SEMESTER DUA SESI 2013/2014
Bermulalah semester baharu bagi para mahasiswa dan mahasiswi Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (CFS IIUM) yang mengambil semester pendek. Bagi yang tidak mengambil semester pendek, mereka bercuti dari pertengahan bulan Oktober 2013 sehingga pertengahan bulan Januari 2014.
Qistur Ruwaidah mula bersemangat bagi meneruskan semester pendek ini. Beberapa hari sebelum dia hendak menyambung semester pendeknya, keputusan peperiksaan akhir tahun telah diumumkan. Betapa dia gembira apabila dia lulus bagi peperiksaan subjek ICT dan Bahasa Inggeris (BI) dan itu bermaksud dia telah dikecualikan dari memasuki kelas BI tersebut, namun bagi subjek Bahasa Arab (BA) pula, dia mencapai dari tahap dua ke tahap enam.
Bermakna, dia perlu memasuki lagi kelas BA untuk tahap enam pula dan dia perlu lulus tahap enam tersebut. Dia tidak kisah berkenaan itu tetapi apa yang membuatkan dia menjadi yakin bahawa keputusan permohonan pertukaran jurusannya bagi semester ini akan diterima kerana keputusan subjek ICT dan BA amat menyakinkan pihak pusat asasinya.
Tibalah hari yang dinanti-nantikan olehnya apabila keputusan pertukaran jurusan diumumkan menerusi media sosial CFS IIUM. Dengan nama Allah, dia segera memuat turun dokumen senarai para pelajar yang berjaya menempatkan diri mereka dalam jurusan yang dimahukan itu.
Setelah dia membuka dokumen tersebut, dia segera skrol tetikusnya untuk mencari nama dan nombor matriknya.
“Alhamdulillah! Dapat! Yahoo!” jerit Qistur Ruwaidah di ruang tamu.
Suhaibul Umar yang sedang ralit menyiapkan tugasannya, terus terhenti aktivitinya itu apabila dia mendengar jeritan adiknya itu. Segera dia menuju ke arah adiknya itu. “Kenapa adik terjerit ni? Terkejut abang.”
“Alamak, adik minta maaf, abang. Ni ha. Keputusan pertukaran jurusan dah diumumkan. Alhamdulillah! Adik dapat tukar dari LAWS ke BAR!” Kedengaran suara Qistur Ruwaidah sangat gembira mengumumkan berita itu.
“Apa! Seriuslah!” balas Suhaibul Umar, terkejut.
“Adik serius. Abang tengoklah ni,” kata Qistur Ruwaidah seraya menunjukkan skrin komputer ribanya kepada abangnya itu.
Suhaibul Umar segera menghadap skrin komputer tersebut dan mula mencari nama adiknya.
13XXXX - Qistur Ruwaidah binti Isyraf Imrani - From LAWS (Foundation of Laws) to BAR (Foundation of Arabic). Result: Accepted.
“Wah, alhamdulillah! Tahniah adik! Abang bangga sangat dengan adik. Kita kena sambut kejayaan adik ni,” balas Suhaibul Umar.
“Alhamdulillah. Terima kasih abang. Alaa… Tak perlulah sampai bersambut. Abang tahu pun sudah cukup baik untuk adik,” balas Qistur Ruwaidah.
“Mana boleh macam tu, adik. Abang tetap nak raikan kejayaan adik. Adik beritahu je apa yang adik nak makan malam ni. Abang belanja.”
Qistur Ruwaidah memandang abangnya seraya mendakapnya. “Terima kasih abang. Tiada apa yang adik harapkan melainkan abang tolong doakan adik agar adik terus sukses dengan apa yang adik lakukan.”
“Sama-sama adik. Insya-Allah. Abang sentiasa doakan apa jua yang adik lakukan. Nanti, adik jangan lupa sujud syukur tahu,” kata Suhaibul Umar.
“Insya-Allah. Baik abang. Terima kasih atas peringatan itu.”
PADA semester dua sesi 2013/2014, Qistur Ruwaidah mengambil subjek Basic Themes of Al-Quran (BTQ) sahaja, iaitu subjek yang wajib diambil oleh semua pelajar CFS IIUM. Subjek tersebut telah disenaraikan oleh jurusan lamanya, iaitu Asasi Undang-Undang (LAWS). Meskipun dia sudah bertukar jurusan ke Asasi Bahasa Arab (BAR), dia dibenarkan untuk meneruskan dengan mengambil subjek tersebut.
Kali ini, dia tidak lagi sekelas dengan Abdul Azim kerana perbezaan jurusan dan juga nombor grup.
“Qist,” tiba-tiba ada satu suara memanggilnya selepas selesainya kuliah BTQ.
Qistur Ruwaidah menoleh ke arah pemanggil itu. Mohamad Salahuddin, salah seorang rakan sekelasnya sejak semester lepas yang berasal dari Kelantan, namun keluarganya sudah berpindah ke Bangi, Selangor. “Ya Din?” responsnya.
“Kau dah hafal Surah al-Furqan ayat 63 sampai 77 yang Madam Wan Radziah suruh hafal tu?” soal Mohamad Salahuddin.
“Alhamdulillah. Aku dah pernah hafal surah tu dulu masa zaman sekolah. Cuma, aku kena ulang kaji semula,” balas Qistur Ruwaidah.
Bagi subjek BTQ, setiap pelajar wajib menghafal Surah al-Furqan ayat 63 sehingga ayat 77 sebagai salah satu tugasan dan memperdengarkan hafalan tersebut kepada pensyarah. Ayat itu menceritakan tentang sifat-sifat sebenar I’badurrahman atau hamba Yang Rahman (Allah) untuk dijadikan teladan untuk diikuti dan dicontohi.
Apakah maksud I’badurrahman itu? I’badurrahman merupakan golongan hamba yang menghambakan diri mereka pada Allah semata-mata. Namun begitu, terdapat juga golongan hamba yang lain seperti hamba syaitan, hamba taghut, wang dan sebagainya.
Para pelajar CFS IIUM bukan sahaja didedahkan subjek-subjek yang berbentuk duniawi, bahkan ukhrawi juga turut ditekankan meskipun jurusan tersebut bukan jurusan agama. Institusi UIAM bukan sahaja mahu melahirkan para mahasiswa dan mahasiswi yang berjaya dalam aspek dunia tetapi juga, aspek akhirat.
“Wah, mudahlah untuk kau sebab kau dah pernah hafal! Kalau macam tu, tak apalah. Saja aku tanya. Aku balik mahallah dulu,” balas Mohamad Salahuddin.
Qistur Ruwaidah mengangguk. Kelihatan langkah mahasiswa itu hampir meninggalkan kelas tersebut. Tiba-tiba dia memanggil mahasiswa itu. “Din, tunggu sekejap.”
Mohamad Salahuddin menghentikan langkahnya. “Ya Qist. Kenapa?”
“Sekarang, kau ada hal tak?” soal Qistur Ruwaidah.
“Emm… Sekarang aku tak ada apa-apa hal. Kenapa Qist?”
“Aku ingat aku nak bercerita sesuatu dengan kau kalau kau tak kisah. Aku belanja kau makan kat London Bridge. Boleh?”
Mohamad Salahuddin berfikir seketika. Akhirnya, dia bersetuju untuk mengikuti mahasiswi itu ke London Bridge.
London Bridge merupakan sebuah tempat yang menghubungkan Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Kafe Ainon, Kafe Ali B, Kafe Blok E dan bilik pensyarah. Kebanyakan pelajar suka menghabiskan masa di tempat tersebut sama ada untuk berbual kosong atau menyiapkan tugasan. Bahkan, ada juga persatuan yang menjadikan tempat tersebut sebagai mesyuarat atau mengadakan apa-apa program.
“Kau nak apa, Din?” soal Qistur Ruwaidah setelah mereka berdua tiba di Kafe Ainon yang terkenal dengan menjual makanan barat.
“Aku nak jus anggur jelah. Sekejap lagi, aku nak jamah makanan berat kat Kafe Ali B sana,” balas Mohamad Salahuddin.
Akhirnya, Qistur Ruwaidah memesan dua cawan jus anggur sahaja. Dia sendiri tidak membeli apa-apa makanan. Hajatnya, dia mahu menjamah makanan berat di kafe kolej kediamannya, iaitu Mahallah Aisyah. Dua cawan jus anggur mula bertukar tangan. Satu cawan diserahkan kepada Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah menyerahkan dua keping not RM1 kepada penjual tersebut.
“Beli kak,” Qistur Ruwaidah melafazkan akad jual beli kepada penjual tersebut.
“Jual dik,” balas penjual tersebut.
Setelah membuat pembayaran, mereka melabuhkan punggung di meja makan yang tidak berpenghuni itu.
Qistur Ruwaidah menghirup seketika jus anggur tersebut sebelum dia memulakan bicaranya. “Boleh aku mula bercerita sekarang?”
“Boleh. Silakan,” balas Mohamad Salahuddin.
“Aku tak tahu kenapa aku rasa nak buka cerita ni walaupun aku dah cerita kat dua tiga orang pasal ni.”
“Pasal apa?”
Qistur Ruwaidah membisukan dirinya sebentar. Mohamad Salahuddin hanya menunggu mahasiswi itu membuka mulut.
“Pasal Azim”. Akhirnya, Qistur Ruwaidah membuka topik berkenaan jejaka itu.
“Abdul Azim bekas rakan sekelas BI kita semester lepas ke?” Mohamad Salahuddin inginkan kepastian.
“Betul.”
“Kenapa? Kau bergaduh dengan dia ke?”
“Eh bukan. Kau jangan salah faham. Aku tak pernah bergaduh dengan dia. Cumanya…”
“Kau suka dia?” Mohamad Salahuddin menyerkap jarang.
“Err…” Qistur Ruwaidah mulai kelu.
“Betul ke tekaan aku?”
Qistur Ruwaidah mengangguk perlahan.
Mohamad Salahuddin menyambung bicaranya. “Aku tahu kita taklah rapat sangat semester lepas tetapi aku perhati je cara kau apabila kau berhadapan dengan Azim.”
“Kau intip aku ke?”
“Isy, taklah. Aku perasan kalau setiap kali Azim buat pembentangan dan selepas tu ada sesi soal jawab, mesti kau tuju soalan kat Azim. Aku tak pasti kalau kawan-kawan lain perasan atau tak tetapi aku perasan.”
“Err… Dah aku suka tanya soalan. Bukan kat Azim je aku tanya. Aku rasa kat semua oranglah aku suka tanya soalan.”
“Eh, betul juga cakap kau. Aku lupa. Kat kelas BTQ pun kau kaki tanya.”
Qistur Ruwaidah tersengih. “Tahu pun kau.”
“Kau nak aku beritahu perasaan kau kat Azim ke?” soal Mohamad Salahuddin. Kedua-dua belah tangannya diletakkan di atas meja.
Qistur Ruwaidah menggeleng laju. “Eh tak adalah. Cuma, aku nak bercerita kat kau pasal perasaan aku ni memandangkan kita rakan sekelas dia dulu.”
“Apa salahnya kalau kau luahkan perasaan kau kat dia? Terima atau tolak, tu lain cerita,” kata Mohamad Salahuddin.
“Aku tak rasa pun Azim suka aku tapi kadang-kadang aku rasa dia suka aku. Cara dia respons kat aku, cara dia senyum kat aku kalau aku ada terserempak dengan dia. Emm… Entahlah. Aku ni mudah perasan agaknya,” balas Qistur Ruwaidah.
“Kalau kau tanya aku selama aku kenal dia semester lepas, aku tak rasa dia ada suka sesiapa. Lagipun, kita baru first year kut.”
“Emm… Tulah. Aku tak patut menjebakkan diri aku untuk perkara remeh-temeh ni.”
Usai mereka berdua bersembang, masing-masing membawa haluan.
Mohamad Salahuddin sedang menjamu selera di Kafe Ali B. Tiba-tiba ada satu suara menyapanya sewaktu dia khusyuk menikmati hidangannya. “Assalamualaikum Din.”
“Waalaikummussalam. Eh Azim. Duduklah,” balas Mohamad Salahuddin, mesra.
Abdul Azim menghadiahkan senyuman seraya menemani kawannya itu menjamu selera.
“Kau dah makan ke?” soal Mohamad Salahuddin.
“Dah. Aku baru lepas makan tadi. Aku ternampak kau. Tu aku tegur kau,” terang Abdul Azim.
“Kau ada kelas ke hari ni?”
“Ada. Setiap hari. Pagi dan petang. Aku ambil subjek BI dan BTQ. Aku tak exempted lagi subjek BI. Dapat naik level six je. Kalau aku tak exempted juga subjek BI semester ni, alamatnya dua tahunlah aku kat CFS ni sebab AED ni lain sikit. Tak ada tempoh setahun setengah seperti LAWS.”
“Uish, susah juga macam tu,” kata Mohamad Salahuddin seraya menghirup jus anggur pemberian Qistur Ruwaidah itu tadi.
“Kau pula apa cerita semester ni, Din?” giliran Abdul Azim ingin mengetahui keadaan terkini kawannya itu.
“Aku? Alhamdulillah. Aku exempted subjek BI. Semester ni aku ambil subjek BTQ je. Sekali dengan Qist kalau kau ingat. Tadi, aku baru jumpa dia”. Sengaja Mohamad Salahuddin menyebut nama mahasiswi itu. Dia ingin melihat reaksi lelaki itu.
Abdul Azim tersentak apabila lelaki itu menyebut nama mahasiswi itu. Dia cuba berlagak normal agar Mohamad Salahuddin tidak mengesyaki apa-apa, namun riak wajahnya dapat ditangkap oleh kawannya itu, namun tidak diluahkan apa-apa.
“Qist? Mestilah aku ingat. Orang banyak tanya soalan kat pensyarah tu. Kat kawan-kawan pun dia banyak tanya soalan, termasuklah aku sekali,” balas Abdul Azim seraya ketawa kecil. Karakter mahasiswi itu cukup diingatinya pada semester lepas.
“Ha, dialah orang yang aku jumpa tadi. Sebenarnya, dia ada beritahu sesuatu kat aku tadi semasa aku jumpa dia. Walaupun dia tak izinkan untuk aku beritahu kau tetapi untuk aku, ada baiknya aku cakap teruslah kat kau.”
Jantung Abdul Azim berdegup kencang apabila mahasiswi itu ada memberitahu sesuatu kepada kawannya itu. “Dia cakap apa dengan kau?” soalnya.
“Dia cakap dia suka kau,” Mohamad Salahuddin membongkarkan perasaan mahasiswi itu kepada Abdul Azim.
Abdul Azim hanya menghadiahkan senyuman hambar. “Hmm… Ya ke dia suka aku?”
“Seriuslah Azim. Takkan aku nak tipu kau pula. Dia dah lama ada perasaan kat kau sejak semester lepas lagi.”
Abdul Azim hanya ketawa mendengar kata-kata kawannya itu. Sebolehnya, dia mahu menafikan bahawa mahasiswi itu mempunyai perasaan terhadapnya. Sebenarnya, sukar untuk dia percaya akan kata-kata Muhammad Syarafuddin, Amirul Azhar mahupun Mohamad Salahuddin pada semester lepas. Muhammad Syarafuddin dan Amirul Azhar juga pernah mengatakan perkara yang sama, namun dia memang tidak mahu ambil serius tentang mahasiswi itu yang mempunyai perasaan terhadapnya.
“Kenapa kau ketawa pula, Azim?” soal Mohamad Salahuddin kehairanan.
“Aku rasa macam tak percaya. Kalau betul pun, apalah yang dia tengok kat aku ni. Aku ni bukannya sesiapa pun,” balas Abdul Azim.
“Apa kata kau tanya dia sendiri?” Mohamad Salahuddin memberikan idea.
“Tak apalah. Takkan tiba-tiba aku nak tanya dia pula. Lagipun, aku rasa tak penting pun untuk aku tanya dia. Ada banyak perkara lagi untuk aku fikir,” balas Abdul Azim. Egonya mula meninggi. Pada masa yang sama, hatinya mulai goyah, namun dia cuba menidakkan.
“Ikut kaulah Azim kalau kau tak nak percaya, tapi tulah apa yang dia cakap kat aku tadi,” balas Mohamad Salahuddin, lalu dia meneruskan suapan terakhirnya.
Abdul Azim hanya menghadiahkan senyuman hambar terhadap kata-kata kawannya itu. Walau bagaimanapun, hatinya mula mempersoalkan tentang perasaan mahasiswi itu terhadapnya. Hatinya berbelah bahagi untuk mempercayainya. 50% - 50%. Baginya, entah-entah Qistur Ruwaidah hanya sekadar bermain-main sahaja.
‘Aku nak kena percaya atau tak dengan kata-kata Din, Sya dan Azhar? Qist, kalau betul pun kau suka aku, cuma aku nak tahu kenapa? Apa kau nampak kat diri aku ni?’ soalnya sendirian.
Dalam diam, Mohamad Salahuddin dapat merasakan bahawa Abdul Azim menyukai mahasiswi itu, namun dia melihat Abdul Azim itu sebagai seorang yang ego. Terang-terang Qistur Ruwaidah telah memberitahu perasaannya terhadap Abdul Azim kepadanya tetapi Abdul Azim pula cuba menafikan luahan perasaan Qistur Ruwaidah setelah dia menyampaikan perasaan mahasiswi tersebut kepada lelaki itu.
‘Azim oh Azim. Kalau kau suka Qist, katakan suka. Jangan ego. Kenapa kau tak nak percaya kata-kata aku? Qist memang suka kat kau,’ bisik hatinya.
QISTUR RUWAIDAH menghadap laptop untuk menyiapkan tugasannya tetapi mindanya sudah tepu menghadap tugasan itu. Hasratnya, dia mahu menulis cerpen sebagai salah satu hobinya sejak dia menjejakkan kaki ke alam sekolah menengah.
Jam sudah menunjukkan 12.00 pagi. Rakan sebiliknya, iaitu Puteri Nur Amylia sudah lena dibuai mimpi, sementara tiga orang lagi rakan sebiliknya yang lain tidak mengambil semester pendek ini. Pada semester ini, mereka berdua ditempatkan dalam satu bilik untuk dua orang sahaja.
Dia masih belum rasa ingin pejamkan mata. Waktu itulah, dia merasakan bahawa dia segar untuk menulis cerita.
‘Hmm… Aku nak tulis pasal apa ya?’ soal hatinya sendirian.
Mengingatkan Abdul Azim, tiba-tiba dia mendapat satu idea untuk menulis berkenaan lelaki tersebut dengan menggunakan nama lelaki itu sebagai watak utama. Tidak dilupakan dua orang sahabat lelaki itu, iaitu Muhammad Syarafuddin dan Muhammad Amirul Azhar. Jari-jemarinya mula menari pada papan kekunci komputer ribanya.
Usai dia memuntahkan aksara demi aksara, dia berkongsi cerpen itu menerusi laman sesawang, iaitu Fac di bahagian status. Nama Abdul Azim, Muhammad Syarafuddin dan Amirul Azhar ditagnya.
Pada keesokan harinya, dia melihat Abdul Azim menekan butang ‘suka’ pada cerpen yang ditulis olehnya, namun mahasiswa itu tidak memberikan sebarang komen.
‘Eiii! Dia tekan ‘like’. Sukanya aku,’ batin Qistur Ruwaidah menjerit suka.
Cerpen yang ditulis olehnya itu menceritakan tentang pengorbanan dua orang sahabat terhadap seorang sahabat yang ditimpa kemalangan.
Namun begitu, dia memuat naik cerpen itu pada setiap hari mengikut babak demi babak hingga mendapat perhatian salah seorang kawan Abdul Azim, iaitu Siti Hanim Az-Zahra’. Dia terperasan bahawa nama perempuan itu tidak pernah ketinggalan untuk menekan butang ‘like’ pada setiap babak cerpen yang dikongsi pada statusnya.
Sehinggalah pada satu hari, Qistur Ruwaidah terperasan bahawa Siti Hanim Az-Zahra’ memohon untuk menjadikan rakan mayanya. Tanpa ragu-ragu, dia terus menekan butang ‘terima’ sebagai tanda pengenalan, namun dia masih tidak berpuas hati. Dia ingin berkenalan lanjut dengan perempuan itu memandangkan Siti Hanim merupakan ‘mutual friend’ kepada Abdul Azim, Amirul Azhar dan Muhammad Syarafuddin. Dia mengintip akaun peribadi perempuan tu.
“Laa… Dia budak AED rupanya. Patutlah dia ‘mutual friend’ dengan tiga orang lelaki tu,” bicaranya sendirian.
Lantas, dia menekan butang ‘Message’ pada akaun peribadi Siti Hanim. Dia menaip sesuatu kepada mahasiswi itu.
Hantar.
TING! Satu notifikasi berbunyi menerusi telefon bimbit milik Siti Hanim Az-Zahra’. Kelihatan dia baru sahaja menyelesaikan tugasan subjek Basic Themes of Al-Quran (BTQ) itu. Sepanjang malam tadi, dia tidak tidur langsung kerana tarikh serahan untuk tugasan tersebut tinggal dua hari sahaja lagi.
Tangannya mencapai telefon pintarnya itu. Alangkah terkejutnya dia apabila menerima mesej peribadi daripada Qistur Ruwaidah, si penulis cerpen itu. Sejujurnya, dia amat menyukai cerpen yang ditulis oleh mahasiswi tersebut. Dia menekan mesej peribadi yang dihantar oleh Qistur Ruwaidah itu.
Mesej Peribadi Fac Qistur Ruwaidah
Assalamualaikum Hanim,
Hai. Selamat berkenalan. Saya terperasan awak tak pernah ketinggalan untuk tekan ‘like’ setiap status saya berkenaan cerpen ‘Pengorbanan’ yang saya guna nama Azim, Syarafuddin dan Azhar.
Sejujurnya, saya amat berbesar hati untuk mengenali awak dengan lebih lanjut. Jika awak tak keberatan, jom berjumpa kalau awak ambil semester pendek ni.
Salam perkenalan,
Qist.
Pucuk dicita ulam mendatang. Itulah yang dirasakan oleh Siti Hanim apabila selesai membaca mesej peribadi yang dihantar oleh mahasiswi itu.
‘Elok juga kalau aku dapat berkenalan dengan Qist ni,’ bisik hatinya.
Lantas, dia menaip sesuatu kepada mahasiswi itu.
Mesej Peribadi Fac Siti Hanim Az-Zahra’
Waalaikummussalam Qist,
Hai. Selamat berkenalan juga. Satu penghormatan untuk saya dapat berkenalan dengan awak. Sejujurnya, saya suka sangat baca cerpen ‘Pengorbanan’ itu. Seolah-olah terasa watak-watak itu menghidupkan. Lagi-lagi pula, awak gunakan nama Azim, Sya dan Azhar. Lagilah saya terbayangkan mereka. Hahaha!
Berkenaan awak hendak berjumpa dengan saya, saya tiada masalah dan ya, saya mengambil semester pendek ini. Bolehlah kita berjumpa. Awak beritahu bila awak lapang. Insya-Allah saya sentiasa ada masa untuk berjumpa dengan awak.
Salam perkenalan,
Siti Hanim.
Hantar.
Kelihatan Qistur Ruwaidah sedang menaip untuk membalas perbualan itu.
Mesej Peribadi Fac Qistur Ruwaidah
Kalau begitu, jom kita jumpa esok. Awak ada kelas tak?
Mesej Peribadi Fac Siti Hanim Az-Zahra’
Esok saya tiada kelas. Insya-Allah boleh. Apa-apa, ini nombor saya. 01X-XXXXXXX. Kita bincang kat WhatsApp. Lebih mudah. Kalau kat mesej peribadi Fac ni, takut saya tak perasan.
Mesej Peribadi Fac Qistur Ruwaidah
Baik. Insya-Allah.
Tidak lama kemudian, Siti Hanim menerima notifikasi dari WhatsApp. Kelihatan ada satu nombor yang tidak dikenalinya menghantar mesej kepadanya.
WhatsApp 01X-XXXXXXX:
Assalamualaikum Hanim. Qist ni.
Terus Siti Hanim menyimpan nombor Qistur Ruwaidah.
WhatsApp Siti Hanim:
Waalaikummussalam. Alright Qist. Noted.
Pada keesokan harinya, seperti yang dijanjikan oleh dua orang mahasiswi itu, mereka bersepakat untuk berjumpa di London Bridge.
Kelihatan Qistur Ruwaidah melambai-lambat ke arah Siti Hanim apabila mahasiswi itu melilau mencari dirinya.
Siti Hanim menghadiahkan senyuman apabila dia menghampiri mahasiswi itu. Dia menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan Qistur Ruwaidah. Huluran salamnya bersambut.
“Alhamdulillah. Dapat juga kita berjumpa akhirnya ya,” Qistur Ruwaidah memulakan perbualannya.
“Tulah. Alhamdulillah,” balas Siti Hanim.
“Memang kenal ke Azim, Sya dan Azhar?”
“Kenapa pula saya tak kenal dia orang. Kami rakan sekelas untuk subjek-subjek AED pada semester lepas. Awak pula macam mana kenal dia orang?”
“Oh okey. Kita pula kenal dia orang sebab kita orang rakan sekelas untuk subjek BI,” Qistur Ruwaidah mula menukar panggilan daripada ‘saya’ kepada ‘kita’. Terasa lebih akrab.
“Okey. Dunia ni kecil je rupanya,” balas Siti Hanim seraya ketawa kecil.
Mereka ralit bersembang tentang diri sendiri sehinggalah tiba-tiba Qistur Ruwaidah membuka cerita tentang Abdul Azim. “Azim tu macam mana kat kelas?” soalnya.
“Azim? Dia tu nampak je macam pendiam tetapi sebenarnya, dia jenis becok juga kalau kena dengan topik yang dia suka. Macam bola sepak ke tapi tu kalau dia bersembang dengan brothers,” balas Siti Hanim.
“Dia jenis bercakap dengan sisters tak? Sebab kalau kita bersembang dengan dia masa kelas BI dulu, nampak dia jenis pemalu dan pendiam.”
“Kalau dengan sisters, dia bercakap juga tetapi taklah banyak sangat responsnya. Dia lebih suka mendengar kalau kita orang ada tugasan projek bina replika model di bilik studio. Satu lagi, dia jenis teliti orangnya kalau bab bina replika model. Dia boleh nampak dari jauh kalau replika model tu senget sikit. Terus dia tegur. Azim tu kesayangan semua pensyarah AED. Lagi-lagi, dia tu budak pandai. Dengar cerita, semester lepas dia dapat 4 rata. Tak tahulah otak dia tu jenis apa. Cap kancil rasanya.”
Qistur Ruwaidah tergelak mendengar ayat terakhir Siti Hanim itu. Pada pengamatannya, dia merasakan bahawa Siti Hanim jenis selamba orangnya.
“Menarik juga Azim tu ya,” respons Qistur Ruwaidah.
“Menarik? Kenapa? Awak suka kat dia ke?” Siti Hanim menyerkap jarang.
“Eh, dah kenapa pula tiba-tiba awak tanya macam tu?”
“Nampak macam awak suka dia. Kalau tak, kenapa awak guna nama dia untuk cerpen awak dan buka topik tentang Azim tadi?”
Wajah Qistur Ruwaidah merona merah. Tidak sangka. Mahasiswi yang baru sahaja dia kenali itu sudah mengetahui dia ada perasaan terhadap Abdul Azim. “Emm… Nampaknya begitulah,” dia mula mengaku akan kata-kata Siti Hanim itu.
“Normallah tu kalau awak suka dia. Jangan risau. Lagipun, dia tu memang ramai peminat kat AED. Rasanya sebab dia nampak berkarisma dan budak pandai pula tu. Perempuan mana je tak suka dia,” balas Siti Hanim.
Kenyataan Siti Hanim itu membuatkan Qistur Ruwaidah terselit rasa cemburu. Abdul Azim ramai peminat rupanya dalam kalangan mahasiswi Asasi Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar (AED) itu. Nampak gayanya dia seperti tiada harapan.
“Awak suka dia?” soal Qistur Ruwaidah.
Siti Hanim ketawa mendengar soalan kawannya itu. “Kita nak suka Azim? Memang taklah. Kita suka lagi Azhar. Okey juga dia tu. Nampak good looking. Antara Azim dan Azhar, kita lebih banyak bertegur sapa dengan Azhar berbanding Azim,” terangnya tanpa berselindung. Nampak dia sudah menyenangi Qistur Ruwaidah sebagai kawannya. Dia siap boleh bercerita tentang perasaannya terhadap Amirul Azhar.
Mereka ralit bersembang sehingga azan zuhur mula berkumandang.
Sejak dari hari itu, hubungan Qistur Ruwaidah dan Siti Hanim semakin akrab, hanya disebabkan sebuah cerpen dan masing-masing pula mempunyai perasaan terhadap Abdul Azim dan Amirul Azhar.
Melalui Siti Hanim jugalah, Qistur Ruwaidah dapat berkenalan pula dengan dua orang rakan baharu, iaitu Syaheera Yasmeena dan Qatrun Nadiah kerana dia rajin juga menjenguk Siti Hanim dari Mahallah Aisyah ke Mahallah Khadijah. Dua orang sahabat Siti Hanim itu berjurusan sama seperti Siti Hanim. Bahkan, Syaheera Yasmeena dan Qatrun Nadiah juga mengetahui bahawa Qistur Ruwaidah mempunyai perasaan terhadap Abdul Azim. Namun begitu, masing-masing bertenang sahaja dan menganggap ianya normal.
Hubungan itu berterusan sehinggalah mereka tamat semester pendek.
Selepas tamatnya semester pendek, barulah Qistur Ruwaidah dapat meluangkan masa dengan membaca novel. Tiba-tiba dia menerima notifikasi WhatsApp. Sangkaannya, ada orang sedang menghantar mesej peribadi kepadanya. Rupa-rupanya, nombornya dimasukkan ke dalam satu grup baharu yang dinamakan ‘Gang Ikan Bilis’. Tergelak-gelak dia apabila melihat nama grup itu.
Siapa punya kerja? Mestilah Siti Hanim selaku admin untuk ‘Gang Ikan Bilis’ itu. Ahlinya juga terdiri daripada pelajar AED dan semuanya dia kenal. Amirul Azhar, Muhammad Syarafuddin, Syaheera Yasmeena, Qatrun Nadiah dan juga, mestilah Abdul Azim, si crush idamannya juga turut berada dalam grup itu. Hanya dia sahaja berjurusan Asasi Bahasa Arab (BAR) dalam grup itu. Berbunga-bunga hatinya melihat nama jejaka itu.
Maka, bermulalah perbincangan whatsapp Grup Ikan Bilis yang agak mengarut itu.
WhatsApp Siti Hanim:
Assalamualaikum. Hai semua. Selamat datang ke Grup Ikan Bilis.
WhatsApp Amirul Azhar:
Waalaikummussalam. Oit Hanim! Dah kenapa nama Grup Ikan Bilis? Tak ada nama lagi sedap ke?
WhatsApp Siti Hanim:
Suka hati akulah, Azhar.
Qistur Ruwaidah ketawa melihat perbualan antara Siti Hanim dan Amirul Azhar. Memang dia tahu bahawa Siti Hanim mempunyai perasaan terhadap jejaka yang berasal dari Terengganu itu.
WhatsApp Syaheera Yasmeena:
Waalaikummussalam. Ikan bilis pun, ikan bilislah. Hai semua!
WhatsApp Siti Hanim:
Hai Yasmeena. Kau buat apa tu?
WhatsApp Syaheera Yasmeena:
Macam biasalah. Mereput.
Hati Qistur Ruwaidah berbunga-bunga melihat Abdul Azim sedang menaip.
WhatsApp Abdul Azim:
Waalaikummussalam. Ni grup apa? Apahal Ikan Bilis ni Hanim? Kau jual ikan bilis ke?
WhatsApp Siti Hanim:
Tak adalah. Aku cipta grup ni secara suka-suka je. Harapnya tak ada siapa yang tinggalkan grup ni ya.
Barulah Qistur Ruwaidah memberanikan diri untuk menaip sesuatu dalam grup itu.
WhatsApp Qistur Ruwaidah:
Waalaikummussalam. Fuh, Ikan Bilis! Sedapnya! Hai semua! Pergh! Gang AED ni. Segannya. Dahlah aku seorang je budak BAR dalam ni.
WhatsApp Siti Hanim:
Hai Qist! Selamat datang ke Grup Ikan Bilis. Tak apa Qist. Harapnya awak tak seganlah dengan kami. Lagipun, awak kenal je semua orang dalam grup ni.
WhatsApp Qistur Ruwaidah:
Huhuhu... Ya, kenal je semua. Terima kasih sudi jemput kita dalam grup ni.
Perbualan mengarut diteruskan sehinggalah pada pukul 12.00 pagi. Masing-masing meminta izin untuk meninggalkan perbualan grup tersebut. Grup Ikan Bilis menjadi sepi, namun Qistur Ruwaidah gembira kerana persahabatan ini dipanjangkan dalam grup whatsapp pula.
‘Semoga persahabatan kita kekal selamanya. Amin!’ doa Qistur Ruwaidah sebelum dia memejamkan matanya.
Selepas ini, apa jadi agaknya perjalanan Qistur Ruwaidah dengan kehadiran Mohamad Salahuddin pula? Bab ini merupakan kemunculan watak Mohamad Salahuddin buat kali pertama. Selamat menunggu dan terima kasih kerana sudi menyokong novel ini ^_^
Share this novel