MAJLIS KONVOKESYEN UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA (UIAM) KALI KE-36
ISNIN, 14 MAC 2022, SIDANG 5
Segala puji bagi Allah, sekali lagi Mohamad Salahuddin berkonvokesyen untuk Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (Syariah) (Kepujian) pula pada tahun 2022 setelah dia memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (Kepujian) pada tahun 2019 dulu. Sempurnalah impiannya untuk memperoleh dua ijazah seperti yang didambakan sejak masuknya dia sebagai pelajar ijazah dahulu.
Sebenarnya, dia telah menamatkan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (Syariah) (Kepujian) pada tahun 2020 tetapi Covid-19 telah melanda seluruh dunia dan menyebabkan majlis konvokesyen UIAM untuk tahun 2020 ditangguhkan ke tahun 2022.
Majlis Konvokesyen UIAM Kali Ke-36 sangat lain berbanding Majlis Konvokesyen UIAM Kali Ke-35 dan tahun-tahun sebelumnya kerana tiada muzik gamelan menemani perarakan para graduan. Mereka terus berada di tempat duduk masing-masing kerana mereka perlu patuh pada penjarakan sosial dan masa untuk majlis perlu disingkatkan. Apatah lagi, sidang 5 ini dikhaskan untuk Ahmad Ibrahim Kulliyyah of Laws (AIKOL) sahaja.
Selain itu, semua orang wajib memakai pelitup muka serta tempat duduk untuk dif-dif kehormat dan para graduan dijarakkan bagi mematuhi SOP. Juga, bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.
Tidak lama kemudian, majlis diteruskan dengan ketibaan dif-dif kehormat. Seperti biasa, alunan Selawat Burdah mengiringi langkah untuk menuju ke pentas utama.
Setelah dif-dif kehormat tiba di atas pentas dan berakhirnya alunan Selawat Burdah… “The national anthem ‘Negaraku’. Followed by the IIUM anthem, ‘Leading The Way’,” ucap pengerusi majlis.
Qistur Ruwaidah tersenyum tatkala dia menyanyikan lagu UIAM. Dia berpeluang untuk mendengar lagu UIAM lagi. Pada ketika itu, dia dan Sakeenah menemani Mohamad Salahuddin di dalam ICC Hall manakala Suhaibul Umar dan Abdul Azim menjaga anak-anak Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin.
“Keena tak sabar nak habis belajar macam Kak Long dan Abang Long. Abang Azim pun dah nak berkonvokesyen bulan 8 ni,” luah Sakeenah kepada Qistur Ruwaidah.
Pada ketika itu, Sakeenah sudah berkahwin dengan Abdul Azim selama dua tahun. Kini, dia sedang menyambung di peringkat ijazah sebagai mahasiswi tahun kedua semester dua sesi 2021/2022 dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Sains (Pengajian Seni Bina) (Kepujian) atau Bachelor of Science (Architectural Studies) (Honours) di bawah Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar atau Kulliyyah of Architecture and Environmental Design (KAED), UIAM Gombak, sama seperti suaminya. Cuma, berbeza bidang sahaja.
Qistur Ruwaidah tersenyum. “Sabar ya, Keena. Kan Keena tinggal setahun je lagi. Tahun depan Keena pula konvokesyen. Lepas tu, Keena boleh fokus untuk rumah tangga Keena.”
Sakeenah juga turut tersenyum. Ya, itulah niatnya! Selain itu, dia juga boleh memikirkan tentang anak yang menjadi dambaan buat dirinya dan Abdul Azim.
Bermulalah sesi penganugerahan skrol sehinggalah nama Mohamad Salahuddin dipanggil oleh pengacara majlis. “Mohamad Salahuddin bin Mohd Firdaus,” panggilnya.
Mohamad Salahuddin menganggukkan kepalanya sedikit sebagai tanda hormat kepada pemberi skrol. Lalu, dia menerima skrol buat kali kedua. Segala puji bagi Allah, dia telah menerima ijazah kedua dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (Syariah) (Kepujian) dan melayakkan dirinya untuk menjadi peguam syariah.
Cuma, dia perlu menjalani pelatih dalam kamar atau chambering terlebih dahulu sebagai prasyarat sebelum dia layak bergelar peguam. Kini, dia telah selesai chambering sivil dan dia berhajat untuk melakukan chambering syariah pula dalam tahun ini juga. Memang dia seorang yang kuat semangat dalam mencari ilmu berkaitan dunia undang-undang ini.
Qistur Ruwaidah memandang suaminya dengan perasaan penuh bangga. Dia menjadi saksi kepayahan suaminya untuk bidang undang-undang ini. Sebagai isteri, dia menyokong apa jua impian suaminya serta mendoakan yang terbaik untuk kehidupan suaminya itu.
PADANG ICC
Setelah berakhirnya sidang 5, Suhaibul Umar dan Abdul Azim membawa anak-anak saudara mereka ke Padang ICC untuk berkumpul di situ bagi sesi fotografi berlatarbelakangkan bangunan ICC itu. Tidak dilupakan juga, Afkar Irsyad sekali yang akan menjadi jurugambar rasmi untuk hari konvokesyen Mohamad Salahuddin itu.
“Ummi! Abi! Mok Su!” panggil Aalqalyubi Shafiy, Aalqurtubi Shakil, Aalqarihah Syibrah dan Aalqarirah Syuhrah dengan penuh ceria setelah mereka ternampak kelibat Mohamad Salahuddin, Qistur Ruwaidah dan Sakeenah di padang tersebut.
Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil sudah berumur lima tahun manakala Aalqarihah Syibrah dan Aalqarirah Syuhrah sudah berumur tiga tahun. Masing-masing berlari bagi mendapatkan ibu bapa mereka.
Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin tersenyum dengan kehadiran anak-anak mereka. Lalu, pasangan itu mendakap anak-anak itu. Sungguh, mereka bahagia dengan kurniaan Allah itu.
“Abi, tadi Baba Suhaib suruh kami cakap kat abi… Aaa… Apa ya, Qurtubi?” ujar Aalqalyubi Shafiy dengan petah.
“Tahniah,” kata Aalqurtubi Shakil.
“Ha! Tahniah abi!”
Mohamad Salahuddin memandang Suhaibul Umar buat seketika bersama senyuman. Kemudian, dia memandang Aalqalyubi Shafiy semula bersama usapan di kepala. “Pandainya anak abi ni. Terima kasih Qalyubi sayang.”
“Tahniah abi!” kata Aalqurtubi Shakil pula. Dia juga tidak mahu ketinggalan untuk mengucapkan tahniah kepada ayahnya.
Mohamad Salahuddin mengusap kepala Aalqurtubi Shakil. “Qurtubi pun pandai cakap tahniah. Terima kasih Qurtubi sayang.”
Aalqarihah Syibrah dan Aalqarirah Syuhrah juga tidak mahu ketinggalan untuk mendapatkan perhatian daripada ayah tercinta. Mereka berdua mendakap erat ayah tercinta. Empat beradik itu berebut untuk bersama ayah tercinta.
Qistur Ruwaidah, Suhaibul Umar, Sakeenah dan Abdul Azim tertawa menyaksikan situasi itu. Ternyata Mohamad Salahuddin merupakan ayah yang sangat baik dan amat dikasihi oleh anak-anak kecil itu.
“Anak-anak abi… Cakap terima kasih kat ummi,” kata Mohamad Salahuddin.
“Kenapa abi?” tanya Aalqalyubi Shafiy.
Mohamad Salahuddin memandang Qistur Ruwaidah seketika. “Sebab ummi dah lahirkan dan jaga Qalyubi, Qurtubi, Syibrah dan Syuhrah.”
Lalu, empat beradik itu menuju pula ke arah Qistur Ruwaidah dan mendakap ibu tercinta. Ucapan terima kasih dihulurkan oleh empat beradik itu kepada Qistur Ruwaidah.
“Bagusnya didikan kau kat anak-anak,” puji Abdul Azim.
Mohamad Salahuddin tersenyum. “Almarhum ayah selalu pesan kat aku dan Keena supaya selalu berterima kasih kat almarhumah mak. Apa yang almarhum ayah pernah buat kat aku dan Keena, macam tulah aku nak buat yang sama kat anak-anak aku tapi aku nak anak-anak aku lebih baik daripada aku.”
“Betullah Abang Long. Keena pun baru teringat pasal tu. Ayah akan selalu pesan supaya cakap terima kasih kat mak,” sampuk Sakeenah.
“Kan… Nanti, bila kau orang dah ada anak, buatlah apa yang terbaik untuk anak kau orang,” kata Mohamad Salahuddin.
Sakeenah dan Abdul Azim berpandangan seketika. Kemudian, mereka berdua tersenyum.
“Din, maaf ganggu. Dah boleh nak ambil gambar ke?” tanya Afkar Irsyad.
“Boleh, boleh,” kata Mohamad Salahuddin.
Afkar Irsyad mula mengatur susunan kedudukan keluarga itu bagi memastikan semuanya dalam keadaan baik. Mujurlah anak-anak Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin dapat memberikan kerjasama yang baik.
Bersatulah Qistur Ruwaidah, Mohamad Salahuddin, Aalqalyubi Shafiy, Aalqurtubi Shakil, Aalqarihah Syibrah dan Aalqarirah Syuhrah serta Suhaibul Umar, Sakeenah dan Abdul Azim dalam satu gambar yang berlatarbelakangkan bangunan ICC.
Kalau dulu, adanya Encik Mohd Firdaus semasa Majlis Konvokesyen UIAM Kali Ke-35 manakala Aalqarihah Syibrah dan Aalqarirah Syuhrah masih berada dalam kandungan pada ketika itu. Kini, si kembar perempuan itu pula pengganti kepada almarhum datuk mereka untuk Majlis Konvokesyen UIAM Kali Ke-36.
Suhaibul Umar memandang keluarga adiknya yang sedang bergambar itu. Meriah sungguh. Sedar tidak sedar, adiknya dan Mohamad Salahuddin sudah memiliki empat orang anak. Dia tumpang bahagia dan gembira untuk adiknya itu.
“Azim pun nak abang bahagia,” bicara Abdul Azim secara tiba-tiba di tepinya.
Suhaibul Umar memandang Abdul Azim. “Aik? Dah kenapa tiba-tiba ni?”
“Azim tahu abang pun teringin nak kahwin, kan? Cuma, abang fikir pasal badan abang.”
“Emm… Teringin tu memanglah teringin tapi apabila abang kenangkan tanggungjawab suami tu berat, abang masih belum sedia dan ya, memang abang fikir pasal badan abang dan sakit PTSD abang.”
“Kalau bonda nak kenalkan seseorang kat abang, abang nak kenal tak?”
Suhaibul Umar terdiam.
“Kalau abang dah sedia dan abang rasa nak kenal, beritahu Azim nanti,” kata Abdul Azim bersama senyuman. Jujur, dia juga mahu sahabat baiknya bahagia dan bertemu cinta hati.
Suara gelak tawa anak-anak Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin berjaya menarik perhatian Suhaibul Umar untuk melihat enam beranak itu semula. Memandangkan dia tidak mahu memikirkan soal itu, dia sengaja mahu menyertai keluarga itu. “Baba Suhaib nak masuk sekali!” laungnya sambil menuju ke arah enam beranak itu.
“Jom Baba Suhaib!” kata Aalqalyubi Shafiy dengan penuh ceria.
Abdul Azim memandang sahabatnya itu. Ah, nampaknya Suhaibul Umar memang belum bersedia atau mungkin Suhaibul Umar memang memilih untuk tidak berkahwin. Apa-apa pun, dia mendoakan yang terbaik untuk sahabat baiknya itu.
“Okey… Satu, dua, tiga…” kata Afkar Irsyad.
Pelbagai posisi yang dipamerkan oleh keluarga Qistur Ruwaidah serta Suhaibul Umar.
Bagi Qistur Ruwaidah, betapa dia amat gembira untuk hari ini. Dikurniakan sebuah keluarga sempurna walaupun zahirnya tidak sempurna untuk dirinya tanpa keberadaan arwah ibu bapa dan tiga orang adik-beradiknya itu.
‘Ya Allah… Aku tahu aku perlu bersyukur dengan kurniaan-Mu setelah aku berkahwin dengan Mohamad Salahuddin dan dikurniakan anak-anak bersamanya, pengganti kepada lima orang ahli keluargaku yang telah tiada,’ bisik hati Qistur Ruwaidah.
SUDAH menjadi tradisi buat Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin untuk mengabadikan kenangan bersama anak-anak di kedai gambar. Kalau dulu mereka hanya berdua, kini sudah berenam. Alangkah pantas masa berlalu.
Tema pakaian untuk keluarga itu, iaitu mereka berpakaian hanfu, iaitu pakaian tradisional orang Cina beretnik Han China. Munculnya idea untuk berpakaian hanfu daripada Qistur Ruwaidah tatkala dia mencuri masa untuk menonton drama Cina sambil melipat pakaian keluarganya.
Sebenarnya, masing-masing teruja untuk mencuba pakaian tradisional tersebut. Mujurlah salah seorang kenalan kepada Abdul Azim menyediakan perkhidmatan sewa pakaian tersebut berserta sesi fotografi. Ternyata Abdul Azim mempunyai rangkaian kenalan yang luas.
“Terima kasih Azim sebab perkenalkan kedai kawan kau ni. Tercapai hasrat aku nak pakai hanfu,” ucap Qistur Ruwaidah.
“Sama-sama Qist. Tak ada apalah. Kebetulan, Keena pun nak cuba pakai hanfu. Mujur aku ada kenalan,” balas Abdul Azim yang turut datang bersama Sakeenah bagi menyertai sesi bergambar tersebut. Cuma, pasangan itu memberi laluan kepada keluarga Qistur Ruwaidah terlebih dahulu.
“Kita orang nak pergi makan dulu. Jadi, Kak Long tak payah tergesa-gesa,” kata Sakeenah. Tangannya setia memegang tangan Abdul Azim.
“Okey. Kalau kita orang dah siap, kita orang beritahu,” kata Qistur Ruwaidah.
Berlalulah Abdul Azim dan Sakeenah untuk bersarapan tidak jauh dari kedai gambar tersebut.
“Semua dah sedia ke?” soal jurugambar, iaitu Lee Naimi yang merupakan kacukan Melayu-Cina. Ayahnya berbangsa Melayu manakala ibunya merupakan seorang mualaf Cina.
“Dah. Lee boleh mulakan,” kata Mohamad Salahuddin.
Sesi fotografi itu benar-benar menjadi keseronokan buat enam beranak itu dan pelbagai posisi digayakan. Anak-anak Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin juga begitu berbakat dalam bergambar seperti ibu bapa mereka.
Tidak dilupakan juga, sesi fotografi antara Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin sahaja tanpa anak-anak. Tatapan mata pasangan itu ternyata penuh cinta. Masing-masing terimbau kembali kenangan bersama itu sebelum wujudnya anak-anak dalam kehidupan mereka berdua.
Ah, mana mungkin mereka lupa! Namun, cinta yang disemai itu akan sentiasa disuburkan tanpa rasa jemu, biarpun sudah memiliki empat orang anak.
Seterusnya, giliran empat beradik itu tanpa ibu bapa mereka.
“Anak-anak kita dah besar rupanya. Sayang ingatkan dia orang masih bayi lagi,” luah Qistur Ruwaidah sambil matanya memerhatikan keempat-empat orang anaknya yang dikandung selama sembilan bulan itu.
“Habibi pun ingat mereka masih bayi. Tak lama lagi pula, Qalyubi dan Qurtubi akan masuk sekolah rendah,” kata Mohamad Salahuddin.
“Ya Allah… Yalah… Sayang tak sedar pasal tu. Pelindung-pelindung habibi dah membesar dengan baik. Dah ada ciri-ciri macam habibi.”
“Mana mungkin Qalyubi dan Qurtubi akan membesar dengan baik tanpa didikan daripada sayang. Begitu juga Syibrah dan Syuhrah. Sayang memainkan peranan yang cukup penting dalam keluarga kita. Tanpa sayang, habibi akan terkontang-kanting.”
“Kita sama-sama melengkapkan apa yang kurang. Habibi pun memainkan peranan yang besar sebagai ketua keluarga. Walaupun habibi penat dengan tugas kat pejabat tapi sayang kagum sebab habibi boleh bagi tumpuan kat keluarga pula. Itu antara faktor anak-anak kita boleh membesar dengan baik. Kita sama-sama tunaikan hak yang sepatutnya kat anak-anak.”
“Bagi habibi, ni semua rezeki yang Allah bagi kat kita, hasil kesabaran kita.”
“Ummi! Abi!” panggil empat beradik itu dengan penuh girang.
Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin berpandangan seketika. Lalu, pasangan itu tersenyum dan menuju ke arah anak-anak itu.
Usai semuanya, Qistur Ruwaidah memaklumkan kepada Sakeenah dan Abdul Azim bahawa sesi fotografi tersebut telah selesai bagi memberikan laluan kepada adik ipar dan birasnya pula untuk bergambar pula.
“Sayang dah beritahu kat Keena dan Azim ke?” tanya Mohamad Salahuddin setelah dia melakukan pembayaran.
“Dah. Dia orang pun baru je habis makan,” kata Qistur Ruwaidah.
Kemudian, Mohamad Salahuddin memberikan tumpuan kepada anak-anaknya pula. “Okey, abi tahu semua lapar. Kali ni, giliran Qalyubi tentukan nak makan kat mana.”
Sebolehnya, Mohamad Salahuddin mahu berlaku adil kepada setiap orang anaknya. Jadi, pemilihan tempat makan merupakan salah satu cara bagi dirinya untuk mendidik anak-anaknya agar mereka bijak untuk membuat keputusan dan diberikan peluang secara mengikut giliran. Kiranya, semua anaknya berpeluang untuk melontarkan idea secara adil dan saksama.
“Warung Pak Mat! Qalyubi nak makan nasi,” maklum Aalqalyubi Shafiy tanpa ragu-ragu.
“Okey. Semua setuju dengan Qalyubi ya?” kata Mohamad Salahuddin.
“Setuju!”
Mohamad Salahuddin memandang setiap ahli keluarganya itu dengan penuh rasa kasih dan cinta. Inilah dunianya selepas kerjanya sebagai seorang peguam bagi menyuapi keluarganya dengan rezeki yang halal lagi berkat.
TAHUN 2025
Mohamad Salahuddin pulang dari kerja dengan wajah yang amat penat. Namun, kepenatannya terus hilang tatkala dia menatap wajah isteri dan empat orang anaknya. Masing-masing menyambutnya dengan penuh rasa gembira.
Kini, usia Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah menginjak 30 tahun. Aalqalyubi Shafiy dan Aalqurtubi Shakil berumur lapan tahun, sudah bersekolah rendah manakala Aalqarihah Syibrah dan Aalqarirah Syuhrah berumur enam tahun, sedang belajar di peringkat tadika.
“Anak-anak ummi… Bagi abi rehat dulu ya. Abi penat tu. Anak-anak ummi pergi buat kerja sekolah ya. Sekejap lagi, baru boleh main dengan abi,” pesan Qistur Ruwaidah.
Empat beradik itu akur dengan arahan ibu tercinta. Lalu, mereka terus melabuhkan punggung di atas karpet ruang tamu itu bagi menyempurnakan kerja yang diberikan oleh guru-guru mereka di sekolah. Mohamad Salahuddin tersenyum dengan kelembutan isterinya dalam melayan kerenah anak-anak mereka berdua.
Qistur Ruwaidah memandang suaminya dengan jelingan manja. “Jom masuk bilik sekejap,” katanya. Lalu, dia meraih tangan suaminya.
Sekali lagi, Mohamad Salahuddin tersenyum. Ah, isterinya itu! Tanpa melengahkan masa, dia membuntuti isterinya.
Kini, pasangan itu berada di dalam bilik tidur. Qistur Ruwaidah segera mendakap suaminya. “Ah, rindunya habibi!” luahnya.
Mohamad Salahuddin tersenyum. Lalu, dia merangkul isterinya seeratnya. “Habibi pun rindu sangat kat sayang. Lamanya kita tak berdua macam ni.”
“Nak buat macam mana, kan. Ada anak-anak. Tak dapatlah nak bermesra sangat macam dulu.”
“Siapa kata tak boleh? Boleh je. Macam sekarang ni.”
Qistur Ruwaidah tersenyum. “Sayang nak berdua je dengan habibi tanpa anak-anak. Kita perlukan masa kualiti untuk kita berdua je. Dua hari pun jadilah. Sayang rindu kenangan kita bulan madu masa tahun 2017 dulu.”
Mohamad Salahuddin mengucup ubun-ubun isterinya. “Sayang… Habibi pun rindu momen tu. Sebenarnya, habibi pun tengah cuba cari masa yang sesuai untuk kita dating berdua je tapi masa belum mengizinkan habibi. Kerja kat pejabat tu terlalu banyak.”
“Sayang faham… Tak apa. Lagipun, habibi sibuk cari nafkah untuk keluarga. Emm… Habibi… Sebenarnya, sayang ada perkara penting nak beritahu habibi tapi habibi mandi dulu. Bagi segar sikit badan tu.”
“Okey sayang. Sayang pergilah tengok anak-anak kita buat kerja sekolah dulu. Nanti habibi temankan sayang.”
Berpisahlah pasangan itu dengan agenda masing-masing. Mohamad Salahuddin membersihkan dirinya manakala Qistur Ruwaidah memantau kerja sekolah anak-anaknya.
Tidak lama kemudian, Mohamad Salahuddin tiba di ruang tamu dan menyertai keluarganya itu. Ah, tenangnya dia bersama isteri dan anak-anaknya itu.
“Anak-anak abi… Macam mana kat sekolah dan tadika? Seronok?” Mohamad Salahuddin memulakan bicara.
Lalu, keempat-empat orang anaknya itu masing-masing membuka cerita. Alangkah leganya hati Mohamad Salahuddin dengan perkembangan anak-anaknya di sekolah dan tadika. Dia tahu… Dia tidak mampu menguruskan pelajaran anak-anaknya itu sendirian tanpa Qistur Ruwaidah. Betapa besar pengorbanan isterinya itu!
Bagi Qistur Ruwaidah, dia amat bersyukur apabila anak-anaknya rapat dengan suaminya. Bermakna, itu petanda hubungan yang sihat antara ayah dan anak-anak. Dia juga turut bersyukur tatkala anak-anak itu memahami tugas ayah mereka.
SETELAH Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin memantau kerja sekolah anak-anak, menikmati makan malam dan menidurkan anak-anak di bilik masing-masing, tibalah giliran mereka berdua untuk mencuri masa bersama tanpa gangguan anak-anak.
“Sayang nak bincang apa dengan habibi?” tanya Mohamad Salahuddin. Dia mendepakan tangannya di belakang tubuh isterinya.
“Okey, habibi pejam mata sekejap,” kata Qistur Ruwaidah.
“Aik? Nak bincang ke apa ni? Lain macam nak bincang sampai nak suruh habibi pejam mata.”
Qistur Ruwaidah memuncungkan bibirnya. “Eiii… Habibi ni! Pejam jelah mata.”
Mohamad Salahuddin tersengih. “Okey, okey… Habibi pejam mata sekarang,” katanya. Lalu, dia memejamkan matanya.
Setelah Qistur Ruwaidah berpuas hati dengan pejaman mata suaminya itu, dia mengambil sesuatu dari laci yang berada di sebelah katilnya dan diletakkan di atas tilam. “Okey, habibi boleh buka mata.”
Mohamad Salahuddin membuka matanya. Terdapat sebuah kotak di hadapannya. “Apa ni?”
“Bukalah. Baru kita boleh bincang.”
Kelihatan Mohamad Salahuddin mencapai kotak tersebut dan membuka penutup kotak tersebut. Dia tergamam seketika tatkala dia melihat isi kandungan kotak itu. Terdapat sekeping nota pelekat yang bertulis:
Assalamualaikum bakal abi…
Dah sedia untuk berjaga malam lagi? xD
... serta kit ujian kehamilan yang disertakan dalam kotak tersebut.
POSITIVE… 1-2 months…
“Surprise! Kita akan terima ahli baharu lagi!” ucap Qistur Ruwaidah dengan penuh girang.
“Y… Ya Allah… Alhamdulillah,” ucap Mohamad Salahuddin. Lalu, dia mendakap isterinya. Sungguh, dia tidak menyangka bahawa mereka berdua bakal menerima ahli baharu. Akan tetapi, dia bersyukur kerana Allah mengurniakan rezeki anak lagi pada waktu yang tepat memandangkan Aalqarihah Syibrah dan Aalqarirah Syuhrah sudah berumur enam tahun dan boleh menguruskan diri sendiri. Kemudian, dia meleraikan dakapan itu.
“Inilah apa yang sayang nak bincang. Sayang ingat nak minta habibi ambil cuti rehat esok. Teman sayang pergi klinik,” kata Qistur Ruwaidah.
“Kalau sayang tak suruh pun, memang habibi nak ambil cuti rehat esok. Ya Allah… Habibi teruja sangat ni. Lepas kita hantar anak-anak pergi sekolah esok, kita terus pergi klinik.”
Qistur Ruwaidah tersenyum. Ya, dia juga teruja dan lebih bersedia berbanding dua kehamilan sebelum ini. Dia boleh tergerak hati untuk melakukan ujian kehamilan apabila haidnya datang lewat dari sebelumnya dan dia tidak menggunakan apa-apa alat pencegah kehamilan lagi setelah dia dan suaminya bersedia untuk menerima ahli baharu seperti yang pernah dibincangkan bahawa mereka mahu seramai tujuh orang anak.
“Bila sayang dapat tahu sayang mengandung?” soal Mohamad Salahuddin.
“Lepas sayang hantar Syibrah dan Syuhrah kat tadika tadi. Sayang dah perasan haid sayang tak datang lagi bulan ni. Lambat daripada kebiasaan. Cepat-cepat sayang periksa. Memang betullah apa yang sayang rasa,” balas Qistur Ruwaidah.
“Alhamdulillah. Sayang… Sekali lagi, terima kasih atas pengorbanan sayang. Sayang nak apa-apa, beritahu je habibi.”
“Sayang cuma nak berdua je dengan habibi. Anak-anak kita, kita minta tolong Keena dan Azim tengok-tengokkan kalau dia orang tak kisah atau kita upah orang untuk jaga anak-anak kita. Boleh ya, habibi?”
“Okey, okey… Kalau macam tu, nanti kita cuba tanya Keena dan Azim dulu. Habibi pun akan tempah hotel kegemaran sayang dalam waktu terdekat ni. Cuma, habibi minta… sayang bagi masa kat habibi. Habibi nak susun jadual kerja sebelum habibi dah jumpa tarikh yang sesuai untuk cuti rehat.”
Mata Qistur Ruwaidah sudah bercahaya tatkala mendengar kata-kata suaminya itu. “Yeay! Terima kasih habibi! I love you.”
Mohamad Salahuddin menghadiahkan kucupan buat isteri tercinta. “I love you too, sayang. Jom tidur dulu ya. Nanti kita nak kena bangun untuk qiamullail pula. Alang-alang tu, kita sujud syukur sekali.”
Qistur Ruwaidah mengangguk. Sungguh, dia benar-benar bersyukur atas kefahaman suaminya tentang qiamullail itu. Mohamad Salahuddin bin Mohd Firdaus… Seorang suami dan ayah yang tidak pernah berubah berkenaan ibadah qiamullail sejak hari pertama mereka disatukan dahulu. Kini, mereka berdua sudah sembilan tahun hidup bersama.
SETELAH Mohamad Salahuddin dan Qistur Ruwaidah menghantar anak-anak ke sekolah dan tadika, mereka berdua menuju ke klinik yang tidak jauh dari rumah kediaman. Anak-anak pasangan itu masih belum mengetahui berkenaan kehamilan ibu mereka itu. Ibu bapa itu sudah bercadang untuk menghebahkan kehamilan itu selepas anak-anak mereka pulang dari sekolah dan tadika.
“Lama sungguh puan tak datang sini,” kata Dr. Muzainah bersama senyuman. Memang dia mengingati pesakitnya itu kerana pesakitnya itu sudah dua kali mengandung anak kembar.
Qistur Ruwaidah tersenyum. “Itulah Dr.. Kita berjumpa lagi. Saya mengandung lagi. Saya periksa semalam,” katanya.
Bibir Dr. Muzainah mengukir senyuman penuh gembira. “Alhamdulillah… Murah rezeki sungguh untuk puan dan encik. Macam biasalah ya. Saya nak tahu tarikh haid puan dan kita terus buat ultrabunyi untuk tengok janin puan.”
Setelah Qistur Ruwaidah memberitahu maklumat yang diperlukan oleh doktor tersebut, dia diminta untuk berbaring di atas katil. Mohamad Salahuddin setia bersama isterinya sambil memegang erat tangan kiri isterinya.
Dr. Muzainah mula mencari janin melalui mesin ultrabunyi itu. Dia tidak terkejut andai pesakit ini mengandung kembar lagi. Ternyata telahannya tepat. Dia sudah nampak janin kedua. Akan tetapi…
‘Betul ke apa yang aku nampak ni?’ bisik hati Dr. Muzainah. Dia dapat memerhatikan sesuatu yang aneh. Sekali lagi, dia menggerakkan alat pengesan janin itu.
Sah! Kali ini, betul-betul sah!
“Subhanallah… Puan… Encik…” ucap Dr. Muzainah.
Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin memandang wajah doktor itu. Sebenarnya, masing-masing sudah berdebar tatkala menyaksikan dahi doktor itu sudah berkerut-kerut.
“Dr., semuanya baik-baik je ke?” tanya Qistur Ruwaidah.
“Puan… Encik… Sekali lagi, tahniah saya ucapkan. Puan Qist tengah mengandung kembar.”
Tatkala itu, Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin mengucap syukur kerana mereka bakal menerima anak kembar lagi.
“Tapi puan, encik…” kata Dr. Muzainah. Lalu, dia membisukan dirinya buat seketika. Sengaja dia hendak meninggalkan gimik buat pasangan itu.
“Tapi apa doktor? Isteri saya ada sakit lain ke?” soal Mohamad Salahuddin dengan nada cuak.
“Eh, habibi ni! Itu pula yang difikirnya!” kata Qistur Ruwaidah seraya menepuk manja bahu suaminya itu.
Dr. Muzainah tertawa kecil. “Eh, tak, tak! Isteri encik dan janin-janin sihat je. Cuma, janin-janin tu bukan ada dua tapi ada tiga.”
“A… Ada tiga? M… Maksudnya… Saya mengandung kembar tiga?” soal Qistur Ruwaidah dengan nada tidak percaya. Mohamad Salahuddin juga tidak percaya dengan apa yang didengari oleh dirinya sendiri.
Dr. Muzainah tersenyum. “Betul. Jadi, tahniah Puan Qist dan encik. Puan mengandung kembar tiga.”
“Mustahil saya boleh mengandung kembar tiga, Dr.. Kalau ikut sejarah keturunan keluarga besar saya, ada kembar dua je,” terang Qistur Ruwaidah.
“Kemungkinan besar, sebelah suami puan. Boleh jadi,” kata Dr. Muzainah seraya memandang Mohamad Salahuddin bersama senyuman.
Barulah Mohamad Salahuddin tersedar sesuatu. Dia bukan anak kandung Puan Zaidah (Ida) tetapi Puan Zaidah (Adah). Sebelah ayahnya memang tiada keturunan kembar. Kemungkinan besar almarhumah ibu kandungnya ada keturunan kembar tiga. “Ah, ya. Mungkin,” balasnya.
“Untuk Puan Qist, saya minta puan jaga kandungan lebih berhati-hati untuk kali ini sebab mengandung kembar tiga ini lebih berisiko. Jangan buat kerja berat langsung, jangan stres dan banyakkan berehat. Untuk encik, saya minta kerjasama encik untuk tengok-tengokkan isteri encik. Kalau boleh, jangan biarkan dia buat kerja rumah dan tolong bagi sokongan moral,” nasihat Dr. Muzainah.
“Baik Dr.. Insya-Allah saya akan jaga isteri dan kandungan dia baik-baik. Memang saya akan haramkan dia buat kerja rumah,” kata Mohamad Salahuddin seraya menggenggam erat tangan isterinya itu.
Qistur Ruwaidah tersengih. Ah, nampaknya bolehlah dia berehat panjang setelah dia letih menguruskan keempat-empat orang anaknya itu.
“KITA ORANG nak dapat adik lagi?” ujar dua pasang anak kembar Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin itu dengan penuh teruja.
Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin tersenyum menyaksikan reaksi empat beradik itu. Lalu, Qistur Ruwaidah mengusap setiap ubun-ubun anak-anaknya itu. “Ya anak-anak ummi. Tak lama lagi, Qalyubi dan Qurtubi akan jadi abang lagi. Syibrah dan Syuhrah akan jadi kakak.”
“Kembar macam kita orang lagi ke, ummi, abi?” tanya Aalqurtubi Shakil dengan nada teruja.
Sekali lagi, Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin tersenyum. “Ya tapi… Kali ni, anak-anak ummi dan abi akan dapat tiga orang adik. Kembar tiga,” terang Qistur Ruwaidah.
“Tiga!” Betapa terkejutnya empat beradik itu.
Aalqalyubi Shafiy bermain dengan jari-jemarinya. “Kalau macam tu, anak-anak ummi dan abi ada tujuh.”
“Akan ada tujuh. Insya-Allah. Qalyubi bijak,” tegur Mohamad Salahuddin seraya mengusap kepala anak sulungnya itu.
“Tak sabarnya nak jumpa adik-adik,” kata Aalqarihah Syibrah dengan ceria.
“Insya-Allah. Kita doakan semoga ummi dan adik-adik selamat ya. Anak-anak abi… Abi nak minta kerjasama daripada semua. Sepanjang ummi mengandung ni, kita sama-sama tolong ummi buat kerja rumah ya. Dr. dah pesan kat ummi, ummi tak boleh buat kerja berat,” kata Mohamad Salahuddin.
“Okey abi!” kata empat beradik itu dengan penuh bersemangat.
“Alhamdulillah. Bagus anak-anak abi dan ummi ni. Okey… Jom masuk tidur,” kata Mohamad Salahuddin.
Segala puji bagi Allah, anak-anak Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin mudah mendengar kata. Itulah rezeki buat mereka. Kelihatan empat beradik itu terus menuju ke bilik tidur masing-masing.
Setelah anak-anak pasangan itu menghilangkan diri ke bilik tidur masing, giliran mereka berdua pula menuju ke bilik tidur.
Tiba-tiba Mohamad Salahuddin mendakap isterinya dari belakang. Lalu, dia menghadiahkan hembusan nafas yang cukup menenangkan jiwa Qistur Ruwaidah. “I love you, sayang.”
Qistur Ruwaidah tersenyum. Lalu, dia meleraikan pelukan itu dan merangkul pinggang suaminya. “I love you too, habibi. Kenapa tiba-tiba ni?”
Mohamad Salahuddin turut merangkul pinggang isterinya dan mengeratkan lagi dakapan itu. Bagaikan tidak mahu melepaskan isterinya. “Habibi nak kembalikan momen sembilan tahun yang lepas. Hari pertama kita disatukan. Masa tu, kita berdua je tanpa empat orang anak kita.”
“Kalau ingat balik pasal tu, sayang betul-betul rindu momen kita berdua tapi sayang bersyukur seadanya untuk kehidupan kita sekarang. Kita dah ada empat amanah, campur tiga amanah dalam rahim sayang ni. Jadi… Emm… Ini kehamilan terakhir sayang.”
“Betul. Ini yang terakhir. Kalau sayang mengandung kembar dua, habibi dah fikir… Cukuplah enam orang anak tapi nampaknya, tak sangka kita akan dapat kembar tiga.”
“Kemungkinan genetik kembar tiga daripada almarhumah ummi, kan? Cuma, kita tak tahu je. Mak pun dah musnahkan seluruh keturunan ummi.”
“Itulah… Habibi pun fikir yang sama. Tak apalah. Habibi harap supaya habibi, ayah dan ummi akan bertemu kat Syurga. Habibi rindu.”
“Insya-Allah. Doa banyak-banyak ya. Sayang pun nak jumpa mama, baba, Kak Qina, Dik Harraz dan Dik Harzan kat Syurga. Rindu juga.”
Perlahan-lahan, Qistur Ruwaidah menyandarkan kepalanya ke arah dada Mohamad Salahuddin. Sungguh, dia tenang bersama cinta hatinya itu. Mohamad Salahuddin pula mengusap kepala isterinya. Dia tidak pernah jemu untuk kekasihnya itu.
“Jom menari? Nak? Tarian macam hari pertama kita kahwin dulu. Sayang pun tak boleh lasak sangat,” Mohamad Salahuddin memecahkan kesunyian itu.
“Wah, boleh, boleh! Rindu betul!” kata Qistur Ruwaidah dengan nada teruja.
“Okey. Sekejap. Habibi pasang lagu.”
Lalu, Mohamad Salahuddin memasang lagu yang sesuai untuk tarian ballroom dari telefon pintarnya dan dibantu oleh alat pembesar suara yang dihubungkan dengan sistem Bluetooth.
“Boleh kita mulakan, sayang?” tanya Mohamad Salahuddin seraya menghulurkan tangan kanannya ke arah isteri tercinta.
Qistur Ruwaidah tersenyum. Lalu, dia menyambut tangan kekasih halalnya itu. “Mestilah boleh.”
Menarilah Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin seperti hari pertama mereka berdua disatukan dahulu dan ditemani lagu-lagu ballroom yang cukup mendamaikan jiwa. Benar-benar menggamit kenangan. Walaupun sudah beranak empat dan bakal beranak tujuh kelak, mereka akan pastikan bahawa cinta mereka sentiasa disemai tanpa jemu dan sentiasa berbunga mekar.
Wajah mereka saling berpandangan. Cinta pasangan itu tidak pernah pudar sejak hari pertama mereka disahkan sebagai suami isteri. Tarian ballroom itu dihentikan seketika.
Mohamad Salahuddin meraih kedua-dua tangan isterinya dan mengucupnya. “Sayang tahu habibi sentiasa cintakan sayang, kan… sejak dulu lagi. Walaupun keadaan habibi sekarang sibuk dengan kerja, kurang bagi perhatian kat sayang dan tak macam dulu tapi percayalah… sayang seorang je yang ada dalam hati habibi. Habibi sentiasa ingat kat sayang dan anak-anak. Habibi nak bagi yang terbaik untuk keluarga,” Mohamad Salahuddin memulakan bicara dari hati ke hati.
“Sayang tahu… Sayang pun cintakan habibi sedalam hati sayang. Jangan risau ya. Sayang faham tugas habibi. Anak-anak pun faham. Sayang tahu habibi bekerja keras untuk kami. Sayang dan anak-anak akan sokong apa-apa je yang habibi buat. Sayang jadi saksi, habibi tak pernah abaikan kami dan sayang tahu habibi nakkan yang terbaik untuk kami,” balas Qistur Ruwaidah.
“Terima kasih sebab faham habibi. I love you. Emm… Sayang ada nak beritahu apa-apa kat habibi? Sayang terasa atau marah dengan habibi ke?”
“Sama-sama habibi. I love you too… Emm… Demi Allah. Habibi tak pernah lukakan hati sayang sejak dari hari pertama kita berkahwin… Sekali pun tak pernah kecuali pasal mak tu, tu bukan salah habibi. Habibilah suami dan lelaki terbaik yang sayang pernah kenal selepas Abang Suhaib,” balas Qistur Ruwaidah dengan jujur.
Mohamad Salahuddin tersenyum mendengar bicara isterinya itu. Sebolehnya, dia tidak mahu langsung melukakan hati isterinya lagi. Cukuplah dengan apa yang pernah dia lakukan terhadap isterinya pada suatu ketika dahulu, iaitu dia telah mencederakan isterinya dalam keadaan tidak sedar gara-gara sihir ibu tirinya.
“Emm… Sebenarnya, habibi ada tulis sesuatu untuk sayang. Tanda habibi hargai sayang selama ni. Sayang sudi baca tak?” luah Mohamad Salahuddin.
“Isy, habibi ni, kan! Mestilah sayang sudi. Ha, mana? Cepat tunjuk kat sayang,” balas Qistur Ruwaidah seraya mencubit manja lengan suaminya.
Mohamad Salahuddin tersenyum dan meleraikan tarian itu. “Kita berhenti menari sekejap,” katanya. Kemudian, dia mencapai telefon bimbitnya di atas laci lampu bersebelahan katil itu dan mula mencari di bahagian aplikasi Notes. Setelah dia menjumpai nota yang telah ditulis olehnya itu, dia memanggil isterinya. “Sayang, mari sini.”
Qistur Ruwaidah menuju ke arah suaminya. Lalu, dia melabuhkan punggungnya bersebelahan dengan suaminya.
“Nah,” kata Mohamad Salahuddin seraya menyerahkan telefon pintarnya itu kepada isterinya.
Kelihatan Qistur Ruwaidah mula memerhatikan skrin telefon pintar itu dan membaca sesuatu yang terpapar di skrin tersebut.
Isteriku,
cinta ini Allah kurniakan kepadaku
agar aku sentiasa mencintaimu
setulus hatiku.
Yang benar,
Suamimu.
Tanpa sedar, air mata Qistur Ruwaidah menitis. Biarpun ringkas tetapi amat bermakna untuk dirinya. Sungguh, dia semakin mencintai suaminya hari demi hari. “Terima kasih habibi atas segala cinta yang habibi bagi kat sayang selama ni. Sikit pun sayang tak pernah rasa kurang,” ucapnya. Lalu, dia mendakap suaminya itu.
Mohamad Salahuddin membiarkan isterinya dalam rangkulannya itu. Terasa damai dan tenang. “Sama-sama sayang. Moga Allah merahmati ikatan perkahwinan kita buat selama-lamanya. Selagi mana Allah panjangkan usia habibi, selagi tulah habibi takkan berhenti bagi cinta habibi kat sayang. Sebab apa? Sebab sayang berhak dan sayang dah lalui ujian yang cukup berat dulu. Izinkan habibi untuk terus curahkan rasa cinta habibi kat sayang dan anak-anak kita. Izinkan habibi juga agar habibi terus jadi zauj untuk sayang sampai maut sahaja yang pisahkan kita. Insya-Allah.”
Qistur Ruwaidah melepaskan dakapan itu. Lalu, dia memandang suaminya dengan pandangan yang begitu mendalam. Mohamad Salahuddin menghadiahkan senyuman yang cukup ikhlas buat isterinya itu.
Pada suatu ketika dahulu, Qistur Ruwaidah masih ingat ketika usianya 20 dan 21 tahun, hanya kerana kebaikan dan kesungguhan Mohamad Salahuddin untuk menjadikan dirinya sebagai seorang isteri sewaktu mereka berdua masih belajar, dia mula jatuh hati terhadap Mohamad Salahuddin biarpun waktu itu, suaminya tahu dirinya masih tidak boleh melepaskan pergi perasaannya terhadap Abdul Azim dahulu.
Namun, takdir Allah… Qistur Ruwaidah terbuka hati juga untuk Mohamad Salahuddin.
Cinta dan jiwa seorang Qistur Ruwaidah binti Isyraf Imrani itu, hanyalah untuk sang suami, Mohamad Salahuddin.
Mohamad Salahuddin bin Mohd Firdaus… Itulah cinta terakhir buat Qistur Ruwaidah biarpun sebelum ini, suaminya bukanlah cinta pertamanya. Tambahan pula, mereka berdua telah dikurniakan sepasang kembar lelaki dan sepasang kembar perempuan serta bakal menerima kembar tiga pula, sudah cukup bagi Qistur Ruwaidah untuk tidak meragui ketulusan cinta dan sayangnya Mohamad Salahuddin terhadap dirinya.
Siapa sangka, Qistur Ruwaidah menerima lamaran Mohamad Salahuddin merangkap bekas rakan sekelasnya sewaktu di zaman asasi dulu. Aturan Allah, mereka berdua telah pun ditakdirkan sebagai suami isteri di peringkat ijazah sejak 1 September 2016. Kini, mereka sudah melayari rumah tangga selama sembilan tahun dan semakin mengenali kerenah masing-masing.
‘Ya Allah, Kau redailah dan Kau panjangkanlah usia ‘zauj’ku (suamiku), Mohamad Salahuddin bin Mohd Firdaus agar aku juga berpeluang untuk terus mencurahkan rasa cintaku ini terhadapnya. Kau izinkanlah aku untuk terus menjadi zaujah (isteri) buat Mohamad Salahuddin hingga maut sahaja yang memisahkan kami. Amin ya Rab,’ bisik hati Qistur Ruwaidah.
Berbaki satu bab sahaja lagi sebelum berakhirnya novel "Zauj untuk Qist" ini. Terima kasih atas sokongan dengan membaca novel ini sejak tahun 2021! ;)
Share this novel