BAB 45

Drama Completed 13621

TAHUN 2026

Pada tahun ini, usia Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin sudah menginjak 31 tahun. Sudah tujuh tahun mereka berdua bergelar sebagai graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Akan tetapi, bagi Mohamad Salahuddin pula, tahun 2019-2020 merupakan tahun dia menuntut ilmu dalam bidang syariah dan telah menjadi graduan syariah UIAM pada 14 Mac 2022 kerana Covid-19. Tercapailah hasratnya untuk dirinya dalam menguasai ilmu sivil dan syariah serta mempunyai dua ijazah atau double degree.
Kini, Qistur Ruwaidah menjadi suri rumah tangga sepenuh masa sambil menjalankan bisnes kecil-kecilan, iaitu menjual pastri hasil air tangannya serta spageti carbonara dan spageti aglio olio bagi membantu suaminya dari segi kewangan. Juga, dia masih aktif menulis dan semakin banyak karyanya berjaya diterbitkan melalui medium fizikal dan media sosial. Hasil royalti itu juga boleh membantu dalam meningkatkan ekonomi keluarganya.
Mohamad Salahuddin pula bekerja sebagai seorang penjawat awam, iaitu peguam syariah. Namun, dia tidak pernah melupakan tugas sebagai seorang suami dan ayah setelah dia pulang ke rumah. Dia tidak akan membiarkan isterinya penat keseorangan dari segi mental dan fizikal dalam menjaga dan mendidik anak-anak mereka seramai tujuh orang yang semakin aktif, cerdas dan suka bertanya seperti isterinya. Sebagai seorang suami, dia sedar bahawa tugas untuk menjaga dan mendidik anak bukan tanggungjawab isteri sahaja tetapi tanggungjawab bersama.
Betapa Mohamad Salahuddin bahagia… Memiliki isteri yang setia, tulus mencintainya dan memahami tugasnya sebagai seorang peguam syariah serta dikurniakan pula dua pasang kembar dua dan sepasang kembar tiga. Sungguh, dia tidak pernah membayangkan bahawa anak-anaknya semua kembar! Kurniaan Ilahi yang tiada tolak bandingannya. Juga, berkat kesabarannya dalam mengharungi ujian sebagai bekas mangsa sihir ibu tirinya pada suatu ketika dahulu.
Jujur daripada naluri hati seorang Mohamad Salahuddin, dia amat suka memiliki anak yang ramai kerana selama ini, dia tidak pernah merasai ramainya adik-beradik seperti adik iparnya, Abdul Azim yang memiliki seramai lapan orang adik-beradik. Dia hanya ada Sakeenah. Meskipun mereka berdua berbeza ibu tetapi mereka tetap seayah. Juga, dia turut layak menjadi wali Sakeenah dan dia telah pun menyempurnakan amanahnya bagi mewalikan Sakeenah dahulu.
Segala puji bagi Allah, keluarganya sudah berkembang dan riuh rendah. Baginya, tujuh orang anak sudah memadai mengikut kemampuannya dari segi kewangan serta fizikal dan mental sebagai seorang ayah.
Walaupun Mohamad Salahuddin penat menjaga, mendidik dan melayan kerenah anak-anak yang mempunyai pelbagai ragam serta sempurna dari segi fizikal dan mental, dia tetap bersyukur kerana dikurniakan ramai zuriat sebagai pewaris. Selain itu, dia juga berjanji untuk menjadi seorang suami dan ayah terbaik. Junjungan agung Nabi Muhammad, almarhum ayahnya serta almarhum ayah mentuanya sentiasa dijadikan contoh dan tauladan bagi dia mengemudi rumah tangga ini sebagai seorang ketua keluarga.
Harapan ketua keluarga itu agar ketujuh-tujuh orang anaknya sentiasa dilindungi oleh Maha Pencipta dan menjadi insan yang berguna kepada agama. Apa jua minat dan hobi anak-anaknya, dia meraikan sahaja. Dia tidak akan menggunakan kuasa veto sebagai seorang ayah bagi memaksa anak-anaknya mengikuti apa jua kemahuannya kerana dia tahu itu hanya menghancurkan serta membunuh jiwa anak-anaknya. Tambahan pula, pasti dia akan dibenci oleh anak-anaknya. Dia tidak mahu menjadi ayah sebegitu. Dia mahu menjadi seorang ayah yang fleksibel dan menyokong penuh terhadap setiap impian anak-anaknya.
Pesanan almarhum Encik Mohd Firdaus turut disematkan dalam sukma sang suami itu. Alangkah bahagianya jika ibu kandung dan ayahnya masih hidup… Cepat-cepat dia memujuk hati. Ini semua suratan takdir Ilahi. Dia juga senasib seperti Qistur Ruwaidah, iaitu sudah tiada ibu bapa lagi.
Mohamad Salahuddin memandang setiap wajah-wajah kesayangannya yang kini berada dalam bulatan untuk mendidik anak-anak bagi mengenali Maha Pencipta menerusi kalam-Nya.
Bermula dengan Qistur Ruwaidah, seorang wanita, isteri dan ibu yang begitu sabar dan penuh kelembutan. Seorang isteri yang sentiasa tidak jemu menyuntik obor cinta buat dirinya sejak hari pertama mereka berdua disatukan dahulu pada 10 tahun yang lalu. Cintanya terhadap sang isteri tidak akan pudar sampai mati!
Seterusnya, putera kembarnya yang telah menyelamatkan nyawanya di dalam dunia Lingkaran dahulu. Dia akan memastikan bahawa anak-anak lelaki itu menjadi sang pelindung dan sentiasa mengasihi adik-adik mereka berdua seperti kasihnya Suhaibul Umar terhadap Qistur Ruwaidah. Dia benar-benar terinspirasi dengan abang iparnya itu!
Puteri kembarnya pula, amanah yang begitu berat untuk dia pikul supaya menjaga kehormatan diri dan tidak termakan dengan pujuk rayu lelaki sewaktu mereka berdua bakal menginjak ke usia remaja kelak. Teringat dia akan Sakeenah, adik kesayangannya yang pernah melalui zaman remaja dan pernah tersilap bergaul dengan kawan-kawan yang salah sehingga ponteng sekolah. Moga anak-anak perempuannya teguh pendirian. Akan dia pastikan bahawa dialah cinta hati buat puteri-puterinya sepanjang di bawah jagaannya sehinggalah tanggungjawabnya beralih kepada lelaki lain bernama suami sepertimana dia telah memberikan amanat kepada Abdul Azim bagi menjaga Sakeenah serta Suhaibul Umar memberikan amanat kepada dirinya bagi menjaga Qistur Ruwaidah.
Akhir sekali, pasangan kembar tiga yang telah menjadi kejutan kepada dia dan isterinya pada tahun lepas tatkala isterinya disahkan mengandung kembar tiga serta telah dilahirkan pada 31 Ogos 2025, iaitu pada hari kemerdekaan.
Hakikatnya, tidak pernah dalam sejarah keluarga besar di sebelahnya atau di sebelah isterinya yang memiliki kembar tiga. Di sebelah dia, tidak diketahui sama ada adanya kembar tiga atau tidak manakala di sebelah isterinya pula, hanya kembar dua sahaja. Hebatnya kuasa Allah! Moga kembar tiga itu sentiasa dilindungi serta terinspirasi dengan mencontohi abang-abang dan kakak-kakak mereka menerusi didikan yang telah diberikan oleh dirinya dan isterinya.
Pasangan kembar pertama Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin, iaitu Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil sudah berumur sembilan tahun. Mereka berdua telah berjaya menamatkan bacaan iqra’ ketika berusia enam tahun dan telah khatam bacaan Al-Quran ketika berusia lapan tahun. Sekarang, mereka berdua sudah berada di tahap menghafaz surah-surah lazim. Berkat didikan daripada kedua-dua orang ibu bapa itu serta guru mengaji yang diupah oleh pasangan tersebut yang datang ke rumah dalam empat kali seminggu. Lagi tiga hari pula, giliran ibu bapa mereka pula mengajar.

Pasangan kembar kedua pula, iaitu Aalqarihah Syibrah dan Aalqarirah Syuhrah sudah berumur tujuh tahun. Bibir mereka berdua begitu fasih membaca iqra’ serta kadang-kadang petah bertanya soalan kepada ibu bapa mereka. Kembar perempuan ini sepersis Qistur Ruwaidah sewaktu belajar di sekolah dan universiti dahulu. Namun, wajah mereka berdua sepersis Mohamad Salahuddin.

Pasangan kembar tiga pula, iaitu Aalquwaidir Sufi, Aalqasdina Sulwana dan Aalqasrina Sulwani akan memasuki usia setahun lagi dua bulan. Aalquwaidir Sufi… Nama terakhirnya diambil sempena nama sahabat baik Qistur Ruwaidah, iaitu almarhum Sufi Waazin sebagai ingatan dan kenangan buat Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin dengan harapan, Aalquwaidir Sufi akan menjadi insan yang baik dan pemurah seperti Sufi Waazin.
Kembar tiga itu begitu ralit mewarna dengan menggunakan cat di atas kertas terpakai untuk aktiviti sensori sambil mendengar bacaan abang-abang dan kakak-kakak mereka. Tidak lama kemudian, tanpa disedari oleh ibu bapa mereka, kembar tiga itu bermain cat ke tubuh sesama mereka bertiga pula sehingga membuatkan Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin menjadi panik tatkala mereka terdengar gelak tawa kembar tiga itu.

“Ya Allah! Anak-anak ummi!” Qistur Ruwaidah terjerit kecil.

“Ya Allah… Kenapalah anak-anak abi pergi main cat kat badan ni?” ujar Mohamad Salahuddin sambil menggelengkan kepalanya.

Kembar tiga itu ketawa mengekek. Bagi mereka bertiga, ibu bapa mereka sedang membuat lawak.

Pening kepala Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin dibuatnya. Sudah menjadi satu hal pula mereka perlu membersihkan cat di tubuh kembar tiga itu tetapi pasangan itu sangat bahagia dan seronok menyaksikan telatah setiap anak-anak tersebut.

“Sayang nak menangislah macam ni. Uwaa…” luah Qistur Ruwaidah dengan ekspresi seperti anak kecil yang hampir menangis.

Mohamad Salahuddin tersengih menyaksikan gelagat isterinya. Ah, bertambah lagi seorang anak kecil yang membuatkan kepalanya semakin pening selepas anak-anak tercinta. “Sabar ya, sayang. Biasalah. Lumrah anak kecil, kan. Nanti kita rindu pula kenangan macam ni. Sedar-sedar, anak-anak kita semua dah besar.”

Qistur Ruwaidah tersenyum. “Tak adalah. Sayang okey je. Saja buat drama. Sayang tahu habibi akan layan drama sayang.”
“Ya Allah… Sayang ni, kan! Boleh pula macam tu. Habibi dah pusing kepala dengan tujuh orang anak kita ni, sayang nak jadi yang kelapan pula. Pengsanlah habibi macam ni,” kata Mohamad Salahuddin seraya meletakkan tangan kanannya di dahi.

Qistur Ruwaidah tertawa. “Habibi juga nak tujuh orang anak. Kenalah hadap.”

“Sayang tunggu ya lepas kita uruskan triplet. Siaplah nanti.”

Keempat-empat orang anak yang lain tertawa dengan menyaksikan gelagat ibu bapa mereka yang menggelikan hati itu.

Mohamad Salahuddin memandang anak pertama dan keduanya itu. “Qalyubi, Qurtubi… Tolong tengok-tengokkan bacaan adik-adik sekejap ya. Abi dan ummi nak bersihkan triplet sekejap.”

“Okey abi,” kata Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil.

Berlalulah Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin ke bilik air untuk membersihkan tubuh kembar tiga itu yang dipenuhi cat.

“AH, letihnya!” luah Qistur Ruwaidah sambil berbaring di atas katil buat seketika setelah dia sibuk menguruskan hal-hal rumah yang tidak berkesudahan itu. Apatah lagi, anak kembar tiganya dalam fasa meneroka dan sungguh aktif. Mujurlah suaminya jenis memahami jika suaminya pulang ke rumah dalam keadaan bersepah.
Kebiasaannya, Mohamad Salahuddin pula akan mengambil alih tugas-tugas rumah dan membiarkan isterinya berehat dengan aman tanpa gangguan anak-anak. Perbuatannya itu sama seperti yang pernah dilakukan oleh almarhum Encik Mohd Firdaus terhadap almarhumah Puan Zaidah dulu dan dia mahu mencontohi yang sama seperti ayahnya.
Tiba-tiba pintu biliknya diketuk. “Sayang…” panggil Mohamad Salahuddin di luar bilik itu.
“Masuk!” Qistur Ruwaidah meninggikan suaranya sedikit agar dapat didengari oleh suaminya itu.
Kelihatan Mohamad Salahuddin melangkah masuk ke dalam bilik tidur itu. “Penat?” tanyanya seraya menghampiri isterinya.
“Emm… Penatlah juga. Lagi-lagi, triplet tengah aktif, kan. Kadang-kadang, sayang rasa nak menangis je kalau dia orang sepahkan rumah. Pernah juga sayang termarahkan dia orang. Sayang rasa teruk sangat! Tak dapat jadi ummi yang baik,” luah Qistur Ruwaidah.
Mohamad Salahuddin segera mendakap isterinya. “Shhh… Jangan cakap macam tu. Sayang dah buat yang terbaik. Cuma, biasalah… Memang kerenah anak-anak kita menguji kita sebagai ummi abi.”
“Itulah… Sayang tahu sayang kena sabar tapi beberapa kali sayang pujuk diri sayang pun, sayang tetap rasa bersalah kat anak-anak kita.”
“Tak apa. Apa yang habibi tahu, sayang tak putus asa. Emm… Sayang… Sebenarnya, habibi ada kejutan untuk sayang tapi kejutan tu ada kat luar rumah.”
“Ya Allah, habibi… Kejutan apa lagi? Sayang dah tak perlukan apa-apa kejutan. Sayang dah bahagia ada habibi dan anak-anak tahu.”
“Kalau nak tahu, cepatlah bersiap. Pakai pakaian yang cantik sikit. Habibi tunggu.”
Mohamad Salahuddin meleraikan dakapan tersebut. Kemudian, dia menghadiahkan sengihan kepada isterinya itu. “Jumpa kat luar rumah.”
Belum sempat Qistur Ruwaidah hendak memanggil suaminya, kelihatan suaminya terus menghilangkan diri. “Haih… Habibi… Habibi… Nak buat kejutan apa lagi agaknya?” bicaranya sendirian.
Tanpa melengahkan masa, Qistur Ruwaidah menukar ke pakaian yang lebih cantik seperti yang diminta oleh suaminya bersama tudung bawal rona ungu lembut. Berlalulah dia ke luar rumah seperti yang diminta oleh suaminya.
Tiba-tiba…
“Surprise!” ucap Mohamad Salahuddin dan anak-anak bersama Suhaibul Umar.
Betapa Qistur Ruwaidah berasa amat terkejut sehingga membuatkan dia terus menangis dengan penuh terharu. “A… Apa ni?” luahnya dengan sebak.
Di hadapannya kini, sebuah kereta Kia Carnival yang mempunyai 11 tempat duduk berona Panthera Metal megah berdiri dan dihiasi riben di bahagian bonet.
Mohamad Salahuddin menghampiri isterinya. “Sayang… Selamat hari jadi yang ke-31. Habibi tahu sayang tak nak ingat hari lahir sayang tapi kereta ni hadiah daripada habibi dan Abang Suhaib.”
Suhaibul Umar menghampiri adiknya. “Sempena adik dah banyak berkorban untuk abang, Din dan anak-anak adik. Kalau adik tak nak fikir kereta ni sebagai hadiah hari jadi adik, anggaplah kereta ni sebagai hadiah penghargaan daripada kita orang untuk adik.”
Qistur Ruwaidah terus mendakap kedua-dua lelaki yang cukup bermakna dalam kehidupannya itu. “T… Terima kasih,” ucapnya dalam nada sedu sedan.
Mohamad Salahuddin dan Suhaibul Umar tersenyum di sebalik dakapan itu. “Sama-sama,” ucap mereka berdua.
Qistur Ruwaidah mula meleraikan dakapan itu dan memandang kedua-dua orang lelaki itu. “Habibi… Sayang dah mula terima hakikat, sayang nak raikan hari jadi sayang mulai tahun ni. Sekali dengan anak-anak dan Abang Suhaib. Abang Suhaib… Adik teruja nak sambut hari jadi adik dengan pandu kereta ni. Hadiah paling mahal yang pernah adik dapat seumur hidup adik.”
“Ummi… Janganlah menangis,” kata Aalqarihah Syibrah.
“Tak adalah Syibrah sayang. Ummi okey je. Ha, jom masuk cepat. Ummi pandu. Abi dan Baba Suhaib pun kena masuk sekali,” balas Qistur Ruwaidah.
“Okey… Tak ada masalah. Abi nak ambil dompet dan handbag ummi sekejap,” kata Mohamad Salahuddin.
“Anak-anak saudara Baba Suhaib, jom masuk,” kata Suhaibul Umar.
“Okey!” sahut anak-anak itu.
“Eh, sekejap, sekejap! Baba kenalah tangkap gambar ummi dengan kereta baharu dia dulu. Kunci pun tengah ada kat abi.”
Qistur Ruwaidah menggelengkan kepalanya. Ah, abangnya itu! Ada-ada sahaja. Namun, dia benar-benar bahagia atas kurniaan yang cukup agung ini! Lalu, dia berdiri di hadapan kereta Kia Carnival itu dengan wajah penuh bangga.
“Ni kuncinya!” laung Mohamad Salahuddin sambil membawa kunci kereta dan tas tangan isterinya itu.
Qistur Ruwaidah tersenyum. Lalu, dia menyambut kunci dan tas tangan daripada suaminya itu sementara Mohamad Salahuddin pula mengunci pintu rumah.
Suhaibul Umar mula menangkap gambar adiknya yang begitu gembira dengan hadiah yang cukup bermakna itu. Kelihatan adiknya begitu bangga serta seronok bergaya bersama kunci dan keretanya itu.
“Okey… Dengan anak-anak ummi pula,” kata Qistur Ruwaidah sambil menunjukkan isyarat panggil kepada anak-anaknya.
Berlarilah ketujuh-tujuh orang anak Qistur Ruwaidah itu ke arahnya. “Ummi!” panggil mereka dengan penuh girang.
Mohamad Salahuddin memandang situasi itu dengan penuh terharu. Pada tarikh 16 Jun 2026 itu, iaitu hari kelahiran Qistur Ruwaidah, itulah senyuman paling manis yang diukirkan oleh Qistur Ruwaidah sepanjang 10 tahun mereka hidup bersama. Berbaloilah dia mengambil cuti rehat pada tarikh tersebut untuk membahagiakan isterinya.
“Dengan ‘abi’nya pula. Mari abi!” panggil Qistur Ruwaidah bersama senyuman.
Langkah Mohamad Salahuddin mula menuju ke arah isteri dan anak-anak. Mana mungkin dia mahu meninggalkan setiap detik dan saat untuk kenangan-kenangan sebegini.
Kemudian, giliran Mohamad Salahuddin menangkap gambar isteri dan abang iparnya itu bersama kereta Kia Carnival itu. Gaya isterinya benar-benar ibarat anak kecil apabila bersama abang iparnya itu.
Usai sesi fotografi itu, kereta tersebut mula dirasmikan oleh Qistur Ruwaidah dengan menghidupkan enjin kereta.
Reka bentuk dalamannya juga benar-benar mewah. Memang Mohamad Salahuddin sengaja memilih kereta yang mempunyai 11 tempat duduk agar abang iparnya juga boleh menumpang sekali apabila mereka pergi bercuti. Sebagai seorang adik ipar, dia tidak akan sesekali mengabaikan abang ipar yang cukup dihormatinya. Lagipun, anak-anaknya sahaja seramai tujuh orang. Masuknya dia, Qistur Ruwaidah dan Suhaibul Umar menjadi 10 orang. Jadi, eloklah dia memilih kereta yang mempunyai 11 tempat duduk.
Di samping itu, kereta Kia Carnival juga memudahkan Qistur Ruwaidah untuk menghantar anak-anak ke sekolah dengan lebih selesa.
Pada awal permulaan perkahwinan Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin, iaitu 10 tahun yang lalu, mereka hanya ada kereta Perodua Axia. Tiga tahun berikutnya, Mohamad Salahuddin telah membeli Perodua Bezza dan kereta Perodua Axia diberikan kepada Qistur Ruwaidah. Kini, kereta Kia Carnival telah menjadi kejayaan buat pasangan itu setelah mereka berdua mengharungi pancaroba perkahwinan selama 10 tahun dan kehidupan yang lebih selesa bersama tujuh cahaya mata.
Selain itu, Mohamad Salahuddin dan Suhaibul Umar juga menyediakan tiga buah kerusi kereta bayi untuk Aalquwaidir Sufi, Aalqasdina Sulwana dan Aalqasrina Sulwani yang memerlukan keselamatan yang lebih ketat. Kedua-dua orang lelaki itu juga memeriksa empat orang kanak-kanak yang lain berada dalam keadaan selamat dengan memakai tali pinggang keledar.
Kemudian, Mohamad Salahuddin menukar tempat duduk dan melabuhkan punggung di atas kerusi penumpang bersebelahan isterinya selaku pemandu. “Anak-anak semua dah pakai seat-belt. Sayang boleh mula pandu. Jangan lupa ucap ‘bismillah’.”
Qistur Ruwaidah tersenyum. “Okey habibi. Kita minta anak-anak kita baca doa naik kenderaan juga.”
Mohamad Salahuddin turut tersenyum. “Okey anak-anak abi ummi. Jom baca doa naik kenderaan.”
Aalqalyubi Shafiy, Aalqurtubi Shakil, Aalqarihah Syibrah dan Aalqarirah Syuhrah mula membacakan doa naik kenderaan dengan penuh semangat dan petah manakala Aalquwaidir Sufi, Aalqasdina Sulwana dan Aalqasrina Sulwani hanya menggoyangkan kepala dengan mengikut rentak yang dibaca oleh abang-abang dan kakak-kakak mereka.
Suhaibul Umar tersenyum dengan didikan yang diberikan oleh adik dan adik iparnya itu. Dia juga turut mengikuti bacaan doa itu. Ternyata dia kagum dan semestinya, itulah impian adiknya yang mengimpikan keluarga sebegini.
Dengan penuh keyakinan, Qistur Ruwaidah mula memandu kereta Kia Carnival tersebut. Ah, memang nikmat memandu kereta ini! Semestinya, selesa juga! Cadangnya, dia mahu membawa keluarganya dan abangnya di kedai makan sempena hari kelahirannya.

TANAH PERKUBURAN ISLAM AU4 LEMBAH KERAMAT
“Kalau mama, baba, Kak Qina, Dik Harraz dan Dik Harzan masih ada, mesti mereka gembira tengok kita. Kan abang?” luah Qistur Ruwaidah di pusara ahli keluarga itu bersama Suhaibul Umar.
“Abang pun percaya pasal tu. Sedar tak sedar, dah 26 tahun keluarga kita pergi. Tak pernah satu hari pun abang tak rindu dia orang,” luah Suhaibul Umar.
Qistur Ruwaidah memandang wajah abangnya. “Adik tahu… Adik pun rindu. Cuma, adik bersyukur sebab Din dan anak-anak adik boleh ubat rasa rindu adik. Sekurang-kurangnya, adik tak terlalu teringat.”
“Itulah… Abang pun bersyukur sebab abang dah jumpa seseorang yang boleh terima abang.”
Pada waktu itu, Suhaibul Umar telah berkahwin dengan insan pilihannya dan pasangan itu masih belum dikurniakan cahaya mata. Akan tetapi, dia tidak membawa isterinya kerana dia mahu meluangkan masa bersama adiknya sahaja di tanah perkuburan itu. Dia bersyukur kerana isterinya begitu memahami dirinya.
Begitu juga Qistur Ruwaidah yang telah meminta izin daripada suaminya untuk meluangkan masa bersama abangnya sahaja di tanah perkuburan keluarganya bagi menggamit kenangan sebelum masing-masing berkahwin dahulu. Sama seperti abangnya, dia juga bersyukur apabila suaminya memahami dirinya sejak dulu.
Qistur Ruwaidah memegang tangan abangnya. “Adik tumpang gembira untuk abang. Adik nampak abang lebih bahagia berbanding dulu. Nampak juga abang lebih tenang. Adik percaya, kakak dah bahagiakan abang.”
Suhaibul Umar tersenyum. “Alhamdulillah. Memang dialah hadiah daripada Allah. Dulu, abang pernah cakap, abang nak isteri abang macam adik. Allah dah makbulkan doa abang. Abang janji… Abang takkan sia-siakan dia. Abang nak jaga dia macam mana abang jaga adik dulu.”
“Insya-Allah. Adik yakin. Abang boleh buat,” ucap Qistur Ruwaidah. Lalu, dia mendakap abangnya itu.
Sepertimana kasihnya Suhaibul Umar terhadap adiknya sebelum adiknya berkahwin dahulu, dia tidak pernah kekok menerima dakapan daripada adiknya biarpun adiknya sudah menjadi ‘ummi’ kepada tujuh orang anak.
Bagi Qistur Ruwaidah pula, Suhaibul Umar bin Isyraf Imrani tetap menjadi insan yang cukup bermakna dalam kehidupannya, sekali pun dia sudah berkahwin dengan Mohamad Salahuddin.
Peristiwa tahun 2001 dahulu, iaitu tahun bersejarah perginya lima orang ahli keluarga Qistur Ruwaidah dan Suhaibul Umar dalam sekelip mata, semestinya meninggalkan kesan yang cukup mendalam buat dua beradik itu, ditambah pula pernah menjadi mangsa dera Mak Long Rauzah dahulu, semakin bergandalah rasa sakit dan trauma itu.
Pelukan tersebut dileraikan.
“Adik… Boleh abang tanya sesuatu? Maaflah tiba-tiba nak tanya depan kubur keluarga kita,” ujar Suhaibul Umar.
“Boleh. Tanyalah,” balas Qistur Ruwaidah.
“Emm… Adik rasa… adik dah maafkan arwah Mak Long Rauzah dan Kak Syita?”
“Jujurnya, adik tak boleh nak maafkan dia orang sampai sekarang. Dengar nama dia orang pun, buat adik sakit hati! Trauma! Hanya Pak Long Arif je yang adik sayang dalam keluarga Mak Long.”
“Abang faham je. Abang pun sama juga. Masih tak boleh nak maafkan dia orang. Abang pernah pergi kubur Pak Long je. Kubur Mak Long dan Kak Syita, abang tak pernah nak singgah. Entahlah… Mungkin abang rasa trauma.”
“Samalah adik. Adik pernah ziarah kubur Pak Long je. Emm… Abang rasa Allah faham tak keadaan kita?”
“Allah Maha Memahami. Abang percaya yang tu. Dia Maha Saksi betapa deritanya kita dulu.”
Suasana menjadi sepi seketika. Masing-masing dibuai emosi buat seketika… merenung pusara keluarga tercinta demi melunas rindu yang tidak berpenghujung.
“Emm abang… Boleh adik cakap sesuatu dengan abang sebelum kita balik sekejap lagi?” luah Qistur Ruwaidah.
“Boleh adik. Apa dia?” balas Suhaibul Umar seraya mengusap kepala adiknya itu.
“Terima kasih sebab ada untuk adik selepas mama, baba, Kak Qina, Dik Harraz dan Dik Harzan tinggalkan kita. Terima kasih atas segala pengorbanan abang dan adik tahu adik takkan mampu balas. Terima kasih sebab reda dengan adik untuk kahwin dengan Din dan walikan adik. Adik takkan lupakan segala kenangan kita.”

Suhaibul Umar tersenyum mendengar kata-kata adiknya itu. “Sama-sama adik. Abang hanya menjalankan tanggungjawab sebagai abang sebelum adik kahwin dengan Din. Walaupun abang bukan lagi orang yang bertanggungjawab jaga adik selagi Din masih hidup tapi abang akan tetap sentiasa ada untuk adik.”
Qistur Ruwaidah memandang wajah abangnya. “Boleh adik peluk abang lagi?”
Tanpa sepatah bicara, Suhaibul Umar mendakap Qistur Ruwaidah sebagai tanda kasihnya dia terhadap adiknya takkan pernah sirna.

Qistur Ruwaidah pula tenang dalam dakapan abangnya itu. Betapa dia terimbau kembali bahawa dakapan itulah dakapan paling selamat ketika zaman kanak-kanaknya dahulu. Dakapan abangnya, itulah… Pelindungnya!

UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA, GOMBAK
Sudah bertahun-tahun juga Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin tidak menziarahi bekas tempat pengajian mereka selepas Qistur Ruwaidah sibuk dengan kerja rumah yang tidak berkesudahan dan perlu memantau anak-anak yang sedang membesar manakala Mohamad Salahuddin sibuk dengan kerjanya sebagai seorang peguam.
Namun, memang pasangan itu sudah berniat berkali-kali mahu menziarahi tempat itu, hanya berdua tanpa anak-anak. Sengaja mereka mahu mencari kualiti masa bersama tanpa gangguan.
Pasangan itu sudah boleh menarik nafas lega apabila Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil sudah berumur 16 tahun manakala Aalqarihah Syibrah dan Aalqarirah Syuhrah sudah berumur 14 tahun. Bolehlah mereka memantau si kembar tiga, iaitu Aalquwaidir Sufi, Aalqasdina Sulwana dan Aalqasrina Sulwani yang berusia lapan tahun sepanjang ketiadaan ibu bapa mereka dalam tempoh beberapa jam itu.
“Rindunya UIA…” luah Qistur Ruwaidah.
“Kan… Habibi pun rindu. Syukurlah anak-anak kita boleh tengok-tengokkan triplet sekejap,” balas Mohamad Salahuddin.
“Itulah. Emm habibi… Sayang rindu nak tengok masjid. Sayang nak imbau balik kenangan kita akad nikah dulu.”
“Jom, jom… Kita pusing satu UIA ni ya.”
Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, sememangnya merupakan tempat pertama yang ingin dijejaki oleh pasangan itu berbanding tempat lain. Tempat kedua di International Islamic University Malaysia Cultural Centre (ICC), iaitu tempat berlangsungnya majlis kesyukuran mereka pada tahun 2016 dulu semasa mereka berumur 21 tahun. Kini, mereka sudah hidup bersama selama 17 tahun pada tahun 2033 ini. Sekarang, pasangan itu sudah berumur 38 tahun.
Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin setia berpegangan tangan, bahkan cukup erat seperti hari pertama mereka disatukan dahulu. Di satu sudut di sekitar masjid itu, Qistur Ruwaidah menghentikan langkahnya seketika. “Habibi… Ingat sesuatu tak pasal tempat ni?”
Mohamad Salahuddin mengamati tempat itu. Dia cuba mengembalikan memorinya berkenaan tempat tersebut. “Alamak… Habibi tak ingatlah sayang. Cuba ingatkan habibi balik.”
“Masa tu, habibi berat hati nak lepaskan sayang touch up mekap. Siap bisik kat telinga sayang macam lepas kita solat sunat nikah. Rindu…”
“Ha, habibi ingat! Habibi cakap kat sayang, ‘mata sayang terangkan segalanya’ sebab habibi ingat sayang sedih nak berpisah dengan habibi sekejap.”
“Perasaan tu sampai sekarang sayang rasa. Lagi-lagi bila habibi nak pergi kerja. Rasa berat hati sangat. Walaupun kita dah kahwin 17 tahun tapi sayang tetap rasa kita ni macam baru je kahwin.”
“Sayang… Habibi pun rasa berat hati bila habibi nak tinggalkan sayang dan anak-anak kita tapi habibi kena cari nafkah. Kalau tak, macam mana habibi nak biaya rumah, kereta, barang dapur, bil-bil, persekolahan dan simpanan anak-anak… Emm… Apa lagi? Qalyubi dan Qurtubi pun dah nak SPM tahun depan. Lepas tu, nak biaya universiti dia orang pula. Habibi kena usaha lebih keras.”
“Sayang tahu… Habibi berusaha keras untuk kita orang. Sesama kita, kita perlu berkorban perasaan ni. Apa yang sayang tahu, habibi setia dan tak pernah jemu untuk sayang.”
“Sayang… Insya-Allah, sampai mati jiwa habibi hanya untuk sayang. Sayang yang habibi kenal dari tahun 2013 kat CFS PJ dulu, makin cantik dan makin berwajah keibuan. Habibi rasa, mungkin dah tiba masa untuk sayang lindung wajah sayang.”
Qistur Ruwaidah tersenyum. “Pakai purdah?”
Mohamad Salahuddin tersenyum juga. “Ya. Dulu, memanglah habibi tak minta sayang pakai. Cuma, entahlah… Habibi rasa lebih istimewa untuk sayang lindung wajah sayang, hanya untuk habibi dan anak-anak. Walaupun agak terlambat untuk habibi minta sayang pakai purdah, harapnya sayang sudi.”
“Perkara baik dan perintah daripada seorang suami yang selari dengan syarak, mestilah sayang akan patuh. Kalau macam tu, kita pergi cari purdah sekejap lagi ya. Insya-Allah, sayang sedia je nak berubah ke arah yang lebih baik.”
“Terima kasih sayang. Terima kasih. Semoga dengan perubahan sayang ni, kita sama-sama menjadi lebih baik dan lebih akrab dengan Allah ya.”
“Sama-sama habibi. Insya-Allah.”
Kemudian, berlalulah pasangan itu dan menuju ke tempat lain. Antaranya, Ahmad Ibrahim Kulliyyah of Laws (AIKOL), iaitu fakulti Mohamad Salahuddin dan Kulliyyah of Islamic Revealed Knowledge and Human Sciences (KIRKHS), iaitu fakulti Qistur Ruwaidah dan beberapa tempat lagi sehingga pasangan itu puas untuk berada di UIAM Gombak itu.
Destinasi terakhir mereka di ICC, iaitu tempat majlis kesyukuran dan tempat berlangsungnya majlis konvokesyen mereka dulu.
“Permaisuri habibi masa tu… Cantik sangat. Macam Cinderella,” Mohamad Salahuddin mengimbau semula betapa cantiknya si isteri pada ketika itu.
“Raja sayang masa tu pun, tak kurang hebat juga rupanya. Macam Prince Charming. Setiap kali sayang tengok gambar habibi masa tu, sayang akan sentiasa rasa tergoda dengan kacaknya habibi,” giliran Qistur Ruwaidah menambah rencah.

“Sekarang, habibi kacak lagi tak?”

“Mestilah. Makin kacak tahu. Sayang beruntung sangat.”

“Amboi, nak goda habibilah tu! Ke nak barang kemas lagi?”

Qistur Ruwaidah memuncungkan bibirnya. “Eiii… Habibi ni, kan! Dia yang tanya. Lepas tu, dia cakap kita pula nak goda dia!”

Mohamad Salahuddin tertawa. “Okeylah, okeylah. Habibi gurau je. Habibi minta maaf ya, sayang,” ujarnya dengan nada penuh menggoda.
Wajah Qistur Ruwaidah terus merona merah. “Habibi ni… Janganlah buat sayang makin tergoda dengan suara habibi. Habibi tahu sayang mudah tergoda.”

Sekali lagi, Mohamad Salahuddin tertawa. “Mana ada!”

Kelihatan Qistur Ruwaidah juga turut tertawa. “Habibi… Kalaulah jodoh kita masih panjang, sayang teringin nak adakan majlis kesyukuran sekali lagi sempena rumah tangga kita utuh sampai sekarang dan anak-anak kita pun dah membesar dengan baik.”
“Insya-Allah. Boleh. Nanti kita bincang balik pasal tu. Emm… Sayang dah sedia nak tinggalkan UIA? Yalah… Kita pun entah bila lagi boleh nak datang balik, kan.”

“Boleh, habibi. Sayang pun dah puas pusing satu UIA ni. Rindu sayang dah terubat. Habibi pun mesti tak sabar nak belanja purdah dan tengok sayang pakai purdah sekejap lagi.”

Anak mata Mohamad Salahuddin menatap anak mata isterinya dengan pandangan yang penuh mendalam bersama getaran cinta yang menyelubungi diri buat bidadarinya itu. “Mestilah. Kecantikan sayang hanya untuk habibi.”
Qistur Ruwaidah tersenyum. “Jom.”
Berlalulah pasangan itu ke kereta yang diparkir di parkir ICC itu.
Sepanjang dalam perjalanan untuk menuju keluar dari UIAM Gombak itu, anak mata Qistur Ruwaidah memandang tempat-tempat itu. Hatinya berbisik, ‘Segala-galanya terpahat di sini… Terima kasih UIA untuk segala kenangan. Tempat aku pernah menimba ilmu dan tempat aku bertemu jodoh. Mohamad Salahuddin bin Mohd Firdaus, ‘zauj’ku (suamiku) merangkap cinta hatiku dan kekasihku yang telah banyak berjuang untuk diriku. Suhaibul Umar bin Isyraf Imrani, abangku yang telah banyak berkorban untuk diriku. Ya Allah… Aku bersyukur untuk segala nikmat ini selepas Kau ambil semula mama, baba, Kak Qina, Dik Harraz dan Dik Harzan pulang ke pangkuan-Mu.’

Tidak sedar, air matanya mengalir. Sungguh, dia akan merindui UIAM Gombak ini sama seperti dia pernah merindui Pusat Asasi UIAM Petaling Jaya yang telah ditutup operasinya pada tahun 2017 dulu dan telah berpindah ke Gambang, Pahang.

Manalah tahu jika Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shafiy akan terbuka hati untuk menyambung UIAM kelak, semestinya itu akan membahagiakan dirinya. Namun, dia memahami bahawa minat dan impian anak-anaknya lebih utama. Setakat ini, si kembar sulung dan kedua itu masih belum berkongsi impian mereka kepada dia dan suaminya, namun dia tahu… Anak-anaknya akan berkongsi dengan rela hati kelak. Cuma, masanya belum tiba lagi.

ANAK mata Mohamad Salahuddin terpukau dengan kecantikan Qistur Ruwaidah yang kini terlindung wajahnya, khas buat dirinya sebagai seorang suami! “Subhanallah… Cantiknya sayang!” ucapnya.

Qistur Ruwaidah tersenyum di sebalik tabir rona hitam itu. Hanya menampakkan matanya sahaja. Pakaian kebanggan puteri Rasulullah. Sungguh, dia rasa cukup tenang dan terlindung. “Sayang rasa lebih selamat pakai niqab daripada purdah.”

Perbezaan antara purdah dan niqab, purdah tidak menutupi di bahagian dahi dan kening manakala niqab menutupi semua dan hanya menampakkan mata sahaja.

“Kalau sayang rasa niqab lebih selamat dan selesa untuk sayang berbanding purdah, ambil niqab je,” kata Mohamad Salahuddin.

“Okey. Sayang nak tiga helai jelah. Semua warna hitam. Sayang tak nak diri sayang jadi perhatian kalau sayang ambil warna lain,” terang Qistur Ruwaidah.

“Ya, memang habibi pun tak nak sayang pakai warna lain. Hitam paling selamat. Habibi masih tak puas tengok sayang. Cantik sangat. Sempurnanya sayang sebagai bidadari habibi.”

“Habibi teruskan didik sayang andai sayang salah walaupun kita dah 17 tahun kahwin. Semestinya, sayang masih perlukan bimbingan daripada habibi.”

“Insya-Allah. Perjalanan kita untuk mencari Allah melalui perkahwinan, takkan pernah berhenti. Bahkan, perkahwinanlah merupakan ibadah paling panjang sampai antara kita yang pergi dulu.”

Qistur Ruwaidah mengangguk faham. “Terima kasih habibi atas peringatan tu.”

“Sama-sama sayang. Habibi pergi bayar dulu,” kata Mohamad Salahuddin. Lalu, dia meninggalkan isterinya bagi melakukan pembayaran.

Qistur Ruwaidah memandang suaminya. Lalu, dia menanggalkan niqab contoh itu. Sungguh, dia tidak sabar untuk memulakan perjalanannya sebagai seorang pemakai niqab demi meraih keredaan Allah dan suaminya. Wajahnya tidak akan menjadi lagi tatapan lelaki asing.

Kemudian, Mohamad Salahuddin menghampiri isterinya dan mengeluarkan salah satu niqab yang dilipat kemas dalam plastik lut sinar di dalam kotak penuh eksklusif itu. Lalu, dia mengeluarkan niqab dari plastik lut sinar itu. Benar-benar eksklusif dan terpelihara.

“Habibi pakaikan untuk sayang ya?” pinta Mohamad Salahuddin.

“Satu penghormatan untuk sayang,” kata Qistur Ruwaidah bersama senyuman.

Mohamad Salahuddin mula memakaikan niqab untuk isterinya itu. Sinaran kegembiraan terpancar dari wajahnya sebagai seorang suami. Segala puji bagi Allah, Qistur Ruwaidah benar-benar cantik! Kini, dia merasakan bahawa Qistur Ruwaidah hanya menjadi miliknya seorang tanpa lagi wajah isterinya ditatap oleh lelaki lain.

Qistur Ruwaidah juga turut gembira untuk suaminya itu. Kini, wajahnya sudah terlindung di sebalik tabir nan indah. Dia mengharapkan agar perubahan itu juga akan menggembirakan hati anak-anaknya juga. Juga, abang dan kakak iparnya kelak.

“I love you, sayang. Sayang terlalu cantik. Subhanallah!” ucap Mohamad Salahuddin setelah mereka berdua berada di dalam kereta.
“I love you too, habibi. Sayang pulangkan kecantikan sayang ni kepada Allah, Maha Pencipta kita,” luah Qistur Ruwaidah.
“Alhamdulillah… Habibi beruntung ada sayang, pelengkap hidup habibi. Sayang tak jemu ingatkan habibi pasal hebatnya kuasa Allah sejak dari hari pertama kita kahwin dulu.”
“Habibi pun sama tak jemu ingatkan sayang pasal kuasa dan takdir Allah dari dulu. Betullah… Perkahwinan saling lengkap-melengkapi dan ingat-mengingati.”

17 tahun, sebuah perjalanan perkahwinan yang cukup panjang buat Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin dalam menyulam cinta dan berkasih sayang tanpa jemu melalui lafaz akad nikah yang tersemai dulu. Kesetiaan dan kesabaran yang terbina, pastinya menjadi kunci keutamaan dan rahsia kebahagiaan pasangan tersebut.

Akan tetapi, tipulah jika Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin tidak menghadapi isu salah faham. Semestinya, ada badai yang bergelora. Namun, mereka mengambil pendekatan untuk saling memaafkan dan memfokuskan kepada yang lebih utama, iaitu anak-anak.

Bagi Qistur Ruwaidah, apa sahaja berkaitan keluarga, dia akan berusaha untuk memberikan yang terbaik kerana dia sendiri sudah lama bersedih dan merana jiwa tanpa keberadaan ibu bapa dan tiga orang adik-beradiknya yang telah pergi. Kalau diikutkan pada tahun 2033 ini, sudah 32 tahun mereka pergi.

Bagi Mohamad Salahuddin pula, semestinya keluarga menjadi keutamaan. Isteri dan anak-anak merupakan sumber kekuatannya bagi mengharungi kehidupan sebagai ketua keluarga. Tipulah kalau dia tidak merindui ayahnya yang telah meninggalkan dirinya sejak 14 tahun yang lalu dan ibu kandungnya yang tidak pernah dilihat oleh dirinya sejak 38 tahun yang lalu, semestinya memedihkan dirinya. Ibu tirinya? Dia tidak pernah terfikir kerana itu hanya akan menambah luka lagi.
Kini, misi Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin untuk terus menjadi “ummi” dan “abi” terbaik buat anak-anak mereka yang meningkat dewasa. Biarlah mereka berdua sengsara jiwa tetapi bukan anak-anak mereka.
Biarlah Aalqalyubi Shafiy, Aalqurtubi Shakil, Aalqarihah Syibrah, Aalqarirah Syuhrah, Aalquwaidir Sufi, Aalqasdina Sulwana dan Aalqasrina Sulwani membesar untuk menjadi insan yang baik serta kalam Allah menjadi pegangan dan pedoman hidup mereka. Juga, mental dan fizikal yang sejahtera. Itulah yang disemat oleh Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin sejak sebelum lahirnya si sulung dan kedua.
“Habibi sentiasa berdoa… Semoga habibi, sayang dan anak-anak kita akan bertemu dan dihimpunkan di Syurga. Sekali dengan keluarga habibi dan keluarga sayang,” luah Mohamad Salahuddin.
“Insya-Allah. Moga Allah temukan kita semua kelak. Amin!” balas Qistur Ruwaidah.

Lantas, Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin saling berpegangan tangan. Cincin yang disemat pada jari masing-masing juga tidak pernah ditanggalkan kerana itulah lambang cinta dan permulaan bagi mereka bersentuhan buat kali pertama pada 1 September 2016 dahulu.

Moga Allah meredai perkahwinan pasangan itu sehingga ke akhirnya.

-TAMAT-

Alhamdulillah... Bersempena dengan hari lahir tuan penulis pada hari ini, berakhirlah sudah novel "Zauj untuk Qist". Terima kasih kepada para pembaca yang setia mengikuti novel ini sejak 1/1/2021. Terima kasih juga kerana sudi meninggalkan komen dan seronok membaca novel ini serta sabar menunggu bab demi bab tanpa jemu. Hingga ketemu lagi untuk karya tuan penulis yang seterusnya... Salam kasih, Bintu Qist ;)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience