SETELAH Suhaibul Umar melangkah masuk ke dalam rumahnya, dia terus mengunci pintu rumah. Mindanya kini hanya tertumpu kepada Qistur Ruwaidah sahaja. Dia tahu. Pasti adiknya sangat memerlukan pandangan dan sokongan daripada dirinya kerana apa yang sedang dilalui oleh adiknya kini, iaitu melibatkan soal masa hadapan, yakni perkahwinan.
Suhaibul Umar segera menuju ke bilik adiknya itu. Lalu, pintu bilik adiknya diketuk.
“Masuk!” laung Qistur Ruwaidah.
Kelihatan Suhaibul Umar memasuki bilik adiknya setelah mendapat izin. Qistur Ruwaidah bingkas bangun dari katilnya, lalu dia mendakap erat abangnya itu. “Adik minta maaf, abang. A… Adik…” ucapnya dengan sebak. Dia tidak mampu meneruskan kata-katanya itu.
Suhaibul Umar mengusap rambut adiknya itu. “Adik tak buat apa-apa salah pun dengan abang. Kita duduk dulu. Abang tahu adik ada banyak cerita nak kongsi pasal Azim dan siapa kawan adik lagi seorang tu? Abang lupalah nama dia,” balasnya seraya meleraikan dakapan adiknya itu.
Kelihatan wajah Qistur Ruwaidah menjadi keruh dan buntu. “Emm… Salahuddin tapi adik panggil dia, Din je.”
Suhaibul Umar tahu sangat Qistur Ruwaidah akan melepaskan tangisan berdasarkan riak wajah adiknya. Dia sudah masak dengan perangai adik kesayangannya itu.
Dua beradik itu menuju ke arah katil Qistur Ruwaidah, lalu dilabuhkan punggung di atas katil tersebut.
Sekali lagi, Qistur Ruwaidah mendakap erat abangnya bagai tidak mahu melepaskan insan yang disayangi itu. Kali ini, dia menangis semahunya. “Isk… Isk… Isk… A… Abang… A… Adik minta maaf.”
Suhaibul Umar menepuk lembut tubuh belakang Qistur Ruwaidah. Seketika, dia membelai rambut adiknya itu. Begitu sabarnya seorang Suhaibul Umar untuk adiknya itu. “Adik… Kalau adik rasa dah okey, adik boleh mula cakap. Jangan risau. Abang ada je ni. Abang takkan pergi mana-mana.”
Agak lama juga Qistur Ruwaidah menangis. Dia tidak tahu bagaimana dia hendak memulakan perbualan dengan abangnya. Apatah lagi, topik yang bakal mereka berdua bualkan, iaitu berkenaan Abdul Azim dan Mohamad Salahuddin. Dia sendiri tidak menyangka bahawa dia akan bersembang topik serius ini. Jodoh. Sesuatu yang tidak terfikir oleh dirinya selama 21 tahun dia menghembuskan nafasnya.
Akhirnya, Qistur Ruwaidah meleraikan dakapan tersebut, lalu dia menyeka air matanya itu. “Abang…” panggilnya.
“Ya adik… Abang ada ni. Abang akan dengar cerita adik macam biasa. Adik beritahu je apa adik rasa sekarang,” kata Suhaibul Umar.
“Emm… Adik buntu dengan lamaran Azim dan Din. Adik tak tahu nak buat apa. Adik terkedu sangat sebab semua ni berlaku tiba-tiba je. Adik rasa kerdil sangat dengan diri adik. Adik bukannya siapa-siapa pun.”
“Adik… Jangan rasa rendah diri sangat. Kalau adik rasa adik bukan siapa-siapa, tak ada maknanya Azim dan Din lamar adik. Mesti dia orang tengok adik sebagai perempuan yang hebat dan dia orang sudi pilih adik sebagai bakal isteri. Adik patut rasa bangga dengan diri adik. Abang pun rasa bangga jadi abang adik.”
“A… Adik tak yakin dengan diri adik. Antara Azim dan Din, adik tak tahu nak pilih siapa. A… Adik…”
Sungguh, Qistur Ruwaidah kehilangan kata. Tiba-tiba dia teringat akan mesej WhatsApp yang dihantar oleh dirinya kepada Mohamad Salahuddin.
WhatsApp Qistur Ruwaidah:
Tu sisters lain. Bukan aku. Setakat ni, kahwin pun tak masuk dalam senarai impian aku...
Sungguh, kata-kata itu telah memakan diri Qistur Ruwaidah sendiri. Senarai impian yang tidak terdetik oleh dirinya, sesuatu yang tidak terjangkau dek akalnya. Kahwin? Ada dua jejaka mahukan dirinya? Ah, gila!
Suhaibul Umar memberikan senyuman kecil. “Adik tak sangka jodoh adik datang secepat ni? Abang dah pernah cakap pasal jodoh untuk adik dulu, kan? Naluri abang tak pernah salah untuk adik.”
“Abang ni kasyaf ke apa?” tanya Qistur Ruwaidah dengan nada serius.
Suhaibul Umar meledakkan tawanya. “Kasyaf? Adik ni kelakarlah. Tak ada maknanya. Emm… Boleh abang tanya pasal Azim dan Din?”
“Tanyalah. Sekarang, memang abang berhak tanya apa-apa pasal Azim atau Din. Adik dah tak boleh nak sembunyi apa-apa daripada abang.”
“Emm… Kenapa adik tak beritahu abang pasal perasaan adik kat Azim dulu?”
Riak wajah Qistur Ruwaidah sedikit terkejut. “A… Azim cerita kat abang? Mak… Maknanya, abang tahulah adik luahkan perasaan adik kat Azim?”
“Haah… Abang baru tahu tadi. Azim dah ceritakan semuanya kat abang sebelum dia beritahu lamaran dia kat adik. Sebenarnya, abang terkejut tahu. Adik ni berani sangatlah.”
“Emm… Adik minta maaf, abang. Masa tu, adik pun tak tahu apa yang adik fikir. Cuma, adik rasa adik dah penat nak pendam perasaan kat Azim. Sebab tulah, adik ambil keputusan, adik luahkan perasaan kat Azim. Tipulah adik tak kecewa bila adik tahu jawapan dia. Yalah… Dah perasaan adik kena tolak dengan orang yang adik suka tapi adik sedarlah, bukannya adik boleh paksa Azim suka kat adik.”
“Bila adik dah tahu Azim jatuh hati kat adik pula, adik rasa macam mana tadi? Perasaan adik masih untuk Azim tak?”
“Kalau abang tanya adik sekarang, adik rasa tak adil nak jawab sebab adik fikir juga pasal lamaran Din. Bagi adik, Azim atau Din, kedua-duanya ada kelebihan tersendiri dan adik takkan tengok sisi salah seorang je. Adik kena adil tapi tulah… Entahlah adik ni betul-betul nak kahwin ke tak. Adik tak boleh nak fikir lagi.”
“Tak apa, adik. Abang faham je. Adik tak perlu terburu-buru fikir pasal kahwin dan juga, pasal lamaran Azim dan Din. Ambil masa dulu.”
“Okey abang. Adik pun tak nak terburu-buru. Emm… Sebenarnya, adik dah lama nak tahu sesuatu daripada abang kalau abang tak kisah nak jawab soalan adik ni,” kata Qistur Ruwaidah sambil meraih tangan kanan abangnya itu.
Suhaibul Umar melemparkan senyuman. “Adik ni… Macam tak kenal abang pula. Tanya jelah apa yang adik nak tanya.”
“Emm… Abang tahu Azim tolak luahan perasaan adik. Bila abang tahu, abang tak rasa marah ke kat Azim? Yalah, adik tahu abang tak boleh kalau adik terluka atau kecewa dengan siapa-siapa,” ujar Qistur Ruwaidah dengan nada serba salah.
“Pasal tu, abang tak marah pun kat Azim sebab abang faham keadaan dia masa tu. Dia tak nak fikir pasal soal perasaan lagi. Untuk adik pula, kalaulah abang tahu masa tu, mungkin abang akan rasa kecewa dengan adik. Sebab apa? Bila adik dah sambung CFS, abang harapkan supaya adik fokus belajar dulu. Bukan fikir pasal soal perasaan atau cinta. Apatah lagi, luahkan perasaan adik kat Azim. Adik tak patut buat macam tu. Nampak tak manis,” Suhaibul Umar mematikan sebentar akan kata-katanya itu.
Qistur Ruwaidah tersentak akan kata-kata Suhaibul Umar itu. Biarpun abangnya tidak marah tetapi dia tahu abangnya berasa amat terkilan. Dirinya berasa amat bersalah untuk abang tercintanya itu. Dia tahu tindakannya itu merupakan tindakan paling bodoh yang pernah dilakukan olehnya. Namun, dia tidak menyampuk. Dia membiarkan lagi abangnya bersuara.
Suhaibul Umar menyambung bicaranya lagi. “Masa adik kat CFS, bukannya abang tak nilai adik dari segi, adik ni bijak tak bahagikan masa di antara kelas dan ko-kurikulum? Sejujurnya, abang tak yakin pasal pembahagian masa adik sebab abang boleh nampak, adik lebihkan debat bahasa Arab daripada kuliah bila adik cerita aktiviti adik kat CFS dulu. Cuma, abang tak cakap je tapi kalau abang tengok keadaan adik sekarang, abang okey je sebab adik dah ada kat ijazah dan abang tengok adik dah pandai bahagikan masa. Lagi-lagi, adik pun dah tak masuk apa-apa kelab.”
Qistur Ruwaidah menundukkan wajahnya seketika, lalu diangkat semula wajahnya itu. “A… Adik minta maaf… Adik dah hampakan abang masa kat CFS dulu. Adik tahu tindakan adik luahkan perasaan kat Azim tu, satu tindakan paling bodoh yang pernah adik buat tapi… Adik dah tak buat macam tu tahu, abang. Adik insaf. Emm… Adik mengaku, adik tak pandai nak bahagikan masa dulu. Sebab tu, bila adik kat ijazah ni, adik tinggalkan debat bahasa Arab sebab adik dah tak nak ada jawatan. Adik lagi seronok jadi peserta je dan adik ada banyak masa nak buat aktiviti lain. A… Abang tak marahkan adik, kan?”
“Taklah. Abang tak marah pun. Baguslah adik berterus terang dengan abang. Adik pun dah belajar dari kesilapan dulu. Abang pun nak minta maaf sebab tak tegur atau nasihatkan adik pasal ni, termasuklah pasal adik rapat dengan almarhum Sufi dulu. Ikutkan, abang rasa bersalah sebab biarkan adik terlalu rapat dengan Sufi. Memanglah Sufi dan keluarga dia dah banyak tolong kita sampai kita rasa terhutang budi kat dia orang tapi tu bukan lesen adik tak jaga pergaulan dengan bukan mahram. Memang betul adik masih jaga batas dari segi tak bersentuhan tapi tak manis. Tak manis berdua-duaan. Sekali lagi, abang minta maaf sebab abang tak tegur adik pasal ni.”
Qistur Ruwaidah segera mendakap abangnya itu. Air matanya berlinangan. “Isk… Adik betul-betul minta maaf. Isk… Adik sedar adik hafaz Al-Quran tapi adik tak jaga batas dengan bukan mahram. Isk… Isk…”
“Tak, adik. Abang pun bersalah. Kita sama-sama bersalah dalam hal ni. Memandangkan Azim dan Din lamar adik, misal kata adik setuju nak kahwin dan terima salah seorang daripada dia orang, boleh adik berjanji sesuatu dengan abang?” pinta Suhaibul Umar di sebalik dakapan itu.
“Isk… Insya-Allah abang. Apa dia? Isk…”
“Jaga batas dan pergaulan selagi adik belum akad. Jangan keluar berdua-duaan melainkan ada orang teman adik macam abang atau kawan perempuan adik tapi kalau bab WhatsApp tu, abang fahamlah, adik kena bincang perkara penting. Boleh, kan? Ni melibatkan masa depan adik kalau adik nak kahwin. Mestilah adik nak dapatkan keberkatan Allah.”
“Isk… Isk… Insya-Allah. Adik janji. Terima kasih abang sebab tegur adik. Adik nak jadi lagi baik. Isk…”
“Sama-sama adik. Insya-Allah, abang percaya adik akan jadi lagi baik lepas ni. Kalau adik betul-betul nak kahwin, anggaplah ni latihan untuk adik supaya adik lebih jaga pergaulan dengan bukan mahram lepas adik kahwin sebab adik kena fikir suami. Adik kena jaga maruah adik untuk suami adik. Okey?”
Tangisan Qistur Ruwaidah kian reda. Dia sudah berlapang dada terhadap teguran dan nasihat abangnya itu. Lalu, dia meleraikan dakapan tersebut. “Insya-Allah abang. Adik cuba. Abang doakan adik ya. Kalau adik tak pilih nak kahwin pun, adik tetap nak jadi perempuan lagi baik. Adik kena jaga maruah adik dan maruah abang juga.”
Suhaibul Umar menyeka air mata adiknya. “Abang sentiasa doakan adik. Insya-Allah, adik boleh buat. Abang tahu adik kuat. Kuat dari dulu. Kita pun dah lalui ujian yang cukup berat. Bermula dengan kematian keluarga kita, kematian Pak Long Arif, kita kena dera dengan Mak Long sampai empat tahun dan kita kena tanggung pula dengan sakit PTSD sampai sekarang. Sama adik atau abang, kita sama-sama kuat. Alhamdulillah.”
“Adik takkan boleh teruskan hidup adik kalau abang tak ada. Abang penguat semangat adik.”
“Adik pun penguat semangat abang. Abang pun tak boleh bayangkan kalau adik ikut keluarga kita yang lain.”
Dua beradik itu terdiam seketika.
Akhirnya, Suhaibul Umar bersuara kembali. “Adik… Boleh kita sambung balik pasal lamaran adik?”
“Boleh je. Adik tak ada masalah. Abang nak tahu pasal apa lagi?”
“Pasal Din. Adik cerita je apa yang adik nak cerita pasal dia. Jangan risau. Abang takkan berat sebelah kat Azim je. Cuma, abang nak tahu Din tu siapa dan latar belakang dia.”
Qistur Ruwaidah mula membuka cerita tentang Mohamad Salahuddin dalam kehidupannya selama ini. Dia menceritakan dari awal perkenalannya bersama Mohamad Salahuddin sejak di pusat asasi sehinggalah dia dilamar oleh jejaka itu.
Apabila Suhaibul Umar mengetahui tentang Mohamad Salahuddin itu, dia menepuk dahinya. “Laa… Din pun satu kelas dengan adik dan Azim dulu. Abang kagum betullah dia suka kat adik dari hari pertama kelas Bahasa Inggeris sampai sekarang. Habislah adik… Kisah adik ni dah jadi cinta tiga segi ya,” katanya. ‘Din… Din… Apalah yang kau tengok kat adik aku sampai kau boleh jadi setia,’ bisik hatinya.
Wajah Qistur Ruwaidah menjadi sugul. “Itulah masalahnya sampai lamaran ni buat adik buntu. Keliru. Azim dan Din pernah jadi rakan sekelas adik dan dia orang juga ada perasaan kat adik. Mesti salah seorang daripada dia orang akan terluka bila adik dah ada jawapan nanti atau mungkin dia orang dua akan kecewa sebab adik pun tak tahu lagi adik rasa nak kahwin ke tak.”
Kelihatan Suhaibul Umar menunjukkan jari kanannya. “Adik ada lima pilihan. Sama ada adik pilih Azim, tolak Azim, pilih Din, tolak Din atau adik tolak lamaran dia orang sekali gus. Kalau adik pilih nak kahwin masa belajar ni pun, abang percaya je kat adik. Pilihan kat tangan adik. Abang takkan masuk campur. Pesanan abang pasal Azim, walaupun Azim tu kawan baik abang tapi abang takkan suruh adik terima lamaran dia dan tolak lamaran Din. Kalau adik nak tanya apa-apa pasal Azim kat abang, boleh je. Adik ada hak memilih. Abang hormatkan hati dan perasaan adik. Lagi-lagi, ni melibatkan soal masa depan adik. Hati adik lagi tahu mana yang terbaik pasal Azim dan Din tapi kalau adik nak tolak lamaran dia orang terus pun, abang tak ada masalah. Cumanya…” ujarnya seraya meraih tangan kanan Qistur Ruwaidah, lalu dia meletakkan telapak tangan kanan adik kesayangan ke dadanya itu.
“Adik istikharahlah dulu pasal lamaran Azim dan Din. Tanya hati adik. Jangan tolak terus lamaran dia orang. Macam mana adik pernah istikharah sama ada adik nak tinggalkan atau teruskan debat bahasa Arab kat ijazah, adik pun dah jumpa jawapan. Percaya dengan kuasa istikharah. Allah tahu apa yang terbaik untuk adik.”
Qistur Ruwaidah tersenyum hambar, namun fikirannya masih lagi rasa terganggu berkenaan soal jodoh tersebut. “Insya-Allah abang. Adik akan istikharah pasal Azim dan Din tapi… Misal kata adik dah sedia nak kahwin dan pilih salah seorang daripada dia orang tapi adik tak ada duit yang cukup untuk majlis nanti, patut ke adik lupakan je hasrat nak pilih dia orang? Adik ada simpanan untuk hidup lepas kahwin je.”
“Kalau betul adik dah sedia nak kahwin, teruskan je hasrat adik nak pilih Azim atau Din. Pasal duit kahwin, adik jangan risau. Abang ada je peruntukan daripada duit arwah mama baba. Memanglah abang ada cakap dulu, duit mama baba dah tak banyak tapi insya-Allah cukup je. Abang pun ada tambahkan sikit duit hasil kerja sampingan dan biasiswa abang dalam duit mama baba untuk adik,” terang Suhaibul Umar.
“Ya Allah… Bagusnya abang! Emm… Macam manalah adik makin tak sayang abang,” ujar Qistur Ruwaidah dengan penuh sebak.
Suhaibul Umar tersengih. “Untuk adik, mestilah abang sanggup buat apa je. Janji adik gembira. Abang tak nak adik sedih macam dulu.”
“Adik pun akan sentiasa hargai abang sedalam hati adik. Emm abang… Kalau adik ambil keputusan nak kahwin nanti, abang okey ke? Abang tak sedih ke?”
Suhaibul Umar tersenyum, namun hatinya mula menjadi sebak. Demi kebahagiaan adik tercinta, dia tidak akan menghalang jika adiknya berkeinginan untuk meneruskan fasa alam rumah tangga. “Tipulah kalau abang tak sedih, kan? Abang jaga adik macam menatang minyak yang penuh lepas arwah mama baba dah tak ada tapi adik… Takkan abang nak halang adik cari kebahagiaan dengan seseorang? Adik berhak cipta kebahagiaan adik sendiri. Siapa-siapa pun pilihan adik, sama ada Azim atau Din, abang percaya salah seorang daripada dia orang akan jaga adik jauh lagi baik daripada abang.”
Betapa sebaknya Qistur Ruwaidah mendengar kata-kata abangnya itu.
‘Apa pilihan yang aku ada sekarang? Aku sayang sangat kat Abang Suhaib sepenuh hati aku sebab dialah segala-galanya untuk aku lepas mama baba dah tak ada. Patut ke aku terima lamaran Azim atau Din? Ah, kusutnya! Ya Rabb, apa yang Kau ingin tunjukkan kepada aku sebenarnya? Adakah sudah tiba masanya untuk aku menerima seseorang yang begitu asing dalam kehidupan aku?’ bisik hatinya.
Perlahan-lahan, Qistur Ruwaidah meraih tangan abangnya itu. “Abang, jangan cakap macam tu. Abang dah jaga adik dengan baik dan abang dah buat paling terbaik. Kalau mama baba ada lagi, mama baba mesti bangga kat abang. Selama ni, kasih sayang yang abang bagi kat adik, adik tak pernah rasa kurang pun.”
“Alhamdulillah. Terima kasih adik. Abang rasa lega sangat sebab abang dah tahu macam mana adik nilai kat abang selama ni.”
“Sama-sama abang. Siapa adik nak cakap abang ni bukan abang yang baik? Takkan ada adik-adik yang benci kat abang sendiri melainkan seorang abang tu buat masalah. Bagi adik, abang ni sangat lemah lembut, penyayang dan sanggup berkorban untuk adik. Adik rasa beruntung sangat.”
Suhaibul Umar tersenyum. “Adik pun penyayang sangat sampai abang rasa kasih sayang adik kat abang macam mama.”
Qistur Ruwaidah mendakap abangnya buat kesekian kali. Dia tidak akan pernah jemu untuk mendakap abangnya itu. Abangnya merupakan nadi kehidupannya.
Suhaibul Umar tersenyum dalam diam sambil mengelus rambut adiknya itu. Hati kecilnya berbisik. ‘Adikku Qist, walau sesiapa pun pilihan kau, aku terima tanpa bantahan kerana sudah tiba masanya untuk seseorang menjaga dirimu jika aku sudah tiada lagi nanti.’
DI pesisiran pantai, bayu angin menyapa seseorang dengan penuh kelembutan, namun dirinya dibaluti persoalan mengenai keberadaannya sekarang.
“Aku kat mana ni?” tanyanya sendirian.
“Qistur Ruwaidah binti Isyraf Imrani,” ucap seseorang di belakangnya.
Qistur Ruwaidah menoleh ke belakang. Alangkah terkejutnya dia! “Su… Sufi?”
Kelihatan Sufi Waazin berjubah putih itu tersenyum kepadanya. “Ya Qist. Aku Sufi. Kau apa khabar?”
“Ba… Baik. Al... Alhamdulillah. Bu… Bukan kau dah tak ada ke?” ujar Qistur Ruwaidah dalam nada takut.
Sekali lagi, Sufi Waazin tersenyum kepada gadis itu. “Memang betul aku dah tak ada. Kau ada kat alam mimpi ni, Qist. Tak sangka kita jumpa kat sini ya.”
Wajah Qistur Ruwaidah berubah sugul. ‘Mustahil aku boleh mimpi orang yang dah tak ada! Ah, permainan Syaitan je ni!’
Sufi Waazin masih tersenyum lagi buat gadis itu. Qistur Ruwaidah… Insan yang pernah mencuri hatinya sejak sekian lama. “Kau jangan risau. Kau mimpikan aku ni, bukan bermakna aku nak jemput kau supaya kau ikut aku sekali. Lagipun, kau masih ada banyak urusan yang belum selesai kat alam sebenar. Aku datang ni pun sebab ada perkara masih belum selesai di antara kita.”
“Mustahil apa yang aku lalui sekarang. Aku berjumpa dengan orang yang dah tak ada kat dalam mimpi aku ni,” kata Qistur Ruwaidah.
“Tak ada apa yang mustahil dengan izin Allah. Anggaplah kedatangan aku ni untuk kita selesaikan apa yang tak terselesai lagi.”
“Emm Sufi… Kenapa kau tak jujur dengan perasaan kau kat aku dulu? Memang aku dah baca warkah kau sebab kau cakap kau pengecut. Kau tahu tak Sufi… Betapa hancurnya hati aku bila aku tahu kau ada perasaan kat aku lepas kau pergi.”
“Nampaknya, kau dah jumpa warkah tu. Alhamdulllah. Aku lega. Qist… Memang tulah jawapannya. Aku tak ada jawapan lain. Aku pengecut. Aku minta maaf sebab aku dah buat hati kau hancur tapi… Kalau aku luahkan kat kau pun, kau akan ada perasaan kat aku tak? Aku rasa tak sebab kau hanya anggap aku ni kawan baik kau.”
“Su… Sufi…”
“Hati kau hanya kat Abdul Azim je, Qist. Aku cemburu sangat. Mudahnya kau bukakan hati kau untuk dia. Sedangkan, aku yang dah lama kenal kau sampailah aku pergi, aku tak berjaya bukakan hati kau.”
“Sufi… Soal perasaan ni di luar kuasa aku. Aku minta maaf. Aku pun tak tahu kenapa aku tak terbuka hati kat kau dulu… Sedangkan, kau baik dan kau dah banyak tolong aku.”
“Tak apa, Qist. Aku pun dah tak ada. Aku pun dah ada kat alam lain. Kau masih hidup dan kau kena teruskan kehidupan. Perjalanan kau masih jauh.”
Qistur Ruwaidah tersenyum hambar. “Sufi… Sebenarnya, aku rindu je kat kau masa kenangan kita kat sekolah dulu. Inilah kali pertama aku mimpikan kau lepas dua tahun kau dah tak ada. Lagi tiga bulan, genap dua tahun kau pergi, Sufi. Aku tak pernah lupakan kau. Lepas kau dah tak ada, aku pernah hubungi kau. Aku terlupa sekejap yang kau dah tak ada.”
Sufi Waazin menghadiahkan sengihan kecil. “Oh, dah nak dua tahun aku pergi rupanya. Baguslah kau tak lupakan aku. Walaupun aku tak ada dalam hati kau tapi aku tetap gembira sebagai kawan kau. Qist… Mimpi pasal aku ni, akan jadi mimpi pertama dan terakhir untuk kau. Lepas ni, aku takkan muncul lagi.”
“Aku minta maaf, Sufi tapi… Kau jangan risau. Aku tetap sahabat baik kau. Aku takkan lupakan kau. Pasal mimpi ni, aku anggap urusan di antara kita berdua dah selesai,” ucap Qistur Ruwaidah, perlahan. Dia mula menjadi sedih.
“Bukan salah kau pun sebab kau tak jatuh hati kat aku. Hati kau. Mana boleh aku paksa. Aku pun rasa urusan di antara kita dah selesai. Qist… Aku rasa dah sampai masa untuk aku pergi. Kali ni, aku berpeluang nak ucap selamat tinggal kat kau. Buat kau, Qistur Ruwaidah binti Isyraf Imrani, sahabat baik aku, selamat tinggal dan terima kasih atas segala kenangan kita bersama. Jangan sedih pula. Aku tahu, hati kau tu sensitif sangat,” ucap Sufi Waazin, lalu dia tersengih.
Di saat Sufi Waazin mengucapkan perpisahan terakhir itu, Qistur Ruwaidah mula menjadi sebak. Tubir matanya kian bertakung. “Sama-sama. Sufi Waazin bin Rawiyani Al-Khair… Aku pun nak ucap selamat tinggal. Terima kasih juga sebab kau pernah ada untuk aku. Satu lagi, kau dah banyak tolong aku dan abang aku tanpa jemu dulu.”
“Sama-sama Qist. Aku pergi dulu ya,” ucap Sufi Waazin seraya melambai tangannya. Sebuah senyuman terakhir dihulurkan kepada sahabat baiknya. Kemudian, dia terus menghilangkan diri dari pandangan perempuan itu.
Pada saat itu, Qistur Ruwaidah terduduk lemah seraya kedua-dua belah tangannya menggenggam pasir dengan erat. Air matanya mula gugur di atas pasir tersebut. ‘Sufi Waazin… Maafkan aku sebab kau tiada dalam hati aku tapi aku rindu kenangan kita dulu,’ bicara hatinya dengan penuh keperitan.
Tiba-tiba Qistur Ruwaidah tersedar dari lenanya setelah mimpi itu berakhir. Di alam realiti juga, air matanya turut gugur. Betapa dia merindui insan bernama Sufi Waazin itu. Apabila dia mengingati semula berkenaan almarhum lelaki itu, kalbunya meruntun pilu. Tambahan pula, lamaran Abdul Azim dan Mohamad Salahuddin membuatkan dirinya sugul.
Tidak lama kemudian, tiba-tiba kelihatan pula bayangan Sufi Waazin, Abdul Azim dan Mohamad Salahuddin di hadapannya.
“Sufi? Azim? Din? Ke… Kenapa kau orang boleh ada kat bilik aku!” racau Qistur Ruwaidah.
Serta-merta, Qistur Ruwaidah mula menjadi takut dan tercungap-cungap seraya diurut dadanya itu. Sudah bertahun lamanya dia tidak mengalami sesak nafas secara tiba-tiba. Dia segera mencapai telefon pintarnya. Nombor abangnya didail dengan sedaya upaya dan ditekan simbol ‘telefon’.
Tidak lama kemudian, Suhaibul Umar menjawab panggilan adiknya. “Adik… Kenapa ni?”
“To… Tolong a…dik,” jawab Qistur Ruwaidah dengan nafas tersekat-sekat.
Ketika Suhaibul Umar mendengar nada dan nafas adiknya itu, tahulah dia bahawa adiknya sedang bergelut dengan penyakit gangguan stres pascatrauma atau Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD). “Adik tunggu. Abang datang,” balasnya. Lalu, dia mematikan panggilan tersebut dan bergegas ke bilik adiknya dengan pantas.
Apabila dia membuka tombol pintu bilik adiknya, kelihatan adiknya sedang meracau-racau sambil kedua-dua belah tangannya menunjukkan isyarat tepis.
“Kau orang pergi! Jangan dekat dengan akulah!” racau Qistur Ruwaidah.
Tanpa melengahkan masa, Suhaibul Umar segera mengeluarkan ubat di dalam laci almari kecil bersebelahan dengan katil adiknya. Dia mengeluarkan dua biji pil dari botol tersebut, lalu dia menyumbatkan pil tersebut ke dalam mulut adiknya bersama air kosong sebagai pelincir dengan sedaya upayanya dalam keadaan adiknya masih meracau tidak tentu hala.
Setelah Qistur Ruwaidah berjaya menelan ubat tersebut dengan bantuan abangnya, dia membaringkan dirinya. Keadaannya semakin relaks, tidak tercungap-cungap mahupun meracau-racau lagi.
Anak matanya sedang menyaksikan abangnya duduk dalam posisi menghadap dirinya di tepi katil, namun dia tidak mampu bersuara apa-apa lantaran matanya mula terasa berat akibat kesan daripada ubat tersebut. Dia mula mengantuk.
“Adik tidur ya. Abang akan tengokkan adik malam ni,” kata Suhaibul Umar sambil mengusap ubun-ubun adiknya itu.
Sejujurnya, Qistur Ruwaidah rasa serba salah terhadap abangnya itu. Dia sudah banyak kali menyusahkan Suhaibul Umar, namun tidak lama kemudian, dia pun mula memejamkan mata tanpa memikirkan lagi urusan duniawi.
Suhaibul Umar merenung wajah adiknya itu. Seingatnya, Qistur Ruwaidah sudah lama tidak menghidapi PTSD. Kali terakhir adiknya berhadapan dengan PTSD sewaktu sebelum adiknya menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada empat tahun lalu.
Dia teringat semula kali terakhir dia berhadapan dengan PTSD sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah dari Pusat Beli-Belah Adenium selepas dia dan adiknya menerima pelawaan Abdul Azim menjamu selera di Restoran ‘Fruit De Mer’ pada tiga minggu lepas.
Suhaibul Umar sedar. Ketika itu, pasti sukar bagi Qistur Ruwaidah menguruskan dirinya. Mujur Abdul Azim lalu di kawasan tersebut. Jika tidak, entahlah bagaimana keadaan adiknya itu. Kasihan adiknya!
Kali ini, biarlah dia berjaga malam untuk adiknya itu. Dia rela. Adiknya sudah banyak berkorban tenaga jika PTSD menyerang dirinya. Namun begitu, dia mula memikirkan sesuatu.
‘Kalau adik ambil keputusan nak kahwin, apalah agaknya nasib aku? Macam mana aku harungi PTSD kalau tiba-tiba PTSD serang aku lepas adik dah kahwin nanti? Isy, jangan fikir bukan-bukan. Aku kena kuat. Aku kena sedia belajar nak lepaskan adik aku nanti. Sampai bila aku nak bergantung kat adik aku? Ya Allah… Kuatkanlah aku. Kau tahu aku mampu lalui semua ni.’
Suhaibul Umar berjaga sepanjang keheningan malam itu untuk adiknya dengan menunaikan qiamullail sehingga azan subuh berkumandang. Memandangkan dia risau dengan keadaan adiknya, dia membatalkan hasrat untuk menunaikan solat subuh di masjid.
Setelah Qistur Ruwaidah terbangun dari lenanya, kelihatan abangnya sedang bertafakur di atas sejadah. “A… Abang,” panggilnya.
Suhaibul Umar menoleh ke arah adiknya tatkala dia mendengar panggilan adiknya itu. Lantas, dia meluru ke arah Qistur Ruwaidah. “Ya adik. Abang ada kat sini. Adik boleh solat tak?”
“Tak. Emm… Abang tak tidur langsung ke dari tadi?”
“Haah… Abang risau kat adik. Takut PTSD serang adik lagi.”
“A… Adik minta maaf, abang. Adik dah banyak susahkan abang dari dulu lagi.”
Suhaibul Umar mengusap dahi adiknya itu. “Isy… Mana adalah. Adik tak pernah susahkan abang pun. Adik ni amanah abang. Sikit pun abang tak rasa terbeban. Abang sentiasa sayangkan adik.”
“Kalau adik pilih nak kahwin, sanggup ke Azim atau Din nak layan sakit PTSD adik nanti macam abang?”
“Adik… Jangan fikir perkara yang belum berlaku. Cumanya, abang nak tahu. Kenapa PTSD boleh serang adik? Dah lama PTSD tak serang adik, kan?”
“Haah… Dah lama. Adik pun tak tahu kenapa tapi sebelum PTSD serang adik, adik ada termimpikan Sufi. Selama ni, adik tak pernah mimpikan dia.”
“Ke adik jadi marah (trigger) sebab abang tegur adik pasal adik terlalu rapat dengan Sufi petang tadi?”
Qistur Ruwaidah menggelengkan kepalanya. Lalu, dia menceritakan apa yang telah berlaku selepas dia mimpikan Sufi Waazin, iaitu bayangan Sufi Waazin, Abdul Azim dan Mohamad Salahuddin muncul di hadapannya secara tiba-tiba sahaja.
Suhaibul Umar mengangguk faham. Lalu, dia mengusap kepala adiknya. “Adik stres sangat fikir pasal lamaran Azim dan Din ni. Emm… Adik lupakan sekejaplah pasal lamaran dia orang. Kesihatan diri dan mental adik lagi penting sekarang. Bila adik dah relaks sikit, baru adik fikir. Okey?”
Qistur Ruwaidah mengangguk faham.
SEWAKTU Mohamad Salahuddin sedang bermalas-malas di atas katilnya sambil memeriksa akaun media sosial, tiba-tiba dia menerima notifikasi WhatsApp daripada Qistur Ruwaidah.
WhatsApp Qistur Ruwaidah:
Assalamualaikum Din. Maaf kalau aku kacau kau. Boleh aku hubungi kau sekejap? Aku ada perkara penting nak maklumkan pasal lamaran kau.
‘Allah… Qist dah ada jawapan ke? Eh, kau ni Din! Cubalah bawa bertenang,’ bisik hati Mohamad Salahuddin.
Jari-jemarinya ligat menaip sesuatu untuk perempuan itu.
WhatsApp Mohamad Salahuddin:
Waalaikummussalam Qist. Tak apa. Aku hubungi kau.
Jejaka itu terus menghubungi Qistur Ruwaidah. Setelah panggilannya berjawab, dia menghulurkan salam kepada perempuan itu. “Assalamualaikum Qist.”
Qistur Ruwaidah membalas. “Waalaikummussalam Din. Maaf sangat aku kacau kau waktu-waktu ni.”
“Tak apa Qist. Kau nak beritahu apa pasal lamaran aku ya?”
Qistur Ruwaidah membisukan dirinya seketika sehingga Mohamad Salahuddin menyangkakan bahawa talian telefonnya terdapat gangguan. “Qist? Kau ada kat sana?”
“Maaf Din. Aku ada je ni. Emm Din… Sebelum tu, aku nak minta maaf pasal lamaran kau.”
Dada Mohamad Salahuddin berombak kencang apabila Qistur Ruwaidah mengungkapkan ayat sedemikian, namun dikuatkan hati untuk mendengar penjelasan lanjut siswi itu. “Kau dah ada jawapan ke, Qist?”
Kedengaran Qistur Ruwaidah menghela nafasnya di hujung talian itu. “Bukan. Memang aku tak buat apa-apa lagi pasal lamaran kau tapi aku terima satu lagi lamaran dalam tiga hari lepas daripada Azim. Emm… Azim datang lamar aku selang empat hari lepas lamaran kau, Din. Jadi, aku terpaksa buka cerita juga pasal lamaran kau kat dia.”
Sewaktu Mohamad Salahuddin mengetahui tentang lamaran jejaka itu, dia benar-benar rasa terkesan. ‘Azim… Kenapa kau… Argh!’ jerit batinnya.
“K… Kau okey ke, Din?” tanya Qistur Ruwaidah.
Demi insan yang dicintainya itu, sebolehnya Mohamad Salahuddin cuba mengawal rasa marah, sedih dan kecewanya itu agar Qistur Ruwaidah tidak menjadi susah hati. “Aku okey je, Qist. Kau tak perlu susah hati. Kau kena fikir diri kau dan apa tindakan kau lepas kau dah tahu ada dua lamaran. Satu pesanan daripada aku, jangan rasa serba salah kalau kau tak pilih aku. Insya-Allah aku terbuka hati je. Hati kau lagi tahu.”
Dalam hati, hanya Allah sahaja tahu betapa sakitnya Mohamad Salahuddin mengungkapkan ayat sedemikian. Semestinya, hatinya kuat mengatakan bahawa Qistur Ruwaidah akan memilih Abdul Azim kerana siswi itu menyukai jejaka tersebut.
Begitu tercabarnya Mohamad Salahuddin sebagai seorang lelaki yang setia menyukai Qistur Ruwaidah sejak tiga tahun lalu.
Sedangkan, Abdul Azim begitu mudah menolak perasaan Qistur Ruwaidah di alam asasi dan tiba-tiba lelaki itu terus melamar perempuan yang dicintai oleh Mohamad Salahuddin di alam ijazah. Sudahlah beza waktu lamaran antara dia dan Abdul Azim selang empat hari sahaja.
“Din… Aku rasa serba salah kat kau orang. Kau orang pernah jadi kawan sekelas aku. Bila aku dah jumpa jawapan nanti, mesti salah seorang akan terluka,” luah Qistur Ruwaidah.
“Qist… Sama ada kau pilih aku atau Azim, memang betul akan ada di antara kita orang akan terluka nanti, tapi… Keutamaannya sekarang, diri kau, hati kau. Aku percaya, Azim pun akan cakap sama macam aku,” balas Mohamad Salahuddin.
“Emm Din… Memandangkan lamaran kau datang dulu sebelum Azim, aku nak tahu… Berapa lama kau nak bagi tempoh kat aku untuk aku istikharah?”
“Ikut naluri kau sampai kau rasa kau dah ada jawapan. Aku tak kisah. Banyak masa lagi kau nak cari jawapan.”
“Walaupun empat atau lima bulan lamanya?”
“Ya, aku tak kisah. Walaupun setahun atau dua tahun lagi pun, aku okey je. Aku tetap tunggu jawapan kau. Apa je hati kau cakap, ikut je. Kau jangan fikir pasal rasa serba salah kat aku ataupun Azim. Itu pesanan aku.”
“Okey Din. Terima kasih sangat. Aku hargai. Pasal lamaran kau orang, aku cuba usaha dapatkan jawapan dengan sebaiknya.”
“Sama-sama. Pesanan aku, kau jangan terima jawapan berdasarkan nafsu semata-mata tapi selarikan dengan akal sekali supaya keputusan kau tu betul dan tak sia-sia.”
Qistur Ruwaidah tersentak mendengar kata-kata jejaka itu. “Emm… Sekali lagi, terima kasih atas peringatan kau tu, Din.”
Selepas Mohamad Salahuddin selesai berhubung dengan Qistur Ruwaidah, dia pasrah. Jauh di sudut hati lelaki itu, semestinya dia mahu mahasiswi itu memilih dirinya tetapi itu di luar kuasanya sebagai manusia. Hanya Allah sahaja berkuasa untuk hati perempuan itu.
‘Ya Allah, kenapa Azim hadir untuk Qist lepas aku? Kenapa Azim boleh terbuka hati untuk Qist? Kenapa aku rasa ada je halangan nak dapatkan Qist? Ya Allah, di saat aku mengetahui Azim sudah lamar Qist selepas aku, hati aku sakit. Aku menyangka bahawa aku mempunyai peluang sepenuhnya untuk Qist tanpa sebarang halangan. Ya Ilahi… Aku rasa berat sangat sekarang,’ bisik hatinya.
Hatinya beristighfar berkali-kali. Dia tidak mahu syaitan mengawal dirinya daripada dia berterusan marah kepada Abdul Azim. Dia perlu menerima hakikat bahawa dia dan Abdul Azim telah jatuh hati terhadap perempuan yang sama. Beza waktu lamaran mereka berdua juga tidak jauh.
‘Ya Allah, aku rasa lemah bila aku tahu pasal lamaran Azim. Ha… Hati aku sakit,’ bisik hatinya.
Di saat itu, Mohamad Salahuddin mengalirkan air matanya. Kepada Allah jualah, tempat dia bergantung harap sekuat hatinya.
SETELAH beberapa minggu selepas lamaran Mohamad Salahuddin dan Abdul Azim, Qistur Ruwaidah menyibukkan dirinya dengan tugasan subjek dan juga, dia tidak lupa untuk menyertai apa jua program yang dianjurkan oleh mana-mana kulliyyah (fakulti), kelab atau persatuan bagi mendapatkan starpoint (markah merit) untuk transkrip ko-kurikulumnya setelah dia bergraduasi nanti.
Penting baginya untuk dia memohon kerja kelak. Mestilah mana-mana syarikat akan melihat dari aspek ko-kurikulum juga. Bukan mengejar Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) semata-mata sahaja.
Alang-alang Qistur Ruwaidah mempunyai banyak masa terluang untuk tahun pertama ini, dia akan terus mengejar starpoint. Dia risau jika tahun keempatnya nanti, dia sudah tidak mempunyai masa untuk menyertai apa jua program.
Namun begitu, lamaran Mohamad Salahuddin dan Abdul Azim juga tidak dilupakan bagi dia menilai berkenaan kedua-dua orang jejaka itu meskipun dia menyibukkan diri dengan kehidupannya sebagai seorang mahasiswi.
Buku-buku berkenaan ilmu pernikahan juga dicari dan dihadam dengan sebaik mungkin. Juga, persoalan berkenaan kahwin sewaktu belajar, dia bertanya kepada ahli yang lebih arif seperti para ustazah dan ustaz yang berpangkat pensyarah. Dia amat menghormati semua tenaga pengajarnya.
Di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak jugalah merupakan tempat bagi dia menghadiri segala jenis ceramah sama ada ceramah agama, ceramah perkahwinan, ceramah tanggungjawab dan ceramah-ceramah lain. Bahkan, kursus praperkahwinan juga telah dihadiri olehnya dengan menandakan bahawa dia telah bersedia untuk menerima lamaran salah seorang daripada dua orang jejaka itu. Nampaknya, dia makin jelas dengan visi dan misi untuk menyempurnakan separuh daripada agamanya itu.
Sekarang, tinggal untuk dia memilih calon suami buat dirinya dan juga, bakal ayah kepada zuriatnya kelak jika diizinkan Ilahi.
Untuk Qistur Ruwaidah mengetahui peribadi Abdul Azim, Qistur Ruwaidah merisik melalui abangnya. Dia masih ingat perspektif abangnya itu.
“Emm… Adik dah tahu Azim tu anak orang kaya. Sepanjang abang kenal Azim, dia jenis jaga solat. Solat jemaah kat masjid dah jadi kewajipan kat dia dari kecil. Memang baba Azim akan bawa semua anak lelaki pergi solat jemaah kat masjid. Senang cerita, Azim tu kaki masjidlah. Satu lagi, memang dia tak pernah tinggal qiamullai. Mesti dia bangun pukul 3.00 pagi. Abang tahu pun sebab abang pernah nampak sendiri masa abang bermalam kat rumah dia dulu,” beritahu Suhaibul Umar.
Penerangan abangnya membuatkan Qistur Ruwaidah berasa takjub. Sungguh luar biasa amalan lelaki itu.
“Azim mudah marah tak?” tanya Qistur Ruwaidah.
“Abang tak pernah tengok dia marah. Paling teruk abang pernah tengok pun, kadang-kadang je dia cepat terasa tapi tu pun tak lama. Nampak dia jenis lemah lembut dan penyayang dengan bonda baba dia. Apa-apa pun, mesti dia utamakan bonda baba dia dulu. Kiranya, hubungan dia dengan bonda baba dia sangat baik. Azim pun jenis ambil berat kat siapa-siapa je yang dia kenal. Satu lagi, dia tak lokek tolong orang lain dari segi tenaga dan kewangan,” terang Suhaibul Umar.
‘Kenapa cara Abang Suhaib cerita berlainan sangat dengan apa yang aku tahu pasal Azim kat CFS dulu? Okey Qist… Tak adillah kau cakap macam tu sebab mana kau kenal Azim sangat. Kau nampak dasar je. Kan Abang Suhaib banyak lepak dengan Azim. Mestilah Abang Suhaib banyak tahu. Apalah kau ni,’ bisik hati Qistur Ruwaidah.
“Okey… Azim jenis merokok tak?” respons Qistur Ruwaidah.
“Pasal tu, alhamdulillah tak. Dia tu bukannya boleh ada bau rokok. Sensitif sangat. Lagi-lagi kalau abang ajak dia lepak kat kedai mamak, memang dia akan tolak. Nanti dia pening kepala. Biasanya, abang lepak dengan dia kat mana-mana kafe mahallah jelah,” balas Suhaibul Umar.
“Emm… Apa lagi yang adik boleh tahu pasal Azim tu ya?”
Suhaibul Umar tersengih. “Tanyalah lagi. Abang tahu mesti adik tak puas hati lagi. Kan adik nak nilai secara adil pasal Azim dan Din.”
Qistur Ruwaidah tersenyum malu. Benar juga cakap abangnya itu. “Oh ya. Azim ada buat kerja sampingan ke? Maaflah adik tanya soalan macam ni sebab penting untuk adik tahu Azim betul-betul serius ke tak nak kahwin dengan adik. Memanglah dia tu anak orang kaya tapi adik tetap nak tengok usaha dia.”
“Pasal tu…”
Lalu, Suhaibul Umar mula membuka cerita berkenaan pekerjaan lelaki itu dan kehebatan lelaki itu di Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar (KAED) sambil menunjukkan akaun bisnes Instagram milik Abdul Azim itu. Barulah Qistur Ruwaidah mengetahui betapa hebatnya lelaki itu dalam dunia seni. Sama seperti abangnya juga.
Setelah gadis itu mendengar ulasan lanjut daripada abangnya berkenaan jejaka itu, dia berpuas hati terhadap keseluruhan latar belakang Abdul Azim itu.
Untuk Qistur Ruwaidah mengetahui berkenaan Mohamad Salahuddin pula, dia telah merisik daripada Sakeenah. Pasti adik lelaki itu sangat mengenali peribadi abangnya sendiri.
“Keena… Kak Qist nak tanya pasal Din. Boleh ke?” tanya Qistur Ruwaidah ketika dia berhubung dengan Sakeenah melalui panggilan telefon pada suatu ketika dahulu.
“Wah, satu penghormatan sangat untuk Keena tolong Kak Qist pasal Abang Long! Okey, apa Kak Qist nak tahu pasal Abang Long?” ujar Sakeenah.
“Keena jujur je apa yang Keena rasa pasal Din. Penting sangat untuk Kak Qist tahu untuk masa depan Kak Qist.”
“Okey, insya-Allah Keena akan jujur pasal Abang Long. Kak Qist jangan risau pasal tu. Keena faham. Kak Qist nak tanya apa?”
“Emm… Din jenis macam mana ya? Maksud Kak Qist, jenis solat tak? Selain tu, Din jenis merokok tak atau apa-apalah yang Keena tahu pasal Din.”
“Kalau bab solat, alhamdulillah Abang Long tak tinggal solat. Abang Long jenis solat jemaah kat masjid. Setiap kali lepas balik dari solat subuh kat masjid, memang Keena akan dengar dia mengaji Al-Quran dalam masa satu jam. Kalau Abang Long tak sempat nak mengaji lepas solat subuh, dia mengaji kat waktu lain sebagai ganti. Satu lagi, Keena selalu perasan. Abang Long tak pernah tinggal solat sunat duha lepas dia mengaji. Bab merokok pula, memang Abang Long tak merokok.”
“Okey. Emm… Din mudah marah tak, Keena?”
“Abang Long jenis marah bertempat kalau perbuatan Keena terang-terang salah. Dulu, Keena pernah tipu mak ayah. Kononnya, Keena pergi sekolah tapi sebenarnya, Keena ponteng sekolah dengan kawan-kawan lain sampailah Keena ter‘kantoi’ dengan Abang Long. Bila Abang Long nampak sendiri, memanglah Abang Long marah tapi taklah sampai tengking. Biasanya, lepas Abang Long marah Keena, Abang Long akan bagi ruang kat Keena dulu. Barulah Abang Long pujuk Keena.”
Qistur Ruwaidah ketawa kecil mendengar penerangan Sakeenah itu. “Nakal juga Keena ya. Mak ayah Keena tahu tak pasal tu?”
Sakeenah turut tertawa kecil. “Tulah. Keena salah pilih kawan. Lepas kena tegur dengan Abang Long, Keena dah tak buat macam tu. Pasal ponteng sekolah tu, mak ayah tak tahu pun. Selamat. Abang Long tak pernah lapor apa-apa kat mak ayah kalau Keena buat salah sebab Keena tahu… Abang Long sayang sangat kat Keena. Abang Long takkan sampai hati tengok Keena kena marah dengan mak ayah.”
Qistur Ruwaidah tersentak seketika. Tiba-tiba dia teringat akan abangnya. Abangnya juga akan melindungi dirinya walau apa jua masalah yang melanda dirinya, termasuklah penderaan yang dihadapi oleh mereka berdua dahulu. Abangnya telah banyak berkorban untuk dirinya sehingga tubuh abangnya tidak sempurna lagi dari segi hilang deria rasa dan warna kulitnya telah berubah.
Namun begitu, dia masih perlu menilai lagi tentang Mohamad Salahuddin. Selain itu, dia bertanyakan pekerjaan sampingan yang dilakukan oleh lelaki itu untuk dia menilai sejauh mana seriusnya lelaki itu buat dirinya.
“Sekejap Abang Long jadi cikgu tuisyen, sekejap Abang Long jadi cikgu mengaji. Setahu Keena, Abang Long buat banyak kerja tapi sekarang, Keena tak pasti Abang Long kerja apa pula. Kalau Kak Qist ragu-ragu, Keena boleh tanyakan Abang Long nanti,” balas Sakeenah.
Qistur Ruwaidah mengangguk di hujung talian. ‘Eh, aku angguk dah kenapa? Bukannya Keena boleh nampak,’ bisik hatinya seraya tersengih malu.
“Boleh juga, Keena,” balasnya. Dia masih bertanya dan terus bertanya sehingga dia berpuas hati tentang keseluruhan peribadi jejaka itu melalui Sakeenah.
Akan tetapi, dia tidak boleh mempercayai 100% berdasarkan penilaian yang diberikan oleh Suhaibul Umar dan Sakeenah kerana dia risau bahawa dia menjadi berat sebelah pula.
Satu lagi, dia tidak mahu bertanya kepada kenalan Abdul Azim seperti Muhammad Syarafuddin dan Amirul Azhar serta kenalan Mohamad Salahuddin, iaitu Wan Abdullah kerana dia tidak mahu menghebohkan lamaran tersebut.
Cara lain yang dilakukan oleh Qistur Ruwaidah, iaitu dia menjadi pengintai di akaun media sosial Abdul Azim dan Mohamad Salahuddin. Boleh jadi kedua-dua orang jejaka itu berperangai tidak senonoh di alam maya seperti meninggalkan komen-komen lucah, suka mengecam atau suka memaki, namun nampak gayanya mereka berdua bukan spesis lelaki seperti itu. Kaki komen pun tidak. Mereka berdua lebih suka berkongsi bidang masing-masing sahaja sama seperti abangnya juga.
‘Alhamdulillah. Rezeki aku dikurniakan calon-calon lelaki yang baik. Nampaknya, aku kena ikut gerak hati jelah sama ada aku lebih cenderung nak pilih Azim atau Din,’ bisik hati Qistur Ruwaidah.
Kini, tinggal untuk Qistur Ruwaidah menilai dari sudut hatinya pula berkenaan Abdul Azim dan Mohamad Salahuddin. Setiap hari, dia memohon dari Maha Pencipta melalui solat sunat istikharah untuk dia menerima sebuah jawapan berlandaskan naluri dan ketenangan hati sehingga tibanya minggu belajar (study week) setelah dia melalui tahun pertama semester dua selama 14 minggu sebelum bermulanya peperiksaan akhir semester.
Mengikut perancangannya, dia ingin memaklumkan jawapan lamaran tersebut setelah dia, abangnya, Abdul Azim dan Mohamad Salahuddin selesai menjawab kertas terakhir. Bermakna, dia perlu bertanyakan tarikh peperiksaan terakhir seorang demi seorang nanti. Dia tidak akan mengganggu sepanjang peperiksaan semester akhir berlangsung.
‘Ya Allah, hati aku sudah yakin dan bertekad untuk melangkah ke alam perkahwinan dan aku sudah cenderung untuk memilih salah seorang daripada mereka, namun aku masih memerlukan lagi ketetapan hati dari-Mu agar aku tak tersalah pilih. Ya Rabb, aku benar-benar memerlukan jawapan dari-Mu, bukan mengikut perasaan mahupun hawa nafsuku. Ya Ilahi, Abdul Azim bin Uthman mahupun Mohamad Salahuddin bin Mohd Firdaus, masing-masing mempunyai kelebihan mereka tersendiri. Aku kagum dengan peribadi mereka, bahkan jauh lebih baik daripada diriku tetapi aku tahu, aku hanya boleh pilih seorang sahaja. Aku pun tahu, aku bakal melukakan hati salah seorang daripada mereka. Aku serahkan semua urusanku ini pada-Mu. Kau Maha Mengetahui,’ doa Qistur Ruwaidah setelah dia menunaikan solat sunat istikharah.
Tika itu, doanya terhenti seketika, lantaran dia menjadi sebak sehingga membuatkan air mata turut menemaninya. Dia menguatkan hati untuk meneruskan doanya itu.
‘Ya Allah, jika aku memilih di antara Abdul Azim bin Uthman atau Mohamad Salahuddin bin Mohd Firdaus, Kau lebih mengetahui apa terbaik untuk aku. Jika salah seorang daripadanya menurut pengetahuan-Mu adalah baik bagiku, baik untuk agamaku, baik untuk kehidupanku sekarang dan masa datang, takdirkanlah dan mudahkan bagiku. Jika salah seorang daripadanya menurut pengetahuan-Mu adalah sebaliknya, jauhkanlah aku demi kebaikan buat diriku, agamaku dan masa hadapanku. Sesungguhnya Kaulah Maha Agung di atas segala-galanya. Amin…’
Qistur Ruwaidah mengaminkan doanya dengan menyerahkan segala jiwa raganya pada Ilahi untuk sebuah jawapan tanpa ragu-ragu lagi. Itulah rutinnya selain dia memohon pada Allah agar dipermudahkan urusan bagi peperiksaan akhir semester juga.
Setelah dia menemui sebuah jawapan menurut naluri hati dan penilaian terhadap kedua-dua orang jejaka itu, Qistur Ruwaidah memaklumkan kepada abangnya. “Abang, bila peperiksaan terakhir abang?” tanyanya.
“Insya-Allah 21/5 ni, hari terakhir peperiksaan abang. Kenapa adik?” respons Suhaibul Umar.
“Emm… Alhamdulillah, adik dah ada jawapan untuk lamaran Azim dan Din.”
Suhaibul Umar tersenyum. “Kiranya, adik dah bersedia nak kahwinlah ni?”
Qistur Ruwaidah tersipu-sipu malu. “Insya-Allah adik dah sedia. Adik dah tanya beberapa orang pensyarah, dengar macam-macam jenis ceramah dan pergi kursus kahwin dalam beberapa minggu lepas. Maaflah adik tak beritahu abang pula pasal perjalanan adik untuk jodoh ni. Bukan adik tak nak cerita tapi abang pun tahu, sebelum ni adik tak sedia lagi.”
“Tak apa adik. Abang faham je. Sebab tu, abang tak nak tanya. Memandangkan adik dah sedia, siapa pilihan adik? Abang rasa debar pula.”
“Abang nak tahu jawapan adik sekarang? Boleh je adik nak beritahu,” balas Qistur Ruwaidah seraya tersengih.
Cepat-cepat Suhaibul Umar menggelengkan kepalanya. “Eh, tak naklah! Abang nak tahu masa kita jumpa Azim dan Din jelah. Emm… Bila adik cadang nak beritahu dia orang? ”
“Pasal tu, adik kena tanya Azim dan Din dulu. Adik nak kena tahu hari terakhir peperiksaan dia orang dulu. Baru adik boleh aturkan pertemuan antara kita semua.”
“Kalau macam tu, adik ciptalah grup whatsapp. Senang abang tahu kat situ je.”
“Memang adik cadang nak buat grup whatsapp tapi apa-apa pun, adik kena beritahu abang dulu sebelum adik nak nak buat apa-apa tindakan. Adik takkan buat keputusan ikut adik je. Abang tetap keutamaan adik.”
Hati Suhaibul Umar terasa sebak. ‘Adik Qist… Terima kasih sebab kau sentiasa dahulukan aku dalam apa jua yang kau buat. Moga Allah permudahkan urusan kau,’ bisik sukmanya.
Setelah Qistur Ruwaidah memaklumkan kepada abangnya, akhirnya dia mencipta grup whatsapp bernama ‘…’. Takkanlah dia mahu menamakan grup tersebut sebagai ‘Lamaran’. Lain macam pula! Lalu, dia memasukkan nombor telefon abangnya, Abdul Azim dan Mohamad Salahuddin ke dalam grup tersebut.
Tanpa melengahkan masa, dia terus memaklumkan tujuannya.
WhatsApp Qistur Ruwaidah:
Assalamualaikum Din dan Azim. Maaf aku terpaksa adakan grup ni buat sementara waktu. Nombor telefon satu lagi tu, nombor abang aku. Aku nak maklumkan, aku dah ada jawapan untuk lamaran kau orang. Cadangnya, aku nak beritahu keputusan aku lepas kita dah selesai semua peperiksaan. Aku selesai pada 18/5 dan abang aku pula selesai pada 21/5 nanti. Kau orang pula?
Di sisi Mohamad Salahuddin setelah dia membaca mesej Qistur Ruwaidah itu…
‘Dah sampai masa rupanya. Cepatnya masa berlalu. Aku rasa macam baru je lamar dia bulan Februari hari tu. Sedar-sedar dah bulan Mei. Ya Allah… Redakan aku jika aku tak ditakdirkan untuk Qistur Ruwaidah,’ bisik hati kecilnya.
Di sisi Abdul Azim pula setelah dia membaca mesej Qistur Ruwaidah itu…
‘Alhamdulillah! Dia dah ada jawapan. Syukur. Aku gembira untuk kau, Qist. Apa jua keputusan Qist, aku reda. Ya Allah… Kau tenangkanlah aku,’ bisik kalbunya.
Ketika itu, Mohamad Salahuddin dan Abdul Azim sudah pasrah sepenuhnya. Jejaka-jejaka itu saling merasakan bahawa lamaran mereka bakal ditolak oleh Qistur Ruwaidah.
WhatsApp Mohamad Salahuddin:
Waalaikummussalam Qist. Insya-Allah aku selesai pada 22/5.
WhatsApp Abdul Azim:
Waalaikummussalam Qist. Insya-Allah aku selesai pada 23/5 nanti.
Qistur Ruwaidah menaip sesuatu.
WhatsApp Qistur Ruwaidah:
Kalau macam tu, boleh tak kita jumpa pada 24/5, sehari lepas Azim selesai peperiksaan? Aku faham. Lepas tu, mesti kau orang nak balik rumah terus.
WhatsApp Mohamad Salahuddin:
Insya-Allah aku tak ada masalah.
WhatsApp Abdul Azim:
Okey boleh. Insya-Allah.
WhatsApp Qistur Ruwaidah:
Okey. Kita jumpa pada 24/5 nanti. Insya-Allah. Tempat dan masa, aku akan maklumkan kemudian. Semoga berjaya untuk peperiksaan akhir semester ni.
Setelah membaca mesej Qistur Ruwaidah, hati Abdul Azim berbisik. ‘24 Mei? Allah… Tinggal lebih kurang lagi tiga minggu je aku nak tahu jawapan Qist. Tak apa, Azim. Sekarang, kau kena fokus untuk peperiksaan kau.’
Sementara Mohamad Salahuddin pula… “24 Mei… Tak lama dah ni. Sekarang, dah 6 Mei. Apa-apa pun, lupakan dululah pasal ni. Masa untuk fokus peperiksaan akhir. Kau boleh buat, Din!”
Buat Abdul Azim, dia telah memaklumkan berkenaan tarikh keputusan lamaran Qistur Ruwaidah kepada Encik Uthman dan Puan Tengku Aulia. Namun begitu, dia minta agar keputusan lamaran tersebut dirahsiakan terlebih dahulu daripada adik-beradik lain.
Mohamad Salahuddin juga telah memaklumkan tarikh tersebut kepada Encik Mohd Firdaus, Puan Zaidah dan Sakeenah. Masing-masing mendoakan terbaik untuk dirinya. Juga, mereka mendoakan untuk peperiksaan akhir semester bagi tahun kedua semester satu lelaki itu.
Lalu, bermulalah peperiksaan akhir semester bagi semester dua sesi 2015/2016 pada 9 Mei 2016 bagi seluruh mahasiswa dan mahasiswi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak.
18 MEI 2016
Qistur Ruwaidah menarik nafas lega dan mengucap hamdallah setelah dia melangkah keluar dari Dewan Cultural Activity Centre (CAC). Dia telah berjaya mengharungi kertas terakhirnya itu. Kini, dia hanya perlu menunggu keputusan yang bakal diumumkan pada bulan Jun nanti.
Tinggal enam hari sahaja lagi untuk dia maklumkan keputusan lamarannya kepada abangnya, Abdul Azim dan Mohamad Salahuddin. Sejujurnya, dia makin berdebar!
Pasti Abdul Azim dan Mohamad Salahuddin juga merasakan yang sama.
Namun begitu, dia mendoakan dalam diam agar peperiksaan yang ditempuhi oleh kedua-dua orang mahasiswa itu dipermudahkan tanpa halangan.
Sehinggalah tibanya tarikh 23 Mei 2016, iaitu hari terakhir Abdul Azim menjawab peperiksaannya, mata Qistur Ruwaidah menatap semula grup whatsapp bernama ‘…’ itu.
Lalu, dia meninggalkan sebuah mesej dalam grup tersebut.
WhatsApp Qistur Ruwaidah:
Assalamualaikum. Nampaknya @Azim(320) dah selesai jawab peperiksaan terakhir hari ni. Tahniah aku ucapkan. Juga, untuk @Din(320) pada hari semalam. Berkenaan pertemuan kita esok, kita jumpa kat Kafe The Grill pada jam 10.00 pagi. Boleh ke? @A Abang Suhaib, tolong respons sekali.
Tidak lama kemudian, Abdul Azim membalas mesej perempuan itu.
WhatsApp Abdul Azim:
Waalaikummussalam Qist. Alhamdulillah terima kasih. Pasal hari esok, aku okey je.
Kemudian, Mohamad Salahuddin pula…
WhatsApp Mohamad Salahuddin:
Waalaikummussalam Qist. Alhamdulillah terima kasih. Tahniah juga untuk kau. Insya-Allah aku lapang waktu tu.
Kelihatan Suhaibul Umar sedang menaip mesej…
WhatsApp Suhaibul Umar:
Waalaikummussalam adik. Okey boleh. Tahniah buat kita semua.
24 Mei 2016… Esok merupakan harinya! Suatu tarikh yang bakal menjawab soal hati Qistur Ruwaidah itu.
Apabila tibanya jam 4.00 pagi, Qistur Ruwaidah segera menunaikan qiamullail. Sebelum dia mengumumkan keputusan lamarannya pada jam 10.00 pagi nanti, dia tidak lupa menunaikan solat sunat istikharah buat kali terakhir berkenaan urusan jodohnya itu.
‘Ya Allah, hari ini… Hari terakhir untuk aku fikir pasal soal jodoh. Alhamdulillah aku dah jumpa jawapan di antara lamaran Abdul Azim dan Mohamad Salahuddin. Terima kasih Allah. Kau Maha Mengetahui.’
Hatinya semakin yakin untuk lelaki itu. Sebuah senyuman diukirkan.
Namun begitu, bagaimanakah cara Qistur Ruwaidah mahu memberitahu jawapan lamarannya secara berhemah agar salah seorang daripada jejaka tersebut berasa tidaklah terlalu terluka dengan cara penolakannya itu? Pada masa yang sama, dia juga perlu menjaga air muka lelaki itu. Akan tetapi, dia tetap berterima kasih berkenaan lamaran siswa yang bakal ditolak itu kerana sudi melamar dirinya.
Tiba-tiba matanya terpandang ke arah dua helai kertas bersaiz A4 warna merah dan warna hijau di atas meja belajarnya itu. Lalu, dia mendapat sebuah idea!
Dua helai kertas tersebut dijadikan bentuk sampul surat mengikut kreativitinya. Tidak sia-sia abangnya pernah mengajar dirinya cara untuk membuat sampul surat. Kemudian, dia mengambil pula sehelai kertas warna putih bersaiz A4 dan dipotong menjadi dua bahagian.
Kemudian, Qistur Ruwaidah menulis perkataan ‘Alhamdulillah’ dan ‘Maaf’ dengan menggunakan pen penanda (marker pen) di atas dua helai kertas itu. Lalu, dia melipat dan memasukkan kertas-kertas itu ke dalam dua helai sampul surat tersebut berlandaskan naluri hatinya.
Sebenarnya, warna sampul surat tersebut mempunyai simboliknya. Warna merah merupakan warna kegemaran Abdul Azim manakala warna hijau pula merupakan warna kegemaran Mohamad Salahuddin.
Sememangnya, dia mengetahui warna kegemaran dua orang jejaka tersebut.
‘Ya Allah, aku telah bersedia untuk menerima dia dalam kehidupanku sehinggalah tibanya waktu yang ditakdirkan oleh-Mu,’ bisik hati Qistur Ruwaidah.
Pembaca dah debar ke tu? Hiks! Moga pembaca berlapang dada dengan keputusan Qistur Ruwaidah sama ada pembaca merupakan #TeamAbdulAzim atau #TeamMohamadSalahuddin xD Jumpa nanti untuk mengetahui keputusan jawapan lamaran Qistur Ruwaidah <3
Share this novel
debar pulak aku tunggu keputusan Qist ni...Good luck la kat Azim & Din. Tapi hebat gak eh si Qist ni dlm masa 3 bulan boleh buat keputusan nak kahwin ke tak.. keputusan nak pilih calon tu satu hal la kan, tp keputusan nak kahwin tu sendiri pun aku rasa mcm wow!