BAB 16

Drama Completed 13621

TAHUN PERTAMA SEMESTER SATU SESI 2015/2016
2 SEPTEMBER 2015


Pada tarikh bersejarah itu, Qistur Ruwaidah bakal mendaftarkan diri sebagai pelajar ijazah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) cawangan Gombak sebagai seorang mahasiswi Kulliyyah Ilmu Pengetahuan Berteraskan Wahyu dan Sains Kemanusiaan atau Kulliyyah of Islamic Revealed Knowledge and Human Science (KIRKHS) di bawah cabang Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan (Bahasa dan Kesusasteraan Arab) (Kepujian) atau Bachelor of Human Science (Arabic Language and Literature) (Honours).
“Abang, jom pergi UIA Gombak sekarang!” laung Qistur Ruwaidah dari tingkat atas rumahnya.

Pada hari tersebut, kelihatan dia amat gembira dan tidak sabar. Tidak seperti hari pertama dia mendaftarkan diri sebagai pelajar asasi pada dua tahun lalu.

“Amboi, adik! Semangatnya! Seingat abang, masa adik daftar kat CFS dulu, bukan main monyok muka tu,” tegur Suhaibul Umar.
“Alaa… Dulu, adik monyok sebab dapat LAWS. Ni adik dah teruskan dengan BAR, bidang idaman adik. Takkan adik nak monyok lagi. Abang pun mestilah gembira sebab adik dah sambung ijazah sama-sama dengan abang walaupun ni tahun akhir abang.”
“Allah! Mestilah abang gembira. Tak adalah abang susah hati lagi. Tak sabar nak dating dengan adik kat UIA pula nanti.”

“Amboi, abang! Abang tak jemu ke hadap muka adik sejak adik lahir?”

“Jemu? Mana ada istilah jemu tengok muka adik-beradik sendiri sejak azali. Mengarut jelah adik ni.”

Qistur Ruwaidah tersengih. Benar juga cakap abangnya itu.

Suhaibul Umar memerhatikan barang-barang adiknya yang hendak dibawa ke mahallah (kolej kediaman). “Fuh! Nampaknya barang-barang untuk mahallah adik kat ijazah ni makin sikit ya. Lega abang... Kalau tak, kat CFS dulu mengucap panjang abang tengok,” usiknya.

“Alaa… CFS tu jauh sikitlah dari rumah kita. Kalau kita pergi UIA Gombak, jarak dari rumah kita dalam 10 minit je. Sah-sahlah adik balik rumah setiap hujung minggu,” terang Qistur Ruwaidah seraya matanya melirik ke arah telefon pintarnya. Jam sudah menunjukkan jam 9.00 pagi.
“Abang, dah pukul 9.00 pagilah. Jomlah! Adik tak sabar sangat dah ni. Abang tolong bawa beg tarik dan bantal peluk adik ya,” katanya lagi seraya mengangkat baldi yang berisi barang-barang mandiannya serta bantal kepalanya. Dia terus meninggalkan abangnya itu untuk menuju ke kereta.
“Eh eh… Budak ni,” kata Suhaibul Umar seraya menggeleng kepalanya apabila melihatkan perlakuan adiknya itu. Lalu, dibawa barang-barang adiknya itu.

Kelihatan adiknya sudah menunggu di pintu keretanya sambil bersembang dengan seseorang di talian. “Apa Tihaani? Kau dapat Mahallah Salahuddin? Wah, samalah aku! Budak-budak UB-lah (Unit beruniform) kita ni nanti. Kalau macam tu, jumpa nanti. Insya-Allah.”

Mahallah Salahuddin atau Mahallah Salahuddin Al-Ayubi dibina sebaris dengan Mahallah Nusaibah serta Mahallah Sumayyah dan bangunan tersebut berada di hujung sekali. Juga, bangunan tersebut berdekatan dengan Staff Housing, iaitu kuarters bagi para staf Universiti Islam Antarabangsa Malaysia cawangan Gombak yang bertugas menjadi warden atau dipanggil sebagai fellow bagi setiap kolej kediaman.

Suhaibul Umar menekan butang keretanya, lalu dia memasukkan barang-barang adiknya ke dalam perut kereta. Kelihatan adiknya selesai menghubungi kawannya itu. “Boleh tak gerak sekarang?” tanyanya.

“Boleh sangat,” balas Qistur Ruwaidah.

Lalu, kereta Suhaibul Umar mula meninggalkan rumah teres dua tingkat itu.

Dalam perjalanan menuju ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, alunan zikir terapi Hafiz Hamidun menemani perjalanan dua beradik itu menerusi corong pemain cakera padat kereta.

Suhaibul Umar mula memecahkan kesunyian. “Adik, dulu abang dah pernah tanya adik satu soalan ni masa kita makan kat kafe CFS dulu. Sekarang, abang nak tanya sekali lagi. Adik dah sedia nak jadi pelajar UIA Gombak?”

“Insya-Allah. Adik dah lebih bersedia berbanding kat CFS dulu. Adik mengharapkan agar perjalanan ijazah adik dipermudahkan walaupun adik tahu ijazah akan lebih sukar berbanding asasi dulu,” balas Qistur Ruwaidah, tenang.

“Macam nilah adik abang. Abang bangga dengan adik.”

Sesampai kereta Suhaibul Umar di parkir Mahallah Salahuddin Al-Ayubi, Qistur Ruwaidah memeriksa dokumennya terlebih dahulu sebelum dia hendak mendaftarkan diri di pejabat kolej kediaman tersebut. “Okey abang. Dokumen adik semua lengkap. Adik pergi daftar mahallah dulu ya. Lepas tu, kita pergi CAC pula,” katanya setelah dia selesai memeriksa semua dokumen tersebut.

CAC merupakan singkatan Cultural Activity Centre. Tempat tersebut terkenal dengan acara kebudayaan, persembahan, majlis kahwin, majlis konvokesyen dan pelbagai acara-acara besar lain. Bahkan, tempat tersebut juga turut digunakan sewaktu musim peperiksaan. Dalam CAC juga terdapat beberapa pecahan dewan lain.

“Okey. Tak perlu tergesa-gesa tahu,” pesan Suhaibul Umar.

“Okey,” balas Qistur Ruwaidah seraya keluar dari perut kereta abangnya itu.

Langkah Qistur Ruwaidah tiba di pejabat Mahallah Salahuddin Al-Ayubi itu. Kelihatan para mahasiswa dan mahasiswi sedang beratur bagi menunggu giliran untuk mendaftarkan diri dan mendapatkan kunci bilik. Setakat ini, masih belum ramai yang tiba. Tiba-tiba namanya dipanggil oleh seseorang “Qist!”

Qistur Ruwaidah menoleh ke arah gerangan si pemanggil itu. “Eh Tihaani!” sahutnya dengan ceria.

Dua kawan itu saling berpelukan. “Rindunya aku kat kau, Qist,” luah Tihaani.

“Allah... Aku pun rindu juga kat kau,” balas Qistur Ruwaidah.

Masing-masing meleraikan dakapan. “Aku baru selesai daftar tadi. Dapat blok H. Tingkat satu,” terang Tihaani.

