QISTUR RUWAIDAH sedang menunggu ketibaan Sufi Waazin menyambutnya di rumah untuk keluar bersiar-siar di sekitar Putrajaya. Tiba-tiba telefon pintarnya berbunyi lagu untuk pemanggil. Dia bingkas mencapai telefonnya itu untuk melihat nama pemanggilnya.
Siti Hanim (AED)
Segera dia mengangkat panggilan itu. “Assalamualaikum Hanim,” ucapnya.
“Waalaikummussalam Qist. Awak kena tengok whatsapp sekarang,” kata Siti Hanim.
Tiada angin dan tiada ribut, tiba-tiba sahaja Siti Hanim itu. Walaupun Qistur Ruwaidah rasa aneh dengan tindakan Siti Hanim, namun dia mengikuti sahaja permintaan kawannya itu. “Sekejap Hanim,” katanya.
Dia melakukan pembesar suara dan melihat whatsapp yang dihantar oleh Siti Hanim itu. Kelihatan beberapa foto digital Abdul Azim sedang mendukung anak kepada pensyarah Asasi Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar (AED). “Dari mana awak dapat gambar-gambar ni? Anak siapa Azim dukung tu?” soalnya.
“Grup WhatsApp AED. Anak pensyarah kami. Namanya Uwais. Sekarang, kita orang ada aktiviti berkelah kat Ulu Yam ni sempena tamat belajar kat CFS sebelum sambung ijazah,” balas Siti Hanim.
“Wah, seronoknya!”
“Suka tak dapat gambar tu? Bukan senang tahu nak dapatkan gambar dia.”
Qistur Ruwaidah ketawa. “Gigih sangat awak ni, Hanim. Memanglah kita suka dia tetapi tak adalah sampai terfikir nak ada gambar dia.”
“Ha, tu dah ada gambar dia. Awak simpanlah sebagai kenangan. Okeylah. Kita nak matikan panggilan dulu. Nak pergi berendam dalam sungai,” kata Siti Hanim.
“Ah, okey! Assalamualaikum.”
“Waalaikummussalam.”
Talian dimatikan.
Qistur Ruwaidah menatap kembali gambar-gambar tersebut. “Subhanallah! Comelnya awak, Uwais,” ucapnya.
Terserlah riak wajah gembira Abdul Azim mendukung anak pensyarah itu. Dia dapat menyaksikan betapa penyayangnya lelaki itu kepada kanak-kanak atau lebih tepat, dia melihat lelaki itu sebagai seorang bakal ayah yang penyayang. Namun begitu, dia hanya menatap gambar-gambar itu secara pantas sahaja. Malu untuk dia menatap wajah mahasiswa itu lama-lama. Ibarat lelaki itu sedang memandangnya pula.
Dia menggelengkan kepalanya. Pipinya mula terasa panas kerana perasaan malu membaluti dirinya.
‘Ya Allah, kenapa aku perlu berperasaan macam ni? Azim tu bukannya sesiapa untuk aku. Kekasih bukan, suami lagilah bukan. Astaghfirullah, kau ni kan, Qist! Sila kembali ke alam realiti.’
Tiba-tiba telefonnya berbunyi kembali. Dia merenung semula ke arah skrin telefon pintarnya itu.
Sufi Waazin
Pantas, dia menjawab panggilan itu. “Assalamualaikum Sufi. Kau dah sampai ke?”
“Waalaikummussalam. Maafkan saya. Ni Cik Qistur Ruwaidah ke?” Kedengaran satu suara yang tidak dikenali olehnya.
“Ya saya. Siapa ni?”
“Saya Inspektor Firas sedang bercakap. Saya hendak memaklumkan bahawa pemilik telefon ni telah meninggal dunia kat sekitar Lebuh Raya Duke. Kereta mangsa telah bertembung dengan lori treler.”
“A… Apa? Me… Meninggal?” Kedengaran nada Qistur Ruwaidah, gugup. Seakan tidak percaya apa yang telah didengari olehnya itu.
“Ya cik. Sekarang, mayat mangsa sedang dibawa ke Hospital Dahlia untuk siasatan lanjut.”
Air mata Qistur Ruwaidah mula mengalir deras apabila dia mendengar perkataan ‘mayat mangsa’. Benarkah apa yang dia sedang dengar ini? Sufi Waazin telah meninggal dunia? Tidak masuk akal. Walhal, dia sedang menunggu ketibaan lelaki itu!
Lama-kelamaan, tangisan Qistur Ruwaidah menjadi sedu-sedan sehingga mampu didengari oleh abangnya. Alangkah terkejutnya Suhaibul Umar melihat keadaan adiknya itu. Setahunya, adiknya akan keluar bersama Sufi Waazin sekejap lagi. Dia segera mendakap adiknya itu bagi menenangkannya.
“Adik, kenapa tiba-tiba menangis ni? Bukan ke adik sedang tunggu Sufi sekarang?” soal Suhaibul Umar.
“Su… Sufi dah t… tak ada,” balas Qistur Ruwaidah tersekat-sekat.
Suhaibul Umar terkejut akan kata adiknya itu. “Apa adik cakap ni? Sufi dah tak ada?”
Semakin lama, Qistur Ruwaidah menjadi semakin emosi. “Sufi dah mati, abang! Sufi dah tinggalkan adik!”
Melihatkan emosi Qistur Ruwaidah menjadi semakin tidak stabil, Suhaibul Umar mendakap adiknya itu dengan lebih erat. Itulah yang dia lakukan kepada adiknya sejak kecil jika emosi adiknya itu sangat sedih. “Shhh… Abang ada ni, adik.”
Sukar bagi dirinya mempercayai apa yang telah berlaku kepada kawan baik adiknya itu. Sebagai seorang senior sekolah menengah yang mengenali Sufi Waazin, dia juga turut terkesan di atas pemergian juniornya itu. Almarhum lelaki itu sudah banyak membantu dirinya dan juga adiknya.
JENAZAH Sufi Waazin telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Kirana. Para tetamu yang hadir mula berunsur pulang. Tinggallah keluarga Sufi Waazin, Qistur Ruwaidah dan Suhaibul Umar yang masih setia di pusara almarhum Sufi Waazin. Masing-masing berwajah sugul dan sedih.
Qistur Ruwaidah berteleku di hadapan pusara lelaki itu. Fikirannya benar-benar kosong buat masa ini. Peristiwa ini berulang semula sama seperti kematian ahli keluarganya pada 13 tahun yang lalu.
‘Ya Allah, kenapa Kau ambil Sufi terlalu awal? Kenapa Kau ambil Sufi dalam keadaan aku tak bersedia?’ soal hatinya.
Puan Kifaahah menghampiri Qistur Ruwaidah seraya memanggil anak itu. “Qist…”
Qistur Ruwaidah memandang wanita itu. Jika ibunya masih hidup, pasti kelihatan sama seperti ibu almarhum Sufi Waazin itu. “Ya mak cik,” balasnya seraya memberikan senyuman hambar kepada wanita itu.
Puan Kifaahah mendakap anak itu. Qistur Ruwaidah tersentak, namun dia membiarkan sahaja tindakan wanita itu. “Mak cik, salam takziah saya ucapkan di atas pemergian Sufi,” bisiknya.
“Terima kasih. Mak cik reda di atas pemergian Sufi. Sufi merupakan anak yang sangat baik. Untuk Qist, mak cik harap Qist tabah di atas pemergiannya. Kita sama-sama kehilangan dia,” balas Puan Kifaahah.
Qistur Ruwaidah mengangguk perlahan. Puan Kifaahah melepaskan dakapan, lalu diberikan sesuatu kepada perempuan itu. “Nah, dompet Sufi,” katanya seraya menyerahkan dompet almarhum anaknya itu kepada Qistur Ruwaidah.
“Kenapa mak cik serahkan dompet Sufi kat saya? Ni kan dompet Sufi. Mak cik simpanlah sebagai kenangan,” kata Qistur Ruwaidah seraya menolak dengan lembut.
“Ada sebab kenapa dompet ni perlu diberikan kat Qist. Nanti Qist tengok sendiri apa yang ada dalam dompet tu.”
Akhirnya, Qistur Ruwaidah menyambut dompet itu daripada tangan si ibu itu, lalu didakapnya erat barang peninggalan Sufi Waazin itu. Puan Kifaahah memandang anak itu dengan sayu. Ada sesuatu yang Qistur Ruwaidah perlu tahu mengenai almarhum anaknya itu, namun biarlah perempuan itu mengetahuinya sendiri nanti.
“Terima kasih mak cik. Juga, buat semua keluarga mak cik yang telah banyak membantu saya dan Abang Suhaib sejak kami belajar kat SMIB. Hanya Allah sahaja mampu membalasnya,” ucap Qistur Ruwaidah.
“Sama-sama Qist. Kalau bukan kerana almarhum Sufi bercerita tentang kehidupan lalu Qist dan Suhaib, kami juga takkan mengenali kamu berdua,” balas Puan Kifaahah.
Sekali lagi, Puan Kifaahah mendakap erat anak itu.
SETELAH dua bulan pemergian Sufi Waazin, Qistur Ruwaidah telah menerima hakikat di atas pemergian sahabat baiknya itu walaupun adakalanya dia terlupa bahawa lelaki itu sudah tiada.
‘Lamanya aku tak hubungi Sufi. Rindu pula kat dia. Aku nak telefon dialah,’ ucapnya seraya menghubungi sahabat baiknya itu.
“Nombor yang anda hubungi tiada dalam perkhidmatan”. Hanya suara operator telefon kedengaran.
“Ya Allah! Aku terlupa Sufi dah tiada,” ucapnya sendirian seraya tersenyum perit. Air matanya mula menemaninya kembali.
Kali terakhir mereka berkomunikasi sebelum Sufi Waazin terlibat dalam kemalangan.
“Assalamualaikum Qist,” ucap Sufi Waazin.
“Waalaikummussalam Sufi,” balas Qistur Ruwaidah.
“Dalam setengah jam lagi, aku sampai kat rumah kau. Insya-Allah.”
“Okey.”
Itulah kali terakhir dia mendengar suara lelaki itu. Setengah jam yang ditunggu olehnya itu, berakhir dengan sebuah pemergian yang tidak disangka-sangka. Dia menggeleng perlahan kepalanya itu.
Menurut seorang anggota polis yang menghubunginya pada hari kematian Sufi Waazin, punca kematian lelaki itu disebabkan lori treler tersebut mempunyai masalah brek dan hilang kawalan. Lalu, lori trelar tersebut telah terlanggar kereta yang dipandu oleh Sufi Waazin dan terbabas pada pembahagi jalan (divider).
Apabila Qistur Ruwaidah mengetahui punca kematian Sufi Waazin, dia tersandar lemah. Cara kemalangan lelaki itu sama seperti apa yang telah dia dan keluarganya lalui dulu. Kenderaan yang telah melanggar kereta ahli keluarganya dulu berpunca dari masalah brek dan hilang kawalan juga.
Bezanya, dia masih hidup manakala lelaki itu terus meninggal dunia di tempat kejadian tanpa lelaki itu sempat mengucapkan selamat tinggal kepadanya.
Dia merenung dompet Sufi Waazin di atas meja belajarnya itu yang masih belum berusik pada bahagian dalamnya sejak ibu lelaki itu menyerahkan kepadanya di tanah perkuburan pada dua bulan lepas. Sejujurnya, dia masih belum mempunyai kekuatan untuk melihat isi dalam dompet tersebut.
Namun begitu, dia memaksa dirinya untuk melihat juga isi dalam dompet tersebut. Dengan nama Allah, dia mula membuka dompet lelaki itu.
Kelihatan terdapat sekeping gambar bersaiz pasport wajah lelaki itu bersama sekeping gambar ibu bapanya, kad matrik CFS IIUM dan juga, alangkah terkejutnya Qistur Ruwaidah apabila Sufi Waazin turut menyimpan gambar mereka berdua sewaktu kenangan hari keputusan SPM dalam dompet tersebut serta…
Lipatan nota yang tertera nama Qistur Ruwaidah di atas permukaan kertas itu. Inikah yang dimaksudkan oleh Puan Kifaahah tempoh hari? Perlahan-lahan, dia membuka lipatan nota itu dan mula membacanya.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani
Selawat dan salam junjungan ke atas Nabi Muhammad serta para sahabatnya. Buat sahabat yang amat aku hormati, Qistur Ruwaidah binti Isyraf Imrani, semoga kau sentiasa di bawah reda Allah Yang Maha Agung.
Jika kau membaca warkah ini, bermakna aku sudah tiada. Aku pun tidak tahu kenapa aku menulis sedemikian. Anehkan? Aku mencoret warkah ini apabila usai sahaja kau menghubungi aku pada waktu malam itu.
Sejujurnya, aku rindu sewaktu kita rapat seperti zaman SMIB dulu, namun apabila kita melangkah ke alam asasi, keadaan itu sudah berubah. Aku faham. Masing-masing sibuk dengan tugasan. Bidang kita pula berbeza.
Qist, aku gembira untuk kau apabila kau telah berjaya menempatkan diri kau ke BAR setelah satu semester kau bersama LAWS. Sesungguhnya, kau memang kuat dan kau tak pernah kenal erti mengalah. Aku kagum dengan kekuatan kau sejak dahulu. Ada sesuatu yang kau perlu tahu tentang kekuatan kau itu. Biarlah aku berterus terang walaupun kau akan terkejut dengan pengakuan aku ini.
Qist… Aku telah jatuh hati terhadap kau sejak aku hulurkan duit kepada kau untuk kau beli tudung di koperasi SMIB dulu. Kau masih ingat, bukan? Aku tersalah masuk koperasi perempuan waktu itu dan sehingga ke saat ini juga, aku tetap jatuh hati terhadap kau, namun aku pendamkan perasaan aku ini setelah kau mengatakan bahawa kau jatuh hati terhadap Bro. Abdul Azim itu.
Waktu aku tahu kau mempunyai perasaan terhadap Azim di Medan Selera Midvalley tempoh hari, hati aku menjadi sangat sakit saat itu dan aku mahu jujur dengan kau supaya kau terima aku daripada kau terus berharap kepada Azim.
Akan tetapi, melihatkan emosi kau tidak stabil waktu itu, aku membatalkan hasrat untuk memberitahu isi hati aku walaupun kau ada mengatakan begini kepada aku: “Sufi, maaflah. Tiba-tiba aku beremosi pula. Terima kasih kerana kau sudi menjadi pendengar setia aku”.
Qist, selama-lamanya aku tetap sudi menjadi pendengar setia kau. Niat di hati aku, aku mahu melamar kau apabila kau memasuki alam ijazah nanti. Aku tetap menunggu kau walaupun pengajian kau berbaki setahun lagi di CFS IIUM. Aku mahu menjaga dan menyayangi kau sepenuh hati aku berlandaskan syariat-Nya, namun itu hanyalah angan-angan aku. Tanggapan aku, mustahil kau akan menerima aku kerana hati kau sudah dicuri oleh lelaki itu.
Hakikatnya, aku cemburu, Qist. Aku cemburu dengan Bro. Abdul Azim itu. Cuma, aku tidak mampu meluahkannya.
Di saat kau membaca warkah ini, aku mendoakan agar kau sentiasa kuat sepertimana sewaktu kau tinggal bersama ibu saudara kau dulu. Sewaktu aku tahu kisah itu, hati aku terdera dengan keadaan kau dan Abang Suhaib pernah hidup terseksa dahulu. Saat itulah, aku makin jatuh hati terhadap kau selepas peristiwa di koperasi dulu.
Jika aku sudah tiada, anggaplah warkah ini hanya sebagai kenangan lalu kau. Usah merasa serba salah di atas luahan aku ini kerana aku juga bersalah. Aku tidak berani meluahkan perasaan aku kepada kau atau lebih tepat, aku pengecut.
Untuk pengetahuan kau, ibu dan ayah aku sudah lama tahu tentang perasaan aku terhadap kau. Aku tidak menyembunyikan apa-apa daripada mereka. Oleh sebab itu, keluarga aku selalu membantu kau. Bukan kerana agar kau rasa terhutang budi kepada keluarga aku. Harapnya kau jangan salah faham. Memang keluarga aku mahu membantu kau dan Abang Suhaib dari segi kewangan. Soal hati itu, bukanlah tujuannya. Memang keluarga aku mahu mengurangkan bebanan yang kau dan Abang Suhaib hadapi.
Seandainya aku pergi, jangan rasa sedih atau meratapi pemergian aku. Bagaimana kau pernah mengharungi pemergian keluarga kau dulu, begitulah juga kau akan lakukan kepada aku ya? Kau kuat!
Tentang Azim, untuk aku, ada baiknya kau berterus terang supaya kau tidak sakit bermain dengan sangkaan. Sekali pun aku sudah tiada nanti, aku tetap menyokong apa jua keputusan kau walaupun aku tiada di hati kau. Jangan risau Qist. Kau pun tahu aku tidak akan berdendam di atas keputusan kau. Aku sayangkan kau. Sudah semestinya aku mendoakan yang baik-baik untuk insan yang aku sayang.
Aku rasa sudah tiba masanya aku mengakhirkan coretan warkah ini biarpun aku rasa masih ada lagi yang aku ingin katakan kepada kau tetapi rasanya keseluruhan warkah ini telah menjawab segala tindakan aku selama ini.
Akhir kata, buat Qistur Ruwaidah binti Isyraf Imrani, aku cintakan kau sepenuh hati aku sejak aku berumur 13 tahun serta maaf atas segala salah dan silap sepanjang perkenalan kita. Kaulah kawan terbaik aku. Selamat tinggal dan terima kasih atas segala-galanya.
Yang benar,
Sufi Waazin bin Rawiyani Al-Khair
Usai Qistur Ruwaidah membaca warkah lelaki itu, air matanya kian deras. Kini, barulah dia mengerti bahawa lelaki itu mempunyai perasaan terhadapnya selama ini. Mengapakah dia tidak perasan langsung akan perasaan Sufi Waazin sejak mereka berkenalan dari zaman sekolah menengah? Mengapakah hatinya langsung tidak terdetik untuk dibuka kepada lelaki yang telah banyak membantunya itu?
Adakah disebabkan dia terlalu fokus dalam pelajaran sewaktu zaman sekolah menengahnya dahulu, menyebabkan dia tidak nampak akan tindak-tanduk lelaki itu? Adakah juga disebabkan dia tidak mahu menjebakkan dirinya dalam soal perasaan dan dia memikirkan pula perjalanannya masih jauh waktu itu, menyebabkan dia mengambil pendekatan tidak endah terhadap Sufi Waazin dan beranggapan lelaki itu hanya sebagai teman akrabnya sahaja?
Kenapa? Kenapa? Kenapa? Itulah yang dipersoalkan oleh Qistur Ruwaidah. Kini, barulah dia memahami dakapan yang dihulurkan oleh Puan Kifaahah dahulu. Juga, dompet yang diberikan oleh wanita itu kepadanya. Rupa-rupanya, ibu bapa Sufi Waazin telah mengetahui bahawa almarhum anak mereka mempunyai perasaan terhadapnya.
Sakit… Itulah yang dirasai oleh Qistur Ruwaidah. Namun begitu, memang hatinya menganggap bahawa Sufi Waazin hanyalah sekadar kawan. Bukan seperti dia membuka hatinya untuk jatuh hati kepada Abdul Azim.
‘Sufi, kenapa aku tahu semua ni selepas kau pergi? Kenapa kau tak jujur dengan aku selepas keluar keputusan SPM dulu? Kalau aku tahu, aku takkan terbuka hati untuk Azim dan aku takkan jatuh hati terhadapnya. Aku tetap akan tunggu kau. Kau tahu tak hati aku ni rasa sakit sepanjang aku menyukai Azim? Azim seolah-olah seperti memberi harapan kepada aku. Sufi, kenapa kau buat macam ni kat aku? Aku rasa bersalah sangat. Kenapa aku tak nampak tindakan kau selama ni? Sufi, hati aku sakit,’ bisik hati Qistur Ruwaidah.
Akhirnya, dia memasukkan semula semua barang yang telah dikeluarkan dari dompet tersebut. Termasuklah warkah itu. Lalu, dia memasukkan ke dalam sebuah kotak yang sangat jarang dibuka olehnya, iaitu kotak kenangan. Dia akan membuka kotak kenangan itu sewaktu hari kelahirannya sahaja, iaitu 16 Jun pada setiap tahun.
Satu hari nanti, dia mengharapkan agar dompet itu akan menjadi sebuah kenangan lalu yang tidak menyakitkan jiwanya seperti apa yang dialami olehnya kini.
“Sufi, maafkan aku kerana aku tak menyedari akan semua ni. Adakah aku begitu bodoh, buta dan tuli?” tanyanya sendirian.
Air matanya mengalir lagi. Tiba-tiba dia teringat lagi akan kebaikan almarhum Sufi Waazin kepadanya.
Waktu itu, dia masih ingat lagi dia kehilangan sejumlah wang untuk membeli buku latihan sehingga dia menjadi sedih dan murung. Entahlah wangnya dicuri atau tercicir di mana-mana. Dia tidak mampu berfikir tentang itu.
“Qist…” kedengaran Sufi Waazin memanggil dirinya.
Dia memandang remaja itu tanpa merespons apa-apa. Wajahnya kelihatan sangat sugul. Sufi Waazin terperasan akan raut wajah kawannya itu, lalu dia menegurnya. “Qist, kenapa ni? Kau ada masalah lagi?”
“Erm… Duit aku hilang, Sufi. Aku tak tahulah macam mana boleh hilang. Dahlah aku nak beli buku latihan subjek Geografi,” balas Qistur Ruwaidah, lalu dilepaskan keluhan berat.
Tanpa sepatah bicara, Sufi Waazin terus mengeluarkan dompet dari koceknya. Beberapa keping not RM10 diberikan kepada sahabatnya itu. Qistur Ruwaidah terkesima seketika. “Sufi, banyak sangat ni! Lagipun, aku tak boleh nak terima dah. Kau dah banyak sangat tolong aku. Aku tak nak rasa terhutang budi dengan kebaikan kau.”
“Aku tak sampai hati tengok kau macam ni, Qist. Tambahan pula, apabila aku dapat tahu kisah hidup kau, aku rasa terkesan sangat. Apa salahnya aku bantu kau? Kau doakan aku semoga aku sentiasa dimurahkan rezeki. Boleh?” terang Sufi Waazin.
“Err… A… Aku…”
Sufi Waazin terus meninggalkan kepingan wang itu di atas meja kawannya itu tanpa menoleh ke arahnya lagi. Qistur Ruwaidah memandang lelaki itu sambil hatinya berbisik. ‘Ya Allah, Kau murahkanlah rezeki Sufi Waazin dan Kau redailah kehidupannya. Tiada apa yang mampu aku balas untuknya melainkan hanya doa buat dirinya.’
Mengingatkan peristiwa itu semula, kesakitan jiwa seorang Qistur Ruwaidah itu tidak lagi tertanggung. Dia menangis dan terus menangis semahunya. Apa guna lagi bagi dirinya menangisi orang yang sudah tiada?
‘Mama baba… Kenapa Qist perlu lalui kehilangan demi kehilangan? Qist dah lama menderita dengan ketiadaan mama dan baba. Kalau Qist nak cerita apa-apa, Qist cari Abang Suhaib je. Qist sakit sangat. Sekarang, kawan baik Qist pula meninggal dunia. Apa Qist patut buat, mama baba? Qist sedih sangat.’
Sepi. Tiada jawapan.
Tiba-tiba kelihatan Suhaibul Umar berada di belakangnya. Qistur Ruwaidah tersentak seketika apabila mendengar derapan kaki itu. Ditolehnya ke belakang. “A… Abang!” balasnya, gugup.
Tanpa sepatah bicara, Suhaibul Umar berhadapan dengan adiknya, lalu dia mendakap Qistur Ruwaidah. “Kenapa menangis seorang diri ni? Kan abang ada untuk adik. Dari tadi, abang perhati adik menangis sejak adik tengok kotak tu tapi adik tak sedar,” bicaranya dengan penuh kelembutan seraya menepuk lembut tubuh belakang adiknya itu.
“Adik teringat kat Sufi. Adik teringat kat mama baba. Adik sakit, abang. Adik sakit menahan rindu kepada orang yang telah tiada. Apa adik patut buat?” luah Qistur Ruwaidah dalam tangisan.
“Shhh… Jangan macam ni, adik. Kalau mama, baba dan Sufi tengok adik macam ni, mesti mereka pun turut sedih. Abang pun jadi sedih juga.”
Tangisan Qistur Ruwaidah kian deras. Entah berapa kali dia telah merembeskan air matanya. Oleh sebab dia sudah penat mengalirkan air matanya, akhirnya dia terlelap dalam dakapan abangnya itu.
Suhaibul Umar menarik nafas lega apabila Qistur Ruwaidah sudah terlena kerana dia tahu adiknya memerlukan rehat yang cukup, lalu dia membaringkan adiknya di atas katil dan menyelimutinya. Dia bercadang untuk menemani adiknya itu sehingga adiknya terbangun dari lenanya. Biasanya, emosi adiknya akan menjadi baik selepas itu.
Diseka air mata adiknya itu.
“Berehatlah adik. Abang tahu adik penat dengan semua ni sehingga adik merasakan bahawa adik hampir berputus asa untuk meneruskan kehidupan, namun adik, Allah masih menghidupkan kita agar kita terus mencari Dia dan bergantung harap pada-Nya. Allah tak kejam. Allah tak zalim. Allah sayangkan kita, adik. Allah Maha Penyayang,” bicara Suhaibul Umar sendirian seraya mengusap kepala adiknya itu.
Ada masanya Suhaibul Umar rebah, adiknya akan ada untuk dirinya. Begitu juga Qistur Ruwaidah, jika dia rebah, abangnya akan ada untuknya. Masing-masing mengerti bahawa mereka saling memerlukan antara satu sama lain.
Kehilangan insan tersayang dan ditimpa kesedihan serta kesakitan masa lalu telah mengajar dua beradik itu untuk saling berkasih sayang tanpa syarat.
'Bab 7' ini akan memberi sedikit bayangan (hint) kepada 'Bab 8' sehingga 'Bab 12'. Pasti terluka hati seorang Sufi Waazin selama dia mengetahui isi hati sahabat baiknya sedangkan dia mempunyai perasaan terhadap Qistur Ruwaidah sejak sekian lama. Kini, lelaki itu telah meninggalkan alam yang fana ini. Anehkan? Qistur Ruwaidah tidak menyedarinya dan jiwanya hanya 'nampak' Abdul Azim sahaja sedangkan sahabat baiknya ada di hadapan matanya, setia menyukai dirinya sejak dahulu. Qist oh Qist!
Share this novel