BAB 42

Drama Completed 13621

PUTERI RAUDHAH IDEAL MEDICAL CENTRE
OKTOBER 2018

Tet… Tet… Tet… Alat bantuan pernafasan setia menemani Abdul Azim yang masih koma sejak September 2016 sehinggalah kini, tahun 2018. Sudah dua tahun lebih tubuhnya terkaku sedemikian di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Puan Tengku Aulia dan Encik Uthman masih setia menunggu anak bongsu mereka itu sedar dari koma dan mengharapkan keajaiban buat lelaki itu. Mereka reda dengan takdir yang telah menimpa Abdul Azim.
“Jom kita balik, abang. Kita dah dua jam kat sini,” kata Puan Tengku Aulia.
“Dah dua tahun lebih dia macam ni tapi abang masih berharap yang Azim akan sedar dari koma. Abang masih harapkan keajaiban untuk Azim. Dia kuat,” luah Encik Uthman.
“Insya-Allah. Moga Allah dengar doa kita, abang. Allah lagi tahu apa yang terbaik untuk anak kita. Kita pun tak pernah putus asa untuk Azim. Aulia pun percaya. Azim kuat. Kita balik ya, bang.”
“Marilah…”
Kemudian, pasangan itu berlalu meninggalkan anak bongsu tercinta yang terlantar di wad tersebut untuk pulang semula ke Johor. Secebis pengharapan buat kedua-dua orang tua itu masih bertandang dalam kalbu agar Abdul Azim akan sedar dari koma dengan izin Ilahi. Mereka tidak akan pernah berputus asa.
Tiba-tiba…
Kelihatan seorang gadis menolak pintu wad ICU yang didiami oleh Abdul Azim setelah ibu bapa lelaki itu meninggalkan wad tersebut pada 10 minit yang lalu. Kemudian, dia melabuhkan punggungnya di atas kerusi yang diletakkan bersebelahan dengan katil Abdul Azim.
“Assalamualaikum Abang Azim. Apa khabar? Macam mana Abang Azim hari ni?” bicara gadis itu sendirian.
Tet… Tet… Tet… Hanya bunyi alat bantuan pernafasan sahaja menjawab sebagai wakil Abdul Azim yang terlantar koma itu.
Gadis tersebut tersenyum pedih. Sungguh, hatinya hancur dengan keadaan lelaki itu. Masih belum sedar sejak tahun 2016. Perasaan gadis itu sama seperti yang dirasai oleh Puan Tengku Aulia dan Encik Uthman. Dia juga berharap agar Abdul Azim sedar dari koma.
“Abang Azim… Bila Abang Azim nak sedar dari koma? Keena dah lama tunggu tahu. Keena tak puas sembang dengan Abang Azim masa majlis kahwin Abang Long dulu,” luah gadis yang dipanggil Keena itu atau lebih tepat, Sakeenah binti Mohd Firdaus, iaitu adik kepada Mohamad Salahuddin bin Mohd Firdaus.
Sakeenah, seorang gadis berumur 17 tahun dan bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam dua minggu lagi. Sebenarnya, dia sudah lama menaruh perasaan terhadap Abdul Azim sejak pertemuan pertama mereka di Kedai Buku Network yang terletak di dalam bangunan Pusat Beli-Belah Adenium sewaktu dia berumur 14 tahun. Namun, dia sedar. Dia hanyalah seorang gadis yang masih mentah tentang percintaan. Masih bersekolah pula.
Dia masih mengingati senyuman Abdul Azim yang cukup menawan dan cermin mata yang dipakai oleh lelaki itu. Nampak cukup berkarisma. Tambahan pula, memang dia suka lelaki berkaca mata seperti Abdul Azim itu.
Imbau kembali pertemuan kali pertama di antara Sakeenah dan Abdul Azim…

Abdul Azim memandang seketika adik Mohamad Salahuddin itu. Kecil molek orangnya. Dia menghadiahkan senyuman kepada remaja itu. “Siapa nama?” tanyanya.
“Sakeenah,” jawab Sakeenah malu-malu.
“Eleh! Sejak bila Kena malu-malu pula ni? Pantang betul jumpa lelaki pakai cermin mata macam Abang Azim ni, kan,” sengaja Mohamad Salahuddin mengenakan Sakeenah dengan menyentuh awning tudung adiknya itu.

Seketika, Sakeenah tersenyum tatkala dia mengimbau kembali kenangan bersama lelaki itu. Walaupun hanya seketika, ia tetap meninggalkan memori manis buat gadis tersebut.
Namun, apakah yang difahami oleh Sakeenah tentang cinta? Sungguh, dia juga tidak tahu. Akan tetapi, dia sering menjadikan Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah sebagai idolanya. Dia terinspirasi dengan kisah cinta pasangan itu. Masing-masing saling menjaga batas sehinggalah mereka ditakdirkan menjadi suami isteri sehingga ke hari ini. Gadis itulah menjadi saksi betapa abangnya dan kakak iparnya saling mencintai di antara satu sama lain. Betapa hebatnya kuasa cinta yang dimiliki oleh mereka berdua.
Air mata gadis itu gugur. Dia tahu bahawa mustahil untuk Abdul Azim jatuh cinta kepada dirinya. Mereka berdua bukan rapat pun. Jarak usia mereka berdua juga agak jauh, iaitu enam tahun bezanya.
“Abang Azim… Keena datang ni, Keena nak beritahu sesuatu kat Abang Azim. Lagi dua minggu, Keena nak hadap SPM. Jadi, Keena tak boleh nak ziarah Abang Azim sampailah Keena selesai jawab SPM nanti. Keena sentiasa doakan Abang Azim supaya Abang Azim sedar dari koma. Keena tahu kita tak rapat pun tapi Keena tetap doakan kebaikan untuk Abang Azim.”
Sebenarnya, tanpa pengetahuan Encik Mohd Firdaus, Mohamad Salahuddin, Qistur Ruwaidah, Suhaibul Umar dan ibu bapa Abdul Azim, boleh dikatakan hampir setiap minggu Sakeenah menjenguk Abdul Azim di hospital sejak tahun 2017 sehinggalah kini selepas berakhirnya kelas tuisyen.
Biasanya, Sakeenah akan menumpang kereta ibu kawan baiknya, iaitu Hafiyah dan ibu Hafiyah akan menurunkan Sakeenah di hospital tersebut atas permintaan Sakeenah sendiri.
“Keena nak jenguk siapa kat hospital ni?” tanya ibu Hafiyah, iaitu Puan Rasmah pada suatu hari sekitar tahun 2017 itu.
“Kawan sekolah rendah Keena. Dia koma,” bohong Sakeenah. Dia tidak akan membuka cerita tentang kerja gila yang dilakukan oleh dirinya.
Selepas dia menziarahi Abdul Azim, dia akan pulang ke rumah dengan menaiki Grab dan sehingga kini, Encik Mohd Firdaus tidak tahu berkenaan hal ini. Jika ayahnya tahu… Entah. Dia juga tidak tahu. Mungkin ayahnya akan melarang dirinya untuk berjumpa dengan lelaki itu lagi.

Mungkin benar Sakeenah mengalami mabuk cinta terhadap Abdul Azim tanpa diketahui oleh lelaki itu. Namun, apa yang lebih menyakitkan buat gadis itu, dia sendiri menjadi saksi pada hari Abdul Azim terlibat dalam kemalangan langgar lari dulu.

Selepas dia berpisah dengan lelaki itu di sekitar Bank Muamalat, UIA Gombak pada hari majlis kesyukuran Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin dulu, dia mengekori lelaki itu secara diam-diam kerana dia sengaja ingin mengetahui hala tuju Abdul Azim sebelum dia menuju semula ke majlis kahwin abangnya tanpa disedari oleh Abdul Azim sendiri, Muhammad Syarafuddin dan Muhammad Amirul Azhar.

Akan tetapi, perbuatannya mengekori lelaki itu telah menjadi trauma buat dirinya. Namun, dia menuju juga ke arah stesen bas yang dikerumuni oleh orang ramai. Dia masih ingat lagi darah Abdul Azim membanjiri jalan raya di hadapan stesen bas. Sungguh, bagaikan tercabut jantungnya tatkala dia menyaksikan sendiri peristiwa penuh tragis itu.
Demi cintanya terhadap Abdul Azim, dia sanggup membuang sifat malu bagi bertanya kepada Amirul Azhar tentang hospital yang bakal didiami oleh Abdul Azim.
“Abang… Maaf nak tanya. Saya Sakeenah, adik Salahuddin. Boleh saya tahu Abang Azim akan dibawa ke hospital mana?” ujar Sakeenah dengan reaksi seperti tiada apa-apa berlaku. Namun, dalam hati, hanya Allah yang tahu betapa hancur jiwanya itu di atas apa yang telah menimpa Abdul Azim.
Amirul Azhar memandang gadis bertubuh kecil itu. Ya! Itulah gadis yang dinampak oleh dirinya dan Muhammad Syarafuddin ketika Abdul Azim bersembang dengan Sakeenah sebelum sahabat baiknya terlibat dalam kemalangan. “Kat Hospital Semarak tapi tak tahu lagi kat wad mana.”
“Oh,” balas Sakeenah. Hatinya kecilnya ingin mendapatkan nombor telefon lelaki itu agar dia dapat mengetahui perkembangan lanjut berkenaan Abdul Azim, namun dia memadamkan hasrat. Kemudian, dia segera beredar dari situ. Dia takut kalau lelaki itu mengesyaki yang bukan-bukan berkenaan dia.
Dipendekkan cerita, dia mengetahui segala perkembangan Abdul Azim daripada Suhaibul Umar, termasuklah Abdul Azim berpindah hospital dari Hospital Semarak ke Puteri Raudhah Ideal Medical Centre. Dia terpaksa berlaku jujur terhadap Suhaibul Umar berkenaan rasa hatinya terhadap Abdul Azim kerana dia tahu dua orang itu bersahabat baik. Suhaibul Umar sahaja merupakan harapan Sakeenah.
“Boleh abang tahu kenapa Keena nak tahu pasal Azim? Memang kau orang rapat ke? Azim tak ada pula pernah cerita apa-apa pasal Keena kat abang,” ujar Suhaibul Umar pada suatu hari.
“Keena suka kat Abang Azim,” luah Sakeenah.
Alangkah terkejutnya Suhaibul Umar mendengar pengakuan Sakeenah itu. Adik Mohamad Salahuddin telah jatuh hati terhadap lelaki yang pernah menyukai adiknya, Qistur Ruwaidah. “Bila?”
Lalu, Sakeenah mula membuka cerita berkenaan perkenalan pertamanya bersama lelaki itu sewaktu dia berumur 14 tahun.
Suhaibul Umar terkedu seketika. Sakeenah… Benar-benar sepersis Mohamad Salahuddin. Seorang yang cukup setia. Pada waktu itu, Sakeenah membuka cerita ketika dia berumur 15 tahun.
“Keena tahu tak manis untuk Keena tanya pasal Abang Azim. Keena pun masih sekolah. Keena tahu Keena kena fokus belajar. Bukan fikir soal perasaan atau cinta,” luah Sakeenah.
“Keena… Memang perasaan suka tu fitrah manusia. Apatah lagi, remaja macam Keena ni mula rasa nak couple, rasa nak mencintai dan dicintai tapi abang faham sebab abang pun pernah ada kat fasa umur Keena. Cuma, apa yang Keena cakap tu, betul. Keena tak patut fikir soal perasaan atau cinta lagi buat masa sekarang. Lagipun, Keena nak hadap PT3. Perjalanan Keena masih jauh. Keena kena fikir nak bagi kejayaan kat mak dan ayah. Bukan jatuh cinta kat lelaki ajnabi.”
Sakeenah rasa tertampar dengan kata-kata abang kepada kakak iparnya itu. Jauh di sudut hati kecilnya itu, dia tahu bahawa dia sendiri perlu bijak mengawal diri. Sejak dari itu, dia tidak bertanya apa-apa lagi berkenaan Abdul Azim kepada Suhaibul Umar tetapi dalam diam, dia menziarahi lelaki itu. Dia tahu memang perbuatannya itu tidak manis sebagai seorang anak gadis, namun itu sahaja cara untuk dia ‘memberitahu’ kepada Abdul Azim bahawa dia amat menyukai lelaki itu.
Tet… Tet… Tet… Bunyi alat bantuan pernafasan itu mematikan lamunan Sakeenah. Dia menatap wajah Abdul Azim itu. Hatinya dipagut rasa sayu. “Abang Azim… Keena suka kat Abang Azim dari kali pertama kita jumpa sampailah sekarang. Keena tak tahu kenapa tapi Keena rasa Abang Azim sangat istimewa untuk Keena,” luahnya bersama linangan air mata.
Sepi.
“Abang Azim… Teruskan berjuang lawan koma. Keena setia tunggu Abang Azim sampai Abang Azim sedar. Emm… Keena balik dulu ya. Keena tak boleh lama. Keena nak kena fokus SPM. Keena harap Keena boleh sambung arkitek kat UIA macam Abang Azim.”
Sakeenah mula membangunkan diri bagi meninggalkan wad tersebut. Dia menatap wajah Abdul Azim buat kali terakhir sebelum dia bakal berjuang untuk SPM lagi dua minggu dan dia tidak akan bersua dengan Abdul Azim dalam satu tempoh yang lama. Lelaki itu merupakan inspirasi untuk dia belajar bersungguh-sungguh dan mengambil bidang arkitek kelak.
Kemudian, Sakeenah melangkah keluar dengan menolak pintu wad itu. Kelihatan seorang jururawat tersenyum ke arahnya. “Dah nak balik, dik?” sapa jururawat itu sambil membawa ubat untuk Abdul Azim. Sudah menjadi rutinnya menjaga pesakit itu sejak tahun 2016.
“Ya kak,” balas Sakeenah bersama kuntuman senyuman. Dia berlalu meninggalkan tingkat wad tersebut sambil menoleh ke belakang buat kali terakhir.
‘Selamat tinggal Abang Azim. Jumpa lagi,’ bisik hatinya.

PUTERI RAUDHAH IDEAL MEDICAL CENTRE
FEBRUARI 2019
Tet… Tet… Tet…
Jari-jemari Abdul Azim mula memberikan tindak balas. Matanya juga terbuka secara perlahan-lahan. Namun, penglihatannya masih rasa kabur.
‘Aku kat mana ni?’ bisik hatinya.
Kelihatan Suhaibul Umar mula melangkah masuk dengan menolak pintu wad tersebut bagi menziarahi sahabat baiknya yang disangkakan masih koma. Alangkah terkejutnya dia tatkala dia ternampak Abdul Azim dengan mata terbuka.
“Azim?” tegur Suhaibul Umar dengan nada tidak percaya. Dia terus meluru ke arah sahabat baiknya yang cukup dirindui oleh dirinya itu.
Kelihatan Abdul Azim masih kabur dan keliru. Hendak bercakap, dia sedang memakai alat bantuan pernafasan.
“Ya Allah… Memang Azim dah sedar! Alhamdulillah! Sekejap, abang panggilkan misi,” kata Suhaibul Umar. Lalu, dia menekan butang khas bagi memaklumkan kepada jururawat.
Kelihatan seorang jururawat yang ditugaskan menjaga Abdul Azim sejak tahun 2016 itu mula melangkah masuk setelah dia menerima panggilan dari wad Abdul Azim.
“Misi… Pesakit ni dah sedar,” maklum Suhaibul Umar.
“Y… Ya Allah… Alhamdulillah! Sekejap, saya maklum kat doktor,” kata jururawat yang dikenali sebagai Misi Wardiah itu dengan nada gembira. Betapa dia amat bersyukur kerana pesakit itu telah sedar jua akhirnya dengan izin Ilahi. Sungguh, hebatnya kuasa Allah!
Tidak lama kemudian, kelihatan Dr. Thoriq melangkah masuk ke wad Abdul Azim dengan perasaan cukup gembira setelah Misi Wardiah memaklumkan keadaan pesakitnya itu. Juga, dia tidak menyangka bahawa Abdul Azim sedar dari koma setelah hampir tiga tahun pesakit itu kemalangan. Ini benar-benar kuasa Maha Agung!
Dr. Thoriq mula membuka alat bantuan pernafasan yang dipakai oleh Abdul Azim. “Azim… Saya Dr. Thoriq, doktor yang menguruskan awak sejak tahun 2016. Sekarang, awak ada kat hospital. Awak koma masa tahun 2016 sebab kemalangan. Awak ingat pasal tu?”
Abdul Azim memandang seketika wajah doktor itu. Mana mungkin dia lupa peristiwa itu. “I… ngat,” balasnya dengan lemah.
Dr. Thoriq mengucap syukur. Bermakna, pesakitnya itu tidak hilang ingatan. Akan tetapi, dia perlu menguji lagi ingatan lelaki itu. Kemudian, dia menunjukkan ke arah Suhaibul Umar. “Awak ingat siapa dia?”
Anak mata Abdul Azim memandang Suhaibul Umar seketika. “A…bang Su…haib,” balasnya.
“Betul ke nama awak Suhaib?” ujar Dr. Thoriq kepada Suhaibul Umar.
“Betul Dr.,” balas Suhaibul Umar. ‘Alhamdulillah…’ bisik hatinya. Bermakna, sahabat baiknya tidak hilang ingatan berkenaan dirinya. Tanpa melengahkan masa, dia terus meninggalkan pesanan WhatsApp kepada ibu bapa Abdul Azim bagi memaklumkan keadaan anak bongsu mereka itu.
Pemeriksaan demi pemeriksaan dilakukan oleh Dr. Thoriq ke atas Abdul Azim. Nampaknya tubuh Abdul Azim berada dalam keadaan baik dan dia perlu melakukan rawatan fisioterapi dalam beberapa bulan untuk membolehkan dia bergerak semula setelah beberapa tahun dia terbaring di atas katil sahaja.
Setelah Dr. Thoriq selesai memeriksa keadaan Abdul Azim, dia dan Misi Wardiah mula meninggalkan wad yang didiami oleh Abdul Azim itu.
“Alhamdulillah. Azim dah sedar. Azim koma dah hampir tiga tahun,” luah Suhaibul Umar.
“Tiga tahun?” tanya Abdul Azim.
Suhaibul Umar mengangguk. “Azim kemalangan tahun 2016. Sekarang, dah tahun 2019. Lagi dua minggu je hari jadi Azim.”
Abdul Azim terdiam seketika. “Lama juga Azim koma. Selalu ke abang jenguk Azim sepanjang Azim koma ni?”
“Setiap minggu abang ziarah Azim. Bonda baba pun boleh kata setiap minggu ziarah Azim. Abang dah beritahu bonda baba. Bonda baba dalam perjalanan dari Johor sekarang.”
“Boleh abang cerita lanjut apa dah jadi dengan Azim lepas Azim kemalangan?”
“Sya dan Azhar yang teman Azim ke hospital. Sebelum ni, Azim tak duduk kat hospital ni. Azim duduk kat Hospital Semarak. Masa tu, keadaan Azim teruk sangat. Dua buah pinggang Azim dah rosak tapi syukur, Abang Ammar sudi korbankan buah pinggang dia kat Azim. Bila Azim dah nampak stabil sikit, bonda baba minta tukarkan hospital swasta sebab senang nak lawat Azim bila-bila masa.”
“Dua buah pinggang Azim dah rosak?”
“Haah… Abang tahu mungkin susah Azim nak terima tapi percayalah… Ada hikmah untuk Azim. Abang tahu Azim kuat.”
Abdul Azim mendiamkan diri. Sejujurnya, timbul rasa kecewa dalam dirinya. Dia sendiri pun tidak tahu mengapa dia cuai pada hari kejadian itu. Namun, dia cuba memujuk hatinya berkali-kali. Ini semua ujian untuk dirinya. Kini, dia sudah sedar dari koma dan diberikan peluang kedua untuk meneruskan kehidupan.
“Azim… Abang tak tahu apa yang Azim tengah rasa sekarang tapi abang doakan Azim cepat-cepat sembuh dan boleh teruskan hidup macam biasa,” ujar Suhaibul Umar.
“Insya-Allah. Terima kasih abang. Sekarang dah pukul berapa ya?”
“Sama-sama. 10.00 pagi. Kenapa Azim?”
“Oh. Kalau dah masuk waktu solat, Azim ingat nak solat. Azim nak sujud syukur sekali.”
“Kalau macam tu, Azim boleh solat duha dan sujud syukur buat masa sekarang. Boleh juga Azim qada solat subuh yang hari ni punya kalau Azim rasa tak tenang. Memandangkan Azim koma dalam tempoh lama, abang dah baca pasal kes Azim ni kat blog Ustaz Ahmad Adnan dan abang ada tanya juga ustaz lain. Orang koma dalam tempoh lama, tak perlu qada solat tapi wajib ganti puasa. Azim kena ganti puasa untuk tahun 2017 dan 2018 nanti. Nanti abang bagi link blog tu kat Azim.”

Maklumat berkenaan kes seperti Abdul Azim boleh dibaca menerusi pautan seperti yang dilampirkan ini:
1)
2)
“Terima kasih abang sebab banyak tolong Azim dari dulu,” ucap Abdul Azim. Dia terharu dengan kebaikan sahabat baiknya yang peka berkenaan hal tersebut. Memang dia sendiri pun tertanya-tanya… Bagaimanakah dengan solat yang tertinggal oleh dirinya sejak hampir tiga tahun ini.
“Sama-sama. Tak ada apalah, Azim. Azim lagi banyak tolong abang. Ha, abang tanya misi sekejap, kut dia orang ada water spray ke tak. Kalau tak ada, abang pergi singgah beli kat mana-mana. Dr. pun belum benarkan lagi Azim bangun dari katil ni. Azim nak makan apa-apa tak?”
“Kalau abang tak kisah, Azim nak bubur McD dan air Milo.”
“Boleh, boleh. Abang pergi beli sekejap,” balas Suhaibul Umar. Kemudian, berlalulah dia meninggalkan wad Abdul Azim itu.
Abdul Azim pula menghantar pandangan buat sahabat baiknya itu. Sungguh, dia amat bersyukur dengan hadirnya Suhaibul Umar meskipun jodohnya tidak tertulis untuk menjadi adik ipar kepada abang Qistur Ruwaidah itu.
Qistur Ruwaidah? Ah, Abdul Azim sudah menerima hakikat berkenaan hal tersebut. Dia sendiri tidak mahu mengambil tahu apa-apa lagi berkenaan siswi itu. Apatah lagi, kehidupan terkini siswi itu setelah dia berkahwin dengan Mohamad Salahuddin.
Sementara Abdul Azim mahu menunggu kehadiran Suhaibul Umar semula, dia mengambil keputusan untuk melelapkan mata semula. Sejujurnya, dia masih rasa letih dengan kondisi tubuhnya itu.

HARI demi hari, keadaan Abdul Azim semakin baik dengan latihan fisioterapi yang membolehkan untuk dia berjalan seperti biasa semula. Dia juga mengikut segala nasihat Dr. Thoriq agar dia sembuh seperti sediakala dengan izin Ilahi. Namun, dia masih belum dibenarkan oleh Dr. Thoriq untuk keluar dari hospital.
Sehinggalah pada satu hari…
“Selamat pagi, Azim. Macam mana hari ni?” sapa Misi Wardiah bersama senyuman sambil membawakan ubat untuk pesakitnya itu.
“Alhamdulillah. Saya rasa makin baik hari ni,” balas Abdul Azim. Dia membalas senyuman yang diberikan oleh jururawat itu.
“Macam biasa, Azim kena makan ubat ya pagi ni. Azim dah sarapan, kan?” balas Misi Wardiah sambil meletakkan bekas ubat di atas meja troli.
“Dah kak,” jawab Abdul Azim sambil mengambil ubat pil tersebut. Lalu, dia mengucapkan “bismillah” dan menelan ubat pil tersebut.
Misi Wardiah tersenyum menyaksikan kesihatan anak muda itu semakin hari semakin sembuh. Kemudian, dia teringat sesuatu. “Azim… Akak nak kongsi sesuatu. Boleh ke?”
“Boleh kak. Duduklah kat kerusi ni. Kesian akak berdiri je dari tadi,” pelawa Abdul Azim dengan ramah.
Misi Wardiah menghadiahkan senyuman. Lalu, dia melabuhkan punggungnya di atas kerusi bersebelahan dengan katil Abdul Azim itu. “Emm… Macam ni. Sepanjang Azim koma, adalah seorang perempuan ni… Akak rasa dia masih bersekolah sebab nampak muda lagi dan orangnya kecil molek sangat. Boleh kata setiap cuti hujung minggu, dia akan jenguk Azim tapi akak tak adalah nak tanya dia siapa. Akak pun dah lama tak nampak dia datang lepas Azim dah sedar dari koma dan pindah kat wad biasa ni.”
“Ada budak perempuan selalu jenguk Azim dulu?” soal Abdul Azim, kehairanan.
“Haah tapi akak minta maaf, akak pun tak tahulah dia siapa. Cuma, akak selalu nampak jelah. Akak nak beritahu… Azim beruntung sangat. Dia setia jenguk Azim dari 2017 sampailah tahun lepas. Akak rasa… dia suka kat Azimlah.”
Abdul Azim tersentak seketika. Sejujurnya, memang dia tidak dapat memikirkan gerangan yang dimaksudkan oleh Misi Wardiah itu. Perempuan mana pula yang sudi menjenguknya sejak tahun 2017 itu? Sejujurnya, dirinya mula timbul rasa ingin tahu. Akan tetapi, dia tidak mahu memikirkan sangat. Dia lebih memikirkan untuk keluar dari hospital ini. Dia sudah bosan dan tepu serta dia ingin kembali belajar semula. Namun, dia mengerti akan kerisauan Dr. Thoriq berkenaan kesihatannya, terutama di bahagian buah pinggangnya masih diteliti hingga kini dan masih belum pulih sepenuhnya.
“Suka saya? Siapalah nak suka saya, kak. Perasaan akak je kut,” balas Abdul Azim. Namun, jantungnya bagai direntap dengan satu perasaan yang sukar digambarkan.
Misi Wardiah tersenyum. “Akak ni perempuan, Azim. Kalau perempuan tu dah setia jenguk Azim, takkanlah setakat ziarah suka-suka je. Azim fikir ya… Siapalah sanggup nak buat macam perempuan tu melainkan bila dah jatuh cinta? Boleh kata setiap cuti hujung minggu sanggup habiskan pula duit untuk ziarah orang koma. Cinta ni, manusia sanggup buat apa sahaja tahu.”
Abdul Azim terdiam seketika. Boleh dipercayaikah kata-kata jururawat itu? Sungguh, dia buntu. Ah, apa-apa sahajalah! “Err… Saya pun tak tahulah nak cakap apa tapi terima kasih sebab sudi beritahu pasal ni kat saya.”
Misi Wardiah mula bangkit dari tempat duduknya bersama senyuman. “Sama-sama Azim. Akak minta maaf sebab dah ganggu Azim.”
Kelihatan Abdul Azim menggelengkan kepalanya. “Tak adalah, kak. Saya okey je. Sekali lagi, terima kasih.”
“Sama-sama Azim.”
Misi Wardiah mula meninggalkan wad tersebut. Sejujurnya, dia juga sendiri tidak pasti mengapakah dia mahu memberitahu kepada Abdul Azim berkenaan gadis yang menziarahi lelaki itu.

KELIHATAN Sakeenah tiba di Unit Rawatan Rapi (ICU). Akan tetapi, dia terkejut tatkala wad tersebut tidak berpenghuni. Adakah Abdul Azim sudah…
“Cari pesakit nama Abdul Azim ya?” sapa Misi Wardiah bersama senyuman. ‘Muncul pun. Lama dia tak datang sini,’ bisik hatinya.
Sakeenah menoleh ke belakang. “Err… Ya, ya… Dia pergi mana?”
“Dia dah pindah kat Wad Melati. Bilik dia, A-4. Dia dah sedar dari koma dalam bulan lepas. Wad Melati kat tingkat 15.”
Pada saat itu, Sakeenah hampir menitiskan air matanya tatkala dia mengetahui keadaan terkini Abdul Azim. Dia mengucap syukur dalam hati! Sangkaannya, lelaki itu telah menghadap Ilahi. Namun, dia menyembunyikan rasa gembira dan terharu itu. “Oh! Dia dah sedar rupanya. Alhamdulillah. Kalau macam tu, saya pergi dulu. Terima kasih, kak.”
“Sama-sama,” balas Misi Wardiah sambil anak matanya memerhatikan Sakeenah sedang meninggalkan tingkat 8 tersebut. Pada ketika itu, entah mengapa dia mahu Abdul Azim dan Sakeenah berjodohan sehingga ke Syurga. Mungkin kerana tulusnya cinta gadis itu. Akan tetapi, dia tumpang gembira untuk Sakeenah. Kesabaran gadis itu menziarahi Abdul Azim tanpa jemu terbayar juga akhirnya.

“YA ALLAH… Terima kasih kerana Kau telah memberikan peluang kedua untuk Abang Azim!” ucap Sakeenah dengan perlahan di surau yang terletak dalam Puteri Raudhah Ideal Medical Centre setelah dia menunaikan sujud syukur sebagai tanda dia berasa amat bersyukur untuk Abdul Azim. Ternyata Allah Maha Berkuasa dalam menyedarkan Abdul Azim dari koma yang panjang!
Secara tidak sedar, air matanya mengalir laju. Betapa dia terharu. Walaupun dia bukan sesiapa untuk Abdul Azim tetapi atas dasar rasa cinta, dia tumpang gembira dan bahagia. Dia sedar, cinta itu boleh jadi memiliki dan boleh jadi juga tidak memiliki.
‘Mesti Abang Azim dah makin kuat dan gembira,’ bisik hati Sakeenah.
Tanpa melengahkan masa, dia mula menggalaskan beg tangannya dan meninggalkan surau tersebut bagi menziarahi Abdul Azim. Bukan kerana dia mengharapkan cintanya terbalas di atas pengorbanannya menziarahi lelaki itu tanpa jemu dahulu, namun, dia mahu menziarahi Abdul Azim sebagai seorang adik kepada Mohamad Salahuddin.
Sesampai Sakeenah di hadapan wad Abdul Azim, iaitu Wad A-4, hatinya mula berdebar untuk berhadapan dengan lelaki itu. Jantungnya berdegup kencang. Dia menggarukan kepalanya yang tidak gatal itu. Langkahnya penuh ragu-ragu.
“Patut ke aku jumpa Abang Azim?” katanya sendirian.
“Tapi… Aku dah penat-penat datang sini, takkan tak jumpa Abang Azim? Dia dah sedar dari koma.”
Setelah Sakeenah berperang dengan dirinya sendiri, dia mengambil keputusan untuk menziarahi lelaki. Pintu wad itu mula ditolak dengan perlahan-lahan. “Assalamualaikum…” ucapnya. Namun, dia masih tidak dapat melihat keadaan lelaki itu kerana dihalangi oleh dinding.
Abdul Azim pula sedang berbaring di atas katil setelah dia penat menjalani latihan fisioterapi tadi. Akan tetapi, dia terdengar suara seseorang memberi salam. Cepat-cepat dia berpura-pura melelapkan mata. Dia ingin mencuri pandang secara diam-diam terhadap gerangan yang datang menziarahinya.
Semakin lama, langkah tetamu itu semakin menghampiri Abdul Azim. Namun, dia masih belum boleh untuk mencuri pandang.
Sakeenah menghadiahkan senyuman tatkala dia melihat Abdul Azim sedang tidur. Lalu, dia melabuhkan punggungnya di atas kerusi tamu itu. “Assalamualaikum Abang Azim. Emm… Abang Azim tengah tidur rupanya. Keena minta maaf sebab datang waktu macam ni pula.”
‘Keena? Keena adik Din ke?’ bisik hati Abdul Azim. Dia tiada kenalan lain bernama Sakinah/Sakina/Sakeena/Sakeenah dalam kamus hidupnya kecuali Sakeenah, adik kepada Mohamad Salahuddin. Gelora hatinya ingin membuka mata sekarang juga! Namun, dia perlu relaks dan mendengar lagi kata-kata Sakeenah itu.
Sakeenah meneruskan bicaranya dengan Azim dan dia menyangkakan Azim sedang tidur. “Abang Azim… Keena bersyukur sangat sebab Abang Azim dah sedar dari koma. Punyalah lama Keena tak jenguk Abang Azim sampai Abang Azim dah sedar dan tukar kat wad biasa.”
Tiba-tiba Abdul Azim membuka matanya. Benarlah telahannya… Gadis di hadapannya merupakan adik kepada Mohamad Salahuddin.
Sakeenah pula, sah-sahlah dia terkejut! Sangkaannya, lelaki itu sedang tidur lena. Rupa-rupanya, lelaki itu sedang mencuri dengar. ‘Aduh, kau ni memang bijaklah, Keena! Siapa suruh nak jumpa Abang Azim juga!’ marah hatinya.
“Selama ni, Keena ke yang jenguk abang?” soal Abdul Azim.
“Err… A… Abang Azim,” balas Sakeenah dengan sedikit gugup.
Kelihatan Abdul Azim menghadiahkan senyuman. Dia tahu Sakeenah kelihatan agak cuak. Namun, bukan niatnya untuk menakutkan gadis itu. Dia sendiri gembira apabila ada seseorang yang sudi menjenguknya dengan penuh setia selama dia koma dahulu. “Terima kasih sebab sudi jenguk abang sepanjang abang koma dulu. Ada seorang misi beritahu abang, Keena selalu jenguk abang dulu.”
Wajah Sakeenah mula merona merah. Ah, sudah! Apakah yang mampu dia katakan kini? Jadi, selama ini, dia diperhatikan oleh jururawat di hospital ini. Malunya!
Melihatkan Sakeenah masih diam membisu, Abdul Azim tersenyum. Dia masih cuba untuk berinteraksi dengan gadis itu. “Keena… Abang tak marah pun. Abang okey je. Sekali lagi, terima kasih.”
“Sama-sama Abang Azim,” barulah Sakeenah bersuara. “Abang Azim sihat?”
“Alhamdulillah. Abang sihat je. Cuma, abang letih sikit hari ni. Abang baru balik dari latihan fisioterapi tadi. Dalaman abang masih belum sembuh sepenuhnya.”

“Oh. Kiranya, Abang Azim dah kuat nak jalan balik?”

“Alhamdulillah, dah makin kuat jalan. Cuma, abang masih perlu guna strecer ni kalau nak pergi ke bahagian fisioterapi tapi kalau abang tak larat, abang naik kerusi roda,” terang Abdul Azim seraya menunjukkan strecer yang berada di sebelah katilnya.

Sakeenah mengangguk faham. Nampaknya, lelaki itu semakin sembuh dengan izin-Nya. “Alhamdulillah. Lepas ni, Abang Azim ada kena jumpa Dr. lagi ke?”
“Buat masa sekarang, tak ada. Oh ya… Apa khabar Din dan Qist?”
“Dia orang sihat je. Dah ada anak. Kembar lelaki.”
“Alhamdulillah… Abang tumpang gembira untuk dia orang. Ha, Keena pula macam mana dengan sekolah? Eh, ke Keena dah habis sekolah!”
Sakeenah tersenyum. “Dah habis sekolah. Sekarang, tengah tunggu keputusan SPM. Lagi dua minggu.”
“Ya Allah… Cepatnya masa berlalu. Masa abang jumpa Keena kat majlis kahwin tahun 2016 dulu, Keena umur berapa masa tu?”
“Masa tu, Keena umur 15 tahun. Sekarang, dah 18 tahun.”
Lalu, bersembanglah Abdul Azim dan Sakeenah dengan penuh rancak. Sakeenah juga bagai sudah terlupa akan rasa malunya dia terhadap lelaki itu. Dia juga berkongsi impiannya untuk menyambung pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) seperti abangnya, kakak iparnya dan Abdul Azim dalam bidang arkitek.
“Insya-Allah, abang yakin keputusan SPM Keena akan cemerlang. Keena pun cakap, Keena boleh buat dulu,” kata Abdul Azim bersama kuntuman senyuman.

“Insya-Allah. Harap-harapnya macam tulah. Emm… Abang Azim… Keena minta izin nak balik dulu ya,” pinta Sakeenah.

Pada saat itu, tiba-tiba hati Abdul Azim berasa amat berat hati untuk melepaskan Sakeenah pergi. Namun, dia perlu menghormati masa gadis itu. “Okey Keena. Hati-hati dalam perjalanan. Terima kasih sebab sudi ziarah abang hari ni. Ada masa lagi, datanglah ziarah. Alang-alang tu, ambillah nombor abang. Manalah tahu kalau abang dah boleh keluar dari sini, abang maklum kat Keena. Takut Keena datang, abang dah keluar.”
“Oh, boleh, boleh,” kata Sakeenah seraya mengeluarkan telefon pintarnya. “Okey, apa nombor abang?”
Lalu, Abdul Azim memaklumkan nombor telefonnya kepada Sakeenah. Kelihatan Sakeenah memasukkan telefon pintarnya ke dalam beg galasnya semula setelah dia menyimpan nombor lelaki itu. “Keena balik dulu ya, abang. Assalamualaikum,” ujarnya bersama senyuman.
“Waalaikummussalam,” ucap Abdul Azim. Dia membalas senyuman gadis itu.
Sakeenah mula meninggalkan wad tersebut bersama hati penuh berbunga-bunga. Tercapailah hasrat dia bagi menziarahi Abdul Azim setelah lelaki itu sedar dari koma.
Abdul Azim pula? Anak matanya setia menghantar pandangan ke arah Sakeenah sehingga gadis itu meninggalkan wad yang didiami oleh dirinya. Sejak Misi Wardiah memaklumkan perihal Sakeenah itu dan dia telah bertemu dengan Sakeenah meskipun Sakeenah tidak menjawab soalannya berkenaan kesetiaan perempuan itu menziarahinya sepanjang dia koma dahulu, dia mula mempertimbangkan hatinya pada ketika ini.
Dia tahu Sakeenah menyukai dirinya yang serba kekurangan itu. Jika tidak, buat apalah Sakeenah sanggup berkorban masa dan tenaga untuk menziarahi dirinya selama dia koma dulu. Benar kata Misi Wardiah… Memang gadis kecil molek itu mempunyai perasaan terhadap dirinya.
Abdul Azim mula yakin bahawa Sakeenah telah berjaya membuka hatinya dan berjaya menghapuskan rasa cintanya terhadap Qistur Ruwaidah. Seharusnya dia melepaskan pergi perasaannya terhadap wanita yang telah menjadi isteri kepada Mohamad Salahuddin dan seorang ibu kepada sepasang cahaya mata kembar. Dia tidak akan memusnahkan kebahagiaan keluarga tersebut dan mustahil untuk dia menjatuhkan maruahnya untuk menjadi perampas pula. Bahkan, masih ramai lagi wanita lain yang boleh dia cari. Bukan Qistur Ruwaidah sahaja wanita yang ada di dunia ini!

Walaupun dia sedar bahawa Sakeenah merupakan adik kepada Mohamad Salahuddin, dia akan cuba berbincang dengan lelaki itu secara baik bagi dia mendapatkan gadis itu dengan cara terhormat. Dia risau jika Mohamad Salahuddin tersalah anggap tentang niat sucinya untuk memperisteri Sakeenah, hanya kerana dia mahu mendapatkan Qistur Ruwaidah semula. Itu tidak akan terjadi!

Jejaka itu juga tidak pernah lupa punca lamaran dia ditolak oleh Qistur Ruwaidah dan dia mengambil pengajaran daripada jawapan wanita itu. Akan tetapi, dia mengetahui bahawa dia masih perlu berkenalan dengan Sakeenah secara mendalam dan dia pasti, Sakeenah juga perlu mengambil masa berkenalan dengan dirinya.

HARI demi hari, hubungan Abdul Azim dan Sakeenah semakin akrab menerusi media sosial sama ada di WhatsApp, Instagram atau Fac serta Sakeenah sendiri kerap menziarahi Abdul Azim di hospital sebagai tanda sokongan dan semangat buat lelaki itu.

Bahkan, Sakeenah juga turut berkongsi kejayaan SPM yang diperolehi oleh dirinya kepada Abdul Azim menerusi WhatsApp. Dia telah mendapat 11A+ untuk keseluruhan subjek dan seterusnya, dia mendapat Anugerah Pelajar Terbaik SPM 2018.
Abdul Azim tersenyum tatkala dia menerima beberapa gambar menerusi WhatsApp yang dihantar oleh Sakeenah pada hari keputusan SPM itu. Dia tumpang gembira dengan kebahagiaan yang terpancar di wajah Sakeenah bersama ayah tercinta, Mohamad Salahuddin, Qistur Ruwaidah dan si kembar tersebut. Itulah kali pertama Abdul Azim dapat menyaksikan semula perkembangan terkini keluarga Mohamad Salahuddin itu setelah dia sedar dari koma. Benarlah… Qistur Ruwaidah amat mencintai Mohamad Salahuddin.
Sehinggalah pada suatu hari ketika Sakeenah menziarahi Abdul Azim di hospital…
“Keena…” ujar Abdul Azim.
“Ya Abang Azim?” balas Sakeenah.
“Boleh abang nak bincang sesuatu dengan Keena?”
“Ha, Abang Azim nak bincang apa?”
“Abang nak beritahu sesuatu tapi abang tahu mungkin tak masuk akal.”
“Okey… Abang nak beritahu apa kat Keena?”
“Abang minta maaf kalau apa yang abang nak cakap ni agak terus terang. Emm… Abang nak hubungan kita ni lagi serius. Abang nak kahwin dengan Keena.”
Sakeenah tergamam dengan apa yang diluahkan dari bibir Abdul Azim itu. Bibirnya terus terkunci rapat. Sungguh, dia tidak menyangka dengan isi hati lelaki tersebut. Adakah…
Doanya telah dimakbulkan oleh Allah di atas kesetiaan jiwanya yang tidak berbelah bagi buat lelaki itu sejak dia berumur 14 tahun dulu? Doanya dimakbulkan ketika dia berumur 18 tahun ini.
Akan tetapi, bersediakah dia untuk menjadi seorang isteri dalam usia yang masih mentah dengan kehidupan dunia? Dia menyedari bahawa jarak usia antara dirinya dan Abdul Azim, iaitu enam tahun. Sama seperti jarak usianya dengan abangnya.
“Keena… Abang tahu ini tak masuk akal. Selama ni, kita pun tak pernah rapat tapi lepas ada seorang misi beritahu abang yang Keena selalu ziarah abang sepanjang abang koma dulu, abang sedar… Keena menghargai abang dan Keena menerima kekurangan abang. Terima kasih.”

Sakeenah masih mendengar penerangan lelaki itu dengan penuh teliti.

Abdul Azim menyambung bicaranya. “Sekarang, kita pun dah makin rapat dan abang pun tak ragu-ragu dengan Keena lepas abang makin kenal Keena tapi untuk Keena, abang faham. Keena masih perlukan masa nak kenal abang. Lagi-lagi, beza umur kita pun banyak juga tapi abang tak kisah pasal tu. Emm… Abang tak paksa Keena bagi jawapan sekarang. Kalau Keena tak sedia nak kahwin, abang faham sangat. Yalah, perjalanan Keena masih jauh. Keena pun baru habis SPM. Keputusan UPU pun tak keluar lagi. Abang faham sangat. Cuma, abang rasa bertanggungjawab nak jaga Keena lepas Keena pernah cerita pasal mak Keena…”

Air mata Sakeenah mula gugur. Dia pernah memaklumkan tentang ibunya dan apa yang telah terjadi terhadap perkahwinan Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah kepada Abdul Azim. Sejujurnya, Abdul Azim berasa amat terkejut dan tidak menyangka pasangan itu telah melalui ujian yang cukup dahsyat angkara ibu gadis itu sendiri.

Hati Abdul Azim runtun menyaksikan air mata Sakeenah sama seperti hatinya pernah runtun tatkala Qistur Ruwaidah menangis di hadapannya. “Keena… Abang minta maaf sebab tersebut pasal mak Keena…”

“T…Tak apa. Keena faham je. Cuma, itulah… Kalau Keena setuju terima lamaran Abang Azim, Abang Azim tak kisah ke? Keena ni anak tukang bomoh,” balas Sakeenah dengan sayu.

Abdul Azim menghadiahkan senyuman. “Kalau abang kisah, tak adalah abang lamar Keena. Abang pun nak jujur sesuatu dengan Keena dan mungkin ini akan mengubah keputusan Keena sama ada Keena nak terima atau tolak lamaran abang.”
“Okey. Keena sedia dengar.”
“Abang pernah ada perasaan kat Qist dan abang pernah lamar Qist.”
Sakeenah terdiam seketika. Jujur, hatinya sedikit goyah. Ikhlaskah lelaki ini terhadap dirinya atau lelaki ini sekadar ada agenda lain, atau lebih tepat lelaki ini cuba untuk mendapatkan kakak iparnya daripada abangnya? Oh, mana mungkin dia sanggup menyaksikan kehancuran rumah tangga abangnya dan kakak iparnya jika lelaki ini masuk dalam keluarganya!
Abdul Azim dapat membaca fikiran Sakeenah tatkala dia menyaksikan riak wajah gadis itu. “Kalau Keena fikir abang nak kahwin dengan Keena sebab niat abang nak rampas Qist balik dan musnahkan kebahagiaan keluarga abang Keena, Keena silap. Demi Allah, abang dah tak ada apa-apa perasaan kat Qist. Lagipun, abang sendiri dah tak tahu kehidupan dia walaupun abang rapat dengan Abang Suhaib. Abang tak pernah tanya apa-apa pasal Qist walaupun sekali lepas Qist dah kahwin dengan Din kat Abang Suhaib. Kalau Keena tak percaya, pergilah tanya Abang Suhaib. Abang Suhaib tu tahu banyak pasal abang tapi abang tak beritahu lagi pasal abang lamar Keena ni kat Abang Suhaib.”

Sakeenah masih diam membisu lagi. Dia menundukkan wajahnya.
“Keena…” panggil Abdul Azim dengan penuh lemah lembut. Dia mula tersedar sesuatu. Mungkin dia telah tersalah bicara dengan gadis itu. “Abang minta maaf kalau abang tersalah cakap,” ujarnya lagi bersama pengharapan agar Sakeenah mengangkat wajahnya itu.
Perlahan-lahan, Sakeenah mengangkat wajahnya. Lalu, dia memandang tepat wajah Abdul Azim dan menggelengkan kepalanya. “Abang Azim tak salah. Keena tahu Abang Azim takkan buat macam tu. Abang Azim yang Keena kenal, baik orangnya.”

Abdul Azim menghadiahkan senyuman. “Keena percayakan abang? Keena tak ragu-ragu dengan abang langsung?”

“Tipulah kalau Keena tak ragu-ragu dengan Abang Azim, kan? Lagi-lagi Keena nak fikir keputusan terbesar dalam hidup Keena. Emm… Kahwin. Keena tahu kahwin tu bukan satu perkara main-main. Keena masih perlukan masa nak cari makna sebenar kahwin. Komitmen Keena nak sambung belajar lagi. Keputusan UPU pun tak keluar lagi.”

“Keena… Abang tak paksa Keena untuk bagi jawapan secepat yang boleh. Abang boleh tunggu sampai Keena dah ada jawapan. Andai kata Keena tolak lamaran abang pun, abang terima. Cuma, abang minta… jangan menyepi dan biarkan abang tertunggu-tunggu dengan jawapan Keena. Tu je.”

“Okey, abang. Insya-Allah Keena takkan menyepi. Bila Keena dah ada jawapan, insya-Allah Keena akan maklumkan terus kat abang.”

Abdul Azim menghadiahkan senyuman buat gadis itu. “Emm… Kita masih boleh jadi kawan, Keena?”

Kelihatan Sakeenah membalas senyuman jejaka itu. “Eh, mestilah! Sampai bila-bila pun, kita boleh jadi kawan. Terima kasih Abang Azim sebab sudi nak kawan dengan Keena, anak tukang bomoh ni.”

“Isy, ke situ pula dia! Tak ada maknanya. Abang tak pandang pasal tu. Bukannya Keena tukang bomoh. Arwah mak Keena tukang bomohnya. Keena cuma mangsa keadaan.”

Pada saat itu, Sakeenah tersenyum gembira dengan mendengar kata-kata Abdul Azim. Dia mula menyakinkan hatinya sedikit bahawa Abdul Azim memang ikhlas untuk dirinya. Pulang sahaja ke rumah nanti, dia akan mula mencari erti perkahwinan dalam suatu tempoh yang agak lama sebelum dia mengambil keputusan untuk menerima atau menolak lamaran lelaki itu.

SAKEENAH mula mencari jawapan berkenaan perkahwinan melalui bacaan di internet, buku dan juga, dia turut menghadiri mana-mana ceramah berkaitan perkahwinan bagi mengukuhkan kefahamannya itu sementara menunggu keputusan UPU. Hendak bertanya kepada Encik Mohd Firdaus, Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah, mestilah tidak boleh! Habislah terbongkar rahsia bahawa Abdul Azim telah melamar dirinya! Sebolehnya, dia merahsiakan dahulu berkenaan lamaran tersebut.

Dia terjumpa beberapa sebab tujuan perkahwinan menurut Islam. Antaranya:-

1.Berkahwin untuk ibadah.
2.Berkahwin untuk memenuhi fitrah kemanusiaan.
3.Berkahwin untuk memelihara martabat manusia.
4.Berkahwin untuk menjemput ketenteraman hidup.
5.Berkahwin untuk hubungan silaturahim kekeluargaan.
6.Berkahwin untuk mendapatkan keturunan.

Tatkala Sakeenah terbaca isi keenam itu, dia terfikir sesuatu. Keturunan? Wajarkah dia mempunyai anak ketika masih belajar? Mampukah dia? Jika isi pertama sehingga isi kelima itu, dia masih boleh menguruskan kehidupannya dan pasangannya. Nampaknya, dia perlu berbincang dengan Abdul Azim berkenaan hal tersebut. Sejujurnya, hatinya semakin cenderung untuk menerima lamaran lelaki itu.
Apa-apa pun, dia masih perlu beristikharah dan memohon petunjuk daripada Allah berkenaan urusan jodohnya ini.

“ABANG Azim, Keena terima lamaran Abang Azim,” balas Sakeenah bersama senyuman di hujung talian. Pada ketika itu, dia berhubung dengan Abdul Azim menerusi panggilan telefon. Ya, hatinya sudah yakin sepenuhnya untuk hidup bersama lelaki itu kelak.
Abdul Azim turut tersenyum di hujung talian. Segala puji bagi Allah, doanya dimakbulkan. Dia sudah berjanji bahawa dia mahu membahagiakan Sakeenah sehingga ke hujung nyawanya.
“Tapi Abang Azim… Ada syarat,” bicara Sakeenah.
Abdul Azim sudah mengerutkan wajahnya tatkala mendengar perkataan “syarat” itu. “Syarat apa, Keena?”
“Keena tak berani nak beritahu ayah dan Abang Long. Keena ingat, kita cakap dengan Abang Long dulu. Tu syarat pertama. Syarat kedua, lepas Keena dah baca macam-macam pasal ilmu kahwin, Keena sedar Keena tak mampu nak bagi anak kat Abang Azim dalam tempoh belajar sebab Keena tahu Keena tak mampu nak galas tanggungjawab jadi mak masa belajar tapi kalau Abang Azim nak ada anak dalam tempoh yang cepat, Keena terpaksa tolak lamaran Abang Azim.”
“Abang baru nak cakap pasal ni tapi Keena dah suarakan. Baguslah. Terima kasih sebab jujur dengan abang. Soal anak, memang abang pun akan tunggu sampai Keena habis belajar dulu. Abang pun tak habis belajar lagi. Ada baki dua tahun. Abang pun nak fokus kat Keena dulu sebelum fikir pasal anak. Jangan risau. Abang faham.”
“Sama-sama abang. Keena lega bila Abang Azim cakap macam tu. Jujur… Keena tak nak kehilangan Abang Azim lagi. Cukuplah masa Abang Azim koma dulu,” luah Sakeenah dengan nada sebak.
Tipulah kalau hati Abdul Azim tidak terusik tatkala mendengar ayat Sakeenah itu. Dia juga tidak mahu kehilangan Sakeenah yang tulus mencintainya dengan cara gadis itu berkorban untuk dirinya… Setia menziarahinya tanpa jemu dahulu. “Keena… Jodoh, rezeki dan ajal, itu semua ketetapan Allah. Abang pun bersyukur sebab Allah bagi peluang kedua kat abang tapi kali ni, Allah hadirkan Keena untuk abang.”
Pada saat itu, Sakeenah semakin sebak. “Abang Azim takkan tinggalkan Keena, kan?”
Bibir Abdul Azim mengukir senyuman di hujung talian itu. “Insya-Allah selagi abang masih panjang umur. Abang pun dah tak nak buang masa dengan hubungan kita ni. Bila abang boleh jumpa Din?”
Pada ketika itu, Abdul Azim telah dibenarkan keluar dari hospital dan kini, dia menginap di rumah salah seorang kakaknya sementara menunggu semester baharu yang akan bermula pada 9 September 2019. Kiranya, semester tersebut merupakan tahun ketiga semester satu buat dirinya setelah dia sedar dari koma. Sepatutnya, dia menamatkan pengajian pada tahun 2018 bersama dua orang sahabatnya, iaitu Muhammad Syarafuddin dan Amirul Azhar. Namun, perancangan Allah mengatasi segala-galanya.
“Kalau Sabtu ni, okey?” balas Sakeenah.
“Alhamdulillah. Lagi cepat, lagi bagus. Abang dah sedia nak hadap Din,” balas Abdul Azim.
“Emm… Kalau Kak Long Qist?”
“Qist? Kenapa Keena tiba-tiba bangkitkan pasal Qist?”
“Takut Abang Azim tak selesa kalau nak hadap Kak Long. Yalah, kan Abang Azim pernah ada perasaan kat Kak Long dulu.”
Abdul Azim tertawa kecil. Sakeenah…. Sakeenah… “Keena… Apa yang terjadi antara abang dan Qist dulu, tu hanya masa lalu kita orang. Lagipun, kita orang bukannya pernah bercinta. Cuma, kita orang pernah suka sama suka. Kalau nak cakap pasal isu selesa tak selesa ni, abang dah okey. Takut Qist yang tak selesa dengan abang tapi Keena jangan risau, abang akan jelaskan baik-baik kat Din dan Qist. Moga urusan kita dipermudah. Insya-Allah.”

“Insya-Allah. Abang Azim jangan risau. Keena percaya kat Abang Azim.”

“PELIK juga ya Keena ajak kita keluar hari ni,” kata Qistur Ruwaidah dalam nada berbisik sambil menyentuh kandungannya yang kini berusia enam bulan untuk anak ketiga dan keempat itu.
“Itulah. Tiba-tiba je dia nak bermalam kat rumah kita dan ajak kita keluar hari ni. Mesti ada apa-apa,” balas Mohamad Salahuddin sambil menolak kereta sorong bayi. Kelihatan Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil begitu selesa berada di dalam kereta sorong bayi tersebut.
“Abang Long, Kak Long… Cepatlah! Keena lapar ni!” kata Sakeenah.
“Ya, ya… Sekejap Keena,” kata Mohamad Salahuddin.
Kelihatan Sakeenah sudah berdiri di hadapan Restoran ‘Fruit De Mer’. Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah tercengang seketika. Seriuslah mereka mahu menikmati minum petang di restoran mewah ini? Sudah lama juga mereka tidak datang ke restoran ini.
“Eh, Keena! Keena nak belanja kita orang makan kat restoran ni? Mana Keena dapat duit?” soal Mohamad Salahuddin.
“Abang Long ni… Mestilah ayah yang bagi duit, campur duit gaji Keena masa Keena kerja sebelum Keena sambung kat CFS Gambang,” terang Sakeenah.
Sebenarnya, itu hanyalah pembohongan Sakeenah. Bukan dia yang akan membelanjai keluarga abangnya itu tetapi Abdul Azim. Ya, Abdul Azim, Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah akan bertemu semula di sini setelah sekian lama tidak berjumpa. Tugas Sakeenah, dia hanya perlu membawa abang dan kakak iparnya sahaja.
Akan tetapi, sementara menunggu keputusan SPM dulu, memang Sakeenah pernah bekerja sebagai jurujual di sebuah butik tudung terkemuka dari hari Isnin hingga Sabtu. Tidak jauh dari hospital yang didiami oleh Abdul Azim dahulu. Oleh sebab itu, dia berpeluang untuk menziarahi Abdul Azim pada setiap hari Sabtu selepas tamat waktu kerja.
Kini, Sakeenah telah melanjutkan pengajian di Centre For Foundation Studies, International Islamic University Malaysia (CFS IIUM), cawangan Gambang, Pahang dalam jurusan Foundation of Architecture and Environmental Design (AED), sama seperti Abdul Azim. Hasratnya untuk mengambil jurusan dan universiti yang sama dengan Abdul Azim telah pun dimakbulkan.
Namun, Sakeenah pulang seketika dari CFS IIUM Gambang ke Kuala Lumpur kerana dia sudah lama tidak bertemu dengan ayahnya dan keluarga abangnya. Dia terlalu rindu, terutama anak saudara kembarnya yang kini sudah berusia dua tahun dan kedua-dua orang si kembar itu bakal menjadi abang pada bulan Disember ini.
Alang-alang itu, bolehlah Sakeenah membongkarkan hubungan dia dan Abdul Azim kepada Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah terlebih dahulu sebelum dia memaklumkan kepada Encik Mohd Firdaus.
“Tapi Keena… Restoran ni mahal. Kita makan kat tempat lainlah,” kata Mohamad Salahuddin.
“Tak kira. Kita makan kat sini juga,” tegas Sakeenah seraya langkahnya laju melangkah masuk ke restoran tersebut.
“Tak apalah, habibi. Dah dia nak belanja kita. Ikut jelah,” kata Qistur Ruwaidah.
“Haih… Keena… Keena…” keluh Mohamad Salahuddin sambil menggelengkan kepalanya. Lalu, dia dan keluarganya mula melangkah masuk ke restoran tersebut.
Kelihatan Sakeenah setia menunggu keluarga abangnya itu. Wajahnya bertukar gembira tatkala keluarga abangnya sudah sampai. ‘Maaf Abang Long, Kak Long… Keena terpaksa bertegas. Keena nak temukan Abang Long dan Kak Long dengan Abang Azim balik,’ bisik hatinya.
Kemudian, dia menghantar WhatsApp kepada Abdul Azim.

WhatsApp Sakeenah:
Assalamualaikum Abang Azim. Kita orang baru sampai. Abang Azim nak datang sekarang atau tunggu kita orang makan dulu?
Kelihatan Abdul Azim sedang menaip sesuatu buat gadis itu.

WhatsApp Abdul Azim:
Waalaikummussalam Keena. Kau orang makan dulu. Bagi Din dan Qist kenyang dulu. Abang boleh tunggu. Abang pun tengah makan lagi ni.
Lalu, Sakeenah menyimpan telefon pintar di dalam begnya. “Abang Long, Kak Long… Pilih je nak makan apa-apa tahu. Lagi-lagi Kak Long. Manalah tahu tengah mengidam apa-apa ke. Ha, jangan lupa untuk Qalyubi dan Qurtubi sekali,” katanya. Lalu, dia mencium kedua-dua belah pipi si kembar itu.
Qistur Ruwaidah tersenyum. “Terima kasih Keena. Moga murah rezeki.”
“Sama-sama Kak Long.”
“Keena… Baik jujur dengan kita orang. Kenapa tiba-tiba nak belanja makan ni? Abang Long takkan pesan apa-apa selagi Keena tak beritahu,” sampuk Mohamad Salahuddin. Nadanya kedengaran tegas.
“Habibi…” Qistur Ruwaidah cuba menenangkan suaminya.
Sakeenah menundukkan wajahnya. Dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak berlaku jujur dengan abang dan kakak iparnya. Namun, dia perlu kuat untuk berterus terang berkenaan pertemuan pada hari ini.
“Sakeenah binti Mohd Firdaus, pandang Abang Long!” panggil Mohamad Salahuddin. Nadanya menjadi semakin tegas.
Sakeenah mula menjadi takut. Tubuhnya menggeletar. Qistur Ruwaidah mula membangunkan dirinya dari tempat duduk. Lalu, dia melabuhkan punggungnya di atas kerusi bersebelahan dengan adik iparnya itu. Sakeenah mula memeluk kakak iparnya itu. Dia amat mengasihi kakak iparnya yang kini telah menggantikan almarhumah ibunya.
“Keena… Cuba beritahu kita orang, ada apa-apa yang Keena nak beritahu ke?” pujuk Qistur Ruwaidah seraya mengusap kepala adik iparnya itu.
“Emm… K… Keena…” Sakeenah masih cuba menguatkan hatinya.
“Pujuklah dia. Habibi tunggu sampai dia beritahu kita. Degil betul!” perli Mohamad Salahuddin.
“Habibi… Kenapa tiba-tiba nak beremosi hari ni? Keena ni nak belanja kita, biarlah dia. Kalau bukan sebab apa-apa pun, tak apalah. Boleh eratkan lagi hubungan kita semua,” balas Qistur Ruwaidah dengan penuh berhemah.
Mohamad Salahuddin mula tersedar akan kata-kata Qistur Ruwaidah. Timbul rasa serba salah dalam kalbunya kerana beremosi secara tiba-tiba. Mujurlah isterinya menenangkan jiwanya. “Keena…” panggilnya seraya menuju ke arah adiknya. Dia melutut di hadapan adiknya itu sebagai tanda dia mengakui kesalahannya dan menurunkan ego.
Sakeenah mula meleraikan pelukan itu. Barulah dia berani menatap wajah abangnya itu. Satu-satunya adik-beradik yang dia ada.
Mohamad Salahuddin meraih kedua-dua belah tangan adiknya itu. “Abang Long minta maaf. Abang Long tak sengaja tinggikan suara kat Keena tadi tapi Abang Long tahu, Keena ada perkara penting nak cakap kat kita orang, kan?”
Sakeenah mengangguk. “Haah… Emm… S… Sebenarnya, ada orang nak pinang Keena. Orang tu dah ada kat sini. Keena ajak jumpa sebab Keena nak kenalkan dia kat Abang Long dan Kak Long dulu sebelum Keena nak beritahu ayah.”
Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin terkedu seketika. Ada orang mahu meminang Sakeenah? Sepantas ini?
“Siapa yang nak pinang Keena? Pergi panggil dia,” ujar Mohamad Salahuddin.
“Keena hubungi dia sekejap,” balas Sakeenah. Lalu, dia meninggalkan tempat duduknya untuk menghubungi Abdul Azim bagi memaklumkan keadaan sekarang. Jujur, hatinya benar-benar berdebar untuk meminta lelaki itu bertemu dengan abangnya dan kakak iparnya.
“Keena… Abang faham Keena panik. Jangan risau. Abang dah sedia,” kata Abdul Azim dengan tenang di hujung talian.
“Macam mana kalau Abang Long dan Kak Long tak suka dengan Abang Azim? Keena tak nak kehilangan Abang Azim,” luah Sakeenah dengan sebak.
“Keena… Jangan fikir macam tu. Belum cuba, belum tahu. Kenapa Keena nak kena takut? Sedangkan, abang yang patut lagi takut daripada Keena. Insya-Allah, semua akan baik-baik je. Abang gerak sekarang ya?”
“Okey.” Itu sahaja balasan Sakeenah. Lalu, talian dimatikan. Apa lagi yang dia mampu lakukan sekarang melainkan tibalah detik untuk Abdul Azim bersua dengan pasangan suami isteri itu. Kemudian, dia menuju semula ke arah abangnya dan kakak iparnya.
“Dia dalam perjalanan,” maklum Sakeenah seraya melabuhkan punggungnya di kerusi makan itu.
Tiba-tiba…
“Assalamualaikum,” ucap seseorang.
Tatkala Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah menjawab salam, pasangan itu terkejut seketika! Abdul Azim?! Apakah semua ini!
“Azim?” ujar Mohamad Salahuddin. Dia mengangkat punggungnya untuk berjabat tangan dengan jejaka itu.
Kelihatan Abdul Azim membalasnya dengan riak wajah yang cukup tenang dan tidak gentar. Dia benar-benar sudah bersedia.
“Jemput duduk, Azim,” kata Mohamad Salahuddin seraya menjemput Abdul Azim untuk duduk bersebelahan dengan dirinya.
Abdul Azim mengangguk hormat seraya melabuhkan punggungnya. Kelihatan Sakeenah berada di hadapannya dan Qistur Ruwaidah duduk di sebelah Sakeenah.
“Okey. Kita terus ke topik utama. Apa cerita kau orang ni, Azim, Keena? Kau orang buat kita orang terkejut betul! Tak ada angin, tak ada ribut,” kata Mohamad Salahuddin.
Abdul Azim tersenyum. Dia juga tidak menyangka bahawa dia telah jatuh hati terhadap adik Mohamad Salahuddin itu. “Ya, aku tahu kau orang terkejut dan aku sendiri pun masih tak percaya, aku dah jatuh hati kat adik kau, Din. Biar aku berterus terang apa yang dah jadi di antara aku dan Keena sampailah aku ambil keputusan nak pinang dia,” balasnya dengan tenang.
Lalu, Abdul Azim mula mengimbau kembali kisah sewaktu dia berada di hospital dan pertemuannya bersama Sakeenah. Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah mendengar dengan penuh tekun. Sakeenah pula semakin tidak keruan dan berganda malu.
Usai Abdul Azim menceritakan segala-galanya, Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah memandang Sakeenah. Sakeenah hanya mampu tersengih.
“Bertuah betul adik aku ni. Memang aku dan Qist tak tahu langsung dia ziarah kau kat hospital hampir setiap minggu dulu,” kata Mohamad Salahuddin seraya memandang Sakeenah. Adiknya tersengih lagi. Namun, dia kagum dengan kesetiaan Sakeenah terhadap Abdul Azim itu sepertimana dia sendiri setia terhadap Qistur Ruwaidah dahulu.
“Maaf, Abang Long, Kak Long. Keena tahu Keena tak patut buat macam tu dulu tapi Keena dah lama suka kat Abang Azim. Tu je cara Keena boleh beritahu kat Abang Azim yang Keena suka Abang Azim,” ucap Sakeenah dengan serba salah.
Qistur Ruwaidah hanya menjadi pemerhati dan dia tidak mahu menyampuk apa-apa. Ada seketika, dia melayani permata hati kembarnya itu. Sejujurnya, dia gembira untuk Abdul Azim kerana akhirnya, lelaki itu telah berjaya menemui gadis pilihan. Jauh di sudut hati, dia juga mahu memohon maaf secara bertentang mata dengan lelaki itu sejak sekian lama dari lelaki itu sedang koma dulu. Mungkin dia akan bercakap dengan lelaki itu secara peribadi sekejap lagi.
“Azim… Pertama sekali, aku nak ucap terima kasih sebab kau berani datang pinang Keena dengan cara baik sebelum kau nak jumpa ayah kita orang. Aku percaya, kalau kau tak jumpa aku dan terus nak jumpa ayah kita orang, kau berani je. Sejujurnya, aku tak ada masalah dan aku percaya dengan keikhlasan kau untuk adik aku. Cuma, mungkin sekarang antara Qist dan kau. Ada perkara yang tak selesai lagi antara kau orang,” kata Mohamad Salahuddin. Lalu, dia memandang isterinya.
Qistur Ruwaidah meneguk air liurnya. Ah, sudah! Sejujurnya, memang dia mahu berbicara dengan lelaki itu.
Abdul Azim pula tetap berwajah selamba. Akan tetapi, dia juga ingin menuturkan sesuatu buat wanita yang pernah menjadi dambaannya pada suatu ketika dahulu. Dia sudah reda bahawa dia tidak ditakdirkan buat Qistur Ruwaidah dan dia telah menemui Sakeenah, sang gadis yang cukup comel, lincah dan manja. Tambahan pula, gadis itu merupakan anak yatim. Sesuailah dengan calon menantu idaman ibu bapanya dan dia sendiri juga mengharapkan calon isterinya merupakan anak yatim atau yatim piatu, sepersis Qistur Ruwaidah.
Tambahan pula, ketinggian Sakeenah yang cukup kecil molek itu, iaitu 148 cm membuatkan Abdul Azim semakin jatuh hati. Dia sudah membayangkan apabila dia berdiri di sebelah Sakeenah, dia berasa cukup comel dan manisnya hubungan yang terbina di antara dirinya dan gadis itu.
“Habibi… Sayang minta izin nak cakap secara privasi dengan Azim,” Qistur Ruwaidah mula bersuara.
“Boleh. Pergilah. Habibi izinkan,” balas Mohamad Salahuddin.
Abdul Azim tersenyum tatkala mendengar panggilan manja yang dituturkan oleh Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin itu. Ah, mereka berdua saling cinta! Semestinya, dia sebagai bekas rakan sekelas Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin tumpang gembira! Apatah lagi, dia dapat menyaksikan si kembar itu sedang tidur lena dalam kereta sorong bayi itu.
“Keena… Kak Long minta izin nak sembang dengan Azim sekejap,” pinta Qistur Ruwaidah kepada adik iparnya itu. Apa-apa pun, dia perlu menghormati Sakeenah yang kini sudah mempunyai hubungan dengan lelaki yang pernah disukai oleh dirinya itu.
“Boleh Kak Long. Keena tak kisah pun,” balas Sakeenah. Dia mengerti bahawa kakak iparnya mungkin ingin bualkan sesuatu yang amat penting dengan Abdul Azim.
Qistur Ruwaidah berasa amat lega setelah mendapat keizinan daripada dua beradik tersebut. Lalu, dia memandang wajah Abdul Azim itu. “Azim, ada tempat yang sesuai yang aku boleh cakap dengan kau?” soalnya kepada Abdul Azim.
“Ada. Aku panggilkan Richard sekejap. Memang restoran ni ada bilik khas,” balas Abdul Azim. Lalu, dia menekan butang ‘call’.
Tidak lama kemudian, kelihatan Richard Mesut datang ke meja makan tersebut. “Ya Tuan Azim. Ada apa saya boleh bantu?”
“Tolong bawakan saya dan Puan Qist ke bilik privasi,” kata Abdul Azim.
“Okey, boleh. Mari ikut saya,” kata Richard Mesut.
Kemudian, berlalulah Qistur Ruwaidah dan Abdul Azim mengikuti Richard Mesut ke bilik yang dimaksudkan oleh Abdul Azim manakala Mohamad Salahuddin dan Sakeenah mula memesan makanan dan minuman. Qistur Ruwaidah juga telah berpesan kepada suaminya bahawa dia tidak kisah menu yang ingin dipesan oleh suaminya untuk dirinya.

SUASANA bilik privasi itu benar-benar mendinginkan tubuh Qistur Ruwaidah dan Abdul Azim. Sejujurnya, mereka berdua canggung seketika. Sudah lama mereka tidak bersua muka.
Akhirnya, Qistur Ruwaidah mula bersuara. “Azim, aku nak minta maaf,” ucapnya.
Abdul Azim diam membisu sementara dia menunggu wanita itu selesaikan percakapannya. Dia tidak mahu menyampuk apa-apa.
“Aku tahu aku kejam dulu. Aku tolak lamaran kau dengan aku tak berterus terang secara bersemuka. Aku guna ‘Recorder’ je untuk sampaikan apa yang aku rasa pasal kau dan kenapa aku tolak lamaran kau kat situ. Kau tahu daripada Abang Suhaib, bukan dari mulut aku sendiri. Aku mengaku, aku tak matang lagi masa tu…” luah Qistur Ruwaidah.
“Satu lagi, aku nak minta maaf sebab aku tak layan kau, Sya dan Azhar baik-baik masa kau datang majlis kesyukuran aku dan Din dulu. Azim, aku minta maaf pasal tu. Aku masih tak selesa dengan kau masa tu tapi aku tak sangka… Lepas tu, kau kemalangan dan koma dalam tempoh yang lama. Masa kau koma dulu, aku dan Din ada ziarah kau. Kebetulan bonda baba kau ada masa tu. Aku ingat lagi, bonda kau nak sangat jumpa aku. Kita orang bersembang kat kafe hospital tu. Emm… ”
Abdul Azim sedia maklum akan pertemuan wanita itu dengan ibunya. Puan Tengku Aulia ada menceritakan kepadanya pada beberapa minggu yang lalu. “Ada apa-apa lagi kau nak cakap?” soalnya.
Qistur Ruwaidah menggelengkan kepalanya. “Aku rasa tu je kut.”
“Okey, Qist… Ni jawapan aku pasal tu. Apa yang dah berlaku dulu, masa kau tolak lamaran aku, masa majlis kesyukuran kau… Aku tak salahkan kau dan kau berhak untuk rasa tak selesa dengan aku. Aku anggap perasaan kau kat aku dulu, tu hanyalah masa lalu. Dah berapa tahun pun, kan? Kau pun dah bahagia dengan Din dan anak-anak kau. Aku pun dah jumpa Keena…”
“Pasal masa majlis kesyukuran kau dulu, aku pun nak minta maaf sebab aku datang dan buat kau tak selesa. Sepatutnya, aku tak datang majlis kau. Aku mengaku, aku tak fikir pasal tu sebab pada aku, aku cuma nak meraikan kau dan Din. Aku tumpang bahagia untuk kau orang. Tu je niat aku…”
“Memandangkan aku dah ada hubungan dengan Keena dan kalau kita orang panjang jodoh jadi suami isteri, aku dan kau akan jadi biras. Aku harap antara kita tak simpan apa-apa pasal masa lalu. Demi Allah, Qist. Aku ikhlas untuk Keena. Bukan aku nak balas dendam kat kau atau aku ada percubaan nak ambil kau daripada Din. Itu takkan terjadi dan mustahil pun. Itu hanya ada kat drama pukul 7.00 malam.”
Qistur Ruwaidah tergelak tatkala mendengar ayat terakhir Abdul Azim itu. “Maaf, maaf. Aku tergelak pasal drama pukul 7.00 tu.”
Abdul Azim turut tergelak. “Dah drama pukul 7.00 tak habis-habis dengan isu rampas-merampas, sedangkan yang perempuan dah kahwin dengan orang lain, yang lelaki tak reti-reti nak move on. Tak pun, perempuan yang tak boleh move on. Tak cukup pasal rampas, curang pula. Letihlah aku macam ni.”
Sekali lagi, Qistur Ruwaidah tergelak. “Ya, betullah tu. Aku pun letih dengan drama Melayu macam tu. Emm… Azim… Bila kau sebut pasal biras, baru aku sedar. Kita pun akan ada hubungan kekeluargaan nanti. Sejujurnya, aku tumpang gembira untuk kau sebab kau dah jumpa orang yang kau suka. Macam mana kau tumpang gembira untuk aku dan Din, macam tulah juga aku tumpang gembira untuk kau dan Keena. Aku harap urusan kau dan Keena dipermudah. Kau jangan risau pasal ayah mentua aku. Bagi aku, dialah ayah mentua terbaik yang pernah aku jumpa.”
“Insya-Allah, aku pun percaya, ayah mentua kau orang baik. Oh ya, pasal kau pernah jumpa bonda aku dulu, bonda ada cerita kat aku. Dah lama juga dia nak jumpa kau. Tercapai hasrat dia.”
“Alhamdulillah. Aku pun senang dapat kenal bonda baba kau. Insya-Allah, Keena akan gembira dapat mentua macam bonda baba kau. Kau ada apa-apa nak cakap lagi? Untuk aku, aku dah tak simpan apa-apa.”
Abdul Azim menggelengkan kepalanya. “Aku pun dah tak ada nak cakap apa-apa, Qist. Kalau macam tu, kita boleh gerak sekarang. Kau pun tak makan lagi, kan?”
“Haah… Aku dah minta Din pesankan untuk aku.”

KEHADIRAN Encik Mohd Firdaus benar-benar mengejutkan Mohamad Salahuddin, Sakeenah dan Qistur Ruwaidah. Abdul Azim tersengih tatkala menyaksikan riak wajah mereka bertiga itu. Sebenarnya, dia telah bertemu dengan Encik Mohd Firdaus dahulu tanpa pengetahuan ketiga-tiga orang itu. Dia telah mendapat nombor Encik Mohd Firdaus daripada Suhaibul Umar bagi memaklumkan niat sucinya untuk memperisteri Sakeenah.
Pada mulanya, Suhaibul Umar sendiri terkejut dengan hubungan di antara Abdul Azim dan Sakeenah. Dia tidak percaya bahawa cinta Sakeenah terbalas kerana dia tahu Sakeenah amat menyukai Abdul Azim. Namun, dia tumpang gembira!
“Anak-anak ayah terkejut ya,” seloroh Encik Mohd Firdaus seraya melabuhkan punggungnya bersebelahan dengan Sakeenah.
“A… Ayah…” Sakeenah masih terkejut dengan kehadiran ayahnya.
Encik Mohd Firdaus tersenyum. “Dah besar anak ayah ni. Dalam diam, dah ada orang nak kat Keena ya. Keena jangan risau. Azim dah ceritakan semuanya.”
Wajah Sakeenah mula merona merah manakala Abdul Azim tersenyum dengan menyaksikan gelagat gadis pujaannya itu.
“Assalamualaikum,” ucap seseorang.
Sekali lagi, Abdul Azim tersenyum. Ya, ibu bapanya, iaitu Puan Tengku Aulia dan Encik Uthman telah tiba dari Johor dan terus menuju ke Restoran ‘Fruit De Mer’ ini. Dia telah merancang dengan baik agar semua dapat berkumpul pada hari penuh bahagia dan syukur ini. Ternyata, dia telah memberikan kejutan demi kejutan buat Sakeenah.
Sekali lagi, Sakeenah semakin terkejut dan berdebar. Sungguh, lelaki itu benar-benar memberikan kejutan buat dirinya. Namun, dia menghargai kesungguhan lelaki itu dan ternyata Abdul Azim benar-benar serius untuk dirinya.
Kelihatan Encik Uthman, Encik Mohd Firdaus, Abdul Azim dan Mohamad Salahuddin saling bersalaman manakala Sakeenah dan Qistur Ruwaidah bersalaman dengan Puan Tengku Aulia.
“Nampaknya, Azim dah rancang dengan baik untuk hari ni,” kata Encik Uthman seraya memandang anak bongsunya itu. Kemudian, dia melabuhkan punggungnya bersama Puan Tengku Aulia di sebelahnya.
Abdul Azim menghadiahkan sengihan. Ya, dia telah melakukan yang terbaik bagi menunjukkan betapa seriusnya dia untuk Sakeenah binti Mohd Firdaus itu ke arah hubungan yang lebih serius.
“Okey, kita teruskan ke topik utama. Pasal Azim dan Keena. Firdaus… Kami berterus teranglah ya. Anak kami, Abdul Azim nak menyunting Sakeenah sebagai suri hati dia,” terang Encik Uthman.
Encik Mohd Firdaus memandang Sakeenah. Memang dia sudah maklum akan tujuan ibu bapa Abdul Azim hadir pada hari ini di sini melalui Abdul Azim. “Saya dah maklum pasal ni dan saya kena tanya empunya badan. Bagi masa untuk saya bercakap dengan Keena secara privasi sekejap ya.”
“Boleh, boleh,” kata Encik Uthman.
Kemudian, Encik Mohd Firdaus mengajak Sakeenah untuk berbual di tempat lain buat seketika. Lalu, dia menuturkan sesuatu buat anak gadisnya itu. “Keena setuju nak terima lamaran Azim? Ayah tak ada masalah. Ayah restu je dengan pilihan Keena. Lagipun, kau orang pun dah ada hubungan dalam beberapa bulan ni. Ayah pun tak nak buang masa biarkan Keena macam ni. Keena dan Azim pun dah suka sama suka, kan.”
Sakeenah menundukkan wajah seketika. “Keena minta maaf, ayah. Keena tahu Keena tak patut membelakangkan ayah dengan cara macam ni.”
“Tak adalah. Ayah faham je. Ayah nak Keena bahagia. Ayah bersyukur sebab Keena dah jumpa Azim. Lega juga hati ayah. Kalau apa-apa jadi kat ayah, Azim ada untuk Keena.”
Sakeenah segera mendakap ayahnya itu. “Ayah… Jangan cakap macam tu. Mak pun dah tak ada. Keena sedih pula.”
“Betullah Keena… Umur ayah ni pun dah nak dekat 50 tahun. Berapa lama je lagi tempoh yang ayah ada. Apa yang Keena perlu tahu, ayah sayangkan Keena. Ayah bangga sebab ada anak sebaik dan sebijak Keena.”
“Ayah…” Sakeenah mula menitiskan air matanya di sebalik dakapan itu.
“Dah… Jangan menangis, manja ayah ni. Nanti keluarga Azim pelik pula tengok Keena menangis tiba-tiba.”
Sakeenah mula tertawa. Dia cuba menghentikan tangisannya itu. Lalu, dia meleraikan dakapan tersebut. “Okey, okey… Keena tak nak menangis lagi.”
Encik Mohd Firdaus memandang seketika wajah anak bongsunya itu. Wajah Sakeenah saling tidak tumpah seperti arwah bekas isterinya merangkap isteri keduanya dahulu. ‘Moga Allah ampunkan kau, Zaidah binti Ishak.’
“Keena… Keena terima lamaran Azim ya.”
Sakeenah menganggukkan kepalanya. Diam bererti setuju. Sungguh, dia malu dan dia sendiri tidak menyangka bahawa perancangan Allah untuk dirinya sepantas ini.
Lalu, Encik Mohd Firdaus dan Sakeenah kembali semula ke tempat duduk. “Maaf ya. Ambil masa sekejap,” ujar Encik Mohd Firdaus.
“Tak apa, Firdaus. Faham je. Jadi, macam mana, Firdaus? Keena setuju ke dengan lamaran Azim?” ujar Encik Uthman.
Sekali lagi, Sakeenah menganggukkan kepala. Sama seperti dia lakukan untuk ayahnya tatkala ayahnya bertanyakan soalan yang sama tadi.
“Anak dara, bila dia diam dan mengangguk kepala, bermakna dia setujulah tu,” seloroh Encik Mohd Firdaus.
Masing-masing tertawa di restoran itu. Sakeenah bertambah segan. Dia memegang tangan Qistur Ruwaidah. Lalu, dia berbisik sesuatu ke telinga kakak iparnya itu. “Keena malu…”
Qistur Ruwaidah tersenyum. “Normal, Keena. Kak Long dulu pun macam tu juga masa hari risik dulu. Nanti… Kalau Keena nak tanya apa-apa pasal tips kahwin, tanya je tahu.”
“Insya-Allah, Kak Long,” balas Sakeenah. Semestinya, dia akan bertanya kepada kakak iparnya yang telah berkahwin dengan abangnya selama tiga tahun itu berkenaan hal pernikahan dengan lebih mendalam.
“Firdaus… Alang-alang kita semua dah berkumpul kat sini, Keena pun dah terima lamaran Azim. Kita tak payah buang masa lagi. Kita tunangkan je Azim dan Keena hari ni. Anggaplah hari ni, hari merisik. Hari bertunang, kita buat hari lain kalau pihak Firdaus nak adakan,” kata Encik Uthman.
“Elok sangatlah tu, Uthman. Saya pun tak nak tangguh. Perkara baik, kita jangan tangguh. Macam tulah saya buat dulu kat anak saya, Salahuddin dan menantu saya, Qist. Pasal majlis tunang, insya-Allah akan diadakan dalam beberapa minggu lagi. Saya difahamkan, Azim ada lapan orang adik-beradik dan mereka pun tiada hari ni. Rasanya, memang kena adakanlah majlis tunang.”
“Err… Baba, pak cik… Maaf Azim menyampuk sekejap. Azim tak beli cincin lagi untuk Keena. Azim tak sangka secepat ni,” sampuk Abdul Azim.
“Pergilah beli. Kami boleh tunggu. Hari ni, hari merisik je dulu. Nanti, Azim sediakan cincin tunang pula untuk Keena,” kata Encik Uthman.
“Haah… Azim. Pergi beli sekarang. Bonda pun boleh temankan Azim dan Keena,” sampuk Puan Tengku Aulia.
“Kak Long boleh temankan Keena? Larat tak?” soal Encik Mohd Firdaus kepada menantunya itu.
“Insya-Allah. Boleh ayah. Tak ada masalah,” balas Qistur Ruwaidah. Kandungan keduanya kini sudah berusia enam bulan dan dia masih gagah untuk berjalan. Sepertimana Sakeenah pernah menemani dirinya dan suaminya membeli cincin akad dulu sewaktu mereka berdua bertunang dahulu, begitulah juga dia akan melakukan yang sama untuk adik iparnya itu.
Sakeenah bagaikan mahu menangis sahaja dengan perjalanannya pada hari ini. Ayahnya dan ibu bapa Abdul Azim telah merestui dirinya. Siap suruh Abdul Azim membeli cincin risik dengan kadar segera. Punyalah urusannya bersama lelaki itu cukup mudah!
Seketika, Abdul Azim memandang Sakeenah. Kelihatan gadis itu menghadiahkan senyuman buat dirinya. Ya, dia telah menemui cinta sejatinya kerana tulusnya Sakeenah menziarahi dirinya tanpa jemu sewaktu dia koma dahulu. Mana mungkin dia mahu melepaskan gadis itu! Besar pengorbanan Sakeenah buat dirinya!

“ALHAMDULILLAH,” ucap semua orang setelah cincin risik selamat disarungkan oleh Puan Tengku Aulia ke jari manis kiri Sakeenah. Secara rasmi, dia telah menjadi tunangan Abdul Azim. Sedar tidak sedar juga, dia akan menjadi isteri kepada lelaki itu! Dia tidak pernah membayangkan aturan hidupnya akan begini pada usia 18 tahun ini.
Sakeenah mengambil masa untuk memilih cincin dalam 15 minit sahaja sambil dibantu oleh Puan Tengku Aulia dan Qistur Ruwaidah di kedai cincin tadi manakala Abdul Azim hanya menunggu dan membiarkan Sakeenah memilih cincin mengikut cita rasanya. Bagi Abdul Azim, itu lebih baik. Tugasnya, dia hanya perlu membayar harga cincin itu.
Dari kejauhan, Qistur Ruwaidah memandang Sakeenah dengan penuh rasa terharu. Dia amat gembira untuk adik iparnya. Siapa sangka… Lelaki yang pernah disukai oleh dirinya dahulu ditakdirkan untuk adik iparnya. Percaturan Allah benar-benar indah!
“Tak sangka Azim jodoh Keena,” kata Mohamad Salahuddin.
“Itulah… Cantik betul perjalanan yang Allah susunkan untuk Keena. Disebabkan dia setia ziarah Azim dulu, Azim terbuka hati untuk dia. Sayang terharu,” luah Qistur Ruwaidah.
“Alhamdulillah. Ada hikmah untuk semua ni. Ada hikmah sayang pilih habibi. Ada hikmah Azim terbuka hati untuk Keena. Habibi ingat lagi… Walaupun Azim tak cakap dia kecewa sebab sayang pilih habibi dulu tapi habibi dapat tengok dari mata dia. Sekarang, habibi boleh nampak… Mata Azim nampak gembira. Sayang cuba tengok cara Azim pandang Keena. Dia dah jatuh cinta kat Keena. Habibi percaya, Azim boleh jaga Keena baik-baik.”
Qistur Ruwaidah memandang Abdul Azim. Benar… Wajah Abdul Azim kelihatan amat gembira dan cara lelaki itu memandang adik iparnya penuh rasa cinta. “Betullah habibi. Cara Azim pandang Keena, dia dah jatuh cinta. Emm… Habibi… Sayang tak sabar nak tolong Keena untuk persiapan majlis tunang dan majlis akad nikah dia nanti.”
“Elok sangatlah tu, sayang. Keena pun ada sayang je sekarang. Ajarlah dia apa-apa yang patut sebelum dia nak jadi isteri nanti.”
“Insya-Allah! Itu mesti! Habibi jangan risau.”
Setelah mendapat kata sepakat daripada semua orang, majlis pertunangan Sakeenah dan Abdul Azim akan diadakan pada bulan Oktober, yakni pada bulan hadapan manakala perancangan majlis akad nikah dan majlis kesyukuran pasangan tunang itu akan diadakan pada bulan Januari 2020 tahun hadapan setelah Sakeenah menyempurnakan tahun pertama semester dua di CFS IIUM Gambang.
Baki pengajian asasinya, yakni tinggal satu semester sahaja lagi, iaitu semester ketiga kerana dia dikecualikan daripada memasuki kelas Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab sewaktu dia menjawab English Placement Test dan Arabic Placement Test pada Minggu Taaruf dahulu.
Ternyata Sakeenah sama bijak seperti Abdul Azim juga, iaitu mereka berdua menamatkan pengajian asasi selama setahun sahaja. Sudahlah sama-sama anak bongsu juga.
Abdul Azim pula sedang berada di tahun ketiga semester satu dan dia tiada masalah dengan perancangan yang telah dibincangkan. Dia telah bersedia untuk menjadi suami Sakeenah dan dia juga akan bersedia untuk berulang-alik dari Gombak ke Gambang, Pahang bagi bertemu dengan Sakeenah yang masih belajar di peringkat asasi pada setiap hujung minggu setelah mereka berdua bernikah kelak.
Bermakna, Abdul Azim akan bernikah sewaktu umurnya 25 tahun manakala Sakeenah akan bernikah sewaktu umurnya 19 tahun pada tahun 2020 nanti.
Bagi Abdul Azim, dia bersyukur kerana dia akan mengikuti sunah Nabi Muhammad S.A.W yang bernikah di usia 25 tahun dengan Saidatina Khadijah R.A. Moga segala urusan dipermudah untuk ke fasa yang seterusnya.
Usai semuanya, masing-masing memberikan peluang kepada Sakeenah dan Abdul Azim untuk bersembang seketika.
“Keena… Terima kasih sebab sudi terima lamaran abang,” ucap Abdul Azim. Alangkah dia benar-benar gembira dengan kehadiran gadis di hadapannya ini sebagai tunangannya. Dia bersyukur!
Sakeenah menghadiahkan senyuman. Sejujurnya, dia malu. Segala puji bagi Allah, dia sudah menjadi tunangan lelaki itu. “Keena yang patut cakap terima kasih kat Abang Azim sebab Abang Azim sudi pilih Keena sebagai bakal isteri Abang Azim. Keena sedar, Keena masih mentah dengan kehidupan. Tahun ni, Keena baru 18 tahun.”
“Keena… Umur tu tak penting. Paling penting, kematangan pemikiran kita. Kita pun dah banyak membaca pasal perkahwinan, kan. Insya-Allah, kita boleh buat, Keena. Bonda, baba dan Pak Cik Firdaus pun dah restu dengan kita. Itu paling kita patut bersyukur, Keena. Pesanan abang, jangan lupa sujud syukur balik nanti. Ikutkan… Abang nak cakap banyak perkara lagi dengan Keena tapi abang rasa… Lepas kahwinlah. Biar lagi bermakna. Cukuplah setakat ni je dulu. Lagipun, kita baru je bertunang. Bukannya kahwin lagi.”
“Insya-Allah Abang Azim. Balik nanti, Keena buat sujud syukur. Emm… Keena pun ada banyak perkara lagi nak cakap dengan Abang Azim tapi betullah cakap Abang Azim tu. Kita luahkan lepas kahwin je.”
Kemudian, Sakeenah dan Abdul Azim tersenyum. Senyuman penuh malu. Segala puji bagi Allah, semuanya dipermudah pada hari ini! Perancangan yang penuh tiba-tiba dan tidak terduga.

Macam mana? Okey ke tak Keena ditakdirkan untuk Azim? xD Mula-mula tuan penulis (TP) rasa macam susah nak terima kenyataan Azim tak ditakdirkan untuk Qist tetapi tak apalah... Keena pun, apa kurangnya, kan? ;)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience