BAB 24

Drama Completed 13621

‘ALHAMDULILLAH… Tahniah Qist dan Din! Aku gembira! Nak bagi hadiah apa kat kau orang nanti ya?’ bisik hati Abdul Azim setelah dia membaca mesej di grup WhatsApp bernama ‘320 Awesome’ itu.
Ketika itu, dia baru sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) setelah dia selesai menunaikan umrah dan mengembara ke seluruh negara Eropah bagi mengubati jiwanya yang penuh berkecamuk itu.
Di saat kawan-kawan lain terkejut di atas perkhabaran gembira itu, dia tersenyum hambar. Bukanlah dia tidak gembira untuk Qistur Ruwaidah kerana gadis itu bakal berkahwin dengan Mohamad Salahuddin, dia tetap gembira untuk dua orang insan itu meskipun hatinya remuk. Namun, perasaan remuknya itu tidaklah seteruk dulu setelah dia berdoa sehabisnya di Tanah Suci.
Tipulah kalau dia tidak sedih tetapi dia perlu menerima hakikat bahawa Qistur Ruwaidah bukan jodohnya. Dia berjanji untuk terus kuat dan bangkit kembali serta tidak akan sesekali cuba untuk merampas atau menagih cinta gadis itu semula. Tidak akan lagi! Biarlah gadis itu bahagia dengan insan pilihannya sehingga ke Syurga.
Dia masih ingat perbualan di antara dirinya dan Mohamad Salahuddin…

“Wah, alhamdulillah kalau macam tu Din! Semoga dipermudahkan. Aku tak sabar nak jamah nasi minyak kau,” kata Abdul Azim.
“Kau doakan aku semoga dipermudahkan,” ujar Mohamad Salahuddin.
“Insya-Allah. Perkara baik, mestilah aku akan doakan untuk kau.”

Kini, kata-kata Abdul Azim itu telah menjadi kenyataan. Lalu, kalbunya berbisik sesuatu dengan penuh kesyahduan dan kepasrahan.
‘Ya Allah… Aku mohon agar kau kuatkan hatiku untuk berdepan dengan Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah di majlis kahwin mereka nanti. Ya Rahman… Aku pinta agar Kau redakan hatiku bahawa Qistur Ruwaidah binti Isyraf Imrani bukan ditakdirkan untukku. Aku harap agar Mohamad Salahuddin akan menjaga baik-baik insan yang aku cinta itu. Ya Rahim… Kau lepaskanlah perasaanku ini agar aku tidak kecewa lagi.’
Mata Abdul Azim melilau-lilau mencari tempat duduk bagi melepaskan lelah setelah dia berada dalam kapal terbang berbelas-belas jam lamanya. Selepas ini, dia akan membeli tiket penerbangan untuk ke Johor pula.
‘Fuh, aku rasa percutian kali ni paling seronok! Dapat tunai umrah. Dapat pusing satu Eropah. Alhamdulillah!’ bisik hati Abdul Azim setelah dia menemui tempat duduk.
Dia bermain dengan jari-jemarinya. “Okey, solat jamak dulu. Lepas tu, beli tiket penerbangan ke Johor pula. Kalau tiket habis hari ni, boleh lepak kat hotel dulu,” bicaranya sendirian.
Tidak dilupakan juga, dia menghubungi ibu bapanya. “Bonda, baba… Azim baru je sampai kat KLIA ni. Alhamdulillah. Sekejap lagi, Azim terus nak beli tiket ke Johor. Kalau tiket habis, Azim balik esok.”
“Azim?” tegur seseorang.
Abdul Azim menoleh ke arah si pemilik suara itu. Suhaibul Umar! “A… Abang Suhaib…”
Kalbunya berbisik penuh kesedihan. ‘Ya Allah… Kenapalah aku boleh terjumpa Abang Suhaib kat KLIA ni! Baru aku ingat nak tenangkan hati untuk tak berhubung dengan Abang Suhaib buat sementara waktu,’ bisik hatinya.
Bukan Abdul Azim membenci abang kepada Qistur Ruwaidah itu. Bukan! Dia amat menyayangi sahabat baiknya dengan seadanya. Namun, otaknya masih cuba untuk menghadam bahawa lelaki di hadapannya kini tidak akan menjadi abang iparnya sampai bila-bila.
“Tak sangka kita jumpa kat sini. Azim baru sampai ke?” sapa Suhaibul Umar dengan penuh mesra.
“Haah… Baru je sampai. Sekejap lagi, Azim nak beli tiket untuk balik Johor pula. Abang buat apa kat sini?” ujar Abdul Azim.
“Abang baru lepas temankan kawan abang sampai dia dah masuk kat balai berlepas. Dia nak sambung belajar master kat Kuwait. Ni abang nak balik dah.”
Abdul Azim mengangguk. Sebuah senyuman keterpaksaan dihadiahkan. “Okey abang. Jaga diri. Hati-hati balik,” pesannya.
Suhaibul Umar terperasan bahawa anak mata sahabat baiknya tidak memandang dirinya dengan tepat. Seolah-olah Abdul Azim cuba mengelak untuk bertembung dengan dirinya. Lalu, dia melabuhkan punggungnya bersebelahan dengan sahabatnya. “Azim… Azim okey ke? Azim macam tak suka je abang tegur Azim.”
“Bu… Bukan macam tu. Cuma… Azim terkejut sebab kita boleh pula terserempak kat sini. Oh ya! Azim baru je dapat undangan majlis kahwin daripada Din kat grup WhatsApp kelas tadi lepas Azim boleh hidupkan telefon.”
Suhaibul Umar membisukan dirinya. Entah apalah yang sedang dirasai oleh Abdul Azim itu. Dia ingin mengorek perasaan lelaki itu. “Azim okey?” soalnya.
Kelihatan Abdul Azim menghadiahkan senyuman. Dia tidak akan berlaku jujur berkenaan perasaannya di hadapan lelaki itu. “Alhamdulillah. Azim okey jelah. Pasal tu… Dah berlaku hampir tiga bulan lepas, kan? Buat apa Azim nak kecewa lagi. Azim pun dah terima hakikat Qist pilih Din. Cuma, tak sangka… Cepat jugalah dia orang nak kahwin.”
“Emm… Azim datang tak nanti?”
“Insya-Allah Azim datang. Kan dia orang kawan kelas Azim masa kat CFS dulu. Tengah fikir nak hadiahkan apa kat dia orang nanti. Emm abang… Memandangkan kita pun dah terjumpa kat sini, Azim dah sedia nak tahu jawapan kenapa Qist tolak lamaran Azim. Lepas ni, Azim takkan cakap apa-apa dah pasal adik abang. Kita selesai kat sini je.”
Reaksi wajah Abdul Azim kelihatan normal dan hatinya juga sudah bersedia untuk mengetahui jawapan gadis itu melalui Suhaibul Umar. Kecewa? Dia sudah lama kecewa. Terluka? Lukanya sudah semakin sembuh selepas dia banyak meluahkan kepada Maha Pencipta.
Suhaibul Umar menjadi serba salah. Memandangkan itu permintaan Abdul Azim, dia akur. Lalu, dia menekan aplikasi ‘Recorder’ dan telefon pintarnya diserahkan kepada sahabatnya. “Nah. Jawapan ada kat dalam telefon abang ni. Apa yang adik abang cakap, dia sendiri minta rakam suara untuk sampaikan kat Azim. Abang rasa dia tak nak ada salah faham kalau dia minta abang cakapkan.”
Abdul Azim menyambut telefon tersebut. Fon telinga dikeluarkan dari beg galasnya dan dicucuk pada lubang yang tersedia. Dia mula menekan butang main rakaman tersebut.
Sewaktu Abdul Azim mengetahui salah satu jawapan Qistur Ruwaidah, iaitu…

‘…Azim tak minta maaf pun pasal tindakan dia bagi harapan kat adik dulu. Adik tunggu je dia nak minta maaf pasal tu sepanjang adik pertimbangkan lamaran dia tapi tak ada. Dia minta maaf pasal lamaran yang dia bagi je. Adik kecewa…’

‘Kalau Azim minta maaf pasal peristiwa tu, mungkin adik tak ragu-ragu nak terima Azim tapi sekarang… adik jadi tawar hati. Adik cuma nak dengar dia minta maaf pasal tu je.’

Dia tersentak. Maknanya… Jika dia meminta maaf berkenaan peristiwa dia menolak perasaan Qistur Ruwaidah dahulu, peluangnya untuk memiliki gadis itu cukup besar. Dia sendiri baru menyedari betapa mahalnya nilai sebuah kemaafan bagi Qistur Ruwaidah.

Mesej Peribadi Fac Abdul Azim
...Aku mengharapkan agar jawapan ringkas ini dapat menjelaskan maksud aku serta aku berharap sangat agar kau tidak terasa atas jawapan aku ini. Maaf.

Sangkaan Abdul Azim, dengan hanya ucapan maaf pada akhir mesej peribadi itu sudah cukup tetapi rupa-rupanya masih belum cukup untuk Qistur Ruwaidah.
Untuk apa lagi jejaka itu mahu rasa sesal atau berjumpa dengan gadis itu semula? Sudah tiada guna. Qistur Ruwaidah sudah menjadi tunangan orang dan gadis itu pun bakal berkahwin dengan Mohamad Salahuddin dalam sebulan sahaja lagi. Bukan dengan dirinya.
Setelah rakaman suara itu berakhir, Abdul Azim memulangkan semula telefon pintar sahabatnya itu.
“Azim okey?” soal Suhaibul Umar. Risau.
Wajah Abdul Azim sengaja berpura-pura tersenyum ceria. Dia cuba memberikan respons positif. “Azim okey je. Tak ambil hati pun. Betul juga apa yang Qist cakap tu. Azim anggap apa yang Qist cakap tu sebagai teguran dan pengajaran kalau Azim jumpa perempuan lain. Azim pun nak kena belajar banyak lagi pasal perhubungan.”
“Abang minta maaf bagi pihak Qist kalau Azim rasa respons Qist tu agak kasar.”
“Eh, tak adalah! Okey je. Ha, abang pernah cakap dulu, abang jadi perancang perkahwinan dia orang. Macam mana? Semua okey ke?”

“Alhamdulillah. Setakat ni semua okey. Keluarga Din pun banyak tolong.”

Abdul Azim mengangguk faham. Nampaknya, dia perlu berpisah dengan sahabat baiknya itu sebelum air matanya gugur di hadapan Suhaibul Umar. “Abang… Azim nak kena pergi sekarang. Nanti Azim bagi cenderamata kat abang dalam bulan depan tahu.”

“Okey Azim. Insya-Allah. Emm Azim… Ingat pesan abang ni. Walaupun kita tak ditakdirkan jadi ipar tapi Azim tetap sahabat dunia akhirat abang. Azim dah banyak berkorban untuk abang dari awal perkenalan kita. Mana mungkin abang lupa,” ujar Suhaibul Umar.

Serta-merta Abdul Azim mendakap erat sahabat baiknya itu. Dia tidak mampu menyembunyikan air matanya lagi.

KHAMIS, 18 OGOS 2016
Mohamad Salahuddin tiba di hadapan rumah tunangnya setelah dia dipelawa oleh Suhaibul Umar untuk bermalam di rumah tersebut sehingga hari Ahad. Ketibaannya telah dimaklumkan kepada Suhaibul Umar.
Tujuan Suhaibul Umar menjemput lelaki itu bagi merapatkan hubungan silaturahim sebagai bakal ipar-duai. Selain itu, dia tidak mahu mempunyai rasa berat sebelah di antara Mohamad Salahuddin dan Abdul Azim. Sepertimana dia selalu menjemput Abdul Azim untuk bermalam di rumahnya, begitulah juga dia mahu melakukan perkara yang sama terhadap Mohamad Salahuddin.
Setelah mereka berdua berada di dalam rumah, Suhaibul Umar menjemput Mohamad Salahuddin untuk duduk di atas sofa.
“Terima kasih sebab sudi lepak dengan abang,” ujar Suhaibul Umar sebagai pembuka bicara.
“Sama-sama abang. Din pun rasa besar hati. Lagipun, bagus juga abang ajak Din lepak. Din pun boleh kenal abang dengan lanjut,” balas Mohamad Salahuddin.
Suhaibul Umar tersenyum. “Abang ni bukan siapa-siapa pun. Biasa-biasa je.”
Mohamad Salahuddin tersengih. “Kalau abang rasa abang bukan siapa-siapa, macam mana abang boleh didik Qist dengan baik, kan? Din kagum.”
“Abang anggap, tu tanggungjawab abang besarkan Qist lepas mama baba abang dah tak ada. Bukan senang nak jaga adik perempuan. Lain cabaran dia. Banyak perkara kena ambil berat, terutama zaman remaja dan aurat. Abang rasa Din faham sebab Din pun anak sulung dan Din ada adik perempuan yang tengah remaja.”
“Haah abang… Betul sangat. Silap langkah, habis!”
Seketika, Suhaibul Umar tersenyum. Hanya anak sulung sahaja yang mengerti betapa beratnya sebuah erti tanggungjawab untuk menjaga adik-adik.

“Abang, Qist ada ke?” soal Mohamad Salahuddin.

“Tak ada. Dia dah kat rumah Tihaani sebab dia tahu Din bermalam kat sini sampai hari Ahad. Kau orang pun dah berpakat tak jumpa sampai hari akad nikah nanti, kan?” balas Suhaibul Umar.

Mohamad Salahuddin tersengih malu. “Haah… Macam tulah, abang. Lagipun, Din makin malu nak jumpa dia.”

Suhaibul Umar tersengih mendengar kata-kata lelaki itu. “Ceh! Malu konon! Qist pun malu kalau abang sebut nama Din. Tak pun abang sebut ‘tunang’. Padahal, kau orang suka sama suka. Ha, sesuai sangatlah.”
“Alamak! Jangan sakat kita orang, abang. Din jadi lagi malu ni!” kata Mohamad Salahuddin seraya meraup wajahnya.

“Gedik!” sakat Suhaibul Umar.

Lalu, dua orang jejaka itu ketawa.

Tatkala itu, Suhaibul Umar semakin menyenangi bakal iparnya itu. “Jomlah kita lepak kat dapur. Qist ada buatkan kek coklat kat Din sebelum dia pergi rumah Tihaani. Dia cakap Din suka makan kek coklat,” pelawanya.

“Ni mesti Keena beritahu sebab seingat Din, Din tak pernah cakap kat dia yang Din suka kek coklat,” balas Mohamad Salahuddin.
“Baguslah ada tukang bocor maklumat. Senang. Din pun kalau nak tahu apa-apa pasal Qist, boleh je tanya abang tapi sebelum tu, kita makan kek coklat dulu kat dapur. Boleh kita sembang-sembang kat situ.”

Mohamad Salahuddin tersengih. “Elok juga. Din pun tak sabar nak rasa air tangan Qist lagi. Satu lagi, Din teringat nasi lemak yang kau orang buat masa hari merisik dulu. Sedap betul!”

Suhaibul Umar tersenyum. “Sebenarnya, nasi lemak dan roti canai yang Din makan tu, Qist yang buat. Abang tak masuk campur langsung sebab Qist tak bagi. Abang buat lasagna dan jus oren je. Memang Qist tu pandai masak lepas kita orang dapat rumah ni balik. Untunglah Din nak perempuan yang pandai masak.”
“Qist tu hebat betul. Serba boleh. Boleh masak, tulis novel, debat… Apa lagilah yang Din tak tahu pasal Qist tu,” puji Mohamad Salahuddin. Kagum dengan kebolehan tunangnya.

Sekali lagi, Suhaibul Umar tersenyum. “Ada lagi. Din baru tahu sikit je tu. Jom ikut abang sekejap sebelum kita ke dapur. Abang nak tunjuk sesuatu kat Din,” katanya seraya bangun dari sofa. Mohamad Salahuddin turut mengikuti langkah lelaki itu.
Kelihatan Suhaibul Umar menunjukkan suatu sudut di ruang tamu itu. Beberapa buah bingkai gambar tersergam megah di atas meja. Mohamad Salahuddin memerhatikan bingkai-bingkai gambar itu.
“Ni keluarga abang?” soal Mohamad Salahuddin sambil menunjukkan salah satu bingkai gambar.
“Haah… Abang, Dik Qina, mama, atas riba mama Dik Harraz, baba, atas riba baba, Dik Harzan dan Dik Qist,” terang Suhaibul Umar berkenaan posisi ahli keluarganya dalam gambar tersebut.

“Macam mana abang boleh bezakan Dik Harraz dan Dik Harzan? Din tengok sama je.”

Suhaibul Umar tertawa. “Dia orang tetap ada beza. Bentuk muka dan air muka. Dik Harraz nampak lembut. Pipi dia nampak tembam. Dik Harzan pula nampak garang. Bentuk muka dia pun nampak kecil sikit daripada Dik Harraz.”

Mohamad Salahuddin memerhatikan semula wajah arwah Harrazul Umair dan Harzanul Uzair dalam gambar tersebut. “Bila Din tengok muka dia orang, masih nampak sama. Tak ada beza.”
“Kalau dia orang hidup lagi, mungkin Din boleh nampak beza,” balas Suhaibul Umar. Lalu, dia tersengih.

“Kalau Kak Qina, Dik Harraz dan Dik Harzan hidup lagi, umur dia orang berapa sekarang?”

“Semua adik-beradik abang beza setahun. Dik Qina umur 22 tahun. Dik Harraz dan Dik Harzan umur 20 tahun.”

“Wah! Kalau dia orang hidup lagi, mesti kau orang semua rapat sebab abang dan Qist pun rapat.”

“Rasanya macam tulah tapi nak buat macam mana, kan? Rezeki abang dan Qist tak lama dengan dia orang. Sekejap sangat.”
Mohamad Salahuddin memandang wajah lelaki itu. Wajah Suhaibul Umar nampak tenang. “Abang okey?”

“Alhamdulillah. Okey je. Dah biasa. Cuma, abang rindu jelah. Lagipun, keluarga abang dah 15 tahun tak ada. Ha, Din tengok gambar ni. Din kena tahu sesuatu daripada gambar ni,” ujar Suhaibul Umar sambil dia menunjukkan sebuah bingkai gambar di sebelahnya.

Gambar Qistur Ruwaidah… Tiba-tiba Mohamad Salahuddin menjadi malu tatkala menyaksikan gambar tunangnya berjubah rona emas gelap dan bertudung labuh bulat rona emas cerah bersama selempang. Namun, selempang tersebut menarik perhatiannya. ‘Al-Khatimah: Qistur Ruwaidah’.
“Kan Din cakap tadi, apa lagi yang Din tak tahu pasal Qist, kan? Ni salah satunya. Dia hafaz Al-Quran. Gambar ni masa hari anugerah khatam hafazan Al-Quran kat sekolah kita orang dulu. Qist pun boleh lukis juga macam Din dan boleh sunting video. Masa kat CFS dulu, selain Qist boleh debat, dia pun diberi kepercayaan untuk hasilkan video montaj pertandingan debat Bahasa Arab,” terang Suhaibul Umar.
Mata Mohamad Salahuddin terbeliak seketika tatkala mengetahui penerangan Suhaibul Umar itu. Qistur Ruwaidah menghafaz Al-Quran? Patutlah tunangnya pernah mengatakan bahawa dia telah menghafaz Surah al-Furqan sewaktu kelas Basic Themes of Al-Quran di pusat asasi dulu. Rupa-rupanya, dia telah menghafaz keseluruhan Al-Quran. Sudahlah hafaz satu Al-Quran, ada pula kemahiran lain.
Ternyata kalbunya tidak pernah salah untuk jatuh hati terhadap gadis itu sejak hari pertama dia bertentang mata dengan Qistur Ruwaidah. Dia rasa amat beruntung!
“Tak sangka… Din mampu ucap subhanallah je. Jauh beza sangat dengan Din. Din hafaz juzuk ‘amma dan surah-surah pilihan je. Bagi Din, Qist sangat luar biasa! Berkat didikan abang juga,” ujar Mohamad Salahuddin.

“Tak adalah. Bukan abang sangat pun. Dia sendiri jenis berani nak cuba apa-apa peluang yang ada,” balas Suhaibul Umar.
“Din teringin nak tahu kalau mak cik dan pak cik hidup lagi, mak cik dan pak cik jenis macam mana ya? Kalau abang ingatlah…”
“Jom kita pergi dapur dulu.”
Suhaibul Umar dan Mohamad Salahuddin mula menuju ke dapur. Lalu, Suhaibul Umar membuka tudung saji. Kelihatan kek coklat bersaiz segi empat tepat dalam lingkungan enam inci terhidang di atas meja makan itu.
Mohamad Salahuddin meneguk air liurnya. Kek itu nampak menyelerakan. “Abang… Din nak ambil gambar sekejap sebelum abang potong kek ni,” pintanya.
“Boleh Din,” balas Suhaibul Umar bersama senyuman. Dia memahami bahawa Mohamad Salahuddin menghargai apa jua yang dilakukan oleh adiknya itu, hatta sekecil-kecil perkara. Dia percaya, lelaki itu akan terus menghargai adiknya sehingga ke akhir hayat kelak.
Setelah Mohamad Salahuddin menangkap gambar kek coklat itu beberapa kali, dia memilih salah satu gambar tersebut.

WhatsApp Mohamad Salahuddin:
Assalamualaikum Qist. Terima kasih sebab sudi buatkan kek coklat ni. Din terharu pula Qist tahu Din suka makan kek coklat. Sekejap lagi, Din beritahu rasanya macam mana ya tapi Din tahu, kek ni mesti sedap.
Lalu, dia menghantar mesej itu kepada tunangnya.
“Abang potong ya,” kata Suhaibul Umar.
Mohamad Salahuddin mengangguk. Akhirnya, kek coklat itu telah dipotong oleh Suhaibul Umar kepada beberapa bahagian. Lalu, diletakkan di atas dua pinggan kecil. Sepinggan untuk dirinya dan sepinggan lagi untuk Mohamad Salahuddin.
Tatkala Mohamad Salahuddin menikmati suapan pertama, dia terkedu seketika. Alangkah sedapnya kek coklat itu!
“Sedap?” soal Suhaibul Umar.
“Ya Allah! Sedap sangat! Din tak pernah makan kek coklat sesedap ni!” puji Mohamad Salahuddin.
“Qist guna resepi mama kita orang. Memang mama ada tinggalkan beberapa buku resepi yang dia tulis. Masa mama ada lagi, memang mama suka masak dan buat pencuci mulut. Kuih raya pun tak pernah beli. Buat sendiri je. Abang ingat lagi… Lepas solat subuh je, mesti adik-beradik abang termasuk baba duduk bersila kat dapur ni sampai sebelum zuhur macam tu. Mama akan buat dalam lima atau enam jenis kuih raya. Kita orang tolong bentukkan.”
“Wah, hebatnya! Mak cik kerja suri rumah ke?”
“Taklah. Mama kerja tapi kerja apa, abang tak ingat. Satu lagi, mama jenis lembut. Tak pernah marah kita orang. Kalau kita orang buat salah, mama akan cakap baik-baik. Macam mana Din tengok lembutnya Qist, macam tulah lembutnya almarhumah mama tapi Qist ikut muka baba. Abang pula ikut muka mama. Ramai keluarga sebelah mama cakap macam tulah.”
“Keluarga sebelah mama abang? Kenapa Din tak nampak pun masa majlis tunang hari tu? Abang dan Qist berdua je.”
“Abang dan Qist tak beritahu kau orang tunang hari tu sebab kita orang tak nak susahkan keluarga sebelah mama. Lagipun, kita orang tak rapat sangat sebab baru je jumpa balik beberapa tahun lepas tapi kita orang dah beritahulah tarikh majlis akad dan tarikh majlis kesyukuran kat dia orang. Insya-Allah Din bolehlah tengok keluarga sebelah mama masa majlis akad nanti.”
“Okey faham. Pak cik pula macam mana?”
“Baba pun lembut macam mama tapi baba lagi banyak cakap daripada mama. Seingat abang, baba pun jenis tak pernah marah. Layan je apa yang adik-beradik abang buat. Satu lagi, baba jenis pengemas. Masa rumah bersepah dengan barang mainan dulu, baba akan kemas lepas adik-beradik abang dah tidur. Baba takkan biarkan mama buat kerja rumah seorang diri.”
“Din rasa terinspirasi dengan pak cik. Nak jadi macam almarhum pak cik juga!”
“Insya-Allah Din boleh punya. Lepas Din kahwin dengan Qist nanti, Din banyakkanlah tolong Qist sebab abang sendiri pun, abang takkan biarkan Qist buat kerja rumah seorang diri. Jangan sebab nama kita lelaki, kita biar perempuan je yang buat kerja rumah. Tak boleh macam tu. Bab buat kerja rumah ni, sama ada lelaki atau perempuan, sama je.”
“Insya-Allah. Mak ayah Din pun ajar perkara yang sama kat Din dan Keena. Memang betul cakap abang. Bab kerja rumah, lelaki dan perempuan tak ada beza pun.”
Suhaibul Umar tersenyum. Pasti adiknya beruntung kerana dipertemukan dengan lelaki sebaik Mohamad Salahuddin itu. Lalu, dia meneruskan suapan kek coklat yang seterusnya. “Untuk makan malam sekejap lagi, abang masak char kuetiau. Okey tak?”
“Eh, Din okey je! Din tak kisah tapi kalau abang tak kisah… Boleh tak abang bagi peluang kat Din masak char kuetiau? Din nak uji kemahiran masak Din,” ujar Mohamad Salahuddin.
“Fuh, elok juga! Bolehlah abang nak rasa masakan bakal adik ipar abang ni. Mesti sedap!” balas Suhaibul Umar sambil menunjukkan isyarat ‘thumbs up’.
“Alamak… Din cuak pula abang cakap macam tu. Tak jadilah nak masak,” seloroh Mohamad Salahuddin. Lalu, dia tersengih.
“Aii… Mana boleh tak jadi. Mesti jadi punya! Abang percaya je kat Din.”
Mohamad Salahuddin tersenyum. Lalu, dia menyuapkan kek coklat ke dalam mulutnya lagi. Sedap sungguh! Dia menjadi semakin tidak sabar untuk hidup bersama dengan tunang tercintanya berbaki 14 hari sahaja lagi. Dia mahu mencurahkan segala rasa cintanya terhadap Qistur Ruwaidah dengan sepenuh hatinya kelak. “Abang… Boleh Din tanya sesuatu pasal Qist tak?”
“Tanya je apa yang Din nak tahu pasal Qist,” balas Suhaibul Umar.
“Kenapa Qist dah lama tak sambut hari jadi dia macam dia cakap lepas majlis tunang dulu? Din rasa serba salah pula sebab Din ingat normallah nak sambut hari jadi Qist macam biasa.”
Suhaibul Umar tersentak seketika. Sudu besi itu diletakkan di atas pinggan. Dia meneguk air sejuk terlebih dahulu. Helahan nafasnya dilepaskan. “Qist ada cerita kat Din, kita orang kena dera dengan Mak Long kita orang dulu, kan?”
Mohamad Salahuddin mengangguk.
“Masa hari jadi Qist yang keenam, almarhum Pak Long kemalangan dalam perjalanan nak balik ke rumah. Kata Kata Syita anak Pak Long, Pak Long ada belikan kek untuk Qist. Bila hari jadi Qist yang ketujuh, kelapan, kesembilan dan ke-10, Mak Long akan dera Qist dengan teruk sebab bagi Mak Long, Qist pembawa malang untuk Pak Long. Kali terakhir abang nyanyikan lagu ‘Happy Birthday’ kat Qist masa hari lahir ketujuh dia. Lepas dari tu, Qist minta tak sambut hari jadi dia dah,” cerita Suhaibul Umar.
Alangkah runtunnya hati Mohamad Salahuddin tatkala mengetahui akan sebabnya itu. “Kalau abang tak kisah nak beritahu, macam mana Qist kena dera?”

Suhaibul Umar terdiam seketika. “Emm… Mak Long akan rendam muka Qist dalam baldi sampai Qist rasa nak lemas. Bukan sekali tapi buat berulang-kali. Lepas tu, Mak Long akan pukul dia guna getah paip. Abang ingat lagi, abang dengar Qist jerit minta tolong dari bilik air tapi abang tak boleh nak buat apa-apa sebab Mak Long kunci pintu bilik air masa Mak Long dera Qist.”
Sambungnya lagi… “Lepas Mak Long dah dera Qist, Mak Long biarkan Qist terkurung dalam bilik air tu dengan lampu tak buka. Dalam dua tiga hari jugalah, Qist terkurung dalam gelap dan tak makan apa-apa. Tak cukup dengan tu, Mak Long biarkan Qist kat luar rumah pula. Setiap kali hari jadi Qist, tulah yang dia rasa. Kesannya, dia takut gelap sampai sekarang. Sebab tulah, dia tak nak ingat hari jadi dia. Dia trauma dan fobia.”

“Ya Allah… Kejamnya Mak Long! Patutlah Qist ada cakap dulu, abang dan dia tak boleh nak maafkan Mak Long masa kau orang pergi jumpa Mak Long kat hospital dulu sampai dia dah mati. Din bersimpati sangat. Din tak tahulah nak cakap Mak Long tu apa sebenarnya. Bukan manusialah yang pastinya,” kata Mohamad Salahuddin dengan sebak sambil dia menggenggam erat tangan kanannya.
Tergamak sungguh Mak Long Rauzah menyeksa insan yang amat dicintainya dan bakal abang iparnya itu. Mujur wanita itu sudah berada dalam kubur. Jika wanita itu masih hidup, memang dia tidak akan membiarkan wanita itu hidup dengan aman.
“Sebab tulah, abang minta sangat Din jangan sakitkan hati Qist langsung lepas Din kahwin dengan Qist nanti. Dia tak layak untuk disakiti lagi. Cukuplah apa yang dia dah rasa dulu,” ujar Suhaibul Umar dengan sebak juga.

“Tak abang. Insya-Allah Din takkan. Din janji. Macam mana abang sayang kat Qist, macam tulah Din sayang kat Qist. Qist akan selamat dengan Din. Din takkan pisahkan abang dan Qist lepas kita orang dah kahwin sebab Din tahu, abang segala-galanya untuk Qist dan Qist pun segala-galanya untuk abang. Din pun tengah cari rumah sewa yang dekat dengan UIA dan rumah abang ni.”
“Din… Abang tak kisah pun kalau abang kena berjauhan dengan Qist sebab abang faham, Qist kena ikut kat mana je Din pergi.”
“Taklah abang. Jangan cakap macam tu. Din pun tak nak Qist berjauhan dengan abang. Din pun dah selesa kat kawasan UIA dan kawasan rumah abang ni. Bila Din dah mampu, memang Din nak beli rumah kat kawasan sini nanti. Tu perancangan Din. Takkan jauh dari rumah abang. Insya-Allah.”

AHAD, 21 OGOS 2016
Setelah Suhaibul Umar menilai berkenaan Mohamad Salahuddin selama tiga hari, dia menjadi senang terhadap jejaka itu. Dia percaya akan kredibiliti Mohamad Salahuddin untuk menjaga adiknya dengan sebaiknya sebagai seorang suami kelak. Dia sudah bersedia untuk melepaskan Qistur Ruwaidah untuk lelaki itu berbaki 11 hari sahaja lagi.
Dia sendiri menjadi saksi Mohamad Salahuddin pandai memasak dan tidak kekok untuk melakukan kerja-kerja di dapur. Char kuetiau yang dimasak oleh Mohamad Salahuddin pada tiga hari lepas benar-benar melazatkan sehingga membuatkan dia meminta menu tersebut selama dua hari berturut-turut.
Sebelum Mohamad Salahuddin pulang sekejap lagi, dia sudah berhajat untuk menyediakan dua jenis hidangan bagi aktiviti perkelahan di Taman Tasik Perdana bersama adiknya pada pukul 10.00 pagi nanti. Dia sudah memaklumkan kepada adiknya beberapa hari yang lalu berkenaan perancangan aktiviti mereka berdua untuk hari Ahad ini.
“Abang nak masak apa untuk makan masa berkelah nanti? Ada apa Din boleh tolong sebelum Din balik Bangi sekejap lagi?” tanya Mohamad Salahuddin. Dia sudah maklum bahawa Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah akan berkelah pada hari ini.
“Abang ingat nak masak bihun goreng tapi abang tengah fikir nak buat satu lagi menu. Emm… Din rasa menu apa yang sesuai ya?” ujar Suhaibul Umar.
“Kalau keluarga Din pergi berkelah, mak Din mesti buat roti pita inti daging. Kalau abang ada bahan nak buat inti tu, bolehlah Din nak tolong buat.”
“Elok juga tu tapi masalahnya, abang tak ada bahan nak buat inti roti pita tu. Roti pita pun lagilah tak ada.”
“Kalau macam tu, Din boleh singgah pergi beli bahan-bahan tu.”
“Eh, janganlah, Din! Susah-susah je. Ganti dengan sandwic tuna atau telur pun boleh juga. Bahan-bahan nak buat sandwic ada je.”
“Tak apa, abang. Sandwic dah biasalah. Kali ni, biar lain sikit. Serius, Din okey je.”
“Kalau macam tu, okeylah. Abang pun teruja nak rasa Din buat roti pita. Abang pergi ambil duit sekejap.”
“Tak apa. Din belanja bahan-bahan tu.”
“Laa… Jangan macam ni, Din. Abang jadi segan pula. Bahan-bahan nak buat char kuetiau masa abang minta hari kedua tu pun, Din dah belanja.”
“Tak ada masalah pun. Din nak belanja bakal ahli keluarga baru Din juga. Abang boleh fokus buat bihun goreng tu.”
“Kalau macam tu Din, okeylah. Terima kasih tahu. Nak sediakan apa-apa lagi tak untuk tunang tersayang? Mesti Qist suka punya bakal suami dia buat roti pita kat dia. Sayang betul Din kat Qist ya.”
Apabila Suhaibul Umar menyebut perkataan tunang, wajah Mohamad Salahuddin terus merona merah. Malu! “Abang ni sengaja je tahu sebut perkataan ‘tunang’. Din malulah!”
Suhaibul Umar menghadiahkan sengihan nakal. “Mengada betul! Mengalahkan perempuan!”
Mohamad Salahuddin tersenyum malu. “Cuma, satu je Din minta… Boleh tak abang rahsiakan Din buat roti pita? Abang cakap je roti pita tu abang yang buat. Din tak nak Qist tahu lagi. Nanti Din beritahu lepas kita orang kahwin nanti.”
“Okey Din. Boleh je. Nak tinggalkan kenangan manis masa tengah tunang nilah?” ujar Suhaibul Umar. Lalu, dia tersenyum.
Wajah Mohamad Salahuddin semakin merona merah. “Nak cakap kenangan manis tu, boleh juga. Din nak tahu respons Qist pasal roti pita yang Din nak buat nanti. Abang whatsapp Din tahu lepas Qist dah rasa. Kalau Qist cakap sedap, maksudnya Din lulus bab masak.”
“Okey. Apa-apa nanti, abang akan beritahu Din. Jangan risau. Selamat membeli dan buat inti roti pita untuk tunang tersayang,” sakat Suhaibul Umar.
Bertambah meronalah wajah Mohamad Salahuddin apabila bakal abang iparnya itu semakin galak menyakat dirinya.

TAMAN TASIK PERDANA
11.00 PAGI
“Sedap tak roti pita tu, adik?” tanya Suhaibul Umar. Memang dia sengaja ingin mengetahui respons adiknya berkenaan air tangan Mohamad Salahuddin itu.
“Sedaplah! Adik bagi 100 markah kat abang. Nanti abang buat lagi tahu. Adik tak sangka abang boleh buat inti roti pita sesedap ni,” puji Qistur Ruwaidah terhadap air tangan yang dibuat dengan penuh kasih sayang oleh tunangnya itu.
“Amboi, nak cakap inti roti pita yang abang buat sebelum ni, tak sedaplah ya!”
“Bukan tak sedap tapi kali ni punya lagi menyengat. Adik pun tak tahu nak cakap macam mana tapi boleh rasalah beza dengan inti sebelum ni.”
Gigitan demi gigitan diteruskan oleh Qistur Ruwaidah terhadap roti pita berintikan daging itu. Dia menikmati air tangan Mohamad Salahuddin itu sehingga empat keping.
“Sedap sangatlah tu ya sampai adik makan empat keping,” usik Suhaibul Umar.
“Mestilah sedap. Sedap sangat! Adik rasa nak menangis je!” kata Qistur Ruwaidah dengan penuh dramatis.
Suhaibul Umar ketawa. Kalaulah Mohamad Salahuddin mengizinkan dia untuk memberitahu kepada adiknya bahawa roti pita tersebut merupakan hasil air tangan lelaki itu, memang adiknya akan makin mencintai tunangnya.
Tiba-tiba telefon Suhaibul Umar berbunyi. Dia segera mengeluarkan telefon bimbit dari kocek seluarnya. Panggilan daripada Mohamad Salahuddin. Lalu, dia tersenyum. “Sekejap ya, adik,” pintanya seraya dia bangun dari tikar mengkuang itu agar adiknya tidak mengetahui bahawa Mohamad Salahuddin sedang menghubunginya.
“Assalamualaikum Din. Ni mesti tak sabar nak tahu respons Qist sampai tak tunggu abang whatsapp dulu,” ujar Suhaibul Umar setelah dia menjawab panggilan Mohamad Salahuddin.
Kedengaran suara Mohamad Salahuddin begitu bahagia di hujung panggilan itu. “Waalaikummussalam. Mestilah! Tunang dia risau sangat ni. Tak boleh fokus nak buat kerja lain tahu.”
“Isy, isy, isy! Tak menahan betul! Mengada! Hahaha! Tapi… Alhamdulillah Din lulus dan Qist terlalu suka dengan roti pita tu. Dia cakap inti roti pita Din sedap sampai bagi 100 markah. Bezalah dengan abang buat. Abang pernah buat inti roti pita juga dulu tapi tak sesedap Din punya. Qist cakap abang punya tak berapa menyengat. Dia makan sampai empat keping tahu. Lepas tu, dia buat drama nak menangis sebab roti pita tu sedap sangat.”
“Seriuslah abang? Ke abang main-main je ni?”
“Demi Allah, Din! Memang Qist cakap macam tu. Dia hargai sangat roti pita yang Din buat tu. Kalau tak, buat apa dia makan sampai empat keping? Kalau dia tahu Din yang buat roti pita tu, mesti dia makin sayang kat Din.”
Mohamad Salahuddin tertawa ceria di hujung talian. “Ya Allah… Alhamdulillah! Din lega sangat bila abang cakap macam tu. Ni yang buat Din nak masak kat dia selalu lepas kahwin nanti.”
“Ceewah! Tiba-tiba abang rasa cemburu pula kat Din. Hahaha!”
“Alaa… Minta maaflah, abang. Hahaha! Okey abang. Tu je Din nak tanya. Din rasa seronok sangat ni!”
“Amboi! Din telefon abang semata-mata untuk Qist je, kan? Abang beritahu Qist nanti, baru tahu.”
“Eh, abang! Janganlah macam tu. Din gurau je. Okey, okey… Abang sihat?”
“Dahlah Din. Buang tabiat betul! Boleh tak jangan gedik sangat? Kita baru je berpisah tadi. Mengada sungguh! Abang hempuk kepala Din nanti.”
Kedengaran Mohamad Salahuddin menghamburkan tawanya lagi di hujung talian. “Hahaha! Din gurau je tahu, abang. Abang jangan ambil hati pula.”
“Tak ada maknanya! Tak kuasalah abang nak ambil hati. Din ingat abang perempuan ke apa?” seloroh Suhaibul Umar.
Sekali lagi, Mohamad Salahuddin menghamburkan tawanya.
Usai Suhaibul Umar bersembang dengan lelaki itu, dia menuju semula ke arah Qistur Ruwaidah.
“Siapa?” tanya Qistur Ruwaidah.
“Din. Dia tanya pasal hantaran dia,” bohong Suhaibul Umar tentang tujuan Mohamad Salahuddin menghubungi dirinya itu. Kalau dia memberitahu tujuan sebenar lelaki itu menghubunginya, entahlah apa reaksi adiknya. Mungkin adiknya boleh muntah balik roti pita itu.
“Oh. Dia sihat ke, abang?”
“Alhamdulillah. Dia sihat je sepanjang dia bermalam kat rumah kita. Adik tak ada whatsapp dia ke?”
“Adalah dalam dua tiga hari lepas dia whatsapp adik. Dia puji kek coklat adik sedap. Tu jelah tapi sebenarnya, adik dah lama juga tak whatsapp Din lepas kali terakhir kita orang jumpa masa beli cincin dulu. Lagipun, adik akan hubungi dia bila ada hal mustahak je, terutama pasal majlis. Kalau nak cakap sayang atau rindu, memang taklah! Bukannya adik jadi isteri dia lagi.”
“Baguslah macam tu. Emm… Adik dah jatuh cinta kat Din ke belum ni?”
“Abang ni… Dah kenapa tanya soalan macam tu? Kalau adik tak jatuh cinta kat Din, tak ada maknanya adik terima lamaran Din dulu,” ujar Qistur Ruwaidah. Lalu, dia tersenyum.
Benar… Qistur Ruwaidah sudah jatuh cinta terhadap Mohamad Salahuddin, malah dia merindui lelaki itu. Namun, dia menyimpan rasa rindunya yang tidak terungkap itu sehinggalah dia dan tunangnya bakal disatukan dalam beberapa hari sahaja lagi.
“Amboi… Senyum-senyum pula adik abang ni. Apa-apa pun, memang abang gembira tengok adik sekarang. Adik nampak lagi ceria lepas adik dah jadi tunang Din. Abang doakan moga adik bahagia sampailah adik jadi isteri Din nanti.”
“Insya-Allah abang. Abang doakan kita orang tahu. Adik sentiasa perlukan doa daripada abang.”
“Insya-Allah. Abang sentiasa doakan adik.”

MOHAMAD SALAHUDDIN menghempaskan tubuhnya di atas katil setelah dia tiba di Bangi, rumah kediamannya dari rumah tunangnya itu. Dia mengimbau kembali tentang perbualan di antara dirinya dan Suhaibul Umar tadi. Betapa dia amat gembira akan respons tunangnya terhadap roti pita yang disediakan olehnya itu.
‘Ya Allah… Hanya Kau Maha Mengetahui betapa gembiranya aku! Qist suka roti pita yang aku buat untuk dia. Lepas aku jadi suami dia, aku janji… Aku akan mudahkan urusan dia dan tak bebankan dia, terutamanya hal-hal kerja rumah. Aku nak contohi almarhum baba Qist. Aku nak jadi suami terbaik. Andai Kau kurniakan kami anak, aku nak jadi ayah terbaik untuk zuriat aku,” monolognya seraya dia tersenyum.
Masuk sahaja tarikh 22 Ogos 2016, yakni hari Isnin pada keesokan harinya, bermakna tinggal seminggu lebih sahaja lagi untuk dia memegang status tunangan orang sebelum dia bergelar seorang suami.
Seketika, Mohamad Salahuddin ralit memeriksa gambar-gambar digital yang terdapat dalam telefon pintarnya sempena hari merisik dan majlis pertunangan dulu.
Dia tersenyum apabila dia melihat dirinya bersama Qistur Ruwaidah di atas pelamin dalam gambar tersebut.
“Macam manalah bila Qist dah jadi isteri aku nanti? Ah, malunya! Aku tak sangka betul perjalanan aku nak dapatkan Qist secepat ni. Tahu-tahu, Qist dah terima lamaran aku tiga bulan lepas dan aku nak jadi suami dia lagi beberapa hari je. Hantaran pun dah siap. Ya Allah… Boleh ke aku buat nanti? Boleh ke aku jadi suami yang baik untuk Qist? Boleh ke aku nak galas amanah yang Abang Suhaib bagi kat aku nanti?” bicara Mohamad Salahuddin sendirian.
Tidak mahu memikirkan soal remeh-temeh itu, Mohamad Salahuddin bangun dari katilnya. Dia memerhatikan tujuh buah hantaran hasil gubahan Suhaibul Umar yang terletak di tepi dinding biliknya itu. Sangat teliti, cantik dan kemas!
Bakal abang iparnya berjaya menyiapkan hantarannya untuk Qistur Ruwaidah sehari sebelum dia tiba di rumah dua beradik itu.
Tiba-tiba pintu biliknya diketuk.
“Along, boleh mak masuk?” pinta Puan Zaidah.
“Masuklah mak,” jawab Mohamad Salahuddin.
Kelihatan Puan Zaidah memasuki bilik anak lelakinya itu. “Mak minta maaf sebab terpaksa kacau Along sekejap.”
“Eh, mak tak kacau Along pun! Along tengah tengok hantaran je ni. Kenapa mak?”
“Mak cuma nak tanya… Macam mana semua persiapan untuk majlis akad dan majlis kesyukuran Along dan Qist?”
“Alhamdulillah mak. Semua okey je. Along dah bayar semua. Katering pula macam mana, mak? Okey ke?”
“Alhamdulillah. Pasal tu, ayah dah bayar awal bulan Julai dulu. Sebenarnya, mak nak cakap sesuatu kat Along sebelum Along nak kahwin lagi beberapa hari ni.”
Mohamad Salahuddin menunggu kata-kata ibunya itu.
“Mak nak minta maaf… Pasal mak cakap mak kurang berkenan dengan Qist dulu. Bila mak dah jumpa Qist, mak jadi suka kat Qist. Betullah cakap Along dulu. Mak rasa macam tu sebab mak tak pernah jumpa Qist sebelum hari merisik dulu,” bicara Puan Zaidah dengan sebak.
Mohamad Salahuddin segera mendakap ibunya. “Tak ada apalah, mak. Along faham je. Along tahu mak suka kat Qist masa mak peluk Qist. Terima kasih mak sebab restu pilihan hati Along. Along pun nak minta maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki di atas segala salah dan silap Along dari Along lahir sampai ke hari ni dan saat ni. Along tahu Along dah banyak susahkan mak dan juga, ayah.”
Puan Zaidah mengusap rambut dan mencium pipi anak terunanya itu. “Along tak pernah buat apa-apa salah pun kat mak ayah. Along anak yang baik. Mudah dijaga dari bayi dan sangat menyenangkan kami sampailah sekarang.”
Tatkala itu, Mohamad Salahuddin menitiskan air matanya. “Mak… Along janji akan sentiasa hubungi mak kalau Along dan Qist tak berkesempatan nak jenguk mak, ayah dan Keena kat sini. Along sayang mak.”
“Tak apa, Along. Mak faham je Along akan sibuk dengan kelas, tugasannya lagi. Lumrah kahwin masa belajar, macam tulah. Along ingat pesan mak ni. Kahwin masa belajar, bukanlah sesuatu yang Along boleh banggakan kat orang lain. Along kena korbankan zaman bujang Along untuk sara Qist nanti. Kalau Along dan Qist ada anak, Along kena fikir anak pula. Satu lagi, Along jangan buat perangai macam orang bujang… Lepak dengan kawan sampai pukul 1.00-2.00 pagi pula. Kesian isteri tengah tunggu kat rumah…” pesan Puan Zaidah. Lalu, terdiam seketika.
Sambung Puan Zaidah lagi… “Rumah tangga ni akan ada pasang surutnya. Takkan selamanya manis macam yang orang pamerkan kat media sosial. Along kena sedia dengan gelora rumah tangga, terutama pasal kewangan dan kerenah isteri. Along kena banyak bersabar dengan kerenah isteri yang Along tak pernah tahu. Bagi mak, hidup rumah tangga ni terlalu banyak kejutannya. Walaupun mak dan ayah dah kahwin 22 tahun, mak tetap rasa ada je kejutan rumah tangga sampai sekarang.”
Mohamad Salahuddin mengangguk faham. Dalam hatinya, dia semakin bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang suami serta pada yang sama, seorang siswa juga. Walaupun dia tidak tahu apa yang menanti dirinya dan Qistur Ruwaidah setelah mereka berdua disatukan kelak, namun dia percaya, mereka berdua akan mampu melaluinya dengan sabar dan tenang.

SABTU, 27 OGOS 2016
Baki hari sebelum majlis akad nikah: Lima (5) hari lagi…
Qistur Ruwaidah terpisat-pisat tatkala dia terdengar pintu biliknya diketuk oleh abangnya. Sejujurnya, tubuhnya agak keletihan setelah dia menguruskan berkenaan majlis akad nikahnya sejak pukul 10.00 pagi sehinggalah pukul 7.00 malam tadi. Selepas dia menunaikan solat maghrib, dia terus melelapkan mata sehinggalah dia terdengar ketukan pintu biliknya itu.
Dia membangunkan dirinya dari katil bagi membuka pintu biliknya. Wajahnya kelihatan sangat mengantuk di hadapan Suhaibul Umar. “Adik minta maaf, abang. Adik tertidur dari lepas solat maghrib tadi. Adik letih sangat. Tak sempat nak tasmi’ hafazan dengan abang.”
“Tak apa, adik. Lepas subuh tadi, kan adik dah tasmi’ sekejap dengan abang sebelum adik keluar. Sebenarnya, abang ada kejutan untuk adik,” ujar Suhaibul Umar. Dia rasa serba salah pula kerana mengejutkan adiknya yang sedang keletihan itu pada waktu begini.
“Kejutan? Alaa… Abang ni. Susah-susah je tahu tapi adik nak mandi dan solat isyak dulu sekejap. Biar adik segar sikit.”
“Okey adik. Memang adik kena mandi pun sebab abang nak bawa adik kat satu tempat ni. Adik kena pakai cantik-cantik tahu. Abang tunggu kat ruang tamu.”
“Abang tak pernah pun suruh adik pakai cantik-cantik tahu. Kali ni, lain macam pula kejutan abang.”
Suhaibul Umar tersengih. “Jumpa sekejap lagi.”
Setelah Suhaibul Umar meninggalkan bilik adiknya itu, dia menuju ke ruang tamu sambil tersenyum kecil dengan kalbu penuh rasa gembira. Pada masa yang sama, kalbunya merasakan penuh syahdu juga. Dia menyedari bahawa adiknya akan bergelar isteri dalam lima hari sahaja lagi. Jadi, dia telah menyediakan sebuah kejutan buat adik tercintanya itu.
‘Suhaib… Kau kena sedia lepaskan Dik Qist kat Din nanti. Amanah kau jaga Dik Qist akan berakhir lagi lima hari je,’ pesan kalbunya itu.
Setengah jam kemudian, Qistur Ruwaidah menuruni anak tangga. Kelihatan abangnya sedang mengelamun sendirian. “Abang…” panggilnya.
“Wah, cepatnya adik siap!” kata Suhaibul Umar.
“Kenalah cepat. Kalau tak, kesian pula abang lama nak tunggu adik. Okey, apa kejutannya?”
“Sebelum tu, adik kena tutup mata dengan pakai kain ni,” balas Suhaibul Umar sambil menyerahkan sehelai kain kepada adiknya.
“Abang tahu adik fobia dengan gelap, kan? Seramlah nak pakai kain ni!”
“Sekejap je. Tak lama pun. Jangan risau. Abang akan sembang-sembang dengan adik bila kita dah sampai kat tempat tu.”
“Abang janji jangan biarkan adik seorang diri tahu.”
“Ya adik. Abang janji. Sekejap je kita nak sampai kat tempat tu. Tak ada maknanya abang nak biarkan adik.”
Lalu, Qistur Ruwaidah mengambil kain tersebut dan mula menutup matanya dengan kain tersebut. Suhaibul Umar membantu adiknya bagi mengikat kain tersebut.
“Ta… Takut. Ge… Gelap. Abang… Jangan tinggalkan adik,” ujar Qistur Ruwaidah sambil memegang tangan abangnya itu dengan erat.
“Abang ada ni… Kita dah nak sampai pun,” kata Suhaibul Umar sambil memimpin tangan adiknya dengan perlahan-lahan.
Setelah sampai di tempat yang dituju, dua beradik itu menghentikan langkah.
“Aik? Dah sampai ke? Macam kat rumah kita je,” teka Qistur Ruwaidah.
“Dah. Adik boleh buka mata adik,” balas Suhaibul Umar.
Setelah Qistur Ruwaidah meleraikan kain tersebut dari matanya, alangkah terkejutnya dia apabila pekarangan mini rumah mereka berdua diubah suai menjadi suasana yang penuh harmoni. Terdapat pula sebuah meja makan dan dua buah kerusi yang dialas dengan kain rona emas kuning.
Di atas meja makan tersebut, dihiasi dengan kutuman bunga ros dan bunga tulip yang diletakkan dalam bekas kaca dan sebuah bekas lilin yang berbau lavender. Di kerusi pula digantung empat buah belon helium rona rosegold, pic, merah dan putih.
“Suprise! Happy bride-to-be, adik!” ucap Suhaibul Umar dengan penuh ceria.
“A… Abang…” Qistur Ruwaidah kehilangan kata. Lalu, dia mendakap abangnya. “Ke… Kenapa abang susah-susah buat ‘bachelorette party’ kat adik? Dulu, Tihaani. Sekarang, abang pula. Adik terharu tahu.”
“Sebab adik… Adik abang. Peneman abang lepas keluarga kita dah tak ada. Mestilah abang nak raikan adik sebelum adik nak jadi isteri lagi lima hari ni.”
Tatkala itu, Qistur Ruwaidah mengalirkan air mata di sebalik pelukan itu. “Bila abang cakap macam tu, adik jadi sebak pula.”

Suhaibul Umar menggosok tubuh belakang adiknya itu. “Shhh… Tak naklah sedih-sedih macam ni, adik. Abang nak raikan adik ni.”
“Adik sayang abang,” ucap Qistur Ruwaidah seraya meleraikan pelukan itu. Dia menyeka air matanya.
“Abang pun sayang adik,” balas Suhaibul Umar seraya mengusap kepala adiknya itu. Sejujurnya, dia juga menjadi sebak.
Dua beradik itu menuju ke arah meja makan yang kelihatan ekslusif itu. Lalu, mereka berdua melabuhkan punggung di atas kerusi.
“Abang buat ke semua ni?” tanya Qistur Ruwaidah.
“Haah kecuali belon helium dan pavlova je. Abang minta tolong Tihaani belikan sebelum adik sampai tadi,” balas Suhaibul Umar.
“Pandai ya abang pakat dengan Tihaani.”
Suhaibul Umar tersengih. “Okey… Menu kita untuk malam ni, spageti carbonara, pavlova dan jus rozel. Abang hidangkan sekejap,” katanya. Lalu, dia meninggalkan tempat duduknya bagi menghidangkan hidangan-hidangan tersebut di atas meja.
“Wah, sedapnya!” kata Qistur Ruwaidah tatkala spageti carbonara dan pavlova dihidangkan oleh abangnya di atas meja. Kemudian, abangnya menuang jus rozel ke dalam gelas kaca.
“Maaflah adik. Abang tak mampu nak belanja adik kat restoran mewah sampailah adik nak kahwin dah. Abang mampu buat macam ni jelah. Abang rasa terkilan pula.”
“Isy, abang ni! Adik tak kisah langsung. Sebenarnya, adik tak perlukan semua ni. Apa yang penting, abang ada dengan adik dari dulu sampailah adik nak kahwin. Abang tak pernah tinggalkan adik.”
Suhaibul Umar tersenyum tetapi jiwanya meronta sebak. Namun, dia cuba menguatkan hati untuk menyambut hari penuh kegembiraan ini. “Jom makan,” katanya.
“Sedapnya spageti carbonara yang abang masak ni! Dah lama adik tak makan!” puji Qistur Ruwaidah setelah dia menyuapkan spageti tersebut ke dalam mulutnya.
“Sedap macam dulu ke? Abang guna resepi mama je tu,” ujar Suhaibul Umar.
“Haah! Sedap macam dulu. Siapalah bakal jadi isteri abang nanti ya nanti? Untung tahu. Dahlah kreatif, pandai masak… Emm… Apa lagi ya…”
Suhaibul Umar tertawa kecil. “Adik ni… Ada-ada je. Tak ada maknanya. Adik lagi beruntung tahu sebab dapat bakal suami yang sayang sangat kat adik.”
Kali ini, Qistur Ruwaidah tersipu-sipu malu. “Mana adalah. Adik rasa adik biasa je.”
“Tu cakap adik tapi Din pandang adik dari sisi lain. Mungkin adik rasa adik biasa je tapi percayalah cakap abang ni… Bila adik dah kahwin dengan Din nanti, Din akan layan adik macam permaisuri. Abang rasa, abang pun kalah,” kata Suhaibul Umar seraya tersengih.
“Eii… Dahlah abang. Adik malu ni!” kata Qistur Ruwaidah sambil meraup wajahnya.
Suhaibul Umar ketawa kecil seketika.
“Adik… Abang nak cakap sesuatu ni sebelum adik jadi isteri Din lagi lima hari je. Sebenarnya, abang sebak sangat adik nak kahwin. Abang rasa berat hati nak berpisah dengan adik. Abang selalu ingat adik ni budak kecil lagi tahu. Tahu-tahu, adik nak jadi isteri dah. Adik abang ni dah besar rupanya,” ucap Suhaibul Umar dengan sebak.
Qistur Ruwaidah memandang wajah abangnya itu. Lalu, dia mengangkat kerusi untuk duduk bersebelahan dengan abangnya. Dia segera memegang kedua-dua belah tangan abangnya itu. “Abang… Tipulah kalau adik cakap adik tak sebak, kan? Adik pun sebak tapi abang pun tahu, adik tetap sayangkan abang. Abanglah syurga hati adik lepas arwah mama baba tapi adik sedar… Lepas adik kahwin dengan Din nanti, Din pula akan jadi syurga hati adik. Adik kena taat kat Din pula tapi tu tak bermakna kasih adik kat abang akan beralih arah. Tak! Abang tetap abang adik, wali adik lepas arwah baba dan atuk. Abanglah orang yang adik sayang sampai bila-bila.”
Suhaibul Umar tidak mampu menahan sebaknya lagi. Air mata sang abang itu mula mengalir. “Adik… Abang izinkan adik kahwin sebab adik berhak ada kebahagiaan adik sendiri. Satu lagi, apa-apa jadi kat abang, abang takkan susah hati sebab Din ada dengan adik. Din akan jaga adik dengan baik. Abang yakin kat dia,” katanya sambil dikesat air matanya itu.
“A… Abang…” Qistur Ruwaidah mula menjadi kelu seribu bahasa.
“Adik ingat pesan abang ni… Utamakan Din lebih daripada abang sebab lepas ni, dia akan jadi orang teratas dalam hidup adik. Bukan lagi abang. Tanggungjawab abang akan beralih kat dia pula. Tolong hormatkan Din macam mana adik hormatkan abang. Jangan buat sesuatu yang Din tak suka. Kalau adik nak ziarah abang pun, adik wajib minta izin Din tahu. Jangan ikut suka hati je. Okey?” pesan Suhaibul Umar. Lalu, dia tersenyum.
“Emm… O… Okey. Insya-Allah adik akan ingat pesan abang. Adik janji akan jadi isteri yang baik untuk Din. Adik nak minta maaf selama adik bersama abang lepas keluarga kita dah tak ada, adik sedar, adik dah banyak susahkan abang. Abang dah banyak berkorban untuk adik. Lagi-lagi masa kita tinggal dengan Mak Long dulu… Adik tahu, abang berusaha nak bahagiakan adik setiap hari. Adik takkan lupa pengorbanan dan kasih sayang abang sampailah ke saat ni. Halalkan makan minum adik. Adik sayangkan abang sepenuh hati adik.”
“Abang halalkan semuanya, adik. Adik tak pernah susahkan abang. Abang pun nak minta maaf kalau adik rasa tak bahagia sepanjang abang jaga adik. Abang banyak kekurangan. Abang dah cuba yang terbaik sepanjang abang ambil alih tugas mama baba. Sekali lagi, abang minta maaf tahu, adik.”
“Mana ada adik tak bahagia! Adik bahagia sangat! Adik beruntung ada abang macam abang tahu. Dari dulu sampai saat ni, adik rasa sangat kasih sayang abang macam mama baba walaupun mama baba ada dengan adik sekejap je dulu. Lepas tu, abanglah mama dan abanglah baba adik. Moga Allah rahmati abang dan reda dengan apa yang abang buat sepanjang abang jaga adik.”
Sekali lagi, dua beradik itu menangis bersama. Sukar bagi mereka berdua menggambarkan perasaan yang bertandang ketika ini.

RABU, 31 OGOS 2016
Baki hari sebelum majlis akad nikah: Satu (1) hari lagi…
Qistur Ruwaidah merenung busana akad nikahnya yang telah diambil di butik pada dua hari lepas. Dia seakan tidak percaya bahawa hari esok merupakan hari bersejarah bagi dirinya. Ibarat baru sahaja dia menerima lamaran Mohamad Salahuddin pada hari semalam. Rupa-rupanya peristiwa itu sudah berlalu pada tiga bulan yang lalu.
24 Mei 2016… Mana mungkin dia lupa tarikh yang cukup bermakna itu. Apatah lagi, buat Mohamad Salahuddin, jejaka yang setia buat dirinya sejak tiga tahun lalu. Kini, impian lelaki itu untuk hidup bersama dirinya akan termakbul dengan izin Ilahi pada keesokan harinya.
“Assalamualaikum,” ucap seseorang.
Qistur Ruwaidah menoleh ke arah gerangan insan tersebut. Tihaani dan Siti Hanim Az-Zahra’! “Waalaikummussalam, Tihaani, Hanim! Kau orang dah sampai. Alhamdulillah,” ucapnya. Lalu, dia bersalaman dengan dua orang kawannya dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu.
“Cantiknya baju akad awak,” puji Siti Hanim Az-Zahra’.
Siti Hanim Az-Zahra’… Insan yang pernah mengetahui isi hati Qistur Ruwaidah terhadap Abdul Azim sewaktu di Pusat Asasi UIAM (CFS IIUM) pada suatu ketika dahulu. Apabila Siti Hanim mengetatahui bahawa kawannya bakal berkahwin, semestinya dia terkejut. Apatah lagi, kawannya itu bakal berkahwin dengan orang lain. Lagilah dia terkejut.
Namun begitu, Qistur Ruwaidah tidak membuka cerita tentang perasaan Abdul Azim terhadap dirinya serta lamaran yang pernah diberikan oleh lelaki itu. “Kita dah lama move on dengan Azim,” ujarnya. Itu sahaja jawapan yang diberikan olehnya kepada Siti Hanim setelah kawannya bertanyakan tentang isi hatinya terhadap Abdul Azim dahulu demi menjaga air mukanya dan Abdul Azim.
“Alhamdulillah. Terima kasih Hanim. Baju ni kita baru je ambil dua hari lepas,” terang Qistur Ruwaidah bersama sebuah senyuman.
“Dah sedia nak jadi isteri Din ke belum ni?” usik Tihaani.
Qistur Ruwaidah tersipu-sipu malu. “Insya-Allah sedia je.”
“Ada apa-apa yang kita orang boleh tolong sekarang?” tanya Siti Hanim.
“Setakat ni belum lagi sebab semua dah siap tapi insya-Allah lepas isyak, nak minta tolong Hanim pakaikan inai untuk kita. Kita dah beli inai serbuk. Banyak… Bolehlah kau orang pakai sekali,” balas Qistur Ruwaidah.
Tidak lama kemudian, rakan-rakan sekolah menengah Qistur Ruwaidah, iaitu Puteri Mardhiyah, Durrah dan Asywaq Humaira’ tiba sejam kemudian selepas ketibaan Tihaani dan Siti Hanim.
Kelima-lima orang gadis ini akan bermalam di rumah Qistur Ruwaidah agar urusan mereka menjadi lancar untuk bergerak secara serentak pada keesokan harinya.
Puteri Mardhiyah, Durrah dan Asywaq Humaira’ merupakan kawan-kawan baiknya sewaktu dia bersekolah di Sekolah Menengah Islam Bisyrunnadwi (SMIB) dalam aliran Perdagangan dulu dan persahabatan mereka berempat masih berterusan sehingga kini.
Tiga orang sahabat Qistur Ruwaidah itu sedang melanjutkan pengajian mereka di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam Ijazah Sarjana Muda Penulisan dengan Kepujian (Penulisan Kreatif) kerana mereka bertiga amat meminati penulisan kreatif dan pernah menerbitkan karya seperti Qistur Ruwaidah juga. Bezanya, dia lebih cenderung untuk menyambung bidang Bahasa Arab.
“Berseri-serinya bakal pengantin kita ni,” puji Durrah.
Qistur Ruwaidah tersengih. “Berkat pergi spa tiga hari berturut-turut. Hari Ahad, Isnin dan Selasa semalam,” selorohnya.
Pada asalnya, manalah dia terfikir untuk merawat dan merehatkan dirinya di spa. Mujur abangnya dan Tihaani mengingatkan dirinya supaya dia berhias diri agar dia kelihatan segar dan berseri untuk majlis akad nikahnya. Rawatan spa telah ditaja oleh ibu Tihaani kerana ibunya mempunyai spa sendiri.
“Wah, seronoknya pergi spa! Aku dah lama tak pergi spa,” kata Puteri Mardhiyah.
Qistur Ruwaidah tersengih lagi. “Aku tak pernah terfikir nak pergi spa. Kawan aku ni dan Abang Suhaib yang suruh aku pergi. Aku perkenalkan, ni Tihaani. Kawan satu jurusan aku kat UIA. Ni pula Hanim, kawan UIA juga,” terangnya sambil memperkenalkan Tihaani dan Siti Hanim kepada tiga orang sahabat baiknya itu.
“Tihaani, Hanim… Ni Madhi, Durrah dan Asywaq. Kawan sekolah dulu,” ujarnya sambil memperkenalkan tiga orang sahabatnya kepada Tihaani dan Siti Hanim.
Lima orang gadis itu bersalaman di antara satu sama lain.
Lalu, Qistur Ruwaidah dan lima orang kawannya bersembang berkenaan persediaan bagi majlis akad nikah serta kawan-kawan tidak lupa untuk menyakat dirinya dan Mohamad Salahuddin.
“Tak sangka betul… Qist yang aku kenal, diam-diam ubi berisi rupanya. Tahu-tahu dah tunang. Tiba-tiba nak kahwin pula. Macam mana aku tak sakit jantung,” seloroh Asywaq Humaira’.
“Alamak… Minta maaflah Asywaq. Bukan aku nak buat kejutan ke apa tapi masalahnya, aku sendiri pun masih terkejut dengan lamaran Din dulu. Tahu-tahu aku akan kahwin dengan dia secepat ni sebab keluarga Din dan abang aku tak nak aku tunang lama-lama dengan dia,” terang Qistur Ruwaidah.
“Kiranya, kau orang bercinta ke sebelum ni?” soal Durrah yang tidak mengetahui sangat berkenaan kisah Qistur Ruwaidah bersama Mohamad Salahuddin itu.
“Taklah. Aku dan Din tak pernah bercinta pun. Din tu kawan kelas aku masa kat asasi dulu tapi taklah rapat sangat. Kita orang baru rapat masa kat ijazah. Asalnya, aku kawan dengan Din macam biasa je. Tiba-tiba Din buang tabiat lamar aku,” kata Qistur Ruwaidah bersama sengihan.
“Wah, kawan sampai kahwinlah ni!” kata Durrah dengan teruja.
Qistur Ruwaidah tersenyum. “Nampak gayanya macam tulah.”
Mereka ralit bersembang sehinggalah Qistur Ruwaidah mendapat panggilan daripada abangnya bagi mengajak kawan-kawannya untuk menikmati hidangan makan malam yang ditempah melalui katering.
“Okey kau orang… Jom makan. Makanan dah sampai,” kata Qistur Ruwaidah.

USAI menunaikan solat isyak, Qistur Ruwaidah dan kawan-kawannya duduk bersila sambil mengalas surat khabar di atas lantai bagi sesi malam berinai. Siti Hanim Az-Zahra’ diberi kepercayaan penuh oleh Qistur Ruwaidah bagi membancuh serbuk inai untuk dijadikan pes inai kerana dia begitu arif tentang henna. Selain itu, dia juga mempunyai bisnes henna yang diusahakan sejak tahun lepas.
Pada mulanya, Siti Hanim mahu mengukir corak henna pada tangan kawannya itu, namun Qistur Ruwaidah menolak dengan baik kerana dia lebih gemar inai yang ringkas sahaja tanpa corak. Dia lebih suka memakai inai pada jari-jemari sahaja. Baginya, ringkas itu lebih baik.
Jari-jemari tangan dan kaki Qistur Ruwaidah dilekatkan dengan pita pelekat terlebih dahulu agar jari di bahagian depan selari dengan garis jari di belakangnya. Seterusnya, Siti Hanim meletakkan kapas di setiap ruang jari tangan dan kaki kawannya itu agar inai tersebut tidak menitik atau terkena pada jari lain yang boleh mengakibatkan jarinya boleh menjadi comot.
Maka, bermulalah sesi berinai yang penuh meriah itu.
“Qist, tengok sini,” kata Puteri Mardhiyah sambil menunjukkan kamera telefon pintarnya. Dia mahu mengabadikan kenangan malam berinai sahabatnya itu memandangkan Qistur Ruwaidah merupakan kawan pertamanya yang bakal melangkah ke alam rumah tangga.
Anak mata Qistur Ruwaidah memandang lensa kamera telefon pintar itu. Sebuah senyuman dihadiahkan.
“Manisnya bakal isteri Mohamad Salahuddin ni. Aku terpegun,” puji Puteri Mardhiyah.
“Kau ni, Madhi. Ada-ada je…” kata Qistur Ruwaidah dengan malu-malu.
“Kau orang tengok muka Qist. Dah merahlah. Yalah… Kurang dari 24 jam je ni dia nak jadi isteri Din,” sakat Tihaani.
“Isy, janganlah buat aku makin malu! Kau orang ni sengaja je tahu,” nada Qistur Ruwaidah sudah semakin malu.
Kelima-lima orang gadis itu tertawa.
“Okey, inai Qist dah siap. Kena tunggu dalam tiga jam setengah. Biar merah elok,” kata Siti Hanim.
Kawan-kawan Qistur Ruwaidah bergilir-gilir menjadi pemerhati inai pada jari tangan dan jari kakinya agar tidak comot. Jika inai tersebut hampir kering, Siti Hanim melembapkan semula dengan menggunakan penyembur air.
Sementara mereka menunggu inai tersebut sebati dan merah elok, kawan-kawan Qistur Ruwaidah rancak berborak dengannya agar dirinya tidak bosan.
“Qist, apa perasaan kau sekarang sebelum nak jadi isteri Din? Tak sampai 24 jam dah ni,” ujar Durrah dengan gaya acah-acah wartawan seraya dia mengepal tangannya. Konon-kononnya dijadikan sebagai mikrofon, lalu dihalakan ke arah Qistur Ruwaidah.
Qistur Ruwaidah tersenyum. “Debar. Tu semestinya. Aku rasa aku tak boleh nak tidur malam ni tapi aku harap, semua berjalan dengan lancar esok. Kau orang doakan aku relaks je.”
“Insya-Allah. Kita orang semua akan doakan kau. Moga kau jadi isteri solehah. Doakan kita orang juga supaya kita orang dipertemukan jodoh juga nanti tapi aku rasa jodoh aku datang lepas habis belajar kut,” kata Durrah.
“Amin! Insya-Allah! Aku doakan untuk kau orang semoga kau orang dipertemukan jodoh juga. Tak kisahlah jodoh kau orang datang masa belajar atau lepas belajar. Paling penting, kesediaan kau orang nak jadi isteri. Masa Din lamar aku dulu, tulah paling aku fikir. Aku sedia ke nak kahwin waktu belajar? Aku sedia ke nak jadi isteri? Aku sedia ke nak galas tanggungjawab sebagai pelajar dan isteri secara serentak? Kalau aku ditakdirkan mengandung masa belajar ni, aku sedia ke nak jadi mak?” ujar Qistur Ruwaidah.
“Betul juga apa yang kau cakap tu. Besar tanggungjawab bila dah kahwin ni. Tak sama dengan zaman bujang. Kalau aku, memang aku tak sedia lagi,” kata Asywaq Humaira’.
“Tak apa. Satu hari nanti, kau sendiri akan tahu jawapannya bila kau dah sedia,” kata Qistur Ruwaidah.
“Din tak ada whatsapp kau ke?” tanya Tihaani.
“Kita orang jarang nak whatsapp melainkan ada hal penting je macam bincang pasal majlis. Bukannya aku kahwin dengan Din lagi pun. Buat apa aku nak melebih-lebih pula, kan? Macam aku cakap tadi, kita orang tak pernah bercinta. Bagi aku, biarlah kita orang macam ni supaya hubungan kita orang akan lebih bermakna lepas kahwin,” balas Qistur Ruwaidah sambil menguntum senyuman.
“Ceewah! Kita suka betul ayat terakhir awak. Moga dipermudahkan semuanya untuk esok,” kata Siti Hanim.
Setelah jam menunjukkan 11.30 malam, Siti Hanim membuang pes inai yang kelihatan sudah kering di jari kelengkeng Qistur Ruwaidah. Kelihatan warna inai pada jarinya sudah merah elok.
“Wah, cantik! Merah elok ni,” ujar Qistur Ruwaidah dengan ceria.
“Awak okey je inai warna macam ni? Ke nak pekat lagi?” soal Siti Hanim.
“Okey sangat dah ni. Dah boleh basuh ke?”
“Boleh tapi kita buang inai ni sekejap. Awak duduk jelah. Kita pergi tadahkan air sekejap. Lagipun, kaki awak pun berinai,” balas Siti Hanim. Lalu, dia membuang sisa-sisa pes inai tersebut.
Setelah jari tangan dan kaki Qistur Ruwaidah telah dibersihkan sepenuhnya dan dibuang pelekat, Siti Hanim mengelap tangan dan kaki kawannya itu.
“Terima kasih Hanim. Cantik dan kemas,” ucap Qistur Ruwaidah sambil memerhatikan jari-jemari tangan dan kakinya itu.
“Sama-sama Qist. Kemas pula tengok inai stail macam ni. Tak ada corak. Betullah orang cakap… Less is better,” balas Siti Hanim seraya tersenyum.
“Kepak kepuk kepak kepuk kepak kepuk… Si dara Qistur Ruwaidah cantik manis sudah berinai, pasti si uda Mohamad Salahuddin segak bergaya terpikat dengan bakal isteri esok hari,” usik Tihaani.
“Tihaaniii…. Janganlah usik kita! Malu!” kata Qistur Ruwaidah dengan penuh malu. Dia meraup wajahnya.
Para sahabatnya mentertawakan dirinya.
“Aku nak pergi jumpa Abang Suhaib sekejap. Kau orang buatlah apa-apa dulu,” kata Qistur Ruwaidah. Sebenarnya, dia mahu melarikan diri seketika daripada dia terus diusik oleh kawan-kawannya itu.
“Alaa… Janganlah lari lagi. Kita orang nak usik kau lagi ni,” sakat Puteri Mardhiyah.
“Jangan nak macam-macam ya, Madhi! Dahlah… Aku nak jumpa Abang Suhaib.”
Setelah Qistur Ruwaidah meninggalkan biliknya, dia mencari Suhaibul Umar di bilik tidur tetapi tiada. Lalu, dia menuju ke bilik tidur arwah ibu bapanya. Kelihatan Suhaibul Umar sedang ralit menghias bilik tersebut. Bilik arwah Puan Mahfuzah dan Encik Isyraf Imrani digunakan sebagai bilik pengantin.
“Abang…” panggil Qistur Ruwaidah.
Suhaibul Umar menoleh ke arah adiknya. Ketika itu, dia sedang menabur kelopak mawar di atas katil dan lantai.
“Eh, adik! Abang ingatkan adik dah tidur,” kata Suhaibul Umar seraya menghentikan aktiviti menghias bilik itu buat seketika bagi memfokuskan kepada adiknya itu.
“Belum. Adik baru je siap pakai inai,” kata Qistur Ruwaidah sambil menunjukkan jari-jemarinya.
“Cantik… Ni kali pertama abang tengok adik pakai inai.”
“Nak buat macam mana, kan? Kahwin punya pasal. Kalau tak, tak ada maknanya adik nak pakai inai.”
Suhaibul Umar tersenyum. “Din ada hubungi adik?” tanyanya.
“Dia whatsapp adik petang tadi. Dia tanya pasal persediaan untuk esok. Nak pergi masjid pukul berapa… Macam tu jelah,” balas Qistur Ruwaidah.
Tujuan Suhaibul Umar bertanyakan soalan sedemikian kerana Mohamad Salahuddin ada menghubungi dirinya petang tadi bagi bertanyakan keadaan Qistur Ruwaidah.
Imbau kembali perbualan Suhaibul Umar dan Mohamad Salahuddin…
“Qist sihat, abang? Dia okey ke?” soal Mohamad Salahuddin.
“Alhamdulillah dia sihat je. Cuma, dia cakap… Dia gementar sikitlah. Yalah, kau orang nak kahwin esok dah, kan?” ujar Suhaibul Umar.
“Tulah. Din pun rasa gementar juga ni. Tak tahu nak cakap macam mana.”
Kedengaran Suhaibul Umar tertawa kecil. “Din… Din… Kalau Din cakap Din gementar, ingat abang pun tak gementar ke? Dahlah abang yang akan mulakan dulu lafaz ijab kabul esok. Dah berlatih lafaz akad dengan ayah Din ke belum?”
Mohamad Salahuddin turut tertawa. “Ya tak ya. Abang yang akan mulakan dulu. Din tak berlatih lagi. Malam ni Din berlatih dengan ayah,” katanya.
“Jangan salah sebut nama pengantin perempuan pula. Tak pasal-pasal kahwin dengan orang lain pula,” seloroh Suhaibul Umar.
Mohamad Salahuddin ketawa. “Abang… Janganlah buat seram.”
Lalu, kedua-dua orang lelaki itu ketawa.
Suhaibul Umar tersenyum mengenangkan semula perbualan dengan bakal adik iparnya itu.
“Dah kenapa abang senyum ni?” tanya Qistur Ruwaidah dengan hairan.
“Abang senyum pun tak boleh ke?” soal Suhaibul Umar kembali. Lalu, dia tersengih kecil.
“Abang ni… Ada-ada je. Cantiklah abang hias bilik ni!”
“Adik suka tak?”
“Mestilah! Nampak romantik sangat.”
“Kalau adik nak nampak bilik ni romantik, adik pasang lampu ni je esok. Tak payah pasang lampu yang abang tengah pasang sekarang,” kata Suhaibul Umar. Lalu, dia menghidupkan dua buah lampu meja warna mentol oren suram yang terletak di sebelah kanan dan kiri katil. Kemudian, lampu utama bilik dimatikan.
“Betullah… Nampak romantik,” ujar Qistur Ruwaidah dengan nada ceria.
Suhaibul Umar tersenyum. Berkat ilmu yang dipelajarinya sebagai siswa dalam bidang seni gunaan dan seni reka. “Pasal hantaran adik, abang letak kat ruang tamu lepas subuh esok tapi abang rasa abang kena touch up juga sikit lagi.”
“Tak apa ke abang berulang-alik naik turun tangga nak bawa hantaran adik? Hantaran adik banyak juga.”
“Okey je. Jangan risau. Oh ya… Kenapa adik nak jumpa abang? Adik ada nak cakap apa-apa ke?”
“Betul ke adik nak kahwin esok?”
“Eh, dah kenapa adik tanya soalan macam tu! Jangan macam-macam adik.”
“Bukan apa… Adik cuak. Tak sampai 12 jam dah ni. Betul ke adik nak jadi isteri Din dah esok? Adik masih tak percaya lagi ni.”
Suhaibul Umar menghampiri adiknya. “Adik… Betullah adik nak kahwin esok. 1 September. Adik cuak sangat ni sampai tak percaya ya,” ujarnya. Lalu, dia tersengih.
Wajah Qistur Ruwaidah menjadi malu. “Yalah. Adik masih tak boleh nak hadam lagi Din akan jadi suami adik. Daripada kawan, tunang… Lepas tu, suami pula. Adik tak tahu nak rasa macam mana sekarang.”
“Abang nak tanya adik satu soalan… Adik cintakan Din, kan?”
Qistur Ruwaidah mengangguk perlahan.
“Bila sebut pasal cinta, tak ada apa yang mustahil. Tak kisahlah Din tu asalnya kawan adik ke apa tapi adik tengoklah macam mana Din sekarang. Dia sayang dan cintakan adik lepas adik terima lamaran dia. Walaupun dia tak lafazkan cinta kat adik tapi tindak-tanduk dia dah membuktikan yang dia cinta kat adik…” ujar Suhaibul Umar sambil mematikan kalamnya buat seketika.
“Cincin risik dan tunang yang Din pilih dan bagi adik, tu pun salah satu cinta dia kat adik. Tambah satu cincin lagi esok. Cincin nikah pula. Bezanya, cincin risik dan tunang tu, mak Din yang sarung tapi cincin akad, Din sendiri akan sarungkan kat adik esok. Tu pun membuktikan lagi cinta Din kat adik. Kalau adik masih tak percaya adik akan jadi isteri Din esok, adik tengok balik cincin-cincin tu.”

Mata Qistur Ruwaidah menyentuh kedua-dua bentuk cincin yang tersemat di jari manis kanan dan kirinya itu. Benar… Dia merasakan cinta Mohamad Salahuddin itu. Ah, abangnya puitis juga rupanya!
“Kalau adik rajin nak qiamullail nanti, adik doalah supaya hati adik tetap dan tak rasa ragu-ragu kat Din. Abang sebagai wali adik, abang tak ragu dengan Din. Insya-Allah Din akan jaga adik dengan baik. Abang dah bagi amanah kat Din,” kata Suhaibul Umar.
“Insya-Allah abang. Memang adik nak qiamullail. Emm… Abang reda tak adik kahwin dengan Din?” tanya Qistur Ruwaidah dengan serba salah.
“Kenapa adik tanya macam tu? Kalau abang tak reda, awal-awal lagi abang akan cakap adik tak payah terima lamaran Din dan Azim.”
“Tapi abang tetap rasa berat hati macam apa yang abang cakap masa abang raikan adik empat hari lepas, kan?”
“Abang rasa lumrah untuk mana-mana wali pun, adik. Kalau baba ada lagi, abang rasa baba pun akan berat hati. Yalah, sebab abang jaga adik sejak umur adik enam tahun. Tiba-tiba abang nak serahkan adik kat Din lepas berbelas tahun abang jaga adik. Mestilah rasa berat hati. Rasa risau pun ada tapi adik… Nilah kitaran hidup manusia. Kalau adik dan Din ada anak nanti, sedar tak sedar anak kau orang pula nak kahwin. Mesti kau orang akan rasa yang sama nanti.”
Tatkala itu, kalbu Qistur Ruwaidah menjadi sebak. “Boleh adik peluk abang?”
Suhaibul Umar tersengih. “Alahai… Dah nak jadi isteri Din pun, masih nak peluk abang lagi?”
“Sampai bila-bila pun, adik tetap budak kecil kat mata abang,” kata Qistur Ruwaidah seraya mendakap abangnya itu, lalu dia mengusap bahagian belakang tubuh lelaki itu, tubuh yang sudah hilang deria rasanya. “Walaupun abang tak rasa adik peluk abang tapi abang rasa kasih sayang adik, kan?”
“Adik… Adik… Ada-ada je,” kata Suhaibul Umar seraya mengusap kepala adiknya itu. Sebenarnya, dia sebak. Namun, dia tidak mahu menunjukkan sebarang emosi.
Lalu, Qistur Ruwaidah meleraikan pelukan itu seraya tersengih. “Terima kasih untuk semuanya, abang. Besar pengorbanan abang lepas baba dah tak ada.”
“Sama-sama adik. Terima kasih juga sebab ada untuk abang dan kuat semangat. Emm… Kawan-kawan adik buat apa?”
“Sama-sama juga, abang. Emm… Dia orang tengah sembang kut.”
“Adik ada apa-apa nak cakap lagi? Apa-apa yang adik nak luahkan kat abang sebelum adik jadi isteri Din esok?”
“Abang tolong doakan adik. Adik sentiasa perlukan doa abang.”
“Abang akan sentiasa doakan kebahagiaan adik dan Din. Insya-Allah semua akan berjalan dengan lancar esok. Apa yang penting, banyakkan berdoa.”
Sekali lagi, Qistur Ruwaidah mendakap abangnya bersama linangan air mata. Kali ini, dia tidak mampu menyembunyikan tangisan itu. Sebak untuk berpisah dengan satu-satunya ahli keluarganya yang masih hidup. “Isk… Isk… Isk…” tangisnya.
Suhaibul Umar mendiamkan diri. Sebolehnya, dia cuba tahan untuk tidak menitiskan air mata demi kebahagiaan adiknya itu. “Menangislah adik. Abang ada je untuk adik sampailah abang akan serahkan adik kat Din esok.”
Semakin berderaianlah air mata Qistur Ruwaidah tatkala abangnya menuturkan ayat sedemikian!
Suhaibul Umar bin Isyraf Imrani… Insan yang tiada galang ganti bagi Qistur Ruwaidah binti Isyraf Imrani sampai bila-bila biarpun dirinya akan diserahkan oleh abangnya kepada Mohamad Salahuddin bin Mohd Firdaus pada keesokan hari. Dia tahu dia perlu reda untuk berpisah dengan abangnya bagi dia mengikuti bakal suaminya ke tempat tinggal yang baru dan mentaati perintah suami selari dengan syarak.

INAP DESA (HOMESTAY) SRI GOMBAK
9.00 MALAM
“Aku terima nikah Qistur Imrani…” ucap Mohamad Salahuddin sewaktu dia berlatih lafaz ijab kabul dengan Encik Mohd Firdaus.
“Ya Allah Along ni… Awal dah okey tapi akhir… Terus ambil nama akhir ayah Qist pula. Mana Ruwaidah binti Isyraf? Belum lagi nak sebut mas kahwin,” tegur Encik Mohd Firdaus.
Mohamad Salahuddin tersengih-sengih. “Alamak ayah… Din cuaklah. Tak tahulah esok macam mana.”
“Along… Along… Mujurlah nama Qist tak panjang. Kalau dia ada tiga empat nama, jenuh juga Along nak sebut.”
“Tulah. Aduh… Along nak cuba lagi, ayah.”
Lalu, Mohamad Salahuddin menuturkan lafaz ijab kabul dengan lancar berserta mas kahwin sekali.
“Aik? Elok pula Along jawab lafaz ijab kabulsampai ke mas kahwin sekali,” ujar Encik Mohd Firdaus.
Mohamad Salahuddin tersengih lagi. “Tiba-tiba Along rasa tak cuak pula. Ni mesti Abang Suhaib doakan Along dalam diam.”
“Boleh pula macam tu ya. Along… Along… Ada-ada je. Nasiblah Qist dapat bakal suami loyar buruk macam Along ni.”
“Haah ayah! Abang Long loyar buruk. Kesian Kak Qist nanti. Harap Kak Qist dapat sabar dengan perangai Abang Long,” suara Sakeenah menyokong ayahnya tidak jauh dari tempat ayah dan abangnya berlatih lafaz ijab kabul itu.
Mohamad Salahuddin memandang adiknya itu. “Amboi, Keena! Gabung tenaga dengan ayah nak kenakan Abang Long nampak!”
Sakeenah menjelirkan lidahnya. “Mestilah! Sebelum ni, Abang Long suka buli Keena. Kali ni, biar Keena buli Abang Long pula.”
Encik Mohd Firdaus tersengih melihat dua orang anaknya itu. Perangai mereka berdua tidak ubah seperti kanak-kanak berumur lapan tahun. Namun, itulah harta penyerinya biarpun dia dan isterinya dikurniakan dua orang anak sahaja tetapi tetap riuh dan menghiburkan.
Walaupun mereka berdua pernah diejek dan diperlekeh oleh para kenalan berkenaan rezeki dua orang anak sahaja, itu tidak mematahkan semangat untuk dia dan isterinya mendidik Mohamad Salahuddin dan Sakeenah menjadi anak yang soleh dan solehah. Baginya, dia sudah cukup bersyukur kerana dikurniakan sepasang anak.
“Along… Keena… Sudah-sudahlah gaduh manja tu. Nanti kau orang saling rindu pula,” sampuk Puan Zaidah dari dapur itu.
Mohamad Salahuddin dan Sakeenah tersengih.
“Keena nak masuk bilik dulu,” ucap Sakeenah. Lalu, dia menuju ke arah ayahnya bagi bersalaman dan mencium pipi ayahnya itu. “Selamat malam. Keena sayang ayah!”
“Okey Keena. Selamat malam. Ayah sayang Keena juga,” ucap Encik Mohd Firdaus. Lalu, dia mencium kembali pipi anak daranya itu.
Sakeenah menyalam tangan abangnya pula. “Selamat malam Abang Long. Keena minta maaf kalau Abang Long terasa dengan Keena.”
Mohamad Salahuddin tersenyum seraya mengusap kepala adiknya itu. “Tak adalah. Abang Long tak terasa pun. Lumrahlah adik-beradik selalu mengusik.”
Kemudian, Sakeenah melakukan perbuatan yang sama kepada Puan Zaidah seperti dia melakukan kepada Encik Mohd Firdaus tadi.
Setelah Sakeenah menghilangkan diri, tinggallah Encik Mohd Firdaus dan Mohamad Salahuddin sahaja di ruang tamu. Puan Zaidah juga sudah masuk ke bilik tidur terlebih dahulu.
Sebelum Puan Zaidah memasuki bilik tidur tadi, Mohamad Salahuddin menyaksikan perlakuan ibu bapanya itu. Ibunya menyalam tangan ayahnya, mengucap selamat malam dan mengungkap maaf. Ayahnya juga mengucap selamat malam dan mengungkap maaf kepada ibunya.
Itu merupakan salah satu contoh yang boleh dilakukan oleh dirinya kepada Qistur Ruwaidah nanti!
“Ayah… Memang dari hari pertama ayah kahwin dengan mak, ayah dan mak buat macam tu ke?” tanya Mohamad Salahuddin.
Encik Mohd Firdaus tersenyum. “Haah… Kami tak pernah ketinggalan buat macam tu sejak hari pertama kami jadi suami isteri. Walaupun kami rasa kami tak buat apa-apa salah, minta maaf je. Tak rugi apa-apa pun. Bolehlah Along buat macam tu kat Qist nanti.”
“Insya-Allah ayah. Emm ayah… Ada tak nasihat terbaik untuk Along nak lalui alam rumah tangga dengan Qist bermula esok? Along rasa tak lengkap hidup Along kalau Along tak terima apa-apa nasihat atau pesanan daripada ayah.”
“Sabar, sabar dan sabar. Kenapa ayah sebut tiga kali? Tanpa sabar, institusi perkahwinan boleh roboh. Kita sebagai suami ni Along, kena banyakkan bersabar dengan kerenah isteri. Lagi-lagi kalau isteri merajuk atau nak perhatian. Layan je. Kalau isteri nak makan atau minta apa-apa, cubalah tunai hasrat isteri. Cara Along nak murah rezeki, jangan pernah berkira dengan isteri. Insya-Allah, Allah akan kurniakan rezeki lebih dari apa yang Along sangkakan…” ujar Encik Mohd Firdaus. Lalu, dia terdiam seketika.
Pesan Encik Mohd Firdaus lagi… “Setiap hari, tanyalah keadaan isteri. Sentiasa peka dengan keadaan isteri. Dari situ, suami boleh tahu berdasarkan riak muka dan intonasi isteri. Jangan pentingkan diri. Lagi-lagi pasal hal kerja rumah. Ayah dah latih Along buat kerja-kerja rumah dari kecil. Jangan biar Qist seorang je yang buat. Penat macam mana pun Along belajar dan cari nafkah, hal rumah tanggungjawab bersama. Bukan isteri sahaja. Toleransi tu penting.”
Mohamad Salahuddin mengangguk.
Encik Mohd Firdaus menyambung bicaranya lagi… “Kahwin masa belajar ni, tak susah dan tak senang. Cabarannya tetap ada. Terutama dari segi pengurusan masa nak siapkan tugasan. Bila dapat tugasan berkumpulan, Along kena fikir juga kawan-kawan Along yang tak kahwin lagi. Jangan sebab kahwin dan cari nafkah, Along abaikan pengajian Along dan susahkan kawan-kawan Along dengan tak siapkan tugasan. Along kena buktikan kat kawan-kawan Along, Along boleh urus masa dengan baik walaupun Along dah kahwin…”
“Belum cerita kalau Along ada anak masa belajar ni. Bertambah lagi tanggungjawab Along. Jadi siswa, suami dan ayah dalam masa yang sama. Disebabkan ayah dan mak sendiri kahwin waktu belajar dan Along lahir masa kami belajar juga, sebenarnya tak mudah. Kami kena korbankan waktu tidur kami untuk siapkan tugasan dan tengokkan Along. Masa Along sakit macam demam, tu pun antara waktu sukar dan genting untuk kami. Banyak cabarannya dulu tapi cuma ayah boleh cakap, alhamdulillah.”
“Along minta maaf, ayah. Along tahu Along dah banyak susahkan ayah dan mak dari kecil,” ucap Mohamad Salahuddin dengan serba salah.
Encik Mohd Firdaus menggelengkan kepalanya. “Taklah. Mana ada Along susahkan kami. Along dan Keena, dua-dua amanah yang Allah kurniakan kat kami sebagai ladang pahala. Bukan bebanan. Kelahiran Along dan Keena merupakan amanah dan tanggungjawab untuk kami pikul kerana kami juga yang nakkan zuriat. Pesanan akhir ayah, jangan takut dengan ujian kahwin. Lalui je hidup kahwin dengan gembira dan penuh syukur. Selebihnya, Along akan tahu sendiri bila Along dah kahwin. Semoga berjaya menjadi suami esok, Along.”
Mohamad Salahuddin mendakap ayahnya itu. Baginya, segala nasihat dan pesanan ayahnya amat bermakna buat dirinya. Dia sudah bersedia untuk melalui fasa rumah tangga bersama Qistur Ruwaidah. Cinta dan tanggungjawab dalam perkahwinan… Dia akan cuba seiring bagi kedua-dua aspek tersebut agar perkahwinan yang bakal dibina bersama Qistur Ruwaidah merupakan perkahwinan yang diredai oleh Allah.

Nantikan permulaan kisah cinta Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah setelah mereka berdua bergelar suami isteri kelak ^_^

Share this novel

Atirah Amalina
2021-10-20 23:11:25 

gila laaaa wehh nak kahwin dah dua org tu huwaaaaa! Aku boleh bayang betapa berdebarnya qist malam before kahwin tu omg omggggg


NovelPlus Premium

The best ads free experience