar jawapan mahasiswi itu. “Kau ni, boleh pula fikir ke situ. Lagipun, kita masih belajar, kan.”
“Tak apalah, Din. Memang aku dah angkat bendera putih dari hari aku terima tawaran LAWS. Cukuplah satu semester ni aku hadap subjek LAWSOC. Oh, aku lupa nak beritahu kau. Aku nak withdraw subjek LAWSOC juga. Aku tak berani nak ambil risiko dah. Aku tak yakin aku boleh jawab peperiksaan LAWSOC tu nanti,” terang Qistur Ruwaidah.
“Kalau macam tu alasan kau, aku hormati je. Yalah, kau lebih tahu kemampuan diri kau.”
“Terima kasih sebab faham keadaan aku. Kau pula buat apa kat sini, Din?”
“Sama-sama. Aku nak tanya pasal student portal. Sistem student portal aku ada masalah. Tak boleh nak add subject.”
“Oh okey. Semoga urusan kau dipermudahkan.”
Pada pengamatan Mohamad Salahuddin tika itu, dia dapat melihat Qistur Ruwaidah sangat tegas dan tetap pendirian dalam apa jua yang dilakukan olehnya.
Sekiranya perempuan itu meneruskan Asasi Undang-Undang, pastinya pihak lawan akan berasa gerun terhadapnya.
Mohamad Salahuddin masih ingat lagi, usai dia berurusan dengan staf OOADP, dia ternampak Qistur Ruwaidah sedang berdiri di hadapan Office of Science Department Program (OOSDP). Entah apalah yang sedang ditunggu oleh mahasiswi itu. Tidak lama kemudian, Mohamad Salahuddin melihat Abdul Azim keluar dari jabatan tersebut. Rupa-rupanya Qistur Ruwaidah sedang menunggu mahasiswa itu.
‘Hmm… Tak ada harapanlah aku nak dapat Qist. Apatah lagi, nak dekat dengan dia. Entah-entah memang dia orang saling suka dalam diam,’ bisik hati Mohamad Salahuddin.
Walhal, Qistur Ruwaidah sengaja berlakon agar dia seolah-olah terserempak dengan Abdul Azim manakala Mohamad Salahuddin pula pandang dari sisi lain.
Mengingati semula peristiwa itu, Mohamad Salahuddin hanya menggelengkan kepalanya. Dia tidak sepatutnya rasa cemburu. Dia sedar bahawa dia bukan sesiapa untuk mahasiswi itu. Hubungan mereka berdua juga bukannya rapat.
Namun begitu, mengingati semula pertemuannya dengan Abdul Azim di Kafe E suatu ketika dahulu, dia rasa keliru akan dirinya. Mengapakah dirinya seolah-olah cuba membantu untuk menyatukan Qistur Ruwaidah dan Abdul Azim dahulu dengan memberitahu perasaan perempuan itu kepada Abdul Azim?
“Ha, dialah orang yang aku jumpa tadi. Sebenarnya, dia ada beritahu sesuatu kat aku tadi semasa aku jumpa dia. Walaupun dia tak izinkan untuk aku beritahu kau tetapi untuk aku, ada baiknya aku cakap teruslah kat kau,” terang Mohamad Salahuddin.
“Dia cakap apa dengan kau?” tanya Abdul Azim.
“Dia cakap dia suka kau.”
“Hmm…Ya ke dia suka aku?”
“Seriuslah Azim. Takkan aku nak tipu kau pula. Dia dah lama ada perasaan kat kau sejak semester lepas lagi.”
Mengingatkan dialog itu kembali, Mohamad Salahuddin menggelengkan kepalanya. ‘Kenapa kau baik sangat masa tu, Din? Sedangkan, kau ada perasaan kat Qist,’ bisik hatinya.
“Oii Din! Mengelamun kat mana tu?” tiba-tiba Wan Abdullah mematikan lamunan Mohamad Salahuddin.
“Eh, apa?” balas Mohamad Salahuddin. Tanpa disedari, buku-bukunya terjatuh. Dia bingkas mengutip buku-buku itu semula. ‘Ya Allah, kenapa dengan aku ni?’ bisik hatinya.
“Din, kau ada masalah ke? Tiba-tiba semacam je kau ni. Dengan tiba-tiba buku terjatuhnya,” duga Wan Abdullah.
“T… Tak adalah. Aku okey je. Jangan risaulah. Emm… Jomlah kita balik mahallah. Otak aku dah tak boleh nak hadam kes Datuk Kameel buat masa ni,” balas Mohamad Salahuddin seraya tangannya mula mengemas buku-buku dan alat tulisnya itu, lalu dimasukkan ke dalam beg galasnya.
Wan Abdullah berasa agak pelik akan tindakan Mohamad Salahuddin, namun dia hanya mengikuti perlakuan kawannya itu. Ada benar juga kata Mohamad Salahuddin itu. Dia juga sudah tepu untuk membaca kes rasuah tersebut. Nanti-nantilah mereka berdua menyambung dalam menghadam kes tersebut bersama rakan sekumpulan yang lain.
Tiba-tiba pintu kelas tersebut diketuk oleh seseorang dan kelihatan pintu bilik tersebut dibuka.
“Assalamualaikum brothers,” ucap seseorang.
Tiba-tiba…
“Eh, Din, Wan Dolah!” tegur Qistur Ruwaidah, ceria.
Alangkah terkejutnya Mohamad Salahuddin apabila mahasiswi itu muncul di hadapannya kini. Hampir sahaja dia terlepas beg galasnya itu.
“Waalaikummussalam. Eh, Qist! Ada apa-apa masalah ke? Kita orang nak balik mahallah dah,” balas Wan Abdullah.
“Ada tisu tak? Aku tak ada duster nak padam whiteboard,” beritahu Qistur Ruwaidah.
“Oh. Maaf. Aku tak adalah. Din, kau ada tisu tak?” tegur Wan Abdullah kepada Mohamad Salahuddin.
“Aaa… A… Ada,” balas Mohamad Salahuddin dengan gugup seraya tangannya bingkas mengeluarkan sepaket tisu dari beg galasnya itu, lalu dihulurkan kepada Qistur Ruwaidah. “Ambil je terus. Tak perlu pulangkan. Boleh guna untuk benda lain nanti,” balasnya, lalu digalas begnya semula.
Kelihatan Qistur Ruwaidah menghadiahkan senyuman kepada mahasiswa itu. Senyuman itu telah membuatkan jantung Mohamad Salahuddin semakin berdegup laju.
“Terima kasih sangat Din. Aku hargai!” ucap Qistur Ruwaidah.
“Sama-sama,” ucap Mohamad Salahuddin. Dia dapat merasakan bahawa kedua-dua belah tangannya mula terketar-ketar. ‘Astaghfirullah… Kenapa aku terlalu berdebar-debar ni?’ bisik hatinya.
Qistur Ruwaidah mula meninggalkan kedua-dua orang mahasiswa itu. Mohamad Salahuddin tidak lepas dari memandang Qistur Ruwaidah sehingga perempuan itu hilang dari pandangannya.
“Qist ke sister yang kau suka?” tanya Wan Abdullah.
“Ha? Apa kau merepek ni?” Mohamad Salahuddin buat-buat tidak faham akan soalannya kawannya itu.
“Jangan nak berdalihlah, Din. Aku perhati je kau pandang dia tadi. Lama pula tu.”
“Kau ni. Ada-ada jelah Wan Dolah. Jomlah balik. Aku dah lapar.”
Lalu, dua sahabat itu mula meninggalkan Bangunan LY tersebut. Tidak disedari oleh Wan Abdullah, Mohamad Salahuddin menoleh ke belakang seketika dengan harapan Qistur Ruwaidah akan berpatah balik untuk berjumpa dengan dirinya, namun dia hampa. Entahlah bila lagi dia boleh terserempak dengan perempuan itu seperti tadi.
‘Moga aku boleh bertemu dengan kau lagi, Qistur Ruwaidah sebelum aku tamat belajar kat sini. Jika bukan kat sini, kita jumpa kat UIA Gombak. Insya-Allah,’ bisik hati Mohamad Salahuddin.
KELAS LY003, Bangunan LY, Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (CFS IIUM).
Qistur Ruwaidah sedang berbincang tugasan untuk subjek Maharat Kitabah bersama ahli kumpulannya. Tiba-tiba telefon pintarnya berbunyi. Panggilan daripada abangnya. “Kau orang teruskan perbincangan tahu. Abang aku menghubungi aku,” katanya kepada kawan-kawannya.
Dia melangkah keluar dari kelas tersebut. “Assalamualaikum abang,” ucapnya.
“Waalaikummussalam. Adik, abang ada berita ni,” Suhaibul Umar terus menerangkan tujuan dia menghubungi adiknya itu.
“B…Berita apa, abang?” soal Qistur Ruwaidah dengan penuh kerisauan.
Kedengaran Suhaibul Umar melepaskan helanya. “Emm adik… Kak Syita dah tak ada.”
“Ha! Apa abang cakap ni! Abang jangan main-main! Bulan Mei hari tu Sufi dah tak ada. Lepas tu, Mak Long pula meninggal dunia bulan September. Sekarang, abang kata Kak Syita pula meninggal dunia hari ni? Selang sebulan selepas Mak Long meninggal dunia? Tahun apa yang adik sedang lalui ni!”
Kedengaran nada Qistur Ruwaidah sedikit emosi dan sukar percaya dengan apa yang dia perlu lalui pada tahun 2014 itu. Kematian demi kematian yang diketahui oleh dirinya hingga dia sudah menjadi penat untuk mengalirkan air matanya.
Bagi pemergian almarhumah Mak Long Rauzah, Qistur Ruwaidah dan Suhaibul Umar tidak menyaksikan wanita tua itu menghembuskan nafas terakhir setelah mereka berdua tidak mempedulikan panggilan dan rayuan ibu saudara itu sehinggalah pada hari pengebumian almarhumah Mak Long Rauzah juga, dua beradik itu tidak memberikan penghormatan terakhir.
Pada mulanya, Suhaibul Umar mahu menghadiri majlis pengebumian tersebut setelah dia mendapat berita kematian daripada sepupunya, namun apabila dia terbayang wajah ibu saudaranya dan sentuhan terakhir yang diberikan oleh wanita itu, serta-merta penyakit yang dihadapinya muncul kembali, iaitu gangguan stres pascatrauma atau Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD), gangguan panik dan gangguan fobia sehingga membuatkan dia menjerit dan meracau-racau akibat terbayangkan penderaan yang pernah dialami oleh dirinya.
Lagi teruk dari apa yang Suhaibul Umar lalui di wad hospital tempoh hari sehingga adiknya terpaksa memberikan ubat jenis drug anksiolitik kepada dirinya, iaitu sejenis drug penenang yang digunakan untuk merawat kegelisahan dan ketegangan emosi. Jarang sangat untuk dia mengambil ubat tersebut ketika dia dewasa berbanding sewaktu dia berada di pusat perlindungan kanak-kanak dahulu.
Namun begitu, disebabkan oleh keadaannya begitu teruk, dia perlu juga mengambil ubat itu. Setelah keadaannya menjadi terkawal sedikit, barulah dia dibawa oleh adiknya untuk mendapatkan rawatan psikoterapi.
Itulah yang membuatkan dua beradik tersebut tidak memberikan penghormatan terakhir buat almarhumah Mak Long Rauzah. Cukuplah sekali itu sahaja mereka berdua menghadap Mak Long Rauzah sehingga membuatkan Suhaibul Umar menjadi trauma.
“Adik… Jangan cakap macam tu. Allah dah tetapkan ajal mereka,” balas Suhaibul Umar dengan perlahan.
“Abang, kenapa kita perlu lalui keadaan macam ni?” soal Qistur Ruwaidah, sebak.
“Adik… Allah uji kita dalam keadaan kita mampu. Abang tahu adik rasa penat dan hampir putus asa tapi adik kena ingat, Allah sentiasa bersama kita. Sejak dari dulu. Emm… Pasal Kak Syita, sekarang juga abang kena ambil adik. Kita kena pergi hospital untuk proses pengecaman. Ada pihak polis menghubungi abang tadi,” balas Suhaibul Umar.
“Apa punca Kak Syita meninggal dunia?”
“Sama seperti keluarga kita dan Sufi. Kemalangan jalan raya tetapi cara kemalangan Kak Syita agak lain. Tak ada kenderaan yang langgar kereta Kak Syita. Tiba-tiba je kereta Kak Syita terbabas masuk kat dalam parit. Agak dalam juga parit tu. Pihak polis dan forensik masih buat siasatan.”
Qistur Ruwaidah terduduk di kaki lima itu. Surah al-Fatihah disedekahkan buat sang sepupu itu.
SUHAIBUL UMAR dan Qistur Ruwaidah bangkit dari tempat duduk setelah mereka berdua usai menghadiahkan Surah Yaasin kepada sepupu mereka itu. Pusara Pak Long Megat Arif dan Mak Long Rauzah bersebelahan dengan Puteri Masyitah.
Hasil bedah siasat yang dilakukan oleh pihak hospital, punca kematian Puteri Masyitah disebabkan penyakit skizofrenia yang dihadapi olehnya sewaktu dia sedang memandu dan menyebabkan dia hilang kawalan berdasarkan dos ubat yang ditelan secara tidak terkawal ke dalam tubuhnya itu.
“Adik okey?” tanya Suhaibul Umar setelah mereka berdua melangkah masuk ke dalam perut kereta.
“Alhamdulillah. Adik okey je. Emm… Rezeki Kak Syita dikebumikan sebelah Pak Long dan Mak Long, kan,” balas Qistur Ruwaidah.
“Alhamdulillah. Rezeki Kak Syita. Nampaknya keluarga sebelah baba dah tak ada sesiapa lagi yang hidup.”
Arwah Mak Long Rauzah dan Encik Isyraf Imrani merupakan dua beradik sahaja dan kedua-dua ibu bapa mereka berdua juga telah meninggal dunia sejak sebelum Encik Isyraf Imrani berkahwin dengan Puan Mahfuzah. Jadi, Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah tidak pernah melihat datuk dan nenek mereka.
Kereta Suhaibul Umar mula meninggalkan tempat persemadian itu. Dalam perjalanan, masing-masing diam membisu. Qistur Ruwaidah membuang pandangan ke luar jendela kereta abangnya itu manakala Suhaibul Umar sedang fokus dengan pemanduannya.
Tiba-tiba Suhaibul Umar bersuara. “Adik…” panggilnya.
“Ya abang,” respons Qistur Ruwaidah. Dia mula memfokuskan kepada abangnya itu.
“Boleh abang kongsi sesuatu pasal Kak Syita?”
“Ada apa-apa yang adik tak tahu pasal Kak Syita ke?”
“Emm… Bukanlah niat abang nak burukkan Kak Syita tapi ada sesuatu pasal Kak Syita yang abang rasa, sepatutnya adik berhak untuk tahu. Sebenarnya abang tahu dah lama tapi abang tak sampai hati nak beritahu adik. Abang simpan lama sangat. Masa tu, umur abang 17 tahun.”
“Sesuatu yang negatif?”
“Lebih kurang macam tulah. Adik rasa adik okey tak nak tahu apa yang abang akan sampaikan ni?”
“Insya-Allah. Adik rasa adik okey. Kalaulah apa yang adik akan tahu ni akan buat adik marah, apa adik boleh buat? Kak Syita pun dah tak ada.”
“Okey. Ni apa yang abang nak kongsi.”
Empat tahun lepas…
Ketika itu, kelihatan Puteri Masyitah sedang menunggu kehadiran Suhaibul Umar di luar asrama lelaki Sekolah Menengah Islam Bisyrunnadwi (SMIB).
Suhaibul Umar masih ingat lagi bahawa sepupunya itu mahu sangat berjumpa dengan dirinya.
“Kenapa Kak Syita nak jumpa Suhaib?” tanya Suhaibul Umar.
“Sebelum tu, Kak Syita nak minta maaf,” jawab Puteri Masyitah. Nadanya menjadi serba salah.
Permohonan maaf perempuan itu membuatkan Suhaibul Umar agak terkejut. “Eh, kenapa Kak Syita tiba-tiba nak minta maaf pula ni!”
“Kak Syita tahu apa yang Kak Syita nak terangkan ni akan buat Suhaib marah nanti.”
“Sekejap. Apa maksud Kak Syita ni? Suhaib tak faham.”
“Suhaib masih ingat tak kali pertama Kak Syita ternampak Suhaib dan Qist kena dera dulu?”
Suhaibul Umar tersentak seketika, namun dia mengangguk perlahan. Mana mungkin dia lupa akan itu, termasuklah adiknya dipaksa memegang ikan goreng yang baru dikeluarkan dari kuali di atas kedua-dua belah telapak tangan.
“Mesti Suhaib pelik Kak Syita tak selamatkan Suhaib dan Qist lepas Kak Syita nampak semuanya, kan? Sepatutnya, penderitaan Suhaib dan Qist berakhir pada hari tu,” Puteri Masyitah mula membuka kisah itu semula.
“Suhaib tak berapa ingat apa yang berlaku. Masa tu, Suhaib terlalu sakit lepas Mak Long simbah air panas tapi Suhaib ingat, Kak Syita bergaduh dengan Mak Long. Cuma, pasal apa, Suhaib tak faham dan Suhaib tak ingat pun tapi Suhaib ingat Kak Syita ada sebut perkataan ‘dera’. Lepas dari hari tu, Suhaib dan adik dah tak nampak Kak Syita. Lama Kak Syita tak balik rumah,” terang Suhaibul Umar.
“Ni yang Kak Syita nak terangkan apa yang berlaku waktu tu. Sebelum tu, sekali lagi Kak Syita nak minta maaf. Emm… Masa tu…”
Akhirnya, Puteri Masyitah mula membuka cerita pada hari dia menyaksikan Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah didera oleh ibunya sendiri.
Tatkala Suhaibul Umar mengetahui keseluruhan kisah, dia tercengang. Pada mulanya, sukar untuk dia percaya dengan apa yang diperkatakan oleh sepupunya itu. Patutlah sepupunya buat tidak endah tatkala dia dan adiknya merayu-rayu kepada sepupunya tika itu. Mana mungkin dia lupa, dia dan adiknya memegang kaki Puteri Masyitah untuk meminta bantuan tetapi sepupunya itu menepis pelukan di bahagian kaki yang diberikan oleh dia dan adiknya.
Barulah kini Suhaibul Umar mengerti tindakan Puteri Masyitah yang tidak berhati perut itu. Barulah juga kini dia mengerti akan tindakan sepupunya itu sudah lama tidak pulang ke rumah pada cuti umum, termasuklah Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha di saat dia dan adiknya sangat memerlukan sang sepupu itu.
Setelah mendengar penerangan Puteri Masyitah itu, langkah Suhaibul Umar mula berundur ke belakang sedikit. Dia menggenggam tangannya menahan amarah sambil menundukkan wajahnya. Dia membalas dengan nada perlahan. “Jadi, Kak Syita pilih Mak Long semata-mata demi kepentingan Kak Syita tak nak ambil pinjaman dan Kak Syita sanggup biarkan kita orang terseksa dan hampir mati?”
Itulah konklusi yang mudah difahami oleh Suhaibul Umar.
Kelihatan Puteri Masyitah sudah menangis apabila mendengar kata-kata sepupunya itu. “Ma… Maafkan Kak Syita, Suhaib.”
“Patutlah Kak Syita lama tak balik termasuk hari raya. Punyalah Suhaib dan adik tertanya-tanya ke mana Kak Syita menghilang. Rupanya Mak Long tak bagi Kak Syita balik. Apa Kak Syita fikir masa tu ya? Satu lagi, memang Kak Syita ada bagi kat kita orang duit belanja walaupun tak cukup dan memerlukan kita orang berjimat cermat dengan ikat perut waktu tu tapi kami tetap bersyukur juga. Barulah Suhaib faham. Kak Syita rasa serba salah rupanya!” jelas Suhaibul Umar penuh emosi.
Puteri Masyitah cuba menghampiri sepupunya itu, namun sepupunya itu semakin mengundurkan langkahnya. “Jangan dekat dengan Suhaib! Kita bukannya mahram pun kalau Kak Syita nak peluk Suhaib! Kak Syita pun tahu kulit Suhaib mengalami kecacatan kekal akibat perbuatan Mak Long dulu!” bentak Suhaibul Umar.
“Su… Suhaib…” panggil Puteri Masyitah dalam tangisan sedu-sedan.
“Kak Syita pun dah dapat apa yang Kak Syita nak! Dah jadi graduan universiti tu pun. Puas hati, kan! Kenapa Kak Syita nak tambah luka Suhaib pula!”
Khali. Kedengaran suara Puteri Masyitah masih lagi menangis. Suhaibul Umar hanya melihat sepupunya itu dan tidak bertindak apa-apa. Setelah reda tangisan Puteri Masyitah itu, dia cuba menerangkan keadaan sebenar.
“Suhaib, Kak Syita dah terima balasan di atas pilihan Kak Syita tu. Kak Syita kena ulang subjek banyak kali sehingga Kak Syita dibuang dari universiti tu. Kak Syita tak sempat jadi graduan pun. Kak Syita disahkan ada penyakit skizofrenia lepas Mak Long masuk penjara.”
Kelihatan Suhaibul Umar mula mengendurkan suaranya apabila dia mendengar nama penyakit yang dihadapi oleh sepupunya itu. “Skizofrenia?”
“Salah satu penyakit mental disebabkan fikiran bercelaru. Kadang-kadang tindakan dan perasaan Kak Syita jadi tak betul. Setiap kali penyakit tu datang serang Kak Syita, Kak Syita suka memencilkan diri dan berkhayal. Satu lagi, penyakit tu akan buat emosi Kak Syita tak stabil dan Kak Syita tak boleh stres,” terang Puteri Masyitah.
“Kak Syita, maafkan Suhaib sebab Suhaib tak cuba nak faham Kak Syita tapi… Suhaib tak boleh terima alasan Kak Syita pilih Mak Long. Kalau Suhaib kat tempat Kak Syita waktu tu, Suhaib lebih rela ambil pinjaman dan biarlah Mak Long tak tanggung Suhaib pun. Suhaib sendiri akan heret Mak Long kat balai polis. Itu lebih baik.”
“Mana ada seorang anak sanggup hantar ibunya ke muka pengadilan.”
“Dan Kak Syita sanggup biarkan kita orang hampir mati, hanya sebab Suhaib dan adik sepupu Kak Syita? Kak Syita sanggup biarkan kita orang diseksa bertalu-talu tanpa belas kasihan selama empat tahun dulu? Kalau almarhum Pak Long masih ada, Suhaib tahu Mak Long takkan buat macam tu walaupun dia tak sukakan kita orang. Suhaib tahu sejak dulu sebab Mak Long tak pernah kisahkan kita orang. Hanya Pak Long je sudi tanya keadaan kita orang. Sampai sekarang Suhaib pelik, kenapa dia tak suka kita orang? Sedangkan baba kita orang adik Mak Long. Apa alasan Mak Long untuk dia nak benci dan seksa kita orang? Kak Syita ada jawapan untuk tu?”
Puteri Masyitah terdiam. Apa yang dituturkan oleh seorang remaja berumur 17 tahun itu semuanya benar, bahkan lebih matang daripada dirinya.
“Kenapa Kak Syita diam? Kak Syita tak ada jawapan untuk tu? Macam nilah Kak Syita. Suhaib tak nak bermusuhan dengan Kak Syita walaupun apa yang Suhaib tahu tadi sesuatu yang menyakitkan hati dan jasad Suhaib. Suhaib tak ada masalah nak terus berhubung Kak Syita tapi cukuplah kita berdua je yang tahu tanpa melibatkan adik. Adik sangat sayangkan Kak Syita macam mana dia sayangkan almarhumah Dik Qina. Kalau dia tahu pasal ni, luka hati dia akan lebih mendalam berbanding Suhaib,” ucap Suhaibul Umar.
“Emm… Apa yang Suhaib cakap, semuanya betul. Kak Syita tak nafikan. Kak Syita tahu ni semua salah Kak Syita. Kak Syita ingatkan waktu tu merupakan penyelesaian terbaik untuk Kak Syita. Pasal Qist, memang Kak Syita tahu dia sayang Kak Syita. Kak Syita tak ada masalah kalau Suhaib nak beritahu Qist pasal tu dan dia akan benci Kak Syita. Itulah selayaknya hukuman yang perlu Kak Syita terima di atas pilihan Kak Syita dulu,” balas Puteri Masyitah.
“Satu hari nanti, Suhaib akan beritahu juga kat adik tapi mungkin lepas Kak Syita dah tak ada atau adik tahu sendiri daripada Kak Syita lepas Suhaib pergi. Kak Syita… Suhaib nak balik asrama dulu. Maafkan Suhaib di atas ketelanjuran Suhaib. Assalamualaikum.”
Tanpa menunggu balasan sepupunya itu, Suhaibul Umar meneruskan langkahnya untuk kembali ke asrama lelaki SMIB. Dia tidak betah untuk berlama-lama dengan sepupunya itu. Hatinya terlalu sakit.
Puteri Masyitah tersentak di atas tindakan sepupunya itu walaupun dia tidak sepatutnya berperasaan demikian. Dia tahu sepupunya sudah cukup terluka selepas sepupunya mengetahui akan semua ini, namun dia bersyukur Suhaibul Umar tidak melakukan sebarang tindakan terhadap dirinya. ‘Waalaikummussalam Suhaib. Maafkan Kak Syita,’ bisik hatinya.
Usai Suhaibul Umar menceritakan peristiwa empat tahun yang lalu kepada adiknya, Qistur Ruwaidah tergamam seketika. “Adik tak percaya tu alasan Kak Syita tak selamatkan kita dulu. Kak Syita tak nak buat sebarang pinjaman kalau dia pilih kita? Biar betul!”
“Mula-mula abang dapat tahu dulu, abang pun tak percaya tapi tak apalah, adik. Dah takdir kita nak kena hadap kehidupan macam tu dulu. Kita serahkan pada masa je sekarang,” kata Suhaibul Umar.
“Apabila adik tahu, memang adik kecewa dan marah sebab tak logik dek akal. Patutlah abang tak banyak cakap dengan Kak Syita kalau kita jumpa atau keluar jalan-jalan dulu tapi adik kagum dengan abang sebab abang sanggup ketepikan rasa sakit hati abang demi adik. Abang tahu adik sangat sayangkan Kak Syita. Terima kasih abang,” ucap Qistur Ruwaidah.
“Sama-sama adik. Tak ada apalah. Abang fikir adik je supaya adik sentiasa rasa bahagia dan gembira sebab abang tak nak lagi adik rasa sedih atau terseksa macam dulu. Sebab apa? Adik amanah abang. Amanah dari Allah dan juga arwah mama baba yang abang perlu jaga. Selama-lamanya, adik tetap insan yang paling abang sayang tapi abang sedar, satu hari nanti, adik tetap akan tinggalkan abang sama ada adik kahwin atau adik pergi dulu daripada abang,” kata Suhaibul Umar, tenang.
Qistur Ruwaidah sebak mendengar ayat abangnya itu. Apa yang dituturkan oleh abangnya itu benar-benar membuatkan dirinya terpukul. Mengapakah dia perlu menagih cinta daripada seorang lelaki yang bukan sesiapa untuk dirinya? Sedangkan dia mempunyai seorang abang yang sangat penyayang dan sanggup berkorban apa sahaja demi dirinya sejak dahulu lagi. Saat itu, dia tidak mahu mengingati Abdul Azim lagi biarpun adakalanya bayangan lelaki itu menerjah dalam fikirannya.
Tiba-tiba Suhaibul Umar memberhentikan keretanya di hadapan sebuah kafe. Qistur Ruwaidah termangu-mangu. “Abang nak buat apa kat sini?” tanyanya.
“Jom makan kat kafe ni. Tiba-tiba abang teringin nak makan lasagna dan minum coklat panas. Lama tak lepak sini,” terang Suhaibul Umar.
“Err… T… Tak apa ke kita makan sini? Kan mahal harganya.”
“Tak apalah adik. Sekali dalam setahun je pun. Insya-Allah, duit biasiswa abang lebih dari cukuplah nak belanja adik. Jangan risau.”
Akhirnya, Qistur Ruwaidah akur akan kata-kata abangnya itu. ‘Moga Allah murahkan rezeki abang. Amin!’
TAHUN KEDUA SEMESTER TIGA SESI 2014/2015
“Dayah, kau nak tanya apa pasal subjek BTQ?” tanya Qistur Ruwaidah. Anginnya sudah baik.
“Eh? Tadi, kau kata kau tak ada mood. Kau betul-betul dah okey ke ni?” kata rakan sebiliknya, Norhidayah.
“Alhamdulillah. Aku dah okey. Maaflah pasal tadi. Aku risau pasal semester akhir aku kat sini. Entahlah aku akan berjaya atau tak sebab subjek-subjek BAR semester akhir ni agak mencabar untuk aku. Lagi-lagi subjek BMW. Aku pun rasa kau tahu susahnya subjek tu. Bezanya, aku belajar dalam bahasa Arab. Kau pula belajar dalam bahasa Inggeris,” cerita Qistur Ruwaidah.
BMW merupakan nama singkatan bagi subjek Basic Research Methods and Report Writing. Subjek ini diajar untuk menulis kajian dan laporan secara asas. Meskipun asas, tetap ada kesukarannya.
“Aku faham. Apabila kau cakap macam tu, aku pun rasa cuak. Memang BMW subjek killer. Apa-apa pun, aku harap kita sama-sama lulus subjek tu. Aku tak fikir gred A dah. Asalkan cukup makan, dah cukup baik untuk aku. Janji lulus,” kata Norhidayah.
“Itulah. Aku fikir macam kau je sekarang. Tak ada maknanya nak fikir gred A,” balas Qistur Ruwaidah.
“Ha Qist. Aku nak tanya pasal subjek BTQ. Topik I’badurrahman.”
“Allah... Lamanya aku tak dengar pasal I’badurrahman. Rindu pula. Okey, kau nak tanya apa?”
“Ada beberapa perkataan yang aku tak faham. Nak minta kau terjemahkan.”
Lalu, Qistur Ruwaidah mula membantu sahabatnya itu dengan sepenuh hatinya memandangkan subjek BTQ itu merupakan subjek kegemarannya suatu ketika dahulu.
Bulan berganti bulan, Qistur Ruwaidah telah menemui hikmahnya mengapa Allah menempatkan dirinya dalam Asasi Undang-Undang (LAWS) terlebih dahulu sebelum dia berpindah ke jurusan Asasi Bahasa Arab (BAR). Juga, tempoh pengajiannya selama dua tahun di pusat asasi tersebut.
Allah hendak mengajarkannya rasa menghargai pada tempat pengajian tersebut dan dia telah mencintai tempat pengajiannya itu sepenuh hatinya tanpa sebarang paksaan.
Dia masih ingat lagi hari pertama dia mendaftarkan dirinya sebagai seorang mahasiswi.
“Adik tak rasa adik boleh buat. Adik rasa diri adik tak layak masuk sini,” luah Qistur Ruwaidah.
“Shhh... Adik jangan cakap macam tu. Allah dah takdirkan untuk adik berada kat CFS ni. Insya-Allah, adik akan menemui hikmahnya nanti mengapa Allah tempatkan adik kat jurusan LAWS,” Suhaibul Umar cuba mengembalikan adiknya ke alam realiti.
Mengingatkan semula momen itu, Qistur Ruwaidah tersenyum. ‘Mengadanya aku masa tu. Mujurlah Abang Suhaib layan je. Sabarnya abang kat aku ya.’
Dia juga tidak lupa akan pemergian Sufi Waazin, Mak Long Rauzah dan Puteri Masyitah pada tahun yang sama, iaitu tahun lepas. Tahun lepas benar-benar mencabar jiwa dan mentalnya.
Tambahan pula, sejak dia mengetahui bahawa Sufi Waazin mempunyai perasaan terhadapnya setelah lelaki itu pergi, itu paling melukakan hatinya, namun dia tidak pernah memberitahu luahan almarhum jejaka itu kepada abangnya. Juga, dia tidak pernah membuka cerita tentang Abdul Azim.
Bukan kerana dia tidak mempercayai abangnya tetapi isu perasaan itu acap kali menyakitkan hatinya sehingga dia tidak mahu abangnya merasai kesakitannya. Cukuplah dahulu abangnya sudah terlalu menderita akan dirinya sendiri dan juga buat dirinya. Dia tidak mahu menambah kelukaan abangnya itu.
“Lagi dua bulan aku nak tamat belajar kat CFS ni. Ya Allah, pantasnya masa berlalu! Rasa macam aku baru je daftarkan diri kat sini. Semoga perjalanan aku untuk ke ijazah dipermudahkan. Amin!”
Apabila wujudnya watak Mohamad Salahuddin ini, maka rasanya tuan penulis sudah boleh isytiharkan perang dingin di antaranya dan watak Abdul Azim. Kah!
Share this novel