BAB 28

Drama Completed 13621

AZAN subuh sedang berkumandang. Mohamad Salahuddin tersedar dari lenanya tatkala dia terdengar seruan suci itu. Seketika, dia menatap wajah Qistur Ruwaidah dalam kesamaran cahaya luar. Kelihatan isterinya sedang nyenyak tidur dalam dakapannya. Perlahan-lahan dia meleraikan dakapan tersebut agar isterinya tidak tersedar dengan tindakannya.
‘Subhanallah… Cantiknya sayang habibi ni,’ bisik hati Mohamad Salahuddin seraya tersenyum.
Dengan nada perlahan, Mohamad Salahuddin membacakan doa buat Qistur Ruwaidah di ubun-ubun sepertimana yang dilakukan oleh dia untuk isterinya semasa majlis akad nikah pada hari semalam.
“Ya Allah, aku memohon pada-Mu dari kebaikannya dan kebaikan apa yang Engkau tetapkan kepadanya, dan aku berlindung pada-Mu dari kejahatannya dan kejahatan yang Engkau tetapkan padanya. Ya Allah, berkatilah isteriku ini ke atasku dan lindungi dirinya dari segala keburukan perbuatan orang-orang yang dengki dan perbuatan tukang sihir,” doa sang suami itu.
Memang Mohamad Salahuddin sudah berazam untuk membacakan doa tersebut kepada isterinya pada setiap hari selepas dia bangun dari tidur agar isterinya terpelihara dan dilindungi oleh Maha Pencipta. Dia menyerahkan isterinya dalam jagaan Allah sepenuhnya. Kemudian, dia mengucup dahi Qistur Ruwaidah.
Qistur Ruwaidah tersedar tatkala dia merasakan sesuatu pada dahinya. Tiba-tiba dia terjerit! Alangkah terkejutnya dia tatkala dia ternampak kelibat susuk tubuh lelaki di sebelahnya melalui kesamaran cahaya luar tanpa memandang wajah suaminya itu.
Belum sempat Mohamad Salahuddin mahu menenangkan isterinya, Qistur Ruwaidah terus menolak suaminya sehingga suaminya jatuh dari katil.
Kedengaran suara Mohamad Salahuddin mengadu sakit. “Aduh!”
Qistur Ruwaidah segera menghidupkan lampu meja bagi melihat gerangan lelaki tersebut. “Ya Allah, habibi!” ucapnya dengan terkejut. Dia segera mendapatkan suaminya.
“Habibi sakit kat bahagian mana? Sayang minta maaf sangat,” ucap Qistur Ruwaidah dengan serba salah.
Mohamad Salahuddin tersengih. “Sayang ni ganas betul sampai boleh tolak habibi jatuh katil.”
Qistur Ruwaidah menampar lengan suaminya. “Habibi! Betul-betullah! Habibi sakit kat bahagian mana! Janganlah buat sayang cuak! Sayang nak pergi ambil ubat ni.”
Kelihatan Mohamad Salahuddin ketawa dengan perlakuan gelabah isterinya. “Sayang ni… Garang betul. Habibi tak sakit kat mana-mana pun. Ada karpet ni. Habibi okey je. Jangan risau ya, sayang.”
Tiba-tiba Qistur Ruwaidah meraih tangan suaminya untuk memohon maaf. “Sayang minta maaf, habibi. Disebabkan sayang, habibi jatuh katil. Sayang ingat lelaki manalah yang ada kat sebelah sayang. Sayang lupa sayang dah kahwin. Dah ada suami. Sebelum ni, sayang biasa tidur seorang. Tiba-tiba ada peneman pula.”
Sekali lagi, Mohamad Salahuddin ketawa. “Sayang… Sayang… Kelakar betul. Habibi tak boleh nak berhenti gelak lagi ni. Nasib baik Abang Suhaib tak ada. Kalau Abang Suhaib ada, mahu dia panik dengar sayang jerit.”
Qistur Ruwaidah memuncungkan bibirnya. “Jahatlah habibi ni! Orang tengah serius ni! Boleh pula dia main-main!”
Barulah Mohamad Salahuddin menghentikan tawanya. “Okey, okey… Kali ni, habibi serius. Habibi minta maaf ya, sayang. Sayang janganlah merajuk. I love you.”
Wajah Qistur Ruwaidah menjadi ceria tatkala suaminya mengungkap cinta kepadanya. Kalbunya cair. Dia tidak akan jemu mendengar lafaz keramat tersebut. “I love you too! Sayang tak jadilah nak merajuk.”
“Eh? Habibi baru cakap ‘I love you’, terus tak jadi nak merajuk ya. Mengada betul!”
“Alaa… Nak merajuk pun dengan habibi je. Nak cari gaduh pun dengan habibi juga.”
Mohamad Salahuddin tersengih. “Tak apa sayang. Habibi okey je. Habibi lagi suka sayang merajuk. Nampak manja. Tiba-tiba habibi teringat pula malam tadi…” ucapnya. Kemudian, dia tersenyum.
Wajah Qistur Ruwaidah terus merona merah. Ah, suaminya itu! Dia segera mengubah topik sebelum suaminya melalut lagi. “Aaa… Jomlah kita solat subuh, habibi. Nanti kita terlepas waktu subuh pula,” katanya seraya meninggalkan tempat tersebut untuk mengambil wuduk. Dia malu!
Mohamad Salahuddin memandang isterinya bersama kuntum senyuman. Dia tahu isterinya malu. ‘Ya Allah… Terima kasih di atas kurniaan-Mu. Qistur Ruwaidah telah menjadi milikku dengan izin-Mu jua.’

SEBELUM Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin mahu meninggalkan rumah bagi menuju ke TT Fresh Mart Melawati dan Pasar Raya Besar Giant, Qistur Ruwaidah sudah berhajat untuk menyediakan sarapan pagi terlebih dahulu seusai mereka berdua menunaikan solat subuh.
“Sayang nak masak apa?” tanya Mohamad Salahuddin. Inilah masa bagi dia menunjukkan sifat seorang suami yang peka dengan isterinya.
“Sayang ingat nak masak nasi goreng cina. Lebihan nasi putih ada je dalam peti sejuk. Lepas tu, sayang nak sediakan air teh o panas. Habibi okey ke?” balas Qistur Ruwaidah.
“Okey. Kalau macam tu, biar habibi masak nasi goreng cina. Sayang sediakan air teh o. Habibi nak sayang rasa masakan habibi. Boleh?”
“Eh, habibi pandai masak? Biar betul!”
Mohamad Salahuddin tersenyum mendengar kata-kata isterinya itu. “Sayang tak percaya? Habibi pandai masaklah sayang.”
“Ya ke habibi ni?”
“Betullah sayangku oii! Memang habibi suka masak pun. Mak, ayah dan Keena selalu puji masakan habibi sedap tahu.”
Akhirnya, Qistur Ruwaidah mengalah setelah mendengar hujah suaminya itu. “Okeylah… Sayang bagi peluang kat habibi masak tapi habibi masak hari ni je tahu. Sayang tak nak susahkan habibi.”
“Eh, sayang ni! Mana boleh macam tu. Tugas suami kena tolong isteri. Bukan isteri je kena uruskan hal rumah. Suami pun ada peranan. Takkan suami nak goyang kaki pula,” ujar Mohamad Salahuddin seraya mencubit pipi isterinya.
“Aduh, sakitlah habibi!” kata Qistur Ruwaidah seraya mengusap pipinya itu. Jari-jemarinya sudah bersedia untuk mencubit lengan suaminya itu.
Cepat-cepat Mohamad Salahuddin melarikan diri daripada Qistur Ruwaidah. Berkejaranlah pasangan itu seperti kanak-kanak di sekitar ruangan dapur tersebut. Gelak ketawa menambahkan rencah kebahagiaan buat mereka berdua.
“Okeylah sayang. Okeylah… Habibi mengalah. Sayang cubitlah habibi,” balas Mohamad Salahuddin sambil tersenyum.
Qistur Ruwaidah menggelengkan kepalanya. “Eii… Dahlah. Malas sayang nak layan habibi. Baik sayang masak. Lagi bagus.”
Mohamad Salahuddin menghampiri isterinya, lalu dia merangkul pinggang isterinya itu bersama sebuah kucupan di pipi. “Tak apa sayang. Biar habibi masak hari ni. Sayang sediakan teh o je.”
Dalam hati Qistur Ruwaidah, dia menjadi serba salah. Berat hati untuk dia membiarkan suaminya keseorangan menyediakan juadah pagi itu. Namun, memang Mohamad Salahuddin nekad untuk melakukan sendirian bagi aktiviti memasak itu. Dia mahu melakukan yang terbaik untuk bidadari tercinta.
Tugas Qistur Ruwaidah, dia hanya perlu menunjukkan kedudukan barang dapur kepada suaminya itu. Kelihatan tangan Mohamad Salahuddin begitu lincah mengeluarkan bahan-bahan yang diperlukan sehingga membuatkan dirinya kagum terhadap suaminya itu.
‘Harap-harap Qist suka nasi goreng aku ni. Bismillah,’ bisik hati Mohamad Salahuddin, lalu dia memulakan projek masakannya.
Sementara itu, Qistur Ruwaidah pula menjerang air bagi menyediakan teh o panas. Dia termenung sendirian di atas apa yang telah berlaku semalam. Telinganya masih terngiang-ngiang akan suara Mohamad Salahuddin menerima lafaz ijab kabul yang diucapkan oleh abangnya sebagai tanda bahawa suaminya itu sanggup menerima amanah dan tanggungjawab untuk menjaga dirinya. Sungguh, dia merasakan hari semalam merupakan hari yang amat indah.
‘Mohamad Salahuddin… Sayang akan sentiasa bahagiakan habibi, macam mana habibi bahagiakan sayang sedalam hati habibi. Insya-Allah,’ bisik hatinya sambil memandang suaminya itu.
Mohamad Salahuddin begitu ralit menumis bawang merah dan bawang putih. Bau tumisan bawang merah dan bawang putih itu menaikkan aroma sehingga memenuhi sekitar ruang dapur tersebut.
“Sedapnya bau!” puji Qistur Ruwaidah di sebelahnya.
“Alamak, sayang! Jangan puji. Takut nasi goreng habibi tak jadi nanti,” seloroh Mohamad Salahuddin seraya memecahkan tiga biji telur. Kemudian, dia mengacau kuning telur itu agar sebati dengan putih telur, lalu dimasukkan ke dalam kuali. Gabungan bunyi sudip dan kuali tersebut menampakkan bahawa lelaki itu benar-benar mahir memasak.
“Untungnya sayang ada habibi pandai masak. Bolehlah sayang nak minta habibi buatkan spagheti nanti.”
Mohamad Salahuddin ketawa kecil. “Boleh je sayang. Spagheti tu senang sangat nak masak. Sekejap lagi, kita beli bahannya,” katanya. Seterusnya, dia memasukkan nasi putih ke dalam kuali.
Usai semuanya, Mohamad Salahuddin menyenduk nasi goreng tersebut ke dalam dua pinggan dan disertakan dua batang sudu, lalu dibawa ke arah meja makan. Kelihatan Qistur Ruwaidah sedang menuang teh o panas ke dalam dua buah cawan.
“Wah, dah siap! Tak sabarnya nak rasa nasi goreng habibi ni!” kata Qistur Ruwaidah dengan teruja.
Kemudian, pasangan itu melabuhkan punggung di atas kerusi. Mohamad Salahuddin mengetuai bacaan doa makan.
“Nah. Panas tahu, sayang. Hati-hati,” kata Mohamad Salahuddin, lalu dia menyuakan nasi goreng cina tersebut kepada isterinya itu.
Perlahan-lahan Qistur Ruwaidah menyambut suapan suaminya seraya menikmatinya dengan penuh khusyuk. Mohamad Salahuddin sudah berdebar untuk mengetahui reaksi isterinya itu.
“Sedapnya!” respons Qistur Ruwaidah dengan penuh teruja tatkala dia menikmati masakan suaminya itu.
Lega hati Mohamad Salahuddin apabila dia menerima reaksi yang cukup positif daripada isterinya itu. Secara tidak langsung, dia menjadi amat gembira sebagai seorang suami. “Alhamdulillah. Habibi lega sayang cakap sedap. Habibi risau kalau sayang cakap tak sedap.”
“Ni serius. Memang nasi goreng habibi sedap sangat! Sayang bagi gred A+++ tahu! Memang betullah habibi pandai masak. Macam cef. Cara habibi masak tadi pun, sayang nampaklah habibi mahir masak. Mari sayang suapkan habibi pula,” kata Qistur Ruwaidah sambil mengaut nasi goreng cina dengan menggunakan sudu, lalu dia menyuakan kepada suaminya.
Mohamad Salahuddin menyambut suapan isterinya itu. Betapa bangganya dia tatkala menerima pujian yang begitu melambung daripada Qistur Ruwaidah. Kemudian, pasangan itu menikmati sarapan pagi tersebut dengan penuh khusyuk.
Setelah mereka berdua selesai menikmati sarapan pagi…
“Sayang, kenyang tak?” tegur Mohamad Salahuddin.
“Alhamdulillah. Kenyang sangat tahu. Habibi pun nampak sayang tambah nasi goreng sampai dua kali,” balas Qistur Ruwaidah bersama sengihan kecil.
Mohamad Salahuddin tersenyum. “Ya sayang… Habibi nampak. Sayang nak tahu sesuatu pasal masakan habibi tak?”
“Apa dia?”
“Sebenarnya, sayang dah pernah rasa makanan yang habibi buat sebelum ni.”
Wajah Qistur Ruwaidah berubah menjadi terkejut. “Bila masa pula habibi pernah buat kat sayang?”
“Sayang ingat tak hari sayang pergi berkelah dengan Abang Suhaib kat Taman Tasik Perdana dulu?”
Ingatan Qistur Ruwaidah menerjah kembali berkenaan momen itu. “Ya, sayang ingat. Ha… Habibi ke sediakan bihun dan roti pita tu?”
“Abang Suhaib masak bihun je.”
“Ya Allah! Sekejap… Maksudnya… Habibilah yang sediakan roti pita tu?”
“Ha, haah… Habibilah yang sediakan. Masa tu, dengar cerita… Ada orang tu makan sampai empat keping. Dahsyat!” balas Mohamad Salahuddin bersama sengihan.
Tiba-tiba Qistur Ruwaidah teringat akan roti pita berinti daging kisar yang digaul bersama bawang Holland, sos spagheti, salad, mayones, sos cili, sos barbeku dan sos thousand island itu. “Eii… Habibi buat rupanya! Serius, memang sedap! Patutlah inti tu rasa lain! Lain sangat dengan Abang Suhaib buat. Sampai sekarang sayang teringat roti pita habibi tu. Pandai ya habibi minta Abang Suhaib rahsiakan. Kononnya, Abang Suhaiblah yang buat. Eii… Mengada!” ujarnya. Kemudian, dia mencubit manja lengan suaminya itu.
Mohamad Salahuddin ketawa. “Haah… Memang habibi pesan kat Abang Suhaib supaya tak beritahu sayang. Saja… Supaya lepas kahwin, barulah habibi beritahu kat sayang. Habibi romantik, kan?”
Qistur Ruwaidah menjelirkan lidahnya, “Ceh! Perasannya habibi ni!”
“Amboi, main jelir-jelir lidah pula! Habibi kerat lidah tu nanti.”
Sekali lagi, Qistur Ruwaidah menjelirkan lidahnya. Namun, kalbunya tidak menafikan bahawa suaminya itu sangat romantik.
Mohamad Salahuddin ketawa menyaksikan gelagat isterinya itu. Qistur Ruwaidah sangat manja orangnya. Bagaimanalah dia tidak semakin jatuh cinta terhadap sang isteri akan sifat manjanya yang hanya dapat disaksikan oleh dirinya sebagai suami?
Usai sarapan pagi, pasangan itu bersiap-siap untuk menuju ke TT Fresh Mart Melawati dan Pasar Raya Besar Giant buat kali pertama sebagai suami isteri.

MENJELANG waktu petang pada jam 5.30 petang, Qistur Ruwaidah membawa Mohamad Salahuddin ke Tanah Perkuburan AU4 Lembah Keramat bagi menziarahi pusara ahli keluarganya seperti yang diingini oleh suaminya pada hari semalam.
“Abang Suhaib ada bawa habibi kat kubur keluarga kita orang hari tu?” tanya Qistur Ruwaidah setelah Mohamad Salahuddin memarkir keretanya di kotak parkir yang disediakan.
“Tak ada. Ni kali pertama habibi datang sini,” balas Mohamad Salahuddin sambil tangannya mengusung tikar mengkuang, buku Yaasin dan sejag air mawar manakala Qistur Ruwaidah membawa dua jag air mawar.
Ucapan salam diberikan kepada ahli kubur. Lalu, pasangan itu melewati pusara demi pusara dengan penuh berhati-hati sehinggalah mereka berdua tiba di pusara ahli keluarga Qistur Ruwaidah.
“Kat sinilah keluarga sayang dikebumi sejak umur sayang enam tahun,” terang Qistur Ruwaidah sambil menunjukkan tempat persemadian ahli keluarganya itu.
Mohamad Salahuddin mengangguk sambil menyedekahkan surah al-Fatihah buat ahli keluarga isterinya dalam hati. Tikar dibentangkan di atas tanah, lalu pasangan itu melabuhkan punggung mereka.
Kelihatan Qistur Ruwaidah memegang satu persatu batu nisan ahli keluarganya dengan penuh rasa rindu. Kerinduan yang tidak pernah terpadam sampai bila-bila. Kerinduan yang penuh sakit dan tiada penyembuhnya melainkan reda dengan ketentuan Ilahi. Apatah lagi, kehilangan insan-insan yang dicintainya itu digantikan pula dengan penyeksaan yang tidak pernah diingini olehnya sebagai mangsa dera kanak-kanak dulu.
“Assalamualaikum semua. Alhamdulillah, hari ni Qist datang dengan suami Qist. Qist perkenalkan suami Qist, Mohamad Salahuddin. Semalam, Qist dah selamat ijab kabul dengan Din. Kalau semua ada, mesti meriah, kan? Mama baba dah ada menantu. Kak Qina dah ada adik ipar. Dik Harraz dan Dik Harzan dah ada abang ipar. Hari ni Abang Suhaib tak ikut. Dia tidur kat rumah kawan dia,” ucapnya dengan sayu, namun tiada air mata mengiringinya.
Mohamad Salahuddin memegang bahu isterinya itu… Menghadiahkan kekuatan! “Sayang… Kita baca Yaasin ya?” pujuknya.
Qistur Ruwaidah mengangguk. Lalu, surah Yaasin dan bacaan tahlil dihadiahkan buat ahli keluarga tersebut.
Usai kesemuanya, Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin menyiram air mawar secara serentak di atas pusara setiap insan-insan itu.
“Boleh tak sayang tunggu kat kereta habibi dulu? Habibi nak sendiri sekejap kat sini,” pinta Mohamad Salahuddin sambil menyerahkan kunci keretanya kepada isterinya setelah Qistur Ruwaidah menyarung sandalnya.
“Okey,” kata Qistur Ruwaidah, lalu dia mengusung dua jug tersebut berserta kunci kereta suaminya. Dia memahami bahawa suaminya mahu ‘berbual-bual’ dengan ahli keluarganya itu.
Tinggallah Mohamad Salahuddin bersendirian di pusara ahli keluarga isterinya itu. Lalu, dia berbicara sesuatu.
“Assalamualaikum mama, baba, Kak Qina, Dik Harraz dan Dik Harzan… Moga semuanya tenang kat sana. Walaupun Din tak pernah jumpa semua dan hanya tengok kat gambar je, Din seronok dan rasa tenang jadi sebahagian daripada semua. Din sentiasa doakan kesejahteraan semua. Buat mama baba yang Din hormati sebagai mentua, terima kasih sebab lahir dan didik Qistur Ruwaidah jadi anak yang baik dan anak solehah walaupun dia tak lama dengan mama baba. Juga, Abang Suhaibul Umar. Din beruntung jadi suami Qist dan menantu mama baba. Kalaulah mama baba masih ada, alangkah seronoknya Din dapat kenal mama baba. Mama baba… Din janji, Din akan jaga Qist dengan baik. Tu janji Din. Insya-Allah,” kata-katanya terhenti seketika.
Sambungnya lagi… “Buat Kak Qina, Dik Harraz dan Dik Harzan… Din doakan semoga semuanya di bawah rahmat Allah. Andainya semua masih hidup, Din nak ajak semua pergi jalan-jalan dan rapatkan silaturahim tapi Allah Maha Mengetahui hikmah pemergian semua.”
Tidak sedar, air mata Mohamad Salahuddin menitis. Kini, barulah dia mengerti betapa peritnya buat isteri dan abang iparnya melalui kehilangan lima orang ahli keluarga tercinta sekali gus.
“Din balik dulu semua. Nanti Din dan Qist datang lagi. Assalamualaikum,” ucapnya, lalu dia menyarung kasutnya dan melipat semula tikar tersebut.
Setelah Mohamad Salahuddin meninggalkan pusara itu dengan penuh kedamaian, kelihatan Qistur Ruwaidah tidak berada dalam kereta. Namun, dia bersandar pada pintu kereta sambil mendongak ke langit.
“Sayang tengah tengok apa tu?” tegur Mohamad Salahuddin sambil merapati isterinya itu. Didepakan tangan kirinya di atas bahu isterinya itu.
“Aaa… Sayang tengah tengok langit sambil tengok burung-burung terbang. Sayang suka. Teringat masa tinggal dengan Mak Long dulu,” terang Qistur Ruwaidah.
Apabila Qistur Ruwaidah menyebut perkataan ‘Mak Long’, Mohamad Salahuddin mula menjadi risau akan penyakit Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD) yang mungkin akan menyerang lagi isterinya itu. “Sayang okey tak ni? Habibi risau kalau PTSD serang sayang lagi,” luahnya.
Qistur Ruwaidah ketawa kecil. “Habibi ni… Taklah setiap masa sayang sebut ‘Mak Long’, PTSD serang sayang. Ikut keadaan.”
Mohamad Salahuddin mula memahami situasi penyakit isterinya itu. Namun, dia cuba meraikan isterinya dengan memahami lagi keadaan isterinya sebagai mangsa dera kanak-kanak dulu. Semestinya, banyak perkara yang dipendamkan oleh isterinya selama ini dan perlu diluahkan. “Apa yang buat sayang teringat pasal langit dan burung masa tinggal dengan Mak Long dulu?”

“Habibi ingat tak sayang pernah cerita dulu, sayang dan Abang Suhaib kena halau kat luar rumah ikut suka hati Mak Long dalam sehari dua, sama ada kita orang buat salah atau tak buat salah?”
“Ingat. Dia halau sayang lepas dia dah dera sayang dan Abang Suhaib dengan guna rotan dan tali pinggang. Tak cukup dengan tu, dia cucuh dengan besi panas pula. Lepas tu, biarkan kau orang kat tengah panas. Kejam betul! Kalau orang tua tu hidup lagi, memang dia takkan aman dengan habibi,” kata Mohamad Salahuddin. Kemudian, dia mengetap bibir menahan geram. Setelah dia mengetahui segala penderitaan isteri dan abang iparnya, dia sendiri dapat merasakan kesakitan dua beradik itu.
Qistur Ruwaidah tersenyum hambar. Ternyata suaminya mengingati segala penderitaannya. Kemudian, dia meneruskan bicara. “Bagi sayang dan Abang Suhaib dulu, kita orang kena halau tinggal kat luar rumah dalam tempoh tertentu ibarat terapi untuk kita orang sebab kita orang boleh hayati ciptaan Allah daripada terus kena dera dengan Mak Long. Dulu… Sayang selalu berangan nak jadi macam burung sebab burung boleh terbang bebas kat atas langit tu. Masa tu, sayang selalu tertanya-tanya, bila agaknya penderitaan sayang dan Abang Suhaib akan berakhir? Sebab kita orang ingatkan, kita orang tak ada harapan nak hidup macam budak-budak lain.”
Mohamad Salahuddin masih tekun mendengar luahan isterinya sebagai bekas mangsa dera kanak-kanak itu.
Qistur Ruwaidah menyambung lagi bicaranya. “Sayang ingat lagi… Kehidupan kanak-kanak sayang tak pernah terbela sama ada kat rumah atau sekolah sampailah kita orang jumpa dengan Abah Anwar, orang yang sayang pernah cerita masa kat Kafe KENMS dulu. Sayang teringat kat abah dan terhutang budi sangat kat abah. Dah setahun lebih juga sayang dan Abang Suhaib tak jenguk abah tapi sayang ada jemput keluarga abah kat majlis kesyukuran kita nanti. Sayang nak sangat habibi jumpa dengan abah. Abahlah bagi harapan dan pelangi kat kita orang macam budak-budak lain.”

Abah Anwar atau Inspektor Anwar, insan yang telah menyelamatkan kehidupan kelam Qistur Ruwaidah dan Suhaibul Umar setelah beliau menjawab panggilan Qistur Ruwaidah pada suatu ketika dahulu. Dahulu juga, dua beradik itu memanggil Inspektor Anwar dengan gelaran ‘pak cik’ tetapi atas permintaan Inspektor Anwar sendiri setelah dua beradik itu dibenarkan untuk keluar dari hospital, beliau mahu dua beradik itu memanggilnya sebagai ‘abah’ sebagai tanda, beliau menerima anak-anak itu ibarat anak kandungnya sendiri dengan sepenuh hati.
Mohamad Salahuddin sedia maklum akan kewujudan insan itu dalam kehidupan isterinya sewaktu pertemuan mereka berdua di Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan atau Kafe Kulliyyah of Economics and Management Sciences (KENMS) dahulu.
“Sayang…” respons Mohamad Salahuddin sambil memandang wajah isterinya.
“Eh, habibi! Sayang minta maaf. Terluah perasaan pula. Bukan apa… Bila sayang ingat balik semua tu, sayang jadi sedih dan terseksa sangat,” luah Qistur Ruwaidah.
“Tak apa, sayang. Habibi faham je. Habibi tumpang simpati sangat untuk sayang dan Abang Suhaib. Cuma… Apa habibi boleh cakap, Allah sendiri berfirman, ‘Allah takkan bebankan seseorang hamba tu melainkan apa yang terdaya olehnya’. Sayang dah cukup kuat sangat. Sebab tu, Allah uji sayang sebab Dia tahu sayang boleh lalui ujian Dia dan kasihnya Allah kat sayang. Sayang… Sayang jangan sedih tahu. Sayang ada habibi, sayang ada Abang Suhaib. Paling utama, sayang ada Allah. Izinkan habibi gembirakan sayang selagi mana habibi ada untuk sayang. Okey?” ucap Mohamad Salahuddin sambil mengucup dahi isterinya itu.
Qistur Ruwaidah mengangguk, lalu dia mendakap suaminya itu bersama senyuman. Kedamaian terasa. “Terima kasih habibi. I love you, habibi. I love you so much,” ucapnya.

Mohamad Salahuddin mengeratkan dakapan itu sambil mengusap tubuh belakang isterinya sebagai simbol kasih sayang dan kekuatan. “Sama-sama sayang. I love you too… so much! Sayang jangan sedih-sedih tahu. Ha, sayang! Jom kita pergi makan kat kedai bingsu Thailand. Habibi teringin.”
Kedai ‘Bai Krapraw Seafood’ atau lebih dikenali sebagai ‘bingsu Thailand’ menjadi tumpuan para siswa dan siswi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bagi menikmati hidangan di restoran masakan Thailand tersebut. Selain itu, harganya juga berpatutan dan murah sesuai dengan harga pelajar. Jika menghala dari UIAM, memakan masa sekitar lima minit sahaja untuk tiba di kedai makan tersebut.
Qistur Ruwaidah meleraikan dakapan tersebut. Dia memandang wajah suaminya seraya memaut lengan suaminya dengan penuh teruja tatkala suaminya mengajak dirinya untuk makan malam di kedai tersebut. “Jom habibi! Jom! Sayang nak pulut mangga, green tea, tomyam… Emm… Apa lagi ya? Ya Allah, sedapnya!”
“Eloklah sayang boleh kamceng dengan Keena. Dia pun kuat makan juga. Tak padan dengan badan kecil,” sakat Mohamad Salahuddin.
“Ha, okey sangatlah tu. Bolehlah sayang ajak keluar makan dengan Keena nanti. Tak naklah ajak habibi. Nanti habibi asyik kacau kita orang je.”
Mohamad Salahuddin tertawa. Perasaan cintanya terhadap Qistur Ruwaidah semakin mekar. Tiada wanita lain yang mampu menggantikan Qistur Ruwaidah dalam jiwanya itu. ‘Ya Allah, Kau kurniakanlah kebahagiaan buat aku dan isteriku sampai maut sahaja yang memisahkan kami. Amin!’ doa hati sang suami itu.

TIMBUNAN buku undang-undang berselerakan di atas ruangan meja tetamu. Kelihatan Mohamad Salahuddin begitu tekun memeriksa satu demi satu buku-buku tersebut sebagai persediaan untuk pembukaan semester baru yang berbaki sehari lagi pada hari Isnin nanti, selang empat hari selepas majlis akad nikahnya itu.
“Habibi, minum,” kata Qistur Ruwaidah sambil menyerahkan secawan milo sejuk kepada suaminya itu.
“Oh! Terima kasih sayang,” ucap Mohamad Salahuddin, lalu dia menyambut cawan itu dan dicecapnya sedikit demi sedikit.
Qistur Ruwaidah melabuhkan punggungnya di atas sofa bersebelahan dengan suaminya. “Sama-sama habibi. Habibi buat apa ni? Sibuk semacam je.”
“Taklah sibuk pun. Cuma, habibi tengah seronok tengok buku-buku undang-undang ni. Habibi akan guna buku-buku ni untuk semester ni. Tak sabar tahu. Lagi-lagi, habibi dah kahwin dengan sayang. Lagilah buat habibi makin semangat nak belajar.”
“Samalah sayang. Tak sabar nak hadap semester baru ni. Emm… Habibi ada subjek yang kena pre-reg manual tak?”
“Ada sayang. Subjek Family Law II dan Criminal Law II. Semua section closed masa habibi pre-reg online hari tu. Biasalah, senior ambil dulu. Lagi-lagi, ramai nak ambil dengan Dr. Shah untuk subjek Family Law tu. Macam habibi, habibi tak kisah mana-mana lecturer pun. Janji dapat subjek yang habibi nak. Sayang pula?”
“Samalah sayang pun. Sayang tak dapat pre-reg online tiga subjek. Subjek History of Arabic Literature, Science of Al-Bayan dan Bahasa Melayu Kerjaya. Terpaksalah daftar manual hari Isnin ni.”
‘Pre-registration manual’ atau lebih dikenali sebagai ‘Pre-reg manual’ merupakan istilah bagi para mahasiswa dan mahasiswi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, iaitu pradaftar subjek secara manual dengan mengisi borang untuk diserahkan ke pejabat kulliyyah (fakulti) manakala ‘pre-registration online’ atau lebih dikenali sebagai ‘pre-reg online’, iaitu pradaftar subjek secara dalam talian mengikut tarikh yang telah ditetapkan.
Bagi ‘pre-reg manual’, biasanya hari pendaftaran dibuka selama empat atau lima hari pada minggu pertama setiap semester bagi mahasiswa dan mahasiswi berebut subjek yang diinginkan. Padahnya, mereka perlu beratur panjang sehingga berpuluh-puluh minit atau berjam-jam lamanya untuk menghantar borang tersebut dan mendapatkan pengesahan daripada pejabat kulliyyah (fakulti). Tidak kira sama ada senior mahupun junior, begitulah lumrahnya. Bahkan, ada juga siswa siswi yang tidak menghadiri kuliah, semata-mata untuk pradaftar subjek secara manual.
Biasanya, subjek yang didaftarkan secara manual akan diterima sahaja oleh pihak pejabat dan dimasukkan ke dalam sistem pelajar mengikut nombor matrik yang tertera dalam borang, menandakan bahawa seseorang siswa atau siswi itu dibenarkan untuk mengambil subjek yang dimohon pada semester tersebut.
“Kita pergi awal masa hari Isnin nanti tu tahu. Mesti berebut punya. Kena beratur panjang lagi,” kata Mohamad Salahuddin.
“Okey habibi. Emm habibi… Sayang nak bincang pasal yuran pengajian sayang,” balas Qistur Ruwaidah.
“Okey… Bagus juga sayang nak bincang pasal ni. Sayang dapat biasiswa atau buat pinjaman?” ujar Mohamad Salahuddin seraya meletakkan buku undang-undang yang dipegang olehnya di atas meja bagi menumpukan perhatian kepada isteri tercinta. Kemudian, tangannya kirinya berpaut di atas bahu isterinya manakala tangan kanannya memegang tangan kanan isterinya.
Wajah Qistur Ruwaidah berubah menjadi suram seketika. “Setakat ni, self-sponsored. Abang Suhaib bayarkan yuran sayang guna duit mama baba sebab dia tak nak sayang ambil pinjaman. Macam Abang Suhaib, dia dapat biasiswa. Senanglah. Cuma… Tulah… Memandangkan sayang dah kahwin dengan habibi, sayang tak bincang lagi dengan Abang Suhaib pasal yuran. Takkan dia nak tanggung sayang lagi, kan? Ikutkan sayang, nak mohon pinjaman je. Pointer sayang taklah cemerlang kalau nak mohon biasiswa.”

Mohamad Salahuddin mencuit hidung isterinya itu. “Sayang ni… Macam lupa pula sayang dah kahwin dengan habibi. Sekarang, habibilah kena tanggung sayang. Hmm... Macam habibi, habibi dapat biasiswa negeri. Jadi, tak ada masalah. Dah jimat banyak duit habibi kat situ. Setakat nak tanggung pengajian sayang lagi tiga tahun termasuk semester ni, insya-Allah habibi tak ada masalah. Memang habibi dah ada peruntukkan duit belajar untuk sayang. Macam insurans dan hibah pun, habibi tengah dalam perancangan nak ambilkan untuk sayang waktu terdekat ni. Apa-apa jadi kat habibi, taklah sayang tinggal terkontang-kanting. Jadi, sayang jangan risaulah. Semuanya ditanggung beres.”
Qistur Ruwaidah tersentak. Dia tidak menyangka bahawa suaminya sangat berpandangan jauh. “Bagusnya habibi. Serius… Sayang tak sangka habibi fikir semua tu.”
“Sayang…” ucap Mohamad Salahuddin sambil meraih kedua-dua tangan isterinya itu. “Sejak habibi jatuh cinta kat sayang dari tiga tahun lepas dan serius nakkan sayang sebelum habibi lamar sayang, dah lama habibi usaha cari duit nak halalkan hubungan dengan sayang. Habibi buat macam-macam kerja macam ajar mengaji, ajar subjek-subjek sekolah rendah dan menengah, jadi jurujual kat kiosk mahallah (kolej kediaman), buka tempahan nasi berlauk dan habibi masak sendiri… Emm… Banyak lagilah kerja sampingan yang habibi buat sampai habibi pernah sakit sebab habibi terlalu kuat bekerja dan jarang rehat. Silap habibilah kat situ tapi sebab habibi serius nakkan sayang, habibi kena usaha lebih sikitlah,” terangnya.
Tiba-tiba Qistur Ruwaidah mencubit lengan suaminya dengan kuat.
“Aduh, sakitlah sayang! Kenapa tiba-tiba cubit habibi ni?” Mohamad Salahuddin mengadu sakit sambil dia mengusap lengannya. Terasa lebam di bahagian dalam.
“Dah habis merepek?” nada Qistur Ruwaidah menjadi sangat serius secara tiba-tiba. Wajahnya berubah garang.
“Sayang, kenapa tiba-tiba garang sangat ni? Habibi takut tahu,” Mohamad Salahuddin cuba bergurau dengan isterinya itu.
Qistur Ruwaidah mencubit lagi lengan suaminya itu.
“Aduh! Sayang, kenapa cubit habibi lagi ni? Sakit tahu. Sayang ni garanglah,” ujar Mohamad Salahuddin.
“Sakit kena cubit, kan? Ni sayang nak bebel kat habibi. Memang sayang terharu sangat dengan segala usaha habibi nak halalkan hubungan dengan sayang sebelum ni tapi habibi… Tindakan habibi tu tak berapa cerdik ya. Ada ke patut habibi jarang rehat sebab buat banyak kerja! Orang lain pun kerja juga tapi dia orang tahu nak rehat. Dibuatnya habibi tak sihat langsung masa tu, macam mana? Siapa susah? Mak, ayah dan Keena tahu! Sayang pula? Bukannya sayang tahu apa-apa masa tu. Lepas ni, habibi jangan kuat kerja sangat. Sayang pun akan tolong habibi cari duit untuk kehidupan kita. Haih… Habibi… Habibi…”
Mohamad Salahuddin tersenyum tatkala menerima bebelan daripada isterinya. Dia memahami fitrah orang perempuan suka mengomel tanda sayang. Sama seperti ibu dan adiknya. Sebuah ciuman pipi dihadiahkan buat isterinya itu. “Ni buat habibi makin cinta kat sayang ni.”
Qistur Ruwaidah memonyokkan wajahnya. “Tak payah nak mengada sangatlah, habibi! Kalau sayang dapat tahu habibi buat macam tu lagi, sayang merajuk sebab sayang susah hati!”
Mohamad Salahuddin meledakkan tawanya. “Okey sayang. Habibi janji takkan buat macam tu dah,” katanya sambil membuat gaya ikrar sekolah.
Qistur Ruwaidah tersengih akan gelagat suaminya itu.
“Oh ya sayang. Baru habibi teringat sesuatu. Habibi nak tunjuk satu barang ni kat sayang tapi barang tu ada dalam bilik. Habibi pergi ambil sekejap tahu,” kata Mohamad Salahuddin sambil meninggalkan ruang tamu itu.
“Okey,” balas Qistur Ruwaidah.
Tidak lama kemudian, Mohamad Salahuddin muncul di ruang tamu semula, lalu dia duduk bersebelahan dengan isterinya. Tangannya memegang sesuatu. “Sayang ingat tak barang ni?” tanyanya seraya menghulurkan kepada isterinya sehelai sapu tangan rona hijau epal yang tertera sulaman nama ‘Salahuddin’ pada salah satu bucu sapu tangan tersebut.
Qistur Ruwaidah menggelengkan kepalanya. “Kenapa dengan sapu tangan ni?” soalnya sambil menyambut sapu tangan tersebut, lalu dia membelek-beleknya. Dia benar-benar kehilangan memori berkenaan sapu tangan tersebut.
“Sayang hadiahkan sapu tangan tu kat ANNEX lepas kelas BTQ (Basic Themes of Al-Quran) masa kat CFS dulu,” jawab Mohamad Salahuddin.
Qistur Ruwaidah tergamam seketika. “Sayang hadiahkan sapu tangan ni kat habibi? Tapi… Kenapa? Sayang minta maaf tapi sayang tak ingatlah.”
“Tak apa. Habibi ingatkan sayang. Masa tu, sayang jatuh kat tangga ANNEX sampai tergolek. Kebetulan, habibi kat belakang sayang dan tak ada sesiapa pun kat situ. Habibi ingat lagi, tapak tangan sayang berdarah teruk sebab sayang terkena benda tajam. Terus habibi bagi sapu tangan habibi kat sayang supaya sayang tekan kat tapak tangan sayang tu.”
Barulah Qistur Ruwaidah teringat akan peristiwa tersebut. Ianya berlaku sewaktu semester dua sesi 2013/2014, yakni semester pendek di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (CFS IIUM). Pada waktu itu, entah mengapa dia rasa pandangannya kabur dan terbahagi kepada dua sewaktu dia menuruni anak tangga.
Disebabkan Qistur Ruwaidah tidak tahan dengan dirinya itu, dia hilang imbangan dan jatuh tergolek. Tapak tangannya itu juga tercedera sewaktu dia memegang penghadang tangga, namun terdapat bahagian tajam pada penghadang tangga itu sehingga menyebabkan tapak tangannya berdarah. Mujur lukanya tidak dalam tetapi darah tidak berhenti mengalir dan dia terpaksa mendapatkan rawatan di klinik. Pada waktu itu, Mohamad Salahuddin turut menemaninya.
Ketika itu, hadirnya Mohamad Salahuddin sebagai penyelamat dengan memberikan sapu tangan agar dia menekan tapak tangannya dari darah terus mengalir keluar. Akan tetapi, kesan darah yang terdapat pada sapu tangan itu tidak dapat dihilangkan sewaktu Qistur Ruwaidah membersihkannya. Lalu, dia mengambil keputusan untuk menghadiahkan sapu tangan baharu kepada Mohamad Salahuddin yang ditempah khas menerusi kedai dalam talian dan boleh menambah sulaman nama secara percuma.
Dari situlah juga, Qistur Ruwaidah mengetahui warna kegemaran suaminya, iaitu warna hijau sewaktu dia berumur 18 tahun ketika dia bertanyakan warna kegemaran Mohamad Salahuddin bagi menggantikan sapu tangan lelaki itu. Barulah dia ingat bagaimana dia mengetahui warna kegemaran suaminya itu. Sebelum ini, memorinya ada juga memaksa bagaimana dia boleh mengetahui warna kegemarannya suaminya. Rupa-rupanya peristiwa sapu tangan yang dipegang olehnya itu!
“Ya Allah… Habibi ingat ya pasal tu. Sayang tak ingat langsung,” kata Qistur Ruwaidah dengan penuh terharu.

“Mestilah habibi ingat sebab sapu tangan tulah mengingatkan habibi kat peristiwa tu. Kenangan tahu. Satu lagi, kalau sayang ingatlah… Habibi pernah tanya sayang pasal sayang dah hafaz ke belum Surah al-Furqan masa kat kelas BTQ dulu.”

Imbau kembali pada ketika itu…

“Kau dah hafaz Surah al-Furqan ayat 63 sampai 77 yang Madam Wan Radziah suruh hafaz tu?” soal Mohamad Salahuddin.
“Alhamdulillah. Aku dah pernah hafaz surah tu dulu masa zaman sekolah. Cuma, aku kena ulang kaji semula,” balas Qistur Ruwaidah.
“Wah, mudahlah untuk kau sebab kau dah pernah hafaz! Kalau macam tu, tak apalah. Saja aku tanya. Aku balik mahallah dulu,” balas Mohamad Salahuddin.

Mana mungkin Qistur Ruwaidah lupa berkenaan peristiwa itu. Tiba-tiba sahaja lelaki itu bertanyakan soalan sedemikian. “Mestilah sayang ingat sebab tiba-tiba je habibi tanya. Masa tu, sayang pelik jugalah.”

Mohamad Salahuddin tersengih. “Masa tu, saja habibi tanya macam tu. Habibi cuba nak mengurat sayang dengan cara halus.”
“Sayang ingat habibi cakap ‘Saja aku tanya’. Ceh, barulah sayang faham sekarang! Habibi nak mengurat sayang rupanya. Bukan nak tahu sangat pasal tugasan hafazan tu. Eii… Nak mengurat tu, menguratlah cara lain. Apalah habibi ni,” kata Qistur Ruwaidah, lalu dia menghamburkan tawanya. Sapu tangan tersebut diserahkan semula kepada suaminya.
Mohamad Salahuddin turut tertawa. “Alaa… Habibi minta maaflah sayang. Masa tu, mana habibi tahu cara nak mengurat sayang. Emm… Kalau habibi teringat kat sayang, mesti habibi tengok sapu tangan ni. Masa habibi teman sayang pergi klinik dulu, habibi risau sangat. Takut apa-apa jadi kat sayang.”
“Alahai… Romantiknya habibi ni. Manalah hati sayang tak makin cair dengan habibi lepas sayang tahu semua ni. Kenapalah sayang tak nampak semua tu dulu…”
“Dah perasaan sayang kat Azim dulu. Mana sayang nampak habibi.”
Qistur Ruwaidah tersengih. “Habibi ni! Janganlah ingatkan sayang pasal perasaan sayang kat Azim dulu. Malu tahu!”
Mohamad Salahuddin tersenyum. “Sebut pasal Azim kan… Emm… Sayang ingat tak lepas habibi tanya pasal Surah Al-Furqan tu, sayang nak cerita sesuatu pasal Azim kat London Bridge dulu?”
“Mestilah sayang ingat. Sayang nak cerita pasal sayang suka Azim kat habibi. Masa tu juga, sayang ingat lagi… Sayang belanja habibi jus anggur. Sayang tak pernah lupa. Kenapa pula pasal Azim?”
“Lepas kita jumpa kat London Bridge masa tu, Azim ada tegur habibi masa habibi tengah makan. Kita orang pun bersembang sampailah habibi beritahu kat Azim dengan sengajanya pasal sayang suka dia masa tu.”
Wajah Qistur Ruwaidah berubah menjadi terkejut. “Ha! Habibi beritahu Azim masa tu? Lepas sayang beritahu habibi? Eiii! Kenapa habibi beritahu dia! Habibi buang tabiat ke apa! Maksudnya, dia dah tahulah perasaan sayang sebelum sayang luahkan perasaan sayang kat dia?”

Mohamad Salahuddin tersengih. “Haah… Dia tahu sayang suka dia masa tulah tapi habibi rasa, dia dah lama tahu pun sayang suka dia kalau sayang tak beritahu pun. Emm… Habibi tahu je Azim suka kat sayang. Tu yang habibi cuba nak mudahkan urusan sayang dan dia tapi masa tu, dia menafikan sangat. Habibi jadi kecewalah juga sebab bagi habibi, baik dia luahkan perasaan kat sayang. Sedangkan habibi yang ada perasaan kat sayang, habibi tak boleh nak buat apa-apa sebab habibi hormatkan perasaan sayang kat Azim. Habibi tak nak jadi orang ketiga. Situasi habibi sama macam almarhum Sufi, hormatkan perasaan sayang…”
Sambung Mohamad Salahuddin lagi… “Tapi disebabkan habibi dah penat pendam perasaan sampai tiga tahun dan kerinduan habibi kat sayang dah tak tertanggung lagi, tu yang buat habibi dah tak kisah pasal perasaan sayang kat Azim dan juga, perasaan Azim kat sayang. Habibi nak cuba juga. Bunyi macam habibi pentingkan diri, kan? Tapi sayang jangan salah faham. Habibi betul-betul ikhlas nakkan sayang. Bukan niat habibi nak berebut dengan Azim ke apa. Cuma, habibi dah tak nak kehilangan sayang lagi lepas sayang ambil keputusan tukar dari LAWS ke BAR masa kat CFS dulu…”
“Masa sayang beritahu habibi sayang nak ambil borang tukar jurusan, hancur hati habibi. Rasa macam hilang separuh nyawa. Masa tu, tipulah habibi tak kecewa sebab habibi harap sangat sayang kekal dengan LAWS. Boleh habibi kenal sayang lagi dalam dan kita jadi peguam sama-sama. Lagi satu… Pendapat habibi, sebenarnya sayang berbakat sangat jadi peguam tapi habibi faham minat sayang kat bahasa Arab tu tinggi sangat. Tak apalah… Apa-apa pun, alhamdulillah sayang dah jadi isteri habibi. Tu pun dah cukup buat habibi bahagia sangat walaupun kita berbeza bidang.”
Qistur Ruwaidah terus merangkul pinggang suaminya itu. “Ya Allah habibi… Sayang dah tak tahu nak cakap apa. Terima kasih, terima kasih dan terima kasih atas segala cinta habibi buat sayang sejak dulu. Moga Allah sentiasa pelihara cinta habibi untuk sayang seorang je. Sayang doakan habibi terus dimurahkan rezeki dalam mencari nafkah.”
“Sama-sama sayang. Amin ya rabbal alamin… Insya-Allah, hanya sayang seorang je yang ada dalam hati habibi. Takkan ada yang kedua, ketiga atau keempat. Sayang je milik habibi sampai bila-bila,” ucap Mohamad Salahuddin seraya tersenyum. Dia tahu betapa gembiranya Qistur Ruwaidah apabila isterinya mengetahui semua ini. Dengan izin Ilahi, Qistur Ruwaidah sudah berada di sampingnya.
Qistur Ruwaidah memandang wajah suaminya dengan riak wajah penuh manja. “Habibi, boleh tak sayang nak tahu… Kenapa dalam ramai-ramai sisters kat grup 320 dulu, habibi nampak sayang? Kenapa bukan kawan-kawan kita yang lain? Tak pun sisters AIKOL ke? Bukan apa… Sebab sayang rasa pelik. Sayang jadi kawan sekelas habibi dua semester je tapi habibi punya cinta kat sayang tu, memang sayang tabiklah.”
Mohamad Salahuddin tersenyum. Ah, nampaknya isterinya sudah bertanya tentang kesetiaan hatinya terhadap isterinya sejak dulu. Inilah masa untuk dia memberitahu jawapannya itu! “Habibi pun pelik kenapa habibi tak terbuka hati kat sisters lain. Memang habibi nampak sayang seorang je. Pasal perasaan habibi kat sayang pun, Keena seorang je yang tahu masa tu. Mak ayah pun lambat tahu. Lama juga habibi cuba cari jawapan pasal perasaan habibi kat sayang. Kenapa sayang? Kenapa bukan sisters lain? Lama-lama, barulah habibi dapat jawapan. Sebab sayanglah cinta pertama habibi, walaupun habibi bukanlah cinta pertama sayang.”
Sekali lagi, Mohamad Salahuddin tersenyum ke arah Qistur Ruwaidah. Lega hatinya apabila dia dapat mengkhabarkan berkenaan hal itu. Cinta pertama, sebuah makna yang begitu luhur bagi seorang Mohamad Salahuddin bin Mohd Firdaus itu.
Alangkah terkejutnya Qistur Ruwaidah akan pengakuan suaminya itu! “Sayang ni cinta pertama habibi? Seriuslah! Takkanlah habibi tak pernah suka atau crush kat mana-mana perempuan lain?
“Demi Allah sayang. Memang habibi tak pernah suka kat mana-mana perempuan. Zaman sekolah dulu pun sama. Habibi tak ada suka kat siapa-siapa. Memang sayanglah satu-satunya perempuan yang berjaya buka hati habibi tanpa sedar,” ucap Mohamad Salahuddin seraya mencuit hidung Qistur Ruwaidah. Itulah rahsia cinta yang dipendam oleh dirinya selama ini.
Qistur Ruwaidah tertunduk malu. Wajahnya merona merah. “Habibi… Sayang terharu dan rasa istimewa sangat. Sayang menemui seorang suami yang cukup hebat. Habibi jadikan sayang sebagai cinta pertama habibi. Terima kasih atas ketulusan cinta habibi yang sungguh agung selama ni dan betapa sabarnya habibi tunggu sayang. Patutlah makna ‘Solaah’ walaupun ejaan nama habibi, iaitu ‘S-A-L-A-H’, bermaksud ‘kebaikan’, sangat mempengaruhi habibi. Habibi baik sangat. Semoga maksud nama habibi, iaitu ‘kebaikan agama’ akan membuatkan habibi sentiasa menunjukkan akhlak baik kat siapa-siapa je yang habibi kenal.”
“Sama-sama sayang. Insya-Allah, habibi pun mengharapkan yang sama pasal nama habibi. Ha, nama sayang pula, apa maksudnya? Sebenarnya, habibi rasa unik sangat masa habibi mula-mula kenal sayang dulu.”
“Unik ya maksud nama sayang. Emm… Almarhum Pak Long Megat pernah beritahu dulu, mama baba bagi nama ‘Qistur Ruwaidah’. Maksudnya, keadilan yang berjalan dalam senyap. Ejaan ‘ur’ tu ada sebab huruf ‘tho’ di‘dhommah’kan (baris depan) dan melibatkan hukum nahu (tatabahasa) bahasa Arab yang dipanggil ‘idhofah’ atau maksud dalam bahasa Melayu, perkataan yang disandarkan lepas perkataan sebelumnya. Contohlah, kalau mama baba bagi nama sayang ‘Qistur’ je tanpa ada perkataan selepasnya, nama sayang jadi tergantung. Kiranya, mama baba tahulah kut pasal ‘idhofah’ sebab semua nama adik-beradik sayang ada ‘idhofah’.”
“Wah, hebatnya mama baba bagi nama macam tu kat sayang sambil tahu hukum nahu! Habibi rasa betullah kut mama baba faham.”
“Sayang pun rasa mama baba hebat, walaupun sayang tak lama dengan mama baba dalam enam tahun je tapi kasih sayang dan sabarnya mama baba layan kerenah sayang dan Abang Suhaib, tetap buat sayang ingat kat mereka. Kalau ikutkan, Abang Suhaib lagi banyak ingat memori pasal mama baba sebab masa tu, Abang Suhaib sempat dengan mama baba sampai umur dia lapan tahun.”
“Masa habibi pernah bermalam kat rumah sayang ni dulu, Abang Suhaib pernah cerita kat habibi pasal mama baba. Banyak jugalah habibi tahu pasal mama baba. Kalau mama baba masih ada, habibi rasa… Mesti habibi pun dapat rasa kasih sayang mama baba tapi pemergian mama baba buat habibi kagum sangat kat sayang dan Abang Suhaib. Kuat mental dan fizikal. Lagi-lagi, sayang dan Abang Suhaib pernah tinggal dengan Mak Long dan jadi mangsa dera dulu. Habibi tak boleh nak bayangkan kesengsaraan sayang dan Abang Suhaib dah lalui dulu. Kalau habibi ada kat tempat sayang, rasanya habibi dah bunuh diri kut.”
“Sayang hanya mampu ucap ‘alhamdulillah’ je atas kekuatan yang Allah bagi kat kita orang. Macam habibi cakap semalam, Allah tahu sayang kuat dengan ujian Dia. Bila sayang ingat balik peristiwa-peristiwa tu, sayang pun tertanya-tanya… Macam manalah kita orang boleh lalui dulu… Mungkin sebab kita orang ni anak yatim piatu, Allah jaga dan lindungi kita orang masa tu.”
“Sebab tulah habibi jatuh hati kat sayang. Sayang kuat sangat. Habibi anggap, sayang dah bagi habibi maksud kekuatan yang habibi sendiri tak mampu nak hadap. Moga dengan kekuatan yang sayang ada tu, dapat terus menginspirasikan orang-orang yang kenal sayang.”
“Insya-Allah habibi tapi habibi… Kekuatan sayang ni jugalah datang dari Allah. Sayang kembalikan kekuatan sayang ni kepada Dia.”

PADA keesokan hari, Suhaibul Umar pulang ke rumahnya kembali setelah tiga hari dia bermalam di rumah sahabat baiknya. Dia mengharapkan agar adik dan adik iparnya sudah semakin selesa. Tambahan pula, dia perlu bersedia untuk persiapan terakhir majlis kesyukuran pasangan itu yang berbaki enam hari lagi. “Assalamualaikum,” ucapnya.
Kelihatan Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin sedang ralit berbincang berkenaan perancangan mereka berdua berkahwin ketika masih belajar dari segi pembahagian masa, kerja sampingan, kuliah, tugasan yang diberi oleh para pensyarah dan banyak lagi sebelum mereka akan bergraduasi kelak. Apabila terdengar suara Suhaibul Umar itu, semestinya Qistur Ruwaidah merupakan insan paling gembira kerana dia dapat bertemu semula dengan insan yang amat dirindui olehnya itu.
Perbincangan di antara pasangan itu dihentikan seketika. “Waalaikummusalam. Eh, abang! Ya Allah… Rindunya adik kat abang!” ucap Qistur Ruwaidah, lalu dia menyalam tangan abangnya itu.
Mohamad Salahuddin tersenyum menyaksikan keakraban dua beradik itu. Huluran salam juga tidak dilupakan buat insan yang amat dihormatinya itu sebagai wali isterinya.
“Ingatkan… Adik dah lupa kat abang. Maklumlah… Adik dah ada suami. Kau orang okey ke? Ada gaduh-gaduh tak?” usik Suhaibul Umar.
“Eii… Mana adalah! Adik tak pernah lupakan abang tahu! Emm… Alhamdulillah kita orang okey je. Setiap hari, Din masakkan untuk adik. Dahlah Din masak sedap sangat,” balas Qistur Ruwaidah seraya memandang suaminya itu dengan penuh makna.
“Memang masakan Din sedap. Abang pernah rasa dia masak char kuetiau masa dia bermalam kat rumah kita. Din dah beritahu adik pasal inti roti pita yang dia buat masa kita berkelah dulu?”
“Dah. Eiii! Pandai ya abang berkomplot dengan Din. Geram tahu!”
Suhaibul Umar tersengih nakal. “Nak buat macam mana… Dah Din suruh abang rahsiakan pasal tu. Adik pun tahu abang ni bukannya jenis pecahkan rahsia. Kalau abang pecahkan rahsia masa tu, abang takut adik termuntah pula. Dahlah adik makan roti pita tu sampai empat keping.”
“Pandailah abang cakap adik akan muntahkan roti pita tu. Kalau adik tahu Din yang buat, mestilah adik gembira sebab tunang sendiri tolong sediakan untuk kita masa tu.”
Mohamad Salahuddin tersenyum mendengar pujian dua beradik itu berkenaan masakannya. Lagi-lagi, isterinya memberikan pujian yang cukup tinggi terhadap dirinya. “Sayang ni… Ada-ada jelah,” katanya. Lalu, dia mencubit kedua-dua belah pipi isterinya itu.
“Aduh! Abang… Tengok Din ni! Dia suka cubit pipi adik! Tahulah pipi adik tembam macam kuih pau!” Qistur Ruwaidah mengadu kepada abangnya sambil mengusap pipinya itu.
Suhaibul Umar hanya ketawa mendengar omelan adiknya itu. “Adik ingat, adik budak-budak lagi ke?” sakatnya.
Giliran Mohamad Salahuddin pula meledakkan tawanya apabila abang iparnya tidak menyebelahi isterinya. Kelihatan Qistur Ruwaidah mula memuncungkan bibirnya, petanda dia sudah merajuk. Kedua-dua orang lelaki itu sengaja menyakatnya. “Eiii! Abang dengan habibi jahat! Merajuklah!”
“Ha, merajuklah adik. Merajuklah… Abang pun dah tak nak pujuk adik macam dulu. Sekarang, Din dah ada. Biar Din pujuk adik pula,” bidas Suhaibul Umar dengan selambanya. Perangai kuat sakatnya semakin muncul kembali setelah sekian lama dia ditenggalami dengan kesedihan dan penyeksaan masa lalu dan itulah sifat sebenar seorang Suhaibul Umar dulu ketika lima orang ahli keluarganya masih hidup. Apatah lagi, adik iparnya juga memang terkenal dengan kuat menyakat adik sendiri seperti yang diberitahu oleh Qistur Ruwaidah. Ada geng!
“Din pun tak naklah pujuk adik abang ni. Biar dia pujuk seorang-seorang,” sakat Mohamad Salahuddin, lalu dia menghamburkan tawanya lagi. Eloklah abang iparnya pun jenis kuat menyakat. Sangkaannya, Suhaibul Umar amat pendiam tetapi abang iparnya bukanlah pendiam sangat pun. Mungkin kerana dia sudah menjadi ahli keluarga isterinya itu. Jadi, abang iparnya tidaklah menjadi segan dengan dirinya.
Qistur Ruwaidah mencebik geram. Sebenarnya, dia sendiri terkejut dengan perubahan ketara sikap Suhaibul Umar yang tiba-tiba kuat menyakat seperti zaman kanak-kanak dulu dan penuh gembira. Mungkin kehadiran Mohamad Salahuddin dalam keluarganya telah mendorong abangnya untuk lebih ceria berbanding dulu. “Eiii… Geramnya! Memang kau orang sesuai sangat jadi ipar. Kuat sakat orang! Malaslah nak layan kau orang. Sampai kiamat pun tak selesai kalau macam ni.”
Suhaibul Umar dan Mohamad Salahuddin ketawa terbahak-bahak. Mereka berdua begitu seronok dapat menyakat insan yang amat disayangi itu.
“Yahoo! Kali ni, abang menang dengan bantuan Din,” kata Suhaibul Umar. Kemudian, dia tersengih nakal.
Qistur Ruwaidah menggelengkan kepalanya. Dia sudah malas untuk melayan kerenah lelaki-lelaki itu. Namun, itulah yang membuatkan kalbunya bahagia sebagai seorang isteri dan adik perempuan. Ada suami yang tulus mencintainya tanpa syarat dan ada abang yang amat menyayangi dan mengasihi dirinya sejak dulu. Mohamad Salahuddin dan Suhaibul Umar… Itulah cinta hatinya sampai bila-bila!
Mohamad Salahuddin pula menghadiahkan sengihan nakal buat isterinya itu. “Habibi minta maaf tahu, sayang tapi memang pipi sayang ni seronok bila habibi cubit. Macam kuih pau.”
Qistur Ruwaidah menampar lembut lengan suaminya. “Eiii! Habibi ni sibuk je tahu nak samakan pipi sayang dengan kuih pau! Sabar jelah…”
Mohamad Salahuddin ketawa dengan penuh kegembiraan. “Dah sayang cakap tadi pipi sayang macam kuih pau, habibi ikut jelah,” sakatnya. Kemudian, dia menjelirkan lidahnya.
“Habibi!” Qistur Ruwaidah menjerit kecil.
Suhaibul Umar tersenyum-senyum menyaksikan gelagat pasangan itu. Nampaknya, adiknya dan Mohamad Salahuddin sudah selesa hidup bersama setelah tiga hari mereka berdua disatukan dengan ikatan yang sah. Betapa Suhaibul Umar tahu bahawa sesungguhnya, cinta mereka berdua itu terlalu mendalam berdasarkan pandangan berbalas mata Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin. Dia mendoakan agar pengantin baru itu sentiasa di bawah naungan kasih sayang Allah.

SEMESTER 1 SESI 2016/2017
ISNIN, 5 SEPTEMBER 2016
Tarikh keramat bagi para mahasiswa dan mahasiswi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak untuk kembali ke pusat pengajian tersebut bagi menempuh semester baru.
Kini, Mohamad Salahuddin merupakan siswa tahun kedua semester dua di bawah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim (AIKOL) dalam cabang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) manakala Qistur Ruwaidah merupakan siswi tahun kedua semester satu di bawah Kulliyyah Ilmu Pengetahuan Berteraskan Wahyu dan Sains Kemanusiaan (KIRKHS) dalam cabang Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan (Bahasa dan Kesusasteraan Arab) (Kepujian).
Kelihatan Mohamad Salahuddin telah berjaga dari lenanya manakala Qistur Ruwaidah masih nyenyak lena.
“Sayang… Bangun! Kita nak kena pergi UIA ni. Semester baru dah mula. Nak pre-reg subject lagi,” kejut Mohamad Salahuddin.
“Emm…” Qistur Ruwaidah buat tidak endah dengan kejutan suaminya itu. Dia benar-benar mengantuk.

Mohamad Salahuddin menggelengkan kepalanya setelah dia mengejutkan isterinya berkali-kali, namun Qistur Ruwaidah tidak sedar juga. Tidur mati sungguh! “Qistur Ruwaidah binti Isyraf Imrani! Bangun! Selamat pagi!” kejutnya sambil menggeletek kaki isterinya.
Qistur Ruwaidah segera bangun dengan serta-merta. “Emm… Habibi… Kenapa geletek kaki sayang? Gelilah…” ujarnya dalam keadaan mamai.
Mohamad Salahuddin tersengih seraya merangkul pinggang isterinya. Sebuah kucupan pagi dihadiahkan buat isterinya agar angin (mood) isterinya berada dalam keadaan baik dan tenang. “Dah sayang tak bangun lepas berkali-kali habibi kejut. Habibi geleteklah kaki sayang. Ha, senang kerja habibi lepas ni. Geletek je kaki sayang kalau sayang tak bangun. Dah, jom siap! Kita dah janji nak pergi UIA awal, kan?” ujarnya.
“Hmm… Okeylah… Okeylah…” akur Qistur Ruwaidah. Namun, dia tenang dengan perlakuan suaminya itu. Pagi-pagi lagi dia sudah menerima tindakan romantis Mohamad Salahuddin itu. Ah, dia makin jatuh cinta dengan suaminya!
Setelah Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah membersihkan diri dan menunaikan solat subuh berjemaah, mereka menuju ke dapur bagi menyediakan sarapan pagi. Namun, kelihatan Suhaibul Umar telah menyediakan lempeng.
“Abang buat lempeng?” tegur Qistur Ruwaidah.
“Haah… Sebab abang ingat, hari ni kau orang dah mula semester baru, kan. Jadi, abang buatlah lempeng. Dah lama tak buat. Jom makan,” terang Suhaibul Umar.
Lalu, ketiga-tiga orang itu mula menikmati juadah pagi yang tersedia.
“Abang nak buat apa hari ni?” Mohamad Salahuddin berbasa-basi dengan abang iparnya itu.
“Hari ni, abang nak uruskan buah tangan (door gift) dan pelamin kau orang. Insya-Allah semua berjalan dengan lancar. Kau orang jangan fikir pasal majlis pula. Fokus je kat kelas tahu. Bab majlis, serahkan je kat abang,” ujarnya.
“Kita orang percaya je kat abang. Jangan risau,” kata Qistur Ruwaidah.
Selepas Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin menjamu sarapan pagi bersama Suhaibul Umar, mereka berdua bergerak ke UIAM.
“Sayang nak habibi turunkan sayang kat mana nanti?” soal Mohamad Salahuddin sambil dia fokus terhadap pemanduannya.
“Kat CELPAD. Sayang nak pre-reg subject kat situ,” kata Qistur Ruwaidah sambil dia memegang erat tangan kiri suaminya itu.
“Okeylah kalau macam tu. Senang. Dah satu hala nak ke AIKOL. Lagipun, kena pusing satu UIA juga.”
CELPAD atau Centre for Languages and Pre-University Academic Development merupakan salah satu tempat bagi para siswa dan siswi UIAM mempelajari beberapa subjek khas universiti, termasuklah kelas bahasa Inggeris dan bahasa Arab bagi ambilan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan diploma dari universiti awam dan swasta lain yang tidak melepasi ujian English Placement Test (EPT) dan Arabic Placement Test (APT) ketika minggu taaruf.
Bezanya lepasan STPM, STAM dan diploma dengan para siswa siswi dari Centre for Foundation Studies, International Islamic University Malaysia (CFS IIUM), para siswa siswi CFS IIUM tidak perlu lagi menghadap EPT dan APT kerana mereka telah selesai di CFS IIUM dulu.
Akhirnya, kereta Mohamad Salahuddin tiba di hadapan bangunan CELPAD. Qistur Ruwaidah menyalam tangan suaminya. “Terima kasih habibi sebab hantarkan sayang. Jumpa nanti.”
“Sama-sama sayang. Dah jadi tanggungjawab habibi sebagai suami sayang sekarang, kan. Okey, insya-Allah. Kita jumpa nanti. Kita makan tengahari sama-sama kat Kafe AIKOL, okey tak? Tak pun kat Kafe KENMS ke?” ujar Mohamad Salahuddin.
“Okey je mana-mana. Sayang tak ada masalah. Nanti habibi whatsapp tahu. Sayang pergi dulu,” balas Qistur Ruwaidah. Tangannya hampir membuka pintu kereta.
Mohamad Salahuddin segera memegang tangan isterinya. “Sayang, sekejap… I love you. I’m gonna miss you. Beratnya habibi nak lepaskan sayang buat kali pertama lepas kita dah jadi suami isteri ni,” ucapnya dengan penuh romantis, namun terselit intonasi sedih.
Qistur Ruwaidah tersenyum seraya memegang pipi suaminya. “I love you too, habibi. I’m gonna miss you too. Belajar elok-elok tahu. Kita kena pegang amanah sebagai suami isteri dan siswa siswi secara serentak. Pesanan untuk diri sayang juga,” pesannya.
Mohamad Salahuddin tersenyum jua tatkala mendengar pesanan isterinya. “Insya-Allah. Kita boleh buat sayang. Lagipun, kita dah berazam nak berkonvokesyen sama-sama nanti. Okeylah sayang… Pergilah pre-reg subject. Nanti kita makin lama pula dalam kereta ni. Sayang… Habibi reda dengan apa-apa yang sayang buat tahu.”
Qistur Ruwaidah menghadiahkan senyuman buat cinta hatinya itu. Kemudian, dia dan suaminya berpisah haluan dengan menggalas tanggungjawab sebagai siswa siswi serta bertambah satu lagi tanggungjawab sebagai suami isteri pada semester baru itu.
Setelah tibanya Qistur Ruwaidah di tempat pradaftar subjek, kebetulan Tihaani juga tiba pada waktu yang sama.
“Qist!” panggil Tihaani dengan ceria. Ah, dia bertemu juga dengan si pengantin baru itu! Berseri-seri wajah Qistur Ruwaidah setelah sahabat baiknya itu menjadi isteri. Dia juga dapat menyaksikan inai di jari Qistur Ruwaidah juga masih merah dan belum pudar lagi.
Qistur Ruwaidah tersenyum ceria tatkala dia bertemu dengan sahabat baiknya itu. “Tihaani! Jumpa pun! Baru ingat nak hubungi kau pasal nak pre-reg sama-sama. Nasib baik tak ramai lagi datang beratur.”
“Ha, tulah! Aku pun ingat baru nak hubungi kau. Elok pula kita sampai sama-sama. Okey… Alang-alang kita tengah beratur nak bagi borang kat office ni, macam mana lepas kau dah jadi isteri Din empat hari ni?” ujar Tihaani bersama usikan.
Senyuman Qistur Ruwaidah berubah lebar. Namun, dia tidak mahu berlebih-lebihan dalam membongkarkan alam rumah tangganya bersama Mohamad Salahuddin. Dia perlu menjaga hal peribadi dan aib mereka berdua. Orang luar tidak boleh tahu. “Alhamdulillah. Cuma, aku boleh cakap, okey jelah. Nak cakap lebih-lebih pun, aku rasa tak patut. Lagi-lagi, perkahwinan kita orang pun masih baru.”
“Kalau macam tu, alhamdulillah. Qist… Muka kau nampak berseri-seri sangat. Aku percaya Din dah buat kau gembira.”
“Sekali lagi, alhamdulillah. Ya, Din dah banyak gembirakan aku selama empat hari ni.”
“Alhamdulillah. Eh, Qist! Bila kau orang nak pergi bulan madu?”
“Kita orang pun tak bincang lagi. Mungkin bukan dalam masa terdekat ni sebab yalah, semester pun baru je mula. Buat masa sekarang, fokus kat kelas jelah dulu. Kita orang pun baru nak biasakan diri dengan rutin baru lepas dah kahwin. Eh, dahlah! Aku malu… Cuma, kau doakan kita orang bahagia sampai Syurga tahu.”
Tihaani tersenyum mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. “Insya-Allah Qist. Moga bahagia milik kau sampai bila-bila dengan Din. Amin!”
Sementara itu, kisah Mohamad Salahuddin pula…
Mohamad Salahuddin tiba di pejabat AIKOL untuk urusan pradaftar subjek. Kelihatan para kenalannya tersengih-sengih tatkala ternampak kehadirannya itu. Maklumlah, Mohamad Salahuddin baru sahaja bergelar pengantin baru.
“Selamat pengantin baru, Din!” sorak para kenalan Mohamad Salahuddin.
Mohamad Salahuddin tersengih-sengih sambil menggelengkan kepalanya. Tidak pasal-pasal pula orang yang berada di sekitar pejabat AIKOL juga mengetahui statusnya kini sebagai seorang suami. “Terima kasih kau orang,” ucapnya ringkas.
“Sama-sama Din. Ingatkan, kau dah lupa semester mula hari ni. Yalah, baru kahwin, kan tapi patutnya kau tak payah datang lagi pun tak apa. Kita orang semua faham,” sakat salah seorang kawan Mohamad Salahuddin, Ruzain Zimam bersama sengihan.
“Eh, mana boleh macam tu, Ruzain! Kahwin, kahwin juga tapi aku pun siswa juga. Kena seimbang kedua-duanya sekali,” kata Mohamad Salahuddin.
“Ceewah! Din dah lain sekarang,” sakat Nik Hidawi.
Ah, sudah! Habislah Mohamad Salahuddin disakat oleh para kenalannya kerana dialah orang pertama yang berkahwin dalam kelompoknya. Namun, dia tidak terdetik sedikit pun mahu menunjukkan bahawa dirinya hebat di hadapan para kenalannya. Berkali-kali dia mengingatkan dirinya bahawa tanggungjawabnya sebagai suami dan siswa bukan sesuatu yang boleh diambil mudah.
Setelah para kenalan Mohamad Salahuddin puas menyakat dirinya, Mohamad Salahuddin menarik nafas lega. Sejujurnya, dia kurang selesa. Namun, itulah harga yang perlu dibayar oleh dirinya sebagai seorang siswa yang berkahwin waktu belajar.
Seketika, Mohamad Salahuddin ralit menatap cincin perak bertatahkan batu zamrud yang menghiasi di jari manis kanannya itu. Dia terbayangkan Qistur Ruwaidah, bidadari tercinta yang telah menyarungkan cincin tersebut pada empat hari lepas. Meskipun dia sedang terpisah dengan isterinya, namun cincin tersebut merupakan simbolik bagi dirinya bahawa Qistur Ruwaidah berada di sampingnya pada bila-bila masa.
“Din,” tegur Wan Abdullah, sahabat baik Mohamad Salahuddin yang mendiamkan diri sejak tadi. Dia malas untuk menyertai aktiviti menyakat tadi kerana dia menghormati Mohamad Salahuddin tidak selesa dengan usikan yang diberikan oleh para kenalannya. Lagipun, dia seorang sahaja sahabat Mohamad Salahuddin yang mengetahui perjalanan cinta Mohamad Salahuddin bagi mendapatkan Qistur Ruwaidah.
“Ya Wan Dolah?” balas Mohamad Salahuddin.
“Kau okey tak?”
“Kau pun tahu aku tak selesa.”
“Aku tahu tapi nak buat macam mana, kan? Dah kau orang pertama kahwin. Tak pasal-pasal kena sakat dengan dia orang. Silap haribulan, pensyarah pun usik kau nanti. Sedia jelah. Berita kau kahwin ni pun dah kecoh kat satu AIKOL ni.”
“Yalah tu tapi aku terima jelah sebab keadaan masih baru. Aku perasan je orang tengok-tengok aku tapi lantaklah. Lagi-lagi, jaranglah dengar budak AIKOL kahwin masa belajar. Aku dengar daripada senior AIKOL pun, seorang dua je yang kahwin masa belajar tapi Wan Dolah… Aku kahwin ni, bukannya aku nak buktikan kat orang yang aku ni hebat. Bukan! Cuma, aku rasa bertanggungjawab nak jaga Qist dan aku pun dah lama cintakan dia.”
“Aku tahu, Din. Kau cintakan Qist dari CFS. Jangan risau. Cumanya, aku nak tanya sesuatu kat kau kalau kau tak kisah nak jawab.”
“Tanya je. Kau pun tahu aku jenis tak kisah kalau kau tanya.”
“Kau dah kahwin dengan Qist ni, tak ada pula kau muat naik apa-apa kecuali kau hebahkan pasal perkahwinan kau.”
“Maksud kau muat naik macam mana? Maaf, aku tak berapa faham.”
“Biasanya, orang baru kahwin ni mestilah muat naik macam-macam gambar atau video kat Fac atau Instagram apa yang dia buat dengan pasangan macam pegang tangan, jalan-jalan, makan sama-sama… Tapi, kau dan Qist tak ada pun buat macam tu. Ha, kau faham tak maksud aku?”
“Oh, faham tapi aku dan Qist bukan macam tu. Kita orang tak buat sebab kita orang tak suka. Pada aku, simpan untuk diri sendiri dan pasangan je. Kenapa orang lain nak kena tahu pasal rumah tangga aku? Aku rasa tak istimewa langsung. Tak pasal-pasal orang lain tahu serba sikit pasal kehidupan rumah tangga aku. Masa aku nak hebahkan aku kahwin dengan Qist hari tu pun, aku malu dan rasa tak selesa sebenarnya tapi nak tak nak, aku kena hebahkan juga sebab jadi fitnah pula nanti. Satu lagi, hati manusia, Wan Dolah. Mesti akan timbul rasa dengki. Silap haribulan, boleh bagi impak yang buruk kat rumah tangga aku. Baik aku dan Qist senyap je.”
“Haahlah… Betul juga apa kau cakap. Kenapa orang lain nak kena tahu pula, kan. Kalau aku kat tempat kau, aku pun malu nak tunjuk apa yang aku buat dengan isteri aku kat orang lain.”
“Tahu pun. Senang cakap, hal suami isteri ni, simpan sendiri je. Istimewa dan manisnya kahwin ni, biar aku dan Qist je yang tahu. Apa-apa yang aku buat kat Qist sebagai isteri aku, tu hal peribadi aku sebagai suami. Orang lain tak patut tahu. Satu lagi, Qist bukan bahan tontonan untuk aku tunjuk kat media sosial. Sebagai suami, aku cemburu bila lelaki lain tengok isteri aku kat situ. Tugas aku, aku kena lindungi Qist. Bukan dedahkan Qist kat lelaki lain. Cukuplah sekali je aku tunjuk Qist kat media sosial.”
Wan Abdullah mengangguk faham. Dia menghormati jawapan penuh matang daripada Mohamad Salahuddin itu.

SETELAH Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah selesai dengan urusan pradaftar subjek dan menghadiri kuliah, mereka berdua bertemu di Kafe Kulliyyah of Economics and Management Sciences (KENMS) pada jam 1.00 petang, iaitu waktu rehat bagi seluruh warga Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Setelah Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin menemui tempat duduk menghadap tasik, mereka melabuhkan punggung dalam posisi duduk bersebelahan. Bagi pasangan itu, tidak lengkap rasanya kalau tidak berada di samping pasangan.
“Kenapa tak nak makan kat Kafe AIKOL?” soal Qistur Ruwaidah sebagai pembuka bicara.
“Malaslah sebab ramai tengok habibi tadi. Pandang atas bawah. Pandang semacam pun ada juga. Dahlah habibi kena usik dengan kawan-kawan. Pensyarah pun usik habibi. Yalah, kita baru kahwin, kan. Kalau habibi ajak sayang makan kat situ, lagilah. Mesti sayang pun tak selesa,” balas Mohamad Salahuddin.
“Oh, faham. Tak apalah kalau macam tu. Kesian habibi.”
“Kita buat macam biasa jelah ya kat sini. Tak payah nak suap-suap. Ni tempat awam. Kalau kita kat rumah sekarang, dah lama habibi suap kat sayang tahu.”
“Sayang faham je, habibi. Jangan risau. Sayang tahu habibi tetap cintakan sayang. Habibi… I love you. I miss you.”
Mohamad Salahuddin menghadiahkan senyuman. “Habibi tahu, sayang. I love you and I miss you too… like crazily!”
Qistur Ruwaidah juga tersenyum. “Macam ni rupanya bila kita jatuh cinta ya, habibi. Sayang ingat lagi masa sayang jumpa habibi kat sini dalam bulan 10 tahun lepas, sayang dah buat satu kesilapan besar. Sayang cerita pasal Azim kat habibi. Masa tulah juga, habibi baru tahu pasal latar belakang sayang. Dah nak setahun rupanya peristiwa tu.”
“Tulah… Kita tengah angau ni. Alaa sayang… Logiklah, kan. Mana kita pernah bercinta sebelum kahwin tapi kita dah faham sendiri, kita saling cinta. Cuma, keadaan kita masih terbatas lagi masa tu. Pasal peristiwa tahun lepas tu, mana boleh habibi lupa tapi habibi tak ambil hati tahu, sayang. Habibi faham sayang masih ada perasaan kat Azim masa tu. Emm… Habibi tak beritahu sesuatu kat sayang. Sebenarnya, habibi menangis bila habibi tahu cerita sayang sebelum habibi nak belikan makanan kat sayang. Habibi menangis kat tandas tu,” luah Mohamad Salahuddin seraya menunjukkan tandas yang tidak jauh dari kafe tersebut.
Qistur Ruwaidah tersengih. “Patutlah sayang rasa habibi beli makanan macam lama sangat masa tu. Laa… Habibi menangis dulu untuk sayang rupanya. Habibi ni… Suka buat sayang terharu tahu.”
Mohamad Salahuddin turut tersengih. “Habibi tak bolehlah berhenti cintakan sayang. Dah angau teruk ni. Rasa macam kena guna-guna pun ada juga. Sayang… Habibi sanggup buat apa je kat sayang, asalkan sayang bahagia dengan habibi tahu.”
“Ni buat sayang makin cinta kat habibi. Tak sabarnya nak balik rumah. Nak berdua je dengan habibi tanpa gangguan orang lain. Rindu dengan perangai romantik habibi tahu.”
“Alaa… Habibi tak romantik ke kat sini?” soal Mohamad Salahuddin bersama wajah penuh monyok.
Qistur Ruwaidah tergelak. “Romantik juga tapi seromantik bila habibi kat rumah. Jangan salah faham. Maksud sayang, bila kita kat rumah, kita bebas nak buat apa-apa. Habibi nak suap kat sayang pun boleh tapi kita kat tempat awam sekarang, tak bolehlah nak buat macam tu. Tu buat sayang tak sabar nak balik rumah ni.”
Mohamad Salahuddin tersenyum. Ah, dia akan sentiasa cuba menjadi suami terbaik dan penuh romantik buat bidadari kesayangannya itu! “Sekejap lagi, habibi ingat nak bawa sayang pergi Tasik Titiwangsa lepas kita habis kelas. Kita solat asar siap-siap kat masjid. Lepas tu, kita singgah beli shawarma kat Kafe Mahallah Bilal dan makan kat Tasik Titiwangsa. Okey tak?”
Shawarma di kafe Mahallah (Kolej Kediaman) Bilal antara kafe yang menarik perhatian warga UIAM dan pengunjung luar kerana rasanya lazat dan murah.
Wajah Qistur Ruwaidah berubah ceria. Tangan cinta hatinya diraih dengan penuh rasa cinta. “Wah, Shawarma! Tasik Titiwangsa! Nak, nak! Okey juga idea habibi tu tapi bukan habibi kena ajar tuisyen ke malam ni?”
“Sayang ni… Habibi ajar tuisyen pukul 8.00 malam. Takkan kita nak lepak kat Tasik Titiwangsa tu sampai malam pula. Kita baliklah sebelum pukul 7.00 malam. Sempat je.”
“Tapi habibi tak penat ke? Dahlah kita habis kelas pukul 5.00 petang. Nak jalan-jalan kat Tasik Titiwangsa pula. Pukul 8.00 malam, habibi nak ajar tuisyen pula. Sayang kesian kat habibi.”
“Untuk sayang, mana ada istilah penat untuk habibi. Sayang buat habibi hilang penat, adalah bila habibi penat balik dari kerja atau kelas. Habibi akan sentiasa curi masa untuk sayang. Sayang pun tahu habibi takkan pernah penat nak bahagiakan sayang. I will do anything for you, sayang. Cukuplah apa yang sayang dah lalui masa zaman kanak-kanak dulu.”
Qistur Ruwaidah kian tersentuh hati. Dia juga turut berjanji untuk memberikan segala cintanya buat Mohamad Salahuddin setelah suaminya berusaha untuk mendapatkan dirinya dulu tanpa jemu dan lelah. Apatah lagi, suaminya juga berusaha untuk membahagiakan dirinya pada setiap hari setelah mereka berdua disatukan dengan ikatan yang sah. Kini, giliran dia pula untuk menunjukkan rasa cintanya yang amat mendalam terhadap Mohamad Salahuddin menerusi perbuatan dan kata-kata. Dia akan pastikan bahawa suaminya sentiasa jatuh cinta dan bahagia dengan layanannya sebagai seorang isteri.

TAMAN TASIK TITIWANGSA
5.45 PETANG
“Ya Allah… Seronoknya dapat datang Tasik Titiwangsa ni. Lama tahu tak datang sini. Masa keluarga sayang masih ada, kita orang selalu juga lepak kat sini dulu. Hari Sabtu je, baba mesti bawa kita orang kat sini. Satu lagi, tak sah kalau baba tak belanja ais krim kat anak-anak dia,” kata Qistur Ruwaidah dengan penuh ceria.
Mohamad Salahuddin tahu betapa isterinya amat merindui ahli keluarganya di sebalik suara ceria Qistur Ruwaidah itu. Namun, dia tidak mahu merosakkan suasana. Memandangkan isterinya menyebut tentang memori bersama ayah tercinta berkenaan tempat ini dan ais krim, dia mahu mengembalikan memori indah isterinya.
“Sayang nak ais krim?” tanya Mohamad Salahuddin.
“Nak tapi kita makan shawarma dululah. Sayang dah lapar,” balas Qistur Ruwaidah.
Lalu, pasangan itu melabuhkan punggung di bangku yang tersedia. Masing-masing membuang bungkusan shawarma itu.
“Nah habibi,” kata Qistur Ruwaidah sambil menyuakan shawarma kepada suaminya.
Mohamad Salahuddin menyambut shawarma tersebut. Kemudian, giliran dia pula menyuakan shawarma miliknya kepada isterinya. “Alamak, dagu sayang comot pula! Habibi ambilkan tisu sekejap,” katanya sambil mengeluarkan tisu dari kocek seluarnya. Dia mengelap sos yang terkena pada dagu isterinya.
“Sayang teringat sesuatu pasal tisu dengan habibi,” kata Qistur Ruwaidah.
“Tisu? Aik? Pasal tisu pun kita ada memori ke?” soal Mohamad Salahuddin.
“Ada. Masa kat CFS dulu. Habibi ingat tak kat LY Building dulu, sayang minta tisu sebab nak padam papan putih? Masa tu, Wan Dolah pun ada,” ujar Qistur Ruwaidah sambil tersenyum.
“Ya Allah! Haahlah… Habibi ingat! Masa tu, habibi cuak tahu bila sayang tegur kita orang. Macam nak tercabut jantung. Tahun bila entah masa tu?”
“2014. Laa… Habibi cuak ke terjumpa sayang masa tu?”
“Isy, mestilah! Mahu habibi tak gugur jantung. Emm… Jadi, kita umur 19 tahunlah. Tapi sayang… Bila ingat balik, habibi sedihlah. Habibi masih pendam perasaan kat sayang masa tu. Sakit…” luah Mohamad Salahuddin dalam nada manja, lalu dia menggigit shawarma.
Qistur Ruwaidah memegang tangan kiri Mohamad Salahuddin. “Habibi… Janganlah… Sayang pun sedih juga. Tak tahu habibi ada perasaan kat sayang masa tu. Sayang rasa menyesal sangat. Habibi dah ada depan mata tapi sayang buta.”
“Bukan salah sayang pun. Salah habibi. Habibi pendam sendiri. Cuba bayangkan kalau habibi luahkan perasaan habibi kat situ… Mesti Wan Dolah terkejut, sayang pula friendzone habibi. Sudahnya, habibi merana.”
“Uish, kalau habibi beritahu masa tu, memang sah-sah habibi kena friendzone dengan sayang pun. Baguslah habibi fikir rasional dan buat keputusan tepat lamar sayang masa bulan Februari dulu. Eiii… Dahlah habibi. Sayang tak sanggup tengok habibi menderita lagi sebab pendam perasaan kat sayang. Sekarang, sayang dah ada kat sisi habibi pun. Habibi dah bebas nak buat apa-apa dengan sayang. Pegang tangan sayang, suap kat sayang, apa lagi… Ha, semua berpahala.”
“Tulah… Alhamdulillah. Allah Maha Baik. Emm sayang… Sayang reti tunggang basikal tak? Habibi ingat nak tunggang basikal dengan sayang. Dah alang-alang ada orang buat sewa basikal kat sini.”
“Alaa… Sayang minta maaf, habibi. Sayang tak retilah tunggang basikal. Tak sempat nak belajar dengan baba tunggang basikal dua roda. Sebelum kita orang kemalangan, baba dah janji nak ajar sayang tunggang basikal lepas balik bercuti dari Pulau Pangkor tapi tulah…”
Air mata Qistur Ruwaidah mula menitik pada bajunya kerana dia tidak sanggup untuk meneruskan bicaranya. Harapan dia untuk mempelajari tunggang basikal dua roda musnah dalam sekelip mata setelah Encik Isyraf Imrani pulang menghadap Ilahi.
Mohamad Salahuddin segera memujuk isterinya. “Shhh… Sayang… Habibi ada ni. Habibi boleh ajar sayang tunggang basikal sampai sayang mahir. Nanti habibi belikan basikal untuk sayang ya.”
Tiba-tiba Qistur Ruwaidah ketawa dalam tangisannya itu. Dia menepuk lembut peha suaminya. “Habibi ni… Buat sayang macam budak-budak pula. Niat nak belajar tu memang ada dari dulu tapi tak terbelajar lagi sampai sekarang.”
Mohamad Salahuddin menyeka air mata isterinya seraya tersenyum. Dia lega kerana pujukannya terhadap isteri tercinta seperti kanak-kanak berjaya membuatkan isterinya tertawa. Dia memegang kedua-dua belah tangan isterinya itu. “Esok juga kita pergi kedai basikal. Habibi belikan basikal untuk sayang lepas kita habis kelas. Okey?”
“Alaa… Tak payahlah, habibi. Buat susah-susah je. Habibi dah banyak habiskan duit untuk sayang. Cincin-cincin sayang ni pun, habibi dah bagi tiga. Harga cincin akad nikah sayang je, RM2500. Cincin risik dan tunang sayang pula, berapa ribulah habibi habiskan agaknya.”
“Sayang… Janganlah fikir pasal duit habibi. Duit boleh cari tapi cinta habibi kat sayang takkan boleh diganti dengan wang ringgit selagi habibi hidup.”
Qistur Ruwaidah melentokkan kepala di atas bahu suaminya. “Habibi… Emm… Habibi baik sangat. Sayang tak menyesal kahwin dengan habibi.”
Mohamad Salahuddin mengusap pipi isterinya. “Semua demi sayang. Apa yang sayang perlu tahu, habibi cintakan sayang sedalam-dalamnya. Habibi akan pastikan sayang jadi isteri dan wanita terbahagia di sisi habibi. Tu janji habibi.”
“Habibi… I love you,” ucap Qistur Ruwaidah.
“I love you too, sayang. Sayang dah okey ke? Masih rasa nak ais krim tak?” ujar Mohamad Salahuddin.
Qistur Ruwaidah menggeleng. Kemudian, dia mengangkat kepala dari bahu suaminya untuk memandang suaminya. “Tak apalah. Lain kali jelah. Emm habibi… Tadi, Tihaani ada tanya soalan kat sayang. Pasal bulan madu kita.”
Mohamad Salahuddin menepuk dahinya. “Eh, ya Allah! Habibi lupa pasal bulan madu kita! Serius lupa! Bukan habibi tak nak tapi habibi sibuk dengan perkara lain sampai lupa pasal bulan madu.”
“Eh, tak apalah, habibi. Sayang faham je. Dia cuma nak tahu kita nak pergi bulan madu kat mana nanti. Sayang pun cakaplah semester baru mula. Jadi, taklah terfikir lagi.”
“Alang-alang sayang dah buka topik pasal bulan madu, sayang teringin nak pergi bulan madu kat mana?”
“Tak kisah kat mana-mana negeri. Janji hotel dekat dengan pantai dan ada kolam renang dalam bilik. Melampau tak permintaan bulan madu sayang?”
Mohamad Salahuddin tersenyum. Nampaknya, Qistur Ruwaidah tahu apa yang diingini oleh dirinya sendiri. “Tak adalah. Mana ada melampau. Habibi okey je tapi tulah… Kita terpaksa tangguh dulu. Kalau nak pergi bulan madu masa semester break bulan 10 nanti, singkat sangat dalam seminggu je. Silap haribulan, kita tak macam cuti pun sebab sibuk siapkan tugasan. Kita pergi bulan madu masa bulan satu tahun depan jelah jawabnya.”
“Betul juga cakap habibi tu. Tak apa. Mana-mana pun sayang okey je.”
“Sayang… Boleh habibi tanya sesuatu kat sayang? Maaflah kalau soalannya macam agak sensitif.”
“Eh, tak apa. Tanyalah.”
“Sebenarnya, sayang okey tak kalau kita ada anak masa belajar ni atau lagi tepat dalam waktu terdekat ni? Manalah tahu sayang nak rancang dulu sampai tahun akhir kita nanti. Habibi minta maaf sebab baru nak tanya sekarang.”
“Okey je. Sayang dah lama sedia nak jadi mak lepas sayang dah ambil keputusan nak pilih habibi dulu. Sayang dah fikir segala kemungkinan. Kenapa tiba-tiba habibi tanya macam tu? Habibi tak sedia nak jadi ayah lagi ke?”
“Insya-Allah habibi sedia je. Takut sayang jelah tak sedia. Emm… Kalau kita ada anak, sayang dah fikir ke gelaran sayang?”
Qistur Ruwaidah tersengih. “Dah lama sayang fikir. Sayang nak anak kita panggil sayang ‘ummi’. Habibi?”
Mohamad Salahuddin juga tersengih. “Habibi? Mestilah ‘abi’. Kita banyakkan berdoa kat Allah supaya Dia kabulkan permintaan kita nak ada anak.”
Wajah Qistur Ruwaidah berubah muram. “Tapi… Macam mana kalau Allah uji kita tak ada anak? Habibi masih sudi cintakan sayang? Habibi masih setia dengan sayang macam mana habibi tunggu sayang dari umur kita 18 tahun dulu?”
“Astaghfirullah… Jangan cakap macam tu, sayang. Kita baru je empat hari kahwin. Bersangka baiklah dengan Allah. Kalau Allah tak mengizinkan lagi, bermakna Dia nak bagi kita masa untuk bercinta lagi lama. Walau apa pun terjadi, habibi tetap setia untuk sayang. Sayang terlalu berharga untuk habibi. Cinta habibi hanya untuk sayang seorang je,” kata Mohamad Salahuddin seraya meraih tangan kanan isterinya dan diletakkan ke dadanya.
“Sa… Sayang minta maaf, habibi. Sayang ni fikir negatif sangat pula.”
“Tak apa, sayang. Habibi faham je. Cumanya, nasihat habibi, jangan terlalu fikir sangat pasal anak ni. Kita berusaha je dulu. Allah Maha Mengetahui apa yang kita tak tahu. Apa yang penting, kita terus belajar bercinta dan kenal hati budi masing-masing dulu. Lagipun, bukannya kita pernah bercinta. Habibi sendiri pun tak puas lagi bercinta dengan sayang. Banyak perkara lagi habibi nak buat dengan sayang.”
“Betul juga. Sayang pun tak puas lagi bercinta dengan habibi.”
Mohamad Salahuddin tersenyum. Kemudian, gilirannya pula melentokkan kepala di atas bahu isterinya. “I love you, sayang. Habibi takkan pernah jemu nak cakap ‘I love you’ kat sayang.”
Qistur Ruwaidah juga melentokkan kepalanya di atas kepala suaminya sambil tangannya kirinya meletakkan ke dada suaminya. “Sayang pun takkan pernah jemu dengar ucapan ‘I love you’ daripada habibi. I love you too, habibi.”
Lalu, mata Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah menikmati pemandangan tasik yang dihiasi dengan pancutan air sebelum mereka berdua meninggalkan Taman Tasik Titiwangsa penuh keindahan itu. Swafoto dan video bersama juga tidak dilupakan sebagai kenangan untuk melalui hari-hari seterusnya sebagai suami isteri.

RABU, 7 SEPTEMBER 2016
Qistur Ruwaidah sedang mengemas barang-barang yang diperlukan bagi dibawa pindah ke rumah baharu sambil dibantu oleh Mohamad Salahuddin.
“Novel-novel ni sayang nak bawa tak?” tanya Mohamad Salahuddin.
“Buat masa sekarang, tak kut. Sayang bawa yang penting dulu macam pakaian, buku dan nota-nota Bahasa Arab. Lagipun, bukan jauh pun rumah sayang dengan rumah baharu kita kalau sayang tertinggal barang, kan?” ujar Qistur Ruwaidah.
“Haah… Tak jauh. Dalam 15 minit macam tu je. Betul juga. Kereta habibi pun tak besar sangat.”
“Tak sabarnya nak tengok rumah baharu kita!”
“Rumah baharu kita taklah besar sangat. Kecil sikit dari rumah sayang ni.”
“Alaa… Tak apalah. Sayang tak kisah pun. Kalau sewa rumah besar pun, nak buat apa? Kita berdua je pun. Lainlah bila kita ada anak dan anak kita ramai. Eh, sayang pun tak pergi lagi rumah habibi! Teringin nak tengok rumah habibi.”
Mohamad Salahuddin tersengih. “Tunggu majlis kita selesai dulu, baru habibi bawa sayang kat rumah habibi. Habibi pun memang nak bawa sayang tapi keadaan sekarang macam tengah kelam-kabut dengan kelasnya, nak buat persediaan majlis kesyukuran kita untuk hari Sabtu nilah dan kita pun masih baru nak sesuai dengan rutin harian lepas dah kahwin ni. Lagipun, habibi dah janji nak bawa sayang buat aktiviti sunah kat sana. Memang sayang akan tengok rumah habibi nanti.”
“Ah, tak sabar nak mulakan balik aktiviti sunah!”
Kemudian, Qistur Ruwaidah mengemas meja belajarnya dan memeriksa barang-barang yang ingin dibawa olehnya di rumah baharu. Juga, dia mahu membuang apa-apa yang tidak diperlukan lagi di atas meja tersebut.
Seketika, matanya tertangkap pada bingkai gambar yang menjadi perhiasan meja belajarnya. Gambar dirinya bersama almarhum Sufi Waazin… Nampaknya, dia perlu melepaskan pergi dan melupakan lelaki itu. Hajatnya, dia mahu membuang gambar tersebut kerana dia sudah mempunyai suami dan dia perlu menjaga hati Mohamad Salahuddin. Juga, dompet lelaki itu yang diletakkan dalam kotak kenangannya. Almarhum Sufi Waazin bin Rawiyani Al-Khair hanyalah masa lalunya.
Belum sempat Qistur Ruwaidah mahu mengeluarkan gambar itu dan mahu mengoyakkan gambar tersebut, Mohamad Salahuddin menghalang isterinya.
Qistur Ruwaidah terkesima. “Habibi…”
“Biar jelah kat atas meja tu. Jangan buang. Tu kan kenangan sayang dengan Sufi. Dia pun dah banyak tolong sayang dulu,” kata Mohamad Salahuddin.
“Tapi… Sayang dah kahwin dengan habibi. Sayang dah tak patut simpan gambar ni. Sayang kena fikir habibi. Habibi pun cemburu dengan Sufi, kan?”
“Sekejap je habibi cemburu. Lepas habibi dah faham hubungan sayang dengan Sufi macam mana dulu, habibi okey jelah. Lagi-lagi, Sufi pun baik sangat dan buat habibi nak jadi sebaik daripada Sufi. Sayang… Sufi pun dah tak ada. Bukannya gambar tu kacau kita pun. Anggap je tu kenangan sayang dengan dia dan dia pernah ada dalam kehidupan sayang sebelum sayang kenal habibi.”
Qistur Ruwaidah segera mendakap suaminya. Jiwa suaminya begitu tulus dan tidak cemburu buta. Sejujurnya, dia juga berat hati untuk membuang gambar tersebut. Bukan kerana dia mencintai almarhum Sufi Waazin, namun lelaki itu serta ahli keluarga lelaki tersebut pernah berada ketika waktu susah senangnya semasa zaman sekolah menengahnya. Apatah lagi, Sufi Waazin antara yang terawal mengetahui kisah lalunya sebelum kehadiran Mohamad Salahuddin. “Terima kasih habibi!”
Mohamad Salahuddin tersenyum di sebalik pelukan itu. “Sama-sama sayang. Nanti kita pergi ziarah kubur Sufi tahu,” ujarnya, menandakan bahawa dia tidak mencemburui Sufi Waazin, malah dia meraikan almarhum lelaki itu dalam kehidupan masa lalu isterinya.
“Okey habibi.”
Dakapan dileraikan.
“Macam mana sayang tak makin cinta kat habibi? Habibi terlalu baik. Sangat baik,” luah Qistur Ruwaidah.
Mohamad Salahuddin tersengih. “Sayang ni… Dah nama habibi pun maksudnya ‘kebaikan’ walaupun orang tak panggil ‘Salah’ kat habibi. Okey, habibi gurau je. Jujur, habibi taklah baik sangat tapi habibi akan cuba jadi lagi baik hari demi hari sebagai suami untuk sayang dan anak untuk mak ayah. Insya-Allah,” katanya.
“Bila kita ada anak nanti, sayang akan pastikan anak kita jadi sebaik dan setulus habibi.”
“Habibi pula akan pastikan anak kita jadi sekuat dan seteguh sayang. Berani mengharungi ujian dunia. Moga Allah perkenankan impian kita untuk ada anak dan mencorakkan dengan acuan Islam. Satu lagi, habibi harap bila kita ada anak nanti, kita tak jadi ummi abi yang toksik. Biarlah anak kita membesar dalam keadaan sihat dan gembira bersama kita. Amin!”
“Amin ya Rab, habibi!”
Mohamad Salahuddin merangkul pinggang isterinya. “Jomlah kita rehat dulu. Kita menari. Nak?”
Qistur Ruwaidah memandang wajah suaminya. Ah, dia benar-benar merindui rangkulan sedemikian seperti hari pertama mereka disatukan! “Nak! Sayang rindu. Kita menari masa hari pertama je. Alang-alang kita dah berpeluh sebab kemas bilik sayang, kita menari tarian rancak sikit.”
“Okey, boleh. Habibi ajar sayang tarian tango. Tarian ni jenis rancak dan pergerakan kena laju. Memang kita akan letihlah.”
“Wah, menarik! Okey, jom!”
Lalu, Mohamad Salahuddin mengajarkan langkah-langkah tarian tango kepada Qistur Ruwaidah. Pada mulanya, memang susah untuk dia memahami gerak tarian penuh laju itu biarpun suaminya mengajar bahagian asas sahaja dulu tetapi lama-kelamaan, dia berjaya menguasai asas tarian tango dengan baik sekali.
“Subhanallah! Sayang hebatlah!” puji Mohamad Salahuddin bersama tepukan tangan.
Qistur Ruwaidah tersenyum malu. “Mana adalah. Sayang kena banyak praktis lagi.”
“Insya-Allah lama-lama boleh punya tu. Lepas kita kemas ni, kita muraja’ah (ulang) hafazan Al-Quran pula. Berat tanggungjawab habibi nak pastikan sayang tak tinggalkan hafazan Al-Quran sayang setiap hari.”
“Habibi jangan risau. Sepanjang habibi pergi kerja, sayang muraja’ah je dengan Abang Suhaib. Hatta hari akad nikah kita minggu lepas pun, sayang curi-curi masa hafaz Al-Quran sebelum masuk waktu subuh sebab sayang tahu, lepas tu memang sibuklah dan mungkin tak sempat.”
“Satu lagi impian habibi bila kita ada anak nanti, habibi nak anak kita hafaz satu Al-Quran macam sayang sebab habibi sendiri bukan hafaz satu Al-Quran. Pernah ada impian dulu tapi tak kesampaian.”
“Tak apa, habibi. Apa yang penting, kita saling melengkapi antara satu sama lain. Habibi ada kelebihan kat menari, sayang pula ada kelebihan kat hafaz Al-Quran. Insya-Allah bila kita ada anak nanti, anak kita boleh dapat dua-dua.”
“Insya-Allah sayang. Apa yang penting, banyakkan berdoa kat Allah.”
Lantas, Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah tersenyum penuh makna.

KHAMIS, 8 SEPTEMBER 2016
Sudah genap seminggu Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin bergelar suami isteri. Seminggu penuh keindahan, romantis dan penuh magis. Meskipun baru sahaja seminggu usia pernikahan mereka berdua, Mohamad Salahuddin tetap memberikan kejutan untuk isteri tersayang sebagai tanda penghargaan.
Tujuh kuntum bunga ros sebagai simbol tujuh hari usia pernikahan mereka berdua ditempah secara diam-diam oleh Mohamad Salahuddin berserta sekotak brownies kegemaran isterinya. Kemudian, dia menyembunyikan di dalam keretanya pada bahagian tempat duduk penumpang belakang. Pada waktu itu, dia mengambil tempahan tersebut sebelum dia ajar mengaji di rumah anak muridnya. Usai kelas mengaji, barulah dia melakukan kejutan untuk isterinya.
“Sayang, boleh tak teman habibi pergi kedai mamak? Habibi laparlah,” luah Mohamad Salahuddin menerusi panggilan telefon.
“Alaa… Kesiannya… Kenapa habibi tak whatsapp sayang masa habibi ajar tadi? Sayang boleh sediakan apa-apa kat habibi,” ujar Qistur Ruwaidah.
“Tadi tak lapar lagi. Sekarang, baru rasa lapar. Lagi 10 minit, habibi sampai. I love you.”
“I love you too, habibi.”
Tanpa melengahkan masa, Qistur Ruwaidah menyiapkan dirinya. Mujurlah dia dan suaminya tiada kuliah pada keesokan harinya, yakni hari Jumaat. Lagipun, memang tiada kuliah di UIAM pada hari Jumaat kecuali subjek ko-kurikulum.
Setelah Qistur Ruwaidah menerima panggilan daripada suaminya akan ketibaannya, dia segera mematikan suis lampu bilik.
“Adik nak pergi mana ni?” tegur Suhaibul Umar yang sedang ralit menguruskan untuk majlis kesyukuran adiknya dan Mohamad Salahuddin yang berbaki dua hari lagi.
“Din ajak adik pergi kedai mamak. Dia ada kat luar tu. Abang nak apa-apa kat kedai mamak tak?” ujar Qistur Ruwaidah.
“Oh okey. Tak apa, adik. Abang tak nak apa-apa.”
Tanpa mengesyaki apa-apa, Qistur Ruwaidah terus mengunci pintu rumah dan menuju ke arah kereta Mohamad Salahuddin. Lalu, dia menyalam tangan suaminya dan menghadiahkan kucupan di kedua-dua belah pipi suaminya setelah dia berada dalam perut kereta.
“Macam mana habibi ajar tadi? Okey?” soal Qistur Ruwaidah.
“Alhamdulillah. Okey je. Sayang pejam mata sekejap. Sekejap je…” ujar Mohamad Salahuddin.
“Laa… Dah kenapa nak suruh sayang pejam mata ni? Habibi tahu sayang fobia bab gelap-gelita ni.”
“Habibi tahu tapi sayang… Habibi minta sayang pejam mata sekejap je. Sekejap je…”
Memang Mohamad Salahuddin sedia maklum akan fobia isterinya terhadap kegelapan yang sangat pekat disebabkan oleh penderitaan masa lalu seperti yang dimaklumkan oleh abang iparnya pada hari pertunangan dulu dan isterinya sendiri memaklumkan hal tersebut sebelum mereka hendak melelapkan mata pada hari pertama mereka berkahwin.
“Okeylah tapi jangan lama sangat,” akur Qistur Ruwaidah seraya memejamkan matanya.
Mohamad Salahuddin tersenyum seraya dia mengambil sejambak bunga dan sekotak brownies di bahagian tempat duduk belakang. “Okey, sayang dah boleh buka mata.”
Qistur Ruwaidah membuka matanya. Alangkah terkejutnya dia apabila dia ternampak sejambak bunga dan sekotak brownies!
“Selamat satu minggu untuk hari akad nikah kita, sayang,” ucap Mohamad Salahuddin dengan nada penuh romantis.
“Habibi… Apa ni! Ingatkan kita nak pergi kedai mamak,” suara Qistur Ruwaidah berasa sebak.
“Pergi mamak pun betul juga tapi agenda utamanya, habibi nak buat kejutan kat sayang. Sayang suka tak?”
“Mana boleh sayang tak suka! Habibi ni… Suka buat sayang terharu tahu dari hari pertama kita kahwin! Sayang pun boleh lupa hari ni kita dah kahwin seminggu sebab sayang rasa macam baru dua hari kita kahwin. Cepat sangatlah masa berlalu.”
“Sayang… Jangan lupa pula. Majlis kesyukuran kita tinggal lusa je. Esok, kita nak pergi ambil baju kat butik, pergi tengok pelamin dan ada latihan untuk majlis kat Banquet Hall CAC. Keluarga habibi nak datang bermalam kat rumah sayang, sayang nak touch up inai… Banyak kerja kita esok.”
“Ya Allah! Macam manalah sayang boleh lupa. Isy, teruk betul! Habibi lagi ingat daripada sayang. Patutlah sayang nampak Abang Suhaib sibuk tadi.”
“Mestilah sayang. Abang Suhaib nampak gigih sangat untuk majlis kita. Habibi takkan lupa jasa Abang Suhaib. Ha, jom kita sambut kat kedai mamak. Sayang pun mesti tak sabar nak rasa brownies ni.”
“Bukan brownies je. Roti naan keju dan teh tarik sekali. Emm… Sedapnya! Terima kasih tahu untuk kejutan ni. Sayang masih terharu ni, habibi. Habibi dah terlalu banyak memberi sangat. Sayang pula rasa macam tak memberi apa-apa sangat kat habibi.”
“Mana adalah. Sayang terima habibi pun, kira besar pengorbanan sayang kat habibi dan sayang beri segala-galanya untuk habibi. Sayang serahkan diri, jiwa, dan kehidupan sayang untuk hidup dengan habibi. Lagi satu, tak mudah untuk sayang nak berpisah dengan Abang Suhaib, kan? Habibi tahu sayang berat hati sebab yalah… Selama ni, sayang membesar dengan Abang Suhaib lepas keluarga sayang dah tak ada. Sekarang, habibi pula ambil alih tanggungjawab Abang Suhaib. Hari Sabtu nanti, kita pun akan mulakan hidup baru kat rumah baharu kita. Berdua je tanpa orang lain. Sayang berpisah dengan Abang Suhaib, habibi pun berpisah dengan keluarga habibi.”
“Sayang faham. Sayang pun dah jadi isteri habibi. Sayang kena ikut ke mana je habibi pergi dan sayang kena taat dengan perintah habibi.”
“Memang habibi suami sayang tapi tu tak bermakna sayang kena membabi buta ikut je apa yang habibi suruh. Kalau sayang rasa ada tindakan habibi tak kena, sayang ada hak tegur habibi. Okey?”
Qistur Ruwaidah mengangguk. Betapa dia bersyukur di atas kefahaman suaminya berkenaan ilmu rumah tangga.

JUMAAT, 9 SEPTEMBER 2016
Keluarga Mohamad Salahuddin bermalam di rumah Qistur Ruwaidah bagi memudahkan urusan mereka bergerak ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada keesokan hari sempena majlis kesyukuran yang diadakan di Dewan Bankuet, Cultural Arts Centre (CAC), UIAM tanpa perlu menyewa homestay. Lagipun, Encik Mohd Firdaus dan Puan Zaidah boleh berehat dalam bilik di tingkat bawah manakala Sakeenah boleh berehat di bilik bujang Qistur Ruwaidah. Rumah Qistur Ruwaidah terdapat empat buah bilik secara keseluruhannya.
Pada ketika itu, Siti Hanim Az-Zahra’ turut berada di rumah Qistur Ruwaidah bagi memperkemaskan inai di jari-jemari dan menambahkan corak inai pada tangan Qistur Ruwaidah hasil keizinan dan sokongan Mohamad Salahuddin sendiri supaya isterinya kelihatan lebih berseri-seri untuk majlis kesyukuran.
Seperti sedia maklum, Qistur Ruwaidah suka tangannya dipakaikan inai cara biasa sahaja tanpa corak. Namun, Mohamad Salahuddin memujuk agar isterinya mengadakan inai bercorak pada tangannya.
“Sayang, kenapa tak pakai inai yang ada corak masa hari akad nikah hari tu?” tanya Mohamad Salahuddin beberapa hari yang lalu.
“Sayang suka macam ni je,” balas Qistur Ruwaidah.
“Emm… Boleh tak masa majlis kesyukuran kita nanti, sayang corakkan sikit tangan sayang? Bukan apa… Habibi lagi suka sayang pakai inai ada corak. Nampak tangan sayang lagi manis. Lagipun, untuk habibi juga lepas dah habis majlis.”
“Laa… Habibi suka inai ada corak rupanya. Kalau macam tu, okeylah. Nanti sayang beritahu Hanim.”
Kelihatan Siti Hanim ralit mengukir inai di tangan kanan Qistur Ruwaidah. “Din suruh awak pakai inai ada corak? Mengagumkan. Jarang kita nak jumpa suami yang suruh isteri pakai inai ada corak. Biasanya, isteri sendiri yang nak, suami jadi berat hati. Kes awak ni terbalik pula. Din yang beria.”
“Ha, itulah. Dah Din suruh. Kita ikut jelah. Sekali seumur hidup je. Lepas ni, jangan haraplah nak pakai inai. Leceh, renyah, lambat!” balas Qistur Ruwaidah.
Siti Hanim ketawa seketika. “Kalau Din suruh awak berinai setiap masa, macam mana? Setiap kali inai pudar, dia suruh awak pakai inai baharu. Ha, habislah awak…”
“Ah, jangan disebut! Kalau Din suruh macam tu, kita cuba slow talk dengan dia tapi insya-Allah tak kut sebab Din cakap untuk majlis je. Rasanya, dia pun faham pakai inai ni leceh.”
Tiba-tiba Puan Zaidah dan Sakeenah muncul di ruang tamu.
“Eh, mak, Keena! Tak rehat ke?” tegur Qistur Ruwaidah.
“Dah puas rehat, Kak Long. Mak nak tengok menantu mak ni pakai inai pula,” balas Puan Zaidah.
Qistur Ruwaidah tersenyum. Betapa dia bersyukur ibu mentuanya menerima dia seadanya. “Mak selesa tak kat bilik tu? Ayah tengah buat apa?”
“Alhamdulillah. Selesa je, Kak Long. Ayah tengah hubungi kawan dia kat dalam bilik tu. Nak tahu pasal hari esok agaknya.”
“Oh okey. Keena… Bilik Kak Long selesa?” soal Qistur Ruwaidah kepada adik iparnya pula.
“Alhamdulillah. Selesa sangat. Seronoklah bilik Kak Long. Ada banyak novel. Sempatlah Keena baca dua buah novel,” balas Sakeenah dengan penuh ceria.
Qistur Ruwaidah tersengih kecil. Dia sudah maklum akan hobi membaca adik iparnya itu.
“Mak, Keena… Kalau nak ambil apa-apa kat dapur tu, ambil je tahu,” kata Qistur Ruwaidah.
“Okey Kak Long. Esok, Kak Long dan Abang Long pergi macam mana?” ujar Puan Zaidah.
“Kawan Kak Long yang jadi pengapit masa hari akad nikah hari tu akan bawa kita orang. Kawan Abang Long yang jadi pengapit Abang Long hari tu pun ada esok. Dia orang cakap, pukul 6.00 pagi dia orang akan sampai kat sini sebab dia orang nak tolong siapkan kita orang dan dia orang jadi pengapit juga untuk esok. Mak, ayah, Keena nak gerak pukul berapa?”
“Kalau ikut tentatif yang Suhaib dah susun, kami kena ada kat sana dalam pukul 9.00 pagi sebab majlis mula pukul 10.00 pagi.”
Usai semuanya, Qistur Ruwaidah melangkah masuk ke bilik pengantin. Kelihatan Mohamad Salahuddin sedang ralit merenung ke luar jendela.
“Habibi…” panggil Qistur Ruwaidah seraya mendakap suaminya dari belakang dan tapak tangannya diletakkan ke dada Mohamad Salahuddin.
Mohamad Salahuddin memerhatikan tangan isterinya itu. “Wah, tangan sayang dah cantik! Habibi suka!” pujinya. Lalu, dia meleraikan dakapan tersebut untuk menatap wajah isterinya. Ah, bidadarinya kian hari kian cantik! Kalbunya penuh damai. Sebuah kucupan di tangan isterinya juga tidak dilupakan.
Qistur Ruwaidah tersenyum. “Alhamdulillah. Sayang pulangkan semula kepada Allah. Habibi buat apa tadi masa sayang tengah berinai?”
“Habibi cari tempat untuk bulan madu kita nanti. Saja tengok-tengok dulu.”
“Wah, menarik! Habibi dah jumpa ke?”
“Dah jumpa beberapa tempat tapi nantilah habibi kongsi kat sayang. Kita fokus untuk majlis kita dulu esok. Emm sayang… Tengok baju kita tu. Cantik, kan? Habibi tak sabar nak jadi putera esok!” kata Mohamad Salahuddin seraya menunjukkan busana pengantin, iaitu suit putera dan gaun puteri yang tergantung di penyangkut baju. Pada masa yang sama, dia merangkul pinggang isterinya.
“Tulah… Sayang pun tak sabar nak jadi puteri. Terima kasih habibi sebab realisasikan impian sayang nak jadi puteri esok,” kata Qistur Ruwaidah dengan penuh ceria.
“Sama-sama sayang. Pastikan Tihaani mekapkan sayang cantik-cantik tahu.”
“Habibi pun kena pastikan Wan Dolah buat habibi nampak kacak tahu.”
“Kalau habibi kacak sangat, takut sayang pengsan je esok.”
“Ceh! Perasan… Habibi tu taklah kacak sangat. Biasa je,” Qistur Ruwaidah mengenakan suaminya.
“Berani sayang cakap habibi tak kacak. Nak kena ni!” kata Mohamad Salahuddin seraya mencubit manja pipi kiri isterinya.
Qistur Ruwaidah menjelirkan lidahnya. “Eleh… Mengada habibi ni! Sayang gurau jelah. Mana boleh habibi tak kacak. Kacak tahu! Mestilah sayang cair. Ingat dulu sayang tak cair ke tengok muka habibi masa kita jumpa kat Kafe KENMS? Mestilah cair tapi habibi… Sebenarnya, ciri-ciri lelaki yang sayang suka dulu, sayang suka lelaki pakai cermin mata. Sebab tu, sayang suka Azim dulu.”
Mohamad Salahuddin memonyokkan wajahnya. “Tak boleh jadi ni… Kalau macam tu, habibi nak pakai cermin mata jugalah. Habibi cemburulah sayang suka dia dulu. Kalau habibi tahu sayang suka lelaki pakai cermin mata, habibi sanggup berlakon pakai cermin mata tahu.”
Qistur Ruwaidah tertawa menyaksikan wajah monyok suaminya. “Eiii… Habibi tak payah nak buang tabiat! Elok-elok mata habibi tak rabun, jadi rabun pula. Tu dululah, habibi. Sekarang, lelaki pakai cermin mata dah tak ada dalam ciri lelaki pilihan sayang. Sayang suka lelaki macam habibi. Baik, lemah lembut, romantik, pendengar yang baik… Emm… Sayang tak laratlah nak sebut.”
Lalu, Mohamad Salahuddin terus tersenyum. “Sebutlah lagi, sayang. Habibi nak tahu.”
“Sampai esok pun takkan habis,” kata Qistur Ruwaidah bersama sengihan.
Mohamad Salahuddin mendakap tubuh isterinya dari belakang seraya berbisik. “Sayang… Sampai akhir hayat habibi, sayanglah cinta mati habibi dan sayang kena tahu, cinta habibi bukan cinta mainan. I love you…”
Jiwa Qistur Ruwaidah berdegup kencang. Hembusan nafas suaminya benar-benar menggugat jiwanya. “Sayang tahu, habibi. I love you too… Emm… Boleh habibi lepaskan sayang? Sayang nak pergi dapur sekejap. Nak minum air.”
Dakapan kian dieratkan oleh Mohamad Salahuddin. “Alaa sayang… Baru ingat nak jadi romantik lagi dengan sayang,” ucapnya dengan penuh manja.
Qistur Ruwaidah tertawa. “Alaa… Sekejap je, habibi. Sekejap je… Sekejap lagi, habibi boleh sambung balik ya.”
Mohamad Salahuddin turut tertawa seraya meleraikan dakapan tersebut. Sebuah kucupan dihadiahkan di tangan isterinya. “Okeylah. Kalau macam tu, jom kita turun sama-sama. Habibi pun nak minum air.”
Qistur Ruwaidah tersenyum. Mohamad Salahuddin dan sifat romantiknya… Ah, alangkah beruntungnya dia sebagai isteri kerana dia sahaja yang layak menyaksikan sifat suaminya itu! “Tapi sebelum tu, habibi… Terima kasih untuk semuanya sejak hari pertama kita disatukan. Habibi tak pernah jemu bahagiakan sayang.”
“Sama-sama sayang. Istimewa untuk sayang je. Sayang berhak terima cinta habibi sebab sayang dah lalui macam-macam ujian dulu dan habibi pula, akan terus berikan segala cinta yang habibi terdaya. Tu janji habibi. Insya-Allah. Hanya sayang milik habibi, habibi milik sayang.”
“Boleh sayang peluk habibi?” soal Qistur Ruwaidah dengan penuh sebak.
“Nak menangislah tu. Tak nak bagi habibi nampak, kan?” seloroh Mohamad Salahuddin.
Qistur Ruwaidah tersengih. “Taklah. Cuma, sayang nak rasa selamat dalam pelukan habibi.”
Mohamad Salahuddin segera mendakap isterinya bersama elusan pada rambut isterinya dengan penuh kelembutan. “Tak apa, sayang. Kalau nak menangis, menangis je. Habibi tak kisah pun.”
Tatkala itu, Qistur Ruwaidah berasa amat tenang dalam dakapan sang suami. Namun, tiada sepatah bicara yang ingin diluahkan. Biarlah dakapan tersebut memberikan segala makna buat suaminya. Hilang terus rasa dahaganya. Mereka berdua masih saling berpelukan.
“Sayang… Tadi sayang cakap, sayang nak minum air kat dapur. Tak jadi ke?” soal Mohamad Salahuddin.
Qistur Ruwaidah mengeratkan lagi dakapan tersebut. Dia tidak mahu melepaskan suaminya. “Emm… Tak jadilah. Sayang cuma nak habibi ada kat sisi sayang je sekarang.”
“Okey. Habibi ada je ni. Takkan pergi mana-mana. Selagi habibi hidup, habibi takkan tinggalkan sayang kecuali habibi kena pergi kelas dan kerja jelah.”
“Sayang tahu, habibi. Sayang percayakan habibi. Habibi… Sayang tak sabar nak tunggu hari esok.”
“Habibi pun. Sabar ya… Jomlah kita tidur sayang. Kita nak kena bangun awal esok.”
“Okey,” kata Qistur Ruwaidah seraya meleraikan dakapan tersebut.
Mohamad Salahuddin segera menggendong isterinya untuk dibawa ke tempat perbaringan. Lalu, dia membaringkan isterinya dengan penuh berhati-hati. “Rehat ya, sayang,” ucapnya bersama kucupan pada dahi isterinya. Kemudian, dia berbaring di sebelah isterinya.
“Selamat malam, sayang,” ucap Mohamad Salahuddin.
“Selamat malam, habibi,” balas Qistur Ruwaidah.
Lalu, genggaman erat menemani Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah bersama dakapan penuh lena pada malam keindahan itu. Masing-masing tidak sabar menanti hari esok sempena majlis kesyukuran mereka berdua.

Moga tak kena diabetes xD

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience