BAB 11

Drama Completed 13621

HARI demi hari, bulan demi bulan, kehidupan Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah semakin diuji dengan keadaan di sekolah. Hal ini demikian kerana mereka berdua sering tidak menyiapkan kerja sekolah yang dibekalkan oleh guru-guru mereka sehingga para guru dan juga kawan-kawan meminggirkan mereka berdua. Satu sekolah mengetahui tentang dua beradik itu gara-gara perlakuan mereka itu.
Oleh sebab itu, dua beradik itu berubah menjadi sangat pasif dan menerima apa jua bentuk hukuman yang diberikan oleh guru-guru mereka.
“Qist, awak ni sama je seperti abang awak! Tak pernah siapkan kerja sekolah! Awak nak jadi apa hah!” bentak salah seorang gurunya, iaitu Cikgu Mawar seraya menghempaskan buku latihan tepat ke wajah Qistur Ruwaidah.
Qistur Ruwaidah hanya menundukkan wajahnya. Dia tahu itu merupakan salahnya, namun dia tidak bersuara bagi membela dirinya. Dia terbayangkan wajah kejam ibu saudaranya itu.
“Awak pergi ambil buku latihan tu! Berdiri kat luar kelas sehingga tamat kelas cikgu! Penatlah cikgu macam ni kalau setiap kali kelas asyik nak marah awak je!” Cikgu Mawar menghamburkan kemarahannya lagi.
“Ba… Baik cikgu,” balas Qistur Ruwaidah, lalu dia mencapai buku latihan tersebut. Dia melangkah kakinya untuk berdiri di luar kelas.
Dia merenung buku latihan yang hanya berusik sedikit sahaja di dalamnya seraya tersenyum hambar. Dia mendakap erat buku latihan itu. Kedengaran suara Cikgu Mawar mula mengajar anak-anak murid yang lain. Sementara itu, dia memasang telinga di luar kelas dan mencatat apa-apa yang penting untuk dirinya di dalam buku nota yang disimpan dalam kocek baju sekolahnya itu. Begitulah rutinnya.
“Sosej? Nuget? Piza? Apa benda tu? Nanti nak tanya abanglah. Mesti abang tahu,” bicaranya sendirian apabila dia mendengar perkataan-perkataan itu daripada Cikgu Mawar.

Baginya, Suhaibul Umar sahajalah merupakan ibu bapa, guru, abang dan sahabat untuknya.

‘Aduh, sakit lagilah kaki ni! Bilalah nak baik ni?’ bisik hatinya.
Pada hari semalam, dia ditibai oleh Mak Long Rauzah dengan menggunakan paip getah pada bahagian kaki kerana dia terpecahkan pasu bunga akibat hilang keseimbangan. Sewaktu dia sedang membuang daun dan bunga yang berguguran di atas pasu bunga tersebut, dia telah tertolak pasu bunga itu sehingga pecah berderai. Abangnya hanya mampu melihat dan tidak dibenarkan untuk menghampiri adiknya itu.
Dia membuang pandangan pada awan biru itu. Kelihatan burung-burung berterbangan bebas, menghiasi pemandangan yang cukup indah di luar kelasnya itu.
‘Abang Suhaib kata kalau nampak sesuatu yang cantik, ucap ‘Subhanallah’. Subhanallah! Cantiknya,’ bisik hatinya lagi.
Kedengaran loceng sekolah berbunyi menandakan waktu rehat sudah bermula. Kelihatan para pelajar begitu gembira apabila tibanya waktu rehat. Tidak kurangnya ada juga pelajar yang sempat mengejek Qistur Ruwaidah apabila mereka ternampak dia didenda untuk berdiri di luar kelas.
“Padan muka tak siapkan kerja sekolah lagi!”
“Budak miskin! Bodoh!”
Namun begitu, Qistur Ruwaidah hanya menghadiahkan senyuman walaupun hatinya terusik mendengar ejekan-ejekan itu.
‘Abang Suhaib kata kena sabar. Jangan melawan. Jangan bergaduh,’ bisik hatinya lagi.
Kelihatan Cikgu Mawar melangkah keluar dari kelasnya. Beliau memandang anak muridnya itu tanpa sepatah kata. Qistur Ruwaidah memberi tundukan hormat kepada guru itu. Biarlah dia dibenci oleh semua orang, janji dia perlu sentiasa menghormati orang lain. “Saya minta maaf, cikgu,” ucapnya.
Kelihatan gurunya itu tidak mengendahkan ucapannya itu. Bagi Cikgu Mawar, Qistur Ruwaidah merupakan seorang anak murid yang benar-benar menyusahkan dirinya!
‘Tak apalah. Balik rumah nanti, aku cuba nak selesaikan kerja sekolah Cikgu Mawar. Harapnya Cikgu Mawar dah tak marahkan aku lagi,’ bisik hati Qistur Ruwaidah.
Tidak lama kemudian, kelihatan kelibat Suhaibul Umar di hadapan kelas adiknya. Wajah Qistur Ruwaidah terus berubah menjadi ceria apabila dia ternampak abangnya itu.
“Adik kena denda lagi?” duga Suhaibul Umar apabila dia ternampak adiknya berdiri di luar kelas.
Qistur Ruwaidah mengangguk perlahan. Suhaibul Umar mendakap adiknya itu. “Adik okey? Macam mana kaki adik?” soalnya.
“Emm… Kaki adik sakit lagi tapi abang jangan risau, kaki adik baiklah nanti,” balas Qistur Ruwaidah.
Suhaibul Umar meleraikan dakapan itu. Dia dapat melihat wajah adiknya itu sangat ceria seperti tiada apa-apa yang berlaku, namun dia tahu, adiknya berasa amat sedih kerana terpaksa mengharungi kehidupan sebegini.
“Abang, adik nak tanya. Tadi, Cikgu Mawar ada sebut perkataan sosej, nuget dan piza. Apa benda tu?” soal Qistur Ruwaidah dengan polos.
Suhaibul Umar sebak mendengar soalan adiknya itu. Sejujurnya, dia rindu akan makanan-makanan itu. Sudah lama dia tidak merasai makanan itu selepas ibu bapa mereka menghadap Ilahi. Adiknya juga pernah menikmatinya tetapi mungkin adiknya itu tidak mengingatinya.
“Sosej, nuget dan piza tu nama makanan. Kita pernah makan dulu sebelum mama baba tak ada tapi mungkin adik tak ingat namanya,” terang Suhaibul Umar.
“Oh ya ke? Kalau macam tu, mesti sedap makanan-makanan tu, kan? Boleh tak abang tunjuk makanan-makanan tu kat kantin? Mesti ada jual kat kantin, kan? Aaa… Abang jangan risau. Bukannya adik nak suruh abang beli pun. Cuma, adik nak tahu. Mesti mahal, kan? Adik faham kita kena simpan duit yang Kak Syita bagi kat kita. Kak Syita pun dah lama tak balik rumah. Kalau kita tak simpan, habislah duit tu nanti,” respons Qistur Ruwaidah.
“Bo… Boleh adik.”
Tubir mata Suhaibul Umar sudah bertakung apabila mendengar kata-kata adiknya itu. Pada waktu ini, tatkala rakan sebaya adiknya sibuk hendak memikirkan untuk makan apa di kantin, adiknya yang berumur tujuh tahun itu pula hanya memikirkan bahawa mereka berdua perlu berjimat cermat dan mengikat perut.
Ibu saudara dua beradik itu tidak memberikan wang saku langsung kepada anak-anak yatim piatu itu. Hanya mengharapkan wang simpanan daripada Puteri Masyitah, sepupu mereka berdua itu. Akan tetapi, dua beradik itu hanya menerima RM50 untuk mereka berdua meneruskan kehidupan sebelum Puteri Masyitah pulang ke kampus pada keesokan harinya itu setelah dia menyaksikan sendiri penderaan yang dialami oleh anak-anak yatim piatu itu.

Selepas peristiwa pertama kali Puteri Masyitah menyaksikan penderitaan Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah dahulu, kelihatan sepupu mereka berdua tidak lagi pulang ke rumah. Tipulah jika dua beradik itu tidak tertanya-tanya akan kelibat sepupu mereka berdua yang sudah lama tidak bersua.
“Jom kita pergi kantin, abang. Adik nak tengoklah macam mana rupa sosej, nuget dan piza tu. Mesti sedap,” kata Qistur Ruwaidah seraya menarik tangan abangnya itu. Nadanya menjadi sangat ceria.
Sesampai di kantin sekolah, Qistur Ruwaidah kelihatan sangat teruja kerana dia dan abangnya sangat jarang untuk berada di tempat itu. Waktu rehat mereka banyak dihabiskan di surau atau perpustakaan sekolah sahaja. “Wah, adik bau ayam gorenglah! Emm… Sedapnya! Dapat bau pun jadilah. Jom abang!” bicara Qistur Ruwaidah penuh ceria.
Suhaibul Umar hanya mengangguk. Kasihan adiknya itu.
Sesampai mereka berdua di beberapa buah gerai, kelihatan sebuah gerai menjual makanan barat. Suhaibul Umar mula menujukkan makanan-makanan yang ingin diketahui oleh adiknya itu.
“Ni piza. Bentuknya segi tiga kalau dipotong. Dalam bekas ni pula, nilah sosej. Bentuknya panjang. Sebelah sosej pula, nilah nuget,” terangnya.
Qistur Ruwaidah mengangguk faham seraya membulatkan mulutnya. “Ooo… Ni rupanya. Nampak sedaplah. Okey abang. Adik dah tahu. Jomlah kita pergi tempat lain. Nanti adik jadi lapar pula,” katanya seraya tersengih.

Suhaibul Umar berasa sebak apabila mendengar kata-kata adiknya itu. Dia tahu adiknya berada dalam keadaan lapar. Tidak mengapalah dia berkorban sedikit wang saku mereka berdua pada hari ini untuk adiknya yang kelaparan itu kerana dia juga berasa lapar.
“Marilah makan, adik. Kesian adik. Mesti adik teringin, kan?” bicara Suhaibul Umar.
“Eh, tak apalah abang! Adik okey je. Tak lapar sangat pun. Kita kena berjimatlah,” bohong Qistur Ruwaidah. Walhal, perutnya mencucuk pedih akibat menahan lapar yang tidak tertanggung.
“Tak apa. Hari ni je. Bolehlah perut kita tahan untuk beberapa hari pula. Okey, adik nak makan apa?”
“Kalau macam tu, adik nak makan pizalah. Nampak sedap. Abang beli satu je tahu. Kita kongsi dua macam biasa. Nanti habis pula duit Kak Syita bagi kat kita.”
Suhaibul Umar bertambah sebak apabila adiknya kian memahami kesusahan mereka berdua. Lantas, diambilnya sekeping piza itu, lalu dimasukkan ke dalam plastik makanan yang tersedia di atas meja itu. “Berapa RM, mak cik?” tanyanya kepada jurujual itu.

“RM3.00,” balas jurujual itu.

‘Mahalnya tapi tak apalah. Bukannya beli selalu,’ bisik hati Suhaibul Umar.
Usai melakukan pembayaran, mereka berdua mencari tempat duduk yang kosong, namun semuanya telah diduduki oleh para pelajar. Malahan, ada pelajar yang menghalau dua beradik itu setelah Suhaibul Umar meminta izin untuk duduk bersama adiknya apabila terdapat meja kosong yang muat untuk empat orang tetapi dihuni oleh dua orang pelajar sahaja.

“Pergi makan kat tempat lainlah, budak miskin!” bentak salah seorang pelajar seraya menolak Suhaibul Umar hingga dia terjatuh ke atas lantai.

Kelihatan beberapa orang pelajar mentertawakannya serta mengejeknya ‘lembik’ dan ‘macam budak perempuan’, namun Suhaibul Umar hanya berdiam diri. Hatinya mengucap sabar. ‘Sabar Suhaib. Jangan bergaduh. Jangan melawan. Kan sabar tu separuh daripada iman. Cikgu Ahmad ada pesan kat kelas dulu. Tak apalah. Bukan rezeki aku dan Adik Qist.’

Qistur Ruwaidah tersentak seketika, namun dia dapat melihat wajah abangnya itu hanya tersenyum dan berdiri seperti biasa semula. “Abang okey?”
“Alhamdulillah. Abang okey je. Emm… Tempat duduk kat kantin ni dah penuhlah, adik. Kita makan kat tempat lainlah.”

Berlalulah dua beradik itu meninggalkan kawasan kantin itu sambil disaksikan oleh hampir keseluruhan pelajar terhadap mereka berdua itu. Tidak kurang juga ada yang mengejek serta mengajuk Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah sewaktu mereka berdua dalam perjalanan untuk meninggalkan kawasan tersebut, namun dua beradik itu tidak mengambil endah.

Kebetulan, terdapat sebuah bangku di luar kantin yang tidak diduduki oleh sesiapa. Akan tetapi, kelihatan cahaya suria begitu terik di luar kawasan kantin itu. “Adik okey kalau kita makan kat sini?” soal Suhaibul Umar.

“Okey,” balas Qistur Ruwaidah bersahaja.

Berlabuhlah dua beradik itu di atas bangku kosong itu sambil ditemani cahaya suria yang sungguh terik itu. Masing-masing cuba bertahan dengan penuh kesabaran akibat sinaran hangat sang suria itu.

Suhaibul Umar mula membacakan doa makan sebelum dia dan adiknya menjamah makanan tersebut. Dia mula mengeluarkan sekeping piza itu dari plastik makanan itu, lalu digigitnya sedikit sahaja. ‘Sedapnya! Lama tak makan,’ pujinya dalam hati.

Selebihnya, dia memberikan kepada adiknya itu. Adiknya lebih memerlukan daripada dirinya meskipun dia juga kelaparan, namun demi kasihnya terhadap Qistur Ruwaidah, dia sanggup berkorban dan perit menahan lapar. “Nah,” katanya seraya menyuakan piza itu kepada adiknya.
“Sikitnya abang makan,” tegur Qistur Ruwaidah.
“Cukuplah abang makan banyak tu. Adik habiskanlah piza tu.”
Qistur Ruwaidah mula mengambil piza tersebut dan menjamahnya dengan rasa lahap. Suhaibul Umar tersenyum melihat gelagat adiknya itu. “Sedap?”
“Sedap sangat! Patutlah harganya sampai RM3.00. Lepas ni, adik tak nak makan piza dahlah. Mahal sangat. Kalau Mak Long tahu kita makan piza ni, kita kena dera juga tak, abang?” balas Qistur Ruwaidah.
“Abang pun tak tahulah. Mungkin kena kut tetapi adik jangan risaulah. Bukannya Mak Long tahu pun kita makan piza. Kita diam je.”
“Okey abang. Adik takkan beritahu Mak Long kita makan piza. Adik takut dengan Mak Long. Mesti Mak Long akan pukul kita lagi.”
Suhaibul Umar mendakap adiknya itu. “Shhh… Jangan takut, adik. Abang ada ni. Abang akan jaga adik.”
Saat itu, Qistur Ruwaidah berasa aman, tenang dan selamat dalam pelukan abangnya itu. Dia menyedari bahawa dia tidak mempunyai sesiapa lagi yang boleh melindungi, menyayangi dan mengasihi dirinya melainkan abangnya sahaja.
Loceng sekolah telah berbunyi. Itu menandakan bahawa waktu rehat telah berakhir. Lantas, Suhaibul Umar dan adiknya bergegas untuk meninggalkan tempat tersebut. Segala ketakutan yang dirasai oleh dua beradik itu dilupakan seketika kerana dua orang kanak-kanak itu mengetahui bahawa mereka berdua akan menghadapi lagi di rumah nanti.

Mengingati semula peristiwa sewaktu Suhaibul Umar berumur lapan dan sembilan tahun manakala adiknya berumur enam dan tujuh tahun waktu itu, dia tidak mampu menghabiskan roti canai tersebut. Dia segera meninggalkan lebihan roti canai yang tidak dihabiskan itu di bawah tudung saji, lalu dia mencuci tangannya.

Dia melabuhkan punggungnya semula di atas kerusi meja makan tersebut, lalu dia termenung sendirian.
‘Ya Allah, kenapa aku harus mengingati semula peristiwa-peristiwa tu? Kenapa aku dan adik aku perlu melalui pengalaman pahit tu? Bagaimana aku nak maafkan Mak Long?’ soal hatinya bertalu-talu.
Dia menarik bahagian kanan baju-T berlengan panjang itu sehingga paras siku, lalu dia menatap kulitnya itu. Terlalu banyak parut yang menghiasi kulitnya itu sehingga terdapat beberapa bahagian kulit yang membuatkan dia tidak lagi merasai apa-apa apabila dia menyentuhnya kerana sudah hilang derianya akibat penderaan lalu. Bahkan, terdapat juga bahagian kulitnya yang berubah warna dari kulit asal.
“Abang…” tegur Qistur Ruwaidah.
“Eh, adik! Dah bangun rupanya,” balas Suhaibul Umar seraya menurunkan semula lengan bajunya itu.
Kelihatan Qistur Ruwaidah melabuhkan punggungnya di atas kerusi bersebelahan dengan abangnya. “Emm… Tiba-tiba adik rasa nak teman abang makan.”
“Abang baru je lepas makan tapi tu pun tak habis. Kalau adik nak, roti canai yang abang makan ada lebih kat bawah tudung saji ni tapi kalau tak cukup, abang nak masak lain.”
“Tak apa abang. Adik tak rasa lapar lagi. Emm… Abang teringat peristiwa dulu ke?”
Wajah Suhaibul Umar terus berubah. Dia tahu dia tidak mampu menyembunyikan apa-apa daripada adiknya itu. Akhirnya, dia mengangguk perlahan.
“Kalau abang tak mengaku pun, adik tetap tahu. Kalau abang tarik lengan baju abang tu, bermakna abang sedang teringat peristiwa lalu,” balas Qistur Ruwaidah.
“Adik… Abang ni tak reda dengan takdir Allah ke?” soal Suhaibul Umar tiba-tiba.
Qistur Ruwaidah tersentak seketika akan soalan abangnya itu. Dia cuba menjawab dengan berhati-hati. Betapa dia risau jika abangnya menyalahkan takdir Ilahi, namun dia percaya bahawa abangnya mempunyai jiwa dan iman yang sungguh teguh. “Abang… Jangan cakap macam tu. Allah Maha Mengetahui apa yang telah kita lalui. Soal kita reda atau tidak, hanya Dia je tahu hati kita berdua,” jawabnya seraya meraih tangan kiri abangnya itu. Dia mengusap tangan itu dengan penuh kelembutan. Tangan itulah yang telah banyak melindungi dirinya.
Suhaibul Umar menghadiahkan senyuman kepada adiknya itu. Satu-satunya teman akrab yang dia miliki sejak ibu bapanya meninggal dunia. Adiknya itu tidak pernah berasa geli mahupun jijik menghampiri dirinya.
“Adik tak geli ke pegang tangan abang ni?” Sengaja dia ingin menguji adiknya itu.
“Eh, kenapa pula adik nak geli! Abang sendiri, kan? Lainlah kalau adik terpegang tangan bukan mahram. Ha, tu adik geli-geleman,” selamba sahaja balasan Qistur Ruwaidah itu.
Suhaibul Umar ketawa. Dia tahu adiknya itu benar-benar menyayangi dirinya. “Tak adalah. Kan badan abang ni banyak parut. Takut adik tak selesa pula.”
“Eiii… Abang ni kan. Boleh tak jangan buat drama? Selama ni, adik peluk abang atau abang peluk adik, ada adik pernah cakap apa-apa?” balas Qistur Ruwaidah seraya mencubit manja pada lengan kiri abangnya itu.
Suhaibul Umar ketawa lagi. “Okeylah. Alaa… Adik ni. Suka sangat marah tapi marah-marah pun, adik tetap comel.”
“Mengadanya abang ni!”
Tiba-tiba Qistur Ruwaidah baru teringat sesuatu setelah dia mencubit lengan kiri abangnya itu. “Abang rasa tak bahagian adik cubit tadi?”

Suhaibul Umar menggelengkan kepalanya dengan perlahan. “Tak rasa tapi abang boleh agak mesti adik cubit manja je.”
Jeda.
“A… Abang okey? Maafkan adik kalau adik dah terguriskan hati abang,” ucap Qistur Ruwaidah.
Pipinya diusap oleh Suhaibul Umar. “Abang okey jelah. Bukannya adik salah cakap pun. Lagipun, abang bersyukur sebab adik masih sayangkan abang walaupun abang dah tak sempurna dari segi hilang deria rasa kat badan abang ni.”
Qistur Ruwaidah sebak apabila mendengar kata-kata abangnya itu. “Abang, selamanya adik menyayangi abang sepenuh hati adik. Abang dah banyak berkorban untuk adik sejak dulu hingga kini. Masakan adik nak buang pula perasaan sayang adik terhadap abang. Badan abang jadi macam tu pun sebab abang banyak melindungi adik. Boleh tak abang jangan buat adik sedih lagi?” ucapnya.
“Maafkan abang, adik. Bukan niat abang nak buat adik sedih tapi abang takut kalau satu hari nanti adik pergi dulu daripada abang,” balas Suhaibul Umar, perlahan.

Melihatkan emosi lelaki itu sedikit terganggu melalui kata-katanya, Qistur Ruwaidah segera mendakap abangnya, lalu dia menggosok lembut bahagian tubuh belakang lelaki itu biarpun dia mengetahui bahawa abangnya tidak lagi merasai sentuhan itu. Dia juga mengetahui bahawa abangnya sangat memerlukan sokongan dan kasih sayang daripadanya waktu ini. “Shhh… Adik ada ni, abang. Setiap hari adik berdoa agar Allah panjangkan usia adik untuk bersama abang.”
“Adik janji jangan tinggalkan abang buat masa ni,” tiba-tiba Suhaibul Umar merengek seperti anak kecil.

“Insya-Allah adik takkan tinggalkan abang. Abang kena rehat ni. Mesti abang tak cukup tidur siapkan replika model,” pujuk Qistur Ruwaidah.

Melihatkan Suhaibul Umar seperti berada di dunia lain, Qistur Ruwaidah segera membawa abangnya ke bilik tidur. Dia tahu abangnya berperangai sedemikian kerana abangnya tidak cukup tidur atau trauma dengan peristiwa lalu.

Setelah abangnya membaringkan diri di atas katil, Qistur Ruwaidah menyelimuti abangnya, lalu dia mengusap rambut abangnya itu. Tidak lama kemudian, abangnya sudah melelapkan mata. Apabila dia merenung wajah abangnya itu, hatinya menjadi sebak. Dia tahu jiwa abangnya terdera mengingati peristiwa-peristiwa lalu. Apatah lagi, parut yang ditinggalkan oleh Mak Long Rauzah pada tubuh abangnya itu membuatkan abangnya kian mengingatinya.
Qistur Ruwaidah bersyukur kerana penderaan lalu tidak meninggalkan parut yang teruk pada tubuhnya. Hanya kelihatan seperti parut biasa.
‘Abang, kuatkan hati. Adik tahu jiwa abang terdera sepertimana adik juga merasainya sekarang,’ bicara hatinya.
Tiba-tiba memori silam mengejarnya pula.

TIKA itu, Qistur Ruwaidah masih ingat lagi bahawa dia bakal memasuki darjah dua manakala abangnya pula bakal memasuki darjah empat pada bulan Januari dahulu. Namun begitu, disebabkan Mak Long Rauzah sudah malas untuk menguruskan pendidikan anak-anak saudaranya itu serta prestasi yang diberikan oleh mereka berdua sangat teruk pada tahun lalu, membuatkan mereka berdua tidak lagi meneruskan sesi persekolahan di sekolah tersebut.
Dua beradik itu telah menjadi kanak-kanak yang tercicir dalam pelajaran. Walau bagaimanapun, Suhaibul Umar tetap menjadi guru buat adiknya berdasarkan ilmu yang dia miliki sejak darjah satu sehingga darjah tiga. Buku-buku latihan yang tidak bersentuh dahulu menjadi sumber untuk dia mengajar adiknya itu. Kasihan adiknya hanya merasai alam tadika dan darjah satu sahaja.

Mak Long Rauzah peduli apa tentang pendidikan anak-anak saudaranya itu? Apa yang dia tahu, dua orang anak yatim piatu itu menjadi sasarannya untuk dia melepaskan geram dan amarahnya walaupun dua beradik itu tidak melakukan sebarang kesalahan.

Dipukul dengan rotan, penyapu dan paip getah, dicucuh dengan besi panas, ditekap dengan seterika, disimbah dengan air panas, dihalau untuk berada di luar rumah pada tempoh tertentu, tidak diberi makan mengikut angin wanita itu dan dikurung dalam bilik mengikut tempoh tertentu, telah menjadi hidangan kebiasaan bagi dua beradik itu oleh Mak Long Rauzah.

Ajaibnya, mereka berdua masih mampu meneruskan kehidupan walaupun berkali-kali tubuh mereka diseksa oleh wanita itu.
Kesengsaraan yang dialami oleh dua beradik itu berterusan sehinggalah Suhaibul Umar berumur 12 tahun manakala Qistur Ruwaidah berumur 10 tahun.
Sehinggalah pada suatu hari…
“Abang, adik rindulah mama baba. Kak Qina, Dik Harraz, Dik Harzan dan Pak Long pun adik rindu,” ucap Qistur Ruwaidah.
Luahan itu membuatkan Suhaibul Umar berasa sebak. Seringkali adiknya mengungkap kerinduannya terhadap insan-insan itu, dia hanya mampu mengungkapkan, “Setiap kali kalau adik rindu mereka, adik sedekahkan Surah al-Fatihah kepada mereka ya. Abang pun rindu mereka juga.”
“Eh, yalah! Adik lupa pula,” balas Qistur Ruwaidah, lalu dia tersengih.
Tiba-tiba dia ternampak pakaian abangnya bertukar menjadi merah di merata-rata pakaiannya itu.
Darah!
Semakin lama, darah tersebut semakin membanjiri pakaian Suhaibul Umar. “Ba… Badan abang berdarah ke?” tanya Qistur Ruwaidah, gugup.
Suhaibul Umar memeriksa tubuhnya. Benar kata adiknya itu. Nampaknya, kain balutan itu tidak mampu membendung lagi luka-luka itu. Dia tahu hampir keseluruhan tubuhnya sudah cedera. Mana tidaknya, dia telah melalui penderaan ini sejak dia berumur lapan tahun sehinggalah dia berumur 12 tahun.
“J… Jom kita pergi klinik, abang. Adik tahu kita kena kurung tapi kita kena juga cuba cari jalan keluar,” ucap Qistur Ruwaidah. Nadanya hampir menangis.
“Insya-Allah abang…” belum sempat Suhaibul Umar mahu menghabiskan kata-katanya itu, tiba-tiba dia rebah.
“Abang!” jerit Qistur Ruwaidah seraya menggoncangkan kaki abangnya itu. Kelihatan Suhaibul Umar tidak memberi apa-apa respons. Reaksinya kaku.
Qistur Ruwaidah menangis dalam kebuntuan. Melihatkan abangnya masih tidak sedarkan diri, dia perlu mencari solusi agar abangnya dibawa ke klinik atau hospital. Memandangkan setiap hari dia dan abangnya dikurung di dalam rumah dan adakalanya mereka berdua dikurung di dalam bilik tidur oleh Mak Long Rauzah sewaktu wanita itu pergi bekerja, segala kunci disorok oleh wanita kejam itu sehingga membuatkan dia bertambah buntu.

Telefon rumah pula disorokkan agar dua beradik itu tidak boleh berhubung dengan sesiapa pun. Apatah lagi, membuat laporan kepada pihak polis atau pihak hospital.

Akalnya mengatakan bahawa dia perlu menuju ke bilik ibu saudaranya itu agar dia menemui sesuatu yang dapat membantu dirinya tetapi dia tahu bilik wanita itu biasanya berkunci tetapi dia tetap mahu mencuba nasib juga.

Pada hari itu, nasibnya baik apabila bilik Mak Long Rauzah kebetulan tidak berkunci setelah dia memusingkan tombol pintu bilik itu. Dia berasa agak pelik apabila ibu saudaranya tidak menguncikan pintu biliknya seperti kebiasaan. Perlahan-lahan dia menolak pintu bilik itu dan melangkah masuk.
Kelihatan telefon rumah berada dalam bilik ibu saudaranya itu. Itulah sinar harapan untuk dirinya. Tanpa melengahkan masa, dia segera mencapai ganggang telefon itu dan mendail nombor kecemasan, iaitu 999. Dia masih ingat akan pesanan sepupunya, iaitu Puteri Masyitah jika berlaku apa-apa dan berpeluang untuk menghubungi sesiapa, segera menghubungi nombor tersebut.

Kedengaran suara seorang lelaki dalam lingkungan 40 tahun menjawab panggilannya. “Helo. Siapa sedang bercakap di sana?”
“He… Helo pak cik. To… Tolong Qist! Abang Qist tak bangun! Badan dia berdarah! Qist tak tahu nak buat apa. Qist tak boleh nak keluar. Kunci kena sorok. Kami kena kurung, pak cik…” cerita Qistur Ruwaidah sambil air mata menemaninya.
Lelaki yang berada di hujung talian itu menjadi terkejut apabila dia mendengar suara kanak-kanak sedang menghubunginya dan menjelaskan apa yang sedang berlaku. Menurut apa yang diceritakan oleh kanak-kanak itu, fahamlah dia bahawa kanak-kanak itu merupakan mangsa dera. “Adik Qist tahu tak adik kat mana tu?” soal lelaki itu seraya memberi isyarat kepada salah seorang staf untuk mengesan lokasi berdasarkan nombor telefon itu.

“Qi… Qist tak tahu pak cik. Qist tak pernah tahu alamat rumah ni selama Qist duduk sini. Pak cik tolong selamatkan abang Qist. Q… Qist takut kalau abang Qist mati!” balas Qistur Ruwaidah dalam sedu-sedan.

Kelihatan salah seorang staf memberikan isyarat bahawa beliau telah berjaya menemui lokasi tersebut.

“Adik Qist tunggu pak cik dalam 10 ke 15 minit. Nanti pak cik dan kawan-kawan sampai kat rumah adik,” balas lelaki itu.
Setelah lelaki itu mematikan panggilan tersebut, dia mula memaklumkan tentang panggilan itu kepada beberapa orang staf yang setia bersamanya.
“Baik. Dengar sini. Aku ada terima panggilan daripada seorang kanak-kanak. Namanya Qist. Menurut apa yang diberitahu oleh Qist, badan abangnya berdarah dan sekarang, abangnya berada dalam keadaan tak sedarkan diri. Aku tak tahu apa puncanya tapi aku percaya, dia dan abangnya ialah mangsa dera sebab budak-budak tu kena kurung. Dia orang tak boleh nak keluar rumah sebab kunci rumah kena sorok. Dia pun tak tahu kat mana lokasi dia tapi Najmi dah berjaya kesan lokasi tu,” terang lelaki itu atau lebih dikenali sebagai Inspektor Anwar.

“Panggilan tu boleh dipercayai ke?” tanya salah seorang rakan seniornya, Inspektor Basri.

“Najmi merupakan saksi yang mendengarnya sewaktu aku berhubung dengan budak tu. Suara budak tu sedang menangis dalam ketakutan dan bukan dibuat-buat,” terang Inspektor Anwar.

“Ya betul,” Inspektor Najmi mengiakan akan kata-kata Inspektor Anwar itu.

“Baik. Kalau macam tu, kau, Najmi, Faiz dan Daud tolong uruskan kes ini. Aku juga akan sertai sekali. Pastikan semua barang dalam keadaan cukup dan jangan lupa hubungi ambulans sekali,” arah Inspektor Basri.

“Baik!” laung keempat-empat orang inspektor yang terpilih itu.

RUMAH MAK LONG RAUZAH

Qistur Ruwaidah setia menunggu di ruang tamu akan ketibaan pegawai polis yang telah dia hubungi itu. Sebenarnya, dia risau juga akan keadaan abangnya di dalam bilik tidur mereka berdua itu. Beberapa kali juga dia berulang-alik ke bilik tidur tersebut. Kelihatan abangnya masih belum sedarkan diri juga. Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk berada di ruang tamu kerana dia bimbang seandainya dia tidak mendengar suara pegawai polis itu nanti.

Jam dinding menunjukkan pada pukul 2.00 petang. Biasanya, Mak Long Rauzah akan pulang dari kerja pada pukul 4.30 petang. Jauh di sudut hatinya, janganlah ibu saudaranya itu pulang lagi pada waktu ini. Inilah sahaja peluang untuk dirinya memberitahu kesengsaraan yang dihadapi olehnya dan abangnya. Seterusnya, dia dan abangnya boleh keluar dari kepompong penderitaan ini.
Tidak lama kemudian, kedengaran suara seorang pegawai polis memberi salam kepadanya. “Assalamualaikum! Adik Qist!” laungnya.
Qistur Ruwaidah segera mengetuk pintu ruang tamu itu berkali-kali kerana pintu rumah itu juga turut berkunci. Dia tidak boleh membuka pintu rumah itu. “Pak cik! Tolong!” jeritnya dari dalam rumah.

Mendengar ketukan bertalu-talu itu, membuatkan Inspektor Basri mula naik angin. “Siapa jaga budak tu! Kenapa kejam sangat pergi kurung budak tu!” bentak beliau.

Inspektor Anwar dapat melihat pagar rumah itu dimangga. Akhirnya, beliau memanjat pagar rumah tersebut. Salah seorang rakan setugasnya menghulurkan besi bagi beliau membuka mangga kunci tersebut. Kelihatan mangga itu berjaya dibuka olehnya. Inspektor Anwar, Inspektor Basri dan Inspektor Najmi melangkah masuk ke dalam rumah itu. Sementara itu, dua lagi anggota pegawai polis sedang menunggu di luar rumah bersama sebuah ambulans.

“Adik Qist, tunggu ya. Kami akan bukakan pintu ni. Adik pergi jauh sikit dari pintu ni,” arah Inspektor Anwar.

Qistur Ruwaidah segera menjauhkan diri dari pintu tersebut. Tidak lama kemudian, pintu rumah itu berjaya dibuka oleh Inspektor Anwar. Qistur Ruwaidah segera memeluk pegawai polis itu sambil menangis. Dia mula terasa selamat apabila ada anggota polis bersamanya. Inspektor Anwar menenangkan anak kecil itu.

“Q…Qist ta…kut, pak cik,” ucapnya dalam sedu-sedan.

“Adik jangan takut ya. Pak cik ada ni,” pujuk Inspektor Anwar.

Inspektor Basri dan Inspektor Najmi segera memeriksa bilik demi bilik untuk mengetahui keberadaan Suhaibul Umar. Kelihatan kanak-kanak itu terbaring kaku dalam keadaan yang begitu teruk. Pakaiannya sudah membanjiri darah. Mereka berdua mengucap panjang.

Segera, Inspektor Najmi berhubung dengan salah seorang rakan setugasnya dengan menggunakan walkie-talkie agar dimaklumkan kepada pihak ambulans untuk melangkah masuk ke dalam rumah dengan membawa strecer.
Inspektor Anwar sempat bertanya beberapa soalan kepada Qistur Ruwaidah sebelum kanak-kanak itu dibawa masuk ke dalam ambulans meskipun pegawai polis itu tahu bahawa kanak-kanak itu berada dalam ketakutan dan trauma. “Tu abang adik ke?” soalnya.
Qistur Ruwaidah mengangguk. “Abang Suhaib…” panggilnya perlahan.
“Mak ayah adik ada kat mana?”
“Mama baba dah tak ada.”
Barulah Inspektor Anwar mengetahui bahawa ibu bapa kanak-kanak itu telah meninggal dunia. Bermakna, ada orang lain yang telah menyeksa dua beradik itu.
“Siapa jaga adik dan abang adik sekarang?”
Kelihatan Qistur Ruwaidah takut untuk menjawab soalan itu. Ternyata ibu saudaranya telah membuatkan dirinya menjadi trauma. Inspektor Anwar memujuk anak itu. “Jangan takut adik. Adik beritahu je siapa. Selepas ni, dia takkan boleh buat apa-apa dah kat adik dan abang adik. Pak cik ada ni.”
Akhirnya, Qistur Ruwaidah menyebut nama ibu saudaranya itu. “M…Mak Long Rau…zah,” balasnya ketakutan.
“Mak Long Rauzah tu mak cik adik ke?”
Qistur Ruwaidah mengangguk perlahan.
Tidak lama kemudian, Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah dibawa ke dalam ambulans. Sebelum ambulans itu bergerak, Inspektor Anwar berbincang sesuatu dengan rakan-rakan setugasnya seketika.
“Aku akan temankan dua beradik tu ke hospital. Buat sementara ni, kau orang jaga rumah ni sampai mak cik dia orang balik. Jangan sampai dia terlepas,” kata Inspektor Anwar.
“Okey. Memang aku tak sabar nak tengok muka mak cik durjana dia orang tu. Berani sangat dera budak-budak tu,” balas Inspektor Basri dalam nada geram.
Akhirnya, ambulans tersebut mula meninggalkan kawasan rumah Mak Long Rauzah. Empat orang anggota polis itu pula bersembunyi dalam kereta polis dan diparkir agak jauh dari rumah wanita itu supaya wanita itu tidak menyedari kehadiran mereka.

Hampir dua jam juga mereka menunggu kehadiran penjaga kepada dua beradik itu dengan penuh sabar. Akhirnya, kereta Mak Long Rauzah tiba di hadapan rumah. Belum sempat wanita itu hendak membuka mangga pintu pagar rumahnya itu, dia ditegur oleh seseorang.
“Assalamualaikum puan,” ucap Inspektor Basri.
“Wa…Waalaikummussalam,” balas Mak Long Rauzah, gugup. Dia terkejut apabila melihat kehadiran empat orang anggota polis itu ke rumahnya.
“Puan ni penjaga kepada Qist dan Suhaib ke?”
“Saya rasa encik salah rumah ni. Saya tak kenallah siapa yang encik maksudkan tu.”
“Ya ke kami salah rumah ni, puan? Kawan kami baru je bawa dua orang budak tu pergi hospital selepas kami dapat panggilan daripada anak saudara puan. Tahan dia,” kata Inspektor Basri.
Kelihatan dua orang anggota polis mula menahan wanita itu dengan menggari kedua-dua belah tangannya. Mak Long Rauzah terkial-kial hendak melepaskan diri.
“Eh, apa ni encik! Saya tak bersalahlah!” bentak Mak Long Rauzah.
“Puan ditahan kerana puan disyaki mendera anak-anak saudara puan. Puan nak beritahu apa-apa kat balai polis ya,” balas Inspektor Basri.
“Aku tak bersalahlah!” jerit Mak Long Rauzah seperti dirasuk hantu.
Akhirnya, dua buah kereta polis mula meninggalkan rumah tersebut.

QISTUR RUWAIDAH termenung sendirian seraya berpeluk tubuh. Sejujurnya, dia berasa amat lapar kerana hampir lima hari dia tidak menjamah sebarang makanan. Hendak memberitahu kepada pegawai polis itu, dia takut dia diapa-apakan kerana dia masih ingat lagi apabila dia mengadu bahawa dia kelaparan kepada Mak Long Rauzah, dia dipukul dengan teruk sekali sehingga dia tidak diberi makan selama seminggu lebih.
Di situ, timbul isu kepercayaannya kepada pegawai polis itu. Dia takut Inspektor Anwar juga sama seperti ibu saudaranya.
“Qist nak makan apa-apa tak?” tanya Inspektor Anwar.
“Qist nak tunggu Abang Suhaib,” balas Qistur Ruwaidah.
Memahami kehendak anak kecil itu, Inspektor Anwar akur. “Pak cik pergi belikan apa-apa untuk Qist ya.”
Qistur Ruwaidah hanya membatu. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak. Tiba-tiba dia jatuh rebah dari tempat duduknya hingga membuatkan Inspektor Anwar terkejut. Lantas, tubuh anak kecil itu didukung dan dibawa ke wad rawatan. Doktor dan jururawat yang bertugas merawat Suhaibul Umar tadi segera menguruskan Qistur Ruwaidah pula. Birai langsir segera menutupi keseluruhan katil yang didiami oleh Qistur Ruwaidah bagi para petugas memeriksa keadaannya.
Inspektor Anwar masih terkejut dengan apa yang berlaku. Fikirannya mula menerawang kepada anak-anaknya yang hampir sebaya dengan dua beradik itu atau mungkin sebaya.
Setelah dua beradik itu mendapatkan rawatan, kelihatan seorang pegawai perubatan yang merawat dua beradik itu menghampiri Inspektor Anwar.
“Tuan, mari ikut saya ke bilik saya. Saya terangkan secara lanjut kat sana,” pinta Doktor Maryam.

Inspektor Anwar membuntuti doktor itu sehingga ke biliknya.

Menurut Doktor Maryam setelah beliau melakukan pemeriksaan terhadap dua beradik itu, beliau mendapati bahawa terdapat banyak kesan luka, kesan lebam dan kesan lecur pada tubuh dua beradik tersebut. Beliau mengatakan juga bahawa terdapat kesan lebam dan kesan luka yang masih kelihatan baharu, termasuk bekas-bekas luka yang lalu sehingga meninggalkan parut.

Menurut kemungkinan pegawai perubatan tersebut, dua beradik itu baru sahaja didera lagi dalam tempoh semalam atau dua hari lepas setelah beliau mendapati bahawa banyak darah mengalir dari tubuh Suhaibul Umar dan kesan luka yang masih baharu pada bahagian kaki Qistur Ruwaidah. Beliau juga mengatakan bahawa kemungkinan besar dua beradik itu tidak pernah menerima sebarang rawatan.

“Untuk Suhaib, kemungkinan besar juga dia akan hilang deria rasa di beberapa bahagian kulitnya dan kulitnya akan berubah warna dari warna asalnya kerana kulitnya telah melecur dalam anggaran 85 peratus. Tubuh Qist pula masih boleh diselamatkan sebab penderaan yang dia alami tak seteruk abangnya dan kesan lecur itu dalam anggaran 25 peratus. Boleh jadi dua beradik tu pengsan sebab tak makan selama beberapa hari dan penat menahan sakit. Berat badan mereka juga terlalu susut dan tak seimbang mengikut ketinggian mereka. Ketinggian mereka juga terbantut sebab tak dapat zat makanan yang cukup,” terang Doktor Maryam.
‘Allahu Akbar!’ bisik hati Inspektor Anwar. Tidak terbayang kesengsaraan yang mereka berdua hadapi selama ini tanpa ada sesiapa pun yang mengetahuinya. Beliau semakin teringat kepada anak-anaknya.
Kelihatan salah seorang jururawat datang ke arah Doktor Maryam seraya menyerahkan sesuatu kepada doktor tersebut. Doktor Maryam menghulurkan sampul surat bersaiz A4 kepada Inspektor Anwar. “Ini merupakan rekod Suhaib dan Qist sebagai bukti bahawa mereka berdua merupakan mangsa dera.”
Inspektor Anwar menyambut dokumen itu. Dalam hatinya, beliau mengucapkan rasa syukur pada Ilahi. Dengan adanya rekod itu, sudah cukup membuktikan bahawa ibu saudara dua beradik itu bersalah dan bakal dipenjara. Namun begitu, beliau tetap perlu pergi semula ke rumah Mak Long Rauzah itu untuk menjalankan siasatan dengan mencari bahan bukti lain seperti barang-barang yang digunakan bagi mendera dua beradik itu.
“Terima kasih doktor. Kalau berdasarkan pemeriksaan doktor, dah berapa lama agaknya mereka berdua didera?” ucap Inspektor Anwar. Beliau boleh sahaja mengetahui tempoh itu daripada rakan setugas yang menjalankan sesi soal siasat terhadap Mak Long Rauzah itu tetapi hatinya meronta ingin mengetahuinya sekarang.
“Sama-sama tuan. Kalau ikut pemeriksaan saya, mereka dah didera hampir tiga ke empat tahun. Walau bagaimanapun, saya sebagai doktor, kalau saya tengok keadaan mereka, sepatutnya mereka boleh mati. Tambahan pula, mereka kena dera dengan teruk dan kurang zat sebab tak cukup makan seperti apa yang saya katakan tadi, lagi-lagi keadaan Suhaib sangat teruk tapi kuasa Allah melangkaui sangkaan saya. Allah melindungi anak-anak tu dengan memberikan kekuatan yang luar biasa buat mereka berdua,” balas Doktor Maryam.

Usai Doktor Maryam menerangkan keadaan Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah, Inspektor Anwar mengikuti jururawat yang ditugaskan untuk menjaga dua beradik itu ke wad biasa memandangkan dua beradik itu telah berpindah dari wad rawatan ke wad biasa.
“Bagaimana keadaan budak-budak tu, nurse?” soal Inspektor Anwar.
“Buat masa ni, alhamdulillah mereka berada dalam keadaan stabil, namun saya tak pasti bila mereka akan sedar. Tuan banyakkan berdoa ya,” balas jururawat itu seraya memeriksa paras drip telah dimasukkan ke dalam tubuh dua beradik itu.

Usai jururawat itu melaksanakan tugasnya, Inspektor Anwar menghampiri Suhaibul Umar terlebih dahulu. Beliau dapat melihat hampir keseluruhan tubuh anak itu berbalut kecuali di bahagian muka dan lehernya. Kemudian, beliau menghampiri Qistur Ruwaidah pula. Kelihatan terdapat beberapa tempat di tubuhnya itu telah dibalut tetapi tidak sebanyak abangnya itu.

“Pandai pula mak cik dia orang tu tak dera kat bahagian muka dan leher Suhaib dan Qist. Rauzah oh Rauzah, bijak pula kau tak nak orang lain tahu kau dera budak-budak ni. Kenapa kau kejam sangat buat kat budak-budak tak berdosa macam ni! Dahlah mak ayah dia orang dah meninggal dunia! Tak rasa kesian ke!” bicaranya sendirian. Hatinya berasa amat marah.

Tiba-tiba air matanya mengalir apabila mengenangkan nasib dua orang anak yatim piatu itu. Tidak terjangkau dek akal bagi seorang pegawai polis itu bagaimana dua beradik itu boleh bertahan selama ini.

Kuasa Allah kebarangkalian…
SETELAH dua bulan Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah berada di hospital bagi mendapatkan rawatan secukupnya, keadaan mereka berdua semakin baik dan boleh berbicara sedikit demi sedikit. Wajah mereka juga kelihatan semakin ceria.

Tambahan pula, Inspektor Anwar dan rakan-rakan setugasnya rajin menziarahi mereka berdua dan membuatkan mereka berdua rasa selamat akan kehadiran pegawai polis itu.

“Cuba teka hari ni pak cik beli apa pula?” soal Inspektor Anwar.

“Aaa… Donut?” teka Qistur Ruwaidah.
Tiba-tiba Inspektor Anwar menunjukkan bungkusan KFC. “Tadaa! Ayam goreng KFC!”
“Wah, ayam goreng KFC! Dah lama sangat Qist nak rasa. Dulu, Qist tengok kawan-kawan sekolah beli je,” balas Qistur Ruwaidah, ceria.

Suhaibul Umar hanya tersenyum melihat bungkusan itu. Ayam goreng KFC… Seingatnya, kali terakhir dia menikmati ayam goreng KFC itu di Kawasan Rawat dan Rehat sebelum dia dan ahli keluarganya terlibat dalam kemalangan. Pada sisinya, dia amat mengingati ayam goreng itu, namun tidak bagi adiknya itu.

Kelihatan Qistur Ruwaidah begitu gembira apabila dia dapat menikmati ayam goreng itu. Nampak sangat berselera. “Sedapnya!” ucapnya apabila dia merasai ayam goreng itu buat kali pertama selepas pemergian ahli keluarga pada empat tahun lalu.
“Ha, makan puas-puas Qist,” kata Inspektor Anwar. Beliau terperasan bahawa Suhaibul Umar masih tidak menyentuh langsung ayam goreng itu.
“Suhaib, kenapa tak makan ayam goreng tu? Sedap tahu. Tengok Qist makan. Berselera dia,” tegurnya.
“Suhaib kenyang lagi,” balas Suhaibul Umar.
Inspektor Anwar menghampiri anak itu. Beliau membiarkan Qistur Ruwaidah seronok menikmati ayam goreng itu.
“Ada apa-apa yang mengganggu fikiran Suhaib ke?” soal Inspektor Anwar di hadapan Suhaibul Umar. Waktu itu, mereka berdua membelakangi Qistur Ruwaidah.
Suhaibul Umar mengangguk perlahan. Dia tidak mahu adiknya mengetahui apa yang dia sedang rasai kini. “Suhaib tak nak adik nampak Suhaib macam ni,” pintanya.

“Nak pak cik tutup langsir tu?”
Kanak-kanak itu mengangguk. Inspektor Anwar mula menarik birai langsir itu. Qistur Ruwaidah hanya memandang situasi itu tetapi dia tidak bertanya apa-apa. Dia meneruskan hidangan ayam goreng itu.

“Okey, apa yang Suhaib nak cerita dengan pak cik?” tanya Inspektor Anwar.
Baginya, inilah masanya untuk beliau mendengar cerita Suhaibul Umar atau lebih tepat soal siasat dalam keadaan santai. Pada masa yang sama, beliau boleh mengetahui penderitaan yang telah dihadapi oleh dua beradik itu. Beliau segera menghidupkan pita rakaman suara. Ini merupakan salah satu cara lagi bagi beliau mendapatkan bukti melalui mangsa.
“Suhaib rindu keluarga Suhaib yang dah tak ada,” Suhaibul Umar memulakan bicaranya seraya menahan air matanya dari merembes keluar.
Melihatkan emosi anak itu, Inspektor Anwar segera mendakap Suhaibul Umar. Beliau mahu kanak-kanak itu rasa selamat bersamanya. Kemudian, beliau meleraikan dakapan itu.
“Apabila Suhaib tengok ayam goreng tu, bukannya Suhaib tak nak makan tapi Suhaib teringat ayam goreng tulah makanan terakhir yang paling sedap Suhaib pernah makan sebelum kami terlibat dalam kemalangan. Lepas tu, Suhaib dan adik dah tak pernah makan makanan macam tu,” terang Suhaibul Umar.

“Masa duduk dengan mak cik Suhaib, Suhaib dan adik makan apa je?” tanya Inspektor Anwar.

“Biasanya Mak Long tak bagi kami makan sampai kami dah terbiasa untuk tak makan. Kalau Mak Long nampak okey, Mak Long akan bagi kami nasi kosong. Kadang-kadang, nasi dengan telur rebus. Itu pun kami makan dalam satu pinggan je. Kalau kami nak nasi tu berkuah, kami tuangkan air kosong. Kami rasa makanan tu pun dah cukup okey. Dapatlah juga makan nasi sekali-sekala.”
‘Astaghfirullah! Kau memang kejam, Rauzah! Patutlah budak-budak ni tak cukup zat!’ bentak hati sang inspektor itu.
“Suhaib ingat lagi masa kat sekolah dulu sebelum Suhaib dan adik berhenti sekolah, kawan-kawan akan buat majlis hari jadi lepas tamat sekolah tapi kami tak pernah dijemput oleh kawan-kawan. Kami tengok dari luar kelas je. Masa tu Suhaib ingat lagi, banyak kali Suhaib ternampak maskot KFC, maskot McD, maskot Burger King dan banyak lagi,” cerita Suhaibul Umar lagi.
“Kenapa Suhaib dan Qist berhenti sekolah?” tanya Inspektor Anwar.
“Sebab Mak Long dah tak bagi kami pergi sekolah. Dulu, masa kami pergi sekolah, kami terkenal sebagai pelajar yang tak pernah siapkan kerja sekolah. Semua orang kat sekolah tu tahu. Kiranya, cikgu-cikgu dan kawan-kawan tengok kami sebagai budak jahat.”
“Dah berapa lama Suhaib dan Qist tak pergi sekolah?”
“Dah tiga tahun kami tak pergi sekolah. Sepatutnya, Suhaib ambil UPSR tahun ni kalau Suhaib pergi sekolah. Adik pula darjah empat sekarang.”
“Kenapa Suhaib dan Qist tak pernah siapkan kerja sekolah?”
“Sebab setiap kali kami balik dari sekolah je, kami terus kena buat kerja rumah. Mak Long suruh. Selagi kami tak siapkan kerja rumah, kami tak boleh rehat. Nanti, kami kena marah dan kena dera dengan Mak Long. Jadi, kami tak ada masa nak siapkan kerja sekolah.”

“Mak Long dera Suhaib dan Qist guna alat apa?”

Suhaibul Umar terdiam seketika. Mindanya cuba mengingati semula alat-alat yang pernah digunakan oleh ibu saudaranya. “Emm… Rotan, penyapu, seterika, tali pinggang, air panas, besi panas… Suhaib tak ingat kalau ada alat lain ke tak tapi biasanya Mak Long pakai alat-alat tulah.”
Tercengang Inspektor Anwar mendengar penerangan Suhaibul Umar itu. Manusia jenis apakah Mak Long Rauzah itu? Beliau perlu menyoal lagi kanak-kanak itu.

Satu lagi yang membuatkan pegawai polis itu tertanya-tanya, adakah pihak sekolah tidak mengetahui kesengsaraan dua beradik itu?
“Tadi, Suhaib ada cerita pasal Suhaib dan Qist tak dijemput ke majlis hari jadi kawan-kawan. Cikgu-cikgu tak cakap apa-apa apabila kawan-kawan buat kat Suhaib dan Qist macam tu?”
“Cikgu-cikgu tak pernah kisah kat kami pun sebab kami tak pernah siapkan kerja sekolah langsung. Kami nak beritahu cikgu pasal keadaan sebenar kami tak pernah siapkan kerja sekolah pun, kami jadi takut.”
“Takut sebab apa?”
“Kami takut kami tak diberi makan langsung oleh Mak Long. Lagi-lagi, kami diugut oleh Mak Long supaya kami tak beritahu kat sesiapa pun apa yang dia dah buat kat kami. Jadi, kami diam jelah kalau cikgu tanya kenapa kami tak siapkan kerja sekolah.”
Inspektor Anwar dapat melihat air mata Suhaibul Umar gugur jua. Beliau mengetahui bahawa kanak-kanak itu sedang melepaskan segala bebanan yang ditanggung olehnya selama ini melalui air mata. Sekali lagi, beliau mendakap anak itu . “Menangislah Suhaib. Pak cik ada ni,” ucapnya, sebak.

Tangisan Suhaibul Umar dapat didengari oleh Qistur Ruwaidah, namun adiknya tidak menuju ke arahnya. Dia tahu abangnya tidak mahu dia melihat kesedihannya itu. Dia hanya membisukan diri dan meneruskan hidangan ayam goreng itu.

ENAM bulan berlalu…
“Okey, doktor nak buka balutan kat badan Suhaib ya,” pinta Doktor Maryam dengan penuh kelembutan.
Suhaibul Umar mengangguk. Bermula dengan balutan di bahagian tangan kanannya. Kelihatan wanita itu memotong balutan kain itu dengan cermat. Kelihatan kulitnya sudah semakin pulih dengan izin-Nya biarpun ada beberapa bahagian lagi masih dalam proses pemulihan, namun Suhaibul Umar dapat melihat bahawa beberapa bahagian warna kulitnya itu telah berubah dari warna kulit asalnya.
Doktor Maryam mula menyentuh di bahagian kulit Suhaibul Umar yang pernah cedera itu. “Suhaib rasa tak doktor sentuh sini?”
“Tak,” balas Suhaibul Umar.
“Sini?” soal Doktor Maryam sambil menyentuh di tempat lain.
“Tak.”
Benarlah tanggapan Doktor Maryam pada enam bulan lalu bahawa lapisan epidermis Suhaibul Umar, iaitu lapisan kulit paling luar itu telah mengalami kecederaan kekal. Dia telah hilang derianya jika ada orang menyentuhnya.

Akhirnya, Doktor Maryam cuba menerangkan kepada Suhaibul Umar mengikut kefahaman kanak-kanak itu. Kelihatan dia mengangguk faham.
“Sampai bila-bila ke saya tak boleh rasa kalau ada orang sentuh saya?” soal Suhaibul Umar.
“Betul. Satu lagi, Suhaib tak boleh pakai pakaian yang boleh terdedah dengan persekitaran, terutamanya baju lengan pendek. Sekarang, keadaan kulit Suhaib dah tak sama macam dulu. Suhaib kena lebih berhati-hati. Juga, jangan bagi luka langsung kat bahagian kulit Suhaib yang dah rosak tu,” balas Doktor Maryam.

Tika itu, hati Suhaibul Umar benar-benar marah akan perbuatan ibu saudaranya itu terhadapnya. Gara-gara penderaaan yang telah dia alami itu, kulitnya tidak normal lagi seperti dahulu.
Qistur Ruwaidah dapat melihat riak wajahnya abangnya itu sangat kecewa meskipun dia kurang faham apa yang disampaikan oleh pegawai perubatan itu.
Inspektor Anwar yang setia bersama dua beradik itu juga turut tersentak apabila mendengar penerangan doktor itu. Bermakna, Suhaibul Umar telah mengalami kecacatan kekal di bahagian kulitnya.
“Kenapa Suhaib kena hidup macam ni!” Suhaibul Umar membentak kecewa.
Doktor Maryam, dua orang jururawat yang bertugas, Inspektor Anwar dan Qistur Ruwaidah tergamam melihat keadaannya. Mereka tahu sukar untuk Suhaibul Umar menerima keadaan itu. Pantas, dua orang jururawat tersebut memberi ubat penenang kepada kanak-kanak itu. Bimbang emosi Suhaibul Umar akan semakin teruk dan membuatkannya lebih agresif.

Tidak lama kemudian, kelihatan Suhaibul Umar lebih relaks setelah diberi ubat penenang. Akhirnya, dia dibuai lena.

Apabila Qistur Ruwaidah mengingati semula apa yang berlaku dahulu, dia menjadi sedih dan sebak. Wajah lena abangnya itu direnung sedalamnya dan tangan itu diraih dengan penuh kasih. Dia masih ingat lagi betapa abangnya mengambil masa untuk menerima keadaannya itu.

Namun begitu, dia bersyukur di atas apa yang telah berlaku dahulu, membuatkan dirinya dan juga abangnya berjaya keluar dari penderitaan itu. Jika tidak, kemungkinan nyawa mereka berdua melayang dalam keadaan yang kejam dengan cara penderaan. Sepertimana dia masih ingat lagi wajah abangnya begitu kecewa setelah mendengar penerangan doktor itu, begitu juga dirinya kini. Dia menjadi terlalu marah kepada ibu saudaranya itu.

Walau bagaimanapun, mereka berdua telah menerima pembelaan yang sewajarnya apabila Mak Long Rauzah telah dijatuhkan hukuman penjara dalam satu tempoh yang begitu lama berdasarkan bukti-bukti yang berjaya dikumpul oleh Inspektor Anwar dan rakan setugasnya dari segi alat-alat yang digunakan oleh Mak Long Rauzah bagi mendera mereka berdua, laporan kesihatan yang menandakan bahawa mereka berdua telah didera, rekod pita rakaman perbualan di antara Suhaibul Umar dan Inspektor Anwar serta pengakuan Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah di mahkamah.

Qistur Ruwaidah tidak ingin mengetahui berapa lama wanita itu dipenjarakan mahupun berapa kali sebatan yang diterima oleh ibu saudaranya itu tetapi apa yang dia tahu, ibu saudaranya itu masih belum dibebaskan menurut apa yang dikatakan oleh Puteri Masyitah, anak Mak Long Rauzah itu. Akhirnya, dia dan abangnya dapat juga berhubung dengan sepupu mereka itu setelah ibu saudara mereka berdua telah ditangkap.

Akan tetapi, Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah sangat jarang berhubung dengan sepupu mereka berdua itu setelah dua beradik itu mempunyai kehidupan sendiri. Tambahan pula, Puteri Masyitah sendiri berasa serba salah di atas tindakannya dengan membiarkan dua beradik itu dalam ketakutan dan trauma dahulu hingga membuatkan dia sendiri menjadi malu dan kesal akan tindakan bodohnya itu. Oleh sebab itu, dia tidak mahu berhubung sangat dengan sepupu-sepupunya itu. Dia merasakan betapa dirinya cukup berdosa terhadap dua beradik itu.

Namun begitu, tindakan bodoh Puteri Masyitah itu telah dimaklumkan kepada Suhaibul Umar, namun tidak kepada Qistur Ruwaidah. Jadi, Qistur Ruwaidah tidak mengetahuinya sehingga kini dan dia beranggapan bahawa selama ini, sepupunya itu terlalu sibuk sehingga sepupunya itu tiada masa untuk pulang menjenguk mereka berdua dahulu.

Kalau ikut perkiraan Qistur Ruwaidah sejak ibu saudaranya ditahan dan dipenjara, sudah sembilan tahun ibu saudaranya berada dalam tirai besi itu. Tiada sekelumit pun dalam hatinya dan juga abangnya terdetik untuk menziarahi wanita tua itu. Luka lalu masih belum pulih sepenuhnya dan tidak akan pernah pulih pun. Jikalau luka lalu itu pulih sekali pun, ia tetap meninggalkan parut yang cukup mendalam dan membekas dalam atma dua beradik itu.

Qistur Ruwaidah dan Suhaibul Umar juga telah dihantar ke pusat perlindungan kanak-kanak setelah tubuh mereka berdua pulih sepenuhnya. Di tempat itulah, dua beradik itu mula belajar bergaul dengan kawan-kawan yang senasib seperti mereka berdua juga. Dua beradik itu juga berpeluang untuk bersekolah seperti dahulu dan mengejar kembali apa yang telah mereka berdua tertinggal sejak sekian lama di sekolah baharu yang jauh lebih baik. Selain itu, dua beradik itu tidak lagi rasa tersisih seperti di sekolah lama dan mereka berdua berjaya menyiapkan kerja sekolah dengan penuh bersungguh-sungguh dan fokus.
Tiada lagi penderaan kejam yang dialami oleh dua beradik itu dan kehidupan mereka berdua berubah menjadi periang hari demi hari. Walau bagaimanapun, adakalanya bayangan Mak Long Rauzah tetap mengganggu fikiran Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah sehingga membuatkan mereka berdua trauma tanpa dipinta dan terpaksa mendapatkan rawatan psikologi. Kasihan! Meskipun begitu, dua beradik itu belajar untuk menguatkan mental agar tidak terlalu memikirkan wanita kejam itu.

Selain itu, Suhaibul Umar telah tertinggal peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang sepatutnya dia hadapi pada tahun lalu bersama kanak-kanak seusia dirinya. Namun begitu, potensinya yang begitu bijak dan cekap dalam pelajaran telah membuatkan dia boleh mengejar silibus darjah empat sehingga darjah enam dalam masa setahun sahaja. Begitu juga Qistur Ruwaidah. Dia juga mampu mengejar kembali apa jua subjek yang tidak pernah ketahui olehnya sebelum ini.

Oleh sebab Suhaibul Umar telah berjaya meraih keputusan 5A dalam UPSR, dia telah ditawarkan untuk melanjutkan pengajiannya di salah sebuah sekolah menengah swasta terkemuka di Malaysia, iaitu Sekolah Menengah Islam Bisyrunnadwi (SMIB) dan ditanggung sepenuhnya oleh hamba Allah yang tidak pernah diketahui olehnya. Sehingga kini dia melanjutkan pengajiannya dalam peringkat ijazah, dia masih tidak mengetahui siapakah gerangan penaja pendidikannya sewaktu sekolah menengahnya dulu.

Dia juga tidak perlu memasuki kelas tingkatan satu bersama para pelajar yang setahun lebih muda daripada dirinya, yakni sebaya almarhumah adiknya, Qinawiyur Ruhiyah jika adiknya itu masih hidup. Dia terus dilompatkan ke tingkatan dua bersama rakan sebayanya.

Qistur Ruwaidah juga sama bijak seperti abangnya. Dia telah meraih 5A dalam UPSR dan dia juga turut ditawarkan untuk melanjutkan di SMIB seperti abangnya. Di situlah, dia menemui bakatnya dalam arena debat bahasa Arab dan juga menulis karya kreatif sehingga dia menerima royalti dalam beberapa kali juga, hasil karya yang dihantar olehnya di beberapa buah majalah. Di situlah juga, dia menemui almarhum Sufi Waazin yang telah banyak membantu dirinya.

Setelah umur Suhaibul Umar menginjak 18 tahun sebelum keluarnya keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia telah diberikan semula hak tempat tinggal dan hak harta yang telah ditinggalkan oleh arwah ibu bapanya. Pemberian harta-harta itu telah diuruskan oleh tempat kerja arwah ibu bapanya setelah beberapa orang staf ibu bapanya cuba mencarinya dan adiknya. Dengan adanya harta peninggalan arwah ibu bapanya itu, dapatlah dia membeli sebuah kereta Mydi bagi memudahkan dia dan adiknya untuk bergerak ke mana-mana.

Itulah kisah lalu yang telah dilalui oleh Suhaibul Umar dan Qistur Ruwaidah sebelum mereka berdua menemui kebahagiaan yang dicari selama ini selepas pemergian ahli keluarga tercinta.

Usai Suhaibul Umar lena dibuai mimpi, dia tersedar dari lenanya. Kelihatan adiknya sedang tidur dalam keadaan kakinya bersimpuh di atas lantai, kepalanya berbaring di atas tilam sambil tangan kirinya dijadikan sebagai alas kepala dan tangan kanan adiknya itu erat memegang tangannya. Hatinya tersentuh melihat adiknya itu setia menemani dirinya itu. Dia mengejutkan adiknya itu. “Adik…”
Qistur Ruwaidah tersedar dari lenanya apabila abangnya mengejutkannya, lalu dia mengangkat kepalanya itu. “Ah, abang bangun dah. Abang okey?”
“Alhamdulillah. Abang okey dah. Terima kasih sebab temankan abang. Kalau adik tak ada tadi, abang pun tak tahulah macam mana nak kawal diri abang ni,” ucap Suhaibul Umar.
“Sama-sama. Tak ada apalah abang. Adik faham je. Abang masih rasa trauma dengan peristiwa dulu. Semalam, abang tidur lambat pula, kan?”
Suhaibul Umar mengangguk. Ternyata adiknya sangat memahami situasinya.
“Apa kata kita keluar jalan-jalan lepas solat asar nanti? Boleh abang rehatkan minda dari tengok replika model sekejap,” cadang Qistur Ruwaidah.
“Boleh juga. Memang abang pening tengok replika model tu. Kalau sempat lepas kita jalan-jalan nanti, kita ziarah kubur ahli keluarga kita ya? Lama pula kita tak ziarah mereka,” balas Suhaibul Umar.
“Okey juga tu. Mesti abang ada banyak kisah nak cerita kat mereka, kan?”
“Tak adalah. Abang cuma nak sedekahkan Surah Yaasin kat mereka. Abang rindu sangat kat mereka.”
Khali.
Qistur Ruwaidah memandang wajah abangnya itu dalam diam. Dia tahu abangnya masih berusaha untuk melalui hari-harinya meskipun masa silam sering mengejarnya. Dia juga mengharapkan agar dirinya sendiri melalui hari-harinya dengan penuh kekuatan.
Puan Mahfuzah, Encik Isyraf Imrani, Qinawiyur Ruhiyah, Harrazul Umair, Harzanul Uzair, Pak Long Megat Arif dan Sufi Waazin, insan-insan itu sentiasa tersemat dalam hati seorang Qistur Ruwaidah.
Kedengaran azan asar mula berkumandang. Suhaibul Umar bingkas bangun dari perbaringannya. Dia perlu menunaikan kewajipannya itu di masjid. Rutinnya itu tidak pernah berubah sejak dia menjejakkan kaki ke sekolah menengah. Solat jemaah sudah menjadi kelaziman buat dirinya.
“Abang pergi ke masjid dulu,” beritahu Suhaibul Umar.

SEPERTI yang dirancang, dua beradik itu keluar bersiar-siar selepas solat asar. Suhaibul Umar memberi peluang pula kepada adiknya untuk memandu kereta itu. Kunci kereta dihulurkan kepada adiknya itu.
Qistur Ruwaidah tersengih. “Terima kasih abang. Tahu-tahu je adik rindu nak memandu. Gian pula rasanya.”
“Sama-sama. Abang faham sangat dah,” balas Suhaibul Umar.
Enjin kereta mula dihidupkan. Qistur Ruwaidah berkata sesuatu kepada abangnya. “Kita pergi kubur dululah, abang.”
“Okey adik. Mana-mana pun, abang okey je.”
Qistur Ruwaidah memulakan pemanduannya sehinggalah mereka berdua tiba di Tanah Perkuburan Islam AU4 Lembah Keramat. Sebelum dua beradik itu memasuki kawasan tanah perkuburan itu, mereka berdua berdoa:
Semoga keselamatan dilimpahkan kepada kalian, wahai ahli kubur; semoga Allah mengampuni kami dan kalian, kalian telah mendahului kami dan kami akan menyusul kalian.

Setibanya dua beradik itu di tempat persemadian ahli keluarga mereka itu, Qistur Ruwaidah mengucap sesuatu. “Assalamualaikum semua. Qist dan Abang Suhaib dah sampai. Maafkan kami sebab dah lama tak jenguk semua.”

Suhaibul Umar mula terasa sebak apabila adiknya mengungkapkan ayat sedemikian, namun dikuatkan hatinya itu. Dia tidak boleh lemah. Biarlah perjumpaan ini menjadi satu perjumpaan yang menggembirakan buat dirinya dan dia tidak mahu bersedih hati. Tipulah jika dia tidak berasa sebak apabila setiap kali dia dan adiknya menziarahi pusara ahli keluarga mereka itu.

Hamparan tikar itu mula diduduki oleh dua beradik tersebut. Surah Yaasin dan tahlil mula disedekahkan buat ahli keluarga tercinta.
Usai membaca Surah Yaasin dan tahlil, dua beradik itu memegang batu nisan setiap ahli keluarga mereka dengan penuh rasa rindu.

Hati Qistur Ruwaidah mula berbisik. ‘Ya Allah, pemilik segala Maha Ar-Rahiim (Penyayang), betapa aku terlalu merindui ahli keluarga aku, namun Kau lebih menyayangi mereka. Kau ampunilah mereka selama mereka hidup dahulu. Moga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman. Satu hari nanti, aku juga akan menyusul ke sana. Ya Majiid (Maha Mulia), matikanlah aku dalam iman dan matikanlah aku di saat Kau reda kepadaku. Kau sahajalah mengetahui detiknya. Amin ya Rabb.’
Hati Suhaibul Umar pula berbisik. ‘Ya Rabb, pemilik seluruh alam semesta. Kau Maha Al-Muhyii (Menghidupkan) dan Kau jualah Maha Al-Mumiit (Mematikan). Tiada daya untuk aku mengharungi pemergian ahli keluarga aku. Akan tetapi, Kau Maha Al-A’liim (Mengetahui). Aku menyangka bahawa aku tidak mampu bertahan lama suatu ketika dahulu, namun Kau tetap mengizinkan aku agar aku terus hidup di samping adikku, Qistur Ruwaidah. Ya Allah, Kau rahmatilah ahli keluargaku yang telah tiada. Masukkanlah mereka ke dalam Syurga-Mu tanpa hisab. Sesungguhnya Kau lebih mengetahui apa yang tidak aku ketahui. Satu hari nanti, aku juga akan pergi menemui-Mu. Kau ampunkanlah dosa-dosaku. Amin ya Rabb.”
“Abang okey?” tanya Qistur Ruwaidah, memecahkan kesunyian di pusara itu.
“Alhamdulillah. Abang okey je. Terubat sikit rasa rindu abang apabila abang jenguk pusara mereka. Adik pula?” jawab Suhaibul Umar.
“Alhamdulillah. Adik pun okey juga. Rindu tu memanglah rindu kepada orang yang telah tiada. Takkan pernah terpadam sampai bila-bila pun. Kalau abang rindu sangat kat mereka, kita boleh datang sini lagi nanti. Abang cakap je bila-bila. Adik sentiasa ada untuk bersama abang,” bicara Qistur Ruwaidah seraya memegang bahu abangnya itu.
“Insya-Allah. Emm… Adik, terima kasih untuk hari ni. Tiba-tiba abang rasa abang seperti seorang adik pula hari ni,” ucap Suhaibul Umar, perlahan.

Qistur Ruwaidah tersenyum. “Sama-sama. Tak apa. Adik faham je. Kalau adik rasa lemah, abang pun akan buat perkara sama untuk adik. Begitu juga adik. Adik akan buat perkara yang sama untuk abang. Kita saling memerlukan antara satu sama lain. Satu perkara abang perlu ingat, Allah tak kejam dan Allah tak zalim. Abang selalu kata macam tu kat adik.”
Suhaibul Umar tersenyum jua. Bijak sungguh adiknya itu. Memang adiknya itu jenis mengingati segala kata-katanya itu.
Akhirnya, dua beradik itu mula meninggalkan pusara ahli keluarga mereka itu dengan penuh ketenangan dan kedamaian. Moga Allah meredai ahli keluarga mereka berdua yang telah pergi itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience