KELIHATAN Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin tidak melepaskan pegangan tangan langsung selepas pasangan tersebut bersalaman dengan ahli keluarga besar dan sahabat handai mereka berdua. Betapa mereka berdua merasakan kuasa cinta yang sungguh mendalam dan tidak mampu dizahirkan dengan kata-kata.
Para tetamu yang diundang untuk majlis akad nikah tersebut berpusu-pusu untuk bergambar dengan pengantin baru itu. Cantik dan kacak. Itulah pujian yang diterima oleh pasangan itu. Pujian dikembalikan kepada-Nya.
Boleh dikatakan tetamu-tetamu yang hadir agak ramai, iaitu 60 orang dan hanya dihadiri oleh saudara-mara dan kenalan rapat sahaja. Itu pun yang meramaikan majlis akad nikah tersebut, iaitu saudara-mara Mohamad Salahuddin dari pantai Timur, Kuala Lumpur dan Selangor.
Selebihnya, keluarga besar almarhumah Puan Mahfuzah, iaitu ibu kepada Qistur Ruwaidah serta kawan-kawan rapat Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin selaku pembawa hantaran.
Pada waktu itu, Qistur Ruwaidah bersalaman dengan ibu saudaranya, Mak Su Anisah, iaitu adik bongsu kepada almarhumah Puan Mahfuzah serta dua orang bapa saudaranya, iaitu Pak Long Nawab dan Pak Lang Haiman. Mohamad Salahuddin juga tidak ketinggalan untuk bersalaman dengan dua orang bapa saudara isterinya itu.
Puan Mahfuzah mempunyai empat orang adik-beradik dan almarhumah merupakan anak kedua daripada empat orang adik-beradik.
Pertemuan kembali di antara Qistur Ruwaidah dan abangnya dengan keluarga besar Puan Mahfuzah selepas Suhaibul Umar selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)…
Pada tahun-tahun sebelumnya, memang saudara-mara dua beradik itu ada mencari mereka berdua di rumah Mak Long Rauzah kerana mereka sudah lama tidak bersua dengan anak-anak Puan Mahfuzah itu, namun tiada khabar berita langsung. Apabila mereka cuba menghubungi nombor rumah dan nombor telefon bimbit Mak Long Rauzah secara berkali-kali, wanita kejam itu tidak pernah menjawab.
Adik-beradik Puan Mahfuzah pernah juga pergi ke rumah Mak Long Rauzah. Namun, mereka tidak pernah nampak kelibat kereta Mak Long Rauzah setiap kali mereka cuba menziarahi dua beradik itu. Mereka beranggapan bahawa Mak Long Rauzah berserta dua orang anak saudara mereka itu telah berpindah ke tempat lain sehingga membuatkan keluarga besar Puan Mahfuzah sudah berputus asa untuk mencari Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah.
Takdir Allah, salah seorang sepupu dua beradik tersebut yang merupakan anak kepada Pak Lang Haiman bertembung dengan Suhaibul Umar bekerja di kedai makan sementara Suhaibul Umar menunggu keputusan SPM. Pada waktu itu, Suhaibul Umar sedang mengambil pesanan sepupunya itu. Hendak dijadikan cerita, setelah dilihat wajah iras Suhaibul Umar seperti almarhumah Puan Mahfuzah, sepupunya terus bertanyakan namanya.
Dari situlah, dua beradik itu bertemu kembali dengan keluarga besar Puan Mahfuzah dengan penuh syahdu. Tambahan pula, saudara-mara mereka berdua telah mengetahui kisah perjalanan Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah setelah mereka tinggal bersama Mak Long Rauzah sehingga membuatkan keluarga besar Puan Mahfuzah benar-benar marah dan kecewa.
Selama ini, patutlah wanita kejam itu tidak pernah berhubung dengan keluarga besar adik iparnya itu. Rupa-rupanya, dia seronok mendera dua beradik itu dan cuba elak dari bertemu.
Qistur Ruwaidah memperkenalkan adik-beradik almarhumah ibunya itu. “Habibi… Ni semua adik-beradik almarhumah mama. Pak Long Nawab, Pak Lang Haiman dan Mak Su Anisah.”
Mohamad Salahuddin menghadiahkan senyuman seraya mengangguk hormat.
“Segak sungguhlah Din ni. Dah kerja ke?” tegur Mak Su Anisah, adik bongsu almarhumah Puan Mahfuzah.
Mohamad Salahuddin tersengih kecil tatkala mendengar pujian ibu saudara isterinya itu. “Belajar lagi macam Qist tapi saya buat kerja sambilan ajar budak sekolah rendah, sekolah menengah dan kelas mengaji kat sekitar Bangi dan Gombak ni,” balasnya.
“Oh macam tu… Bagus Din. Berpandangan jauh. Apa-apa pun, tolong jaga Qist elok-elok macam mana arwah mama baba dia sayangkan dia tahu.”
“Insya-Allah Mak Su. Saya akan jaga Qist elok-elok,” kata Mohamad Salahuddin seraya menggenggam erat tangan isterinya itu. Dia benar-benar berjanji untuk perkara itu sejak isterinya menerima lamarannya pada bulan Mei lepas.
Qistur Ruwaidah memandang wajah suaminya dan juga, pegangan tangan tersebut. Sedarilah dia bahawa Mohamad Salahuddin amat cintakan dirinya. Dia juga tidak menafikan bahawa cinta dia terhadap suaminya semakin mendalam.
“Ha, Qist, Din… Ada masa nanti, datanglah ziarah Pak Long dan Mak Long Halimah. Qist pun dah lama tak ziarah kami sejak tinggal dengan kakak Isyraf dulu, kan?” tegur Pak Long Nawab.
Pak Long Nawab dan Mak Long Halimah sudah berkahwin selama tiga dekad, namun rezeki anak tidak menyebelahi mereka berdua. Walaupun tidak dikurniakan zuriat, mereka tetap bahagia. Pak Nawab sendiri tidak berkeinginan untuk menduakan isterinya biarpun Mak Long Halimah pernah mengizinkan suaminya untuk berpoligami.
“Ah ya Pak Long. Insya-Allah. Memang tulah niat Qist dan Din nanti. Emm… Qist minta maaf Pak Long. Bukan Qist dan Abang Suhaib tak nak ziarah dulu tapi keadaan pun tak mengizinkan masa tu. Pak Long pun faham, kan?” ujar Qistur Ruwaidah.
“Yalah. Pak Long pun faham. Kesian kat kau orang masa tu. Kalaulah Pak Long tahu keadaan kau orang jadi macam tu dulu, baik Pak Long dan Mak Long je yang jaga kau orang. Bagi kasih sayang dan pendidikan yang cukup. Besar pahala kami kalau kami jaga anak yatim piatu macam kau orang masa tu,” balas Pak Long Nawab.
“Tak apalah Pak Long. Benda pun dah lepas. Kita orang terima je cara kita orang dibesarkan dengan cara tak bernasib baik dulu. Kakak baba pun dah tak ada.”
Akan tetapi, Mohamad Salahuddin dapat merasakan getaran tangan Qistur Ruwaidah. Namun, dia tidak mahu bertanya apa-apa buat masa ini. Dia tahu isterinya sedang menahan marah.
Usai pasangan itu bersembang dengan keluarga di sebelah almarhumah ibunya, mereka berdua melayan tetamu yang lain pula.
Kemudian, Qistur Ruwaidah meminta izin kepada suaminya untuk meninggalkan majlis itu buat sementara waktu bagi memperkemaskan mekapnya untuk sesi fotografi dan videografi anggaran jam 1.00 petang nanti. Waktu itu, mereka berdua terlindung daripada tetamu seketika.
“Sayang… Janganlah mekap lama-lama sangat. Nanti habibi rindu sayang,” ucap Mohamad Salahuddin dengan manja. Memek wajahnya berubah sedih.
Qistur Ruwaidah mencebik. Lalu, dia mencubit manja lengan suaminya itu. “Eii… Habibi ni, kan! Mengada! Sayang nak pergi mekap je pun!”
Pasangan pengantin itu ketawa bersama. Kebahagiaan terasa.
Sebelum pasangan itu berpisah, Mohamad Salahuddin dapat menyaksikan anak mata Qistur Ruwaidah kelihatan agak sedih akan perpisahan yang amat sementara itu sepertimana dia juga berasa sedih untuk berpisah dengan isterinya seketika. Sang suami memujuk isterinya.
“Sayang… Janganlah sedih. Habibi pun sedih juga sayang nak tinggalkan habibi sekejap. Emm… Sayang nak pergi mekap kat tingkat bawah je, kan? Habibi ada je kat sini. Bukannya habibi nak pergi mana-mana pun. Sayang dah siap mekap nanti, kita jumpa balik ya,” pujuk Mohamad Salahuddin.
Qistur Ruwaidah tersipu-sipu malu. Sebuah senyuman dihadiahkan untuk suaminya itu. “Mana habibi tahu sayang tengah sedih ni?”
Sekali lagi, Mohamad Salahuddin berbisik di tepi telinga isterinya, sama seperti situasi selepas solat sunat nikah tadi. “Mata sayang terangkan segalanya. Apa yang sayang rasa, macam tulah habibi rasa. Habibi takkan biarkan sayang sedih lagi macam dulu.”
Qistur Ruwaidah terkesima seketika. Kemudian, dia tersenyum lagi. Dia teringat pula akan momen sama yang cukup romantis itu selepas usainya solat sunat nikah di antara mereka berdua tadi. “Nanti kita jumpa balik ya, habibi. Sayang cuba untuk tak lama. Insya-Allah,” balasnya. Lalu, dia menyalam tangan suaminya itu.
“Insya-Allah sayang,” balas Mohamad Salahuddin dengan mengucup dahi isterinya secara spontan.
Qistur Ruwaidah menjadi kaget seketika. Suaminya benar-benar mencintai dirinya tanpa syarat.
‘Alhamdulillah. Perjalanan aku sebagai isteri kepada Mohamad Salahuddin bin Mohd Firdaus sudah bermula. Terima kasih Allah,’ bisik hati Qistur Ruwaidah seraya memandang suaminya yang sedang melambai ke arahnya.
Mohamad Salahuddin juga memandang isterinya bersama Tihaani dari kejauhan. ‘Ya Allah… Terima kasih kerana Kau mengurniakan aku seorang isteri bernama Qistur Ruwaidah binti Isyraf Imrani, penyejuk mataku. Aku cintakan dia dan aku takkan sia-siakan dirinya. Aku akan bahagiakan dia juga. Itu janji aku kepada-Mu dan juga, isteriku. Insya-Allah,’ bisik hatinya.
QISTUR RUWAIDAH ditemani oleh Tihaani selaku jurumekapnya manakala ‘The Dulang Girls’ yang lain pula sedang menunggu di atas. Mereka tidak mahu mengganggu sesi memperkemaskan mekap itu. Tambahan pula, mereka juga telah diamanahkan oleh Qistur Ruwaidah bagi menjaga hantaran-hantaran yang terletak di dalam masjid. Bimbang pula jika ada orang lain cuba untuk mencuri hantaran.
Waktu itu, Qistur Ruwaidah dan Tihaani berada di tingkat masjid paling bawah. Jika semester bermula, tingkat tersebut menjadi tumpuan para mahasiswi untuk berehat dan merarau sementara menunggu azan zuhur dan kuliah pada jam 2.00 petang.
“Seronoknya aku tengok kau dan Din tadi. Romantik sangat! Bersemut tahu. Lagi-lagi masa Din nak pegang tangan kau. Masuk kali kelima, baru kau okey ya,” Tihaani memulakan perbualan dengan penuh ceria.
Qistur Ruwaidah tergelak segan. “Ya Allah… Tu juga yang kau ingat, Tihaani! Aku cuak tahu,” katanya seraya menanggalkan segala jarum peniti yang dicucuk pada tiara pengantin dan velnya.
Namun, dia sudah boleh menarik nafas lega apabila dia telah sah menjadi isteri kepada lelaki yang dia cintai itu.
“Mestilah. Aku rakam weh. Juruvideo pun rakam momen tu tahu. Eii… Aku tak sabarlah nak tengok video kau orang nanti. Mesti sweet!” kata Tihaani.
“Isy! Sweet apanya. Memalukan adalah!” kata Qistur Ruwaidah seraya menanggalkan pin-pin yang dicucuk pada tudung bawal labuhnya itu. Lalu, dia menggantungkan tudung tersebut di bahagian pemegang tingkap agar tudungnya tidak menjadi kedut.
“Jujurlah Qist… Kau rasa macam mana masa akad tadi?”
“Emm… Macam mana? Uish! Mestilah aku berdebar dan terharu. Berdebar sebab aku dah mula rasa tanggungjawab aku makin besar. Terharu sebab aku dah ada suami.”
“Aww… So sweet! Aku tengok cara Din pandang kat kau tadi, aku nampak cinta dia kat kau mendalam sangat.”
“Ya ke?” soal Qistur Ruwaidah seraya tersengih.
Walhal, Qistur Ruwaidah tahu berkenaan itu. Cumanya, takkanlah dia hendak mengkhabarkan kepada seluruh dunia bahawa dia sedang bahagia dengan perkahwinan dan kini, dia dilamun cinta terhadap suaminya itu. Cukuplah sekadar dia menyimpan di antara dirinya dan suaminya sahaja. Baginya, lebih manis, lebih bererti dan eksklusif.
“Eleh! Tak nak mengakulah tu,” usik Tihaani.
“Kau ni… Ada-ada je. Ha sis, bolehlah kau touch up mekap aku ni. Aku rasa mekap aku makin cair.”
“Memang mekap kau kena touch up tapi aku akan touch up pun taklah teruk sangat. Sikit-sikit je,” balas Tihaani seraya mengeluarkan barang-barang mekapnya.
Lalu, Tihaani mula memperkemaskan mekap sahabatnya itu. Tidak banyak yang perlu diubah. Lagi pula, permukaan kulit muka Qistur Ruwaidah sangat cantik dan gebu. Tiada sebarang jerawat atau parut jerawat. Setelah dia berpuas hati dengan hasil tatariasnya itu, dia menyembur ‘setting spray’ sebagai sentuhan terakhir.
Kemudian, Qistur Ruwaidah menyarung anak tudung dan tudung bawalnya itu setelah ‘setting spray’ tersebut sudah sebati pada wajahnya. Lalu, Tihaani menggayakan tudung sahabatnya itu.
Sewaktu Tihaani hendak memakaikan vel di atas kepala Qistur Ruwaidah, tiba-tiba telefon pintar Qistur Ruwaidah berbunyi dari beg Tihaani. Tihaani segera mengeluarkan telefon pintar kawannya itu untuk melihat nama pemanggilnya.
Din(320)
“Ehem… Ni cik abe tersayang hubungi kau. Dia dah rindu kaulah tu,” usik Tihaani.
Qistur Ruwaidah tersenyum kecil, namun hatinya… ‘Err… Suami aku hubungi aku? Seganlah pula aku nak jawab. Eh, aku ni pun! Tadi, bukan main rasa berat hati nak tinggalkan suami sekejap,’ bisik hatinya. Dia masih belum menukar nama suaminya di bahagian ‘contacts’. Cadangnya, dia mahu menukar kepada ‘AA Habibi, Din’ nanti agar nama suaminya berada di senarai paling atas.
Melihatkan Qistur Ruwaidah masih tidak mengambil telefon pintarnya daripada Tihaani, sahabatnya itu menyedarkan dia dari lamunan. “Qist! Kau berangan apa lagi tu! Ambillah telefon ni. Tak nak jawab panggilan cik abe ke? Ke nak aku tolong jawabkan?”
Barulah Qistur Ruwaidah tersedar setelah Tihaani mematikan lamunannya. Lalu, dia mengambil telefon pintarnya itu seraya dia bangun dari tempat duduknya untuk bersembang secara privasi dengan suaminya.
Sebuah isyarat turut ditinggalkan oleh Qistur Ruwaidah untuk Tihaani menandakan bahawa dia mahu bersendirian seketika. Tihaani menghadiahkan sengihan kepada kawannya itu seraya menggelengkan kepala. Tahulah kawannya baru bercinta dengan sang suami!
Qistur Ruwaidah segera menjawab panggilan suaminya itu. “Assalamualaikum habibi,” ucapnya dengan penuh manja.
Mohamad Salahuddin tersenyum mendengar suara manja isterinya itu buat kali pertama. Tatkala itu, dia rasa tidak keruan pula. “Waalaikummussalam. Habibi minta maaf sebab kacau sayang sekejap. Sayang dah siap mekap ke tu?”
“Eh, tak adalah! Habibi tak kacau sayang pun. Sayang dah siap mekap. Tinggal nak pakai vel je. Lagi 10 minit, sayang dan Tihaani naik atas. Sekejap tahu, habibi. Sayang tahu habibi rindu kat sayang.”
“Mestilah sayang! Gila habibi tak rindu! Tak sabar nak jumpa buah hati habibi ni! Cepat-cepat siap tahu. Habibi dah rindu sangat kat sayang.”
“Amboi, habibi ni! Kita baru berpisah sekejap je tahu. Mengada! Emm… Tapi kan habibi… Sayang pun rindulah kat habibi. Rindu sangat,” kata Qistur Ruwaidah dengan penuh manja. Lalu, dia tersengih di hujung talian. ‘Mengadanya aku ni pun! Eh, tak kisahlah! Nak mengada pun dengan suami je.’
Secara tidak sedar, Mohamad Salahuddin pun tersengih di hujung talian. Suara manja isterinya amat menceriakan dan menenangkan dirinya. Kalbunya berbunga mekar. “Ceh, habibi dah tahu sangat! Okey sayang. Kita jumpa sekejap lagi. I miss you!”
Qistur Ruwaidah merasakan bahawa hubungan penuh romantis di antara dirinya dan suaminya bertambah erat meskipun melalui panggilan telefon sahaja. Hatinya sudah tidak sabar untuk bertemu kembali dengan buah hati merangkap suaminya itu. ‘Mohamad Salahuddin, habibi… I love you,’ bisik hatinya. Namun, dia masih tidak mampu mengungkapkan kalimah cinta itu kepada suaminya.
“Habibi ni… Ada-ada je. Okey, I miss you too. Sayang tak sabar nak jumpa habibi yang kacak macam putera tahu,” giliran Qistur Ruwaidah pula bermadah untuk suaminya.
“Sayang panggil habibi ‘putera’? Wah, habibi bangga tahu! Insya-Allah kita akan jumpa balik sekejap lagi, sayang. Seorang putera akan bertemu dengan puteri hatinya. Amboi, kita ni! Berjiwang pula. Nanti kita sembang lain ya, sayang,” ucap Mohamad Salahuddin.
Kedengaran suara Mohamad Salahuddin begitu ceria pada pendengaran Qistur Ruwaidah. Entah beberapa kali sang isteri itu tersengih-sengih ibarat terkena panahan cinta maya yang ditusuk oleh suaminya sehingga ke relung hatinya.
“Mestilah habibi kacak macam putera. Hihihi… Okey habibi. Sayang minta izin nak matikan panggilan dulu. Jumpa sekejap lagi. Assalamualaikum.”
“Okey sayang. Waalaikummussalam.”
Talian dimatikan.
‘Din… Aku tak sangka kau ni romantik rupanya. Macam manalah aku tak makin cinta kat kau?’ bisik hati Qistur Ruwaidah seraya tersenyum. Suaminya itu… Ah, romantik sangat! Apa lagi agaknya babak romantis yang bakal suaminya tunjukkan kepada dirinya itu? Dia tidak mahu memikirkan apa-apa lagi kerana dia sudah tidak sabar untuk menemui suaminya kembali dan dia sendiri sudah merindui suaminya. Lalu, dia menuju ke arah Tihaani semula.
“Untunglah suami telefon. Lama pula boraknya. Kau orang macam tak jumpa je sekejap lagi,” usik Tihaani.
“Dah suami aku rindu. Aku layankan jelah,” balas Qistur Ruwaidah seraya tersenyum lebar.
Tihaani tersenyum gembira menyaksikan keadaan Qistur Ruwaidah itu, lalu diletakkan tiara dan vel di atas kepala sahabatnya itu. ‘Moga bahagia milik kau, Qist. Moga Din akan sentiasa mencintai kau sampai bila-bila. Amin…’ bisik hatinya.
MAJLIS akad nikah Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin tamat lebih awal dari yang dijangkakan sekitar jam 12.00 tengahari. Para tetamu beransur pulang setelah mereka menikmati juadah yang tersedia dan turut dibungkus untuk dibawa pulang. Namun, pasangan pengantin itu masih belum pulang kerana mereka perlu menjalani sesi fotografi dan videografi di masjid dan sekitarnya.
Bagi ‘The Dulang Boys’ dan ‘The Dulang Girls’, mereka akan membantu pasangan itu bagi membawa semula hantaran ke kereta Suhaibul Umar yang diparkir di sekitar Main Auditorium. Pasangan itu juga turut menerima beberapa hadiah kahwin yang dihadiahkan oleh sanak saudara.
Hantaran seperti buah-buahan, beberapa keping coklat dan lebihan potongan kek diberikan kepada keluarga Mohamad Salahuddin untuk dibawa pulang ke Bangi dan lelaki itu juga mengambil beberapa keping coklat dan potongan kek hantaran tersebut. Hantaran selebihnya dibawa ke rumah Qistur Ruwaidah.
Sebelum para pembawa dulang hantaran berpisah dengan pengantin baru itu, Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah menghadiahi setiap orang wang tunai yang diletakkan ke dalam sampul duit.
“Sagu hati daripada aku dan Qist. Terima kasih sangat untuk hari ni. Kau orang dah banyak kerahkan tenaga untuk bawa dan jaga hantaran kita orang. Tanpa kau orang, majlis ni takkan berjaya,” ucap Mohamad Salahuddin dengan rendah diri.
“Allah Din… Tak ada apa sangatlah yang kita orang tolong pun. Setakat tolong bawa dan jaga hantaran, tak ada hallah bro. Apa-apa pun, terima kasih untuk sagu hati ni. Kita jumpa hari Sabtu depan untuk majlis kesyukuran kau orang pula. Satu lagi, kau orang jangan tak datang kelas pula hari Isnin ni. Semester baru dah mula,” kata Muhammad Raeed, lalu dia menyerahkan kunci kereta sahabatnya itu bersama sebuah sengihan.
“Insya-Allah Raeed. Mana boleh kita orang lupa pasal semester baru Isnin ni. Eh, kunci kereta aku! Ya Allah! Baru aku teringat pasal kunci kereta aku. Kalau kau pun lupa, tak baliklah aku dan Qist,” seloroh Mohamad Salahuddin seraya menyambut kunci kereta tersebut.
Para pembawa hantaran ketawa mendengar kata-kata si pengantin lelaki itu. Akhirnya, mereka bersalaman dengan pengantin baru itu dan mendoakan kebahagiaan buat Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah yang baru sahaja hendak memulakan hidup berdua.
Suhaibul Umar berbicara sebentar dengan pasangan itu. “Adik, Din… Abang kena gerak sekarang sebab abang nak kena tunjuk kereta abang kat budak-budak tu. Kita jumpa kat rumah nanti. Oh satu lagi… Selamat tinggalkan memori bersama,” ucapnya.
Pasangan itu tersenyum. “Okey abang,” balas mereka berdua.
Akhirnya, Suhaibul Umar dan para pembawa dulang hantaran meninggalkan Masjid Sultan Haji Ahmad Shah (SHAS) itu.
Kini, tinggal Puan Zaidah, Encik Mohd Firdaus, Sakeenah serta beberapa orang sanak saudara bagi membantu keluarga tersebut untuk membawa hantaran ke kereta Encik Mohd Firdaus sebelum masing-masing berpisah haluan.
Keluarga Mohamad Salahuddin akan pulang ke inap desa semula dan selepas itu, mereka akan pulang ke Bangi terus.
“Along, Kak Long… Ayah, mak dan Keena balik dulu tahu. Sekejap lagi, kami check out dari homestay dan balik Bangi. Jumpa hari Sabtu depan pula,” kata Encik Mohd Firdaus.
“Insya-Allah. Okey ayah. Ayah, mak… Terima kasih sangat untuk hari ni dan taja majlis akad nikah Along dan Kak Long. Juga, majlis kesyukuran kami untuk minggu depan. Untuk Keena pun, terima kasih juga sebab Keena dah banyak bantu Abang Long beberapa hari sebelum majlis. Tanpa ayah, mak dan Keena yang bersusah payah untuk hari bersejarah Along dan Kak Long hari ni, majlis akad nikah ni takkan berjaya,” ucap Mohamad Salahuddin.
“Ya mak, ayah, Keena… Kak Long pun nak ucap terima kasih untuk semuanya dan terima kasih juga sebab sudi terima Kak Long dalam keluarga ni,” ucap Qistur Ruwaidah.
Puan Zaidah meraih tangan kedua-dua pengantin itu. “Sama-sama Along, Kak Long. Kami faham Along dan Kak Long pun baru nak mula hidup bersama. Jadi, tajaan majlis akad nikah ni dan majlis kesyukuran nanti ialah hadiah kami buat Along dan Kak Long. Buat Kak Long… Sekali lagi mak nak cakap, selamat datang ke keluarga kami. Mak, ayah dan Keena sangat sayang kat Kak Long macam keluarga kami sendiri. Macam ayah cakap lepas akad tadi, kami takkan boleh gantikan arwah mama baba Kak Long tapi kami harap kehadiran keluarga kami ni dapat kurangkan rasa rindu Kak Long kat keluarga Kak Long yang dah tak ada.”
“Betul tu. Ayah pun gembira sangat dengan kehadiran Kak Long dalam keluarga kami. Lagi-lagi, Kak Long pun dah bagi kegembiraan yang cukup besar buat Along. Pesan kami… Hiduplah berkasih sayang, tolak ansur dan saling percaya antara satu sama lain. Insya-Allah, bahagialah rumah tangga Along dan Kak Long.”
Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah segera memeluk ibu bapa mereka. Sebak.
Bagi Sakeenah pula, dia hanya berpelukan dengan abang dan kakak iparnya itu. Tiada bicara yang mampu dia ungkapkan melainkan dia rasa bahagia untuk pasangan itu. “Keena tak ada apa nak cakap sebab Keena rasa Keena dah cakap banyak masa majlis tadi. Jumpa hari Sabtu depan. Keena tak sabar nak tengok baju kahwin Abang Long dan Kak Long nanti!”
Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah tersenyum tatkala mendengar kata-kata Sakeenah itu.
Akhirnya, Puan Zaidah, Encik Mohd Firdaus, Sakeenah dan beberapa orang saudara-mara mereka meninggalkan Masjid SHAS tersebut.
Kini, tinggallah Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin bersama staf LurveMahabbah untuk sesi fotografi dan videografi di sekitar Masjid SHAS itu.
Sejujurnya, Qistur Ruwaidah mahupun Mohamad Salahuddin sangat kekok untuk bergambar dalam situasi begini. Tambahan pula, mereka baru sahaja disahkan sebagai pasangan suami isteri dan memanglah menambahkan rasa kekok yang cukup mendalam dalam diri mereka.
Mujurlah para staf syarikat gambar tersebut bijak menghangatkan suasana dan mengajarkan pelbagai gaya kepada pasangan itu. Terserlah keceriaan di wajah Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah. Hilang seketika sifat malu yang menebal dalam diri mereka.
Sewaktu staf LurveMahabbah mengarahkan Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin berpandangan sesama mereka, jantung mereka berdegup kencang. Tambahan pula, jurugambar dan juruvideo meminta Qistur Ruwaidah meletakkan kedua-dua belah tapak tangannya di dada suaminya manakala Mohamad Salahuddin perlu merangkul pinggang isterinya. Semakin lajulah degupan jantung mereka, namun ketenangan tetap dirasai.
“Sayang okey tak?” tanya Mohamad Salahuddin ketika aksi romantis mereka itu dirakam.
“Malu…” jawab Qistur Ruwaidah dengan perlahan tetapi intonasinya penuh manja.
Mohamad Salahuddin tersengih kecil. ‘Comel je isteri aku ni. Manja pun manja.’
“Okey Qist, Din… Sekarang, buat gaya macam ni,” kata salah seorang jurugambar sambil menunjukkan gaya acah-acah terkejut bersama rakan setugasnya itu.
Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin saling berpandangan, lalu mereka berdua tersenyum malu. Kedua-dua belah tangan mereka berdua diangkat seraya memberikan ekspresi tersendiri. Kedua-dua belah pipi pasangan mempelai itu semakin memerah lantaran menahan malu yang cukup mendalam.
Tidak cukup dengan itu, juruvideo pula menyuruh Mohamad Salahuddin menutup mata Qistur Ruwaidah. Selepas aksi itu berjaya dirakam, pasangan itu ketawa.
“Okey, kita rehat dalam 10 minit,” kata salah seorang juruvideo.
Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin berehat seketika dengan melabuhkan punggung di tangga sekitar Masjid SHAS itu.
“Habibi… Penat juga sesi fotografi dan videografi ni ya,” luah Qistur Ruwaidah sambil memandang wajah suaminya. Tatkala itu, hatinya menjadi amat tenang memandang raut wajah Mohamad Salahuddin itu. Pandangan cinta? Sudah semestinya!
Mohamad Salahuddin membalas pandangan isterinya itu. Kelembutan raut wajah Qistur Ruwaidah semestinya mendamaikan kalbu sang suami. “Agaklah… Tapi habibi seronok je sebab sayang ada sekali. Tak sangka… Hari ni, habibi dah boleh rapat-rapat dengan sayang. Sebelum ni, kena ada jarak je,” katanya seraya tersengih.
“Habibi dah jadi suami dan mahram sayang, bolehlah. Kalau tak kahwin lagi, jangan haraplah nak rasa macam ni,” kata Qistur Ruwaidah. Lalu, dia tersengih.
Mohamad Salahuddin turut tersengih sambil menggenggam erat tangan kanan isterinya itu. “Sayang…”
“Ya habibi?” respons Qistur Ruwaidah sambil meletakkan tangan kirinya di atas tangan suaminya itu.
“Terima kasih sebab jaga aurat lengan sayang dengan pakai stoking lengan ni. Habibi cemburu dan rasa berdosa kalau lelaki lain nampak tahu. Tak salahkan habibi nak rasa macam ni?” ujar Mohamad Salahuddin. Terselit sedikit intonasi cemburu itu.
“Sama-sama habibi. Ni semua berkat didikan Abang Suhaib dan juga, sekolah menengah sayang dulu. Alhamdulillah. Habibi tak salah pun nak rasa cemburu. Habibi berhak je. Abang Suhaib pun sama je macam habibi kalau sayang tak pakai stoking lengan. Memang dia akan marah,” kata Qistur Ruwaidah seraya tersenyum.
“Habibi nak cakap terima kasih kat Abang Suhaib nanti sebab Abang Suhaib dah didik sayang jadi perempuan solehah. Besar pengorbanan dia lepas mama baba dah tak ada,” luah Mohamad Salahuddin. Betapa dia sebak mengenangkan keperitan dan kesusahan menjadi anak sulung kerana dia juga merupakan anak sulung yang turut memiliki adik perempuan. Dia juga banyak beralah dan berkorban untuk adiknya, Sakeenah.
“Mesti Abang Suhaib gembira dapat ucapan macam tu daripada habibi. Habibi beritahu je Abang Suhaib nanti. Habibi… Sebenarnya, pasal gaya kita kena buat-buat terkejut tu, sayang malu sangat nak tengok muka habibi lama-lama,” kata Qistur Ruwaidah dengan malu-malu.
“Eleh… Malu konon. Sayang tak sudi ke nak tengok muka habibi ni sampai akhir hayat kita? Kesianlah kat habibi ni,” ujar Mohamad Salahuddin sambil tersenyum penuh goda. Pinggang isterinya dirangkul seketika.
Wajah Qistur Ruwaidah kian memerah tatkala suaminya menghadiahkan senyuman yang membuatkan kalbunya berdegup laju. Rangkulan suaminya juga membuatkan dirinya kian malu. “Habibi… Kenapa mengada sangat ni! Nanti dia orang nampaklah. Jangan peluk sayang kat sini. Buat sayang makin malu je.”
“Alaa… Apa salahnya? Habibi dah jadi suami sayang, kan? Dah lama habibi tunggu detik ni tahu. Hari ni tercapai juga,” kata Mohamad Salahuddin. Lalu, dia ketawa kecil. Rangkulan pinggang itu dilepaskan. Wajah isterinya ditenung sedalam-dalamnya sehingga isterinya sudah menjadi tidak keruan.
Tingkah Qistur Ruwaidah menjadi serba tidak kena. Memang suaminya itu sengaja mengambil kesempatan terhadap dirinya pada waktu sesi fotografi dan videografi ini. “Habibi jangan nak melebih-lebih pula ya! Sayang tengah malu lagi ni!”
Sekali lagi, Mohamad Salahuddin ketawa. Betapa dia seronok menyakat isterinya itu.
“Qist, Din… Kat mana pertemuan pertama kau orang dalam UIA ni?” soal Mifdal, salah seorang staf LurveMahabbah.
Pasangan itu terdiam seketika. Mohamad Salahuddin memandang isterinya. “Kat mana kita mula-mula jumpa, sayang?”
Tiba-tiba Qistur Ruwaidah teringat akan pertemuan pertama mereka berdua di luar Perpustakaan Dar Al-Hikmah kerana dialah yang menegur suaminya dulu. “Kat luar library sebab sayang yang mula tegur habibi dulu.”
“Eh, yalah! Boleh pula habibi terlupa kat situ.”
“Kalau macam tu, jom pergi sana,” kata Mifdal.
Sewaktu Qistur Ruwaidah hendak menyarung kasut dalam keadaan berdiri itu, dia menjadi terkial-kial. Tiba-tiba suaminya datang membantunya.
“Mari habibi tolong sayang,” kata Mohamad Salahuddin. Lalu, dia menyarung kasut isterinya itu. Bagi sang suami itu, perbuatan tersebut mengajar dirinya untuk sentiasa merendah diri dan menghormati isterinya. Dia berjanji akan terus setia menyarung kasut isterinya sampai bila-bila.
Meskipun perbuatan itu biasa sahaja tetapi Qistur Ruwaidah tetap merasakan bahawa suaminya itu cukup romantik.
Usainya sesi fotografi dan videografi di lokasi terakhir, iaitu sekitar Kafe The Grill, sebuah tempat yang pernah menjadi saksi penerimaan Qistur Ruwaidah terhadap lamaran Mohamad Salahuddin, para staf LurveMahabbah mengucapkan tahniah.
“Tahniah Qist dan Din. Minggu depan, kita jumpa kat CAC pula,” kata Mifdal.
“Alhamdulillah. Terima kasih abang. Insya-Allah,” ucap Mohamad Salahuddin.
Setelah bersalaman dengan pihak tersebut, tinggallah pasangan itu di kafe tersebut buat seketika. Tatkala itu, Mohamad Salahuddin menatap wajah isterinya.
“Sayang… Habibi minta maaf tahu kalau sayang rasa tak selesa pasal sesi fotografi dan videografi tadi. Habibi ikut je apa yang dia orang suruh,” ucap Mohamad Salahuddin. Wajahnya kelihatan serba salah.
“Eh, tak ada apalah! Sayang okey je. Sayang pun nak minta maaf juga kalau habibi rasa tak selesa tadi,” balas Qistur Ruwaidah.
Mohamad Salahuddin menggenggam erat tangan kanan isterinya itu, lalu dikucupnya tangan mulus itu. “Hmm… Nak buat macam mana, kan? Dah lumrah sesi fotografi dan videografi pengantin kena buat macam tu. Kita terima jelah,” katanya sambil meramas jari-jemari itu.
“Tulah… Apa boleh buat… Kita terima jelah tapi rasanya, ada orang tu mengada-ada tadi sampai kita ni jadi malu tahu,” kata Qistur Ruwaidah seraya tersipu-sipu malu. Sejujurnya, dia masih tidak percaya bahawa lelaki itu sudah menjadi suaminya.
Pasangan itu tertawa kecil. Kebahagiaan kian terasa.
“Sebenarnya, habibi nak cakap dari tadi… Emm… Sayang nampak cantik sangat hari ni,” puji Mohamad Salahuddin.
“Habibi puji sayang ni, ada apa-apa makna ke?” seloroh Qistur Ruwaidah.
Tiba-tiba Mohamad Salahuddin mencubit kedua-dua belah pipi isterinya itu. “Eh, sayang ni! Ke situ pula dia. Habibi puji ikhlas tahu.”
“Aduh, sakitlah pipi sayang, habibi! Tak nak kawan dengan habibi,” kata Qistur Ruwaidah dengan manja. Kedua-dua belah pipinya diusap seraya bibirnya dimuncungkan. Begitulah fitrah seorang perempuan apabila bersama dengan orang yang dicintainya. Khas buat sang suami.
Mohamad Salahuddin tersengih dengan kelakuan isterinya yang bersifat keanak-anakan itu. Itulah kali pertama sang suami itu dapat menyaksikan karakter yang cukup manja daripada isterinya selepas suara manja sang isteri itu. “Tak nak kawan sudah. Habibi pun tak nak kawan sayang,” sakatnya. Memang dia sengaja mahu menyaksikan sifat manja isterinya lagi.
Semakin muncunglah bibir Qistur Ruwaidah. “Okeylah… Sayang merajuk,” katanya sambil menoleh kepalanya ke arah lain.
Gelabah Mohamad Salahuddin dibuatnya tatkala isterinya betul-betul merajuk. Dia segera mengubah posisi untuk memandang wajah isterinya. “Eh, habibi gurau je sayang! Alaa… Janganlah macam ni, sayang… Janganlah merajuk… Ha! Sekejap lagi, kita singgah kat drive thru McD. Habibi belanja ais krim kat sayang. Nak?”
Wajah Qistur Ruwaidah terus berubah menjadi ceria. Dia segera memaut lengan suaminya dengan penuh cinta. “Nak! Sayang nak ais krim sundae strawberi. Habibi belanja, kan?”
Mohamad Salahuddin tersengih lagi. Dia gembira kerana isterinya sudi memaut lengannya itu. Kedamaian terasa. “Mestilah sayang. Sayang dah jadi amanah habibi, kan? Setakat ais krim sundae tu, apalah sangat. Sayang nak minta benda lain pun, boleh je. Semuanya untuk sayang.”
Qistur Ruwaidah tersenyum girang. Tatkala itu, dia merasakan bahawa dia telah menyerahkan segala cinta dan jiwa buat peneman seumur hidupnya, Mohamad Salahuddin bin Mohd Firdaus. Dia mahu menjadi isteri terbaik buat lelaki itu.
Kemudian, Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin menuju ke arah parkir Main Auditorium sambil berpegangan tangan sejak dari kafe tadi. Almaklumlah, pasangan ini baru sahaja merasai cinta halal dan semuanya dirasakan indah. Kelihatan kereta Axia warna hitam milik Mohamad Salahuddin diparkir tidak jauh. Kiranya, mereka berdua tidak perlu berjalan jauh.
“Sayang pernah tengok kereta habibi ni, kan?” tanya Mohamad Salahuddin.
“Pernah je tapi sayang tak tahu habibi pakai kereta apa. Ni baru sayang dapat tengok betul-betul,” balas Qistur Ruwaidah.
Mohamad Salahuddin menekan punat kunci keretanya. Kemudian, dia membuka pintu bahagian penumpang di bahagian depan bagi mengutamakan isterinya untuk berada dalam kereta terlebih dahulu. “Silakan masuk tuan puteri, Qistur Ruwaidah,” katanya dengan lagak ibarat penyambut kereta bagi pihak orang kenamaan.
Qistur Ruwaidah tertawa. Ada sahaja idea Mohamad Salahuddin itu bagi meraikan dirinya itu dan membuatkan kalbunya berbunga mekar. Sejujurnya, dia tidak kisah pun jika suaminya tidak berbuat demikian kerana dia mengerti bahawa perkahwinan ini akan ada sahaja pasang surutnya. Tidak akan manis sentiasa. Akan tetapi, dia beranggapan sifat romantik Mohamad Salahuddin itu merupakan salah satu bonus buat dirinya.
“Terima kasih habibi,” kata Qistur Ruwaidah seraya masuk ke dalam perut kereta. Sebuah senyuman dihadiahkan untuk suaminya sebelum suaminya menutup pintu kereta tersebut.
Mohamad Salahuddin menghadiahkan senyuman kepada isterinya kembali. “Sama-sama sayang,” balasnya seraya menutup pintu kereta tersebut.
Kemudian, dia melangkah masuk ke dalam perut kereta. Enjin kereta dihidupkan. Songkok ditanggalkan, lalu diletakkan di tempat duduk belakang.
Qistur Ruwaidah memegang tangan kiri suaminya itu. Perbuatan tersebut mengingatkan dirinya terhadap romantisnya cinta kedua-dua ibu bapanya yang telah pergi dan dia tidak akan lupa sampai bila-bila pun. Sebagaimana almarhumah ibunya melakukan perbuatan tersebut kepada almarhum ayahnya, begitulah juga dia mahu melakukan yang sama untuk Mohamad Salahuddin, suami tercinta.
Puan Mahfuzah tidak pernah jemu untuk memegang tangan Encik Isyraf Imrani sepanjang dalam perjalanan ke mana-mana seperti tempat kerja, pulang ke kampung atau bercuti. Begitu juga Encik Isyraf Imrani melakukan yang sama untuk Puan Mahfuzah.
“Habibi… Sayang minta izin habibi nak pegang tangan habibi sentiasa sepanjang habibi memandu ni dan juga, sampai bila-bila dan tak kira kat mana-mana,” pinta Qistur Ruwaidah.
“Boleh sayang. Habibi pun akan buat yang sama kat sayang kalau sayang yang pandu kereta. Cumanya, kenapa tiba-tiba sayang minta izin ni?” ujar Mohamad Salahuddin.
“Sayang teringat kat mama. Dulu, mama mesti pegang tangan baba kalau baba tengah pandu kereta. Baba pun akan buat yang sama kalau mama tengah pandu kereta. Tak kisahlah nak pergi mana-mana pun. Mama baba romantik sangat.”
“Wah, memang romantik! Kalau tu boleh mengubat kerinduan sayang kat mama baba, kita teruskan apa yang mama baba pernah buat. Apa je yang sayang terlintas pasal mama baba dan sayang nak buat kat habibi, habibi okey je. Kita sama-sama belajar cara nak harmonikan rumah tangga kita ya.”
Qistur Ruwaidah tersenyum. Lalu, dia mengusap tangan kiri suaminya dengan penuh kelembutan. “Insya-Allah habibi.”
“Sebenarnya, habibi pun nak cakap sesuatu kat sayang. Emm… Habibi minta maaf sebab habibi mampu beli kereta Axia ni je dulu. Ni pun kereta terpakai. Nak beli kereta baru dan lagi besar, habibi tak mampu lagi. Habibi takut sayang tak selesa je,” ucap Mohamad Salahuddin dengan serba salah.
“Habibi… Kenapa cakap macam tu? Sayang tak kisah langsung. Okeylah habibi ada kereta daripada tak ada kereta langsung. Orang lain kahwin, ada motor je dulu tahu. Ada juga yang kahwin tapi tak ada motor atau kereta langsung. Bagi sayang, sayang dah bersyukur sangat. Ni pun sayang rasa selesa. Terima kasih habibi sebab sentiasa cuba nak bahagiakan sayang sejak kita tunang dulu sampailah sekarang,” kata Qistur Ruwaidah. Lalu, dia mencium pipi suaminya.
Mohamad Salahuddin tersenyum tatkala dia menerima kucupan pipi daripada isteri tercinta. ‘Ya Allah… Aku reda dengan isteriku, Qistur Ruwaidah.’
RUMAH QISTUR RUWAIDAH
2.15 PETANG
Sesampai sahaja kereta Mohamad Salahuddin di pekarangan rumah Qistur Ruwaidah setelah Mohamad Salahuddin membelanjai isterinya ais krim melalui pandu lalu McDonalds tadi, pasangan itu keluar dari perut kereta. Kelihatan Suhaibul Umar sedang membuka pintu mangga ruang tamu setelah dia mendengar bunyi enjin kereta di luar rumah.
Mohamad Salahuddin mengeluarkan bagasinya dari bonet kereta. Dia akan berada di rumah isterinya sehinggalah selesai majlis kesyukuran nanti. Kemudian, dia akan membawa isterinya bagi memulakan hidup berdua di rumah sewa sekitar Gombak. Tidak jauh dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan rumah kediaman isterinya.
Mohamad Salahuddin juga memahami bahawa isterinya akan berasa sedih untuk berjauhan dengan abangnya itu. Jadi, dia sanggup mencari rumah sewa yang tidak jauh dari rumah isterinya.
Mudah bagi Qistur Ruwaidah berulang-alik untuk berjumpa dengan Suhaibul Umar jika dia dipagut rasa rindu terhadap abangnya.