“Wah, tingkat satu! Tak perlu naik tangga. Aku pun nak tingkat satu kalau ada rezeki,” kata Qistur Ruwaidah.

“Insya-Allah. Tak ramai lagi yang sampai pun. Boleh punya dapat tingkat satu tu. Aku pergi dulu. Nak daftar kat CAC pula.”

“Kau tak letak barang-barang kat bilik dulu ke?”

“Sekejap lagi. Kiranya, aku patah balik nanti.”

Setiap blok di keseluruhan kolej kediaman UIAM Gombak mempunyai nama-nama tersendiri berdasarkan dari surah-surah dalam Al-Quran mengikut abjad. Blok H merujuk pada Blok Hujuurat.

Apabila tiba giliran Qistur Ruwaidah mendaftarkan dirinya, dia mula menyerahkan dokumen-dokumen tersebut. Salah seorang staf yang bertugas mula memeriksa dokumennya. “Okey, semua dokumen sis lengkap. Ni kuncinya. Untuk pengetahuan sis, blok A sampai blok F merupakan blok brothers manakala blok G sampai blok J merupakan blok sisters,” kata staf tersebut seraya menyerahkan segugus kunci kepada Qistur Ruwaidah.

Qistur Ruwaidah mengambil kunci tersebut. Tertera ‘H1:2 C’ pada pemegang kunci tersebut. Lega hatinya kerana dia dapat tingkat satu. Sama blok juga dengan Tihaani. “Kiranya MO ni berada kat bahagian blok brothers?”

MO merupakan singkatan untuk Mahallah Office.

“Betul. Sis nampak pagar panjang kat luar tu kan? Tu pemisah di antara blok brothers dan sisters.”

Mahallah Salahuddin Al-Ayubi merupakan sebuah kolej kediaman yang mempunyai penghuni lelaki dan perempuan kerana kolej kediaman tersebut dibina untuk para mahasiswa dan mahasiswi yang menyertai unit beruniform (UB) seperti Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Darat dan Udara serta Sukarelawan Siswa Siswi (SUKSIS). Berbeza dengan kolej-kolej kediaman lain yang memisahkan penghuni mahasiswa dan mahasiswi.

Usai Qistur Ruwaidah mendaftarkan dirinya di pejabat kolej kediaman, dia segera menuju ke kereta abangnya semula. Lalu, dia membuka pintu kereta abangnya itu. “Jom pergi CAC, abang,” katanya seraya memasuki perut kereta.

“Tak nak letak barang kat bilik dulu?” tanya Suhaibul Umar.

“Sekejap lagilah sebab sama je kena patah balik.”

Kereta Suhaibul Umar mula bergerak ke CAC pula. Sesampai dua beradik di parkir CAC, Suhaibul Umar menemani adiknya itu. Dia masih ingat lagi, sewaktu dia mendaftarkan diri sebagai pelajar ijazah dahulu, adiknya turut menemaninya. Waktu itu, Qistur Ruwaidah masih belum mempunyai lesen kereta. Kali ini, dia juga akan melakukan perkara yang sama untuk hari bersejarah adiknya itu.

Prosedur untuk mendaftarkan diri sebagai pelajar ijazah lebih kurang seperti Qistur Ruwaidah berada di zaman asasinya dahulu. Dia perlu menyerahkan dokumen, menangkap gambar untuk kad matriknya dan dia menerima Kit Taaruf seperti beg, fail, baju batik dan beberapa item lain. Kali ini, dia sudah mengerti akan kegunaan kit itu berbanding di pusat asasi dahulu.

Usai mendaftarkan dirinya, dia juga sempat bertemu dengan beberapa orang kenalannya yang sama bidang dengannya serta kawan-kawan daripada bidang yang berbeza. Suhaibul Umar dapat melihat betapa adiknya itu sangat ramah. Jauh beza sewaktu mereka berdua kanak-kanak dahulu. Adiknya itu sangat pasif. Dia juga sedia pasif sejak dahulu hingga kini. Personalitinya, iaitu pendiam dan buat hal sendiri.

“Seronok jumpa kawan-kawan ya, adik,” tegur Suhaibul Umar setibanya mereka berdua di parkir CAC.

Qistur Ruwaidah tersengih. “Alhamdulillah. Dah tiga bulan tak jumpa dia orang.”

Sesampai mereka berdua ke Mahallah Salahuddin Al-Ayubi semula, Suhaibul Umar membantu adiknya dengan membawa barang keperluan. Sama seperti di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (CFS IIUM) dahulu, pelawat lelaki hanya dibenarkan untuk memasuki blok perempuan pada hari pendaftaran sahaja.

“Alhamdulillah. Semua dah selesai. Tahniah adik dah jadi pelajar ijazah. Abang bangga sangat. Mama baba pun mesti bangga dengan adik,” ucap Suhaibul Umar setelah mereka berdua mengemas barang-barang di petak bilik tersebut. Dia juga turut membantu adiknya menyarung cadar bantal dan tilam.

“Alhamdulillah, terima kasih abang. Abang pun dah banyak bersusah payah untuk adik. Mama baba pun mesti bangga dengan abang,” balas Qistur Ruwaidah.

“Sama-sama adik. Kalau adik rasa nak balik rumah bila-bila, beritahu je abang. Abang sentiasa lapang je untuk adik.”

Qistur Ruwaidah segera mendakap Suhaibul Umar, lalu dia mengucapkan sesuatu untuk insan tersayang itu. “Abanglah paling terbaik. Tak mungkin adik akan jumpa orang lain macam abang.”

Suhaibul Umar tersentak seketika, namun ditahan rasa sebaknya itu. ‘Abang tetap ada kekurangan, adik,’ bisik hatinya.

Qistur Ruwaidah meleraikan dakapan tersebut. Kelihatan Suhaibul Umar tersenyum kepada adiknya itu. “Belajar elok-elok tahu, adik. Minggu ni, sunyilah abang kat rumah. Adik sibuk Taaruf Week.”

“Alaa… Jangan risaulah. Insya-Allah selesai je Taaruf Week nanti, adik akan terus hubungi abang.”

Taaruf Week atau Minggu Taaruf merupakan minggu suai kenal bagi para mahasiswa dan mahasiswi UIAM. Biasanya, Minggu Taaruf itu diadakan selama lima hari.

Usai dua beradik itu berbual, kereta Suhaibul Umar mula meninggalkan perkarangan UIAM Gombak. Kali ini, dia tidak berasa susah hati lagi untuk meninggalkan adiknya dalam keadaan ceria itu.

TANAH PERKUBURAN ISLAM AU4 LEMBAH KERAMAT


Setelah Suhaibul Umar menghantar adiknya mendaftarkan diri sebagai pelajar ijazah pada pagi tadi, dia menziarahi pusara ahli keluarganya pula pada sebelah petangnya. Ucapan doa buat ahli kubur dibacakan dengan perlahan setelah dia mula melangkah ke tempat itu. Berpuluh-puluh batu nisan tegak berdiri itu dilewatinya dengan penuh berhati-hati.

Sesampai dirinya di pusara ahli keluarganya, dia membentangkan tikar dan melabuhkan punggungnya. Tanpa melengahkan masa, dia terus membuka buku Yaasin dan menyedekahkan buat insan-insan yang dicintainya itu.

Setelah dia menuturkan ayat terakhir Surah Yaasin, iaitu ayat ke-83 yang bermaksud “Oleh itu, akuilah kesucian Allah (dengan mengucap: Subhanallah!) - Tuhan yang memiliki dan menguasai tiap-tiap sesuatu dan kepada-Nya-lah kamu semua dikembalikan”, dia mula berzikir dan mendoakan buat semuanya.

Batu nisan pusara ahli keluarganya disentuh satu-persatu, lalu dia memulakan bicaranya. “Assalamualaikum mama, baba, Dik Qina, Dik Harraz dan Dik Harzan, maafkan abang sebab dah lama tak jenguk semua tapi jangan risau, kalau abang rindu dan tak sempat ziarah, abang akan hadiahkan doa setiap kali lepas solat bersama Adik Qist. Adik-adik abang, izinkan abang bercakap dengan mama baba sekejap ya. Nanti abang bersembang dengan adik-adik.”

“Mama baba, abang baru je hantar Adik Qist daftar sebagai pelajar ijazah kat UIA Gombak pagi tadi. Akhirnya, dia selesai juga pengajiannya sebagai pelajar asasi selama dua tahun. Tahun ni, adik Qist dah umur 20 tahun. Alhamdulillah, dia gembira sangat daftar tadi sebagai pelajar ijazah Bahasa Arab. Mama baba… Tahun ni, abang pula umur 22 tahun. Tahun ni juga, tahun akhir abang sebagai pelajar ijazah seni gunaan dan seni reka bawah kulliyyah arkitek. Insya-Allah abang akan berkonvokesyen bulan November tahun depan. Alhamdulillah, kami dah besar. Mesti mama baba bangga dengan kami, kan?’

Sepi seketika.

“Abang ingat lagi… Masa abang daftar sebagai pelajar ijazah dulu, susah juga sebab Adik Qist tak boleh memandu lagi masa tu tapi dia ada temankan hari pendaftaran abang dulu. Abang minta izin warden nak bawa dia keluar dari asrama. Alhamdulillah, mama baba… Warden tu faham sangat keadaan abang. Abang perlukan Adik Qist sebab warden tahu kita orang anak yatim piatu. Abang ingat lagi, Adik Qist gembira sangat untuk abang dan dia bercita-cita nak masuk UIA macam abang. Alhamdulillah lagi, mama baba... Cita-cita Adik Qist nak masuk UIA dah tercapai. Kan seronok kalau mama baba pun ada dengan kita orang tapi kita orang faham, Allah lebih sayangkan mama baba. Dah 14 tahun mama baba tinggalkan kita orang.”

Sepi lagi.

“Adik-adik abang… Mesti semua gembira kat sana, kan? Abang rindu sangat kat adik-adik. Terlalu rindu. Kalau Dik Qina masih hidup, Dik Qina umur 21 tahun. Dik Harraz dan Dik Harzan pula umur 19 tahun. Abang tahu abang tak sepatutnya sedih tapi abang tetap rindu. Tak pernah satu hari pun abang tak rindu kau orang. Dah 14 tahun kau orang tinggalkan abang dan Dik Qist. Walaupun kita bersama sekejap je, kau orang tetap selamanya ada dalam hati abang dan juga, Dik Qist. Kalau kau orang masih hidup, mesti kita semua belajar kat UIA, kan? Abang tahu, sebab… Kau orang akan contohi abang. Eh, apa abang melalut ni? Oh ya, Dik Qist tak dapat datang. Dia ada minggu taaruf kat UIA. Tak baliklah dia minggu ni.”

Setelah Suhaibul Umar puas berbicara di pusara keluarga tercinta itu, dia mula meninggalkan tanah persemadian itu. Pada waktu itu, tiada lagi air mata menemaninya. Dia sudah lama reda akan perpisahan abadi itu. Perpisahan itu jugalah telah mengajar dirinya erti kekuatan dan ketabahan.

‘Ya Allah, aku mohon agar Kau ampunkan dosa-dosa ahli keluargaku yang telah tiada. Satu hari nanti, aku juga akan menyusul pergi. Kau sahajalah Maha Mengetahui pengakhiranku. Ya Rahman, Kau matikanlah aku dalam pengakhiran yang baik. Namun… Aku bermohon juga kepada-Mu agar Kau panjangkan lagi usiaku agar aku masih mempunyai waktu untuk beribadah kepada-Mu. Ya Rabb, izinkan aku agar aku terus bersama adikku sehingga waktu yang ditentukan oleh-Mu. Kau rahmatilah juga adikku, Qistur Ruwaidah yang setia bersamaku sejak dahulu dan Kau ampunkanlah segala dosa-dosanya serta kasihanilah dirinya. Amin ya Rabb,’ doa Suhaibul Umar dalam kalbunya.

Keretanya mula meninggalkan tanah persemadian itu.

SETELAH dua minggu Minggu Taaruf berlalu, secara rasmi Qistur Ruwaidah telah menjadi mahasiswi tahun pertama semester satu di peringkat ijazahnya dalam bidang Bahasa dan Kesusasteraan Arab. Hatinya mengucapkan seribu kesyukuran. Betapa dia mengharapkan agar perjalanan di pusat pengajiannya itu dipermudahkan oleh-Nya.

Kuliah pada semester tersebut telah pun bermula. Dia dapat melihat para mahasiswa dan mahasiswi berpusu-pusu untuk mencari bilik kuliah. Begitu juga dirinya. Setiap bilik kuliah yang dicari olehnya itu agak bersimpang-siur, tersembunyi dan mengelirukan. Namun begitu, dia berjaya juga menjumpai setiap bilik kuliahnya mengikut subjek-subjek yang diambil olehnya pada semester tersebut. Pada semester itu juga, dia mengambil lima subjek teras dan satu subjek ko-kurikulum bersamaan dengan 15.5 jam kredit sebagai permulaan tahun pertama semester satunya bagi sesi 2015/2016 itu.

Setelah dia melalui hari-harinya sebagai siswi ijazah, setakat ini dia masih berada dalam keadaan baik untuk empat minggu pertama itu. Masih berbaki 12 minggu sebelum memasuki study week dan peperiksaan akhir tahun.

Pada suatu petang, dia sedang menyiapkan tugasannya di Perpustakaan Dar Al-Hikmah sebelum tibanya azan asar. Hatinya berasa sangat damai berada dalam perpustakaan kebanggaan seluruh warga Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu. Setelah dia menyiapkan tugasannya, dia menggeliat tubuhnya seketika.

“Huuu… Alhamdulillah. Dah siap pun tugasan ketiga aku. Bolehlah aku rehat kat masjid dulu. Lepas tu, aku nak solat asar dan balik mahallah,” bicara Qistur Ruwaidah sendirian.

Qistur Ruwaidah mula mengemas barang-barangnya, lalu dimasukkan ke dalam beg galasnya. Kemudian, dia melangkah keluar dari Perpustakaan Dar Al-Hikmah itu untuk menuju ke masjid kebangaan warga UIAM, iaitu Masjid Sultan Haji Ahmad Shah (Masjid SHAS).

Apabila dia keluar dari perpustakaan tersebut, matanya tertangkap kepada seorang siswa yang amat dia kenali di luar perpustakaan itu. Kelihatan lelaki itu sedang berehat di atas bangku menghadap perpustakaan itu sambil matanya menghadap skrin telefon pintar dengan penuh khusyuk.

Siswa itu…

Mohamad Salahuddin.

Bekas rakan sekelas Qistur Ruwaidah sewaktu mereka berdua berada di tahun pertama semester satu dan semester dua di Pusat Asasi UIAM (CFS IIUM). Hatinya menjadi ragu-ragu pula sama ada dia mahu bertegur sapa ataupun tidak dengan jejaka itu. Lalu, dia berperang dengan hatinya itu. ‘Kalau aku tak tegur, mungkin aku dah tak berpeluang nak jumpa Din. Kalau aku tegur, apa pula orang sekeliling kata?’
Akhirnya, Qistur Ruwaidah mengambil keputusan untuk menegur Mohamad Salahuddin itu. Langkahnya mula menghampiri ke arah lelaki itu. “Assalamualaikum Din,” ucapnya.
“Waalaikummussalam,” balas Mohamad Salahuddin seraya mengangkat wajahnya itu. Ingin tahu gerangan yang memberi salam itu.

Alangkah terkejutnya dia! Qistur Ruwaidah! Rakan seperjuangannya di CFS IIUM dahulu. Bagaikan tidak percaya apabila mahasiswi itu menegur dirinya. Tidak sangka… Akhirnya, dia dapat bertemu juga dengan perempuan itu di peringkat ijazah ini! Insan yang telah dia jatuh hati sejak sekian lama.
“Qist? Qistur Ruwaidah?” tanyanya, inginkan kepastian. Dia masih tidak percaya lagi dengan apa yang dilihatnya itu.
Qistur Ruwaidah mengangguk seraya tersenyum. “Iya. Akulah ni, Din. Muka aku dah jauh berubah sangat ke? Sebab nampak kau terkejut sangat.”
‘Ya Allah… Boleh pula dia senyum! Macam manalah aku tak makin jatuh hati dengan kau, Qist. Satu lagi, macam manalah aku tak terkejut. Tiba-tiba je kau tegur aku. Aku tengah cuak ni. Relaks Din. Relaks,’ bisik hati Mohamad Salahuddin.
“Taklah. Muka kau tak berubah pun. Sama je macam dulu. Cumanya, aku terkejut kau tegur aku. Dah lama sangat aku tak nampak kau,” balas Mohamad Salahuddin.
“Ha tulah, Din. Memang kita dah lama sangat tak berjumpa. Aku baru je masuk UIA Gombak semester ni. Emm… Tak silap aku, kau masuk semester lepas, kan? Sebab kau ada kat CFS setahun setengah je, kan?” terang Qistur Ruwaidah.
“Ah, patutlah aku baru nampak kau semester ni. Betul. Aku masuk semester lepas. Kira, ni tahun pertama semester dua aku sekarang. Alhamdulillah. Kau dari mana ni?”
“Aku dari library. Kebetulan, aku ternampak kau kat luar library ni. Aku nak singgah ke masjid dulu. Nak solat asar. Lepas tu, baru aku balik mahallah. Kau pula?”
“Sekejap lagi, aku ada kelas pukul 5.00 petang. Aku lepak kat sini dulu sementara tunggu azan asar. Ni pun, aku nak gerak dah. Sebelum kita berpisah ni, nombor telefon kau dalam grup whatsapp ‘320 Awesome’ tu tak berubah, kan?”
‘Eh, Din! Belum apa-apa lagi, beraninya kau tanya pasal nombor telefon Qist,’ perli Mohamad Salahuddin akan diri sendiri dalam hatinya.

“Haah. Nombor telefon aku tak berubah. Kau pun sama, kan?” balas Qistur Ruwaidah.

“Betul. Sama je. Apa-apa nanti, kalau nak ajak jumpa, beritahu je. Boleh kita lepak kat luar UIA nanti,” kata Mohamad Salahuddin.
“Okey juga tu. Hubungi je aku nanti. Lagipun, jarak rumah aku dengan UIA ni tak jauh pun. Dalam 10 minit je. Sekitar kawasan rumah aku tu, ada enam buah pusat beli-belah sampai pening kepala aku tak tahu nak pergi mana satu. Boleh sangatlah aku bawa kau nanti.”

‘Laa… Dia orang sekitar sini je rupanya. Untungnya,’ bisik hati Mohamad Salahuddin.

“Ha, boleh juga. Lagipun, aku tak berapa arif sangat kat kawasan sini sebab aku tinggal kat Bangi,” balas Mohamad Salahuddin.

“Eh, bukan kau tinggal kat Kelantan ke?” tanya Qistur Ruwaidah.
“Betul tapi aku pindah kat Bangi masa lepas keluar keputusan SPM dulu. Ayah aku pindah tempat kerja kat situ.”

“Oh, taklah jauh sangat. Mati-mati aku ingat kau tinggal kat Kelantan lagi.”

Mohamad Salahuddin tersengih. “Macam tulah Qist. Okeylah. Aku rasa aku kena gerak pergi masjid sekarang. Nak masuk waktu Asar dah. Kita jumpa lagi nanti. Insya-Allah.”
“Insya-Allah. Okey Din. Jumpa lagi.”
Kelihatan Mohamad Salahuddin menghadiahkan senyuman kepada mahasiswi itu, lalu dia menghilangkan diri dari kawasan perpustakaan itu. Qistur Ruwaidah juga memulakan langkahnya untuk ke Masjid SHAS.
Dalam perjalanan ke masjid itu, ditakdirkan Allah, Qistur Ruwaidah bertemu pula dengan Abdul Azim.
“Eh!” Spontan teguran sapa itu terkeluar dari bibir kedua-dua insan tersebut.

Jantung Qistur Ruwaidah berdegup kencang apabila dia dipertemukan semula dengan mahasiswa itu di UIAM Gombak ini. Waktu ini jugalah dia boleh bertemu dengan lelaki itu. Gelagatnya juga menjadi tidak keruan apabila dia ternampak siswa itu.
“Kau dulu,” Abdul Azim memulakan bicaranya seraya menghadiahkan senyuman.

Hanya Allah sahaja yang tahu betapa gembiranya hati Abdul Azim tatkala bertemu dengan gadis pujaannya itu. Ingin sahaja dia bersorak gembira di hadapan perempuan itu. Namun, apakan daya… Nanti dicap sebagai orang gila pula.
“Err... T... Tak ada apa. Aku terkejut kau lalu sekitar sini. Tak pernah lagi aku terserempak dengan kau kat sini. Bukan kau kat KAED sana ke?” balas Qistur Ruwaidah.
“Aku ada kelas kat sekitar IRK ni juga selain kat KAED. Kelas baru je selesai. Ni pun, aku dalam perjalanan nak jumpa abang kau kat masjid. Dia tengah tunggu aku. Oh ya, kau baru masuk semester ni ke?”
“Oh okey. Haah betul. Aku baru masuk semester ni. Alhamdulillah, dah sebulan aku belajar kat sini.”
“Alhamdulillah. Akhirnya, kau masuk juga sini. Emm… Qist. Ada masa, kita jumpa lagi ya. Insya-Allah.”
“Insya-Allah.”
Mereka berdua mula berpisah haluan. Abdul Azim segera menoleh ke belakang seketika. Dia tersenyum melihat mahasiswi itu yang semakin menghilang dari pandangannya. Entah mengapa. Senang hati mungkin?
Ah, senang hati apanya! Kalau sudah jatuh hati dengan si mawar idaman hati dan kebetulan terserempak pula, mestilah berbunga-bunga di jiwa. Tak begitu, Abdul Azim bin Uthman?
Tidak mahu melengahkan perjumpaan dengan Suhaibul Umar, Abdul Azim segera mempercepatkan langkahnya untuk bertemu dengan abang perempuan itu. Hasrat di hati, betapa dia ingin untuk meluahkan hasrat hati, namun dia benar-benar belum bersedia. Dia masih menunggu waktu yang sesuai.

Apa yang pasti, satu hari nanti dia akan maklumkan juga berkenaan soal hatinya kepada Suhaibul Umar. Dia menjadi sangat yakin bahawa Qistur Ruwaidah masih mempunyai perasaan terhadapnya berdasarkan gaya tidak keruan siswi itu tadi.
Secara tidak langsung juga, dia terhibur sebenarnya akan gelagat Qistur Ruwaidah itu!

MAHALLAH ZUBAIR AL-AWWAM

Usai menemui Sang Pencipta, Mohamad Salahuddin setia berteleku di atas sejadah. Mindanya mengimbau semula perjumpaan di antaranya dengan Qistur Ruwaidah di luar Perpustakaan Dar Al-Hikmah pada petang tadi.

‘Qist… Aku tak sangka, aku jumpa juga kau kat UIA ni. Insya-Allah, aku takkan sia-siakan peluang ni,’ bisik hatinya.

Begitu sekian lama dia memendamkan perasaannya terhadap Qistur Ruwaidah itu sejak hari pertama mahasiswi itu terlambat hadir ke kelas Bahasa Inggeris di pusat asasi dulu.


“Assalamualaikum madam. Sorry, I’m late. I had an emergency.”


Begitulah apa yang diungkapkan oleh mahasiswi itu kepada pensyarah. Waktu itu Mohamad Salahuddin masih ingat lagi, dia sedang fokus mendengar setiap butir bicara pensyarah Bahasa Inggeris itu. Tiba-tiba kehadiran Qistur Ruwaidah itu seakan menarik minatnya dalam diam.

Tambahan pula, sifat kelam-kabut siswi itu membuatkan Mohamad Salahuddin tersenyum dalam diam. Bunga-bunga cinta mula berputik di dasar hati sang lelaki itu. Dia merasakan gelagat Qistur Ruwaidah itu sangat menghiburkan dirinya. Teringat pula dia akan momen itu.

Semakin lama Mohamad Salahuddin mengenali mahasiswi itu, dia telah menilai secara diam-diam akan perwatakan Qistur Ruwaidah sebagai seorang mahasiswi yang berani untuk tampil ke hadapan tanpa kekok bagi pembentangan dan aktif bertanyakan soalan. Namun begitu, dia hanya mampu memerhatikan mahasiswi itu dalam diam apabila gadis itu menyukai Abdul Azim manakala dia pula memendam perasaannya itu sehingga jiwanya penuh merana.

Dia jugalah pernah memberitahu perasaan Qistur Ruwaidah kepada Abdul Azim hingga membuatkan hatinya jadi terluka. Dia sendiri tidak pasti mengapa dia bertindak sedemikian, namun apa yang dia tahu, kerana dia menyayangi insan itu, dia memberitahu juga perasaan Qistur Ruwaidah itu dengan harapan Abdul Azim akan menerima insan yang dia jatuh hati itu meskipun perit dan sakit.

Dia menadah tangan seraya berdoa dalam hati. ‘Ya Allah, Kaulah Maha pemberi cinta agar aku belajar untuk mengawal perasaan fitrah ini. Tiada daya aku mampu mengharunginya tanpa Kau sebagai penciptaku. Sesungguhnya Kaulah Maha Mengetahui perjalanan kehidupanku. Ya Rabb, betapa aku gembira apabila aku bertemu jua dengan Qistur Ruwaidah binti Isyraf Imrani. Kau tahu betapa sekian lama aku menyukainya dalam diam. Kini, dia sudah berada di UIA Gombak. Kuat sungguh jiwanya mengharungi dua tahun peringkat asasi di CFS dulu. Aku kagum sangat. Lalu, bagaimana aku tidak jatuh hati terhadapnya sejak dulu hingga kini? Namun begitu, di saat aku mengetahui bahawa dia mempunyai perasaan terhadap Azim suatu ketika dahulu, hati aku terluka tetapi aku tetap mendoakan yang baik untuk dirinya. Ya Allah, adakah aku masih mempunyai peluang untuk memberitahu hasratku kepadanya di saat hatinya untuk Abdul Azim?’

TING! Tiba-tiba kedengaran bunyi notifikasi mesej peribadi whatsapp dari telefon pintarnya. Dia segera mengaminkan doanya dan mencapai telefon pintarnya itu.


Qistur Ruwaidah (IIUM) 320


‘Allah… Baru aku meluahkan rasa hati aku pada-Mu berkenaan Qistur Ruwaidah. Tiba-tiba dia whatsapp aku pula. Ya Ilahi, debarnya aku,’ bisik hati Mohamad Salahuddin.

Dia mula menekan aplikasi WhatsApp yang dihantar oleh mahasiswi itu.

WhatsApp Qistur Ruwaidah:
Assalamualaikum Din. Esok kau lapang tak dalam pukul 11.00 pagi? Boleh kita jumpa kat Kafe KENMS? Aku ada berita nak kongsi dengan kau.

KENMS, iaitu Kulliyyah of Economics and Management Sciences atau Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan. Setiap kuliah mempunyai kafenya tersendiri.
‘Qist ni buat aku cuaklah. Berita apa pula dia nak beritahu ni? Nak kahwin dengan Azim ke? Tapi… Takkan kut. Azim pun tak cakap apa-apa pasal Qist. Eh, apa aku melalut ni? Emm… Okey juga dia ajak jumpa. Peluang dah ada ni,’ bisik hati Mohamad Salahuddin.

Jarinya mula menari pada skrin papan kekunci telefon pintarnya itu.

WhatsApp Mohamad Salahuddin:
Waalaikummussalam. Insya-Allah aku lapang je waktu tu. Kau nak kongsi berita apa? Kau nak kahwin dah ke?


Qistur Ruwaidah terkebil-kebil membaca balasan mesej jejaka itu. ‘Kahwin apanya pula, Din oii! Mengarut jelah dia ni!’ bisik hatinya.

WhatsApp Qistur Ruwaidah:
Kau ni dah kenapa bangkitkan soal kahwin, Din? Asal berita je, kau ingat pengumuman kahwin. Esok, kau tahulah apa aku nak cakap.


Mohamad Salahuddin tersengih membaca balasan mahasiswi itu.

WhatsApp Mohamad Salahuddin:
Hahaha… Maafkan aku. Aku gurau je. Tapi kan… Bukan sisters UIA memang sinonim dengan kahwin awal ke? Kita pun dah umur 20 tahun. Logik jelah aku rasa.

WhatsApp Qistur Ruwaidah:
Tu sisters lain. Bukan aku. Setakat ni, kahwin pun tak masuk dalam senarai impian aku. Alaa… Kau pandai cakap sisters je, brothers pun samalah ya, Bro. AIKOL.

WhatsApp Mohamad Salahuddin:
Ops! Maafkan aku, Sis. BAR. Nampaknya kau ada hujah tersendiri. Aku tak nak panjangkan hujah. Pasal esok, aku boleh jumpa kau. Insya-Allah.

WhatsApp Qistur Ruwaidah:
Okey. Jumpa esok. Insya-Allah.


Mohamad Salahuddin tidak membalas mesej mahasiswi itu. Baginya, cukuplah perbualan setakat itu sahaja. Pada hari esok, dia akan bertemu juga dengan Qistur Ruwaidah dan mengetahui sesuatu daripada mahasiswi itu.

Sejujurnya… Dia tidak sabar untuk bertemu dengan gadis idamannya itu.

‘Moga pertemuan aku dan Qist berjalan dengan lancar esok. Amin!’ doa kalbu Mohamad Salahuddin.

Qistur Ruwaidah pula terus melelapkan matanya setelah lelaki itu tidak menyambung perbualan maya tersebut. Jauh di sudut hatinya tadi, entah mengapa dia menjadi senang dengan Mohamad Salahuddin itu. Mungkin kerana lelaki itu agak ringan mulut.

Pada keesokan harinya, Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin bertemu di Kafe KENMS. Mereka berdua duduk dalam posisi menghadap sesama mereka.

Kelihatan Mohamad Salahuddin berpakaian Baju-T lengan pendek rona hijau tua dan dipadankan dengan seluar khakis rona hitam berserta kasut kanvas. Apa-apa jenis pakaian atau barang berwarna hijau itulah merupakan kesukaannya, namun memandangkan dia merupakan pelajar undang-undang, pakaian rona hitam dan putih sudah menjadi kewajipan bagi dirinya apabila menghadiri kuliah. Rambutnya pula tidaklah disikat begitu rapi tetapi masih kelihatan kemas.

Qistur Ruwaidah pula mengenakan tudung selendang labuh jenis sakura rona merah jambu lembut, blaus labuh ala-ala Korea rona ungu tua, berseluar slack rona hitam dan bersandal rona hitam. Dia merupakan seorang yang tidak memiliki apa-apa warna kegemaran. Apa sahaja barang atau pakaian dirasakan cantik, dia akan membeli tanpa mengendahkan jenis warna. Begitu ringkasnya seorang Qistur Ruwaidah itu.

Tanggapannya apabila dia berhadapan dengan mahasiswa itu, dia merasakan bahawa Mohamad Salahuddin ada rupa juga sebenarnya. ‘Kacak juga Din ni. Eh, kau merepek apa ni, Qist!’

Isy, menyempat pula Qistur Ruwaidah menilai rupa paras lelaki itu! Orang ajak berjumpa. Bukannya tengok rupa orang! Haih… Qistur Ruwaidah oh Qistur Ruwaidah!

“Boleh aku mulakan?” tanya Qistur Ruwaidah.

“Boleh je. Aku dengar,” jawab Mohamad Salahuddin.

“Aku nak beritahu pasal Azim. Kau masih ingatkan, aku pernah cakap kat kau yang aku suka dia?”

“Aku ingat. Apa cerita?”

“Kau pernah bagi pendapat kat aku supaya aku beritahu perasaan aku kat dia. Aku ingat sangat kau cakap tu. Emm… Din, aku dah buat apa yang kau cadangkan tu. Aku dah pernah beritahu perasaan aku kat dia.”

Tersentak Mohamad Salahuddin apabila dia mengetahui pengakuan Qistur Ruwaidah itu. Tidak pernah lagi dia bertemu dengan mana-mana perempuan meluahkan perasaan kepada lelaki seberani perempuan itu. Dia cuba memberikan respons dalam keadaan bersahaja. “Oh. Bila kau luahkan perasaan kat Azim?”

“Tahun lepas kat PM FB tapi jawapan dia, dia tak ada perasaan pun kat aku. Aku terpaksalah terima walaupun tak mudah. Ikutkan, aku kena lupakan dia tapi hati aku masih tak boleh nak lepaskan dia sampai sekarang. Susah! Aku pun tak tahu kenapa aku boleh jadi sebodoh ni,” balas Qistur Ruwaidah.

Tatkala itu, hati Mohamad Salahuddin semakin hancur apabila dia mengetahui isi hati Qistur Ruwaidah itu. Perempuan itu masih ada hati lagi terhadap Abdul Azim rupanya. Mungkinkah Qistur Ruwaidah tidak ditakdirkan untuknya? Adakah dia tidak berpeluang untuk memiliki hati gadis tersebut? Ah, sakitnya! Apalah yang siswi itu nampak dengan Abdul Azim…

Bagi Mohamad Salahuddin berdasarkan penceritaan Qistur Ruwaidah berkenaan Abdul Azim di pusat asasi dulu, Abdul Azim ego orangnya. Sangat ego melangit! ‘Poyo’ pun satu hal. Lebih baiklah Qistur Ruwaidah menyedari akan kehadiran dirinya daripada hati siswi itu terus buta untuk lelaki itu. ‘Ah, jangan mengalah, Din! Kau kena cuba juga dapatkan hati Qist nanti!’ bisik hatinya.
“Aku nak tanya kau. Kau dah move on ke belum dengan Azim? Ke kau masih ada hati kat dia?” respons Mohamad Salahuddin.

Wajah Qistur Ruwaidah berubah menjadi muram. “Hmm… Aku pun tak fahamlah dengan diri aku. Nak kata aku move on tu, aku sendiri pun tak pasti. Tipulah kalau aku cakap, perasaan aku kat Azim dah hilang. Tak semudah tu. Aku masih ada je perasaan kat dia. Lagi nak jadi cerita, kebetulan dia boleh pula kenal abang aku. Siap jadi kawan baik lagi. Haih… Logiklah pun sebab dia orang sama-sama KAED, satu major pula. Hubungan dia orang rapat sangat sampaikan abang aku selalu jugalah ikut Azim balik ke Johor. Kau beritahu aku, Din… Macam mana aku nak move on dengan Azim lepas Azim dah rapat dengan abang aku?” balasnya.

Kini, barulah Mohamad Salahuddin mengerti cara perkenalan di antara Suhaibul Umar dan Abdul Azim berdasarkan mutual friend di Fac itu. Akan tetapi, ayat terakhir Qistur Ruwaidah itu sangat menusuk kalbunya. Ternyata hati perempuan itu masih tetap untuk Abdul Azim. Namun begitu, dia cuba merespons dengan cara yang normal walaupun hatinya sudah terlalu sakit. Jika ditoreh, sudah luka berdarah dan perlukan pembedahan gamaknya!

“Kau lagi tahu diri kau, Qist. Aku minta maaf tapi aku tak ada jawapan untuk tu. Emm… Abang kau tahu tak pasal kau dan Azim?”

“Aku tak pernah cerita pasal aku dan Azim kat abang aku sebab pada aku, aku rasa aku tak patut cerita. Lagipun, takkanlah aku nak cerita. Takut abang aku jadi salah faham kat Azim dan abang aku langsung tak nak kawan pula dengan Azim. Abang aku bukannya boleh kalau aku terluka atau sedih. Baik aku diam je. Emm… Sebenarnya, abang aku susah sangat nak rapat dengan siapa-siapa kecuali aku sebagai adik dia dan setahu aku, dia tak ada kawan baik langsung dari zaman sekolah pun. Aku rasa agak pelik jugalah kat abang aku sebab dia boleh terima Azim untuk rapat dengan dia. Bermakna, abang aku sangat percayakan Azim.”

Penerangan terakhir Qistur Ruwaidah itu membuatkan Mohamad Salahuddin agak cemburu terhadap Abdul Azim. Namun begitu, dia segera beristighfar dalam hati. Sudah beberapa kali dia berperasaan sedemikian terhadap lelaki itu.

Qistur Ruwaidah menyambung kembali bicaranya. “Aku sayangkan abang aku lebih daripada diri aku. Tak apalah kalau kehadiran Azim tu membahagiakan abang aku. Emm… Kau mesti tak faham kenapa aku cakap macam tu, kan?”

“Emm… Aku boleh agak sesuatu pasal kau. Mak ayah kau dah tak ada ke?” duga Mohamad Salahuddin.

Wajah Qistur Ruwaidah agak terkejut. “Ada siapa-siapa beritahu kau ke?”

“Tak ada sesiapa pun beritahu aku tapi cara kau cakap tadi macam menunjukkan mak ayah kau dah tak ada. Kau hanya sebut pasal abang kau je. Kalau aku salah, aku minta maaf.”

Tanpa dipinta, Qistur Ruwaidah membuka lembaran kisah lalunya. Dia mula senang dengan jejaka itu. “Betullah apa kau cakap tu. Mama baba aku dah tak ada. Aku ada abang aku je. Bukan aku kehilangan mama baba aku je tapi aku kehilangan kakak dan adik kembar aku sekali. Keluarga aku terlibat dalam kemalangan masa umur aku enam tahun. Hanya aku dan abang aku terselamat dalam kemalangan tu. Keluarga aku yang lain, semua meninggal dunia kat tempat kejadian.”

Nada mahasiswi itu mula berubah menjadi sebak, namun ditahan semampunya. Dia tidak mahu menitiskan air matanya di hadapan lelaki itu. Dia malu. Sudahlah lelaki itu pernah ternampak dia menangis suatu ketika dahulu.

“Ma… Maafkan aku. Aku tak tahu,” bicara Mohamad Salahuddin, perlahan. ‘Allah! Patutlah kau sangat berjiwa cekal, Qist,’ bisik hatinya.

“Taklah. Bukan salah kau pun… Sebab kau tak tahu. Memang tak ramai tahu pasal kisah lalu aku kecuali aku cerita kat orang yang aku betul-betul percaya je. Din… Di saat aku nak cerita pasal peristiwa lalu aku ni, aku dah letakkan kepercayaan aku kat kau,” terang Qistur Ruwaidah.

“Terima kasih sebab kau percayakan aku. Insya-Allah, aku boleh jadi pendengar yang baik.”

Qistur Ruwaidah mula membuka lembaran kisah masa lalunya sebagai seorang anak yatim piatu dan mangsa dera ibu saudaranya suatu ketika dahulu. Sewaktu Mohamad Salahuddin mengetahui semuanya, dia benar-benar terkejut dan tidak percaya bahawa itu yang telah dilalui oleh insan yang amat dicintainya itu.

“Tapi… Kau nampak ceria dan aktif, Qist. Mustahil tu yang kau lalui dulu. Sukar aku nak percaya apabila aku dapat tahu semua ni,” respons Mohamad Salahuddin setelah mahasiswi itu menamatkan kisah lalunya itu.
Qistur Ruwaidah tersenyum hambar. “Aku faham sebab kau kenal aku… Aku banyak cakap, kan? Dulu, memang aku pasif sangat masa tinggal dengan almarhumah Mak Long aku. Hampir setiap hari aku dan abang aku kena dera hingga menyebabkan kita orang takut dan trauma. Kalau aku nak bercakap pun, aku banyak bercakap dengan abang aku je. Sejujurnya, kalau aku sebut perkataan ‘Mak Long’ sampai sekarang pun, aku jadi trauma dan badan aku jadi menggigil.”

“Ni kali pertama aku dengar kes dera daripada kau sendiri yang dah pernah kena. Selama ni, aku baca surat khabar dan tengok berita je. Aku boleh rasa betapa kau sangat trauma. Lagi-lagi, aku tahu pula cara dan alat-alat yang Mak Long kau guna untuk dera kau dan abang kau, mesti tak tertanggung azabnya. Aku pernah terkena air panas sikit pun, aku dah rasa macam apa. Inikan pula abang kau pernah kena simbah dengan air panas banyak kali sampai hilang deria rasa dan kau pun pernah rasa juga tapi tak seteruk abang kau. Emm Qist… Sejak aku kenal kau dari CFS, aku kagum sangat dengan kau. Kau berani dalam apa je yang kau buat tapi… Rupa-rupanya kau dah lalui ujian yang cukup hebat dulu,” bicara Mohamad Salahuddin.
“Aku pulangkan semula kekuatan aku ni pada Allah. Dialah Maha Memberi. Sepatutnya, aku dan abang aku boleh mati dulu, kan?”

“Ikutkan macam tulah sebab teruk sangat kau orang kena dera sampai empat tahun tapi Allah Maha Berkuasa, Qist. Demi Allah, aku hilang kata apabila aku tahu semua ni.”
“Tak apa, Din. Alhamdulillah, sekarang aku okey je. Masa je yang merawat masa lalu aku dan abang aku walaupun parutnya tetap ada.”

“Emm… Dah lama aku nak tanya sesuatu kat kau. Masa botol kaca jus durian belanda kau pecah dulu, kenapa kau menangis?”

“Tak sangka kau ingat lagi pasal tu. Masa tu, duit belanja dan juga duit zakat aku dah tak banyak tapi aku teringin sangat jus durian belanda. Aku belilah juga walaupun harga cekik darah tapi tak ada rezeki pula. Botol tu boleh pula pecah. Aku sedih sangat. Sebab tulah, aku menangis. Aku berterima kasih sangat sebab kau belanja aku. Besar pahala kau, Din.”

“Tak ada apalah, Qist. Masa tu, aku dapat bantu kau pun dah cukup okey. Apa-apa pun, banyak kisah yang aku tahu pasal kau dan sangat menginsafkan aku hari ni. Moga Allah sentiasa rahmati kau.”

“Amin… Macam tu juga untuk kau, Din. Terima kasih untuk perjumpaan hari ni. Aku gembira sangat.”

“Sama-sama. Kalau kau rasa nak jumpa bila-bila lagi, insya-Allah aku okey je. Alang-alang kita ada kat kafe ni, kau nak makan apa-apa tak? Aku belanja.”

“Eh, tak payahlah Din! Buat susah-susah je.”

“Apa susahnya? Lepas aku dah tahu kisah kau, lagilah aku rasa nak tolong kau. Anggap je aku ni kawan yang kau perlukan ketika kau rasa kau ada masalah.”

Tika itu, tersentuh hati Qistur Ruwaidah dibuatnya. Kata-kata Mohamad Salahuddin itu mengingatkan dirinya kepada almarhum Sufi Waazin. Almarhum lelaki itu banyak membantunya setelah dia mengetahui akan kisah Qistur Ruwaidah.
Kali ini, Mohamad Salahuddin pula hadir untuk dirinya. Ibarat seperti mengubati kelukaannya di atas pemergian Sufi Waazin dan penolakan perasaan daripada Abdul Azim. Namun begitu, tidaklah dia merasakan apa-apa berkenaan kehadiran jejaka itu melainkan dia hanya rasa biasa sahaja kerana hatinya masih untuk Abdul Azim.

Penulis pun nak masuk campur sebab geram sangat: ‘Qistur Ruwaidah… Kau buta ke apa! Mohamad Salahuddin terang-terang suka kat kau! Dia nak kau dari dulu! Kalau kau masih berharap kat Abdul Azim, Abdul Azim akan ada ke untuk kau macam mana Mohamad Salahuddin ada untuk kau sekarang! Kenapalah kau bodoh sangat ni, Qistur Ruwaidah oii! Kau nak menyesal hilang Mohamad Salahuddin pula ke lepas Sufi Waazin!’


“Emm… Kau beli jelah apa-apa pun. Aku okey,” balas Qistur Ruwaidah.

Mohamad Salahuddin mengangguk, lalu dia meninggalkan mahasiswi itu seketika bagi membeli makanan dan minuman. Sebelum itu, dia menuju ke bilik air seketika. Melihatkan tiada sesiapa dalam bilik air itu, dia terus mengalirkan air matanya yang ditahan sejak tadi. Betapa dia terkesan dengan apa yang telah dilalui oleh Qistur Ruwaidah.

‘Kenapa tiba-tiba aku boleh menangis pula ni? Tak! Memang aku patut menangis pun sebab aku terkesan sangat dengan kisah Qist. Lantaklah orang nak cakap aku macam perempuan ke apa,’ bisik hati kecilnya itu, lalu diseka air mata itu.

‘Tapi… Kenapa aku kena menangis? Bodohnya aku! Sedangkan hati Qist hanya untuk Azim! Bukan aku! Takkan pernah untuk aku! Ya Allah! Hati aku sakit! Aku merana!’

Mohamad Salahuddin segera membersihkan wajahnya itu.

Qistur Ruwaidah pula ralit memeriksa aplikasi Instagram pada telefon pintarnya itu sementara menunggu kehadiran jejaka itu semula.

Tiba-tiba Mohamad Salahuddin muncul sambil menatang dulang berisi dua keping sandwic berinti sardin, dua bungkus nasi lemak dan dua cawan teh o ais limau, lalu diserahkan kepada mahasiswi itu. “Maaf, aku lambat. Nah. Makanan berbungkus tu nasi lemak,”

Lantas, Qistur Ruwaidah segera meletak tepi telefon pintarnya di atas meja dan memberi tumpuan semula kepada mahasiswa itu. “Terima kasih, Din. Susah-susah je.”

“Sama-sama. Tak ada apalah, Qist.”

Lalu, mereka berdua menjamu selera dan meneruskan topik perbualan yang lain pula.

“Macam mana kehidupan kau kat AIKOL? Okey?” soal Qistur Ruwaidah.

AIKOL, iaitu Ahmad Ibrahim Kulliyyah of Laws atau Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim.

“Alhamdulillah. Setakat ni okeylah. Nak kata okey sangat tu, tak bolehlah juga. Masih panjang perjalanan aku. Ada baki tiga tahun untuk sivil. Lepas tu, aku ada setahun tambahan masa tahun kelima aku. Aku ambil syariah juga. Lima tahunlah aku kat AIKOL. Bermakna, aku akan berkonvokesyen dua kali. Satu untuk sivil dan satu lagi untuk syariah. Insya-Allah, aku akan ada double degree,” balas Mohamad Salahuddin.

“Oh sekejap. Kiranya, kau naik pentas dua kalilah ya?” tanya Qistur Ruwaidah.

“Betul. Aku akan ada dua skrol. Sivil dan syariah. Aku dah tengok study plan aku. Ikutkan, aku tamat belajar untuk sivil masa semester satu sesi 2018/2019 dan aku akan berkonvokesyen bulan November 2019. Lepas tu, aku sambung syariah masa semester dua sesi 2018/2019 juga. Kiranya, aku tamat belajar untuk syariah, masa semester satu sesi 2019/2020 dan berkonvokesyen bulan November 2020 setahun lepas konvokesyen untuk sivil. Setakat ni, macam tulah perancangannya,” terang Mohamad Salahuddin.

Jauh di sudut hati, Mohamad Salahuddin mengharapkan andai satu hari nanti dia memiliki Qistur Ruwaidah sebagai isterinya, dia sudah memasang angan-angan untuk memakai jubah konvokesyen (robe) dan topi mortabod bersama perempuan itu. Ah, alangkahnya jika dia mampu dan impian itu menjadi kenyataan, namun masalahnya…

Dia rasa mustahil sangat! Mana mungkin Qistur Ruwaidah akan memandang dirinya itu melainkan sebagai seorang kawan sahaja. Berkali-kali dia mengingatkan dirinya bahawa hati perempuan itu hanya untuk Abdul Azim sahaja!

Qistur Ruwaidah terpana akan penerangan lelaki itu. Ternyata Mohamad Salahuddin bukan calang-calang orang rupanya. “Subhanallah! Hebatlah kau, Din. Aku kagum!”

Hati Mohamad Salahuddin berasa bangga seketika akan pujian daripada perempuan itu. Sebuah kesyukuran juga tidak lupa dipanjatkan ke hadrat Ilahi. “Kau pun apa kurangnya dengan bahasa Arab. Siap sertai debat lagi.”

“Aku dah tak sertai debat kat UIA Gombak ni. Malaslah aku! Topik debat kat peringkat ijazah ni tinggi sangat. Aku bukan jenis fikir kritis. Aku sertai pun sebab bahasa Arab je.”

Barulah Mohamad Salahuddin mengetahuinya.

Setelah berborak panjang, masing-masing meminta izin untuk meninggalkan Kafe KENMS itu.

Dalam perjalanan menuju ke Mahallah Salahuddin Al-Ayubi, lagu-lagu yang bermain dalam telefon Qistur Ruwaidah itu setia menemaninya. Memang dia suka mendengar apa jua jenis genre muzik.

‘Seronok juga aku bersembang dengan Din tadi. Rasa macam bersembang dengan almarhum Sufi. Ya Allah, rindu pula aku kat Sufi!’

Itulah apa yang dirasai oleh dirinya apabila dia menilai dalam diam berkenaan lelaki itu tadi. Tidak dilupakan juga Surah al-Fatihah dihadiahkan kepada Sufi Waazin.

Sebuah zahirnya perasaan cinta dari sisi Mohamad Salahuddin dan Abdul Azim. Nantikan perjalanan mereka berdua yang seterusnya dalam meraih hati Qistur Ruwaidah ^_^

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience