BAB 29

Drama Completed 13621

RUMAH QISTUR RUWAIDAH
SABTU, 10 SEPTEMBER 2016
6.00 PAGI

Kisah persiapan Qistur Ruwaidah yang diuruskan oleh Tihaani di bilik bujang Qistur Ruwaidah…
Tatkala itu, Qistur Ruwaidah sudah siap menyarung gaunnya. Tihaani dan Sakeenah terpegun dengan si pengantin baru itu ibarat puteri kayangan. Gaunnya kelihatan sangat cantik apabila dipakai oleh si pemiliknya walaupun Qistur Ruwaidah masih belum bersiap sepenuhnya.
“Subhanallah! Cantiknya Kak Long! Macam puteri Disney!” puji Sakeenah.
“Subhanallah! Cantiknya gaun kau! Memang kau nampak macam tuan puteri sangat hari ni,” puji Tihaani setelah Qistur Ruwaidah menyarung gaun sebelum wajah sahabat baiknya bakal ditatarias oleh dirinya sendiri. Dia tiba di rumah Qistur Ruwaidah pada jam 5.45 pagi tadi.
Baju pengantin Qistur Ruwaidah merupakan gaun kembang rona merah jambu pekat yang kaya dengan les (lace) rona putih krim dari paras pinggang sehinggalah ke bawah. Di bahagian belakang gaunnya, reka bentuknya dicipta meleret dengan kepanjangan sehasta dari buku lalinya dan masih mengikut syarak. Di bahagian kedua-dua belah lengan gaunnya juga dihiasi dengan percikan les.
“Alhamdulillah. Terima kasih, Keena, Tihaani! Emm Tihaani… Kau juga yang tolong aku untuk gaun ni. Sekali dengan baju Din,” ujar Qistur Ruwaidah dengan rendah diri.
“Alaa… Aku tolong mana yang aku boleh je. Qist, aku masih tak percaya lagi ni. Kau dah jadi isteri orang rupanya. Macam baru je kita kenal masa kau tukar dari LAWS ke BAR kat CFS dulu,” nada Tihaani mula berubah sebak.
Qistur Ruwaidah juga menjadi sebak. “Janganlah nak buat aku menangis, Tihaani. Aku pun tak percaya lagi sampai sekarang. Padahal, aku kahwin dengan Din dah sembilan hari.”
“Ya Allah… Betullah! Entah-entah nanti, kau nak jadi mak dah pun. Manalah tahu kau bunting pelamin.”
“Isy! Apa kau ni! Dah, jangan nak merepek. Kau dah boleh mekap muka aku ya, MUA (make-up artist) Tihaani. Nanti lagi lambat pula. Dahlah majlis aku mula pukul 10.00 pagi. Aku dan Din nak kena sampai kat Banquet Hall sebelum pukul 11.00 pagi.”
Tihaani tersengih. Dia tahu Qistur Ruwaidah menjadi amat malu sekiranya dia membuka topik berkenaan rumah tangga sahabat baiknya itu. “Okeylah. Ha, kau nak aku mekap macam mana?”
“Aku tak kisah tapi Din pesan kat aku supaya kau mekapkan aku cantik-cantik. Cuma, aku minta kau jangan mekapkan aku sampai tak nampak rupa aku langsung,” balas Qistur Ruwaidah.
“Okey. Jangan risau. Kalau macam tu, aku akan guna teknik mekap seri dengan percikan ‘glitter’. Sesuai dengan gaun dan tudung kau. Selebihnya, kau tunggulah hasil nanti. Insya-Allah kau akan suka.”
“Aku percaya je kat kau.”
Kemudian, Tihaani mula mentatarias wajah Qistur Ruwaidah dengan menggunakan segala kepakarannya sebagai jurumekap.
Usai sahaja wajah Qistur Ruwaidah ditatarias oleh Tihaani dengan semburan ‘setting spray’ sebagai sentuhan terakhir, Qistur Ruwaidah menyarung anak tudung mengikut keselesaannya. Kemudian, dia memakai tudung bawal warna merah jambu serona warna bajunya yang dihiasi dengan manik-manik seraya mengenakan pin di bawah dagunya. Tihaani mula menggayakan tudung bawal tersebut agar Qistur Ruwaidah kelihatan amat cantik seperti seorang puteri dan tetap anggun biarpun labuh tudungnya melepasi bawah dada selari dengan syarak.
Sentuhan terakhir yang diberi oleh Tihaani, iaitu dia memakaikan tiara pengantin yang telah digunakan oleh Qistur Ruwaidah ketika majlis akad nikahnya pada minggu lepas berserta vel labuh paras lutut rona merah jambu yang lebih lembut berbanding gaun dan tudungnya.
“Macam mana Keena? Okey tak Kak Long?” soal Qistur Ruwaidah kepada Sakeenah setelah dia berpuas hati dengan penampilannya itu.
“Subhanallah! Cantik, Kak Long! Memang cantik!” puji Sakeenah.
Tihaani juga amat berpuas hati setelah dia menyiapkan Qistur Ruwaidah dalam tempoh dua jam setengah. “Sekejap lagi, mesti Cik Abe Din cair tengok tuan puteri kesayangan dia,” usiknya.
“Isy, kau ni! Ada je idea nak usik aku,” ucap Qistur Ruwaidah. Nadanya penuh malu! Ketika itu, dia menyarung stoking lengan rona merah jambu senada dengan gaunnya dan stoking kaki rona krim.
Tihaani dan Sakeenah tersengih-sengih akan gelagat Qistur Ruwaidah itu. Sejujurnya, Qistur Ruwaidah amat cantik sempena majlis kesyukuran tersebut! Alangkah beruntungnya Mohamad Salahuddin!
Kisah persiapan Mohamad Salahuddin yang diuruskan oleh Wan Abdullah di bilik pengantin…
Kelihatan Mohamad Salahuddin mengenakan suit pengantin ala-ala diraja rona biru tua dan coraknya bersulamkan rona emas. Di bahagian kedua-dua belah lengan bajunya juga dihiasi dengan percikan sulaman rona emas.
“Subhanallah! Kacak betul kawan aku hari ni! Betul-betul nampak macam tuan putera,” puji Wan Abdullah. Dia tiba di rumah Qistur Ruwaidah pada jam 6.00 pagi.
Mohamad Salahuddin tersenyum. “Allah… Mana adalah, Wan Dolah. Aku biasa-biasa je.”
“Aku risau kalau perempuan lain cuba nak goda kau pula masa kat majlis nanti,” seloroh Wan Abdullah.
Mohamad Salahuddin segera menggelengkan wajahnya. “Uish! Nauzubillah! Minta dijauhkanlah. Tak ada maknanya. Aku dah kahwin woi! Gila apa perempuan lain nak goda aku! Tak naklah aku. Aku setia kat Qist seorang je.”
Wan Abdullah tersengih menyaksikan gelagat sahabat baiknya itu. “Aku tahu kau setia orangnya, Din. Jangan risau. Aku sengaja kenakan kau. Okey, aku cuba gayakan rambut dan rupa kau dengan kemahiran yang aku ada.”
Seperti Tihaani, Wan Abdullah juga mempunyai kemahiran bagi menyiapkan pengantin lelaki dan dia pernah membantu beberapa orang sepupu lelakinya yang telah mendirikan rumah tangga. Mudahlah bagi Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin kerana tidak perlu pening kepala mencari orang lain. Kawan sendiri boleh uruskan.
Setelah Mohamad Salahuddin menyiapkan dirinya, dia menghubungi isteri tercinta yang berada di bilik bujang. Betapa dia tidak sabar untuk menyaksikan cinta hatinya berpakaian ala-ala puteri kayangan.
“Assalamualaikum sayang,” ucap Mohamad Salahuddin setelah Qistur Ruwaidah menjawab panggilannya.
“Waalaikummussalam habibi. Kenapa hubungi sayang ni? Bukannya kita tak jumpa sekejap lagi,” seloroh Qistur Ruwaidah.
“Habibi rindu sayang. Tak sabar nak tengok sayang tahu. Mesti sayang cantik,” ucap Mohamad Salahuddin dengan penuh romantis.
Kedengaran Qistur Ruwaidah tergelak kecil. “Sayang malu pula bila habibi cakap macam tu. Emm… Sayang pun rindu sangat kat habibi. Sayang tinggal nak pakai vel dan tiara je. Kalau sayang dah siap, sayang beritahu habibi.”
Sejujurnya, mereka berdua tidak sabar untuk dipertemukan sekali lagi.
Setelah Qistur Ruwaidah disempurnakan oleh Tihaani, dia segera maklumkan kepada suami tercinta. Tiba-tiba kedengaran ketukan pintu dari luar bilik bujang Qistur Ruwaidah.
“Laju je Din. Dia dah tak sabar sangatlah tu nak tengok kau,” usik Tihaani seraya menyusun segala peralatan mekapnya dalam beg khas.
Qistur Ruwaidah tersengih malu. “Tulah… Aku pergi buka pintu sekejap ya.”
Jantung Qistur Ruwaidah mula berdebar tatkala dia hendak memusing tombol pintu biliknya. Dia tidak pasti apa reaksi Mohamad Salahuddin tatkala menyaksikan dirinya itu tetapi dia berharap agar suaminya suka akan penampilannya pada hari bahagia mereka berdua itu.
Mohamad Salahuddin tersenyum tatkala isterinya membuka pintu. Namun, dia terkedu seketika setelah dia menyaksikan penampilan isterinya secara keseluruhan. Betapa isterinya sangat cantik dan kelihatan sebagai seorang puteri!
Qistur Ruwaidah juga terkedu tatkala menyaksikan penampilan suaminya. Ah, kelihatan suaminya benar-benar seperti seorang putera! Kacak sekali!
Tihaani segera meninggalkan bilik tersebut dan membawa beg mekapnya. Dia tidak mahu menganggu momen indah buat pasangan itu.
Sakeenah pula sudah bergerak bersama Puan Zaidah dan Encik Mohd Firdaus ke Dewan Bankuet, Cultural Activity Centre (CAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada jam 8.30 pagi tadi. Suhaibul Umar juga sudah bergerak sekali dengan keluarga Mohamad Salahuddin.
Tinggallah Qistur Ruwaidah, Mohamad Salahuddin, Tihaani dan Wan Abdullah sahaja di rumah tersebut.
Kelihatan Mohamad Salahuddin melangkah masuk ke dalam bilik bujang isterinya itu. Anak mata Qistur Ruwaidah menatap wajah suaminya. Ah, Mohamad Salahuddin sedang menghadiahkan senyuman kepada dirinya!
“Sayang…” panggil Mohamad Salahuddin dengan penuh kelembutan. Kedua-dua tangan isterinya diraih dan dikucup dengan penuh cinta.
“Ya habibi,” ujar Qistur Ruwaidah dengan penuh manja. Ah, mana mungkin dia tidak makin jatuh cinta dengan suaminya hari demi hari!
“Sayang nampak cantik sangat hari ni. Betul-betul macam tuan puteri. Habibi beruntung sangat ada isteri secantik sayang. Sempurnanya Allah ciptakan sayang tanpa cacat cela.”

Qistur Ruwaidah tersenyum mendengar pujian suaminya itu. “Alhamdulillah. Kurniaan Allah buat sayang. Setiap makhluk-Nya dicipta dengan penuh indah. Habibi pun apa kurangnya. Maha Suci Allah yang menciptakan habibi dengan sebaik-baik kejadian. Habibi nampak kacak sangat! Nampak macam tuan putera. Sayang cemburulah kalau ada mana-mana perempuan menjeling je tengok habibi sekejap lagi.”
Mohamad Salahuddin segera mendakap isterinya. “Sayang… Mata dan jiwa habibi hanya untuk sayang seorang je. Kalau ada mana-mana perempuan menjeling tengok habibi pun, bukannya boleh menggugat jiwa habibi untuk beralih arah kat perempuan lain. Sayang milik habibi, habibi milik sayang. Sayang percaya habibi, kan?”
Qistur Ruwaidah mengeratkan lagi dakapan tersebut. “Sayang percayakan habibi. I love you, habibi.”
“I love you too, sayang. Kalau ikutkan, habibi patut lebih cemburu sebab habibi percaya, mesti ada je lelaki yang menjeling kat sayang. Kalau sayang rasa tak selamat kat majlis sekejap lagi, sayang pegang je tangan habibi kuat-kuat tahu.”
“Insya-Allah habibi.”
Mohamad Salahuddin meleraikan dakapan tersebut. “Sayang dah sedia nak tinggalkan rumah ni dan mulakan hidup baru dengan habibi kat rumah baharu kita lepas tamat majlis nanti?”

“Insya-Allah. Sayang dah sedia tapi tulah… Tipulah kalau sayang tak sedih, kan? Nilah tempat sayang membesar dengan Abang Suhaib. Sayang pun akan tinggalkan Abang Suhaib seorang diri kat rumah ni. Rasa risau pun ada tapi sayang serahkan Abang Suhaib dalam jagaan Allah,” balas Qistur Ruwaidah.
“Tak apa sayang. Bukannya kita tak boleh jenguk Abang Suhaib langsung, kan? Boleh je kita jenguk Abang Suhaib bila hari cuti. Bukannya rumah kita dengan rumah sayang jauh sangat.”
Qistur Ruwaidah tersengih. “Betul juga. Okeylah habibi… Jom kita turun bawah sekarang. Nanti Tihaani dan Wan Dolah tunggu kita lama pula.”
Pasangan itu mula meninggalkan bilik bujang Qistur Ruwaidah dan menuruni anak tangga demi anak tangga. Kelihatan Tihaani dan Wan Abdullah sedang berbual kosong di atas sofa.
“Okey Wan Dolah, Tihaani… Jom! Kita boleh gerak sekarang,” kata Mohamad Salahuddin.
Qistur Ruwaidah pula setia memegang tangan kirinya suaminya itu.
“Tunggu sekejap. Aku ada kejutan untuk kau orang,” kata Tihaani.
“Laa… Kejutan apa lagi kau ni, Tihaani? Tak habis-habis bagi kejutan,” ujar Qistur Ruwaidah.
“Kejutan tu akan sampai lagi tiga minit. Kau orang tunggu je.”
Tiga minit kemudian, Tihaani menerima mesej WhatsApp daripada seseorang. Lalu, dia tersenyum. “Okey, Qist, Din. Kejutan tu dah sampai. Kau orang boleh keluar sekarang.”
Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin saling berpandangan. Tanpa melengahkan masa, Qistur Ruwaidah membuka mangga kunci rumahnya itu.
Alangkah terkejutnya Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin tatkala mereka berdua ternampak sebuah kereta limousin berada di hadapan rumah Qistur Ruwaidah bersama pemandu peribadi Tihaani yang sudah berdiri di sebelah pintu kereta bagi membuka pintu untuk pasangan itu pada bila-bila masa sahaja!
Wan Abdullah juga turut terkejut dengan kejutan yang dihadiahkan oleh Tihaani kepada dua orang kawannya itu, namun dia membisukan diri. Dia tidak sangka bahawa Tihaani merupakan anak orang berada kerana perwatakannya penuh rendah diri dan tidak bermegah-megah. Betapa dia mengagumi peribadi Tihaani itu.
“Surprise! Hari ni, kau orang jadi putera dan puteri, kan. Sesuailah naik kereta limousin ni,” ucap Tihaani dengan penuh ceria.
“Apa ni, Tihaani! Janganlah buat kita orang macam ni!” ucap Qistur Ruwaidah dengan sebak. Dia menahan sebak agar air mata tidak merosakkan mekapnya itu.
Mohamad Salahuddin juga terkedu dengan hadiah daripada Tihaani itu. “Tihaani… Aku tak tahu nak cakap apa. Kat mana pula kau cari kereta limousin ni?”

“Pinjam kereta syarikat daddy aku. Daddy aku jarang pakailah kereta ni. Alang-alang tu, daddy aku bagi lampu hijau bila aku beritahu tema majlis kesyukuran kau orang. Oh ya… Ni pemandu peribadi aku. Pak Cik Azman namanya. Alaa… Sekali-sekala kau orang merasa naik kereta macam ni, apa salahnya, kan?” terang Tihaani.

“Bukan apa, Tihaani. Aku dan Qist ingat nak guna kereta aku je sebab lepas tamat majlis nanti, kita orang terus bertolak kat rumah baharu kita orang. Dah tak balik sini lepas majlis. Nak minta tolong Wan Dolah pun, dia datang dengan kereta dia.”
“Kalau macam tu… Emm… Kalau kau tak kisah, aku pandu kereta kau sebab aku datang sini tadi, Pak Cik Azman yang hantarkan. Lepas tamat majlis nanti, Pak Cik Azman ambil aku kat CAC. Okey?”
“Okey juga. Bolehlah… Terima kasih Tihaani.”
“Sama-sama Din.”
Qistur Ruwaidah mencubit manja lengan Tihaani. “Kau jangan buat lagi kejutan macam ni. Aku boleh dapat sakit jantung tahu! Mummy daddy datang tak sekejap lagi?”
Tihaani tersengih. “Alaa… Anggap jelah rezeki kau. Eh, mestilah! Mummy daddy tak sabar nak tengok kau dan Din tahu. Dia orang pun tumpang gembira untuk kau. Cuma, mummy daddy datang dalam pukul 3.00 macam tulah sebab daddy aku ada mesyuarat.”
“Okey. Apa-apa pun, terima kasih Tihaani. Moga Allah murahkan rezeki kau.”
“Sama-sama. Amin ya Rabb… Ha, tunggu apa lagi? Cepatlah masuk! Nanti kita lambat pula.”
“Sekejap… Aku pergi ambilkan kunci kereta aku,” kata Mohamad Salahuddin seraya mengambil kunci keretanya untuk diserahkan kepada Tihaani.
“Aku pun nak kunci pintu rumah dulu,” kata Qistur Ruwaidah.
Tidak lama kemudian, Qistur Ruwaidah mengunci gril rumahnya dengan menggunakan kunci mangga setelah Mohamad Salahuddin mengambil kunci kereta dan menyarungkan kasut buat dirinya itu. Betapa dia merasakan dialah tuan puteri terbahagia di dunia kerana sifat suaminya penuh romantis. Hanya layak disaksikan oleh dirinya sahaja.

“Silakan masuk, Puan Qist dan Encik Din,” ucap Pak Cik Azman, pemandu peribadi Tihaani itu.

Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin menjadi kekok pula apabila Pak Cik Azman menggelarkan diri mereka berdua dengan penuh hormat. Sedangkan usia mereka berdua masih muda dan sepatutnya, Pak Cik Azmanlah yang perlu dihormati oleh pasangan itu.
“Pak cik… Pak cik panggil je Qist dan Din. Kami cuma kawan Tihaani. Bukannya orang VIP,” kata Qistur Ruwaidah dengan penuh santun.
“Tak apa, Puan Qist, Encik Din. Saya dah biasa dari dulu. Cik Tihaani pun, saya tak panggil nama. Memang saya dilatih untuk menghormati setiap kenalan Cik Tihaani sejak saya bekerja dengan Dato Jauzi dan Datin Hasyimah dari dulu.”
Pasangan itu akur dengan penerangan Pak Cik Azman. Lalu, mereka berdua memasuki perut kereta limousin yang sungguh luas itu. Siap ada televisyen, peti sejuk mini, meja makan dan banyak lagi! Kelihatan reka bentuk dalaman kereta limousin itu seperti rumah mini pula.
“Kalau nak minum, boleh je ambil dalam peti sejuk tu,” kata Pak Cik Azman.
“Baik pak cik. Terima kasih,” ucap Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin.
Akhirnya, kereta limousin milik keluarga Tihaani, kereta Mohamad Salahuddin dan kereta Wan Abdullah mula meninggalkan kawasan rumah Qistur Ruwaidah bagi menuju ke Dewan Bankuet, Cultural Activity Centre (CAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

MAJLIS KESYUKURAN QISTUR RUWAIDAH DAN MOHAMAD SALAHUDDIN
DEWAN BANKUET, UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA (UIAM), GOMBAK
10 SEPTEMBER 2016

Qistur Ruwaidah merenung ke luar jendela kereta limousin itu. Betapa dia khusyuk menghayati ciptaan Allah dan ditambah pula dengan alunan zikir-zikir yang dimainkan melalui corong radio di atas permintaannya dan Mohamad Salahuddin.
“Sayang…” panggil Mohamad Salahuddin seraya mendakap tubuh isterinya dari belakang dengan penuh cinta tanpa ragu-ragu.

Lamunan Qistur Ruwaidah terhadap pemandangan luar menjadi mati. Dia membalas respons suaminya dengan meleraikan dakapan itu. Dia mahu memberikan fokus untuk suaminya itu. “Ya habibi?” responsnya seraya memaut lengan kiri suaminya.
“Sayang gembira tak hidup dengan habibi lepas kita dah kahwin sembilan hari ni?”

“Ya Allah… Mestilah sayang gembira! Lagi-lagi, setiap hari habibi jadi romantik sangat dengan sayang! Macam mana sayang makin tak cintakan habibi tahu? I love you so much!”
Mohamad Salahuddin tersenyum. “Alhamdulillah… Habibi lega sayang cakap macam tu. Insya-Allah habibi akan cuba bahagiakan sayang setiap hari. Habibi pun bahagia ada isteri manja macam sayang. I love you too… so much!” ucapnya bersama kucupan buat isterinya.
Qistur Ruwaidah tersenyum tatkala dia menerima kucupan itu.
Tidak lama kemudian, kereta limousin yang dipandu oleh Pak Cik Azman tiba di Dewan Bankuet, CAC, UIAM.
Majlis kesyukuran Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin bermula pada jam 10.00 pagi, namun pengantin tiba pada jam 11.00 pagi. Kelihatan para tetamu semakin ramai memeriahkan majlis kesyukuran pasangan itu. Apatah lagi, jam 11.00 pagi merupakan acara kemuncak, iaitu ketibaan pasangan mempelai itu yang sudah berkahwin pada sembilan hari yang lalu.
“Kita dah sampai, Puan Qist, Encik Din. Saya bukakan pintu sekejap,” kata Pak Cik Azman.

Kelihatan kumpulan kompang juga sudah berdiri di sekitar karpet merah bagi mengalunkan kompang rentak ketibaan pengantin.
Tatkala Pak Cik Azman membuka pintu bagi kedua mempelai itu, alunan kompang pun mula dimainkan bagi memaklumkan ketibaan pasangan tersebut.
Mohamad Salahuddin keluar dari perut kereta terlebih dahulu. Kemudian, dia menyambut Qistur Ruwaidah dengan menghulurkan tangannya ibarat tuan putera menyambut tuan puterinya bersama ekspresi wajah penuh cinta. Qistur Ruwaidah segera menyambut tangan suaminya dengan penuh berbunga-bunga.

Ketika itu, para tetamu yang baru tiba di majlis tersebut kelihatan amat teruja menyaksikan pasangan itu menaiki kereta limousin dan busana pengantin pun turut menarik perhatian para tetamu!
Seperti yang telah diajar oleh Suhaibul Umar berkenaan perarakan masuk sempena latihan pada hari semalam, Mohamad Salahuddin berdiri di sebelah kanan manakala Qistur Ruwaidah berdiri di sebelah kiri sambil dia memaut siku suaminya. Lalu, mereka berdua berarak masuk bagi menuju ke mahligai cinta dengan penuh keyakinan bersama pengapit mereka berdua, iaitu Wan Abdullah dan Tihaani serta alunan kompang.

Sementara menunggu alunan kompang berhenti, Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah berhenti di pintu utama terlebih dahulu kerana akan dimainkan pula alunan ‘Selawat Burdah’ oleh ahli Centre for Arts and Cultural Sustainable Development, International Islamic University Malaysia (CiTRA-IIUM) menerusi pembesar suara bagi perarakan ke pelamin.

Kebiasaannya, ‘Selawat Burdah’ akan dialunkan oleh ahli CiTRA-IIUM sewaktu majlis konvokesyen UIAM semasa ketibaan masuk dan keluar orang kenamaan. Namun, bagi pasangan yang berkahwin sesama UIAM, selawat tersebut amat bermakna untuk mereka dan sesuai untuk dijadikan acara perarakan kerana rentaknya merdu dan menunjukkan betapa simboliknya UIAM bagi mereka.

Sementara itu, jurugambar dan juruvideo daripada pihak LurveMahabbah menjalankan tugas mereka bagi mengabadikan momen tersebut sejak pasangan itu keluar dari perut kereta limousin.

Setelah alunan kompang dihentikan, pasangan tersebut serta pengapit mereka berdua menerima isyarat daripada juruacara majlis dari jauh agar bersedia untuk menuju ke pelamin.

“Sayang berdebar nak naik pelamin. Semua orang tengok kita,” luah Qistur Ruwaidah dengan perlahan.

“Sayang ada dengan habibi, kan. Sayang boleh buat. Habibi percayakan sayang. Anggap je tetamu tak ada. Hanya kita berdua je kat dalam dewan ni. Percaya dengan cinta kita. Tak ada siapa-siapa pun boleh pisahkan kita,” Mohamad Salahuddin menyemarakkan semangat buat isterinya itu dengan menatap wajah isterinya bagi menyalurkan kekuatan cintanya.

Qistur Ruwaidah mula mendapat kekuatan setelah suaminya menuturkan ayat sedemikian. Benar, dia mula tidak mempedulikan lagi dengan keadaan sekeliling tatkala dia memandang wajah suaminya.

Alunan ‘Selawat Burdah’ mula dimainkan menerusi pembesar suara. Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah serta Wan Abdullah dan Tihaani memulakan langkah mereka bagi menuju ke pelamin. Kelihatan para kenalan mereka melambaikan tangan ke arah pasangan tersebut. Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah menghadiahkan senyuman dan melambai dengan penuh santun.

Pelamin mereka berdua berkonsepkan putera dan puteri kayangan seperti busana kahwin. Terdapat bunga-bungaan, lampu kelip-kelip, replika mini bercorakkan istana yang menghiasi pelamin tetapi ianya kelihatan abstrak dan penuh magik serta paling menarik perhatian para tetamu, iaitu hologram salji yang menyinari pelamin Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin. Semuanya idea gila Suhaibul Umar dan turut dibantu oleh sahabat baiknya juga, iaitu Afkar Irsyad bagi menjayakan majlis kesyukuran pasangan tersebut.

Majlis kesyukuran diserikan pula dengan salam restu kedua mempelai bersama Puan Zaidah dan Encik Mohd Firdaus serta Suhaibul Umar, ibu bapa saudara sebelah almarhumah Puan Mahfuzah serta Inspektor Anwar dan isterinya. Akhirnya, tercapailah hasrat Qistur Ruwaidah bagi menemukan suaminya dengan ayah dan ibu angkatnya itu.

Bagi keluarga sebelah almarhum ayah Qistur Ruwaidah dan Suhaibul Umar pula, almarhum Encik Isyraf Imrani dan almarhumah Mak Long Rauzah merupakan dua beradik sahaja. Suami Mak Long Rauzah, iaitu Pak Long Megat Arif serta anak mereka, iaitu Puteri Masyitah juga telah kembali menghadap Ilahi. Jadi, tiada sesiapa lagi keluarga sebelah ayah dua beradik itu yang hidup.

Tipulah bagi Qistur Ruwaidah jika dia tidak bersedih hati di atas ketiadaan lima orang ahli keluarganya yang telah pergi, terutama ibu bapanya yang sepatutnya berada sempena hari akad nikahnya pada 1 September lepas dan majlis kesyukurannya pada hari ini. Namun, dia belajar memujuk hati dan menganggap dia sudah biasa tanpa lagi keberadaan ibu bapanya di sisi.
Mohamad Salahuddin memandang isterinya seketika dengan memberikan isyarat wajah “Sayang okey?” kerana dia tahu isterinya menginginkan arwah ibu bapanya untuk berada di majlis ini.
Qistur Ruwaidah mengangguk seraya tersenyum. Hakikatnya, kalbunya runtun. Cuma, dia tidak mahu merosakkan hari penuh bahagia ini.
Kemudian, pasangan itu meninggalkan mahligai tersebut bagi meneruskan acara santapan di meja pengantin setelah mendapat arahan daripada juruacara majlis. Kiranya, majlis tersebut berjalan dengan penuh lancar.
Kedengaran alunan selawat, nasyid dan lagu-lagu bertemakan cinta dan kahwin juga dimainkan melalui pembesar suara ketika acara santapan.

Seperti biasa, Mohamad Salahuddin menyuapi isterinya terlebih dahulu. Kemudian, giliran Qistur Ruwaidah pula menyuapi suaminya. Jurugambar dan juruvideo merakamkan detik tersebut.
“Sedaplah lauk udang galah ni. Ni kali pertama sayang makan,” puji Qistur Ruwaidah.
“Tulah. Habibi rasa nak suruh je orang katering bungkuskan untuk kita. Tak pun minta tolong Abang Suhaib. Kita ada masa dalam 45 minit je nak makan. Dengan terkial-kial nak guna sudu garfunya. Lepas tu, potong kek pula,” kata Mohamad Salahuddin sambil mengopek ayam golek dengan menggunakan sudu dan garfu.
Tidak lama kemudian, juruacara majlis menjemput kedua mempelai bagi acara memotong kek pula. Kek setinggi dua tingkat menghiasi tidak jauh dari pelamin, iaitu kek baldu merah bersama keju mascarpone berada pada tingkat pertama manakala kek keju lobak merah berada pada tingkat kedua.
Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah memegang tangan bersama-sama bagi memotong kek pada kedua-dua tingkat tersebut bersama pancaran hologram salji menemani mereka berdua. Para tetamu tersenyum-senyum menyaksikan pasangan itu saling menyuapi di antara satu sama lain. Tidak kurang juga, ada yang mengabadikan momen pasangan itu dan berkongsi di media sosial.
Tidak lama kemudian, Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah berada di pelamin semula bagi acara bergambar bersama para kenalan yang hadir.
“Tahniah Din, Qist! Aku doakan moga kau orang bahagia sampai Syurga,” ucap salah seorang rakan Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah sewaktu kelas Bahasa Ingeris di pusat asasi dahulu, iaitu Arif.

“Terima kasih Arif. Kita orang gembira kau datang majlis kita orang hari ni. Kau datang seorang je ke? Mana lagi Grup 320 yang lain?” balas Mohamad Salahuddin.
“Aku datang dengan Aber, Ecah, Natrah, Mia, Amal dan adalah lagi beberapa orang tapi aku saja nak jumpa kau orang dulu sebelum makan. Jom kita selfie,” ujar Arif.

Lalu, pasangan itu dan Arif berswafoto dalam telefon pintar milik Arif itu. Tidak dilupakan, gambar mereka bertiga diabadikan juga oleh pihak LurveMahabbah.

“Okey kau orang. Aku pergi dulu. Nak makan. Sekali lagi, tahniah tahu. Nanti aku datang bergambar dengan kau orang lagi. Sekali dengan Grup 320 pula,” kata Arif seraya tersengih.

“Okey Arif. Terima kasih juga sebab sudi datang majlis kita orang. Nanti kau beritahulah kat Grup 320 yang lain. Kita bergambar ramai-ramai. Masa ni jelah boleh nak kumpul ramai-ramai balik,” kata Qistur Ruwaidah dengan penuh gembira.
Tidak lama kemudian, semakin ramailah para tetamu berpusu-pusu untuk bergambar dengan pengantin baru itu.
Setelah keadaan menjadi reda sedikit, Mohamad Salahuddin mengambil kesempatan untuk berbual seketika dengan isterinya. Walaupun baru beberapa jam sahaja mereka berdua tidak berbicara secara privasi, dia sudah mula rindu untuk berdua-duaan dengan isterinya sahaja.
“Sayang, penat tak?” tanya Mohamad Salahuddin.

“Eh, taklah! Okey je. Sayang seronok sangat layan tetamu hari ni,” balas Qistur Ruwaidah. Nadanya kedengaran sangat gembira.
“Betul ni? Habibi risau pula,” ujar Mohamad Salahuddin dengan penuh risau.
Qistur Ruwaidah memegang tangan suaminya dengan erat. “Betul habibi… Tak penatlah. Sayang okey je.”
Mohamad Salahuddin melirik ke arah jam tangannya. “Lagi 10 minit nak masuk azan zuhur. Habibi ingat nak siap sedia solat kat surau CAC sekarang. Ambil wuduk siap-siap. Selesai azan, habibi terus solat. Sekejap lagi, mesti lagi ramai tetamu datang. Sayang tak boleh solat, kan?”
Qistur Ruwaidah mengangguk. “Haah… Tak boleh. Sayang pun nak touch up mekap kat surau CAC. Kita pun ada sesi fotografi dan videografi pukul 4.00 petang nanti,” ujarnya.
Mohamad Salahuddin mengangguk. “Habibi pergi dulu ya?”
“Okey habibi. Jumpa nanti,” balas Qistur Ruwaidah seraya menyalam tangan suaminya.

Qistur Ruwaidah masih ingat lagi tatkala dia didatangi haid sejak dua hari lepas sebelum majlis kesyukuran, sejujurnya dia menjadi amat malu untuk memaklumkan kepada suaminya tentang keuzurannya bagi menunaikan solat walaupun dia tahu, dia tidak sepatutnya menjadi malu kerana itu fitrah azali kaum perempuan dan kaum lelaki juga memahami berkenaan hal datang bulan itu. Bukannya Mohamad Salahuddin tidak memahami. Dia juga mempunyai dua perempuan dalam kehidupannya, iaitu Puan Zaidah dan Sakeenah.
“Sayang ni… Buat apa nak malu dengan habibi. Dah fitrah perempuan datang bulan,” ujar Mohamad Salahuddin setelah Qistur Ruwaidah memaklumkan dirinya sedang uzur dalam keadaan malu-malu.
“Sayang baru beberapa hari kahwin dengan habibi, kan? Mestilah sayang malu,” kata Qistur Ruwaidah seraya tersengih.

Mohamad Salahuddin mencuit hidung isterinya. “Sayang ni… Ke situ pula dia. Tu namanya malu tak bertempat.”
Tatkala itu, Qistur Ruwaidah tersenyum-senyum tatkala dia teringat semula akan perbualan tersebut bersama suaminya.
Setelah Mohamad Salahuddin hilang dari pandangan Qistur Ruwaidah, Qistur Ruwaidah pun mengajak Tihaani untuk berada di surau CAC bagi mentatarias wajahnya sebelum lebih ramai tetamu yang mahu bertegur sapa dengan dirinya dan dia risau jika dirinya begitu ralit melayan tetamu.

“Nasib baiklah kita orang gabung majlis. Boleh tahan penat. Kalau majlis pihak aku lain, majlis pihak Din lain, aku rasa kaki aku tercabut terus,” kata Qistur Ruwaidah seraya menanggalkan tudungnya setelah mereka berdua berada dalam surau perempuan CAC.
“Tulah. Aku jadi pengapit kau pun, dah nak tercabut kaki aku,” kata Tihaani.
“Terima kasih tahu, Tihaani sebab kau tolong pasal baju kita orang. Ramai puji baju kita orang lawa dan unik sebab kita orang pakai warna kontra. Din pakai warna biru tua, aku pakai warna merah jambu.”
“Sama-sama. Tak ada hallah, Qist. Aku tolong mana yang boleh je.”
Tanpa sepatah bicara, Qistur Ruwaidah mendakap Tihaani bersama esakan air mata. Dia tidak peduli jika dia telah merosakkan mekap yang sedia ada itu. Betapa dia terhutang budi di atas segala pertolongan sahabat baiknya sejak ibu bapa sahabat baiknya itu menaja kos rawatan baik pulih parut penderaan pada tubuhnya sehinggalah ke majlis kesyukuran ini.
Tihaani mengusap tubuh belakang Qistur Ruwaidah. Biarlah sahabat baiknya itu menangis semahunya kerana dia mengerti, Qistur Ruwaidah sudah terlalu menderita pada masa lalu. Apatah lagi, peritnya sahabat baiknya itu melalui liku-liku kehidupan tanpa lagi ibu bapa di sisi. Pada hari penuh kegembiraan ini, dia dan juga, ibu bapanya, iaitu Datin Hasyimah dan Dato Jauzi amat gembira untuk Qistur Ruwaidah yang telah bergelar isteri kepada Mohamad Salahuddin itu.

Sementara kisah Mohamad Salahuddin bersama Wan Abdullah pula…

Usai menyahut panggilan Ilahi, Mohamad Salahuddin bersalaman dengan Wan Abdullah, sahabat baik serta sang pengapit yang setia buat dirinya sejak majlis akad nikah pada minggu lepas dan majlis kesyukuran pada hari ini.
“Terima kasih Wan Dolah sebab kau selalu ada untuk aku,” ucap Mohamad Salahuddin.
“Sama-sama. Tak ada hallah. Macam mana kehidupan kau lepas dah kahwin dengan Qist?” ujar Wan Abdullah bersama kuntum senyuman.
“Alhamdulillah. Okey je. So far so good. Nak cakap lebih-lebih pun, aku baru kahwin sembilan hari dengan dia tapi aku harap perkahwinan aku dan Qist kekal. Tu jelah yang aku harapkan.”
“Amin!”
Tiba-tiba telefon pintar Mohamad Salahuddin berbunyi dari kocek seluar Wan Abdullah.

AA Sayang Qist

Wan Abdullah tersengih. Bukan main lagi Mohamad Salahuddin menyimpan nama Qistur Ruwaidah sedemikian. “Orang rumah kau,” katanya seraya menyerahkan telefon pintar tersebut kepada Mohamad Salahuddin.

Mohamad Salahuddin tersipu malu tatkala Wan Abdullah melihat nama si pemanggil itu. Lalu, dia segera mencapai telefon pintarnya dan beredar jauh sedikit daripada Wan Abdullah. Dia malu. “Assalamualaikum sayang,” ucapnya.
“Waalaikummussalam habibi. Habibi dah turun ke?” ujar Qistur Ruwaidah.
“Belum. Baru je habis solat dengan Wan Dolah. Kenapa sayang?”
“Sayang dah siap touch up mekap.”
“Eh, cepatnya!”
“Tihaani cakap tak banyak perlu ubah. Sikit-sikit je. Tu yang jadi cepat. Kalau macam tu, jom kita turun sama-sama.”
“Okey boleh. Sayang tunggu sekejap ya.”
Usai pasangan itu memutuskan talian, Mohamad Salahuddin menuju semula ke arah Wan Abdullah. “Qist dah siap. Kita boleh keluar sekarang,” katanya seraya menyerahkan semula telefon pintarnya kepada Wan Abdullah.
Lalu, Mohamad Salahuddin dan Wan Abdullah meninggalkan surau CAC. Kelihatan Qistur Ruwaidah sedang menyarung kasutnya. Cepat-cepat Mohamad Salahuddin datang membantu isterinya.
“Kesian sayang habibi ni. Habibi tolong ya,” kata Mohamad Salahuddin seraya menyarung kasut buat isterinya itu.

Qistur Ruwaidah tersenyum dengan tindakan suaminya itu. “Terima kasih habibi,” ucapnya.
“Sama-sama sayang. Jadi… Boleh kita turun sekarang?” ujar Mohamad Salahuddin seraya menunjukkan isyarat dengan menggunakan lengannya agar tangan Qistur Ruwaidah berpaut di lengannya itu. Senyuman tidak lekang dari bibirnya buat cinta hatinya itu.

Qistur Ruwaidah segera memaut lengan suaminya. “Boleh habibi.”

Lalu, pasangan itu bersama dua orang pengapit mula menuruni anak tangga CAC bagi menuju ke mahligai cinta kembali.

“AZIM, betul ke keputusan kau nak pergi majlis kahwin Qist dan Din? Aku tak sanggup tengok kau kecewa lagi. Cukuplah lamaran kau kena tolak dengan Qist masa bulan Mei dulu,” ujar Muhammad Amirul Azhar.
Ketika itu, Abdul Azim sedang menyikat rambutnya dengan rapi. Pada hari bersejarah Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin, dia mengenakan baju batik rona hitam dan berseluar slack rona hitam.
“Eh, aku okey jelah. Takkan aku tak datang pula. Buat penat je aku beli air fryer ni kat dia orang,” kata Abdul Azim dengan penuh gembira seraya menunjukkan hadiah penggoreng kering (air fryer) yang telah dibalut oleh dirinya sendiri.

Meskipun hati Abdul Azim masih belum pulih sepenuhnya dari melepaskan pergi Qistur Ruwaidah, namun dia tetap menguatkan hati bagi menghadiri hari bahagia perempuan yang amat dicintainya itu. Niatnya tidak lain tidak bukan hanyalah dia mahu meraikan majlis kesyukuran Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin sebagai bekas rakan sekelas Bahasa Inggeris di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Petaling Jaya (CFS IIUM PJ) dulu. Dia sentiasa mendoakan agar Mohamad Salahuddin dapat menjaga Qistur Ruwaidah dengan baik.
“Azim, kalau kau tak kuat, kita orang boleh wakilkan kau,” kata Muhammad Syarafuddin dengan penuh risau.
“Laa… Aku dah siap ni. Takkan kau orang nak suruh aku tak pergi pula. Mana boleh kau orang je makan nasi minyak. Tak acilah! Aku pun nak! Dah lama tak makan lauk kenduri,” kata Abdul Azim dengan reaksi normal. Tiada rasa sedih mahupun kecewa.

Mana mungkin Abdul Azim melupakan kata-katanya, iaitu “Wah, alhamdulillah kalau macam tu Din! Semoga dipermudahkan. Aku tak sabar nak jamah nasi minyak kau”, namun dia sudah reda bahawa Qistur Ruwaidah tidak ditakdirkan untuk dirinya biarpun kalbunya tetap dihiris-hiris. Pada hari ini, tercapailah hasratnya untuk menikmati nasi minyak pasangan itu.
Abdul Azim masih ingat lagi, saat Mohamad Salahuddin menghebahkan di media sosial bahawa dia telah membina masjid bersama Qistur Ruwaidah pada minggu lepas, Abdul Azim mengucap syukur. Namun, dia terkejut sedikit kerana sangkaannya, dua orang bekas rakan sekelasnya itu mengikat pertalian cinta pada hari ini kerana biasanya majlis akad nikah dan majlis kesyukuran diadakan sekali harung.
Amirul Azhar dan Muhammad Syarafuddin saling berpandangan seketika tanpa sepatah bicara. Lalu, mereka berdua memandang Abdul Azim yang masih ralit menyikat rambutnya itu. Sejujurnya, mereka berdua amat risau dengan siswa itu. Namun, kelihatan Abdul Azim begitu relaks.
“Okey, jom kau orang. Aku dah siap,” kata Abdul Azim seraya membawa hadiah kahwin tersebut.
Lalu, mereka bertiga menuju ke Dewan Bankuet, Cultural Activity Center (CAC) dengan berjalan kaki kerana masing-masing belum layak untuk membawa kereta ke kampus. Hanya siswa siswi tahun keempat sahaja dibenarkan untuk membawa kereta.

Sesampai Abdul Azim, Muhammad Syarafuddin dan Amirul Azhar di majlis kesyukuran tersebut, betapa meriah dan ramainya yang hadir ke majlis tersebut. Kebetulan juga mereka bertiga terserempak dengan Suhaibul Umar.
“Abang Suhaib!” tegur Abdul Azim dengan ceria.
Kelihatan Suhaibul Umar agak terkejut dengan kehadiran Abdul Azim di majlis kesyukuran adiknya itu. Sejujurnya, dia tidak menyangka bahawa sahabat baiknya begitu kental jiwanya. “A… Azim,” balasnya dengan sedikit gugup.
Memang Abdul Azim pernah memaklumkan kepada Suhaibul Umar bahawa dia akan menghadiri majlis kesyukuran Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin, namun sangkaan Suhaibul Umar, Abdul Azim akan mengubah fikirannya untuk tidak menghadiri majlis ini. Sejujurnya, dia rasa amat bersimpati terhadap Abdul Azim.
“Tahniah abang sebab dah bertambah ahli baru,” ucap Abdul Azim seraya menyerahkan hadiah tersebut kepada Suhaibul Umar bersama senyuman.
“Terima kasih Azim. Terima kasih juga sebab kau orang sudi datang majlis hari ni. Jemput makan tahu,” ucap Suhaibul Umar seraya menyambut hadiah tersebut.
“Sama-sama abang,” ucap mereka bertiga.
“Azim, kau pergilah ambil makanan dulu. Aku dan Sya nak sembang dengan Abang Suhaib sekejap,” kata Amirul Azhar.
“Okey, boleh. Kau orang jangan balik pula,” pesan Abdul Azim.
“Eh, tak adalah! Sekejap je pun kita orang nak sem
bang dengan Abang Suhaib,” balas Muhammad Syarafuddin.
Tanpa mengesyaki apa-apa, Abdul Azim meninggalkan tiga orang jejaka itu bagi mengisi perut yang ditahan sejak pagi tadi.

“Mati-mati abang ingatkan Azim tak datang,” ujar Suhaibul Umar sebagai pembuka bicara.
“Sebenarnya, kita orang cuba halang Azim supaya tak payah datang majlis Qist tapi dari semalam lagi, Azim semangat ajak kita orang cari hadiah kahwin untuk Qist dan Din. Kita orang kesian sangat kat dia,” kata Amirul Azhar.
“Nampak dia bersungguh sangat nak beritahu dia reda melalui perbuatan tapi sebenarnya, kita orang tahu hati dia masih sakit,” kata Muhammad Syarafuddin.
Suhaibul Umar mengangguk faham. “Tak apalah. Kita semua tahu Azim kuat. Kalau dia tak kuat, dia takkan datang majlis hari ni. Kau orang temankan Azim tahu. Abang tak dapat nak cakap lama dengan dia hari ni. Abang akan jumpa dia hari lain.”
Kemudian, Muhammad Syarafuddin dan Amirul Azhar meninggalkan Suhaibul Umar. Lalu, mereka berdua mengambil hidangan yang tersedia di meja bufet.
“Aku rasa kita je yang fikir bukan-bukan. Azim nampak relaks je,” kata Muhammad Syarafuddin seraya mengambil teh tarik.
“Tulah. Hmm… Aku nak tanya keadaan dia pun, aku tak sampai hati. Tak apalah. Kita buat macam tak ada apa-apa berlaku jelah,” kata Amirul Azhar.
Akhirnya, dua sahabat itu ternampak kelibat Abdul Azim sedang bermain dengan telefon pintarnya bersendirian tanpa ada orang lain yang memenuhi meja tersebut. Lalu, mereka berdua melabuhkan punggung di atas kerusi yang tersedia.
“Eh! Ada teh tarik ke? Kat mana? Tak nampak pun,” kata Abdul Azim.

“Kat bahagian pencuci mulut. Tak apa. Aku pergi ambilkan untuk kau. Alang-alang tu, aku nak ambil pencuci mulut sekali,” kata Muhammad Syarafuddin.

Tidak lama kemudian, Muhammad Syarafuddin tiba bersama segelas teh tarik, brownies, kek coklat, puding jagung, kuih akok, kuih koci dan kuih tepung pelita.
“Sedap belaka lauk kenduri hari ni! Alhamdulillah. Jom makan,” ucap Abdul Azim. Lalu, dia mengetuai bacaan doa makan.

Hidangan utama bagi majlis kesyukuran Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin, iaitu nasi minyak, nasi putih, ayam goreng berempah, ayam masak merah, daging masak hitam, acar nanas timun, popadom, ulam-ulaman, sambal belacan dan tempoyak.

Dalam Abdul Azim sedang ralit menikmati hidangan utama, matanya juga sedang asyik memerhatikan reka bentuk pelamin pasangan tersebut. ‘Fuh, pelamin dia orang bentuk abstrak campur fantasi! Siap ada hologram salji. Sah, ni kerja Abang Suhaib! Lagipun, Abang Suhaib ada cakap dia jadi perancang perkahwinan dia orang. Hebat betul! Subhanallah!’ bisik hatinya.
Muhammad Syarafuddin menyiku lengan Amirul Azhar seraya berbicara perlahan. “Tengok Azim tu.”
Cepat-cepat Amirul Azhar menegur Abdul Azim. Sejujurnya, mereka berdua risau jika Abdul Azim masih tidak boleh menerima hakikat bahawa Qistur Ruwaidah tidak ditakdirkan untuk sahabat baik mereka berdua itu.

“Azim, kau tengah tengok apa? Ralit semacam je,” tegur Amirul Azhar.

“Tengah tengok pelamin dia orang. Lawa! Aku kagum betul. Cuba kau orang tengok betul-betul pelamin dia orang. Ada konsep abstrak. Aku rasa tak lain tak bukan, Abang Suhaib punya kepala untuk pelamin tu,” kata Abdul Azim dengan penuh kagum.

Amirul Azhar dan Muhammad Syarafuddin turut meneliti reka bentuk pelamin Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin. Sebagai siswa di bawah Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar (KAED), semestinya seni, reka bentuk dan ketelitian sangat dekat di hati tiga sahabat tersebut.
“Betullah. Aku pun kagum. Patutlah kau ralit tengok pelamin tu. Kita orang ingatkan kau tengah tengok pengantin,” kata Muhammad Syarafuddin. Sengaja dia ingin mengetahui respons Abdul Azim dengan menuturkan ayat sedemikian.
“Tengok pengantin? Laa… Tak ada maknanya!” kata Abdul Azim seraya menyuap hidangan berat itu.

Sejujurnya, memang Abdul Azim tidak terdetik langsung untuk melihat pasangan pengantin baru yang sedang bergambar bersama para kenalan di atas pelamin penuh indah itu. Matanya lebih tertarik dengan reka bentuk pelamin tersebut.

Disebabkan Abdul Azim terlalu kecewa dengan penolakan lamaran Qistur Ruwaidah pada bulan Mei lepas, dia mengambil keputusan untuk membakar segala pemberian Qistur Ruwaidah bagi melupakan barang-barang kenangan itu sebelum dia bercuti di Eropah.
Barang-barang yang pernah dihadiahi oleh Qistur Ruwaidah kepada Abdul Azim, iaitu sebuah bekas alat tulis berkain ‘felt’ rona merah yang tertera nama ‘A.Azim’ dan dihiasi dengan corak bola sepak di sebelahnya, surat yang diselitkan dalam bekas alat tulis tersebut, kad segi empat sama bersaiz kecil yang diselitkan dalam cat air jenama Alpha serta penanda buku tulisan khat, iaitu nama penuhnya dalam tulisan jawi. Ketika itu, berlaku sekitar tahun 2013 dan 2014 di CFS IIUM PJ. Zaman Qistur Ruwaidah masih jatuh hati terhadapnya. Ah, sukmanya terhiris!
Abdul Azim masih ingat lagi juga sewaktu Hari Raya Cina pada tahun 2014, banyak kedai yang tutup sekiranya dia keluar ‘outing’ pada hari tersebut. Namun, atas bantuan Qistur Ruwaidah, siswi itu berjaya mendapatkan barang-barang yang diperlukan olehnya. Betapa dia amat berterima kasih buat siswi tersebut pada ketika itu.
Kini, tinggal kenangan sahaja di antara dirinya dan Qistur Ruwaidah. Meskipun barang-barang pemberian Qistur Ruwaidah sudah dibakar, namun memori dia bersama Qistur Ruwaidah tidak mampu dilepaskan pergi buat masa sekarang. Namun, dia percaya… Satu hari nanti, dia mampu melepaskan jiwanya yang terpenjara gara-gara cintanya dia terhadap Qistur Ruwaidah dan menemui pengganti siswi itu.
Apabila Abdul Azim usai menjamu selera nanti, dia sudah berhajat untuk menemui kedua mempelai itu dan mengucapkan tahniah.
‘Teh tarik ni sedap betul. Nak tambah lagilah,’ puji Abdul Azim dalam hati. Lalu, dia meninggalkan meja makan tersebut bagi mengambil segelas teh tarik lagi.
“Aku rasa Azim betul-betul dah okeylah,” kata Muhammad Syarafuddin setelah Abdul Azim menghilangkan diri seketika.
“Yalah. Kita je yang fikir bukan-bukan,” kata Amirul Azhar.
Tidak lama kemudian, Abdul Azim muncul semula di meja makan tersebut. “Aku suka betul teh tarik ni. Sedaplah. Ha, kau orang… Sekejap lagi, kita pergi jumpa Qist dan Din.”
“Okey,” balas Amirul Azhar dan Muhammad Syarafuddin. Mereka berdua tidak mahu lagi membantah atau menghalang lelaki itu. Jika tindakan tersebut membahagiakan jiwa Abdul Azim, itu sudah cukup bagi mereka berdua.
Tidak lama kemudian, mereka bertiga mula meninggalkan meja makan dan menuju ke arah singgahsana cinta Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin.
“Azim, Sya, Azhar!” tegur Mohamad Salahuddin dengan penuh gembira.
Tiga sahabat itu menghadiahkan senyuman buat pasangan mempelai itu.
“Tahniah Din, Qist. Selamat pengantin baru,” ucap Abdul Azim seperti tiada apa-apa berlaku di antara dirinya dengan Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah. Sungguh, dia sudah reda dengan ketentuan Ilahi. Sememangnya, lelaki itu layak buat Qistur Ruwaidah. Dia juga sudah pasrah di atas jawapan penolakan lamaran yang telah diberikan oleh Qistur Ruwaidah kepadanya dan dia tidak menyalahkan perempuan itu, malah dia mengakui akan kekurangannya itu.
“Alhamdulillah. Terima kasih Azim,” ucap Mohamad Salahuddin. Jauh di sudut hati, dia mengagumi ketabahan Abdul Azim yang sudi menghadiri majlis kesyukuran mereka berdua pada hari ini. Andai dia berada di tempat Abdul Azim, rasanya dia tidak sanggup menghadirkan diri ke majlis perkahwinan insan yang dicintai olehnya. Andailah isterinya memilih Abdul Azim… Sungguh, dia tidak mampu membayangkannya! Dia tidak sanggup!
“Sama-sama,” balas Abdul Azim. Dia sempat mencuri pandang seketika betapa Qistur Ruwaidah amat mencintai Mohamad Salahuddin menerusi pegangan tangan sesama mereka berdua.
Hati Abdul Azim mula berbisik. ‘Aku dah lama kalah kat ‘tangan’ Din lepas Qist tolak lamaran aku. Memang dia orang secocok sangat. Aku tumpang bahagia. Din… Kau layak untuk Qist sebab kau tak pernah sakiti dia. Aku harap kau dapat jaga Qist elok-elok. Ah, bunga bukan sekuntum! Ramai lagi ‘bunga’ yang aku boleh cari. Kalau bukan dalam tempoh aku belajar, mungkin jodoh aku kat tempat kerja tapi tulah… Qist pernah jadi cinta pertama aku. Sebab tu, aku susah nak lepaskan perasaan aku ni. Astaghfirullah! Kau merepek apa ni, Azim! Qist dah kahwin dengan Din pun. Dia orang pun dah bahagia. Haish… Move on, move on!’
Qistur Ruwaidah menggenggam erat tangan suaminya, menandakan dia menjadi tidak selesa dengan kehadiran Abdul Azim. Bukan dia membenci Abdul Azim, namun kenangan jiwa lalunya bersama lelaki itu membuatkan dia menjadi malu. Sejujurnya, dia masih rasa kasihan untuk Abdul Azim, namun sukmanya sudah mati buat siswa itu. Kini, kalbunya sudah diserahkan 100% buat Mohamad Salahuddin sebagai suaminya. Apatah lagi, suaminya berjaya membuatkan dia jatuh cinta hari demi hari seolah-olah suaminya merupakan lelaki yang disukai oleh dirinya ketika di CFS IIUM PJ dulu.

Hakikatnya… Hati Qistur Ruwaidah terpaut kepada Abdul Azim terlebih dahulu sebelum Mohamad Salahuddin. Itu fakta yang tidak mampu disangkal oleh dirinya. Betapa dia ingin memadam memori lalunya bersama Abdul Azim dan dia masih tidak kental untuk menghadap jejaka itu! Apatah lagi, untuk memandang jejaka itu bersama kawan-kawannya. Juga, dia masih ingat bahawa dia pernah memberitahu perasaannya terhadap Abdul Azim kepada Amirul Azhar. Sungguh, dia benar-benar tidak selesa dan malu! Betapa dia berharap agar Abdul Azim dan dua orang bekas rakan sekelasnya itu segera beredar dari majlis kesyukuran ini!

Mohamad Salahuddin mengerti bahawa isterinya tidak selesa di sebalik isyarat genggaman tangan isterinya. Namun, dia membiarkan sahaja. Jika genggaman isterinya itu membuatkan dirinya lebih tenang dan selamat, itu sudah menjadi kelegaan buat Mohamad Salahuddin terhadap cinta hatinya itu.
“Din, Qist… Emm… Kita orang nak kena gerak sekarang sebab ada majlis kahwin kat Ampang pula. Sekali lagi, terima kasih sebab jemput kita orang. Selamat pengantin baru,” kata Muhammad Syarafuddin. Sejujurnya, dia tidak mahu Abdul Azim terus terluka. Dia boleh merasakan betapa ketiga-tiga orang itu sedang cuba mengawal diri. Apatah lagi, gaya bahasa tubuh Qistur Ruwaidah menampakkan begitu ketara bahawa si pengantin perempuan tersebut tidak selesa dengan kehadiran sahabat baiknya itu.
Abdul Azim dan Amirul Azhar saling berpandangan. Bila masa pula mereka bertiga ada kenduri di Ampang?
“Okey Sya. Untuk kau orang pun, terima kasih juga sebab sudi datang. Maaflah kalau ada yang kurang daripada pihak kita orang,” balas Mohamad Salahuddin.
Akhirnya, tiga orang sahabat itu bersalaman dengan Mohamad Salahuddin tanpa bergambar sebagai kenangan. Itulah yang terbaik buat semua pihak.
“Aku minta maaf, Azim. Aku terpaksa tipu tadi. Aku nak selamatkan kau,” kata Muhammad Syarafuddin setelah mereka bertiga meninggalkan pasangan pengantin.
“Selamatkan aku? Kenapa?” tanya Abdul Azim.
“Aku nampak Qist tak selesa dengan kau. Ketara sangat. Mana ada dia bercakap dengan kita. Tengok kita pun tak,” balas Muhammad Syarafuddin.
“Emm… Jadi, salahlah keputusan aku datang majlis kahwin dia orang hari ni? Niat aku, memang aku nak raikan dia orang. Dah dia orang jemput. Aku tumpang gembira.”
“Memang betul dia orang jemput tapi kau kena faham… Qist pernah suka kau tapi dia tak pilih kau. Mestilah dia rasa tak selesa. Macam mana kau pernah ada kenangan dengan Qist, macam tulah juga Qist pernah ada kenangan dengan kau. Memang kau orang takkan boleh lupa apa yang dah jadi walaupun kau orang tak bercinta tapi mestilah Qist tak nak ingat apa-apa lagi pasal kau. Dia dah jadi isteri Din. Sebab tu, aku dan Azhar tak setuju kau datang majlis kahwin dia orang hari ni. Secara kasarnya, maaf untuk aku cakap ni tapi bagi aku, kau tak hormat Din sebagai suami Qist. Aku rasa Din pun tak selesa sebab dia tahu pasal kau orang dulu. Mestilah dia tercabar.”
Wajah Abdul Azim kekal tenang, namun hatinya disiat-siat. Barulah dia mengerti. Begitu lemahnya dia dalam memahami dan menangani isu-isu sebegini. Selepas ini, dia patut lebih berhati-hati. Dia perlu mengubah topik agar kalbunya makin tidak terluka walaupun apa yang diungkapkan oleh Muhammad Syarafuddin itu benar. “Eh, Sya, Azhar! Aku terlupa pula aku ada nak jumpa seseorang kat Student Mall. Kau orang balik dululah ya,” katanya seraya acah-acah bergegas meninggalkan dua orang sahabatnya itu.
Setelah Abdul Azim hilang dari pandangan Amirul Azhar dan Muhammad Syarafuddin…
“Aku rasa Azim terkesanlah dengan apa yang kau cakap tu,” kata Amirul Azhar.
“Aku tahu. Aku terpaksa sedarkan dia dengan cakap macam tu. Kalau tak, dia rasa apa yang dia buat tu betul,” balas Muhammad Syarafuddin.

Sementara Abdul Azim pula, dia segera menyelinap masuk semula ke Dewan Bankuet, CAC bagi mengambil kad ucapan yang ditampal pada hadiah kahwin pemberiannya itu. Biarlah pasangan itu tidak mengetahui bahawa hadiah penggoreng kering tersebut merupakan pemberian daripadanya.
Mujurlah tiada sesiapa yang menjaga di bahagian meja hadiah pada waktu itu. Mata Abdul Azim terus tertangkap pada hadiahnya. Lalu, dia pantas mencabut kad ucapan tersebut. ‘Fuh, selamat! Nasib baik tak ada siapa-siapa tengah jaga kat sini. Eh, gaya aku dah macam pencuri pula!’ bisiknya seraya tersengih ceria.
Abdul Azim segera meninggalkan dewan tersebut, lalu dia mengoyakkan kad ucapan itu dan dibuang ke dalam tong sampah yang tersedia tidak jauh daripadanya. “Okey… Selesai masalah aku. Tak adalah Din dan Qist rasa tak selesa bila dia orang tak tahu aku bagi air fryer tu. Cuma, dia orang tertanya siapa yang bagi. Tu jelah, kan? Ah, lepas ni kau jangan buat kerja gila macam ni! Bukan tindakan yang bijak. Aku rasa aku kena pergi kelas cintalah. Kalau ada ujian pasal cinta, mesti aku dapat G,” katanya sendirian. Kemudian, dia melirik jam tangannya.
“Okey… Aku rasa aku nak pusing satu UIA. Alang-alang tak ada kerja ni,” kata Abdul Azim sendirian lagi.
Dalam perjalanan Abdul Azim untuk menuju ke arah parkir CAC, tiba-tiba dia terserempak dengan seseorang di sekitar Bank Mualamat.
“Abang Azim…”
Tidak lain tidak bukan, iaitu Sakeenah, adik Mohamad Salahuddin.
“Eh, Keena!” tegur Abdul Azim. Dia cukup ingat akan satu-satunya adik Mohamad Salahuddin itu kerana mereka berdua pernah terserempak di pusat beli-belah pada tahun lepas. Ketika itu, dia masih ingat bahawa Mohamad Salahuddin jenis suka menyakat Sakeenah.
“Abang Azim dari mana ni?” soal Sakeenah.
“Abang baru je balik dari majlis abang Keena,” kata Abdul Azim.
“Eh, betullah juga! Apalah soalan Keena ni. Lupa pula Abang Azim kawan Abang Long.”
Abdul Azim mengangguk kecil bersama senyuman hambar. Sungguhkah Mohamad Salahuddin menganggap dirinya sebagai kawan? Rasanya lebih kepada musuh, itu hakikat yang lebih tepat. “Abang balik dulu ya.”

“Okey abang,” balas Sakeenah bersama senyuman.

Lalu, berpisahlah Abdul Azim dan Sakeenah.
Tiba-tiba…
“Azim,” panggil seseorang di belakang Abdul Azim.

Abdul Azim menoleh ke belakang. Alangkah terkejutnya dia apabila Muhammad Syarafuddin memanggilnya!
“Tak payahlah terkejut sangat. Kau ingat kita orang tak tahu apa kau buat tadi? Kita orang ikut je kau senyap-senyap dari tadi,” ujar Muhammad Syarafuddin.
“A…Aku,” Abdul Azim kehilangan kata. Bermakna, dua orang sahabatnya tahu dia menyelinap masuk ke dewan tersebut bagi mengambil kad ucapan tersebut.
“Sebenarnya, kita orang risau kat kau. Kita orang tahu kau masih kecewa Qist tak pilih kau,” luah Amirul Azhar.
“Taklah. Aku dah okey, kan. Kalau aku tak okey, tak adalah aku datang majlis Qist dan Din hari ni. Cuma, Qist dan Din jelah yang tak selesa aku datang,” balas Abdul Azim dengan tenang.
“Kau buat apa masuk dalam dewan tu balik? Kau cakap kau nak pergi Student Mall. Konon nak jumpa orang,” ujar Muhammad Syarafuddin.
“Err… A… Aku… Emm… Aku cabut kad ucapan yang aku tampal kat hadiah sebab macam kau cakap tadi, dia orang tak selesa dengan aku. Jadi, aku cabutlah kad tu supaya dia orang tak tahu aku yang bagi hadiah tu. Silap haribulan, kalau dia orang tahu, mesti dia orang buang je hadiah aku. Mahal air fryer tu. Rugi kalau dia orang buang atau bagi kat orang lain,” terang Abdul Azim. Kemudian, dia tersengih. Jujur, kalbunya sudah reda.
Timbul rasa kasihan dalam jiwa Muhammad Syarafuddin dan Amirul Azhar. Ternyata itu rupanya tindakan sebenar Abdul Azim.
“Sya, Azhar… Aku tahu kau orang risau kat aku tapi percayalah, aku dah cukup okey. Aku dah lama terima hakikat Qist bukan jodoh aku. Apa yang kau orang nampak aku sepanjang dalam majlis tadi, aku okey sangat tapi aku mengaku, tindakan aku hari ni tak betul. Walaupun dari sisi aku, aku okey tapi betullah cakap kau, Sya, aku tak patut datang majlis Qist dan Din sebab dari sisi dia orang, dia orang yang jadi tak selesa dengan aku. Lain kali, aku akan lebih berhati-hati,” terang Abdul Azim bersama senyuman.
“Azim, aku minta maaf…” ucap Muhammad Syarafuddin. Dia kehilangan kata.
“Sya, tak ada apalah. Aku tak ambil hati pun. Weh, jom lepak luar! Aku belanja kau orang tonton wayang. Dua hari lepas, filem ‘The Waiting’ baru tayang. Aku dah lama tunggu filem tu. Lepas tu, aku ingat nak makan kat Restoran ‘Fruit De Mer’. Jangan risau… Aku belanja,” balas Abdul Azim.
“Azim… Janganlah susah-susah belanja kita orang. Kau dah belanja kita orang banyak kali. Kita orang tengah serba salah lagi ni,” kata Amirul Azhar.
“Laa… Tak ada apalah, Azhar. Aku pun dah tak nak ingat apa yang aku buat kat majlis kahwin Qist dan Din tadi. Sekarang, kau orang nak ikut aku tak?” ujar Abdul Azim.
“Okeylah, okeylah. Kita orang ikut kau tapi Azim… Sebelum tu, aku nak tanya. Kau bersembang dengan siapa kat Bank Muamalat tadi?” ujar Amirul Azhar.
“Oh. Tu adik Din. Aku kenal dia pun sebab aku pernah terjumpa dengan Din dan adik dia kat kedai buku dalam tahun lepas kalau tak silap. Macam tulah. Okey, jom kita tunggu bas.”
Lalu, mereka bertiga pun menuju ke stesen bas menghadap Bangunan Auditorium.
Sewaktu Abdul Azim hendak menyeberangi jalan untuk ke stesen bas selepas Amirul Azhar dan Muhammad Syarafuddin, tiba-tiba dia dirempuh oleh sebuah kereta secara pantas dan tubuhnya tercampak jauh sedikit.
“Azim!” jerit Muhammad Syarafuddin dan Amirul Azhar sehingga jeritan mereka berdua dapat didengari oleh para pegawai keselamatan yang berada tidak jauh dari stesen bas tersebut. Mereka berdua segera mendapatkan Abdul Azim.
Kelihatan Abdul Azim menggelupur sakit dan darah tidak berhenti mengalir keluar dari tubuhnya sehingga pakaiannya dibasahi dengan darahnya sendiri. “Sya, Az…har,” panggilnya dengan penuh lemah sebelum matanya terpejam sendiri.
Namun, disebabkan pemandu itu sangat cuak dan takut, maka dia tidak memberhentikan keretanya. Pemandu tersebut terus memecutkan keretanya dan meninggalkan Abdul Azim yang sudah tidak sedarkan diri. Jalan raya di sekitar stesen bas tersebut sudah dibanjiri dengan darah Abdul Azim.
Disebabkan pemandu itu memecut keretanya dengan pantas, membuatkan fikiran Amirul Azhar dan Muhammad Syarafuddin menjadi kosong buat seketika dan tidak sempat memerhatikan nombor plat kereta tersebut tatkala menyaksikan Abdul Azim dilanggar dan menggelupur di hadapan mereka berdua. Sungguh, mereka berdua tidak percaya dengan apa yang berlaku sekarang! Baru sahaja mereka bertiga pulang dari menghadiri majlis kesyukuran Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin. Tiba-tiba ini yang terjadi kepada Abdul Azim! Jadi mangsa langgar lari pula!
Muhammad Syarafuddin memangku kepala Abdul Azim manakala Amirul Azhar segera menghubungi Klinik UIAM bagi memaklumkan keadaan sahabat baiknya.
Orang ramai mula membanjiri kawasan tersebut bagi menyaksikan apa yang terjadi.
“Azim… Bangunlah… Kita dah janji nak lepak kat wayang, kan? Lepas tu, kau nak belanja kita orang makan. Baru je kau cakap dengan kita orang tadi,” rintih Muhammad Syarafuddin.
Sepi. Tubuh Abdul Azim kaku. Salah seorang orang awam yang berada di situ memeriksa denyut nadi Abdul Azim. Dia masih bernafas.
Sepantas kilat, ambulans pun tiba di tempat kejadian. Abdul Azim segera dibawa masuk ke dalam ambulans dan ditemani oleh Muhammad Syarafuddin dan Amirul Azhar bagi menuju ke hospital.

PARA tetamu sudah berkurangan di majlis kesyukuran Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin kerana majlis bakal berakhir dalam sejam sahaja lagi. Pasangan itu boleh menarik nafas lega dan bersembang dengan kenalan terdekat.
Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin sedang berborak dengan keluarga ayah angkat Qistur Ruwaidah, iaitu Inspektor Anwar.
“Dah besar anak abah ni. Dah jadi isteri orang pun. Cepatnya masa berlalu. Abah dan ibu sempat sembang sikit je masa salam restu tadi,” kata Inspektor Anwar.
Qistur Ruwaidah tersenyum. “Tulah… Qist pun macam baru je kenal abah. Teringat lagi abah selamatkan Qist dan Abang Suhaib dulu. Sampai sekarang, kita orang takkan lupa jasa abah. Untuk ibu pun, terima kasih sebab sudi terima Qist dan Abang Suhaib macam anak sendiri,” ucapnya.
“Qist anak ibu… Ibu dan abah dah sayang sangat kat Qist dan Abang Suhaib macam anak sendiri. Ha, sekarang Qist dah jadi isteri. Nanti pejam celik, pejam celik, jadi ibu pula. Kalau ada rezeki, bolehlah kami tumpang merasa ada cucu,” kata Puan Raihan, isteri kepada Inspektor Anwar.
Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin tersenyum mendengar kata-kata Puan Raihan itu. Zuriat… Mana mungkin mereka tidak mahukan kurniaan Ilahi itu!
“Doakan kami ibu, abah,” ucap Mohamad Salahuddin seraya memegang tangan isterinya.

“Insya-Allah… Din, tolong jaga Qist elok-elok tahu. Din pun tahu apa yang dah jadi kat Qist dan abah ni siapa untuk Qist. Qist ada je cerita pasal Din kat abah dan ibu. Insya-Allah abah dan ibu yakin kat Din. Terima kasih sebab sudi cintakan anak kami ni,” kata Inspektor Anwar.
“Sama-sama abah, ibu. Insya-Allah Din akan jaga Qist elok-elok. Abang Suhaib pun dah pesan yang sama kat Din. Din faham Qist ni berharga untuk semua orang yang ada dalam hidup dia. Ibu abah boleh percayakan Din,” kata Mohamad Salahuddin.
Inspektor Anwar dan Puan Raihan tersenyum. Lalu, mereka pun mengundurkan diri bersama-sama tiga orang anaknya yang lain.
“Beratnya tanggungjawab habibi. Semua orang harap habibi dapat jaga sayang elok-elok tapi rezeki sayang, semua orang sayangkan sayang lepas sayang dan Abang Suhaib bebas daripada Mak Long Rauzah. Habibi pun tumpang gembira,” kata Mohamad Salahuddin setelah keluarga Inspektor Anwar meninggalkan mereka berdua.
“Alhamdulillah. Sayang rasa bersyukur juga pasal tu. Allah Maha Adil, habibi,” kata Qistur Ruwaidah.
“Qist, Din…” panggil seseorang.
“Eh, mummy! Daddy!” ucap Qistur Ruwaidah dengan ceria. Dia gembira kerana ibu bapa Tihaani sudi datang ke majlis kesyukurannya. Dia menyalam tangan ibu Tihaani, iaitu Datin Hasyimah manakala dia menghadiahkan senyuman buat ayah Tihaani, iaitu Dato Jauzi.
Mohamad Salahuddin tidak ketinggalan untuk bersalaman dengan Dato Jauzi.
“Qist sayang… Kami minta maaf sangat sebab datang lambat. Daddy baru habis mesyuarat,” kata Datin Hasyimah.
“Tak apa, mummy daddy. Qist faham je kalau tiba-tiba mummy daddy tak dapat datang. Apa-apa pun, Qist terharu sebab mummy daddy datang juga majlis Qist dan Din. Ah ya! Mummy daddy dah makan?” kata Qistur Ruwaidah.
“Belum lagi sayang. Lepas ni, kami pergi makan. Jumpa Qist dan Din dululah. Sekejap lagi, takut tak sempat. Qist dan Din pun ada photoshoot, kan?”
“Haah… Kalau macam tu, kita bergambar dululah, mummy daddy. Sekali dengan Tihaani,” kata Qistur Ruwaidah.
“Tak apa Qist. Kau dan Din bergambar dulu dengan mummy daddy. Lepas tu, baru aku masuk sekali,” kata Tihaani.
Lalu, jurugambar mengabadikan momen pasangan pengantin baru itu bersama ibu bapa Tihaani. Kemudian, barulah Tihaani berada bersama ibu bapanya dan pasangan itu.
Mohamad Salahuddin menjadi amat gembira menyaksikan insan-insan yang begitu bermakna dalam kehidupan isterinya. Betapa dia merasakan berkatnya majlis kesyukuran mereka berdua pada hari ini. Dipenuhi dengan insan-insan yang berjiwa tulus.
Namun, kehadiran Abdul Azim tadi… Dia tidak mahu membuka topik berkenaan jejaka itu jika isterinya tidak memulakan terlebih dahulu. Biarlah dulu sehingga majlis kesyukuran ini selesai.
Pada jam 3.45 petang, pihak katering sudah mula mengemas secara berperingkat dan tetamu pun tinggal beberapa orang sahaja. Suhaibul Umar dan keluarga Mohamad Salahuddin membantu pihak katering bagi membungkus makanan yang berlebihan.
“Abang Suhaib,” panggil Qistur Ruwaidah bersama Mohamad Salahuddin di sisinya.
Tangan Suhaibul Umar terhenti seketika dari melakukan aktiviti pembungkusan makanan itu.
“Tak apa Encik Suhaib. Kami boleh uruskan ni,” kata salah seorang pihak katering.
“Terima kasih,” ucap Suhaibul Umar.
Lalu, Suhaibul Umar meninggalkan urusannya itu bagi memfokuskan kepada adik dan adik iparnya. “Kau orang dah nak pergi photoshoot?” soalnya.
“Haah… Adik dan Din nak jumpa abang sekarang. Sekejap lagi, mesti abang balik dulu. Takut tak sempat nak jumpa,” kata Qistur Ruwaidah.
“Betul juga. Adik ada cakap hari tu. Adik dan Din terus gerak kat rumah baharu.”
Suasana terjeda seketika. Dua beradik itu menahan gelora kesedihan. Sudah tiba masanya bagi Qistur Ruwaidah dan Suhaibul Umar berpisah membawa haluan masing-masing.
Qistur Ruwaidah akan mengikuti Mohamad Salahuddin bagi memulakan hidup berdua di rumah baharu. Juga, kawasan baharu yang begitu asing. Suhaibul Umar pula akan hidup bersendirian tanpa adiknya lagi seperti dahulu. Selepas ini, dia akan jarang untuk bertemu dengan adiknya. Dia perlu berkorban dalam perpisahan ini.
“Abang Suhaib, terima kasih untuk semuanya. Terima kasih sebab jaga adik sejak mama baba dah tak ada sampailah sebelum adik kahwin dengan Din. Adik takkan lupakan pengorbanan abang,” ucap Qistur Ruwaidah dengan sebaknya. Lalu, dia mendakap abangnya. Sebolehnya, dia tidak mahu menangisi perpisahan ini!
Suhaibul Umar juga sudah menjadi sebak. Dia juga tidak mahu menangis pada hari penuh bahagia dan syukur ini. “Sama-sama adik. Abang hanya jalankan tanggungjawab abang. Sekarang, Din pula akan jaga adik. Adik… Tolong taati Din, hormati Din. Jangan buat sesuatu yang Din tak suka. Kalau adik rindu abang sekali pun dan adik nak jumpa abang, minta izin Din dulu tahu sebab wajib untuk adik minta izin suami. Sekarang, Din dah jadi suami adik. Orang teratas dalam hidup adik. Bukan lagi abang. Selamat memulakan hidup berdua dengan Din kat rumah baharu.”

Lama dua beradik itu berpelukan. Namun, masing-masing cuba untuk tidak menangis. Akhirnya, pelukan itu dileraikan tanpa sebarang air mata. Akan tetapi, mata masing-masing berubah merah kerana menahan air mata dari merembes keluar.
“Jadi isteri solehah tahu,” pesan Suhaibul Umar lagi.
Qistur Ruwaidah mengangguk.
Seterusnya, giliran Suhaibul Umar bersama Mohamad Salahuddin. Ketika itu, kedua ipar-duai itu bersembang secara peribadi daripada lelaki kepada lelaki.
“Abang Suhaib… Terima kasih sebab restui Din untuk kahwin dengan Qist,” ujar Mohamad Salahuddin sebagai pembuka bicara bersama abang iparnya.
“Sama-sama Din. Abang yakin kat Din. Din boleh buat lagi baik daripada abang. Tolong bahagiakan Qist ya. Jangan sakiti Qist. Din ingat pesan abang sejak Din bertunang dengan Qist dulu, kan?” pesan Suhaibul Umar.
“Insya-Allah Din sentiasa ingat. Abang jangan risau. Qist akan selamat dan bahagia dalam jagaan Din. Din akan pastikan Qist gembira setiap hari,” kata Mohamad Salahuddin dengan penuh keyakinan.
“Sebenarnya, Din dah pun buktikan kat abang. Sepanjang Din tinggal kat rumah kita orang, Qist senyum memanjang je. Abang percaya Din dah bahagiakan Qist pun.”
“Alhamdulillah. Terima kasih abang sebab percayakan Din. Din pun nak cakap terima kasih kat abang sebab abang dah berjaya didik Qist jadi perempuan solehah. Besar sangat pengorbanan abang jaga Qist lepas mama baba dah tak ada, dengan abang dan Qist dah lalui macam-macam ujian. Kau orang kuat sangat. Din kagum.”
“Sama-sama Din. Qist mudah dijaga dan dididik. Dia tak pernah susahkan abang dari dulu. Cumanya, Din kena sabar sikitlah bila Qist tengah emosi dan sensitif. Abang percaya Din pun dah tengok dia menangis. Lagi-lagi, bila dia rindu mama baba. Din kena bagi sokongan moral dan mental. Din pun tahu Qist ada sakit PTSD. Jadi, dia amat perlukan sokongan. Emm… Apa yang kita orang lalui dulu, Allah Maha Mengetahui. Kita orang percaya dengan hikmah Dia.”
“Apa yang abang cakap tu, memang betul. Din dah tengok sendiri dan rasa apa yang Qist rasa. Abang jangan risau ya. Qist akan selamat dalam jagaan Din.”
“Din… Kalau apa-apa jadi dalam perhubungan Din dan Qist, abang harap Din sabar layan kerenah Qist. Din lagi tahu peranan Din sebagai suami. Abang ni tak kahwin lagi. Jadi, nak bagi nasihat lebih-lebih pun, bukan abanglah orangnya tapi babalah sepatutnya. Cuma, abang rasa kalau baba masih ada, baba akan pesan ni kat Din… Kalau hati Din dah tak ada perasaan cinta kat Qist, tolong pulangkan Qist kat abang dengan cara yang baik. Jangan dibuang Qist macam sampah. Macam mana Din kahwin dengan Qist... Minta cara yang baik, macam tu jugalah kalau Din nak lepaskan Qist. Lepaskan baik-baik.”
Mohamad Salahuddin segera mendakap abang iparnya itu. Demi Allah, dia tahu abang iparnya sangat menaruh harapan yang tinggi dalam menjaga isterinya. “Insya-Allah abang. Din pun harap doa daripada abang supaya Din sentiasa sabar dengan Qist. Abang jangan risau ya. Din akan pastikan setiap minggu Qist datang jenguk abang. Tak pun… Kalau abang bosan, jomlah lepak kat rumah kita orang. Din sentiasa tunggu abang datang. Abang bukan setakat abang ipar je tapi abang juga dah kira macam ayah untuk Din. Abang yang mewalikan Qist.”
Suhaibul Umar menggosok tubuh belakang adik iparnya itu. “Insya-Allah Din. Rasanya, elok Din pergi photoshoot dengan Qist sekarang. Bila-bila nanti, kita jumpa lagi. Selamat mulakan hidup baru berdua,” ucapnya seraya meleraikan dakapan tersebut.
Mohamad Salahuddin mengangguk. Lalu, dia mengucup tangan abang iparnya itu sebagai perpisahan terakhir.
Lalu, Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin mula menjalani sesi fotografi dan videografi bersama para staf LurveMahabbah di sekitar Bank Muamalat terlebih dahulu sebagai tempat kenangan Mohamad Salahuddin melamar Qistur Ruwaidah di situ.
Posisi Mohamad Salahuddin sedang melutut di hadapan Qistur Ruwaidah sambil memegang tangan dan menghadap wajah isterinya manakala Qistur Ruwaidah melabuhkan punggungnya di atas bangku dengan menghulurkan tangan sambil menatap wajah suaminya. Kemudian, Mohamad Salahuddin mengucup tangan isterinya. Posisi mereka berdua benar-benar seperti tuan putera dan tuan puteri. Tambahan pula, busana perkahwinan mereka pun sangat kena dengan posisi sedemikian.
Kemudian, jurugambar mengarahkan Qistur Ruwaidah memaut siku kanan suaminya dengan mencondongkan tubuh kanannya sedikit sambil dia memegang bunga tangan di tangan kanannya manakala Mohamad Salahuddin memasukkan tangan kanannya ke dalam kocek baju yang tersedia dan dia juga mencondongkan tubuh kirinya ke belakang sambil lutut kirinya dibengkokkan sedikit.
Memandangkan Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin sudah selesa dan relaks di antara satu sama lain, jadi mereka berdua berasa tidak kekok lagi. Berbezalah sewaktu hari akad nikah pada minggu lepas. Masing-masing masih malu pada ketika itu.
“Okey Qist… Nak minta Qist buat macam ni kat Din. Din pula buat macam ni kat Qist,” ujar salah seorang staf LurveMahabbah seraya menunjukkan demo bersama teman sekerjanya, iaitu Qistur Ruwaidah perlu melentokkan kepalanya di atas bahu Mohamad Salahuddin manakala Mohamad Salahuddin perlu memandang isterinya.
Naluri cinta Qistur Ruwaidah segera melentokkan kepalanya di atas bahu suaminya. Mohamad Salahuddin pun mengikut posisi yang dimaksudkan oleh jurukamera tersebut dengan memandang wajah isterinya. Dia sempat menuturkan sesuatu buat isterinya. “I love you, sayang,” ucapnya.
Qistur Ruwaidah tersenyum. “I love you too, habibi.”
Pada masa yang sama, sesi videografi pun dijalankan secara serentak.
“Sekarang, kau orang dah nampak relaks. Beza sangat masa hari akad nikah minggu lepas,” sakat Mifdal, salah seorang staf LurveMahabbah yang menjadi juruvideo bagi majlis akad nikah dan majlis kesyukuran pasangan tersebut.
Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah ketawa kecil.
“Alhamdulillah. Kita orang dah okey, abang. Lagipun, kita orang pun dah kahwin sembilan hari,” kata Mohamad Salahuddin.

Tihaani dan Wan Abdullah juga turut menemani pasangan itu atas permintaan suami isteri itu sendiri jika sebarang bantuan diperlukan. Namun, mereka berdua menghormati pasangan itu dengan tidak menyaksikan sesi fotografi dan videografi tersebut. Dua orang pengapit itu lebih selesa bersembang sesama mereka berdua.
“Aku lega tengok Din dan Qist,” kata Wan Abdullah.
“Aku pun. Aku tumpang bahagia untuk dia orang,” kata Tihaani.
“Tihaani, kiranya kau daftar masuk ijazah dengan Qist masa bulan September tahun lepaslah, kan?”
“Haah… Kau pula daftar sama dengan Din masa bulan Februari tahun lepas, kan?”
“Haah… Ha, Tihaani. Terima kasihlah sebab sudi bekerjasama dengan aku untuk majlis akad dan majlis kesyukuran dia orang. Senang bekerja dengan kau.”
“Sama-sama Wan Dolah. Aku pun senang juga. Bila-bila nanti, kita lepak sekali dengan Qist dan Din.”
“Boleh, boleh.”
Sementara itu, Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin masih ralit dengan sesi fotografi dan videografi tersebut. Kuasa cinta sudah menyelimuti pasangan itu. Mereka berdua bagaikan terlupa seketika dengan keadaan sekeliling. Posisi-posisi yang diarahkan oleh staf LurveMahabbah semuanya begitu mengasyikkan dan menambahkan rasa cinta yang kian meninggi dalam kalbu suami isteri itu.
Sesi fotografi dan videografi berakhir sekitar pukul 6.00 petang. Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para staf Syarikat LurveMahabbah yang begitu mesra dan berdedikasi.
Menurut salah seorang staf LurveMahabbah, gambar dan video bagi majlis akad nikah serta majlis kesyukuran suami isteri itu akan disiapkan dalam tempoh sebulan lebih bagi proses suntingan dan dijadikan dalam bentuk album.
“Tak sabarnya nak tukar gaun ni. Berat!” luah Qistur Ruwaidah.
Mohamad Salahuddin tersengih. “Berangan lagi nak jadi puteri. Kan dah mendapat,” sakatnya.
Qistur Ruwaidah turut tersengih. “Alaa… Sekali seumur hidup je, habibi. Lepas ni, sayang dah tak minta tapi habibi… Alhamdulillah… Sayang rasa lega sangat. Majlis kita dah selesai. Rasa nak patah kaki tahu. Letih!”
Mohamad Salahuddin ketawa kecil. “Tulah… Alhamdullillah. Lepas ni, kita boleh fokus untuk rumah tangga dan kelas kita sepenuhnya.”
“Habibi… Sayang tak sabar nak tengok rumah baharu kita sekejap lagi.”
“Habibi pun tak sabar nak tunjuk rumah baharu kita. Habibi nak tukar pakaian dulu. Lepas tu, habibi nak solat asar dengan Wan Dolah. Sayang pun tukarlah pakaian dulu. Senang sikit nak bergerak. Tihaani ada, kan?”
“Ada je. Dia pun takkan balik selagi kita tak balik.”

5.00 PETANG
SEKITAR PARKIR CULTURAL ACTIVITY CENTRE (CAC)

Suhaibul Umar melepaskan lelahnya dengan memeriksa telefon pintarnya buat seketika di dalam kereta setelah usai majlis kesyukuran adiknya. Pihak pelamin sudah selesai mengambil barang-barang mereka dan pihak katering juga sudah selesai mengemas barang-barang mereka.
Hadiah-hadiah kahwin Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin juga sudah dimasukkan ke dalam keretanya di atas bantuan keluarga Mohamad Salahuddin kerana kereta Mohamad Salahuddin sudah dipenuhi dengan barang-barang Qistur Ruwaidah bagi berpindah ke rumah baharu. Pasangan itu akan mengambil hadiah-hadiah tersebut dalam minggu hadapan di rumah Qistur Ruwaidah, termasuklah hadiah yang diterima oleh pasangan itu ketika majlis akad nikah pada minggu lepas. Alang-alang itu, bolehlah Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin bermalam dan menemani Suhaibul Umar.
Sejak pagi tadi, Suhaibul Umar tidak berkesempatan untuk menyentuh telefon pintarnya. Tiba-tiba dia menerima WhatsApp daripada Amirul Azhar.

WhatsApp Amirul Azhar:
Assalamualaikum Abang Suhaib. Maaf sangat Azhar kacau abang. Azhar faham abang tengah sibuk dengan majlis tapi kalau majlis dah selesai, beritahu Azhar. Ada perkara penting sangat Azhar nak beritahu abang. Pasal Azim.

Tatkala Suhaibul Umar menerima mesej sedemikian daripada Amirul Azhar, dia segera menghubungi sahabat baik Abdul Azim itu. Lagi-lagi, ianya berkaitan pula dengan Abdul Azim.
“Assalamualaikum Azhar. Kenapa dengan Azim?” Suhaibul Umar terus memberitahu tujuannya menghubungi Amirul Azhar.
“Waalaikummussalam abang. Emm… Azim… Kemalangan…” balas Amirul Azhar dengan nada perlahan.
Alangkah terkejutnya Suhaibul Umar tatkala dia mengetahui perkhabaran duka itu. Walhal, dia baru sahaja bertemu dengan Abdul Azim di majlis kesyukuran adiknya tadi. “Sekejap… Azhar biar betul! Abang baru je jumpa Azim tadi.”
Amirul Azhar menghela nafasnya. “Azhar tahu, abang. Kita orang pun tengah terkejut lagi ni sebab Azim kena langgar betul-betul depan kita orang kat stesen bas menghadap Main Audi lepas kita orang balik dari majlis Qist. Kita orang dah cadang nak pergi tonton wayang tapi tak sangka Azim kena langgar kat situ.”
Lutut Suhaibul Umar kian lemah. Badannya terus menjadi lembik. Sungguh, dia tidak sanggup untuk menghadapi kehilangan lagi andai Abdul Azim meninggalkan dirinya selepas ahli keluarganya! “Kau orang kat hospital mana? Azim macam mana sekarang?”
“Kita orang kat Hospital Semarak. Emm… Azim masih dalam dewan bedah. Dah dua jam tapi tak selesai lagi. Tadi, dia hilang banyak darah juga.”
“Okey Azhar. Abang ke sana sekarang juga. Apa-apa perkembangan pasal Azim, tolong beritahu abang. Azhar dah beritahu bonda baba ke?”
“Dah. Bonda baba pun dalam perjalanan dari Johor. Pandu elok-elok tahu, abang.”
Usai Suhaibul Umar berhubung dengan Amirul Azhar, air matanya mengalir. Betapa dia amat terkejut dengan apa yang telah terjadi kepada Abdul Azim. Sang Maha Pencipta sedang menguji Abdul Azim! ‘Ya Allah… Kau panjangkanlah umur Abdul Azim bin Uthman! Hanya Kau sahaja Maha Berkuasa, Lagi Maha Menghidupkan. Tiada daya melainkan Kau sahaja tempat aku berserah. Aku sudah kehilangan lima orang ahli keluargaku. Ya Allah… Aku tidak tahu seandainya aku kuat atau tidak untuk hilang sahabat sebaik Abdul Azim pula. Kau kuatkanlah hatiku! Aku mohon dengan serendah hatiku, Kau panjangkanlah usia sahabat baikku.’
Sepenuh kudrat Suhaibul Umar, dia mula menurunkan brek dan memulakan pemanduannya dari UIAM ke Hospital Semarak dalam keadaan fikirannya melayang akibat terkenangkan keadaan Abdul Azim.
Sesampai Suhaibul Umar di Hospital Semarak…
“Macam mana dengan Azim?” soal Suhaibul Umar tatkala dia ternampak Amirul Azhar dan Muhammad Syarafuddin sedang terduduk lemah.
“Pembedahan tak selesai lagi, abang. Abang duduk dulu ya,” balas Amirul Azhar. Dia tahu Suhaibul Umar sangat terkesan dengan apa yang menimpa Abdul Azim.
Suhaibul Umar melabuhkan punggungnya. Dia terduduk lemah. “Macam mana Azim boleh kena langgar?”
“Dia kena langgar lari. Kita orang pun tak sempat nak tengok nombor plat kereta tu. Apa yang Azhar ingat, pemandu tu pandu laju sangat sampai Azim tercampak jauh sikit dari stesen bas,” terang Amirul Azhar.
“Astaghfirullah…” ucap Suhaibul Umar. Jiwanya benar-benar marah dengan perbuatan pemandu yang tidak bertanggungjawab itu. Semoga pemandu tersebut tidak mampu tidur dengan aman di atas kecuaiannya.
Muhammad Syarafuddin pula memang membisu sejak dari menaiki ambulans lagi. Bibirnya terkunci rapat. Sukar untuk percaya dengan apa yang disaksikan oleh dirinya sebentar tadi. Amirul Azharlah begitu kental menghubungi Puan Tengku Aulia dan Encik Uthman serta Suhaibul Umar.
“Kita doakan Azim selamat ya, abang. Doa je senjata yang kita ada sekarang supaya Azim terus kuat,” pesan Amirul Azhar.
Suhaibul Umar mengangguk perlahan. Sebuah doa tidak putus dititipkan buat sahabat tercinta, Abdul Azim bin Uthman. Biarpun sahabat baiknya tidak ditakdirkan untuk berjodohan dengan adiknya tetapi ikatan persahabatan di antara dia dan Abdul Azim tetap diteruskan.

SUNGAI PUSU
6.45 PETANG

“Sayang… Nilah syurga kita,” ucap Mohamad Salahuddin sambil dia mematikan enjin keretanya setelah dia dan isterinya tiba di rumah baharu mereka berdua, iaitu rumah teres satu tingkat.
Wajah Qistur Ruwaidah penuh ceria tatkala dia dapat menyaksikan juga istana cinta itu. Walaupun rumah tersebut kelihatan kecil sedikit dari rumahnya, namun dia menerima seadanya. Baginya, dia dan suaminya mempunyai tempat berteduh pun, sudah cukup. Apa-apa pun, dia menghargai usaha Mohamad Salahuddin dalam menyediakan tempat tinggal untuk dirinya biarpun menyewa.
Pintu kereta di bahagian tempat duduk Qistur Ruwaidah dibuka oleh Mohamad Salahuddin. “Jom sayang. Kita masuk tengok. Barang-barang sayang nanti, kita bawa masuk kemudian.”
Lalu, mereka berdua pun melangkah masuk ke dalam rumah setelah Mohamad Salahuddin membuka mangga kunci.
Alangkah terkejutnya Qistur Ruwaidah tatkala rumah ini serba sempurna kelengkapannya di ruang tamu! Susun aturnya juga cantik, namun dia seperti dapat mengecam pula cara susun atur tersebut. “Habibi sediakan semua ni?” soalnya dengan penuh kekaguman.
Mohamad Salahuddin mendepakan tangan kirinya di atas bahu isterinya. “Haah sayang… Habibi sediakan khas untuk sayang supaya sayang boleh tinggal dengan selesa. Sayang suka tak?”
Qistur Ruwaidah memandang wajah suaminya seketika. “Mestilah sayang suka! Terima kasih habibi. Sayang tak tahu nak cakap macam mana.”
Mohamad Salahuddin menghadiahkan senyuman buat sang isteri. Lalu, dia mengucup pipi isterinya. “Sama-sama sayang. Apa kata sayang tengok bilik tidur dan dapur pula? Habibi nak kunci pintu gril sekejap. Bilik tidur kita yang tu,” katanya seraya menunjukkan pintu kamar beradu mereka berdua.
“Okey habibi.”
Rumah sewa ini mempunyai tiga buah bilik secara keseluruhannya. Qistur Ruwaidah menuju ke bilik pertama, iaitu bilik tidur. Lalu, dia menghidupkan suis bilik tersebut.
“Cantik!” puji Qistur Ruwaidah sendirian seraya menanggalkan tudungnya. Lalu, dia menggantungkan tudungnya di penyangkut yang disediakan.
Tilam bersaiz queen itu diduduki olehnya dengan penuh selesa. Matanya ralit memerhatikan suasana kamar mereka berdua. Selain itu, terdapat bilik air, almari baju, meja solek, lampu tidur dan almari kecil di sebelah kiri dan kanan katil.
Mohamad Salahuddin tersenyum dalam diam menyaksikan isterinya begitu ralit memerhatikan kamar beradu itu. Moga isterinya gembira. Lalu, dia berdehem.
Qistur Ruwaidah menoleh ke arah suaminya.
“Suka tak dengan bilik tidur kita?” soal Mohamad Salahuddin seraya menghampiri isterinya. Lalu, dia duduk bersebelahan dengan isterinya.
“Mestilah sayang suka! Sempurna sangat. Semua barang ada. Cuma, ada satu barang je yang belum cukup,” ujar Qistur Ruwaidah.
Mohamad Salahuddin terkejut seketika. “Eh, apa benda lagi yang tak cukup?”
“Gambar kahwin kita. Tak sabar nak tunggu gambar kita siap. Nak letak kat dalam bilik ni,” kata Qistur Ruwaidah seraya tersengih.
“Sayang ni… Habibi ingatkan ada barang utama yang tak cukup,” kata Mohamad Salahuddin seraya mencuit hidung isterinya.
Qistur Ruwaidah tersenyum. Ah, menatap wajah suaminya itu benar-benar membuatkan jiwanya penuh tenang! Lagipun, air muka Mohamad Salahuddin jenis lembut dan berpakej kacak di mata seorang Qistur Ruwaidah itu.
“Emm… Sebelum tu habibi… Boleh sayang luahkan sesuatu?” soal Qistur Ruwaidah.
“Boleh sayang. Apa dia?” ujar Mohamad Salahuddin.
“Sayang tak selesa Azim ada tadi.”
Mohamad Salahuddin menarik nafasnya seketika. Dia sudah boleh mengagak bahawa itulah topik yang mahu diluahkan oleh isterinya kerana isterinya jenis tidak mampu pendam lama-lama. “Habibi tahu, sayang tapi sayang… Kita juga yang jemput dia dalam Grup 320. Takkan kita tak bagi dia datang pula. Lagipun, dia pernah jadi kawan kelas BI kita.”
“Sayang tahu, habibi. Bila sayang tengok dia tadi, sayang rasa serba salah dengan habibi. Habibi tahu kisah kita orang. Sayang fikir habibi je tadi. Bagi sayang, dia tak patut datang majlis kita kalau dia faham sendiri,” luah Qistur Ruwaidah.
“Sayang… Habibi okey je. Bukannya dia ada cuba nak mengurat sayang. Dia pun faham kita dah kahwin. Apa yang habibi nampak tadi, dia ikhlas nak raikan kita. Sayang… Habibi nak tegur sikit pasal tu. Sayang tak patut buat perangai dengan tak cakap dengan Azim, Sya dan Azhar. Kesian dia orang. Dia orang datang majlis kita sebagai tetamu sebab nak raikan kita. Kita sebagai tuan rumah kenalah layan elok-elok. Ikutkan, habibi nak ajak sayang bergambar dengan dia orang tapi tengok keadaan sayang, habibi pun tak jadilah nak ajak. Lain kali, jangan buat macam tu tahu. Dunia ni kecil je. Takkan sampai bila-bila sayang nak mengelak kalau sayang bertembung dengan Azim.”
Qistur Ruwaidah membisukan dirinya seketika. Sungguh, dia rasa terpukul dengan tindakannya sebagai tuan rumah terhadap Abdul Azim, Muhammad Amirul Azhar dan Muhammad Syarafuddin. “Sa… Sayang minta maaf, habibi. Sayang sedar sayang silap tapi sayang masih belum ada kekuatan nak hadap Azim. Azhar pun sama sebab Azhar pun pernah tahu sayang suka Azim.”
“Sayang… Habibi tahu sayang susah nak lupa apa yang dah jadi antara sayang dan Azim tapi sayang tak patut hukum diri sayang, Azim dan Azhar dengan buat cara macam tadi. Habibi nampak Azim pun okey je. Nampak dia gembira sangat untuk kita. Sayang jangan salah faham. Bukan habibi nak menyebelahi Azim tahu.”
Qistur Ruwaidah menundukkan wajahnya. Ternyata jiwa suaminya penuh tulus. “Maafkan sayang. Terima kasih sebab tegur sayang pasal tu. Sayang janji sayang takkan buat lagi perangai macam tu,” ucapnya tanpa memandang wajah suaminya. Dia tahu dia salah.
Mohamad Salahuddin mengangkat wajah isterinya. “Sayang… Pandang habibi. Habibi pun nak minta maaf kalau sayang terasa dengan teguran habibi. Habibi tegur sayang sebab habibi cintakan sayang. Kalau sayang fikir habibi cemburu dengan Azim, ya, tapi tu dulu habibi cemburu sebab hati sayang pernah untuk dia. Sekarang, habibi dah tak rasa macam tu kat Azim sebab sayang dah jadi milik habibi dan habibi tahu sayang cintakan habibi.”
Anak mata Qistur Ruwaidah mula memandang tepat ke arah wajah suaminya. “Tak, habibi. Sayang tak terasa pun. Sayang sedar untuk kebaikan sayang juga. Ampunkan sayang pasal apa yang dah jadi masa majlis kita tadi.”
“Sayang, habibi okey je. Kita buang yang keruh, ambil yang jernih. Apa yang kita tengah lalui sekarang, ada berlaku perselisihan faham sikit tapi habibi harap, sayang tak simpan dalam hati. Kalau sayang rasa apa yang habibi cakap tadi tak betul, sayang boleh beritahu apa yang tak kena. Habibi tak nak disebabkan macam ni, sayang pendam dan jadi melarat pula. Kita selesaikan sekarang.”
“Apa yang habibi cakap tadi, semuanya betul. Sayang akui sayang salah. Habibi jangan risau. Sayang tak berdendam dengan apa yang habibi cakap tadi. Sayang okey.”
“Betul ni?” soal Mohamad Salahuddin seraya mendekatkan wajahnya ke arah wajah isterinya.
Qistur Ruwaidah tersenyum dengan tindakan suaminya, namun kalbunya berdegup laju. “Betul habibi. Sayang betul-betul maksudkan dengan apa yang sayang cakap tadi. Emm habibi… Jom teman sayang tengok lagi dua bilik dan dapur.”
“Okey sayang. Boleh,” kata Mohamad Salahuddin. Dia lega kerana perselisihan faham mereka berdua dapat diselesaikan dengan cara baik.
Lalu, pasangan itu pergi ke bilik seterusnya, iaitu sebuah bilik yang disusun atur menjadi menjadi bilik belajar. Terdapat sebuah katil bersaiz single, penyangkut baju jenama IKEA dan dua buah meja belajar bersaiz sederhana. Bilik ini juga boleh digunakan oleh Suhaibul Umar atau Sakeenah jika mereka berdua bermalam di rumah ini.
“Ni bilik belajar kita campur bilik tidur. Bolehlah Abang Suhaib atau Keena tidur kat sini,” terang Mohamad Salahuddin.
“Wah, seronoknya! Bagus betul habibi fikir untuk dia orang sekali,” puji Qistur Ruwaidah.
“Memang kena fikir sebab mesti Abang Suhaib atau keluarga habibi akan selalu datang kat rumah kita.”
“Jadi, lagi satu bilik tu kalau mak ayah datang bermalamlah ya.”
“Betul dan juga, bilik untuk bakal anak kita mungkin.”
Qistur Ruwaidah terkesima seketika. “Habibi… Sayang tahu habibi teringin sangat nak ada anak. Kita doa banyak-banyak ya.”
Mohamad Salahuddin tersenyum. Dia tidak mahu isterinya berasa serba salah. Lantas, dia mendakap isterinya. “Sayang… Maksud habibi, bukan habibi nak ada anak cepat. Cepat atau lambat, tu kerja Allah. Cuma, sebagai persediaan jelah. Sayang jangan rasa serba salah. I love you.”
Qistur Ruwaidah mengeratkan lagi dakapan tersebut. “I love you too, habibi.”
Lalu, Mohamad Salahuddin meleraikan dakapan tersebut. “Jom kita pergi bilik ketiga pula. Sayang kena tengok. Ada satu barang ni mesti sayang suka.”
“Wah, okey, okey!”
Pasangan itu menuju pula ke bilik ketiga. Terdapat sebuah katil bersaiz queen, penyangkut baju jenama IKEA dan… seterika stim jenama Philips! Jenama seterika kegilaan para isteri kerana mudah, pantas dan pakaian dijamin tidak terbakar walaupun seterika tersebut dibiarkan di atas pakaian.
“Seterika ni! Memang salah satu barang idaman sayang!” ujar Qistur Ruwaidah dengan ceria.
“Habibi tahu, sayang. Seterika ni, mak yang hadiahkan sebab mak pun ada beli untuk rumah habibi kat Bangi. Alang-alang tu, mak hadiahkan kat kita sekali,” kata Mohamad Salahuddin.
“Sayang kena cakap terima kasih kat mak nanti. Mak memang terbaik! Ah, tak sabar nak ziarah rumah habibi pula!”
“Insya-Allah dalam minggu satu lagi, kita pergi rumah habibi. Alang-alang tu, sayang boleh mula balik buat aktiviti sunah. Okey, jom tengok kat dapur pula.”
Lalu, Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah menuju ke dapur. Apa yang menarik perhatian Qistur Ruwaidah, iaitu sebuah pengadun makanan (food mixer) dan sebuah ketuhar elektrik! Selain itu, peti sejuk, mesin basuh, dapur gas, gas, pinggan mangkuk, cawan, gelas, meja makan dan beberapa barang lain lagi turut disediakan oleh Mohamad Salahuddin dengan sempurnanya.
“Sayang dah tak pandang lain. Sayang nampak mixer dan oven je!” ujar Qistur Ruwaidah dengan penuh gembira.
Mohamad Salahuddin tersengih. Dia tahu sangat akan hobi isterinya membuat pastri. “Habibi tahu sangat. Lagipun, sayang dah pernah buat kek coklat untuk habibi. Sebab tu, habibi belikan mixer dan oven.”
Sekali lagi, Qistur Ruwaidah mendakap suaminya. “Kenapalah habibi terbaik sangat? Habibi tahu setiap barang yang sayang perlukan untuk rumah kita.”
“Sebab habibi nak sayang selesa. Walaupun rumah kita kecil tapi habibi akan pastikan sayang tetap selesa. Sayang berhak dapat semua ni lepas sayang dah lalui ujian-ujian yang cukup berat dulu. Satu lagi, sayang takkan ada galang gantinya. Takkan ada perempuan lain setanding sayang. Sayang cantik, manja, berdikari, kuat dengan ujian hidup, apa lagi… Sayang dah cukup sempurna kat mata habibi. Habibi dah tak minta lain. Impian habibi nak hidup dengan sayang dah tercapai dengan izin Allah, restu daripada keluarga habibi dan Abang Suhaib,” luah Mohamad Salahuddin dari kalbunya dengan penuh keikhlasan bersama usapan di ubun-ubun isterinya.
“Habibi…” Qistur Ruwaidah sudah menjadi sebak. Dia akui. Mohamad Salahuddin merupakan seorang ‘husband material’ yang sanggup berkorban dan membahagiakan dirinya sebagai isteri.
“Habibi takkan tinggalkan sayang. Habibi janji kecuali kita terpisah sebab mati.”
Menitik air mata Qistur Ruwaidah sehingga kehangatan air matanya membasahi sekitar bahagian dada baju Mohamad Salahuddin. “Lencunlah baju habibi kalau macam ni,” selorohnya.
Qistur Ruwaidah tergelak. Lalu, dia menatap wajah suaminya. Sebuah kucupan dihadiahkan oleh dirinya buat suami tercinta dengan penuh damai dan tenang.
Mohamad Salahuddin tersenyum saat dia menerima kucupan penuh berharga itu. “Sayang buat habibi makin jatuh cinta kat sayang. Terima kasih.”
Qistur Ruwaidah juga tersenyum. “Sama-sama habibi. Habibi… Sayang suka sangat rumah syurga kita ni tapi kalau tengok cara susun atur rumah kita, macam stail Abang Suhaib. Habibi ada pakat mengemas rumah dengan dia ya?”
Mohamad Salahuddin tersengih. “Haah… Hebatlah sayang. Sayang boleh tahu stail Abang Suhaib. Memang Abang Suhaib hebat betul bab susun atur ni. Kalau habibi, memang tak pandailah. Lagipun, Abang Suhaib ada belajar pasal interior design. Jadi, habibi pun memang tak terkejutlah dengan kehebatan dia dalam bab tu.”
“Sebab nampak sangat stail Abang Suhaib. Macam ada satu identiti yang menggambarkan memang dia yang buat susun atur rumah kita ni.”
Dalam beberapa hari lepas, memang Mohamad Salahuddin ada meminta bantuan Suhaibul Umar untuk menyusun segala barang yang ada di rumah ini. Suhaibul Umar amat berbesar hati bagi membantu adik iparnya. Juga, demi adik tercinta agar adiknya seronok untuk mendiami istana kecil ini.
Kiranya, Suhaibul Umar menjejakkan kaki ke rumah ini terlebih dahulu sebelum Qistur Ruwaidah. Selain itu, Mohamad Salahuddin turut memberikan upah kepada abang iparnya, namun ditolak oleh Suhaibul Umar dengan baik. Dia jenis tidak berkira kalau melibatkan ahli keluarganya.
“Sayang lapar tak?” tanya Mohamad Salahuddin.
“Emm… Lapar juga,” balas Qistur Ruwaidah dengan manja.
“Nak makan lauk kenduri atau nak makan luar? Lauk kenduri ada dalam kereta. Habibi baru teringat.”
“Kita makan lauk kenduri jelah. Jimat duit sikit.”
“Okey. Habibi pergi ambilkan lauk dalam kereta.”
Tidak lama kemudian, Mohamad Salahuddin datang membawa lauk yang dibungkus oleh pihak katering. “Sekejap ya, sayang. Habibi panaskan lauk. Nanti lauk basi pula.”
Tiba-tiba Qistur Ruwaidah merangkul pinggang suaminya dari belakang. “Okey habibi.”
Mohamad Salahuddin menoleh ke belakang. Lalu, dia tersenyum seraya mencubit pipi isterinya dengan penuh kelembutan. “Kenapa manja sangat ni? Sayang nak apa-apa ke?”
“Tak ada apa. Saja… Sayang makin jatuh cinta kat habibi.”
“Bila sayang cakap macam tu, habibi lagilah berganda-ganda jatuh cinta kat sayang. Sayang pun tahu, kan?”
“Tahu sangat. Habibi jatuh cinta kat sayang dari umur kita 18 tahun sampai sekarang. Sayang pun kalah dengan habibi. Satu lagi, cinta habibi tanpa syarat. Sayang kagum dengan kesetiaan habibi.”
Mohamad Salahuddin tersenyum. “Alhamdulillah. Allahlah yang mengurniakan cinta dan kesetiaan kat habibi buat sayang. Emm sayang… Boleh sayang lepaskan habibi? Habibi nak pasang kepala gas sekejap.”
Akhirnya, Qistur Ruwaidah meleraikan pelukan itu bersama sebuah senyuman.
Kelihatan Mohamad Salahuddin sedang memasang kepala gas. Kemudian, dia membasuh beberapa buah periuk baharu sambil dibantu oleh Qistur Ruwaidah.
Dalam hati Qistur Ruwaidah, dia masih mengagumi akan kepantasan Mohamad Salahuddin dalam melakukan kerja-kerja di dapur sejak hari kedua dia berkahwin dengan suaminya.
“Habibi memang hebatlah pasal hal kat dapur. Sayang kagum dari hari kedua kita kahwin,” puji Qistur Ruwaidah. Sebagai seorang isteri, dia mahu meraikan suaminya dengan memuji segala kemahiran yang ada pada suaminya.
Tangan Mohamad Salahuddin mula menghidupkan gas dengan memanaskan lauk ikan siakap masak tiga rasa dan mengukus ayam golek. “Habibi dah biasa dari umur sembilan tahun. Memang mak ayah latih habibi supaya biasakan hal dapur. Satu lagi, Rasulullah pun bantu isteri-isteri Baginda. Abang Suhaib pun ada cerita, baba pun banyak tolong mama dulu. Habibi nak contohi Rasul junjungan kita, ayah habibi dan baba sayang.”
“Sayang beruntung kahwin dengan habibi. Terlalu beruntung. Alhamdulillah,” ucap Qistur Ruwaidah dengan penuh terharu.
“Sayang fikir macam ni je. Apa yang sayang dah lalui dulu, Allah gantikan sayang dengan sesuatu yang lebih baik. Habibi tak maksudkan habibi baik ke apa. Habibi pun ada kekurangan tapi anggaplah cinta habibi kat sayang merupakan hadiah daripada Allah untuk sayang,” kata Mohamad Salahuddin seraya membelek lauk ikan siakap itu agar dipanas dengan sempurna.
“Habibi… Kalaulah baba masih ada, sayang percaya mesti baba tulus hati macam habibi juga.”
“Kenapa sayang rasa macam tu?”
“Sayang ingat sikit-sikit pasal baba. Baba tak pernah tinggikan suara kat mama. Cakap pun lembut je. Baba yang selalu sedia sarapan pagi untuk kita orang lima beradik dan mama. Baba tak pernah biarkan mama rasa penat. Sayang boleh rasa betapa baba cinta sangat kat mama macam mana habibi cinta kat sayang.”
“Dan habibi akan sentiasa mencontohi baba untuk sayang supaya sayang sentiasa bahagia kat sisi habibi. Ni janji habibi sejak habibi berjanji kat depan Allah, Abang Suhaib dan sayang masa ijab kabul kita.”
Qistur Ruwaidah merasakan hidupnya sudah terlalu bahagia dengan kehadiran Mohamad Salahuddin sebagai suaminya yang berperibadi penuh tulus, setia dan penyabar.
Mohamad Salahuddin pula? Dia merasakan betapa agungnya kuasa Ilahi kerana mengurniakan Qistur Ruwaidah sebagai pelengkap sehidup sematinya.

HOSPITAL SEMARAK
JAM 7.00 MALAM

“Ya Allah anak kita, abang…” ucap Puan Tengku Aulia bersama tangisan dalam pelukan Encik Uthman setelah doktor mengesahkan bahawa kedua-dua buah pinggang Abdul Azim sudah rosak sepenuhnya dan dia telah kehilangan banyak darah.
Namun, stok darah buat Abdul Azim mencukupi hasil daripada para penderma darah yang budiman yang telah menderma sebelum ini sebanyak tujuh pek darah. Sebelum darah diberikan kepada yang memerlukan, darah perlu diproses terlebih dahulu dengan menggunakan kaedah dan mesin tertentu agar darah tersebut selamat digunakan kerana salah satunya, berlaku unsur penipuan daripada penderma darah sendiri, yakni menipu status kesihatan dan beberapa faktor lain.
Akan tetapi, Abdul Azim memerlukan buah pinggang baru dengan segera agar dia mampu meneruskan kehidupan.
Encik Uthman juga menjadi lemah tatkala dia mengetahui keadaan anaknya. Begitu juga apa yang dirasai oleh Suhaibul Umar, Amirul Azhar dan Muhammad Syarafuddin.
Tujuh orang adik-beradik Abdul Azim pula masih dalam perjalanan dari negeri-negeri yang berbeza dan doktor memerlukan penderma dengan secepat mungkin. Jika tidak, nyawa Abdul Azim dalam bahaya.
Tatkala Puan Tengku Aulia dan Encik Uthman melakukan beberapa ujian saringan serta pemeriksaan kesihatan bagi mendermakan salah satu buah pinggang mereka kepada anak bongsu kesayangan itu, kesihatan mereka berdua tidak mengizinkan.
Suhaibul Umar melutut di hadapan ibu bapa angkatnya bagi meluahkan hasratnya untuk menderma buah pinggangnya kepada sahabatnya itu. “Bonda, baba… Suhaib nak minta izin bonda baba. Suhaib nak cuba derma buah pinggang Suhaib kat Azim.”
“Suhaib… Jangan risikokan diri. Kami faham Suhaib nak tolong tapi doktor kata seboleh-bolehnya daripada kalangan ahli keluarga sendiri,” nasihat Encik Uthman.
“Tapi doktor cakap nyawa Azim dah kritikal sangat. Suhaib tak senang duduk. Anak-anak bonda baba, seorang pun tak sampai lagi. Suhaib betul-betul sanggup nak derma buah pinggang Suhaib kalau sesuai dengan Azim.”
“Suhaib… Suhaib dah lalui macam-macam dulu. Takkan Suhaib nak korbankan buah pinggang Suhaib pula,” kata Puan Tengku Aulia dengan sebaknya.
Suhaibul Umar memandang wajah ibu angkatnya itu. “Sebab Azim dah banyak tolong Suhaib. Dia dah banyak korbankan untuk Suhaib supaya Suhaib gembira. Bonda baba… Suhaib tak sanggup nak hilang sahabat sebaik Azim. Izinkan Suhaib kalau Suhaib lulus ujian saringan dan buah pinggang Suhaib sesuai dengan Azim ya?”
“Baiklah Suhaib. Kami izinkan memandangkan masa dah suntuk tapi andai kata Suhaib nak ubah fikiran, kami okey je.”
Setelah Suhaibul Umar melalui ujian saringan, dia juga tidak melepasi bagi mendermakan buah pinggangnya kerana dia mempunyai masalah mental seperti yang termaktub dalam ‘Polisi Transplantasi Organ Tisu dan Sel Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia, 2007’. Betapa dia amat kecewa dan menangis semahunya selepas dia menunaikan solat maghrib. Tambahan pula, dia memiliki Kad Orang Kurang Upaya (OKU) di bawah kategori mental dan pelbagai.
Akhirnya, Suhaibul Umar menarik nafas lega apabila salah seorang abang Abdul Azim tiba bersama isteri dan anak-anaknya dan melepasi setiap peringkat ujian bagi menderma buah pinggang kepada adik bongsunya itu.
Segala puji Maha Pencipta, Abdul Azim berjaya diselamatkan menerusi pemindahan buah pinggang itu tetapi ada ujian lain buat dirinya, iaitu doktor mengesahkan bahawa dia mengalami koma akibat kecederaan pada otaknya menerusi Pengimejan Resonans Magnet (MRI). Hal itu sudah sedia maklum oleh ahli keluarga dan tiga orang sahabatnya setelah pembedahan itu berjaya.
Kini, masing-masing mengharapkan agar Abdul Azim terus kuat berjuang untuk sedar dari koma dan doktor juga tidak tahu bila dia akan sedar dari komanya. Bergantung kepada rangsangan Abdul Azim, cara dia merespons tubuh badannya dan tahap kesihatannya hari demi hari. Apa-apa pun, semuanya dengan izin Allah jua dalam menyembuh sesiapa sahaja yang dikehendaki oleh-Nya.
Walaupun sukar bagi Suhaibul Umar setelah Abdul Azim terlantar bersama alat bantuan pernafasan di hadapan matanya, dia reda. Dia tetap akan menanti sahabat baiknya itu sedar dari koma. Demi Allah, dia amat mencintai Abdul Azim sebagai saudara seagamanya. Biarpun dia tidak diizinkan untuk mengorbankan buah pinggangnya, dia akan terus berdoa demi sahabat baiknya itu.
“Azim, abang tahu Azim kuat sejak Azim datang majlis adik abang dan Din tadi tapi abang tak sangka, tu rupanya petanda yang Azim tinggalkan kat abang. Azim nampak gembira sangat untuk Qist dan Din. Siap bagi hadiah kahwin kat dia orang. Azim… Bila Azim dah sedar dari koma nanti, abang nak luangkan masa lebih banyak dengan Azim. Walaupun kita sama-sama perit sebab kita tak ditakdirkan jadi ipar-duai tapi abang tahu, ada hikmah semua ni. Azim… Kuat ya. Abang sentiasa ada untuk Azim sampai Azim sedar. Abang janji,” bisik Suhaibul Umar di telinga Abdul Azim bersama linangan air mata.
Kelihatan Abdul Azim juga turut mengalirkan air matanya di sebalik koma itu.

Terima kasih atas sokongan para pembaca :)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience