BAB 1

Drama Completed 13621

TAHUN KEDUA SEMESTER TIGA SESI 2014/2015

Pada hari itu, fikirannya menjadi runsing. Runsing memikirkan semester terakhir di peringkat asasinya. Itulah konklusi yang mampu dia rungkaikan apabila dia memandang tugasan yang masih tidak berganjak itu.
“Qist, kau boleh tolong ajar aku BTQ tak? Susahlah!” rungut Norhidayah.
Mahasiswi itu diam membisu. Dia malas hendak melayan rungutan kawannya yang bernama Norhidayah itu tentang kesukaran subjek Basic Themes of Al-Quran (BTQ) . Dia merasakan bahawa fikirannya sudah mula serabut. Dia akan bertambah serabut sekiranya dia melayan si Norhidayah itu.
Melihat rakan sebiliknya tidak memberi apa-apa respons, Norhidayah menegurnya. “Qist, kau okey tak? Aku tengok kau macam ada masalah je.”
Qist atau nama penuhnya Qistur Ruwaidah binti Isyraf Imrani masih tidak mengendahkan Norhidayah. Dia benar-benar tiada mood.
“Qist, aku bercakap dengan kau ni. Kau dengar tak?” Norhidayah masih berusaha untuk menegur Qistur Ruwaidah.
“Ya. Aku dengar. Maaflah Dayah. Aku tak ada mood. Aku nak bersendirian buat masa ni. Aku harap kau faham,” barulah Qistur Ruwaidah memberi respons.
“Oh, maafkan aku. Kalau macam tu, kau ambil masa untuk bertenang dulu. Kalau kau rasa nak cerita, cerita je. Aku sentiasa ada untuk kau.”
Qistur Ruwaidah mengangguk lemah. Sememangnya dia akan kongsikan dengan Norhidayah. Cumanya, dia merasakan bahawa sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk dia berkongsi cerita.

Dia sangat bersyukur menjadi rakan sebilik dengan pelajar dari Sarawak itu sejak tahun pertama semester satu sehinggalah tahun kedua semester akhir mereka. Norhidayah memang kawan yang baik untuk dirinya. Susah senang diharungi bersama.

Sedar tidak sedar, tahun kedua semester tiga bagi dirinya sudah hampir ke penghujungnya. Pelbagai kisah suka duka yang telah dia harungi sebagai seorang mahasiswi di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia atau lebih dikenali sebagai Centre For Foundation Studies, International Islamic University Malaysia di Petaling Jaya. Bagi seluruh warga yang berada di situ, mereka hanya memanggil sebagai CFS IIUM.
‘Ya Allah, semoga Kau kabulkan permintaan aku. Aku benar-benar berharap agar Kau perkenankan. Aku nak lulus dengan jayanya untuk semester akhir aku ni supaya aku boleh menuju ke alam ijazah tanpa halangan,’ doa Qistur Ruwaidah dalam hati.
Dia akan merindui CFS IIUM yang meninggalkan seribu kenangan dalam atmanya. Sebuah kenangan yang begitu mendalam buat dirinya. Itulah semester akhir buat dirinya dan seterusnya dia akan menyambung pengajiannya di Kampus Utama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) cawangan Gombak.

IMBAU KEMBALI SEMESTER SATU SESI 2013/2014
10 JUN 2013.

“Adik, dah siap ke belum? Nanti lambat pula nak daftar,” kedengaran suara abang Qistur Ruwaidah, iaitu Suhaibul Umar memanggil adiknya yang masih belum keluar dari bilik tidurnya itu.
Qistur Ruwaidah tidak memberi sebarang respons. Dia hanya merenung barang-barang yang sudah selesai dikemas olehnya dan abangnya itu pada hari semalam.
Suhaibul Umar masih memanggil adiknya tanpa jemu. Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk melangkah masuk ke bilik adiknya itu. Pada hakikatnya, dia tidak suka untuk bertindak sedemikian kerana dia bagaikan sudah mengganggu privasi adiknya itu.
Namun begitu, melihatkan adiknya tidak memberi sebarang respons setelah dia memanggil adiknya itu berkali-kali menyebabkan dia terpaksa memasuki bilik adiknya tanpa izin.
Tombol pintu dipusing.
Kelihatan Qistur Ruwaidah sedang termenung. Dia masih tidak menyarung tudungnya lagi.
“Adik...” panggil Suhaibul Umar dengan lembut seraya mendekati adiknya itu.
Qistur Ruwaidah memandang abangnya itu seketika.
“Adik, kenapa ni?” soal Suhaibul Umar.
“Tak ada apalah, abang,” barulah Qistur Ruwaidah bersuara dari kebisuannya.
“Come on, adik. Abang kenal adiklah. Takkan adik nak berahsia apa-apa daripada abang. Selama ni, kita dah harungi susah dan senang bersama.”
“Adik tahu. Sebenarnya, adik tertanya-tanya dengan diri adik. Emm... Abang rasa, boleh ke adik tukar jurusan yang adik idamkan tu? Adik rasa adik tak mampulah untuk berada dalam jurusan yang adik dapat ni.”
Suhaibul Umar memandang adiknya itu. Dia tahu Qistur Ruwaidah masih belum boleh menerima hakikat bahawa dia mendapat jurusan Asasi Undang-Undang.
Hakikatnya, minat Qistur Ruwaidah terhadap Bahasa Arab sangat mendalam hatta permohonan UPU yang diisi olehnya, iaitu Asasi Bahasa Arab atau Foundation of Arabic (BAR) menjadi pilihan utama. Diikuti Asasi Sains Kemanusiaan (Foundation of Human Science - HS), Asasi Ilmu Pengetahuan Berteraskan Wahyu dan Warisan Islam (Foundation of Islamic Revealed Knowledge and Islamic Heritage - IRK) serta Asasi Undang-Undang (Foundation of Laws - LAWS).
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) memang menjadi impiannya. Jadi, dia mengisi jurusan-jurusan dari UIAM yang layak berdasarkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) miliknya melalui laman web ‘imascu’ sebelum dia mengisi dalam sistem UPU.
Takdir Allah, Qistur Ruwaidah mendapat jurusan LAWS, iaitu pilihan terakhirnya. Setiap hari, dia menangis kerana dia mendapat jurusan yang bukan menjadi idamannya. Hampir sahaja dia mahu menolak tawaran itu.
Atas nasihat abangnya, dia boleh menukar jurusan ketika Minggu Suai Kenal atau lebih dikenali sebagai Minggu Taaruf (Taaruf Week) di pusat asasinya itu. Qistur Ruwaidah mulai akur walaupun hatinya tidak yakin.
Suhaibul Umar menyedari bahawa dia perlu memberi kata-kata positif kepada adiknya itu. Dia tahu bahawa Qistur Ruwaidah sangat memerlukan sokongan tika ini.
“Insya-Allah adik boleh punya. Abang dah ajar subjek bahasa Inggeris dan Arab, kan? Adik bersiap sedia jelah untuk APT dan EPT. Jangan takut. Ingat, Allah ada bersama adik,” kata Suhaibul Umar seraya mencium pipi adiknya itu.

Qistur Ruwaidah mengangguk perlahan. Dalam hatinya, dia bersyukur kerana dia sudah didedahkan mengenai ujian APT dan EPT ini. Tidak adalah dia terkejut nanti apabila dia diberitahu bahawa dua ujian itu bakal diadakan sewaktu Minggu Taaruf kelak.

Namun begitu, Suhaibul Umar tidak ingat bentuk soalan untuk dua ujian itu kerana dia sudah meninggalkan pusat asasi itu sejak dua tahun lalu.
APT merupakan singkatan bagi Arabic Placement Test dan EPT pula merupakan singkatan bagi English Placement Test. Dua ujian ini akan menentukan tempoh bagi para pelajar untuk belajar di situ. Sama ada setahun, setahun setengah atau dua tahun.

Bukan ujian APT dan EPT sahaja bakal diadakan malahan ada lagi dua ujian yang perlu dihadapi bagi mana-mana mahasiswa atau mahasiswi yang menerima tawaran untuk menyambung di pusat asasi tersebut, iaitu Tilawah Entrance Test (TEnT) dan Fundamental Knowledge Test (FKT).
TEnT untuk menguji kebolehan pelajar dalam menghafal dan membaca Al-Quran. FKT pula untuk menguji pemahaman pelajar terhadap ilmu Fardu Ain. Sekiranya pelajar tersebut lulus untuk ujian TEnT, maka pelajar tersebut tidak perlu lagi memasuki kelas tersebut di peringkat asasi dan ijazah nanti.
Untuk FKT pula, mereka akan terus dimasukkan ke kelas Study Circle (usrah) sekiranya lulus. Sekiranya tidak, mereka perlu mengambil kelas Fardu Ain terlebih dahulu dan barulah pelajar tersebut boleh menyambung kelas Study Circle ketika di peringkat ijazah kelak.
“Dah. Pakai tudung sekarang. Abang bawa barang-barang adik turun ya?” pinta Suhaibul Umar.
“Okey,” balas Qistur Ruwaidah.
Qistur Ruwaidah mencapai tudung labuhnya berona putih yang dibentangkan di atas katil seraya menyarungnya. ‘Semoga aku akan baik-baik sahaja kat sana nanti. Ya Allah, kuatkanlah hati ini untuk menempuh ujian-Mu,’ bisik hati Qistur Ruwaidah.

KERETA MYDI yang dipandu oleh Suhaibul Umar memasuki perkarangan Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia atau lebih dikenali sebagai Centre for Foundation Studies, International Islamic Universiti Malaysia (CFS IIUM) cawangan Petaling Jaya.
Namun begitu, kenderaan yang dibenarkan masuk hanya boleh menurunkan penumpang dan barang-barang sahaja pada hari pendaftaran tersebut.
“Adik, bawa dokumen-dokumen penting je. X-Ray masih belum diperlukan lagi untuk hari ni. Abang akan datang tetapi lambat sikit untuk cari parkir di luar. Jadi, adik pergi dulu ke AMF untuk pendaftaran”. Itulah arahan Suhaibul Umar sebelum Qistur Ruwaidah keluar dari perut kereta.
Qistur Ruwaidah hanya mengangguk. Fahamilah dia bahawa dia perlu uruskan pendaftaran ini sendirian.
Dia berjalan dari bulatan utama sehingga ke Dewan Al-Malik Faisal (AMF). Dia menghadiahkan senyuman kepada ahli jawatankuasa yang menghulurkan senyuman kepadanya. Ucapan terima kasih dihulurkan kepada ahli jawatankuasa yang tidak lekang mengucapkan ‘Selamat Datang’.
Sesampai di situ, dia tidak tahu apa-apa langsung. Sebenarnya, apakah yang perlu dia lakukan terlebih dahulu? Mujurlah ada ahli jawatankuasa yang sudi menghulurkan bantuan apabila melihat dirinya penuh kebuntuan. Dia perlu mengambil angka giliran dahulu.

Sementara dia menunggu gilirannya, matanya melilau dengan keadaan sekeliling. Masing-masing bersama ibu bapa dan adik-beradik mereka. Kelihatan kebanyakan ahli keluarga bergurau senda dengan salah seorang ahli keluarga yang terpilih untuk menyambung pengajian di CFS IIUM ini. Kelihatan mereka sungguh ceria. Hatinya mulai tersentuh apabila dia melihat situasi itu. Dia memujuk dirinya berkali-kali.
‘Tak apa. Abang Suhaib ada. Macam aku tak biasa pula.’
Namun begitu, hati kecilnya tetap terasa. Kerinduannya terhadap arwah ibu bapa dan adik-beradiknya semakin membuak-buak. Betapa dia menginginkan juga ahli keluarganya yang telah pergi untuk berada bersamanya pada hari bersejarahnya hari ini, iaitu menyambung peringkat asasi ini tetapi dia tahu, ianya merupakan sesuatu yang mustahil.
Mereka tidak akan kembali lagi. Mereka telah lama berada di negeri abadi.
Dia segera menyeka air matanya. Dia tahu bahawa dia tidak boleh lemah.
“Adik...”
Qistur Ruwaidah menoleh ke belakang.
Kelihatan Suhaibul Umar memanggil adiknya. Dia segera mengambil kerusi yang tidak diduduki oleh sesiapa seraya melabuhkan punggungnya untuk duduk bersebelahan dengan adiknya.
“Cepatnya abang dapat parkir,” tegur Qistur Ruwaidah.
“Alhamdulillah. Ada tempat parkir kosong kat Masjid Malaya. Dekat je dengan AMF ni. Kita senang nak bawa barang kalau adik dapat AC atau ZC. Kalau adik dapat KC, jauhlah sikit,” terang Suhaibul Umar.
Qistur Ruwaidah sudah biasa mendengar nama-nama singkatan tersebut. AC merupakan singkatan bagi Aisyah College, ZC pula singkatan bagi Zainab Jahsy College dan KC pula merupakan singkatan bagi Khadijah College. Kolej kediaman pula disebut sebagai mahallah bagi seluruh cawangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Memandangkan abangnya juga belajar di tempat ini dahulu dalam Asasi Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar atau dalam bahasa Inggerisnya, iaitu Foundation of Architecture and Environmental Design dan nama singkatannya, iaitu AED, jadi Qistur Ruwaidah sudah arif tentang CFS IIUM ini.
Abangnya hanya mengambil masa untuk belajar selama setahun di sini kerana dia lulus bagi ujian APT dan EPT dan dia dikecualikan dari memasuki kelas Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab.
Kini, abangnya sudah menyambung pengajiannya sebagai pelajar ijazah tahun kedua di Kampus Utama UIAM Gombak.
“Bagusnya abang,” puji Qistur Ruwaidah.
“Untuk kesenangan adik juga. Abang akan pastikan bahawa adik sentiasa gembira,” balas Suhaibul Umar.
Qistur Ruwaidah tersentuh mendengar kata-kata abangnya itu. Abangnya itu sudah terlalu banyak berkorban untuk dirinya sejak ibu bapa mereka meninggal dunia.
Belum sempat Qistur Ruwaidah hendak membalas kata-kata abangnya, ahli jawatankuasa yang bertugas mula mengumumkan angka giliran dari 1400 sehingga 1430. Qistur Ruwaidah berada pada angka 1425.
Qistur Ruwaidah memandang abangnya. Kelihatan abangnya melakukan thumbs up kepadanya.
“Kita akan cakap kemudian tentang perkara ni. Adik selesaikan dulu urusan pendaftaran,” bicara Suhaibul Umar.
Qistur Ruwaidah mengangguk faham. Fail berisi borang-borang penting dibawa bersama.
Beberapa borang sudah diserahkan oleh Qistur Ruwaidah kepada urus setia yang bertugas di dalam Dewan AMF itu. Kunci bilik juga turut diterima. Dia juga menerima beberapa Kit Taaruf seperti beg, fail, baju batik dan beberapa lagi item. Semuanya berwarna biru firus atau turquoise. Dia pun masih tidak faham waktu bila barang-barang ini akan digunakan.

Selesai urusan pendaftaran, Qistur Ruwaidah keluar semula dari Dewan AMF seraya menuju ke arah abangnya yang sedang ralit bersama telefon pintarnya. Dia memanggil abangnya.

“Macam mana tadi? Semua okey?” tanya Suhaibul Umar seraya menyimpan telefon pintarnya ke dalam kocek seluarnya.

“Alhamdulillah semuanya okey. Adik dapat AC. Tingkat empat. Blok A,” balas Qistur Ruwaidah.

Suhaibul Umar mengangguk. Dia menarik nafas lega. Syukurlah adiknya tidak mendapat KC. KC agak jauh dari AC dan ZC.

Tanpa melengahkan masa, dua beradik itu bekerjasama mengeluarkan barang dari tempat duduk belakang setelah mereka tiba di parkir Masjid Malaya yang tidak jauh dari Dewan AMF.
“Kita bawa barang-barang ni dulu. Tak cukup tangan dibuatnya. Adik tak perlu ulang-alik. Biar abang jelah berulang-alik. Abang tak nak adik penat,” balas Suhaibul Umar seraya memandang beg tarik bersaiz besar, beg galas dan bantal kepala yang sudah dikeluarkan dari perut kereta.
Barang yang masih tidak dikeluarkan dari kereta, iaitu sebuah bantal peluk, sebuah baldi dan sebuah beg tarik bersaiz sederhana.
Qistur Ruwaidah bertambah terharu. Namun begitu, dia tidak mampu meluahkan. Kasih abangnya terhadap dirinya terlalu mendalam.
Dua beradik itu berjalan dari tempat parkir Masjid Malaya sehingga ke tingkat empat AC. Bilik A. 408. Qistur Ruwaidah memusing tombol pintu terlebih dahulu. Berkunci nampaknya. Tanggapan dia, masih belum ada seorang mahasiswi pun yang berdaftar atau mahasiswi tersebut sudah mendaftarkan diri tetapi keluar berjalan-jalan bersama ahli keluarga.
Qistur Ruwaidah memasukkan kunci ke dalam ruang yang disediakan seraya memusing kunci itu. Tombol pintu bilik tersebut dibuka. Barang-barangnya segera dibawa masuk.
Qistur Ruwaidah memerhati keadaan bilik ini. Terdapat empat buah katil dua tingkat, dua buah meja belajar yang besar dan panjang dan boleh memuatkan empat orang bagi sebuah meja serta lapan buah kerusi, lapan buah lokar dan dua buah rak buku yang dibahagi kepada empat bahagian.
Dia terperasan bahawa salah sebuah katil sudah diletakkan barang-barang di atas tilam. Bermakna, ada orang lain yang sudah tiba terlebih dahulu sebelum dia.
Walaupun Qistur Ruwaidah agak terkejut apabila mahallah ini mempunyai lapan orang untuk satu bilik, dia cuba membiasakan diri. Kebiasannya, mana-mana asrama di tempat lain, penghuninya paling maksimum seramai empat orang untuk satu bilik tetapi tidak bagi AC ini. Terdapat jenis bilik untuk dua, empat dan lapan orang di sini.
“Adik okey dengan bilik ni?” tanya Suhaibul Umar apabila adiknya tidak memberi apa-apa respons. Dia risau jika adiknya tidak selesa.
“Alhamdulillah. Okey je,” balas Qistur Ruwaidah bersahaja. Sebenarnya, dia rasa kurang selesa apabila dia perlu tinggal beramai-ramai tetapi dia cuba juga membiasakan diri untuk menerima keadaan ini. Dia terima apa sahaja yang diberi oleh urus setia kepadanya.
“Adik rehat dulu ya. Abang nak pergi ambil barang-barang adik yang masih ada dalam kereta.”
“Eh, jomlah adik temankan abang sekali. Kesian pula abang. Kita penat sama-samalah.”
Suhaibul Umar ketawa kecil mendengar kata-kata terakhir adiknya itu. ‘Alahai adik aku ni,’ bisik hatinya.
“Kenapa abang ketawa? Adik cakap betullah,” kedengaran suara Qistur Ruwaidah agak serius dan tidak puas hati.
“Alahai adik. Janganlah serius sangat. Abang geli hati dengar ayat terakhir adik. Cara adik risau kat abang macam abang nak pergi berperang je,” balas Suhaibul Umar seraya tersengih.
“Abang, adik serius ni. Adik tak nak abang bawa barang adik seorang diri. Ada lagi tiga barang ya. Abang kena ingat. Tangan manusia ni ada dua je. Dahlah bilik adik kat mahallah ni tingkat empat. Parkir tu jauh pula dari mahallah. Makin penatlah abang nanti. Kita penat sama-samalah.”
Suhaibul Umar hanya menggeleng apabila mendengar hujah adiknya itu. Ada benarnya juga kata-kata adiknya itu. Jika dia pergi seorang diri, nanti tidak cukup tangan pula dan memerlukan satu lagi pusingan. Memang dia menyedari bahawa dia akan penat jika dia berdegil untuk melakukan seorang diri tanpa bantuan adiknya.

Memang tepat sangatlah hujah Qistur Ruwaidah dan adiknya itu pernah menyertai pertandingan debat bahasa Arab sewaktu zaman sekolah menengah dahulu. Dia mengakui akan kata-kata kawan-kawan sekolah menengahnya dahulu yang turut mengenali adiknya bahawa Qistur Ruwaidah jauh lebih aktif daripada dirinya.
Bagi Suhaibul Umar sebagai penjaga adiknya, jurusan LAWS itu sangat sesuai dengan personaliti Qistur Ruwaidah yang sangat petah berkata-kata tetapi memandangkan adiknya itu tidak minat akan jurusan itu, dia akur dan tidak mahu memaksa. Kata adiknya, dia tidak suka belajar sesuatu yang berkaitan dengan fakta.
Anehnya bagi Suhaibul Umar, boleh pula adiknya itu menyertai debat bahasa Arab dulu. Setahunya, debat perlu mengemukakan hujah dan fakta bagi membidas hujah pihak lawan. Kata adiknya lagi, dia menyertai debat bahasa Arab sewaktu zaman sekolahnya kerana dia hanya mahu memantapkan percakapan Bahasa Arab sahaja. Bukan kerana dia memang meminati debat.
Adik oh adik! Adakah adiknya boleh dikatakan unik untuk dirinya?
“Okeylah. Abang mengaku kalah. Kalau bab debat ni, abang angkat bendera putih dulu. Kalau macam tu, kita turun sekarang,” kata Suhaibul Umar.
Qistur Ruwaidah tersengih mendengar kata-kata abangnya yang sememangnya tahu akan peribadinya suka mengemukakan hujah. Berkat sertai debat dahulu gamaknya.

“ALHAMDULILLAH. Selesai. Fuh!” kata Qistur Ruwaidah seraya melabuhkan punggungnya di atas kerusi pada bahagian meja belajarnya. Dia melepaskan lelah seketika setelah dia dan abangnya penat mengangkat barang untuk pusingan kedua ini.
“Adik lapar tak? Kita tak sarapan lagi ni,” kata Suhaibul Umar yang duduk bersebelahan dengan adiknya. Dia juga merasa penat seketika.
Sarapan pagi? Barulah Qistur Ruwaidah teringat bahawa mereka berdua masih tidak menjamah apa-apa makanan. Dia pun tidak menyediakan sarapan pagi tadi di rumah lantaran terlalu sedih mengenangkan jurusan yang diterima olehnya.
“Maafkan adik sebab adik terlupa nak siapkan sarapan tadi,” ucap Qistur Ruwaidah.
“Tak apa. Salah abang juga. Sepatutnya, abang boleh je sediakan sarapan untuk kita berdua kat rumah tadi. Kalau begitu, jom kita makan kat mana-mana kafe yang ada kat sini. Bolehlah kita bercerita kat sana,” kata Suhaibul Umar.
Qistur Ruwaidah mengangguk. Dia tahu bahawa abangnya segan untuk berada lama-lama di sini kerana ini merupakan kolej kediaman perempuan. Pada hari ini sahaja, lelaki dibenarkan masuk ke kolej kediaman perempuan untuk menghantar barang sehingga ke bilik.

Sesampai dua beradik itu di Kafe Ali Bistro atau Kafe Ali B, mereka bercadang untuk menjamah makanan berat. Lauk-pauk yang panas terhidang itu sangat membangkitkan selera Suhaibul Umar tetapi tidak bagi Qistur Ruwaidah. Sebenarnya, fikirannya menerawang tentang nasibnya di pusat asasi ini kelak.
“Adik dah sedia nak jadi pelajar CFS?” soal Suhaibul Umar setelah mereka menemui tempat duduk.
“Entahlah. Rasanya macam tak sedia lagi. Kita makan dulu ya, abang. Sekejap lagi, kita sembang pasal ni,” balas Qistur Ruwaidah seraya menyuap makanan ke dalam mulutnya.
Walhal selera Qistur Ruwaidah hampir mati. Syukurlah dia masih ada secebis kudrat untuk menjamah makanan tersebut. Kalau tidak, mulalah perutnya meraung pada malam nanti tetapi jika dia lapar pun, dia mahu menjamah makanan ringan seperti roti sahaja.
Suhaibul Umar akur. Mereka berdua menikmati hidangan masing-masing.

“ABANG harap adik dapat buat yang terbaik untuk APT, EPT, TEnT, dan FKT nanti,” kata Suhaibul Umar setelah usai membasuh tangan.
Qistur Ruwaidah hanya mendengar kata-kata abangnya. Dia kelu.
“Abang tahu adik boleh. Adik kena belajar bersungguh-sungguh. Ingat mama dan baba yang sudah tiada. Ingatlah juga kat Dik Qina, Dik Harraz dan Dik Harzan yang dah ikut mama dan baba. Tinggal kita berdua je masih hidup untuk teruskan kehidupan,” pesan Suhaibul Umar.
Menitik air mata Qistur Ruwaidah. Dia tidak boleh mendengar nama-nama itu. Terlalu sedih apabila mengenang kembali perpisahan yang sangat perit itu.
Suhaibul Umar mengesat air mata adiknya itu. “Adik, janganlah macam ni. Adik kena kuat,” pujuknya.
“Adik cuba abang, tapi...” Qistur Ruwaidah ketandusan bicara.
“Tapi apa? Beritahu abang.”
“Susah adik nak cakap.”
“Abang faham. Memang tak senang nak lupakan keluarga kita yang dah tak ada. Apatah lagi, keluarga kita dah lama tinggalkan kita. Adik… Kita dah lalui macam-macam ujian. Allah turunkan ujian kat kita, bukan nak lemahkan kita tapi nak kuatkan kita supaya kita lagi sedia harung ujian akan datang.”
Qistur Ruwaidah memandang abangnya. Benar katanya. Pelbagai onak dan duri yang telah mereka tempuhi. Juga, pelbagai pengalaman pahit yang telah ditelan oleh mereka berdua.
“Adik tak rasa adik boleh buat. Adik rasa diri adik tak layak masuk CFS ni,” luah Qistur Ruwaidah.
“Shhh... Adik jangan cakap macam tu. Allah dah takdirkan untuk adik berada kat CFS ni. Insya-Allah, adik akan menemui hikmahnya nanti mengapa Allah tempatkan adik kat jurusan LAWS,” Suhaibul Umar cuba mengembalikan adiknya ke alam realiti.
Tangisan Qistur Ruwaidah semakin deras. Ikutkan hati, dia mahu sahaja lari dari tempat itu. Namun begitu, dia pasti bahawa abangnya tidak akan membiarkan dirinya begitu sahaja.
Suhaibul Umar mendakap adiknya itu. Dia mahu adiknya bertenang. Tidak sanggup melihat keadaan adiknya begitu. ‘Ya Allah, Kau kuatkanlah hatinya,’ bisik hatinya.

KAWASAN televisyen (TV Area) Mahallah (Kolej Kediaman) Aisyah.

“Adik, jaga diri ya. Kalau ada apa-apa masalah, segera hubungi abang,” kata Suhaibul Umar.
Qistur Ruwaidah hanya mengangguk. Dia sudah ketandusan bicara. Hendak senyum pun, dia menjadi tawar hati. Dia hanya bersalaman dengan abangnya itu.
“Abang balik dulu ya. Assalamualaikum,” ucap Suhaibul Umar.
“Waalaikummussalam,” balas Qistur Ruwaidah perlahan.
Suhaibul Umar meneruskan langkahnya seraya menoleh ke belakang. Kelihatan adiknya hanya memandang ke arahnya. Tidak memberi apa-apa respons. Berat hatinya untuk meninggalkan adiknya itu, namun demi sebuah amanah, dia harus laksanakan untuk dirinya dan adiknya, iaitu mendalami ilmu fardu ain dan fardu kifayah.
Setelah abangnya hilang dari pandangannya, Qistur Ruwaidah mengambil keputusan untuk pulang semula ke biliknya. Dia sendiri pun tiada hala tuju buat masa ini.
Menaiki anak tangga demi anak tangga, membuatkan dia terasa penat. Masih berbaki lagi satu tingkat untuk sampai ke tingkat empat. ‘Aduh, lambat lagi ke nak sampai ni! Aku penatlah!’ bentak hatinya.
Sesampai sahaja dia di hadapan biliknya, kelihatan pintu bilik terbuka luas. Dia pasti ada rakan baharunya telah tiba. Dia melangkah masuk.
Kelihatan terdapat dua buah keluarga dalam bilik tersebut. Masing-masing memandangnya seketika. Dia melemparkan senyuman seraya menuju ke katilnya. Dalam fikirannya, dia hanya mahu merebahkan diri buat masa ini.
Melihatkan dua buah keluarga itu sedang sibuk mengemas barang-barang untuk dua orang kawan baharunya itu, membuatkan hatinya sedikit terusik. ‘Ah, baik aku tidur cepat. Tak pasal-pasal aku menangis nanti,’ bisik hatinya seraya memanjat tangga katil. Dia memilih katil bahagian atas.
Akhirnya, dia memejamkan matanya. Melupakan seketika kesedihan yang membelenggu jiwanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience