“KURANG AJAR! Tak guna! Tunggulah nasib! Tahulah apa aku nak buat dengan anak tak guna tu! Aku nak Salahuddin kena seksa lagi! Aku nak Salahuddin mati! Dengan pekerja-pekerja tak guna tu, aku nak balas dendam sekali! Berani dia orang tangkap Khadam kesayangan aku!” bentak Puan Zaidah seraya memecahkan barang-barang yang ada di sekitarnya.
Puan Zaidah telah mengetahui akan kehilangan Khadam itu setelah dia cuba memanggil makhluk kesayangan itu, namun tiada sahutan.
Akan tetapi, semuanya telah terbongkar apabila benteng ghaib yang dipasang oleh Ustazah Afra dan Ustaz Lubaid di Pusat Rawatan Islam Al-Ikhtiyar mulai musnah setelah Puan Zaidah berjaya memusnahkan benteng tersebut menerusi jarak jauh melalui angin dan kesan yang ditinggalkan oleh Khadam melalui lendir ajaib di sekitar pusat rawatan itu bagi memaklumkan kepada Puan Zaidah akan kehilangannya atau dia bakal ditangkap kelak.
Sebelum Khadam ditangkap oleh staf di Pusat Rawatan Islam Al-Ikhtiyar, ia dapat merasakan bahawa sesuatu perkara buruk bakal berlaku terhadap dirinya. Namun, ia tidak tahu. Sebagai langkah persediaan, ia meninggalkan lendir di beberapa tempat sebelum ia melangkah masuk ke pusat tersebut semasa Mohamad Salahuddin hendak mendapatkan rawatan buat kali pertama dahulu.
Lendir ajaib itu pula dijumpai oleh ‘pembantu’ lain Puan Zaidah bernama Ogre yang telah dihadiahkan oleh salah seorang ahli sihir berketurunan Perancis sewaktu Puan Zaidah mengikuti rakannya bercuti di Perancis bagi memantapkan ilmu sihirnya.
Pada waktu itu, Encik Mohd Firdaus mengizinkan isterinya untuk bercuti dalam beberapa hari di sana setelah isterinya bersusah payah menjaga anak-anak. Itulah peluang bagi Puan Zaidah memantapkan ilmu hitamnya.
Bermakna Puan Zaidah sudah sedia maklum bahawa Mohamad Salahuddin telah mengetahui bahawa dialah yang menghantar sihir selama ini. Ah, mudahlah kerjanya! Tidak perlu dia menjadi baik lagi dengan anak lelakinya itu!
“Sabar puan. Kau masih ada aku,” pujuk Ogre. Ia juga menjadi amat marah tatkala ‘teman’ seperjuangannya telah ditangkap.
“Ogre, aku nak kau muncul diri kau macam ni kat depan Salahuddin. Biar dia takut tengok kau sampai dia jerit macam orang gila. Pastikan kau cekik dia tapi jangan sampai dia mati. Kau pesan kat anak sial tu, serpihan kaca dalam badan dia tu takkan hilang selagi aku tak mati! Aku pun akan hantar serang balas kat dia. Aku nak santau dia lagi. Biar dia muntah sampai mati! Alang-alang anak tak guna tu dah tahu aku hantar, aku pun takkan buat baik lagi. Aku nak dia mati!” bentak Puan Zaidah.
Lalu, Puan Zaidah segera menuju ke tempat ritual dengan penuh dendam bagi menyerang balas terhadap Mohamad Salahuddin melalui santau angin terlebih dahulu. Kemudian, dia mengambil gambar Mohamad Salahuddin, lalu dicucuk pada patung khas bagi menyakiti dalaman lelaki itu. Dia tidak mahu membunuh terus anaknya itu tetapi dia akan menyeksa batin, mental dan roh anaknya sehinggalah dia berpuas hati dalam melunaskan dendamnya sejak 23 tahun ini.
Apabila tiba masanya, Mohamad Salahuddin akan mati di tangannya sendiri dengan cara yang kejam. Dia tidak akan memberi muka lagi.
“Mohamad Salahuddin bin Mohd Firdaus… Aku takkan biarkan kau hidup aman. Teruskan terseksa dengan sihir aku ni! Aku tak dapat bini kau untuk kau orang sama-sama mandul, tak apa. Ni makanan kau. Selamat makan santau angin sampai mampus! Jangan harap kau boleh makan makanan manusia lagi!” luah Puan Zaidah dengan penuh geram bersama bacaan mantera.
Itulah kisah dari sisi Puan Zaidah tatkala dia mengetahui bahawa Khadam tiada lagi untuk membantunya. Lalu, dia menyuruh Ogre mengambil alih tugas Khadam. Ianya merupakan pembantu kedua kepercayaan Puan Zaidah.
Jadi, Ogre itulah makhluk yang dinampak oleh Mohamad Salahuddin di bucu dinding rumah isterinya dan ia telah mencekik lelaki itu sehingga mengazabkan dirinya.
MOHAMAD SALAHUDDIN masih belum sedarkan diri. Qistur Ruwaidah setia menunggu suaminya sedar dari pengsan dengan penuh sabar bersama linangan air mata tanpa henti. Selain itu, dia membacakan pelbagai surah yang terkandung dalam Al-Quran agar boleh menguatkan diri dan menenangkan jiwanya. Dia terlupa berkenaan kandungannya. Sepatutnya, dia tidak boleh stres.
Suhaibul Umar pula menunggu ketibaan Encik Mohd Firdaus dan Sakeenah di ruang tamu. Dia akan membantu adiknya dalam menjelaskan hal sebenar, termasuklah menunjukkan rakaman video sewaktu Mohamad Salahuddin berubat buat kali pertama dahulu.
Ustaz Fuad dan Ustazah Afra telah pulang bagi berjumpa dengan para perawat yang lebih arif dan handal bagi menguruskan kes seperti Mohamad Salahuddin menerusi jarak jauh kerana mereka berdua tidak pernah menguruskan kes sebegini, yakni aneh dan di luar daripada kemampuan mereka. Namun, mereka ada berpesan kepada Suhaibul Umar, jika berlaku lagi, segera hubungi mereka.
Setibanya Encik Mohd Firdaus dan Sakeenah di rumah Taman Lembah Keramat…
“Along apa khabar, Suhaib? Kak Long Qist hubungi ayah tadi, bunyi macam teruk sangat je. Mana dia orang?” soal Encik Mohd Firdaus dengan nada risau. Dia sendiri tidak membenarkan Suhaibul Umar memanggilnya sebagai ‘pak cik’ setelah Qistur Ruwaidah berkahwin dengan Mohamad Salahuddin kerana baginya, Suhaibul Umar juga tetap anaknya.
“Ayah, Keena… Sebenarnya, Suhaib serba salah nak beritahu ayah dan Keena. Sakit Din berpunca daripada mak. Mungkin ayah dan Keena takkan percaya cakap Suhaib,” kata Suhaibul Umar dengan nada serba salah.
“Sakit Along berpunca daripada mak? Apa maksud Along? Mak buat apa?” soal Encik Mohd Firdaus dengan penuh debar.
Suhaibul Umar membisukan dirinya seketika. Kemudian, dia bersuara semula. “Din kena sihir. Mak hantar sihir kat dia.”
“Apa Abang Suhaib cakap ni! Abang biar betul! Abang jangan pandai-pandai nak tuduh mak. Mak baik! Keena kenal mak!” Sakeenah mula meninggikan suara kepada abang kakak iparnya itu.
Qistur Ruwaidah menjadi sebak dalam biliknya tatkala dia terdengar tengkingan suara daripada Sakeenah itu. Dia tahu… Sakeenah tidak percaya.
“Keena, sabar. Jangan marahkan Abang Suhaib. Bagi Abang Suhaib terangkan sampai habis,” nasihat Encik Mohd Firdaus. Walaupun dia terkejut dengan penjelasan Suhaibul Umar itu, dia tetap perlu rasional dan mendengar penerangan lelaki itu sehingga selesai.
Wajah Suhaibul Umar berubah sedih. Dia tidak mengambil hati akan tengkingan daripada Sakeenah itu. “Keena… Abang minta maaf. Abang tahu Keena tak percaya tapi bukti memang dah ada. Sebab tu, Qist tak bagi ayah dan Keena beritahu atau bawa mak kat sini. Sekarang, Din tengah sakit teruk dan tak sedar.”
“Suhaib, ayah masih terkejut lagi ni. Susah ayah nak percaya,” terang Encik Mohd Firdaus.
“Ayah, Keena… Boleh tengok keadaan Din kat bilik tu. Din dah terlalu kurus dan cengkung sebab kesan sihir. Banyak kali dia muntah darah dan selalu kena kacau. Tadi pun, dia baru lepas kena kacau,” terang Suhaibul Umar seraya menunjukkan bilik yang didiami oleh Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin.
“Keena nak tengok Abang Long dulu! Baru Keena dengar cerita Abang Suhaib,” luah Sakeenah dalam kesedihan.
“Boleh, Keena. Abang Suhaib beritahu Qist sekejap,” kata Suhaibul Umar. Dia meninggalkan ruang tamu bagi memaklumkan kepada adiknya, lalu dia mengetuk pintu bilik tersebut. “Adik… Ayah dan Keena nak tengok Din.”
Qistur Ruwaidah membuka pintu bilik. “Boleh abang,” maklumnya seraya membuka pintu dengan luas bagi membenarkan ayah mentua dan adik iparnya menziarahi Mohamad Salahuddin.
“Ayah, Keena… Boleh jenguk Din,” kata Suhaibul Umar.
Lalu, Encik Mohd Firdaus dan Sakeenah segera menuju ke bilik tidur tersebut bagi melihat keadaan terkini Mohamad Salahuddin.
“Y… Ya Allah… Along!” rintih Encik Mohd Firdaus. Hampir sahaja dia tidak mengenali anaknya sendiri!
“A…Abang Long,” terketar-ketar suara Sakeenah tatkala dia menyaksikan sendiri keadaan abang tercintanya! Terlalu tragis seperti mayat!
Qistur Ruwaidah dan Suhaibul Umar hanya mampu memandang keluarga itu dengan penuh syahdu. Jujur, mereka berdua juga turut terkesan dengan keadaan sekarang.
“K…Kenapa mak sanggup buat Along macam ni? Apa salah Along! Dah berapa lama Along menderita! Ya Allah… Along… Bangunlah. Ayah dan Keena datang ni,” rintih Encik Mohd Firdaus lagi. Berkecai hatinya tatkala dia mengetahui ini semua perbuatan isterinya!
“Abang Long… Bangunlah… Keena rindu Abang Long! Patutlah Abang Long dah lama tak hubungi Keena… Abang Long tengah sakit rupanya…” rintih Sakeenah pula. Air matanya mengalir deras.
“Kita tunggu kat ruang tamu, adik. Bagi masa kat ayah dan Keena nak terima semua ni dulu,” kata Suhaibul Umar.
“Okey abang,” kata Qistur Ruwaidah. Lalu, dia dan abangnya meninggalkan bilik itu.
Hampir setengah jam juga Encik Mohd Firdaus dan Sakeenah berada dalam bilik tersebut. Masing-masing berasa sebak untuk Mohamad Salahuddin dan sukar menerima bahawa semua ini berpunca daripada Puan Zaidah. Setelah emosi dua beranak itu reda, mereka meninggalkan bilik tersebut bagi mendengar penerangan lanjut daripada Qistur Ruwaidah dan Suhaibul Umar.
“Kak Long…” panggil Sakeenah seraya menuju ke arah Qistur Ruwaidah. Dia mendakap kakak iparnya dengan penuh erat tanpa menyedari bahawa kakak iparnya sedang hamil.
“Shhh… Sabar ya, Keena,” pujuk Qistur Ruwaidah seraya mengusap kepala remaja itu.
“Kak Long…” panggil Encik Mohd Firdaus seraya menuju ke arah menantunya itu.
“Ayah…” balas Qistur Ruwaidah seraya bersalaman dengan ayah mentuanya itu. Dia mahu bangun bagi mendakap Encik Mohd Firdaus itu, namun dihalang oleh ayah mentuanya.
Encik Mohd Firdaus melabuhkan punggungnya di atas sofa. “Tak apa, Kak Long. Keena tengah perlukan Kak Long. Emm… Kak Long, Suhaib… Kami dah percaya apa yang jadi kat Along. Ayah nak tahu selanjutnya.”
Suhaibul Umar memandang Qistur Ruwaidah. “Qist lebih tahu dan dia rasa semua ni dengan Din. Jadi, lebih baik Qist sendiri yang buka cerita.”
Qistur Ruwaidah mengangguk. Lalu, dia memandang wajah ayah mentuanya dan adik iparnya yang masih setia mendakapnya. “Macam ni, ayah, Keena…” bicaranya. Kemudian, dia membuka keseluruhan kisah rumah tangganya tanpa berselindung sehinggalah apa yang terjadi terhadap Mohamad Salahuddin pada waktu tadi sebelum suaminya rebah.
“Ni rakaman video Along dapatkan rawatan kat pusat rawatan Islam buat kali pertama dulu. Masa tu, Wan Dolah temankan dia. Banyak jawapan yang ayah dan Keena boleh tahu daripada rakaman video ni. Keena tunjuk kat ayah sekali ya,” kata Qistur Ruwaidah seraya menyerahkan telefon pintarnya kepada Sakeenah.
Kelihatan Sakeenah meleraikan dakapan tersebut. Lalu, dia mengambil telefon pintar kakak iparnya untuk ditunjukkan kepada ayahnya sekali.
Sungguh, Encik Mohd Firdaus dan Sakeenah tidak sanggup untuk menonton rakaman tersebut tetapi mereka berdua perlu menguatkan hati bagi mendapatkan jawapan daripada video itu. Bermulalah sesi menonton rakaman video itu…
“Astaghfirullah! Selama ni, ayah kahwin dengan siapa!” rintih Encik Mohd Firdaus setelah dia menonton video itu sehingga ke akhir. Berlinangan air mata sang ayah itu. Tergamak Puan Zaidah memporak-perandakan semua ini! Kenapa isterinya tidak pernah menerima Mohamad Salahuddin selama ini sehingga isterinya sanggup menyeksa dan mahu membunuh zuriat sendiri? Kenapa dia turut disihir oleh isterinya juga tanpa dia sedar? Banyak lagi persoalan yang bermain dalam fikirannya.
Isterinya seorang tukang bomoh? Masuk akalkah semua ini? Pada saat itu, dia mulai takut untuk berjumpa dengan Puan Zaidah setelah dia mengetahui kekuasaan ilmu hitam yang dimiliki oleh isterinya itu.
“Ayah…” pujuk Sakeenah. Kelihatan ayahnya tidak mampu menahan gelora emosi kesedihan. Itulah kali pertama dia menyaksikan air mata ayahnya.
“Ayah tak reda mak buat macam ni kat Along. Apa salah Along kat mak! Ayah sendiri jadi saksi… Along tak pernah derhaka kat mak! Along anak yang baik!” luah Encik Mohd Firdaus.
“Keena tahu, ayah. Abang Long tak pernah tinggikan suara langsung kat mak. Abang Long mesti dahului mak. Kita sama-sama jadi saksi.”
Qistur Ruwaidah dan Suhaibul Umar hanya mampu mendengar bicara dua beranak itu. Ya, mereka juga menjadi saksi kebaikan Mohamad Salahuddin buat diri mereka berdua dan orang lain.
“Ayah nak kena balik sekarang. Jumpa mak,” luah Encik Mohd Firdaus seraya membangunkan dirinya dari sofa. Gelora amarahnya kian mendalam. Namun, dia ditahan oleh Suhaibul Umar.
Suhaibul Umar cuba menenangkan ayah mentua adiknya itu. “Ayah… Sabar. Jangan bertindak melulu! Ayah tahu mak tu siapa. Dia boleh buat apa je kat ayah. Lagi-lagi ayah pun dah jadi mangsa sihir mak,” ujarnya sebagai peringatan.
“Kalau ayah dah jadi mangsa sihir mak, kenapa ayah tak kena macam Along! Patutnya ayah yang kena macam Along. Bukan Along! Ayah tak sanggup tengok Along terbaring macam tu! Badan kurus kering! Ayah hampir tak kenal Along bila ayah tengok Along tadi! Along nampak macam mayat hidup!” luah Encik Mohd Firdaus lagi dengan penuh emosi. Dia terduduk lemah di atas sofa kembali.
Suhaibul Umar menggosok tubuh belakang lelaki tua itu. Jujur, dia tiada kata-kata terbaik hendak diberikan kepada Encik Mohd Firdaus.
Qistur Ruwaidah membangunkan dirinya dari sofa. Lalu, dia menghampiri ayah mentuanya. Tangan orang tua itu diraih dengan penuh kasih. “Ayah… Kak Long tahu ayah marah kat mak. Kak Long sendiri pun marah kat mak sebab mak dah porak-perandakan rumah tangga Kak Long dan Along.”
Encik Mohd Firdaus memandang wajah menantunya itu. “Ayah minta maaf bagi pihak mak. Kak Long tak patut rasa macam ni. Zaman kanak-kanak Kak Long dulu pun dah cukup sedih.”
“Tak, ayah. Ayah jangan minta maaf bagi pihak mak. Ayah tak salah. Kak Long tahu ayah dah didik mak elok-elok. Cuma, kita semua tak tahu ni kerja mak rupanya selama ni.”
“Ayah dah tawar hati dengan mak. Tahulah apa yang ayah nak buat kat mak nanti. Ayah dah sedia kalau dia nak main sihir dengan ayah pula. Kenapa ayah nak kena takut? Allah ada dengan ayah.”
Sakeenah memandang ayahnya. Dia tidak penah menyaksikan ayahnya begitu marah dan amat kecewa. Namun, dia hanya membisukan diri. Dia juga tiada kata-kata terbaik hendak diberikan kepada ayahnya.
“Hantar sekarang video Along tu kat ayah. Tahulah apa ayah nak buat nanti,” kata Encik Mohd Firdaus lagi.
“Okey ayah,” akur Qistur Ruwaidah. Dia tidak mahu bertanya apa perancangan yang mahu dilakukan oleh Encik Mohd Firdaus untuk video tersebut. Namun, apa yang pasti… Ayah mentuanya memerlukan bukti.
“Boleh ayah minta izin kat Suhaib dan Kak Long untuk tumpangkan Keena kat rumah ni buat sementara?”
Qistur Ruwaidah memandang abangnya. Kemudian, Suhaibul Umar memandang pula wajah ayah mentua adiknya itu. “Suhaib dan Kak Long tak ada masalah. Cuma, perancangan ayah macam mana? Kami risau kalau mak nak buat apa-apa kat ayah,” luah Suhaibul Umar.
Encik Mohd Firdaus terdiam seketika. “Ayah nak terus terang dengan mak. Ayah dah sedia. Cuma, tujuan ayah tinggalkan Keena kat sini buat sementara sebab ayah tak nak Keena tengok keadaan kami. Satu lagi, Keena tak perlu pergi ke sekolah sampai semua ni dah selesai,” luahnya seraya memandang anak bongsunya itu.
Sakeenah hanya mengangguk akur.
Kelihatan Encik Mohd Firdaus mengeluarkan sesuatu dari dompetnya. “Nah, Keena belilah apa-apa barang keperluan untuk beberapa hari ni. Ayah minta maaf untuk semuanya sekejap lagi,” ujarnya seraya menyerahkan sekeping kad debit kepada anak bongsunya itu.
Sakeenah menyambut kad tersebut dengan linangan air mata. Lalu, dia mendakap ayahnya. “Apa-apa pun keputusan ayah, Keena terima. Demi Abang Long,” luahnya.
“Terima kasih Keena. Doakan ayah. Ayah nak pergi berperang ni,” ujar Encik Mohd Firdaus. Lalu, dia tertawa hambar akan ayat terakhirnya itu.
Sakeenah juga turut tertawa kecil. “Sama-sama ayah. Insya-Allah Keena akan doakan kebaikan untuk ayah. Hati-hati tahu, ayah.”
“Keena pun hati-hati. Kalau mak hubungi Keena, jangan jawab. Tolong sekat nombor mak dan segala media sosial yang mak ikut Keena sekali. Ayah bukan nak kongkong Keena tapi ni untuk keselamatan Keena. Mak bukan lagi macam mak yang kita kenal selama ni. Dia sanggup buat apa je kat kita. Kalau dia berani sihir Along, tak mustahil dia akan buat yang sama kat Keena.”
“Keena faham. Ayah, jangan risau ya. Sekarang juga Keena sekat semua.”
Qistur Ruwaidah dan Suhaibul Umar tersentuh hati menyaksikan keadaan dua beranak itu. Mereka berdua juga akan mendoakan keselamatan buat Encik Mohd Firdaus.
Tidak lama kemudian, Encik Mohd Firdaus mula meninggalkan kawasan rumah kediaman menantunya itu. Fikirannya kini hanyalah Puan Zaidah. Dia sudah bersedia untuk sebarang kemungkinan. Demi anak sulungnya, Mohamad Salahuddin! Selepas ini, mungkin dia tidak akan mengenali Puan Zaidah atau dalam erti kata lain, Puan Zaidah akan menunjukkan belang.
BANGI
“Awal abang balik hari ni. Ida nak kena jemput Keena ke sekejap lagi?” ujar Puan Zaidah. Lalu, dia menyalam tangan Encik Mohd Firdaus setelah suaminya pulang ke rumah.
Alangkah runtun hati Encik Mohd Firdaus tatkala dia melihat isterinya telah menghancurkan hatinya sebagai seorang suami dan ayah.
“Tak payah. Abang yang jemput Keena nanti,” balas Encik Mohd Firdaus bersahaja. Dia tidak akan berlaku jujur dengan isterinya tentang pertemuan dia di rumah menantunya tadi. Sakeenah juga sudah selamat berada di rumah menantunya itu. Nyawa Mohamad Salahuddin dan Sakeenah paling utama berbanding nyawanya sendiri!
“Sebenarnya, Ida tak masak lagi untuk buka puasa nanti. Boleh tak Ida minta izin abang nak gantung kuali hari ni?” ujar Puan Zaidah
“Boleh je. Emm… Ida, abang nak cakap sesuatu dengan Ida kat bilik tidur kita,” balas Encik Mohd Firdaus.
“Sekarang?”
“Haah… Sekarang,” balas Encik Mohd Firdaus seraya menuju ke bilik tidur.
Puan Zaidah membuntuti suaminya. Sebenarnya, dia berasa aneh dengan suaminya. Dia dapat merasakan suaminya sedang bersikap dingin dengannya.
Kelihatan Encik Mohd Firdaus melabuhkan punggungnya di atas katil. Puan Zaidah turut mengikuti perbuatan suaminya itu. Dia melabuhkan punggung di atas katil.
Lalu, Encik Mohd Firdaus memandang isterinya bersama perasaan penuh hiris dan hiba. ‘Kenapa kau syirikkan Allah, Ida! Kenapa Ida! Kenapa! Kenapa kau sihir Along! Kenapa kau seksa Along!’ bisik hatinya penuh hiba.
Puan Zaidah mematikan lamunan suaminya. “Abang? Abang nak cakap apa dengan Ida? Bunyi macam serius je.”
“Tiba-tiba abang teringat sesuatu. Ida ingat tak masa kita belajar sama-sama kat UK dulu?” soal Encik Mohd Firdaus.
“Eh, mestilah! Mana Ida pernah lupa. Siapa sangka kita akan dapat Keena masa abang sambung PHD dulu,” luah Puan Zaidah dengan penuh ceria seraya memegang tangan kiri Encik Mohd Firdaus. Dia amat mencintai suaminya dengan sepenuh hati.
‘Kau dah guna-gunakan aku, seksa Along… Kurang ajar! Siap kau! Kau akan terima balasan sekejap lagi!’ bentak hati Encik Mohd Firdaus lagi.
“Kalau kenangan dengan Along, apa yang Ida ingat masa dia kat sana?” soal Encik Mohd Firdaus.
“Along? Oh ya! Along petah bercakap. Macam bertih jagung. Bijak pula tu. Ida bangga besarkan Along. Sekarang, Along pun dah kahwin. Cepat je masa berlalu. Kenapa abang tiba-tiba bangkitkan pasal UK? Abang rindu nak pergi sana ya?” ujar Puan Zaidah.
“Rindu juga. Nah, abang ada kejutan untuk Ida,” kata Encik Mohd Firdaus seraya menyerahkan telefon pintarnya.
“Kejutan? Kejutan dari telefon abang?” soal Puan Zaidah. Dia termangu-mangu. Namun, dia menyambut telefon pintar suaminya itu.
“Ya. Tinggal Ida nak masukkan kata kunci telefon abang je. Bila Ida dah masukkan kata kunci, Ida terus nampak kejutan tu.”
“Okey. Ida boleh masukkan kata kunci sekarang?”
“Boleh.”
Lantas, Puan Zaidah memasukkan kata kunci di telefon pintar suaminya. Dia dan Encik Mohd Firdaus tahu kata kunci telefon pintar sesama mereka berdua.
Setelah Puan Zaidah memasukkan kata kunci tersebut… “Eh, video?” soalnya seraya memandang wajah suaminya.
“Tekanlah,” kata Encik Mohd Firdaus.
Puan Zaidah mula memainkan video itu. Alangkah terkejutnya dia tatkala dia menyaksikan rakaman video Mohamad Salahuddin sedang berubat di pusat rawatan Islam.
“Apa semua ni, Zaidah binti Ishak?” soal Encik Mohd Firdaus. Nadanya mula bertukar serius.
Puan Zaidah membisukan dirinya.
“Zaidah binti Ishak… Aku tanya ni! Kau buat apa kat Along!” bentak Encik Mohd Firdaus. Memandangkan kesabarannya sudah sampai had, dia terlepas penggunaan ‘aku-kau’ terhadap isterinya.
Tiba-tiba Puan Zaidah tertawa. Anak matanya juga berubah dari warna coklat cair ke warna merah.
“Astaghfirullah!” ucap Encik Mohd Firdaus seraya terjatuh dari katil. Alangkah terkejutnya dia tatkala dia menyaksikan perubahan isterinya itu!
Puan Zaidah menghampiri suaminya. Lalu, dia memegang wajah suaminya bersama kuku yang amat panjang dan tajam. “Ha… Sekarang, abang dah tahu kejahatan Ida. Abang pun dah tahu Ida sihir abang tapi abang tak tahu Ida sihir apa kat abang, kan? Maaf, Ida tak boleh beritahu. Cuma, Ida dah buat abang lupa dengan masa lalu. Jangan risau. Ida takkan apa-apakan abang sebab Ida cinta sangat kat abang.”
Wajah Encik Mohd Firdaus sudah menjadi amat takut. Namun, dia perlu berani. Sejauh mana kekuatan ilmu hitam isterinya itu? Apakah maksud isterinya ‘Ida dah buat abang lupa dengan masa lalu’?
“Abang takut tengok Ida macam ni? Kita dah bersama 23 tahun, abang sayang,” ujar Puan Zaidah, sinis.
“Ida, kembalilah ke jalan benar! Jangan syirikkan Allah lagi! Abang sayangkan Ida,” rayu Encik Mohd Firdaus.
“Untuk apa Ida nak kembali lagi? Ida dah lama bergelumang dengan ilmu hitam. Satu lagi, abang dah tak cintakan Ida. Apa lagi? Ceraikanlah Ida. Tu yang abang nak lepas abang dah tahu apa yang Ida buat kat Along, kan? Isteri abang ni tukang bomoh. Mana abang nak kat Ida dah, kan? Cuma, kalau abang ceraikan Ida, nyawa Along dalam bahaya. Ada sesuatu yang menarik tengah tunggu Along. Along tengah pengsan sekarang, kan?”
“Kenapa Ida seksa Along… Sihir Along? Apa salah Along kat Ida?”
Kelihatan Puan Zaidah sedang bermain dengan tangannya. “Lalalalala~” nyanyinya dengan penuh ceria lagak seorang psiko.
Tiba-tiba tangan Encik Mohd Firdaus terasa berat. “I…Ida bu…buat a…pa n..i?” soalnya dengan penuh kesakitan. Wajahnya berkerut-kerut.
Puan Zaidah menyentuh siku suaminya. “Abang nak tahu Ida buat apa? Selama kita bersama, Ida akan gigit kat siku abang ni supaya abang tunduk kat Ida. Memang abang tak rasa apa-apa tapi macam Ida cakap tadi, Ida dah buat abang lupa dengan masa lalu.”
Semakin lama, Encik Mohd Firdaus tidak mampu bertahan dengan sakit yang menyerang tangannya itu sehingga dia rebah di atas lantai. Nyawanya hampir sahaja maut di tangan isterinya.
Tiba-tiba…
“Berhenti kacau Firdaus, Zaidah!” muncul satu suara di belakang Puan Zaidah.
Puan Zaidah menoleh ke belakang. Kelihatan gerangan seorang wanita yang cukup dia kenal. Wanita itu turut ditemani oleh seorang lelaki di sisinya. “Wah, Afra Maisurah! Lama tak jumpa lepas kita sama-sama habis belajar ijazah dulu. Berjaya juga kau tembus roh Firdaus ya. Oh sekejap. Siapa lelaki sebelah kau tu? Laki kau ya? Kahwin tak jemput. Sampai hati tahu…”
Encik Mohd Firdaus memandang isterinya sedang bercakap dengan seseorang. Namun, dia tidak nampak apa-apa melainkan isterinya sedang bercakap dengan pintu.
“Aku datang bukan nak sembang dengan kau, Ida! Berkali-kali aku cuba selamatkan roh suami kau tapi apa yang aku nampak banyak penjaga kau tengah jaga roh suami kau. Kau ni memang durjana sungguh! Dah berapa lama kau seksa roh Firdaus tanpa dia sedar!” bentak Ustazah Afra.
Puan Zaidah meletakkan jari kanannya di bibir sambil membuat lagak berfikir. “Dah berapa lama? Emm… Sekejap ya. 23 tahun? Ha, yalah. 23 tahun.”
Ustazah Afra dan Ustaz Fuad mengetap bibir, menahan geram dengan perangai psiko Puan Zaidah itu.
“Lepaskan Firdaus,” giliran Ustaz Fuad pula bersuara.
“Kenapa pula aku nak lepaskan dia? Dialah kena lepaskan aku. Dah dia suami aku, kan? Talak berkuasa kat kaum suami, pak ustaz. Bukan kaum isteri,” perli Puan Zaidah.
Semakin lama Encik Mohd Firdaus nampak gerangan yang berada di pintu itu. Dia ingat wanita itu. Afra Maisurah! Insan yang pernah menjaga Mohamad Salahuddin di United Kingdom pada suatu ketika dahulu ketika dia dan isterinya menghadiri kuliah sebelum wujudnya Sakeenah.
“Boleh tak kau jangan main-main, Ida! Apa masalah kau dengan Firdaus dan Salahuddin selama ni!” bentak Ustazah Afra.
“Apa masalah? Tu bukan masalah aku untuk beritahu kau orang, durjana!” balas Puan Zaidah seraya menyeksa Encik Mohd Firdaus di tangan kanannya itu.
“I…da b…ber…hen…ti,” rayu Encik Mohd Firdaus.
Mulut Ustaz Fuad mula terkumat-kamit membacakan doa-doa dan ayat-ayat Al-Quran bagi melindungi Encik Mohd Firdaus. Kelihatan tubuh Encik Mohd Firdaus dilindungi oleh cahaya sebagai benteng pertahanan agar berkurangan kesakitan yang dialami oleh lelaki itu.
“Laa… Laki kau tengah lindung laki aku ke, Afra? Bosan betullah. Nampak sangat amatur. Orang cakap ‘budak baru nak up’,” kata Puan Zaidah seraya memusnahkan benteng yang dipasang oleh Ustaz Fuad.
“T…Tak guna,” luah Ustaz Fuad.
“Ustaz kena banyakkan bersabar di bulan yang mulia ni. Ramadan pun dah nak habis. Baik ustaz fokus untuk 10 malam terakhir ni daripada ustaz sibuk nak jaga tepi kain rumah tangga orang,” perli Puan Zaidah.
“Aku dan suami aku tak nak keruhkan keadaan, Ida. Sekarang, bebaskan roh Firdaus. Bebaskan juga Salahuddin. Kita orang janji takkan kacau kau lagi,” kata Ustazah Afra.
“Boleh, dengan syarat… Aku akan lepaskan Firdaus. Lepas tu, aku nak bunuh Salahuddin pula. HAHAHAHAHA!”
“Zaidah binti Ishak! Kau ni, tak habis-habis menyusahkan orang dari dulu,” laung seseorang. Munculnya seorang lelaki di sebelah Ustaz Fuad.
“Eh, Marzuqi! Apa khabar kawan lama? Sejak bila kau insaf? Sejak bila kau sertai Afra dan laki dia pula?” ujar Puan Zaidah bersama sengihan nakal bagi menggambarkan dirinya semakin psiko dan membuka aib Ustaz Marzuqi.
Ustazah Afra dan Ustaz Fuad memandang Ustaz Marzuqi. Apakah makna Puan Zaidah itu?
“Nanti aku cerita. Sekarang, kita kena selamatkan roh Firdaus,” balas Ustaz Marzuqi.
“Macam mana kau orang nak selamatkan Firdaus? Firdaus ni dah tunggu masa nak jadi arwah,” perli Puan Zaidah.
“Oh, kita orang tak perlu buat apa-apa. Ada member kita orang akan tolong Firdaus. Tengoklah kat belakang kau tu,” balas Ustaz Marzuqi.
Puan Zaidah menoleh ke belakang. Alangkah terkejutnya dia tatkala dia ternampak beberapa orang kenalan para perawat Islam itu. Kelihatan mereka tidak membawa apa-apa senjata melainkan tasbih dan Al-Quran di genggaman.
Sementara dari sisi Encik Mohd Firdaus, dia juga ternampak dirinya di sebalik dunia lain. Sungguh, dia tidak mengerti! Sekarang, dia sedang berada di dua dunia, iaitu realiti dan mistik yang begitu kacau-bilau. Dia memejamkan matanya. Mana tahu dia boleh lakukan sesuatu bagi membantu para perawat Islam itu.
Di dunia lain, Puan Zaidah mula menyerang para perawat dengan kuasa api bagi membakar semua orang sehingga para perawat Islam lari bertempiaran.
“Ha! Takut pun! Lain kali, jangan kacau urusan aku!” kata Puan Zaidah dengan penuh ceria. Dia berterusan membaling api dan cuba mengawal minda para perawat Islam agar tunduk kepadanya, namun mereka menghilangkan diri secara tiba-tiba.
“Heh… Pengecut! Baru kau tahu kuasa ilmu hitam aku. Kau ingat sihir aku ni sihir biasa-biasa ke ha? Banyak tempatlah aku belajar. HAHAHAHAHA!”
Encik Mohd Firdaus sudah menangis ketakutan. Kini, tiada siapa lagi yang boleh menyelamatkan dirinya melainkan dia perlu berserah untuk menjadi mangsa sihir isterinya sendiri.
Sementara di Pusat Rawatan Islam Al-Ikhtiyar…
“Zaidah makin kuat daripada apa yang aku sangkakan,” kata Ustaz Marzuqi setelah dia membuka matanya.
Pada ketika itu, Ustaz Marzuqi, Ustazah Afra, Ustaz Fuad, Ustaz Lubaid dan beberapa orang pembantu Ustaz Marzuqi berada di pusat rawatan tersebut bagi membantu Encik Mohd Firdaus dan Mohamad Salahuddin dengan menghantar roh masing-masing menerusi jarak jauh.
Caranya, mereka berada dalam satu bulatan dalam keadaan mata tertutup dan berpegangan tangan bagi menghubungkan sesama mereka di dunia lain. Memandangkan kuasa ilmu hitam Puan Zaidah lebih kuat, mereka terpaksa mengundur diri dari dunia tersebut bagi memikirkan strategi lain.
“Macam mana kita nak selamatkan Firdaus? Zaidah terlalu ampuh,” luah Ustaz Fuad. Dia tidak dapat membayangkan kesengsaraan yang bakal dialami oleh Encik Mohd Firdaus itu.
“Solat hajat. Tu je caranya sekarang untuk kita selamatkan Firdaus dari jauh. Ada sesiapa cuba tembus roh Salahuddin atau tahu kat mana keberadaan roh dia sekarang?” balas Ustaz Marzuqi.
Masing-masing menggelengkan kepala. Tiada siapa yang tahu di mana Puan Zaidah menyembunyikan roh Mohamad Salahuddin.
“Kalau macam tu, tak apa. Sekarang, kita fokus kat Firdaus dulu. Jangan mengalah lagi. Semoga Allah lindungi kita,” kata Ustaz Marzuqi dengan tenang. Namun, hatinya sarat dengan kerisauan.
“Marzuqi, apa maksud Zaidah… ‘Apa khabar kawan lama? Sejak bila kau insaf?’? Kau pernah kenal Zaidah ke?” soal Ustaz Lubaid.
Ustaz Marzuqi mengangguk perlahan. Lalu, dia membuka lembaran kisah silamnya. “Zaidah teman sekampung aku dulu kat Kelantan. Kami sama-sama belajar ilmu hitam dari sekolah menengah daripada ayah dia sendiri. Aku menuntut dengan ayah dia lama juga tapi sampailah satu hari… Aku bermimpi, tubuh aku dibakar berulang kali, dipukul dengan cemeti dan mimpi tu berulang setiap malam. Bila aku ingat balik, seksa. Hidup aku jadi tak menentu, kosong…”
Lalu, Ustaz Marzuqi menyambung bicaranya. “Dipendekkan cerita, aku jumpa dengan seorang ustaz kat kampung aku dan dia suruh aku bertaubat. Lepas tu, aku berhijrah ke tempat lain dan sampailah aku jumpa kau orang. Sebab tu, aku tahu pasal dunia roh dia sebab aku sendiri pun pernah ada dunia roh ciptaan aku sendiri. Nama dia pun memang aku cam sangat sebab aku tak ada kawan lain nama Zaidah kecuali dia sendiri. Setakat tu je aku boleh cerita. Sekarang, kita kena selamatkan roh Firdaus.”
Masing-masing mengangguk laju. Sebuah kesyukuran terbit dalam jiwa para perawat Islam setelah mereka mengetahui kisah silam Ustaz Marzuqi. Hidayah menyapanya melalui mimpi yang cukup menggerunkan.
“SEKARANG, abang nak buat apa? Dah tak ada orang boleh tolong abang lagi. HAHAHAHAHAHA!” ujar Puan Zaidah seraya mencuit hidung suaminya.
Encik Mohd Firdaus hanya diam membisu. Sekiranya dia bersuara, keadaan semakin teruk.
“Kenapa abang diam ni? Abang tak nak cakap apa-apa?” ujar Puan Zaidah lagi sambil bermain rambut suaminya.
“Abang tak nak keruhkan keadaan,” barulah Encik Mohd Firdaus bersuara.
“Ya ke abang tak nak keruhkan keadaan? Sedangkan, memang abang dah keruhkan keadaan pun. Kalau abang tak mulakan dulu, Ida takkan jadi macam ni.”
“Apa yang Ida buat ni, salah. Ida dah libatkan Along. Ida dah seksa Along. Kenapa Ida sihir Along? Abang cuma nak tahu kenapa.”
Kelihatan Puan Zaidah kembali ke rupa asal. Warna anak mata merahnya sudah kembali ke warna coklat cair. Kukunya juga sudah kembali ke rupa asal kuku manusia. “Rahsia. Dahlah. Ida nak pergi siap ambil Keena dan pergi ke bazar Ramadan. ”
Tangan Encik Mohd Firdaus juga sudah tidak lagi rasa sakitnya. Perlahan-lahan dia membangunkan dirinya. Kelihatan Puan Zaidah sedang menyarung jubah hitamnya.
“Ida tak perlu ambil Keena,” kata Encik Mohd Firdaus.
“Kenapa? Takut Ida bahayakan Keena macam mana Ida dah bahayakan abang dan Along?” ujar Puan Zaidah dengan sinis.
Wajah Encik Mohd Firdaus berubah muram. Nampak gayanya, dia tiada pilihan lagi. Dia tidak mahu Puan Zaidah mengetahui keberadaan Sakeenah di rumah menantunya itu. “Zaidah binti Ishak… Hari ni, hari terakhir Ida jadi isteri abang. Abang ceraikan Ida dengan talak tiga.”
Sebagai seorang pensyarah undang-undang yang pernah mempelajari bahagian undang-undang syariah, bukan Encik Mohd Firdaus tidak mengetahui berkenaan undang-undang tersebut. Namun, dia sudah tidak peduli lagi untuk menceraikan isterinya tanpa kebenaran pihak mahkamah. Dia tidak peduli lagi untuk dikenakan denda. Ingatannya terhadap Mohamad Salahuddin dan Sakeenah semakin kuat. Dia tidak memerlukan Puan Zaidah lagi sebagai isterinya. Cintanya sudah mati untuk Puan Zaidah!
Dek hancurnya hati sang suami itu serta kuatnya ingatan dia terhadap anak-anak tercinta, dia memilih talak tiga supaya dia tiada niat lagi untuk merujuk atau kembali kepada bekas isterinya itu jika dia memilih talak satu atau talak dua. Bahkan, keputusannya melafazkan talak tiga membuatkan dia menjadi lebih tenang dan timbul rasa reda dalam hatinya.
Dia juga tidak peduli lagi akan statusnya sebagai seorang duda anak dua. Semua kerana kasihnya dia sebagai seorang ayah buat Mohamad Salahuddin dan Sakeenah. Anak-anaknya lebih penting! Apatah lagi, nyawa Mohamad Salahuddin dalam bahaya!
Puan Zaidah tersenyum sinis. “Terima kasih, Mohd Firdaus bin Hasbullah. Kau tunggu ya! Aku akan pastikan anak kau, Mohamad Salahuddin tu mampus! Tu janji aku!”
Wajah Encik Mohd Firdaus berubah bengis. “K…Kau… Dasar manusia mensyirikkan Allah! Memang kau kejam! Mana sifat perikemanusiaan kau untuk Along! Mohamad Salahuddin tu anak kau! Mak jenis apa kau ni! Selama kau sihir Along, ada kau fikir Along tu anak kau!”
“Tak. Kau ingat aku ada masa nak ingat ke? Memang taklah… Tanya lagi soalan kurang cerdik. Harap belajar je sampai PHD.”
Sungguh, Encik Mohd Firdaus berasa amat sakit hati dengan kata-kata bekas isterinya itu! Puaka sungguh mulutnya! Dia terbayangkan kesengsaraan anaknya, Mohamad Salahuddin yang masih tidak sedarkan diri setelah anak sulungnya itu melalui pelbagai ujian sihir yang dihantar oleh bekas isterinya itu di bulan penuh mulia ini. “K…Kurang ajar. Macam ni rupanya perangai kau! Dasar perempuan tak guna! Aku menyesal kahwin dengan kau!”
Puan Zaidah mencebikkan wajahnya. “Menyesal? Selama 23 tahun kita kahwin, baru sekarang kau nak cakap kau menyesal? Lepas kau baru dapat tahu pasal aku, kau terus bagi talak tiga kat aku. Ceh… Nampak sangatlah kau ni dasar fikir nak senang je, cik abe oii. Dasar lupa pengorbanan isteri,” ujarnya dengan penuh sinis.
“Kau yang mulakan permainan kejam ni dulu. Sekarang, kau nak acah-acah jadi mangsa pula? Kau cakap aku fikir nak senang? Aku lupa pengorbanan isteri? Tak! Bahkan, aku berterima kasih kat kau sepanjang kau jadi isteri aku dan mak kepada Along dan Keena selama 23 tahun ni. Kau dah mudahkan urusan kami semua tapi kau sendiri yang cari pasal. Kau yang porak-perandakan semua ni, termasuklah rumah tangga Along dan Kak Long!”
Puan Zaidah membuat wajah bosan. “Apa-apalah Firdaus. Aku dah tak nak gaduh dengan kau. Lagipun, kita ni bukannya suami isteri lagi. Disebabkan aku masih cintakan kau, aku takkan bunuh kau. Sekarang, aku nak pergi ambil Keena kat sekolah. Keena akan duduk dengan aku.”
Encik Mohd Firdaus membalas sinis. “Kau carilah Keena sampai hujung dunia. Kau takkan jumpa dia. Keena pun dah tahulah pasal kau. Dia dah tahu mak dia ni tukang bomoh. Dia pun tak inginlah kat kau lagi!”
Puan Zaidah terkedu. Sejak bila Sakeenah juga sudah tahu? Ah, apa-apa pun, dia mesti dapatkan Sakeenah! Dia segera mencapai telefon pintarnya. Nama Sakeenah segera ditekan di bahagian ‘Contacts’.
“Nombor yang anda dail tidak dapat dihubungi,” hanya suara operator telefon yang menjawab. Bermakna, Sakeenah telah menyekat nombor ibunya.
“Mana kau sorok Keena, jantan!” bentak Puan Zaidah.
“Kau ingat, aku bodoh nak beritahu kau? Sekarang, kau berambus dari rumah ni! Kau hanya boleh ambil pakaian kau je. Aku takkan izinkan kau ambil kereta yang aku bagi sebab aku yang bayar dan kereta kau tu atas nama aku. Kali ni, aku takkan bagi belas kasihan kat kau lagi. Sikit pun tak,” balas Encik Mohd Firdaus.
“Memang kau tak takut ya, Firdaus? Kau sedar tak kau hampir nak mati tadi? Sekarang juga, aku boleh tamatkan riwayat kau. Alang-alang tak ada siapa yang boleh bantu kau lagi. Masing-masing lari masa nak selamatkan kau tadi. Heh, dasar perawat Islam yang pengecut!”
“Kenapa aku nak takut dengan kau? Sedangkan aku percaya Allah ada untuk aku. Aku masih ada iman. Lagi-lagi, kita berada kat bulan penuh mulia. Kau ni di antara golongan syaitan yang terlepas.”
“Kau nak berfalsafah pula ya, jantan. Okey…”
Lalu, Puan Zaidah mula memandang anak mata bekas suaminya itu. Pada ketika itu, Encik Mohd Firdaus tidak sempat untuk mengalihkan anak matanya ke tempat lain. Dirinya sudah dipukau oleh bekas isterinya itu.
Puan Zaidah tersenyum puas. “Okey sayangku Firdaus. Jom ikut aku ke dapur. Biar aku nak ajar kau betapa hebatnya sihir aku ni.”
Encik Mohd Firdaus hanya menurut. Pandangannya kosong. Jiwanya juga turut kosong. Dia membuntuti Puan Zaidah sehingga ke dapur.
“Kau nampak pisau tu?” soal Puan Zaidah seraya menunjukkan tempat letak pisau.
Encik Mohd Firdaus mengangguk.
“Sekarang, kau pergi ambil pisau tu. Ambil pisau potong daging tahu. Aku tak nak pisau potong bawang. Tak seronok. Aku nak ajar kau cara nak tamatkan riwayat kau dengan sendiri.”
Encik Mohd Firdaus hanya menuruti perintah isterinya. Lalu, dia mengambil pisau pemotong daging itu. Dia kembali semula ke arah isterinya.
“Okey, buat macam ni,” kata Puan Zaidah seraya menunjukkan tangannya sebagai pisau pemotong daging. Lalu, dia meletakkan tangannya di leher.
Encik Mohd Firdaus menurut lagi.
Puan Zaidah mengusap kepala bekas suaminya itu. “Bagus. Kau ni cekap sungguh. Okey, kau toreh leher kau perlahan-lahan tahu. Satu, dua, ti…”
Tiba-tiba tubuh Puan Zaidah terpelanting sehingga ke dinding. Serta-merta, Encik Mohd Firdaus tersedar. Alangkah terkejutnya dia tatkala pisau pemotong daging itu berada di lehernya. Lalu, dia mencampakkan pisau tersebut. Dia hampir membunuh dirinya sendiri dalam keadaan dia dipukau!
‘Celaka punya perempuan! Sejauh mana kuatnya sihir dia!’ bentak hati Encik Mohd Firdaus.
“Firdaus, sorok kat belakang kami!” kedengaran suara Ustaz Marzuqi di belakangnya.
Encik Mohd Firdaus menoleh ke belakang. Alangkah terkejutnya dia tatkala ustaz tersebut dan para perawat Islam kembali menyelamatkan dirinya! Cepat-cepat dia bersembunyi di belakang orang-orang tersebut. Jika orang lain melihat dengan mata kasar, mereka tidak akan nampak apa-apa. Hanya orang yang mempunyai deria keenam berkebolehan untuk menyaksikan dunia lain.
Puan Zaidah membangunkan dirinya semula. “Laa… Semua datang balik. Hebat, hebat, hebat! Semua tak takut mati rupanya. Ni dah sedia nak mati ke?”
Sementara di Pusat Rawatan Islam Al-Ikhtiyar pula, setelah para perawat Islam menunaikan solat hajat, mereka kembali ke bulatan dengan keteguhan iman yang semakin tinggi. Hanya pada Allah, mereka meletakkan sepenuh pergantungan bagi menyelamatkan Encik Mohd Firdaus buat kali kedua. Kini, deria keenam mereka sudah semakin bersedia.
Puan Zaidah mula membacakan mantera bagi menyerang insan-insan tersebut. Namun, benteng itu begitu ampuh hasil para perawat Islam membacakan doa-doa dan ayat-ayat Al-Quran sebagai pelindung.
Bacaan mantera Puan Zaidah memakan dirinya semula sehingga dia tercedera. Beberapa bahagian pakaiannya sudah koyak. Pada ketika itu, muncullah makhluk suruhannya, iaitu Ogre. Ogre sudah bersedia hendak menyerang balas. Para perawat Islam juga sudah bersedia untuk menyerang makhluk tersebut.
Namun, Puan Zaidah menghalang sambil bercakap dalam nada perlahan. “Kita berundur, Ogre. Kita tak kalah. Apa yang penting, Salahuddin dah ada kat tangan kita sekarang.”
“Tapi puan…” kata Ogre.
Puan Zaidah menggeleng kepalanya. “Aku dah cedera. Aku takkan boleh lawan dengan dia orang dalam keadaan macam ni. Mantera aku dah makan diri aku. Aku dah tak nak berperang dengan manusia-manusia tak guna tu. Makin panjang pula ceritanya nanti. Sekarang, aku nak fokus kat Salahuddin je.”
“Kalau macam tu, aku bawa puan kat tempat tu. Puan tahan sikit ya. Nanti aku ubatkan kau,” kata Ogre seraya mendukung Puan Zaidah. Tubuh bersaiz gergasi itu mudah sahaja untuk mendukung tuannya yang bersaiz manusia.
Tiba-tiba Puan Zaidah dan Ogre menghilangkan diri. Masing-masing tergamam. Tiada angin, tiada ribut… Hilang begitu sahaja!
“Dia dah hilang? Sekarang, kita nak buat apa?” soal Encik Mohd Firdaus dengan nada tidak percaya.
“Mesti dia dah rancang lain ni. Zaidah yang saya kenal dari dulu, takkan pernah kenal erti kalah,” luah Ustaz Marzuqi dengan nada geram. Lalu, dia memandang Encik Mohd Firdaus. “Firdaus, saya minta maaf.”
“Eh, kenapa tiba-tiba ni, ustaz? Ustaz tak buat salah apa-apa pun dengan saya,” kata Encik Mohd Firdaus.
“Kalau saya tahu Firdaus kahwin dengan Zaidah, sayalah orang pertama yang akan halang tapi saya percaya, dia dah sihir Firdaus masa tu. Macam saya cakap tadi, dia takkan pernah kenal erti kalah. Dia sanggup buat apa sahaja dengan cara kotor.”
“Dia ada cakap kat saya tadi… Dia ada gigit kat siku saya supaya saya sentiasa tunduk kat dia. Dia cakap lagi, dia dah buat saya lupa dengan masa lalu. Saya tak faham maksud dia, ustaz.”
Ustaz Marzuqi terdiam seketika. Sungguh, dia juga tidak tahu apa makna kata-kata Encik Mohd Firdaus itu. Ternyata sihir Puan Zaidah melangkaui batasan pemikirannya yang terhad. Selepas dia meninggalkan dunia ilmu hitam, kebolehannya terbatas. Dia tidak mahu bergelumang lagi dengan noda-noda dosa.
Memandangkan dirinya pernah mensyirikkan Allah, sehingga kini dia menggantikan ibadah solat, puasa dan zakat serta mengucap dua kalimah syahadah berkali-kali. Sungguh dia amat takut jika dia mati dalam kekufuran tanpa reda daripada Maha Pencipta. Seringkali dia mengingatkan dirinya berkenaan ayat Al-Quran dan hadis Nabi berkenaan mensyirikkan Allah.
‘Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar’. (Surah An-Nisa’: 48)
‘Dosa-dosa paling besar ialah;
1. Mensyirikkan Allah.
2. Menderhakai kedua-dua ibu-bapa.
3.Membunuh manusia.
4. Memberi kesaksian palsu/dusta.’
(Hadis riwayat Imam Bukhari dari Anas r.a.)
Sungguh, Ustaz Marzuqi menyesal dan mengharapkan agar Allah mengampuni dosa-dosa lalunya.
“Maafkan saya, Firdaus. Saya sendiri pun tak tahu. Kebolehan Zaidah untuk ilmu hitam dia terlalu dahsyat. Jauh dari apa yang saya bayangkan selama saya kenal dia dulu,” balas Ustaz Marzuqi.
“Macam mana ustaz kenal isteri saya?” soal Encik Mohd Firdaus.
“Panjang ceritanya, Firdaus. Ada masa nanti, saya akan ceritakan. Sekarang, Firdaus kena berubat. Insya-Allah. Rawatan ni sekejap je.”
“Baiklah. Jom ikut saya ke ruang tamu.”
MATA Encik Mohd Firdaus terbuka. Alangkah terkejutnya dia tatkala dia ternampak Sakeenah di sisinya. “K…Keena,” panggilnya lemah.
“Alhamdulillah. Ayah dah sedar,” ucap Sakeenah seraya menyeka air matanya.
“Ayah kat mana ni?” soal Encik Mohd Firdaus, kebingungan.
“Kat rumah Kak Long. Tadi, Keena dan Abang Suhaib yang bawa ayah kat sini dari Bangi.”
Encik Mohd Firdaus kabur. Kali terakhir, apa yang dia ingat, iaitu Ustaz Marzuqi memintanya membaringkan diri di atas sofa ruang tamu rumahnya di Bangi bagi mengubatinya sebelum dia memejamkan matanya.
Sementara bagi Ustaz Marzuqi dan Ustaz Fuad pula, mereka berdua berhubung dengan Suhaibul Umar menerusi talian telefon bagi memaklumkan keadaan Encik Mohd Firdaus. Tanpa melengahkan masa, Suhaibul Umar dan Sakeenah terus menuju ke Bangi bagi mengambil sang ayah itu kerana Sakeenah sahaja yang ada kunci rumah tersebut.
Selama Encik Mohd Firdaus tidak sedarkan diri, Ustaz Marzuqi, Ustaz Fuad dan beberapa perawat Islam yang lain mengubatinya dari jarak jauh dengan menggunakan deria keenam. Dengan izin Allah, roh Encik Mohd Firdaus berjaya dibebaskan tanpa dibelenggu lagi oleh sihir Puan Zaidah. Musnahlah segala sihir yang pernah dipasang oleh Puan Zaidah terhadap bekas suaminya itu.
Namun, Ustaz Marzuqi sendiri masih mencari jawapan berkenaan gigitan di siku dan memori lalu milik Encik Mohd Firdaus yang telah hilang. Namun, masih tiada jawapan sehingga kini.
Encik Mohd Firdaus masih bingung lagi. Sakeenah menteteramkan ayahnya itu. “Ayah… Jangan fikir sangat. Alhamdulillah. Sekarang, ayah dah selamat.”
“Along macam mana? Dia dah sedar ke?” soal Encik Mohd Firdaus.
“Belum, ayah.”
“Sihir mak bukan biasa-biasa yang kita biasa dengar. Sihir mak lebih dari tu. Ayah tahu mak tengah cuba nak buat sesuatu dengan roh Along. Mak akan bunuh Along dengan cara halus.”
Sakeenah terdiam seketika. “Keena tahu, ayah. Ustaz pun dah cerita kat kami apa yang ayah lalui tadi. Keena ingat Keena akan hilang ayah hari ni. Dua kali mak cuba bunuh ayah.”
Tiba-tiba Qistur Ruwaidah dan Suhaibul Umar muncul di ruang tamu. “Ayah dah sedar?” soal Qistur Ruwaidah seraya menatang air suam di atas dulang.
“Alhamdulillah. Ayah baru sedar je, Kak Long,” jawab Sakeenah mewakili ayahnya itu.
Encik Mohd Firdaus memandang menantunya itu. “Kak Long okey?”
“Alhamdulillah. Kak Long okey je tapi Kak Long, Abang Suhaib dan Keena yang risau kat ayah. Macam mana kami tak risau? Ayah hampir kena bunuh dengan mak. Masa ustaz cerita tu, mahu jantung kami tak gugur. Mak dah jadi macam ahli sihir gila! Psiko!” luah Qistur Ruwaidah.
Encik Mohd Firdaus tersenyum. “Ayah minta maaf, semua. Ayah tahu ayah dah risaukan semua. Ya, memang ikutkan ayah dah nak mati tadi. Insya-Allah lepas ni ayah akan lebih berhati-hati. Sebenarnya, ayah dah ceraikan mak.”
Sakeenah, Qistur Ruwaidah dan Suhaibul Umar terkejut dengan penerangan Encik Mohd Firdaus itu. Nampaknya, para perawat Islam tidak memaklumkan hal tersebut atau mungkin mereka juga tidak mengetahuinya.
“Ayah dah ceraikan mak?” soal Sakeenah.
Encik Mohd Firdaus mengangguk. “Haah… Talak tiga. Pasal tu, para perawat Islam tak tahu sebab masa tu, dia orang sembunyikan diri sekejap. Macam mana ayah nak terangkan ya? Ayah pun pening juga. Kena cerita dari mula.”
Lalu, Encik Mohd Firdaus menceritakan permulaan kisah sewaktu dia menunjukkan video tersebut kepada Puan Zaidah sehinggalah detik dia memejamkan mata bagi Ustaz Marzuqi dan Ustaz Fuad mengubatinya. Kemudian, sedar-sedar sahaja, dia berada di rumah menantunya.
Barulah Qistur Ruwaidah, Sakeenah dan Suhaibul Umar mengerti akan perjalanan yang dilalui oleh Encik Mohd Firdaus itu.
“Sekarang, pukul berapa?” soal Encik Mohd Firdaus.
“Pukul 6.15 petang. Sempat lagi ayah nak solat asar,” kata Sakeenah.
“Okey. Ayah solat dulu. Kau orang dah ada makanan untuk berbuka ke belum?”
“Dah. Kita orang singgah beli kat KFC tadi. Senang. Keena guna duit ayah,” jawab Sakeenah seraya tersengih.
Encik Mohd Firdaus tersenyum. “Boleh je. Takkan KFC je? Pizza Hut tak nak?”
Tatkala Encik Mohd Firdaus menyebut ‘Pizza Hut’, Qistur Ruwaidah mengusap kandungannya. Ternyata dia mengidam piza pula. Ah, nampaknya boleh dia buat kejutan untuk ayah mentua dan adik iparnya itu. Pasti mereka berdua gembira!
“Sedapnya Pizza Hut. Tiba-tiba Kak Long mengidam pula,” luah Qistur Ruwaidah seraya mengusap kandungannya.
Encik Mohd Firdaus dan Sakeenah memandang Qistur Ruwaidah. Bakal ibu itu tersenyum.
“Eh, Kak Long mengandung ke!” soal Encik Mohd Firdaus.
Sakeenah juga terkejut. “Kak Long biar betul!”
Sekali lagi, Qistur Ruwaidah tersenyum. Dia menunjukkan sedikit tonjolan perut di sebalik baju kelawar yang dipakai oleh dirinya itu. “Betullah tu. Kak Long mengandung. Alhamdulillah. Nasib baik ayah cepat tangkap bila Kak Long sebut ‘mengidam’.”
“Y…Ya Allah!” ucap Encik Mohd Firdaus. Anak sulungnya bakal bergelar ayah. Dirinya pula bakal bergelar datuk atau orang Kelantan memanggil datuk sebagai ‘Tok’, ‘Mek’, ‘Che’ atau ‘Tok Ayoh’. Bagi Encik Mohd Firdaus, dia mahu bakal cucu-cucunya memanggil dirinya sebagai ‘Tok Ayoh’.
Sakeenah juga terus mendakap kakak iparnya itu. Barulah dia merasai tonjolan perut Qistur Ruwaidah itu. Alangkah terujanya dia bakal menjadi ibu saudara atau dipanggil sebagai ‘Mok Su’! “Ya Allah… Tak sangka. Dah besar kandungan Kak Long rupanya tapi kenapa Keena tak perasan langsung? Serius perut Kak Long tak nampak macam orang tengah mengandung.”
Qistur Ruwaidah tersengih. “Mungkin sebab Kak Long ni tinggi. Memang orang tak perasan. Lagi-lagi Kak Long pakai baju besar. Oh ya… Emm… Walaupun kita semua berduka pasal Along, Along sempat je tahu yang Kak Long ni mengandung sebelum dia pengsan. Satu lagi kejutan untuk ayah dan Keena… Kak Long akan bersalinkan kembar. Kembar dua. Insya-Allah, kedua-duanya lelaki.”
“Y… Ya Allah! K…Kembar? B…Betul ke ni, Kak Long? Ayah akan jadi ‘Tok Ayoh’ untuk cucu kembar?” soal Encik Mohd Firdaus dengan nada tidak percaya. Namun, dia berasa amat gembira! Dia sudah membayangkan telatah cucu kembarnya yang akan menyinari kehidupan semua orang.
Qistur Ruwaidah tersenyum. “Haah ayah… Ayah dan Keena akan jadi Tok Ayoh dan Mok Su untuk dua orang anak Kak Long dan Along. Betulkan panggilan Keena ‘Mok Su’?”
“Betul, betul. Cuma, Mok Su Keena ni tak reti cakap loghat Kelantan. Mok Su ni pun lahir pun kat UK. Macam mana nak cakap loghat Kelantan? Ayahlah ni banyak merantau sangat,” seloroh Sakeenah.
Masing-masing tertawa mendengar kata-kata Sakeenah itu.
Encik Mohd Firdaus tersenyum. “Nak buat macam mana? Ayah minta maaflah. Tak pasal-pasal anak-anak ayah ni cakap KL sampai ayah pun dah terikut sama tapi bukannya Keena tak faham loghat Kelantan, kan? Faham je, kan?”
“Faham je tapi memang taklah Keena nak cakap loghat Kelantan. Ada yang pernah tegur dulu, cara Keena cakap macam bunyi Siam. Tak naklah. Ha, Kak Long. Kandungan Kak Long dah berapa bulan?” ujar Sakeenah.
Qistur Ruwaidah menghadiahkan senyuman. “Alhamdulillah, kandungan Kak Long dah masuk lima bulan. Insya-Allah Kak Long akan bersalin dalam akhir September atau awal Oktober.”
Sakeenah masih setia menyentuh kandungan kakak iparnya itu. “Tapi… Kak Long langsung tak nampak macam orang mengandung lima bulan pun. Kak Long gurau je ni, kan? Ni mesti baru dua atau tiga bulan.”
“Ya Allah budak bertuah ni. Kak Long Keena tu dah jumpa doktor. Takkanlah doktor salah pula. Ha, ayah nak pergi solat asar dulu. Nanti ayah sambung balik sembang pasal kandungan Kak Long,” sampuk Encik Mohd Firdaus. Bertuah sungguh anak bongsunya itu. Lalu, dia meninggalkan ruang tamu itu.
Suhaibul Umar pula menuju ke dapur bagi membuat persediaan untuk berbuka puasa. Meskipun dia berdiam diri dari tadi, sebenarnya dia berasa amat gembira kerana rumah kediaman arwah ibu bapanya ini kembali riuh dengan kehadiran Encik Mohd Firdaus yang penuh kasih sayang dan Sakeenah yang bijak menceriakan suasana. Di samping itu, dia juga boleh memeriksa keadaan Mohamad Salahuddin. Manalah tahu kalau adik iparnya itu sudah sedar.
Sakeenah menyambung bicaranya setelah ayahnya dan abang kakak iparnya itu meninggalkan ruang tamu. “Mesti dia orang dah boleh tendang, kan?”
Qistur Ruwaidah tersenyum. Dia melayan sahaja kerenah adik iparnya itu. “Dah. Dia orang makin aktif kalau waktu malam. Kalau sekarang, rasanya dia orang tengah tidur. Tolong doakan Kak Long dan kandungan Kak Long ni selamat ya. Harapnya mak tak tahulah pasal kandungan Kak Long. Kak Long risau.”
“Insya-Allah. Mak takkan tahu, Kak Long. Emm… Macam manalah Abang Long kuat lawan sihir mak selama Keena dan ayah tak tahu? Keena tak boleh nak bayangkan. Dahlah Kak Long pula tengah mengandung. Kesian Kak Long dan Abang Long. Jadi mangsa keadaan.”
Qistur Ruwaidah mengusap kepala remaja itu. “Kuasa Allah, Keena. Kita doakan Along supaya Along terus kuat dan sedar dari pengsan. Insya-Allah Kak Long percaya, Along yang Kak Long kenal, kuat orangnya.”
Sakeenah mendakap kakak iparnya itu. “Abang Long baik sangat, Kak Long. Kak Long beruntung kahwin dengan Abang Long. Keena pun bangga jadi adik Abang Long.”
“Alhamdulillah. Apa yang Keena cakap tu, memang betul. Pilihan Kak Long tak salah. Apa yang Keena beritahu Kak Long pasal Along dulu pun tak salah sebelum Kak Long ambil keputusan nak terima Along. Terima kasih Keena. Terima kasih juga sebab terima Kak Long. Sebenarnya… Setiap kali Kak Long sebut nama Keena, mesti Kak Long teringat almarhumah kakak Kak Long. Nama panggilan dia pun, Qina tapi beza ejaan jelah.”
Sakeenah menjadi sebak. Dia tahu kakak iparnya itu sudah melalui pelbagai dugaan berdasarkan penceritaan abangnya dulu semasa abangnya pernah menceritakan serba sedikit berkenaan Qistur Ruwaidah. Oleh sebab itu, betapa dia amat berharap agar Qistur Ruwaidah akan menjadi kakak iparnya. Dia mahu membahagiakan Qistur Ruwaidah sepertimana abangnya juga mahu membahagiakan Qistur Ruwaidah.
Syukurlah Qistur Ruwaidah ditakdirkan untuk abangnya. Abangnya dan kakak iparnya juga bakal menjadi ibu bapa buat dua orang putera tercinta.
Kisah percintaan mereka berdua sungguh menginspirasikan Sakeenah. Dia juga berazam untuk menjadi seorang perempuan yang lebih baik. Bukan kerana jodoh tetapi dia mahu mencari reda Allah.
QISTUR RUWAIDAH mengusap rambut suaminya. Mohamad Salahuddin masih kaku terbaring, masih tidak sedarkan diri. Tidak lama kemudian, dia tertidur di samping suaminya.
“Sayang…” panggil Mohamad Salahuddin.
Qistur Ruwaidah terpisat-pisat. Alangkah terkejutnya dia tatkala dia menyaksikan susuk tubuh suaminya di hadapan kini. Lantas, dia mendakap suaminya. “Habibi… Sayang rindu sangat kat habibi! Anak-anak kita pun rindu kat abi dia orang.”
Mohamad Salahuddin mengusap kepala isterinya itu bersama senyuman di sebalik dakapan itu. Kemudian, dia meleraikan dakapan itu. Lalu, dia mengusap kandungan isterinya itu. “Habibi tahu, sayang. Habibi pun rindu kat tiga orang cinta hati habibi ni. Sayang okey? Anak-anak kita okey?”
“Alhamdulillah. Kami semua okey, habibi. Sayang menderita rindukan habibi.”
“Demi Allah, habibi pun menderita rindukan sayang. Sabar ya, sayang. Ni semua ujian untuk kita. Sama ada habibi mahupun sayang, kita kena kuat. Sayang percaya cinta utuh, kan?”
“Mestilah! Macam kita. Habibi pun dah buktikan cinta utuh habibi kat sayang melalui lamaran dan perkahwinan.”
“Sayang percaya cinta hakiki?”
“Percaya. Yakni, kepada Allah jualah kita kembalikan rasa cinta yang Dia suburkan buat kita. Hanya cinta Dia sahaja yang kekal. Cinta kita hanyalah sementara di dunia. Moga kita bertemu di sana kembali.”
“Insya-Allah. Habibi janji akan didik sayang elok-elok tapi…”
“Tapi apa pula, habibi? Janganlah buat sayang takut.”
Tiba-tiba Mohamad Salahuddin tertawa kecil. “Tak ada apalah. Sayang lupakan jelah apa yang habibi cakap tu.”
Qistur Ruwaidah mencubit manja lengan suaminya itu. “Habibi ni, kan… Eiii…”
Lalu, pasangan itu tertawa bahagia. Alangkah mereka merindui kenangan penuh mesra seperti dahulu.
Tiba-tiba Mohamad Salahuddin hilang dari pandangan Qistur Ruwaidah. Qistur Ruwaidah terkesima. “Habibi!”
Serta-merta, Qistur Ruwaidah terbangun dari lena. “Habibi!” panggilnya. Dia menoleh ke kanan. Suaminya masih belum sedarkan diri. Jiwanya runtun. “Aku mimpi rupanya. Astaghfirullah…” luahnya seraya mengelus ubun-ubunnya. Dia memandang jam dinding. Pukul 2.00 pagi.
Jika salah seorang daripada mereka berdua terbangun sebelum jam 3.00 pagi, yakni sebelum berbunyinya jam dari telefon pintar, salah seorang akan membersihkan diri sebagai persediaan untuk menunaikan ibadah qiamullail. Kemudian, barulah salah seorang akan mengejutkan pasangannya.
Qistur Ruwaidah memandang suaminya. Lalu, dia meraih tangan kiri sang suami itu. “Habibi… Sayang rindu nak qiamullail sama-sama dengan habibi. 10 malam terakhir ni, sayang qiamullail seorang diri tanpa habibi. Kadang-kadang sayang buat dengan Abang Suhaib, ayah dan Keena. Oh, lupa… Sekali dengan anak-anak dalam kandungan sayang ni. Sayang sedih sangat bulan Ramadan tahun ni sekejap sangat untuk habibi tapi sayang tahu, ni ujian untuk kita semua,” bicaranya sendirian. Air matanya mula menitis. Dia melekapkan tangan suaminya ke arah kandungannya itu.
“Bangunlah, habibi… Sayang rindu sangat kat habibi. Sayang rindu senyuman habibi, usikan habibi, gelak tawa habibi…” rintih Qistur Ruwaidah.
Namun, Mohamad Salahuddin masih kekal terkaku sebegitu.
“Ya Allah… Kuatkanlah hamba-Mu ini. Aku tak berdaya lagi,” luah Qistur Ruwaidah.
Tiba-tiba janin-janinnya menendang perutnya. Dia tersentak. Sebuah senyuman penuh hambar dihadiahkan untuk anak-anak dalam kandungannya itu. “Ummi minta maaf ya, sayang-sayang ummi. Ummi tahu ummi kena kuat untuk anak-anak ummi. Ummi janji ummi takkan menangis lagi.”
Seandainya janin-janin itu boleh membalas kata-kata ibu mereka, semestinya mereka mahu mengatakan… “Ummi… Ummi tak keseorangan. Kami ada untuk ummi. Kami sayang ummi, kami sayang abi juga.”
“ALHAMDULILLAH,” ucap Encik Mohd Firdaus setelah selesainya urusan penceraiannya dan Puan Zaidah di Mahkamah Syariah Hulu Langat tanpa kehadiran Puan Zaidah. Secara rasmi, Encik Mohd Firdaus dan Puan Zaidah sudah disahkan bercerai dengan talak tiga dan tidak boleh dirujuk kembali.
Kini, jiwanya tenang. Meskipun dia perlu membayar sejumlah denda kerana menceraikan isterinya tanpa kebenaran mahkamah, dia tidak kisah langsung. Bahkan, dia menjadi amat lega. Berapalah sangat pun jumlahnya. Gajinya sebagai pensyarah undang-undang tidak luak pun untuk membayar denda.
Apa yang penting, segala keaiban dan cacat cela dalam perkahwinan Encik Mohd Firdaus dan Puan Zaidah telah dibongkarkan oleh Encik Mohd Firdaus sendiri di mahkamah, termasuklah kegiatan sebenar Puan Zaidah sebagai tukang bomoh dan rakaman video Mohamad Salahuddin mendapatkan rawatan di pusat rawatan Islam dahulu.
Pada mulanya, sukar untuk ketua hakim mempercayai kisah Encik Mohd Firdaus itu. Apatah lagi, amalan ilmu hitam Puan Zaidah yang tidak masuk dek akal itu. Bukanlah beliau tidak mempercayai ilmu hitam tetapi ilmu hitam milik Puan Zaidah itu melangkaui batasan pemikirannya. Lain daripada apa yang beliau tahu dan dengar berkenaan sihir selama ini.
Namun, setelah beliau menonton video tersebut dan mendengar pengakuan daripada para saksi yang lain seperti Ustaz Fuad, Ustazah Afra, Ustaz Marzuqi dan Ustaz Lubaid berkenaan dahsyatnya sihir yang diamalkan oleh Puan Zaidah itu, beliau meluluskan penceraian Encik Mohd Firdaus dan Puan Zaidah.
“Alhamdulillah. Tahniah ayah. Keena gembira untuk ayah,” ucap Sakeenah yang turut menemani ayahnya itu. Dia juga reda dan gembira dengan penceraian ibu bapanya itu.
“Alhamdulillah. Terima kasih, Keena. Teman ayah ke sini. Ayah tahu ayah tak kuat tanpa Keena. Sekarang, ayah ada Keena dan Along je,” luah Encik Mohd Firdaus dengan sebak.
“Taklah ayah. Bukan Keena dan Abang Long je. Ayah pun ada Kak Long, Abang Suhaib dan bakal cucu-cucu ayah sekali.”
Encik Mohd Firdaus tersenyum. Betul juga… Dia terlupa seketika berkenaan empat orang insan itu. “Eh, haah! Ayah lupa pula yang lain. Apa kata kita buat kenduri kesyukuran kecil-kecilan masa buka puasa nanti?”
“Boleh je, ayah. Kak Long dan Abang Suhaib pun tak kisah tu.”
Lalu, dua beranak itu meninggalkan Mahkamah Syariah Hulu Langat bagi menuju semula ke rumah kediaman arwah ibu bapa Qistur Ruwaidah.
Sehingga kini, tiada siapa yang tahu keberadaan Puan Zaidah sekarang. Kehilangannya benar-benar misteri seperti halimunan.
BULAN RAMADAN telah menginjak pergi. Bulan Syawal yang disambut oleh seluruh umat Islam pada 25 Jun 2017 pun sudah berlalu beberapa hari lepas. Namun, Mohamad Salahuddin masih tidak sedarkan diri juga selama berhari-hari sejak dari peristiwa dia diserang oleh makhluk bernama Ogre itu.
Pada ketika itu, Qistur Ruwaidah sedang membawa sebesen air suam bagi mengelap tubuh suaminya. Tiba-tiba…
“Habibi!” ucap Qistur Ruwaidah dengan gembira tatkala dia ternampak mata suaminya telah terbuka. Dia meletakkan besen tersebut di atas meja.
Akan tetapi, anak mata Mohamad Salahuddin memandang ke atas dan mulutnya ternganga.
“Habibi?” panggil Qistur Ruwaidah seraya melambai-lambai tangannya ke arah suaminya, namun suaminya tidak memberikan sebarang respons. Dia mula menjadi gelabah! “Abang! Ayah! Keena!” jeritnya.
Suhaibul Umar, Encik Mohd Firdaus dan Sakeenah terus meluru ke arah bilik pasangan itu tatkala mereka terdengar jeritan Qistur Ruwaidah. Bukan jeritan kegembiran tetapi jeritan penuh derita.
“Kenapa ni, adik?” soal Suhaibul Umar sambil menenangkan adiknya.
“T…Tengok Din. Din dah sedar t…tapi…” luah Qistur Ruwaidah dalam tangisan.
“Astaghfirullah! Along! Along! Ayah dan Keena ada ni!” kata Encik Mohd Firdaus seraya dia dan Sakeenah menggoncang tubuh Mohamad Salahuddin.
“Abang Long! Bangun!” rayu Sakeenah.
Sementara dari sisi Mohamad Salahuddin pula…
‘Sayang! Ayah! Keena! Abang Suhaib! Aku dengar! T… Tapi kenapa dia orang tak dengar aku!’ jerit kalbu Mohamad Salahuddin.
Tatkala dia menyaksikan keadaan sekeliling, betapa terkejutnya dia!
Ular! Tubuhnya sedang dibelit oleh beberapa ekor ular pelbagai saiz sehingga dia tidak boleh menggerakkan tubuhnya langsung! Lehernya juga turut dibelit oleh seekor ular.
“Hai Salahuddin. Kau dah bangun?” tegur salah seekor ular dengan penuh sinis.
“A… Apa ni! T…Tolong!” raung Mohamad Salahuddin.
“HAHAHAHAHAHA!” Tiba-tiba, kedengaran suara seorang wanita sedang tertawa dengan penuh kejam.
“M…Mak,” panggil Mohamad Salahuddin dengan penuh ketakutan. Dia sudah mengetahui kejahatan ibunya itu dan kini, dia sedang menghadap wanita penuh kejam itu!
Kelihatan Puan Zaidah bersama pembantunya, Ogre di belakangnya. Mohamad Salahuddin meneguk air liurnya. Pakaiannya basah lencun.
“Along dah sedar. Baguslah. Banyak hari juga Along pengsan. Mak ni punyalah tak sabar nak tunggu Along sedar. Ogre dah takutkan Along ya? Sampai Along pengsan berhari-hari. Kesian… Ramadan pun dah habis,” perli Puan Zaidah. Lalu, dia menghentikan kata-katanya seketika.
“Mesti Along tertanya-tanya Along ada kat mana sekarang, kan? Ha, mak teruja nak beritahu ni. Sekarang, Along ada kat dunia Lingkaran. Dunia ciptaan mak sendiri. Oh tak! Lagi tepat, penjara ghaib untuk roh-roh yang pengsan atau koma. Mak dah pasang perangkap, khas untuk roh Along dalam Lingkaran ni masa Along pengsan lepas Along kena cekik dengan Ogre. Ogre nilah yang bawa roh Along kat sini. Lama juga Along pengsan. Selama Along pengsan, mak dah selamat jadi janda. Hebat! Tak guna betul si jantan Firdaus tu. Dia ceraikan aku dengan talak tiga! Berani dia ceraikan aku sebab kau, Salahuddin! Dasar anak tak guna juga sama macam bapak kau!” luah Puan Zaidah dengan penuh emosi.
Barulah Mohamad Salahuddin mengetahui bahawa ibu bapanya telah bercerai. Namun, dia hanya membisukan diri tatkala dia mendengar penerangan dan luahan ibunya itu. Dia tidak mahu mengeruhkan keadaan. Apatah lagi, ibunya boleh melakukan apa-apa sahaja terhadap dirinya, termasuklah membunuhnya! Kini, persoalannya telah terjawab. Rohnya berada di alam lain. Alam penuh misteri, gelap dan menakutkan!
Tiba-tiba wajah Mohamad Salahuddin dipegang kasar oleh Puan Zaidah. “Aku tengok muka kau ni, buat aku benci dari kau lahir! Kau ni, patutnya tak lahir! Patutnya kau mampus!” bentaknya seraya melepaskan wajah Mohamad Salahuddin dengan kasar sehingga pipi anaknya berubah menjadi lebam.
“Kenapa mak buat macam ni? Apa salah Along? Kenapa mak sanggup porak-perandakan rumah tangga Along dan Kak Long?” luah Mohamad Salahuddin dengan intonasi perlahan. Jujur, dia tidak mahu memarakkan api kemarahan ibunya itu. Namun, demi sebuah kebenaran, dia perlu juga mengetahui sebabnya biarpun pahit untuk ditelan.
Wajah Puan Zaidah berubah ibarat sang psiko. “Oh yalah… Lupa pula aku nak beritahu kenapa aku buat macam ni kat kau. Eloklah aku beritahu sekarang sebelum kau nak mampus sekejap lagi. Tak pun, kau akan jadi makanan ular-ular kesayangan aku ni. Dia orang ni sentiasa lapar tahu. Kau nak tahu kenapa, kan…”
“Sebab kau ni… Bukan anak aku, setan!”
Wajah Mohamad Salahuddin berubah menjadi amat terkejut! Dia bukan anak Puan Zaidah? Apa semua ini!
“Terkejut, kan? Kan, kan, kan? HAHAHAHAHAHA! Ha… Nilah masanya kau kena tahu kebenaran sebelum kau jadi lauk ular-ular aku ni. Bini kau pula bakal jadi balu. Sebenarnya, kau ni cuma anak tiri aku. Bukan anak kandung aku pun. Hanya Keena je anak kandung aku. HAHAHAHAHAHA!” terang Puan Zaidah bersama tawa lagi.
“A…Apa mak cakap ni? Along bukan anak mak? H… Ha… Habis tu, siapa mak kandung Along?” luah Mohamad Salahuddin dengan penuh gementar. Jujur, dia benar-benar terkejut. Selama ini, Puan Zaidah bukan ibu kandungnya? Apa semua ini! Tidak masuk akal langsung!
Puan Zaidah mencebikkan wajahnya. “Yalah. Memang kau bukan anak aku pun. Aku ni cuma mak tiri kau. Bermakna, kau dan Keena hanya seayah dan bukan seibu. Paling aku menyampah, nama mak kandung kau kebetulan sama dengan nama aku, Zaidah binti Ishak juga. Ejaan pun sama, termasuk nama ayah kita orang! Eiii! Menyampahnya aku! Nasib baiklah mak kandung kau dah lama mati. Dia ada komplikasi masa lahirkan kau sampailah dia koma. Aku bunuh dia dengan guna ilmu sihir aku. HAHAHAHAHAHA! Cara dia mati, sama macam kau bakal mati sekejap lagi. Roh dia dah selamat jadi lauk ular-ular ni. Kat alam realiti, kematian mak kau disahkan sebagai kematian mengejut. Sekejap lagi, kau pun macam tulah juga. Bolehlah mengucap syahadah dari sekarang.”
Barulah Mohamad Salahuddin mengetahui kebenaran yang disimpan oleh ibunya selama ini. Dia hanyalah anak tiri Puan Zaidah! Betapa kejam ibu tirinya itu! Sanggup membunuh ibu kandungnya sendiri melalui alam ghaib ini selepas ibunya bertarung nyawa melahirkan dirinya! Di manakah sifat perikemanusiaan Puan Zaidah terhadap ibu kandungnya!
Pada saat itu, Mohamad Salahuddin mula mendapat kekuatan untuk memaki wanita itu! Sungguh wanita tua itu tidak pernah layak menjadi ibu tirinya, bekas isteri kepada ayahnya dan ibu kepada adiknya! “Hoi orang tua! Selama ni, aku hormatkan kau, aku sayangkan kau sebab mati-mati aku ingat kau mak aku! Memang patutlah ayah aku ceraikan kau dengan talak tiga!”
Tiba-tiba tangan Puan Zaidah mengawal sesuatu. Mohamad Salahuddin tertunduk dan mengerutkan wajahnya, menahan kesakitan. Ular-ular tersebut semakin kuat membelit tubuhnya. ‘Y…Ya Allah…’ bisik hatinya.
“Sakit, kan? HAHAHAHAHAHA! Baik kau diam. Banyak lagi cerita sebenar yang kau kena tahu. Oh, sekejap. Baik aku bisukan mulut kau terus. Mana jarum tu ya,” kata Puan Zaidah dengan nada penuh psiko seraya meraba sesuatu dalam kocek jubahnya. “Tadaa~ Ni dia. Jarum untuk aku bisukan mangsa-mangsa roh aku. Dulu, mak kau dah pernah rasa jarum ni. Aku cucuk sampai 20 batang sampai kembunglah mulut mak kau. Ha, sekarang ni… Anak dia pula bakal rasa sama macam mak dia,” terang Puan Zaidah seraya menghampiri Mohamad Salahuddin.
Kelihatan Mohamad Salahuddin cuba melepaskan diri. Namun, dia tahu mustahil! Puan Zaidah semakin menghampirinya, lalu ibu tirinya memegang wajahnya. “M…Mak, t…tolong… Jangan buat Along macam ni,” rayunya.
“Heh! Helo! Bukan main hero lagi tadi. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya,” perli Puan Zaidah seraya memegang wajah anak tirinya. “Ogre, kau pegang kotak jarum ni. Aku dah lama nak tengok mulut dia kembung macam mak dia. Eh, silap! Kalau si Adah tu hidup lagi, dia nak anak kesayangan dia ni panggil dia ‘ummi’,” katanya seraya menyerahkan sekotak jarum kepada makhluk suruhannya itu. Lalu, dia mengambil jarum pertama. Tanpa belas kasihan, dia terus mencucuk jarum tersebut di bibir Mohamad Salahuddin.
“S…Sakit!” raung Mohamad Salahuddin. Betapa dirinya merasakan azab yang cukup dahsyat dan penuh sengsara.
Puan Zaidah tertawa. “Laa… Memanglah sakit. Takkan sedap pula,” perlinya lagi seraya mengambil jarum kedua. Lalu, dia mencucuk lagi.
Sekali lagi, menjeritlah Mohamad Salahuddin buat kali kedua. Air matanya mengalir. Tergamak ibu tirinya itu!
Tangisan dan jeritan lelaki itu kedengaran sungguh indah pada pendengaran Puan Zaidah. Alangkah wanita tua itu teringat kembali kesengsaraan ibu kandung Mohamad Salahuddin. Dia seronok menyaksikan penderitaan yang dialami oleh ibu lelaki itu. “Sabar ya, Along. Banyak lagi ni nak kena cucuk. Sekejap lagi, kau bisulah ya,” katanya lagi seraya mengambil jarum ketiga.
Mohamad Salahuddin semakin tidak tahan. Jarum-jarum itu benar-benar membunuh dirinya. Pada saat itu, dia terlupa seketika akan insan-insan yang disayanginya. Encik Mohd Firdaus, Qistur Ruwaidah, Sakeenah dan Suhaibul Umar… Dia pasrah. Sebentar lagi, rohnya akan menjadi hidangan ular-ular tersebut.
“Lalalalala~ Fuh! Siap pun. Okey Salahuddin. Kau boleh cuba cakap sekarang. Aku nak tengok sama ada kau masih boleh cakap atau kau dah selamat jadi bisu,” kata Puan Zaidah.
Mohamad Salahuddin cuba membuka mulutnya tetapi bibirnya terkunci rapat. Dia sudah bisu! Mulutnya juga sudah menjadi kembung.
“Okey, dia dah bisu. Senang kerja aku. Puas hati aku tengok mulut dia kembung sama macam ummi dia dulu,” kata Puan Zaidah dengan penuh gembira seraya menepuk tangan.
Sementara di alam realiti pula, mulut Mohamad Salahuddin ternganga. Nafasnya naik turun bersama muntah darah yang tidak putus-putus keluar dari mulutnya.
Pada ketika itu, Ustaz Fuad dan Ustazah Afra datang ke rumah Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah bersama Ustaz Marzuqi yang telah menyelamatkan nyawa Encik Mohd Firdaus tempoh hari.
Ustazah Afra telah menerima panggilan mengejut daripada Suhaibul Umar berkenaan Mohamad Salahuddin yang semakin tragis keadaannya.
“Astaghfirullah…” ucap ketiga-tiga orang pengamal perubatan Islam itu. Tanpa melengahkan masa, mereka bertiga segera menghampiri Mohamad Salahuddin yang terbaring bersama bau muntah darah yang cukup hanyir.
“Salahuddin… Salahuddin… Bangun. Kami datang nak selamatkan kamu,” kata Ustaz Marzuqi.
Malangnya Mohamad Salahuddin tetap begitu. Mulutnya kekal ternganga. Tiada respons. Tubuhnya kaku. Rupanya juga sudah seperti mayat hidup.
Qistur Ruwaidah, Suhaibul Umar dan Encik Mohd Firdaus hanya memerhatikan ketiga-tiga orang pengamal perubatan Islam itu. Sakeenah pula berada di bilik bujang Qistur Ruwaidah. Dia tidak sanggup untuk melihat keadaan abangnya yang telah membuatkan dirinya trauma. Lagipun, itulah yang sebaiknya buat remaja berusia 16 tahun itu.
Di dunia Lingkaran…
“Wah, dahsyat! Makin menarik ni! Aku dapat dengar suara ustaz dan ustazah tengah cuba nak selamatkan kau. Haih… Kesian kau, Mohamad Salahuddin. Kesian…” kata Puan Zaidah seraya membelai rambut anak tirinya itu.
Anak mata Mohamad Salahuddin hanya mampu memandang wajah kejam ibu tirinya itu. ‘Ya Allah… Kesakitanku ini, hanya Kau Maha Tahu. Andai hari ini hari terakhir aku, aku reda. Andai aku tewas dalam perjuangan ini, Kau lindungilah isteri aku, Qistur Ruwaidah dan bakal anak-anakku. Andai aku kalah dalam perjuangan ini, Kau kuatkanlah mereka bertiga tanpa aku sebagai suami dan abi untuk mereka.’
“Okey. Memandangkan kau dah tahu aku ni mak tiri kau dan serba sikit pasal mak kandung kau, aku sambung balik. Aku ingatkan waris keturunan Adah ni akan pupus tapi memang Allah nak bagi umur kau panjang. Hubungan aku dan Adah, kita orang satu kelas masa sekolah rendah dan menengah tapi taklah rapat sangat. Nak jadi takdirlah, kan… Ayah kau, Firdaus pun jadi kawan kelas kita orang masa kat sekolah rendah dan menengah. Ikutkan, memang Firdaus ni terkenal dan ramai perempuan suka kat dia sebab dia pandai, cakap pun lembut dan berbudi bahasa. Aku dan Adah pun antara yang suka kat Firdaus…”
“Firdaus memang jenis pemalu. Cakap dengan perempuan pun bila perlu je. Mana perempuan tak gilakan lelaki macam dia? Aku ingat lagi, ramailah pasang angan-angan nak jadi isteri dia. Sampailah satu hari masa tahun 1994, aku dapat tahu daripada kawan baik aku, Khamsiah, aku panggil dia, Siah… Firdaus dah kahwin dengan Adah. Rupa-rupanya Firdaus ni dah lama suka kat Adah dari tingkatan satu dulu. Cuma, dia orang tak tunjuk. Bila aku dapat tahu, macam mana aku tak panas! Macam mana aku tak hancur hati! Aku punyalah suka kat Firdaus dari tingkatan satu. Tahu-tahu, betina Adah yang aku anggap pesaing aku dari sekolah rendah, dapat kahwin dengan si Firdaus.”
Mohamad Salahuddin terkedu. Rupa-rupanya, Encik Mohd Firdaus juga seorang yang setia dan tulus seperti dirinya. Betapa sabar ayahnya menunggu ibu kandungnya sehinggalah mereka berdua disatukan pada tahun 1994.
Cerita Puan Zaidah lagi. “Selama Firdaus dan Adah kahwin, aku jadi pemerhati dengan cara aku gunakan roh aku. Roh aku muncul macam halimunan. Aku ikut je kat mana dia orang pergi sampailah bila aku dapat tahu Adah disahkan mengandung, aku jadi gila sekejap! Tak sangka mak kau terus bunting pelamin lepas dua minggu dia kahwin. Kau tahu Salahuddin… Bila aku tahu Adah mengandungkan kau, aku nak bunuh kau masa tu juga tapi aku tak boleh. Ada sesuatu yang lindung kau masa roh aku cuba nak makan kau tapi aku tak tahu apa dia… Tak apalah. Aku pun biarlah si Adah dan Firdaus tu bahagia tunggu masa nak jadi ‘ummi’ dan ‘abah’. Ikutkan, itulah panggilan asal yang Firdaus nak. Macam mana Firdaus tak jadi nak guna panggilan ‘abah’ kat kau, kau tunggu cerita seterusnya.”
“Masa mak kau dah sampai masa nak lahirkan kau, masa tu jugalah roh aku cuba bunuh kau tapi tak dapat. Apa yang aku buat, aku gigit dan makan rahim Adah sampai dia tumpah darah dan koma. Masa tu, aku seronok sangat! Khadam terus bawa roh Adah kat Lingkaran ni. Haih…. Aku rindu pula kat Khadam. Aku rindu masa dia kawal kau, gunakan kau untuk belasah Qist sampai lunyai bini kau. Kesian… Tapi tulah… Jahanam betul Afra, suami dia dan kawan dia orang tangkap dan kurung Khadam. Aku pelik betul. Rahim bini kau tu kuat betul. Walaupun Khadam dah sepak rahim Qist banyak kali, tak lunyai.”
‘Sebab anak-anak aku dah ada dalam rahim isteri aku masa tu, perempuan tua! Pewaris ummi aku tetap ada kalau aku terbunuh sekali pun!’ bentak hati Mohamad Salahuddin.
Puan Zaidah mengurut dagunya sambil memuncungkan bibirnya. “Hmm… Kau nak tahu kenapa aku suruh Khadam buat macam tu kat Qist? Sebab aku tak nak kau ada zuriat. Senang kata, pewaris Adah. Mesti kau pelik, kan… Kenapa aku tak sihir kau dari dulu? Dari kau kecil… Entahlah… Sihir yang arwah mak bapak aku ajar ni pelik-pelik je. Syarat pun entah apa-apa. Selagi kau tak kahwin, selagi tu aku tak boleh sihir. Walaupun kau bukan anak aku, aku tetap tak boleh nak sihir kau sebab aku kahwin dengan Firdaus, tetap ada pertalian darah. Hei… Sabar jelah…”
“Dan aku ni tak bodoh nak bunuh kau dengan cara biasa macam tikam guna pisau, racun atau apa-apa yang boleh tinggalkan kesan kat badan kau. Kalau aku guna cara macam tu, habislah aku kena masuk penjara. Tak pun, aku kena hukum gantung sampai mati silap haribulan. Isy! Tak boleh, tak boleh… Aku kena guna kaedah ‘slow and steady’. Sebab tu, aku sabar je tunggu sampai kau dewasa dan kahwin. Baik aku bunuh kau dengan cara halus macam ni. Lagi seronok. Polis dan peguam pun takkan boleh jumpa bukti…”
“Nak ceraikan kau dan Qist pun, tak boleh juga sebab kau akan dianggap bujang semula. Syarat untuk aku sihir kau, kau kena kahwin dan tak boleh bujang. Kalau aku guna sihir pemisah kat kau dan kau bercerai dengan Qist, habislah terbatal segala sihir aku. Sebab tu, aku tak boleh nak ceraikan kau orang. Bila aku ingat balik sepanjang aku jadi bayangan mak kau ni, manalah aku pernah suka kau. Aku benci jadi bayangan mak kau! Dahlah nama pun sama. Aku dah penat jadi mak kau. Pura-pura sayangkan kau. Padahal, aku benci kau sejak azali tapi nak buat macam mana? Aku terpaksa…”
“23 tahun, Salahuddin… 23 tahun aku tunggu saat ini. Lama betul aku berlakon untuk tutup motif sebenar aku. Aku boleh tahan untuk berlakon pun sebab aku cinta sangat kat Firdaus. Aku tak nak kehilangan Firdaus lagi. Patutnya, aku boleh menang Anugerah Oscar, kan?”
“Lagi satu, aku tak pernah suka pun kat Qist sebab aku tahu dia hafaz Al-Quran. Masa kau beritahu aku dan Firdaus yang kau nak kahwin dengan Qist, aku tak setuju sebenarnya. Melalui nama je, aku dah tahu orangnya macam mana.”
Ayat yang pernah dituturkan oleh Puan Zaidah tatkala Mohamad Salahuddin meluahkan keinginan untuk berkahwin dengan Qistur Ruwaidah pada suatu ketika dahulu…
“Mak okey je Along nak kahwin sekarang tapi mak kurang berkenanlah dengan calonnya tu.”
“Entahlah tapi hati Ida ni rasa Qist bukan terbaik untuk Along.”
“Disebabkan Qist dilindungi dengan segala amalan yang dia buat, aku tak boleh nak sihir dia. Roh Qist terlalu kebal. Penuh dengan ayat-ayat Al-Quran yang lindung dia. Lagi-lagi kau dah bersama dengan dia, buat aku makin susah dan rumit tapi tu tak bermakna aku tak boleh nak buat. Aku tahu kau baca doa ubun-ubun kat bini kau setiap hari tapi doa untuk kau sendiri? Kau lupa. Haih… Lemah!” terang Puan Zaidah dengan penuh sinis.
Kelihatan tangan Puan Zaidah mula menghasilkan cahaya bagi menghiburkan ular-ular peliharaannya. Kelihatan ular-ular tersebut menyusur dengan penuh gembira, termasuklah ular-ular yang membelit tubuh Mohamad Salahuddin. “Kenapa aku bagi kau kahwin dengan Qist juga? Sebab utama, aku dah boleh sihir kau. Kedua, aku faham perasaan setia tu macam mana. Kau suka kat Qist sampai tiga tahun. Macam tulah juga aku suka kat Firdaus sampai lapan tahun.”
Mohamad Salahuddin hanya mampu mendengar dan terus mendengar. Namun, kalbunya meronta hebat. Betapa dia amat memerlukan sesiapa untuk menyelamatkan rohnya dari terus terperangkap di dunia Lingkaran ini! Ibu tirinya sudah gila! Dia tidak mahu mati lagi! Dia tidak mahu menjadi santapan ular-ular di sini! Dia masih mempunyai isteri dan bakal anak-anak yang memerlukan dirinya bagi membentuk sebuah keluarga bahagia! Masih banyak lagi impiannya yang belum tercapai!
Puan Zaidah melabuhkan punggungnya di atas salah seekor ular peliharannya seraya membelai dengan penuh kasih. “Kau tahu macam mana aku kahwin dengan ayah kau? Senang je. Dua tiga hari lepas Adah meninggal, aku terus sihir Firdaus sampai dia gigih cari aku. Siap melutut kat aku lagi. Kau bayangkan, Salahuddin… Kubur Adah masih merah lagi, dia dah meroyan nak kahwin dengan aku. Hebatkan sihir penunduk yang aku bagi kat ayah kau?”
‘Kau gila, orang tua! Kau gila!’ bentak Mohamad Salahuddin.
Kelihatan Puan Zaidah bermain dengan rambut Mohamad Salahuddin. “Orang yang aku suka, dah meroyan nak kahwin dengan aku. Kau gila aku tak nak kahwin dengan Firdaus? Mestilah aku nak! Aku ingat lagi, muka dia merayu-rayu supaya aku jangan tinggalkan dia. Siap cakap nak bina impian dengan aku. Nak raih ijazah sama-sama dengan aku. Pergh! Masa tu, perasaan aku berbunga-bunga. Aku bangga! Sebulan lepas tu, kahwinlah aku dengan Firdaus. Aii… Kenangan indah sangat! Maknanya, umur kau dah sebulan masa tu…”
“Disebabkan aku tak nak orang perasan si Firdaus ni pernah kahwin dengan Adah, aku bagi sihir pelindung campur sihir pelupa kat Firdaus supaya bila orang nampak je dia, orang ingat dia kahwin dengan aku je. Kau tahu aku buat macam mana? Aku gigit kat siku dia setiap kali kita orang bersama. Memang dia takkan ingat kat Adah langsung kecuali aku.”
Itulah jawapan yang cuba dicari oleh Ustaz Marzuqi berkenaan gigitan di siku Encik Mohd Firdaus dan memori lalu miliknya yang telah hilang. Rupa-rupanya, Puan Zaidah juga telah memberikan sihir pelupa kepada bekas suaminya itu supaya Encik Mohd Firdaus tidak teringat langsung akan almarhumah isteri pertamanya.
Puan Zaidah menyambung lagi bicaranya. “Hebatnya sihir aku lagi, dengan kau sekali, orang ingat kau ni anak aku. Aku juga boleh buat orang tak sedar dengan tempoh perkahwinan aku. Orang ingat dah setahun aku kahwin dengan Firdaus. Walhal, aku baru kahwin sebulan dengan Firdaus. Kau gila? Mestilah orang akan pelik dengan kewujudan kau. Nanti orang tahulah kau ni bukan anak aku. Mestilah aku kena buat sesuatu dan gandakan kuasa sihir aku. Siapa-siapa je nampak aku, dia orang akan jadi lupa pasal tempoh perkahwinan aku…”
“Aku ada cakap tadi, kan… Firdaus tak guna panggilan ‘abah’ kat kau sebab aku yang hasut dia. Aku tak nak ada apa-apa berkaitan dengan Adah. Dahlah bunyi ‘abah’ tu dah dekat sangat dengan nama Adah. Eiii… Seram, seram… Aku boleh mimpi ngeri kalau kau dan Keena guna panggilan ‘abah’. Nasib baiklah Firdaus ikut cakap aku. Mana taknya… Dia dah kena ilmu penunduk aku. Mestilah dia akan ikut je apa yang aku nak. HAHAHAHAHAHA!”
“Sebab lain aku dah lama niat nak bunuh kau, aku tak nak harta Firdaus jatuh kat tangan kau. Biar Keena seorang je boleh bolot semua harta Firdaus. Aku pun boleh tumpang senang. Buat apa Firdaus nak kena bagi kat waris Adah pula. Tak boleh, tak boleh…”
“Mohamad Salahuddin bin Mohd Firdaus… Bila kau dapat tahu semua ni, mesti kau rasa merepek, kan? Dengan sihir, tak ada apa yang mustahil. Semuanya boleh walaupun tak masuk akal. HAHAHAHAHAHA!”
Mohamad Salahuddin hanya mampu mengalirkan air matanya. Dia tahu… Tiada apa lagi yang mampu dia lakukan melainkan dia berserah diri menjadi santapan ular-ular di sini. Kematiannya juga akan direkodkan sebagai kematian mengejut di alam realiti. Dia tahu dia tidak akan menemui bakal anak-anaknya kelak. Bakal anak-anaknya juga tidak akan sempat berjumpa dengan dirinya. ‘Anak-anak abi… Maafkan abi. Abi takkan lama. Abi dah nak mati. Abi sayang anak-anak abi. Moga anak-anak abi jadi sekuat dan setabah ummi. Tolong jaga ummi bila abi dah tak ada,’ bisik hatinya.
Sementara di alam realiti pula, Ustaz Marzuqi, Ustaz Fuad dan Ustazah Afra cuba menyelamatkan Mohamad Salahuddin. Pelbagai cara yang dilakukan oleh mereka bertiga agar roh salah seorang daripada mereka berjaya masuk ke dunia Lingkaran itu. Masa sudah semakin suntuk!
Tubuh Mohamad Salahuddin juga semakin cengkung, kurus kering serta semakin nampak tulang.
Qistur Ruwaidah hanya mampu menangis dan terus menangis dalam rangkulan abangnya. Dia tidak sanggup untuk menyaksikan keadaan suaminya itu.
Suhaibul Umar mengusap kepala adiknya. Hatinya juga turut sakit menyaksikan penderitaan adik iparnya itu. ‘Mohamad Salahuddin… A… Aku… Aku takkan biarkan kau sendirian lepas apa yang dah jadi. Aku akan setia kat sini, temankan kau. Terima kasih sebab jaga adik aku selama ni. Aku reda dengan kau. Aku janji akan jaga Qist dan anak-anak kau dengan baik. Ya Allah… Kau angkatlah segala kesakitan yang Mohamad Salahuddin alami. Biarlah dia pergi dengan tenang.’
Encik Mohd Firdaus juga turut mengalirkan air matanya. Dia reda seandainya anak sulungnya itu pergi terlebih dahulu. Dia tahu… Mohamad Salahuddin sudah terlalu menderita. ‘Pergilah Along. Ayah reda,’ bisik hatinya.
“Ustaz Marzuqi, cepat masuk! Saya dah berjaya pecahkan tembok dunia tu!” gesa Ustazah Afra.
Tanpa melengahkan masa, Ustaz Marzuqi segera memegang tangan kanan Mohamad Salahuddin sambil memejamkan matanya agar rohnya dibawa pergi ke dunia Lingkaran itu. Beliau pernah melalui situasi sebegini. Pelbagai dunia mistik yang telah dilalui oleh beliau, namun kes Puan Zaidah ini paling dahsyat yang pernah diuruskan olehnya. Tambahan pula, wanita itu pernah cuba membunuh bekas suami sebanyak dua kali dengan cara sihir. Apa hendak jadi sebentar lagi, Ustaz Marzuqi sudah bersedia untuk bertemu kembali dengan kenalan lamanya itu atau lebih tepat, musuhnya kini.
Roh Mohamad Salahuddin perlu diselamatkan dengan segera. Semakin susutnya tubuh lelaki, semakin menandakan bahawa dia sudah tidak ada masa. Ustaz Marzuqi tidak mahu tubuh lelaki itu hanya tinggal tulang rangka di penghujung riwayat Mohamad Salahuddin. Biarlah dia pergi dengan aman kelak.
Sementara di dunia Lingkaran…
“Rasanya aku dah jelaskan semua kat kau, kan? Kau ada nak cakap apa-apa lagi sebelum kau jadi lauk untuk ular-ular aku ni? Ops! Lupa pula. Mana boleh kau cakap dah. Aku lupa kau dah bisu. Mulut pun dah kembung. HAHAHAHAHAHA!” perli Puan Zaidah bersama tawa penuh kejam. Dia ternampak wajah Mohamad Salahuddin sedih dan sayu bersama linangan air mata.
“Alooo… Kau menangis ya, Salahuddin? Sebab kau takkan dapat jumpa bini kau? Jangan risau. Nanti kau orang jumpalah kat sana. Bukannya tak boleh jumpa, kan? Tu pun kalau jumpalah,” perli Puan Zaidah lagi.
‘Maafkan habibi, sayang. Maafkan abi, anak-anak abi… Moga kita berjumpa lagi,’ bisik hati Mohamad Salahuddin.
“Zaidah binti Ishak! Berhenti!” Tiba-tiba kedengaran suara Ustaz Marzuqi bergema di dunia Lingkaran itu.
Puan Zaidah menoleh ke belakang. “Laaa… Macam mana pula ada seekor mangkuk ayun ni boleh terlepas masuk dalam dunia Lingkaran aku ni? Marzuqi… Marzuqi… Kau ni tak serik-serik lagi ke? Nak selamatkan roh Salahuddin pula macam mana kau selamatkan roh Firdaus dulu? Jangan harap!” bentaknya seraya memasang tembok lut sinar yang begitu ampuh agar Ustaz Marzuqi tidak boleh menghampirinya. Dia mahu rancangannya untuk membunuh Mohamad Salahuddin berjalan dengan lancar dan penuh damai.
Ustaz Marzuqi menumbuk tembok lut sinar tersebut dengan sepenuh kudratnya tetapi ianya terlalu ampuh. “Ergh! Zaidah, berhenti! Jangan bunuh Salahuddin!”
Puan Zaidah tersenyum penuh sinis. Dia langsung tidak mempedulikan lagi rayuan Ustaz Marzuqi. “Mohamad Salahuddin bin Mohd Firdaus… Dah mengucap ke belum? Dah sedia nak mati?”
Sementara di alam realiti pula… “Puan Qist! Cepat pegang tangan Salahuddin! Dia betul-betul perlukan puan!” jerit Ustaz Marzuqi.
Alangkah terkejutnya Qistur Ruwaidah tatkala dia menerima arahan sedemikian. Tanpa melengahkan masa, dia segera mengesatkan air mata dan meluru ke arah suaminya. Tangan kiri suaminya digenggam erat. Lalu, dia berbisik sesuatu ke telinga suaminya. “Habibi… Habibi kena kuat. Sayang dan anak-anak kita ada untuk habibi tapi… Andai umur habibi tak panjang, sayang reda. Sayang akan terus tabah. Sayang akan besarkan anak-anak kita mengikut apa yang habibi impikan. Sayang janji sayang takkan kahwin lain. Sayang nak setia dengan habibi je sampai sayang mati.”
Akan tetapi, Mohamad Salahuddin tidak memberikan seberang respons. Nafasnya kian tercungap-cungap.
Di dunia Lingkaran, roh Mohamad Salahuddin ternampak roh Qistur Ruwaidah dengan wajah penuh sedih bersama linangan air mata serta dia mendengar apa yang dibisikkan oleh isterinya di alam realiti. Akan tetapi, dia hanya mampu melihat Qistur Ruwaidah dari kejauhan dan tidak mampu memanggil isterinya. Bibirnya sudah terkunci rapat dan bisu! ‘S… Sayang… M… Ma… Maafkan habibi! Habibi dah tak boleh nak tahan! S…Sakit!’ raung kalbunya.
“Okey semua ular! Selamat membelit dan menikmati Salahuddin ni sebagai lauk kau orang hari ni. Pastikan tak ada sisa langsung,” arah Puan Zaidah dengan penuh ceria.
Pada saat itu, Mohamad Salahuddin mula merasakan azab dibelit oleh berbelas-belas ekor ular. Tulangnya dirasakan patah sedikit demi sedikit. Lehernya juga turut dibelit sehingga nafasnya mula tercungap-cungap. Dirinya sudah nyawa-nyawa ikan dan diambang maut. Lafaz syahadah juga cuba diucapkan dalam hati dengan sedaya upaya. Tiba-tiba tiga ekor ular berjaya memasuki ke dalam rongga mulutnya bagi menikmati isi dalam lelaki itu.
Puan Zaidah hanya ketawa dan terus ketawa. Alangkah seronoknya dia menyaksikan kematian yang bakal dilalui oleh Mohamad Salahuddin, yakni sedang dimakan oleh berbelas ekor ular, sama seperti musuh ketatnya dulu!
“Ya Allah, Salahuddin!” raung Ustaz Marzuqi di sebalik tembok itu. Lalu, dia meninggalkan pesanan di alam realiti untuk Qistur Ruwaidah bagi memberitahu keadaan Mohamad Salahuddin dengan mata yang masih terpejam. “Puan Qist… Saya minta maaf. Dah sampai masa untuk Salahuddin. Saya tak boleh selamatkan suami puan. Roh suami puan tengah kena makan dengan ular-ular kat dunia tu.”
“Y… Ya Allah…” ucap Qistur Ruwaidah bersama linangan air mata. Betapa dia amat terseksa tatkala dia mengetahui keadaan roh suaminya itu. Tekanan yang dialami oleh dirinya begitu dahsyat sehingga dapat dirasai oleh janin-janinnya itu. Dua janinnya itu segera menendang perut ibu mereka berdua sebagai tanda mereka setia di sisi ibu tercinta!
Akan tetapi, Qistur Ruwaidah bagaikan terlupa tentang janin-janin dalam kandungannya itu. Tendangan yang dihadiahkan oleh dua janin itu tidak diendahkan oleh si bakal ibu itu. Sungguh, dia ingin mati bersama Mohamad Salahuddin!
Sementara di dunia Lingkaran pula, Puan Zaidah masih seronok menyaksikan anak tirinya dibaham dan terus dibaham oleh ular-ular peliharaannya. Jari-jemari Mohamad Salahuddin sudah tiada. Kedua-dua belah kakinya juga sudah dimakan sehingga paras betis.
Tiba-tiba tubuh Mohamad Salahuddin terpancar satu cahaya yang cukup menyilaukan mata Puan Zaidah, Ogre dan ular-ular tersebut sehingga ular-ular tersebut menyusur laju meninggalkan Mohamad Salahuddin. Ogre juga turut menghilangkan diri secara tiba-tiba tatkala ia ternampak cahaya itu.
Kelihatan tubuh Mohamad Salahuddin terbaring lemah di atas lantai Lingkaran itu.
“Hoi ular-ular! Kau orang nak lari mana tu! Makanlah Salahuddin cepat!” jerit Puan Zaidah.
“Tak boleh, puan. Cahaya tu panas sangat. Tak sedap nak makan Salahuddin. Kita orang lari dulu!” kata salah seekor ular. Lalu, ia dan kawan-kawan lain pun meninggalkan Puan Zaidah.
“Hoi! Ogre! Ogre! Mana kau! Cepat habiskan sisa-sisa Salahuddin tu!” jerit Puan Zaidah. Jika tubuh Mohamad Salahuddin tidak dimakan sepenuhnya, lelaki itu masih berpeluang untuk hidup di alam realiti.
Tiba-tiba…
“Hei nenek tua! Jangan kacau abi kita oranglah!”
Puan Zaidah memandang ke arah suara itu. Kelihatan dua orang kanak-kanak dalam lingkungan usia tiga atau empat tahun yang tidak diketahui siapakah gerangannya di hadapan Mohamad Salahuddin itu. Kelihatan mereka berdua mempunyai sayap seperti pari-pari. Sayap itu kelihatan bersinar dan bercahaya sehingga menyilaukan mata Puan Zaidah.
Beberapa bahagian tubuh Mohamad Salahuddin yang telah patah dan dimakan oleh ular-ular tadi juga sudah menumbuh kembali seperti sediakala. Kelihatan tubuh belakangnya juga mempunyai sayap sama seperti dua orang kanak-kanak itu serta dilindungi oleh satu cahaya sebagai pelindung di bahagian jari-jemarinya serta cincin akad nikah berbatu zamrud itu juga turut bercahaya.
“Laa… Siapa pula dah budak-budak ni? Nak mampus ke? Dah tak sabar nak mati cepat?” balas Puan Zaidah. Sinis sekali lagaknya.
Roh Ustaz Marzuqi juga turut terkejut dengan apa yang disaksikan oleh dirinya itu! Bermakna, roh Mohamad Salahuddin sedang dilindungi oleh anak-anaknya sendiri. Bermakna juga, Qistur Ruwaidah sedang hamil!
Kanak-kanak pertama itu bersuara. “Nenek tua… Kau tanya kita orang siapa? Kita oranglah anak-anak Mohamad Salahuddin. Nenek tak tahu ke abi kita orang ni bakal ada waris? Kembar pula tu. Keturunan Mohamad Salahuddin masih belum pupus lagi ya.”
Kanak-kanak kedua pula bersuara. “Betul, betul, betul,” ujarnya lagak gaya Upin dan Ipin. “Kesian nenek. Baru tahu ya. Nenek-nenek si bongkok tiga, siang malam asyik berjaga, mencari cucu di mana ada, nenek carilah kami sampai jumpa!” ujarnya dalam nada mengejek.
Alangkah terkejutnya Puan Zaidah! Anak tirinya itu bakal mempunyai waris? Dia bakal menjadi seorang nenek tiri? Pada saat itu, dia mula menyumpah dalam hati. Mengapakah dia tidak tahu langsung berkenaan kandungan Qistur Ruwaidah itu? “Kurang ajar! Berani betul kau orang ya!” bentaknya seraya cuba menyerang dua orang kanak-kanak itu dengan menggunakan kuasa api bagi mencampak ke arah dua orang kanak-kanak itu. Mereka berdua perlu ditamatkan riwayat seperti ayah mereka juga!
Kelihatan kedua-dua orang kanak-kanak itu berjaya menepis serangan yang dihantar oleh Puan Zaidah dengan cara menerbangkan diri masing-masing di udara.
“Buwek! Nenek tua tak dapat kita orang. Kesian!” ejek kanak-kanak pertama itu.
“Isy!” luah Puan Zaidah dengan penuh geram.
“Nenek marah?” ejek kanak-kanak kedua pula.
Tanpa melengahkan masa, Puan Zaidah cuba mengejar kanak-kanak itu dengan langkah kilatnya menuju ke udara. Akan tetapi, kanak-kanak itu lebih lincah pergerakannya. Selincah Mohamad Salahuddin jika menari.
“Nenek ni… Lembab betullah,” ejek dua orang kanak-kanak itu seraya terbang meluru ke arah Puan Zaidah.
Puan Zaidah segera melarikan diri tatkala kanak-kanak itu menghampirinya. Dia mula menjadi panas tatkala dia merasai haba daripada dua orang kanak-kanak itu.
“Nenek, tunggulah!” panggil mereka berdua dengan penuh ceria. Sengaja hendak menyeksa mental Puan Zaidah.
“Jahanam!” jerit Puan Zaidah.
Tiba-tiba…
“Cak! Nenek!” kata kanak-kanak pertama yang kini berada di atas kepala Puan Zaidah.
Pada saat itu, Puan Zaidah menjerit kepanasan. Pandangannya semakin kabur tatkala dia merasai haba yang cukup panas daripada tubuh kanak-kanak tersebut. “Panas! Pergi mampuslah, budak!” jeritnya.
Kelihatan kanak-kanak kedua pula memijak kaki kanan Puan Zaidah. “Panas? Api neraka lagi panas, nek. Apa yang nenek buat kat abi, ummi dan Tok Ayoh kita orang selama ni, nenek ada fikir tak? Selama nenek kawal abi kita orang dengan guna makhluk suruhan nenek untuk belasah ummi kita orang supaya ummi dan abi tak ada zuriat, ada nenek fikir? Selama kita orang kena belasah dengan makhluk suruhan nenek sepanjang ummi kita orang tak tahu kewujudan kita orang, lagilah nenek tak pernah fikir, kan? Kita orang sakit! Tapi kita orang tahan untuk ummi dan abi kita orang.”
Puan Zaidah menjerit penuh derita sehingga kakinya meninggalkan kesan terbakar akibat kesan haba panas daripada tubuh kanak-kanak itu. Dia segera menghasilkan api menerusi kedua-dua belah tangannya. “Mampuslah budak!” bentaknya seraya cuba membaling api ke arah dua orang kanak-kanak itu, namun sasarannya tidak berjaya.
Tindakan kedua-dua orang kanak-kanak itu lebih pantas dengan menerbangkan diri ke arah lain. “Alaa… Sikit je lagi nak kena, nenek si bongkok tiga tapi nenek tak bongkok pun. Boleh cuba lagi,” ejek salah seorang daripada mereka berdua.
“Eiii… Tak guna!” bentak Puan Zaidah seraya menghasilkan busur api pula. Lalu, dia mengambil posisi bagi memanah ke arah salah seorang kanak-kanak itu.
“Kau ambil anak panah tu. Tahulah aku nak buat apa,” kata kanak-kanak pertama.
“Okey. Cun,” kata kanak-kanak kedua.
Tatkala Puan Zaidah melepaskan anak panah berapi itu, kelihatan kanak-kanak kedua mencapai anak panah itu tanpa rasa ragu-ragu. “Nah. Kau nak buat apa?” soal kanak-kanak kedua itu seraya menyerahkan kepada kanak-kanak pertama.
“Apa lagi? Aku nak baling baliklah kat nenek tua tu!” kata kanak-kanak pertama seraya membaling semula anak panah ke arah Puan Zaidah.
“Uuu… Hebat, hebat!” puji kanak-kanak kedua itu seraya menepuk tangannya dengan riang tatkala menyaksikan lagak kembarnya yang cukup bergaya itu.
Mata Puan Zaidah terbeliak tatkala anak panah miliknya meluru ke arahnya semula. Namun, dia berjaya mengelak daripada terkena anak panah berapi itu.
“Aiseh! Sikit lagi nak kena nenek tua tu!” ujar kanak-kanak pertama itu dengan penuh kehampaan.
“Hoi budak! Kau ingat kau boleh bunuh aku!” teriak Puan Zaidah dalam nada sinis. Kali ini, dia menghasilkan puting beliung berapi pula.
Kelihatan kanak-kanak pertama itu teruja tatkala puting beliung berapi itu semakin menghampiri mereka berdua. “Ha, yang ni lagi menarik. Kau boleh agak kita boleh buat apa dengan puting beliung tu?” ujarnya penuh ceria.
Kanak-kanak kedua itu tersenyum. Dia boleh membaca fikiran kembarnya itu. “Kita masuk kat dalam puting beliung ni. Lepas tu, tolak balik kat nenek bongkok tu.”
“Bijak kembar aku ni. Jom,” balas kanak-kanak pertama.
Tubuh mereka berdua mula bercahaya bagi menjadikan cahaya tersebut sebagai benteng yang ampuh. Memandangkan mereka berdua mempunyai kebolehan bagi mengawal puting beliung secara alami, cepat-cepat mereka berdua memasuki ke dalam puting beliung.
Puan Zaidah terlopong tatkala menyaksikan tindakan gila kedua-dua orang kanak-kanak itu.
“Fuh, sejuk betul dalam ni,” kata kanak-kanak pertama.
“Kita sejuk sebab ada benteng. Kalau tak, mahu kita hangus terbakar,” kata kanak-kanak kedua. Kemudian, dia tersengih.
“Betul juga. Okey… Kau dah sedia nak serang orang tua tu?”
“Sedia. Demi ummi, abi, Tok Ayoh, Baba Suhaib dan Mok Su Keena.”
“Bismillah…” ucap kedua-dua orang kanak-kanak itu. Puting beliung berapi itu mula mengikut arahan si kembar itu dan meluru ke arah Puan Zaidah.
Puan Zaidah segera berlari untuk menyelamatkan diri tetapi malangnya puting beliung berapi itu berjaya menyedut dirinya sehingga dia menjerit kepanasan. Alangkah dirinya terseksa merasai api itu sehingga banyak bahagian pakaiannya terkoyak dan kulitnya juga semakin menampakkan isi dalamnya.
Kedua-dua orang kanak-kanak itu bersorak gembira di atas kemenangan yang berpihak kepada mereka berdua. “Kesian pula aku tengok nenek kat bawah dengan keadaan macam tu. Tak apalah. Kita lepaskan nenek. Aku ada idea lain.”
“Aku ikut je. Janji nenek tu mati nanti dan tak kacau kita semua lagi.”
Lalu, Puan Zaidah dikeluarkan dari puting beliung berapi itu. Dia terbatuk-batuk kesakitan. Berkepul-kepul asap keluar dari mulutnya itu. “T…Tak guna,” ujarnya dalam nada menyumpah.
Kemudian, puting beliung berapi itu mulai reda. Lalu, pasangan kembar itu meluru ke arah Puan Zaidah. Kelihatan Puan Zaidah berada dalam posisi meniarap dan dia tidak mampu bergerak lagi bagi melarikan diri daripada kanak-kanak itu.
“Berambus! Jangan dekat dengan akulah, anak setan!” bentak Puan Zaidah.
“Nenek dah kalah,” kata kedua-dua orang kanak-kanak itu dengan serentak.
Kelihatan Puan Zaidah masih tidak mahu mengalah. “Siapa cakap! Aku masih ada peluang nak bunuh kau orang!” bentaknya seraya dia cuba membangunkan dirinya tetapi gagal. Kini, gilirannya pula berada di ambang maut.
“Ada peluang nak bunuh kita orang? Macam ni?” ujar kanak-kanak pertama seraya memegang tangan Puan Zaidah. Tangan kanak-kanak itu mula menghasilkan cahaya.
“S… Sakit! Lepaskan aku!” jerit Puan Zaidah.
“Ke macam ni?” ujar kanak-kanak kedua seraya terbang dan melabuhkan punggung di bahagian belakang tubuh Puan Zaidah.
Semakin menderitalah Puan Zaidah dibuatnya sehingga anggota yang disentuh oleh kedua-dua orang kanak-kanak itu semakin hangus. “L…Lepas a…aku,” rayunya.
“Boleh, nek. Kali ni, kita orang akan lepaskan nenek,” ujar kanak-kanak pertama tersebut seraya dia dan kembarnya meninggalkan tubuh Puan Zaidah itu.
Tiba-tiba…
“Hoi makhluk kesayangan nenek kita orang, ambillah semula tuan kau orang ni. Tata…” katanya seraya dia dan kembarnya mula berterbangan semula di udara dan meluru ke arah Mohamad Salahuddin yang masih tidak sedarkan diri itu.
Tiba-tiba kelihatan ular-ular dan Ogre muncul semula. Bau hangus pada tubuh tuan mereka sangat mengharumkan ibarat bau bangkai yang masih segar. Tanpa berfikir panjang, makhluk-makhluk itu terus membaham Puan Zaidah.
Terjerit-jerit Puan Zaidah dibuatnya! Makhluk-makhluknya tidak mengenali dirinya lagi. Segala sihir dan makhluknya telah memakan dirinya kembali. “T… Tolong!” jeritnya sehingga suaranya tidak lagi kedengaran.
Akhirnya, Puan Zaidah telah menghembuskan nafas tearkhir di dunia Lingkaran itu akibat dimakan oleh makhluk-makhluknya. Secara tidak langsung juga, dia telah meninggal dunia di alam realiti tanpa diketahui keberadaan mayatnya. Makhluk-makhluk ciptaannya juga turut lesap.
Mohamad Salahuddin terselamat daripada menjadi mangsa ibu tirinya. Tembok lut sinar yang dibina oleh Puan Zaidah untuk Ustaz Marzuqi juga telah musnah. Dia segera menuju ke arah Mohamad Salahuddin dan dua orang kanak-kanak itu.
Kelihatan dua orang kanak-kanak tersebut menggoncang tubuh Mohamad Salahuddin.
“Abi… Bangunlah… Janganlah tinggalkan kami! Kami masih perlukan abi! Ummi pun masih perlukan abi!” rayu kanak-kanak pertama.
“Abi… Bangunlah!” rayu kanak-kanak kedua pula.
Ustaz Marzuqi hanya menjadi pemerhati. Dia tidak mahu menganggu momen anak-beranak itu.
Tiba-tiba anak mata Mohamad Salahuddin terbuka perlahan-lahan tatkala dia dia terdengar suara kanak-kanak memanggil dirinya sambil tubuhnya digerakkan.
Wajah dua orang kanak-kanak itu berubah ceria. “Alhamdulillah! Abi dah sedar! Yeay! Yeay!” sorak mereka berdua dengan penuh gembira.
Ketika itu, Mohamad Salahuddin terpinga-pinga. Namun, dia tidak mampu bersuara. Tubuhnya menjadi amat lemah akibat kesan belitan ular yang cukup kuat dan begitu mengazabkan dirinya. Akan tetapi, dia dapat menyaksikan kedua-dua orang kanak-kanak itu mencium kedua-dua belah pipinya dengan penuh kasih.
Kelihatan kanak-kanak kedua sedang berbicara dengan Mohamad Salahuddin. “Alhamdulillah. Sekarang, abi dah selamat. Abi jangan cakap apa-apa. Abi kena rehat banyak tahu. Abi… Kami ni anak-anak abi. Kami boleh datang selamatkan abi sebab kami dapat rasa tekanan yang ummi alami. Kami dapat rasa abi dalam bahaya. Maafkan kami sebab kami lambat selamatkan abi.”
Kanak-kanak pertama pula bersuara. “Haah abi… Kami minta maaf tapi syukurlah kami sempat selamatkan abi daripada nenek tua tu. Abi… Kami rindu sangat dengan suara abi walaupun abi berinteraksi dengan kami sekejap je sebelum roh abi dibawa kat dunia ni. Masa ummi bawa kami untuk jumpa abi buat kali pertama, kami gembira sangat. Kami dapat rasa sentuhan yang abi bagi kat kami. Kami dapat rasa abi kucup kami kat perut ummi. Kami tak sabar nak rasa tu lagi. Abi cepat sembuh tahu. Kami tunggu. Kami pun tak sabar nak tunggu abi tegur kami lagi.”
Tiba-tiba bayangan dua orang kanak-kanak itu kian menghilang dari pandangan Mohamad Salahuddin. Namun, dia dapat mendengar bicara terakhir kedua-dua orang itu. “Selamat tinggal abi. Kami sayang abi. Tolong beritahu ummi juga, kami sayang ummi. Tak sabar nak jumpa abi dan ummi nanti. Jumpa lagi!”
“T… Tung…gu…” ujar Mohamad Salahuddin dengan lemah seraya dia cuba meraih tangan dua orang kanak-kanak itu, namun kelibat mereka berdua sudah tiada.
Ustaz Marzuqi tersenyum menyaksikan peristiwa itu. Ah, semuanya berakhir dengan aman.
Tiba-tiba dunia Lingkaran itu bergegar, menandakan bahawa dunia tersebut akan dimusnahkan kerana tiada lagi Puan Zaidah sebagai tuannya. Ustaz Marzuqi segera memapah Mohamad Salahuddin bagi meninggalkan dunia penuh misteri dan menakutkan itu.
Akhirnya, Ustaz Marzuqi membuka matanya. Habis pakaiannya basah lencun setelah dia menyaksikan satu demi satu yang terjadi di dunia Lingkaran. Sungguh, pengalamannya berada di dunia itu amat menggerunkan tetapi mujurlah semuanya berakhir dengan baik. Bukan dia menyelamatkan Mohamad Salahuddin tetapi roh anak-anak lelaki itu yang telah menyelamatkan roh lelaki itu.
Semua orang yang berada di bilik itu dapat menyaksikan anak mata Mohamad Salahuddin mula bergerak semula dan tidak menjadi statik lagi. Namun, dia terus tertidur. Dengkuran halus menemaninya. Tubuhnya juga kembali berisi seperti dahulu sebelum dia disantau oleh Puan Zaidah.
Ketika itu, semua orang menjadi lega tatkala menyaksikan keadaan lelaki itu.
“Alhamdulillah. Salahuddin dah selamat. Jangan risau,” Ustaz Marzuqi memulakan bicaranya.
“Boleh ustaz ceritakan apa yang dah jadi?” pinta Encik Mohd Firdaus.
Lalu, Ustaz Marzuqi menceritakan satu demi satu sepanjang dia berada di dunia Lingkaran itu. Sungguh, Qistur Ruwaidah, Suhaibul Umar dan Encik Mohd Firdaus tercengang mendengar satu per satu penjelasan ustaz tersebut sehinggalah…
“Puan, maaf untuk saya tanyakan soalan ni. Puan tengah mengandung anak kembar ke?” soal Ustaz Marzuqi.
Wajah Qistur Ruwaidah berubah terkejut. “Err… B…Betul tapi macam mana ustaz tahu?”
“Sebab roh anak-anak puan dah selamatkan suami puan. Merekalah yang serang Zaidah. Saya tak boleh nak buat apa-apa pun sebab Zaidah dah pasang tembok kat saya supaya saya tak boleh selamatkan Salahuddin. Walaupun puan tak cakap yang puan mengandung tapi kehadiran roh anak-anak puan dalam dunia tu menandakan puan tengah mengandung. Satu lagi, anak-anak puan dapat rasa apa yang puan rasa. Lagi-lagi, mereka dapat rasa Salahuddin dalam bahaya. Itu yang menyebabkan anak-anak puan muncul kat dunia tu untuk selamatkan Salahuddin,” balas Ustaz Marzuqi. Lalu, dia menceritakan pula tentang pergelutan di antara roh anak kembar Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin dengan Puan Zaidah sehinggalah kemuncak dunia Lingkaran itu musnah.
“Subhanallah!” ucap Qistur Ruwaidah, Suhaibul Umar dan Encik Mohd Firdaus. Meskipun kedengaran tidak logik tetapi apa yang mereka mampu katakan, ini semua kuasa Ilahi!
Berakhirlah segala kemelut dan penderitaan yang telah melanda, hasil dari kekejaman Puan Zaidah. Mohamad Salahuddin juga masih dipanjangkan umur. Impian Qistur Ruwaidah untuk hidup bersama suami dan bakal anak-anak tercinta masih diizinkan Ilahi!
BEBERAPA hari kemudian, Mohamad Salahuddin mula sembuh dengan izin Allah dan dia sudah bertenaga kembali hasil minuman herba yang disediakan oleh Ustazah Afra. Dia juga telah menceritakan kepada Encik Mohd Firdaus, Qistur Ruwaidah, Sakeenah dan Suhaibul Umar berkenaan apa yang telah terjadi di dunia Lingkaran sebelum hadirnya Ustaz Marzuqi bagi menyelamatkan dirinya.
“Along bukan anak mak. Ayah pernah kahwin lain sebelum mak,” terang Mohamad Salahuddin.
Betapa Encik Mohd Firdaus amat terkejut dengan penjelasan anak sulungnya itu. Begitu juga Qistur Ruwaidah, Sakeenah dan Suhaibul Umar.
“A… Ayah pernah kahwin lain?” soal Encik Mohd Firdaus, gugup.
Mohamad Salahuddin mengangguk. Dia mengingati satu per satu kata-kata ibu tirinya itu. “Mak cakap, nama mak Along pun sama dengan mak. Zaidah binti Ishak. Ayah dan mak panggil dia, Adah. Kalau mak Along hidup lagi, Along akan panggil ‘ummi’.”
Lalu, Mohamad Salahuddin menjelaskan cara kejam yang dilakukan oleh Puan Zaidah bagi mendapatkan Encik Mohd Firdaus dan cara penyeksaan yang dilakukan oleh ibu tirinya terhadap ibu kandungnya. Secara tidak sengaja, air matanya mengalir. Dia teringatkan ibu kandungnya itu. Pasti Puan Zaidah (Adah) telah melalui kesengsaraan yang maha dahsyat, iaitu dibaham dan dimakan oleh ular-ular peliharaan ibu tirinya. Sungguh, dia begitu trauma mengingati semula rohnya juga dibaham oleh ular-ular pelbagai saiz itu. Bezanya, dia masih hidup manakala ibu kandungnya terkorban.
Sakeenah merupakan insan paling terkesan tatkala dia mengetahui setiap kejahatan ibu kandungnya sendiri. Betapa dia amat berdosa terhadap ayah dan abangnya. Dia menyalahkan dirinya sendiri! Dia tidak patut lahir ke dunia ini! Hakikatnya, dia merupakan seorang anak kepada tukang bomoh!
“Keena… Dengar sini. Abang Long dan ayah tak salahkan Keena. Yang salah, mak. Bukan Keena,” pujuk Mohamad Salahuddin.
“T…Tapi Keena anak bomoh! Abang Long bukan abang kandung Keena. Kita sama-sama anak tunggal!” luah Sakeenah bersama tangisan.
Mohamad Salahuddin segera mendakap adiknya. “Keena… Jangan cakap macam tu. Walaupun kita berlainan mak, Abang Long tetap abang Keena. Kita tetap seayah! Abang Long berhak jadi wali Keena kalau ayah dah tak ada.”
“Isk… Isk… Isk… Keena minta maaf, Abang Long, ayah!” rintih Sakeenah.
“Keena… Jangan macam ni,” Encik Mohd Firdaus turut memujuk Sakeenah. Kini, dialah ayah dan dialah ibu untuk anak bongsunya itu. Sakeenah sudah bergelar anak yatim. Biarlah mayat Puan Zaidah tidak ditemui. Itu hanya akan menambahkan trauma Sakeenah.
Jika ada orang bertanyakan Puan Zaidah, Encik Mohd Firdaus hanya akan mengatakan bahawa dia sudah bercerai dengan wanita itu dan tidak mendengar khabar lagi berkenaan Puan Zaidah. Hak penjagaan Sakeenah berpihak kepada dirinya.
Giliran Qistur Ruwaidah pula memujuk adik iparnya. “Shhh… Keena... Ayah dan Along tak marah tu. Dia orang sayang Keena. Kak Long pun sayang Keena,” pujuknya dengan lemah lembut sehinggalah Sakeenah tertidur.
Encik Mohd Firdaus dan Mohamad Salahuddin tersenyum tatkala melihat Sakeenah terlelap di ribaan Qistur Ruwaidah. Ternyata Sakeenah tidak boleh berenggang dengan kakak iparnya itu.
“Terima kasih, Kak Long sebab tenangkan Keena. Ayah dah susah hati kalau dia masih salahkan diri dia,” ucap Encik Mohd Firdaus.
Qistur Ruwaidah tersenyum seraya mengusap ubun-ubun adik iparnya itu. “Sama-sama ayah. Tak apa. Lagipun, Keena pun dah tak ada perempuan lain dalam keluarga ni kecuali Kak Long je sekarang.”
“Sayang okey tak Keena tidur atas paha sayang tu? Takut paha sayang lenguh pula,” ujar Mohamad Salahuddin.
“Okey je. Biarlah dia nak bermanja dengan kakak ipar dia ni sekali-sekala,” kata Qistur Ruwaidah seraya tersenyum.
Encik Mohd Firdaus dan Suhaibul Umar tersenyum menyaksikan pasangan itu. Penuh cinta dan kasih sayang. Ah! Tidak lama lagi, Qistur Ruwaidah dan Mohamad Salahuddin akan menerima ahli baharu pula. Masing-masing tidak sabar hendak menantikan pula kelahiran dua orang putera kembar yang amat dinantikan oleh semua orang.
“Along…” panggil Encik Mohd Firdaus.
“Ya ayah,” sahut Mohamad Salahuddin. Dia menumpukan perhatian semula kepada ayah tercintanya itu.
“Along… Ayah betul-betul minta maaf tapi ayah tak ingat langsung pasal Adah. Muka pun lagilah ayah tak ingat tapi ayah akan cuba cari pasal Adah tu. Ayah janji. Along berhak untuk tahu pasal ummi Along,” kata Encik Mohd Firdaus.
“Tak apa, ayah. Jangan susahkan diri ayah. Walaupun ayah lupa pasal ummi dan muka ummi, sekurang-kurangnya Along tahu mak bukan mak kandung Along,” balas Mohamad Salahuddin. Akan tetapi, jiwanya membentak hebat. Betapa kejamnya ibu tirinya membuatkan ayahnya hilang ingatan terhadap Puan Zaidah (Adah).
Selepas dari peristiwa itu juga, barulah Encik Mohd Firdaus dan Sakeenah berani pulang ke rumah mereka di Bangi. Akan tetapi, Encik Mohd Firdaus sudah bercadang untuk berpindah ke tempat lain. Rumah itu sudah cukup menakutkan buat dirinya tatkala Ustaz Fuad mengatakan terdapat sebuah bilik rahsia ciptaan Puan Zaidah. Namun, bilik itu sudah musnah setelah Puan Zaidah tiada lagi.
“SAYANG tak tidur lagi?” soal Mohamad Salahuddin setelah dia berada di atas katil. Pada waktu itu, dia baru sahaja pulang dari kelas ajar mengaji. Dia perlu berusaha dengan lebih gigih bagi mencari nafkah untuk isteri dan bakal anak-anaknya itu, terutama kewangan untuk isterinya bersalin kelak. Dia mahu memberikan yang terbaik buat tiga cinta hatinya itu.
“Belum. Tunggu habibi balik. Sayang tak boleh tidurlah. Perut sayang makin tak selesa,” luah Qistur Ruwaidah sambil menunjukkan kandungannya. Kandungannya sudah semakin besar dan menyukarkan dirinya untuk tidur dengan selesa.
Mohamad Salahuddin mengusap rambut isterinya. “Kesiannya sayang habibi ni. Tak apa sayang. Besar pengorbanan sayang sepanjang sayang mengandung. Habibi tak tahu macam mana nak balas jasa sayang mengandung dan mengusung anak-anak kita kat mana-mana je. Habibi sedar habibi takkan mampu. Apa yang habibi boleh buat, habibi akan pastikan sayang bersalin kat hospital yang selesa dan doktor perempuan yang sambut.”
Hati Qistur Ruwaidah berbunga-bunga. “Sayang tak terfikir langsung pasal doktor perempuan tu. Sayang fikir nak selamat beranak je.”
“Sayang pun tahu habibi cemburu bila melibatkan lelaki ni. Takkan habibi nak bagi doktor lelaki uruskan sayang. Tak nak, tak nak, tak nak… Diri sayang untuk habibi je. Mana boleh ada lelaki lain yang boleh tengok aurat sayang walaupun darurat sekali pun. Jadi, habibi kena usaha lebihlah untuk sayang bersalin kat hospital yang mesra perempuan.”
Qistur Ruwaidah tersenyum. “Moga Allah makin murahkan rezeki habibi. Amin…”
“Amin… Sayang nak cuba tidur atas paha habibi? Mana tahu sayang boleh tidur,” kata Mohamad Salahuddin.
“Eh, tak naklah! Lenguh paha habibi nanti. Tak apa, tak apa… Mungkin habibi boleh cuba dodoikan sayang,” balas Qistur Ruwaidah seraya membaringkan diri dengan posisi mengiring ke kiri, membelakangi suaminya. “Habibi tak terasa sayang baring macam ni, kan?”
“Eh, sayang ni! Buat apa habibi nak terasa? Lagipun, posisi sayang tidur tu paling selamat untuk anak-anak kita,” kata Mohamad Salahuddin. Lalu, dia mendodoikan isterinya dengan alunan zikir dan selawat.
Tidak lama kemudian, Mohamad Salahuddin mendengar dengkuran isterinya. Dia mencuri pandang wajah isterinya itu. Ternyata Qistur Ruwaidah sudah tertidur dengan aman. Perlahan-lahan, dia mengucup dahi dan menyelimuti isterinya. “Alhamdulillah… Dah tidur pun sayang habibi ni. Okey, giliran aku pula nak tidur,” katanya sendirian sambil mencuri pandang ke arah jam dinding. Jam sudah menunjukkan 11.45 malam.
Kemudian, dia memejamkan matanya.
“Mohamad Salahuddin…” panggil seseorang.
Mata Mohamad Salahuddin terbuka tatkala dia terdengar suara seorang wanita. Kelihatan seorang wanita berumur dalam lingkungan 40 tahun dan berpakaian serba putih. “Mohamad Salahuddin…” panggil wanita itu lagi.
“Mak cik ni siapa?” soal Mohamad Salahuddin. Namun, dia tidak berasa takut. Cuma, dia buntu. Ibarat dirinya sedang menghadap cermin. Wajah wanita itu semirip wajahnya.
Kelihatan wanita itu tersenyum. “Ummi ni, sayang,” katanya.
Terbeliak anak mata Mohamad Salahuddin. “Um… Ummi?”
Wanita itu tersenyum lagi. Lalu, dia menghampiri Mohamad Salahuddin. “Ya, sayang. Anak ummi rindu ummi tak?”
Tanpa ragu-ragu, Mohamad Salahuddin segera mendakap ibu kandungnya itu. “Ummi!” luahnya bersama tangisannya. Dirinya ibarat seorang anak kecil. Sungguh, dia tidak menyangka bahawa dia berpeluang untuk bertemu dengan ibu kandungnya, Puan Zaidah (Adah).
“Dah besar anak ummi ni. Syukurlah Salahuddin membesar dengan sihat dan selamat,” ujar Puan Zaidah seraya mengusap rambut anaknya itu.
“Salahuddin dah kahwin, ummi. Salahuddin dah nak jadi ‘abi’ lagi beberapa bulan.”
Kelihatan Puan Zaidah tersenyum lagi. “Ummi tahu, sayang. Ummi perhatikan Salahuddin selama ni. Ummi tahu setiap perjalanan Salahuddin. Cuma, ummi tak boleh nak buat apa-apa.”
Mohamad Salahuddin memandang ibunya. “Apa maksud ummi? Mak cakap roh ummi dah kena makan dengan ular.”
“Betul tapi sebenarnya, ummi terselamat. Ular-ular Ida tu baik. Dia orang tak makan ummi pun. Cuma, dia orang berlakon makan. Lepas Ida dah pergi, ular-ular tu muntahkan balik. Badan ummi bercantum balik. Salah seekor ular cakap dengan ummi, dia orang kesian kat ummi sebab ummi baru bersalinkan Salahuddin. Masa tu, dia orang yang tunjuk jalan keluar.”
“Mustahil, ummi!”
“Tak ada apa yang mustahil. Memang bunyi tak logik tapi itulah… Kuasa Ilahi.”
“Tapi… Ummi hidup lagi ke sebenarnya?”
Puan Zaidah menggelengkan kepalanya. “Tak… Ummi tak sempat selamatkan diri ummi pun. Ida dapat tahu. Roh dia sendiri yang makan roh ummi. Ular-ular dia pun mati kena bunuh sebab selamatkan ummi. Jadi, ular-ular yang Salahuddin jumpa dulu, kelompok ular lain.”
Mohamad Salahuddin makin bingung. “Kalau ummi cakap ummi dah tak ada, macam mana pula ummi tahu setiap perjalanan Salahuddin? Macam mana ummi boleh muncul?”
Puan Zaidah menghadiahkan senyuman. “Anggap jelah semua ni izin Allah. Salahuddin pun dah dapat jumpa ummi. Salahuddin pun ada terdetik nak tengok ummi, kan? Ni ummi dah muncul. Ummi pun dapat jumpa Salahuddin. Cuma, ummi tak sempat nak jumpa abah. Masa dah tak izinkan ummi. Sampaikan salam assalamualaikum ummi buat abah. Tolong beritahu abah, ummi cintakan abah.”
Semakin sebaklah Mohamad Salahuddin dibuatnya. Alangkah tragisnya kehidupan mereka bertiga secara hakikatnya. “Insya-Allah ummi.”
Tiba-tiba Puan Zaidah menghilangkan diri.
“Ummi!” jerit Mohamad Salahuddin.
Qistur Ruwaidah terbangun dari lenanya tatkala dia terdengar suaminya mengingau. “Habibi… Bangun habibi,” kejutnya seraya menggoncangkan tubuh suaminya.
Mohamad Salahuddin membuka matanya. Wajahnya bingung. Kelihatan isterinya sedang berada dalam posisi duduk.
“Habibi okey?” soal Qistur Ruwaidah. Dia memegang tangan suaminya itu.
“Habibi minta maaf. Habibi dah terkejutkan sayang pula,” balas Mohamad Salahuddin. Wajahnya muram.
“Tak apa. Habibi mimpi apa? Kongsilah. Sekejap. Sayang nak sandar,” ujar Qistur Ruwaidah. Kemudian, dia menyandarkan dirinya di penghadang katil bersama bantal sebagai alas untuk bahagian belakang tubuhnya. Kemudian, dia mengusap rambut suaminya. “Okey, habibi mimpi apa?”
“Habibi mimpikan ummi,” ujar Mohamad Salahuddin. Kemudian, dia terdiam seketika.
Qistur Ruwaidah juga terdiam sama. Tiba-tiba dia teringat bahawa dia pernah termimpikan Almarhum Sufi Waazin setelah lelaki itu tiada. Suaminya juga termimpikan orang yang telah tiada. “Kalau habibi tak nak cerita, tak apa. Jom qiamullail. Nak?”
Mohamad Salahuddin mengangguk perlahan. Bukan dia tidak mahu berkongsi mimpinya. Cuma, dia masih memerlukan masa.
“ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAH…” ucap Mohamad Salahuddin setelah dia mengucapkan salam kedua untuk solat sunat witir dan diikuti oleh Qistur Ruwaidah. Kemudian, masing-masing berwirid.
Qistur Ruwaidah memandang suaminya yang membelakangi dirinya itu. Perlahan-lahan dia menurunkan dirinya dari kerusi untuk bersimpuh di atas lantai. Kondisinya yang berbadan dua telah membataskan dirinya untuk rukuk dan sujud.
Mohamad Salahuddin tersentak tatkala isterinya mendakap dirinya dari belakang.
“Sayang dan anak-anak kita ada untuk habibi. Habibi jangan sedih-sedih tahu,” bisik Qistur Ruwaidah di tepi telinga suaminya.
Mohamad Salahuddin tersenyum seraya menoleh ke belakang. Dia memegang pipi isterinya itu. “Terima kasih, sayang. Mari duduk sebelah habibi,” katanya.
Qistur Ruwaidah meleraikan dakapan itu. Lalu, dia melabuhkan punggungnya di sebelah suaminya itu. “Habibi dah okey?”
Mohamad Salahuddin melekapkan tangannya di atas kandungan isteri tercinta. “Alhamdulillah. Bila habibi bangun waktu ni, jumpa Allah… rasa nikmat sangat. Walaupun Ramadan habibi tak sempurna tahun ni… Habibi kena ganti puasa untuk sebulan, habibi tahu semua ni berhikmah. Habibi boleh ganti puasa sama-sama dengan sayang.”
“Kalau habibi nak ganti puasa dulu, gantilah. Tak baik tangguhkan benda yang wajib. Kalau nak tunggu sayang, lama lagi ni. Nak hadap pantang lagi,” pesan Qistur Ruwaidah.
“Insya-Allah. Habibi ingat habibi nak ganti puasa hari ni. Sayang temankan habibi sahur, boleh tak?”
“Boleh. Sayang sediakan makanan untuk habibi. Habibi nak makan apa?”
“Habibi rindu sangat air tangan sayang… Nak sangat sayang masak tapi sayang tengah mengandung. Kesian pula.”
“Habibi ni… Bukannya sayang tak boleh masak. Boleh je. Cuma, sayang tak larat nak sediakan bahan.”
Wajah Mohamad Salahuddin terus bercahaya. “Kalau macam tu, habibi sediakan bahan untuk roti telur. Sayang buatkan ya?”
Qistur Ruwaidah tersenyum. “Boleh, habibi. Kita tak baca doa penutup untuk qiamullail lagi, kan?”
“Eh, haah! Okey, jom kita doa sama-sama.”
Setelah pasangan itu mengaminkan doa, mereka saling bersalaman sesama sendiri.
“Habibi minta maaf ya, sayang. Banyak salah habibi kat sayang,” ucap Mohamad Salahuddin. Sebagai seorang suami, dia melatih diri untuk sentiasa menurunkan ego demi insan tercinta. Apatah lagi, dia bakal menjadi seorang ayah. Semestinya, dia perlu belajar menurunkan ego untuk anak-anaknya pula kelak sekiranya dia melakukan kesilapan sebagai seorang ayah.
“Sayang maafkan habibi. Sayang pun nak minta maaf. Sayang pun ada salah. Halalkan makan minum sayang. Doakan sayang selamat bersalin nanti,” ucap Qistur Ruwaidah pula.
“Insya-Allah. Habibi maafkan sayang.”
Kemudian, Mohamad Salahuddin membantu isterinya untuk berdiri kerana pergerakan isterinya agak terbatas dan semakin perlahan gara-gara kandungannya yang kian membesar. Lalu, mereka berdua menuju ke dapur.
SELEPAS Mohamad Salahuddin bersahur dan menunaikan solat subuh serta ditemani Qistur Ruwaidah, dia mula membuka cerita tentang mimpi yang dialaminya pada tika dinihari tadi kepada isterinya.
“Habibi… Sayang tahu habibi sakit nak terima semua ni. Lepas 22 tahun, baru habibi tahu habibi bukan anak mak. Mak pula kejam bagi sihir pelupa kat ayah sampai ayah tak ingat langsung kat almarhumah ummi,” balas Qistur Ruwaidah.
“Habibi tak tahu macam mana nak maafkan mak. Salah ke untuk habibi rasa dendam kat mak? Tak maafkan mak?” ujar Mohamad Salahuddin bersama nada penuh kesedihan.
Qistur Ruwaidah menggelengkan kepalanya. “Kalau orang yang tak faham situasi habibi, orang lain akan cakap ‘dosa’ dan hukum habibi macam-macam tapi bukan sayang yang akan cakap macam tu. Sayang faham perasaan habibi. Habibi berhak untuk ada rasa dendam. Mak bukan je buat jenayah tapi mak dah syirikkan Allah sekali. Habibi pun tahu sayang pun ada dendam. Dendam dengan Mak Long Rauzah. Sampai sekarang sayang tak boleh nak maafkan dia. Sayang pun takkan lupakan jenayah yang dia buat kat sayang. Sikit pun sayang tak nampak kebaikan dia untuk sayang dan Abang Suhaib dulu. Jadi, habibi… Bukan salah habibi untuk rasa dendam kat mak.”
“Habibi betul-betul rasa terseksa bila habibi baru tahu pasal ummi. Macam mana habibi nak cari kubur ummi kat Kelantan sana? Ayah pun tak ingat langsung pasal ummi.”
“Kalau kita balik Kelantan nanti, kita cuba cari kat sekitar kampung ayah dulu. Lagipun, mak ada cakap… Mak, ayah dan ummi satu sekolah dulu. Mesti sekampung juga tu.”
“Betul juga tapi habibi tunggu sayang bersalin dululah dan anak kita dah besar sikit. Baru kita mulakan misi pencarian kubur ummi.”
“Insya-Allah. Kita akan jumpa kubur ummi nanti. Hanya masa yang menentukan.”
Wajah Mohamad Salahuddin terus berubah ceria akan kata kunci yang disebut oleh isterinya itu, yakni almarhumah ibu kandungnya, ayahnya dan ibu tirinya merupakan rakan sekolah. Dia percaya bahawa satu hari nanti, dia akan berjaya menemui kubur Allayarhamah Puan Zaidah binti Ishak (Adah).
Macam mana? Berdebar tak? HAHAHA! Maafkan tuan penulis (TP) tapi Mohamad Salahuddin (Din) dah selamat tu, jangan marah TP lagi ya. Sengaja gimikkan keadaan. Kan TP berdendam dengan Din lepas Qist tolak lamaran Azim. Memang sengaja nak seksa Din sebab isu lamaran ditolak tulah. TP ni #TeamAbdulAzim sampai sekarang xD Maafkan TP juga kerana lambat menerbitkan bab baharu. Sejujurnya, ini penulisan paling mencabar yang pernah ditulis oleh TP selama TP menjebakkan diri dalam dunia penulisan sejak tahun 2006. Ianya diluar kotak pemikiran TP. Memang banyak tak logik tetapi alang-alang nak mengarut, biar mengarut terus xD TP ingin mengucapkan infiniti terima kasih kepada para pembaca yang sudi membaca novel 'Zauj Untuk Qist'. Teruskan mengikuti perjalanan novel ini. <3 Salam hormat, Tuan Penulis @ Bintuqist
Share this novel