•bab 9•

Romance Series 12832

          UMMI Dahlia menghidangkan minum petang kepada suaminya. Dia melabuhkan duduk di sisi suaminya yang sedang merehatkan diri di pankin halaman rumah. Tenang sahaja mereka berdua menghirup udara lewat petang itu.

"Bila Nathan dan Hujan akan balik?" Soal Ayah Syah sebaik sahaja selesai menghirup kopi panas yang terhidang itu. Dia memandang tunak wajah isterinya yang termenung, terkebil-kebil matanya memandang taman bunga yang terbentang di hadapan mereka.

"Dahlia" panggil Ayah Syah sedikit kuat. Ini tidak lain, tidak bukan pasti memikirkan dua orang cucu kesayangan yang berada di tempat orang itu. Sudah hampir seminggu mereka berada di tempat orang dan setiap waktu itulah isterinya itu tidak jemu-jemu menunggu panggilan telefon dari mereka. Jika tidak Nathan yang menelefon, Hujan pula yang menggantikannya. Benar-benar memahami sikap nenek mereka yang terlebih risau itu.

"Ya Allah cantiknya janda Senah tu!"

Pakk!. Lengannya terasa dipukul kuat. Laju Ayah Syah mengalihkan pandangannya ke arah wajah singa Ummi Dahlia. Nampak tu, nak kena menggatal dulu baru dia nak pandang.

"Abang ni kenapa? Saya ada kat sebelah pun, masih lagi nak cuci mata" rajuk Ummi Dahlia, sedikit terasa. Walhal dia tidak sedar akan dirinya mengelamun sebentar tadi, sehingga pekikan suaminya yang sungguh dahsyat itu pun dia tidak dengar.

"Bukan cuci mata, awak tu yang biarkan abang sembang sorang-sorang. Jadi, abang ajaklah si Senah tu join kita sekali" terang Ayah Syah dengan tangan yang setia mengusap lengannya, perit benar pukulan itu.

Ummi Dahlia memberikan jelingan tajam, rasa sakit hati melihat sengihan panjang suaminya itu. Tidak tahu ke, wanita ini sensitif dengan kegatalan suami? Sibuk puji-puji wanita lain sedangkan isteri sendiri berada di depan mata. Kalau tidak mengenangkan rasa sayang, sudah dia campak Ayah Syah itu ke dalam sungai.

"Haa, baguslah tu jeling suami. Sudahlah tadi tak nak layan saya, sekarang buat saya macam tu pula" tegurnya tegas, sengaja. Bukannya dia tidak tahu rajuk isterinya yang berpanjangan itu, dia pun bukan seorang lelaki yang romantis dan manis mulutnya. Sekadar pujuk yang biasa-biasa itu pandailah. Biasa macam mana tu? Arh, itu tak boleh bagitahu korang.

"Abang ni, saya bukan sengaja. Lagi pun, saya risaukan cucu kita tu" adu Ummi Dahlia dengan wajah yang keruh. Mengenangkan perpisahan sementara yang dia hadapi saat ini, membuatkannya sedikit risau. Bukannya dia tidak pernah berjauhan dengan mereka, perkara seperti itu selalu dihadapi olehnya. Namun, hati siapa yang tidak risau.

"Diorang pergi di atas urusan kerja, Lia. Bukannya, berfoya-foya. Kalau tidak, mesti diorang dah ajak abang sekali. Abang pun nak berfoya-foya juga" sempat dia menyelitkan sedikit gurauan di akhir kata-katanya, sekadar ingin memeriahkan suasana mereka yang diiringi lagu 'bersamamu' itu.

Ummi Dahlia mengepit tangannya ingin mencubit suaminya itu, namun laju sahaja lelaki itu mengelak. Seolah-olah tahu dengan tindakan refleksnya yang satu itu.

"Gigi pun banyak tak ada, ada hati nak berfoya-foya" kutuk Ummi Dahlia terang-terangan.

"Eh, tok awak lah. Gigi saya punya lah cantik bersusun ni" ditayangkan giginya yang putih bersih itu di hadapan sang isteri. Alah, macam tidak kenal pula dengan perangai isterinya yang satu itu. Cemburu, tetapi pendam. Tidak mahu langsung menunjukkan dirinya yang terlalu jelas cemburu itu. Sanggup untuk mendiamkan diri dan memalaunya. Sangat tidak efisien.

"Abang tak pernah nak serius dengan saya tau. Asik nak main-main je" makin bertambah pula rasa rajuknya tatkala itu. Sesungguhnya Syah Muhammad Fahez ni seorang yang suka bermain-main!.

"Awakkan mainan abang" ringkas sahaja balasannya.

"Ingat saya ni barang awak ke?" Soal Ummi Dahlia dengan wajah yang cemberut, masam.

"Iyalah, kan awak barang kepunyaan abang. Hehe"  sengih Ayah Syah tidak bersalah. Melebar senyumannya kerana berjaya menyakitkan hati si isteri. Well, hobi kesukaan para suami di luar sana.

Selipar disarung, ingin melangkah pergi meninggalkan suaminya. Namun langkahnya terhenti apabila tangannya digenggam, tahu akan maksud suaminya yang ingin dia duduk di situ. Wahai anak-anak, jika dilihat  dengan lebih teliti, inilah scene yang menjadi kebanggaan di luar sana. Hahaha. Tetapi lain pula bagi Ayah Syah ni.Bukan boleh diberi muka, pasti diambil sebaik mungkin.

"Patutnya awak honeymoon dengan abang tau. Ini tidak, asik teringatkan budak berdua tu je" perlahan sahaja suara Ayah Syah menuturkan kata-kata, seolah-olah berjauh hati.

"Saya tak ada selera dengan awak" wajah suaminya itu dipandang dari ekor mata. Dia membiarkan sahaja tangan lelaki itu menggenggam tangannya. Alah, biarkanlah. Suka sebenarnya, tetapi malu untuk ditunjukkan.

"Tak apa, yang penting abang berselera dengan awak. HAHAHAHAHA" gelak Ayah Syah dengan tawa yang besar, sekadar untuk mengusik isterinya. Tawanya semakin kuat apabila perutnya dipulas manja. Marah benarlah tu.

"Abang ni, ish! Saya rasa nak sepak awak" genggaman tangan suaminya itu dilepaskan. Sangat tidak berkenan dengan sikap selamba suaminya itu, jika boleh dicili mulut itu sudah lama dia melakukannya.

"Haaa, sepak sepak. Kita tengok siapa sepak siapa" ujar Ayah Syah, sengaja mencabar.

Ummi Dahlia hanya terdiam. Bukan kerana takut, tetapi sudah penat ingin berbalah dengan suaminya. Makanan yang terhidang juga terlupa untuk dijamah, terlalu lama berdebat dengan suaminya.

"Saya tak suka abang" rajuk Ummi Dahlia.

"Saya lagi tak suka awak" balas Ayah Syah mengajuk  kata-kata isterinya. Cekodok yang masih berasap itu disuapkan ke dalam mulutnya.  Rasa hendak terbakar mulutnya mengunyah makanan yang masih berasap itu. Dah orang tu tak nak tiupkan, biar kita telan je.

"Dia nikan" pipi suaminya itu ditonyoh geram. Dia mengendahkan suara kepanasan lelaki itu, ditonyoh pipi itu sekuatnya. Rasakan, kebakaran di dalam mulut.

"Sedap?" Soal Ummi Dahlia, mengejek.

Ayah Syah terdiam seketika, cuba menyejukkan kembali mulutnya akibat kepanasan yang berganda-ganda. Terlihat wap kecil keluar dari mulut lelaki itu. Wap kepanasan. Tanpa kata, dia memalingkan tubuhnya membelakangi isterinya itu, merajuk.

Ummi Dahlia menjongketkan kedua-dua keningnya, pelik. Aik, sejak bila pandai ambil hati ni.

"Abang" lengan baju suaminya itu ditarik, tiada tindak balas. Kaku sahaja tubuh itu memandang ke hadapan, langsung tidak mengendahkan kejelitaan wajahnya.

"Maaf--" Bunyi enjin kereta yang terparkir di halaman rumah itu menghentikan kata-katanya. Pantas sahaja dia menoleh diikuti oleh suaminya. Kedua-dua tubuh yang melangkah keluar itu mewujudkan senyuman lebar di wajahnya. Cucu Tok Umi dah balik!.

"Cucuku!" Ummi Dahlia pantas berlari anak memeluk kedua-dua cucunya. Wajah Nathan dan Hujan itu dicium silih berganti.

Ayah Syah yang sedari tadi memerhati mula mencebik. Duduk lama-lama dengan aku tadi tak nak pula cium, budak berdua tu tak sampai satu minit balik dah dapat ciuman bertubi-tubi. Ini sungguh tidak adil, dunia terlalu kejam.

"Tok Umi" sahut mereka berdua sebelum tangan tua itu dicium lembut.

Nathan terdiam memerhati tubuh atoknya yang membelakangi mereka itu. Dia menyiku perut Hujan yang berada di sebelah sebelum memuncungkan bibirnya ke arah tubuh kaku Ayah Syah. Hujan yang melihat turut mengerutkan keningnya.

Serentak itu, mereka berdua mengalihkan pandangan kepada Ummi Dahlia.

"What's wrong with Tok Ayah?" Soal Nathan perlahan, berbisik.

Ummi Dahlia hanya menjongketkan bahunya tanda tidak tahu.

"Haaa, ayokk. Tok Umi buli" usik Hujan bersama jari telunjuk yang digoyangkan, cuba menakutkan Ummi Dahlia yang sudah pun menunjukkan wajah masam. Rasa bersalah, tetapi ego untuk meminta maaf.

"Ish, jom minum petang" Ummi Dahlia terus melangkah ke arah pankin, tidak mahu lagi mendengar usikan dan gurauan mereka.

"Ehem, Tok Ayah. Apa habaq?" Soal Nathan sebaik sahaja mereka berdua selesai menyalam tangan kasar itu. Mereka melabuhkan duduk di sisi Tok Ayah yang menghadap taman bunga itu.

"Diam" balas Ayah Syah sepatah. Malas mahu membuka mulut.

Hujan tertawa kuat, terhibur dengan sikap beku lelaki separuh usia itu. Dia seperti sudah mengetahui perubahan sikap Ayah Syah itu, apa lagi jika bukan perbalahan manja Tok Ayah bersama isterinya. Mujur mereka balik awal, dapatlah juga dia melepaskan rindu melihat adegan itu. Melihat rajuk Ayah Syah itu pun sudah tahu, pasti kalah dengan isterinya. Alah, macam lah tidak tahu. Sikap perempuan yang inginkan kemenangan walaupun perbalahannya sudah terang lagi bersuluh salah.

"Kau gelak apa, mangkuk" Nathan menumbuk perut sahabatnya itu walaupun dia sendiri tertawa sebentar tadi.

"Tok Ayah, dah tua tak elok merajuk tau. Nanti bini lari" gurau Hujan sebelum menyambut cawan yang dihulurkan oleh Ummi Dahlia. Kopi yang masih berasap itu dihirup perlahan.

"Biarkan dia lari, kurus sikit badan dia tu" mendatar sahaja kata-kata Ayah Syah, tidak pasti sama ada ia sekadar gurauan atau rajukan, kerana nada suara lelaki itu kosong sahaja.

"Abang nak kata saya gemuklah ni?!" Bentak Ummi Dahlia perlahan. Tahu tidak perempuan ini pantang ditegur mengenai tubuh badan, gemuk atau tidak pun tetap sensitif. Tidak kiralah naik sekilo sekalipun, tetap menyakitkan hati untuk didengari.

"Bukanlah, Tok Umi. Maksud Tok Ayah, dia nak badan Tok Umi macam lidi sate tu. Eh, cakap pasal sate kan, sedapnya" Nathan membayangkan beberapa cucuk sate panas yang terhidang di hadapannya. Erm, sedapnya, enaknya, lazatnya, terliurnya. Sesungguhnya, aku tergoda dengan keseksian sate itu. Sehingga terlupa dengan kata-katanya yang membawa maut itu.

"Habistu, badan Tok Umi ni macam balak ke?!" Lengan cucunya itu dicubit geram. Bila dah pulang ni, bersekongkol pula dengan atok dia.

"Kalau balak Tok Ayah masa zaman monyet dulu tu betul kut, cinta monyet Tok Ayah dulu" serentak itu juga telinga Hujan dipulas kuat. Rasa hendak tercabut sahaja telinganya apatah lagi disajikan dengan jeritan kuat Nathan itu, semakin menyakitkan pendengarannya. Lebih-lebih lagi apabila dia mengatakan perkara yang langsung tiada kena mengena.

"Uishh, kalau balak Tok Ayah dulu kan jangan cakaplah. Dia punya cantik tu sampai Tok Ayah makan pun kenyang, mandi pun lenjun, tidur pun sampai tak nak bangun" Ayah Syah mula membuka cerita mengenai kisahnya dulu. Duduknya pun sudah diubah kepada bersila menghadap mereka semua. Teruja bukan main wajahnya tatkala ingin membuka kisah zaman kehemsemannya berpuluh tahun lalu.

"Once upon a time--"

"Haa tak payah!" Sampuk Ummi Dahlia, sengaja menghentikan kata-kata suaminya. Menyampah benar ingin mendengar kisah penuh penipuan suaminya dulu. Cerita yang direka-reka ibarat Marvel Avengers itu langsung tidak menarik perhatiannya. Diselitkan dengan pelbagai penipuan dan rekaan kemudian ditambah pula dengan pujian melambung yang teramat menipu.

"Alahhh" bantah Nathan dan Hujan serentak apabila cerita itu terhenti, sudah tertarik dengan kisah percintaan Ayah Syah itu.

"Apa kamu ni, Lia. Cucu saya nak dengar kisah kegemilangan saya dulu. Digilai ramai wanita yang cantik dan seksi meksi" Ayah Syah menghadiahkan muka masam ke arah isterinya. Pantang betul bila orang menyampuk kisahnya.

"Sudah. Nathan dan Hujan masuk, hampir Maghrib ni" banyaklah dia punya seksi meksi tu. Memang diibaratkan seperti bulan jatuh ke riba sekiranya perkara itu berlaku. Suaminya itu bukannya lelaki yang serius, ketika marah pun mahu menyelitkan gurauan.

"Tapi Tok Umi, cerita Tok Ayah tak habis lagi" pujuk Nathan bersama cebikan di bibir. Hujan disisinya turut mengangguk setuju.

"Tak apa, nanti Tok Ayah jadikan bedtime story untuk korang malam ni" pujuk Ayah Syah pula, masih lagi bersemangat untuk membuka kisah yang berkurun lama tersimpan rapi itu. Halah, lagipun siapa sahaja yang selalu mendengar kisahnya, isterinya juga. Itu yang setiap kali bercerita, pasti disampuk dan dibantah. Bukan apa, cemburu tu. Sebab masa muda dulu, dia hensem nak mati.

"Jom masuk, jangan lupa kemas semua ni" kata Ummi Dahlia sebelum bangkit untuk melangkah pergi. Dia meninggalkan cucu dan suaminya itu tanpa belas kasihan, kali ini biar mereka pula yang mengemas kerana sebentar tadi dia sudah menghidang. Lagipun dia ingin cepat-cepat beredar, tidak mahu berlama-lama mendengar celoteh dan cerita mereka yang tidak berpenghujung.

"Subhanallah, letihnya" ujar Nathan lalu mengikuti langkah neneknya.

"Ya Allah, sudah mahu berbelit usus daku ini" sambung Hujan pula turut mengikuti langkah sahabatnya itu. Mereka membiarkan sahaja pinggan dan cawan yang tidak berkemas itu, sengaja ingin membiarkan Ayah Syah mengemasnya.

"Woi! Berani kau biarkan aku kemas!" Jerit Ayah Syah kuat, dia memandang tubuh isteri dan cucunya yang melangkah masuk itu. Langsung tidak menoleh ke arahnya. Berani kamu semua melayani Beta seperti ini, dasar lo-- sudah sudah, pergi kemas Syah.

"MASYAALLAH, brother. Kita nak pergi mana ni?" Soal Hujan sambil menyandarkan tubuhnya selesa di tempat duduk penumpang. Tubuh Nathan yang baru melangkah masuk ke tempat duduk pemandu itu dijeling sekilas. Suka hati dia je nak memaksa aku, sudahlah diheret tanpa belas kasihan.

"Aku nak makan sate. Semua salah kau" Nathan menghidupkan enjin kereta lalu dipandu pergi. Sebaik sahaja pulang dari masjid ketika solat Isyak, terus dia memaksa sahabatnya itu untuk masuk ke kereta. Teringin pula hendak merasa sate. Ayah Syah dan Ummi Dahlia juga telah mengizinkannya malah memintanya untuk membungkus sedikit. Penat katanya, tidak mahu mengikut tetapi mahu makan. Aduhai.

"Pergi buat sendirilah, aku penat. Nak tidur" rungut Hujan geram. Sepatutnya sekarang ini, dia sedang bergolek-golek di atas katil, menikmati pemandangan kipas yang berpusing di siling. Ini tidak, terpaksa pula menghadap beberapa cucuk sate yang mengiurkan itu. Sudahlah perjalanan mereka ketika pulang dari Kerajaan Tehran itu mengambil masa yang lama, hampir patah semua tulang berototnya.

"Malas. Benda dah siap, buat apa nak susah payah" stereng dipusing ke kanan. Santai sahaja pemanduannya ketika itu, tidak seperti selalu. Kerana selalunya tumpuannya penuh terhadap pemanduan namun kali ini seperti kisah tidak kisah sahaja. Santai sehingga mahu tidur.

"Nathan, dulu memang kau duduk dalam plasenta mak kau ke?" Soal Hujan tiba-tiba, pandangan kosong dilemparkan kepada kesibukan jalan raya yang sedikit sesak.

Nathan mengerutkan keningnya. Habistu, dalam plasenta bapak aku?.

"Kau ada nampak aku lahir dari rahim mak kau ke?" Soal Nathan pula, lebih kepada merepek.

"Bukan, sebab aku rasa kau lahir dari neraka" balas Hujan lagi merepek. Dalam pemikirannya yang separuh terjaga ini memanipulasikan kepalanya bahawa Nathan ini dikandungkan oleh syaitan nirrajim. Sebab apa? Sebab jahat!.

"Kepala abah kau lah. Aku ini dulu lahir dosa pun tak ada, bau syurga kau tahu. Kau nak merepek apa, bukan kau yang mengandungkan aku" balas Nathan, malas. Kalau dilayan terlalu lama, takut terbabas pula. Terbabas apa? Terbunuh si Hujan ni, perangai syaitannya kuat sangat.

"Aku tak tahu nak keluarkan kau ikut lubang mana, itu yang aku past dekat mak kau" Astaghfirullahalazim, belajar dari mana ini wahai anakanda Hujan?.

"Perangai kau tu tak boleh lagi bangang ke?" Nathan memberhentikan keretanya sebaik sahaja tiba di destinasi yang dituju. Seat belt dibuka sebelum dia menoleh ke arah Hujan yang masih lagi terdiam itu. Seolah-olah keliru malah pandangannya juga masih tertumpu ke luar tingkap.

"Woi, turunlah. Tengok apa?" Tegur Nathan dengan nada yang sedikit tinggi. Tadi bukan main lagi membebel perkara yang syirik, sekarang bila dah sampai tidak mahu turun pula.

"Weyh, kau serius lah ini warung sate?" Soal Hujan, tidak percaya. Rumah dua tingkat yang dihiasi cahaya lampu itu dipandang keliru. Meja dan orang pun tiada inikan pula bau sate, langsung tidak terhidu.

"Betullah, aku yang drive kan" balas Nathan tidak berpuas hati. Apalah lagi yang mahu dipersoalkan lelaki itu, ada sahaja bantahannya.

"Tengoklah sendiri" balas Hujan mengalah.

Akhirnya Nathan mengalihkan pandangannya ke arah tempat yang dipandang oleh sahabatnya itu. Beberapa saat kemudian, dia terkedu. Ini memang budak warung sate. Allahuakbar, macam mana aku boleh sampai sini?.

"Nathan, betulkah alamat sate tu?" Pertanyaan Hujan itu membuatkannya menggaru kepala yang tidak gatal. Alamat itu betul, tetapi aku yang tak betul!. Entah apa yang terlintas di fikirannya sehingga dia tidak sedar akan pemanduannya yang terbabas ke rumah agam itu. Ya rumah, rumah Mawar.

"Jomlah balik" ujar Nathan tergesa-gesa, masih lagi tidak percaya dengan sikapnya yang terleka itu.

"Weyh, nanti. Ada orang keluar" tahan Hujan. Tingkap di tempat duduk penumpang itu diturunkan sebelum wajahnya berkerut memandang tubuh yang mendekati mereka itu. Sesaat kemudian, wajahnya dipalingkan semula ke arah Nathan. Riak tidak percaya terpapar di wajahnya, sungguh terkejut.

"Janganlah pandang aku macam tu, aku sendiri tak tahu macam mana aku boleh pandu sampai sini" Nathan meraup rambutnya ke belakang sebelum tubuhnya terhempas lembut di tempat duduk pemandu. Matanya terpejam bersama hembusan lemah. Selepas ini, dia perlu melakukan rawatan kesihatan yang kerap. Sudah terlihat tanda-tanda pemergiannya yang satu itu.

"Bro, you're not stupid. Kau dah pandu sampai sini, and kau sendiri tak percaya?" Soal Hujan, masih lagi di alam terkejut.

"Serius, weyh. Masa aku drive tadi, aku tak sedar apa-apa. Pemikiran aku yang kawal aku!" Rambutnya digenggam, cuba menghilangkan manipulasi fikiran yang semakin berleluasa.

"Kau fikir ni zaman P.Ramlee? Alasan kau sangat liar!" Jerit Hujan kemudian memalingkan kembali kepalanya ke tempat tadi sebelum matanya membulat besar. Wajah Mawar yang benar-benar terlihat di tingkap kereta itu membuatkannya mengucap dua kalimah syahadah.

"Kenapa awak berdua datang sini?" Soal Mawar bersama dahi yang berkerut. Wajah terkejut Nathan dan Hujan itu menghiburkan hatinya, yang over sangat riak tu kenapa? Baru lepas mengumpat akulah tu.

Nathan dan Hujan berpandangan sesama sendiri sebelum menelan liur mereka, tidak tahu alasan apa yang perlu ditipu kepada wanita itu.

"Errr, Nathan... arrr, dd-dia tadi nak... nak, nak apa Nathan? Kau--kau yang nak datang sini tadi kan?" Hujan menggaru tepi dahinya yang tidak gatal. Haa, sudah. Dari kecil lagi mak aku memang tak ajar menipu, aduiii dah kenapa tiba-tiba nak gabra pula ni? Sedangkan tak buat apa-apa pun.

Nathan tersedak kecil, sejak bila pula aku nak datang sini?.
"Ak-aku aku, ermm apa ea tadi? Hhaa--haa saja" terasa hendak menghempuk diri sendiri pula. Tidak pernah-pernah seumur hidupnya gagap seperti itu.

"Saja? Awak demam ke?" Entah mengapa kedua-dua lelaki di hadapannya ini agak mencurigakan, tiada angin tiada ribut tiba-tiba sahaja datang ke rumahnya. Jika ingin melawat katakan sahaja lah, bukan dia hendak melarang pun. Ini tidak, alasan pun seperti tidak masuk akal.

"Kau keluarlah" bisik Hujan perlahan di sisi lelaki itu. Memang patut pun, sahabatnya itu sendiri yang menjerat mereka di dalam masalah ini. Jadi, biar dia sendiri yang menyelesaikannya.

Tanpa banyak soal Nathan mengeluarkan tubuhnya dari perut kereta. Dia melangkah ke hadapan kereta diikuti wanita itu. Sepasang mata Mawar yang menerungnya hairan itu membuatkannya gelisah. Entah mengapa mahu gelisah, sedangkan tiada salah pun. Cuma alasan yang hendak diberikan kepada wanita itu agak rumit. Dia juga tidak tahu alasan apa yang patut diberi kepada dirinya tatkala memandu ke rumah wanita itu. Dia langsung tidak sedar!.

"Aku... aku, ish. Aku nak makan sate" rengus Nathan apabila otaknya sudah penat untuk berfikir. Lantakkan mahu berfikir apa sekalipun, asalkan dia sudah bersikap jujur terhadap wanita itu.

Kening Mawar bercantum erat. Makan sate?.
"Awak ada nampak rumah saya ni macam gerai sate ke?" Soal Mawar berbaur perlian. Dia berpeluk tubuh memandang lelaki itu.

"Memang bukan, tapi entah. Aku terpandu sampai sini" Nathan melemparkan pandangannya ke arah jalan raya yang dihiasi lampu malam itu. Malu untuk memandang wajah wanita itu. Hishish, ini bukan akulah nak malu malu!.

Lidah Mawar agak terkelu, tidak sedar yang kereta itu dipandu hingga ke sini?.

"Awak baru balik ke? Maksud saya, dari urusan awak tu" ujar Mawar, cuba menukar topik mereka. Tidak betah untuk meneruskan topik tadi, hatinya berasa agak berdebar. Tidak tahu mengapa, lelaki itu seolah-olah mempunyai auranya sendiri. Walaupun perkenalan mereka hanya singkat sahaja, namun aura
lelaki itu terasa benar di tubuhnya.

Nathan mengusap belakang lehernya perlahan, masih lagi tersisa perasaan malu.
"Aku baru sampai petang tadi" balasnya ringkas. Tidak tahu ayat apa yang perlu ditambah lagi.

Mawar menganggukkan kecil.

Seketika kemudian suasana kembali senyap. Masing-masing melemparkan pandangan ke arah berlainan, tidak berani untuk bertentang mata sesama sendiri.

Hanya bunyi angin malam mengisi ruangan mereka ketika itu. Tidak sedar waktu-waktu yang berlalu begitu sahaja.

Tin! Tin!

Bunyi hon kedengaran nyaring di telinga mereka. Hampir tercabut gegendang telinga mendengar bunyi yang terlalu kuat itu. Sudahlah mereka berada benar-benar di hadapan kereta.

"Woi! Sambunglah drama tu cepat! Aku nak tengok episode seterusnya!" Jerit Hujan memecahkan kesunyian mereka. Rasa hendak dicampak sahaja tayar kereta kepada mereka berdua. Fikir dengan senyap boleh menyelesaikan masalahkah? Dia yang sedari tadi menunggu percakapan kedua pasangan itu pun sudah naik angin, terlalu lama sangat berdiam diri!.

"The hell?" Berkerut mukanya mendengar kata-kata sahabatnya itu. Fikir ini drama pukul tujuhkah?.

"Awak baliklah, dah malam ni" ujar Mawar. Rasa tidak elok pula berdua-duaan waktu malam begini bersama lelaki itu, walaupun bayangan Hujan ada ketika itu.

"Ingat ayat aku sebelum berangkat pergi tu?" Soal Nathan tiba-tiba, mengendahkan kata-kata wanita itu terhadapnya.

Mawar terdiam seketika sebelum menganggukkan kepalanya. Jadi lelaki itu hadir ke sini untuk bertanyakan soal itu? Kata-kata... yang memintanya untuk menunggu kepulangan Nathan waktu itu. Dia sendiri tidak pasti mengapa, tetapi dia perlukan jawapannya.

"Awak minta saya tunggu awak..." dengar tidak dengar sahaja suara Mawar tatkala itu, pandangannya juga sudah tertumpu sepenuhnya ke bawah, memandang sepasang kaki mereka.

"Kenapa ea?" Soal Mawar seraya itu juga kepalanya diangkat bertentang dengan lelaki itu. Matanya menikam sepasang mata yang tidak henti-henti merenungnya dari tadi.

Nathan sedikit terkebil tatkala diserang mengejut seperti itu. Dia berdeham kuat, cuba mengawal perasaannya.

"Sebab... sebab, sebab aku nak ajak kau makan sate" balasnya tergesa-gesa setelah agak lama memikirkan ayat. Dia mengalihkan pandangannya memandang langit yang diselimuti malam, cuba mengalihkan perhatiannya dengan bintang-bintang yang berkelipan. Buat masa ini, biarlah dia sendiri yang mengetahuinya. Bila tiba masanya, dia sendiri akan membawa diri berjumpa wanita itu.

Mawar mempamerkan riak tidak percaya, biar betul.

"Awak nak ajak saya? Malam-malam ni? Untuk makan sate?" Soalnya bertubi-tubi. Wajahnya masih lagi terukir riak terkejut mendengar kata-kata lelaki itu. Jadi selama ini, penantiannya yang diminta oleh Nathan adalah semata-mata untuk mengajaknya makan sate bersama?. Ini sangat tidak valid. Jawapan yang langsung tiada soalan.

"Iy-iyalah! Kau nak makan sate apa? Ayam? Itik? Badak? Buaya? Beruk? Biawak? Pirana?" Nathan terasa dirinya lembab pula waktu itu, inilah dia akibatnya jika mengundang sesuatu masalah yang mengarut. Habis dirinya dilabelkan sebagai watak tiada akal.

"HAHAHAHAHA!" Gelak Hujan dengan tawa yang besar, terhibur dengan watak lembab sahabatnya itu.

"Apalah, suruh tunggu sebab nak makan sate hahahahahaha!" sambungnya lagi dengan tawa yang masih bersisa, sengaja ingin mengejek lelaki itu. Dari awal lagi dia memerhati adegan mereka, dan keadaan Nathan ketika itu tidak ubah seperti cacing kepanasan. Asik mengujarkan perkara yang tidak masuk akal.

"Diam hanat" balas Nathan, geram. Rasa hendak dihentak kepala lelaki itu di tiang lampu.

Mawar tersenyum kecil memerhati pergaduhan mereka, dia juga terasa lucu apabila mengingatkan perkara itu. Langsung tidak masuk akal.

"Awak kena minta izin ibu, sebab saya tak pernah keluar malam dengan lelaki" ujar Mawar bersama senyuman kecil. Dia sendiri tidak tahu jika Ibu Ayana membenarkannya. Selama ini pun, lelaki yang selalu menemaninya keluar ialah Abang Ferhadh. Itu pun sekadar menemani abang Ferhadh bersama isterinya, dan kerjanya adalah menjaga Aathif yang lasak dan aktif. Tidak ubah seperti orang gaji, ish.

"Ibu tak tidur lagi ke? Ma-maksud aku, Auntie Ayana" sasul Nathan. Rasa mahu ditepuk mulutnya yang tidak sempat brek itu.

"Wuuu, tak malu panggil mak orang ibu" sampuk Hujan bersama siulan nakal.

Nathan hanya mengendahkan usikan itu. Jika dilawan nanti lain pula ceritanya, takut tidak bernyawa pula si Hujan tu.

"Ibu tengah layan Aathif, dia yang suruh saya keluar tadi" terang Mawar sebelum melangkah ke arah pintu utama rumahnya, tatkala itu juga sudah terlihat tubuh Ibu Ayana yang berdiri di sisi pintu. Tersenyum memandang ke arah mereka. Entah bila wanita itu keluar pun dia tidak sedar.

"Dah dah, pergi dekat ibu" ejek Hujan, masih lagi di dalam mood menyakatnya. Bukan selalu dapat melihat Nathan seperti itu, gabra dan seakan-akan tiada akal. Haha.

"Aku akan pastikan kau makan batu" ugut Nathan bersama jelingan yang menyakitkan hati. Dari awal lagi dia menahan sabar dari menyepak sahabatnya itu. Jika tidak memikirkan dirinya yang berada di kawasan perumahan Mawar itu, sudah lama dia melakukan tugasnya. Menyepak Hujan sehingga ke liang lahad.

"Eh, tak baiklah. Ibu tengok Nathan ni" adu Hujan dalam nada yang main-main. Eh, sejak bila pula dia jadi ibu aku ni?.

"Nathan, cepatlah" panggil Mawar kuat. Apa lagi lah yang dilakukan oleh lelaki itu sehingga tidak sedar langkahnya yang sudah menjauh. Cuma terdengar suara pergaduhan Nathan dan sahabatnya itu di halaman rumah.

"Cepatlah pergi! Anak ibu panggil tu" usik Hujan tidak henti-henti, masih tidak kenal erti penat. Nampaknya, dia sudah ada bahan ejekan untuk mendiamkan sahabatnya itu.

"Pergi mati, Hujan" balas Nathan mendatar.

"Aip, takmo takmo. Nanti ibu marah" usiknya lagi.

Tak guna.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience