TIGA minggu selepas Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin menjadi pasangan suami isteri…
Usai sahaja kelas Qistur Ruwaidah di sekitar Bangunan Islamic Revealed Knowledge (IRK) bagi subjek Arabic Morphology II, dia segera mengemaskan barang-barangnya untuk dimasukkan ke dalam beg galasnya. Betapa dia tidak sabar untuk menemui suami tercinta yang akan menjemput dirinya di sekitar parkir Bangunan IRK itu.
Kuliah-kuliah yang dihadiri oleh Qistur Ruwaidah sudah selesai sejak dari hari Isnin sehingga hari Khamis. Bermakna, cuti hujung minggunya sudah bermula sehingga hari Ahad ini.
“Tak sabar nak jumpa Dinlah tu,” sakat Tihaani tatkala dia menyaksikan tindakan Qistur Ruwaidah itu.
Qistur Ruwaidah tertawa kecil. “Ya. Lepas ni, aku nak pergi Bangi. Aku akan bermalam kat rumah keluarga dia dari hari ni sampai hari Ahad sebab aku tak pernah lagi pergi rumah keluarga dia.”
“Wah, okey! Semoga yang baik-baik sahaja untuk kau, Qist.”
Tidak lama kemudian, kelihatan kereta Axia milik Mohamad Salahuddin sudah tiba di sekitar parkir Bangunan IRK itu. Wajah Qistur Ruwaidah berubah menjadi amat gembira tatkala melihat cinta hatinya itu. Hilang rasa penatnya setelah dia menghadiri kelas sejak pukul 8.30 pagi sehinggalah pukul 5.00 petang.
“Assalamualaikum habibi,” ucap Qistur Ruwaidah dengan penuh gembira setelah dia membuka pintu kereta itu.
Mohamad Salahuddin tersenyum ke arah isterinya. Ah, kelihatan bidadarinya sangat ceria! “Waalaikummussalam sayang.”
Qistur Ruwaidah menutup daun pintu kereta. Lalu, dia menyalam tangan suaminya.
Kemudian, Mohamad Salahuddin mengucup dahi dan kedua-dua belah pipi isterinya. Dia segera memulakan pemanduannya dari UIAM, Gombak ke Bangi.
“Macam mana kelas hari ni?” soal Mohamad Salahuddin sambil matanya fokus terhadap pemanduannya.
Qistur Ruwaidah setia memegang tangan kiri suaminya itu. “Alhamdulillah okey je tapi penat sikitlah. Habibi pun tahu sayang ambil 21.5 credit hours untuk semester ni,” balasnya.
“Faham je. Tak apa. Sayang kena korban sikitlah. Sayang pun dah pelan nak habiskan pengajian sayang tiga tahun setengah, kan?”
“Haah… Tulah… Kalau sayang tak mengandung masa belajar ni… Kalau sayang mengandung, alamatnya tukar pelan lagi. Lepas tu, sayang nak fokus sepenuhnya untuk rumah tangga kita.”
Mohamad Salahuddin tersenyum. “Sayang tak sabar nak jadi ‘ummi’ ya?”
Qistur Ruwaidah turut tersenyum. “Sayang okey je bila-bila Allah nak bagi anak kat kita tapi habibi… Awal lagilah nak fikir pasal anak. Kita baru tiga minggu kahwin.”
“Tak salah kita berangan, kan? Habibi lagi tak sabar kalau kita ada anak cepat. Nak anak kita jadi macam sayang tapi yalah… Aturan Allah lebih berkuasa. Allah je tahu bila waktu yang sesuai untuk kita jadi ‘ummi-abi’. Sayang jangan tertekan pula. Habibi saja cakap macam tu sebab sayang sebut mengandung tadi.”
“Tak apa. Sayang okey je. Habibi… Macam tak percaya, kan? Hari ni genap tiga minggu kita kahwin. Macam baru lagi habibi lafaz ijab kabul dengan Abang Suhaib.”
“Alhamdulillah… Bermakna, dah tiga minggu sayang kat samping habibi. Sayang tak pernah gagal buat habibi makin cinta kat sayang hari demi hari walau dalam satu hari pun.”
“Sepatutnya, sayang yang cakap macam tu kat habibi. Ah, habibi ni! Buat sayang rasa dihargai pula.”
“Mestilah habibi kena hargai sayang. Selama-lamanya sayang milik habibi tahu. I love you so much!”
Qistur Ruwaidah menggenggam erat tangan kiri suaminya. “Habibi, I love you more and more!”
Tidak lama kemudian, Mohamad Salahuddin menghentikan keretanya di salah sebuah kawasan rawat dan rehat (RNR). “Sekejap ya, sayang. Habibi nak ambil air kosong kat belakang. Tiba-tiba dahaga pula.”
“Okey, habibi,” kata Qistur Ruwaidah.
Mohamad Salahuddin membuka bonet belakang keretanya. Kemudian, dia menutup semula bonet belakang kereta itu. Lalu, dia masuk semula ke dalam perut kereta. Tiba-tiba dia memberikan sesuatu buat Qistur Ruwaidah. “Selamat tiga minggu untuk hari akad nikah kita, sayang,” ucapnya seraya menghadiahkan sejambak bunga bersama coklat jenama Ferrero Rocher.
Wajah Qistur Ruwaidah terkejut. “Habibi! Apa ni! Dua minggu lepas, habibi dah bagi bunga dan brownies. Minggu lepas, habibi dah bagi bunga dan buku. Hari ni, habibi bagi bunga dan Ferrero Rocher. Habibi… Janganlah buat sayang macam ni,” suaranya mula berubah sebak.
Mohamad Salahuddin tersenyum. “Apa sahaja untuk sayang… Janji sayang bahagia dengan habibi. Abang Suhaib pun ada pesan supaya bahagiakan sayang. Ini apa yang habibi cuba buat kat sayang. Habibi tak nak sayang sedih. Cukuplah apa yang sayang dah lalui dulu. Nah… Makan coklat ni. Moga sayang makin gembira.”
Qistur Ruwaidah menyambut jambangan bunga tersebut. Lalu, dia mencium bunga ros di sekeliling coklat tersebut.
Kelihatan Mohamad Salahuddin sedang merakam video gelagat isterinya. “Sayang… Pandang sini,” katanya.
“Habibi buat video ya?” soal Qistur Ruwaidah.
“Haah… Nak cakap apa-apa tak?”
Qistur Ruwaidah mengangguk. Lalu, dia menuturkan sesuatu buat suaminya bersama jambangan bunga di tangannya. “Thank you habibi. You’re the best husband in the world! I love you so much!”
“I love you too, sayang,” ucap Mohamad Salahuddin. Lalu, dia menghentikan rakaman video tersebut bersama senyuman. Bolehlah dia menonton video tersebut berulang kali tanpa jemu. Baginya, setiap rakaman video berkaitan isterinya amat bermakna buat dirinya. Jika isterinya pergi terlebih dahulu daripada dirinya, maka video-video tersebut boleh menjadi pengubat rindu. Dia mahu menghargai setiap detik bersama Qistur Ruwaidah. “Habibi nak satu coklat, boleh?” pintanya.
“Boleh habibi. Sayang ni bukannya larat nak makan semua,” kata Qistur Ruwaidah seraya mengeluarkan salah satu coklat daripada jambangan bunga tersebut. Lalu, dia menghulurkan kepada suaminya.
Kemudian, Mohamad Salahuddin membawa isterinya menjamu selera di restoran sekitar Bangi sebelum mereka berdua tiba di rumah keluarga Mohamad Salahuddin.
RUMAH KELUARGA MOHAMAD SALAHUDDIN
Mohamad Salahuddin dan isterinya tiba di rumah keluarganya, iaitu rumah teres satu tingkat. Walaupun rumah tersebut setingkat sahaja tetapi tanahnya luas.
“Abang Long! Kak Long!” ucap Sakeenah dengan riang setelah abang dan kakak iparnya selamat sampai. Dia segera menyalam dan mendakap kedua-dua orang insan itu.
“Keena sihat?” soal Qistur Ruwaidah.
“Alhamdulillah. Sihat je, Kak Long. Sampai juga Kak Long kat rumah kita orang ni,” kata Sakeenah.
Mohamad Salahuddin tersenyum menyaksikan keakraban dua perempuan yang cukup bermakna dalam kehidupannya itu. “Mak ayah mana? Tak nampak pun kereta mak ayah.”
“Mak pergi beli barang dapur. Mak cakap mak nak masak makanan istimewa kat kau orang esok. Ayah pula balik lambat sikit hari ni. Ada mesyuarat,” kata Sakeenah.
“Okey. Abang Long dan Kak Long nak letak barang dalam bilik. Sekejap lagi, kita orang layan Keena ya,” kata Mohamad Salahuddin.
“Tak apa. Rehatlah dulu. Biar Keena kuncikan pintu rumah. Mesti kau orang penat. Keena pun nak siapkan kerja sekolah,” balas Sakeenah.
Mohamad Salahuddin mengangkat beg pakaiannya dan isterinya untuk dibawa masuk ke dalam bilik tidur. Suis lampu dihidupkan. “Ni bilik tidur habibi,” katanya.
Anak mata Qistur Ruwaidah ralit memerhatikan setiap sudut bilik suaminya itu sambil dia melabuhkan punggungnya di atas katil. Hampir keseluruhan barang-barang suaminya berwarna hijau. “Habibi dan hijau tak dapat dipisahkan ya,” selorohnya.
Mohamad Salahuddin tersenyum. Lalu, dia melabuhkan punggungnya di sebelah isterinya. “Ya. Untuk habibi, hijau menggambarkan ketenangan. Ha sayang… Jangan malu-malu tahu. Rumah keluarga habibi ni, rumah sayang juga. Sayang bebas nak tanggalkan tudung sementara Keena tak kahwin lagi.”
Riak wajah Qistur Ruwaidah sedikit terkejut. “Uish! Keena dah ada pakwe ke? Bunyi macam tak lama dah.”
Mohamad Salahuddin tertawa. “Keena baru je 15 tahun, sayang. Dia pun baru nak hadap PT3 bulan depan.”
Qistur Ruwaidah menepuk dahinya. “Eh, betul juga! Budak tu pun tak habis sekolah lagi. Apalah sayang ni. Habibi… Maaf nak tanya. Rumah ni sewa ke beli?”
“Sewa sebab bila ayah dah pencen nanti, ayah nak menetap terus kat Kelantan. Ayah dah beli rumah kat sana.”
Qistur Ruwaidah mengangguk. “Lagi berapa tahun ayah nak pencen?”
“18 tahun. Lambat lagi.”
“Raya nanti, kita balik sanalah, kan?”
“Haah… Teruja tak?”
“Mestilah! Lepas mama baba dah tak ada, sayang dan Abang Suhaib dah tak rasa pengalaman balik kampung. Kita orang beraya kat rumah pusat perlindungan je lepas kita orang dah bebas daripada Mak Long. Lepas kita orang dah dapat rumah mama baba, kita orang raya berdua jelah sebelum kita orang jumpa balik keluarga besar mama.”
“Sayang… Habibi minta maaf kalau soalan habibi ni buat sayang sedih. Cuma, habibi teringin nak tahu. Sepanjang sayang dan Abang Suhaib tinggal dengan Mak Long, macam mana raya kau orang?”
Qistur Ruwaidah terdiam seketika. Cuba mencari kekuatan untuk menjawab soalan suaminya.
Tatkala Mohamad Salahuddin menyaksikan isterinya membisukan diri, cepat-cepat dia cuba mengalih topik lain. “Habibi minta maaf, sayang. Tak apa kalau sayang tak nak jawab.”
“Kita orang tak pernah rasa raya tu apa,” luah Qistur Ruwaidah.
Mohamad Salahuddin tekun mendengar. Bermakna, isterinya sudi berkongsi lagi kisah lampaunya itu.
Qistur Ruwaidah menyambung bicaranya. “Sepanjang empat tahun kita orang tinggal dengan Mak Long, setiap kali bulan Ramadan dan Syawal, kita orang kena kurung dalam bilik sampai kita orang tak tahu malam ke siang. Kita orang cuma dengar takbir dan orang main mercun je. Tu pun sayup-sayup je sebab dinding bilik tidur kita orang jenis kebal. Tingkap pun tak ada. Berkuap pula. Memang panaslah. Kalau hujan, bilik tu jadi sejuk sikit. Sepanjang dua bulan tu, Mak Long tak dera kita orang dari segi fizikal tapi dia dera mental kita orang. Bila kita orang dah dibebaskan, kita orang jadi takut nak hadap dunia luar termasuklah luar dari bilik kita orang macam dapur dan ruang tamu…”
“Tahun pertama kita orang tinggal dengan Mak Long, kita orang masih rasa dunia luar sebab kita orang pergi sekolah tapi masuk tahun kedua sampai tahun keempat, kita orang kena kurung dalam rumah dan dah tak pernah tengok dunia luar sampai kita orang pun tak tahu hari dah bertukar, bulan pun dah bertukar, tahun pun dah bertukar tapi kita orang boleh tahu perubahan tahun, bila tibanya hari jadi sayang. Habibi pun tahu apa jadi, kan?”
Mohamad Salahuddin mengangguk. “Ingat je Abang Suhaib cerita. Muka sayang kena rendam dalam baldi dan Mak Long biarkan sayang dalam gelap untuk beberapa hari.”
Qistur Ruwaidah mengangguk seraya tersenyum hambar. Tiba-tiba dia menjadi sesak nafas. “Ha…bi…bi…” ucapnya tersekat-sekat.
Mohamad Salahuddin tersentak. Dia terus teringat bahawa itu merupakan salah satu simptom apabila gangguan stres pascatrauma atau Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD) mula menyerang isterinya. Itulah kali pertama dia menyaksikan penyakit isterinya itu. Dia tidak boleh panik. “Ubat sayang kat mana?”
“B…Beg… ga…las,” beritahu Qistur Ruwaidah dengan nafas yang tersekat-sekat.
Segera, Mohamad Salahuddin mengambil ubat yang berada dalam beg galas isterinya berserta botol air. Dia membaringkan sedikit tubuh isterinya, lalu dia menyuapi ubat tersebut ke dalam mulut isterinya bersama tegukan air agar ubat tersebut mengalir dengan lancar ke tekak isterinya. Kemudian, dia membaringkan isterinya di atas katil bersama selimut membaluti tubuh.
Tudung dan anak tudung Qistur Ruwaidah ditanggalkan oleh suaminya. Anak matanya mula terasa berat setelah dia menelan ubat tersebut. Tidak lama kemudian, matanya terpejam.
Mohamad Salahuddin menatap sedalam-dalamnya wajah isterinya yang sedang lena dibuai mimpi itu. Alangkah kasihan isterinya! Sungguh dia benar-benar marah dengan Almarhumah Mak Long Rauzah yang telah meninggalkan trauma dan fobia yang begitu dahsyat buat isterinya itu. Seketika, air matanya menitis buat isteri tercinta. Biarlah dia seorang sahaja yang mengetahui kesengsaraan yang dialami oleh isterinya di rumah ini. Biarlah ibu, ayah dan Sakeenah tidak mengetahuinya.
PADA hari Sabtu, Qistur Ruwaidah dan keluarga Mohamad Salahuddin melakukan aktiviti sunah di Taman Rekreasi Sujana Celik sekitar Bangi, iaitu latihan memanah dan menunggang kuda.
“Kak Long boleh tahan hebat juga dalam memanah,” puji Encik Mohd Firdaus setelah menyaksikan anak panah yang dilepaskan oleh menantunya mengenai bulatan tengah dengan tepat.
Qistur Ruwaidah tersenyum. “Dah lama Kak Long tak memanah, ayah. Kali terakhir, masa kat sekolah dulu.”
Encik Mohd Firdaus menghadiahkan senyuman. “Tak apa. Yang penting, Kak Long masih ada kemahiran tu. Dah kahwin dengan Along ni, bolehlah berlatih setiap minggu kat sini dengan kami.”
Sekali lagi, Qistur Ruwaidah membalas senyuman ayah mentuanya itu. “Insya-Allah ayah. Kak Long ingat nak ajak Abang Suhaib sekali nanti. Abang Suhaib pun mahir. Lagi mahir daripada Kak Long.”
“Elok juga tu. Lagi ramai, lagi meriah.”
Puan Zaidah pula bersembang dengan menantunya itu. “Kiranya kat sekolah dulu, Kak Long belajarlah semua aktiviti sunah?”
Qistur Ruwaidah mengangguk. “Haah mak… Semua Kak Long belajar. Wajib. Lagi satu, Kak Long dan Abang Suhaib salah seorang pelajar tajaan kat sekolah tu sebab kita orang anak yatim piatu. Ikut jelah apa yang sekolah dah bagi. Kita orang okey je. Seronok.”
“Kak Long ada jadi wakil memanah ke?” sampuk Sakeenah.
“Ada. Pernahlah sampai peringkat negeri. Satu lagi, kelab debat bahasa Arab. Memang Abang Long tahulah Kak Long aktif dengan debat bahasa Arab masa kat CFS IIUM dulu,” kata Qistur Ruwaidah seraya memandang suaminya.
Mohamad Salahuddin tersenyum. Ah, teringat pula pandangan pertama dia terhadap isterinya di pusat asasi itu! Kini, sudah tiga minggu dia melayari bahtera rumah tangga bersama Qistur Ruwaidah.
“Keena nak tengok Kak Long dan Abang Long lawan untuk memanah. Abang Long selalu berlagak dengan Keena bila Keena kalah. Sakit hati tahu! Kak Long kena kalahkan Abang Long!” kata Sakeenah.
Mohamad Salahuddin tersengih. Kasihan adiknya menjadi mangsa bulinya. “Dah memang Abang Long hebat pun. Keena cemburulah tu.”
Sakeenah menjelirkan lidahnya. Mohamad Salahuddin juga tidak mahu kalah dengan adiknya itu. Qistur Ruwaidah dan ibu bapa mentuanya menggelengkan kepala. Mulalah dua beradik itu melancarkan serangan gaduh.
“Along… Along… Dah jadi suami orang pun, macam budak-budak. Ha Kak Long… Kak Long kena kacau dengan Along tak?” ujar Puan Zaidah.
“Ni yang Kak Long nak buat laporan kat mak ayah. Kak Long selalu je kena kacau dengan Along, mak,” kata Qistur Ruwaidah sambil memulangkan paku buah keras kepada suaminya.
Mohamad Salahuddin ketawa. Habislah… “Alaa… Along bosanlah, mak. Tu yang Along buli Kak Long. Kak Long pun jenis reda je. Nak gaduh dengan Keena, jauh sangat pula.”
Qistur Ruwaidah tersengih. Ada sahaja suaminya itu! Ah, Mohamad Salahuddin! Sekejap berperangai penuh romantis, sekejap berperangai penuh keanak-anakan. Mana mungkin dia tidak makin mencintai suaminya hari demi hari. Demi Allah, hanya Mohamad Salahuddin yang bertakhta dalam sukmanya. Bukan lagi untuk lelaki lain.
SABTU, 1 OKTOBER 2016
“Sayang…” panggil Mohamad Salahuddin seraya mendakap dada isterinya dari belakang bersama sebuah kucupan di pipi isterinya.
Pada ketika itu, Qistur Ruwaidah sedang menyiapkan tugasannya. Tugasannya dibiarkan seketika bagi memfokuskan kepada suami tercinta. Dia memegang tangan kanan suaminya. “Ya habibi… Kenapa ni?”
Mohamad Salahuddin meleraikan dakapan tersebut. Lalu, dia melutut di hadapan isterinya. “Malam ni, kita tidur kat rumah sayang. Alang-alang tu, kita teman Abang Suhaib. Habibi dah beritahu Abang Suhaib.”
Wajah Qistur Ruwaidah berubah menjadi ceria. “Wah, okey, okey! Sayang rindu sangat kat Abang Suhaib. Baru je semalam sembang dengan Abang Suhaib kat telefon.”
Mohamad Salahuddin tersenyum seraya memegang kedua-dua belah tangan isterinya. “Tapi kan, sayang… Sebelum kita nak pergi rumah sayang, habibi nak ajak sayang makan kat luar dulu. Sayang pakai cantik-cantik tahu sebab restoran yang habibi nak bawa sayang, cantik sangat. Mesti sayang suka.”
“Kiranya, kita gantung kualilah malam ni?” soal Qistur Ruwaidah sambil tersengih.
“Ya. Malam ni, kita nikmati tempat yang cantik dan makanan yang sedap.”
“Sekarang juga sayang bersiap dan kemas barang. Lagipun dah pukul 6.30 petang. Ah, tak sabarnya!”
Mohamad Salahuddin tersenyum menyaksikan gelagat isterinya. Qistur Ruwaidah binti Isyraf Imrani… Mana mungkin si isteri itu setanding dengan wanita-wanita lain. Isterinya seorang yang luar biasa, kuat dan penuh tabah!
Setelah masuknya azan maghrib, pasangan itu menunaikan solat berjemaah dan menyiapkan diri untuk menikmati makan malam di luar.
Sejak dari hari kedua mereka berdua melayari alam rumah tangga, sudah menjadi rutin dan tanggungjawab bagi Mohamad Salahuddin sebelum dia hendak meninggalkan rumah bersama isterinya, dia akan melakukan pemeriksaan terhadap pakaian isterinya agar dia tidak menjadi seorang suami dayus. “Sebelum tu, habibi nak buat spotcheck kat sayang dulu. Stoking lengan ada, stoking kaki ada, tudung pun labuh. Okey, lulus. Kita boleh keluar rumah sekarang,” kata Mohamad Salahuddin setelah dia memeriksa di bahagian tudung, tangan dan kaki isterinya.
Qistur Ruwaidah tersenyum. Betapa dia beruntung memiliki suami yang peka dengan auratnya. Tiba-tiba dia teringat akan abangnya. Abangnya juga melakukan yang sama seperti suaminya.
Imbau seketika Qistur Ruwaidah bersama Suhaibul Umar…
“Mana stoking lengan adik?” soal Suhaibul Umar dengan nada serius setelah adiknya masuk ke dalam kereta tanpa memakai stoking lengan.
Qistur Ruwaidah mengeluarkan stoking lengannya. “Ni ha. Ada dalam beg adik ni. Alaa… Adik minta maaf, abang. Kan kita dah terlambat nak pergi UIA. Tak sempat kalau adik nak pakai dalam rumah,” terang Qistur Ruwaidah sambil menyarung stoking lengannya.
Suhaibul Umar tersenyum tatkala menyaksikan gelagat adiknya. Biarlah dia dipanggil lelaki kolot, namun apa yang diketahui oleh dirinya, amanah dan tanggungjawab yang perlu digalas sebagai ayah dan anak sulung harus dilaksanakan dengan sebaik mungkin walaupun ayahnya tidak sempat menyampaikan apa-apa amanat buat dirinya.
Terkenang akan peristiwa itu, Qistur Ruwaidah tersenyum sendirian. Dia tidak sabar untuk bertemu dengan abang tersayang selepas dia menikmati makan malam bersama suaminya.
“Sayang… Habibi tahu sayang takut gelap tapi…” ujar Mohamad Salahuddin dengan serba salah setelah dia dan isterinya berada di dalam kereta.
“Tak apa, habibi. Sayang cuba lawan rasa takut dengan gelap. Habibi pun nampak sikit perubahan sayang sekarang. Sayang dah okey tidur dalam gelap. Mungkin sebab habibi ada dengan sayang tapi kalau sayang tinggal seorang je dalam gelap, memang sayang akan terbayang balik apa yang Mak Long buat dulu,” terang Qistur Ruwaidah.
Mohamad Salahuddin tersenyum. “Betul juga. Okey… Kalau macam tu, sayang pakai kain ni ya,” katanya sambil menghulurkan sehelai kain buat isterinya.
Qistur Ruwaidah menyambut huluran kain tersebut. Lalu, dia melekapkan kain tersebut di bahagian mata sambil dibantu oleh suaminya bagi mengikat kain tersebut.
“Sayang okey?” soal Mohamad Salahuddin.
“Insya-Allah. Okey je. Habibi jangan risau. Selagi minda sayang beritahu habibi ada dan habibi tak senyap, sayang okey,” balas Qistur Ruwaidah.
Sepanjang dalam perjalanan, Mohamad Salahuddin tidak jemu membuatkan isterinya tertawa bahagia sehingga Qistur Ruwaidah merasakan bahawa suaminya amat terbaik. Mohamad Salahuddin boleh menjadi seorang pencinta dan sahabat pada masa yang sama.
Selain itu, Mohamad Salahuddin juga banyak mengembalikan nostalgia di CFS IIUM PJ dan momen-momen sebelum dia melamar isterinya di UIAM Gombak. Qistur Ruwaidah juga turut merindui kenangan mereka berdua sebelum diijabkabulkan biarpun mereka berdua tidak pernah bercinta.
Setelah kereta Mohamad Salahuddin diparkir di sebuah restoran masakan Melayu dan barat terkemuka, iaitu Restoran Ara Bayu yang terletak di tengah kota Kuala Lumpur, dia menyambut isterinya dengan memegang tangan isterinya.
Qistur Ruwaidah menggenggam erat tangan suaminya tatkala dia mahu meninggalkan perut kereta tersebut.
“Perlahan-lahan sayang. Jangan takut. Habibi ada ni,” kata Mohamad Salahuddin bersama nada yang cukup lembut. Dia mengerti bahawa isterinya takut untuk berada dalam kegelapan dan sukar dipulihkan rasa trauma dan fobia di masa lalu tetapi isterinya tetap cuba melawan rasa takut itu.
Qistur Ruwaidah tidak mengeluarkan sepatah bicara. Namun, dia memaut lengan suaminya dengan begitu erat.
Setelah pasangan itu tiba di ruang makan, Qistur Ruwaidah dapat mendengar muzik-muzik cinta berbentuk instrumental dan piano. Tatkala itu, kalbunya mula berasa tenang dan dia mula merasakan bahawa Mohamad Salahuddin sedang meleraikan ikatan kain itu.
Setelah kain itu dileraikan, mata Qistur Ruwaidah terpegun dengan apa yang disaksikan oleh dirinya. Pada masa yang sama, dia terkedu. Sekarang, dia dan suaminya berada di atas bumbung (roof-top) Restoran Ara Bayu. Tempat tersebut dihiasi dengan meja makan, ditaburi kelopak mawar di atas lantai dan lampu di sepanjang karpet merah bagi menuju ke arah meja makan. Juga, terdapat sebuah sudut bergambar, iaitu berlatarbelakangkan corak hati.
Mohamad Salahuddin merangkul pinggang isterinya bersama bisikan penuh asmara di tepi telinga Qistur Ruwaidah. “Selamat satu bulan untuk perkahwinan kita, sayang… Cinta dan bidadari habibi sampai mati.”
“Ha… Habibi…” ucap Qistur Ruwaidah dengan penuh terharu. Sebolehnya, dia cuba tahan daripada menitiskan air matanya.
Kelihatan Mohamad Salahuddin meleraikan rangkulan tersebut. Lalu, dia melutut di hadapan isterinya bersama kucupan di tangan kanan isterinya. “Sayang… Dah sebulan kita hidup bersama. Selama sebulan ni jugalah, habibi dah terima amanah dan tanggungjawab daripada Abang Suhaib untuk jaga dan cintakan sayang melalui lafaz ijab kabul. Terima kasih sebab sayang sentiasa ada di sisi habibi. Bercinta dengan sayang merupakan kenangan paling indah sepanjang 21 tahun habibi hidup.”
Qistur Ruwaidah tidak mampu menahan sebaknya. Air matanya mula menitis. Cepat-cepat dia mengesatkan air matanya. “Sa…Sayang tak minta semua ni, habibi. Sayang tak perlukan kejutan macam ni.”
Mohamad Salahuddin membangunkan dirinya. Lalu, dia memegang kedua-dua belah tangan isterinya. “Memang sayang tak minta tapi habibi sendiri yang nak buat macam ni kat sayang supaya sayang tahu, habibi sentiasa cintakan sayang dan habibi nak sayang bahagia. Sejak hari pertama kita kahwin sampailah dah genap sebulan ni, habibi nak sayang tahu… Habibi sentiasa reda dengan apa yang sayang buat sebagai isteri dan siswi dalam masa yang sama.”
Air mata Qistur Ruwaidah semakin mengalir deras tatkala mendengar ucapan suaminya. Mohamad Salahuddin menyeka air mata isterinya itu.
“Jom… Kita duduk,” kata Mohamad Salahuddin.
Qistur Ruwaidah mengangguk seraya memegang tangan suaminya untuk menuju ke arah meja makan.
Sesampai pasangan itu di meja makan, Mohamad Salahuddin mendahului isterinya dengan menarik kerusi makan itu. “Jemput duduk, bidadari habibi,” ucapnya bersama sebuah senyuman.
Qistur Ruwaidah tersenyum bahagia. Lalu, dia melabuhkan punggungnya sambil suaminya membetulkan posisi kerusi itu. “Terima kasih habibi,” ucapnya.
“Sama-sama sayang,” ucap Mohamad Salahuddin bersama kucupan di pipi isterinya. Kemudian, dia melabuhkan punggungnya di atas kerusi bersebelahan isterinya. Dia tidak mahu posisi kerusi tersebut menghadap isterinya.
“Habibi… Memang kita berdua je ke kat atas ni?” soal Qistur Ruwaidah.
“Ya. Restoran ni ada tempat khas macam ni. Memang takkan ada orang kacau kita kecuali pelayan jelah sebab nak hantar makanan,” terang Mohamad Salahuddin.
“Menarik. Tempat pun cantik. Tenang je rasa. Sayang suka.”
“Alhamdulillah. Habibi lega sayang cakap macam tu. Jom kita tengok menu. Sayang teringin nak makan apa?” ujar Mohamad Salahuddin sambil melihat senarai menu yang disediakan oleh restoran ini.
Qistur Ruwaidah turut melihat senarai menu tersebut. Akhirnya, dia menemui apa yang diingini oleh dirinya. “Sayang teringin nak makan fish and chip, spageti aglio olio, mushroom soup dengan garlic bread. Air pula, sayang nak sirap limau ais dan air sejuk,” beritahunya tanpa serba salah.
Mohamad Salahuddin memandang wajah isterinya. “Biar betul sayang? Sayang nak makan seorang semua tu?”
“Sayang seriuslah habibi. Sayang lapar sangat ni. Mana ada sayang makan tengahari tadi. Sibuk sangat siapkan tugasan dari pagi sampai petang,” balas Qistur Ruwaidah sambil memuncungkan bibirnya.
Mohamad Salahuddin tersengih. Dia suka menyaksikan reaksi rajuk isterinya itu. “Okey sayang. Boleh je. Kalau macam tu, habibi pula nak pesan chicken chop dan spageti bolognese. Air pula, habibi nak banana milkshake dan air sejuk.”
“Takkan tu je?” soal Qistur Ruwaidah dengan terkebil-kebil.
“Eh, okeylah tu. Kalau makanan sayang tak habis, habibi boleh tolong habiskan,” beritahu Mohamad Salahuddin bersama sengihan lagi.
Qistur Ruwaidah turut tersengih. Ada benar juga cakap suaminya itu. “Okey habibi. Habibi boleh panggil pelayan sekarang.”
Lalu, Mohamad Salahuddin memanggil pelayan dengan menekan butang khas. Tidak lama kemudian, kelihatan seorang pelayan lelaki muncul bersama sebuah tablet jenama iPad. “Ya encik, puan. Nak pesan apa?”
Mohamad Salahuddin menyebut kembali menu yang diingini oleh dirinya dan Qistur Ruwaidah. Kemudian, pelayan tersebut mengulang semula nama menu yang dipesan oleh Mohamad Salahuddin. “Itu saja?” soalnya.
“Haah…” jawab Mohamad Salahuddin.
Setelah pelayan itu meninggalkan pasangan tersebut, Mohamad Salahuddin menatap wajah isterinya. Sukmanya amat tenang tatkala menyaksikan cinta hatinya. Ah, Qistur Ruwaidah ini sentiasa membuatkan dirinya menggila tanpa henti!
Qistur Ruwaidah tersipu-sipu malu. “Kenapa habibi pandang sayang macam tu? Malulah…”
“Sebab sayang selalu buat habibi tergila-gilakan sayang,” ucap Mohamad Salahuddin bersama senyuman penuh goda.
Sekali lagi, Qistur Ruwaidah tersipu-sipu malu. Lalu, tangan kirinya menggenggam erat tangan kanan suaminya manakala tangan kanannya diletakkan di atas genggaman itu. “Habibi… Habibi tak pernah buat sayang gagal jatuh cinta kat habibi setiap hari. Kadang-kadang sayang tertanya-tanya… Betul ke kita pernah jadi kawan?”
Mohamad Salahuddin menatap wajah isterinya bersama renungan penuh cinta yang amat mendalam. “Habibi pun rasa juga macam sayang tapi tulah… Emm… Cinta ni hebat, kan?”
“Betul tapi… Tak setanding dengan Maha Pemberi Cinta.”
“Subhanallah! Bijak, sayang! Itu lebih tepat. Apa-apa pun, kita kena kembali pada Maha Pencipta. Balik nanti, lepas kita solat isyak sama-sama, kita sujud syukur ya.”
Qistur Ruwaidah tersenyum penuh gembira. “Insya-Allah habibi. Itu sudah semestinya. Sayang nak ucap berbanyak-banyak syukur kat Allah sebab hadirkan habibi dalam kehidupan sayang. Habibi pun ingat sayang pernah cakap… Sayang tak pernah impikan nak kahwin umur 21 tahun ni. Apatah lagi, nak couple walaupun tipulah sayang tak rasa nak mencintai dan dicintai tapi kisah pasal sayang pernah suka Azim tu, tu pengalaman tak matang. Entahlah apa yang sayang fikir masa tu bila sayang pernah luahkan perasaan sayang kat dia… Mungkin sebab sayang rasa dialah lelaki terbaik. Lepas apa dah jadi antara kita orang, sayang dah tak nak fikir pasal soal perasaan. Sayang nak belajar bersungguh-sungguh dan bahagiakan Abang Suhaib dengan bagi kejayaan kat Abang Suhaib sebab Abang Suhaib dah banyak berkorban untuk sayang…”
Sambung bicara Qistur Ruwaidah… “Tapi kehadiran habibi dalam kehidupan sayang kat ijazah, buat sayang rasa dihargai sebab habibi sanggup ada untuk sayang. Sayang tak pernah rasa macam tu bila dengan Azim tapi lamaran habibi dulu memang buat sayang rasa macam… Biar betul! Tak terjangkau dek akal langsung. Tak terfikir pun sayang akan dilamar dan kahwin masa belajar tapi apa yang sayang boleh cakap, perancangan Allah lebih hebat daripada apa yang sayang rancangkan.”
Mohamad Salahuddin tersenyum. “Mesti sayang ingat habibi gelojoh, kan? Dah gatal sangat nak kahwin umur sekarang.”
Qistur Ruwaidah menggeleng laju. “Taklah. Orang lain mungkin cakap ‘ya’ sebab kita baru umur 21 tahun. Belajar pun tak habis lagi tapi sayang tak pernah fikir macam tu. Sayang lebih nampak habibi ni matang dan memang serius nak kahwin. Habibi dah ada hala tuju kenapa nak kahwin dengan sayang. Habibi pun ada pendapatan nak sara sayang. Tu buat sayang tak ragu-ragu dengan habibi.”
Mohamad Salahuddin menggenggam erat tangan isterinya. “Alhamdulillah. Sayang… Habibi rasa bersyukur sangat ada isteri sebaik sayang. Sayang dah sempurnakan impian habibi dan sayang juga dah sempurnakan separuh daripada agama habibi. Bila sayang pilih habibi, memang habibi dah tak nak minta apa-apa kat Allah melainkan sekarang, habibi cuma harap perkahwinan kita kekal sampai ke Syurga.”
“Insya-Allah habibi tapi habibi… Andai kata sayang pergi dulu daripada habibi, habibi rasa habibi akan kahwin lain tak?”
“Wallahuaklam. Habibi pun tak tahu macam mana dengan masa depan tapi apa yang habibi tahu, selagi habibi hidup dengan sayang, habibi takkan menduakan sayang atau berpoligami. Hati habibi dah cukup teruji dulu nak dapatkan sayang. Sayang pula macam mana?”
“Insya-Allah. Jiwa sayang hanya untuk habibi. Kalau habibi pergi dulu daripada sayang, sayang cuma fikir… Sayang nak jadi isteri solehah dan nak jumpa habibi kat sana. Andai katalah sayang jumpa pengganti habibi sekali pun, sayang tak nak dan takkan terima sebab ada ustaz pernah cakap… Jodoh kita adalah dengan orang terakhir yang kita berkahwin kat dunia. Ada juga hujah pasal ni tapi panjang sayang nak jelaskan. Sayang cenderung untuk setia dengan habibi sampai akhir hayat sayang. Tak kisah sama ada habibi pergi dulu atau sayang pergi dulu.”
(Hujah tersebut boleh dibaca menerusi: )
Mohamad Salahuddin tersenyum. “Habibi pun ada terbaca pasal tu. Tak apa sayang. Selagi kita hidup, kita hargai sesama kita ya dan terus bercinta sampai maut sahaja yang boleh pisahkan kita. Banyak kali habibi berdoa… Kalau habibi mati, habibi nak mati sama-sama dengan sayang. Tak ada antara kita yang sakit.”
“Amin! Sayang pun selalu doa pasal tu sama macam habibi. Sayang teringat mama baba… Mama baba pun mati sama-sama. Sebagai anak, memang sayang rasa sedih, sakit dan menderita sebab sayang dah hilang tempat bergantung tapi bila sayang dah dewasa ni dan sayang dah kahwin dengan habibi, sayang gembira sangat untuk mama baba. Mama atau baba tak perlu rasa sakit lalui kehilangan pasangan. Ni antara hikmah bila sayang kahwin dengan habibi.”
“Bila sebut pasal mama baba, habibi pun dah tengok gambar mama baba… Habibi sendiri boleh rasa cinta mama baba tulus sangat. Insya-Allah, kita pun sama-sama boleh jadi macam mama baba.”
“Insya-Allah habibi. Habibi… Emm… Dulu, habibi pernah cakap kat sayang, habibi nak sambung syariah lepas LLB (sivil). Habibi masih ada rasa nak sambung ke?”
Mohamad Salahuddin tersenyum. “Insya-Allah sayang. Takkan pernah terpadam niat habibi nak kuasai LLB dan LLBs (syariah). Sayang doakan habibi supaya habibi dapat jadi peguam yang hebat satu hari nanti tahu. Besar impian habibi.”
Qistur Ruwaidah mengangguk laju. “Insya-Allah, insya-Allah dan insya-Allah! Mestilah sayang akan doakan kekasih hati sayang ni. Sayang percaya habibi boleh buat. Teruskan dengan niat habibi tu. Sayang akan sentiasa ada kat sisi habibi.”
“Dan habibi pun akan sentiasa sokong sayang dalam bidang Bahasa Arab yang sayang tengah lalui. Habibi pun percaya kat sayang. Kita sama-sama boleh buat,” kata Mohamad Salahuddin seraya mencuit hidung isterinya.
Qistur Ruwaidah tersenyum bahagia dengan adanya Mohamad Salahuddin itu di sisinya. Apatah lagi, hari ini begitu bermakna buat dirinya sebagai seorang isteri yang telah sebulan melayari bahtera rumah tangga bersama suami tercintanya itu.
Tiba-tiba…
“Adik…”
Qistur Ruwaidah tersentak. “A… Abang Suhaib!”
Kelihatan Suhaibul Umar menghadiahkan senyuman buat adik tersayang. Betapa dia merindui adiknya.
Mohamad Salahuddin turut tersenyum tatkala abang iparnya datang tepat pada waktunya.
“Sekejap… Jangan kata kau orang berkomplot lagi?” duga Qistur Ruwaidah.
Suhaibul Umar dan Mohamad Salahuddin sudah tersengih-sengih. Lalu, mereka berdua tertawa.
“Eiii! Kau orang ni, kan!” kata Qistur Ruwaidah dengan nada geram seraya menepuk lengan abang dan suaminya.
Mohamad Salahuddin tersengih. “Terima kasih abang sebab siapkan semua ni,” ucapnya.
“Tak ada hallah, Din. Untuk adik abang juga,” kata Suhaibul Umar bersama sengihan buat adik tersayang.
Qistur Ruwaidah tersenyum menyaksikan keakraban kedua-dua orang jejaka itu. Sangkaannya dulu, dia risau sekiranya abangnya tidak boleh menerima Mohamad Salahuddin. Apatah lagi, abangnya rapat dengan Abdul Azim. Dia juga risau seandainya timbul rasa pilih kasih dalam diri abangnya. Ternyata dia sudah tersalah anggap berkenaan abangnya itu.
Mohamad Salahuddin memandang wajah isterinya. “Habibi jemput Abang Suhaib sebab habibi nak minta tolong Abang Suhaib tangkapkan gambar kita sempena kita dah sebulan kahwin. Alang-alang tu, Abang Suhaib makan malam sekali dengan kita. Ha abang… Jemput duduk.”
Kelihatan Suhaibul Umar mengambil kerusi yang disorokkan di belakang tempat bergambar. Lalu, dia melabuhkan punggung dalam posisi menghadap pasangan itu.
“Apa khabar kau orang?” tanya Suhaibul Umar sambil meletakkan beg kamera DSLR miliknya di tepi kerusi.
“Alhamdulillah. Kita orang sihat je, abang. Berat badan adik pun dah naik lepas kahwin dengan Din,” balas Qistur Ruwaidah dengan selamba.
“Eh, nak cakap masakan habibi punca sayang naik berat badan ke?” kata Mohamad Salahuddin. Nampak gayanya, Qistur Ruwaidah sengaja mengenakan dirinya.
“Haah… Siapa suruh masak sedap-sedap? Naiklah berat sayang.”
Suhaibul Umar tertawa dengan gurauan manja pasangan merpati dua sejoli tersebut. Ah, sudah! Dia faham sangat. “Ha, sudah! Sementara makanan tak sampai lagi, bolehlah abang tangkap gambar kau orang.”
“Abang tak nak pesan makanan dulu?” tanya Mohamad Salahuddin.
“Eh, betul juga! Abang pun lapar ni. Menu ada tak?” ujar Suhaibul Umar.
“Ni,” kata Mohamad Salahuddin seraya menyerahkan buku menu kepada abang iparnya.
Setelah Suhaibul Umar mengetahui makanan yang diingini dan melakukan pesanan, kelihatan makanan yang dipesan oleh Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin sudah sampai terlebih dahulu.
“Kita orang tunggu makanan abang sampai dululah,” kata Mohamad Salahuddin.
“Eh, tak apa Din! Makanlah dulu. Mesti kau orang dah lapar. Muka adik pun dah tunggu masa nak terkam je,” usik Suhaibul Umar.
“Abang tengoklah apa yang adik abang pesan. Mengalahkan Din.”
Qistur Ruwaidah tersengih-sengih. “Adik lapar sangatlah… Ni yang adik pesan sampai tak ingat dunia.”
Suhaibul Umar turut tersengih. Dia sudah tahu sangat. Kalau adiknya memang lapar sangat, adiknya boleh makan dalam kuantiti yang agak banyak daripada kebiasaan. “Abang tahu, adik. Jangan malu, jangan segan sebab bukan abang yang belanja.”
Mohamad Salahuddin juga tersengih. Demi Allah… Dua beradik ini akan dia jaga sepenuh kudratnya dan membahagiakan mereka berdua tanpa syarat.
Kelihatan Qistur Ruwaidah mula menjamah mushroom soup yang dicecah bersama garlic bread. “Sedap. Cuba habibi rasa,” katanya sambil mencecah garlic bread tersebut ke dalam mushroom soup. Lalu, dia menyuakan kepada suaminya.
Mohamad Salahuddin menyambut roti tersebut. “Sedap,” pujinya.
Kemudian, Qistur Ruwaidah turut menyuakan kepada abangnya. “Sedap,” puji Suhaibul Umar.
Usai menikmati makan malam…
“Alhamdulillah… Kenyang,” beritahu Qistur Ruwaidah dengan nada kekeyangan. Ternyata dia berjaya menghabiskan semua makanan tersebut.
“Kalau tak kenyang juga, habibi tak tahulah sama ada habibi bela manusia atau piranha,” sakat Mohamad Salahuddin.
“Eiii… Habibi jahat!” kata Qistur Ruwaidah seraya menepuk lengan suaminya.
Suhaibul Umar menggelengkan kepalanya, namun dia tumpang bahagia untuk adiknya. Ternyata Mohamad Salahuddin telah memberikan kebahagiaan yang cukup mendalam buat adiknya itu.
“Jom, habibi, abang… Kita ambil gambar! Nak bergambar kat situ,” ujar Qistur Ruwaidah dengan gembira sambil langkahnya bergerak laju menuju ke arah latar belakang bercorak hati itu.
Mohamad Salahuddin dan Suhaibul Umar tersenyum dengan gelagat manja permata hati mereka berdua itu.
“Abang tangkapkan gambar kau orang,” kata Suhaibul Umar.
Kelihatan Mohamad Salahuddin menghampiri isterinya. Dia dapat menyaksikan riak wajah Qistur Ruwaidah mempamerkan kebahagiaan yang cukup mendalam. Moga senyuman bahagia isterinya itu tidak pernah sirna dari pandangannya. Segala puji bagi Allah… Qistur Ruwaidah itu penenang jiwanya!
Pasangan itu berdiri sambil Qistur Ruwaidah memaut siku kanan suaminya manakala Mohamad Salahuddin memasukkan tangan ke dalam kocek blazernya.
“Okey, satu, dua, tiga…” kata Suhaibul Umar. Lalu, dia mengetik butang kamera tersebut.
Kemudian, Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin mengubah posisi lain. Kali ini, Mohamad Salahuddin menggayakan posisi dia mencubit pipi isterinya dari belakang manakala Qistur Ruwaidah memegang tangan suaminya.
“Okey, sekarang abang nak kau orang buat macam ni,” kata Suhaibul Umar sambil dia membetulkan posisi pasangan itu.
Posisi Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin saling bersandar pada tubuh belakang masing-masing sambil berpegangan tangan. Mata masing-masing memandang ke bawah bersama perasaan penuh berbunga-bunga seperti bertebarannya kelopak-kelopak bunga yang menghiasi permukaan lantai tersebut.
“Okey… Cun! Nak lagi tak?” ujar Suhaibul Umar.
“Cukuplah. Abang dah tangkap banyak gambar kita orang,” kata Qistur Ruwaidah.
“Okey. Kalau macam tu, abang gerak dulu ya. Jumpa kat rumah.”
Setelah Suhaibul Umar hilang dari pandangan pasangan itu…
“Sayang… Seronok tak malam ni?” soal Mohamad Salahuddin.
“Mestilah. Sayang rasa bahagia sangat. Dah sebulan sayang jadi isteri habibi. Habibi dah tahu setiap kelemahan sayang tapi habibi tak menilai yang bukan-bukan pun pasal sayang. Habibi pun dah tengok macam mana sayang kena PTSD. Sayang bersyukur sangat atas penerimaan habibi pasal sakit sayang,” luah Qistur Ruwaidah.
Mohamad Salahuddin memegang wajah isterinya. “Sayang… Siapa habibi nak nilai yang bukan-bukan pasal sayang. Sayang jadi macam tu sebab masa lalu yang sayang dah lalui. Bukan sayang minta jadi macam tu. Jadi, tugas habibi untuk terus berada kat samping sayang. Bagi sokongan dan cinta buat sayang. I love you dan habibi takkan jemu cintakan sayang.”
“I love you too. Habibi… Sayang nak habibi tahu, sayang sentiasa ada bila habibi perlukan sayang.”
Mohamad Salahuddin tersenyum. “Sayang… Habibi perlukan sayang bila kita balik rumah nanti. Habibi betul-betul perlukan sayang.”
Qistur Ruwaidah juga turut tersenyum. “Jangan risau. Sayang pun perlukan habibi.”
SELASA, 1 NOVEMBER 2016
Setelah dua bulan Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin melayari bahtera rumah tangga dengan penuh bahagia dan aman…
“Assalamualaikum,” ucap Mohamad Salahuddin setelah dia pulang dari ajar mengaji Al-Quran bagi golongan remaja dan dewasa di rumah klien.
Akan tetapi, kelihatan Qistur Ruwaidah sedang terlelap di sofa. Mohamad Salahuddin menggelengkan kepalanya seraya menuju ke arah isterinya. Dia tahu isterinya sedang menunggu kepulangan dirinya. Namun, dia tidak kisah seandainya isterinya tidak menyambutnya dalam keadaan isterinya turut keletihan menghadiri kuliah pada sebelah pagi dan petang. Pada waktu malam pula, dia tahu isterinya berusaha untuk menyempurnakan tugasan atau menghadiri diskusi berkumpulan bagi tugasan subjek sama ada di kelas atau perpustakaan UIAM.
“Sayang…” ucap Mohamad Salahuddin seraya menyentuh lengan isterinya.
Qistur Ruwaidah tersedar tatkala dia merasakan sentuhan suaminya itu. Kelihatan suaminya sedang melabuhkan punggung di atas lantai sambil menghadap wajahnya. “Ha… Habibi!” gelabah Qistur Ruwaidah dibuatnya seraya dia membangunkan dirinya. Perasaan serba salah mula menjalar dalam kalbunya. Sepatutnya, dia tidak boleh terlelap! Dia perlu menyambut suaminya bersama kucupan tangan dan senyuman.
“Tak apa, sayang. Habibi faham sayang penat. Kan habibi dah pernah cakap, sayang tak payah tunggu habibi. Tidur je dulu kalau dah mengantuk sangat,” kata Mohamad Salahuddin bersama senyuman.
“Tak nak. Sayang tetap setia nak tunggu habibi. Habibi pun penat, kan. Pagi sampai petang, habibi pergi kelas. Malam pula, habibi mengajar. Lepas ni, habibi nak siapkan tugasan pula. Kesian habibi,” kata Qistur Ruwaidah. Kemudian, dia mengucup tangan suaminya.
Sekali lagi, Mohamad Salahuddin tersenyum. Lalu, dia mengubah posisi untuk duduk bersebelahan dengan isterinya. Dia mengelus rambut isterinya. “Taklah. Habibi tak penat pun. Okey je. Dah biasa. Habibi lagi risau kat sayang. Sayang pergi tidur ya.”
“Habibi… Emm… Terima kasih sebab habibi berusaha untuk cari nafkah yang halal untuk keluarga kita. Sayang minta maaf kalau sayang ada buat salah dan tak membantu habibi,” luah Qistur Ruwaidah sambil menggenggam erat tangan suaminya itu. Tangan yang telah memberikan nafkah buat dirinya tanpa culas.
Mohamad Salahuddin menyentuh dagu isterinya sambil memandang sang isteri dengan penuh cinta. Sebuah kucupan dihadiahkan di dahi dan kening isterinya. “Sama-sama sayang manja habibi ni. Sayang… Mana ada sayang tak membantu habibi. Sayang dah banyak tolong habibi uruskan hal rumah. Masakkan untuk habibi, gosokkan pakaian habibi… Apa lagi… Kan kita saling melengkapi antara satu sama lain. Terima kasih juga ya, sayang.”
Qistur Ruwaidah tersenyum. Pandangan suaminya… Penuh romantis! “Sama-sama habibi. Ah ya, habibi… Habibi nak minum atau makan apa-apa? Sayang nak sediakan untuk habibi.”
“Tak apa, sayang. Habibi cuma nak sayang ada kat samping habibi je sebelum sayang sambung tidur.”
“Okey. Habibi nak ajak borak apa-apa ke?”
“Habibi ada kejutan untuk sayang. Sebenarnya, album dan video untuk akad nikah dan majlis kesyukuran dah siap. Habibi pergi ambil kat studio petang tadi.”
Wajah Qistur Ruwaidah terus menjadi teruja. “Wah! Mana album dan video tu habibi? Cepat pula LurveMahabbah siapkan!”
Mohamad Salahuddin tersenyum seraya mengambil dua buah non-woven bag yang terletak di atas lantai. Lalu, dia menyerahkan dua buah beg tersebut kepada isterinya. “Ada empat gambar dalam bentuk frame, dua album dan satu pendrive. Semua gambar dalam bentuk digital dan video ada dalam pendrive.”
Qistur Ruwaidah segera mengeluarkan kesemua barang-barang tersebut seraya tersenyum. Wajahnya berubah menjadi sangat bahagia. Sudah siap semuanya! Selepas ini, bolehlah dia menatap kenangan-kenangan manis itu tanpa jemu.
Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin membelek-belek album akad nikah terlebih dahulu.
“Eh, gambar sayang masa sayang nak salam habibi! Aduh, malunya!” kata Qistur Ruwaidah dengan nada teramat malu. Tiba-tiba dia teringat semula kenangan itu. Buat kali kelima, barulah dia mampu menyentuh tangan suaminya untuk menyarung cincin sempena upacara pembatalan air wuduk.
“Habibi suka tengok sayang masa ni. Bukti sayang jaga diri sayang selama ni,” kata Mohamad Salahuddin bersama senyuman tatkala dia menyaksikan riak wajah isterinya dalam gambar itu.
“Sampai sekarang sayang tak percaya. Dah dua bulan sayang kahwin dengan habibi. Macam baru je habibi lamar sayang masa bulan dua dulu. Lagi tiga bulan, genap setahun habibi lamar sayang.”
Mohamad Salahuddin meletakkan tangan kirinya di atas bahu isterinya. “Sayang… Habibi pun rasa macam mimpi. Perempuan yang habibi selalu rindu, sekarang dah ada kat sisi habibi pun. Dah jadi isteri habibi pun. Syukur sangat. Habibi dah tak rasa sakit rindukan sayang. Sekarang, kalau habibi rindu, habibi boleh terus cakap dengan sayang atau kalau kita berpisah, habibi boleh terus hubungi sayang. Kalau dulu, habibi menangis. Yalah… Masa tu, kita tak kahwin lagi, kan. Habibi hanya boleh luah kat Allah betapa habibi rindu sangat kat sayang.”
Qistur Ruwaidah segera merangkul erat pinggang suaminya. “Aloo… Kesiannya habibi dulu. Sayang pun nak minta maaf sangat sebab sayang terlambat sedar dengan perasaan habibi. Sayang rasa teruk sangat dulu. Kenapalah sayang tak sedar lebih awal? Kalau tak, kita kahwin tahun lepas.”
Wajah Mohamad Salahuddin terkejut seketika. “Seriuslah sayang okey kalau habibi lamar sayang tahun lepas? Kalau habibi tahu macam tu, baik habibi lamar sayang lepas sayang tamat belajar asasi. Buat penat habibi je pendam perasaan sampai tiga tahun.”
Qistur Ruwaidah tertawa. “Isy, seram pula bila habibi cakap macam tu! Sayang tarik baliklah apa yang sayang cakap tadi. Sayang gurau je. Sayang pun tak sedia kalau habibi lamar sayang masa tu… Dengan sayang tak berapa kenal habibi.”
Mohamad Salahuddin turut tertawa. “Boleh pula macam tu tapi sayang… Tak ada istilah terlambat pun. Habibi rasa, kita berdua buat keputusan dalam masa yang tepat. Ikutkan, habibi pun tak sedia nak lamar sayang tahun lepas sebab kewangan habibi tak stabil lagi masa tu tapi Allah mudahkan habibi untuk tahun ni. Rezeki mencurah-curah. Mungkin sebab Allah tahu habibi dah sedia nak galas tanggungjawab tahun ni. Lepas habibi kahwin dengan sayang pun, lagilah rezeki habibi mencurah-curah. Ada je klien baharu yang nak belajar dengan habibi tanpa henti. Satu lagi, habibi lupa nak beritahu sayang. Adalah juga beberapa orang pelanggan nak suruh habibi buka balik tempahan nasi berlauk. Untuk individu ada, untuk majlis pun ada.”
“Subhanallah! Seronoknya sayang dengar! Sayang akan sentiasa sokong apa jua yang habibi buat. Tiba-tiba sayang nak belajarlah cara nak buat nasi berlauk. Boleh tolong ringankan kerja habibi. Bila agaknya habibi nak buka tempahan?”
“Boleh sayang. Habibi pun rasa tak mampu kalau nak buat seorang macam dulu. Kalau dulu, komitmen tak banyak sangat macam sekarang. Kalau ikut perancangan, Insya-Allah dalam bulan Februari tahun depan. Sekarang ni, habibi nak fokus untuk kelas mengaji dan tuisyen dulu. Satu lagi, habibi rasa… Penat habibi untuk majlis pun tak hilang lagi. Rasa macam nak pergi mengurut pula.”
“Tadi, habibi cakap habibi tak penat. Habibi tipu… Sayang tahu habibi penat sangat. Belajar dan kerja dalam waktu yang sama,” kata Qistur Ruwaidah dalam nada merajuk. Lalu, dia memuncungkan bibirnya.
Mohamad Salahuddin tersengih. Ah, betapa dia suka menyaksikan wajah rajuk isterinya yang penuh manja itu. “Maaflah sayang. Habibi tak nak sayang risau. Ya, habibi mengaku. Habibi penat tapi habibi tak boleh nak layan rasa penat ni. Kalau tak, siapa nak bagi nafkah kat sayang kalau bukan habibi.”
Qistur Ruwaidah meluahkan kegusarannya. “Tak boleh ke kalau habibi rehat dalam sehari untuk waktu malam? Kiranya, habibi fokus untuk buat tugasan je. Sayang risau dengan kesihatan habibi. Sayang tak nak habibi terlalu kuat bekerja.”
“Sebenarnya, masa habibi bujang, memang habibi kerja setiap malam. Sabtu dan Ahad pun habibi kerja tapi lepas dah kahwin dengan sayang, habibi dah tak kerja untuk dua hari tu sebab habibi tahu habibi dah kahwin dan kena bagi perhatian kat sayang. Tak boleh terlalu fokus untuk kerja. Kiranya, habibi dah kurangkan waktu bekerja hari Isnin sampai Jumaat je. Sayang jangan risau. Biasanya kalau kelas untuk minggu ke-12 dan ke atas, memang habibi akan berhenti kerja sekejap sebab nak fokus untuk pembentangan, tugasan dan peperiksaan tapi buat masa sekarang, memang habibi tak boleh ambil cuti rehat sehari.”
“Kalau macam tu, sayang tak boleh nak cakap apa. Sayang hormati keputusan habibi. Habibi lagi tahu apa yang terbaik untuk habibi.”
“Sayang… Habibi tahu sayang risaukan habibi tapi habibi akan cuba sedaya upaya habibi untuk jaga kesihatan habibi. Sayang jangan merajuk pula. Susah habibi nak pujuk tahu.”
Qistur Ruwaidah mencubit kedua-dua belah pipi suaminya. “Eii… Bila masa sayang merajuk! Habibi ni pandai-pandai je tahu!”
“Aduh! Sakitlah, sayang! Janganlah cubit pipi habibi,” Mohamad Salahuddin mengadu dalam kesakitan sambil mengusap kedua-dua belah pipinya.
“Ha, tahu pun sakit! Siapa suruh usik sayang. Kan dah mendapat!”
Akhirnya, Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin tertawa dengan penuh bahagia. Kemudian, mereka menatap gambar akad nikah yang seterusnya, iaitu sewaktu mereka berdua membuat gaya acah-acah terkejut.
“Ya Allah… Gambar ni! Masa ni, sayang nak pandang muka habibi, sayang rasa macam pelik. Pelik campur malu,” kata Qistur Ruwaidah sambil tersengih.
Mohamad Salahuddin memuncungkan bibirnya. “Pelik? Sampai hatinya sayang cakap macam tu! Habibi ni alien ke?”
Qistur Ruwaidah mencebikkan wajahnya. “Aloo… Mengadanya habibi ni! Bukan alienlah. Emm… Mungkin sebab habibi dulu kawan sayang. Tiba-tiba jadi suami sayang. Ha, macam tu! Kena pandang pula habibi. Sayang malulah.”
“Sayang rasa habibi kacak tak masa ni?”
“Sebenarnya, dah lama sayang rasa habibi ni kacak sejak kita jumpa kat Kafe KENMS dulu. Cuma, yalah… Takkan sayang nak cakap masa tu. Bukannya kita kahwin lagi.”
Wajah Mohamad Salahuddin berubah menjadi sangat ceria. “Wah, habibi kena belanja makan esok ni! Sayang nak apa?”
Qistur Ruwaidah tertawa kecil. “Isy, habibi! Tak perlulah sampai nak belanja sayang. Habibi ni pantang betul kalau sayang puji.”
“Mestilah. Sayang kena faham… Habibi mana pernah belanja mana-mana perempuan kecuali sayang je hatta sebelum habibi lamar sayang, habibi tak pernah sesekali pun belanja perempuan lain.”
“Wah, sayang rasa terharu pula! Kalau macam tu, esok… Emm… Habibi, sayang teringin nak makan sushi. Boleh tak? Sebab sayang tak pernah makan. Sayang pernahlah tengok harga sushi dengan Abang Suhaib. Mahal juga. Kita orang tak mampu,” luah Qistur Ruwaidah sambil memandang suaminya dengan penuh pengharapan. Matanya mula berkaca dan tumpas.
Mohamad Salahuddin memandang wajah isterinya. Alangkah runtunnya hati sang suami itu tatkala isterinya meluahkan keinginannya. Sedangkan dirinya, menikmati sushi pada setiap bulan merupakan satu kewajipan bagi dirinya dan adiknya. Ah, kasihan isterinya itu! Apatah lagi, dia sedang menyaksikan air mata isterinya. Dia tidak boleh! Dia segera menyeka air mata sang isteri itu. “Shhh… Jangan menangis, sayang. Okey, okey. Esok, kita pergi makan sushi sekali dengan Abang Suhaib ya. Sekejap lagi, habibi tanya Abang Suhaib kalau dia lapang. Habibi belanja.”
Tatkala itu, Qistur Ruwaidah segera mendakap suaminya dengan erat. Mohamad Salahuddin membiarkan isterinya bertenang seketika. Jujur, jiwanya terlalu luluh mendengar tangisan Qistur Ruwaidah.
MAJLIS KONVOKESYEN UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA (UIAM) KALI KE-32 / INTERNATIONAL ISLAMIC UNIVERSITY MALAYSIA (IIUM) 32ND CONVOCATION CEREMONY 2016 (5 - 7 NOVEMBER 2016)
SESI 6, 7 NOVEMBER 2016 (ISNIN)
CULTURAL ACTIVITY CENTRE (CAC)
Kelihatan Suhaibul Umar segak berpakaian jubah konvokesyen rona biru firus atau turquoise bersama hoodie rona ungu dan topi mortabod, iaitu sejenis topi segi empat yang mempunyai rumbai yang terjurai daripada bahagian tengah tajuk ke sisi.
Di bahagian dalam jubah konvokesyennya, dia mengenakan kemeja rona pic gelap, bertali leher rona coklat dan berseluar slack rona hitam. Juga, dia mengenakan sepasang stoking dan kasut kulit rona hitam yang dihadiahi oleh adik dan adik iparnya.
Suhaibul Umar telah selamat bergelar sebagai graduan Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar atau Kulliyyah of Architecture and Environmental Design (KAED) di bawah cabang Ijazah Sarjana Muda Seni Gunaan dan Seni Reka (Kepujian) atau Bachelor of Applied Arts and Design (Honours).
Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin turut menemani Suhaibul Umar sebagai dua orang wakil yang boleh memasuki ke dalam dewan CAC. Betapa pasangan itu bangga dan terharu tatkala Suhaibul Umar merupakan mahasiswa KAED terbaik secara keseluruhan dan ketika Suhaibul Umar berucap sempena valedictory speech atau ucapan perpisahan.
“Abang okey?” tanya Qistur Ruwaidah sambil membetulkan hoodie rona ungu Suhaibul Umar di bahagian belakang.
“Insya-Allah. Abang okey je. Adik jangan risau. Mana Din?” ujar Suhaibul Umar.
Qistur Ruwaidah tersengih. “Sebenarnya, keluarga Din pun datang juga. Din tengah pergi kat keluarga dia sebab keluarga dia tersesat pula kat kawasan masjid.”
Suhaibul Umat turut tersengih. “Dah faham sangat. Kalau tak sesat dalam UIA ni, tak sah.”
Tiba-tiba telefon bimbit Suhaibul Umar berbunyi. Dia tersenyum tatkala melihat nama pemanggil tersebut. Lalu, dijawabnya panggilan itu. “Helo, assalamualaikum…”
Qistur Ruwaidah tertanya-tanya juga siapakah pemanggil yang telah membuatkan abangnya tersenyum gembira. Adakah abangnya sudah menemui kekasih hati?
Tiba-tiba Qistur Ruwaidah ternampak abangnya sedang mengesatkan air matanya. Lalu, Suhaibul Umar mematikan panggilan tersebut.
“Kenapa abang? Siapa hubungi abang? Kenapa tiba-tiba abang menangis pula ni?” soal Qistur Ruwaidah bertalu-talu.
“Keluarga abah dah sampai UIA. Dia orang kat parkir KICT,” luah Suhaibul Umar dengan sebaknya.
Tidak lain tidak bukan, iaitu keluarga Inspektor Anwar yang merupakan keluarga angkat Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah. Sejujurnya, Suhaibul Umar teringat akan arwah ibu bapa dan tiga orang adiknya.
“Alhamdulillah. Seronoknya keluarga abah pun ada sekali. Meriahlah hari ni. Tak sabar juga nak jumpa Kak Rahah, Abang Zabdan, Darirah, Adriana, Unaisah dan Ubbad. Kali terakhir jumpa masa majlis kesyukuran adik bulan September lepas.”
Inspektor Anwar dan Puan Raihan mempunyai enam orang anak. Rahah berusia tua dua tahun daripada Suhaibul Umar, iaitu 25 tahun. Zabdan pula sebaya dengan Suhaibul Umar, iaitu berusia 23 tahun. Darirah sebaya dengan Qistur Ruwaidah, iaitu 21 tahun. Adriana pula muda empat tahun daripada Qistur Ruwaidah, iaitu berusia 17 tahun serta pasangan kembar tidak seiras, iaitu Unaisah dan Ubbad muda lima tahun daripada Adriana, iaitu berusia 12 tahun.
“Allah tu Maha Adil, kan adik? Dia ambil keluarga kita tapi Dia gantikan dengan keluarga abah. Abang bersyukur sangat anak-anak abah pun dapat terima kita. Walaupun kita tak tinggal dengan keluarga abah sebab faktor aurat tapi kasih sayang keluarga abah, kita tak dapat nafikan, kan?” luah Suhaibul Umar.
“Betul. Bukan keluarga abah je… Keluarga Abang Afkar, keluarga Din dan keluarga Azim juga,” balas Qistur Ruwaidah.
Suhaibul Umar tersentak tatkala adiknya menyebut nama Abdul Azim. Dia tahu bahawa adiknya mengetahui akan keakraban dirinya bersama lelaki itu, namun dia juga pasti bahawa adik dan adik iparnya masih belum mengetahui bahawa Abdul Azim sudah terlantar koma setelah dua bulan akibat kemalangan langgar lari dahulu.
Lagi tiga hari, genap dua bulan peristiwa majlis kesyukuran adiknya dan juga, Abdul Azim ditimpa kemalangan. Alangkah kalau Abdul Azim ada pada hari konvokesyennya ini seperti yang pernah dijanjikan oleh sahabat baiknya itu buat dirinya.
“Konvokesyen abang bila?” tanya Abdul Azim.
“Insya-Allah bulan November ni,” balas Suhaibul Umar.
“Okey. Insya-Allah Azim datang nanti. Tak sabar nak berkonvokesyen lagi dua tahun. Nak dapatkan semangat daripada abang.”
Suhaibul Umar tersenyum hambar dalam diam tatkala dia teringat akan kata-kata Abdul Azim itu. Perancangan Ilahi mengatasi perancangan manusia. Abdul Azim sedang koma dan entah bila dia akan sedar. Pengajian Abdul Azim juga terpaksa ditangguhkan dan telah dimaklumkan kepada pihak kulliyyah (fakulti).
“Suhaib…” panggil seseorang.
Suhaibul Umar menoleh ke belakang. Kelihatan Afkar Irsyad bersama ahli keluarganya! Dia segera menghampiri ke arah keluarga kawan baiknya itu.
Qistur Ruwaidah tersenyum menyaksikan kehadiran keluarga kawan baik sekolah menengah abangnya itu. Dalam diam, dia dan Afkar Irsyad telah berpakat untuk melakukan kejutan buat Suhaibul Umar.
“Tahniah bro. Aku bangga tengok kau berucap kat atas pentas. Kalau mama baba kau ada lagi, mesti mama baba bangga sangat dengan kau,” ucap Afkar Irsyad setelah dia bersalaman dengan berpelukan dengan sahabat baiknya itu.
Menjelang hari konvokesyen juga, hadirin yang tidak dibenarkan masuk ke dalam dewan CAC sepanjang majlis konvokesyen berlangsung, mereka boleh menonton secara siaran langsung di Main Auditorium atau menerusi Youtube.
Tatkala itu, Suhaibul Umar berasa sebak. Betapa dia amat merindui arwah ibu bapanya! Namun, dia cuba tahan daripada air matanya mengalir keluar. “Insya-Allah bro. Kau doakan mama, baba dan tiga orang adik aku sentiasa tenang kat sana ya,” pintanya.
“Insya-Allah Suhaib. Aku tak pernah lupa doakan untuk keluarga kau,” balas Afkar Irsyad.
“Kau dengan keluarga kau ada kat sini dari bila?” soal Suhaibul Umar.
“Dari pukul 8.00 pagi tadi. Aku berhubung dengan adik kau. Saja keluarga aku nak buat kejutan kat kau. Tadi, kita orang tengok kau kat ‘Main Auditorium’lah.”
Suhaibul Umar memandang Qistur Ruwaidah seketika. Kelihatan adiknya tersengih nakal. Namun, dia berasa amat terharu!
Tidak lama kemudian, kelihatan keluarga Mohamad Salahuddin dan keluarga Inspektor Anwar juga turut tiba di padang CAC. Masing-masing mengucapkan tahniah buat Suhaibul Umar dan bangga dengan anugerah yang diterima oleh sang graduan itu.
Suhaibul Umar juga turut tidak ketinggalan untuk bersalaman dengan Encik Mohd Firdaus, Inspektor Anwar dan adik-beradik lelaki angkatnya, iaitu Zabdan dan Ubbad.
Selain itu, Suhaibul Umar turut menerima beberapa jambangan bunga dan hadiah daripada tiga buah keluarga itu. Ternyata Suhaibul Umar berasa amat terharu di atas pemberian-pemberian tersebut.
‘Mama, baba, Dik Qina, Dik Harraz dan Dik Harzan… Hari ni, abang dah jadi graduan UIA untuk Bachelor of Applied Arts and Design (Honours), KAED. Alhamdulillah. Impian abang dah tercapai. Kan seronok kalau mama baba tengok abang naik pentas dan tengok abang berucap. Kan seronok juga kalau semua ada masa konvokesyen abang hari ni. Abang dan Dik Qist rindu,’ bisik hati Suhaibul Umar.
Hatinya berbisik lagi. ‘Suhaib… Kau kena kuat. Allah dah gantikan dengan keluarga abah, keluarga Afkar dan keluarga Din untuk hari ni. Ya Allah… Moga Kau pertemukan mama, baba, aku, Dik Qina, Dik Qist, Dik Harraz dan Dik Harzan di Syurga nanti. Masukkanlah kami semua ke Syurga-Mu tanpa hisab. Rindu aku untuk mama, baba, Dik Qina, Dik Harraz dan Dik Harzan takkan pernah mati.’
“Abang… Adik ada bawa gambar mama baba. Gambar kita semua masa kecil pun adik bawa juga,” beritahu Qistur Ruwaidah.
Suhaibul Umar tersenyum, menahan gelora kesedihan. Namun, memang itu juga di antara niatnya mahu bergambar bersama foto arwah ibu bapanya dan adik-adiknya pada hari bersejarah ini. Tambahan pula, dia juga sudah berhasrat untuk memakai pakaian konvokesyennya itu bagi bergambar di tanah perkuburan keluarganya nanti dan ‘memaklumkan’ kepada lima orang ahli keluarganya itu bahawa dia telah tamat belajar dengan jayanya.
Afkar Irsyad menjadi jurugambar pada hari bersejarah Suhaibul Umar. Lalu, dia mengabadikan gambar Suhaibul Umar bersama foto arwah ibu bapanya terlebih dahulu. Riak wajah Suhaibul Umar kelihatan biasa dan senyumannya hambar, penuh keterpaksaan.
Akhirnya, Suhaibul Umar tidak mampu menahan sebaknya lagi. Dia menitiskan air mata yang ditahan sejak dalam dewan CAC tadi. “Aku minta maaf, Afkar. Aku terpaksa berhenti sekejap.”
Qistur Ruwaidah segera mendapatkan abangnya. Mana mungkin dia juga tidak sebak menyaksikan air mata abangnya. Dia juga merindui keluarganya yang telah tiada. Sama seperti abangnya!
Keluarga Mohamad Salahuddin, keluarga Afkar Irsyad dan keluarga Inspektor Anwar turut tersentuh menyaksikan keadaan Suhaibul Umar. Namun, masing-masing memberikan ruang buat Suhaibul Umar untuk bertenang dahulu bersama Qistur Ruwaidah.
Suhaibul Umar menangis teresak-esak. Qistur Ruwaidah turut menghadiahkan kekuatan buat abangnya dengan menggosok tubuh belakang lelaki itu.
“A… Abang rindu keluarga kita, adik. A… Abang nak keluarga kita ada hari ni. Abang tak kuat nak bergambar dengan foto mama baba dan adik-adik. Apatah lagi, nak pergi kubur keluarga kita sambil pakai jubah konvokesyen ni nanti tapi abang tahu abang kena kuat. J… Jujur, a… abang tak kuat, adik,” luah Suhaibul Umar dalam tangisan.
Qistur Ruwaidah segera mendakap abangnya. “Adik tahu, abang. Adik pun rindu. Patutnya, mama dan baba yang masuk kat dalam tadi. Bukan adik dan Din. Abang… Walaupun keluarga kita dah tak ada, kita masih ada keluarga abah, keluarga Abang Afkar dan keluarga Din. Adik tahu tak sama tapi anggap je, dia orang memeriahkan hari bersejarah abang. Ramai yang sayangkan abang. Buktinya, dia orang ada untuk abang hari ni.”
Lama dua beradik itu berpelukan. Qistur Ruwaidah tidak jemu memberikan kata-kata semangat supaya abangnya mampu tersenyum pada hari ini dan kuat untuk bergambar dengan insan-insan yang menghadiri hari konvokesyen abangnya itu.
Setelah tangisan dan emosi Suhaibul Umar sudah reda, dia dan adiknya menghampiri semula ke arah tiga buah keluarga itu bersama senyuman. “Minta maaf semua,” ucapnya.
Semua yang hadir tersenyum lega menyaksikan senyuman Suhaibul Umar walaupun mata lelaki itu masih kelihatan merah, namun mereka tahu bahawa sang graduan itu masih berperang dengan perasaan gembira dan sedih.
Atas bantuan jurufoto UIAM, gabungan empat buah keluarga, iaitu Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah, keluarga Inspektor Anwar, keluarga Afkar Irsyad dan keluarga Mohamad Salahuddin bersatu dalam satu gambar dengan menggunakan kamera Afkar Irsyad.
Kemudian, Afkar Irsyad mengabadikan gambar Suhaibul Umar bersama Qistur Ruwaidah terlebih dahulu. Tidak dilupakan juga, gambar bersama foto arwah Puan Mahfuzah dan Encik Isyraf Imrani serta arwah Qinawiyur Ruhiyah, Harrazul Umair dan Harzanul Uzair.
Seterusnya, sesi bergambar di antara Suhaibul Umar bersama Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin. Suhaibul Umar berdiri di tengah sambil diapit oleh Mohamad Salahuddin di sebelah kanan dan Qistur Ruwaidah di sebelah kiri. Demi insan-insan yang disayangi oleh Suhaibul Umar yang sedang berada di kanan dan kirinya itu, dia cuba mengukir senyuman paling gembira.
Tidak dilupakan juga, gambar kenangan di antara Suhaibul Umar dengan keluarga Inspektor Anwar terlebih dahulu. Kemudian, sesi bergambar bersama keluarga Afkar Irsyad pula. Akhir sekali, bersama keluarga Mohamad Salahuddin.
Atas bantuan Qistur Ruwaidah juga, dia mengabadikan kenangan Suhaibul Umar bersama Afkar Irsyad. Sahabat sejati sejak tingkatan satu pada tahun 2006 dulu. Bermakna, sudah 10 tahun mereka berdua menjadi sahabat baik.
Suhaibul Umar turut bergambar dengan ayah dan ibu angkatnya sahaja tanpa adik-beradik angkatnya. Kemudian, dia bergambar bersama adik-beradik angkatnya pula tanpa ibu bapa angkatnya.
Kelihatan Inspektor Anwar dan Puan Raihan turut memberikan semangat buat anak angkat mereka itu.
“Abah tahu Suhaib rindu mama, baba dan adik-adik Suhaib. Abah pun tumpang sedih untuk Suhaib tapi Suhaib… Suhaib anak abah yang kuat dari kecil. Qist sekali. Allah tahu Suhaib dan Qist mampu. Dia sayang sangat kat Suhaib dan Qist. Abah bangga dengan Suhaib sebab Suhaib dah berjaya sampai ke peringkat ni. Dah ada ijazah yang Suhaib idamkan. Siap terima anugerah dan berucap kat depan orang ramai tadi. Allah Maha Mengetahui semua ni, Suhaib. Allah Maha Adil,” ucap Inspektor Anwar.
“Suhaib tahu Suhaib tak patut sedih hari ni, abah, ibu… Tapi, Suhaib tetap terbayangkan keluarga Suhaib. Suhaib terlalu rindukan keluarga Suhaib,” luah Suhaibul Umar dengan nada perlahan.
“Tak apa, Suhaib. Tak salah pun Suhaib nak rasa sedih. Kami semua faham untuk Suhaib. Esok… Kalau Suhaib lapang, Suhaib beritahu ibu tahu sebab ibu nak masak makanan kegemaran Suhaib sempena Suhaib dah berkonvokesyen hari ni. Ajak Qist dan Din sekali,” kata Puan Raihan.
“Insya-Allah ibu. Apa-apa hal, Suhaib akan maklumkan balik kat ibu dalam malam nanti,” kata Suhaibul Umar.
Setelah keluarga Inspektor Anwar, keluarga Afkar Irsyad dan keluarga Mohamad Salahuddin pulang, tinggallah Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin menemani Suhaibul Umar.
“Abang… Sebenarnya, kita orang ada kejutan untuk abang tapi abang kena ikut kita orang dulu,” kata Qistur Ruwaidah. Kemudian, dia tersengih.
“Kau orang ni… Tak habis-habis dengan kejutan tapi sebelum tu, boleh tak kalau kita letak dulu hadiah-hadiah ni dalam kereta abang? Banyak juga ni nak kena bawa. Abang parkir kereta abang tak jauh dari KAED,” pinta Suhaibul Umar.
“Betul juga. Okey. Lepas tu, kita kena pergi Center tahu. Kejutan abang ada kat situ. Alang-alang, kita tangkap gambar kat kedai gambar kawasan situ. Jangan tanggalkan lagi jubah konvokesyen tu. Bawa juga skrol dan hadiah anugerah tu sekali,” kata Mohamad Salahuddin pula.
Suhaibul Umar menggelengkan kepala. “Kau orang ni… Ada-ada je. Okeylah, okeylah… Abang ikut je arahan kau orang.”
Ah, pasangan suami isteri itu! Ada sahaja agenda mereka berdua buat dirinya. Dalam beberapa minggu lepas, pasangan itu membawa dirinya ke kedai baju dan kedai kasut sebagai hadiah untuk dipakai pada hari konvokesyennya. Sekarang ini, apa pula kejutannya?
Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin sudah tersenyum-senyum buat abang kesayangan mereka berdua itu.
Setelah selesai urusan meletakkan hadiah-hadiah di dalam kereta Suhaibul Umar, mereka bertiga menuju pula ke Center atau dikenali juga sebagai Business Compound.
“Abang tunggu kat sini sekejap ya. Pejam mata tahu,” kata Qistur Ruwaidah.
Suhaibul Umar hanya menuruti arahan adiknya itu.
Kemudian, Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin segera mengambil barang kejutan yang ditempah pada dua hari lepas sewaktu mereka berdua menziarahi UIAM bagi merasai kemeriahan konvokesyen UIAM dan bazar-bazar yang tersedia di sekitar Business Compound dan Convest Hill.
Dua hari sebelum majlis konvokesyen Suhaibul Umar…
“Sayang… Sekarang tengah musim konvokesyen. Nak pergi UIA tak? Boleh kita dapatkan gambaran awal untuk majlis konvokesyen kita dalam tiga tahun lagi. Boleh juga kita bersedia untuk konvokesyen Abang Suhaib nanti,” kata Mohamad Salahuddin.
Wajah Qistur Ruwaidah berubah ceria. “Mestilah sayang nak! Sayang tak sabar tahu nak bergambar dengan Abang Suhaib kat kedai gambar sekitar Centre tu. Dulu, sebelum habibi lamar sayang, memang sayang dah berangan nak bagi bunga dan coklat kegemaran Abang Suhaib. Lepas tu, sayang dan Abang Suhaib tangkap gambar kat studio kedai gambar tu,” katanya dengan penuh gembira.
Mohamad Salahuddin merangkul pinggang isterinya. Lalu, dia mengucup pipi isterinya. “Kalau macam tu, jom kita bersiap sekarang. Nanti kita buat kejutan kat Abang Suhaib. Kita bagi apa yang sayang nak bagi kat Abang Suhaib nanti.”
“Yeay! Alhamdulillah! Terima kasih habibi! I love you!”
“Sama-sama sayang. I love you too, my sweetheart.”
Terkenangkan akan peristiwa itu, Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin saling berpandangan sesama mereka berdua setelah mereka berdua mengambil tempahan tersebut.
“Mesti Abang Suhaib suka. Kan habibi?” ujar Qistur Ruwaidah.
“Insya-Allah. Mesti punya. Kita dah janji nak bagi yang terbaik untuk Abang Suhaib,” balas Mohamad Salahuddin.
Lalu, pasangan itu menghampiri Suhaibul Umar yang sedang melabuhkan punggung di atas bangku yang tersedia. Kelihatan Suhaibul Umar sedang menundukkan wajahnya dan matanya masih tertutup.
“Abang masih pejam mata, kan?” tanya Qistur Ruwaidah.
“Ya. Abang dah boleh buka mata ke belum ni?” balas Suhaibul Umar.
“Dah boleh.”
Tatkala Suhaibul Umar membuka matanya, kelihatan Qistur Ruwaidah sedang memegang sejambak bunga dihiasi dengan bunga kegemarannya, iaitu bunga matahari, orkid dan baby’s breath serta beberapa coklat kegemarannya, iaitu Kinder Bueno, Twix, Cadbury Top Deck, Cadbury Zip dan Kit Kat bersama sebuah bubble balloon yang tertera:
Mabruk (Tahniah) Abang Suhaibul Umar!
Daripada adik-adik, Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin
Mohamad Salahuddin pula memegang sebuah hadiah berbentuk segi empat tepat dan bersaiz sederhana dan ianya dibalut dengan menggunakan kertas surat khabar. Sesuai dengan minat Suhaibul Umar yang sukakan seni dan minimalis.
Suhaibul Umar mula terasa sebak. “Ya Allah… Apa ni kau orang… A… Abang…”
“Tahniah abang. Abang layak untuk gembira hari ni,” ucap Mohamad Salahuddin.
Suhaibul Umar segera mendakap adik-adiknya itu. “T… Terima kasih adik-adik abang. A… Abang tak tahu nak cakap macam mana,” ucapnya. Lalu, dia meleraikan dakapan itu.
“Sama-sama abang. Hari ni, hari kegembiraan abang. Tengok jambangan bunga ni. Apa yang abang suka, semua ada tahu,” kata Qistur Ruwaidah dengan penuh ceria.
Sang graduan itu mengambil jambangan bunga terlebih dahulu. Betapa bahagianya dia tatkala bunga-bunga dan coklat-coklat kegemarannya berada dalam satu jambangan itu. Senyumannya bertukar menjadi sangat lebar. Sekejap lagi, bolehlah dia menggunakan bunga dan belon tersebut sebagai alatan (props) bergambar bersama skrol UIAM dalam bentuk papan rona hijau serta hadiah anugerah di kedai gambar yang tidak jauh dari tempat mereka bertiga itu.
“Sekali lagi, terima kasih sangat untuk bunga ni, adik, Din. Abang terharu,” balas Suhaibul Umar.
“Sama-sama. Nah, hadiah ni pun mesti abang akan suka. Abang kena buka depan kita orang,” balas Mohamad Salahuddin.
Suhaibul Umar tersenyum. Lalu, dia mengambil hadiah tersebut daripada Mohamad Salahuddin. Kelihatan Qistur Ruwaidah sedang merakam kenangan itu.
Memandangkan pembalut surat khabar itu kelihatan cantik dan dibalut dengan kemas, Suhaibul Umar memandang adik-adiknya itu. Rasa sayang pula untuk dia mengoyakkan pembalut itu. “Sayangnya nak koyak. Masalahnya, cantik sangat walaupun guna surat khabar je.”
“Tak apa. Koyak je. Memang kita orang saja suruh orang kedai tu balut dengan kertas surat khabar supaya abang tak rasa serba salah nak koyak,” balas Mohamad Salahuddin.
Akhirnya, Suhaibul Umar mengoyakkan pembalut itu. Alangkah terkejutnya dia apabila dia menerima hadiah, iaitu sebuah kereta kawalan jauh sempena hari konvokesyennya itu. Memang itu merupakan salah satu barang impiannya sejak kecil dan Encik Isyraf Imrani pernah berjanji untuk membelikan alat permainan tersebut kepada dirinya pada suatu ketika dahulu.
“Ya Allah… Adik, Din… Dari mana kau orang tahu abang nak kereta mainan ni?” luah Suhaibul Umar. Semakin sebaklah dibuatnya.
“Abang pernah cakap kat adik dulu. Masa kita belajar kat SMIB. Abang cakap abang teringin nak kereta mainan macam ni masa abang pergi sambut hari jadi kawan abang nama apa entah kat rumah dia dulu. Sampai sekarang adik ingat. Cuma, adik tak mampu nak bagi. Adik pendam je. Sekarang, alhamdulillah tercapai hasrat adik nak bagi kat abang. Adik dan Din kongsi duit nak belikan kereta mainan ni untuk abang,” terang Qistur Ruwaidah.
Suhaibul Umar terduduk lemah di atas bangku. Dia benar-benar terharu! Sekali lagi, air matanya mengalir. Demi Allah, Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin itu penguat semangatnya!
“Abang… Janganlah menangis. Adik nak menangis juga ni,” pujuk Qistur Ruwaidah.
“Baba dulu pun pernah janji nak belikan kereta mainan macam ni kat abang. Abang rindu baba,” luah Suhaibul Umar dengan teresak-esak. Kotak kereta mainan itu dipegang seerat-eratnya. Seolah-olah dia terasa keberadaan Encik Isyraf Imrani di sisinya pada ketika ini.
Mohamad Salahuddin menjadi pemerhati. Biarlah Qistur Ruwaidah menyantuni abangnya itu terlebih dahulu. Dia tahu jiwa abang iparnya bercampur-baur. Pada hari ini, dia menjadi saksi betapa hancurnya hati sang wali itu merindui ahli keluarga yang telah tiada. Selama ini, dia mengenali Suhaibul Umar sebagai seorang abang dan wali yang cukup tenang. Akan tetapi, dia juga mengerti betapa abang iparnya itu telah melalui penderaan yang jauh lebih teruk daripada isterinya dan itu membuatkan abang iparnya menjadi terlalu sensitif pada hari yang penuh bersejarah ini.
Qistur Ruwaidah memandang suaminya sambil memberikan isyarat agar memberikan ruang kepada Suhaibul Umar buat sementara waktu. Mohamad Salahuddin mengangguk. Lalu, dia melabuhkan punggung di sebelah isterinya.
“Abang ni lemah, kan? Hari ni, asyik menangis je memanjang,” ujar Suhaibul Umar setelah tangisannya reda. Sebuah senyuman hambar diukirkan.
“Abang… Menangis bukan tanda abang lemah tapi itu tandanya, simbol kekuatan dan bebanan yang abang tanggung selama ni untuk diri abang dan juga, untuk adik. Adik minta maaf sebab abang dah terlalu menderita sebab adik dulu,” luah Qistur Ruwaidah seraya menyeka air mata abangnya.
“Adik… Adik tak pernah jadi bebanan untuk abang. Abang bahagia sangat jaga adik. Tak pernah terdetik adik ni menyusahkan atau buat abang menderita.”
Qistur Ruwaidah mendakap abangnya. “Abang, terima kasih atas segala kasih sayang abang. Mana mungkin adik akan lupakan abang walaupun adik dah kahwin dengan Din,” luahnya. Lalu, dia meleraikan dakapan itu.
“Sama-sama adik. Jom, kita pergi ambil gambar kat kedai gambar situ. Abang dah tak sabar ni. Jom sekali, Din.”
Suhaibul Umar bangun dari tempat duduk sambil diikuti oleh pasangan suami isteri itu.
Sesampai sahaja mereka bertiga di hadapan kedai gambar itu, kelihatan seorang pekerja merangkap jurufoto sedang berehat sambil menunggu mana-mana pelanggan yang mahu mendapatkan perkhidmatannya.
“Nak ambil gambar konvokesyen ya?” sapa jurufoto itu dengan senyuman tatkala menyaksikan pakaian Suhaibul Umar itu.
“Haah… Pakejnya macam mana?” balas Suhaibul Umar.
Jurugambar itu menerangkan satu-persatu pakej yang disediakan menerusi brosur yang tersedia. Kemudian, Suhaibul Umar berbincang dengan adik-adiknya seketika.
“Abang pelan nak tangkap gambar seorang dulu. Lepas tu, dengan adik. Lepas tu, dengan adik dan Din. Jadi, semuanya RM150. Okey, kan?” terang Suhaibul Umar.
“Okey je. Mana-mana yang terbaik untuk abang, kita orang ikut je. Kalau abang tak cukup duit, Din boleh tolong tambahkan,” balas Mohamad Salahuddin.
“Insya-Allah. Setakat ni cukup. Terima kasih banyak-banyak, Din. Din dah banyak memberi kat abang.”
Mohamad Salahuddin tersenyum. Sebuah bicara hati diungkapkan dalam sanubari. ‘Abang… Lepas Din kahwin dengan Qist ni, Din dah janji Din takkan pisahkan abang dan Qist. Din faham sangat Qist satu-satunya keluarga abang yang masih hidup. Sebab tu, Din sanggup cari rumah sewa yang tak jauh dari UIA dan rumah abang selain daripada Din tak nak Qist berjauhan dengan abang. Kalau apa-apa jadi kat abang, Din ada. Abang ibarat mama baba mentua untuk Din. Abang juga yang merestui Din dan mewalikan Qist. Din pun akan sentiasa pastikan Qist tanya khabar abang dan jenguk abang selalu. Lepas apa yang Din saksikan tadi… Air mata abang… Din janji akan sentiasa ada untuk abang, berkhidmat sebagai adik ipar dan ibarat menantu untuk abang. Susah senang abang, susah senang Din juga. Din takkan biarkan abang rasa Din merampas Qist daripada abang. Din akan cuba jadi adik ipar terbaik. Insya-Allah!’
Setelah bersetuju dengan kemahuan pakej yang diingini oleh Suhaibul Umar, jurufoto tersebut mengambil gambar Suhaibul Umar secara seorang diri terlebih dahulu. Kemudian, Suhaibul Umar bersama Qistur Ruwaidah. Akhir sekali, Suhaibul Umar bersama Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin.
“Insya-Allah siap dalam 45 minit lagi. Boleh pusing-pusing dulu,” kata jurufoto itu setelah Suhaibul Umar melakukan pembayaran.
Akhirnya, tiga orang itu meninggalkan kedai gambar tersebut.
“Abang nak tanggalkan jubah konvokesyen ni dulu. Dah rasa ‘hangus’ sangat ni. Abang tahan je dari tadi semata-mata untuk kau orang tahu,” luah Suhaibul Umar seraya menanggalkan mortabod dan jubah konvokesyennya.
Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin tersengih-sengih.
“Abang lapar? Din nak belanja abang. Abang boleh minta apa-apa je kat Din hari ni,” ujar Mohamad Salahuddin.
“Lapar sangat! Memang rasa kebulur ni,” balas Suhaibul Umar.
Mohamad Salahuddin tersenyum menyaksikan keceriaan yang terpamer pada wajah abang iparnya itu. “Okey. Abang nak makan kat kawasan sini atau nak tengok kat Convest Hill?”
Suhaibul Umar tersengih seketika. Sudah adik iparnya mahu membelanjai dirinya, dia terima sahaja tawaran itu. “Boleh tak abang nak tengok kat kedua-dua tempat?”
“Boleh, boleh… Apa salahnya. Semua untuk abang hari ni,” beritahu Mohamad Salahuddin dengan penuh gembira.
Qistur Ruwaidah juga gembira menyaksikan dua orang cinta hatinya itu berinteraksi sesama mereka. Dia tersentuh cara suaminya menyantuni abangnya dan tidak berkira untuk abangnya sama seperti suaminya tidak pernah berkira untuk dirinya. Dia percaya… Atas sebab sifat Mohamad Salahuddin yang tidak pernah berkira untuk sesiapa pun, rezeki lelaki itu kian mencurah-curah.
‘Habibi… Terima kasih atas segala rasa kasih habibi buat Abang Suhaib. Sungguh, sayang makin mencintai habibi hari demi hari! Ya Allah… Kau murahkan lagi rezeki buat suamiku, Mohamad Salahuddin bin Mohd Firdaus. Kau rahmatilah dia di atas segala kebaikan yang dilakukan olehnya,’ bisik hati Qistur Ruwaidah.
RESTORAN ‘FRUIT DE MER’
JUMAAT, 11 NOVEMBER 2016
Menjelang hari Jumaat, sekali lagi Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin meraikan kejayaan Suhaibul Umar yang telah menamatkan pengajiannya dengan membawa lelaki itu ke restoran yang pernah dibelanjai oleh Abdul Azim pada suatu ketika dahulu.
Asalnya, Suhaibul Umar memang mahu membelanjai pasangan itu tetapi terbalik pula jadinya tatkala adik dan adik iparnya bertegas mahu membelanjai dirinya.
“Eh, selamat datang Encik Suhaib dan Cik Qist!” ucap Richard Mesut, pelayan khas buat Abdul Azim jika lelaki itu menikmati di restoran ini.
Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah tersenyum dengan keramahan pelayan itu. Mohamad Salahuddin termangu-mangu seketika akan gelaran yang dipanggil oleh pelayan itu. Cara pelayan itu berinteraksi dengan isteri dan abang iparnya, menggambarkan bahawa pelayan itu cukup mengenali mereka berdua.
“Terima kasih Richard. Richard… Saya perkenalkan. Ni suami saya, Mohamad Salahuddin. Boleh panggil dia Encik Din,” terang Qistur Ruwaidah bersama senyuman.
Alangkah terkejutnya Richard Mesut tatkala dia mengetahui insan di sisi Qistur Ruwaidah itu! Rupa-rupanya gadis itu sudah berkahwin! “Eh, maafkan saya, Puan Qist! Saya tak tahu pula puan dah berkahwin,” ucapnya dengan serba salah.
“Tak apa, Richard. Kami pun baru je dua bulan kahwin. Masa saya datang dulu, memang saya tak kahwin lagi,” balas Qistur Ruwaidah.
Richard Mesut tersengih. “Kalau macam tu, sempat lagilah ya saya nak ucap selamat pengantin baru kat Puan Qist dan Encik Din.”
Qistur Ruwaidah tertawa kecil. “Terima kasih Richard tapi sebenarnya, kami nak makan kat sini sempena nak raikan kejayaan Encik Suhaib tamat belajar. Isnin lepas, Encik Suhaib baru je berkonvokesyen.”
“Wah, tahniah Encik Suhaib! Kalau macam tu, saya bawa kalian bertiga ke tempat paling istimewa.”
“Terima kasih Richard,” ucap Suhaibul Umar bersama senyuman.
Lalu, mereka bertiga dibawa oleh Richard Mesut ke tempat yang cukup istimewa dan biasanya hanya ditempatkan untuk orang kenamaan sahaja.
“Apa-apa, boleh tekan sahaja butang ini,” kata Richard Mesut sambil menunjukkan alat panggilan pelayan itu.
Mereka bertiga mengangguk hormat.
“Sayang, Abang Suhaib… Maaf tengah tak faham apa yang terjadi sekarang. Siapa pelayan tu? Kenapa dia panggil kita dengan panggilan hormat? Kita ni siapa-siapa ke untuk orang-orang yang kerja kat sini?” ujar Mohamad Salahuddin termangu-mangu.
Qistur Ruwaidah tersenyum. “Sebenarnya, restoran ni milik kawan bonda baba Azim. Azim pernah belanja kita orang kat sini dulu sebelum habibi lamar sayang. Selebihnya, Abang Suhaib ceritalah.”
Mohamad Salahuddin mengangguk faham. Kalau dilihat reka bentuk restoran ini, memang mewah sangat!
Lalu, Suhaibul Umar membuka kisah Abdul Azim dan restoran ini. Namun, dia tidak mahu bercerita terlalu terperinci. Dia tetap perlu menjaga hati Mohamad Salahuddin sebagai suami buat adiknya. Dia takut seandainya adik iparnya itu rasa tercabar dan cemburu.
“Oh, patutlah Richard guna panggilan hormat kat kita semua sebab Azim. Eh, abang! Baru Din teringat nak tanya. Mana Azim? Lama tak nampak dia. Pelik pula dia tak datang konvokesyen abang hari tu. Biasanya, dia selalu je ada dengan abang, kan?” ujar Mohamad Salahuddin. Intonasinya biasa dan tidak kedengaran cemburu.
Suhaibul Umar tersentak seketika. Nampaknya, dia perlu memaklumkan tentang keadaan Abdul Azim kepada pasangan itu sekejap lagi. “Aaa… Nanti abang beritahu. Jom pesan dulu. Abang laparlah.”
Selepas mereka bertiga memilih hidangan yang diingini dan melakukan pesanan kepada Richard Mesut, Suhaibul Umar meminta izin untuk mengundurkan diri ke bilik air. Dia masih belum bersedia untuk membuka kisah tentang Abdul Azim. Mujur adik dan adik iparnya tidak mengesyaki apa yang dirasai oleh dirinya itu.
“Nanti kita makan kat sini berdua. Habibi sukalah tempat ni. Cantik! Silap habibi tak tempah kat sini masa hari genap sebulan kita kahwin dulu,” puji Mohamad Salahuddin.
“Laa habibi… Kita dah dua bulan 11 hari kahwin. Cun je sambut hari ni pun tapi habibi… Tak payah dahlah sambut. Kita kena berjimat,” kata Qistur Ruwaidah.
Mohamad Salahuddin menggenggam erat tangan isterinya bersama senyuman yang cukup tenang. “Apa salahnya, sayang? Untuk sayang juga selagi kita belum ada anak ni. Habibi nak cipta banyak kenangan dengan sayang.”
Qistur Ruwaidah tersenyum mendengar kata-kata suaminya itu. Dia mengharapkan agar dia sentiasa mampu menyaksikan senyuman suaminya sehingga ke hari tua jika diizinkan Ilahi.
Tidak lama kemudian, Suhaibul Umar muncul semula ke meja makan tersebut. Kelihatan pasangan itu sedang berbual mesra.
“Makanan tak sampai lagi?” tanya Suhaibul Umar seraya melabuhkan punggungnya.
“Belum lagi. Lama juga abang kat bilik air,” tegur Qistur Ruwaidah.
“Biasalah. Panggilan alam, adik,” seloroh Suhaibul Umar.
Walhal, Suhaibul Umar puas menangis di dalam bilik air restoran tersebut kerana dia amat merindui Abdul Azim. Sudah dua bulan lebih sahabat baiknya terlantar koma. Betapa dia rindu untuk bercerita apa jua kisah dengan Abdul Azim selepas seorang lagi sahabat baiknya, iaitu Afkar Irsyad. Sungguh, jiwanya ralat kerana selepas adiknya berkahwin dengan Mohamad Salahuddin, dia tidak berkesempatan untuk melepak bersama sahabat baiknya kerana dia begitu sibuk dengan bisnes yang kian berkembang ekoran perkongsian gambar hantaran yang dilakukan oleh dirinya buat adik dan adik iparnya dimuatnaik di media sosial, mendapat sambutan yang cukup menggalakkan daripada pelanggan setia dan pelanggan baharu.
Tidak lama kemudian, kelihatan pemilik Restoran ‘Fruit De Mer’, iaitu Cef Andika Wyatt Zidane dan isterinya, Cef Ratna Aeris Marami menghidangkan makanan dan minuman yang dipesan oleh tiga orang pelanggan istimewa itu.
“Selamat menjamu selera,” ucap Cef Ratna Aeris Marami bersama senyuman hambar.
Terpandangkan wajah Qistur Ruwaidah, wanita itu teringat akan Abdul Azim. Dia dan suaminya sudah sedia maklum bahawa lamaran lelaki itu telah ditolak oleh gadis di hadapan mereka berdua ini. Mereka berdua juga sudah maklum bahawa Qistur Ruwaidah telah berkahwin dan Abdul Azim terlibat dalam kemalangan. Namun, mereka berdua tidak tahu status terkini anak muda itu.
“Suhaib, maaf uncle nak tanya. Sekarang, Azim macam mana?” soal Cef Andika Wyatt Zidane.
Suhaibul Umar tersentak manakala Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin pula terpinga-pinga dengan soalan cef itu.
“Emm… Macam tulah, uncle. Dia tak sedar lagi,” balas Suhaibul Umar. Nampak gayanya, dia perlu membuka cerita juga tentang Abdul Azim kepada adik dan adik iparnya selepas ini.
Pasangan cef itu mengangguk faham. “Okey Suhaib. Kalau macam tu, selamat menjamu selera. Maaf, kami dah ambil masa Suhaib,” balas Cef Andika Wyatt Zidane.
Setelah pasangan cef itu mengundur diri, Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin memandang Suhaibul Umar.
“Apa maksud uncle tu, abang? Ada apa-apa jadi kat Azim ke?” soal Mohamad Salahuddin dengan prihatin.
Sebuah keluhan kecil dilepaskan oleh Suhaibul Umar. “Azim kemalangan.”
Pasangan itu tersentak seketika. “Innalillah… Bila? Kenapa kita orang tak tahu pasal ni?” soal Qistur Ruwaidah.
Suhaibul Umar membuka cerita tentang Abdul Azim dan status terkini lelaki itu di hospital. “Azim dah koma dua bulan bersamaan hari majlis kesyukuran kau orang dulu,” bicaranya dengan mengakhirkan kisah sahabat baiknya itu.
Semakin terkejutlah Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin setelah mereka berdua mengetahui keadaan lelaki itu.
“Boleh kita orang ziarah Azim hari ni? Maksud Din, lepas kita makan ni,” soal Mohamad Salahuddin.
“Boleh je,” balas Suhaibul Umar.
PUTERI RAUDHAH IDEAL MEDICAL CENTRE
Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin terkesima seketika menyaksikan keadaan Abdul Azim itu. Kepala dan tangan kiri Abdul Azim dibalut dan kelihatan dia bernafas dengan bantuan alat pernafasan serta beberapa wayar turut membaluti tubuh lelaki itu.
“Sebulan pertama, Azim kat ICU (unit rawatan rapi) Hospital Semarak pada asalnya. Ni pun, Azim baru je dipindahkan kat hospital sini atas permintaan bonda baba Azim sebab lagi selesa berbanding kat hospital sana dari segi waktu melawat. Bila doktor kat Hospital Semarak tengok Azim dah stabil, terus bonda baba Azim minta tukar hospital. Cumanya, Azim masih koma macam nilah tapi kalau kita bercakap dengan dia, dia dengar je. Kadang-kadang, dia bagi tindak balas melalui jari tapi jaranglah,” terang Suhaibul Umar.
“Selalu ke abang ziarah Azim?” tanya Mohamad Salahuddin.
“Memang abang ziarah Azim setiap minggu sebab abang nak tahu tahap kesihatan dia macam mana. Lagipun, bonda baba Azim kat Johor sekarang. Abang akan maklumkan kat bonda baba supaya bonda baba tak risau sangat tapi bonda baba akan turun je ke KL setiap minggu,” terang Suhaibul Umar.
“Kenapa tak pindahkan Azim kat hospital sekitar Johor? Lagi senang bonda baba Azim nak tengok-tengokkan dia, kan?”
“Doktor kat Hospital Semarak tak nak Azim terlalu banyak bergerak. Struktur badan Azim terlalu lemah. Kalau nak tukar hospital, boleh sekitar KL je. Jadi, bonda baba pun nakkan yang terbaik untuk Azim. Jadi, bonda baba biarkan je Azim kat hospital sini. Alang-alang, abang pun ada kat KL ni. Apa-apa, abang boleh maklum kat bonda baba.”
Qistur Ruwaidah hanya menjadi pendengar. Namun, matanya mencuri pandang ke arah Abdul Azim. Sungguh, hatinya rasa disiat-siat melihat keadaan terkini lelaki itu. Timbul rasa serba salah di kalbunya. Adakah lelaki itu terlibat dalam kemalangan disebabkan oleh dirinya akibat kekecewaan penolakan lamaran terdahulu atau adakah lelaki itu masih tidak mampu lagi melupakan dirinya?
‘Astaghfirullah… Kenapa kau fikir macam tu, Qist? Aku percaya Azim dah ‘move on’. Kalau dia tak ‘move on’, dia takkan datang majlis kesyukuran aku dan Din dulu. Azim… Maafkan aku. Aku tak sepatutnya membenci kau dengan fikir yang bukan-bukan pasal kau. Hakikatnya, kau baik. Cuma, kelukaan yang kau tinggalkan kat aku, buat aku tak memilih kau. Andainya kau mengungkap maaf di hadapan aku sendiri secara bertentang mata, pastinya aku memilih kau. Azim… Aku mendoakan agar kau terus berjuang dengan diri kau. Kau kena kuat lawan koma. Abang Suhaib masih perlukan kau,’ bisik hati Qistur Ruwaidah dengan sebak.
Sejujurnya, Qistur Ruwaidah tidak pernah melupakan pandangan pertama dia terhadap Abdul Azim di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Petaling Jaya (CFS IIUM PJ) pada suatu ketika dahulu. Segala apa jua kenangan dia bersama Abdul Azim tidak pernah lupus dari ingatannya. Namun, kelukaan jiwanya itu telah membuatkan dia tidak mampu meneruskan lagi perasaannya buat jejaka itu.
Kini, dia hidup bahagia bersama Mohamad Salahuddin, sang suami yang sentiasa membuatkan dirinya angau dan jatuh cinta hari demi hari. Dia telah menyerahkan segala cinta terhadap suaminya melalui jiwa dan jasad. Tanpa Mohamad Salahuddin, hidupnya resah gelisah.
“Sayang nak cakap apa-apa dengan Azim?” soal Mohamad Salahuddin.
Qistur Ruwaidah tersentak dari lamunannya. Lalu, dia memandang wajah suaminya.
Bagai boleh membaca fikiran Qistur Ruwaidah, Mohamad Salahuddin mengungkapkan sesuatu. “Pergilah, sayang. Habibi okey je. Untuk apa habibi rasa cemburu? Sekarang, kita kena bagi kata-kata sokongan kat Azim supaya dia kuat berjuang lawan koma.”
“Terima kasih habibi,” ucap Qistur Ruwaidah. Akhirnya, dia menghampiri Abdul Azim seraya melabuhkan punggungnya di atas kerusi bersebelahan dengan katil lelaki itu.
Mohamad Salahuddin dan Suhaibul Umar memandang suasana penuh syahdu itu. Mereka berdua memberikan ruang buat Qistur Ruwaidah ‘berbual-bual’ dengan Abdul Azim secara peribadi.
Bagi Mohamad Salahuddin, dia tidak menyimpan apa-apa rasa cemburu lagi terhadap Abdul Azim kerana dia telah menjadi suami Qistur Ruwaidah dan dia yakin akan cinta isterinya terhadap dirinya tanpa sebarang keraguan.
Bagi Suhaibul Umar pula, sejujurnya dia tetap berasa kasihan untuk Abdul Azim kerana Qistur Ruwaidah tidak memilih sahabat baiknya, namun dia tetap reda dengan pilihan adiknya itu.
Qistur Ruwaidah memulakan bicaranya. “Assalamualaikum Azim. Aku ni, Qist. Qistur Ruwaidah. Aku minta maaf sebab aku baru tahu pasal kau hari ni masa aku, Din dan Abang Suhaib makan kat Restoran ‘Fruit De Mer’ tadi, restoran yang kau pernah belanja aku dan Abang Suhaib makan beberapa bulan lepas. Din pun ada sekali kat sini, Azim. Cuma, dia bagi aku peluang kat aku dulu untuk sembang secara privasi dengan kau…”
“Azim… Aku minta maaf atas apa yang dah jadi dulu. Aku rasa aku berkasar sangat dengan kau masa kau datang majlis kesyukuran aku dan Din dulu. Aku tak patut buat macam tu kat kau, Sya dan Azhar. Aku rasa serba salah sangat. Sejujurnya, aku amat berterima kasih sebab kau sudi memeriahkan majlis kita orang. Itu apa yang sepatutnya aku cakap kat kau dulu masa kau naik kat pelamin kita orang. Aku tak patut diam membisu atau tak tengok kau. Sekali lagi, aku minta maaf, Azim…”
“Azim… Hari ni, aku datang bukan sebagai musuh atau membenci kau tapi aku datang sebagai kawan yang pernah menjadi rakan sekelas kau kat CFS IIUM dulu. Aku nak kau tahu, kau kena kuat semangat lawan koma ni. Aku tahu kau boleh. Abang Suhaib masih perlukan kau. Bila aku dapat tahu kau kemalangan, aku tahu hati Abang Suhaib hancur. Dia nak kau ada masa hari konvokesyen dia Isnin baru-baru ni…”
Tatkala itu, air mata Abdul Azim mengalir dan jari kanannya bergerak sedikit. Dia dapat mendengar suara gadis itu, namun dunia komanya memerangkap dirinya.
Qistur Ruwaidah meneruskan bicaranya lagi. “Azim… Andai kata kau dah sedar dari koma dan pulih seperti sediakala, aku mendoakan agar kau bertemu jodoh dengan seorang perempuan yang jauh lebih baik daripada aku dan dapat menerima diri kau seadanya. Aku tahu tak mudah untuk kau dan itu juga apa yang aku rasa dulu masa aku suka kau. A… Aku minta maaf, A… Azim. Aku tak berniat nak lukakan hati kau. Cuma, hati aku untuk kau dah kosong. Bukan lagi macam dulu masa aku suka kau kat CFS…”
“Azim… Sama ada kau dengar atau tak sepanjang aku berborak dengan kau, aku mohon maaf atas apa yang dah jadi di antara kita dulu. Sekarang, aku mengharapkan kau terus kuat lawan koma. Bukan aku seorang je yang nak kau sedar dari koma… Bonda baba kau, adik-beradik kau, Abang Suhaib, Din dan kawan-kawan kau pun menanti kau sedar dari koma…”
Setelah Qistur Ruwaidah berbual-bual dengan Abdul Azim, dia mula membangunkan dirinya dari kerusi tersebut tanpa sebarang air mata. Namun, kalbunya menahan gelora kesedihan buat bekas rakan sekelas Bahasa Inggerisnya yang sedang terlantar itu.
“Habibi… Sayang tunggu kat luar ya,” maklum Qistur Ruwaidah.
“Okey sayang. Habibi nak ‘sembang’ dengan Azim sekejap ya,” kata Mohamad Salahuddin.
“Okey habibi. Take your time.”
Qistur Ruwaidah meninggalkan wad Abdul Azim sambil ditemani oleh Suhaibul Umar.
“Adik okey?” soal Suhaibul Umar setelah mereka berdua melabuhkan punggung di bangku luar.
“Okey je. Cuma tulah… Adik sedih tengok Azim macam tu. Adik harap Allah panjangkan umur dia dan dia sedar dari koma. Adik tahu abang masih perlukan dia. Abang pun kena kuat untuk Azim tahu,” ujar Qistur Ruwaidah.
“Insya-Allah adik.”
Sementara itu, Mohamad Salahuddin ditinggalkan keseorangan untuk ‘berbual-bual’ dengan Abdul Azim.
“Assalamualaikum Azim. Aku ni, Din. Mohamad Salahuddin. Aku minta maaf sebab aku baru tahu pasal kau hari ni. Aku rasa Qist pun dah cakap kat kau pasal kita orang baru tahu kau kemalangan. Azim… Dah lama aku nak cakap sesuatu pasal Qist kat kau. Pertama sekali, aku nak minta maaf sebab aku rasa aku rampas Qist daripada kau. Aku tahu kau suka dia dan dia pun suka kau…” ujar Mohamad Salahuddin sebagai pembuka bicara.
“Sedangkan, kau tak tahu aku pun ada perasaan kat Qist. Azim… Aku minta maaf. Bila aku teringat balik perjalanan kita berdua untuk dapatkan perempuan yang sama, aku terpaksa pentingkan diri dengan mengurat Qist dalam diam sebab aku dah terlalu lama mencintai Qist. Aku terseksa menanti dia sampai tiga tahun lamanya. Aku dah tak sanggup lagi nak pendam perasaan aku kat dia…”
“Jujur, aku cemburu sangat bila Qist suka kau dulu tapi bila dia pilih aku, rasa cemburu aku kat kau dah hilang. Qist ada cerita kat aku yang kau tolak luahan perasaan dia. Aku tak marahkan kau atas apa yang kau dah buat kat Qist dulu. Cuma, aku rasa terkilan dan kecewa dengan cara kau. Tujuan aku beritahu perasaan Qist kat kau masa kita terjumpa kat Kafe Ali B CFS dulu sebab aku nak satukan kau orang. Aku harap dengan aku beritahu kau, kau akan buat sesuatu untuk Qist tapi bila aku dapat tahu kau dah tolak perasaan Qist, aku jadi kecewa…”
“Kalau Qist pilih kau dulu, aku pasrah dan gembira untuk kau orang. Lagi-lagi untuk Qist, orang yang aku cinta. Semestinya aku nak insan yang aku cinta bahagia dengan apa jua yang dia buat, termasuklah dia bertemu dengan lelaki yang tepat tapi aku rasa, aku takkan mampu jadi sekuat dan setabah kau dengan datang ke majlis kau dan Qist kalau aku kat tempat kau, macam mana kau datang majlis aku dan Qist dulu. Azim, pasal tu, aku kagum sangat dengan kau…”
“Azim… Aku tahu kehadiran aku ni mungkin akan menambah luka kau kalau kau nampak aku dan Qist tapi percayalah, aku datang bukan untuk menyakitkan hati kau. Aku datang sebagai seorang kawan yang pernah jadi kawan sekelas kau. Aku nak kau kuat lawan koma dan pulih macam biasa. Aku nak tengok kau habis belajar dan berjaya sebagai graduan KAED macam Abang Suhaib. Abang Suhaib nak sangat kau ada dengan dia masa hari konvokesyen dia hari Isnin baru-baru ni tapi kita sebagai manusia hanya merancang dan Allah yang menentukan. Aku sendiri pun tak sangka kau kemalangan sama hari dengan majlis kita orang…”
“Azim… Allah sayangkan kau. Dia tahu kau mampu lalui ujian ni dan aku sebagai kawan kau juga akan mendoakan kebaikan untuk diri kau. Aku nak kau sembuh macam biasa. Kau kena kuat, Azim. Aku tahu kau boleh…”
Sekali lagi, Abdul Azim menitiskan air matanya. Dia dapat mendengar suara lelaki itu. Namun, jari-jemarinya tidak memberikan sebarang tindak balas.
Mohamad Salahuddin terperasan akan air mata Abdul Azim. “Azim… Kau dengar ke apa yang aku cakap? Tolong respons.”
Akibat buntu, Mohamad Salahuddin segera mendapatkan isteri dan abang iparnya yang berada di luar wad.
“Abang Suhaib, Din nampak air mata Azim keluar. Din tak tahu nak buat apa. Kena panggil doktor ke?” ujar Mohamad Salahuddin.
Suhaibul Umar tersenyum hambar. “Jangan risau. Tak perlu panggil doktor pun. Tu maksudnya Azim dengar apa yang Din cakap. Setiap kali abang bercakap dengan dia, abang pun nampak air mata dia keluar tapi kadang-kadang, air mata dia tak keluar. Tak apa… Kita doakan Azim sedar dari koma ya.”
Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah mengangguk.
SETELAH Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin melawat Abdul Azim di hospital, masing-masing diam membisu setelah tiba di rumah kediaman.
Qistur Ruwaidah merebahkan dirinya di atas katil sambil menyelimuti dirinya. Tiba-tiba dia merasakan tubuhnya sedang didakap erat oleh Mohamad Salahuddin dari belakang.
“Sayang okey?” bicara Mohamad Salahuddin dengan perlahan.
Qistur Ruwaidah segera mengubah posisi bagi menghadap wajah suaminya. “Sayang tak tahu nak rasa macam mana bila tengok Azim tadi tapi sejujurnya, sayang memang sedih tengok keadaan dia.”
Mohamad Salahuddin mengelus rambut isterinya. “Tak apa, sayang. Kita doakan yang baik-baik untuk Azim, okey? Insya-Allah habibi percaya dia kuat semangat. Bila-bila, kita ziarah Azim lagi ya. Apa yang penting, kita kena tengok Abang Suhaib sekali. Walaupun Abang Suhaib tak cakap apa yang dia tengah rasa pasal Azim tapi habibi nampak Abang Suhaib rebah sangat. Habibi ingat… Jom kita teman Abang Suhaib dalam dua atau tiga minggu kat rumah sayang. Habibi tak boleh bayangkan macam mana Abang Suhaib lalui ni tanpa beritahu kita pasal Azim. Habibi rasa Abang Suhaib tak nak susahkan kita.”
“Insya-Allah habibi. Emm… Abang Suhaib memang macam tu. Selagi dia boleh pendam, dia pendam. Mujur juga kawan bonda baba Azim tanya pasal Azim. Kalau tak, sampai ke sudah kita tak tahu Azim kemalangan. Yang peliknya, Sya dan Azhar pun tak ada pula maklumkan kat whatsapp Grup 320.”
“Tulah… Mungkin dia orang terlupa kut. Tak apa, sayang. Sekarang, kita fokus untuk diri kita pula. Sayang… Sekarang, dah masuk bulan November. Tinggal dua bulan je nak cuti semester. Sayang mesti tak sabar nak berbulan madu dengan habibi, kan?”
“Ya Allah… Yalah! Sayang terlupa langsung pasal bulan madu kita. Habibi dah ada keputusan tempat ke?”
Mohamad Salahuddin tersenyum. “Insya-Allah dah ada. Macam yang sayang minta dulu, sayang nak hotel yang dekat dengan pantai dan ada kolam renang dalam bilik, kan. Habibi ada jumpa hotel macam tu kat PD (Port Dickson). Tak ingat apa nama hotel tu. Nanti habibi tengok balik. Lepas kita berbulan madu kat PD, kita berbulan madu kat Genting Highlands pula. Mesti sayang teringin nak naik cable car, kan?”
Wajah Qistur Ruwaidah berubah cerita. “Wah, PD dan Genting Highlands! Menarik! Haah… Sayang tak pernah naik cable car. Dengar kawan-kawan cerita je dulu masa zaman sekolah. Habibi ni terbaiklah.”
Mohamad Salahuddin membuat wajah bangga. “Come on, sayang. Ni Mohamad Salahuddinlah. Takkan tak kenal?”
Qistur Ruwaidah menjelirkan lidahnya. “Kenal je tapi tak payah nak perasan sangatlah.”
Mohamad Salahuddin tersengih nakal. Dagu isterinya disentuh lembut. Wajahnya didekatkan ke arah wajah isterinya. Sebuah kucupan dihadiahkan buat sang isteri. “Sayang… Sayang tahu habibi cintakan sayang, kan?”
Wajah Qistur Ruwaidah merona merah. “Sayang tahu je. Habibi ni, kan… Suka buat sayang malu tahu.”
Sekali lagi, Mohamad Salahuddin tersengih. “Sayang dah dua bulan kahwin dengan habibi pun, masih rasa malu?”
Qistur Ruwaidah mencebikkan wajahnya. “Mestilah! Lagi-lagi bila habibi pandang sayang. Jantung sayang macam nak tercabut tahu.”
“Adakah habibi ni terlalu kacak sampai jantung sayang rasa macam tu?”
“Eiii… Habibi ni, kan! Makin sayang melayan nanti, makin menjadi-jadi pula. Dahlah. Sayang nak pergi buat puding jagung. Boleh kita makan untuk minum petang esok.”
“Jom. Habibi tolong sayang sekali.”
Qistur Ruwaidah berasa amat bersyukur kerana dikurniakan suami yang cukup ringan tulang, terutama di bahagian dapur. Pernah dia menggantikan puasa dan mendapat keizinan suaminya itu, Mohamad Salahuddin menyiapkan hidangan sahur buat dirinya. Tahu-tahu sahaja, suaminya mengejutkan dirinya untuk bangun sahur dan makanan sudah terhidang di atas meja. Secara tidak langsung, suaminya juga turut menemani dirinya berpuasa sekali.
Nikmat manakah yang Qistur Ruwaidah mahu dustakan lagi? Baginya, Mohamad Salahuddin sudah terlalu sempurna di matanya. Orang lain tidak mengetahui betapa romantisnya Mohamad Salahuddin dan dia rasa beruntung kerana sifat romantik Mohamad Salahuddin itu hanya buat dirinya.
Tiba-tiba Mohamad Salahuddin mendakap isterinya dengan erat setelah mereka berdua berada dalam posisi duduk di atas katil. “Sayang masih rasa sakit?”
Qistur Ruwaidah tersentak, namun dia berasa amat tenang dalam dakapan suaminya itu. “Maksud habibi, sayang sakit macam mana tu?”
Dakapan tersebut semakin dieratkan oleh Mohamad Salahuddin. “Sakit dengan masa lalu.”
“Emm… Kalau sayang teringat, memang rasa sakit sangat tapi habibi… Sekarang, habibi dah wujud dalam kehidupan sayang. Alhamdulillah kehidupan sayang makin baik dan tak terlalu sakit untuk ingat masa lalu. Terima kasih, habibi.”
“Sama-sama sayang. Kalau macam tu, alhamdulillah. Habibi lega sayang cakap macam tu. I love you.”
“Habibi… I love you more and more! Emm… Habibi tak nak lepaskan sayang? Tak jadi nanti puding jagung kita.”
“Kalau boleh, habibi tak nak lepaskan sayang. Sepanjang masa habibi nak sayang ada kat samping habibi tapi tulah… Nak buat macam mana, kan,” seloroh Mohamad Salahuddin seraya meleraikan dakapan tersebut.
Qistur Ruwaidah mencuit hidung suaminya. “Habibi ni… Mengada! Dah, jom buat puding jagung,” ujarnya seraya meninggalkan kamar beradu itu.
Mohamad Salahuddin tersenyum setelah isterinya meninggalkan kamar beradu itu. Nampaknya, tangki emosi kegembiraan isterinya sudah kembali. Tujuan dia berperangai sedemikian kerana dia tidak mahu Qistur Ruwaidah berterusan sedih di atas apa yang telah terjadi hari ini. Dia sudah berjanji kepada dirinya bahawa dia tidak mahu isterinya bersedih seperti zaman kanak-kanak dahulu.
Dia terus mematikan suis lampu dan suis kipas bilik tidur tersebut dan meluru ke arah dapur. Kelihatan cinta hatinya sedang mengeluarkan bahan untuk membuat puding jagung.
Kelihatan Qistur Ruwaidah tersenyum jua tatkala menyaksikan kehadiran Mohamad Salahudddin yang sedang tersenyum kepadanya. “Habibi nak apa-apa lagi selain puding jagung?”
Mohamad Salahuddin menghampiri isterinya. “Cukuplah satu jenis je. Buat apa nak buat banyak jenis, kan?”
Qistur Ruwaidah tersengih. “Betul juga. Emm… Habibi… Sayang teringinlah nak makan roti pita habibi. Teringat zaman kita tunang dulu.”
Mohamad Salahuddin tersenyum kembali. “Boleh je habibi nak buat tapi rasanya, daging kisar dah tak ada, kan?”
“Haah tapi bahan lain ada je. Habibi rajin ke nak buat sekarang?”
“Rajin je tapi sayang ni tak rasa kenyang lagi ke? Habibi kenyang lagi ni.”
Sekali lagi, Qistur Ruwaidah tersengih. “Sayang takut sayang lapar malam nanti. Sekurang-kurangnya, roti pita habibi boleh jadi penyelamat sayang. Boleh juga makan untuk sarapan pagi esok.”
“Okey, sayang. Anything for you. Kalau macam tu, habibi pergi beli daging kisar dulu,” ucap Mohamad Salahuddin sambil dia memberikan kucupan layang buat isterinya. Dia teringat kembali perbuatannya itu sewaktu hari pertama dia berkahwin dengan Qistur Ruwaidah.
Qistur Ruwaidah membalas kembali kucupan layang suaminya itu. Dia merasakan bahawa suasana itu penuh romantis. “Habibi, I love you!” laungnya.
Mohamad Salahuddin membalas laungan isterinya. “I love you too, sayang!” ucapnya. Jiwanya terlalu berbunga-bunga tatkala bersama cinta hatinya yang cukup menyenangi dirinya tanpa jemu.
‘Qistur Ruwaidah, bidadariku… Aku reda dengan kau sebagai isteriku,” bisik hati sang suami itu.
Alhamdulillah tuan penulis kembali setelah novel ini tergantung selama dua bulan. Maaf sangat dan terima kasih kerana setia menunggu bab-bab seterusnya untuk novel ini. Nantikan juga tiga buah ilustrasi bagi bab ini di IG tuan penulis:)
Share this novel