BAB 9

Drama Completed 13621

SEJAK peristiwa Suhaibul Umar didera oleh ibu saudaranya tempoh lalu, dia dan adiknya tidak dibenarkan lagi untuk melepaskan lelah di atas katil yang selesa dan tilam yang empuk, sebaliknya mereka berdua telah dipindahkan ke bilik yang tersedia dua buah tilam nipis, dua buah bantal nipis dan dua helai selimut nipis. Tiada lagi bilik khas masing-masing mahupun katil yang pernah disediakan oleh almarhum Pak Long Megat Arif.
Ketika itu, anak Mak Long Rauzah, iaitu Puteri Masyitah masih tidak mengetahui apa yang berlaku terhadap kedua-dua orang sepupunya itu kerana dia berada di Kedah bagi melanjutkan pengajian peringkat asasi.
Segala alat permainan dan buku-buku yang pernah dihadiahkan oleh Pak Long Megat Arif juga telah dibakar oleh Mak Long Rauzah di hadapan mata Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah.
Setelah dua beradik itu dipindahkan ke bilik lain, Mak Long Rauzah segera mengumpulkan segala barang-barang pemberian almarhum suaminya yang terdapat di bilik Suhaibul Umar dan juga, bilik Qistur Ruwaidah untuk dibakar.
Alang-alang wanita itu sedang membakar daun-daun kering di luar perkarangan rumah, dia mahu
membakar juga barang-barang milik anak-anak kecil itu.
“Mak Long, jangan buang barang-barang kami! Semua tu daripada Pak Long!” rayu Qistur Ruwaidah tatkala dia dan abangnya melihat barang-barang pemberian almarhum Pak Long Megat Arif dimasukkan ke dalam tiga buah beg plastik hitam yang bersaiz besar.
“Mak Long, tolong! Jangan buang!” rayu Suhaibul Umar.
Mak Long Rauzah tidak mempedulikan rayuan anak-anak kecil itu, lalu dibawanya barang-barang tersebut ke luar rumah. Sedaya upaya Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah cuba menghalang perbuatan wanita itu agar wanita itu berubah fikiran, namun kudrat mereka berdua lemah untuk berbuat demikian.
Akhirnya, dua buah beg plastik hitam itu dicampakkan ke tempat pembakaran itu. Berderaian air mata Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah apabila barang-barang tersebut mula dimamah api sedikit demi sedikit sehingga meninggalkan sisa-sisanya sahaja. Hilanglah segala barang-barang yang menjadi nilai sentimental buat dua beradik itu berkenaan almarhum Pak Long Megat Arif.
“Ha, apa lagi! Masuklah rumah!” sergah Mak Long Rauzah.
Berlalulah dua beradik itu dengan jiwa yang terdera.
“Ki… Kita n…nak ma…in a…pa nan…ti, a…bang? Ki… Kita n…nak ba…ca bu…ku apa? Ke…napa Mak Long ba…kar ba…rang ki…ta? Mak Long t…tak sa…yang ki…ta ke, a…bang?” tanya Qistur Ruwaidah bertalu-talu dalam tangisan setelah dia dan abangnya melangkah masuk ke bilik baharu mereka berdua.
Suhaibul Umar mendakap adiknya itu. “A…bang pun t…tak ta…hu, a…dik,” balasnya dalam tangisan sedu-sedan.
Di sebalik dakapan yang dihulurkan oleh Suhaibul Umar itu, dia mengalirkan air matanya lagi sambil hatinya bertanya sesuatu.
‘Mak Long tak sayang Suhaib dan adik ke? Kenapa Mak Long buat macam ni kat kami? Apa salah kami?’ bisik hatinya.
Di sebalik bilik yang mereka diami kini, pelbagai penderitaan yang terpaksa dilalui oleh dua beradik itu.
Kelihatan Mak Long Rauzah memasuki bilik dua beradik tersebut dengan membawa sesuatu di tangannya. Masa untuk menyeksa kanak-kanak itu dengan sesuka hatinya meskipun kanak-kanak tersebut tidak melakukan sebarang kesalahan. Hanya sekadar untuk menjadikan Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah sebagai ‘alat’ untuk Mak Long Rauzah melepaskan geramnya tanpa sebab.
Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah berpelukan sesama mereka apabila hadirnya kelibat ibu saudara mereka itu. Mereka terlalu takut.
“Suhaib, Qist, ke sini kau orang!” panggil Mak Long Rauzah dengan kasar.
Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah menggelengkan kepala mereka berdua tanda enggan. Dua beradik itu tahu ada penderitaan yang bakal menanti apabila si wanita itu memanggil mereka berdua.
“Oh, kau orang ingkar ya! Sini!” bentak Mak Long Rauzah seraya menghampiri dua beradik itu.
Dua batang besi yang telah dipanaskan itu mula menghinggapi tubuh dua beradik tersebut secara bertalu-talu sehingga mereka berdua menjerit kesakitan.
“Mak Long, sa…sakit!” dua beradik itu menjerit hiba.
Bagai dirasuki oleh jin, Mak Long Rauzah semakin galak mencucuh besi pada tubuh Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah apabila dua beradik itu kian merintih sakit. Tidak cukup dengan itu, mereka berdua didera pula dengan menggunakan kayu rotan yang tebal. Dua beradik itu kian terkulai layu.
“Al…lah…” ucap Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah. Pasrah. Mereka berdua tidak terdaya lagi untuk menjerit.

Dalam keadaan lemah longlai, Mak Long Rauzah memaksa dua beradik itu bangun dengan mengheret kedua-dua orang anak saudaranya itu untuk berada di luar rumah, lantas dia menghempaskan tubuh dua beradik di atas rumput sekitar perkarangan rumah. “Ha budak-budak tak guna, kau orang tidurlah kat luar rumah ni sampai esok!”
Mak Long Rauzah segera mengunci pintu rumah. Tinggallah Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah di luar rumah menahan kesakitan dan ditemani oleh sang suria yang memancar terik dan tepat mengenai tubuh mereka berdua.
“A…dik,” panggil Suhaibul Umar sambil dia berusaha dengan memaksa untuk membangunkan dirinya bagi mendapatkan adiknya itu biarpun tubuhnya juga terasa melecur dan sakit.
Jika bukan kerana adiknya yang memerlukan dirinya itu, dia sendiri tidak mampu bangkit berdiri dan pastinya, dia akan terus melayani kesakitan tubuhnya. Seharusnya dia perlu menjadi seorang kanak-kanak yang kuat. Adiknya akan sentiasa menjadi penguat semangatnya agar dia tidak boleh menjadi seorang abang yang lemah.
Kelihatan Qistur Ruwaidah hanya memandang abangnya. Dia tidak berdaya untuk menyahut panggilan abangnya itu. Tubuhnya terlalu sakit. Setelah abangnya berjaya menghampiri dirinya, perlahan-lahan abangnya mengangkat kepalanya sedikit, lalu diletakkan di atas ribanya.

Suhaibul Umar mengusap rambut seraya mencium dahi adiknya itu. “Adik… Abang ada ni,” pujuknya.
“A…dik sa…kit,” ucap Qistur Ruwaidah, lemah.
“Abang tahu tapi… Sabar ya, adik. Kita kena kuat. Mama baba dah tak ada untuk kita.”
“A… Adik rindu mama baba. Ke… Kenapa kita tak mati juga?”
Luahan Qistur Ruwaidah itu membuatkan Suhaibul Umar sebak. Sejujurnya, dia juga merindui arwah ibu bapanya. Setiap kali dia didera oleh ibu saudaranya itu, betapa dia berharap agar malaikat maut segera mencabut nyawanya waktu itu juga.
‘Abang pun rindu mama baba, adik,’ bisik hati sang abang itu.
Dua beradik itu setia berada di luar rumah sehinggalah pada keesokan harinya tanpa ditinggalkan sedikit makanan pun untuk mereka. Sementara Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah mendapat kebenaran daripada Mak Long Rauzah untuk berada di dalam rumah, mereka berdua termenung sambil menghayati ciptaan Allah, melupakan seketika akan kesakitan yang dialami oleh mereka.
“Abang, tengok tu! Ada burung terbanglah! Seronoknya!” kata Qistur Ruwaidah dengan nada yang ceria sambil menunjukkan jari telunjuknya ke arah beberapa ekor burung pipit yang bebas berterbangan di udara meskipun tubuhnya masih terasa melecur dan sakit, namun dia cuba menceriakan jiwanya yang berkecamuk itu. Tika itu, dia sedang berbaring di atas ribaan Suhaibul Umar.
Meskipun peha sang abang itu berasa amat lenguh, namun didiamkan sahaja agar adiknya sentiasa berada dalam keadaan selesa.
Suhaibul Umar mendongak ke atas. “Yalah adik. Abang pun seronok tengok burung-burung tu terbang. Nampak bebas,” katanya seraya tersenyum hambar.
“Agak-agaknya kan abang, boleh ke kita jadi macam burung tu nanti?” soal Qistur Ruwaidah.
Suhaibul Umar tersentak akan soalan adiknya itu.
“Eh, apalah adik ni! Kita mana ada sayap. Jadi, mana boleh kita terbang,” kata Qistur Ruwaidah lagi, lalu dia ketawa kegembiraan.
Apabila Suhaibul Umar melihat keadaan adiknya itu, hatinya berbisik. ‘Maafkan abang, dik. Abang tak dapat nak lindungi adik.’
Tatkala itu, air mata Suhaibul Umar jatuh berguguran sehingga terkena pada pipi adiknya. Qistur Ruwaidah terdiam.
Hiks… Hiks… Hiks… Tangisan Suhaibul Umar masih terus kedengaran. Jauh di sudut hatinya, dia ingin membawa adiknya keluar dari penderitaan ini seperti bebasnya beberapa ekor burung pipit yang disaksikan olehnya tadi, namun kudratnya terhad sebagai kanak-kanak yang berumur sembilan tahun dan dia tiada tempat untuk mengadu tentang masalahnya itu.
Jika dia membuka cerita tentang apa yang dia dan adiknya lalui kini kepada sesiapa, dia bakal menerima padahnya. Dia dan adiknya tiada pilihan lain melainkan mereka berdua terpaksa menelan semua penderitaan ini.
Tiba-tiba, tangan kanannya yang meninggalkan kesan birat dan lebam itu diraih oleh adiknya. Dia mengangkat wajahnya. “A… Adik!”
Kelihatan Qistur Ruwaidah memandang abangnya bersama tangisan juga. “A… Abang nangis ke?”
Suhaibul Umar menyeka air matanya, lalu dia mendakap erat adiknya itu. Dia tidak mahu adiknya melihat keadaan dirinya dalam kesedihan. “Tak dik, abang okey,” balasnya.
“K… Kenapa abang nangis? Abang tak apa-apa ke? Abang sakit?” bertalu-talu soalan yang dituturkan oleh Qistur Ruwaidah.
Sekali lagi, air mata Suhaibul Umar mula menemaninya. Dakapan yang dihulurkan olehnya terhadap adiknya itu semakin erat.
“Kalau badan abang luka, adik tak ada minyak nak sapu. Minyak kat dalam rumah. Badan adik pun sakit juga ni. Maaf abang,” begitu polosnya seorang Qistur Ruwaidah itu.
Suhaibul Umar tidak mampu membendung lagi suara tangisannya itu. Tangisannya dapat ditangkap oleh adiknya itu, namun Qistur Ruwaidah hanya membisukan dirinya.
Apabila tibanya pada waktu malam, Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah menggigil kesejukan sehingga mencengkam tubuh kecil dua beradik itu tanpa sehelai selimut yang membaluti tubuh mereka berdua. Tambahan pula, perut mereka berdua berkeroncong menahan lapar akibat tidak menjamah apa-apa makanan selama beberapa hari ini.
“A…dik s…se…juk, la...par,” adu Qistur Ruwaidah sambil berpeluk tubuh.
Tanpa sepatah kata, Suhaibul Umar menanggalkan bajunya seraya menyelimuti bahagian kaki adiknya itu. Dirinya juga terasa kesejukan dan ditambah pula tubuhnya masih terasa melecur selepas dicucuh besi oleh ibu saudaranya pada pagi tadi. Namun begitu, demi kasih seorang abang, dia tidak peduli. Janji adiknya selesa. “Sekarang, adik rasa okey tak?” soalnya.
“Okey abang. Terima kasih. A…bang tak rasa sejuk ke?” ucap Qistur Ruwaidah.
“Sama-sama adik. Tak adalah. Abang okey je. Adik jangan risau ya,” bohong Suhaibul Umar. Memang dia tidak mahu adiknya risau akan dirinya itu.
Kalimah ‘La Ilaha Illallah’ yang bermaksud ‘Tiada Tuhan melainkan Allah’ dialunkan oleh Suhaibul Umar sambil dia mendodoikan adiknya. Dia masih ingat lagi sebelum tidur, arwah ibu bapanya akan mengalunkan kalimah itu sehingga dia tertidur. Ingatannya terhadap kedua-dua ibu bapanya semakin kuat sehingga menyesakkan jiwanya.
Tidak lama kemudian, kelihatan Qistur Ruwaidah telah melelapkan matanya di ribaan abangnya selepas didodoi oleh abangnya. Tinggallah Suhaibul Umar masih berusaha untuk melelapkan matanya.
Untuk merebahkan diri dalam keadaan bersandar itu sangat sukar untuk dirinya, namun dia reda dan hanya mengharapkan ibu saudaranya mempunyai sifat belas ihsan sedikit terhadap mereka berdua untuk dia dan adiknya berada dalam rumah pada waktu ini.
Namun begitu, Mak Long Rauzah tidak juga membuka pintu rumah itu sejak dari tengahari tadi. Tanggapan Suhaibul Umar, mungkin ibu saudaranya itu sudah lena dibuai mimpi. ‘Emm… Nampaknya Mak Long tak buka juga pintu. Tak apalah, Suhaib. Tunggu esok jelah. Esok Mak Long okeylah tu.’
‘A…llah. Se… Sejuknya. La… Lapar,’ bisik hatinya lagi.
Tiba-tiba hujan lebat mula mencurah-curah. Guruh mula berdentum kuat dan kilat mula memancarkan tenaganya. Namun begitu, cuaca itu tidak sedikit pun mengganggu Qistur Ruwaidah yang sedang tidur lena itu.
Suhaibul Umar pula berpeluk tubuh akibat kesejukan dan tiada baju yang membaluti badannya kerana dia telah menggunakan bajunya itu untuk menyelimuti di bahagian kaki adiknya. Ketakutan menyelubungi dirinya apabila dia ternampak kilat memancarkan cahayanya di merata-rata atmosfera bumi dan guruh berdentum tanpa henti sehingga dia terpaksa menutup telinganya, namun dia terpaksa membiasakan diri dengan keadaan tersebut.
Lagipun, sudah beberapa kali dia dan adiknya dihalau untuk berada di luar rumah. Berkali-kali dia memujuk dirinya agar dia perlu menjadi seorang abang yang kuat demi adiknya.
Hatinya berbisik. ‘Mama baba, abang sejuk dan laparlah. Mama… Abang dah lama tak makan masakan mama tahu. Kalau mama ada lagi, abang nak mama masak sup ayam dan sup tom yam. Abang rindulah. Sedap tahu. Emm… Pagi tadi kan mama baba, abang dan Adik Qist kena besi panas. Sakit sangat tapi abang dan Adik Qist okey je. Dulu, mama baba selalu cakap kat abang, ‘Abang kan kuat’. Abang rindu sangat tahu nak dengar suara mama baba lagi. Satu lagi kan mama baba, lepas dah kena besi panas, abang kena pukul lagi dengan Mak Long macam biasa tapi mama baba jangan risaulah dengan abang. Abang kan kuat. Ah ya mama baba, abang lupa nak beritahu. Abang dan Adik Qist tidur kat luar rumah lagi ni. Sekarang, tengah hujan lebat tahu mama baba. Adik Qist pula seronok tidur kat atas peha abang. Adik Qist tidur lena sangat. Mama baba… Kan seronok kalau mama baba ada lagi. Boleh kita mandi hujan sekali, kan? Mama baba takkan biarkan abang dan Adik Qist macam ni, kan?’
Dia mula bersin tanpa henti akibat kesejukan. ‘Mama baba… Mesti abang demam esok tapi abang tahu abang tak boleh manja sangat. Nanti kena pukul lagi dengan Mak Long. Abang ta…kut sangat. Abang kena jadi abang yang kuat untuk Adik Qist. Jadi, abang tak boleh menangis sebab Mak Long tak suka kalau abang menangis. Kalau abang menangis depan Mak Long, abang kena pukul dengan rotan, penyapu dan getah paip. Sa… Sakit sangat. Mama baba… Abang dah rasa semua tu tahu. Kalau mama baba ada lagi, mesti mama baba takkan buat macam tu kat kami, kan? Abang ingat lagi, dulu mama baba tak pernah buat macam tu kat kami tapi… Sekarang kan kami dah tinggal dengan Mak Long. Kami kena terima semua ni. Tak apa mama baba. Jangan risaukan kami. Abang sayang sangat mama baba. Abang rindulah mama baba. Tak sabar nak jumpa mama baba kat Syurga. Abang pun rindu sangat kat adik-adik.’
Tidak sedar, air matanya menitis. Dia merasakan bahawa dirinya tiada harapan untuk menemui sinar kebahagiaan seperti dahulu. Apa yang ada kini, hanyalah kesakitan, kelukaan, ketakutan dan kesedihan bagi seorang anak kecil berumur sembilan tahun itu.
Tiba-tiba Qistur Ruwaidah mengigau di ribaan abangnya itu. “A…bang, se…juk.”
Suhaibul Umar segera mendodoi lembut di bahagian lengan adiknya itu. “Shhh… Tidur ya adik. Abang ada ni.”
Begitulah apa yang dilalui oleh Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah itu. Boleh dikatakan hampir setiap hari dua beradik itu menjadi mangsa penderaan Mak Long Rauzah tanpa jemu sehingga tubuh mereka berdua sudah lali dikerjakan oleh wanita itu. Atas sebab itulah, tubuh mereka berdua mula meninggalkan banyak luka dan parut bersilih ganti tanpa henti.
Pada keesokan hari, kedengaran terbukanya pintu rumah. Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah terpisat-pisat apabila terdengar bunyi pintu tersebut.
Segera Suhaibul Umar mengambil bajunya pada kaki adiknya untuk dia menyarung semula ke tubuhnya.
Kelihatan Mak Long Rauzah sedang berdiri di hadapan mereka berdua. “Seronok tidur kat luar rumah? Ke nak tambah satu hari lagi?” perlinya.
Dua beradik itu menggeleng laju. Tiba-tiba tangan Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah direntap kasar oleh kedua-dua belah tangan Mak Long Rauzah. Dua beradik itu hanya mendiamkan diri dan mereka berdua mengikuti sahaja ke destinasi yang akan dibawa oleh ibu saudara mereka berdua itu.
Mereka berdua dibawa semula ke bilik tidur. Namun begitu, kelihatan sebuah seterika dan meja seterika berada dalam bilik mereka.
Tanpa sepatah bicara, Mak Long Rauzah mencampakkan tubuh Qistur Ruwaidah di atas tilam manakala Suhaibul Umar dibawa ke meja seterika itu, lalu diletakkan kedua-dua belah tangan Suhaibul Umar di atas meja seterika itu.
“Jangan pandai-pandai nak gerak ya!” ugut Mak Long Rauzah.
“M… Mak Long nak buat apa ni?” soal Suhaibul Umar dalam ketakutan.
Sudahlah semalam dia dan adiknya telah dicucuh dengan besi panas dan masih terasa lagi betapa sakitnya dua beradik itu merasai besi panas yang mengenai pada tubuh mereka berdua itu.
Suhaibul Umar melihat ibu saudaranya sedang menghidupkan suis seterika. Kelihatan Mak Long Rauzah menyanyi-nyanyi kecil sementara menunggu suhunya panas. Qistur Ruwaidah pula hanya mampu memerhatikan apa yang bakal berlaku selepas ini.

Setelah suhu seterika itu mulai panas, tangan Mak Long Rauzah mula mengambil seterika itu dari tempatnya, lalu ditekapnya di kedua-dua belah tangan Suhaibul Umar dalam tempoh beberapa minit. Kedengaran suara Suhaibul Umar menjerit penuh derita.
“Arghhh! M… Mak Long! Panas! To…long! Sa…kit!” rayu Suhaibul Umar.
Qistur Ruwaidah terkejut melihat tindakan ibu saudaranya itu.
Tidak lama kemudian, Mak Long Rauzah menyelak baju yang dipakai oleh Suhaibul Umar, lalu seterika tersebut ditekap pula di bahagian tubuh belakang anak kecil itu dalam beberapa minit yang seterusnya. “M… Mak L…Long, to…long! Su…haib sa…kit!” rayu Suhaibul Umar lagi.
Entah bagaimana Qistur Ruwaidah mendapat kekuatan untuk menghalang perbuatan wanita itu, langkahnya pantas menuju ke arah ibu saudaranya itu, lalu digigitnya betis Mak Long Rauzah itu. Suhaibul Umar jatuh rebah dari meja seterika itu.
“Aduh! Tak guna punya budak!” jerit Mak Long Rauzah, lalu direntapnya tangan Qistur Ruwaidah. Seterika tersebut dihalakan ke lengan kanan anak kecil itu.
“Arghhh!” jerit Qistur Ruwaidah apabila lengan kanannya ditekap oleh Mak Long Rauzah.
“Berani kau gigit betis aku ya, budak tak guna! Rasakan seterika ni kat betis kau! Balasan untuk kau sebab kau gigit betis aku!” bentak Mak Long Rauzah seraya menaikkan suhu seterika tersebut.

“Q…ist min…ta ma…af! Arghhh!” jeritan Qistur Ruwaidah semakin kuat apabila wanita itu menekap di bahagian betisnya pula dalam tempoh lima minit lamanya. Sungguh dia berasa terseksa dan terkulai layu.

Dia menyangka bahawa dirinya akan menghembuskan nafas terakhir waktu itu juga, namun penderitaannya masih belum berakhir. Mak Long Rauzah menyelak baju anak saudaranya, lalu dia menekap seterika tersebut pada bahagian tubuh belakangnya pula. Sama seperti abangnya. “M… Mak Long! Sa…kit! To…long!” rayu anak kecil itu.

Suhaibul Umar cuba mendapatkan adiknya dengan menyeret tubuhnya sedikit demi sedikit ke arah adiknya itu agar dia boleh melindungi adiknya, namun ibu saudaranya ternampak pergerakannya itu.
Mak Long Rauzah membiarkan seterika itu di atas tubuh belakang Qistur Ruwaidah, lalu tubuh belakang Suhaibul Umar dipijak oleh wanita itu.
“Kau jangan mimpi nak selamatkan adik kau, Suhaib!” bentaknya.
“Sa…kit!” jerit Suhaibul Umar. Kesakitan pada tubuhnya semakin dirasakan berganda-ganda. Dicucuh dengan besi panas, ditekap dengan seterika dan kini, tubuh belakangnya dipijak dengan sekuat hati oleh wanita itu tanpa belas kasihan. Dia terpaksa melupakan hasratnya itu dan hanya mampu menjadi pemerhati kepada penderitaan adiknya itu. Usah disebut berkenaan air mata yang setia menemaninya kerana itu sahajalah senjata yang mampu mengurangkan kesakitan tubuh dan jiwa seorang Suhaibul Umar itu.
Setelah tubuh belakang Qistur Ruwaidah ditekap dengan seterika, Mak Long Rauzah memberikan sepak terajang pula terhadap anak kecil itu dengan sepenuh tenaga dewasanya. “Kau ni memang patut mampus je!”
Qistur Ruwaidah terbatuk-batuk setelah dia menerima tendangan demi tendangan itu. Kudratnya kian lemah.
Suhaibul Umar berusaha untuk menghampiri adiknya itu tanpa putus asa. Akan tetapi, dia juga turut disepak terajang oleh wanita kejam itu. “Mampuslah kau, budak!” bentak Mak Long Rauzah.
“Sa…kit,” ucap Suhaibul Umar, perlahan sambil dirinya terbatuk-batuk. Tika itu, dia tidak berdaya lagi untuk merintih sakit.
“Eiii! Dahlah! Makin lama aku dalam ni, buat aku rasa nak bunuh kau orang je!” jerit Mak Long Rauzah seraya memegang kepalanya, lalu ditinggalkan anak-anak saudaranya. Bertambah kejam, dia mengunci tombol pintu itu.
Terkurunglah dua beradik itu di dalam bilik yang penuh derita itu.
Suhaibul Umar berjaya merapati adiknya itu setelah dia gigih menyeret tubuhnya untuk menuju ke arah adiknya itu. Dia dapat melihat beberapa bahagian tubuh adiknya menjadi kemerah-merahan akibat kesan seterika dan juga kesan lebam. Pasti adiknya terseksa!
Sedangkan, keadaan dirinya juga mengalami nasib yang sama seperti adiknya, namun dia tidak mahu mengendahkannya. Dia hanya mahu adiknya berada dalam keadaan baik walaupun dia tahu, adiknya terseksa melalui kehidupan sebegini.
Qistur Ruwaidah tersenyum lemah kepada abangnya itu. “A…dik sa…pu…kan mi…nyak k…kat ba…dan a…bang y…ya,” katanya seraya dia berusaha untuk bangkit.
Suhaibul Umar menggeleng lemah kepalanya itu seraya menghalang perbuatan adiknya itu. Dia juga tidak berdaya. Tenaganya sudah hilang. “Ja…ngan ba…ngun, a…dik. A…dik ke…na re…hat. K…Ke…napa a…dik gi…git be…tis M… Mak L…ong ta…di?” tuturnya dalam nada sakit dan sebak.
“A…dik te….ngok a…bang s…sa…kit s…sa…ngat. A…dik gi…git…lah be…tis M…Mak L…ong,” balas Qistur Ruwaidah dalam nada terketar-ketar.
Suhaibul Umar tersentuh akan kata-kata adiknya itu, lalu dia membetulkan posisi adiknya dalam keadaan dia terbaring lemah di atas tilam itu agar adiknya berada dalam posisi yang selesa. Segala kudrat yang dimiliki olehnya, dia menyeret tubuhnya untuk berbaring di sebelah adiknya, lalu dia mengusap kepala adiknya itu.
“K… Ki…ta zi…kir ‘Al…lah’ y…ya, a…dik. A…dik i…kut a…bang. ‘Al…lah’,” ungkap Suhaibul Umar dalam kesakitan.
“Al…lah,” bersusah payah Qistur Ruwaidah menyebut nama Maha Agung itu.
Setelah dua beradik itu puas berzikir kalimah agung itu, mereka berdua membisukan diri sambil menahan kesakitan yang sukar diluahkan.
Tiba-tiba…
“Ma…ma, ba…ba, K…Kak Qi…na, Dik Har…raz, Dik Har…zan… Q…Qist rin…du,” ucap Qistur Ruwaidah perlahan.
Sekali lagi, bercucuran air mata Suhaibul Umar mendengar adiknya memanggil nama seseorang demi seorang ahli keluarganya yang telah tiada itu!

PADA suatu hari di perkarangan rumah Mak Long Rauzah…
“Fuh, siap pun! Abang dah siap sapu?” tegur Qistur Ruwaidah sambil mengelap peluh yang mengalir pada dahinya.
Meskipun dia penat didera oleh wanita tidak berhati perut itu dan juga, dia penat dimarahi dan didenda oleh para guru yang mengajarnya di sekolah, dia tetap menjalankan tugas dengan penuh gembira dan ceria walaupun jauh di sudut hatinya, jiwanya dibaluti dengan 1001 kesedihan dan kesakitan, namun dia tidak mahu melayankan sangat perasaan sedih dan sakitnya itu.
Sehingga kini, dia masih mengingati kata-kata abangnya jika dia menjadi sedih.
“Abang ada baca satu buku ni kat perpustakaan sekolah tadi. Kalau adik sedih, adik senyum sebab senyum ni buat adik tenang tahu tapi abang tahu susah. Yalah, kita kan selalu kena pukul dengan Mak Long, kena marah dengan cikgu, keluarga kita dan Pak Long pun dah tak ada tapi kita cuba je senyum. Abang pun cubalah lepas abang kena marah dengan cikgu dan kena denda berdiri kat luar kelas. Berkesan tahu,” kata Suhaibul Umar pada suatu hari dalam perjalanan pulang dari sekolah ke rumah.
“Wah, betul ke abang!” soal Qistur Ruwaidah, teruja.
“Haah. Betul. Kalau adik tak percaya, nanti adik buatlah kalau adik rasa sedih.”
“Okey! Adik nak cubalah nanti.”
Mengingatkan perbualan itu, Qistur Ruwaidah mengukir senyuman sambil melihat abangnya masih menyapu dedaunan kering itu.
“Okey, dah siap. Adik dapat sapu berapa helai daun?” respons Suhaibul Umar.
“Entah, adik pun tak kira lagi. Tunggu sekejap. Adik kira.”
Qistur Ruwaidah mengira sehelai demi sehelai daun yang berjaya disapu olehnya. Itulah terapi dan hiburan untuk dirinya memandangkan tiada lagi alat permainan yang boleh dimain olehnya, juga abangnya.
“Adik dapat sapu 50 helai daun. Abang kiralah abang punya pula,” kata Qistur Ruwaidah. Dia menuju ke bahagian abangnya pula.
Suhaibul Umar tersenyum, lalu dia mengira helaian-helaian daun gugur itu. “Yeay! Abang menang lagi. 70 helai,” katanya.
“Alaa… Adik ingatkan adik boleh kalahkan abang lagi,” kata Qistur Ruwaidah seraya memuncungkan bibirnya.
“Tak apa, adik. Abang beri 10 helai daun kat adik. Kiranya, kita sama-sama dapat sapu 60 helai,” balas Suhaibul Umar seraya mengambil 10 helai daun dan diletakkan di bahagian adiknya.
“Yeay! Terima kasih abang. Adik sayang abang!”
“Sama-sama adik. Abang pun sayang adik. Jom kita buang daun-daun ni. Sekejap lagi, Mak Long nak bakar daun-daun ni.”
Kini, tiada lagi alat permainan serta buku-buku yang menjadi hiburan untuk mereka. Kehidupan mereka telah dihambakan untuk Mak Long Rauzah. Segala aktiviti yang dikerah oleh ibu saudara mereka berdua itulah, kini merupakan hiburan untuk anak-anak kecil itu.
Setelah mereka berdua membersihkan perkarangan rumah Mak Long Rauzah, dua beradik itu berehat seketika.
“Huu… Siap dah. Lepas ni, kita kena buang bunga dan daun mati dari pasu bunga kat situ dan kita kena kemas kat dapur. Lepas tu, barulah kita boleh rehat. Okey?” kata Suhaibul Umar.
“Okey! Jom!” kata Qistur Ruwaidah dengan penuh semangat dan ceria.
Tiba-tiba…
“Qistur Ruwaidah!” panggil Mak Long Rauzah.
“Y… Ya Mak Long!” sahut Qistur Ruwaidah di luar rumah.
“Cepat hidangkan air sejuk untuk aku!”
Qistur Ruwaidah memandang abangnya. Suhaibul Umar tersenyum sambil memberikan isyarat agar adiknya perlu bertindak segera. “Abang buat dulu. Adik pergilah bagi air kat Mak Long,” katanya.
Tanpa sebarang keluhan, Qistur Ruwaidah menghidangkan segelas air sejuk untuk wanita itu. Sewaktu dia membawa gelas tersebut dan secara tidak sedar, kakinya tersadung pada lantai ruang tamu yang memiliki ketinggian sedikit dari lantai dapur, lalu dia tersembam di atas lantai.
Air yang berisi dalam gelas tersebut juga telah tertumpah di atas karpet.
“Aduh!” adu Qistur Ruwaidah.
Tiba-tiba muncul kelibat Mak Long Rauzah di hadapannya dengan wajah bengisnya.
PAP!
Satu tamparan mula menghinggapi pipi anak kecil itu. “Kau buat apa ni, Qistur Ruwaidah! Aku suruh kau ambilkan air! Bukannya suruh kau masak pun! Tengok! Habis basah karpet aku! Menyusahkan betullah kau ni! Terus hilang dahaga aku!”
PAP! Pipi anak kecil itu ditempelengnya lagi.
Isk… Isk… Isk… Esakan Qistur Ruwaidah mula kedengaran sehingga Suhaibul Umar dapat mendengar tangisan adiknya itu. Dia segera melangkah masuk ke dalam rumah. Kelihatan adiknya sedang ditempeleng oleh Mak Long Rauzah. Reaksinya kaku.
“Q…Qist minta maaf. Q… Qist tak sengaja,” kata Qistur Ruwaidah dalam sedu-sedan.
PAP! Sekali lagi, pipi Qistur Ruwaidah ditempeleng sehingga pipinya mula bertukar merah serta meninggalkan luka dan berdarah sedikit.
Mak Long Rauzah mencengkam tudung yang dipakai oleh Qistur Ruwaidah sehingga kepala anak kecil ditarik ke belakang. “Kau bersihkan karpet ni ya! Aku tak nak tengok karpet ni basah! Kalau tak kering dalam masa satu jam, siap kau!”
“O…Okey M…Mak Lo…ng,” balas Qistur Ruwaidah dalam sedu-sedan.
Wanita itu melepaskan cengkaman tudung Qistur Ruwaidah dengan kasar, lalu ditinggalkan anak saudaranya itu. Kemudian, dia ternampak kelibat Suhaibul Umar sedang tercegat di pintu ruang tamu itu. “Kau buat apa kat situ! Buat kerjalah, budak!” bentaknya seraya menunjukkan isyarat telapak tangannya untuk menempeleng anak saudaranya itu.

Tanpa sepatah kata, Suhaibul Umar segera meninggalkan tempat itu dan meneruskan tugasnya di luar perkarangan rumah bagi membuang daun-daun dan bunga-bunga yang berguguran layu di atas tanah. Dia terpaksa menyelesaikan tugas itu terlebih dahulu sebelum dia boleh menghampiri adiknya itu.
Setelah Mak Long Rauzah hilang dari pandangan Qistur Ruwaidah, anak kecil itu mengusap pipinya. Air matanya sudah kering. “Pipi okey? Mesti pipi sakit, kan? Minta maaf,” katanya sendirian.
Tiba-tiba dia tersedar sesuatu daripada dia terus melayan perasaan sedihnya itu. “Eh, aku kena keringkan karpetlah! Nanti Mak Long nak tengok. Kena cari kain ni,” katanya, lalu dia bingkas bangun untuk mencari kain buruk.
Setelah dia mengambil beberapa helai kain buruk, dia mula menggosok bahagian permukaan karpet yang telah tertumpah air. Berkali-kali dia menggosok sehingga tangan kanannya semakin memerah. Setelah dia berpuas hati, dia merasai permukaan karpet tersebut. Dia tersenyum girang menandakan kalbunya kini meronta kesedihan.
“Kering pun! Sekarang, aku nak pergi sidai kain-kain ni kat luar,” katanya sendirian.
Qistur Ruwaidah membawa kain-kain tersebut ke luar untuk disidai pada penyangkut baju. Memandangkan ketinggiannya tidak boleh mencapai penyangkut baju tersebut, dia baru sahaja hendak mengambil bangku yang berdekatan sambil mengusung kain-kain itu. Tiba-tiba, sikunya dipegang oleh abangnya.
“Eh, abang!” tegur Qistur Ruwaidah.
“Tak apa. Biar abang buatkan,” kata Suhaibul Umar seraya diambilnya kain-kain buruk itu daripada tangan adiknya, lalu disidainya pada penyangkut baju tersebut.
Usai urusan menyidai itu, Suhaibul Umar menghampiri adiknya itu. Dilihat luka pada pipi adiknya itu telah kering. Dia memegang pipi adiknya secara perlahan-lahan. “Sakit?” tanyanya.
Qistur Ruwaidah mengangguk perlahan. “Sakit tapi… Adik okey je. Abang jangan risau. Kan adik dah biasa. Emm… Kerja abang banyak lagi ke? Kalau banyak lagi, adik nak tolong abang.”
“Tak payahlah. Sikit je lagi ni. Adik pergilah duduk kat bangku tu. Mesti adik penat, kan? Adik tengok abang buat kerja je.”
Qistur Ruwaidah melabuhkan punggungnya di atas bangku tersebut sambil anak matanya memerhatikan setiap gerak-geri abangnya itu. Kasihan abangnya itu.
Suhaibul Umar mengelap peluh di dahinya setelah dia berjaya menyempurnakan aktiviti mengutip daun-daun dan bunga-bunga yang berguguran di atas pasu bunga tersebut. “Siap dah! Okey adik, jom kita kemas kat dapur pula. Abang tak sabar nak rehat ni. Lepas tu, kita boleh siapkan kerja sekolah pula,” katanya.
Qistur Ruwaidah tersenyum hambar. Dia tahu abangnya berasa amat penat, namun abangnya hanya berpura-pura ceria.
Langkah Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah menuju ke dalam rumah dengan lemah longlai kerana ikutkan, tenaga mereka berdua kian hilang hari demi hari. Akan tetapi, mereka berdua perlu kuat dan tabahkan hati demi kelangsungan hidup untuk berada di rumah Mak Long Rauzah itu. Setiap hari, dua orang anak yatim piatu itu berdoa agar mereka dikurniakan kekuatan dan mendoakan kesejahteraan ahli keluarga lantaran terlalu rindu.
Sehingga kini, dua beradik itu mengingati akan pesan almarhum Pak Long Megat Arif.
“Kalau Suhaib dan Qist rindu kat mama, baba, Qina, Harraz dan Harzan, setiap kali lepas solat, doa kat Allah supaya mereka bahagia dan gembira kat Syurga. Minta juga kat Allah supaya Suhaib dan Qist dapat jumpa mereka kat Syurga nanti. Jangan lupa juga, doa kat Allah supaya Suhaib dan Qist sentiasa kuat.”
Begitulah pesanan yang pernah disemat oleh ayah saudara mereka berdua itu. Sehingga kini dua beradik itu amalkan tanpa jemu setiap kali usainya solat fardu.
Dua beradik itu terpaksa menahan lapar, sakit menahan derita didera oleh Mak Long Rauzah tanpa belas kasihan dan dipaksa menyelesaikan kerja-kerja rumah tanpa henti.
Kelihatan Suhaibul Umar mengunci pintu rumah tersebut. Lalu, kunci rumah itu digantung pada penyangkut kunci.
“Adik larat ke tak ni? Nampak adik tak sihat,” tegur Suhaibul Umar setelah mereka berdua berada di dapur.
“Adik okey je. Cuma, perut adik ni. Dia lapar. Dari tadi asyik bunyi je. Adik pun tak tahulah macam mana nak suruh dia berhenti lapar. Adik dah bagi dia air pun, dia lapar juga. Eiii… Perut ni kan! Tolonglah diam! Suka kacau Qist tahu!” balas Qistur Ruwaidah sambil menepuk lembut perutnya itu.
Hakikatnya, sudah empat hari mereka berdua tidak diberi makan oleh Mak Long Rauzah. Mereka hanya dibenarkan untuk minum air kosong sahaja jika mereka berdua lapar. Jika wanita itu mempunyai sedikit belas kasihan, diberikan sekeping roti kepada dua beradik itu untuk dikongsi berdua. Sungguh kejam!
Kalbu Suhaibul Umar meruntun sedih apabila adiknya mengungkapkan ayat sedemikian. Dia tahu betapa adiknya sangat lapar kerana dia juga sama seperti adiknya. “Adik lapar ke?”
“Taklah. Bukan adiklah. Perut adik ni yang lapar,” kata Qistur Ruwaidah sambil tersengih ceria.
“Kalau adik lapar, jomlah kita tengok kat bawah tudung saji tu ada apa. Abang pun lapar juga ni. Dah empat hari kita tak makan. Tak apalah kita ambil sikit makanan bawah tudung saji tu. Bukannya Mak Long tahu pun.”
“Eh, tak apa ke, abang? Bukan tu macam mencuri ke? Nanti Mak Long pukul kita lagi. Adik tak naklah. Kita tunggu jelah Mak Long bagi makan. Mungkin esok Mak Long bagi kita makan. Kita doalah Mak Long bagi kita makan esok. Biasanya Mak Long bagi kita nasi kosong je tapi adik harap, Mak Long bagi kita nasi dan telur rebus pula esok. Emm… Sedapnya!”
Suhaibul Umar menggeleng laju kepalanya itu. Ada benar kata adiknya itu. Namun begitu, dia berasa amat lapar yang tidak tertanggung. “Haahlah… Betul juga cakap adik. Kalau kita ambil barang orang tak minta izin, tu dah dikira mencuri. Okeylah. Jom kita minta kat Allah kalau kita nak apa-apa. Ya Allah, semoga Mak Long bagi kita makan nasi dan telur rebus esok. Amin!” katanya seraya meraup kedua-dua belah tapak tangannya ke mukanya.
“Amin!” ucap Qistur Ruwaidah sambil mengikuti perlakuan abangnya itu.
Akhirnya, dua beradik itu melupakan hasrat untuk melihat menu yang berada di bawah tudung saji itu, lalu mereka berdua memulakan kerja mengemas di bahagian dapur tersebut dengan penuh semangat dan ceria biarpun tenaga mereka berdua semakin lemah.
Sewaktu Qistur Ruwaidah hendak membasahkan tekaknya dengan mengambil air sejuk di dalam peti sejuk setelah dia menyelesaikan tugasnya, dia ternampak sesuatu dalam peti sejuk tersebut. Lalu, dia memanggil abangnya.
“Kenapa adik?” tanya Suhaibul Umar, lalu dia menghampiri adiknya itu.
“Abang ingat tak coklat ni?” kata Qistur Ruwaidah sambil tangannya memegang sekeping coklat jenama ‘Cadbury’ itu.
Suhaibul Umar tersenyum. “Mestilah abang ingat. Coklat ‘Cadbury’. Kan mama baba selalu beli kat kita dulu.”
“Kalau mama baba ada lagi, mesti mama baba beli kat semua orang. Adik rindulah mama baba. Kak Qina, Dik Harraz dan Dik Harzan pun, adik rindu. Adik teringinlah nak pergi kubur keluarga kita. Kalau Pak Long ada lagi, mesti Pak Long bawa kita, kan?” kata Qistur Ruwaidah, lalu dia meletakkan semula coklat tersebut ke tempat asalnya.
“Tak apa, adik. Kalau Kak Syita balik nanti, kita minta tolong Kak Syita bawa kita pergi kubur keluarga kita.”
“Eh, haahlah! Rindu pula Kak Syita. Lama pula Kak Syita tak balik, kan? Tapi kan abang… Adik peliklah. Lepas Kak Syita nampak kita kena pukul dengan Mak Long, kenapa Kak Syita tak nak tolong kita dulu? Lepas tu, Kak Syita tak balik dah rumah ni, kan?”
Suhaibul Umar menjungkitkan bahunya itu. “Entah. Abang pun tak tahulah adik. Kak Syita sibuk kut tapi tulah, abang pun pelik. Masa kita minta tolong tu, Kak Syita tak nak tolong kita lepas Kak Syita marah Mak Long. Hmm…”
Mana mungkin Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah lupa apabila sepupu mereka berdua, iaitu Puteri Masyitah menyaksikan sendiri dia dan adiknya itu didera di hadapan matanya buat kali pertama. Lalu, Puteri Masyitah bergaduh dengan ibunya.
Waktu itu, Puteri Masyitah sedang berehat dalam biliknya sewaktu cuti semester. Tiba-tiba, dia terdengar suara jeritan yang sangat kuat. Dia mula berasa tidak sedap hati. Lantas, dia melangkah keluar dari biliknya dan menuju ke arah bunyi jeritan itu.
Alangkah terkejutnya Puteri Masyitah apabila dia ternampak ibunya sedang menyimbah air panas ke arah Suhaibul Umar sehingga sepupunya itu menggelupur kepanasan. “Argh! Panas Mak Long! Panas!” jerit Suhaibul Umar.
Sementara itu, Qistur Ruwaidah pula menangis sambil menjerit kesakitan apabila dia dipaksa memegang ikan goreng yang baru sahaja siap digoreng di atas tapak tangannya.
“Mak!” jerit Puteri Masyitah, lalu dia menolak tangan Qistur Ruwaidah daripada terus memegang ikan goreng tersebut dan dia melindungi Suhaibul Umar daripada terus diseksa. Lantas, dia memeluk dua orang anak kecil itu. Seketika, dua beradik itu terasa selamat dalam pelukan sepupu mereka berdua itu.
Kini, dua beranak itu saling memandang antara satu sama lain.
Mata Puteri Masyitah mula merenung tajam ke arah ibunya itu. “Apa mak dah buat ni!” tengkingnya.
Kelihatan wajah Mak Long Rauzah tidak terselit rasa serba salah langsung dengan tindakannya itu. Bahkan, wanita itu tidak berasa takut apabila kegiatannya yang suka mendera anak-anak saudara tanpa sebab itu telah pun diketahui oleh anak tunggalnya itu.
“Heh! Ikut suka maklah! Budak-budak ni memang patut diajar supaya dia orang sedar yang dia orang ni menumpang je dengan kita! Syita kena ingat... Disebabkan budak-budak tak guna ni, mak dah tak ada suami! Syita dah tak ada ayah!”
“Apa mak merepek ni! Ajal ayah dah ditetapkan Allah! Sekali pun Syita dan mak dah hilang ayah, bukan salah Suhaib dan Qist! Mak lupa ke qadar Allah! Satu lagi, mak sedar tak, mak dah dera Suhaib dan Qist! Mak tak ada hak nak dera budak-budak ni! Apa salah dia orang! Dia orang tak faham apa-apa pun! Budak-budak ni anak yatim piatu, mak... Dia orang tak berdosa. Kalau almarhum Pak Ngah Isyraf tahu kakak sendiri sanggup dera anak-anak Pak Ngah Isyraf, mesti Pak Ngah Isyraf akan lapor kat pihak polis. Kalau Pak Ngah hidup lagi, mesti Pak Ngah pun tak kisah dah, sama ada mak ni kakak dia atau tak. Sekarang ni… Mak beritahu Syita! Dah berapa lama mak dera budak-budak ni!”
Waktu itu, barulah Suhaibul Umar mengerti bahawa mereka bukan didenda tetapi didera. Cuma, dia tidak pasti definisi sebenar bagi perkataan ‘dera’ itu. Dia akan mencari makna ‘dera’ tersebut di dalam kamus yang berada di perpustakaan sekolah nanti.
“Hei Syita! Pak Ngah Isyraf dah ada dalam kubur ya! Lantak dialah! Bukannya dia tahu pun keadaan anak-anak kesayangan dia sekarang. Jadi, apa masalah Syita nak tahu dah berapa lama mak dera budak-budak bodoh ni? Syita nak lapor kat pihak polis macam mana Syita cakap tadi. Apa? Pak Ngah akan lapor kat pihak polis kalau Pak Ngah hidup? Pak Ngah tak kisah mak ni kakak dia atau tak? Eh, ingat mak kisah ke! Mak peduli apa kalau si Isyraf tu adik mak sekali pun! Isyraf tu pun dah banyak menyusahkan maklah lepas nenek dan atuk dah mati! Ni pula, dia tinggalkan anak-anak tak guna ni! Dua ‘ekor’ ni patutnya mampus sekali dengan Isyraf kat kubur tu!” bentak Mak Long Rauzah.
Tatkala itu, berderau darah Puteri Masyitah apabila mendengar kata-kata ibunya bagaikan tiada sekelumit iman pun. Tergamak ibunya mengatakan yang bukan-bukan terhadap darah dagingnya sendiri! Darah dagingnya yang telah pergi itu!
Puteri Masyitah cukup mengenali almarhum Encik Isyraf Imrani sebagai seorang ayah saudara yang lemah lembut tutur bicaranya dan selalu membelanjai dirinya serta tidak lokek memberikan wang saku kepadanya sebelum ayah saudaranya itu berkahwin dengan Puan Mahfuzah. Dia tahu betapa almarhum ayah saudaranya itu amat menyayangi dirinya. Begitu juga, almarhumah ibu saudaranya itu.
Setelah Encik Isyraf Imrani berkahwin dengan Puan Mahfuzah, ayah saudaranya itu tidak pernah melupakannya, sekali pun ayah saudaranya telah mempunyai anak sendiri. Sanggupnya seorang Mak Long Rauzah itu mengatakan bahawa Encik Isyraf Imrani menyusahkan dirinya sebagai seorang kakak.
Sambung Mak Long Rauzah lagi… “Satu lagi! Syita kena ingat ya! Kalau bukan disebabkan mak dan ayah baik dengan pengarah UDA tu, Syita takkan dapat jurusan yang Syita inginkanlah! Mak boleh suruh je pengarah tu hentikan pengajian Syita,”
UDA merupakan singkatan bagi Universiti Darul Aman yang berpusat di Kedah. Ianya merupakan salah satu universiti swasta terbaik di Malaysia. Rezeki Puteri Masyitah, ibu dan almarhum ayahnya mempunyai hubungan yang sangat akrab dengan pengarah pusat pengajian tersebut.
“A… Apa mak mengarut semua ni? Mak dah hilang waras ke?” soal Puteri Masyitah, sebak. Inikah dia seorang ibu yang dia kenali selepas pemergian ayahnya itu? Inikah juga sikap seorang ibu yang dihormati dan disayangi olehnya selama ini? Sungguh dia kelu 1000 bahasa.
“Sekarang, Syita pilih. Mak atau budak-budak ni? Kalau Syita pilih budak-budak ni, mak tak ada pilihan melainkan sekarang juga mak hubungi pengarah UDA untuk tamatkan pengajian Syita. Syita takkan dapat sesen pun daripada mak kalau Syita nak sambung belajar kat tempat lain. Kan Syita juga kata Syita tak nak buat sebarang pinjaman sebab Syita tahu mak boleh tanggung Syita. Kalau Syita pilih mak, mak akan terus beri apa yang Syita mahukan tetapi dengan syarat, Syita pejamkan mata je apa yang mak buat kat budak-budak ni. Oh ya, satu lagi kalau Syita pilih mak. Syita dah tahu pasal kegiatan mak ni, kan? Lepas ni, Syita jangan balik ke rumah ni sampai Syita dah tamat belajar. Pergilah cari rumah sewa kat Kedah tu. Hatta kalau ada apa-apa cuti umum atau hari perayaan macam bulan Ramadan dan Syawal sekali pun, mak tak nak Syita ada kat sini sebab mak tahu Syita takkan sanggup nak tengok budak-budak ni, kan. Jangan risau. Setiap bulan mak akan kirim duit kat Syita. Pilihan kat tangan Syita.”
Puteri Masyitah tersentak akan pilihan itu. Tergamaknya seorang ibu mengugut anaknya dengan cara yang begitu kejam sehingga dia tiada pilihan. Jika dia memilih untuk menyelamatkan dua orang anak kecil itu, dia akan kehilangan tempat pengajiannya. Juga, ibunya tidak akan memberikan wang langsung kepadanya. Jujur dari hatinya, dia sendiri tidak tergamak untuk melaporkan kegiatan ibunya itu kepada pihak polis. Dia menyayangi ibunya itu.
Jika dia memilih ibunya, ibunya akan terus mendera dua beradik itu sehingga dia terpaksa membutakan mata sendiri di atas perlakuan ibunya itu. Dua pilihan… Ibunya atau Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah? Ah! Dia diselimuti dengan kebuntuan!
Tiba-tiba tangannya diraih oleh Suhaibul Umar. Dia mengucapkan sesuatu kepada sepupunya itu dalam nada menggigil kerana menahan kesakitan akibat tubuhnya sedang melecur. “Kak Syi…ta, to…long Su…haib d…an a…dik. Ka…mi s…sa…kit.”
Luluh hati Puteri Masyitah mendengar intonasi sepupunya itu. Dia tahu, pastinya dua orang sepupunya itu sudah terlalu lama merasai kesakitan demi kesakitan tanpa henti sebelum dia mengetahui semua ini. Dia juga mengetahui bahawa dirinya sahaja kini merupakan harapan anak-anak yatim piatu itu untuk bebas dari kepompong penderitaan itu.
Lalu, sekarang ini, apakah pilihan yang dia miliki? Meninggalkan Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah seperti tiada apa-apa yang berlaku? Membiarkan anak-anak yatim piatu itu terus hidup dalam kesengsaraan di bawah penderitaan ibunya sendiri? Ikutkan perkiraannya, pengajiannya berbaki lagi empat tahun setengah termasuk peringkat asasi yang sedang dilalui olehnya kini dan juga peringkat ijazah kelak. Jika dia memilih ibunya, tempohnya akan menjadi panjang untuk dia tidak bertemu dengan dua orang sepupunya itu. Dia sendiri juga tidak akan bersua dengan ibunya sendiri dalam tempoh tersebut!
Selepas ini, sejujurnya dia tidak dapat membayangkan apa nasib dua beradik itu. Dia mengharapkan agar Allah melindungi anak-anak yatim piatu itu dan dikurniakan kekuatan mental dan fizikal untuk melalui hari-hari yang penuh suram dan derita bersama ibunya itu.
Melihatkan wajah polos Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah, dia perlu kuatkan hati akan pilihannya.
Setelah dia menimbang tara akan dua pilihan itu, akhirnya dia terpaksa mengambil keputusan untuk meninggalkan dua beradik itu dalam keadaan mereka terseksa didera oleh ibunya itu demi kepentingan peribadinya, iaitu dia mahu menamatkan pengajiannya itu tanpa sebarang pinjaman. Dia juga rela untuk berjauhan dengan ibunya itu dalam tempoh empat tahun setengah tersebut. ‘Tak lama pun, Syita! Empat tahun setengah je. Lepas tu, aku akan selamatkan Suhaib dan Qist daripada mak,’ bisik hatinya.
Namun begitu, tidakkah seorang Puteri Masyitah itu menyedari bahawa jangka hayat Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah mungkin akan menjadi singkat setelah tubuh mereka berdua teruk dikerjakan oleh ibunya sendiri? Tidakkah juga dia menyedari bahawa nyawa dua orang anak yatim piatu itu akan melayang pada bila-bila masa sahaja akibat kecederaan yang dua beradik itu alami? Tidakkah dia mengetahui bahawa dua orang kanak-kanak itu tidak pernah menerima sebarang rawatan di klinik atau hospital dan hanya mengharapkan minyak gamat jika mereka berdua cedera disebabkan penderaan ibunya yang kejam itu?
“Baiklah mak. Syita pilih mak. Kita takkan berjumpa lagi sampai Syita tamat belajar nanti,” begitulah apa yang terluah dari bibir Puteri Masyitah.
Kelihatan wajah Mak Long Rauzah berpuas hati akan keputusan anaknya itu. “Okey. Mak gembira Syita pilih mak. Mak ingatkan Syita nak pilih dua ‘ekor’ budak ni.”
Tatkala itu, betapa sebaknya Puteri Masyitah mendengar kata-kata ibunya itu, lalu dia melepaskan dua beradik itu dari pelukannya. Namun begitu, Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah tidak mahu melepaskan sepupu mereka berdua itu. Betapa dua beradik itu sangat memerlukan Puteri Masyitah agar mereka berdua dapat dibantu.
“K…Kak Syi…ta n…nak per…gi ma…na? To…long Su…haib d…dan a…adik. Ka…mi n…nak K…Kak Syi…ta,” rayu Suhaibul Umar dalam kesakitan itu. Sungguh tubuhnya merasakan azab yang tidak tertanggung kini.
Kelihatan Qistur Ruwaidah mendakap erat lengan lengan Puteri Masyitah dalam tangisan. “Isk… Isk… Kak Syita, tolong jangan pergi! Isk… Isk… Isk… Ka…mi s…sa…kit. Ka…mi t…ta…kut… Isk… Isk…”
“Maafkan Kak Syita, Suhaib, Qist,” ucap Puteri Masyitah sambil melepaskan dakapan lengan Qistur Ruwaidah itu dengan sekuat hatinya. Dia tidak betah lagi untuk berlama-lama di situ. Takut dia berubah fikiran setelah melihat keadaan dua orang sepupunya itu. Lalu, langkahnya hampir meninggalkan bilik yang penuh derita itu.
Namun begitu, dua beradik itu memegang kedua-dua belah kaki Puteri Masyitah. “Tolong!” rayu Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah.
Sekuat tenaganya, Puteri Masyitah terpaksa melepaskan dengan menghayunkan kaki kanannya terlebih dahulu agar terlepas pegangan Qistur Ruwaidah itu. Kemudian, dia menghayunkan kaki kirinya pula. Lalu, terlepaslah pegangan yang dipegang oleh Suhaibul Umar. Dua beradik itu tersentak seketika akan perlakuan sepupu mereka berdua itu. Sungguh anak-anak kecil itu tidak mengerti akan tindakan Puteri Masyitah itu.
Cepat-cepat Puteri Masyitah meninggalkan bilik itu dan mula menghempas pintu bilik itu agar dua beradik itu tidak mengejarnya lagi. Cadangnya, dia mahu meninggalkan rumah tersebut pada keesokan harinya. Dia tidak betah lagi untuk mendengar jeritan dan menyaksikan penderitaan Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah itu.
“Kak Syita!” panggil dua beradik itu, mengharapkan pertolongan, namun usaha mereka berdua menjadi sia-sia.
“Hoi budak! Sini kau orang! Sini!” bentak Mak Long Rauzah sambil menyeret tubuh dua beradik tersebut ke tempat asal. Wajahnya terus berubah menjadi bengis kembali.
“Isk… Isk… Mak Long, tolong! Jangan buat kami macam ni! Kami sakit! Isk…” rayu Suhaibul Umar dalam tangisan sambil memeluk erat Qistur Ruwaidah.
“Ooo… Pandai ya kau orang nak minta tolong anak aku! Padan mukalah anak aku tak nak tolong kau orang, budak bodoh! Hei, aku tak habis lagilah nak pukul kau orang. Tak puas lagi ni ha!”

Dua beradik itu sudah pasrah akan penderitaan seterusnya.

Sudahlah Suhaibul Umar merasakan seluruh tubuhnya telah melecur dan Qistur Ruwaidah juga sudah merasakan tapak tangannya melecur, mereka dihidangkan pula dengan segelung paip getah dan sebatang penyapu secara bersilih ganti sebagai penderitaan seterusnya.
Paip getah itu mula menghinggapi tubuh belakang Suhaibul Umar. “Arghhh!” rintihnya sambil mendakap erat adiknya itu. Air matanya merembes keluar kembali. Betapa dia berharap agar dia menghembuskan nafas terakhirnya waktu itu juga.
“Isk… Isk… S…Sa…bar ta…hu a…dik,” ungkap Suhaibul Umar menahan derita.
Tangan Mak Long Rauzah pantas mencapai sebatang penyapu pula. “Ha, ambil ni, anak setan!”
“Arghhh! S…Sa…kit!” jerit Suhaibul Umar.
Apabila anak matanya memandang adiknya sedang menangis, melihatkan dirinya sedang dipukul bertubi-tubi itu, dia berdoa agar Allah memanjangkan umurnya supaya dia dapat bersama dengan adiknya. Sekiranya dia pergi, siapakah yang akan menjaga dan melindungi adiknya nanti?
Kelihatan Qistur Ruwaidah hanya mampu menangis, melihatkan tubuh abangnya itu dipukul bertubi-tubi tanpa belas kasihan.
‘Allah! Allah! Allah! Tolong!’ Suhaibul Umar tidak jemu mengungkap kalimah agung itu dalam kalbunya agar Allah menguatkan fizikal, mental dan jiwanya. Akan tetapi, pelukan yang didakap olehnya itu telah terlepas berikutan tenaganya kian lemah dan tinggal nyawa-nyawa ikan sahaja.

Kemudian, dia melihat adiknya pula dipukul bertubi-tubi oleh Mak Long Rauzah dengan batang paip dan batang penyapu tersebut di saat dia terkulai layu. Dia tiada kudrat untuk melindungi adiknya waktu itu. Hanya air mata sebagai penemannya.
“A…dik…” panggil Suhaibul Umar, lemah.
Kelihatan Mak Long Rauzah begitu ‘seronok’ dapat mendera adiknya itu. “Ha, rasakan ni, Qist! Takkanlah abang kau je dapat rasa pukulan aku ni, kan. Kau pun mestilah kena senasib macam abang kau!”

Kedengaran suara Qistur Ruwaidah menjerit hiba. “Mak Long, sa…kit!”

“Rasakan lagi!” kata Mak Long Rauzah seraya memukul anak kecil itu.

Tika itu, dua beradik itu sudah terkulai layu atau lebih tepat, tinggal nyawa-nyawa ikan. Setelah puas dikerjakan oleh wanita kejam itu, dua beradik itu ditinggalkan begitu sahaja, lalu dikurungnya dua beradik itu dengan mengunci tombol pintu tersebut dalam tempoh dua atau tiga hari.

Mak Long Rauzah tahu, biasanya dua beradik itu akan kembali bertenaga semula selepas dua atau tiga hari kemudian meskipun Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah tidak sempat mengecaj tenaga mereka berdua. Dua beradik itu juga jarang diberi makan dan pada masa yang sama, mereka juga terpaksa melalui penderaan-penderaan yang kejam dan tidak masuk akal itu sehingga menyebabkan tenaga dua beradik tersebut semakin lemah.

Ikut logik, sepatutnya Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah boleh maut hasil penderaan-penderaan kejam yang dilakukan oleh Mak Long Rauzah, namun Allah Maha Mengetahui akan kekuatan jiwa anak-anak yatim piatu itu.
Bahkan, kulit anak-anak kecil itu tidak sempat pun untuk pulih dan tetap ada kesan luka dan lebamnya tanpa henti. Juga, bekas parut hasil penderaan pada bulan-bulan yang lalu. Tambahan pula, dua beradik itu tidak pernah menerima sebarang rawatan di klinik mahupun hospital.
Betapa kejamnya Mak Long Rauzah itu, dia menghadiahkan penderaan baharu pula. Sungguh wanita itu tidak sabar untuk mendera lagi anak-anak saudaranya itu.
Rauzah binti Mahmud, kau memang kejam! Sanggup kau mendera dan menyeksa anak-anak adik kau sendiri, iaitu Isyraf Imrani bin Mahmud! Darah daging kau sendiri! Kau sedar ataupun tidak! Perangai kau sumpah mengalahkan jin, Firaun dan Mustafa Kamal Atartuk!

Kejam kan Mak Long Rauzah? Nak gelar dia apa kalau bukan jin, Firaun dan Mustafa Kamal Atartuk? Sebab tuan penulis pun tak tahu nak panggil apa kat Mak Long Rauzah ni. Maafkan tuan penulis sebab tulis kejam sangat untuk bab ini. :'(

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience