BAB 2

Drama Completed 13621

QISTUR RUWAIDAH telah kesempatan berkenalan sesama rakan-rakan sebiliknya. Ada enam orang semuanya termasuk dirinya. Dia gembira atas kehadiran rakan sebiliknya seramai lima orang yang bakal mewarnai kehidupan asasinya ini. Meskipun Qistur Ruwaidah masih lagi kekok bersama mereka, namun dia cuba membiasakan diri.
“Eh, tadi aku dengar kau ada sembang dengan seseorang dalam bahasa Arab. Subhanallah! Hebatnya kau!” puji Siti Hajar.
Qistur Ruwaidah ketawa kecil. “Oh, aku sembang dengan kawan aku tu tadi. Dia pun dapat sambung CFS tetapi dia daftar dua hari lepas. Tak adalah hebat pun Hajar. Aku biasa je.”
Belum sempat Siti Hajar mahu membalas kata-katanya, tiba-tiba ada pengumuman melalui alat pembesar suara. Setiap penghuni mula membuka pintu bilik untuk mendengar pengumuman itu.
Perhatian kepada penghuni Mahallah Aisyah, pada hari esok bersamaan 11 Jun 2013 akan diadakan ujian English Placement Test (EPT) pada pukul 9.00 pagi sehingga pukul 12.00 tengah hari, Fundamental Knowledge Test (FKT) pula diadakan pada pukul 2.00 petang sehingga 2.30 petang dan Arabic Placement Test (APT) diadakan pada pukul 3.00 petang sehingga 5.30 petang. Tilawah Entrance Test (TenT) akan diadakan pada 12 Jun 2013 jam 8.00 pagi. Terima kasih.
Apabila pengumuman yang diulang sebanyak dua kali itu tamat, masing-masing menjadi kecut perut.
“Tak lawaklah. Kita baru daftar hari ni. Esok terus ada exam. Habislah aku,” rungut Puteri Nur Amylia atau nama panggilannya Puteri.
Masing-masing berkeluh-kesah. Tidak tahu hendak menjawab apa untuk hari esok. Qistur Ruwaidah juga berdebar sebenarnya meskipun abangnya telah memaklumkan dan mengajarnya. Dia tidak yakin pada dirinya.
‘Aku perlu hubungi Abang Suhaib sekarang,’ bisik hatinya.

“HEI, relaks okey adik. Jangan takut sangat. Insya-Allah adik boleh buat punya. Adik kena percayakan diri adik. Tak ada sesiapa boleh yakinkan adik melainkan adik sendiri. Abang hanya boleh beri semangat. Selebihnya, adik perlu kuatkan hati,” pesan Suhaibul Umar setelah adiknya meluahkan kegusarannya mengenai peperiksaan yang akan berlangsung pada hari esok.
“Erm...” Qistur Ruwaidah kehilangan bicara.
“Maafkan abang, adik. Bukan niat abang nak membebel tetapi abang nak ingatkan adik bahawa hidup ni bukan mudah. Kena ada keyakinan yang sangat kuat. Jangan fikir sangat. Sekarang ni, adik pergi ulang kaji apa yang abang dah ajar. Kalau tak ada mood, berbicaralah dengan Allah. Dia sebaik-baik Maha Pendengar.”
“Baiklah abang. Terima kasih atas nasihatnya. Insya-Allah adik dapat kekuatan sikit.”
“Sama-sama adik. Abang percaya adik boleh buat. Jangan mengalah mahupun rebah. Abang matikan panggilan dulu ya. Bila-bila nanti kita berborak lagi ya. Assalamualaikum.”
“Waalaikummussalam abang.”
Talian diputuskan.
Usai bersembang dengan abang tersayang di kaki lima, dia menuju semula ke biliknya. Kelihatan kawan-kawannya begitu bersemangat mempelajari subjek Bahasa Arab (BA) untuk hari esok.
“Ha, Qist! Dah sampai pun kau. Jom kita belajar BA sama-sama. Kau pandai BA, kan?” pelawa Rozieta, salah seorang rakan sebiliknya.
“Boleh juga. Nak kata aku pandai BA, aku pun dah lama tinggal BA ni. Nahu dan Sorof ni pun aku dah tak ingat. Aku pun kena buat ulang kaji nampaknya,” balas Qistur Ruwaidah seraya mencari nota-nota berkaitan subjek BA yang pernah dipelajari olehnya dahulu di sekolah. Dia masih menyimpan nota-nota tersebut sehingga kini sebagai rujukan untuk masa hadapan.
Dia melabuhkan punggungnya bersebelahan dengan Rozieta sambil memerhatikan rakan-rakan sebiliknya yang masih tidak diketahui sikap sebenar mereka. Namun begitu, dia menerima sahaja segala kekurangan mereka seadanya. Tiada manusia yang sempurna.
“Nahu? Sorof? Apa tu? Maaflah. Aku ni tak pernah belajar BA. Aku pernah dengar perkataan ‘ana’ je,” terang Puteri Nur Amylia seraya tersengih.
Qistur Ruwaidah tergelak kecil akan kata-kata rakan sebiliknya itu. “Memang biasanya orang yang tak pernah belajar BA akan tahu kalimah ‘ana’ je. Nahu dan Sorof ni merupakan subjek tatabahasa atau grammar BA. Bezanya, Nahu ni seperti Add Maths manakala Sorof seperti Maths tapi aku pun tak nak bebankan kau. Kau pun tak ada asas. Aku akan ajar topik mudah mengikut kefahaman kau,” balas Qistur Ruwaidah.
Puteri Nur Amylia mengangguk tanda mengerti.
Bermulalah lima orang sahabat itu mempelajari bersama Qistur Ruwaidah yang sememangnya agak luas tentang ilmu BA.
Setelah kepenatan mengajar rakan sebiliknya, mereka berehat seketika. Siti Norawatey, salah seorang rakan sebilik Qistur Ruwaidah memandang wajahnya. Kelihatan dia agak hairan dengan Qistur Ruwaidah ini dan boleh dikatakan dia sangat pandai dalam BA tetapi Asasi Undang-Undang (LAWS) yang dipilih oleh sahabatnya itu. “Qist, aku peliklah dengan kau. Kenapa kau tak minta BAR ya? Kenapa LAWS pula yang kau dapat? Aku rasa agak musykil sebenarnya. Cara kau rasanya macam kau lebih minat BA.”
“Soalan yang bagus Nora. Sebenarnya, memang aku tak minat LAWS pun. Aku memang minat BAR. Masa aku isi permohonan UPU, BAR memang pilihan pertama aku. Diikuti HS, IRK dan akhir sekali LAWS mengikut turutan dalam UPU. Aku memang isi empat jurusan je dan semuanya UIAM sebab lagi empat sekadar pilihan, kan. Aku tak buat kemas kini langsung. Aku memang dah bertekad dengan keputusan aku tu. Tak adalah aku nak pilih universiti lain. Untuk UIAM, memang aku hanya layak isi empat jurusan je berdasarkan keputusan SPM aku. Entah macam mana hari keputusan UPU tu, LAWS juga aku dapat. Pilihan terakhir tu jugalah aku dapat,” cerita Qistur Ruwaidah apabila mengenang kembali detik-detik itu.
Di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (CFS IIUM), panggilan singkatan bagi Asasi Bahasa Arab, iaitu BAR. LAWS merujuk singkatan bagi Asasi Undang-Undang, HS pula merupakan panggilan singkatan bagi Asasi Sains Kemanusiaan dan IRK merupakan panggilan singkatan bagi Asasi Ilmu Pengetahuan Berteraskan Wahyu dan Warisan Islam.
Rakan sebilik Qistur Ruwaidah tercengang mendengar jawapannya itu. Barulah mereka tahu bahawa dia tidak mahu akan Asasi Undang-Undang. Sepatutnya, dia bersama Asasi Bahasa Arab.
“Oh. Patutlah pun. Tak apalah. Ada hikmah bila kau dapat LAWS ni. Cuma, kau tak nampak lagi,” terang Siti Hajar.
Qistur Ruwaidah hanya sekadar mengangguk. Dia malas untuk memikirkan apa yang akan berlaku nanti. Biarlah masa menentukan kelak.
“Kau orang nak teruskan lagi ke tak belajar BA?” Dia segera menukar topik perbualan. Dia tidak mahu hatinya terus terusik mengenang kembali apa yang telah berlaku.
“Tak apalah. Aku rasa setakat ni dululah,” terang Puteri Nur Amylia seraya tersengih.
“Yalah. Aku pun,” kata Norhidayah.
Nampaknya, masing-masing sudah tidak larat untuk mempelajari subjek BA. Qistur Ruwaidah juga sudah tidak mahu lagi menyambung dalam mengajar subjek tersebut. Dia sudah hilang mood. Jawab sahajalah apa yang dia mampu esok dengan bentuk soalan yang dia sendiri tidak tahu.
“Kalau macam tu, setakat ni dululah. Semoga berjaya semua!” katanya.

PADA keesokan harinya, bermulalah tiga jenis peperiksaan yang akan ditempuhi oleh para mahasiswa dan mahasiswi tahun pertama semester satu CFS IIUM, iaitu English Placement Test (EPT), Fundamental Knowledge Test (FKT) dan Arabic Placement Test (APT). Tilawah Entrance Test (TenT) pula akan berlangsung pada keesokan harinya.
Masing-masing menunjukkan riak wajah keresahan. Mereka tidak tahu bentuk soalan yang akan keluar. Tiada siapa yang memberi pendedahan kepada mereka. Soalan sangatlah rahsia dan sulit sehingga para mahasiswa dan mahasiswi memang tidak tahu melainkan ada pihak lain yang membocorkan soalan.
‘Aku dah baca apa yang aku faham. Ingat tak ingat, lain cerita. Tawakal jelah,’ bisik hati Qistur Ruwaidah.
Kelihatan semua pelajar dipanggil masuk mengikut kelas yang telah ditetapkan. Dia hanya memandang mereka semua.
‘Insya-Allah! Aku pasti boleh! Go Qist!’ Qistur Ruwaidah memberi semangat kepada dirinya sendiri.
Tangannya menggenggam erat peralatan tulis yang perlu dibawa sahaja. Dengan nama Allah, dia melangkah masuk ke dalam kelas yang dijadikan sebagai dewan peperiksaan dengan hati yang sangat tenang.

“QIST, macam mana tadi? Kau boleh jawab tak? Aku tengok muka kau memang macam tak ada masalah je,” bicara Norhidayah. Kebetulan dia juga baru keluar dari kelas yang dijadikan dewan peperiksaan setelah mereka berdua tamat menjawab kertas terakhir pada sebelah petangnya, iaitu Arabic Placement Test (APT).
“Muka tak ada masalah? Separuh mati aku menjawab tadi! APT susah sangatlah! Aku tak tahu apa yang aku jawab tadi. Merepek!” balas Qistur Ruwaidah. Nadanya kedengaran sangatlah berputus asa.
“Eleh. Ialah tu kau rasa susah. Mesti kau exempted punya nanti. Kaukan hebat Arab.”
Exempted bermaksud seseorang pelajar itu dikecualikan dari memasuki kelas Bahasa Inggeris (BI) mahupun Bahasa Arab (BA) jika pelajar tersebut lulus.
“Aku tak rasa pun yang aku exempted. Tak apalah. Aku malas nak fikir. Apa nak jadi, jadilah. Aku dah tak peduli. Jom kita beli makanan. Aku dah lapar,” balas Qistur Ruwaidah. Pasrah sudah nampaknya.
Norhidayah tersenyum. “Baiklah. Jom. Aku pun dah lapar. Malas juga aku nak fikir pasal exam hari ni. Sakit kepala aku.”
“Ha, tahu tak apa. Eh, mana Hajar, Nora, Puteri dan Che Ta ya? Baru aku teringatkan mereka.”
“Eh, yalah. Tak selesai jawab peperiksaan lagi mungkin. Tak pun dah balik bilik.”
“Hmm... Mungkinlah.”

DUA hari kemudian, masing-masing sibuk menyiapkan diri untuk pergi ke Dewan Al-Malik Faisal (AMF) bagi mendengar taklimat berkenaan undang-undang selama mereka berada di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (CFS IIUM) dan pendedahan-pendedahan lain seperti cara pengiraan GPA dan CGPA, ko-kurikulum dan sebagainya. Di situlah, para pelajar di bawah Arts Programme akan berkumpul di situ.
“Malasnya aku nak pergi dengar briefing. Aktiviti tulah paling aku tak suka tetapi nak buat macam mana, nanti aku juga tak tahu. Ni satu lagi hal. Kenapalah kita ni kena pakai tudung putih sepanjang minggu ni? Aku rasa majoriti tak suka pakai tudung warna putih okey. Apa punya undang-undanglah kat sini. Tak syok betullah!” luah Puteri Nur Amylia sambil memakai tudung.
Qistur Ruwaidah hanya ketawa mendengar kata-kata sahabatnya itu. “Alaa... Masa Taaruf Week je ada semua ni. Nanti, kita bebaslah.”
“Hmm... Yalah. Betul juga cakap kau.”
Kelihatan Norhidayah sedang bermain dengan tablet Samsungnya. Dia sahaja merupakan satu-satunya rakan sebilik Qistur Ruwaidah yang merupakan jurusan Asasi Sains Kemanusiaan.
“Dayah, kau dah siap ke belum?” soal Qistur Ruwaidah.
“Sekejap. Aku nak pakai tudung ni,” balas Norhidayah seraya mengecas tabletnya itu. Kuasa bateri tab itu sudah tinggal sebanyak 10% sahaja. Cadangnya, dia memang tidak mahu membawa tablet kesayangannya itu. Lantas, dia mencapai tudung bawalnya dan terus menyarungnya, memandangkan dia sudah siap mengepin tudungnya itu.
“Jom. Semua orang dah siap nampaknya,” kata Siti Hajar seraya pusing tombol pintu itu.
Kelihatan ramai mahasiswi bergegas keluar dari bilik masing-masing. Tanggapan Qistur Ruwaidah, pastinya mereka merupakan jurusan di bawah Arts Programme juga meskipun dia tidak tahu jurusan jiran-jiran bilik di sekitarnya. ‘Hmm... Ramai juga dapat UIA ni rupanya. Semua nampak pandai. Okey Qist, kau pun pandai juga sebenarnya. Kalau tak, kau tak masuklah sini.’
Kelihatan para mahasiswa dan mahasiswi menuju ke Dewan AMF. Kelihatan suasana begitu riuh-rendah dengan suara lautan manusia. Para mahasiswa begitu segak berbaju kemeja rona putih, bertali leher rona biru firus, berseluar jenis slack rona hitam dan memaki kasut bertutup rona gelap manakala para mahasiswi pula anggun berbaju kurung dan berjubah, bertudung rona putih dan kasut bertutup rona gelap.

Masing-masing mengambil tempat duduk di atas lantai sambil mendengar taklimat yang seterusnya.

USAI mendengar taklimat penting tentang Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (CFS IIUM), Qistur Ruwaidah terus menuju ke Jabatan Admission and Records (ANR) secara sendirian bagi mengambil borang permohonan untuk menukar jurusan memandangkan tiada seorang pun rakan sebiliknya yang mahu menukar jurusan. Betapa dia berharap agar permohonannya diluluskan selepas keluarnya keputusan English Placement Test (EPT) dan Arabic Placement Test (APT) nanti.

Kebetulan, dia terserempak dengan bekas rakan sekolah menengahnya, iaitu Sufi Waazin. Qistur Ruwaidah dan Sufi Waazin merupakan rakan sekelas sejak tingkatan satu sehingga tingkatan tiga tetapi apabila mereka berdua berada di tingkatan menengah atas, Sufi Waazin mengambil keputusan untuk meneruskan aliran Sains manakala Qistur Ruwaidah pula mengambil aliran Perdagangan. Walaupun berbeza aliran waktu itu tetapi hubungan mereka tetap akrab.

Kelihatan Sufi Waazin mengukir senyuman kepadanya. Qistur Ruwaidah yang sememangnya ramah, terus menghampiri dan menegur kawan lamanya itu. “Eh Sufi. Aku tak tahu pula kau sambung UIA. Bukan kau dapat sambung belajar kat Rusia ke dalam jurusan perubatan?”

“Sepatutnya macam tulah tetapi tiba-tiba mak ayah aku tak izinkan aku belajar sana. Mereka kata mereka akan rindu aku. Aku pun okey jelah. Almaklumlah, aku anak bongsu. Apa boleh buat. Dapat UIA pun okey juga. Salah satu universiti idaman aku juga,” kata Sufi Waazin seraya tersengih. Ada sesuatu yang dia sembunyikan daripada sahabatnya itu.
“Beruntunglah mak ayah kau masih ada. Aku tumpang gembira untuk kau,” balas Qistur Ruwaidah.
“Eh, maaf Qist. Aku tak berniat nak...”
Qistur Ruwaidah terus memintas kata-kata kawannya itu. “Tak ada apalah Sufi. Aku okey jelah. Ah ya. Kau buat apa kat sini? Kau sambung jurusan apa?”
“Sebenarnya, aku dapat jurusan ECONS tetapi aku tak minat sebenarnya. Aku ingat nak tukar ENGINE. Aku baru lepas ambil borang dari jabatan apa entah tadi,” kata Sufi Waazin seraya menunjukkan borang permohonan pertukaran jurusan yang diambil dari Jabatan ANR tadi. Sama seperti Qistur Ruwaidah.
ECONS merupakan panggilan singkatan bagi Asasi Ekonomi dan Sains Pengurusan manakala ENGINE merupakan panggilan singkatan bagi Asasi Kejuruteraan dan Sains Komputer.
“Maksud kau, ANR ke?” soal Qistur Ruwaidah.
“Ha ya betul. ANR. Aku harap aku dapat tukarlah ke ENGINE. Apabila aku fikir semula, aku tak naklah tukar ke jurusan MEDIC. Susah!” luah Sufi Waazin.
Di CFS IIUM, MEDIC merupakan panggilan singkatan bagi Asasi Perubatan.
“Mati-mati aku ingat kau nak mohon tukar ke jurusan MEDIC kat sini sebab kau dapat sambung jurusan perubatan di Rusia. Apa yang membuatkan kau tak nak sambung dalam bidang perubatan? Aku ingat lagi kau selalu cakap kau nak jadi doktor sejak kita tingkatan satu,” kata Qistur Ruwaidah yang sememangnya mengetahui Sufi Waazin sangat meminati subjek Biologi sejak dia mengambil aliran Sains sewaktu tingkatan empat.

Memang Qistur Ruwaidah sudah sedia maklum bahawa Sufi Waazin sentiasa skor A+ bagi subjek tersebut setiap kali keluarnya keputusan peperiksaan bulanan, penggal, akhir dan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dahulu.

Lelaki itu juga memang selalu menyebut kepada Qistur Ruwaidah sejak dari tingkatan satu bahawa dia ingin menjadi seorang doktor. Bahkan, pada bulan Mac baru-baru ini, keputusan SPM yang diraih oleh Sufi Waazin sangat cemerlang, iaitu 12A+. Waktu keputusan SPM diumumkan, Qistur Ruwaidah sangat bangga akan sahabat baiknya itu, namun pada hari ini, dia melihat seorang Sufi Waazin tidak mahu lagi akan jurusan perubatan itu.

“Itulah. Aku pun tahu kau ingat cita-cita aku tetapi setelah aku memikirkan sedalam-dalamnya, aku memang tak dapat nak teruskan sebab ada satu hari tu, aku ternampak ada kemalangan depan mata aku. Masa tu, aku sedang tunggang motosikal. Sekali aku nampak mangsa berdarah dan kaki tercabut, terus aku rasa nak pitam. Alhamdulillah tak ada apa-apa berlaku kat aku. Selepas peristiwa tu, aku rasa aku memang tak boleh teruskan jurusan perubatan. Apabila aku dapat tawaran sambung bidang perubatan di Rusia, aku fikir semasaknya. Memang aku tak boleh. Maaflah aku berbohong kat kau tadi. Sebenarnya, bukan sebab mak ayah aku tak izinkan tetapi aku sendiri memang tak sanggup,” cerita Sufi Waazin dengan panjang lebar. Wajahnya tidak menunjukkan sebarang kekesalan akan pilihannya menolak jurusan perubatan.

“Tak apa Sufi. Walau apa jua keputusan kau, aku tetap sokong. Aku harap kau dapatlah tukar ENGINE nanti. Insya-Allah,” balas Qistur Ruwaidah seraya menaikkan ibu jari kanannya sebagai tanda bagus.

“Insya-Allah. Harapnya macam tulah. Kau pula dapat jurusan apa kat sini?”

“Aku dapat jurusan LAWS tapi aku tak minatlah. Aku nak tukar BAR. Ini pun aku dari ANR jugalah tadi. Baru lepas ambil borang pertukaran tukar jurusan.”

“Dapat LAWS? Seriuslah? Bukan calang-calang. Okey apa kau dapat LAWS. Sesuai dengan personaliti kau suka berhujah dengan aku. Lagipun, kau kan wakil sekolah untuk debat bahasa Arab dulu. Untuk peringkat kebangsaan dan antarabangsa, kedua-duanya kau sapu kemenangan dulu untuk sekolah kita bagi pendebat terbaik.”

“Ha ya. Seriuslah aku dapat LAWS. Emm... Kau pun tahu aku sertai debat bahasa Arab dulu sebab apa?”

“Aku tahu. Sebab kau nak mantapkan kemahiran pertuturan bahasa Arab kau. Mana aku pernah lupa tetapi sebenarnya untuk aku, LAWS sesuai sangat dengan kau, Qist. Kau ada kemahiran untuk mencari fakta dengan baik. Bab membidas pun kau bijak. Aku kagum dengan kau tetapi yalah, aku faham minat kau begitu mendalam terhadap Bahasa Arab. Semoga kau dapat tukar ke BAR nanti.”

“Insya-Allah. Terima kasih Sufi atas sokongan kau. Ada masa, jom kita jumpa nanti.”

“Okey. Cantik. Kita tetapkan hari dan masa nanti. Kau masih ada nombor telefon aku lagi, kan?”

“Insya-Allah. Masih ada.”

Dua sahabat itu mula berpisah membawa haluan masing-masing dengan satu misi, iaitu menukar jurusan yang diidam-idamkan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience