BAB 15

Drama Completed 13621

HUJAN lebat mula menemani pada waktu petang. Meskipun jam baru sahaja menunjukkan pukul 4.00 petang tetapi keadaan waktu itu sudah menyamai waktu Maghrib.
Bumi Bangi, Selangor juga turut dibasahi hujan. Kilat dan guruh saling berdentum tanpa henti tetapi itu tidak menjadi gangguan buat Mohamad Salahuddin untuk menelaah kes-kes yang bertimbun dan tiada kesudahan. Itulah harga yang perlu dibayar olehnya untuk menjadi seorang peguam setelah dia menamatkan pengajiannya kelak.
Kini, Mohamad Salahuddin sedang melanjutkan pengajiannya sebagai pelajar ijazah tahun pertama semester satu di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim atau Ahmad Ibrahim Kulliyyah of Laws (AIKOL) di bawah cabang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) atau Bachelor of Laws (Honours). Juga, dia berhasrat untuk menyambung Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Syariah) (Kepujian) atau Bachelor of Laws (Shariah) (Honours) pada tahun kelimanya nanti jika diizinkan oleh Allah.
Percikan demi percikan serta air hujan yang mengalir pada tingkap biliknya itu telah membuatkan dirinya tertarik untuk menikmati hujan itu. Dia mengambil keputusan untuk berehat seketika dari membaca kes-kes tersebut. Dia amat menyukai hujan sejak kecil.
Tiba-tiba pintu bilik Mohamad Salahuddin diketuk oleh seseorang. “Masuk!” laungnya seraya melabuhkan punggungnya semula di atas kerusi belajarnya.
Kelihatan adik tunggalnya, Sakeenah membuka pintu biliknya itu. “Keena kacau Abang Long ke?” tanyanya seraya melangkah masuk ke dalam bilik abangnya itu. Dia melabuhkan punggungnya di atas katil abangnya itu
“Tak adalah. Abang Long tengah rehat sekejap. Pening baca kes-kes jenayah ni,” balas Mohamad Salahuddin seraya menunjukkan kertas-kertas yang berselerakkan di atas meja belajarnya.
Sakeenah menghampiri meja belajar abangnya itu. “Macam seronok je apa yang Abang Long belajar,” luahnya.
Mohamad Salahuddin ketawa mendengar pendapat adiknya berkenaan bidang undang-undang itu. “Seronok? Tak ada maknanya seronok. Keena kena kental. Abang Long nasihatkan baik Keena sambung bidang lain daripada Keena ada angan-angan nak sambung bidang undang-undang. Percayalah, belajar undang-undang bukan senang dan lupakan jelah kalau Keena rasa belajar undang-undang ni nampak cool,” nasihatnya.
“Bunyi macam Abang Long menderita je. Keena tak jadilah nak sambung bidang yang abang ambil ni,” balas Sakeenah.

“Ha tahu pun. Jauh lagi perjalanan Keena. Keena baru tingkatan dua. PT3 dan SPM pun Keena tak hadap lagi. Keena masih ada banyak masa lagi nak fikir hala tuju Keena.”
Jarak umur antara Mohamad Salahuddin dan Sakeenah, iaitu enam tahun. Mohamad Salahuddin berumur 20 tahun manakala adiknya berumur 14 tahun.
Mata Sakeenah tertangkap pada bingkai gambar di atas meja belajar abangnya itu. “Gambar apa tu, Abang Long?” tanyanya seraya menunjukkan bingkai gambar tersebut.
“Oh. Gambar kelas Abang Long masa abang belajar kat CFS dulu,” jawab Mohamad Salahuddin.
Gambar itu mengingatkan dirinya berkenaan hari fotografi setiap grup dan jurusan di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (CFS IIUM) dahulu. Tiba-tiba dia merindui rakan-rakannya dalam gambar tersebut.
Grup 320… Mana mungkin dia lupa grup tersebut.
Dalam grup 320 itu jugalah, dia mula jatuh hati terhadap Qistur Ruwaidah dalam diam.
Sakeenah mengambil bingkai gambar tersebut seraya menatap wajah rakan-rakan sekelas abangnya itu. “Ramai-ramai perempuan dalam gambar ni, Abang Long tak suka siapa-siapa ke? Cantik-cantiklah dia orang ni.”

Mohamad Salahuddin ketawa. Ada-ada sahaja idea adiknya itu untuk bersembang dengan dirinya. Namun begitu, Sakeenah tetap menghiburkan dirinya jika dirinya bosan atau tertekan. Dia amat menyayangi adiknya itu sepenuh hatinya sejak adiknya itu dilahirkan ketika dia berumur enam tahun dahulu.
“Kalau Abang Long cakap Abang Long ada suka seseorang dalam gambar ni, Keena okey ke?” tanya Mohamad Salahuddin
“Eh, kenapa pula Keena tak okey! Keena tak sabar nak ada kakak ipar tahu. Boleh Keena bermanja dengan Kak Long pula,” jawab Sakeenah, ceria.

“Aii… Belum apa-apa lagi, dah panggil Kak Long ya, Keena.”

Sakeenah ketawa mendengar kata-kata abangnya itu. “Okey Abang Long, cepat beritahu. Mana satu akan jadi ‘Kak Long’ Keena nanti?”

“Tekalah,” balas Mohamad Salahuddin seraya ketawa kecil.

“Ni?” teka Sakeenah seraya menunjukkan salah seorang rakan perempuan abangnya itu.

“Salah.”

Sakeenah meneka lagi sehinggalah dia meneka mahasiswi keempat, iaitu Qistur Ruwaidah berjubah rona biru tua dan bertudung bulat labuh rona hitam. “Ni?”

“Betullah tu,” kata Mohamad Salahuddin seraya tersenyum.

“Cantiknya! Siapa nama dia, Abang Long?”

“Qistur Ruwaidah. Abang Long panggil dia, Qist. Keena suka ke kalau dia jadi ‘Kak Long’ Keena?”
“Eii… Mestilah Keena suka! Nanti Abang Long bawalah Keena jumpa Kak Qist. Boleh Keena kenal Kak Qist.”
“Insya-Allah. Keena doalah Abang Long dapat jumpa Kak Qist satu hari nanti. Dah lama Abang Long tak nampak dia. Tak tahu apa cerita dia sekarang.”
“Ada jodoh, tak ke mana. Amin!”
Mohamad Salahuddin tersenyum seraya mengusap kepala adiknya itu seketika. Bijak sungguh adiknya itu menuturkan ayat sedemikian. Kelihatan Sakeenah begitu seronok melihat wajah Qistur Ruwaidah itu.
‘Adakah aku mempunyai harapan terhadap kau, Qist di saat hati kau meletakkan Azim sepenuhnya?’ bisik hati jejaka itu.

“Abang Long, kalau hujan dah reda lepas Maghrib nanti, jom kita pergi jalan-jalan. Keena bosanlah,” kata Sakeenah dengan manja seraya meletakkan bingkai gambar tersebut ke tempat asalnya semula.
“Boleh. Keena nak jalan-jalan kat mana?” respons Mohamad Salahuddin. Dilayankan sahaja permintaan si bongsu itu.
“Pusat Beli-Belah Adenium. Keena nak makan 10 Fingers!”
“Amboi, Abang Long kena belanjalah ni!”
“Mestilah. Nama pun abang. Kenalah belanja adik.”
Mohamad Salahuddin ketawa mendengar kata-kata adiknya. Sejujurnya, dia tidak kisah pun untuk membelanjai adiknya itu. Berapalah sangat pun harganya. Lagipun, dia juga ada melakukan kerja sambilan, iaitu ajar mengaji dan subjek-subjek sekolah rendah dan menengah di rumah jiran-jirannya dan sekitar Bangi. Juga, di sekitar Gombak.

Salah satu sebab lain juga, dia mahu mengumpul kewangan untuk memiliki Qistur Ruwaidah sebagai suri hatinya. Jadi, dia perlulah bersedia dari sekarang tanpa meminta kewangan daripada orang tuanya walaupun dia tidak tahu apa yang akan menantinya di masa akan datang.

Begitu telitinya perancangan seorang Mohamad Salahuddin itu terhadap masa hadapannya.

“Keena keluar dulu, Abang Long. Jangan lupa janji kita lepas solat maghrib nanti tahu,” kata Sakeenah.

“Insya-Allah. Okey Keena,” balas Mohamad Salahuddin seraya menunjukkan isyarat bagus kepada adiknya itu.

Setelah Sakeenah meninggalkan bilik abangnya itu, Mohamad Salahuddin bangkit kembali dari tempat duduknya untuk menikmati semula hujan yang masih lebat itu.

Ingatannya mula menerawang kembali sesuatu berkenaan dirinya dan Qistur Ruwaidah sewaktu di pusat asasi dahulu.

Tahun pertama semester tiga sesi 2013/2014…

Waktu itu, Mohammad Salahuddin baru sahaja selesai membeli barang di Coop Mart sekitar Central Spine. Tiba-tiba dia terdengar sesuatu barang jatuh di belakangnya. Dia menoleh ke belakang.

“Allah! Kenapalah kau jatuh masa ni juga, botol jus durian belanda oii! Kau tahu tak betapa mahalnya aku nak beli kau!” bebel seseorang. Kelihatan jus durian belanda yang diletakkan dalam botol kaca itu telah pecah.

Qistur Ruwaidah rupanya. Kelihatan dia duduk bertinggung sambil menangis. Sepertimana botol kaca itu pecah bersepai, begitulah juga berkecai hatinya itu. Dirinya begitu kempunan untuk merasai jus durian belanda itu.

Mohamad Salahuddin tersentak apabila dia ternampak mahasiswi itu menangis. Selama ini, dia tidak pernah melihat Qistur Ruwaidah menangis. Hatinya berasa amat tersentuh terhadap keadaan mahasiswi itu. Dia sendiri yang sedia menyukai perempuan itu, mulai menghampiri Qistur Ruwaidah. “Qist…” panggilnya.

Qistur Ruwaidah segera menyeka air matanya apabila ada seseorang sedang menegurnya. Dia tidak mahu orang lain melihat wajahnya dalam keadaan menangis. Dia tidak suka!

“Qist, kau okey tak?” tanya Mohamad Salahuddin.

Qistur Ruwaidah mula menoleh ke arah gerangan yang bertanya kepadanya itu. “D… Din?”

“Kau okey tak?”

“Emm… Botol jus durian belanda aku dah pecah. Bukannya apa Din. Dah lama aku teringin nak minum. Baru ada rezeki nak beli tapi tulah, jadi tak ada rezeki nak minum pula.”
“Oh. Macam tu ceritanya. Emm… Kau tunggulah sekejap. Aku belanja kau.”
Belum sempat Qistur Ruwaidah hendak menghalang Mohamad Salahuddin, kelihatan mahasiswa itu terus memasuki semula koperasi tersebut.
Tidak lama kemudian, kelihatan jejaka itu membawa bungkusan berisi botol kaca jus durian belanda, lalu diserahkan kepada Qistur Ruwaidah. “Nah. Ambillah,” kata Mohamad Salahuddin.
“Din, kau ni buat susah-susah je. Aku boleh beli lain kali. Emm… Apa-apa pun, terima kasih ya,” balas Qistur Ruwaidah seraya mengambil bungkusan beg plastik itu daripada Mohamad Salahuddin.
“Sama-sama. Tak ada apalah, Qist. Aku pergi dulu. Hati-hati tahu pegang beg plastik tu.”
Mohamad Salahuddin mula meninggalkan mahasiswi itu. Kelihatan Qistur Ruwaidah memandang lelaki itu sehingga mahasiswa itu hilang dari pandangannya.

Mengenangkan peristiwa itu semula, Mohamad Salahuddin tersenyum, namun dia berasa agak pelik mengapa Qistur Ruwaidah menangis apabila botol kaca jus durian belanda itu pecah? Sebenarnya, ingin dia ketahui sebabnya. Silap dia tidak bertanya kepada Qistur Ruwaidah waktu itu.
Ah, apa-apa jelah!” katanya sendirian.
Kelihatan hujan sudah tidak selebat tadi. Mohamad Salahuddin tersenyum hambar. Dia benar-benar ingin bertemu semula dengan Qistur Ruwaidah dan meluahkan hasrat hatinya itu. Dia tidak mahu lagi memendam perasaannya itu. Penat dan sakit.

KEDAI MAKAN 10 FINGERS, PUSAT BELI-BELAH ADENIUM
Sakeenah begitu berselera menikmati ayam goreng bersalut sos gochujang bersama nasi putih yang diperbuat dari beras Jepun itu. Mohamad Salahuddin tersenyum melihat adiknya itu.
“Sedap?” tanya Mohamad Salahuddin.
“Mestilah sedap! Makanan kegemaran Keena ni,” jawab Sakeenah. Betapa dia bersungguh menikmati ayam itu.
“Nak apa-apa lagi tak lepas ni?”
“Nak pretzel dan chocolate bread stick Auntie Eine. Keena teringin dari minggu lepas lagi tahu.”
“Kuat makannya! Nak datang bulan ke apa ni?”
“Keena rasa macam tu jugalah, Abang Long. Menjadi-jadi pula laparnya.”
Usai dua beradik itu menjamu selera di Kedai Makan 10 Fingers dan membeli makanan di Kedai Roti Auntie Eine, Mohamad Salahuddin terserempak dengan Abdul Azim di Kedai Buku Network.
“Eh, Din! Assalamualaikum kawan lama,” tegur Abdul Azim dengan ceria seraya menghulurkan tangannya untuk bersalam dengan bekas rakan sekelasnya itu.
Mohamad Salahuddin membalas huluran salam bekas rakan sekelasnya itu. “Waalaikummussalam Azim. Kau buat apa kat sini?” tegurnya.
“Macam biasalah. Kalau dah ambil bidang arkitek ni, tak lain tak bukan, aku tengah cari barang-barang untuk replika model aku. Kau pula?”
“Aku temankan adik aku ni. Dia nak cari novel. Alang-alang tu, aku nak cari juga buku-buku pasal akta.”
Abdul Azim memandang seketika adik Mohamad Salahuddin itu. Kecil molek orangnya. Dia menghadiahkan senyuman kepada remaja itu. “Siapa nama?” tanyanya.
“Sakeenah,” jawab Sakeenah malu-malu.
“Eleh! Sejak bila Keena malu-malu pula ni? Pantang betul jumpa lelaki pakai cermin mata macam Abang Azim ni, kan,” sengaja Mohamad Salahuddin mengenakan Sakeenah dengan menyentuh awning tudung adiknya itu.
“Eii… Abang Long ni kan! Tengok! Dah tak jadi awning tudung Keena tahu. Susah tahu nak bentukkan semula! Abang Azim, tengok Abang Long ni!” nada Sakeenah mula merajuk.
“Kau ni kuat mengusik rupanya, Din,” tegur Abdul Azim seraya tersengih.
“Mana boleh aku tak usik budak manja ni,” balas Mohamad Salahuddin seraya menyentuh sekali lagi awning tudung Sakeenah itu. Semakin muncunglah bibir si Sakeenah itu.

Abdul Azim ketawa melihat gelagat dua beradik itu. Kelihatan hubungan mereka berdua sungguh rapat. Jauh di sudut hatinya, terselit rasa cemburu dalam dirinya apabila melihat hubungan Mohamad Salahuddin dan adiknya itu kerana dia tidak mempunyai adik untuk bergurau senda. Jarak di antara dia dan adik-beradik ketujuh juga agak jauh, iaitu beza lapan tahun manakala adik-beradiknya yang lain daripada anak pertama sehinggalah anak ketujuh rapat-rapat jaraknya. Beza setahun dan dua tahun sahaja.

Apabila Puan Tengku Aulia mengandungkan Abdul Azim, semua adik-beradiknya tidak percaya kerana waktu itu ibu mereka sudah mencecah umur 40 tahun, sedangkan waktu itu, anak-anak adik-beradiknya berjumlah seramai 12 orang. Bermakna, Abdul Azim mempunyai anak-anak saudara yang lebih tua daripada dirinya dan juga, sebaya.
Namun begitu, adik-beradik Abdul Azim tetap gembira menantikan kelahirannya. Selain itu, Abdul Azim masih ingat ketika beberapa orang adik-beradiknya yang masih belum mendirikan rumah tangga waktu itu begitu rajin melayannya dan membelikan pelbagai barang mainan untuk dirinya. Dia merindui momen itu.
“Keena pergilah cari novel Keena tu. Abang Long nak sembang dengan Abang Azim sekejap,” kata Mohamad Salahuddin.
“Okey. Abang Long kena belanja novel juga. Balasan untuk Abang Long sebab kacau awning Keena,” balas Sakeenah.

“Alahai, mengadanya budak ni! Ha okeylah, okeylah. Pergilah cari novel banyak-banyak sampai Keena puas hati.”

Sakeenah menjelirkan lidahnya kepada abangnya itu seraya meninggalkan dua orang jejaka itu.

“Seronoknya aku tengok kau orang. Comel je,” puji Abdul Azim mengenai keakraban dua beradik itu.
“Tu jelah satu-satunya adik-beradik yang aku ada pun, Azim. Dialah penawar aku kalau aku sedih. Sesuailah dengan nama dia, Sakeenah. Ketenteraman,” balas Mohamad Salahuddin.

“Okey juga kau ada adik. Aku ni anak bongsu. Abang dan kakak aku semua dah kahwin. Dah lama tak kena usik dengan dia orang. Rindu pula.”

Mohamad Salahuddin memegang bahu sahabatnya itu. “Nampaknya, kau kena ada penemanlah, Azim. Barulah kau tak rasa sunyi.”

“Aii… Tak kuasalah aku nak fikir pasal kahwin buat masa ni. Kau ni cakap je kat aku, kau tu sendiri bila?” balas Abdul Azim.
“Aku? Insya-Allah tengoklah dalam tahun depan atau dua tahun lagi. Memang aku tengah tunggu seseorang.”
“Wah, alhamdulillah kalau macam tu Din! Semoga dipermudahkan. Aku tak sabar nak jamah nasi minyak kau.”
“Kau doakan untuk aku semoga dipermudahkan urusan.”
“Insya-Allah. Perkara baik, mestilah aku akan doakan untuk kau.”

Mohamad Salahuddin menghadiahkan senyuman. Kalaulah Abdul Azim mengetahui bahawa dia sedang menunggu Qistur Ruwaidah, apalah reaksi kawannya itu nanti? Walhal, dia sendiri pernah menyampaikan perasaan mahasiswi itu kepada Abdul Azim. Namun begitu, rasanya tiada masalah buat dirinya. Jika dilihat kepada respons Abdul Azim tadi, nampak seperti dia tidak lagi menyukai atau tidak pernah menyukai mahasiswi itu.
Kelihatan Abdul Azim mengeluarkan dompet dari koceknya seraya mengeluarkan beberapa not wang untuk diberikan kepada Mohamad Salahuddin. “Nah,” katanya.
“Eh, untuk apa ni, Azim!” tanya Mohamad Salahuddin.
“Anggaplah ni hadiah daripada aku sebagai abang untuk Keena. Lagipun, mesti banyak punya novel dia borong tu. Aku faham sangat. Kakak-kakak aku pun pernah jadi macam Keena. Tak sah kalau beli satu novel je. Mesti dia orang beli sampai empat lima buah.”
“Eh, tak payahlah susah-susah, Azim! Segan aku nak terima. Banyak sangat kau bagi ni.”
Abdul Azim meraih tangan kanan Mohamad Salahuddin seraya meletakkan wang tersebut di telapak tangan kawannya itu. “Ambil je. Anggaplah ni rezeki kau sekali nak beli buku akta.”
Akhirnya, Mohamad Salahuddin akur. Wang tersebut disimpan dalam dompetnya. “Terima kasih Azim. Moga Allah murahkan rezeki kau.”
“Sama-sama Din. Amin! Ada rezeki, kita jumpa kat UIA nanti. Aku gerak dulu ya. Nak cari barang-barang aku. Assalamualaikum.”

“Waalaikummussalam.”

Kelihatan Abdul Azim mula hilang dari pandangan Mohamad Salahuddin. Mohamad Salahuddin mula mencari adiknya itu. Kelihatan Sakeenah sedang ralit membelek beberapa buah novel.

“Baa!” sengaja Mohamad Salahuddin mengejutkan adiknya itu.

Hampir terlepas novel yang dipegang oleh Sakeenah. Betapa dia amat terkejut dengan sergahan abangnya itu. “Eh mak kau!”

Sakeenah terus memukul lengan abangnya itu dengan kuat. “Abang Long ni, kan! Suka sangat kacau Keena tahu!”
“Baru umur 14 tahun. Dah melatah macam mak cik,” ejek Mohamad Salahuddin.
Sakeenah memuncungkan bibirnya.
“Tak payah nak muncung sangatlah. Dah macam itik Abang Long tengok. Ha, dah jumpa ke belum novel-novel yang Keena nak?” kata Mohamad Salahuddin.

“Sekejap. Keena nak baca sinopsis novel ni,” balas Sakeenah.

Mohamad Salahuddin memandang novel-novel yang ada dalam bakul tersebut. Ada lima buah semuanya. Belum termasuk novel yang dipegang oleh adiknya itu. Dia menggeleng sahaja melihat perlakuan adiknya itu. Biarlah... Lagipun, Abdul Azim telah memberikan wang untuk dirinya dan Sakeenah tadi. Bolehlah dia menggunakan wang tersebut.

“Okey. Abang Long nak pergi cari buku undang-undang dululah. Nanti hubungi Abang Long kalau dah selesai pilih,” pesannya.
“Sekejap Abang Long. Ni bukan Kak Qist ke?” kata Sakeenah seraya menunjukkan sebuah novel kepada abangnya itu.

Mohamad Salahuddin mengamati halaman yang ditunjukkan oleh adiknya itu. Terpapar gambar Qistur Ruwaidah di situ. Dia mengambil seketika novel itu untuk melihat kaver novel tersebut. Tajuknya, Prangko Salsabila. Namun begitu, Qistur Ruwaidah tidak menggunakan nama sebenar. Dia menggunakan nama pena sebagai Rumaysa Irsyadi.
“Eh yalah! Wah, novel dia dah terbitlah! Baru Abang Long ingat. Memang dia pernah cakap dia tengah tulis novel nak hantar kat syarikat buku. Emm… Prangko tu apa? Pertama kali Abang Long dengar perkataan tu,” respons Mohamad Salahuddin, ceria. Dia memulangkan novel tersebut kepada adiknya.

“Prangko tu maksudnya setem. Novel ni cerita pasal seorang remaja bernama Salsabila yang suka sangat kumpul setem. Tiba-tiba dia diserap masuk ke masa lalu melalui salah satu setem yang dia kumpul pada tahun 1970. Menarik tahu! Abang Long… Keena kagumlah dengan Kak Qist ni. Memang Keena restu sangatlah Abang Long pilih Kak Qist,” balas Sakeenah seraya memasukkan novel tersebut ke dalam bakul.

Mohamad Salahuddin tersenyum mendengar kata-kata adiknya itu. Dia juga mengambil novel tersebut sebagai tanda sokongan buat insan yang dicintainya dalam diam itu, lalu dimasukkan ke dalam bakul.
“Eh, Abang Long pun nak beli novel Kak Qist ni?” tegur Sakeenah.
“Mestilah Abang Long kena beli. Kawan sendiri tulis ni. Takkan Abang Long tak sokong pula. Okeylah, Abang Long nak cari buku undang-undang,” balas Mohamad Salahuddin.

Dia mula menghilangkan diri ke bahagian rak buku undang-undang. Adiknya memandang dua buah novel Prangko Salsabila itu seraya tersenyum. ‘Semoga Kak Qist akan jadi kakak ipar aku nanti. Amin!’

Mohamad Salahuddin melilau-lilau mencari buku akta tahun 2015 itu. Akhirnya, dia terjumpa buku tersebut. Seketika dia mengelamun sendirian.

Imbau kembali tahun pertama semester dua sesi 2013/2014.

Selesai sahaja kuliah Basic Themes of Al-Quran (BTQ), Mohamad Salahuddin masih tidak meninggalkan kelas tersebut. Dia ralit memeriksa telefon pintarnya. Seketika, matanya tertangkap kepada Qistur Ruwaidah yang masih belum keluar juga dari kelas tersebut. Kelihatan mahasiswi itu sedang fokus di hadapan komputer riba miliknya. Dia menghampiri mahasiswi itu.
“Qist, kau buat apa tu?” tegur Mohamad Salahuddin.
Qistur Ruwaidah menghentikan seketika aktiviti menaipnya itu. “Oh Din. Aku ingatkan kau dah tak ada dalam kelas. Maaflah. Aku tengah seronok sangat menulis sampai aku tak sedar dengan keadaan sekeliling.”
“Kau tulis apa?”
“Tulis novel.”
“Wah! Kau tulis novel? Tak sangka aku ada kenalan yang suka tulis novel. Aku tak pernah jumpa lagi mana-mana kawan aku suka menulis. Kaulah orang pertama yang aku tahu suka menulis.”

“Ya betul. Menulis ni hobi aku sejak aku tingkatan satu. Disebabkan hobi aku nilah, aku dapat jana pendapatan yang disebut sebagai royalti. Alhamdulillah, beberapa karya aku pernah diterbitkan di beberapa majalah. Baru-baru ni, ada satu syarikat buku ni maklumkan kat aku bahawa proposal novel aku diterima. Novel yang aku tengah tulis nilah. Pasal apa tu, aku tak boleh nak beritahu lagi setakat ni.”
“Tak apa. Aku hormati je. Apa-apa pun, hebatlah kau! Bukan semua orang boleh menulis macam kau. Aku doakan semoga kau dikurniakan idea yang mencurah-curah dalam menulis novel ni. Amin!”

“Insya-Allah. Terima kasih Din.”

“Sama-sama Qist.”

Kelihatan ketukan jari-jemari Qistur Ruwaidah mula menari semula pada papan kekunci komputer ribanya itu.

Mohamad Salahuddin tersenyum melihat gelagat mahasiswi itu begitu serius dan fokus dengan hobinya itu. Dia tidak mahu mengganggu lagi perempuan itu, lalu dia meninggalkan kelas tersebut. Bimbang idea Qistur Ruwaidah lesap begitu sahaja jika dia menegur lagi.

Teringat akan peristiwa itu, Mohamad Salahuddin tersenyum seketika.

‘Qist, aku kagum dengan kau. Tak sangka novel kau dah ada kat pasaran. Macam manalah aku tak jatuh hati dengan kau sejak dulu? Kau tahu apa yang kau nak untuk diri kau,’ bisik hatinya.

PRANGKO SALSABILA… Novel itu dibelek-belek dengan penuh ralit oleh Mohamad Salahuddin. Dia tersenyum apabila dia berjaya mendapatkan karya insan pilihan hatinya itu. Kalau bukan kerana adiknya, Sakeenah, pastinya dia tidak mengetahui kewujudan karya mahasiswi itu.

Namun begitu, dia berasa amat ralat apabila Qistur Ruwaidah tidak memaklumkan akan penerbitan novel tersebut kepadanya.

“Ah, kenapa pula dia nak kena beritahu aku? Bukannya aku dan dia rapat sangat pun. Setakat dia luahkan dia suka Azim kat aku, tu jelah yang buat dia nak cari aku tapi aku peliklah. Apa je Qist nampak kat Azim tu? Rupa Azim ke? Kalau pasal rupa, aku pun ada rupa tapi kenapa Qist tak nampak aku? Satu lagi, aku banyak tolong dia,” katanya sendirian.

Dia meraup wajahnya. “Astaghfirullah! Apa aku merepek ni? Dahlah Azim baik hati belanja aku dan Keena tadi. Din, kalau kau tunjuk perangai macam ni kat Qist, memang sah-sahlah Qist tak suka kau. Bunyi macam dengki sangat.”

Tidak mahu memikirkan lagi persoalan remeh itu, dia segera memulakan pembacaan novel Prangko Salsabila itu.

Ada seketika ekspresi wajahnya gembira, bertukar menjadi sedih pula. Kemudian, tiba-tiba dia ketawa mengekek dan pelbagai lagi ekspresinya apabila dia membaca novel tersebut.
Sedar tidak sedar, Mohamad Salahuddin berjaya menghabiskan keseluruhan novel itu dalam masa sejam lebih sahaja kerana novel itu tidaklah terlalu tebal halamannya. Sekitar 180 halaman sahaja.

Di samping itu, dia berpuas hati akan jalan cerita itu. Setelah watak Salsabila itu melalui perjalanannya dengan penuh berliku-liku sejak dia diserap masuk ke tahun 1970, dia berjaya kembali semula ke dunia tahun 2014 dengan beratus-ratus setem yang dihadiahkan oleh orang kampung pada tahun 1970 itu.

“Qist, macam mana kau dapat idea nak tulis cerita macam ni? Memang aku kagum dengan kau. Kalaulah aku berpeluang jumpa kau, aku nak ucap tahniah. Keena pun nak sangat jumpa kau tapi macam mana aku nak jumpa kau? Takkan tiba-tiba aku nak whatsapp kau pula? Ajak kau keluar? Mana aku pernah buat macam tu. Aih, pening, pening!”

Dia menggarukan kepalanya yang tidak gatal itu. Akhirnya, dia bercadang untuk mengintip akaun peribadi Fac Qistur Ruwaidah. Sudah lama dia tidak membuka aplikasi tersebut. Tiba-tiba dia ternampak status mahasiswi itu muncul di News Feed miliknya.

Status Fac Qistur Ruwaidah:

Alhamdulillah. Dengan keluarnya keputusan peperiksaan hari ini, secara rasmi aku telah menamatkan pengajian aku di Centre for Foundation Studies, International Islamic University Malaysia (CFS IIUM). Terima kasih buat para pensyarah LAWS dan BAR yang telah mengajar diri ini. Moga Allah rahmati.

Jika tiada aral melintang, aku akan menyambung peringkat ijazah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak pada bulan September nanti. Mohon doakan ya. Tidak dilupakan juga, sekalung penghargaan buat abang tercinta, Suhaibul Umar Isyraf Imrani kerana sentiasa memberikan sokongan buat diri ini.

Buat kawan-kawan CFS IIUM, tahniah juga aku ucapkan di atas keputusan peperiksaannya. Kita berjumpa di UIAM Gombak pula. Insya-Allah.

Usai membaca status itu, Mohamad Salahuddin tersenyum. ‘Alhamdulillah! Akhirnya! Aku akan jumpa kau nanti, Qist.’

Memandangkan Qistur Ruwaidah turut tag nama abangnya, dia mengintip juga akaun peribadi abang mahasiswi itu. Kelihatan Suhaibul Umar tidak memuat naik apa-apa status. Status akaun peribadi lelaki itu lebih kepada perkongsian daripada ilmuwan ternama, para ustaz dan ustazah, ilmu arkitek dan tazkirah sahaja. Tiada satu status pun yang dimuat naik oleh jejaka itu.
Dia dapat melihat juga maklumat pengajian Suhaibul Umar di bahagian ‘Intro’.

‘Studies Bachelor of Applied Arts and Design (Honours) at International Islamic University Malaysia’

“Kulliyyah mana abang dia ni?” tanya sendirian.
Namun begitu, Mohamad Salahuddin terperasan bahawa Abdul Azim juga turut berkawan dengan Suhaibul Umar berdasarkan mutual friend. Hatinya mula bertanya. ‘Memang Azim kenal abang Qist ke? Ke suka-suka tambah kenalan je?’
Dia mengintip akaun peribadi Fac Abdul Azim pula. Di bahagian ‘Intro’ jejaka itu, turut terpapar maklumat pengajian Abdul Azim. Sama seperti Suhaibul Umar.
“Maknanya, abang Qist budak KAED. Logiklah Azim kenal abang Qist sebab satu major.”
Tiba-tiba hatinya mula menjadi tidak senang. Dia mula merasakan bahawa Abdul Azim itu sebagai pihak lawannya. Semakin dia merasakan bahawa dia tiada peluang untuk memiliki hati gadis itu. Segera dia beristighfar dalam hati agar dia tidak terus berperasaan sedemikian.
‘Ya Allah, Kau ampunilah aku! Aku tak patut rasa Azim tu seperti musuh aku. Dia tak buat masalah pun dengan aku. Kau ni kenapa, Din! Jangan disebabkan kau suka Qist dan Azim kenal abang Qist, kau nak bermusuh pula dengan Azim.’

Dia segera menutup aplikasi Fac itu, lalu dia mematikan suis lampu biliknya. Sudah tiba masanya untuk dia rehatkan badan. Jam pun sudah menunjukkan pukul 2.00 pagi.

KEDENGARAN bunyi cengkerik menemani Abdul Azim yang sedang menyiapkan replika modelnya di Mahallah Ali di keheningan malam itu. Seketika, dia membetulkan urat-uratnya yang sedang tegang. “Penatnya!” luahnya sendirian.

Dia berehat seketika sementara dia menunggu jam 3.00 pagi untuk berqiamullail, memandangkan dia sudah tidur tadi pada pukul 10.30 malam dan dia bangun pada pukul 1.00 pagi untuk menyiapkan projeknya itu terlebih dahulu sebelum dia bertemu dengan Sang Pencipta.
Dia memeriksa akaun peribadi Fac miliknya. Tiba-tiba status Qistur Ruwaidah muncul di bahagian News Feed. Setelah dia membaca status mahasiswi itu, dia berbicara dalam hati.

‘Alhamdulillah. Tahniah Qist. Akhirnya, kau tamat juga belajar kat CFS. Mesti Abang Suhaib gembira untuk kau. Aku pun tumpang gembira untuk kau.’
Seketika, Abdul Azim tersenyum tanpa dia menyedarinya. Perasaan yang dialami olehnya tika itu sama seperti dia berada di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (CFS IIUM) dahulu. Qistur Ruwaidah pernah membuatkan dia tersenyum setiap kali mereka berdua bertemu di tempat itu.
Namun begitu, dia sendiri tidak pasti sampai bila dia hendak bermain tarik tali dengan dirinya sendiri. Dia sendiri pernah berasa sedih dan kecewa apabila dia menolak perasaan Qistur Ruwaidah. Dia juga tidak memahami dirinya sendiri kerana dia tiada pengalaman tentang isu perasaan sewaktu zaman persekolahan dahulu.
Tambahan pula, personaliti pendiamnya itu membuatkan dia tidak berminat atau mengetahui tentang rakan-rakan perempuan sekolahnya. Jadi, ramai pelajar perempuan menggelarkan dirinya sebagai ‘sombong’, ‘acah bagus’ dan beberapa gelaran lain tetapi dia tidak pernah ambil peduli akan semua itu. Baginya… “Lantak kau oranglah. Aku tak berminat.”
Takdir Allah, kehadiran Qistur Ruwaidah telah mengubah kehidupannya dan membuatkan dia ingin mengenali perempuan itu. Juga, mengejarnya mungkin? Bila? Dia sendiri tidak mengetahuinya.
‘Moga Allah mempermudahkan urusan kau, Qist. Jika ada rezeki, kita bertemu pula kat UIA Gombak nanti. Insya-Allah.’

Sila jenguk di IG tuan penulis, iaitu @bintuqist untuk melihat lukisan digital berbentuk komik sebanyak tiga halaman, iaitu babak kegemaran tuan penulis ketika Mohamad Salahuddin mengenang kembali momen sewaktu botol kaca jus durian yang dibeli oleh Qistur Ruwaidah telah pecah. Terima kasih ^_^

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience