BAB 18

Drama Completed 13621

SUARA alunan Qistur Ruwaidah sedang mengulang hafazan Al-Quran dan hafazannya diperiksa oleh Suhaibul Umar di ruang tamu. Tiada sesiapa pun kenalan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang mengetahui akan latar belakangnya sebagai seorang ‘Khatimatul Quran’, yakni dia berjaya menghafaz keseluruhan Al-Quran sewaktu di Sekolah Menengah Islam Bisyrunnadwi (SIMB) dalam tempoh tiga tahun suatu ketika dahulu.

Biarlah... Lagipun, tidak penting untuk kenalan universitinya mengetahui akan hal tersebut. Nanti timbul isu riyak pula. Dia sentiasa mendoakan agar dia dijauhkan daripada sifat mazmumah itu dan dia menyedari akan tanggungjawabnya sebagai seorang penghafaz Al-Quran amat berat. Sedaya upaya dia cuba untuk menjaga hafazannya dengan sebaik mungkin.
Begitu juga Suhaibul Umar yang turut menyandang gelaran ‘Khatimul Quran’ di SMIB dulu. Dia pula hanya mengambil masa dalam tempoh lapan bulan sahaja bagi menamatkan hafazannya itu. Sememangnya, dia seorang yang amat cekap dalam pelajaran dan hafazan sejak dahulu meskipun tubuhnya mempunyai kekurangan, namun itu tidak menghalangnya untuk terus maju ke hadapan dalam apa jua yang dilakukan olehnya walaupun adakalanya rasa rendah diri menyebulungi dirinya tatkala dia pernah menyaksikan tubuh kawan-kawannya tiada sebarang cacat cela jika mereka menukar baju di hadapannya.
Namun begitu, hanya seorang sahaja kenalan universiti Qistur Ruwaidah yang mengetahui akan latar belakangnya sebagai penghafaz Al-Quran, iaitu Abdul Azim kerana lelaki itu pernah ternampak bingkai gambar Qistur Ruwaidah memakai selempang rona biru tua yang disulam dalam tulisan Arab rona emas, iaitu ‘Al-Khatimah: Qistur Ruwaidah’. Bingkai gambar tersebut diletakkan di atas meja bersama bingkai-bingkai gambar yang lain.

“Abang Suhaib, ni gambar Qist masa bila?” tanya Abdul Azim pada suatu hari sewaktu dia menatap setiap bingkai gambar yang berdiri megah di atas meja di ruang tamu sambil jari telujuknya menunjukkan ke arah bingkai Qistur Ruwaidah berjubah rona emas gelap dan bertudung labuh bulat rona emas cerah bersama selempang tersebut.
Akan tetapi, Qistur Ruwaidah tidak mengetahui pun bahawa Abdul Azim mengetahui akan dirinya sebagai seorang penghafaz Al-Quran sewaktu jejaka itu pernah bermalam di rumahnya atas ajakan Suhaibul Umar. Ketika itu, Qistur Ruwaidah bermalam di UIAM.
“Oh, gambar ni. Masa ni, dia umur 15 tahun. Hari dia dianugerahkan sebagai salah seorang penghafaz Al-Quran kat sekolah kita orang dulu,” balas Suhaibul Umar sambil dia tersenyum menyaksikan gambar itu.
Tatkala Abdul Azim mengetahui serba sedikit berkenaan Qistur Ruwaidah, betapa dia amat kagum dan rasa kerdil terhadap perempuan itu. Apa yang membuatkan dia rasa malu dengan Qistur Ruwaidah, sudi pula perempuan itu mempunyai perasaan terhadap dirinya yang tiada apa-apa. Lalu, dia menatap bingkai gambar Suhaibul Umar bersebelahan bingkai gambar Qistur Ruwaidah. Selempang yang dipakai oleh Suhaibul Umar dalam gambar tersebut juga sama seperti selempang Qistur Ruwaidah.
“Jadi maknanya, abang pun hafaz Al-Quran jugalah?” soal Abdul Azim.
“Haah... Alhamdulillah,” balas Suhaibul Umar.
“Subhanallah! Hebatnya abang dan Qist! Azim rasa rendah diri pula dengan kau orang.”
Suhaibul Umar memegang bahu kiri sahabat baiknya itu. “Alaa... Tak payah rasa rendah diri pun dengan kita orang. Kita orang tak pernah bangga pun dengan gelaran tu. Sebab apa? Beratnya tanggungjawab kita orang nak terus jaga hafazan kita orang sampai sekarang. Tak senang tahu.”
Abdul Azim menghadiahkan senyuman. Ternyata sahabat baiknya itu seorang yang amat rendah diri. “Bagusnya abang. Memang Azim tabiklah! Emm... Kat selempang yang kau orang pakai tu tulis apa?”
“Al-Khatim: Suhaibul Umar dan Al-Khatimah: Qistur Ruwaidah. Maksudnya, orang dah tamat hafaz satu Al-Quran,” balas Suhaibul Umar.
Mata Abdul Azim masih meneruskan untuk menatap bingkai gambar yang lain. “Ni gambar keluarga abang ke?”
“Haah... Gambar ni ditangkap masa hari raya terakhir setahun sebelum keluarga abang meninggal dunia. Kiranya, masa tu umur abang tujuh tahun. Umur Qist lima tahun,” balas Suhaibul Umar. Reaksinya kelihatan normal sahaja, namun dalam hati hanya Allah sahaja yang tahu betapa sebaknya dia.
Mujurlah ada hikmah arwah ibu bapanya mengabadikan gambar raya dengan membawa semua adik-beradiknya ke studio gambar pada setiap tahun. Bolehlah dia dan adiknya melepaskan rindu dengan menatap gambar-gambar ahli keluarganya itu.
Abdul Azim memandang wajah Suhaibul Umar. Risau pula jika sahabatnya itu sedih. “Abang okey?”
Suhaibul Umar melemparkan senyuman. “Okey je. Tak ada apalah. Dah biasa.”
Pada saat itu, Abdul Azim berjanji untuk sentiasa menggembirakan hati sahabatnya itu dan banyakkan memberi sama ada dalam bentuk material atau tenaga. Dia tidak akan pernah jemu atau lelah untuk membuatkan Suhaibul Umar tersenyum. Namun begitu, bukanlah niatnya untuk melakukan semua itu kerana dia ingin mengambil kesempatan agar Qistur Ruwaidah jatuh hati dengan tindakannya itu tetapi memang dia ikhlas dan tulus mengasihi abang kepada perempuan itu.
Begitulah kisah seorang Abdul Azim bin Uthman setelah dia mengetahui akan diri Qistur Ruwaidah itu.
Rutin Qistur Ruwaidah dan Suhaibul Umar jika dua beradik itu berada di rumah dan pulang seketika dari mahallah (kolej kediaman) UIAM ke rumah, mereka berdua akan mengulang hafazan selepas Suhaibul Umar pulang dari menunaikan solat isyak di masjid. Sebelum dua beradik itu memulakan sesi menghafaz di ruang tamu, mereka berdua akan pulun hafazan Al-Quran sama ada selepas solat subuh atau selepas solat asar.

Betapa Qistur Ruwaidah bersyukur akan ketegasan abangnya dalam bab hafazan ini. Jika tidak, kemungkinan dia tidak mengulang hafazannya langsung. Pada suatu hari sementara dia menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia pernah rasa malas dan culas terhadap hafazannya itu, lalu dia meluahkan kepada Suhaibul Umar.

“Abang, adik malaslah nak ulang hafazan hari ni,” luah Qistur Ruwaidah dengan selambanya.

Tiba-tiba Suhaibul Umar menjentik telinga kiri adiknya itu. Qistur Ruwaidah terkesima akan tindakan abangnya itu. “Adik ulang balik apa yang adik cakap tadi,” intonasi Suhaibul Umar menjadi sangat tegas.

“Adik malas nak ulang hafazan hari ni,” balas Qistur Ruwaidah dengan perlahan. Ah, sudah! Dia tersilap bicara nampaknya.

“Adik malas? Adik tahu tak tanggungjawab adik sebagai ‘Al-Khatimah’ sangat berat? Adik tahu tak berdosa kalau adik tinggalkan hafazan adik walaupun sehari?” soal Suhaibul Umar dengan serius.

Wajah Qistur Ruwaidah ditundukkan, lalu dia mengangguk. Dia tahu abangnya sangat marah, namun tidaklah Suhaibul Umar menengking dirinya tetapi suara abangnya akan berubah menjadi sangat serius. Lelaki itu masih boleh mengawal kemarahannya secara berpada-pada.

“Pasal adik malas nak hafaz, abang marah sangat. Apa guna adik bawa gelaran ‘Khatimatul Quran’ kalau adik tak jaga Al-Quran dengan baik? Boleh tak adik beritahu abang?” Suhaibul Umar masih bersuara serius.

Qistur Ruwaidah masih menundukkan wajahnya sambil menggelengkan kepalanya. Dia tiada jawapan untuk soalan abangnya itu. Ketegasan suara Suhaibul Umar itu mula membuatkan tubir matanya kian bertakung.

“Kalau adik malas hafaz Al-Quran ke apa, abang tak peduli. Satu lagi, abang tak nak dengar alasan macam tu lagi. Apa yang abang tahu, setiap hari adik wajib tasmi’ (memperdengarkan hafazan) kat abang dan abang pun wajib tasmi’ kat adik. Abang kena tegas dengan adik dalam bab hafaz Al-Quran ni. Faham?” terang Suhaibul Umar, namun nada tegasnya dikendurkan sedikit. Dia tahu adiknya sedang cuba untuk tidak menangis di hadapannya.
“Faham,” perlahan sahaja nada Qistur Ruwaidah itu. Tubir matanya telah pun menggugurkan air di pipinya.

Tiba-tiba Suhaibul Umar mendakap adiknya itu, lalu dia menuturkan sesuatu. “Abang minta maaf. Abang marahkan adik bukan sebab abang bencikan adik. Sebab abang sayang kat adik dan tak nak adik culas dengan hafazan adiklah, abang kena tegas dengan adik,” nadanya berubah menjadi lembut.

Qistur Ruwaidah membalas bicara Suhaibul Umar. Abangnya sudah tidak marah lagi. “Adik yang patut minta maaf kat abang. Abang tak salah pun. Betullah apa yang abang buat kat adik dengan jentik telinga adik. Terima kasih sebab sedarkan adik. Lepas ni, adik akan lebih berusaha jaga hafazan adik. Adik sayang abang.”

Suhaibul Umar meleraikan dakapan itu, lalu dia menyeka air mata di kedua-dua belah pipi gebu adiknya itu. “Sama-sama adik. Apa yang abang buat tadi pun sebagai peringatan kat diri abang juga kalau abang malas. Abang pun sayang adik. Dah, jangan nangis. Okey? Abang dah tak marah.”

Qistur Ruwaidah mengukir senyuman perlahan-lahan. Suhaibul Umar turut tersenyum. Betapa sayangnya seorang Suhaibul Umar bin Isyraf Imrani itu terhadap adiknya.

Bagi Qistur Ruwaidah, semestinya Suhaibul Umar merupakan sumber kekuatan buat dirinya dalam apa jua yang dia lakukan. Peristiwa itu benar-benar membuatkan dirinya terpukul dan secara tidak langsung, dia berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam hafazannya.
“Alhamdulillah. Nampaknya hafazan adik untuk Surah Yusuf makin mantap dan lancar. Kali ni, tak ada kesalahan langsung,” puji Suhaibul Umar setelah dia selesai memeriksa hafazan adiknya itu.
“Alhamdulillah. Leganya abang cakap macam tu. Adik akui Surah Yusuf ni agak susah nak ingat sebab banyak keliru,” balas Qistur Ruwaidah dengan penuh rendah diri.
“Betul. Abang pun rasa sama macam adik tapi kalau kita baca makna, faham jalan ceritanya dan selalu mengulang, insya-Allah jadi senang. Satu lagi adik kena ingat, Allah akan permudahkan urusan kita kalau kita bersungguh-sungguh jaga ayat-ayat Allah. Sekarang, adik ‘tebuk’ abang pula. Apa-apa surah pun tak apa selain Surah Yusuf.”
Istilah ‘tebuk’ dalam hafazan Al-Quran, iaitu orang yang memperdengarkan hafalan Al-Quran itu boleh memilih mana-mana ayat secara rawak dari Al-Quran.

“Okey abang. Sekejap.”

Qistur Ruwaidah mula memilih Surah al-Mukminun tanpa menyebut nama surahnya. Dia terus membaca ayat ke-50 surah tersebut, yang bermaksud ‘Dan Kami jadikan (Nabi Isa) Ibni Maryam serta ibunya sebagai satu tanda (mukjizat)…’

“Ulang dan sambung,” kata Qistur Ruwaidah.

Suhaibul Umar mengambil nafas seketika, lalu dia menuturkan ayat tersebut dengan tenang. Betapa lancarnya dia menuturkan sambungan ayat tersebut tanpa sebarang kesalahan. Qistur Ruwaidah tersenyum dan dia berpuas hati terhadap hafazan abangnya itu. “Sadaqallahul a’zim,” ucapnya sebagai tanda, abangnya tidak perlu menyambung lagi ayat seterusnya.

Tanpa dipinta oleh Qistur Ruwaidah, Suhaibul Umar menyebut nama berserta nombor surah tersebut. “Surah al-Mukminun. Ayat 50 sampai ayat 65. Betul tak?”

“Subhanallah! Tepat! Adik tak beritahu surah dan ayat apa, abang dah tahu. Adik akui dari dulu lagi hafazan abang memang mantap. Adik tabik sangat. Adik teringat pula hari abang bergelar ‘Al-Khatim’ waktu umur abang 14 tahun dulu. Abang hafaz dalam tempoh lapan bulan je. Subhanallah! Adik takjub sangat. Masa tu, adik rasa sebak sangat apabila abang baca Surah an-Nas,” puji Qistur Ruwaidah.

Suhaibul Umar tersenyum. Ketika itu, mana mungkin dia lupa pada hari dia bergelar sebagai seorang penghafaz Al-Quran. Adiknya juga turut berada pada hari bersejarah tersebut. Pada waktu itu, adiknya berumur 12 tahun dan adiknya bersekolah di sekolah berhampiran dengan pusat perlindungan kanak-kanak, namun Qistur Ruwaidah diizinkan untuk hadir ke sekolahnya bagi menyaksikan dirinya itu.

“Alhamdulillah. Abang pulangkan semula segala apa yang abang miliki kat Allah. Sebenarnya, abang pun tak sangka yang abang boleh hafaz dalam tempoh lapan bulan je. Bukan adik je rasa sebak, abang pun rasa sebak dan gembira untuk adik sebab adik berjaya tamatkan hafazan adik masa umur adik 15 tahun dulu. Abang bangga sangat,” luah Suhaibul Umar.

Waktu Qistur Ruwaidah tamat menghafaz keseluruhan Al-Quran dahulu, Suhaibul Umar berumur 17 tahun. Sebagai seorang abang, pastinya dia bangga akan pencapaian adiknya itu apabila dia menyaksikan hari bersejarah adiknya itu sepertimana adiknya pernah menyaksikan dirinya. Jika ahli keluarganya yang lain masih hidup, pasti mereka juga berbangga terhadap dirinya dan adiknya, terutama ibu bapa mereka berdua.

“Alhamdulillah. Adik bersyukur sangat. Kalau bukan sebab abang sebagai inspirasi adik, kemungkinan adik tak mampu nak tamatkan hafazan adik macam abang. Terima kasih abang. Adik sayangkan abang sepenuh hati adik,” ucap Qistur Ruwaidah seraya mengucup tangan abangnya itu.
Suhaibul Umar tersentak seketika, namun dibiarkan sahaja perlakuan adiknya itu. Lalu, dia mengusap kepala adiknya itu dengan penuh kelembutan. Tiba-tiba dia merasakan tangannya basah. Nampaknya, Qistur Ruwaidah sedang menangis. “Adik... Kenapa nangis ni? Adik angkat kepala adik. Pandang abang,” pintanya.

Qistur Ruwaidah menggelengkan kepalanya. Bicara diteruskan di sebalik kucupan tangan itu. “Abang… Kalau boleh, adik sentiasa nak bersama abang. Adik nak tangan abang nilah yang pimpin adik sampai kita berjumpa dengan ahli keluarga kita yang lain. Adik tak kahwin pun tak apa. Adik sentiasa nak dekat dengan abang sampai adik mati.”

“Macam mana kalau abang pergi dulu sebelum adik?” soal Suhaibul Umar.

Qistur Ruwaidah terus mengangkat kepalanya dan menatap wajah abangnya itu. “Abang... Jangan cakap macam tu. Demi Allah, adik tak sanggup nak hilang abang pula. Biarlah kita mati sama-sama. Tak ada antara kita yang akan sakit.”

Suhaibul Umar tersenyum. “Adik... Kalaulah mati tu boleh pilih, bolehlah kita pilih tarikh, masa dan tempat nak mati sama-sama tapi adik, bila dan kat mana kita akan mati, hanya Allah je yang tahu. Adik kena ingat, soal kematian di luar pengetahuan kita sebagai manusia. Soal siapa di antara kita akan pergi dulu, tu rahsia Allah.”

Kata-kata Suhaibul Umar membuatkan diri Qistur Ruwaidah rasa terpukul. Dia segera beristighfar dalam hati di atas ketelanjurannya sebagai hamba Allah.

“Emm... Abang dah bersedia nak mati?” soal Qistur Ruwaidah. Entah mengapa dia mahu menimbulkan soalan sedemikian.

Sekali lagi, Suhaibul Umar tersenyum, lalu dia menjawab pertanyaan adiknya itu. “Masa abang kena dera dulu, pernah juga abang harap supaya abang mati macam keluarga kita. Biar abang rasa dah tak seksa tapi Allah Maha Mengetahui. Allah tahu abang masih belum sedia nak mati. Setiap kali abang kena dera dan terseksa sebab tahan sakit, abang berdoa dalam hati supaya Allah panjangkan umur abang sampai abang dewasa. Kalau abang pergi masa tu, siapa nak jaga adik? Mungkin sebab tulah, Allah masih panjangkan umur abang.”

Tika itu, berguguran lagi air mata Qistur Ruwaidah tatkala dia mendengar bicara penuh berharga daripada abangnya itu. Betapa dia tahu abangnya amat menyayangi dirinya. Allah... Kalaulah ada mana-mana perempuan yang berjaya membuka hati Suhaibul Umar, nescaya bakal kakak iparnya itulah merupakan orang paling beruntung beristerikan abangnya.

Air matanya diseka oleh Suhaibul Umar. “Adik... Kalau boleh, abang tak nak tengok adik nangis sebab tu hanya akan buat hati abang sakit tapi abang faham, kekuatan adik melalui tangisan. Abang cuba sedaya upaya abang nak terus bahagiakan adik tapi abang tak mampu halang takdir Ilahi kalau tiba-tiba Allah hadirkan jodoh untuk adik,” ucapnya.

Riak wajah Qistur Ruwaidah sedikit terkejut. “Kenapa tiba-tiba abang sebut pasal jodoh pula? Adik tak pernah terlintas langsung nak kahwin buat masa sekarang. Perjalanan adik masih jauh. Keutamaan adik, adik nak belajar dan terus belajar sampai adik selesai ijazah nanti. Adik nak hadiahkan kejayaan adik kat abang,” luahnya.
“Abang pun tak tahu kenapa abang bangkitkan pasal topik jodoh tapi abang dapat rasa, adik akan bertemu jodoh dalam masa terdekat ni. Biasanya, naluri abang untuk adik sentiasa tepat. Tak pernah salah.”
“Abang, janganlah buat adik cuak. Serius. Memang adik tak terfikir langsung. Siapalah adik ni… Tak layak pun nak bercinta.”
“Siapa adik nak cakap macam tu? Insya-Allah akan ada seseorang yang tulus mencintai dan menyayangi adik seadanya.”

“Kalau macam tu, abanglah kahwin dulu. Kenapa adik pula?”

“Adik pun tahu puncanya. Pertamanya, badan abang ni. Abang rasa rendah diri sangat. Mustahil ada perempuan yang akan terima kekurangan abang ni. Kedua, abang masih belum mampu nak jaga anak orang. Cukuplah abang sara adik seorang. Itu pun abang dah cukup bahagia.”

“Emm… Adik faham. Adik sentiasa doakan supaya abang kuat harungi keadaan abang.”

“Amin. Adik pun sama semoga selalu kuat. Emm… Sebenarnya, Azim pernah ternampak badan abang.”

Qistur Ruwaidah agak tersentak apabila abangnya menyebut nama jejaka itu. Sebolehnya, dia cuba mengawal reaksi wajahnya itu agar Suhaibul Umar tidak menyedari apa yang telah berlaku di antara dirinya dan siswa itu suatu ketika dahulu. Bukan dia rasa tidak selesa tatkala mendengar nama Abdul Azim tetapi dia tidak mahu abangnya mengesyaki perasaannya terhadap siswa itu.

Namun begitu, demi Suhaibul Umar yang telah menerima Abdul Azim, dia perlu meraikan abangnya itu. “Macam mana reaksi dia?”
“Alhamdulillah. Dia okey je. Mula-mula tu, abang cuak jugalah. Takut dia jauhkan diri daripada abang. Kalau dia jauhkan diri daripada abang, abang jadi sedih jugalah. Adik pun tahu abang takkan senang-senang terima kawan baharu dalam hidup abang?”
“Adik tahu. Sebenarnya, tu yang buat adik terkejut bila abang boleh terima Azim. Apa adik boleh cakap, kan. Takdir abang dapat kenal Azim.”

Suhaibul Umar tersenyum mendengar kata-kata adiknya itu.

“AH, PENATNYA!” luah Qistur Ruwaidah tatkala dia gigih menyiapkan tugasan video bagi subjek ‘Advanced Arabic Language’. Dia bersetuju untuk menyunting video bagi projek berkumpulan itu, memandangkan rakan-rakannya mengetahui dia mempunyai kemahiran merakam dan menyunting video sejak di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (CFS IIUM) lagi.
Selain itu, Qistur Ruwaidah juga pernah dipertanggungjawabkan untuk menyediakan video montaj bagi pertandingan debat bahasa Arab kerana salah seorang bekas rakan sekelasnya merangkap salah seorang ahli jawatankuasa kelab debat bahasa Arab di CFS IIUM dulu begitu mengagumi hasil suntingan video yang pernah dilakukan olehnya sewaktu dia membentangkan video bagi tugasan secara individu.
Antara perisian video yang biasa digunakan oleh Qistur Ruwaidah, iaitu ‘Filmora’, ‘Sony Vegas Pro’ dan ‘Adobe Premiere Pro’ mengikut angin (mood).
Betapa dia amat bersyukur di atas beberapa kemahiran yang dia miliki dan salah satunya, kemahiran merakam dan menyunting video hasil didikan abangnya. Sebenarnya, Suhaibul Umar mempunyai banyak kemahiran yang berkait dengan bidang seni dan reka bentuk, namun abangnya tidak lokek berkongsi ilmu dengan dirinya. Bahkan, dia sendiri akan bertanyakan kepada abangnya jika ada bahagian yang dia kurang mahir.
Qistur Ruwaidah merenggangkan otot-ototnya yang tegang itu setelah dia berada di atas kerusi selama tiga jam lamanya tanpa dia sedar. Masa begitu pantas berlalu. Dia berehat seketika dengan membaringkan diri di atas katil, lalu dia melayari aplikasi ‘Instagram’ bagi melihat ‘IG Feed’ para kenalan dan pembacanya. Sudah lama juga dia tidak memuat naik apa-apa gambar di akaun Instagram bagi akaun peribadinya, iaitu @qist.isyraf. Satu lagi, akaun penulisannya, iaitu @rumaysairsyadi.
Seketika, dia menekan keluar dari aplikasi tersebut. Lalu, dia menekan aplikasi ‘Albums’. Sebuah folder bernama ‘320 Awesome’ ditekannya. Biarpun gambar-gambar itu sudah dua tahun usianya tetapi kenangan bersama grup ‘320 Awesome’ itu tidak pernah pudar dari ingatannya.
Apatah lagi, memori awal perkenalannya bersama Abdul Azim bin Uthman masih segar dalam kotak mindanya biarpun dia menyedari bahawa dia tiada di hati lelaki itu, sedangkan dia tidak tahu akan jiwa sebenar Abdul Azim terhadap dirinya.
Adakalanya Qistur Ruwaidah berasa agak bodoh kerana dia masih menyukai Abdul Azim, sedangkan respons lelaki itu dulu menandakan bahawa dia tiada perasaan terhadap dirinya, namun dia tidak boleh menipu isi hatinya sendiri bahawa sukar untuk dia melepaskan pergi perasaannya terhadap jejaka itu.
Tambahan pula, Abdul Azim bersahabat baik dengan abangnya itu. Dia merasakan bahawa dengan cara itu, lelaki itu akan terbuka hati jua untuk dirinya kelak. Seringkali siswa itu datang ke rumahnya, dia rasa amat dekat dengan Abdul Azim biarpun dinding menjadi pemisahnya.
Namun begitu, mereka berdua jarang sekali bertemu kerana Qistur Ruwaidah akan mengurungkan dirinya di dalam bilik atau dia bermalam di mahallah (kolej kediaman). Perasaan malu amat membaluti dirinya tatkala dia teringat semula akan tindakan bodohnya meluahkan perasaan kepada lelaki itu. Biasanya, abangnya akan menghantar hidangan sehingga ke biliknya. Suhaibul Umar sudah faham sangat. Begitu juga Suhaibul Umar akan melakukan perkara yang sama dengan mengurungkan diri di dalam bilik jika kawan adiknya bermalam di rumah mereka berdua.
Qistur Ruwaidah tersengih malu apabila dia menatap gambar Abdul Azim berdiri betul-betul di belakangnya manakala dia pula berada di hadapan jejaka itu dalam posisi duduk. Dia segera berkongsi gambar kelas tersebut di ‘IG Feed’ berserta kapsyen sekali dengan harapan lelaki itu menyedari kewujudannya.

Instagram Qistur Ruwaidah:
Kenangan lalu bersama bekas rakan-rakan sekelas ‘320 Awesome’. Teringat pula kenangan ini. #Grup320 #LAWS #AED #CFSIIUM

Tidak lama kemudian, Qistur Ruwaidah menerima mesej terus (direct message) daripada seseorang. Apabila dia membuka mesej terus itu, alangkah terkejutnya dia apabila dia menerima mesej terus daripada Abdul Azim.

Mesej Terus Abdul Azim
Assalamualaikum Qist. Boleh tak aku nak gambar ni?
Hati Qistur Ruwaidah melonjak riang tatkala dia menerima mesej terus daripada lelaki itu. Dia segera membalas mesej lelaki itu.

Mesej Terus Qistur Ruwaidah
Waalaikummussalam. Boleh Azim. Mari e-mel kau. Aku hantar kat situ. Boleh kau muat turun sekali. Kat sini tak boleh nak muat turun dan resolusi gambar tak lawa.
Abdul Azim tersenyum. Ah, nampaknya perempuan itu masih sudi untuk berhubung dengan dirinya itu!

Mesej Terus Abdul Azim
Okey. Terima kasih Qist. Ni e-mel aku.
Mesej Terus Qistur Ruwaidah
Sama-sama Azim. Sekejap, aku hantar gambar ni kat kau.
Tidak lama kemudian, Abdul Azim menerima notifikasi e-mel dengan makluman bahawa Qistur Ruwaidah telah menghantar e-mel kepadanya. Lalu, dia membuka peti e-mel tersebut. Kelihatan Qistur Ruwaidah meletakkan subjek e-mel ‘Gambar 320’ berserta ayat yang dikarang di bahagian bahagian bawah subjek e-mel tersebut.

Seperti yang diminta. Terima kasih.
Yang benar,
Qistur Ruwaidah binti Isyraf Imrani.

Abdul Azim tersenyum membaca ayat tersebut. Biarpun ringkas tetapi dia merasakan bahawa perempuan itu masih sudi menerima dirinya sebagai kawan walaupun dia menyedari akan tindakan bodohnya dengan menolak perasaan siswi itu dulu.
Ah, apa salahnya jika Abdul Azim mulakan kembali apa yang telah disia-siakan olehnya sebelum ini, bukan?
Namun… Sudikah Qistur Ruwaidah menerima dirinya kelak setelah dia melukakan hati siswi itu dengan pena maya yang cukup menyakitkan dan penuh kejam itu? Ingin dia bertanya semula dan meluahkan hasrat murninya itu, namun dia masih tiada kekuatan untuk meluahkan berkenaan hal tersebut.
Perasaan serba salah masih menjalar dalam jiwa Abdul Azim itu. Kudratnya untuk memberitahu perasaannya bagi memperisteri Qistur Ruwaidah masih tenggelam di dasar hatinya.
Bukannya Abdul Azim tidak mampu untuk mencintai, menjaga dan menanggung gadis itu kelak dengan status dirinya sebagai anak orang berada dan juga, dia mengusahakan bisnes reka bentuk di alam maya dan dia menerima apa jua bentuk tempahan sama ada logo, lukisan, susun atur pelan rumah dan sebagainya. Sesuai dengan bidang yang dilalui olehnya, iaitu Ijazah Sarjana Muda Seni Gunaan dan Seni Reka (Kepujian) atau Bachelor of Applied Arts and Design (Honours). Pada masa yang sama, dia boleh menjana pendapatan berdasarkan bidang yang telah dipelajari olehnya.
Nama Abdul Azim sering meniti di bibir siswa siswi Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar (KAED) termasuklah para pensyarahnya terhadap kehandalannya dalam setiap subjek bagi bidangnya itu. Sebenarnya, kehandalan seninya itu bukanlah disedari sejak di alam ijazah, bahkan kehandalan seninya sudah terbukti sejak di CFS IIUM lagi. Kehandalan serta minatnya dalam bidang seni semestinya diwarisi daripada ayahnya, Encik Uthman. Jika tidak, mana mungkin dia mengambil bidang sedemikian.
Bakat dan kehebatan Abdul Azim mula disedari dan diakui oleh kenalan-kenalan dan para pensyarahnya akan lukisan dapur gas yang menggunakan arang semata-mata sewaktu dia meluangkan masa untuk lukisan itu di bilik studio. Kemudian, beberapa orang kenalannya terperasan dan memuji lukisan tersebut kerana dia tidak menggunakan sebarang pensel terlebih dahulu bagi melakar dapur gas itu.
Tambahan pula, lukisan dan efek sinaran dapur gas itu benar-benar kelihatan hidup setelah lukisan itu berjaya disiapkan dan tersebar di seluruh komuniti Foundation of Architecture and Environmental Design (AED) sehingga terdapat pensyarah di pusat asasi dulu rasa amat tercabar dengan siswa itu.
Oleh sebab itu, tidak hairanlah ramai siswi memendam perasaan terhadap jejaka dari Segamat, Johor itu seperti apa yang pernah diberitahu oleh kawan Qistur Ruwaidah, iaitu Siti Hanim Az-Zahra’ berkenaan hal itu.

“Normallah tu kalau awak suka dia. Jangan risau. Lagipun, dia tu memang ramai peminat kat AED. Rasanya sebab dia nampak berkarisma dan budak pandai pula tu. Perempuan mana je tak suka dia,” balas Siti Hanim.
Kenyataan Siti Hanim itu membuatkan Qistur Ruwaidah terselit rasa cemburu. Abdul Azim ramai peminat rupanya dalam kalangan mahasiswi Asasi Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar (AED) itu. Nampak gayanya dia seperti tiada harapan.

Namun begitu, tiada siapa yang tahu bahawa hati Abdul Azim sudah lama dicuri oleh Qistur Ruwaidah, siswi bahasa dan kesusasteraan Arab itu.
Aneh bukan? Seorang siswa dari bidang reka bentuk itu boleh terjatuh hati terhadap siswi dari bidang Bahasa Arab? Kalau bukan disebabkan kelas Bahasa Inggeris di CFS IIUM dulu, dia tidak akan mengenali Qistur Ruwaidah pun kerana perbezaan bidang yang cukup ketara.
Sains dan sastera.
Sebuah jurang yang cukup besar, namun itu tidak menghalang bagi Abdul Azim untuk menjadikan Qistur Ruwaidah sebagai suri hatinya kerana dia percaya bahawa perbezaan itu akan saling melengkapi di antara satu sama lain. Mesej terus siswi itu dibalas semula.

Mesej Terus Abdul Azim
Sama-sama Qist. Aku dah dapat gambarnya. Sekali lagi, terima kasih tahu.
Mesej Terus Qistur Ruwaidah
Sama-sama Azim. (berserta emotikon senyum)

Qistur Ruwaidah benar-benar memaksudkan terhadap emotikon senyum itu sebagai petanda bahawa dia rasa baik sahaja dengan lelaki itu dan tiada rasa sedih mahupun kecewa lagi di atas penolakan jawapan lelaki itu suatu ketika dahulu. Baginya, kisah itu hanyalah masa lalu di antara kedua-duanya.
‘Azim… Aku minta maaf atas luahan aku dulu. Aku tak patut bertindak macam tu. Sekarang, barulah aku sedar betapa tak ada faedahnya aku luahkan perasaan kat kau kalau aku masih tak bersedia nak kahwin. Masa tu, aku silap. Aku masih tak faham. Patutlah kau tolak perasaan aku dulu,’ bisik hati Qistur Ruwaidah, lalu dia menggelengkan kepalanya.
Ketika itu jugalah, Qistur Ruwaidah rasa tertampar akan status dirinya sebagai penghafaz Al-Quran kerana dia gagal untuk menjaga statusnya itu dengan sebaik mungkin. Mungkin disebabkan itu jugalah, hafazannya kurang mantap berbanding abangnya kerana abangnya begitu menjaga hati dan akan bercakap dengan perempuan bukan mahram apabila perlu sahaja. Berbeza dengan dirinya yang agak mesra itu, dia jenis bersembang dengan mana-mana kenalan lelakinya.
Padahnya, mulalah timbul isu perasaan yang boleh terjerumus ke kancah fitnah seperti apa yang telah dilalui oleh dirinya dengan terjatuh hati terhadap Abdul Azim meskipun dia merasakan bahawa dia jenis mesra alam dan tidak sombong. Juga, dia merasakan bahawa dia boleh mengawal dan menjaga diri apabila berhadapan dengan lelaki bukan mahram, namun hakikatnya tidak semudah yang disangkakan. Jadi, bagaimana ya Qistur Ruwaidah?
Andainya Suhaibul Umar tahu akan isi hatinya terhadap Abdul Azim itu, bagaimanakah agaknya reaksi abangnya? Dia tidak mampu membaca kotak fikiran abangnya itu berkenaan hal tersebut. Tidak pernah sekali pun, dia membuka cerita perihal almarhum Sufi Waazin mempunyai perasaan terhadap dirinya dan juga, perasaannya terhadap Abdul Azim.
Abangnya hanya mengetahui hubungan akrab di antara dirinya dan Sufi Waazin serta hubungannya dengan Abdul Azim sebagai bekas rakan sekelas Bahasa Inggeris dahulu. Namun begitu, berdasarkan cara pemerhatian abangnya apabila dia rapat dengan Sufi Waazin dulu, abangnya tidak bercakap apa-apa ataupun menegur dirinya. Mungkin kerana almarhum lelaki itu telah banyak membantu dia dan abangnya. Mungkin juga abangnya rasa terhutang budi dengan Sufi Waazin, jadi abangnya tidak kisah pun jika dia rapat dengan lelaki itu.
Abdul Azim mengambil keputusan untuk tidak membalas apa-apa kerana baginya, cukuplah perbualan maya terhenti setakat itu kerana dia mahu menghormati waktu gadis itu dan tidak mahu memanjangkan kalam.
Tambahan pula, status Qistur Ruwaidah sebagai penghafaz Al-Quran juga membuatkan Abdul Azim tidak mahu melekakan gadis itu. Dia menyedari bahawa hati gadis itu kurang ampuh dalam bab menjaga hati terhadap berlainan jantina, namun didiamkan sahaja berkenaan hal itu kerana dia tidak mahu berlakunya salah faham. Takut dia tersalah bicara dan akan membuatkan gadis itu berkecil hati. Cukuplah sekadar dia meringkaskan perbualan itu kerana dia juga yang memulakan perbualan maya tersebut.
Hati Abdul Azim mula membisik sesuatu. ‘Qist… Aku minta maaf sebab mesti kau rasa aku ni berlagak dan ego sejak CFS dulu, kan? Sungguh, aku tak maksudkan macam tu sebenarnya. Cuma, aku tak nak kau terleka disebabkan aku. Satu hari nanti, aku akan pastikan kelekaan kau tu takkan menjadi sia-sia seandainya kau menjadi isteri aku sebab kaulah…’
‘Cinta pertama aku, Qistur Ruwaidah binti Isyraf Imrani,’ bisik hati Abdul Azim sambil kedua-dua belah tangannya digenggam erat.

SEMESTER DUA SESI 2015/2016
FEBRUARI 2016
Semester baru sudah memasuki minggu ketiga bagi semua siswa siswi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak. Tidak terkecuali juga, Mohamad Salahuddin yang kini sudah menjadi siswa tahun kedua semester satu. Sungguh dia merasakan bahawa masa begitu pantas berlalu. Bagaikan baru sahaja dia mendaftar sebagai pelajar ijazah setahun yang lalu.

Sementara Mohamad Salahuddin menunggu kuliah seterusnya bagi subjek ‘The Law of Succession’ pada pukul 2.00 petang nanti, biasanya dia akan melepak bersama sahabat baiknya, Wan Abdullah di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah (Masjid SHAS) dan menunaikan solat sunat duha. Namun, Wan Abdullah mempunyai kuliah bagi subjek ‘Ethics and Fiqh for Everyday Life’ atau biasanya, siswa siswi memanggil subjek tersebut sebagai ‘UNGS’ sahaja.

“Assalamualaikum warahmatullah…” ucap Mohamad Salahuddin setelah dia memberikan salam terakhir bagi solat sunat duha.

Dia bertafakur seketika di atas permaidani berbaldu merah bercorak kubah yang terdapat dalam Masjid SHAS itu. Dirinya terasa kerdil di hadapan Maha Pencipta. Sejujurnya, jiwanya menjadi kacau-bilau. Sudah memasuki minggu ketiga, namun dia masih belum bertindak untuk meluahkan isi hatinya terhadap Qistur Ruwaidah. Padahal, bukan main pada bulan Januari lepas dia bersungguh-sungguh mahu meluahkan hasrat untuk menjadikan gadis itu sebagai suri hatinya.
Kedua-dua belah tangan Mohamad Salahuddin meramas kegeraman pada karpet tersebut. Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang dia rasakan kini.
‘Ya Allah… Sejujurnya aku takut untuk berhadapan dengan Qistur Ruwaidah dan berterus terang akan isi hatiku ini. Aku tak tahu apa yang dia akan fikir tapi aku ikhlas untuk dirinya sejak hampir tiga tahun lalu. Adakah aku berpeluang untuk dirinya itu atau jiwanya masih tetap untuk Abdul Azim? Ya Allah, bantulah aku. Aku tak berdaya nak harungi semua ni tanpa-Mu. Kuatkanlah hatiku ini,’ doa sang hamba itu.

Air mata Mohamad Salahuddin mengalir deras sehingga membasahi permukaan permaidani itu. Cintanya terhadap Qistur Ruwaidah begitu utuh dan tidak pernah kurang sedikit pun. Bahkan kian mekar hari demi hari setelah dia dan gadis itu dipertemukan semula di alam ijazah. Kekuatan dan keceriaan siswi itu tidak pernah sekali pun dilupakan oleh siswa itu.

Betapa Mohamad Salahuddin ingin menghadiahkan cinta yang dipendam selama ini untuk Qistur Ruwaidah bagi menggembirakan kalbu perempuan itu yang sudah lama kehilangan ahli keluarga tercinta. Dia mahu menghapuskan air mata derita yang telah dilalui oleh Qistur Ruwaidah sebagai bekas mangsa dera dulu dengan menggantikan memori-memori indah yang tidak pernah dikecapi oleh gadis itu sewaktu zaman kanak-kanak.

Dalam erti kata lain, dia mahu menghapuskan segala kenangan pahit Qistur Ruwaidah itu.
‘Qistur Ruwaidah binti Isyraf Imrani… Sudikah kau untuk menerima aku, Mohamad Salahuddin bin Mohd Firdaus yang tiada apa-apa ini sebagai ‘zauj’ (suami) kau?’ bisik hati Mohamad Salahuddin.
Sepi. Hanya permaidani berbaldu itu sahaja merupakan saksi luahan cintanya itu.
Setelah Mohamad Salahuddin puas bertafakur, dia mula menggalas beg laptopnya di kedua-dua belah bahunya berserta blazer yang dipegang di sebelah tangan kanannya untuk menuju ke Bank Muamalat yang terletak di sekitar bangunan Cultural Activity Centre (CAC) bagi memasukkan separuh simpanan wang hasil titik peluhnya melakukan pelbagai kerja sampingan ke dalam mesin deposit tunai.
‘Alhamdulillah, murah rezeki aku untuk bulan ni. Tak sia-sia aku kerja keras cari duit lebih. Bolehlah bagi lebih sikit kat mak ayah dan Keena. Mesti dia orang gembira,’ bisik hati Mohamad Salahuddin seraya tersenyum girang.
Kasih sayang jejaka itu terhadap ahli keluarganya sangat mendalam sehingga meragut ke setiap urat nadinya. Tanpa insan-insan itu, dia tidak akan mampu melalui pengajiannya sehingga ke tahap ini.
Tiba-tiba Mohamad Salahuddin teringat akan seseorang. Qistur Ruwaidah! Si gadis pujaannya itu. ‘Boleh juga aku belanja Qist lagi. Aku tak sanggup tengok keadaan dia bila teringat balik kisah dia dulu. Mesti dia gembira. Kali ni, aku nak belanja dia kat Mi Rebus Hjh Zaiton tu pulalah,’ bisik hatinya, lalu dia menghadiahkan senyuman buat kesekian kali.
Lalu, dia memasukkan dompetnya ke dalam kocek seluarnya. Setelah kakinya melangkah keluar dari bangunan Bank Muamalat itu, serta-merta blazernya terjatuh dari pegangan tangan kanannya itu tatkala dia ternampak Qistur Ruwaidah sedang berehat di atas bangku yang terletak tidak jauh dari Bank Muamalat menghadap tasik UIAM itu.
Mohamad Salahuddin menundukkan wajahnya, lalu blazernya dicapai semula. Tiba-tiba dia termalu-malu sendiri. Pipinya mula menjadi sedikit hangat. ‘Kenapa pula aku boleh terserempak dengan Qist kat sini waktu ni juga? Ya Allah… Malunya aku! Eh, sekejap! Aku ni dah kenapa tiba-tiba jadi pemalu pula? Bukannya Qist perasan pun.’
Tiba-tiba dia berperang dengan hatinya sendiri akan niatnya untuk melamar Qistur Ruwaidah. ‘Patut tak aku lamar dia? Ke tak patut? Peluang dah ada ni, Din. Jangan sia-siakan pula. Hmm… Tapi, kalau dia tolak lamaran aku masa tu juga, macam mana? Ah, kusutnya!’
Langkah Mohamad Salahuddin mula jadi teragak-agak. Matanya terpandangkan Qistur Ruwaidah masih setia menikmati pemandangan tasik UIA itu. Tiada tanda-tanda bahawa gadis itu mahu berganjak untuk meninggalkan bangku tersebut. ‘Okeylah Mohamad Salahuddin. Kau nak sangat Qist dari dulu, kan? Dah! Jangan jadi pengecut! Pergi lamar dia,’ bisik hatinya dengan penuh tekad.
Lalu, dia menghampiri siswi itu yang sedang leka menikmati keindahan pemandangan universiti kesayangannya.
Sebuah huluran salam diucapkan oleh Mohamad Salahuddin buat gadis itu bersama getaran cinta yang kian berdegup-degup dalam sanubarinya itu. “Assalamualaikum Qist.”

QISTUR RUWAIDAH sudah semakin bersedia menghadapi sebagai seorang siswi tahun pertama semester dua, memandangkan dia mendapat keputusan cemerlang pada semester lepas. Meskipun keputusannya bukanlah empat rata tetapi dia tetap berjaya meraih Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) kelas pertama. Oleh sebab itu, dia perlu mengekalkan momentum tersebut.
Bagi abangnya pula, semester dua ini merupakan semester terakhirnya sebagai seorang siswa tahun keempat semester dua bagi Ijazah Sarjana Muda Seni Gunaan dan Seni Reka (Kepujian), Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar (KAED) sebelum dia menjadi seorang graduan UIAM.
Betapa Qistur Ruwaidah tidak sabar untuk meraikan kejayaan abangnya di majlis konvokesyen abangnya kelak pada tahun ini jika diizinkan Allah. Juga, dia sudah merasai dan menyaksikan suasana konvokesyen yang begitu meriah seperti tahun lepas yang telah berlangsung pada 7 hingga 9 November 2015.
Dia juga tidak sabar untuk menghadiahkan sejambak bunga berserta belon kepada abangnya itu dan menangkap gambar di studio gambar nanti seperti apa yang telah disaksikan olehnya terhadap para graduan bersama jubah konvokesyen rona biru firus itu dan topi mortabod itu.
‘Semoga Abang Suhaib berjaya tamatkan pengajian dia tanpa sebarang halangan pada bulan Mei nanti. Amin!’ bisik hatinya itu.

Sewaktu Qistur Ruwaidah sedang melayan perasaan di atas bangku yang terletak tidak jauh dari Bank Muamalat menghadap tasik UIAM sementara menunggu kelas seterusnya pada pukul 2.00 petang nanti, dia ditegur oleh seseorang di belakangnya. “Assalamualaikum Qist.”

Qistur Ruwaidah menoleh ke belakang. Oh, Mohamad Salahuddin rupanya.

Kelihatan mahasiswa itu berpakaian kemeja rona putih, bertali leher rona hitam dan juga, berseluar slack rona hitam. Di tangan kanan siswa itu, dia sedang memegang blazer rona hitam.

“Walaikummussalam. Hai Din,” balas Qistur Ruwaidah dengan menghadiahkan senyuman kecil untuk bekas rakan sekelasnya itu.
Senyuman Qistur Ruwaidah itu… Ah, benar-benar membuatkan Mohamad Salahuddin kian berdebar, namun dia perlu bijak mengawal perasaan gemuruhnya itu. “Hai Qist. Aku kacau kau ke?” soalnya. ‘Kau tak ada soalan lagi bagus daripada ni ke, Din?’ perli dirinya sendiri dalam kalbu.
“Tak adalah. Tak kacau pun. Aku tengah tengok pemandangan je. Seronok juga. Rasa tenang je. Kenapa Din?” balas Qistur Ruwaidah.

“Aku minta maaf sebab tiba-tiba je aku muncul kat sini. Sebenarnya, aku dari bank tadi. Kebetulan pula aku ternampak kau kat sini. Alang-alang aku dah terjumpa kau kat sini, aku ada nak beritahu sesuatu kat kau. Moga kau berlapang dada dengan apa yang aku nak cakapkan ni,” terang Mohamad Salahuddin.
Alangkah berdebarnya hati Mohamad Salahuddin untuk meluahkan hasrat hatinya itu. Namun begitu, dia cuba untuk relaks. Sama ada perempuan itu akan terima atau tidak, dia akan cuba menerima apa jua jawapan Qistur Ruwaidah pada waktu itu juga.
Jantung Qistur Ruwaidah mula berdegup kencang tatkala dia mendengar ayat terakhir Mohamad Salahuddin. Fahamlah dia bahawa lelaki itu ada perkara serius yang ingin diberitahu kepadanya. “Okey Din. Kau nak cakap apa?” responsnya. Dia cuba berlagak normal.
Mohamad Salahuddin terdiam seketika. Mula mencari kekuatan sepertimana dia menguatkan hatinya untuk bidang undang-undang yang amat dicintainya itu. “Qist, aku…”
“Ya Din?” respons Qistur Ruwaidah. Sebenarnya, dia sudah terlalu berdebar untuk menunggu sambungan ayat lelaki itu.

Sekuat hatinya, Mohamad Salahuddin meluahkan juga hasrat sucinya itu. “Aku nak berterus terang sesuatu kat kau tapi aku tak reti nak bermadah macam kau. Qist… A… Aku… Emm… Aku harap kau dapat jadi isteri aku.”
Riak wajah Qistur Ruwaidah berubah menjadi sangat terkejut. “A… Apa Din! Jadi isteri kau!”
Dia memalingkan wajahnya ke arah lain. Dia mula menjadi malu untuk memandang wajah lelaki itu.
“Qist… Aku tahu semua ni tak masuk akal. Aku minta maaf,” rendah suara Mohamad Salahuddin itu. Automatik, dia juga turut malu dengan menundukkan wajahnya. Ingin sahaja dia melarikan diri daripada gadis itu.
Suasana menjadi hening seketika. Dua orang insan itu kehilangan kata.
Namun begitu, Qistur Ruwaidah merasakan bahawa dia tidak sepatutnya menjadi bisu. Dia perlu menyuarakan akan hal ini. Dia sedar bahawa Mohamad Salahuddin begitu serius untuk dirinya itu. Bukan main-main. Lalu, dia memalingkan wajahnya semula ke arah lelaki itu. Dia menguatkan hatinya supaya berhadapan dengan situasi tersebut dengan penuh tenang dan natural. Sebuah situasi yang tidak pernah dibayangkan olehnya sepanjang dia hidup selama 21 tahun ini.
Inikah makna firasat abangnya itu? Bertemu jodoh dalam waktu terdekat ini? Gila! Ternyata firasat Suhaibul Umar itu benar dan tidak pernah salah untuk dirinya. Sebuah takdir bernama jodoh sudah tiba serunya bagi seorang Qistur Ruwaidah. Namun begitu, dia masih terkejut akan hasrat hati Mohamad Salahuddin itu.
“D… Din, se… sebenarnya a… aku terkejut. Kau pun tahu kahwin tiada dalam senarai impian aku buat masa sekarang. Umur kita pun baru 21 tahun. Din, kita masih muda. Perjalanan kita pun masih jauh tapi kenapa kau pilih aku juga? Kau patut cari orang lain. Bukan aku.”
Ada getaran dari nada Qistur Ruwaidah itu. Bicaranya terlalu gugup di saat dia mengetahui akan perasaan lelaki itu terhadap dirinya.
Berbeza pula dengan Mohamad Salahuddin. Dia sudah menjadi tenang untuk meluahkan apa yang dirasakan olehnya sejak sekian lama. Kali ini, dia mahu meluahkan dengan penuh kejujuran agar hatinya tidak lagi berasa sakit. “Aku tahu. Memang kau dah pernah cakap pasal tu kat aku tapi aku minta maaf. Aku dah tak mampu nak pendam perasaan aku ni. Qistur Ruwaidah… Aku dah lama jatuh hati kat kau sejak hari pertama kelas bahasa Inggeris kat CFS dulu atau lebih tepat, dah dua tahun lebih aku pendam perasaan aku kat kau.”
Sekali lagi, Qistur Ruwaidah terkejut. “K… Kau biar betul, Din! Aku tak percaya!”
Tiba-tiba dia teringat akan almarhum Sufi Waazin, insan yang pernah meluahkan isi hatinya melalui tinta warkah, namun dia hanya menyedari akan semua itu setelah lelaki tersebut meninggalkan dunia penuh fana itu. ‘Mohamad Salahuddin… Kau ni Sufi Waazin ke apa? Kenapa kau macam dia? Kenapa kau ada perasaan kat aku?’ bisik hati siswi itu bertalu-talu.

Serta-merta Qistur Ruwaidah menjadi serba salah. Situasi tersebut mengingatkan dirinya betapa kecewanya Sufi Waazin tatkala almarhum lelaki itu mengetahui akan isi hatinya terhadap Abdul Azim menerusi warkah lelaki itu dahulu.

Pastinya, Mohamad Salahuddin merasakan yang sama seperti Sufi Waazin! ‘Argh! Kenapa dua orang lelaki yang aku pernah cerita pasal Azim, rupa-rupanya dia orang ada perasaan kat aku! Ya Allah! Apa semua ni! Selama ni, kenapa aku boleh tak perasan yang Din ada hati kat aku! Bodohnya aku! Bodohnya aku pergi cerita pasal Azim kat dia sama macam aku cerita kat Sufi dulu!’ batin Qistur Ruwaidah menjerit hiba!
Wajah Mohamad Salahuddin berubah sedikit. Dia tahu sukar bagi siswi itu untuk mempercayai perasaannya itu. “Sama ada kau percaya atau tak tapi tulah hakikatnya. Sebenarnya, dah lama aku tahu kau suka Azim sejak sebelum kau beritahu aku kat London Bridge lagi. Aku tak beritahu kau sebab aku hormati perasaan kau untuk orang lain. Emm… Apa yang buat aku berani nak beritahu perasaan aku sebab… Aku dah tak mampu nak pendam perasaan aku ni. Aku penat. Aku tahu hati kau masih untuk Azim tapi aku tetap nak cuba juga.”
Qistur Ruwaidah kian kehilangan kata setelah dia mengetahui sebuah kejujuran hati Mohamad Salahuddin itu. Akan tetapi, dia masih tidak percaya terhadap perasaan lelaki itu buat dirinya sejak hampir tiga tahun lepas, namun dia rasa kagum akan kesetiaan hati siswa itu terhadap dirinya tetapi…
Bagaimanakah dia hendak menangani situasi ini? Ada orang mahu menjadikan dirinya sebagai seorang isteri. Dia tiada pengalaman untuk situasi tersebut melainkan hanya setakat dia mempunyai perasaan suka dan meluahkan perasaannya itu terhadap Abdul Azim pada suatu ketika dahulu.
“Emm... Din. Kau betul-betul buat aku terkejut. Aku tak tahu nak cakap macam mana pasal ni. Cuma… Aku nak tahu… Apa yang kau nampak kat aku sepanjang kita kenal?”
Mohamad Salahuddin tersenyum. Ya, inilah saat yang ditunggu-tunggu oleh dirinya berkenaan soal Qistur Ruwaidah itu. “Qist… Soalan tulah paling aku tertunggu untuk kau tanya. Ni jawapan aku. Kau seorang yang sangat berani dan aktif. Aku kagum sangat dengan personaliti kau. Apabila aku dapat tahu kau bertukar jurusan dari LAWS ke BAR, aku agak terkesan sebab hakikatnya, kau sangat berbakat dalam LAWS tapi aku hormati minat kau untuk bahasa Arab. Lagi satu, aku dah tahu pula sejarah silam kau. Hati aku makin yakin nak memperisteri kau.”
Qistur Ruwaidah menundukkan wajahnya. Dia tidak menyangka itu yang dilihat oleh jejaka itu. Dia merasakan semakin kelu dan buntu. ‘Mohamad Salahuddin, apa yang aku patut cakap kat kau waktu ni? Aku buntu. Aku tak boleh nak hadam semua ni,’ bisik hati Qistur Ruwaidah.
Ingatannya mula menerawang berkenaan Abdul Azim, insan yang masih diletakkan setia dalam kalbunya itu. Namun begitu, lamaran Mohamad Salahuddin melangkaui batasan pemikirannya. Haruskah dia memberikan peluang untuk jejaka itu pula? Sungguh… Dia tidak tahu.
Melihatkan Qistur Ruwaidah masih diam seribu bahasa, Mohamad Salahuddin menyambung lagi bicaranya. “Qist, aku tahu kau perlukan masa nak fikir pasal kahwin. Aku minta maaf pasal lamaran ni. Mungkin kau rasa aku ni tergopoh-gapah sebab umur kita baru 21 tahun tapi aku betul-betul serius nak kahwin dengan kau dan aku yakin kat kau kalau kau setuju terima aku. Aku dah bersedia nak kahwin umur ni. Harapnya kau boleh pertimbangkan lamaran aku ni.”
‘Din… Sejauh ni keyakinan kau nak kahwin dengan aku? Sejauh ni kau yakin kat aku nak jadi isteri kau? Aku bukan baik mana. Din… Aku… Emm…’ bisik hati Qistur Ruwaidah.
Akhirnya, Qistur Ruwaidah bersuara. “Din, aku tak salahkan kau. Kau berhak cakap apa yang kau rasa. Sejujurnya, aku kagum dengan keberanian kau dan aku hargai soal hati kau untuk aku dari dulu. Terima kasih sangat. Cuma… Kau jangan salah faham. Bukan aku nak menidakkan takdir pasal isu jodoh ni tapi aku tak mampu nak fikir pasal jodoh buat masa sekarang sebab macam tiba-tiba dan sangat pantas. Kau pun tahu aku baru daftar ijazah masa bulan September tahun lepas. Tiba-tiba kau terus luahkan perasaan kau dan lamar aku semester ni. Aku rasa tak masuk akal semua ni.”
“Aku faham, Qist. Aku tahu kau masih terkejut tapi aku rasa kau pun perasan aku dah tinggalkan beberapa petanda yang aku suka kau,” ujar Mohamad Salahuddin dengan tenang.
Qistur Ruwaidah menundukkan wajahnya. Dia malu. “Bila kau cakap macam tu, barulah aku sedar sekarang. Emm… Banyak kali kau belanja aku, sanggup tadah telinga nak dengar masalah aku dan pertemukan aku dengan Keena. Keena siap suruh aku pakai warna biru tua dulu. Barulah aku faham. Rupanya dia nak aku dan kau baju pakai warna sama. Emm… Aku rasa ada lagi tapi tulah paling aku ingat. Din, aku hargai sangat atas segala usaha kau. Cuma… Buat masa ni, aku tak boleh nak bagi apa-apa jawapan. Aku kena istikharah dan tanya pendapat abang aku. Kalau aku dah ada jawapan, aku akan beritahu kau. Aku takkan berdiam diri atau lari daripada kau. Jangan risau.”
Mohamad Salahuddin mengangguk akur. Berdasarkan ayat siswi itu, fahamlah dia bahawa dia tidak boleh menaruh harapan yang tinggi untuk gadis itu. Saat itu, semangatnya kian luntur. Mustahil Qistur Ruwaidah akan menerima lamarannya itu. Hati perempuan itu masih untuk Abdul Azim.
Itu fakta yang yang tidak mampu disangkal lagi oleh Mohamad Salahuddin. Tanggapannya, boleh sahaja Qistur Ruwaidah menolak lamarannya pada waktu itu juga jika benar gadis itu tiada perasaan untuknya. Namun, dia hanya berserah pada Maha Esa.
Mohamad Salahuddin masih cuba bersangka baik. Boleh jadi Qistur Ruwaidah sudah mempunyai sedikit perasaan terhadap dirinya kerana perempuan itu tidak terus menolak lamarannya. Dia merasakan masih ada sinar harapan di situ tetapi boleh jadi juga Qistur Ruwaidah tidak mahu terburu-buru untuk menolak lamarannya itu. Banyak kemungkinan. Dia sendiri tidak dapat membaca hati gadis itu. “Okey. Aku hormati jawapan kau. Emm Qist… Kita masih boleh jadi kawan, kan? Walaupun kau tahu perasaan aku sekarang.”
“Aku tak ada masalah nak terus berkawan dengan kau. Lagi pula, kau pun antara kenalan terawal aku kat CFS dulu dan juga, kawan-kawan Grup 320 lain. Takkanlah aku nak jauhkan diri daripada kau pula. Sejujurnya, aku tak nak mencampuradukkan soal perasaan dan persahabatan di antara kita, Din. Cuma, aku pinta kau bagi aku masa,” ujar Qistur Ruwaidah. Dia masih menundukkan wajahnya.
“Qist, aku tak ada masalah kau perlukan masa. Aku faham kau perlu fikir masak-masak dan tak nak terburu-buru. Cuma, aku nak pesan sesuatu kat kau. Memandangkan kau rasa ragu-ragu dengan aku, kau boleh jadi perisik dengan tanya kat siapa-siapa yang kenal aku termasuklah Keena. Keena lagi tahu diri aku berbanding aku sendiri. Kau nak jawapan jujur daripada Keena pun, aku tak ada masalah. Harapnya dengan cara tu, kau dapatlah sesuatu pasal aku. Sama ada jawapan yang kau akan terima tu positif atau negatif, tanyalah hati kau. Hati kau lagi tahu. Aku akan terima apa pun jawapan kau nanti.”
“Terima kasih Din. Sekali lagi, aku berterima kasih juga atas kejujuran kau. Emm… Aku rasa sampai sini dulu perjumpaan kita sampai aku jumpa jawapan pasal lamaran kau melainkan kalau kita terserempak, aku tak boleh nak cakap apalah. Aku harap kau boleh faham ya, Din.”
“Sama-sama Qist. Tak apa. Aku faham je. Sekali lagi, aku minta maaf sangat pasal ni.”

Mohamad Salahuddin mula mengangguk hormat kepada Qistur Ruwaidah seraya meninggalkan mahasiswi itu tanpa menoleh lagi ke arah perempuan itu. Dia mengerti bahawa Qistur Ruwaidah tidak mahu berjumpa dengan dirinya buat sementara waktu sehinggalah perempuan itu menemui jawapan berkenaan lamarannya itu.

Barulah Qistur Ruwaidah mengangkat wajahnya setelah Mohamad Salahuddin hilang dari pandangannya. Tubuhnya menggeletar kesejukan meskipun sang suria menyebarkan haba dan sinarannya.
‘Ya Allah... Aku tak tahu nak buat apa sekarang. Aku buntu dengan lamaran Din. Kau berikanlah petunjuk atau jawapan yang dapat menenangkan kalbuku ini,’ bisik hati Qistur Ruwaidah.
Angin sepoi-sepoi bahasa mula menyapa dirinya lembut. Seolah-olah memahami keresahan jiwanya yang sedang bergolak. Seketika, dirinya berasa amat tenang dengan tiupan bayu itu.

Qistur Ruwaidah berbicara dalam hati. ‘Ya Allah, Yang Maha Penyayang, aku tak berdaya nak fikir pasal soal jodoh buat masa ni. Aku terkejut sangat. Suatu ketika dulu, aku pernah kecewa dengan jawapan Azim dan Kau uji pula aku dengan pemergian Sufi dalam keadaan aku tak sangka, dia ada perasaan kat aku. Kemudian, aku ditakdirkan berjumpa balik dengan Din. Sekarang, Din pula melamar aku dalam keadaan aku tak bersedia apa-apa. Hati aku masih suka kat Azim. Aku terima je penolakan jawapan dia dulu. Ya Allah, apa keputusan yang aku patut buat sekarang pasal lamaran Din? Patut ke aku tolak lamaran Din terus atau aku patut bagi Din peluang? Entahlah… Aku pun tak tahu. Ah, serabutnya!’
Telefon pintarnya dikeluarkan dari beg galasnya, lalu dia menekan skrin di bahagian ‘Albums’. Album bertarikh 27 Januari 2016 ditekannya. Suatu tarikh di mana dia mula berkenalan dengan Sakeenah melalui jejaka itu sendiri di Taman Saujana, Pusat Beli-Belah Adenium dahulu sebelum dia memasuki semester baharu.
Gambar-gambar digital itu ditatap semula satu-persatu. Dia masih ingat lagi, sampai sahaja dia di rumah, Sakeenah terus menghantar gambar-gambar tersebut melalui WhatsApp.

WhatsApp Sakeenah:
Assalamualaikum Kak Qist. Keena ni. Ni gambar-gambarnya. Keena gembira sangat dapat jumpa Kak Qist hari ni.


Qistur Ruwaidah tersenyum melihat gambar di antara dirinya dan Sakeenah itu, namun apabila tibanya gambar di antaranya dan Mohamad Salahuddin, kedua-dua belah pipi dan telinganya mula terasa panas menahan malu. Barulah dia mengerti bahawa lelaki itu sudah lama mempunyai perasaan terhadapnya dan mahu mencipta memori bersama dirinya.
‘Aku akui Din baik je orangnya tapi aku tak tahu sejauh mana Din tu betul-betul baik. Bukannya aku kenal dia sangat,’ bisik hati Qistur Ruwaidah. Wajahnya berubah menjadi muram.
Tanpa sedar, air mata Qistur Ruwaidah mula menemani keresahannya itu. Ketika ini, betapa dia memerlukan Suhaibul Umar untuk bersama dirinya. Dia segera menghubungi abangnya itu. “Assalamualaikum abang,” ucapnya setelah Suhaibul Umar menjawab panggilannya.
“Waalaikummussalam adik. Kenapa hubungi abang ni?” balas Suhaibul Umar.
“Abang… Adik perlukan abang,” luah Qistur Ruwaidah.
Suara Suhaibul Umar mula berubah menjadi agak risau. “Adik tengah tak okey ke sekarang? Kenapa ni?”
“Tiba-tiba adik rasa lemah,” Qistur Ruwaidah terpaksa menipu abangnya itu. Dia masih belum bersedia untuk membuka cerita berkenaan lamaran Mohamad Salahuddin itu. Kini, dia berasa amat resah gelisah. Dia mahu mendapatkan kata-kata sokongan daripada abangnya.
“Kenapa tiba-tiba adik rasa lemah ni? Cakap kat abang. Pasal kuliah? Pasal subjek? Pasal kawan?” Suhaibul Umar sangat mengambil berat akan adiknya itu.
Pening kepala Qistur Ruwaidah mencari helah agar dia tidak memberitahu lamaran Mohamad Salahuddin buat sementara waktu. Otaknya ligat mencari sebab lain. “Adik rasa lemah sebab adik tak ada motivasi nak masuk kelas.”

Suhaibul Umar menghela nafas lega setelah dia mengetahui akan jawapan adiknya itu. “Allah… Abang ingatkan adik ada masalah besar tahu. Adik ni buat abang risau je. Adik… Kalau pasal rasa tak ada motivasi nak pergi kelas, adik ingat satu perkara ni je. Kalau mama baba masih hidup dan mama baba dapat tahu, mama baba mesti kecewa.”

Hati Qistur Ruwaidah menjadi kurang resah tatkala mendengar pesanan abangnya itu. Sejujurnya, memang dia sedang tiada motivasi untuk datang ke kelas pada jam 2.00 petang nanti dek kerana lamaran Mohamad Salahuddin sedang mengganggu fikirannya itu. “Terima kasih abang. Adik rasa okey sikit.”
“Sama-sama adik. Adik kat mana tu?” balas Suhaibul Umar. Waktu itu, dia melepak bersama Abdul Azim.
“Tengah lepak menghadap sungai. Sekejap lagi, adik ada kelas pukul 2.00 petang. Abang pula?”
“Abang ada kat Kafe KAED ni. Sekejap lagi, abang ada kelas pukul 11.30 pagi. Emm… Adik betul-betul dah okey ke ni? Abang masih risaukan adik.”

“Alhamdulillah. Adik dah okey. Abang dah bagi kata-kata sokongan, mestilah adik terus rasa okey. Abang… Adik matikan panggilan dulu ya,”
“Okey adik. Jaga diri. Kuatkan semangat. Sekejap lagi, jangan tak pergi kelas pula. Ingat kat mama baba.”
Kedengaran Qistur Ruwaidah tertawa ceria di hujung talian. “Jangan risau pasal tu, abang. Assalamualaikum.”
Setelah Suhaibul Umar menjawab salam adiknya itu, dia meletakkan telefon pintarnya di atas meja.
“Qist ke?” tegur Abdul Azim. Entah mengapa dia berani mati menyebut nama gadis itu di hadapan si wali itu.

“Siapa lagi kalau bukan dia. Dia jelah pun akan hubungi abang selain Azim,” balas Suhaibul Umar, lalu dia tersenyum.
Abdul Azim terperasan setiap kali sahabat baiknya berhubung dengan Qistur Ruwaidah, pasti Suhaibul Umar akan tersenyum setelah tamatnya panggilan tersebut. Ingin juga dia mengetahui sebabnya. “Abang… Boleh Azim tanya sesuatu?”
“Tanya jelah. Azim ni macam tak biasa pula,” balas Suhaibul Umar.
Abdul Azim tersenyum kecil. Betul juga. Selalunya memang dia akan bertanya soalan kepada Suhaibul Umar. “Sebenarnya, Azim tertanya-tanya dari dulu. Kenapa abang akan senyum lepas abang dah selesai hubungi adik abang?”
Suhaibul Umar tersengih. “Azim perasan rupanya. Tu tandanya, abang gembira sangat bila Qist telefon, ibaratnya macam kawan baik hubungi abang.”
Abdul Azim tergamam seketika. “Macam kawan baik? Tapi… Kan Qist adik abang.”
“Memang betul Qist tu adik abang tapi Qist jugalah kawan baik abang. Lepas mama baba dah tak ada, kan abang tinggal dengan Mak Long. Lepas tu, abang terus hilang kawan sebab ialah, kita orang tak pernah siapkan kerja sekolah dan satu sekolah pulau kita orang. Azim pun ingat kisah kita orang masa sekolah rendah dulu, kan? ”
“Haah… Azim ingat pasal tu. Mesti abang rasa sedih, kan?”
Suhaibul Umar tersenyum hambar seraya mengangguk perlahan. “Tipulah kalau abang tak sedih sebab hilang kawan. Lepas kita orang kena pulau, dah tak ada siapa-siapa lagi nak berkawan dengan kita orang. Lagi-lagi, pakaian sekolah kita orang pun comot, ada kesan terbakar dan koyak-rabak. Lagilah tak ada orang nak berkawan dengan kita orang dan kita orang pun dapat gelaran ‘budak miskin’. Masa tu, abang ada Qist je dan Qist pun ada abang je. Sejak tulah, abang dah anggap Qist tu kawan baik abang. Abang seronok kongsi masalah abang dengan Qist. Qist pun pandai bagi nasihat dan pandangan…”

Sambungnya lagi. “Disebabkan abang fobia dan trauma lepas jadi mangsa dera, abang jadi takut nak bercakap, pasif dan tak reti nak bergaul dengan orang. Lagi-lagi, kita orang pun dah tak boleh pergi ke sekolah dan kena kurung dengan Mak Long. Timbullah juga isu kepercayaan kat orang tak kenal ni sebab bayangkan, kita orang terkurung tiga tahun dalam rumah dan tak pernah tengok dunia luar dalam tempoh tu. Masa abang tinggal kat pusat perlindungan kanak-kanak dulu pun, abang masih pasif dan bisu dalam beberapa bulan jugalah. Abang bercakap dengan Qist je sebab abang percayakan dia seorang je. Lama-lama tu, lepas abang dah dapatkan rawatan psikoterapi, barulah abang okey.”

Penerangan Suhaibul Umar membuatkan Abdul Azim berasa amat kasihan terhadap nasib sahabat baiknya suatu ketika dahulu. Pasti sukar untuk sahabat baiknya itu bangkit dari fobia dan trauma setelah puas tubuhnya dikerjakan oleh almarhumah Mak Long Rauzah dahulu. Sehingga kini, Abdul Azim dapat menyaksikan bahawa sahabat baiknya masih berusaha untuk kehidupannya meskipun bukan mudah.
“Macam mana abang boleh ada kekuatan nak lawan fobia dan trauma? Susahkan?” tanya Abdul Azim.
“Haah… Memang tak senang abang nak lawan fobia dan trauma. Abang boleh bangkit balik pun, salah satu puncanya sebab adik abang. Abang terinspirasi dengan Qist sebab dia boleh bawa diri dia berani bergaul dengan orang. Dia ambil masa nak mula bercakap dengan orang semula dalam masa sebulan je. Sedangkan abang, tujuh bulan jugalah baru berani nak tegur orang. Sebelum tu, abang banyak minta bantuan Qist cakapkan kat orang,” Suhaibul Umar menghentikan kata-katanya sebentar.
Sambungnya lagi. “Jadi, setiap kali Qist hubungi abang, abang rasa bahagia sangat. Rasa aura kekuatan Qist tu dihantar kat abang supaya abang sentiasa rasa gembira dan bersyukur dengan kehidupan abang. Dalam erti kata lain, Qist menguatkan hari-hari abang,” ujarnya, lalu dia menghirup air teh ais itu.
“Patutlah Qist segala-galanya untuk abang. Mesti Qist beruntung,” respons Abdul Azim.
“Betul. Kalaulah Qist pun ikut ahli keluarga kita orang yang lain, abang tak tahulah macam mana kehidupan abang. Abang boleh jadi gila kut.”

Kelihatan Suhaibul Umar melirik jam tangannya. Jam sudah menunjukkan pukul 11.15 pagi. Dia terpaksa menghentikan perbualannya itu. “Okeylah Azim. Abang nak kena pergi kelas sekarang. Kita jumpa lagi nanti,” katanya seraya menggalas beg portfolionya di sebelah kanan manakala tangannya kirinya pula memegang pembaris ‘T-Square’.
“Okey abang. Terima kasih untuk hari ni,” ucap Abdul Azim.
“Sama-sama Azim.”
Dua orang jejaka itu saling berjabat tangan. Setelah Suhaibul Umar menghilangkan diri, Abdul Azim termenung sejenak akan kisah sahabat baiknya itu. ‘Azim… Kalau kau tak bersyukur juga dengan kehidupan kau, memang kau dasar tak kenang nikmat.’
Hati Abdul Azim berbisik lagi. ‘Qistur Ruwaidah… Aku kagum dengan semangat kau. Apa yang Abang Suhaib cerita pasal kau, buat aku makin semangat nak lalui hari-hari aku tanpa putus asa. Kau buat aku makin jatuh hati kat kau. Qist… Aku harap kau bersabar. Aku masih perlukan masa nak lamar kau. Aku minta maaf atas jawapan kejam aku dulu.’
Akhirnya, Abdul Azim menggalas beg ‘tube’ miliknya itu, lalu dia meninggalkan kawasan kafe tersebut.

SETELAH pertemuan kebetulan di antara Mohamad Salahuddin dengan Qistur Ruwaidah itu tadi, hati Mohamad Salahuddin sudah menjadi tenang setelah dia meluahkan hasrat hatinya itu. Sebuah bebanan perasaan yang ditanggung olehnya selama ini, akhirnya sudah terlepas.
Kini, tinggal sebuah jawapan sahaja daripada Qistur Ruwaidah itu. Sejujurnya, Mohamad Salahuddin tidak mahu menaruh sebarang harapan biarpun kalbunya tetap dicuit sedikit sebuah harapan itu agar lamarannya diterima oleh siswi itu.
Buku ‘Law of Torts in Malaysia’ diselak helaian demi helaian bagi menghadam tentang perundangan Malaysia. Sebagai seorang siswa undang-undang, dia perlulah mengetahui bahawa bakal anak guamnya atau plaintif (pihak yang mendakwa) terlibat dengan suatu perkara yang membuatkan anak guam tersebut menderita dan anak guam tersebut boleh membuat tuntutan seperti 'defamation'. Contoh, fitnah atau kemalangan.
Dia sebagai seorang bakal peguam nanti perlu tahu dan bijak menganalisis tentang kesan yang dihadapi oleh anak guam disebabkan tindakan seseorang. Dia juga perlu peka jika pihak defendan (pihak yang didakwa atau dituntut dalam mahkamah undang-undang) berniat untuk melakukan tindakan sedemikian atau tidak. Apa yang dipelajari olehnya akan diaplikasi menerusi mock trial di bilik mahkamah olok-olok atau dipanggil sebagai moot court.
Baginya, mempelajari bidang undang-undang sangat mencabar tetapi seronok apabila dia sudah memahami pengajian undang-undang ini. Betapa dia bersyukur apabila dirinya kuat untuk meneruskan bidang ini tanpa rasa ragu-ragu.
Namun begitu, peristiwa lamaran tadi membuatkan dirinya sedikit terganggu. Tiba-tiba terselit sedikit rasa sesal dalam dirinya kerana dia memaklumkan perkara tersebut seawal ini. Dia cuba menyedapkan hatinya.
‘Din… Kau jangan rasa menyesal. Insya-Allah kau dah buat perkara betul tadi. Bukannya kau buat salah pun. Kau beritahu hasrat suci kau. Sama ada Qist terima atau tolak, kau sendiri sanggup terima risikonya. Samalah macam kau belajar bidang undang-undang ni. Pun ada risiko juga. Ya Allah… Tenangkanlah hatiku. Kau Maha Mengetahui semua ni.’
Lantas, buku ‘Law of Torts in Malaysia’ ditutup. Fikirannya agak terganggu. Telefon pintar dan fon telinga dikeluarkan dari beg galasnya. Lalu, dia menyumbatkan fon telinga ke arah kedua-dua belah lubang telinganya itu.
Mohamad Salahuddin menghidupkan lagu menerusi aplikasi ‘Spotify’ sebagai halwa telinganya berbanding aplikasi muzik lain seperti ‘YouTube Music’, ‘Deezer’, ‘JOOX’ dan banyak lagi, namun ‘Spotify’ tetap menjadi pilihannya. Zikir ‘Hasbi Rabbi’ yang dialunkan oleh Hafiz Hamidun menjadi penawar resahnya tika ini.
Hati Mohamad Salahuddin mula berbicara. ‘Ya Allah, walau apa jua jawapan Qist nanti, aku akan cuba reda. Kau sahajalah yang mampu membolak-balikkan hati hamba-Mu dan itu di luar kuasa aku sebagai makhluk-Mu. Kudratku terhad. Usahaku adalah untuk memohon pada-Mu tanpa rasa putus asa. Aku telah berusaha untuk memenangi hati Qist dalam diam. Selebihnya, keputusan di tangannya sendiri. Aku takkan mendesak atau membuatkan apa jua perkara yang boleh dibenci olehnya. Aku perlu bertenang dan membiarkan dia buat sementara ini.’
Tika itu, dia menyerahkan seluruh jiwanya dengan penuh rasa reda dan rendah diri pada Allah Maha Kuasa. Tiada daya untuk dirinya tanpa Sang Pencipta di hati.

Makin panas tak? Macam mana ni? Hahahaha! Aiyooook... Tuan penulis tak tahu. Kah! Macam mana pula dengan Abdul Azim? Entahlah. Kena tunggu bab seterusnya xD

Share this novel

Atirah Amalina
2021-07-10 01:15:21 

takpe, ramai lagi peminat kau kat luar sana sudi terima kau muahahaha, kalau Qist tolak kau la kui3

Atirah Amalina
2021-07-10 01:14:31 

omggggg dinnnn ko mmg silao timing laaaa nak melamar


NovelPlus Premium

The best ads free experience