BAB 19

Drama Completed 13621

SEBELUM berlakunya lamaran Mohamad Salahuddin bin Mohd Firdaus…
Setelah tamat kuliah ‘Arabic Syntax II’, Qistur Ruwaidah mula meninggalkan kelasnya. Dia sudah berjanji untuk menemui Suhaibul Umar di sekitar kawasan Bank Islam. Sebolehnya, dia tidak mahu abangnya menunggu dirinya terlalu lama.
“Qist, kau nak pergi mana laju-laju ni?” tegur salah seorang rakan sekelas Qistur Ruwaidah, iaitu Tihaani.
Qistur Ruwaidah menoleh ke belakang, lalu dia tersenyum. Dia tahu sangat gerangan suara itu. “Maaf Tihaani. Aku nak kena jumpa abang aku. Tak dapat nak lepak dengan kau. Bila-bila nanti, kita lepak ya.”
Belum sempat Tihaani mahu membalas kata-kata kawannya itu, langkah Qistur Ruwaidah laju meninggalkan dirinya. Tihaani tersenyum. Tahu sangat siswi itu amat menyayangi abangnya. Dia juga pernah menyaksikan sendiri sifat penyayang dan lemah lembut Suhaibul Umar terhadap Qistur Ruwaidah sewaktu dia bermalam di rumah kawannya itu.
Tihaani binti Jauzi… Sahabat setia Qistur Ruwaidah sejak dia berpindah jurusan dari Asasi Undang-Undang (LAWS) ke Asasi Bahasa Arab (BAR) di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (CFS IIUM) dulu. Dia masih ingat lagi, tatkala dia ternampak Qistur Ruwaidah keseorangan di barisan tempat duduk paling hadapan bagi subjek ‘Quranic Language VI’ atau ‘Bahasa Arab Tahap Enam’, hatinya seakan mahu mengenali siswi itu dengan lebih mendalam.
“Assalamualaikum sis. Boleh saya duduk sini?” begitulah permulaan dialog Tihaani terhadap Qistur Ruwaidah itu.
Qistur Ruwaidah menoleh ke arah perempuan itu. Sebuah senyuman dihadiahkan buat siswi itu. “Waalaikummussalam. Boleh je. Tak ada siapa-siapa pun nak duduk depan. Takut dengan pensyarah kut,” katanya seraya tertawa kecil.
Tihaani turut tertawa kecil, lalu dia melabuhkan punggungnya di atas kerusi jenis flip chair bersebelahan Qistur Ruwaidah itu. “Boleh jadi juga tu. Siapa nama?”
“Qist,” balas Qistur Ruwaidah.
“A… Apa? Maaf tak jelas,” balas Tihaani.
“Qist. Q-I-S-T.”
“Ooo Qist... Nama penuh ‘Qistina’ ke?”
Qistur Ruwaidah tersengih. Memang biasanya orang akan ingat nama penuhnya, iaitu ‘Qistina’. “Bukan awak. Memang nama saya, Qist atau nama panjang saya, Qistur Ruwaidah.”
“Wah, unik, unik! Nama ‘Qistur’ rupanya. Maaf, maaf. Saya ingatkan ‘Qistina’,” balas Tihaani seraya tersengih malu. ‘Suka hati aku je tukar nama orang,’ bisik hatinya.
“Tak apa, tak apa. Dah biasa. Selama ni, memang orang ingat nama saya ‘Qistina’. Awak pula?”
“Tihaani. Nak panggil Haani pun boleh.”
“Tihaani ya. Sedap nama tu. Unik juga. Saya tak pernah dengar. Tak apa. Saya panggil Tihaani.”
Begitulah perkenalan Tihaani bersama siswi itu. Semakin lama dia mengenali Qistur Ruwaidah, dia terhibur akan perwatakan kawannya yang penuh selamba dan ceria itu. Dari gelaran ‘saya-awak’, akhirnya mereka berdua menggunakan ‘aku-kau’ dengan menunjukkan bahawa mereka sudah selesa di antara satu sama lain.
Namun, dia tidak menyangka, di sebalik perwatakan Qistur Ruwaidah itu, sahabatnya pernah menjadi mangsa dera setelah Qistur Ruwaidah bercerita tentang masa lalunya sebagai tanda, dia mempercayai sepenuhnya terhadap Tihaani.
Bahkan, Tihaani pernah menyaksikan bekas parut penderaan yang terdapat di bahagian lutut sehingga ke buku lali dan juga di kedua-dua belah tangan Qistur Ruwaidah. Dia masih ingat betapa Qistur Ruwaidah begitu marah dan hati sahabatnya itu sangat berkecamuk tatkala sahabatnya menceritakan perbuatan zalim almarhumah ibu saudaranya itu. Tihaani masih ingat juga betapa dia menangis semahunya di hadapan Qistur Ruwaidah.
Sungguh, Qistur Ruwaidah begitu kuat orangnya. Sejak Tihaani mengetahui akan keadaan sahabatnya itu, dia telah membawa Qistur Ruwaidah dan Suhaibul Umar bagi bertemu dengan pakar kulit. Pada mulanya, dua beradik itu menolak kerana mereka berdua tidak mahu menyusahkan Tihaani dan mereka berdua sudah reda pun akan keadaan tubuh mereka berdua itu, namun Tihaani tetap bertegas untuk membantu dan membiayai kos rawatan atas bantuan ibu bapanya.
Apabila Qistur Ruwaidah dan Suhaibul Umar menyaksikan kesungguhan Tihaani, akhirnya dua beradik itu bersetuju untuk berjumpa dengan pakar kulit.
Setelah diperiksa akan keadaan kulit Qistur Ruwaidah, pakar kulit mengatakan bahawa parut tersebut boleh dihilangkan dengan beberapa sesi rawatan tetapi bagi keadaan kulit Suhaibul Umar, pakar kulit tidak mampu berbuat apa-apa dan jika diteruskan pun, Suhaibul Umar akan lebih menderita dan kemungkinan, dia boleh mendapat kanser kulit. Lelaki itu sudah lama reda akan keadaan kulitnya.
Tihaani masih ingat lagi, berkali-kali dia memohon maaf kepada Suhaibul Umar tetapi Suhaibul Umar tetap tenang. Dia masih ingat akan kata-kata lelaki itu. “Tak apa Tihaani. Nak buat macam mana, kan? Memang kulit abang ni dah tak boleh nak buat apa-apa rawatan. Dulu pun doktor pernah cakap kulit abang ni dah rosak dan abang dah hilang deria rasa kalau ada orang sentuh abang. Terima kasih sebab nak tolong abang. Insya-Allah abang okey je macam ni. Dah biasa.”
Ketika itu, betapa runtunnya hati Tihaani apabila Suhaibul Umar mengungkapkan ayat sedemikian. Walaupun Tihaani tidak pernah menyaksikan parut di sebalik pakaian yang dipakai oleh Suhaibul Umar, namun berdasarkan penceritaan Qistur Ruwaidah, dia tahu keadaan kulit lelaki itu sangat teruk.
Dipendekkan cerita, setelah Qistur Ruwaidah melalui rawatan demi rawatan, akhirnya kulitnya tiada lagi kesan parut penderaan itu. Betapa dia amat bersyukur dan gembira akan keadaan kulitnya itu. Betapa dia terhutang budi akan kos rawatan yang dibiayai oleh kedua-dua ibu bapa Tihaani itu. Sehingga kini, hubungan mereka berdua akrab.
Tihaani memandang Qistur Ruwaidah dari kejauhan sehinggalah sahabatnya itu hilang dari pandangannya. Setiap kali dia berpisah dengan gadis itu, pasti dia akan mendoakan kebaikan buat Qistur Ruwaidah. ‘Moga Allah lindungi kau, sahabat,’ bisik hatinya.
Qistur Ruwaidah berjalan dengan pantas dari Bangunan Sains Kemanusiaan (HS Building) ke Bank Islam yang memakan masa lebih kurang 10 minit. Dia dapat melihat dari kejauhan Suhaibul Umar sedang mengulang hafazannya. Biasanya begitulah lumrah abangnya apabila dia mengisi masa lapangnya. Jarang sangat dia melihat lelaki itu menyentuh telefon pintar.
Tidak hairanlah abangnya begitu kental mengambil subjek ko-kukurikulum, iaitu ‘Tahfiz Class’ selama enam semester berturut-turut.
Kebiasaannya, Qistur Ruwaidah tidak akan bersuara apa-apa setelah dia tiba di hadapan Suhaibul Umar kerana dia memahami bahawa abangnya mahu menghabiskan ayat yang sedang diulang itu. Berdosa pula jika dia tidak menyempurnakan ayat tersebut.
“Lama abang tunggu adik?” tanya Qistur Ruwaidah setelah Suhaibul Umar menamatkan hafazannya itu.
“Taklah. Tak lama pun. Abang panggil adik kat sini sebab Azim ajak makan kat luar. Dia cakap dia nak belanja kita. Adik okey tak?” balas Suhaibul Umar.

“Wah, biar betul! Azim nak belanja adik makan sekali? Bukan abang seorang je?” soal Qistur Ruwaidah, inginkan kepastian. Seperti tidak percaya bahawa lelaki itu mahu membelanjai dirinya sekali. Mahu hatinya tidak berbunga-bunga.
“Ya, dia ajak adik sekali. Kalau adik malu, adik lepaklah dulu kat dalam UIA ni. Biar abang seorang je yang pergi. Abang dah siap lepak dengan Azim, baru abang ambil adik nanti.”
“Amboi, mana boleh macam tu, abang! Dah orang nak belanja. Mestilah adik nak!”
Suhaibul Umar tersengih. “Kalau macam tu, jom.”

ABDUL AZIM tiba awal di Restoran ‘Fruit De Mer’ cawangan Pusat Beli-Belah Adenium sementara dia menunggu kehadiran sahabat baiknya, Suhaibul Umar. Juga… Qistur Ruwaidah mungkin? Dia tidak pasti sama ada gadis itu sudi menerima pelawaannya itu atau tidak.
Bukan apa. Tujuannya untuk membelanjai dua beradik tersebut kerana dia masih ingat lagi sewaktu dia berjalan-jalan bersama Suhaibul Umar di Pusat Beli-Belah Adenium dahulu, sahabatnya bertanyakan mengenai restoran tersebut.
“Azim pernah makan ke kat restoran ni?” tanya Suhaibul Umar tatkala langkah mereka berdua terhenti di restoran tersebut.
Anak mata Abdul Azim memandang papan tanda restoran tersebut. Ah, restoran ini! Salah satu restoran kegemarannya. “Selalu juga Azim makan kat sini kalau Azim teringin nak makan makanan laut dan makanan barat. Sedap, segar dan bahagian makanan pun banyak. Berbaloilah. Kenapa abang?”
“Oh. Restoran makanan laut dan makanan barat rupanya. Abang ingatkan restoran apa sebab nampak mewah sangat. Selama ni, abang dan Qist tengok dari luar je. Biasanya, kalau abang jalan-jalan dengan Qist kat mana-mana pusat beli-belah, kita orang lebih pada cuci mata jelah sebab tak berapa mampu sangat. Dapat jalan-jalan pun dah seronok sangat. Kalau nak makan kat dalam ni, abang tahu mahal. Jadi, kita orang dah makan siap-siap kat rumah.”

Hati Abdul Azim menjadi runtun seketika. Timbul niat di hatinya untuk membelanjai sahabatnya di restoran tersebut. “Abang teringin ke nak makan kat restoran ni?”
“Eh, taklah! Abang nak tahu je restoran ni jual apa. Apa maksud ‘Fruit De Mer’?” balas Suhaibul Umar.
“Maksudnya ‘makanan laut’ dalam bahasa Perancis. Kalau pasal bab halal, abang jangan risau. Restoran ni diiktiraf JAKIM. Seingat Azim, tuan pemilik restoran ni pasangan suami isteri, orang Muslim kacukan Melayu-Arab-Perancis.”
“Wah, banyak maklumat Azim tahu ya!”
“Bolehlah sebab bonda baba pun selalu makan kat sini kalau dia orang ada kat Kuala Lumpur. Oh lupa. Pemilik restoran ni pun antara kawan rapat bonda baba. Jadi, semua staf kat restoran ni kenal je keluarga Azim. Lagi-lagi, Azim selalu makan kat sini.”
“Fuh, seronoknya! Bila-bila nanti, abang nak makan kat sinilah dengan Qist tapi abang kena kumpul duit dululah.”
Tatkala Abdul Azim teringat kembali akan perbualan di antara dirinya dan Suhaibul Umar berkenaan Restoran ‘Fruit De Mer’ itu, dia tersenyum sendirian. Akhirnya, tercapai juga impiannya untuk membelanjai dua beradik itu menjamu selera di restoran kegemarannya pada hari ini.
“Selamat datang lagi, Tuan Azim ke ‘Fruit De Mer’. Terima kasih sebab sudi menjadi pelanggan setia di sini,” ucap salah seorang pelayan lelaki restoran itu sambil tersenyum manis ke arah jejaka itu.
Abdul Azim membalas senyuman pelayan itu. “Sama-sama Richard. Alaa… Dah berapa kali saya pesan, tak perlulah bertuan-tuan dengan saya. Saya dah anggap semua staf ‘Fruit De Mer’ ni macam keluarga saya.”
“Eh, tak boleh Tuan Azim. Haram kalau saya tak panggil Tuan Azim sebagai ‘Tuan’. Nanti saya kena pecat dengan bos. Kan, keluarga tuan antara keluarga berpengaruh kat restoran ni,” balas Richard Mesut.
Richard Mesut, salah seorang pelayan yang bertanggungjawab untuk melayan pelanggan kenamaan. Memandangkan Encik Uthman dan Puan Tengku Aulia merupakan orang penting sebagai kenalan rapat pemilik Restoran ‘Fruit De Mer’, iaitu Cef Andika Wyatt Zidane dan isterinya, Cef Ratna Aeris Marami, Richard Mesut diberi kepercayaan yang cukup tinggi oleh pasangan cef itu bagi melayan Encik Uthman, Puan Tengku Aulia dan juga anak-anak pasangan itu sekali.
Abdul Azim tersenyum. “Okeylah Richard. Kalau macam tu, saya tak bolehlah nak halang. Dua hari lepas, Richard ada terima tempahan tempat daripada saya, kan?”
“Ada tuan. Tuan tempah untuk tiga orang. Saya dah sediakan tempat paling terbaik. Tuan ikut saya,” balas Richard Mesut seraya langkahnya menunjukkan ke arah meja makan yang agak tersorok, khas bagi pelanggan kenamaan seperti keluarga Abdul Azim.
Abdul Azim berjalan dengan penuh keyakinan dan relaks kerana dia sudah terbiasa dengan tatacara kehidupan mewah ini, namun berkali-kali dia mengingatkan dirinya bahawa semua ini hanyalah pinjaman dari Allah. Itulah yang diajari oleh ibu bapanya agar dia sentiasa merendah diri dan tidak sombong.
Richard Mesut mempersilakan Abdul Azim untuk duduk di atas kerusi makan yang disediakan, iaitu kerusi jenis plat batu mewah dari Itali. Abdul Azim terpegun akan permukaan meja makan yang menggunakan batu marmar nordic yang ditempah khas dari Itali juga.
“Tuan nak pesan dulu atau tunggu kenalan tuan?” tanya Richard Mesut.
“Saya tunggu kawan-kawan saya dululah. Richard tinggalkan buku menu je. Kalau kawan-kawan saya dah sampai, baru saya pesan. Nama mereka Suhaib dan Qist. Bolehlah Richard panggil mereka ‘Encik Suhaib’ dan ‘Cik Qist’ ya. Yalah, takut bos pecat Richard pula nanti sebab bos ingatkan Richard tak hormatkan kawan-kawan saya pula,” balas Abdul Azim, lalu dia tersengih.
Richard Mesut tersengih kecil. Mujurlah Abdul Azim peka berkenaan hal tersebut. “Okey tuan. Sebentar, saya tinggalkan buku menu.”
Tiga buah buku menu diletakkan oleh Richard Mesut di atas meja dengan cermat. “Apa-apa masalah, tuan boleh panggil saya.”
Abdul Azim mengangguk seraya menghadiahkan senyuman. Lalu, Richard Mesut meninggalkan jejaka itu sendirian.
Jauh di sudut hati Abdul Azim, semestinya dia berdebar kerana dia bakal berjumpa dengan Qistur Ruwaidah walaupun bukanlah niatnya mahu melamar gadis itu di restoran ini. Hanya sekadar mahu merapatkan silaturahim dan meraikan gadis itu dan sahabat baiknya. Dia masih memerlukan waktu yang tepat untuk melamar Qistur Ruwaidah. Bimbang pula jika dia melamar di sini, siswi itu akan membencinya dan terus membatalkan hasrat untuk menjamu selera.
Abdul Azim masih kekal tenang dan dia tidak mahu bertindak melulu. Kehadiran Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah akan tetap dia tunggu di sini. Dia mengharapkan agar gadis itu sudi memenuhi jemputannya, namun jika Qistur Ruwaidah berasa malu, dia terpaksa menerima hakikat.
‘Tulah kau Azim… Ego lagi! Siapa suruh kau tolak perasaan Qist dulu? Kan tak pasal-pasal kau dah jatuh hati kat dia,’ ejek dirinya sendiri.
Sementara itu…
“Biar betul Azim nak belanja kita makan kat sini?” soal Qistur Ruwaidah seakan tidak percaya tatkala dia dan abangnya tiba di Restoran ‘Fruit De Mer’ itu.
“Betullah. Ni dia beritahu kat WhatsApp, jumpa kat Restoran ‘Fruit De Mer’,” terang Suhaibul Umar sambil menunjukkan mesej yang ditinggalkan oleh Abdul Azim itu.
“Tapi… Kita tahu ni restoran orang kaya. Mana kita layak nak makan kat sini. Ni kan pula Azim nak belanja kita. Adik rasa mengarutlah. Tak masuk akal. Abang jelah masuk. Adik pusing-pusing kat tempat lainlah.”
“Isy, jangan macam tulah, adik! Orang dah nak belanja kita, kita terima jelah,” kata Suhaibul Umar seraya dia memegang tangan adiknya itu, lalu mereka berdua berdiri di hadapan restoran mewah itu.
Sepertimana sahabatnya pernah melakukan tindakan itu terhadap dirinya sewaktu dia bermalam di rumah Abdul Azim dahulu, dia melakukan tindakan yang sama juga terhadap adiknya.
Kelihatan salah seorang pelayan sedang tersenyum manis ke arah dua beradik itu. “Selamat datang. Ada buat tempahan ke?” ujar pelayan tersebut.
Suhaibul Umar menggarukan kepalanya. Tiba-tiba dia berasa cuak pula akan pertanyaan pelayan itu. “T… Terima kasih. Emm… Kami dijemput oleh Abdul Azim,” balasnya.
Tiba-tiba muncul Richard Mesut di belakang pelayan tersebut tatkala dia mendengar nama Abdul Azim disebut oleh seseorang.
“Ah, selamat datang! Saya pasti kalian berdua ni, Encik Suhaib dan Cik Qist, kan?” ujar Richard Mesut dengan penuh mesra.
Dua beradik itu mengangguk. Semakin kekok dirasakan tatkala pelayan itu menggunakan panggilan hormat terhadap mereka berdua.
“Tuan Azim tengah tunggu kalian. Ikut saya,” ujar Richard Mesut lagi sambil menunjukkan isyarat sila.
Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah menjadi teragak-agak untuk memulakan langkah, namun mereka berdua meneruskan juga dan membuntuti di belakang pelayan tersebut.
Bagi Qistur Ruwaidah, dia menjadi sedikit hairan akan panggilan yang digunakan oleh pelayan tersebut kepada Abdul Azim. ‘Tuan Azim’? Siapakah sebenarnya jejaka itu? Pasti abangnya tahu. Apa yang pasti, dia menyedari bahawa Abdul Azim bukan sembarangan orang.
Bagi Suhaibul Umar pula, dia sudah memahami akan gelaran yang dituturkan oleh pelayan itu terhadap Abdul Azim berdasarkan penceritaan sahabat baiknya itu sebagai pelanggan terpenting bagi restoran tersebut. Dia pasti adiknya akan bertanyakan latar belakang Abdul Azim itu kelak.
Akhirnya, dua beradik itu tiba di meja makan yang diduduki oleh Abdul Azim.
“Tuan Azim…” panggil Richard Mesut.

Lamunan Abdul Azim tersentak tatkala namanya dipanggil oleh pelayan itu. Lalu, dia memandang ke arah Richard Mesut. Kelihatan Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah juga sudah tiba. Alangkah girangnya hati Abdul Azim apabila perempuan itu sudi memenuhi jemputannya.
“Alhamdulillah kau orang sampai dah. Jemput duduk,” pelawa Abdul Azim. Dia tahu dua beradik itu berasa amat janggal.
Tanpa sepatah bicara, dua beradik itu melabuhkan punggung. Seumur hidup dua beradik itu, manalah mereka berdua pernah memasuki mana-mana restoran mewah seperti Restoran ‘Fruit De Mer’ ini. Bagi Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah, kafe hispter, KFC dan McDonalds pun sudah cukup mewah. Sekali atau dua kali dalam setahun cukuplah.
“Richard, nanti saya panggil ya. Terima kasih atas layanan baik Richard untuk saya sekeluarga dan juga, kawan-kawan saya ni,” ucap Abdul Azim seraya menghadiahkan senyuman.
“Okey Tuan Azim. Sama-sama. Dah jadi tanggungjawab saya. Saya pergi dulu,” balas Richard Mesut sambil memberikan tundukan hormat, lalu dia meninggalkan ketiga-tiga orang pelanggan itu.
“Kau orang nak pesan apa-apa, pesan je tahu. Azim belanja. Jangan malu-malu,” kata Abdul Azim dengan ramah.
Tangan Qistur Ruwaidah menjadi teragak-agak untuk mengambil buku menu itu kerana permukaan kulit buku itu diperbuat dari kaca kristal. Buku menu itu pun sudah membuatkan dirinya tidak layak untuk menyentuhnya.
“Qist, ambillah buku menu tu,” tegur Abdul Azim sambil menghadiahkan sebuah senyuman.
Qistur Ruwaidah tersenyum kelat, lalu dia mengambil juga buku menu itu. Sewaktu dia membelek-belek satu demi satu senarai menu yang ada, dia meneguk air liurnya. Makanan paling murah pun, bermula dari RM50 ke atas. Minuman pula bermula dari RM15 ke atas. ‘Seramnya aku tengok harga-harga ni. Ambil paling murah dahlah tapi… Aku nak pesan apa? Azim… Sebenarnya, kau ni siapa? Anak raja ke apa?’
Suhaibul Umar juga masih membelek-belek akan menu yang tersedia dalam buku tersebut. Dia buntu. Bagaikan boleh membaca fikiran adiknya, dia bersuara sesuatu kepada Abdul Azim. “Azim… Sebenarnya, kita orang tak tahu nak pesan apa. Boleh tak kalau Azim yang pilihkan?”
‘Fuh, Abang Suhaib macam tahu-tahu je apa yang aku fikir sekarang!’ bisik hati Qistur Ruwaidah.
Abdul Azim tersenyum. “Kalau macam tu, okeylah. Azim pilihkan makanan paling terbaik yang ada kat restoran ni tapi… Takkan minuman pun Azim nak kena pilihkan?” ujarnya sambil tersengih kecil.
Suhaibul Umar ketawa kecil manakala Qistur Ruwaidah hanya tersengih malu.
“Betul juga cakap Azim. Okeylah. Kita orang pilih minuman sekejap,” balas Suhaibul Umar.
Abdul Azim hanya memerhati tingkah laku Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah. Timbul rasa kasihan dalam dirinya kerana dia memahami bahawa dua beradik itu tidak pernah menjamu selera di restoran mewah sebegini. Sedikit sebanyak hatinya berasa gembira untuk membelanjai dua beradik itu. Semestinya, dia akan memesan makanan paling terbaik buat mereka berdua.
“Okey Azim. Abang nak strawberry milkshake dan cold water,” respons Suhaibul Umar.
“Aku nak banana milkshake dan cold water,” balas Qistur Ruwaidah.
“Strawberry milkshake satu, banana milkshake satu, cold water dua. Okey,” Abdul Azim mengulang senarai minuman yang dipesan oleh dua beradik itu, lalu dia menekan butang ‘call’.
Kelihatan Richard Mesut tiba di meja tersebut. “Ya Tuan Azim. Nak pesan apa?”
“Kawan-kawan saya ni tak tahu nak pesan makanan apa. Jadi, saya nak Richard hidangkan makanan paling terbaik yang ada kat restoran ni untuk mereka. Saya pula nak sirloin grilled with barbecue sauce, spageti carbonara dan manzo pizza saiz mini. Minuman pula, chocolate ice blanded satu, strawberry milkshake satu, banana milkshake satu dan cold water tiga,” balas Abdul Azim.
Kelihatan Richard Mesut mencatat dengan penuh tekun. “Tak kisah apa-apa makanan pun?” soalnya. Risau pula kalau dia salah faham akan permintaan lelaki itu.
“Ya. Paling penting, pastikan sedap dan kawan-kawan saya kenyang,” balas Abdul Azim seraya tersengih.
Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah hanya tersengih. Betullah juga cakap lelaki itu. Sejujurnya, mereka berdua berasa amat lapar.
Setelah Richard Mesut mengulang pesanan menu yang disebut oleh Abdul Azim, dia mengambil semula dua buah buku menu itu dan sebuah buku menu sahaja ditinggalkan. Manalah tahu jika mereka mahu membuat pesanan lagi.
“Azim… Terima kasih sebab sudi belanja kita orang makan,” Qistur Ruwaidah memulakan bicaranya.
“Sama-sama Qist. Tak ada hallah. Lagipun, Abang Suhaib pernah tanya pasal restoran ni. Tu aku terdetik nak belanja kau orang kat sini. Hari ni, aku dapat juga belanja. Terima kasih jugalah sebab sudi terima pelawaan aku,” balas Abdul Azim dengan santai. Dia tidak mahu Qistur Ruwaidah berasa kekok terhadap peristiwa perasaan gadis itu ditolak oleh dirinya.

Sejujurnya, dia masih serba salah terhadap tindakannya itu.

“Abang pun nak ucap terima kasih sebab sudi belanja kita orang makan kat restoran ni. Abang ingat kalau abang dah berkonvokesyen nanti, abang nak belanja adik abang kat sini. Sekarang, tengah dalam proses nak kumpul duit. Tak sangka ni rezeki abang dan adik abang dapat juga merasa nak makan kat restoran ni,” ucap Suhaibul Umar seraya menghadiahkan senyuman buat sahabat baiknya itu.
“Sama-sama abang. Tiba-tiba Azim rasa sebak pula. Patutnya tadi, kau orang pesan je apa yang kau orang rasa kau orang nak makan. Tak perlu rasa serba salah. Macam nilah. Sekejap lagi, kalau kau orang rasa kau orang nak pesan apa-apa lagi, pesan je tahu. Tak payah minta izin ke apa. Buat je macam Azim tak wujud. Jangan risau pasal duit Azim. Boleh ya?” ujar Abdul Azim.

Akhirnya, dua beradik itu mengangguk akur.

Dalam hati Qistur Ruwaidah, betapa dia rasa terharu akan kata-kata Abdul Azim. Melalui kata-kata lelaki itu, dia mengerti bahawa lelaki itu cukup terkesan akan nasib yang telah menimpa dirinya dan juga, abangnya sebagai mangsa dera berdasarkan penyaksian tidak sengaja Abdul Azim terhadap tubuh abangnya itu.

Tidak lama kemudian, muncul dua orang cef bersama Richard Mesut di meja makan pelanggan terpenting itu bersama troli makanan. Abdul Azim tersenyum. Tidak sangka, pemilik Restoran ‘Fruit De Mer’ sudi menghantar sendiri makanan kepada mereka bertiga.
“Assalamualaikum Uncle Andika dan Aunty Ratna!” ujar Abdul Azim dengan penuh gembira.
“Waalaikummussalam Azim. Sekejap ya, kami letakkan makanan dan minuman dulu atas meja,” ucap pasangan itu seraya tersenyum. Lalu, mereka berdua menghidangkan makanan dan minuman di atas meja.
Qistur Ruwaidah dan Suhaibul Umar tertanya-tanya akan pinggan yang ditutup dengan tudung saji jenis besi itu.
“Kami bawakan makanan paling istimewa, khas buat kawan-kawan Azim ni, iaitu…” kata Cef Andika Wyatt Zidane dengan penuh gimik sambil membuka tudung saji tersebut.

Seekor ayam belanda panggang dan disertakan tiga buah bekas sos berbentuk pelita, iaitu sos barbeku, sos cili dan mayonis. Di sekeliling ayam belanda panggang itu, dihiasi dengan daun selada, tomato, lobak merah, kentang putar dan salad buah. Tidak dilupakan juga, nasi yang dimasak sempurna dengan menggunakan beras basmati.
Terliur Qistur Ruwaidah dan Suhaibul Umar menyaksikan ayam belanda panggang yang masih berasap itu. Perut mereka berdua sudah berkeroncong.
“Nama menu ni ‘roast turkey with barbecue sause and basmati rice’. Moga kawan-kawan Azim suka ya,” ujar Cef Ratna Aeris Marami sambil tersenyum.
Dua beradik itu tersenyum, lalu mengangguk. Mestilah mereka berdua amat menyukai menu yang cukup mewah ini. Inilah kali pertama mereka bakal merasai ayam belanda. Betapa mereka berdua tidak sabar dan amat teruja.

“Jemput makan. Kami pergi dulu ya,” ucap Cef Andika Wyatt Zidane.

“Aunty, uncle, sekejap. Nak bincang sesuatu dengan aunty dan uncle secara privasi sekejap,” pinta Abdul Azim.

“Boleh Azim,” balas Cef Ratna Aeris Marami.

“Abang Suhaib, Qist… Kau orang makan dulu tahu. Tak payah tunggu Azim,” pesan Abdul Azim sambil bangun dari tempat duduknya.

Tinggallah Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah di situ sambil menghadap ayam belanda panggang itu. Lalu, Suhaibul Umar memotong salah satu bahagian ayam belanda tersebut dan diletakkan di atas pinggan adiknya yang sudah dihidangkan nasi basmati itu. Juga, disertakan sayur-sayuran dalam pinggan adiknya. Sebagai seorang abang, dia akan mendahului adiknya terlebih dahulu.

“Terima kasih abang. Emm… Sedapnya! Tak sabar adik nak rasa,” ucap Qistur Ruwaidah.
“Sama-sama adik tapi sebelum tu, kita makan salad buah ni dulu,” balas Suhaibul Umar seraya mengambil dua buah bekas salad buah.

Usai mereka berdua membaca doa makan, mereka menikmati salad buah terlebih dahulu.
“Ya Allah… Sedapnya salad buah ni! Lamanya tak makan,” puji Qistur Ruwaidah.
“Tulah. Rasa sangat buah-buahan ni segar,” balas Suhaibul Umar.
“Abang rasa berapa RM ya untuk menu ni?”
“Abang rasa nak dekat RM200. Eh, macam mustahil RM200! Lebih kut. Dahlah ada sayur dan guna beras basmati pula. Setahu abang, ayam belanda mahal. Beras basmati pun.”
Tatkala dua beradik itu menyuakan makanan tersebut ke dalam mulut mereka berdua, serentak…
“Sedapnya!” puji mereka.
Lalu, mereka berdua menikmati dengan penuh khusyuk bersama minuman yang sungguh segar, penuh berkrim dan melazatkan itu.

“OKEY Azim. Sekarang, baru kami faham. Jangan risau. Kalau Suhaib dan Qist datang lagi ke restoran kami ni, boleh je mereka makan secara percuma. Kesian juga tengok mereka. Patutlah mereka nampak tak selesa. Besar pahala Azim belanja mereka,” respons Cef Andika Wyatt Zidane setelah Abdul Azim menceritakan perihal Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah itu.
“Richard, pastikan Richard ingat nama Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah tahu. Maklumkan kat Azim kalau mereka datang,” pesan Cef Ratna Aeris Marami.
Richard Mesut mengangguk faham. Semestinya nama itu akan dikunci dalam kotak mindanya.
“Terima kasih aunty dan uncle. Mohon doakan Azim dikurniakan rezeki yang berpanjangan.”
“Sama-sama Azim. Amin ya Rabb,” ucap pasangan itu.
“Boleh aunty tanya sesuatu?” soal Cef Ratna Aeris Marami.
“Boleh je aunty. Aunty nak tanya apa?” ujar Abdul Azim.
“Sekejap ya. Richard, boleh tolong tinggalkan kami bertiga?” pinta Cef Ratna Aeris Marami.
Richard Mesut mengangguk, lalu dibiarkan pasangan itu berbual secara privasi bersama anak muda itu.
“Kalau tengok cara Azim ni, Azim jatuh hati kat Qist ya?” usik Cef Ratna Aeris Marami.

Wajah Abdul Azim merona merah tatkala wanita itu membangkitkan isu tersebut. Sejujurnya, dia tidak boleh berselindung akan isi hatinya itu. Dia sudah menganggap Cef Andika Wyatt Zidane dan Cef Ratna Aeris Marami seperti ibu bapanya sendiri selama dia berada di Kuala Lumpur ini. “Nampaknya macam tulah, aunty,” balasnya sambil tersengih malu.
“Bonda baba Azim tahu tak pasal ni?” tegur Cef Andika Wyatt Zidane.
“Bonda baba dah lama tahu pasal ni. Cuma, Azim masih cari masa yang sesuai nak beritahu Qist dalam waktu terdekat ni. Aunty dan uncle tolong doakan Azim. Sebolehnya, Azim nak tamatkan zaman bujang dalam tahun ni juga kalau diizinkan Allah,” luah Abdul Azim.
“Insya-Allah. Kami sentiasa doakan yang baik-baik untuk Azim. Umur Azim berapa tahun ni?” ujar Cef Ratna Aeris Marami.
“21. Agak awal ke kalau Azim nak kahwin tahun ni?” respons Abdul Azim
“Wah, kira awal juga tu! Tapi… Tak apa Azim. Azim mampu je, kan. Bonda baba pun dah tahu dan restu. Lagipun, Azim ada bisnes sendiri. Jadi untuk aunty, rasanya tak ada masalah pun. Aunty rasa, uncle pun setuju je niat Azim nak kahwin tahun ni,” balas Cef Ratna Aeris Marami sambil memandang suaminya itu.
“Betul. Uncle rasa tak ada masalah pun. Satu lagi, kalau bukan disebabkan Azim sudi terima tempahan reka bentuk logo dan buku menu untuk restoran ni, kemungkinan restoran kami ni taklah maju sampai ke tahap ni. Salah satu punca kenapa pelanggan kami ramai terdiri daripada latar belakang artikek dan reka bentuk, sebab mereka suka logo restoran kami dan juga, buku menu yang Azim reka tu. Ramai puji sebab nampak eksklusif dan ada ciri-ciri abstrak. Sekali lagi, kami berterima kasih sangat kat Azim,” ucap Cef Andika Wyatt Zidane.
Abdul Azim tersenyum. Seribu kesyukuran diucapkan dalam hati akan bakat yang dikurniakan oleh Allah kepadanya. “Sama-sama uncle, aunty. Terima kasih juga sebab percayakan Azim. Aunty, uncle… Azim pergi makan dengan kawan-kawan Azim dulu ya,” pintanya.
“Okey Azim. Sama-sama. Terima kasih juga sebab sudi bawa kawan-kawan Azim makan kat restoran kami,” ucap Cef Andika Wyatt Zidane.
Abdul Azim mengangguk hormat, lalu dia meninggalkan pasangan itu. Cef Andika Wyatt Zidane dan Cef Ratna Aeris Marami memandang anak muda itu berlalu pergi. Lalu, mereka berdua berpandangan sambil tersenyum.
“Besar dah anak Aulia dan Uthman tu, kan?” ujar Cef Ratna Aeris Marami.
“Tulah. Dah jumpa pilihan hati pun. Doalah dia ada jodoh dengan Qist tu. Abang percaya Azim boleh jaga Qist dengan baik. Azim anak bongsu Aulia dan Uthman, kan?” balas Cef Andika Wyatt Zidane.
“Ya. Dia seorang je tak kahwin lagi. Lagipun, jarak Azim dengan nombor tujuh tu, beza banyak juga. Lapan tahun tak silap.”
“Ah, betullah. Anak dia orang lapan orang. Abang ingat lagi, masa Ratna mengandungkan Duwaijah, Aulia pun tengah mengandungkan Azim tapi Aulia dan Uthman kahwin awal juga. Kita kahwin masa umur 31 tahun.”
“Ha, betul! Okeylah, abang. Jom kita sambung bertugas balik aktiviti memasak.”
“Jom.”
Pasangan itu segera menjalankan tugas kembali sebagai tukang masak.
Sementara itu, Abdul Azim kembali ke meja makan. Kelihatan Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah sedang menikmati menu istimewa tersebut. “Maaf lambat. Ada hal sikit nak kena bincang dengan pemilik restoran ni tadi,” ucapnya.
“Apa hubungan kau dengan pemilik restoran ni?”soal Qistur Ruwaidah.
“Dia orang tu kawan-kawan bonda baba aku masa belajar kat luar negara dulu dalam peringkat sarjana,” balas Abdul Azim seraya mengeluarkan sudu dan garfu dan dari kain tersebut. Kain berbentuk segi empat tepat itu diletakkan di atas pehanya.
“Azim… Sedaplah ayam ni. Kita orang suka sangat. Boleh tak kalau abang dan Qist nak minta bungkus? Kita orang tak boleh nak habiskan. Besar juga bahagian ayam ni. Betullah cakap Azim. Bahagian lauk banyak dan memang kita orang kenyang,” ujar Suhaibul Umar.
“Wah, leganya Azim tahu kau orang suka! Mestilah boleh. Sekejap lagi, Azim minta Richard bungkuskan ayam tu. Nak bungkus apa-apa lagi tak? Tengok-tengoklah dalam menu tu. Oh ya. Nah. Piza ni pun kau orang boleh nak rasa. Namanya manzo pizza. Antara piza terbaik yang dijual kat restoran ni,” balas Abdul Azim sambil menghulurkan piring piza bersaiz mini itu kepada Suhaibul Umar.
“Abang ambil satu jelah. Kongsi dengan Qist. Memang kita orang kenyang sangat ni.”
Tatkala Suhaibul Umar membahagikan piza itu kepada dua bahagian, air matanya menitis. Segera dia menyekanya. Qistur Ruwaidah turut menjadi syahdu akan tindakan abangnya.
Peristiwa piza itu masih segar dalam minda dua beradik itu sewaktu zaman kanak-kanak mereka di sekolah.
Mana mungkin Suhaibul Umar lupa dia ditolak oleh salah seorang rakan sekolahnya sehingga dia terjatuh di atas lantai sewaktu dia meminta izin untuk menumpang makan di meja yang dihuni oleh dua orang pelajar sahaja sambil dia memegang erat piza yang dibungkus dalam plastik.
Qistur Ruwaidah pula terlupa akan bentuk dan rupa piza dan mengajak abangnya ke kantin untuk melihat rupa piza tersebut.
Mana mungkin dua beradik itu lupa apabila mereka ditertawakan, diejek dan diajuk oleh seluruh pelajar tatkala mereka menyaksikan Suhaibul Umar terjatuh sambil dibantu oleh Qistur Ruwaidah. Mana mungkin mereka berdua lupa akan bangku dan ditemani cahaya suria yang berada di luar kantin sekolah itu. Di bangku tersebutlah, dua beradik itu menikmati piza yang sungguh lazat itu. Mana mungkin juga mereka lupa akan piza yang berharga RM3.00 itu.

Bagi Qistur Ruwaidah, dia tidak pernah lupa betapa besarnya pengorbanan abangnya menikmati segigit sahaja piza itu dan selebihnya abangnya memberikan piza itu kepada dirinya. Ketika itu, dia menyangka bahawa abangnya benar-benar kenyang, namun setelah mereka berdua menginjak remaja dan sudah mampu untuk membeli piza, barulah abangnya membuka cerita berkenaan peristiwa piza itu. Hakikatnya, abangnya berasa lapar sangat, namun abangnya sanggup mengorbankan untuk dirinya.
Lalu, bagaimana Qistur Ruwaidah tidak mencintai dan menyayangi abangnya dengan sepenuh hati?
“Nah adik,” kata Suhaibul Umar sambil tersenyum kelat. Dia tahu. Adiknya turut merasai apa yang dia sedang rasakan kini.
“Terima kasih abang,” ucap Qistur Ruwaidah, lalu dia berbisik sesuatu ke telinga abangnya. “Adik tahu apa yang abang tengah rasa sekarang.”

Suhaibul Umar mengangguk. Dia tidak mahu Abdul Azim terperasan akan keadaan dirinya itu. Sejujurnya, dia bersyukur kerana dikurniakan sahabat sebaik Abdul Azim yang sudah banyak menggembirakan dirinya. Juga, adiknya.
Kelihatan Abdul Azim begitu khusyuk menikmati hidangannya dan dia tidak menyedari kesedihan yang bertandang dalam kalbu sahabat baiknya itu.
“Azim… Boleh tak aku nak pesan lasagna? Tapi aku nak bungkus,” pinta Qistur Ruwaidah.
“Okey Qist,” balas Abdul Azim. Secara tidak sengaja, dia terpandangkan gadis itu dalam diam.

Betapa Abdul Azim terpana tatkala dia terpandangkan gadis itu. Tiba-tiba dia tersedak seketika. Air sejuk segera dihirupnya.

“Eh, Azim! Azim okey tak? Kenapa ni?” tegur Suhaibul Umar.
Abdul Azim terbatuk seketika dan mula menjadi tersipu-sipu. Tidak memasal pula dia boleh tersedak di hadapan perempuan itu. “Okey je. Abang jangan risau.”

‘Ya Allah, malunya aku! Boleh pula aku tersedak depan Qist! Jatuhlah saham aku! Dahlah ada abang ipar aku sekali. Eh, abang ipar? Perasan pula kau ni, Azim,’ bisik hati Abdul Azim.
Dalam diam, Qistur Ruwaidah tergelak kecil menyaksikan tindak-tanduk lelaki itu. Dia menjadi terhibur pula.
Setelah Abdul Azim meminta Richard Mesut untuk melakukan pembungkusan makanan yang tidak dihabiskan oleh dua beradik itu dan juga, lasagna yang dipesan oleh Qistur Ruwaidah, dia meminta Richard Mesut untuk menyertakan bil.
“Tuan Azim, Tuan Andika dan Puan Ratna belanja tuan dan kawan-kawan tuan hari ni,” terang Richard Mesut.
“Eh laa… Susah-susah je aunty dan uncle ni. Kalau macam tu, tolong sampaikan ucapan terima kasih dan salam assalamualaikum saya kat Tuan Andika dan Puan Ratna,” ujar Abdul Azim.
“Richard, sama juga dengan kami. Tolong sampaikan ucapan terima kasih dan salam assalamualaikum saya dan adik saya kat Tuan Andika dan Puan Ratna. Ayam belanda panggang tu memang sedap,” kata Suhaibul Umar.
“Insya-Allah Tuan Azim, Encik Suhaib dan Cik Qist. Saya akan maklumkan kat Tuan dan Puan. Bagi pihak Tuan dan Puan serta seluruh warga staf Restoran ‘Fruit De Mer’, kami mengucapkan jutaan terima kasih di atas kesudian Tuan Azim, Encik Suhaib dan Cik Qist menjamu selera di restoran ini,” ucap Richard Mesut seraya mengangguk hormat.
Setelah mereka bertiga melangkah keluar dari restoran tersebut, Abdul Azim dan dua beradik tersebut sudah mahu berpisah haluan.
“Azim, kita orang nak ucap terima kasih sebab sudi belanja kita orang. Memang sedaplah makanan kat restoran ni,” ucap Suhaibul Umar.
“Sama-sama abang dan Qist. Tak ada apalah. Azim dapat belanja kau orang pun dah cukup seronok. Oh ya Qist, sebelum aku terlupa…” balas Abdul Azim, lalu dia mengeluarkan sesuatu dari beg laptopnya. Dia terpaksa mengusung beg laptop sekali selepas kelas kerana dia malas untuk menyinggah seketika di biliknya sebelum dia tiba di Pusat Beli-Belah Adenium tadi.
Tiba-tiba Abdul Azim mengeluarkan sebuah novel, lalu dihulurkan kepada Qistur Ruwaidah. “Boleh aku minta autograf kau?” soalnya dengan malu-malu.
Tidak lain tidak bukan, iaitu novel ‘Prangko Salsabila’.
Betapa Qistur Ruwaidah terkejut. Dia tidak menyangka bahawa Abdul Azim juga turut mengetahui akan kewujudan novel “Prangko Salsabila’ itu selain Mohamad Salahuddin dan adiknya, Sakeenah.
“Ya Allah… Aku tak tahu pula kau ada beli novel ni. Terima kasih sebab sudi beli, Azim,” ucap Qistur Ruwaidah dengan penuh teruja, lalu dia menyambut novel tersebut untuk ditandatangan dan meninggalkan ucapan khas buat jejaka itu.
“Sama-sama Qist. Aku tahu pun daripada kawan kita, Hanim,” ucap Abdul Azim.
“Laa… Ya ke? Okey, okey. Sekejap ya. Aku nak tandatangan dan tulis ucapan kat dinding situ,” balas Qistur Ruwaidah sambil menunjukkan dinding tersebut.
Suhaibul Umar memandang dua orang insan itu. Hatinya dapat mengagak bahawa mereka berdua saling suka dalam diam, namun dia tidak tahu sejauh mana kebenaran itu. Baginya, tidak hairan pun kerana masing-masing pernah jadi rakan sekelas pula. Logik.
Sementara menunggu Qistur Ruwaidah menulis sesuatu dalam novel yang telah dibeli oleh Abdul Azim itu, Suhaibul Umar dan Abdul Azim bersembang sesama mereka berdua.
“Tak sangka Azim beli novel adik abang tu,” kata Suhaibul Umar.
“Azim beli lama dah. Dalam tahun lepas. Cuma, tak berkesempatan nak beritahu Qist. Abang dah baca ke novel dia tu?” balas Abdul Azim.

Nota penulis: Tak berkesempatan apanya Azim oii! Kau rasa serba salah dengan Qistur Ruwaidah adalah. Kan?

“Semua karya yang Qist hasilkan, abang tak pernah ketinggalan baca. Abang ada semua koleksi karya adik abang tu sama ada terbit kat majalah, surat khabar dan buku. Kalau tak silap abang, ‘Prangko Salsabila’ karya dia yang ke-12. Dia mula terjebak dalam dunia penulisan masa umur dia 13 tahun.”
“Oh wah! Dah lama dia tulis rupanya. Menarik! Kalau abang tak keberatan, boleh tak Azim nak pinjam koleksi karya Qist yang ada dalam simpanan abang?”
“Boleh. Dalam esok atau lusa, abang bagi kat Azim.”
Tiba-tiba Qistur Ruwaidah muncul, lalu dia menyerahkan novel tersebut kepada Abdul Azim. “Nah Azim,” ujarnya.
“Okey. Terima kasih, Qist. Cerita ni seronok. Aku tak terfikir langsung. Pasal setem pun boleh dijadikan cerita rupanya,” balas Abdul Azim sambil menyambut novel tersebut, lalu dimasukkan ke dalam beg laptopnya itu.
Qistur Ruwaidah tersenyum kecil. “Sama-sama Azim. Semestinya setem boleh dijadikan cerita. Namakan je apa jenis barang, kalau kreatif nak dijadikan cerita, tak mustahil pun hatta nak tulis pasal pensel atau pemadam sekali pun. Macam contoh cerpen yang kita tulis masa sekolah rendah, ‘Aku Sebatang Pensel’.”
Abdul Azim mengangguk setuju. “Betul juga. Orang kreatif ni, kalau nak reka apa-apa pun, menjadi je,” katanya. ‘Eh, ayat angkat bakul sendiri ke tu, Azim? Kau ni perasan juga ya,’ bisik hatinya.

Penulis pun nak masuk campur: Haah… Memang kau perasan pun.

Setelah dua beradik itu berpisah dengan Abdul Azim, dia pun menoleh ke belakang untuk mencuri pandang gadis pujaan hatinya. Tiba-tiba dia ternampak Qistur Ruwaidah juga menoleh ke arahnya. Masing-masing cepat menoleh semula ke hadapan. Malu!
‘Ni ke namanya cinta? Rasa macam dunia ni aku yang punya je,’ bisik hati Abdul Azim. Amboi, hiperbola! Tiba-tiba dia teringat akan lagu ‘Bunga-Bunga Cinta’ nyanyian Misha Omar tetapi lagu itu pasal hancurnya cinta dan cinta tidak kesampaian. Salah lagulah Abdul Azim!
‘Apa kejadahnya lagu ‘Bunga-Bunga Cinta’? Tak kena. Tak kena. Kena tukar lagu ‘Keabadian Cinta’ nyanyian ‘Anuar Zain’. Tak pun ‘Kasih Kekasih’ nyanyian Inteam. Amboi, Azim! Kau ni banyak beranganlah,’ bicara hati Abdul Azim masih merepek lagi.
Sementara itu, Qistur Ruwaidah pula… ‘Aduh, boleh pula terkantoi dengan Azim! Dia pun boleh pula tertoleh tengok aku. Teringat pula masa kat CFS dulu. Eh, aku ni dah kenapa? Emm… Dia suka kat aku ke? Isy! Tak mungkinlah dia ada perasaan kat aku. Kan dia dah pernah beritahu dulu, dia tak ada apa-apa perasaan kat aku masa aku luahkan perasaan aku kat dia. Jangan nak perasan sangatlah! Eh, kau merepek apa ni, Qist! Fokus balik kat alam realiti.’
Tiba-tiba…
“Adik, nak pergi kedai buku tak?” soal Suhaibul Umar. Dia sudah mengetahui betapa obsesnya adiknya terhadap kedai buku jika mereka berdua berjalan-jalan di mana-mana pusat beli-belah.
“Nak tapi adik rasa kita solat maghrib dululah, abang. Nak dekat maghrib dah,” balas Qistur Ruwaidah.
Suhaibul Umar tersenyum. Dia bersyukur akan kefahaman Qistur Ruwaidah memenuhi panggilan Ilahi terlebih dahulu. Berkat didikan yang diberikan olehnya berkenaan kepentingan mengutamakan solat sewaktu dia berusia sembilan tahun dahulu kepada adiknya, adiknya mudah memahami dan teruja meskipun tiada sebarang didikan agama yang diajari oleh almarhumah Mak Long Rauzah dahulu.
Sedih… Namun, itulah hakikat yang terpaksa dilalui oleh dua beradik itu sewaktu di zaman sekolah rendah dahulu sebelum mereka berdua menjadi kanak-kanak yang tercicir dengan tidak pergi ke sekolah sejak tiga tahun lamanya. Hanya mengharapkan didikan agama di sekolah meskipun para guru tidak memberikan fokus kepada Suhaibul Umar mahupun Qistur Ruwaidah. Ketika itu, mereka berdua hanya mampu mencuri dengar sahaja.
Tiba-tiba Qistur Ruwaidah menggenggam erat tangan kiri abangnya. “Abang okey?” tanya Qistur Ruwaidah.
“Abang okey je. Kenapa tiba-tiba adik tanya macam tu?” ujar Suhaibul Umar seraya tersenyum. Dia tidak mahu adiknya mengesyaki bahawa dia teringat akan masa lalu mereka berdua.
“Tak adalah. Nampak macam abang mengelamun kat tempat lain. Adik risau pula kalau sakit abang tu datang balik,” luah Qistur Ruwaidah dengan penuh kegusaran.
Suhaibul Umar membalas genggaman erat tangan adiknya itu. “Adik… Abang okey je. Insya-Allah. Jangan risau tahu. Jom kita pergi surau. Abang nak solat jemaah dengan jemaah lain.”
Qistur Ruwaidah mengangguk.

DALAM perjalanan pulang ke rumah, Qistur Ruwaidah dan Suhaibul Umar berborak sesama mereka berdua.
“Adik, sedapkan makanan kat restoran kawan mak ayah Azim tu? Abang ingatkan abang tak berpeluang nak rasa. Sebelum ni, abang selalu berangan je. Tak sangka jadi kenyataan,” kata Suhaibul Umar.
“Tulah. Sedap sangat. Pemurah betullah kawan mak ayah Azim tu. Adik ternganga tengok harga. Tapi… Kalau kawan mak ayah Azim tu tak belanja kita, mestilah Azim yang belanja, kan? Kalau adik tengok cara Azim, nampak dia macam orang kaya sebab adik boleh nampak, cara dia relaks je makan kat restoran macam tu,” balas Qistur Ruwaidah.
Suhaibul Umar tersenyum. Memang… Sememangnya, Abdul Azim itu merupakan anak orang berada yang tidak terjangkau dek akalnya. “Haah… Sepatutnya, Azim belanja kita,” balasnya bersahaja.
“Abang tak pernah kongsi apa-apa pun pasal Azim kat adik. Biasanya abang ni jenis bercerita pasal orang-orang yang abang rapat macam Abang Afkar.”
Afkar Irsyad antara salah seorang sahabat baik Suhaibul Umar di Sekolah Menengah Islam Bisyrunnadwi (SMIB) sehingga kini meskipun dia bersahabat baik juga dengan Abdul Azim. Namun begitu, mereka berdua tidak ditakdirkan untuk menjadi rakan seuniversiti. Afkar Irsyad menyambung pengajiannya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Seni Bina dengan kepujian.
Meskipun berbeza universiti, Suhaibul Umar dan Afkar Irsyad tetap berhubung di antara satu sama lain dan mereka berdua akan berjumpa pada cuti semester atau cuti umum.
Suhaibul Umar tersengih. “Dah adik tak nak tanya apa-apa pasal Azim kat abang, takkan abang nak buka cerita pula. Alang-alang adik nak tahu pasal Azim, tanyalah apa-apa yang adik nak tahu pasal dia.”
“Emm… Memang Azim tu budak kaya ke?” soal Qistur Ruwaidah.
“Haah… Bukan kaya tapi sangat kaya sampai abang rasa abang macam berkenalan dengan anak sultan,” Suhaibul Umar memulakan kisah berkenaan sahabat baiknya itu. Lalu, dia membuka kisah berkenaan diri Abdul Azim sebagai seorang anak berada dari segi barang-barang yang dimiliki dan juga, keadaan rumah sahabat baiknya itu.
Barulah Qistur Ruwaidah mengetahui akan latar belakang Abdul Azim itu. Dia tidak menyangka betapa mewahnya kehidupan lelaki itu berdasarkan penceritaan abangnya. Patutlah lelaki itu selamba sahaja menyerahkan RM150 kepada dirinya dulu sewaktu dia membantu Abdul Azim dalam mencari barang-barang yang diperlukan.
Qistur Ruwaidah mengimbau kembali akan kenangan tersebut…
Abdul Azim mengeluarkan dompetnya, lalu dia menyerahkan RM150 kepada mahasiswi itu.
“Eh, Azim! RM90 jelah. Kenapa kau bayar kat aku sampai RM150 pula?” tegur Qistur Ruwaidah.
“Tak apalah. Duit minyak sekali. Rezeki kau. Terima kasih sangat tahu sebab kau dah tolong aku hari ni,” balas Abdul Azim.
Akhirnya, Qistur Ruwaidah menerima RM150 tersebut daripada jejaka itu seraya memasukkan wang tersebut ke dalam dompetnya.
Patutlah pun… Orang berada rupanya. Setakat RM150, celah gigi Abdul Azim sahaja.
“Adik tak boleh bayangkan sejauh tu kekayaan keluarga dia rupanya. Jauh beza betul dengan kita. Macam langit dan bumi,” respons Qistur Ruwaidah setelah Suhaibul Umar menamatkan kisah berkenaan latar belakang Abdul Azim.
“Abang sendiri yang pernah pergi rumah dia pun, dah rasa macam apa tapi tulah, tak sangka kita orang boleh jadi kawan baik,” ujar Suhaibul Umar.
‘Azim… Kalau aku tahu kehidupan kau sekaya tu, aku takkan tersuka kat kau dulu. Sepatutnya, aku tak layak pun nak suka kau. Kehidupan kita terlalu berbeza. Aku minta maaf sangat,’ bisik hati Qistur Ruwaidah. Rasa rendah diri menyelubungi dirinya.
Namun begitu, bukannya Qistur Ruwaidah mengetahui bahawa Abdul Azim telah memasukkan dirinya ke dalam ruang hati lelaki itu serta siswa itu tidak memandang hina pun terhadap kehidupannya. Lagi Abdul Azim berminat untuk mengetahui lanjut tentang dirinya yang penuh kesusahan suatu ketika dahulu, adalah. Jika Abdul Azim memandang jelik dan hina, lelaki itu tidak akan sudi pun berkawan dengan abangnya.
“Tulah namanya takdir pertemuan abang dan Azim. Tapi kan abang… Seronok juga kalau kita hidup macam Azim tu. Tak payah susah-susah fikir pasal duit. Kita ni, nak makan KFC ke, McD ke, kafe hipster ke, fikir banyak kali tahu sebab nak kena fikir lain macam bil air, bil elektrik, bil internet… Eh, rumah kita mana ada Wi-Fi! Harapkan data internet telefon je,” luah Qistur Ruwaidah sambil tergelak kecil.
Suhaibul Umar tersenyum hambar. Ada benarnya cakap adiknya itu. Kesedihan mula bertandang dalam kalbunya itu. “Tak apalah adik. Dah rezeki kita takat ni je. Duit pampasan mama baba pun dah tak berapa banyak tapi masih cukuplah nak bayar yuran pengajian adik berbaki lagi tiga tahun. Abang pun nak kena berjimat bayar kereta ni walaupun abang terima biasiswa. Risau juga kalau bank tarik.”
“Kalau abang rasa terbeban dan perlu guna duit pampasan mama baba nak bayar kereta abang tu, abang guna jelah. Adik okey je nak ambil pinjaman. Tak apa. Adik tak kisah pun. Kalau adik dah tamat belajar nanti, adik cari kerja dan bayar balik.”
Tiba-tiba Suhaibul Umar memberhentikan keretanya di tepi jalan seketika. Qistur Ruwaidah terkejut akan tindakan abangnya itu. “A… Abang? Abang okey tak ni?”
Suhaibul Umar memegang kepalanya. Tiba-tiba kepalanya terasa sakit. “Abang minta maaf adik. Tiba-tiba abang rasa kepala abang ni sakit,” luahnya.
Qistur Ruwaidah mula menjadi risau terhadap keadaan abangnya itu. Dia sedar bahawa dia telah tersilap bicara. Abangnya tidak boleh menjadi terlalu tertekan. “Ya Allah! Sakit abang tu datang balik ke!”
“Tak tahulah tapi abang rasa kepala abang tak selesa,” kata Suhaibul Umar seraya memegang lagi kepalanya itu. Berganda-ganda sakitnya itu.
Tanpa melengahkan masa, Qistur Ruwaidah mengeluarkan ubat sakit mental dari begnya. Kebiasaannya, memang dia akan membawa ubat tersebut ke mana-mana sahaja. Dia mengeluarkan dua biji pil dari botol tersebut, lalu disumbatkan ke dalam mulut Suhaibul Umar dengan bantuan air.
Tiba-tiba…
“Mama! Abang nak masak dengan mama lagi. Boleh tak mama? Baba! Abang nak main tembak-tembak dengan baba. Mana penjahat tu baba!” kata Suhaibul Umar sambil menggayakan aksi memasak dan tembak-menembak di hadapan Qistur Ruwaidah.
Suhaibul Umar mula berubah karakter. Trauma dan fobia masa lalu yang dialami oleh lelaki itu akan membuatkan karakternya juga boleh berubah ibarat anak kecil.
Serta-merta Qistur Ruwaidah menangis tatkala dia menyaksikan perubahan karakter yang dialami oleh Suhaibul Umar itu. Menurut pakar psikoterapi yang pernah merawat abangnya, abangnya menjadi sedemikian kerana abangnya terlalu merindui ibu bapa mereka berdua.
“Mama… Kenapa mama nangis ni? Tak naklah nangis-nangis. Abang ada ni! Abang akan jaga mama sampai abang besar. Abang janji. Baba… Tengoklah mama ni. Mama nangis!” Suhaibul Umar masih dengan perubahan karakternya itu. Tangannya mula memberikan isyarat seolah-olah memanggil orang.
Qistur Ruwaidah segera mendakap abangnya itu. Dia tidak sanggup lagi menyaksikan abangnya berada dalam keadaan sedemikian. “Isk… Isk… Isk… Abang…” panggilnya dalam sedu-sedan.
“Mama… Janganlah menangis. Abang ada ni. Abang janji abang takkan buat mama nangis lagi. Abang sayang mama,” ujar Suhaibul Umar dalam intonasi kanak-kanak. Kemudian, dia tertidur dalam dakapan adiknya.
Qistur Ruwaidah menarik nafas lega. Lalu, dia meleraikan dakapan tersebut dan menyandarkan abangnya dengan perlahan-lahan di kerusi pemandu itu. Namun begitu, dia buntu. Bagaimanakah dia mahu memapah abangnya itu untuk bertukar tempat agar dia boleh mengambil alih tempat duduk pemandu itu? Dia tiada kudrat untuk berbuat demikian. Takkan dia perlu tunggu abangnya sehingga abangnya sedar?
Tiba-tiba pintu keretanya diketuk. Qistur Ruwaidah memandang ke arah cermin tingkap. Abdul Azim! Betapa leganya hati perempuan itu. Segera dia membuka punat pintu kereta dan keluar dari perut kereta tersebut.
Abdul Azim dapat menyaksikan wajah Qistur Ruwaidah sedang bersedih. “Qist, kenapa ni? Kenapa Abang Suhaib berhenti kereta dia kat tepi jalan?” soalnya.
Qistur Ruwaidah mula membuka cerita berkenaan keadaan Suhaibul Umar sambil dia mengalirkan air matanya di hadapan lelaki itu. Dia sudah tidak mampu menyembunyikan rasa kesedihan itu dan dia sudah tidak peduli untuk menangis di hadapan lelaki itu.
Alangkah tersentuhnya hati Abdul Azim tatkala dia menyaksikan Qistur Ruwaidah menangis di hadapannya. Secara tidak langsung, hatinya juga turut terluka melihatkan keadaan insan yang dicintainya itu. Itulah kali pertama dia menyaksikan air mata gadis itu. Andainya dia boleh memeluk gadis itu, nescaya sudah lama dia akan lakukan untuk Qistur Ruwaidah.
“Tak apa Qist. Insya-Allah Abang Suhaib akan okey. Aku tolong pindahkan Abang Suhaib kat bahagian belakang. Lepas tu, aku ikut kau sampai ke rumah,” kata Abdul Azim.
“Terima kasih Azim,” ucap Qistur Ruwaidah dengan nada perlahan.
“Sama-sama. Kau tunggu sekejap.”
Abdul Azim membuka pintu di bahagian pemandu, lalu dia meraih tangan kanan Suhaibul Umar untuk diletakkan di bahunya. Sekuat tenaganya, dia memapah Suhaibul Umar sehingga sahabat baiknya itu selamat dibaringkan di tempat duduk penumpang bahagian belakang.
Dia menyaksikan seketika raut wajah sahabat baiknya. Terselit rasa simpati. Bagaimanalah Suhaibul Umar melalui semua ini setelah dia disahkan menghidap sakit mental di bawah kategori gangguan stres pascatrauma atau Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD) selama bertahun-tahun lamanya? Hanya pada Allah, dia mendoakan agar sahabat baiknya terus dikurniakan kekuatan.
“Okey Qist. Aku dah pindahkan Abang Suhaib kat belakang. Kau jangan risau. Aku temankan kau sampai kat rumah,” kata Abdul Azim setelah dia menutup pintu kereta tersebut.
Qistur Ruwaidah mengangguk, lalu dia berpindah tempat ke bahagian pemandu. Fikirannya benar-benar terganggu. Dia mendoakan agar dia dikurniakan mental yang cukup kuat. Janganlah PTSD menyerang dirinya pula pada waktu-waktu genting ini. Lantas, dia memberikan signal kanan untuk meminta izin laluan.
Abdul Azim juga sudah bersedia bersama motosikalnya dengan mengekori kereta Suhaibul Umar di belakangnya. ‘Ya Allah, Kau kuatkanlah Qistur Ruwaidah binti Isyraf Imrani dalam mengharungi ujian-Mu. Kau selamatkanlah dia dari segala malapetaka sepanjang pemanduannya itu,’ doanya dalam hati.
Setelah kereta Suhaibul Umar dan motosikal Abdul Azim tiba di rumah dua beradik tersebut, Abdul Azim memapah Suhaibul Umar sehingga dia membaringkan sahabat baiknya di atas sofa.
Tiba-tiba Abdul Azim dan Qistur Ruwaidah dapat mendengar Suhaibul Umar sedang mengigau.
“Mama… Baba… Mama… Baba…” igau Suhaibul Umar. Hanya nama itu sahaja yang disebut dalam tidurnya.
Lantas, Qistur Ruwaidah mengusap dengan lembut rambut abangnya itu. “Shhh… Adik ada ni, abang. Adik sayang abang.”
Lalu, kedengaran Suhaibul Umar tidak lagi meracau-racau dalam tidurnya melainkan dengkuran halus menemani lenanya itu.
Pada hari tersebut, Abdul Azim telah menjadi saksi kesukaran dua beradik ini. Sejujurnya, hati jejaka itu benar-benar hancur untuk dua beradik itu. Sudahlah mereka berdua begitu lama menderita kehilangan ibu bapa dan adik-beradik tercinta dan terpaksa menanggung pula sakit mental akibat trauma dan fobia di masa lalu.
“Aku minta maaf, Azim. Tak pasal-pasal pula kau terpaksa tengok Abang Suhaib macam tu,” ujar Qistur Ruwaidah dalam riak wajah yang sedih setelah dia dan Abdul Azim berada di luar rumah. Bimbang pula jiran menjadi salah faham jika ada yang ternampak.
“Tak apa Qist. Sekurang-kurangnya, aku dah faham. Macam tu rupanya keadaan orang yang ada sakit mental. Aku bersimpati untuk kau dan Abang Suhaib. Mujur aku lalu jalan sama dengan jalan kau lalu tadi,” balas Abdul Azim.
“Aku tak tahu macam mana kalau kau tak ada tadi, Azim. Kalau tak, memang aku terpaksa tunggu sampai Abang Suhaib sedar sebab Abang Suhaib tak pernah kena kat dalam kereta. Biasanya, dia sakit kat rumah je. Kalau aku nak papah Abang Suhaib, memang aku tak larat. Sekali lagi, aku berterima kasih kat kau.”
“Sama-sama. Tak ada apalah Qist. Tak jadi masalah pun kat aku. Lagipun, aku dah anggap Abang Suhaib tu macam abang aku sendiri. Macam nilah, Qist. Misal kata Abang Suhaib kena macam tu lagi kat luar, kau hubungi je aku. Jangan rasa serba salah. Masalah Abang Suhaib, masalah aku juga.”
Betapa tersentuhnya naluri Qistur Ruwaidah akan respons lelaki itu. Sedarilah dia bahawa lelaki itu amat mengambil berat terhadap abangnya. Sejuta kesyukuran dipanjatkan kepada Maha Esa akan kehadiran Abdul Azim dalam kehidupan abangnya. Sejujurnya, memang Abdul Azim perlu bersyukur kerana abangnya jenis susah untuk membuat kawan baru.
“Insya-Allah Azim. Moga Allah mengganjari kau dengan pahala yang besar,” ucap Qistur Ruwaidah.
“Amin ya Rabb dan untuk kau Qist, moga kau sentiasa kuat. Jaga Abang Suhaib elok-elok. Aku tahu dia berharga sangat untuk kau,” balas Abdul Azim seraya menyarung topi keledarnya.
“Aku gerak dulu,” sambung Abdul Azim lagi seraya menghidupkan enjin motosikalnya.
Lalu, motosikal Abdul Azim mula meninggalkan kawasan perumahan Qistur Ruwaidah itu.
‘Ya Allah, hanya Kau sahaja dapat memberikan kebaikan dan pahala yang besar buat Abdul Azim bin Uthman,’ doa Qistur Ruwaidah dalam hati.
Sejak peristiwa itu, barulah Qistur Ruwaidah mengerti bahawa Abdul Azim merupakan segala-galanya buat abangnya selepas dirinya.

“NAH Azim. Karya-karya Qist,” ujar Suhaibul Umar seraya menyerahkan sebuah fail yang berisi koleksi karya-karya adiknya itu seperti yang pernah diminta oleh lelaki itu di Pusat Beli-Belah Adenium beberapa hari yang lepas.
Ketika itu, Suhaibul Umar datang ke Mahallah (kolej kediaman) Ali dan mereka berdua bertemu di kafe.
Abdul Azim menyambutnya dengan gembira. “Wah, alhamdulillah! Terima kasih abang.”
Suhaibul Umar mengangguk seraya tersenyum. “Sama-sama Azim. Emm Azim… Abang nak ucap terima kasih pasal hari tu.”
“Pasal yang mana ya?”
“Azim papah abang malam tu. Abang tak tahu nak cakap macam mana. Tak sangka Azim lalu kat situ dan ternampak kereta abang.”
“Oh, pasal tu. Tak ada apalah abang. Ha, Azim pun baru teringat nak tanya keadaan abang. Abang okey dah ke?”
“Alhamdulillah okey dah. Azim jangan risau.”
Setelah dua sahabat itu rancak berborak sambil menjamu selera shawarma yang dibeli oleh Suhaibul Umar di Mahallah Bilal, akhirnya Suhaibul Umar meminta izin untuk pulang ke kolej kediamannya.
Abdul Azim memandang Suhaibul Umar sehingga sahabat baiknya hilang dari pandangannya itu. Fail tersebut dipandang dengan penuh rasa gembira dan penuh berbunga-bunga mekar di dasar kalbunya. Dia tidak sabar untuk membaca kesemua karya-karya yang dinukilkan oleh Qistur Ruwaidah itu. Lalu, dia meninggalkan kafe tersebut dan menuju ke biliknya.
Sampai sahaja Abdul Azim di atas katilnya, dikeluarkan keseluruhan karya-karya itu dan dipilih salah satu sebagai bahan bacaan pertamanya. Semuanya sudah diletakkan pelekat tanda agar memudahkan Abdul Azim untuk terus membuka halaman tersebut.
Tujuh daripada 12 karya Qistur Ruwaidah merupakan puisi dan cerpen yang diterbitkan di beberapa buah majalah terkemuka seperti Majalah Stilistik, Majalah Samudera, Majalah Estetika Kalbu dan beberapa buah lagi manakala selebihnya merupakan novel termasuklah ‘Prangko Salsabila’ yang diterbitkan oleh beberapa buah syarikat penerbitan seperti Penerbitan Akasia, Penerbitan Sentuhan Melodi dan beberapa lagi.
Sebagai seorang pencinta buku, semestinya Abdul Azim mengetahui majalah-majalah dan syarikat-syarikat penerbitan tersebut. Bermakna, Qistur Ruwaidah menghasilkan karya-karya yang cukup hebat.
Lalu, bagaimanalah cinta Abdul Azim terhadap Qistur Ruwaidah tidak semakin meresap dalam atmanya?
Bagaimanakah Abdul Azim mengetahui bahawa Qistur Ruwaidah merupakan seorang penulis? Dia mengetahui daripada kawannya merangkap kawan Qistur Ruwaidah juga, iaitu Siti Hanim Az-Zahra’. Siswi itu pernah berkongsi berkenaan karya Qistur Ruwaidah di media sosial dan muncul di bahagian 'Fac Feed'.
Namun begitu, Abdul Azim berasa agak pelik kerana dia tidak perasan langsung sama ada Qistur Ruwaidah pernah mempromosikan karyanya atau tidak. ‘Ah, tak kisahlah! Janji aku boleh baca semua karya-karya Qist ni. Dia tu hebat betullah. Dahlah pernah sertai debat, penulis, pandai bahasa Arab… Emm… Apa lagi ya? Eh, kau dah kenapa, Azim! Sibuk je nak tahu pasal Qist. Sekejap… Mestilah aku nak kena banyak tahu pasal Qist! Kan aku nak lamar dia nanti. Apalah kau ni, Azim,’ bicaranya dengan penuh syok sendiri.
Berkenaan novel ‘Prangko Salsabila’ pula, dia mengetahui juga daripada Siti Hanim itu dan dia terperasan sewaktu pertemuan kebetulannya dengan Mohamad Salahuddin serta adik lelaki itu, iaitu Sakeenah di kedai buku pada tahun lepas.
Bukan apa… Dia terperasanlah juga Mohamad Salahuddin dan Sakeenah berada di bahagian rak novel remaja dalam tempoh yang agak lama. Setelah dua beradik itu tiada lagi di ruangan tersebut, dia menuju ke arah rak tersebut.
“Novel apa yang Din dan Keena tengok tadi?” bicara Abdul Azim sendirian.
Tiba-tiba, anak matanya tertangkap pada novel bertajuk ‘Prangko Salsabila’. Fikirannya mula ligat mengingatkan sesuatu berkenaan novel tersebut. “Sekejap… Ni ke novel yang Hanim pernah tunjuk kat FB dia dulu?” soalnya sendirian, lalu diraihnya novel remaja itu.
Apabila dia membuka halaman kedua dalam nombor Roman, terpampang gambar Qistur Ruwaidah. Alangkah girangnya hati Abdul Azim tatkala dia terjumpa juga novel gadis tersebut. Dia membelek semula di bahagian kulit novel tersebut.
“Jadi, Qist guna nama pena rupanya. Rumaysa Irsyadi. Menarik. Patutlah aku tak jumpa nama sebenar dia. Nasib baiklah dia letakkan gambar. Kalau tak, sampai kiamat aku tak jumpa. Rasanya Din dan Keena nampak novel nilah kut,” kata Abdul Azim sendirian.
Tanpa membaca sinopsis, dia terus memasukkan novel tersebut ke dalam bakul. Baginya, dia tidak perlu membaca sinopsis pun. Untuk apa dia buang masa? Karya itu ditulis oleh insan dicintainya dalam diam. Mestilah dia tidak akan ragu-ragu untuk membeli novel tersebut dan menyokong Qistur Ruwaidah.

Abdul Azim tersengih kecil tatkala dia teringat semula akan momen tersebut. Lalu, novel ‘Prangko Salsabila’ dicapai di atas meja belajarnya. Sebenarnya, sudah berkali-kali dia membelek semula tandatangan dan ucapan khas yang ditinggalkan oleh Qistur Ruwaidah.

Buat Abdul Azim,
Terima kasih kerana sudi mendapatkan novel ini. Tak sangka kau tahu akan kewujudan novel ini. Semoga novel ini bermanfaat untuk kau. Sejujurnya, aku mahu meminta maaf di atas apa yang telah terjadi dahulu dan terima kasih kerana menerima Abang Suhaib sebagai kawan baik kau. Tolong jaga dia kalau aku pergi dulu daripada dia.

Tandatangan si penulis itu disertakan sekali di bawahnya.
‘Sama-sama. Qist… Kau jangan risau. Lepas apa yang aku dah nampak hari tu, semestinya aku akan jaga Abang Suhaib dengan baik. Seandainya kau menjadi milik aku, aku nak bahagiakan kau dan Abang Suhaib sedalam hati aku. Aku janji. Apa dah jadi di antara kita dulu, aku tak salahkan kau. Sepatutnya, aku yang minta maaf sebab macam main tarik tali dengan kau, sedangkan aku sukakan kau. Aku kejam, Qist. Aku kejam. Moga kau juga turut maafkan aku di atas jawapan aku dulu,’ bisik hati Abdul Azim.
Mengingati gadis itu sudah lama kehilangan ibu bapa tercinta, serta-merta dia teringatkan ibu bapanya di Segamat, Johor.
‘Bonda, baba… Azim masih perlukan masa nak beritahu hasrat Azim kat Qist tapi bonda baba jangan risau. Azim akan cuba juga dalam masa terdekat ni. Ya Allah, aku mohon agar Kau kurniakan kekuatan untuk aku meluahkan hasrat hati kepada Qistur Ruwaidah kelak. Kau Maha Mengetahui bahawa dialah cinta pertamaku yang tidak pernah aku sangka, namun Kau jualah Maha Penentu perjalanan pencarian cintaku ini. Apa jua yang bakal terjadi, aku pinta agar Kau sentiasa kentalkan hatiku ini.’
Lalu, Abdul Azim memandang novel ‘Prangko Salsabila’ dan karya-karya Qistur Ruwaidah yang lain. Sebuah senyuman mula terukir di bibirnya dengan penuh keikhlasan.
Sepenuh tekad, Abdul Azim akan terus berdoa dan bertemu Maha Pemilik Cinta pada waktu dinihari kelak. Setiap hari, itulah waktu yang amat dinantikan olehnya sebelum dia memejamkan mata pada waktu malam. Rindunya sang jejaka itu pada Maha Pencipta tidak pernah berkurangan sedikit pun.
Itulah resepi rahsia siswa tersebut dalam mendapat keputusan yang cemerlang pada setiap semester.
Abdul Azim bin Uthman… Cintanya pada Ilahi sungguh mengagumkan sebelum cinta insani. Semestinya, berkat didikan Puan Tengku Aulia dan Encik Uthman telah membuatkan anak bongsu itu mempunyai peribadi yang cukup hebat.

Teruskan menilai watak Abdul Azim bin Uthman ini ya. Janganlah berat sebelah kat Mohamad Salahuddin bin Mohd Firdaus je xD

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience