“HABIBI… Terima kasih untuk percutian bulan madu kita. Ni pun dah buat sayang gembira sangat. Ah, tak sabar nak tingkatkan kemahiran sayang sebagai isteri habibi,” luah Qistur Ruwaidah setelah dia dan suaminya tiba di rumah.
Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin berbulan madu buat kali kedua. Kali ini, mereka berbulan madu di salah sebuah hotel terkemuka sekitar ibu kota Kuala Lumpur selama tiga hari dua malam.
Mohamad Salahuddin menghadiahkan senyuman. Tenang hatinya melihat senyuman isterinya yang begitu menenangkan jiwanya. Senyuman isterinya benar-benar mengingatkan dirinya sewaktu hari akad nikah mereka berdua pada 1 September 2016, yakni tahun lepas. “Sama-sama sayang. Insya-Allah kita akan jadi insan lebih baik dan semakin akrab dengan Allah.”
“Amin ya Rab… Habibi nak makan apa-apa?” ujar Qistur Ruwaidah.
Mohamad Salahuddin menggeleng kepalanya. “Kenyang lagi, sayang. Habibi cuma nak rehat je dulu.”
Qistur Ruwaidah nampak wajah suaminya pucat lesi. Tanpa sepatah bicara, dia terus memapah suaminya.
“S… Sayang,” luah Mohamad Salahuddin.
“Habibi nampak tak sihat. Tu yang sayang papah habibi ni. Habibi kena rehat cukup-cukup. Hari ni, kita dah ponteng kelas. Esok, kita sama-sama nak kena masuk kelas balik,” luah Qistur Ruwaidah.
Mohamad Salahuddin diam membisu. Dia hanya menuruti setiap langkah isterinya. Memang dia sendiri tidak berdaya untuk berjalan. Tubuhnya lemah longlai. Entah mengapa…
Akhirnya, Qistur Ruwaidah memapah suaminya sehingga Mohamad Salahuddin dapat berbaring di atas katil dengan penuh selesa. Dia menyelimuti suaminya denga penuh kasih.
“Okey. Selamat berehat ya, habibi. Sayang nak kena siapkan tugasan,” beritahu Qistur Ruwaidah sambil mengusap rambut suaminya.
Mohamad Salahuddin mengangguk perlahan. Akhirnya, matanya terpejam dengan penuh rasa nikmat.
‘Alhamdulillah. Habibi dah tidur. Moga habibi pulihlah esok,’ bisik hati Qistur Ruwaidah seraya mengucup dahi suaminya.
Tugasan yang sudah dibiarkan selama beberapa hari, segera disempurnakan dengan penuh kesungguhan. Dia tidak mahu gara-gara bergolaknya rumah tangga selama beberapa minggu ini, dia gagal untuk berlaku adil sebagai seorang isteri dan siswi. Dia tahu dia perlu bijak bagi menggalas kedua-dua tanggungjawab tersebut.
‘Ya Allah, aku mohon kekuatan dari-Mu. Tanpa Kau, siapalah aku sebagai hamba-Mu. Aku ingin bergraduasi dengan jayanya dan tepat pada waktu seperti Abang Suhaib dan kawan-kawan aku yang lain,’ bisik hati Qistur Ruwaidah.
PADA keesokan harinya…
“Din!” panggil seseorang dari belakang kepada Mohamad Salahuddin setelah tamatnya kuliah Land Law I.
Mohamad Salahuddin menoleh ke belakang. Kelihatan Alia Najiha, salah seorang rakan sekelasnya merangkap bekas rakan sekelas isterinya juga di Centre for Foundation Studies, International Islamic University Malaysia, Petaling Jaya (CFS IIUM PJ) sedang berdiri di belakangnya bersama kuntuman senyuman.
“Ya Alia?” balas Mohamad Salahuddin tanpa senyuman. Wajahnya begitu serius. Dia tidak akan sesekali menunjukkan senyumannya yang cukup menawan melainkan hanya buat isteri tercinta, Qistur Ruwaidah. Dirinya cukup eksklusif untuk bidadarinya sahaja.
“Qist apa khabar? Lama tak dengar khabar dia,” ujar Alia Najiha.
“Oh, Qist… Alhamdulillah dia sihat je. Kenapa kau nak jumpa aku? Aku tak boleh lambat sebab sekejap lagi, aku ada urusan lain,” balas Mohamad Salahuddin.
Tiba-tiba tangan Alia Najiha menghulurkan sebuah buku ke arah Mohamad Salahuddin. “Sebelum kau tahu sesuatu daripada orang lain, aku rasa lebih baik kau tengok isi dalam buku ni. Ni buku Qist. Buku ni dah lama ada dalam simpanan aku tapi kau bacalah nanti. Kau pun cakap kau tak boleh lambat.”
Wajah Mohamad Salahuddin sedikit berubah. “Kenapa kau bagi aku? Kenapa kau tak bagi sendiri kat Qist?”
“Kan kau suami Qist. Lagipun, dah aku satu kelas dengan kau. Senang bagi kat kau terus tapi Din… aku minta sangat kau baca isi dalam buku ni. Penting untuk kau. Ada perkara yang kau perlu tahu pasal Qist daripada buku ni. Dia banyak berahsia dengan kau,” bersungguh-sungguh Alia Najiha memujuk agar siswa itu mengambil buku tersebut tanpa banyak tanya lagi.
Melihatkan kesungguhan siswi tersebut, akhirnya Mohamad Salahuddin mengambil juga buku tersebut daripada Alia Najiha. Dirinya mula berasa gelisah. Adakah Qistur Ruwaidah masih menyembunyikan sesuatu yang tidak diketahui oleh dirinya? Tidak mahu berlama-lama dengan rakan sekelasnya itu, dia terus meminta izin untuk pulang.
Alia Najiha mengangguk bersama senyuman sinis setelah siswa itu hilang dari pandangannya. “Heh! Kau tunggu jelah sejauh mana kau boleh pertahankan cinta kau, Mohamad Salahuddin. Kau ingat, kau boleh terus bahagia dengan Qist? Betina tu tak layaklah untuk kau!” bicaranya sendirian.
Imbau kembali peristiwa di antara Alia Najiha dengan Qistur Ruwaidah di CFS IIUM PJ dulu berkenaan buku yang dipegang oleh Mohamad Salahuddin itu…
“Nah,” kata Qistur Ruwaidah seraya menyerahkan sebuah buku kepada kawannya itu.
“Buku apa ni?” soal Alia Najiha.
“Diari. Masa aku suka Azim dulu, mesti aku tulis apa je yang aku rasa kat dia dalam diari ni.”
“Tapi… Kenapa kau bagi diari ni kat aku? Kau nak aku suruh aku buat apa dengan diari ni?”
“Aku nak kau bakar, buang, kitar semula atau buat je macam mana pun. Aku tak ada kekuatan nak hapuskan diari ni. Tolong ya, Alia? Aku percayakan kau.”
Melihatkan sebuah pengharapan daripada Qistur Ruwaidah itu, Alia Najiha bersetuju untuk menerima diari tersebut. “Okeylah. Aku akan uruskan diari kau ni. Jangan risau. Kau boleh percayakan aku.”
Terkenangkan kembali akan pertemuan Alia Najiha dengan siswi itu dulu, dia ketawa dengan penuh sinis. Sudah lama dia cuba memasang perangkap, namun dia tiada idea. Akan tetapi, perkahwinan yang dibina oleh Qistur Ruwaidah bersama Mohamad Salahuddin telah memberikan idea buat Alia Najiha bagi memerangkap bekas rakan sekelasnya itu. Lebih mudah, apabila Qistur Ruwaidah berkahwin pula dengan Mohamad Salahuddin selaku rakan sekelasnya sejak di CFS IIUM dan UIAM Gombak ini.
‘Qist… Qist… Bodohnya kau percayakan aku. Kau ingat aku nak hapuskan diari yang kau pernah bagi tu? Silap besarlah. Sekarang, diari tu dah ada kat tangan Din. Aku pasti Din takkan senang duduk bila dia baca luahan kau untuk Azim dalam diari tu. Tamak juga ya kau. Kau nak Azim, Din pun kau nak. Mentang-mentanglah kau dah tukar daripada LAWS ke BAR, terus kau lupakan aku. Kau ingat aku tak tahu kau rapat dengan Tihaani? Budak MUA popular tu. Sedangkan, akulah kawan yang kau rapat dulu sebelum Tihaani tu! Aku yang patut jadi pengapit kau! Bukannya perempuan tu!’ bisik hati Alia dengan penuh marah.
Masakan Qistur Ruwaidah hendak melupakan Alia Najiha? Dia tidak pernah melupakan siswi itu yang banyak menemani perjalanannya sehinggalah dia bertukar jurusan daripada Asasi Undang-Undang (LAWS) kepada Asasi Bahasa Arab (BAR). Namun, dek kerana perbezaan jurusan dan kulliyyah (fakulti), membuatkan Qistur Ruwaidah tidak rapat lagi tetapi dia tidak pernah melupakan gadis itu. Kalau tidak, dia tidak akan menjemput Alia Najiha ke majlis kesyukurannya.
Sebenarnya, silapnya juga Qistur Ruwaidah kerana bagaikan membuang Alia Najiha dari kehidupannya sebagai kenalan terawalnya.
Meskipun begitu, Alia Najiha tidak pernah bersuara berkenaan hal tersebut kepada Qistur Ruwaidah dan membiarkan dendam membaluti dirinya. Tambahan pula, dia tidak menghadiri ke majlis kesyukuran Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin kerana hatinya sakit. Memang dia menantikan masa bagi menghancurkan kehidupan siswi itu. Moga Mohamad Salahuddin akan terus menceraikan Qistur Ruwaidah setelah membaca diari tersebut.
‘Kau lupa diri, kan Qist? Kau buat aku macam dah tak wujud dalam hidup kau, kan? Tunggu jelah nasib kau. Moga kau jadi jandalah lepas Din baca diari kau. Aku takkan biarkan kau hidup dengan aman. Aku tak sabar nak tengok rumah tangga kau hancur!’ bisik hati Alia Najiha.
SEMENTARA Mohamad Salahuddin menunggu kehadiran Qistur Ruwaidah yang masih berada di perpustakaan lebih kurang setengah jam lagi, dia mengambil kesempatan untuk membaca diari milik Qistur Ruwaidah itu.
Sentiasa diingati… Abdul Azim bin Uthman. Diari ini merupakan coretan aku buat dia yang berjaya mencuri hatiku.
“Azim? Apa benda yang aku tengah baca ni?” ujar Mohamad Salahuddin sendirian seraya menyelak ke halaman seterusnya.
Khamis, 20 Jun 2013
Abdul Azim bin Uthman… Menarik juga bila aku terpandangkan dia buat kali pertama. Walhal, aku baru je beberapa hari jadi kawan sekelas dia. Adakah ini dipanggil cinta? Aip! Jangan nak gatal ya, Qist. Kau baru je daftar masuk asasi. Nak terjebak pula dengan soal perasaan. Tak patut, tak patut… Perjalanan kau masih panjang ya. Ingat kat Abang Suhaib yang dah banyak berkorban untuk kau.
Alangkah terkejutnya Mohamad Salahuddin tatkala dia membaca isi kandungan diari yang ditulis oleh isterinya. Semuanya berkenaan Abdul Azim.
Namun, dia masih menggagahkan diri untuk menyelak ke halaman-halaman seterusnya sehinggalah halaman terakhir coretan diari yang telah dikarang oleh isterinya beberapa tahun yang lalu buat jejaka yang kini sedang koma dan juga, pernah menjadi persaingannya.
Sabtu, 15 Mac 2014
Azim… Aku teringat pula momen bila aku hadiahkan bekas alat tulis kat kau dalam beberapa minggu lepas. Masa tu, aku nampak kau gembira sangat tapi… aku tak tahu sama ada kau suka ke tak kat aku. Pelik, kan? Aku rasa aku terhegeh-hegeh sangat tapi aku betul-betul suka kat kau! Azim… Salah ke aku nak terus suka kat kau?
Hati Mohamad Salahuddin membentak kecewa. ‘Apa semua ni, sayang! Apa yang habibi baca ni! K… Kenapa semua ni pasal Azim! Argh! Selama ni, sayang berlakon sebab nak balas dendam kat Azim yang pernah tolak perasaan sayang dengan mempergunakan habibi ke! D… Dasar kau tak guna, Qistur Ruwaidah. Tunggulah nasib kau kat rumah! Huu… Tenang, Din. Tenang… Bini aku ni memang nak kena diajar macam hari tu.’
Hati Mohamad Salahuddin kian bersangka buruk terhadap kejujuran hati Qistur Ruwaidah dalam menerima cintanya dan setelah mereka berdua berkahwin sehingga ke hari ini. Dia beranggapan bahawa isterinya masih mencintai Abdul Azim. Walaupun setiap tarikh yang dicoret oleh isterinya dalam diari itu sudah lama tetapi dia tetap meragui ketulusan hati isterinya.
Tidak lama kemudian, kedengaran pintu kereta diketuk oleh Qistur Ruwaidah. Mohamad Salahuddin tersentak. Dia segera menyorokkan diari itu di bahagian poket yang berada di belakang tempat duduk pemandu. Kemudian, dia menekan punat bagi membuka pintu kereta.
“Assalamualaikum habibi,” ucap Qistur Ruwaidah dengan ceria seraya mengucup tangan suaminya.
“Waalaikummussalam sayang,” balas Mohamad Salahuddin seraya tersenyum hambar. Dia merasakan bahawa isterinya sedang berbohong dan berlakon seolah-olah isterinya tidak menduakan perasaan. Keretanya mula meninggalkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bersama hati yang cukup perit.
Sepanjang dalam perjalanan, Qistur Ruwaidah terperasan bahawa suaminya hanya menjawab sepatah tatkala dia membuka apa-apa topik perbualan.
“Habibi okey tak ni?” soal Qistur Ruwaidah.
Ikutkan hati Mohamad Salahuddin, dia malas untuk melayan pertanyaan isterinya, namun digagahkan jua. Akan tetapi, tunggulah nasib isterinya di rumah. “Emm… Okey je. Kenapa?”
“Tak adalah… Sebab nampak habibi macam tak okey. Habibi jawab sepatah je bila sayang tanya habibi. Habibi tak sihat lagi ke?”
“Taklah. Habibi dah sihat. Cuma, habibi letih dengan kelas tadi. Banyak tugasan yang nak kena hantar dalam dua minggu lagi. Biasalah. Dah nak habis semester, kan?”
Qistur Ruwaidah memegang tangan kiri suaminya. “Habibi… Kalau ada apa-apa masalah, beritahulah. Sayang ni isteri habibi. Apa gunanya sayang kahwin dan ada untuk habibi kalau habibi tak nak kongsi masalah dengan sayang.”
Berdesing telinga Mohamad Salahuddin tatkala mendengar ayat terakhir isterinya. ‘Apa guna? Untuk kepentingan peribadi kaulah, perempuan! Kau gunakan aku untuk balas dendam kat Azim, sedangkan kau masih ada hati kat jantan tu, kan! Buat-buat tak tahu pula!’ bentak hatinya. Lalu, dia membalas. “Sayang… Habibi tak pernah berahsia apa-apa dengan sayang. Sayang jangan risau ya. Kalau habibi ada masalah, habibi akan beritahu sayang. Habibi janji.”
Tatkala itu, Qistur Ruwaidah memandang tepat ke arah anak mata suaminya. Anak mata Mohamad Salahuddin menggambarkan kepalsuan yang cukup mendalam. Dia tahu nalurinya sebagai seorang isteri tidak pernah salah terhadap kekasih yang amat dicintainya itu, namun dia membisukan diri dan membiarkan suaminya bertenang terlebih dahulu.
Sesampai pasangan itu di rumah…
“Sayang masuklah dulu. Habibi nak lepak dalam kereta sekejap,” ujar Mohamad Salahuddin.
“Okey habibi. Habibi nak makan apa?” balas Qistur Ruwaidah.
“Apa-apa je.”
Setelah Qistur Ruwaidah meninggalkan perut kereta…
‘Kau ingat kau boleh lari daripada aku, Qist? Tak ada siapa-siapa boleh miliki kau kecuali aku! Aku takkan lepaskan kau! Aku ‘zauj’ kau!’ bisik hati Mohamad Salahuddin bersama ekoran matanya tidak lepas dari memandang isterinya itu. Abdul Azim takkan boleh memiliki isterinya. Akan dia pastikan Qistur Ruwaidah sentiasa ‘diikat’ oleh dirinya tidak kira di mana sahaja.
Lalu, Mohamad Salahuddin mengambil semula diari yang tersemat di poket belakang tempat duduk pemandu. ‘Memang kau tak guna, Qistur Ruwaidah! Heh! Azim… Azim… Nasib baiklah kau tengah koma. Kalau tak, memang aku dah belasah kau. Kau dah buat apa kat isteri aku, ha! Sampai isteri aku tergila-gilakan kau walaupun dia dah kahwin dengan aku!’
Enjin kereta dimatikan bersama perasaan marah yang meluap-luap, namun ditahan dengan semampunya. Tunggu masa sahaja!
Setelah Mohamad Salahuddin melangkah masuk ke dalam rumah dan mengunci kekisi pintu, kelihatan isterinya sedang menyiapkan pakaian untuk dirinya yang akan dipakai untuk mengajar di tuisyen selepas solat maghrib nanti.
“Habibi… Nasi tengah masak. Lauk kita, ikan goreng, sambal belacan, timun dan ulam raja. Sekejap lagi, sayang goreng ikan kembung. Pakaian habibi untuk malam ni pun, sayang dah sediakan. Habibi mandilah dulu ya. Segar sikit,” balas Qistur Ruwaidah bersama kuntuman senyuman.
“Okey,” balas Mohamad Salahuddin. Kemudian, dia mencapai tuala yang tergantung di penyangkut tuala.
Kelihatan Qistur Ruwaidah menghilangkan diri di dapur. Mohamad Salahuddin mencampakkan tualanya di atas katil dan mengambil diari yang disoroknya. Lalu, dia menanggalkan tali pinggang yang sedang dipakai dan dipegang dengan penuh erat. Kemudian, dia menuju ke ruang tamu.
“Sayang! Datang kat sini sekejap!” panggil Mohamad Salahuddin.
Qistur Ruwaidah tersentak dengan panggilan suaminya. Sangkaannya suaminya sedang mandi. “Ya habibi. Sekejap! Sayang tengah goreng ikan. Dalam lima minit lagi sayang datang,” balasnya. Dah kenapa tiba-tiba habibi panggil aku? Ah, apa-apalah! Mesti ada perkara penting ni,” ujarnya sendirian.
Mohamad Salahuddin sabar menunggu isterinya sambil dia menggenggam erat tali pinggang itu. ‘Qistur Ruwaidah… Memang aku masih cintakan kau tapi bila kau bertindak melampaui batas sebagai isteri aku, kau terimalah akibatnya. Aku takkan biarkan kau hidup aman,’ bisik hatinya.
Tidak lama kemudian, Qistur Ruwaidah tiba di ruang tamu dengan terkocoh-kocoh. “Ya habibi? Maaf sayang baru je habis goreng ikan. Habibi dah lapar sangat ya?” respons Qistur Ruwaidah dengan penuh kelembutan.
Mohamad Salahuddin membangunkan dirinya dari sofa bersama sebuah tamparan yang sangat kuat di pipi isterinya.
PAP!
Qistur Ruwaidah tersentak. Betapa dia terkejut dengan tindakan suaminya itu. Adakah peristiwa itu bakal berulang kembali? Adakah makhluk halus itu kembali menguasai suaminya?
“Habibi… K… Kenapa tiba-tiba tampar sayang ni?” soal Qistur Ruwaidah ketakutan sambil dia memegang pipi kirinya. Terasa bisa tamparan itu. Matanya memandang wajah suaminya.
Wajah Mohamad Salahuddin berubah bengis. “Apa semua ni, Qist!” marahnya seraya mencampakkan diari tersebut tepat ke wajah isterinya.
Sekali lagi, Qistur Ruwaidah tersentak dengan tindakan suaminya. Tiba-tiba dia teringat akan guru sekolah rendahnya, iaitu Cikgu Mawar. Guru tersebut juga pernah bertindak dengan mencampakkan buku ke arah wajahnya.
Lalu, mata Qistur Ruwaidah memandang ke arah buku yang dicampakkan oleh suaminya itu dan diambilnya.
Buku ini….
Tatkala itu, baru dia teringat akan buku tersebut. Dia cukup kenal! Sebuah buku yang pernah dijadikan diari. Diari yang sudah lama lupus dari ingatannya. Semuanya berkaitan Abdul Azim di dalamnya.
Anehnya, dari mana suaminya mendapatkan diari yang berada di tangannya kini? Sedangkan, dia telah memberi kepada seseorang yang amat dia percayai agar orang itu menghapuskan diari tersebut.
Tiba-tiba dia teringat akan Alia Najiha, bekas rakan sekelasnya! Akan tetapi, takkanlah…
Alia Najiha mengkhianati dirinya? Mustahil orang lain terjumpa diari tersebut melainkan memang bekas rakan sekelasnya itu tidak menghapuskan diari tersebut.
“D… Dari ma… mana habibi dapat buku ni?” soal Qistur Ruwaidah dengan nada penuh ketakutan.
Senyuman sinis dihadiahi oleh Mohamad Salahuddin buat isterinya. “Aku dapat dari mana, tu tak penting. Oh, tahu pun takut. Heh! Bukulah sangat. Kau ingat aku tak tahu ni diari? Pasal Azim. Wah, hebat betul kau karang ayat-ayat jiwang untuk Azim! Nak termuntah aku baca. Sekarang ni, aku geram kat kau sebab kau masih ada hati kat jantan tu rupanya! Kau pilih aku sebab kau nak balas dendam kat Azim rupanya! Azim pernah tolak perasaan kau dan kau nak dia rasa balik apa yang kau rasa dengan cara kau pilih aku! Biar dia kecewa pula. Ceh! Bukannya kau ikhlas nak aku! Ah, dasar perempuan!”
Satu tamparan lagi yang diterima oleh Qistur Ruwaidah daripada suaminya sehingga dia terjatuh di atas lantai.
“Allah...” ucap Qistur Ruwaidah dengan perlahan. Kepalanya mula rasa berpinar-pinar.
Qistur Ruwaidah segera memandang suaminya. Wajahnya meminta simpati yang amat mendalam agar suaminya dapat mendengar penjelasannya terlebih dahulu berkenaan diari tersebut. “Habibi… Dengar dulu penjelasan sayang. Sayang boleh terangkan pasal diari tu.”
Tiba-tiba Mohamad Salahuddin merentap rambut isterinya. Qistur Ruwaidah menjerit sakit. Dia teringat akan perlakuan serupa itu yang pernah dilakukan oleh Mak Long Rauzah. “Habibi! S… Sakit!”
“Kau nak jelaskan apa lagi, perempuan! Memang kau masih ada hati kat jantan Azim tu, kan!” bentak Mohamad Salahuddin seraya melepaskan rentapan rambut sang isteri itu. Lalu, dia menyepak perut Qistur Ruwaidah dengan berkali-kali.
“S…Sakit…” luah Qistur Ruwaidah. Dia terbatuk-batuk sambil kedua-dua belah tangannya menahan kesakitan yang amat mendalam di bahagian perutnya. ‘A… Abang Suhaib, adik nak abang. D… Din…’ bisik hatinya.
Tidak cukup dengan itu, Mohamad Salahuddin mencapai tali pinggang yang diletakkan di atas meja bersama pegangan yang cukup erat.
Qistur Ruwaidah memandang suaminya dengan penuh ketakutan. Lalu, dia cuba bangkit untuk melarikan diri daripada dipukul oleh sang suami. Akan tetapi, kesakitan pada perutnya telah membataskan pergerakannya. “Habibi… Ja… Jangan… Tolonglah kesian kat sayang,” rayunya.
“Ke sini kau, betina! Sini!” bentak Mohamad Salahuddin. Lalu, dia menarik kaki kanan isterinya.
Tatkala Qistur Ruwaidah merasakan pukulan tali pinggang yang disajikan oleh suaminya itu… “Arghhhh! S… Sakit! Ja… Jangan pukul sayang!”
Mohamad Salahuddin tidak mempedulikan raungan Qistur Ruwaidah. Dia berterusan memukul tubuh isterinya dengan tali pinggang tersebut secara bertubi-tubi.
Dasar suami dayus!
Berkali-kali Qistur Ruwaidah meraung kesakitan. Raungannya tidak diendahkan dan dia pasrah apabila tubuhnya disakiti lagi oleh suaminya. ‘Ha...bi…bi, sa...yang s…sa... kit.’
Mohamad Salahuddin mencampakkan tali pinggang itu di atas lantai setelah dia puas mengerjakan isterinya. “Aku menyesal kahwin dengan kau, betina! Dasar betina tak tahu malu! Masih ada hati kat jantan Azim tu! Kalau aku tahu kau masih ada perasaan kat jantan tak guna tu, aku takkan teruskan perkahwinan nilah!” bentaknya seraya menunjal kepala isterinya itu.
Tangisan Qistur Ruwaidah semakin deras. Kesakitan yang dialami pada tubuhnya itu, hanya Allah sahaja yang tahu. Dia cuba menyeret tubuhnya bagi mendapatkan suaminya untuk meminta ampun, namun kudratnya lemah. “Ha…bi…bi, t…tung…gu,” panggilnya dengan lemah.
Mohamad Salahuddin tidak mengendahkan panggilan isterinya itu. Dia segera meninggalkan rumah tersebut tanpa sepatah bicara. Hatinya benar-benar diselimuti amarah terhadap Qistur Ruwaidah. Hatinya cukup sakit! Pedih!
Kelihatan Mohamad Salahuddin hilang pada pandangan Qistur Ruwaidah. Dia hanya mampu melihat dari kejauhan apabila suaminya mencapai kunci kereta serta kunci rumah. Dia tidak tahu destinasi yang dituju oleh suaminya itu setelah kereta suaminya meninggalkan rumah.
Qistur Ruwaidah masih terbaring di atas lantai bersama linangan air mata yang tidak berhenti sejak tadi. ‘Habibi… Perasaan sayang kat Azim dah lama mati lepas sayang dapat jawapan daripada solat istikharah. Tak pernah terlintas dalam fikiran sayang… sayang terima habibi sebab sayang nak balas dendam kat Azim. Memang sayang cintakan habibi sepenuh hati sayang. Cinta sayang hanya untuk habibi je. Bukan Azim,’ bisik hatinya.
‘Ya Allah… Percintaan amat menyakitkan aku… Aku tak sanggup kehilangan habibi! A… Aku terlalu mentah dengan perkahwinan. Aku tak sangka perjalanan rumah tangga aku sesukar ni. K… Kenapa aku harus melalui kesakitan demi kesakitan lagi? A… Aku nak penderitaan ni tamat! Aku letih! Aku tak pernah menduakan suami aku! Kau Maha Saksi!’
Qistur Ruwaidah menguatkan dirinya untuk bangkit semula secara perlahan-lahan biarpun dirinya merasakan terumbang-ambing. Dia tidak boleh lemah daripada terus melayan rasa sakit itu. Perabut-perabut yang berada di sekitarnya dijadikan sandaran untuk dia bangkit dengan menggunakan tangan kanannya manakala tangan kirinya memegang perutnya. Berkerut-kerut wajahnya menahan sakit di seluruh tubuhnya, terutama bahagian perut sambil menggagahkan diri untuk bangun.
“Ah… Alhamdulillah. Aku boleh bangun pun. Qist… Kau jangan manja sangatlah. Sakit sikit je ni. Macamlah kau tak biasa kena pukul dengan Mak Long dulu,” pujuk Qistur Ruwaidah meskipun seluruh anggota tubuhnya sangat sakit. Sakit yang sukar digambarkan.
Dalam keadaan getir serta kesukaran dan terbatasnya pergerakan disebabkan kesakitan tubuh yang dialami oleh dirinya, fikirannya tetap teringat akan suaminya yang telah mencederakan dirinya itu.
‘Habibi… Habibi pergi mana? Agak-agak habibi balik tak malam nanti? Emm… Habibi lapar tadi, kan? Habibi suka sayang masak, kan? Tak sempat habibi nak rasa masakan sayang. Habibi dah keluar rumah pula. Tak apalah. Sayang tunggu habibi. Kalau habibi balik nanti, kita makan sama-sama. Kalau habibi tak balik, sayang simpan dalam peti sejuk. Boleh makan untuk esok pula.”
Qistur Ruwaidah berjalan dengan terincut-incut ke kamar tidur seraya memegang perutnya yang sedang sakit itu. Dia perlu mendapatkan rehat yang cukup. ‘Ya Allah, aku tak larat. Nak pergi klinik pun tak larat. Tahan jelah. Makan ubat sakit,’ bicara hatinya.
Setelah Qistur Ruwaidah tiba di kamar tidur, dia tersenyum melihat katil yang tersergam megah di dalam bilik itu. Lalu, dia berbaring secara perlahan-lahan di atasnya.
“Seronoknya aku dapat berbaring kat atas katil ni!” luahnya. Dia mencapai sebuah bantal bersaiz sederhana berbentuk segi empat sama, lalu diletakkan di atas perutnya. Seketika, matanya tertangkap ke arah minyak gamat yang terletak di atas meja lampu bersebelahan dengan katilnya.
“Aiyyoo… Lupa pula nak sapu minyak. Emm… Nantilah. Teringat pula masa aku tinggal dengan Mak Long dulu. Mesti aku sapu minyak gamat kat badan Abang Suhaib. Ya Allah… Rindunya kat abang! Lama tak jumpa abang.”
Tiba-tiba dada Qistur Ruwaidah menjadi sesak sehingga tercungap-cungap dibuatnya. Gangguan stres pascatrauma atau Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD) mula menyerangnya kembali. Perlahan-lahan, dia menarik dan menghembuskan nafasnya. Dia tidak boleh panik. Lagi-lagi dia tengah keseorangan. Dia segera mencapai botol ubat tersebut dengan terketar-ketar. Dua biji pil dikeluarkan. Lalu, dia menelan pil ubat tersebut dengan bantuan air.
Tidak lama kemudian, matanya mula terasa berat dan mindanya berada di awangan akibat kesan sampingan ubat tersebut. Dia segera membaringkan dirinya bersama pejaman mata dan linangan air mata.
‘Mohamad Salahuddin, kekasih yang sayang cintai dengan sepenuh hati sayang… Habibi, jangan risau pasal sayang tahu. Sayang okey je. I love you. Nanti habibi balik, kita makan sama-sama tahu,’ bisik hatinya di sebalik pejaman mata itu.
BANGI, SELANGOR
“Eh, Along! Tak beritahu pun nak datang. Mana Kak Long?” ujar Puan Zaidah tatkala anak sulungnya, Mohamad Salahuddin melangkah masuk ke dalam rumah.
Kelihatan Mohamad Salahuddin menyalam tangan ibunya. “Kak Long bermalam kat rumah dia. Katanya, nak lepak dengan Abang Suhaib. Yalah, dah lama dia orang tak jumpa,” bohongnya. Walhal, dia baru sahaja tibai isterinya dan membiarkan isterinya keseorangan di rumah sewa.
Sepanjang bergolaknya rumah tangga dia dan Qistur Ruwaidah, dia tidak pernah memberitahu apa-apa kepada ahli keluarganya. Jika dia menghubungi ibu bapa dan adiknya, dia hanya berbicara topik berkenaan situasi di universiti atau pekerjaannya. Tidak pernah dia mengaibkan rumah tangga atau isterinya. Biarlah rahsia itu disimpan dengan rapi, termasuklah perbuatannya menyakiti Qistur Ruwaidah.
“Oh. Okey. Along nak makan? Kebetulan, mak ada masak kari ikan tenggiri. Mak ada sediakan sekali sambal belacan dan ulam raja,” ujar Puan Zaidah.
Kebetulan memang perut Mohamad Salahuddin sudah berkeroncong lapar. Sepatutnya, dia menikmati makan malam bersama Qistur Ruwaidah tadi dan isterinya sendiri telah menyiapkan hidangan makan malam itu. Namun, disebabkan rasa marah yang menggunung terhadap isterinya, dia lupa akan rasa laparnya itu.
“Ya Allah, mak. Kegemaran Along tu. Mestilah Along nak. Along lapar sangat ni,” luah Mohamad Salahuddin.
“Mak tahu. Sebab tu, mak buat. Mak teringat kat Along. Tak sangka Along datang. Naluri mak tak pernah salah untuk anak-anak mak. Jom kita pergi ke dapur. Mak temankan Along makan,” balas Puan Zaidah.
Tiba-tiba, munculnya Encik Mohd Firdaus dari bilik tidur ke ruang tamu. “Eh, Along!”
Mohamad Salahuddin segera menyalam tangan ayah tersayang. Lalu, dia mendakap erat tubuh sang ketua keluarga itu. “Assalamualaikum ayah.”
“Waalaikummussalam Along. Seorang je?” ujar Encik Mohd Firdaus.
Sekali lagi, Mohamad Salahuddin membohongi keluarganya. “Haah… Seorang je, ayah. Kak Long kat rumah dia. Dia dah lama tak jumpa Abang Suhaib. Alang-alang tu, Along pun balik sinilah jumpa semua.”
“Abang Long!” jerit Sakeenah seraya menuju ke arah abang tersayang.
Mohamad Salahuddin tersenyum melihat satu-satunya adik yang amat dirindui itu. “Ya Keena. Rindu Abang Long ya?” ujarnya.
Sakeenah segera mendakap abangnya. “Mestilah! Lama tak jumpa. Rindu nak gaduh-gaduh dengan Abang Long tahu.”
“Ya. Abang Long pun rindu Keena. Emm… Abang Long tak bawa Kak Long tahu. Dia jumpa Abang Suhaib,” maklum Mohamad Salahuddin supaya Sakeenah tidak bertanya tentang ketiadaan Qistur Ruwaidah di sampingnya. Lalu, dia meleraikan dakapan itu.
Kelihatan Sakeenah memuncungkan bibirnya. “Alaa… Baru nak jumpa Kak Long. Nak gosip dengan Kak Long. Keena rindulah kat Kak Long.”
“Lain kali Abang Long bawa Kak Long ya. Abang Long laparlah, Keena. Jom kita sambung sembang kat dapur.”
Lalu, mereka berempat menuju ke dapur sambil menemani Mohamad Salahuddin untuk menikmati makan malam.
“Macam mana dengan semua subjek untuk semester ni? Okey ke?” soal Encik Mohd Firdaus.
Mohamad Salahuddin yang sedang menyuapkan suapan pertama ke dalam mulutnya, mendiamkan diri seketika bagi menelan makanan tersebut. “Alhamdulillah. Semua okey je, ayah tapi tipulah kalau tak ada cabaran, kan. Ada tu, ada je tapi insya-Allah, ditanggung beres.”
Usai Mohamad Salahuddin menikmati hidangan makan malam, dia meminta izin bagi mengundur diri untuk berehat di dalam bilik akibat keletihan. Pada masa yang sama, amarahnya terhadap Qistur Ruwaidah masih meluap-luap.
Encik Mohd Firdaus dan Puan Zaidah memandang Mohamad Salahuddin dan Sakeenah yang sedang menuju ke bilik masing-masing.
“Along dah besar,” luah Encik Mohd Firdaus.
Puan Zaidah tersenyum. “Tulah. Sedar-sedar Along dah jadi suami pun.”
“Harap-harap kita sempat rasa nak ada cucu sebelum kita pergi tapi yalah, rezeki anak ni, Allah yang tentukan. Moga Along dan Kak Long teruskan bersabar dan tak putus asa.”
“Moga macam tulah kehendaknya. Insya-Allah. Ada rezeki tak ke mana.”
Sesampai Mohamad Salahuddin di biliknya, dia terus merebahkan diri di atas katil. Tiba-tiba matanya tertangkap ke arah dua buah bingkai gambar yang terletak di atas meja lampu bersebelahan dengan katilnya. Gambar di antara dirinya bersama Qistur Ruwaidah sewaktu dia cuba mengurat isterinya dan gambar majlis kesyukuran mereka berdua.
Di belakang bingkai gambar tersebut, kelihatan coretan yang dinukilkan oleh Qistur Ruwaidah dengan menggunakan kertas pelekat, iaitu:
Istana cinta Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah. Moga perkahwinan kita kekal sampai bila-bila. Kalau boleh, sampai ke Syurga. Amin!
‘Istana cinta? Heh! Qist kuat berangan betul. Aku tengok dia pun, aku jadi benci! Buat semak mata aku je! Macam manalah aku boleh kutip si Qist tu jadi bini aku? Dahlah banyak menyusahkan aku!’ hati Mohamad Salahuddin membentak marah seraya menyembunyikan bingkai-bingkai tersebut di dalam laci. Dia benci!
Dia sendiri tidak tahu apa yang perlu dia lakukan kini. Lepaskan Qistur Ruwaidah atau dalam erti kata lain… cerai? Mustahil! Dia tidak akan berbuat demikian! Dia masih ingin mengerjakan isterinya sehinggalah dia terasa puas.
TIGA HARI selepas berlakunya peristiwa itu…
Anak mata Qistur Ruwaidah menatap album gambar majlis akad nikah dan majlis kesyukuran yang dikeluarkan dari almari baju. Ada juga dia mengimbau kembali dengan menonton video-video untuk kedua-dua majlis tersebut yang diambil dari pemacu USB dan dimasukkan ke dalam telefon pintarnya. Ah, rindunya dia akan kenangan-kenangan itu!
Dia tersenyum sendirian meskipun kesakitan di tubuh badannya masih dirasai, hasil keganasan yang telah dilakukan oleh suaminya pada tiga hari lepas. Perutnya juga sudah semakin nampak kesan lebamnya. ‘Habibi… Sayang rindu habibi. Sayang rindu senyuman habibi. Habibi baliklah. Dah tiga hari habibi tak ada kat rumah ni. Sayang sunyi sangat tapi sayang tak pergi kat rumah Abang Suhaib tahu. Sayang patuh dengan perintah habibi. Sayang tak nak habibi marah atau pukul sayang lagi. Habibi balik ya? Nanti sayang masakkan makanan yang paling habibi suka.’
Hatinya berbisik lagi. ‘Habibi… Kenapa habibi sanggup sakiti sayang? Habibi lupa janji habibi nak jaga sayang sampai kita mati? Sayang cuba nak jelaskan pasal diari tu tapi habibi tak nak dengar. Apa salah sayang? Hati sayang untuk Azim dah lama mati. Habibi seorang je yang ada dalam hati sayang!’
‘Habibi… Roh sayang hanya milik Ilahi. Andainya sayang pergi dulu, ampunkan sayang. Sayang nak pergi dalam keredaan Allah Maha Pencipta dan keredaan habibi. Habibi… Kalau betullah ada wanita lain berjaya menambat hati habibi sepanjang rumah tangga kita bergolak dan habibi berubah pun disebabkan ni dan bukan sihir, lepaskan sayang. Sayang pasrah. Kahwinilah dia macam mana habibi pernah lakukan untuk sayang. Kalau sayang pergi dulu daripada habibi, habibi berhak cari pengganti sayang.’
Air matanya mula mengalir lagi. ‘Relaks Qist. Insya-Allah habibi okey jelah tu kat mana-mana. Nanti sejuklah hati dia. Kan habibi jenis tenang orangnya.’
Dia tersenyum pahit di sebalik air matanya. Betapa tubuhnya sudah lali dibelasah sejak kecil lagi. “Dahlah Qist… Rasanya habibi tak balik lagi malam ni. Simpan jelah lauk kat dapur tu.”
Segera, dia mengesatkan air matanya. Kemudian, dia membangunkan dirinya dari katil secara perlahan-lahan dan menyimpan album-album tersebut ke dalam almari semula. Biarlah dia menanggung kesakitan ini seorang diri. Buat masa sekarang, dia tidak mahu sesiapa mengetahui penderitaan yang dialami oleh dirinya, termasuklah abangnya. Dia tidak mahu abangnya susah hati. Abangnya juga sudah terlalu terseksa disebabkan dirinya juga.
Seketika, dia terbatuk-batuk. Memandangkan suaminya tidak pulang lagi pada hari ini, dia mengambil keputusan untuk menuju ke dapur bagi menyimpan lauk-pauk dan nasi. Sudah tiga hari suaminya membiarkan dirinya tanpa sebarang khabar berita.
“Oh ya. Tugasan tak siap lagi. Sekejap lagi, aku kena siapkan. Kau boleh buat, Qist! Kalau sakit, kau telan je ubat tahan sakit. Selesai masalah. Kau jangan pergi ke klinik. Kau tak nak masalah ni berlarutan, kan? Insya-Allah, semua akan okey,” bicaranya sendirian.
Belum sempat dia hendak menuju ke dapur, tiba-tiba kedengaran bunyi kereta suaminya. Wajahnya yang muram tadi, terus berubah menjadi ceria tatkala kekasih hatinya sudah pulang. Rindunya terhadap suaminya cukup membuak-buak. Betapa dia ingin meminta ampun kepada suaminya dan menjernihkan keadaaan kembali. Dia mahukan rumah tangga yang damai seperti dahulu.
Seketika, dia membelek-belek dirinya. Rambutnya diikat dengan lebih kemas. ‘Ah, rindunya habibi! Pakaian aku okey je, kan? Habibi suka aku pakai baju tidur jenis macam ni. Sekejap lagi, bolehlah aku buat apa-apa yang patut untuk habibi.’
Cepat-cepat dia mencapai kunci rumah dan membuka pintu rumah.
Kelihatan Mohamad Salahuddin bersama senyuman penuh sinis. Sedikit pun dia tidak tertarik dengan penampilan isterinya walaupun hakikat asalnya, dia cukup menyukai isterinya berpakaian baju tidur yang cukup eksklusif seperti di hadapannya kini. Entahlah… Dia merasakan isterinya tidak menarik perhatiannya pada malam ini.
Qistur Ruwaidah memaniskan wajahnya bagi menyambut suaminya yang cukup dirindui itu. “Habibi… Ada apa-apa yang sayang boleh bawa atau tolong? Habibi lapar? Kebetulan sayang ada masakkan untuk habibi. Baru ingat nak simpan dalam peti sejuk,” balasnya berbasa-basi. Senyuman tidak lekang dari bibirnya.
Kalbu Mohamad Salahuddin semakin sakit menyaksikan wajah isterinya yang penuh kepura-puraan itu. Sejujurnya, mahu sahaja dia melempang lagi wajah Qistur Ruwaidah yang pernah mendamaikan dirinya pada suatu ketika dahulu. “Aku balik-balik je, kau memekak! Hilanglah mood aku! Boleh tak jangan kacau hidup aku!”
Alangkah runtunnya hati Qistur Ruwaidah tatkala dia menerima herdikan sedemikian. Namun, dia masih menggagahkan diri untuk kekal tersenyum dan menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan suami yang cukup dia hormati. Namun, huluran salamnya ditepis oleh suaminya.
“Nak salam aku? Kau ni menjijikkan! Dahlah tak guna! Menyusahkan aku! Masih cintakan jantan tak guna tu. Aku ni siapa untuk kau! Boneka?” herdik Mohamad Salahuddin lagi.
Qistur Ruwaidah hanya membisukan diri, membiarkan dirinya terus diherdik oleh suaminya.
“Aku nak tidur kat bilik belajar. Jangan kacau,” kata Mohamad Salahuddin seraya meninggalkan Qistur Ruwaidah yang hanya diam membisu. Pintu bilik belajar dihempas sekuatnya sebagai tanda protes.
Lalu, Qistur Ruwaidah mengunci pintu rumah dan menuju ke dapur bersama senyuman penuh hambar bagi menyimpan lauk-pauk dan nasi yang tidak menjadi perhatian suaminya.
Dia berbicara sendirian. “Habibi tak lapar pula. Tak apalah. Janji dia balik rumah pun dah cukup menggembirakan aku. Ha, esok lauk ikan ni boleh aku masak nasi goreng kuning ikan kembung untuk sarapan pagi. Potong cili padi pula. Fuh, sedap! Kegemaran habibi juga tu dengan kegemaran…”
‘Abang Suhaib…’ bisik hatinya. Linangan air mata menemaninya pada malam penuh kesakitan itu.
Usai semuanya, Qistur Ruwaidah mematikan suis di dapur. Hajatnya untuk menyelesaikan tugasan terpaksa ditangguhkan kerana suaminya merebahkan diri di bilik tersebut dan tidak mahu diganggu. Nampak gayanya, dia perlu menangguhkan agenda tersebut pada keesokan harinya.
“Tak apa. Esok masih ada. Kalau habibi tak boleh tumpangkan aku ke UIA esok, alamatnya aku kena keluar awal untuk naik bas ke LRT macam hari-hari sebelum ni. Tak ada hallah. Seronok juga naik pengangkutan awam sekali-sekala…”
“Eh, sekejap! Apa lagi yang aku tak selesai untuk hari ni? Ya Allah… Hubungi Tihaani baliklah! Astaghfirullah. Lupa!”
Cepat-cepat Qistur Ruwaidah mencapai telefon pintarnya dan menghubungi semula sahabat baiknya itu.
“Waalaikummussalam. Tihaani, aku minta maaf sebab lupa nak hubungi kau. Baru aku teringat ni,” balas Qistur Ruwaidah setelah Tihaani menjawab panggilannya dan menjawab salam.
4.00 PAGI…
“Assalamualaikum warahmatullah…” ucap Qistur Ruwaidah pada salam terakhirnya untuk solat sunat witir. Tamatlah sudah amalan qiamullail untuk dinihari yang penuh syahdu ini.
Dia mula berwirid dan berdoa. Seketika, air matanya menemani dirinya agar dia terus dikurniakan kekuatan dan ketabahan bagi mengharungi hari-hari yang mendatang. Entahlah bagaimana dengan perkahwinannya ini… Suaminya sudah kelihatan tawar hati terhadap dirinya. Tidak tergoda pun dengan penampilannya pada hari semalam.
‘Ya Allah… Istana cinta yang aku harapkan, rasanya sudah musnah dan robek sedalamnya. Aku masih mencintai suamiku, Mohamad Salahuddin bin Mohd Firdaus. Akan tetapi, aku tidak tahu sama ada suamiku masih mencintai diriku atau tidak. Sungguh, aku tak tahu nak rasa macam mana sekarang. Aku merasakan perkahwinan aku ke arah kegagalan. Bukan aku tak usaha nak pulihkan semula hubungan aku dan suamiku yang makin retak tapi suamiku tak mampu memberikan aku ruang untuk menjelaskan apa yang terjadi…’
‘Ya Rahman… Aku tak tahu nak bertindak macam mana lagi. Aku teringat zaman aku dan suamiku sebelum kami berkahwin. Aku rindu perjuangan Mohamad Salahuddin dapatkan aku daripada Abdul Azim dulu tapi malangnya, dia dah salah anggap. Dia ingat aku masih cintakan Abdul Azim gara-gara diari yang dia jumpa. Ya Allah, aku dikhianati oleh Alia Najiha! Aku suruh dia hapuskan diari tu tapi dia tak hapuskan! Kenapa! Suami aku dah kembali lain macam dulu. Aku seperti dah tak kenal suami aku. Aku dah tak tahu nak rasa sama ada suami aku kena sihir balik atau memang dia dah berubah hati. Aku buntu. Sekarang, aku tak tahu nak buat macam mana…’
Tangisan Qistur Ruwaidah semakin deras. ‘Ya Rahim… Andailah aku berpisah dengan Mohamad Salahuddin itu merupakan satu jalan yang lebih baik, maka aku mohon agar Kau berikan aku ilham atau jalan bagi aku bertindak sedemikian. Aku dah tak rasa ada kerahmatan dalam perkahwinan yang baru dibina beberapa bulan ni. Masih tak sampai setahun. Aku pasrah untuk dilepaskan oleh Mohamad Salahuddin tetapi aku tetap cintakan dia sampai bila-bila. Amin ya Rabbal alamin…’ doanya seraya meraup wajahnya.
“Okey Qist… Jangan sedih-sedih. Sambung balik tidur. Pukul 6.00 pagi nanti, kau bangun balik,” bicaranya sendirian sambil merebahkan dirinya di atas sejadah. Sudah menjadi kelaziman buat dirinya untuk menyambung semula lenanya di atas sejadah sehingga masuknya azan subuh.
Sementara Mohamad Salahuddin pula, dia terjaga dari lenanya tanpa sebab. Pada saat itu, entah mengapa dia amat merindui Qistur Ruwaidah. Perasaannya kini menjadi kacau-bilau. Segera, dia menuju ke kamar tidur mereka berdua.
Tatkala Mohamad Salahuddin memusingkan tombol bilik, dia ternampak isterinya sedang lena di atas sejadah. Ketika itu, hatinya menjadi damai semula. Mungkin kerana Qistur Ruwaidah merupakan isteri dan penyejuk matanya. Lalu, dia berbaring di sebelah isterinya dan mendakap isterinya. Tidurnya menjadi lena kembali. Bau isterinya benar-benar dirindui oleh dirinya.
Sehinggalah menjelangnya azan subuh, Qistur Ruwaidah terbangun tatkala mendengar seruan suci itu. Namun, dia berasa pelik. Terasa sesuatu di atas tubuhnya. Penuh rasa hangat…
Dia menoleh ke belakang. Alangkah terkejutnya dia tatkala suaminya berbaring di sebelahnya dan mendakapnya! Bagaimana dia tidak boleh sedar langsung akan kehadiran suaminya itu! Cepat-cepat dia meleraikan pelukan itu. Namun, tangannya dipegang erat oleh Mohamad Salahuddin.
“Habibi rindukan sayang…” ujar Mohamad Salahuddin dalam tidurnya. Mengigau rupanya.
Qistur Ruwaidah terkebil-kebil. Namun, dia memberanikan diri untuk mengejutkan suaminya. “Habibi… Bangun. Dah masuk subuh,” katanya dengan penuh kelembutan.
Kelihatan Mohamad Salahuddin terpisat-pisat. Alangkah terkejutnya dia tatkala dia ternampak wajah isterinya. “Kau buat apa kat sini?”
“Err… Soalan tu, sepatutnya sayang tanya habibi. Habibi yang buat apa kat sini? Semalam, habibi tidur kat bilik belajar. Sekarang, habibi kat bilik tidur kita. Habibi tidur sebelah sayang kat atas lantai ni,” terang Qistur Ruwaidah.
Ego Mohamad Salahuddin kian melangit tatkala mendengar penjelasan isterinya. Walhal, memang dia sendiri yang mencari isterinya tadi. “Heh! Sudahlah. Kau ingat aku tergoda sangat dengan kau? Dasar isteri murahan! Kau tak layak untuk aku!”
Tiba-tiba pipi Mohamad Salahuddin ditampar oleh Qistur Ruwaidah. Mohamad Salahuddin terpana.
Qistur Ruwaidah membentak. Sabarnya sudah sampai had! “Habis tu, habibi ingat sayang pun tergoda sangat ke dengan habibi! Habibi juga yang tergila-gilakan sayang dulu sampai sanggup berebut dengan Azim! Sayang pilih habibi sebab memang sayang dah jatuh cinta dengan habibi! Tapi sekarang? Apa yang habibi fikir! Azim pun tengah koma! Habibi fikirlah logik! Tarikh dalam diari tu pun, dah lama sayang karang! Sayang pun dah lupa pasal diari tu! Sebenarnya, habibi yang tak move on! Sayang percaya, Azim pun dah move on! Tak pernah walau sekali pun, dia hubungi sayang lepas lamaran dia kena tolak…”
“Daripada habibi maki sayang, belasah sayang, panggil sayang dengan gelaran bukan-bukan yang mana seorang isteri tak patut pun dapat gelaran macam ‘betina’, ‘jalang’, ‘isteri murahan’… Habibi dah melampau! Selama ni, sayang pertahankan maruah dan harga diri sayang, khas untuk orang yang tepat, iaitu habibi sendiri atau lebih tepat, suami! Habibi ingat sayang nak teruskan ke perkahwinan macam neraka ni! Kalau habibi dah tak cintakan sayang lagi, lepaskan sayang! Ceraikan sayang! Alang-alang kita tengah tak ada rezeki anak ni, sayang pun tak ingin nak ada zuriat dengan habibi! Sayang tak nak zuriat kita terseksa dapat ‘abi’ macam habibi!” luah Qistur Ruwaidah dengan sepuas hati.
Luahan Qistur Ruwaidah itu membuatkan Mohamad Salahuddin semakin naik angin. Lalu, dia menolak tubuh Qistur Ruwaidah di atas lantai dengan kasar dan menahan kedua-dua belah tangan isterinya.
“Arghhh! Habibi! Apa ni! Lepaskan sayang! Betul apa yang sayang cakap, kan! Habibi ego! Habibi tak nak dengar!” bentak Qistur Ruwaidah seraya berusaha melepaskan diri.
“Kau nak minta cerai daripada aku? Aku ego? Aku tak nak dengar? Cakaplah apa yang kau nak cakap, Qistur Ruwaidah! Aku takkan lepaskan kau! Sampai mati pun, aku takkan ceraikan kau! Kau milik aku seorang! Bukan Azim! Bukan Suhaib!” ujar Mohamad Salahuddin dengan intonasi yang amat menggerunkan pada pendengaran isterinya. Bajunya mula ditanggalkan.
“Habibi… Jangan buat sayang macam ni! Lepaskan sayang! Sayang ni isteri habibi! Kita tak solat subuh lagi ni!” rayu Qistur Ruwaidah bersama linangan air mata.
Telekung Qistur Ruwaidah mula direntap oleh Mohamad Salahuddin. Habis terurai rambut isterinya. “Sebab kau isteri akulah, aku nak kerjakan kau sampai aku puas! Solat subuh? Heh! Boleh ganti, kan! Sekarang, kau kena taat dengan aku!”
“Tolong!” rayu Qistur Ruwaidah dengan sekuat hati tetapi dia tahu mustahil. Setiap dinding yang berada di rumah sewa ini jenis kebal dan jiran-jiran takkan boleh mendengar jeritannya.
Selama Qistur Ruwaidah ditibai oleh suaminya, para jiran tidak mendengar jeritannya ataupun mengesyaki apa-apa. Tiba-tiba pipinya ditampar dan ditumbuk oleh suaminya.
Mohamad Salahuddin tertawa. “Kau ingat jiran boleh dengar! Silap besarlah. HAHAHAHA!”
Kali ini, Qistur Ruwaidah tidak boleh mengelak lagi. Tubuhnya mula diratah semahunya oleh suaminya. Dirinya terlalu lemah. Dalam hatinya, dia memohon ampun kepada Sang Pencipta di atas kekhilafan dirinya sebagai hamba yang tidak sengaja meninggalkan solat fardu kerana perkara sebegini.
Kemudian, tubuh Qistur Ruwaidah diseret oleh suaminya ke bilik air. Dihadiahkan sepak terajang pula di tempat penuh hina itu. Qistur Ruwaidah hanya mampu mengalirkan air matanya sambil menahan sakit. Suaranya tidak kedengaran lagi dek kerana dia sudah banyak menjerit tadi. Tenaganya sudah habis.
Setelah Mohamad Salahuddin puas mengerjakan Qistur Ruwaidah, dia membelai rambut isterinya yang tersandar kesakitan di dinding bilik air itu. Kelihatan isterinya termenung di dinding, mengenang nasib dan sakitnya sang isteri menahan seluruh anggota tubuhnya yang telah puas dijamah dan ditibai oleh dirinya sendiri. “Qistur Ruwaidah binti Isyraf Imrani… Aku cintakan kau. Aku cinta sangat kat kau. Sebab tu, aku sanggup buat apa je nak dapatkan kau daripada Azim dulu. Kalau kau nak minta cerai sekali pun, kau kena ingat. Aku ni lelaki pertama yang berjaya dapatkan kehormatan kau sebagai suami kau. Sebagai balasan kau melawan aku, kau duduklah dalam bilik air sampai aku balik nanti. Jangan harap kau boleh pergi ke kelas hari ni sebab aku tak nak kau larikan diri. Ya, sayang?”
Qistur Ruwaidah hanya mampu menitiskan air matanya. Dia tidak mahu merespons apa-apa. Alangkah keadaan jiwanya penuh badai.
Mohamad Salahuddin memegang wajah isterinya dengan kasar agar isterinya memandang ke arah wajahnya. “Aku cakap dengan kaulah, perempuan! Dengar ke tak!”
“D… Dengar,” balas Qistur Ruwaidah penuh ketakutan.
Lalu, Mohamad Salahuddin membiarkan Qistur Ruwaidah dalam keadaan sedemikian dan mengunci pintu bilik air itu dari luar.
Terbiarlah Qistur Ruwaidah dalam kegelapan di bilik air tersebut tanpa sedikit cahaya dan tiada seurat benang pun membaluti dirinya. Bermulalah episod buat dirinya yang sedang bergelut untuk melawan rasa traumanya dengan kegelapan dan menguatkan dirinya yang sedang merasai setiap kesan penyeksaan yang ditinggalkan oleh suaminya.
‘T…Takut… G…Gelap… S…Sakit. Emm… B…Baringlah atas lantai ni. Boleh kurangkan rasa trauma. Pejam mata. Tarik nafas, hembus. Ubat anksiolitik kat laci,’ berkali-kali Qistur Ruwaidah cuba menenangkan dirinya.
Disebabkan tubuh Qistur Ruwadah terlalu sakit serta lebam di sana sini dan dia tidak boleh berbaring di atas lantai serta lantai yang terlalu sejuk, dia mengambil keputusan untuk kekal berada di posisi asal. Namun, matanya hanya terpejam.
Akhirnya, dia tertidur tanpa mengetahui waktu.
“DIN, MACAM MANA tugasan bahagian kau hari tu? Kau dah siap? Aku ingat aku nak gabungkan dalam malam ni,” ujar Wan Abdullah tatkala dia ternampak Mohamad Salahuddin sedang termenung.
Mohamad Salahuddin tidak menjawab. Dirinya di awang-awangan.
“Din?” panggil Wan Abdullah seraya melambaikan tangannya di hadapan wajah sahabat baiknya itu.
“Ha, apa?” barulah Mohamad Salahuddin tersedar dari lamunannya.
“Kau okey tak ni? Nampak macam ada masalah. Dah beberapa minggu aku nampak kau macam ni je. Tak fokus. Kau ada masalah dengan Qist ke?”
“T… Tak adalah. Aku cuma letih,” nafi Mohamad Salahuddin.
“Din, aku kenal kau dari tahun 2013. Sebelum kau kahwin, kalau kau letih sekali pun, kau tetap boleh fokus dan dalam kau tengah letih-letih pun, kau boleh bagi idea bernas. Masa kau baru-baru kahwin dengan Qist semester lepas, aku tengok kau makin bersemangat. Idea kau makin mantap. Cuma, semester ni… Gaya kau nampak ketara sangat tak berapa boleh fokus dan semua tugasan kau, kau minta tangguh. Bukan aku nak cakap kau tak pernah siap. Siap tu memanglah siap tapi hasil kau bagi, cincai dan ala kadar. Aku tak tahu apa yang kau tengah serabut sekarang tapi apa-apa pun Din, aku ada untuk kau. Aku tetap sahabat baik kau…” luah Wan Abdullah.
Sambungnya lagi… “Kalau kau tak nak cerita apa-apa, aku faham. Kau dah ada isteri. Mesti kau akan bercerita dengan Qist tapi kalau kau tengah ada masalah dengan dia, aku harap kau bincanglah baik-baik dengan dia. Aku percaya dia ada je untuk kau. Tak pun, kau kena bagi masa kat Qist. Memang aku tak kahwin lagi tapi aku pernah nampak, kalau mak ayah aku gaduh, mesti ayah aku akan bagi mak aku bertenang dulu.”
Kata-kata Wan Abdullah membuatkan minda Mohamad Salahuddin terhantuk. Di manakah sifat timbang rasanya? Di manakah sifat memahami, empati, toleransi dan kesabarannya buat Qistur Ruwaidah? Namun, batinnya menafikan! Egonya menguasai dirinya. ‘Ah, aku tak bersalah! Qist yang bersalah! Menduakan hati dia untuk orang lain! Bukan aku! Memang patut aku kerjakan dia tadi! Padan muka! Biar dia meringkuk lama-lama kat dalam bilik air tu!’
“Emm Wan Dolah… Aku rasa aku kena balik dulu. Aku rasa tak sihat pula. Aku tak boleh nak fokus untuk kelas seterusnya,” luah Mohamad Salahuddin.
“Aku rasa tu yang terbaik untuk kau, Din. Pergilah. Moga apa-apa pun masalah yang kau hadapi, aku harap kau boleh selesaikan dengan cara baik.” nasihat Wan Abdullah.
‘AGAKNYA dah berapa waktu solat aku tertinggal? S… Sejuknya,’ bisik hati Qistur Ruwaidah tatkala dia tersedar dari lenanya. Tubuhnya dirasakan semakin sakit dan dingin kesejukan. Dia memeluk tubuh seeratnya.
Dia terbersin dan terbatuk-batuk buat beberapa kali. Setiap kali terjadi sedemikian, dia terpaksa memegang perutnya yang kian lebam.
Tiba-tiba Qistur Ruwaidah terdengar tombol pintu bilik air dipusing sambil suis lampu dihidupkan. Kelihatan suaminya tiba dalam keadaan kusut-masai sambil mencampakkan pakaian ke arahnya.
“Kau boleh berambus dari rumah ni. Pergilah tinggal dengan Abang Suhaib. Aku tak boleh nak tengok muka kau buat masa sekarang tapi aku takkan lepaskan kau. Bagi aku fikir masak-masak. Terpulanglah kau nak beritahu Abang Suhaib ke tak pasal ni. Aku takkan halang. Kalau kau tak beritahu dia pun, dia akan nampak lebam-lebam kat muka dan badan kau,” ujar Mohamad Salahuddin dengan nada biasa.
Qistur Ruwaidah memegang erat pakaiannya. Lalu, dia bersuara perlahan. “Habibi… Sayang minta ampun. Sayang harap habibi masih fikir segala janji kita. Kita dah janji nak habis belajar sama-sama, nak mati sama-sama, habibi nak jaga sayang sampai habibi mati… Sampai sekarang sayang ingat semua tu…”
“Aku dah tak nak janji apa-apa dengan kau. Cuma, aku minta jangan hubungi aku atau cari aku kat AIKOL buat waktu sekarang. Kita bawa haluan masing-masing. Pasal nafkah kau, aku takkan lupa selagi kau di bawah tanggungjawab aku. Sekarang, aku nak fokus untuk pengajian aku. Adanya kau, buat aku serabut. Aku pergi dulu. Ingat, jangan cari atau hubungi aku! Kalau kau nak datang rumah ni pun, lupakan dulu. Kemaslah apa-apa yang patut. Lepas tu, kau boleh berambus,” balas Mohamad Salahuddin seraya meninggalkan isterinya tanpa menoleh ke belakang lagi.
Tanpa mempedulikan perasaan Qistur Ruwaidah yang kian sedih dan hancur, Mohamad Salahuddin terus meninggalkan rumah tersebut tanpa menyalam atau menghadiahkan kucupan buat kali terakhir untuk sang bidadarinya itu.
Qistur Ruwaidah hanya mampu menghantar pandangan dari jauh. Sungguh, dia benar-benar terkesan dengan pertemuan terakhir yang mungkin akan berakhir dengan penceraian. Akhirnya, dia tidak mampu menyembunyikan lagi rasa sakitnya kalbu yang melingkari dirinya. Tangisannya mula membasahi pakaian yang diletakkan di atas pahanya.
Perlahan-lahan, dia membangunkan diri dengan berpaut pada dinding demi dinding sehingga dia berjaya menuju di atas katil. Matanya melilau pada jam dinding. Pukul 1.00 petang. Bermakna, dia hanya perlu qada solat subuh sahaja dan membersihkan diri.
Seketika, dia melayan perasaan di atas katil. Kemudian, dia mengeluarkan sekeping foto majlis kesyukuran dari laci meja lampu. Air matanya dikesat dengan perlahan-lahan. Tiada guna lagi untuk dia menangis. Rumah tangganya bakal musnah.
Qistur Ruwaidah menatap kepingan foto tersebut. ‘Ya Allah… Aku pasrah andai Mohamad Salahuddin hendak melepaskan aku kelak. Aku pasrah andai aku tiada jodoh dengannya lagi. Aku terima apa yang telah dia lakukan untukku. Aku akan cuba memaafkan segala kesakitan yang telah dia tinggalkan untukku. Aku dah buat yang terbaik sepanjang jadi isteri dia. Aku dah bagi segala cinta yang aku terdaya buat dia tapi aku rasa… setakat ini sahaja cinta yang aku semaikan buat lelaki yang bertakhta dalam sanubariku. Apa yang bakal jadi lepas ni, aku terima. Andai aku bakal jadi janda pun, aku terima. Aku terima segala takdir yang telah Kau tentukan untukku…’
‘Ya Rahman… Andailah mama dan baba aku masih ada, mesti mereka akan pujuk aku dan bagi kata-kata semangat. Aku tahu mama baba takkan tinggalkan puterinya ini. Aku rindu sangat kat mereka. Moga mereka aman di sana bersama Kak Qina, Dik Harraz dan Dik Harzan. Insya-Allah, aku akan menemui mereka semua di pusara nanti. Dah beberapa bulan tak jenguk,’ bisik hati Qistur Ruwaidah seraya senyuman hambar dan air mata menemani dirinya secara serentak. Dia cuba mengurangkan rasa sedih dan tekanan yang membelenggu dirinya.
Dia berbicara sendirian. “Dah, dah… Kau kena kuat semangat, Qist. Jangan jadi lemah. Ni hanyalah ujian untuk kau. Sekarang, aku nak kena mandi sementara nak tunggu waktu zuhur. Lepas tu, aku akan… Emm… Beritahu Abang Suhaib. Agaknya, abang akan marah aku ke? Macam mana aku nak beritahu dia apa yang dah jadi? Mesti dia mengamuk tengok badan aku lebam macam ni t… tapi… nak tak nak, aku kena beritahu abang juga. Sekarang, aku hanya ada abang je.”
Sedar tidak sedar, azan zuhur mula berkumandang. Qistur Ruwaidah tersentak. Dia perlu segera membersihkan diri dan menunaikan kewajipan.
MOHAMAD SALAHUDDIN memandu tanpa hala tuju. Hendak pulang ke rumah keluarganya di Bangi, sah dia akan ditanya lagi tentang ketiadaan Qistur Ruwaidah di sisinya. Ah, serabut! Nampak gayanya, dia perlu tinggal di hotel bajet sekitar Gombak agar mudah untuk dia berulang-alik dari UIAM buat dua atau tiga hari sementara menunggu isterinya meninggalkan rumah sewa itu.
“Arggghhh!” Mohamad Salahuddin membentak kecewa. Dilepaskan segala rasa geramnya pada stereng kereta yang tidak bersalah itu.
‘Aku dah berjaya dapat Qist daripada Azim dulu. Aku juga beria-ia nakkan dia dulu. Ah, aku rasa macam buang masa kahwin waktu belajar ni! Aku rasa tak ada faedah! Terkongkong! Eiii… Dahlah, Din! Sekarang, kau lupakan dulu pasal perempuan tu. Buat kepala kau makin pusing je!’ bentak hati Mohamad Salahuddin.
Lantas, dia menuju ke hotel bajet yang tidak jauh dari kediamannya.
USAI Qistur Ruwaidah membersihkan diri dan menyempurnakan kewajipannya, dia menarik nafas seketika sebelum dia hendak menghubungi abang tercinta. Tangannya juga sudah terketar-ketar. Pasti abangnya merindui dirinya. Dia juga amat merindui abangnya. Rindu yang tidak pernah sirna dari sukmanya.
‘Maafkan adik, abang,’ bisik hatinya seraya menekan nama abangnya dalam senarai pemanggil itu.
Alangkah hatinya menjadi lega setelah abangnya menjawab panggilannya. Dia risau jika dia mengganggu abangnya yang sibuk dengan bisnes gubahan yang semakin mencanak naik.
“Assalamualaikum adik,” ucap Suhaibul Umar dengan penuh gembira. Alangkah terujanya dia tatkala dia dapat mendengar suara adik kesayangannya itu.
“Waalaikummussalam abang. Emm… Abang sihat?” balas Qistur Ruwaidah. Suaranya cuba diceriakan dengan semampunya.
“Alhamdulillah. Abang sihat je. Lamanya kita tak sembang, kan. Abang pun minta maaf sebab tak hubungi adik. Permintaan gubahan makin menjadi-jadi. Adik sihat? Din sihat?”
Hati Qistur Ruwaidah terus tersentuh tatkala abangnya bertanyakan tentang suaminya. Alangkah abangnya amat menghormati dan menyenangi Mohamad Salahuddin sebagai adik ipar. Rasa hibanya tidak dapat ditahan lagi. Tangisannya mula menguasai dirinya. Dia tidak mampu membendung kesedihannya lagi.
Suhaibul Umar terkejut tatkala mendengar tangisan adiknya. “A…Adik? Kenapa ni? Adik okey tak? Kenapa menangis ni?” soalnya bertalu-talu. Sungguh, dia berasa tidak sedap hati dan terluka setiap kali tangisan adiknya dapat ditangkap oleh dirinya. Adiknya berterusan menangis tanpa henti. Bunyinya sungguh terseksa. Dia menjadi semakin tidak keruan. Dia perlu segera pergi ke rumah sewa adiknya itu. “Adik kat rumah adik ke? Abang datang sekarang.”
“H… Haah. A… Adik n…nak a…bang,” luah Qistur Ruwaidah sambil menahan sedu. Dia hanya mampu menangis dan menangis.
“Adik tunggu. Sekarang juga abang datang. Jangan pergi mana-mana,” pesan Suhaibul Umar. Kemudian, dia mematikan panggilan tersebut.
‘APA DAH jadi dengan Dik Qist? Kenapa tangisan adik teruk sangat macam masa adik budak-budak dulu? Mana Din? Apa Din dah buat kat adik? Kenapa adik tak cakap apa-apa pasal Din?’ soal batin Suhaibul Umar dengan bertalu-talu.
Setibanya dia di rumah sewa tersebut, dia segera keluar dari perut kereta dengan tergesa-gesa. Dia benar-benar risau jika berlaku apa-apa perkara buruk yang menimpa adiknya. Sungguh dia resah! Sebagai langkah berjaga-jaga, dia juga membawa ubatnya. Bukan boleh dijangka jika PTSD menyerangnya secara tiba-tiba. Apa yang dia tahu, adiknya sangat memerlukan dirinya. Mana mungkin dia membiarkan adiknya, sekali pun adiknya telah menjadi seorang isteri.
“Assalamualaikum! Adik!” ucap Suhaibul Umar seraya mengetuk pintu rumah sewa itu.
Qistur Ruwaidah tersenyum lemah tatkala dia mendengar ketukan pintu itu. Dia dapat mengecam pemilik suara yang amat dirindui olehnya itu. Langkahnya mula diatur dengan perlahan kerana kesakitan tubuhnya kian menjadi-jadi, terutama di bahagian perutnya. “Waalaikummussalam. Sekejap ya, abang,” sahutnya dengan perlahan tetapi dapat didengari oleh abangnya.
Tatkala Qistur Ruwaidah membuka pintu rumah… “A… Abang,” panggilnya dengan nada terketar-ketar. Dia tidak mampu menyembunyikan lebam-lebam yang boleh dinampak oleh abangnya. Paling ketara, di bahagian muka dan lehernya.
Alangkah terkejutnya Suhaibul Umar tatkala melihat wajah adiknya terdapat banyak kesan lebam, termasuklah di bahagian leher dan tangan kerana Qistur Ruwaidah memakai baju-T berlengan tiga suku. Dia segera melangkah masuk ke dalam rumah dan menutup daun pintu agar jiran tidak terdengar apa-apa. “Astaghfirullah! Adik! Siapa buat adik macam ni!”
“D…Din,” luah Qistur Ruwaidah dengan penuh hiba. Tangisannya semakin deras.
Pada saat itu, alangkah marah dan terkejutnya Suhaibul Umar tatkala dia mengetahui adik iparnya sendiri yang telah mendera adiknya sendiri! Akan tetapi, mengapa? Apakah salah adiknya! Bagaimanakah semua ini boleh terjadi?
Sangkaan dia selama ini, dia ingat hubungan adiknya dan Mohamad Salahuddin baik-baik sahaja. Tidak sangka, adik iparnya tergamak membelasah adiknya, sedangkan dia telah mengamanahkan kepada Mohamad Salahuddin agar tidak menyakiti adiknya langsung! Sampai hati adik iparnya itu tidak mengotakan janjinya, malah jantan dayus itu memulangkan adiknya kepada dirinya dengan cara sebegini!
“Shhh… Abang ada ni, adik. Kita duduk dulu ya,” luah Suhaibul Umar seraya menuntun adiknya sehingga ke sofa. Hancur hatinya sebagai seorang abang dan wali menyaksikan keadaan adiknya itu! “Abang nak kunci pintu rumah sekejap,” beritahunya.
Tidak lama kemudian, Suhaibul Umar melabuhkan punggungnya di sebelah adiknya. Qistur Ruwaidah terus mendakap abangnya dengan sekuat hati. Dia tidak tahan menanggung kesakitan dan keperitan secara seorang diri lagi. Dia sudah terlalu menderita!
“Teruskan menangis. Abang ada ni tapi abang minta maaf… abang tak boleh nak balas pelukan adik. Abang pasti belakang adik pun dah lebam habis. Mesti adik sakit,” luah Suhaibul Umar dengan penuh sebak. Dia tidak menyangka sejarah penderaan ini berulang kembali.
“A…dik nak a…bang. A…dik t…tak ki…sah a…bang balas pe…lukan a…dik. A…dik n…nak ku…at ma…cam du…lu,” luah Qistur Ruwaidah.
Perlahan-lahan, tangan Suhaibul Umar mula membalas pelukan adiknya itu tetapi tidak erat. Jujur, air matanya turut mengalir tatkala merasakan dakapan adiknya yang begitu erat. Dia tahu… Adiknya sudah terlalu menderita. Namun, dia kagum kerana adiknya masih kuat untuk meneruskan kehidupan. Jika tidak, mungkin dia akan mendapat berita buruk, sama ada adiknya mati dibunuh oleh suaminya sendiri atau adiknya mengambil keputusan untuk membunuh diri.
Hampir setengah jam juga Qistur Ruwaidah menangis bagi melepaskan segala tekanan. Suhaibul Umar hanya membiarkan tangisan adiknya membasahi bajunya. Jujur, dia amat merindui momen sebegini.
Tidak lama kemudian, Qistur Ruwaidah meleraikan pelukan itu seraya mengesatkan air matanya. Matanya benar-benar merah akibat terlalu lama menangis tanpa henti. Sebuah senyuman hambar dihadiahkan buat abang tercinta bagi mendapatkan secebis kekuatan semula. Dia masih ingat pesanan abangnya sewaktu mereka berdua berada di zaman kanak-kanak dahulu, iaitu “...Kalau adik sedih, adik senyum sebab senyum ni buat adik tenang tahu tapi abang tahu susah…”
Suhaibul Umar pula? Dia terkesan menyaksikan senyuman adiknya itu. Hatinya rasa disiat-siat. Dia tahu adiknya sedang cuba menguatkan diri yang sedang lemah itu. “Adik dah okey?” soalnya.
Qistur Ruwaidah mengangguk perlahan. Senyuman hambar masih tidak lekang dari bibirnya. Dia mahu terus kuat. “Abang… Adik takkan cerita apa yang dah jadi kat rumah ni. Nanti adik cerita kat rumah kita. Buat masa sekarang, adik nak minta bantuan abang tolong kemaskan barang-barang adik. Adik tak boleh nak buat seorang diri. S…Sakit. Din tak bagi adik tinggal kat rumah ni buat masa sekarang.”
“Tak apa. Abang faham. Adik beritahu je barang apa yang adik nak bawa. Apa yang penting, adik kena rehat banyak-banyak. Okey?” ujar Suhaibul Umar seraya mengusap kepala adiknya.
“Okey, abang,” balas Qistur Ruwaidah.
Suhaibul Umar mula memimpin tangan adiknya bagi menuju ke kamar tidur. Kemudian, dia mendudukkan adiknya dan mula membantu adiknya bagi mengemaskan pakaiannya. Beg tarik adiknya dicapai di atas almari baju.
“Abang ingat beg tarik adik ya?” ujar Qistur Ruwaidah seraya tersenyum.
“Mestilah. Abang yang belikan beg tarik ni kat adik sebelum adik daftar masuk CFS dulu,” balas Suhaibul Umar. Lantas, ingatannya menerawang kembali tatkala mereka berdua mengemaskan barang-barang Qistur Ruwaidah sewaktu dua hari lagi sebelum kemasukan adiknya di pusat asasi tersebut pada empat tahun lepas.
Betapa dia masih ingat lagi wajah adiknya, tidak ceria mendapat jurusan LAWS. Dia tidak akan lupa betapa minatnya adik dia terhadap bahasa Arab. Berkali-kali dia memujuk adiknya agar menerima tawaran tersebut kerana peluang sudah ada di hadapan mata. UIAM memang sudah menjadi impian adiknya dan tidak jauh dari rumah. Itu sudah pasti. Cuma tinggal, hanyalah langkah bagi adiknya menukar ke jurusan BAR sahaja.
Akhirnya, adiknya menerima juga tawaran tersebut bagi melanjutkan pengajian di UIAM. Semenjak adiknya berjaya menempatkan diri daripada jurusan LAWS ke BAR, dia terperasan bahawa adiknya berubah menjadi sangat ceria dan tidak mengadu lagi berkenaan jurusan lamanya. Bahkan, adiknya sendiri yang seronok bercerita tentang keberadaannya di BAR. Itu sudah menjadi kelegaan buat dirinya sebagai seorang abang.
Sewaktu dia mengemaskan pakaian adiknya, dia terpandangkan adiknya seketika. Kelihatan adiknya sedang mengeluarkan sesuatu dari laci meja lampu. “Adik tengah pegang apa tu?”
Qistur Ruwaidah tersenyum seraya menunjukkan sekeping foto majlis kesyukurannya bersama sang suami kepada abangnya. Bingkai gambarnya telah pecah, gara-gara dihempas oleh Mohamad Salahuddin pada beberapa bulan yang lalu. “Gambar adik dan Din masa majlis kesyukuran dulu. Kalau adik rindu atau teringat kat Din, adik tengok gambar ni.”
Hati Suhaibul Umar menjadi semakin sayu dan remuk! Tergamak Mohamad Salahuddin membiarkan adiknya menderita sehingga sebegini rupa! Jika dia terjumpa jantan dayus itu, nescaya memang dia akan patahkan setiap tulang lelaki itu! Sudah lama dia tidak menggunakan ilmu silatnya, namun dia tahu, ilmu silat bukanlah sesuatu yang boleh disalahgunakan mengikut hawa nafsu.
Semenjak dia bebas daripada Mak Long Rauzah dan menjejakkan diri ke alam sekolah menengah, memang dia sudah bertekad untuk mempelajari ilmu silat bagi melindungi dirinya serta adiknya daripada dicederakan oleh mana-mana manusia yang cuba menyakiti mereka berdua lagi. Lagipun, dia sudah tiada ibu bapa yang boleh melindungi dirinya. Dia juga sudah cukup menderita menjadi mangsa kekejaman almarhumah ibu saudaranya itu dan dia tidak boleh menjadi lemah lagi. Itulah tujuan utama dia mempelajari ilmu silat tersebut.
“Abang, tolong masukkan gambar ni kat dalam beg. Ha, satu lagi. Ada album majlis akad nikah dan majlis kesyukuran kat dalam almari tu, sebelah kanan,” kata Qistur Ruwaidah seraya menghulurkan foto tersebut kepada abangnya.
Suhaibul Umar hanya menuruti permintaan adiknya. Dia tidak akan membantah. Jika itu yang mampu membuatkan adiknya berterusan mahu melunas rindu kepada Mohamad Salahuddin, dia tidak menghalang. Walhal, dirinya benar-benar sudah marah dan amukan bergelora dalam jiwanya. Dia tahu dia perlu tenang. Jika adiknya kelihatan tenang di sebalik kesakitan tubuh itu, kenapa tidak dia?
Akhirnya, dua buah album yang dimaksudkan oleh Qistur Ruwaidah itu berjaya dijumpai oleh Suhaibul Umar. Dia merenung seketika pada kulit muka album tersebut. Hatinya sayu dan dihiris-hiris tatkala melihat senyuman yang terpamer di wajah adiknya dalam gambar tersebut. Sebuah kebahagiaan yang begitu mendalam dan membawa sejuta erti buat adiknya, iaitu menjadi seorang isteri kepada Mohamad Salahuddin. Namun, dia tahu betapa adiknya sangat kuat dan kental orangnya. Dia tahu adiknya tidak akan mengalah dengan kehidupan.
‘Adik… Abang harap adik sentiasa kuat dan reda pada takdir Allah. Allah tahu apa yang terbaik untuk adik,’ bisik hatinya seraya memasukkan dua buah album tersebut ke dalam beg tarik adiknya itu.
Usai Suhaibul Umar mengemaskan pakaian adiknya di bilik tidur, adiknya membawa dirinya ke bilik belajar pula atau lebih tepat, tempat yang biasa dia tidur jika dia bermalam di rumah adiknya.
“Abang masukkan jelah semua yang ada kat atas meja tu. Begnya ada kat tepi meja,” kata Qistur Ruwaidah.
Suhaibul Umar mengambil beg yang dimaksudkan oleh adiknya atau lebih tepat, beg kanvas jenama IVEA yang agak besar saiznya. Rasanya boleh memuatkan segala barang-barang yang ada di atas meja belajar itu.
Lagipun, jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan (Bahasa dan Kesusasteraan Arab) (Kepujian) yang dibawa oleh Qistur Ruwaidah lebih banyak menggunakan nota-nota yang dicetak berbanding buku. Ada beberapa buah buku dan kamus yang dimiliki olehnya tetapi itu tidak mengganggu ruang untuk dimasukkan ke dalam beg kanvas tersebut.
“Abang… Adik nak pergi kat bilik tidur balik sekejap,” pinta Qistur Ruwaidah.
“Ha sekejap, adik. Memang ni je barang-barang adik, kan? Cuba adik tengok balik kat atas meja ni. Takut ada barang yang tertinggal lagi. Kalau dah tak ada, abang nak bawa masuk kat dalam kereta,” ujar Suhaibul Umar.
Qistur Ruwaidah membangunkan dirinya secara perlahan-lahan. Perutnya dipegang bagi mengurangkan rasa lebam yang begitu mencucuk-cucuk dan menyeksakan dirinya. Lalu, dia memerhatikan semula di atas meja belajarnya jika ada lagi barang yang tercicir dan mejanya sudah kelihatan kosong.
Nampaknya, semua barangnya sudah dikemaskan oleh abangnya dengan baik sekali. Dia tidak mahu ada barang-barang yang tertinggal lagi dan menyebabkan dia perlu berpatah balik ke rumah ini. “Haah… Tu je. Semua barang adik dah masuk kat dalam beg tu. Abang nak tunggu dalam kereta dulu pun, adik okey je.”
“Adik nak abang pimpin tangan adik kat bilik tidur?”
“Tak apa. Abang selesaikanlah apa yang patut. Insya-Allah adik rasa adik makin okey.”
Suhaibul Umar terperasan adiknya asyik memegang perut sejak dari tadi. Namun, dia tidak mahu berkata apa-apa. Biarlah adiknya sendiri yang membuka mulut apa yang telah terjadi di dalam rumah sewa penuh neraka ini. Simpatinya terhadap adiknya sangat menggunung tinggi. Jujur, dia dapat mengagak apa yang Mohamad Salahuddin telah lakukan kepada adiknya, namun dia perlu mengawal rasa gelisahnya agar penyakit mentalnya tidak menguasai dirinya pada waktu ini.
Apa yang diharapkan oleh sang abang itu agar Qistur Ruwaidah dikurniakan kekuatan dan semangat yang tinggi bagi meneruskan kehidupan. Dia hanya mampu menghantar pandangan buat adiknya yang berjalan secara terincut-incut dan menjadikan dinding sebagai sandaran. Matanya kian berkaca, namun cepat-cepat dia membawa segala barang adiknya ke dalam kereta.
QISTUR RUWAIDAH mengamati kamar tidur itu agak lama. Segala kenangan manis dan pahit tercipta di bilik ini. Betapa dia teringat hari pertama dia menjejakkan kaki ke bilik ini pada hari selepas tamatnya majlis kesyukuran.
Imbau kembali…
“Suka tak dengan bilik tidur kita?” soal Mohamad Salahuddin seraya menghampiri isterinya. Lalu, dia duduk bersebelahan dengan isterinya.
“Mestilah sayang suka! Sempurna sangat. Semua barang ada,” ujar Qistur Ruwaidah dengan penuh ceria.
Tidak sedar, air mata sang isteri mula menemani dirinya. ‘Habibi… Sayang tetap cintakan habibi sampai bila-bila. Maafkan sayang. Sayang tak mampu jadi isteri terbaik macam yang habibi harapkan. Andai jodoh kita panjang, kita akan bersatu kembali kat dalam bilik ni. Sayang akan rindukan habibi,’ luah hatinya seraya dia menyeka air matanya. Entah sudah berapa kali tangisannya menemani dirinya pada hari ini.
Sebuah keazaman mula disemat di dalam hati. ‘Qist, kau kena kuat! Jangan jadi lemah! Allah takkan sia-siakan kau. Kau kena percaya dengan takdir Dia,’ bisik hatinya seraya mengamati kamar tidur itu buat kali terakhir. Setelah dia puas memerhati segenap sudut kamar tidur itu, dia mematikan suis sebagai kenangan yang mungkin terakhir buat dirinya sebagai seorang isteri kepada Mohamad Salahuddin bin Mohd Firdaus.
Lalu, dia menutup daun pintu itu dengan perasaan berat hati. Segala kenangan yang ada di rumah ini, cukup membuatkan dirinya dipagut perasaan rindu yang cukup mendalam terhadap suaminya. Rindu yang tidak berpenghujung, sama seperti dia merindui lima orang ahli keluarganya yang telah tiada.
‘Ya Allah… Aku kena kuat. Habibi… Maafkan sayang. I love you,’ bisik hati Qistur Ruwaidah seraya menyeka air matanya lagi. Cinta yang meresap dalam atmanya ketika ini, sangat membunuh dirinya. Dia sudah terlalu menderita. Dia tahu dia tidak boleh buta kerana cinta yang hanya boleh memakan dirinya. Sekarang, dia perlu berjuang untuk dirinya sahaja. Bukan lagi untuk dirinya dan suaminya.
DI DALAM kereta, Suhaibul Umar memerhatikan adiknya. Kelihatan adiknya sedang mengunci pintu rumah dan kunci tersebut diletakkan di dalam kasut kulit rona hitam milik Mohamad Salahuddin. Lalu, dia nampak adiknya pergi ke pagar rumah sebagai isyarat bahawa dia mahu mengunci pagar rumah tersebut. Lantas, dia memilih gear bagi mengundurkan keretanya.
Usai Qistur Ruwaidah mengunci pintu pagar tersebut, dia memerhatikan tempat kediaman ini buat kali terakhir. Selepas ini, mungkin dia tidak akan mendiami lagi rumah ini sebagai penghuninya.
‘Aku kena teruskan hidup, Qist. Apa nak jadi lepas ni, aku kena kuat. Sama ada Din nak lepaskan aku atau tak, tu hak dia. Keputusan kat tangan dia. Aku takkan bantah. Kalau aku ditakdirkan jadi janda pun, aku kena kuat. Aku kena siap sedia dengan mulut manusia. Aku kena bersedia juga hadap keluarga Din nanti,’ bisik hatinya.
Lalu, dia menuju ke arah kereta abangnya dan memasuki ke dalam perut kereta tanpa menoleh ke belakang bagi menyaksikan rumah itu. Sebuah tempat kediaman yang telah meninggalkan 1001 suka duka dalam hidupnya.
“Adik okey?” soal Suhaibul Umar.
“Tipulah kalau adik cakap adik okey, kan? Insya-Allah, adik percaya lama-lama adik akan okey. Buat masa sekarang, adik nak dapatkan semangat balik. Abang dah ada kat sisi adik ni, dah buat adik lega sangat,” balas Qistur Ruwaidah.
“Insya-Allah. Abang tahu adik kuat semangat. Adik tak pernah mengalah dengan kehidupan. Emm… Boleh abang gerak sekarang? Nak tengok lagi tak rumah ni?”
Qistur Ruwaidah menggelengkan kepalanya. Sedikit pun dia tidak mahu menoleh ke tepi bagi menyaksikan rumah itu. Itu hanya akan membuatkan jiwanya terseksa. “Abang boleh gerak sekarang,” balasnya.
Berlalulah kereta Mydi Suhaibul Umar dengan meninggalkan kawasan Sungai Pusu itu.
Kemudian, Qistur Ruwaidah meninggalkan pesanan kepada suaminya menerusi aplikasi WhatsApp.
WhatsApp Qistur Ruwaidah:
Assalamualaikum habibi. Kalau habibi nak balik rumah, habibi dah boleh balik. Sayang dah tinggalkan rumah kita. Sayang mohon ampun dan maaf selama sayang jadi isteri habibi. I love you.
Tatkala itu, air mata Qistur Ruwaidah mengalir tatkala dia mengungkapkan kalimah cinta itu kepada Mohamad Salahuddin yang sudah menjadi rutin hariannya. Setiap kali dia mengungkapkan rasa cintanya kepada suaminya, hatinya akan berbunga mekar.
Kini, ungkapan cinta itu hanyalah sekadar pengharapan buat dirinya agar suaminya masih berlembut hati dengan dirinya dan masih tersimpan sekelumit cinta buat dirinya.
Tidak mahu dibuai perasaan lagi, akhirnya Qistur Ruwaidah terlelap bersama linangan air mata.
Moga pembaca tak bunuh tuan penulis xD
Share this novel