Semuanya demi cinta dan ihsan seorang Mohamad Salahuddin terhadap isterinya itu. Dia sanggup buat apa sahaja asalkan isterinya gembira bersama dengan dirinya.
“Assalamualaikum Abang Suhaib,” ucap Qistur Ruwaidah setelah dia melangkah masuk ke dalam rumah.
“Waalaikummussalam adik. Aik? Ada ais krim? Singgah McD ke tadi?” ujar Suhaibul Umar. Dia cukup kenal bekas ais krim yang dipegang oleh adiknya itu.
Qistur Ruwaidah tersengih nakal. Tiba-tiba kedengaran suara Mohamad Salahuddin di belakang isterinya itu bersama bagasinya. “Haah abang. Adik abang ni merajuk lepas kena sakat dengan Din. Din cubalah pujuk dia dengan ais krim. Nasib baik dia nak.”
“Amboi, adik! Mengadanya lepas dah ada suami ni!” usik Suhaibul Umar.
Qistur Ruwaidah memaut lengan Mohamad Salahuddin. “Mestilah!”
Mereka bertiga tertawa bahagia.
Dalam hati Suhaibul Umar, dia tumpang bahagia untuk adik tercintanya dan juga, adik iparnya itu. Kelihatan adiknya amat bahagia bersama Mohamad Salahuddin dan itu membuatkan kalbu si abang berasa amat lega. Jauh di sudut hati, dia telah menerima Mohamad Salahuddin sepertimana dia menerima Abdul Azim dalam kehidupannya.
Terkenangkan Abdul Azim masih berusaha untuk melupakan Qistur Ruwaidah dan lagi parah, adiknya merupakan cinta pertama sahabat baiknya itu, membuatkan Suhaibul Umar mendoakan agar lelaki itu akan menemui pengganti adiknya kelak.
Berkenaan majlis akad nikah adiknya, dia tidak memaklumkan langsung kepada Abdul Azim bahawa hari ini merupakan hari penyatuan Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin. Sahabat baiknya hanya mengetahui tarikh majlis kesyukuran pasangan itu sahaja. Bukan apa… Dia tidak mahu menambahkan luka sahabatnya itu.
Biarlah Abdul Azim mengetahui sendiri dari laman media sosial Mohamad Salahuddin atau Qistur Ruwaidah kerana Suhaibul Umar pasti bahawa pasangan tersebut akan menghebahkan berita gembira itu nanti atau mungkin juga Abdul Azim sudah mengetahui daripada orang lain.
“Abang dah panaskan lauk tadi. Kalau kau orang nak makan, makanlah. Mesti kau orang lapar sebab tak makan tadi, kan?” ujar Suhaibul Umar.
“Haah… Adik lapar juga ni. Lagipun, kita orang cuaklah tadi. Mana ada selera nak makan. Ni pun baru ada rasa nak makan tapi kita orang makan lepas asarlah kut. Nak rehat kat bilik dulu. Jom habibi,” kata Qistur Ruwaidah seraya memandang suaminya dengan jelingan manja.
Mohamad Salahuddin tersenyum penuh makna. ‘Alahai… Bidadari aku boleh pula jeling macam tu. Qist sayang… Aku tak tahu kau semanja ni rupanya. Tiba-tiba aku rasa istimewa pula,’ bisik kalbunya.
“Wah wah wah, adik abang panggil suami dia ‘habibi’. Aww… So sweet!” sakat Suhaibul Umar. Barulah dia mengetahui panggilan adiknya kepada Mohamad Salahuddin itu.
Qistur Ruwaidah menampar lembut lengan abangnya. Tiba-tiba dia menjadi malu pula dengan abangnya itu. “Isy, abang ni! Ke situ pula!”
Mohamad Salahuddin hanya menggelengkan kepalanya tatkala dia menyaksikan adegan dua beradik yang mencuit hati itu. Hendak menyampuk pun, dia tiada idea buat masa ini. Sebentar lagi, dia dan isterinya akan berdua sahaja dalam bilik tanpa gangguan orang lain. Itu membuatkan dirinya cuak berganda.
Apakah dialog yang dia perlu mulakan dengan isterinya supaya mereka berdua tidak berasa terlalu cuak? Bagaimanakah dia hendak memulakan langkah sebagai seorang suami untuk menyantuni isterinya yang baru sahaja dia kahwini itu? 1001 persoalan menerjah dalam fikirannya. Pasti isterinya juga akan memikirkan perkara yang sama.
“Dahlah adik. Abang dah penat nak berdebat dengan adik. Nasib baik adik dah tak teruskan debat bahasa Arab kat UIA Gombak. Ni pun abang dah angkat bendera putih ya,” kedengaran Suhaibul Umar beralah dengan adiknya.
Qistur Ruwaidah tersengih. “Yeay, adik menang lagi! Okeylah abang. Adik dan Din naik atas dulu.”
“Emm… Sayang naiklah dulu. Habibi nak cakap sesuatu dengan Abang Suhaib sekejap,” sampuk Mohamad Salahuddin.
“Kalau macam tu, okeylah. Sayang naik dulu. Mari sayang bawakan luggage habibi tu.”
“Eh, tak apa sayang! Luggage habibi ni berat. Sayang tengah penat, kan? Nak naik tangga lagi.”
Qistur Ruwaidah tersenyum. Ah, seronoknya dia dimanjakan sebegini! Betapa dia bersyukur kerana dia dikurniakan seorang suami persis abangnya. “Okey habibi. Jumpa kat bilik pengantin. Nanti tanya Abang Suhaib.”
Suhaibul Umar turut tersenyum mendengar perbualan pasangan itu. Namun, dia tertanya. Apakah topik yang Mohamad Salahuddin mahu bualkan bersama dirinya?
Setelah susuk tubuh Qistur Ruwaidah hilang dari pandangan dua orang lelaki itu, Suhaibul Umar menghadiahkan senyuman kepada Mohamad Salahuddin. “Din nak cakap apa dengan abang? Kenapa tak nak naik sekali dengan Qist?” soalnya.
“Emm… Ni yang Din nak cakap dengan abang. Sebenarnya, Din rasa debar sangat. Malu dengan Qist. Rasanya, abang pun faham, kan? Dulu, dia bukan mahram Din. Sekarang ni, dia dah jadi mahram Din. Ikutkan Din masih tak percaya, Qist dah jadi isteri Din,” luah Mohamad Salahuddin.
Sekali lagi, Suhaibul Umar tersenyum. “Ooo… Nak cakap pasal ni rupanya. Faham… Yalah, hari ni sangat baru untuk Din dan berlaku dengan pantas. Tahu-tahu, Qist dah jadi isteri Din. Apa-apa pun Din, Din kena bijak kawal keadaan. Lagi-lagi, Din pun nampak Qist masih malu dengan Din tapi Din… Din kena relaks dan bertindak natural. Kalau Din malu, Qist akan jadi lagi malu. Nak tak nak, Din kena mulakan dulu sebagai suami.”
“Emm… Walaupun abang tak kahwin lagi tapi Din setuju sangat. Insya-Allah Din akan buat yang terbaik.”
“Semoga dipermudahkan. Din relaks je. Insya-Allah, semua akan berjalan dengan lancar. Ikut je aturan yang Allah dah tetapkan untuk Din dan Qist. Din ada apa-apa nak cakap lagi?”
“Okey abang. Insya-Allah. Err abang… Boleh tak abang tunjukkan bilik pengantin yang Qist maksudkan tadi? Din takut Din tersalah masuk bilik pula.”
Suhaibul Umar tersenyum. “Boleh. Jom abang tunjukkan,” ujarnya. Kemudian, dia membawa adik iparnya itu ke tingkat atas.
Setelah mereka berdua tiba di hadapan bilik pengantin, Suhaibul Umar menuturkan sesuatu. “Nilah biliknya atau lagi tepat, bilik arwah mama baba.”
“Oh, ni bilik mama baba rupanya. Hujung kiri tu bilik abanglah, kan? Din pun ingat-ingat lupa masa Din pernah bermalam kat sini dulu,” balas Mohamad Salahuddin seraya jari telunjuknya menunjukkan ke arah bilik Suhaibul Umar itu.
“Haah… Betullah tu. Hujung kanan tu, bilik bujang Qist.”
Mohamad Salahuddin mengangguk faham. “Terima kasih abang. Din minta maaf sebab ambil masa abang pula.”
“Sama-sama, Din. Tak ada apalah. Apa-apa pun Din… Selamat tempuh kehidupan baru dengan adik abang. Jaga Qist elok-elok. Abang turun dulu. Semoga berjaya untuk hari ni,” ucap Suhaibul Umar seraya mengenyitkan matanya.
“Insya-Allah. Okey abang,” balas Mohamad Salahuddin seraya membalas kenyitan mata abang iparnya itu. Dia tersenyum malu.
Susuk tubuh sang abang ipar itu mulai hilang dari pandangan Mohamad Salahuddin. Kini, tinggal dia sahaja di situ dan mula berwarawiri di hadapan bilik pengantin. Dia tahu bahawa isterinya sedang menunggu dirinya. Sekarang, hatinya mula berdebar kembali. Gelagatnya juga menjadi tidak keruan.
‘Ya Allah… Kau berikanlah kekuatan kepadaku supaya aku mampu berdepan dengan Qist,’ bisik hati Mohamad Salahuddin.
Setelah mendapat secebis kekuatan, akhirnya Mohamad Salahuddin mengetuk pintu bersama sebuah salam. “Assalamualaikum sayang…”
Qistur Ruwaidah tersentak tatkala dia mendengar ketukan pintu itu bersama ucapan salam suaminya itu. Jantungnya mula berdegup kencang. ‘Suami aku dah sampai! Macam mana aku hadap Din ni!’
Sementara itu, Mohamad Salahuddin hanya menunggu pintu bilik tersebut dibuka oleh isterinya. Dia tidak mahu menerjah sesuka hati kerana dia sedar bahawa isterinya masih belum bersedia sepenuhnya terhadap dirinya.
Qistur Ruwaidah masih berperang dengan perasaan sendiri. Jauh di sudut hati, dia masih belum bersedia sepenuhnya untuk berdua-duaan dengan suaminya itu, namun dia sedar bahawa dia tidak patut membiarkan suaminya tertunggu-tunggu. ‘Ah, apa nak jadi, jadilah!’
Akhirnya, dia menuju ke arah tombol pintu itu, lalu dibukanya pintu kamar itu. Kelihatan suaminya sedang berdiri di hadapannya. Dia tertegun seketika akan wajah segak suaminya itu. “Wa… Waalaikummussalam ha…bibi. Sa… Sayang minta maaf sebab buat habibi tertunggu-tunggu.”
Mata Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin saling bertentang seketika. Pada saat ini, mereka berdua tidak tahu apakah perasaan yang sedang bertandang dalam atma. Masing-masing mula menjadi malu kembali seperti sewaktu majlis akad nikah tadi.
“T…Tak apa sayang. Erm... S… Sa… Sayang,” ucap Mohamad Salahuddin dengan perlahan. Bicaranya tersekat. Tiba-tiba wajahnya ditundukkan.
Memandangkan Qistur Ruwaidah tidak mahu suaminya berasa kekok sangat dengan dirinya, entah dari mana, dia berjaya mendapatkan secebis kekuatan untuk meraih kedua-dua tangan suaminya itu sambil meramas jari-jemari sang suami dengan perlahan. “Habibi…” panggilnya dengan penuh lemah lembut dan manja.
Suara itu begitu menggetarkan jiwa Mohamad Salahuddin, namun kedengaran tenang dan penuh rasa cinta. Dia dapat merasakan jari-jemari halus itu memaksa dirinya untuk bertentang mata dengan bidadarinya itu. Akhirnya, dia menatap juga wajah Qistur Ruwaidah. Bicara dimulakan. “Sayang… Habibi minta maaf. Tiba-tiba habibi jadi malu dengan sayang balik. Padahal, kita okey je tadi.”
Kelihatan Qistur Ruwaidah tersenyum manis. “Tak apa habibi. Sayang faham je. Mungkin sebab tinggal kita berdua je kut. Kalau habibi masih rasa malu dengan sayang, sayang boleh je rehat kat bilik sayang dulu.”
“Eh, jangan macam tu, sayang! Bukan macam tu maksud habibi.”
Tangan pasangan itu masih saling berpegangan. Masing-masing terdiam semula.
Hakikatnya, Mohamad Salahuddin dapat merasakan ketenangan bersama Qistur Ruwaidah. Dia benar-benar mencintai si penyejuk mata itu. Lalu, dia meleraikan pegangan tangan tersebut. Tiba-tiba dia menggendong sang isteri itu.
Qistur Ruwaidah tertegun seketika akan tindakan suaminya itu. Sebuah pandangan diberikan kepada suaminya itu, namun wajahnya merona merah. “Ha… Habibi…”
Mohamad Salahuddin tersenyum. Itulah cara bagi dia menghilangkan rasa malu yang cukup menebal buat sementara ini. “Sayang, may I?” soalnya dalam nada berbisik.
“Su… Sure habibi...” balas Qistur Ruwaidah dengan gugup. Pandangan cinta suaminya itu… Aduh, cair hati dibuatnya!
Pintu kamar pengantin itu ditutup. Dalam keadaan Mohamad Salahuddin sedang menggendong Qistur Ruwaidah, matanya ralit menyaksikan dekorasi kamar pengantin yang telah diberikan sentuhan oleh Suhaibul Umar. Dirinya menjadi terpegun akan dekorasi bilik itu.
Dia dapat menyaksikan di atas lantai kamar pengantin itu, ditaburi kelopak-kelopak mawar. Tidak dilupakan juga kelopak-kelopak mawar dijadikan sebagai bentuk hati di atas permukaan cadar katil bersama dua helai tuala yang dijadikan bentuk angsa sebagai lambang cinta.
Selain itu, dua buah lampu meja dihidupkan dengan pencahayaan warna oren suram di sebelah kiri dan kanan katil serta pewangi ros telah mengharumkan kamar pengantin itu bagi menimbulkan suasana yang cukup romantis. Penyaman udara juga dihidupkan dan secara tidak langsung, bilik itu menjadi sejuk dan nyaman.
Setelah mereka berdua menghampiri ke tempat perbaringan, perlahan-lahan Mohamad Salahuddin mendudukkan Qistur Ruwaidah di atas katil.
Kemudian, Mohamad Salahuddin melabuhkan punggungnya di atas katil bersebelahan dengan isterinya itu. “Cantik sangat bilik ni. Abang Suhaib hias ke semua ni?” puji Mohamad Salahuddin sebagai pembuka bicara.
“Haah… Semua ni Abang Suhaib buat sendiri. Memang cantik pun sentuhan Abang Suhaib,” balas Qistur Ruwaidah. Hatinya lega apabila suaminya mula selesa untuk berbual dengan dirinya.
“Abang Suhaib tu kreatif betul. Habibi kagumlah!”
Qistur Ruwaidah tersenyum. Kemudian, dia bertanya sesuatu kepada suaminya. “Berat tak habibi dukung sayang tadi?” soalnya secara tiba-tiba. Dia cuba bergurau dengan suaminya itu.
Secara spontan, Mohamad Salahuddin meledakkan tawanya itu. Qistur Ruwaidah turut ketawa. Hatinya bahagia menyaksikan keceriaan suaminya itu.
Setelah ketawa Mohamad Salahuddin reda, dia memandang isterinya itu. Sebuah senyuman dihadiahkan seraya dia menggenggam erat tangan bidadari tercintanya. “Mana ada sayang berat. Ringan je.”
Qistur Ruwaidah ketawa kecil. “Bukan apa, habibi. Sayang risau pula kalau sayang ni berat untuk habibi. Emm… Sayang sengaja tanya macam tu. Sayang tak nak kita kekok sangat bila berdua macam ni. Apa-apa pun habibi, sayang gembira sangat bila habibi pun gembira. Alhamdulillah untuk hari ni. Tak sangka kita disatukan juga dengan izin Allah.”
Kelihatan Mohamad Salahuddin mengukir senyuman tatkala mendengar kata-kata sang isteri. “Jangan risau sayang. Sayang tak berat pun untuk habibi. Itulah… Alhamdulillah. Habibi pun rasa gembira sangat sebab sayang dah ada kat depan mata habibi. Sayang bukan lagi ilusi mahupun bayangan habibi. Juga, habibi dah tak rasa ragu-ragu dan walang lagi dengan sayang. Qistur Ruwaidah, kekasih yang habibi nantikan selama ni… Habibi rasa syukur sangat sebab selama ni, penantian habibi bukanlah satu penantian yang sia-sia. Sayanglah pendamping habibi sampai ke Syurga. Insya-Allah.”
Tatkala itu, perasaan Qistur Ruwaidah bercampur baur. Sungguh dia tahu Mohamad Salahuddin mencintai dirinya dengan seikhlas hati. Dia tahu betapa Mohamad Salahuddin memendam rasa terhadap dirinya sejak mereka berdua berumur 18 tahun dahulu. Dia juga tahu betapa setianya perasaan cinta Mohamad Salahuddin itu buat dirinya meskipun suaminya tahu bahawa dia pernah memiliki perasaan terhadap Abdul Azim. Selama itu jugalah, dia mengakui bahawa bukan mudah bagi Mohamad Salahuddin memelihara cinta tulusnya dan sabar, khas buat dirinya.
“Sayang pun bersyukur sangat sebab habibi sudi pilih sayang yang serba kekurangan ni untuk jadi isteri habibi. Satu lagi, habibi sabar tunggu sayang dari dulu. Emm… Sayang tak tahu nak cakap macam mana tapi terima kasih, habibi,” ucap Qistur Ruwaidah.
“Sama-sama sayang tapi sepatutnya, habibilah kena cakap terima kasih kat sayang sebab sayang sudi pilih habibi. Habibi ingatkan sayang akan pilih Azim sebab sayang pernah ada perasaan kat dia dulu,” bicara Mohamad Salahuddin.
Tiba-tiba Qistur Ruwaidah meletakkan jari telunjuknya di bibir suaminya itu. “Shhh… Tu cerita lama, habibi. Perasaan sayang kat Azim dulu, hanyalah masa lalu sayang. Sekarang, habibi masa depan sayang. Okey?” ujarnya. Lalu, dia melepaskan jari telunjuknya itu.
Mohamad Salahuddin menundukkan wajahnya dan menjadi bisu. Betapa dia terharu mendengar bicara isterinya itu. Benar kata sang bidadari itu. Kini, dia merupakan masa hadapan Qistur Ruwaidah. Secara tidak langsung, dia telah menang di ‘tangan’ Abdul Azim dalam pertempuran meraih isterinya itu. Penantian yang cukup berbaloi sejak tahun 2013 dulu.
Melihatkan sang suami itu membisu dan tidak memandang wajah isteri tercinta, perlahan-lahan Qistur Ruwaidah meletakkan telapak tangannya di pipi suaminya itu. “Habibi… Kenapa tiba-tiba senyap je ni? Habibi okey ke tak? Sayang minta maaf kalau sayang tersalah cakap.”
Telapak tangan Qistur Ruwaidah yang menyinggah di pipi suaminya itu diraih oleh Mohamad Salahuddin. “Habibi okey je. Cuma, apa yang sayang cakap tadi buat habibi rasa sedih sekejap. Sebab apa tahu… Habibi sedar habibi bukan cinta pertama sayang dulu.”
“Habibi… Jangan cakap macam tu. Habibi ingat apa sayang cakap ni. Cinta pertama bukan segala-galanya tapi cinta terakhir itulah segala-galanya melalui lafaz ijab kabul yang habibi dah lafazkan pagi tadi. Habibi dah sempurnakan separuh dari agama sayang.”
Mohamad Salahuddin rasa terpukul. Barulah dia tersedar akan kata-kata isterinya. Cinta terakhir… Sebuah destinasi yang mengakhirkan ikatan perkahwinan bagi menuju Syurga Ilahi kelak. “Subhanallah! Betullah cakap sayang. Habibi tak terfikir pasal cinta terakhir. Terubat sikit rasa sedih habibi ni. Terima kasih sayang. Sayang pun dah sempurnakan separuh dari agama habibi,” ujarnya. Nadanya terus berubah menjadi ceria.
Qistur Ruwaidah tersenyum. Lega hatinya tatkala dia mendengar suara ceria suamimya itu. “Sama-sama habibi.”
“Emm sayang… Boleh habibi tanya sesuatu tak?”
“Tanya je apa yang habibi nak tahu.”
“Sebenarnya, dah lama habibi nak tanya soalan ni kat sayang tapi habibi malu nak tanya… Emm… Sejak bila sayang mula suka kat habibi?”
Qistur Ruwaidah tersenyum lebar sambil dia menghadiahkan renungan penuh cinta buat si kekasih hati itu. “Sejak bila? Ha, bagus soalan habibi sempena hari pertama kita kahwin ni. Sayang mula suka kat habibi masa kita terserempak kat Kafe HS. Habibi cakap habibi baru balik dari mengajar tuisyen kat rumah orang. Masa tu, sayang rasa habibi bertanggungjawab sangat. Lagi-lagi, sayang pun dah tahu perasaan habibi dan juga, lamaran habibi. Satu lagi, sayang nampak habibi bersungguh. Masa tu juga, sayang ingat lagi… Muka habibi penat sangat.”
Imbau kembali…
Ketika itu, Qistur Ruwaidah sedang menyiapkan tugasannya di Human Science Dry Area (HS Dry Area). Tiba-tiba dia ternampak kelibat Mohamad Salahuddin sedang berehat di sebelah meja makannya. Akan tetapi, siswa itu tidak menyedari kehadirannya.
Walaupun Qistur Ruwaidah mengetahui Mohamad Salahuddin mempunyai perasaan terhadap dirinya dan telah melamarnya, dia menegur lelaki itu seperti tiada apa-apa yang berlaku. Lagipun, dia sendiri pernah mengatakan kepada siswa itu bahawa dia tidak mahu mencampuradukkan soal persahabatan dan perasaan di antara mereka berdua.
“Din…” tegur Qistur Ruwaidah.
Mohamad Salahuddin menoleh ke arah si pemanggil itu. Alangkah terkejutnya dia tatkala dia bertemu dengan gadis itu di tempat ini! “Err… Q… Qist,” balas siswa itu dengan sedikit gugup. ‘Kenapalah aku boleh terjumpa Qist kat sini lepas aku dah lamar dia. Malunya!’ bisik hatinya.
“Kau dari library ke? Sebab banyak buku atas meja tu,” ujar Qistur Ruwaidah sambil jarinya menunjukkan timbunan buku di atas meja tersebut.
Seketika, Mohamad Salahuddin memandang buku-buku di atas meja itu. Hilang rasa debarnya itu. “Oh… Aku dari luar tadi. Aku pergi mengajar tuisyen kat rumah orang.”
“Kau ajar subjek apa?” soal Qistur Ruwaidah.
“Hari ni, aku ajar budak tingkatan empat untuk subjek Sejarah. Lepas ni, aku nak siapkan tugasan pula. Ada tugasan nak kena hantar lusa ni tapi tulah… Banyak lagi tak siap sebenarnya. Nak tak nak, aku kena siapkan juga.”
Kelihatan wajah Mohamad Salahuddin amat penat di hadapan Qistur Ruwaidah itu tetapi tiada sebarang keluhan yang diluahkan oleh jejaka itu. Namun, siswa itu masih boleh tersenyum tenang.
“Dah lama ke kau ajar tuisyen?” soal Qistur Ruwaidah.
“Dah lama juga. Dari tahun 2013 macam tulah. Disebabkan aku tak nak susahkan mak ayah aku sangat, jadi aku cari kerja sampingan macam tuisyen ni,” balas Mohamad Salahuddin.
Salah satu sebab lain, Mohamad Salahuddin mahu mencari duit kahwin juga. Namun, dia tidak meluahkan kepada siswi itu. Biarlah dia menyimpan niatnya itu. Jika gadis itu sudi menerima lamarannya, barulah dia akan memberitahu hasrat murninya mencari kerja sampingan itu sebagai salah satu usahanya untuk menghalalkan hubungan dengan Qistur Ruwaidah.
Tatkala itu, Qistur Ruwaidah berasa kagum untuk Mohamad Salahuddin dan kalbunya mula menyukai jejaka itu dalam diam kerana kesungguhan lelaki itu. Benarlah seperti apa yang dimaklumkan oleh Sakeenah juga berkenaan kerja Mohamad Salahuddin sewaktu dia bertanyakan latar belakang lelaki itu.
Namun, Qistur Ruwaidah masih meragui lagi tentang Mohamad Salahuddin. ‘Aku masih perlu menilai lagi pasal Din. Belum cukup!’ bisik hatinya.
Terkenangkan peristiwa itu, Qistur Ruwaidah berasa serba salah akan keraguan hatinya terhadap suaminya pada ketika itu. Ya, suaminya ikhlas untuk dirinya!
Mohamad Salahuddin meraih tangan isterinya, lalu digenggam erat tangan mulus itu. “Seriuslah sayang suka habibi masa tu?”
“Haah… Kalau ikutkan, sayang suka habibi masa tulah tapi habibi… Sayang minta maaf sebab sayang masih ragu-ragu dengan habibi masa tu,” nada Qistur Ruwaidah menjadi serba salah.
Qistur Ruwaidah dapat menyaksikan senyuman Mohamad Salahuddin. Kemudian, suaminya menggelengkan kepalanya. “Tak apa, sayang. Habibi faham je sayang masih ragu-ragu. Sayang ada hak nak rasa macam tu. Lagipun, sayang tengah menilai masa tu, kan?” balas Mohamad Salahuddin.
Qistur Ruwaidah mengangguk. “Tapi habibi… Masa tu, sayang rasa sayang macam tamak perasaan pula. Dah macam suka habibi tapi sayang masih fikir perasaan sayang kat Azim pada masa yang sama. Entahlah… Perasaan sayang kat Azim dah jadi macam antara suka dan tak suka. Bukan macam sayang suka dia masa kat CFS dulu.”
“Mesti susah sayang nak pilih antara habibi dan Azim, kan?”
Mohamad Salahuddin dapat menyaksikan isterinya tersengih. Lalu, Qistur Ruwaidah meneruskan bicaranya. “Memang! Pening kepala! Oh, satu lagi… Masa perjumpaan kita kat Kafe KENMS dulu, sayang pernah cakap sayang masih suka kat Azim, kan? Sekali lagi, sayang minta maaf sebab sayang dah lukakan hati habibi pasal tu. Kalau sayang tahu habibi ada perasaan kat sayang masa tu, sayang takkan cerita kat habibi tapi yalah… Sayang mana tahu perasaan habibi kat sayang…” Qistur Ruwaidah menghentikan bicaranya buat seketika.
“Kalau sayang tahu habibi ada perasaan kat sayang, sayang takkan cerita kat habibi. Emm… Masa tu, memang perasaan sayang masih untuk dia tapi lepas sayang makin kenal habibi, perasaan sayang kat Azim dah jadi goyah,” balas Qistur Ruwaidah sambil membelai tangan suaminya itu.
Tanpa sepatah bicara, Mohamad Salahuddin terus mendakap isterinya itu. Lalu, dia menuturkan sesuatu. “Sayang… Habibi tak tahu nak cakap macam mana lepas habibi tahu perasaan sayang kat habibi. Sayang sentiasa ada dalam hati habibi. Takkan ada perempuan lain yang boleh gantikan sayang dalam hati habibi. Moga Allah kekalkan hati habibi hanya untuk sayang seorang je. Insya-Allah,” ucapnya. Kemudian, dia meleraikan dakapan itu.
Kalbu Qistur Ruwaidah tersentuh. Betapa dirinya amat istimewa di mata Mohamad Salahuddin itu. “Sayang lagi tak tahu nak cakap macam mana pasal setia dan tulusnya hati habibi sejak pandangan pertama habibi kat sayang masa kelas Bahasa Inggeris kat CFS dulu. Lagi dahsyat perasaan habibi kat sayang. Terima kasih sebab sudi masukkan sayang dalam hati habibi.”
Mohamad Salahuddin tersenyum. “Sama-sama sayang. Emm sayang… Habibi ada satu lagi soalan. Masa sayang terima lamaran habibi dulu, habibi pernah tanya soalan ni kat sayang. Kenapa sayang pilih habibi? Kenapa bukan Azim? Bukan apa… Kan sayang pernah suka Azim. Habibi ingat sayang akan pilih dia sebab tulah.”
Tiba-tiba Qistur Ruwaidah menepuk dahinya. “Ya Allah… Sayang boleh lupa pasal soalan habibi tu. Tulah… Sayang ni acah-acah nak berahsia sangat. Tak pasal-pasal sayang lupa. Mujur habibi ingat. Logiklah pun. Kan habibi bakal peguam. Kenalah ingat banyak kes.”
“Mestilah habibi ingat sebab habibi ternanti-nanti jawapan daripada sayang. Sebenarnya, sampai sekarang habibi rasa tak logik perasaan sayang boleh berubah untuk habibi dalam sekelip mata. Sedangkan, sayang dah lama suka kat Azim tapi apa-apa pun, habibi bersyukur sebab Allah lembutkan hati sayang untuk terima habibi.”
Kelihatan Qistur Ruwaidah melampiaskan senyumannya. “Habibi… Sebenarnya, sayang pun rasa macam tak logik sebab tiba-tiba je perasaan sayang boleh berubah sekelip mata untuk habibi. Bila sayang dah nilai antara habibi dan Azim, barulah sayang sedar betapa bodohnya sayang tak hargai habibi dan masih buta untuk Azim. Emm… Sayang tak berapa nampak usaha Azim nak dekati sayang. Adalah dia pernah cakap dulu, dia sedar yang dia pernah kecewakan sayang dan ikhlas nak memperisteri sayang tapi… Sayang masih nampak sifat ego Azim…”
“Kalau dia serius nakkan sayang, sepatutnya dia kena lebih berusaha nak pikat balik hati sayang sebab sayang pernah terluka dengan cara dia. Dia juga yang pernah tolak perasaan sayang dulu. Emm… Memang dia ada cuba pikat sayang dengan beberapa cara tapi sayang rasa usaha dia masih tak cukup berbanding habibi. Ada sebab lain lagi sayang tak terima lamaran dia tapi cukuplah habibi tahu setakat tu je. Cumanya, sayang tak nafikan… Azim ada kelebihan tersendiri tapi disebabkan dia kurang usaha untuk sayang, sayang jadi tawar hati. Kalau dia usaha macam habibi, mungkin sayang tolak lamaran habibi dan terima Azim atas faktor macam habibi cakap tadilah… Sayang pernah suka Azim…”
“Sekarang, apa yang habibi kena tahu, sayang ikhlas terima habibi dan hati sayang hanya untuk habibi seorang je. Sayang terima lamaran habibi sebab sayang nampak sangat usaha habibi nakkan sayang dari mula-mula kita jumpa balik kat UIA Gombak sampailah hari habibi lamar sayang. Cuma, sayang buta… Terlambat sedar. Bagi sayang, lebih baik sayang pilih lelaki yang nak kat sayang sebab sayang tahu, tu tanda seriusnya lelaki untuk perempuan yang dia cinta. Macam tulah jawapan sayang untuk soalan habibi.”
Mohamad Salahuddin tersentak. Dia tidak menyangka itu rupanya penilaian yang dilakukan oleh Qistur Ruwaidah dalam tempoh isterinya mempertimbangkan di antara lamarannya dan Abdul Azim. Dia menatap wajah sang isteri dengan sedalam-dalamnya.
“Sayang… Habibi tak sangka tu yang sayang nilai rupanya kat habibi. Rupa-rupanya, sayang tengok usaha habibi. Habibi rasa penantian habibi kat sayang cukup berbaloi selama ni. Ya Allah! Alhamdulillah… Sayang… Jauh di sudut hati habibi, hanya Allah yang tahu betapa habibi terlalu rindukan sayang. Sakitnya habibi menahan rindu kat sayang, hanya Allah yang tahu. Sakitnya habibi bila sayang pernah beritahu sayang suka kat Azim, hanya Allah jualah yang tahu,” luah Mohamad Salahuddin.
Akhirnya, tumpas air mata Mohamad Salahuddin itu! Dia menjadi tidak segan-silu untuk menunjukkan air mata lelakinya di hadapan isterinya. Biar isterinya itu tahu betapa dia amat mencintai isterinya sejak dulu lagi.
Qistur Ruwaidah tersentak. Jadi, memang benarlah Mohamad Salahuddin ikhlas mencintai dirinya sejak dulu lagi. Cinta suaminya begitu luhur! Lalu, dia mendakap suaminya tanpa sebarang bicara. Kedengaran hanyalah esakan sang suami itu dalam rangkulan sang isteri.
Setelah tangisan Mohamad Salahuddin reda, dia meleraikan dakapan tersebut. Ibu jari kanan Qistur Ruwaidah menyeka air mata suaminya itu. Mata suaminya berubah merah.
“Habibi okey?” tanya Qistur Ruwaidah.
Mohamad Salahuddin tersenyum kelat. “Habibi minta maaf sebab teremosi pula. Mungkin sebab habibi dah tak mampu nak pendam. Habibi dah penat… Habibi tunggu sayang dari tahun 2013 sampailah ke saat ni, tahun 2016. 01/09/2016, tarikh yang habibi takkan lupakan sampai bila-bila. Tarikh ni jadi bukti cinta habibi halalkan hubungan dengan sayang sebagai isteri habibi.
Qistur Ruwaidah tersenyum. Benar! Suaminya telah pun membuktikan cintanya melalui lafaz ijab kabul pada pagi tadi. “Alhamdulillah. Lepas ni, habibi jangan sedih-sedih tahu. Hasrat habibi nak jadi suami sayang dah tercapai pun. Habibi punya penat tunggu sayang dari dulu tu dah cukup berbaloi sangat. Allah Maha Mendengar, habibi… Moga Allah merahmati ikatan perkahwinan kita sampai ke Syurga. Tu harapan sayang selagi mana sayang hidup bersama habibi. Insya-Allah.”
Perlahan-lahan Mohamad Salahuddin meraih tangan isterinya itu. “Insya-Allah. Sayang… Boleh habibi ucap sesuatu kat sayang?”
“Boleh habibi. Apa dia?”
“Emm… Habibi tak pernah bagi ucapan ni kat mana-mana perempuan. Izinkan habibi ucap sempena hari bersejarah kita hari ni. Qistur Ruwaidah, I love you. I do really love you! Uhibbuki fillah! (Aku cintakan kau (perempuan) kerana Allah),” ucap Mohamad Salahuddin dengan penuh ikhlas tatkala dia menuturkan kalimah yang sangat berharga itu bersama sebuah kucupan di dahi isterinya. Seumur hidupnya, dia tidak pernah mengungkapkan kalimah mahal itu kepada mana-mana perempuan. Khas buat isterinya sahaja.
Qistur Ruwaidah terkesima seketika. Akhirnya, dia dapat mendengar juga sebuah lafaz cinta daripada suaminya yang amat dia nantikan selama ini! ‘Ya Allah! Terima kasih kerana Kau menghadiahi Mohamad Salahuddin dalam hidupku. Betapa agungnya kasih sayang yang Kau berikan kepadaku dengan Kau mengurniakan ‘zauj’ (suami) untukku sebagai pelengkap hidupku.’
Kemudian, giliran Qistur Ruwaidah pula mengungkapkan rasa cintanya itu. Detik yang amat dinantikan oleh dirinya kerana dia juga tidak pernah mengungkapkan kalimah mahal itu kepada mana-mana lelaki selama ini. “Mohamad Salahuddin, habibi… I love you too. I love you so much! Uhibbuka fillah! (Aku cintakan kau (lelaki) kerana Allah). Sayang janji sayang akan jadi isteri terbaik untuk habibi. Insya-Allah,” ucapnya.
Sungguh, sang isteri berasa amat tenang bersama lelaki yang dia cintai itu!
Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah saling tersenyum. Masing-masing mengerti bahawa cinta suami isteri itu begitu agung berteraskan panduan Ilahi.
Seketika, mata Mohamad Salahuddin melirik ke arah jam dinding. “Eh, sayang! Ya Allah… Kita tak solat zuhur lagi. Sekarang dah pukul 3.15 petang.”
Qistur Ruwaidah juga melirik ke arah jam dinding. “Astaghfirullah! Yalah habibi! Ralit sangat kita bersembang hati ke hati tadi. Sayang nak pergi mandi dulu,” ujarnya. Dia mahu meninggalkan tempat beradu itu. Panggilan Ilahi perlu diutamakan.
Tiba-tiba Mohamad Salahuddin menarik tangan isterinya. “Sayang, sekejap!”
Qistur Ruwaidah menoleh ke arah suaminya. Niatnya untuk meninggalkan tempat beradu itu terbantut seketika. “Ya, habibi. Kenapa?”
“Sebelum sayang nak mandi… Erm… Boleh tak habibi nak tengok sayang tak pakai tudung dulu?” pinta Mohamad Salahuddin bersama sengihan nakal.
Serta-merta Qistur Ruwaidah meraba kepalanya. Baru dia tersedar bahawa dia masih belum menanggalkan tiara, vel dan tudung bawalnya. “Eh, sayang ingatkan sayang dah tanggalkan tudung tadi! Ya Allah! Sayang minta maaf, habibi. Sayang cuak sangat tadi sampai terlupa nak tanggalkan tudung. Sekejap ya.”
Mohamad Salahuddin meledakkan tawanya. “Boleh pula macam tu ya, sayang. Dahlah tiara dan vel pun tak tanggal lagi tahu.”
Qistur Ruwaidah tersengih. Lalu, dia menuju ke meja solek seketika untuk mempamerkan dirinya di hadapan cermin bagi menanggalkan pin pada bahagian tiara, vel dan tudung bawalnya. Sejujurnya, dia berdebar untuk mempamerkan makhota yang terlindung selama ini di hadapan suaminya selain wajah dan telapak tangan. Namun, dia cuba mempersembahkan dirinya dengan sebaik mungkin agar suaminya tenang menyaksikan dirinya. ‘Tarik nafas… Hembus… Relaks Qist! Din dah berhak tengok kau. Anggap je Din tengok aku macam mana Abang Suhaib tengok aku bila aku kat dalam rumah.’
Mohamad Salahuddin memerhatikan Qistur Ruwaidah dari kejauhan. Tatkala itu, kalbunya berdegup debaran untuk menyaksikan makhota isterinya itu. ‘Ya Allah… Hari ini, aku sudah layak menyaksikan isteriku selain wajah dan telapak tangannya. A… Aku malu! Tenangkanlah aku. Aku tahu aku sudah berhak ke atas dirinya.’
Ketika Qistur Ruwaidah menanggalkan tudungnya, terserlah makhota indahnya yang tidak pernah disaksikan oleh Mohamad Salahuddin selama ini. Subhanallah! Indahnya ciptaan Allah!
Pada saat itu, Mohamad Salahuddin menjadi tidak keruan tatkala isterinya menuju semula ke arahnya. Dirinya kaget! Terkesima! Kelihatan Qistur Ruwaidah sedang tersenyum kepadanya. Betapa dia terpukau akan kecantikan isterinya itu apabila disaksikan secara dekat meskipun Qistur Ruwaidah masih belum membuang mekap dari wajahnya itu.
“Sayang harap habibi dapat terima apa yang kurang daripada sayang ni,” kata Qistur Ruwaidah dengan rendah diri.
‘Subhanallah! Bidadari mana kat depan aku sekarang?’ bisik hati Mohamad Salahuddin.
Melihatkan Mohamad Salahuddin masih terkaku menyaksikan kecantikan isterinya tanpa berkelip matanya, Qistur Ruwaidah terus menjadi tidak keruan semula. Malu! Lalu, dia bersuara. “Habibi… Janganlah pandang sayang macam alien. Sayang malu tahu!”
Serta-merta, Mohamad Salahuddin tersedar dari rasa kagumnya terhadap isterinya itu setelah isterinya bersuara. “Eh, habibi minta maaf, sayang! Sayang cantik sangat sampai habibi kelu tahu. Rupa-rupanya, sayang ni cantik bila habibi tengok dekat-dekat. Selama ni, habibi pandang sayang pun sekejap je. Habibi malu. Tak berani nak pandang lama-lama.”
Qistur Ruwaidah menjadi terhibur pula dengan kata-kata suaminya itu. “Alhamdulillah. Sayang pulangkan kecantikan ni pada Allah. Habibi pun apa kurangnya. Hadirnya habibi sebagai seorang yang cukup romantik dan penyabar. Satu lagi, habibi kacak sangat tahu. Pernahlah sayang terpuji dalam hati, habibi kacak masa kita jumpa kat Kafe KENMS dulu,” pujinya.
Apabila Mohamad Salahuddin diterima masuk ke dalam kehidupan seorang Qistur Ruwaidah, lelaki itu telah memberikan sebuah cahaya yang menyinari kehidupannya. Perasaan cintanya terhadap Mohamad Salahuddin juga semakin utuh.
Mohamad Salahuddin mengucap syukur di dalam hati. Betapa cinta hatinya itu menghargai dirinya. “Alhamdulillah. Allah jualah yang menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian. Okey sayang. Jom kita bersiap untuk solat zuhur.”
“Okey. Habibi mandi kat bilik air ni. Sayang mandi kat bilik air dalam bilik sayang,” kata Qistur Ruwaidah.
“Sayang, biar habibi yang mandi kat bilik air dalam bilik sayang. Tak apa.”
Mohamad Salahuddin bingkas bangun dari katil. Lalu, dia menuju ke arah daun pintu bagi membuka pintu bilik tersebut. Baru dia teringat sesuatu. Bagasinya terletak di luar bilik pengantin! Gara-gara dia menggendong Qistur Ruwaidah tadi, dia terus terlupa akan bagasinya itu. Itulah, akibat sudah dilamun cinta punya pasal! Dia menarik bagasinya ke dalam bilik.
“Laa… Luggage habibi kat luar bilik rupanya,” tegur Qistur Ruwaidah. Kemudian, dia meledakkan tawanya.
Mohamad Salahuddin tersengih. “Yalah. Habibi lupa nak bawa masuk. Terpesona sangat tengok sayang tadi,” ujarnya. Lalu, dia mengeluarkan pakaiannya. Baru dia teringat… Dia terlupa untuk membawa tuala mandi pula! “Alamak, sayang! Habibi terlupa nak bawa tuala.”
Qistur Ruwaidah menuju ke arah suaminya bersama tuala yang dijadikan bentuk angsa itu. Tuala tersebut dileraikan. “Nah. Ni tualanya. Alat mandi semua dah ada kat sana tapi kalau tak cukup, habibi beritahu sayang. Emm… Habibi tak kisah nak mandi kat bilik air dalam bilik tidur sayang?”
“Habibi okey je. Sayang tolong tunjuk bilik sayang kat habibi.”
“Okey, jom. Sayang tunjukkan bilik sayang.”
Qistur Ruwaidah membawa suaminya ke bilik tidur bujangnya. Kemudian, dia menghidupkan suis lampu dan kipas. Kelihatan biliknya sangat tersusun rapi hasil dekorasi abangnya ala-ala gaya vintaj. Dinding biliknya dicat dengan warna ungu manakala terdapat satu sudut ditampal dengan kertas hias dinding. Rasa tenang dan nyaman.
“Wah, cantiknya bilik sayang!” puji Mohamad Salahuddin.
“Kalau bukan sebab Abang Suhaib, mungkin bilik sayang taklah secantik ni,” kata Qistur Ruwaidah. Lalu, dia tersengih. Dia menghidupkan pula suis bilik air yang terletak di sebelah almari pakaiannya. “Okey habibi. Sayang dah hidupkan semua suis.”
Mohamad Salahuddin mengangguk. Kemudian, dia melangkah masuk ke dalam bilik air itu. Sebelum dia hendak menutup daun pintu bilik air tersebut, tiba-tiba dia mengusap pipi isterinya itu. “Jangan sedih pula. Habibi hilang sekejap je.”
Hakikatnya, sukar bagi dirinya berenggang dengan isterinya itu biarpun seketika.
“Mana ada sayang sedih. Eiii… Habibi ni pandai-pandai je tahu!” balas Qistur Ruwaidah sambil mencebik wajahnya.
Mohamad Salahuddin meledakkan tawanya sambil tangannya membuat kucupan layang. “I love you, sayang. I love you so much!” katanya. Lalu, dia menutup daun pintu itu.
Qistur Ruwaidah tersipu-sipu malu dengan tindakan romantik suaminya itu. “Salahuddin… Salahuddin…” katanya sendirian sambil menggelengkan kepalanya.
Macam mana para pembaca? Dah makin nampak romantiknya si Mohamad Salahuddin terhadap Qistur Ruwaidah. Ehek! Nak muntah pun sama. Kahkahkah! Bagilah peluang kat mereka berdua. Tak pernah bercinta punya pasal. Baru kahwin, kan.
Share this novel