BAB 27

Drama Completed 13621

SEWAKTU Mohamad Salahuddin sedang membersihkan diri, Qistur Ruwaidah termenung seketika di hadapan almari dalam bilik pengantin itu. Ketika itu, dia masih belum membersihkan dirinya. Masih terngiang-ngiang lafaz cinta suaminya tadi. Dia mula merindukan lafaz keramat itu dan ingin mendengar lagi. Ah, suaminya telah menyihirnya dengan mengungkapkan kalimah cinta itu!
“Astaghfirullah! Aku berangan apa lagi ni! Dahlah tak mandi lagi!” kata Qistur Ruwaidah sendirian.
Tangan Qistur Ruwaidah mula membuka pintu almari tersebut. Tatkala dia mengeluarkan sehelai gaun tidur yang cukup ekslusif dalam almari tersebut, hatinya menjadi resah gelisah.
Dia telah menunjukkan beberapa bahagian makhota tubuhnya kepada suaminya itu tetapi… Takkanlah dia hendak mendedahkan bahagian lain pula? Aduh, malunya! Dia meraup wajahnya seketika!
‘Isy! Biar betul ke aku nak pakai baju ni? Emm… Tapi… Masa aku pergi kursus kahwin dulu, penceramah pun ada cakap pakai baju yang cantik dan memikat hati depan suami. Eh, sekejap! Kau gila ke apa, Qist! Baju ni seksilah!’ bisik hatinya.
Namun, Qistur Ruwaidah tetap mahu tampil anggun dan hebat di hadapan suaminya itu nanti. Lagipun, dia sudah berjaya membuatkan suaminya tidak keruan tadi.
Apabila sang isteri itu mengenangkan kembali setiap perbuatan suaminya sejak terlafaznya ikatan sah mereka berdua sehinggalah tadi, dia tersenyum. Dia tidak menyangka langsung bahawa Mohamad Salahuddin itu sangat romantik! Selama ini, Mohamad Salahuddin yang dikenali olehnya itu hanya sekadar sebagai seorang kawan yang mengambil berat terhadap dirinya. Ah, mungkin sebab lelaki itu sudah menjadi suaminya, mestilah kena romantik!
Tiba-tiba Qistur Ruwaidah tersedar dari lamunannya. “Eh, aku tak siap lagi ni! Alamak! Baik aku siap sekarang. Dahsyat betul panahan cinta Din kat aku,” katanya sendirian sambil tersenyum-senyum.
Lantas, dia menyiapkan dirinya itu. Tuala baharu yang dijadikan bentuk angsa itu dicapai di atas katil tersebut.

USAI Mohamad Salahuddin membersihkan diri, dia melangkah keluar dari bilik air. Kemudian, dia mematikan suis lampu bilik air tersebut. Dia memerhatikan keadaan sekeliling bilik bujang isterinya. Tiba-tiba matanya tertangkap sesuatu di atas meja belajar isterinya itu. Kelihatan empat buah bingkai gambar megah berdiri.
Bingkai pertama merupakan gambar isterinya bersama ahli keluarga sewaktu keluarganya masih sempurna lagi. “Comelnya isteri aku masa ni. Arwah mama baba pun tak kurang hebat rupa. Patutlah Qist cantik masa dah besar ni,” bicaranya sendirian sambil tersenyum. Dia teringat pula momen sewaktu abang iparnya pernah menunjukkan bingkai gambar keluarga yang terletak di ruang tamu dulu.
Bingkai kedua merupakan gambar isterinya bersama abang iparnya. Kelihatan isterinya sedang memegang slip Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Suhaibul Umar berdiri di samping isterinya.
Bingkai ketiga merupakan…
Gambar isterinya bersama dirinya dan Sakeenah sewaktu pertemuan mereka bertiga di Pusat Beli-Belah Adenium dulu! Kini, barulah dia mengerti bahawa dirinya amat bermakna buat isterinya kerana isterinya sudi menjadikan gambar tersebut sebagai salah satu hiasan di atas meja belajar tersebut.
Bingkai keempat pula merupakan…
Gambar isterinya bersama seorang lelaki sedang memegang slip keputusan SPM dan lelaki itu seperti dia pernah nampak tetapi di mana ya? Tidak mahu memikirkan gerangan jejaka itu, Mohamad Salahuddin terus mematikan suis bilik tidur bujang isterinya itu. Lalu, dia menuju ke bilik pengantin semula.
Kedengaran bunyi air sedang mengalir dari bilik air tersebut. Nampaknya, Qistur Ruwaidah masih berada dalam bilik air tersebut. Akhirnya, Mohamad Salahuddin mengambil kesempatan untuk merebahkan diri seketika di atas katil sementara menunggu isterinya bagi menunaikan solat zuhur secara berjemaah.
Boleh dikatakan bahawa majlis akad nikah tadi agak penat bagi Mohamad Salahuddin, iaitu melayan tetamu. Walaupun tetamu yang hadir seramai 60 orang sahaja tetapi tetap penat. Mujur isterinya jenis ringan mulut untuk melayan para tetamu. Lagipun, isterinya jenis petah berkata-kata. Jika tidak, masakan isterinya pernah menyertai debat bahasa Arab dulu.

Tidak lama kemudian, Qistur Ruwaidah melangkah keluar dari bilik air sambil tualanya disanggulkan di atas kepala agar air pada rambutnya tidak menitik di atas lantai. Alangkah terkejutnya dia apabila dia ternampak kelibat suaminya sedang berbaring di atas katil. Serta-merta pakaian nikah terlepas dari pegangannya.
“Allah!” ucapnya dengan spontan.
‘Isy! Baju ni, kan! Masa ni jugalah kau nak terjatuh,’ bisik hatinya pula.
Sungguh gelagat Qistur Ruwaidah menjadi tidak keruan. Dia menjadi gugup dan segan dengan gaun tidur yang dipakai olehnya itu bagi berhadapan dengan suaminya. Tatkala itu, dia ingin sahaja menukar pakaiannya itu.
Apabila Mohamad Salahuddin mendengar suara isterinya, matanya terbuka. Lantas, dia membangunkan diri dari perbaringannya. Niat di hati, dia mahu memeriksa keadaan isterinya. Dia menjadi bimbang pula seandainya berlaku apa-apa terhadap Qistur Ruwaidah. Akan tetapi, lain pula jadinya! Dia tergamam seketika tatkala dia menyaksikan pakaian isterinya itu. Matanya terus dihalakan ke arah lain. ‘Astaghfirullah… Apa yang aku nampak ni!’

Masing-masing diam seribu bahasa.

Posisi Qistur Ruwaidah masih terkaku. Lagaknya bagaikan terserempak dengan pencuri pula. ‘A… Alamak! Din dah nampak aku pakai macam ni. Ma… Malunya! Mana aku nak letak muka ni?’

Sementara itu, Mohamad Salahuddin cuba menguatkan hati untuk memandang semula isterinya sedang berpakaian gaun tidur eksklusif itu. ‘Qist… Terkejut aku tahu! Boleh pula kau pakai macam ni. Selama ni, manalah aku pernah tengok aurat kau. Itu pun aku tengok rambut kau je tadi tapi Qist… Sebenarnya, aku suka! Kau cantik sangat. Okey Din… Kau relaks. Buat je macam biasa. Jangan buat Qist rasa tak selesa,’ bisik hatinya.
Lalu, Mohamad Salahuddin memandang ke arah isterinya dengan reaksi normal. “Kenapa sayang?” soalnya.
Namun, pakaian Qistur Ruwaidah sememangnya…
Menggugat jiwa seorang Mohamad Salahuddin itu? Dia tidak menafikan. Akan tetapi, dia memahami sahaja reka bentuk pakaian itu sebagai tanda bagi isterinya memancing hatinya dan dia juga memahami hukum aurat di antara suami dan isteri.
“T… Tak ada apa, habibi. Pa… Pakaian sayang terjatuh ni,” balas Qistur Ruwaidah dengan gugup.
“Oh... Habibi ingatkan sayang nampak lipas ke apa tadi,” respons Mohamad Salahuddin dengan natural.
Lega hati Qistur Ruwaidah apabila reaksi suaminya biasa sahaja. Dia tersengih malu. “Taklah. Sekejap ya, habibi. Sayang nak masukkan pakaian ni kat dalam bakul. Lepas tu, kita solat zuhur,” terangnya. Lalu, dia menuju ke arah sebuah bakul yang tersedia di penjuru dinding.
Kemudian, Qistur Ruwaidah meleraikan tuala dari kepalanya dan digantung di atas penyangkut tuala. Dia mencapai telekungnya berserta dua helai sejadah, lalu dibentangkan mengikut arah kiblat. Mohamad Salahuddin tersenyum. “Terima kasih sayang,” ucapnya.
“Sama-sama habibi. Sayang nak pakai telekung sekejap.”
Setelah Qistur Ruwaidah menyarung telekungnya, dia bersuara. “Okey habibi. Sayang dah siap. Habibi boleh mula.”
Lalu, bersolatlah pasangan pengantin baru itu.
Usai pasangan itu menunaikan solat zuhur dan mengaminkan doa, Qistur Ruwaidah mengucup tangan suaminya itu. “Sayang minta reda dan restu habibi dalam apa jua yang sayang nak buat,” bicaranya.
Mohamad Salahuddin mengangkat wajah isterinya itu. “Jangan risau ya, sayang. Insya-Allah, habibi sentiasa reda dan restu untuk sayang.”
Qistur Ruwaidah tersenyum. Tenang hatinya seolah-olah reda suaminya mengiringinya. “Terima kasih habibi. Emm… Habibi… Sayang nak tanggalkan telekung ni sebab rambut sayang masih basah. Tak selesa. Lepas tu, sayang nak sikat rambut.”
“Sama-sama sayang. Okey.”
Qistur Ruwaidah bangun dari tempat duduknya itu, lalu dia menyangkut telekungnya. Kemudian, dia menuju ke arah meja solek untuk menyisir rambutnya sambil menyanyi-nyanyi kecil bagi menutup keresahan yang bergelora dalam hatinya. Bukannya dia tidak tahu bahawa suaminya sedang memerhatikannya di sebalik biasan cermin itu.
‘Qist nampak ke aku tengah perhatikan dia? Hmm… Walaupun aku dan dia dah lafaz kalimah cinta tadi tapi aku tahu dia masih malu dengan aku. Aku pun masih malu dengan dia tapi aku kena relaks. Macam Abang Suhaib cakap tadi, nak tak nak, aku kena mulakan dulu supaya Qist tak rasa malu sangat dengan aku. Okey, kau kena bertindak, Din!’ bicara hati Mohamad Salahuddin.
Lalu, Mohamad Salahuddin menghampiri sang isteri. Dia perlu bertindak dengan memecahkan tembok malu yang masih menebal dalam dirinya dan juga, Qistur Ruwaidah. “Sayang…” panggilnya sambil tangannya memegang kedua-dua belah bahu isterinya itu.
Jantung Qistur Ruwaidah terus berdegup laju tatkala suaminya bertindak sedemikian. Tangannya terus terhenti dari menyisir rambutnya sehingga membuatkan sikat tersebut terlepas dari pegangannya itu. Mohamad Salahuddin mencapai sikat tersebut, lalu diletakkan kembali di atas meja solek itu.
“K… Kenapa habibi?” soal Qistur Ruwaidah dengan terketar-ketar. Serta-merta, dia cuba menutupi bahagian tubuhnya yang kelihatan agak terdedah itu dengan cara dia memeluk dirinya biarpun dia tahu, aurat di antara dirinya dan Mohamad Salahuddin sudah tiada batas sejak terlafaznya ucapan ‘sah’.
“Masih rasa takut dengan habibi?” soal Mohamad Salahuddin kembali.
Mata Qistur Ruwaidah dihalakan ke arah lain. “M… Mana ada,” dalihnya. Ah, sudah! Kenapa dengan suaminya itu?
Mohamad Salahuddin meneruskan bicaranya. “Habibi tahu sayang masih takut, malu, tak selesa... Lagi-lagi sayang pakai macam ni. Sayang… Memang habibi suka tapi habibi tak minta sayang terus bertindak drastik pakai macam ni. Sayang kena bagi masa untuk diri sayang juga. Lepas ni, kita cuba perlahan-lahan biasakan diri hidup berdua. Okey?” luahnya.
“Emm… O… Okey habibi.”
Suasana terjeda seketika.
Qistur Ruwaidah terharu akan sifat memahami suaminya itu. Sedarilah dia bahawa pakaiannya itu sangat eksklusif dan suaminya amat menyukainya. Dia tetap mahu berpenampilan cantik dan menawan di hadapan suaminya pada hari pertama ini dia bergelar isteri biarpun dirinya masih diselimuti rasa amat malu terhadap suaminya.
Mohamad Salahuddin tersenyum menyaksikan sifat malu-malu kucing isterinya. Tambahan pula, isterinya memakai pakaian yang reka bentuknya sungguh indah pada pandangannya. Dia berjanji untuk memberikan nafkah berbentuk pakaian kepada isterinya pada setiap bulan agar isterinya berterusan tampil cantik di hadapannya dalam rumah. Dia tidak akan berkira untuk isterinya!

Mohamad Salahuddin juga menyedari Qistur Ruwaidah amat menjaga auratnya daripada disaksikan oleh mana-mana lelaki bukan mahram selama ini melainkan abangnya sahaja.

Kini, dia pula berhak ke atas isterinya itu. Semestinya Qistur Ruwaidah kekok. Namun, betapa dia rasa amat beruntung kerana hanya dia sahaja yang dapat menyaksikan makhota isterinya. Kenangan manis tersebut tidak akan dilupakan oleh dirinya pada hari pertama ini, dia bergelar suami untuk Qistur Ruwaidah.
“Take your time, my love…” kata Mohamad Salahuddin, lalu dia meninggalkan isterinya itu.
Qistur Ruwaidah memandang suaminya sedang menuju ke tempat perbaringan untuk merebahkan diri. Sejujurnya, dia terpukau dan makin jatuh cinta akan wajah tampan dan sifat romantik suaminya. ‘Mohamad Salahuddin, kenapa kau buat aku tak keruan?’
Langkah Qistur Ruwaidah segera mendapatkan Mohamad Salahuddin dengan meraih tangan lelaki itu. “Habibi, tunggu...” panggilnya.
Mohamad Salahuddin menoleh ke arah isterinya. “Ya sayang? Kenapa ni?”
“Pasal tadi... S…Sayang minta maaf sangat kalau habibi rasa sayang tak selesa dengan habibi ke apa. S…Sebenarnya, s…sayang malu sangat. Tak tahu nak balas macam mana. Sekali lagi, sayang minta maaf.”
Tatkala itu, Qistur Ruwaidah dapat menyaksikan senyuman sang suami.

Kelihatan Mohamad Salahuddin menyentuh pipi isterinya seraya mengusap dengan penuh kelembutan. “Habibi tahu, sayang. Demi Allah, habibi tak terasa pun. Sayang... Jom kita tidur dulu ya. Sebenarnya, penat habibi tak hilang lagi dari majlis tadi. Lepas solat asar, baru kita makan. Boleh?”

“Okey habibi. Boleh. Sayang pun rasa letih juga.”

USAI menunaikan solat asar berjemaah, Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin menuruni anak tangga untuk ke dapur bagi menjamah hidangan yang dibungkus oleh Suhaibul Umar di majlis akad nikah tadi.
Memandangkan pakaian tidur eksklusif Qistur Ruwaidah hanya boleh disaksikan oleh suami tercinta serta melindungi batas aurat dengan abangnya, dia mengenakan kardigan dan seluar tidur bagi menutupi anggotanya yang terdedah.
“Abang, ni lauk kenduri tadi ke?” tanya Qistur Ruwaidah.
“Haah... Abang dah panaskan lauk ni sekali lagi. Dah suam tadi,” balas Suhaibul Umar.
“Terima kasih, abang. Abang dah makan ke?” ujar Qistur Ruwaidah.
“Sama-sama adik. Abang kenyang lagi dari majlis tadi. Kau orang makanlah ya. Ha… Sebelum abang terlupa, pukul 6.00 petang ni abang nak lepak kat rumah Afkar sampai hari Ahad ni. Abang dah lama tak jumpa dia,” maklum Suhaibul Umar.
Suhaibul Umar sengaja meninggalkan rumah tersebut buat sementara waktu bagi memberikan peluang kepada pasangan itu untuk tinggal berdua sahaja. Lagipun, dia sudah berpakat dengan Afkar Irsyad untuk melepak di rumah kawannya itu.
“Alaa abang… Nanti adik rindu abang,” nada Qistur Ruwaidah bertukar menjadi sayu.
“Tak payah nak rindu sangatlah. Suami dah ada depan mata tu, kan?” usik Suhaibul Umar.
“Hmm… Yalah, yalah. Adik nak gurau sikit pun tak boleh,” kata Qistur Ruwaidah dengan gaya pura-pura merajuk.
“Mengadalah adik ni! Buang tabiat! Nak manja-manja, pergi kat Din ya. Abang rasa dia pun tak sabar nak kenal-kenal dengan adik,” usik Suhaibul Umar lagi. Lalu, dia mengenyitkan matanya ke arah Mohamad Salahuddin.
“Eh, abang ni pandai nak kenakan kita pula!” kata Mohamad Salahuddin dengan gaya acah terpinga-pinga.
“Memang Abang Suhaib macam tu, habibi. Terima jelah,” sampuk Qistur Ruwaidah seraya dia menyendukkan nasi minyak, ayam masak merah serta acar nanas timun. Air sejuk juga tidak dilupakan. Kemudian, dia menyerahkan hidangan tersebut untuk suami tercinta.
Mohamad Salahuddin tersengih manakala Suhaibul Umar tersenyum bahagia untuk adik-adiknya itu.
Setelah Qistur Ruwaidah menyendukkan makanan untuk dirinya, dia melabuhkan punggungnya di sebelah suaminya.
“Abang pergi kat ruang tamu dulu. Ada kerja sikit nak buat,” beritahu Suhaibul Umar. Hakikatnya, dia tidak mahu mengganggu pengantin baru itu.
“Okey abang. Abang… Nanti abang teman kita orang tengok hantaran dan hadiah kahwin tahu,” kata Qistur Ruwaidah.
“Okey adik,” ujar Suhaibul Umar. Lalu, dia meninggalkan ruang dapur tersebut.
Setelah Suhaibul Umar meninggalkan ruang dapur tersebut, pasangan itu mula membacakan doa makan.
Kemudian, Mohamad Salahuddin menyuakan nasi minyak yang telah digaulkan ayam masak masak dan acar nanas timun itu kepada isterinya. “Nah sayang,” katanya.
“Eh, habibi makanlah dulu kalau ya pun nak suap kat sayang!” tegur Qistur Ruwaidah.
“Tak apa. Habibi nak suap kat sayang dulu sebagai tanda, sayang keutamaan habibi sekarang dalam apa jua habibi nak buat.”

Terkedu Qistur Ruwaidah akan kata-kata suaminya, namun dia menyambut suapan suaminya itu. Setiap tindakan suaminya mempunyai makna tersirat. Kemudian, barulah Mohamad Salahuddin menyuakan hidangan tersebut untuk dirinya. Masing-masing menikmati hidangan kenduri dengan penuh khusyuk. Lapar punya pasal!

Usai pasangan itu menjamu selera, Mohamad Salahuddin membawa pinggan miliknya dan isterinya untuk dibasuh. Dia sudah terbiasa sejak kecil untuk melakukan kerja-kerja di dapur. Berkat didikan ibu bapanya, terdidiklah dia menjadi seorang yang rajin walaupun dia merupakan anak lelaki. Ibu bapanya tidak membezakan peranan lelaki dan perempuan berkenaan hal di dapur. Sama sahaja.

Dari situlah, Qistur Ruwaidah nampak bahawa suaminya merupakan seorang yang ringan tulang. Ketika itu, dia sedang mengelap meja makan sambil mencuri-curi pandang suaminya.

Tiba-tiba Mohamad Salahuddin merangkul pinggang isterinya dari belakang, lalu dia berbisik sesuatu ke telinga isterinya. “I love you, Qistur Ruwaidah,” ucapnya dengan suara penuh romantis. Kemudian, dia mengucup pipi isterinya.

Tangan Qistur Ruwaidah terhenti seketika daripada aktiviti mengelap meja makan itu, lalu wajahnya dihalakan ke arah suaminya. Sejujurnya, hatinya menjadi cair dengan tindakan suaminya itu. Namun, dia masih malu! “Eii… Habibi ni! Abang Suhaib nampaklah nanti,” katanya dengan nada malu-malu, namun dia tidak meleraikan rangkulan suaminya itu.

Rangkulan tersebut semakin dieratkan oleh Mohamad Salahuddin. Dia berasa amat tenang dengan tindakannya itu. Qistur Ruwaidah sudah sah untuk dirinya dan dia mahu mengekspresikan segala cintanya melalui perbuatan dan kata-kata. “Cakap dulu ‘I love you’. Baru habibi lepaskan.”
“Ya Allah, mengadanya habibi ni! Okeylah, I love you too, Mohamad Salahuddin. Ha, puas hati?” ujar Qistur Ruwaidah. Lalu, dia membalas kucupan di pipi suaminya. Dia dapat menyaksikan renungan mata suaminya memandang dirinya dengan rasa cinta yang amat mendalam. Mana mungkin dia tidak cair dengan pandangan suaminya itu!

Barulah rangkulan tersebut dilepaskan oleh Mohamad Salahuddin, lalu dia tersenyum dengan penuh kasih. Sungguh indah bersama insan tercinta itu. “Okey… Habibi puas hati. Lama lagi ke sayang nak lap meja?”
“Dah nak siap ni,” kata Qistur Ruwaidah seraya mengelap di permukaan terakhir meja tersebut.
Usai Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin menguruskan hal di dapur, pasangan itu saling berpegangan tangan dengan erat untuk menuju ke ruang tamu. Kelihatan Suhaibul Umar sedang sibuk mengira sesuatu dengan menggunakan kalkulator.
“Abang…” panggil Qistur Ruwaidah.
“Sekejap ya, adik, Din,” balas Suhaibul Umar sambil tangannya lincah menekan butang kalkulator itu.

Sementara itu, Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin duduk bersila di atas lantai sambil membelek hantaran-hantaran dan hadiah-hadiah yang diberikan oleh para tetamu yang hadir.
Akhirnya, Suhaibul Umar berjaya menamatkan aktiviti kira-kira berkenaan bisnes gubah hantarannya. Kemudian, barulah dia menyertai pasangan itu. Kelihatan pasangan tersebut sedang membelek hantaran jam tangan milik Mohamad Salahuddin.
“Kau orang nak ambil gambar tak?” tanya Suhaibul Umar seraya menunjukkan kamera DSLR miliknya.
“Eh, nak! Baru adik ingat nak suruh abang tolong tangkapkan gambar kita orang. Sekejap… Adik pergi ambil tudung,” balas Qistur Ruwaidah seraya bingkas bangun dari tempatnya. Lalu, dia menghilangkan diri untuk menuju ke tingkat atas.

Tinggallah seketika Suhaibul Umar dan Mohamad Salahuddin di ruang tamu.

“Hari tu Din cakap, Din dah jumpa rumah sewa kat Sungai Pusu. Bila Din nak bawa Qist pindah kat rumah sewa tu?” Suhaibul Umar berbasa-basi dengan adik iparnya itu.

“Insya-Allah lepas majlis kesyukuran sebab Din nak kena kemas banyak benda kat rumah tu. Bila-bila abang lapang, datanglah rumah kita orang. Pintu rumah sentiasa terbuka untuk abang,” balas Mohamad Salahuddin.

“Insya-Allah boleh je. Kau orang pun bila-bila lapang, datanglah lepak sini.”

Tidak lama kemudian, Qistur Ruwaidah muncul di ruang tamu bersama tudung labuh bulatnya itu. Bermulalah sesi pembukaan hadiah-hadiah kahwin terlebih dahulu.

“Wah, periuk nasi!” kata Qistur Ruwaidah dengan ceria.
“Alhamdulillah. Dah tak payah beli,” kata Mohamad Salahuddin.
Selain itu, pasangan tersebut menerima hadiah berupa set pinggan-mangkuk, set pisau, alat perkakas dapur, dua helai tuala, sebuah ketuhar, cerek elekrik dan beberapa lagi barang lain yang amat diperlukan oleh pasangan itu. Betapa mereka berdua bersyukur di atas pemberian-pemberian tersebut. Sangat berguna dan jimat duit. Sementara itu, Suhaibul Umar merakamkan detik-detik berharga itu.

“Senang kau orang. Banyak benda tak payah beli. Barang hantaran pun sama. Apa kau orang nak, masing-masing dah bagi,” kata Suhaibul Umar.

“Tulah… Sebenarnya, Din tak sangka Qist nak bagi PS4. Macam tahu-tahu je Din nak,” kata Mohamad Salahuddin. Lalu, dia melemparkan senyuman kepada isterinya.

Qistur Ruwaidah tersengih. “Sayang tahu sebab sayang tanya Keena.”
“Amboi, pandai berpakat dengan Keena!”
“Habibi ni… Kan kita orang dah lama kamceng lepas perjumpaan kat Adenium dulu. Macam tak faham pula.”

Masing-masing tertawa kecil.

“Okey adik, Din. Abang masuk bilik dulu ya. Nak kemas barang,” kata Suhaibul Umar.
Setelah Suhaibul Umar meninggalkan pasangan tersebut di ruang tamu itu…
“Habibi… Boleh sayang tanya sesuatu?” tanya Qistur Ruwaidah.
“Kalau ya pun, tanggallah tudung tu dulu. Masih rasa cuak dengan habibi ke?” usik Mohamad Salahuddin.

Aduhai, Qistur Ruwaidah terkena lagi! Dia tersengih. Lalu, dia menanggalkan tudung labuh bulatnya itu. Kali ini, dia lebih relaks kerana suaminya jenis suka mengusik. Jadi, makin kuranglah rasa kekoknya itu berbanding tadi. Dia menyandarkan kepalanya seketika di atas bahu suaminya itu. Sengaja dia mahu bermanja dengan suaminya itu.

Mohamad Salahuddin tersenyum menyaksikan tindakan isterinya. Bijak Qistur Ruwaidah meraikan dirinya yang amat menyukai perempuan yang bersifat manja. Sifat manja tersebut ada pada isterinya. Biarlah dia seorang sahaja yang berhak menyaksikan sifat manja Qistur Ruwaidah kerana dia jenis cemburu orangnya. Dia tidak akan mengizinkan mana-mana lelaki bukan mahram untuk mendekati isterinya. Apatah lagi, untuk menyaksikan sifat manja isterinya.

“Emm… Sayang nak tanya pasal mas kahwin sayang,” Qistur Ruwaidah mula membuka topik.

“Mas kahwin sayang? Kenapa? Tak cukup ke? Nak habibi tambahkan lagi ke? Nak rantai pula ke?” seloroh Mohamad Salahuddin.

Seketika, Qistur Ruwaidah mengangkat kepalanya dari bahu suaminya itu. Lalu, dia menatap wajah suaminya sambil mencebik. “Memang taklah! Dah lebih dari cukup habibi bagi tahu! Sayang terkejut sangat! Masa kita tunang dulu, habibi cakap habibi nak bagi mas kahwin RM500 dan cincin tapi masa akad nikah tadi, lain pula. Kenapa habibi bagi mas kahwin sampai RM3000? Tambah gelang emas pula! Bila masa habibi tukar senarai mas kahwin kat pejabat agama?”

Mohamad Salahuddin meraih kedua-dua tangan isterinya itu, lalu dikucupnya. “Sebab sayang berharga sangat untuk habibi. Susahnya habibi nak dapatkan sayang dulu. Habibi tambahkan gelang emas selain RM3000 dan cincin dalam mas kahwin sayang sebagai tanda penghargaan habibi untuk sayang sebab sayang sudi untuk hidup dengan habibi. Masa habibi nak dapatkan sayang dulu, habibi ingatkan mustahil. Bila sayang terima lamaran habibi, habibi rasa bahagia sangat dan buat habibi nak banyak memberi kat sayang lepas kahwin ni. Anggaplah, mas kahwin sayang tu sebagai tanda, dalamnya cinta habibi buat sayang…”

Sambung bicara Mohamad Salahuddin… “Pasal soalan sayang, bila masa habibi pergi tukar senarai mas kahwin kat pejabat agama? Adalah dalam tiga minggu, lepas kita tunang. Habibi ada minta borang kebenaran nikah kat sayang, kan? Masa tulah habibi pergi tukar senyap-senyap. Lepas tu, habibi minta tolong mak pilihkan gelang kat Widuri. Macam tulah ceritanya.”
“Ha… Habibi...” Qistur Ruwaidah terkedu akan penerangan suaminya itu.

“Habibi romantik, kan?” usik Mohamad Salahuddin seraya mendekatkan wajahnya ke arah wajah isterinya.
Qistur Ruwaidah menjadi malu semula, namun dia cuba untuk menyakat suaminya pula. “Kalau sayang cakap… tak?”
“Habibi tak nak kawan dengan sayang.”
“Ya Allah… Mohamad Salahuddin bin Mohd Firdaus ni! Mengada! Ha, satu lagi soalan. Sayang nak tanya pasal hantaran. Dalam banyak-banyak barang, kenapa habibi bagi iPad dan telefon? Okeylah habibi bagi telefon sebab telefon sayang pun dah minta kena tukar sebab memori telefon asyik-asyik penuh. Cuma, iPad tulah… Kenapa?”

Mohamad Salahuddin tersengih. “Sayang habibi ni penulis, kan? Habibi bagilah iPad supaya sayang senang nak tulis kat mana-mana. Tak perlu nak galas beg laptop. Masa kelas BTQ (Basic Themes of Al-Quran) kat CFS dulu, habibi ingat lagi gigihnya sayang galas beg laptop. Berat tahu. Kesian sayang.”

“Terharunya sayang! Tak sangka habibi raikan kerja sampingan sayang.”

“Dah habibi ni suami sayang. Mestilah habibi kena faham tugas sayang dan apa yang sayang perlukan. Takkan habibi nak sekat pula. Sayang ni pun…”

Qistur Ruwaidah mengukir senyuman. Suaminya sangat peka untuk dirinya biarpun dia tidak meminta! “Habibi ni memang terbaiklah. Ni buat sayang makin cinta kat habibi. I love you!”
“I love you too, sayang. Emm… Sayang… Boleh tak lepas solat maghrib nanti, habibi nak taaruf lagi dengan sayang? Sayang ni misterilah. Banyak perkara lagi habibi tak tahu pasal sayang,” balas Mohamad Salahuddin seraya menghadiahkan senyuman buat isterinya itu.

‘Alamak… Senyuman Din ni buat aku cair pula! Relaks Qist! Relaks!’ bisik hati Qistur Ruwaidah. Betapa indahnya dia bersama lelaki yang cukup romantik itu.

“Misteri apa pula habibi? Sayang macam ni jelah. Tak ada apa-apa yang istimewa. Sayang ni bukan siapa-siapa pun.”

Mohamad Salahuddin mencuit hidung isterinya. “Sebab sayang istimewa dan ada apa-apalah, habibi jatuh cinta kat sayang. Faham tak, Qistur Ruwaidah binti Isyraf Imrani?”

Tersengih-sengih Qistur Ruwaidah dibuatnya! Ah, makin romantik pula suaminya itu! “Faham habibi… Sayang pun nak taaruf habibi juga. Rasanya habibi dah tahu banyak pasal sayang. Ikutkan habibi lagi misteri tahu. Sayang nak tahu juga kisah habibi dan apa-apa je yang habibi nak beritahu sayang,” ujarnya.

“Jangan risau. Malam ni, habibi akan cerita apa yang sayang tak tahu pasal habibi dan keluarga habibi. Sayang pun boleh je nak tanya apa-apa. Habibi takkan berahsia. Habibi janji,” kata Mohamad Salahuddin.

KELIHATAN Suhaibul Umar sedang menggalas beg galasnya menandakan bahawa dia sudah bersedia untuk meninggalkan suami isteri tersebut di rumah itu. Pasangan itu sedang menonton drama televisyen. “Adik, Din… Abang gerak dulu tahu,” beritahunya.
Konsentrasi Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin terhadap rancangan televisyen itu terhenti seketika. Lalu, pasangan itu menuju ke arah Suhaibul Umar.

Qistur Ruwaidah menyalam tangan abangnya itu. “Jaga diri kat rumah Abang Afkar,” ucapnya. Diikuti pula oleh Mohamad Salahuddin.
“Insya-Allah. Jumpa hari Ahad nanti. Adik dan Din pun jaga diri. Abang sentiasa doakan kebahagian kau orang,” balas Suhaibul Umar sambil mengambil kunci keretanya yang digantung pada penyangkut kunci.

Hanya Allah Maha Mengetahui betapa sebaknya Suhaibul Umar mengungkapkan ayat sedemikian. Bukan lagi dirinya bertanggungjawab terhadap Qistur Ruwaidah. Semestinya dia akan rindu untuk menjaga dan melindungi adiknya seperti dahulu. Namun, dia reda bahawa Mohamad Salahuddin ditakdirkan untuk adiknya bagi menggantikan tugasnya. Biarlah… Sekurang-kurangnya, apa-apa terjadi dengan dirinya kelak, Mohamad Salahuddin ada untuk adiknya.
“Insya-Allah,” ucap pasangan tersebut.
Dalam diri Qistur Ruwaidah, dia sudah berasa sebak akan kata-kata terakhir abangnya itu. Dia menyedari Suhaibul Umar tidak lagi bertanggungjawab ke atas dirinya. Kini, dia telah mempunyai seorang suami untuk dihormati dan ditaati.
Bagai memahami gelora jiwa Qistur Ruwaidah, Mohamad Salahuddin menggenggam erat tangan isterinya.

Akhirnya, kereta Mydi milik Suhaibul Umar mula meninggalkan rumah tersebut. Tinggallah Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin sahaja di rumah itu.

“Sayang okey tak?” tanya Mohamad Salahuddin setelah mereka berdua berada di bilik pengantin.
Pada waktu itu, pasangan tersebut sedang duduk di atas katil sambil menjulurkan kaki.

“Alhamdulillah. Okey je. Kenapa habibi?” respons Qistur Ruwaidah. Dia tidak mahu menunjukkan kesedihannya itu, namun suaranya menggambarkan kesedihan yang cukup mendalam.
Mohamad Salahuddin cuba memujuk isterinya. Dia tidak mahu Qistur Ruwaidah terus bersedih akan perpisahan dengan abangnya itu. “Janganlah tipu habibi. Suara sayang tu sedih sangat. Mata sayang pun nampak sedih. Alaa… Tak seronoklah sayang sedih-sedih ni. Habibi tak boleh nak usik pula.”
Qistur Ruwaidah ketawa kecil. Bijak suaminya menceriakan kalbunya. “Habibi ni… Ada-ada je. Ha, habibi! Sekejap lagi, dah nak masuk waktu maghrib. Keena cakap habibi jenis solat jemaah kat masjid. Emm… Hari ni, boleh tak habibi imamkan solat maghrib dan isyak kat rumah? Hari ni je.”
“Boleh je sayang. Tak ada masalah. Hari-hari pun boleh,” kata Mohamad Salahuddin seraya memandang isterinya dengan penuh kasih.
Lega hati Qistur Ruwaidah apabila mendengar kata-kata suaminya itu. Sebenarnya, dia ingin mendengar suara suaminya menuturkan ayat Al-Quran dalam solat.
“Ah, ya sayang. Habibi baru teringat sesuatu. Dalam pukul 7.00 pagi esok, habibi ingat nak ajak sayang pergi satu tempat ni kalau sayang tak keberatan,” kata Mohamad Salahuddin.
“7.00 pagi? Wah, awalnya habibi nak ajak sayang keluar! Pergi mana?” ujar Qistur Ruwaidah dengan nada teruja.
“Ziarah kubur keluarga sayang. Habibi nak jumpa mama, baba, Kak Qina, Dik Harraz dan Dik Harzan. Untuk mama dan baba, habibi nak ucap terima kasih sebab lahir dan didik sayang dulu dengan baik. Boleh tak?”
Qistur Ruwaidah tersentak seketika. Tidak sangka itu rupanya permintaan suaminya. “B… Boleh habibi,” ucapnya, sebak. Tatkala itu, dia tidak mampu menahan rasa sebaknya dan air mata yang membendung di tubir matanya. Lalu, gugurlah air matanya itu.
Alangkah terkejutnya Mohamad Salahuddin apabila dia menyaksikan air mata isterinya itu. “Eh, sayang! Sayang okey tak ni! Habibi minta maaf! Habibi silap…”
“T… Tak. Bukan salah habibi. Sayang okey je habibi nak ‘ziarah’ keluarga sayang. Cuma, bila sebut pasal ziarah kubur ni, memang sayang rindu sangat kat keluarga sayang. Teringat masa dia orang ada dulu. Teringat juga masa hari dia orang dikebumikan. Hati sayang sakit…”
Perlahan-lahan, Mohamad Salahuddin menyandarkan kepala isterinya ke dadanya itu bersama pelukan yang cukup erat agar Qistur Ruwaidah berasa tenang dan selamat dengan dirinya. Juga, dia ingin mengurangkan rasa sedih yang dialami oleh isterinya. “Menangislah sayang. Habibi tahu sayang dah lalui macam-macam ujian dulu. Sekali lagi, habibi minta maaf sebab dah buat sayang menangis,” ucapnya dengan penuh sayu.
Qistur Ruwaidah berterusan menangis dalam pelukan suaminya itu. Hanya Allah Maha Mengetahui kesakitan jiwanya dalam menanggung rasa rindu yang tidak berpenghujung itu. “Isk… Isk… Isk… Sa… Sayang rin…du dia orang! S… Sa…. yang rin…du s…sa…ngat!” rintihnya.
“Habibi tahu, sayang. Habibi tahu,” pujuk Mohamad Salahuddin dengan lembut sambil mengelus rambut Qistur Ruwaidah. Barulah dia mengerti bahawa isterinya mempunyai jiwa yang cukup sensitif.
Tubuh Qistur Ruwaidah menjadi penat akibat terlalu banyak menangis sehingga menyebabkan dia tertidur dalam pelukan suaminya itu.
‘Tidur dah dia… Tak apa. Harapnya Qist makin okey lepas dia bangun. Nanti nak dekat-dekat Maghrib, aku kejut dia. Aku ni pun satu! Kenapalah aku pergi bangkitkan pasal keluarga dia hari ni! Macam tak ada hari lain je! Silap besar betullah!’ bisik hati Mohamad Salahuddin, lalu dia membaringkan kepala isterinya di atas bantal. Dia mengusap ubun-ubun seraya mencium dahi isterinya.
‘Sayang… Habibi minta maaf sebab dah buat sayang menangis pada hari kita disatukan ni. Habibi tak sengaja. Habibi silap,’ bisik hatinya.
Akhirnya, Mohamad Salahuddin mengambil keputusan untuk menghebahkan hubungannya dengan Qistur Ruwaidah sebagai suami isteri di media sosial, iaitu Fac dan Instagram. Juga, dia melampirkan satu foto sewaktu majlis akad nikah pada pagi tadi berserta kapsyen untuk berkongsi kegembiraan tersebut.

Fac dan Instagram Mohamad Salahuddin:

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani serta selawat dan salam buat junjungan Nabi Muhammad dan para sahabat Baginda. Alhamdulillah, pada hari ini, 1 September 2016 bersamaan 28 Zulkaedah 1437H, saya Mohamad Salahuddin bin Mohd Firdaus dan isteri, Qistur Ruwaidah binti Isyraf Imrani telah selamat diijabkabulkan di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak pada jam 10.40 pagi tadi. Mohon doakan kami agar perkahwinan kami berada dalam ketenangan dan kasih sayang serta berkekalan sehingga ke Syurga.

Bagi Mohamad Salahuddin, cukuplah dia menghebahkan ayat seperti itu sahaja. Tidak perlu dia berlebih-lebihan seperti memasukkan nama panggilan mereka berdua dalam ayat tersebut. Untuk apa orang lain tahu? Malu pun satu hal. Dia tidak perlu mengkhabarkan kepada seluruh dunia bahawa isterinya terbaik untuk dirinya. Dia juga tidak perlu memuat naik gambar yang akan membuatkan orang meluat. Cukuplah satu gambar itu sahaja. Kemudian, dia akan mengubah seting gambar tersebut dalam bentuk privasi selepas beberapa hari nanti.
Satu lagi, sekiranya dia dan isterinya memiliki zuriat kelak dengan izin Ilahi, dia akan melakukan yang sama dengan menghebahkan kelahiran anak di media sosial. Kemudian, dia akan mengubah seting gambar dalam bentuk privasi.

Cukuplah juga bagi Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah sahaja yang tahu pahit manis yang dilalui bersama sebagai suami isteri.

Bagi Mohamad Salahuddin, memanglah dia sudah halal untuk Qistur Ruwaidah tetapi itu tidak bermakna dia dan isterinya boleh menunjukkan apa yang tidak sepatutnya kepada orang lain. Mereka berdua perlu memelihara aib, maruah dan aurat dalam pernikahan.

Rupa-rupanya, cara Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah berfikir berkenaan hubungan dalam pernikahan itu sama, iaitu simpan untuk pasangan sahaja tanpa orang lain perlu mengetahui pun tentang alam rumah tangga mereka berdua seperti kehidupan selepas nikah, sambutan hari lahir atau ulang tahun perkahwinan mereka kelak. Biarlah rahsia serta lebih manis dan lebih eksklusif.

Nama akaun Fac dan Instagram Qistur Ruwaidah turut ditag oleh Mohamad Salahuddin. Kemudian, dia menekan butang ‘hantar’.

Tidak lama kemudian, ucapan tahniah membanjiri kedua-dua akaun media sosial itu. Bahkan, para kenalan yang sama-sama mengenali Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah terkejut akan pengumuman tersebut. Mohamad Salahuddin tersengih-sengih membaca komen demi komen, namun dia akan membalas komen-komen tersebut pada waktu lain nanti.
Tiba-tiba, Mohamad Salahuddin terdengar isterinya memanggil dirinya.

“Habibi…” panggil Qistur Ruwaidah sambil meraba-raba tangan suaminya. Dia takut seandainya suaminya meninggalkan dirinya secara tiba-tiba.

Mohamad Salahuddin terus meletakkan telefon pintarnya di atas meja lampu bagi memberikan perhatian secara penuh kepada isterinya itu. “Ya sayang… Jangan takut. Habibi ada kat sini. Kalau sayang nak sambung tidur lagi, sambunglah. Nak dekat Maghrib nanti, habibi kejutkan.”

Qistur Ruwaidah menggeleng, lalu dia membangunkan dirinya untuk berada dalam posisi duduk sambil menjulurkan kakinya. Wajah suaminya ditatap dengan penuh rasa cinta. “Sa… Sayang minta maaf,” ucapnya.

“Bukan salah sayang pun. Patutnya, habibi yang kena minta maaf kat sayang. Habibi tak patut bangkitkan pasal keluarga sayang hari ni.”

Qistur Ruwaidah menggeleng lagi. Perlahan-lahan, dia memaut lengan suaminya sebagai tanda bahawa dia sudah selesa bersama dengan suaminya itu. Mohamad Salahuddin tersentak seketika, namun dia tersenyum kemudiannya. Isterinya sudah kelihatan tenang dengan dirinya.
“I love you always, habibi. Always. Thank you for everything,” ucap Qistur Ruwaidah.
“Welcome. I love you too as always, sayang. Sayang dah okey?” ujar Mohamad Salahuddin.
Qistur Ruwaidah mengangguk.
“Habibi dah umumkan pernikahan kita kat Fac dan Instagram. Ramai terkejut sebab kita kahwin hari Khamis. Ada juga yang kenal kita, terkejut sebab tak tahu pasal hubungan kita,” beritahu Mohamad Salahuddin seraya tersenyum.
“Wah, habibi dah umumkan! Okeylah macam tu. Habibi… Boleh tak sayang nak buat satu permintaan?” ujar Qistur Ruwaidah.

“Insya-Allah selagi tak membebankan habibi, habibi okey je. Apa dia?”

“Sayang tak nak hubungan kita dipamerkan kat media sosial. Cukuplah kita berdua je yang tahu. Bukan apa… Sebab sayang ni bukan jenis nak jaja kehidupan peribadi sayang kecuali pasal penulisan. Senang kata, sayang tak suka.”

Mohamad Salahuddin tersenyum. Lalu, dia memegang dagu isterinya itu. “Kalau sayang tak cakap pun, memang habibi takkan pamerkan. Habibi pun tak suka sebab habibi tahu, akan ada orang yang tak senang dan dengki. Jadi, buat apa kita nak tunjuk kat orang? Apa tujuan kita nak tunjuk? Nak raih perhatian? Come on… Tak eksklusiflah sebab orang lain tahu. Baik kita simpan untuk diri kita je. Kita kena ada standard kita. Walaupun kita dah kahwin, kita tetap kena jaga batas suami isteri dengan orang lain. Ni pun habibi kongsikan gambar kahwin kita sekejap je dalam beberapa hari sebab nak hebahkan kat orang. Kalau tak hebahkan, nanti jadi fitnah pula. Lepas tu, habibi akan private gambar tu.”
Qistur Ruwaidah tersenyum akan tindakan suaminya itu. “Wah, sayang tak sangka! Cara kita berfikir samalah, habibi! Betul sangat hujah habibi tu. Sayang sokong dan memang tu yang sayang fikir pun sebelum sayang setuju terima lamaran habibi dulu.”
“Sayang… Sebab tulah, kita dah ditakdirkan sejak di Lohmahfuz. Satu lagi, sayang terlalu berharga macam mutiara untuk habibi. Jujur ya, sayang… Habibi jenis cemburu tapi insya-Allah habibi cemburu berpada-pada dan bertempat. Habibi akan cuba lindungi sayang supaya tak ada mana-mana lelaki berani dekati sayang. Apatah lagi, nak tengok perangai manja sayang. Jangan haraplah ya. Dahlah habibi suka perempuan manja. Sayang pula memang manja. Habibi takkan boleh kalau orang lain tengok sebab bagi habibi, sayang milik habibi seorang. Diri sayang sangat eksklusif untuk habibi seorang je.”

“Subhanallah! Tiba-tiba sayang rasa dihargai sangat. Habibi… Jangan risau ya. Sayang akan letak benteng untuk diri sayang supaya tak ada mana-mana lelaki yang dekati sayang. Insya-Allah sayang pandai jaga diri sayang. Maruah dan kehormatan diri sayang pun, sayang akan jaga sebaiknya memandangkan sayang dah kahwin. Ada habibi sebagai suami yang sayang kena fikir. Perangai manja sayang pun, memang khas untuk habibi je. Sayang takkan tunjuk kat orang lain. Insya-Allah. Sayang janji.”
Mohamad Salahuddin mengucup dahi isterinya buat seketika. “Insya-Allah. Kita sama-sama jaga kehormatan diri. Emm… Sayang jangan fikir pula habibi nak suruh sayang pakai purdah atau niqab pula. Jangan tahu. Cukuplah sayang dah tutup aurat. Paling penting, jangan tak pakai stoking lengan dan stoking kaki. Tu je habibi minta.”
Qistur Ruwaidah membuat gaya tabik hormat. “Okey habibi. Arahan diterima! Sayang taat. Sayang patuh.”
Serentak, renungan mata Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah saling berpandangan dengan penuh rasa cinta. Kasih sayang juga turut tersemai dalam jiwa.

AZAN maghrib berkumandang di kawasan perumahan Taman Lembah Keramat bagi menyeru umat Islam untuk beribadah pada Maha Agung. Azan tersebut begitu mendayu-dayu dan menenangkan bagi sesiapa yang benar-benar menghayatinya.
Usai azan maghrib berkumandang, Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin menadah tangan doa selepas azan.
“Boleh sayang ambil wuduk dulu?” pinta Qistur Ruwaidah.
“Silakan tuan puteri. Hamba menunggu di sini,” balas Mohamad Salahuddin dengan mengungkapkan madah klasik. Secara kiasannya, dia mahu mendahului isterinya dalam apa jua keadaan.
Qistur Ruwaidah terhibur akan kata-kata suaminya itu. Lalu, dia melangkah masuk ke dalam bilik air untuk berwuduk.
Usai Qistur Ruwaidah mengambil wuduk, giliran Mohamad Salahuddin pula. Kelihatan Qistur Ruwaidah menyarung telekung dan membentangkan sejadah untuk mereka berdua.
“Sayang dah sedia nak solat?” tanya Mohamad Salahuddin di belakang isterinya itu.
Qistur Ruwaidah menoleh ke belakang. “Dah habibi. Habibi boleh mulakan.”
Mohamad Salahuddin mengambil tempatnya sebagai imam. Niat solat dilafazkan dalam hati, lalu dia melaungkan takbir. “Allahu Akbar.”
Bilik pengantin itu disirami dengan alunan suara merdu Mohamad Salahuddin yang begitu mengasyikkan dalam mengalunkan potongan ayat al-Quran selepas surah al-Fatihah.
Setelah memberikan salam kedua, pasangan itu mula berwirid. Kemudian, Mohamad Salahuddin berdoa kepada Ilahi dan diaminkan oleh Qistur Ruwaidah.

“Amin ya rabbal alamin,” ucap Mohamad Salahuddin. Kemudian, dia menoleh ke belakang untuk bersalaman dengan isterinya itu.
Qistur Ruwaidah menyambut huluran salam suaminya bersama linangan air mata menandakan dia terharu. Betapa bertuahnya dia memiliki seorang suami sebaik Mohamad Salahuddin. Ternyata keputusan istikharahnya untuk lelaki itu tidak salah.
Tangisan terharu Qistur Ruwaidah dapat disaksikan oleh Mohamad Salahuddin. Ah, sudah… Kenapa isterinya menangis lagi? “Sayang… Kenapa sayang menangis lagi ni? Habibi ada buat salah kat sayang ke?” soalnya sambil merapati isterinya itu. Bimbang pula sekiranya dia telah mengguriskan hati isterinya tanpa sedar, lalu diseka air mata sang isteri itu.

“Taklah. Habibi tak buat apa-apa salah pun. Maaflah habibi… Hati sayang ni sensitif sangat,” balas Qistur Ruwaidah bersama senyuman biarpun air mata masih menemaninya.

Mohamad Salahuddin menggarukan kepalanya yang tidak gatal. “Aik? Kalau habibi tak buat apa-apa salah, kenapa tiba-tiba sayang menangis?”

Qistur Ruwaidah memaniskan wajahnya itu. “Sayang gembira sangat hidup dengan habibi hari ni. Sayang teringin nak jadi ketua bidadari habibi kat Syurga nanti. Masa habibi baca potongan ayat surah al-Mai’dah dan surah al-Insaan dalam solat tadi, suara habibi merdu sangat. Sayang tak pernah rasa bahagia macam ni.”

“Allah… Habibi pun gembira hidup dengan sayang. Habibi pun nak sayang jadi ketua bidadari habibi kat Syurga tapi… Ada syaratnya, sayang. Habibi kena didik sayang dengan baik supaya sayang jadi wanita solehah. Habibi pun harap, habibi mampu bahagiakan sayang sampai maut je yang pisahkan kita. Insya-Allah. Sayang… Kalau ikut bacaan habibi tadi, biasa je. Taklah mampu baca macam imam Mekah. Memang imam sana baca asyik. Emm… Sebenarnya, habibi baru tahu pasal sayang masa habibi pernah bermalam kat rumah ni. Sayang ni hafaz satu Al-Quran rupanya. Seganlah habibi. Habibi biasa je. Hafaz pun surah-surah tertentu-tentu je masa kat sekolah dan kem tahfiz.”
“Isy, habibi ni! Ada ke habibi patut cakap macam tu? Sayang tak kisahlah habibi tak hafaz satu Al-Quran pun. Sayang lagi tengok peribadi habibi. Habibi baik sangat dan hati lembut. Tak macam sayang. Sayang jenis kurang penyabar dan tak setenang habibi. Harapnya habibi sabar layan kerenah sayang tahu.”

“Sayang… Sejak habibi jatuh hati kat sayang dan berangan nak hidup dengan sayang, dah lama habibi terima sayang seadanya. Kalau habibi tak sedia nak layan kerenah isteri, baik habibi tak payah kahwin, kan? Habibi tak harapkan kesempurnaan daripada sayang tapi habibi harap, kehadiran sayang dapat melengkapkan apa-apa yang kurang dalam diri habibi. Habibi harap sayang dapat terima habibi seadanya. Habibi pun manusia biasa… Banyak kelemahan dan kekurangan.”
“Insya-Allah habibi. Sayang pun dah sedia terima habibi seadanya sejak sayang terima lamaran habibi.”
Pasangan itu terdiam seketika. Hanya kedengaran bunyi penyaman udara sahaja.
“Sayang… Petang tadi, habibi cakap habibi nak taaruf sayang. Jadi, boleh tak habibi tanya sesuatu?” bicara Mohamad Salahuddin.

“Oh yalah. Habibi nak taaruf sayang. Boleh je habibi. Habibi nak tanya apa? Tanya je. Sayang takkan berahsia apa-apa dengan habibi. Lepas ni, sayang pula taaruf habibi,” balas Qistur Ruwaidah.
“Habibi ada tengok gambar-gambar sayang atas meja kat dalam bilik sayang petang tadi. Habibi nampak gambar sayang dengan seorang lelaki. Siapa tu?”
Qistur Ruwaidah tersentak seketika, lalu dia menghelakan nafasnya. “Erm… Kalau habibi rasa cemburu, sayang minta maaf. Sayang tak patut simpan. Patutnya, sayang kena buang gambar tu. Lagipun, habibi cakap habibi jenis cemburu kalau ada lelaki lain dekati sayang.”
“Kalau sayang tak beritahu dia siapa, macam mana habibi nak cakap habibi cemburu ke tak. Jangan risau. Habibi cuma tertanya sebab habibi macam pernah nampak dia. Sayang ceritalah dia tu siapa.”

“Nama dia Sufi Waazin. Kawan baik sayang masa sekolah menengah dulu. Habibi cakap habibi pernah nampak dia, kemungkinan betul sebab dia pernah belajar kat CFS dulu. Budak ENGINE.”

“Sufi Waazin? Eh, sekejap! Rasa macam pernah dengar nama brother tu.”
“Kalau habibi ingat, kisah dia pernah kecoh kat FB CFS. Dia meninggal dunia sebab kemalangan kat highway. Kereta dia bertembung dengan lori trelar.”
“Ya Allah… Ya, ya. Habibi ingat berita tu. Betullah habibi pernah tegur sapa dengan Sufi tu sebab kita orang satu mahallah dulu. Dia kawan baik sayang rupanya. Masa tu, dia dah semester akhir kat CFS, kan?”

“Betul tapi tulah... Umur dia tak panjang. Lagi buat sayang sedih pasal kematian dia sebab sebelum dia meninggal dunia, sayang tengah tunggu dia. Kita orang nak pergi jalan-jalan sebab dah lama tak jumpa. Tahu-tahu, sayang dapat panggilan daripada pihak polis. Pihak polis beritahu dia meninggal dunia kat tempat kejadian.”
“Allah! Kesiannya sayang… Dahlah sayang pernah kena uji dengan kematian keluarga sayang dan Pak Long. Lepas tu, dia pula.”

“Hanya Allah je tahu betapa sakitnya sayang lalui kehilangan demi kehilangan.”

“Emm… Mesti dia cukup istimewa untuk sayang sebab yalah, sayang letak gambar dia kat atas meja tu.”

Qistur Ruwaidah tersenyum kelat. “Almarhum Sufi baik sangat. Dia macam habibi. Tak boleh tengok sayang susah dan tak pernah lokek bantu sayang masa kat sekolah dulu tapi tulah… Sayang baru tahu sesuatu pasal Sufi lepas dia dah tak ada. Emm… Dia pun ada perasaan kat sayang juga macam habibi dan Azim.”

Mohamad Salahuddin tersentak. Jadi, bermakna isterinya diminati oleh tiga orang jejaka rupanya. “Mana sayang tahu?”

“Dia ada tinggalkan surat dalam dompet dia. Dia juga antara yang tahu sayang ada perasaan kat Azim dulu tapi dia diam sebab dia hormatkan perasaan sayang kat Azim. Disebabkan tulah, dia tak berterus terang dengan perasaan dia. Kalaulah dia beritahu sebelum masuk CFS, sayang takkan terbuka hati pun untuk Azim. Mungkin juga sayang takkan terfikir pun pasal habibi tapi habibi jangan salah faham pula. Tu cuma kalau je.”
“Eh, taklah! Apalah sayang ni… Sekarang, habibi dah jadi suami sayang, kan? Tapi sayang… Habibi rasa cemburu pula dengan almarhum Sufi. Ni buat habibi nak jadi sebaik Sufi juga. Sayang ada pergi kubur dia tak?”

“Ada je tapi dah dua tahun sayang tak ziarah kubur dia. Kali pertama dan terakhir sayang pergi kubur dia masa hari dia dikebumi.”

“Insya-Allah, nanti kita pergi ziarah kubur Sufi. Emm… Pasal nak ziarah kubur keluarga sayang tu, kita tangguhlah dulu.”

“Eh, tak apa je habibi! Sayang okey. Faham je habibi nak jumpa keluarga sayang tapi kita pergi lepas asarlah sebab sayang ingat, sayang nak beli barang basah kat TT Fresh Mart Melawati esok pagi. Baru sayang teringat… Ikan kembung tinggal empat ekor je kat dalam freezer. Sayur pun dah tak ada. Untuk esok, lepaslah kita nak makan empat ekor ikan tu tapi hari seterusnya, memang dah tak ada. Lagipun, Abang Suhaib dah tak payah beli.”
“Laa… Ikan tinggal empat ekor je. Okeylah macam tu. Kita pergi situ esok. Habibi teruja pula nak beli barang basah dengan sayang buat kali pertama.”

Qistur Ruwaidah tersengih. “Lepas tu, kita singgah beli barang dapur kat Giant. Ha, eloklah esok hari beli-belah barang dapur sedunia.”
“Boleh je. Tak ada masalah. Habibi tanggung barang basah dan barang dapur.”
“Eh, janganlah habibi! Biasanya kalau sayang beli barang-barang keperluan rumah, sayang akan guna duit sayang dulu. Lepas tu, Abang Suhaib akan ganti balik duit sayang.”
“Tak apalah. Lagipun, habibi dah jadi keluarga sayang. Habibi okey je nak keluarkan duit belanja sekali.”
“Habibi ni baik sangatlah. Patutlah sayang terpikat dengan habibi,” kata Qistur Ruwaidah, lalu dia ketawa kecil.
“Habibi taklah baik sangat. Baik sikit je. Alaa sayang… Mengaku jelah habibi ni romantik, kan?” kata Mohamad Salahuddin, selamba.

“Ceh! Perasan!”
Mohamad Salahuddin tersengih, lalu dia memegang tangan kanan isterinya. “Boleh habibi tanya soalan lagi?”
Qistur Ruwaidah mengangguk.
“Sayang masih marahkan Mak Long Rauzah?” soal Mohamad Salahuddin.
Suara Qistur Ruwaidah berubah menjadi emosi sedikit. “Kenapa tiba-tiba habibi sebut nama orang dah mati tu? Ikutkan sayang… Sayang tak nak mengaku sayang ada mak saudara macam tu.”

“Okey… Habibi minta maaf pasal tu. Bukan apa sayang. Lepas sayang borak dengan Pak Long Nawab, habibi rasa tangan sayang bergetar masa kita sama-sama pegang tangan. Macam sayang cuba tahan marah. Sayang… Habibi tahu Mak Long dah banyak buat kejam kat sayang dan Abang Suhaib dulu. Kalau sayang nak lepas geram, lepaskan je. Jangan pendam. Sayang nak pukul habibi pun, pukul je.”
“Marah macam mana pun sayang kat dia, sayang takkan buat sesuatu yang bukan-bukan macam nak pukul habibi ke apa sebab sayang fikir baba je. Sayang bayangkan baba tengah perhatikan sayang. Sayang tahu baba takkan gembira kalau sayang buat macam tu. Cumanya, habibi… Habibi kena tahu sesuatu pasal sayang kalau apa-apa jadi kat sayang.”

“Apa dia sayang?”

“Sayang dah pernah cerita macam mana sayang dan Abang Suhaib menderita kena dera dengan Mak Long, kan? Disebabkan perbuatan kejam Mak Long dululah, sayang dan Abang Suhaib disahkan ada PTSD atau Post-Traumatic Stress Disorder. Penyakit ni boleh serang kita orang bila-bila masa, ikut suka hati je. PTSD boleh muncul tanpa sebab. Boleh jadi juga PTSD muncul kalau tiba-tiba kita orang teringat balik apa yang Mak Long buat dulu. Kalau kita orang baca berita pasal budak kena dera pun, PTSD boleh cetuskan ketakutan kat kita orang sebab kita orang terbayang balik alat-alat yang Mak Long guna kat kita orang.”
Seketika, Mohamad Salahuddin mendakap erat isterinya itu. “Ya Allah… Kesiannya sayang habibi ni. Kuatnya sayang tahan mental dan fizikal. Habibi tak boleh bayangkan kalau habibi ada kat tempat sayang dulu. Kena tanggung trauma pula. Habibi hanya boleh doakan kebaikan kat sayang je,” ucapnya. Lalu, dileraikan pelukan itu.
Sambungnya lagi... “Patutlah Allah campakkan rasa cinta yang cukup mendalam untuk habibi kat sayang masa kelas Bahasa Inggeris dulu sampai sekarang. Sayang jangan risau. Habibi sedia je kalau PTSD serang sayang. Cuma, habibi nak tahu, macam mana tanda-tandanya dan apa habibi kena buat?”
Qistur Ruwaidah tersenyum. “Terima kasih habibi atas kesetiaan habibi. Emm… Tanda-tanda PTSD ni, sayang jadi panik, tiba-tiba menjerit, meracau-racau dan sesak nafas sampai sayang boleh jadi sakit dada. Habibi bagi je ubat kat sayang. Insya-Allah sayang okey je lepas tu tapi sayang akan tertidurlah. Ubatnya, habibi boleh tengok kat bahagian laci meja lampu habibi. Ada dua botol. Sayang letak kat dalam tu. Senang habibi nak capai dan suap kat sayang.”
“Sama-sama sayang. Sekejap, habibi tengok dalam laci,” kata Mohamad Salahuddin. Dia membuka bahagian laci meja lampu itu. Kelihatan dua botol berwarna putih di dalamnya, lalu dia mengambil salah satu botol tersebut. “Ni ke?” tanyanya.

“Haah, betul. Ada satu lagi, kan?”

Mohamad Salahuddin mengangguk. Kemudian, dia memasukkan kembali ubat tersebut ke dalam laci. “Bila kita pindah rumah sewa nanti, habibi akan belikan laci kecil macam ni. Senang.”

“Oh ya. Bila kita nak pindah rumah sewa, habibi? Sayang lupa nak tanya sebab sayang tak kemas apa-apa lagi ni,” balas Qistur Ruwaidah.

“Insya-Allah lepas majlis kesyukuran kita sebab banyak benda lagi habibi tak kemas. Dua hari lepas, katil baru je sampai. Nak kemas rumah ke mana, nak pergi kuliah ke mana, tugasan ke mana, nak mengajar ke mana… Aduhai…”

“Tak apa, tak apa. Nanti sayang tolong kemaskan sekali. Habibi jangan rasa terbeban pula. Bukan kerja habibi seorang je tapi kerja kita bersama.”

Mohamad Salahuddin mengangguk lagi seraya dia menguntum senyuman. “Okey sayang. Emm sayang… Sebenarnya, habibi tak puas lagi tengok muka bidadari habibi ni. Sayang lagi cantik kalau tak mekap. Orang kata ‘natural beauty’ gitu…”

Qistur Ruwaidah ketawa kecil. Hidung suaminya dicuit. “Amboi, habibi ni! Mengada tahu dari majlis kita tadi!”

“Laa… Betullah habibi cakap. Takkan habibi nak cakap sayang hodoh pula.”

“Amboi, main loyar buruk pula!”

Mohamad Salahuddin menjelirkan lidah. Terserlah riak wajahnya begitu nakal. Qistur Ruwaidah meledakkan tawanya. Lalu, dicubitnya kedua-dua pipi sang suami itu. “Nakalnya habibi ni! Dah tak dapat kacau Keena, habibi kacau sayang pula ya! Eii… Geramnya!” katanya seraya mencubit pipi suaminya sekali lagi. Inilah momen yang dinantikan oleh dirinya lagi, iaitu sifat suaminya yang kuat mengusik. Dia bahagia!

“Aduh, sakitnya sayang cubit pipi habibi! Dua kali sayang cubit pipi habibi. Habibi tak nakallah… Habibi baik tahu,” kata Mohamad Salahuddin seraya mengusap kedua-dua belah pipinya itu.

“Macam tak boleh pakai je ayat habibi tu. Sayang nak kena tanya mak ayah pula nanti.”

“Laa… Dia tak nak percaya pula. Habibi baik tahu!”

Giliran Qistur Ruwaidah menjelirkan lidahnya pula sebagai serangan balas. Mohamad Salahuddin ketawa bahagia menyaksikan reaksi isterinya itu. “Habibi kerat lidah sayang tu nanti baru tahu.”

Suasana bahagia menyinari kamar pengantin itu.

Mohamad Salahuddin mencium pipi isterinya itu. “Habibi bahagia sangat hari ni sebab sayang dah jadi isteri habibi. Habibi harap perkahwinan kita kekal sampai Syurga. Satu lagi, habibi harap sangat sayang jadi ketua bidadari habibi kat Syurga. Insya-Allah, habibi cuba jadi suami terbaik untuk didik sayang.”

“Insya-Allah. Sayang pun harap macam tu. Moga habibi dapat didik sayang dan bakal zuriat kita dengan baik kalau Allah izinkan kita ada pewaris. Semoga bakal zuriat kita terpelihara dari fitnah dunia. Tu harapan sayang.”

“Insya-Allah sayang. Habibi akan jaga sayang baik-baik. Abang Suhaib pun dah lama bagi amanah pasal jaga sayang. Tu janji habibi sejak sayang terima lamaran habibi,” ucap Mohamad Salahuddin.

Tatkala Qistur Ruwaidah menyebut tentang zuriat, Mohamad Salahuddin mula merasakan amanahnya begitu berat untuk dipikul sebagai seorang suami dan perjalanan mereka berdua masih jauh. Lalu, kedua-dua tangan isterinya diraih dan dicium jari-jemari isterinya dengan penuh rasa rindu, rindu yang tidak tertanggung sejak zaman asasi dulu.

Qistur Ruwaidah membiarkan sahaja perlakuan suaminya itu. Dia tahu betapa rindunya Mohamad Salahuddin itu terhadap dirinya. “Insya-Allah habibi. Sayang percaya je, habibi mampu jadi ketua keluarga yang baik.”

Mohamad Salahuddin mengucup dahi isterinya itu. Dia sudah terlalu bersedia untuk menyerahkan cintanya terhadap Qistur Ruwaidah. “Setiap apa yang sayang buat, habibi sentiasa reda.”

Qistur Ruwaidah mencium pipi suaminya. “Terima kasih habibi... Terima kasih atas segala kenangan terindah untuk hari ni.”

“Sama-sama sayang. Untuk sayang pun, habibi nak ucap terima kasih juga sebab sayang jaga maruah sayang dengan penuh amanah selama 21 tahun ni. Teringat pula momen habibi nak pegang tangan sayang pagi tadi. Habibi rasa momen tu paling indah.”

“Sama-sama habibi. Ya Allah… Habibi! Malunya sayang habibi sebut pasal tu! Rasa macam sayang mengada-ada pula masa tu tapi sayang cuak sangatlah. Manalah sayang pernah pegang tangan lelaki lain kecuali tangan Abang Suhaib, arwah baba dan adik kembar sayang. Tiba-tiba sayang nak kena pegang tangan habibi yang asalnya bukan mahram dan pernah jadi rakan sekelas sayang. Tak masuk akal tahu!”

Mohamad Salahuddin tertawa kecil. “Sayang… Habibi faham jelah tapi gaya sayang comel je masa tu. Habibi terhibur tahu.”

Qistur Ruwaidah tersipu-sipu malu akan kata-kata suaminya itu. Sejujurnya, dia juga merasakan yang sama seperti suaminya tatkala suaminya mahu menyentuh tangannya buat kali pertama. Ya, itulah kenangan paling terindah! Dia tidak akan memusnahkan memori tersebut sampai bila-bila.

Sepertimana Mohamad Salahuddin merasakan betapa isterinya begitu berharga di mata sang suami itu, begitulah juga apa yang Qistur Ruwaidah rasakan sebagai seorang isteri. Dia sentiasa mendoakan agar kalbu suaminya kekal untuk dirinya sahaja. Tidak menduakan dirinya atau dalam erti kata lain mencurangi dirinya. Apatah lagi, dia mengharapkan agar suaminya tidak berpaling untuk kedua, ketiga atau keempat. Dia juga berhak mempunyai rasa cemburu berkenaan hal tersebut.

“ALHAMDULILLAH… Kita dah selesai solat isyak. Habibi menanti hari-hari seterusnya solat jemaah dengan sayang,” ucap Mohamad Salahuddin dengan ceria seraya melipat sejadahnya.
“Insya-Allah habibi,” balas Qistur Ruwaidah sambil menggantung telekungnya dengan menggunakan penyangkut baju.

Kemudian, Qistur Ruwaidah menuju ke arah suaminya seraya melabuhkan punggungnya untuk berada di samping suami tercinta yang sedang duduk di atas katil.

Suasana menjadi jeda seketika. Mohamad Salahuddin menunggu isterinya memulakan bicara. “Sayang mulakan dulu,” katanya.

“H…Habibi, s…sayang,” Qistur Ruwaidah dilanda kebuntuan untuk memulakan bicaranya.

Mohamad Salahuddin tersenyum. “Kalau sayang dah sedia nak taaruf habibi, teruskan je. Habibi okey. Tanya je apa-apa yang sayang nak tahu.”
“Emm… Habibi suka lukis, kan?”
“Tu salah satu hobi habibi. Sebenarnya, habibi ada satu lagi hobi yang orang luar tak pernah tahu, hatta Wan Dolah sekali pun,” Mohamad Salahuddin meninggalkan saspens buat isterinya.
“Wah, hobi apa tu, habibi! Sayang teruja nak tahu!” suara Qistur Ruwaidah menjadi ceria.

“Menari,” balas Mohamad Salahuddin. Kemudian, dia tersenyum.

Wajah Qistur Ruwaidah terkejut! Dia tidak menyangka bahawa suaminya mempunyai bakat menari. “Habibi boleh menari? Seriuslah! Gaya habibi yang sayang kenal, macam mustahil je!”
“Habibi serius ni, sayang. Ya, menari. Bukan habibi je boleh menari tahu. Mak, ayah dan Keena pun boleh menari. Kita orang belajar macam-macam jenis tarian. Sayang tahu tak… Perkara pertama yang habibi nak buat sempena hari pertama kita kahwin ni, habibi nak menari dengan sayang macam sayang tonton kartun puteri-puteri Disney. Setiap puterinya menari dengan putera-putera tersendiri. Habibi nak realisasikan impian sayang.”

Wajah Qistur Ruwaidah berubah malu pula. Ah, dia bagaikan tidak percaya! Suaminya mahu menari bersamanya? Memang Mohamad Salahuddin ini benar-benar romantik orangnya! “T… Tapi, sayang tak pandai menari,” ujarnya.

“Habibi boleh ajar. Jangan risau. Lepas sayang dah puas taaruf habibi, kita menari. Boleh?” kata Mohamad Salahuddin seraya meletakkan tapak tangannya di pipi isterinya.

“Boleh habibi. Sayang pun teruja! Cumanya, habibi belajar menari kat mana?”

“Bagus soalan sayang. Bermakna, habibi akan bongkarkan kisah habibi dan keluarga habibi. Sayang dah sedia nak dengar?”

“Mestilah! Tak sabar nak tahu!”

Lalu, Mohamad Salahuddin membuka kisah hidupnya sebagai seorang anak kelahiran Kelantan Darul Naim yang pernah membesar di United Kingdom (UK) selepas tiga bulan dia dilahirkan kerana Encik Mohd Firdaus melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang bagi peringkat ijazah, sarjana dan doktor falsafah selama lapan tahun.

“Seronoknya habibi pernah tinggal lama kat UK! Ada salji! Sayang tak pernah pergi luar negara,” kata Qistur Ruwaidah.

“Kalau ada rezeki, kita pergi ya, sayang. Habibi pun rindu UK. Nak main salji lagi macam dulu,” balas Mohamad Salahuddin.

“Emm… Habibi… Kiranya ayah ada pangkat ‘Dr.’lah ya? Kenapa habibi tak cakap? Kat kad kahwin kita tu, letak Encik Mohd Firdaus je,” ujar Qistur Ruwaidah dengan serba salah.

“Ada sebab habibi sengaja tak beritahu sayang dulu sebab ayah tak berapa gemar pun nak letak pangkat ‘Dr.’ kat dalam kad kahwin. Ayah lagi selesa guna gelaran ‘encik’. Bila ada acara rasmi universiti je, baru ayah gunakan gelaran ‘Dr.’. Melalui ayahlah, habibi banyak belajar pasal maksud rendah diri dan tak berbangga dengan apa yang ada,” cerita Mohamad Salahuddin.

“Betul. Memang ayah nampak rendah diri sangat. Penyayang juga. Sama macam habibi. Teruskan dengan cerita habibi.”

Mohamad Salahuddin juga menceritakan bahawa ayahnya pernah menghantar dirinya ke kelas tarian di UK dan dia telah mempelajari beberapa tarian seperti balet, salsa, hip-hop, tarian Ireland, tarian ballroom dan beberapa lagi jenis tarian lain. Dia amat mahir dan jenis mengingati semua langkah tarian-tarian tersebut sehingga kini kerana dia mempraktikannya bersama ahli keluarga.

“Wah, habibi boleh menari banyak jenis tarian rupanya! Hebat! Sayang kagum sangat! Tiba-tiba sayang rasa eksklusif pula sebab sayang orang luar yang pertama tahu pasal hobi habibi ni,” kata Qistur Ruwaidah.

“Mestilah eksklusif. Hanya untuk sayang yang habibi cinta. I love you,” balas Mohamad Salahuddin dengan penuh romantis. Dia mencium tangan kanan isterinya.

Semakin cintalah Qistur Ruwaidah terhadap suaminya itu! “I love you too, habibi! Habibi ceritalah lagi pasal keluarga habibi. Sayang makin teruja ni.”

Mohamad Salahuddin tersenyum. Kemudian, dia menceritakan pula tentang Puan Zaidah sebagai seorang siswi dalam bidang psikologi. Selepas Puan Zaidah menamatkan peringkat ijazahnya, dia menjadi seorang suri rumah dan memang dia tidak mahu menyambung lagi ke peringkat seterusnya sementara Encik Mohd Firdaus terus mengejar impiannya untuk sampai ke tahap doktor falsafah.

Puan Zaidah jugalah menguruskan hal rumah dengan cekap dan baik sekali sepanjang suaminya menghadiri kuliah sehinggalah kini. Betapa besarnya jasa sang isteri itu!

Sewaktu Mohamad Salahuddin berumur enam tahun, lahirnya Sakeenah sebagai anak kelahiran UK.

Selepas lapan tahun merantau di UK, akhirnya keluarga Mohamad Salahuddin pulang ke Malaysia setelah Encik Mohd Firdaus menamatkan peringkat doktor falsafahnya dan membawa gelaran ‘Dr. Mohd Firdaus’.

“Sayang kagum sangat dengan kisah keluarga habibi. Sayang kahwin dengan keluarga bukan calang-calang rupanya!” respons Qistur Ruwaidah.

“Tak adalah, sayang. Keluarga habibi biasa-biasa je,” ucap Mohamad Salahuddin dengan rendah diri.

“Macam mana habibi tak hebat dalam undang-undang? Habibi ikut jejak langkah ayah rupanya!”

“Alhamdulillah. Habibi pulangkan semula apa yang habibi ada ni kat Allah. Habibi teruskan lagi dengan cerita habibi ya?”

“Okey, habibi.”

Di Malaysia, Mohamad Salahuddin membesar pula di Shah Alam, Selangor dari umurnya lapan tahun sehinggalah dia selesai menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) kerana ayahnya mendapat tawaran untuk mengajar di salah sebuah universiti swasta terkemuka

Di samping itu, Mohamad Salahuddin dan Sakeenah berpeluang untuk mempelajari aktiviti memanah, menunggang kuda dan berenang selari dengan sunah Nabi Muhammad.

Rasulullah SAW bersabda, “Ajarilah anak-anak kamu berkuda, berenang dan memanah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

“Subhanallah! Habibi dan Keena banyak kemahiran rupanya. Sayang kagum betullah! Hebat didikan mak ayah kat kau orang,” puji Qistur Ruwaidah.

“Alhamdulillah sayang. Kalau kita ada anak nanti, habibi pun akan buat yang sama macam ayah. Habibi nak anak kita mahir apa yang Rasulullah anjurkan,” kata Mohamad Salahuddin.

“Apa yang sayang boleh cakap, sayang beruntung sangat kahwin dengan habibi. Habibi ada visi dan misi untuk keluarga kita ni.”

“Insya-Allah. Moga tak lari visi dan misi habibi untuk sayang dan bakal zuriat kita. Kalau sayang nak belajar semua ni, habibi okey je.”

“Masa sayang kat sekolah menengah, sayang dapat belajar semua kemahiran tu. Cuma, lepas sayang dah habis belajar kat sekolah, sayang dah tak rasalah sebab kekangan duit dan pihak sekolah pun dah tak tanggung sayang. Emm… Sayang nak mula balik. Boleh tak, habibi?”

Mohamad Salahuddin mengusap kepala isterinya. “Boleh sayang. Lagipun, keluarga habibi memang berlatih setiap cuti hujung minggu kat Bangi. Nama tempat tu Taman Rekreasi Sujana Celik. Hari Sabtu, latih memanah dan tunggang kuda. Hari Ahad, berenang. Sayang dah kahwin dengan habibi ni, insya-Allah sayang akan rasa balik tapi tunggu lagi dua minggu.”

Qistur Ruwaidah mendakap suaminya. “Tak sabarnya! Kalau nak ajak Abang Suhaib sekali-sekala pun, bolehkan habibi? Abang Suhaib pun suka aktiviti-aktiviti tu sebenarnya,” ujarnya dengan penuh ceria.

Mohamad Salahuddin mengusap tubuh belakang isterinya dengan penuh kasih. “Boleh sayang. Mana boleh tak ajak Abang Suhaib! Orang paling penting yang restu habibi kahwin dengan sayang. Kalau tak, kita tak bersatulah hari ni. Habibi pun nak ceriakan Abang Suhaib sekali. Abang Suhaib dah lalui macam-macam dengan sayang. Habibi rasa, dah jadi tanggungjawab habibi nak bahagiakan Abang Suhaib juga,” katanya.

Qistur Ruwaidah meleraikan dakapan tersebut. “Rezeki kita orang dapat kenal habibi. Habibi baik sangat. Sayang janji, sayang akan jadi isteri terbaik untuk habibi.”

“Insya-Allah sayang. Habibi pun janji nak jadi suami terbaik untuk sayang.”

“Insya-Allah habibi. Ha, habibi… Lepas habibi tamat UPSR, habibi pergi mana pula?”

“Keluarga habibi pindah ke Kelantan sebab ayah pindah tempat kerja. Alang-alang tu, nak rapatkan silaturahim dengan keluarga besar sekali. Mula-mula tu, habibi tak berapa faham sangat loghat Kelantan sebab yalah… Habibi merantau 12 tahun. Lama-lama tu habibi dah faham tapi kalau nak suruh habibi cakap loghat Kelantan, habibi tak reti sangatlah. Orang cakap ‘bunyi siam’. Habibi ni harap lahir je kat Kelantan tapi tak reti sangat cakap loghatnya. Sebab tu, sayang tak berapa dengar loghat Kelantan habibi tapi mak ayah memang fasihlah sebab mak ayah memang orang Kelantan. Keena pun samalah macam habibi.”

“Bukan tak dengar sangat. Tak dengar langsung telor Kelantan habibi kalau habibi cakap bahasa standard dengan sayang. Sepanjang sayang kenal habibi dulu, sayang pun pelik dengan habibi. Bukan apa… Sayang kawan dengan ramai orang Kelantan. Lagi-lagi kawan-kawan jurusan Arab sayang. Loghat dia orang pekat sangat tapi habibi lain… Tak dengar langsung tapi logiklah pun. Habibi banyak merantau. Lepas tamat SPM, habibi pindah kat Bangi pula. Memang anak perantau sungguh.”

Mohamad Salahuddin ketawa kecil. “Lepas ni, habibi menetap kat sini dengan sayang. Habibi dah tak nak pindah. Lagipun, habibi dah jatuh cinta dengan kawasan Gombak ni. Ada rezeki, habibi nak beli rumah kat sini. Satu lagi, habibi tak nak sayang jauh dengan Abang Suhaib. Abang Suhaib masih perlukan sayang. Sayang pun perlukan Abang Suhaib. Habibi tak nak pisahkan kau orang. Kau orang pun dah tak ada siapa-siapa lagi. Sebab tu, habibi cari rumah sewa yang dekat dengan rumah sayang ni. Kalau sayang rindu Abang Suhaib atau apa-apa jadi kat Abang Suhaib, kita boleh jumpa Abang Suhaib bila-bila sebab dekat.”

“Habibi… T… Terima kasih,” Qistur Ruwaidah mula menjadi sebak.

“Sama-sama sayang. Apa-apa je untuk sayang. Janji sayang bahagia dengan habibi. Emm… Rasanya habibi dah beritahu semua pasal keluarga habibi tapi kalau habibi teringat lagi, habibi akan beritahu. Sayang ada soalan lagi nak tanya pasal habibi?”

“Sayang rasa cukuplah untuk hari ni. Kita ada banyak masa lagi nak kenal-kenal. Apa-apa pun, sayang seronok sangat tahu pasal keluarga habibi. Sayang beruntung pilih habibi. Istikharah sayang untuk habibi tak salah dulu. Sayang rasa syukur sangat kat Allah. Terima kasih habibi sebab setia untuk sayang dari dulu.”

“Sama-sama sayang. Alhamdulillah. Habibi pun tak menyesal jatuh cinta dengan sayang dan tak putus asa untuk sayang. Moga Allah memberkati perjalanan hari pertama kita ni sebagai suami isteri. Perjalanan kita masih jauh.”

“Amin ya Rab, habibi.”

Mohamad Salahuddin menghulurkan tangannya. “Jom menari, sayang. Habibi ajar tarian ballroom macam dalam cerita Cinderella. Tarian ni jenis relaks je.”

Qistur Ruwaidah menyambut huluran suaminya. “Jom! Sayang dah teruja ni!”

Lalu, pasangan itu meninggalkan tempat perbaringan tersebut.

“Sebelum tu, habibi pasang lagu sekejap. Biar ada feel,” kata Mohamad Salahuddin seraya menghidupkan lagu ‘Romance of The Love (Interlude-Love Story)’ oleh Sinfonia Orchestra menerusi aplikasi Spotify di telefon pintarnya.

Setelah lagu itu dimainkan, Mohamad Salahuddin menghampiri isterinya seraya memegang kedua-dua belah tangan isterinya. “Sedia?” soalnya.

Qistur Ruwaidah mengangguk bersama wajah penuh ceria. Dia bagaikan tidak percaya bahawa lelaki di hadapannya ini berubah menjadi 360 darjah sebagai seorang sahabat kepada suami yang penuh romantik. Dia juga tidak pernah membayangkan bahawa dia akan menari! Mohamad Salahuddin… Ah, suaminya itu benar-benar tidak terjangkau dek akal!

“Okey, macam ni,” kata Mohamad Salahuddin seraya mengambil tangan kiri isterinya untuk diletakkan di bahu kanannya. Tangan kanan isterinya pula memegang tangan kirinya. Kemudian, dia meletakkan tangan kanannya di bahagian kiri pinggang isterinya.

Qistur Ruwaidah memandang wajah suaminya. “Kali ni, sayang nak kena mengaku… Memang habibi romantik sangat. Sayang tak terfikir langsung.”

Mohamad Salahuddin tersengih. “Well… Untuk sayang je. Sayang je yang dapat tengok habibi macam ni. Okey, sayang dah sedia?”

“Sedia.”

Mohamad Salahuddin mengajarkan gerakan tarian ballroom itu. Pada mulanya, Qistur Ruwaidah terpijak kaki suaminya untuk beberapa kali.

“Sayang minta maaf. Mesti kaki habibi dah sakit,” ucap Qistur Ruwaidah berkali-kali.

“Tak apa, sayang. Habibi pun macam tu juga dulu. Orang cakap ‘alah bisa tegal biasa’. Kalau sayang berlatih selalu, sayang akan mahir,” kata Mohamad Salahuddin.
Qistur Ruwaidah tidak mahu mengalah. Dia mahu menari sebaik mungkin. Lama-kelamaan, dia sudah mahir dan betapa dia seronok menjadi tuan puteri seperti yang diidam-idamkan oleh dirinya sejak kecil. Suaminya telah merealisasikan impiannya itu!
“Kalau sayang dah penat, sayang boleh sandar kepala sayang kat dada habibi,” kata Mohamad Salahuddin.

Qistur Ruwaidah menyandarkan kepalanya di dada suaminya. Tangan masing-masing merangkul pinggang pasangan. Gerak tarian mereka berdua menjadi statik, perlahan dan berpusing ikut setempat sahaja. Ketenangan kian dirasai dalam sanubari pasangan itu.

“Sayang nak tahu sesuatu tak?” soal Mohamad Salahuddin.

Qistur Ruwaidah mengangkat wajahnya seketika bagi memfokuskan kepada suaminya. “Apa dia, habibi?”

“Habibi bersyukur sangat sayang jodoh habibi. Habibi masih tak percaya sayang dah ada kat depan mata habibi hari ni… Hari kita disatukan dengan ikatan yang sah. Menari pula dengan sayang malam ni. Rasa macam mimpi pun ada.”

“Sayang pun lagilah tak percaya. Semuanya berlaku dengan pantas dari hari sayang terima lamaran habibi sampailah sekarang. Sayang rasa bersyukur sangat pilih habibi. Sayang tak menyesal langsung kahwin dengan habibi. Sayang menantikan hari-hari seterusnya dengan habibi.”

Mohamad Salahuddin tersenyum. “Sayang sudi tak teman habibi malam ni?”
“Teman habibi pergi mana?” soal Qistur Ruwaidah.
Mohamad Salahuddin berbisik di telinga tepi isterinya. “Teman habibi ke tempat paling indah tanpa gangguan orang lain. Kita berdua je.”
Barulah Qistur Ruwaidah mengerti akan maksud suaminya. Sebuah senyuman bersama anggukan dihadiahkan buat cinta hatinya.

Ouch! Mohamad Salahuddin sudah menunjukkan sifat romantisnya untuk bidadari kesayangannya. Maafkan tuan penulis kalau pembaca termuntah hijau ya. Almaklumlah dia orang baru nikah xD

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience