•bab 6•

Romance Series 12832

         MAWAR tersenyum memerhati keretanya yang terparking elok di halaman rumah. Tubuh Nathan yang melangkah keluar itu dihampiri.

"Awak!" sapanya, ceria. Entah mengapa, tiba-tiba teruja ketika melihat Nathan. Bibirnya pula tidak henti-henti mengukirkan senyuman, mungkin dia gembira mengenangkan kesanggupan lelaki itu menolongnya. Bersusah-payah tanpa meminta balasan.

Pintu kereta ditutup. Automatik bibirnya membalas senyuman wanita itu, tanpa sedar. Dia juga pelik tatkala memandang tubuh Mawar yang tergesa-gesa menghampirinya. Ingatkan mahu meminta sesuatu, namun menyergahnya dengan sapaan teruja. Alahai, bunga ni.

"Kau buat apa kat luar ni?" soalnya memandang sekeliling. Melihat sekiranya ada seseorang yang turut bersama Mawar, tetapi halaman rumah yang kosong itu menjawab persoalannya.

Mawar tersengih.
"Saya tunggu awak" jawabnya bersahaja. Langkahnya sedikit kebelakang apabila Nathan menurunkan kepalanya. Benar-benar di hadapan wajahnya.

"Kau fikir, kau isteri aku?" usiknya dengan kening yang terjongket nakal. Dia tersenyum sinis tatkala bibir mungil itu dikemam. Tindakan drastik Mawar apabila berasa malu.

Terdengar rengusan kecil di bibir Mawar. Dia memusingkan tubuhnya ingin melangkah pergi. Sahutan lelaki itu dibiarkan. Orang tunggu pun nak marah, kau fikir aku nak sangat jadi isteri kau.

"Woi, mana adab kau tinggal tetamu macam ni?!" dia memandang sahaja tubuh Mawar yang semakin jauh. Laju sahaja langkah wanita itu meninggalkannya sendirian.

"Masuk jelah!" jerit Mawar kuat. Dia sudah melangkah masuk ke dalam rumah, tidak mahu menunggu lelaki itu. Aku menyesal jemput kau, lepasni biar ibu sendiri yang jemput. Eh, bunyi macam nak ajak makan banyak kali je.

"Adik, mana Nathan? Dah sampai kan" soal Ibu Ayana sebaik sahaja melangkah keluar dari dapur. Dia baru sahaja selesai menghidangkan makanan. Tidak sabar menunggu kedatangan lelaki yang menyelamatkan anaknya itu. Teruja benar dia apabila Mawar memberitahu bahawa Nathan akan hadir makan malam bersama mereka malam ini.

"Entah" Mawar melabuhkan duduknya di atas sofa. Tubuh kecil Aathif yang sedang meniarap itu diambil lalu diriba. Dia mencium berkali-kali pipi gebu itu.

Ibu Ayana mengerutkan dahinya. Entah?. Baru sahaja anak perempuannya memberitahu bahawa dia akan menunggu kedatangan Nathan. Namun lain pula, bersendirian sahaja anaknya itu melangkah masuk ke dalam rumah.

"Assalammualaikum" satu suara yang kedengaran di pintu menghentikan soalan yang seterusnya. Akhirnya muncul juga tubuh Nathan yang berdiri di hadapan pintu, tersenyum memandangnya.

Spontan Ibu Ayana melangkah ke arah lelaki itu. Salam Nathan dijawab lembut. Dia menjemput anak itu masuk.

Nathan menghulurkan satu beg bungkusan kepada Ibu Ayana.

"Eh, apa ni?" soal Ibu Ayana namun tangannya mengambil juga beg bungkusan itu. Dia tersenyum ketika membuka bungkusan itu, pandai benar lelaki itu mengambil hatinya.

"Errr, buah tangan" balas Nathan bersama senyuman lebar. Kedua tangannya yang sedikit berpeluh dilapkan di sisi seluar. Entah mengapa keadaan sekarang berasa sedikit panas untuknya walaupun kesejukan pendingin hawa sudah terasa.

Mawar mengalihkan pandangannya memandang Ibu Ayana. Beg bungkusan yang berada di tangan wanita itu dipandang dengan cebikan. Entah bila masa dia bawa benda tu, aku sendiri tak perasan.

"Haaa, Mawar. Bawalah Nathan ni duduk dulu kat meja makan, ibu nak letak dulu bungkusan ni" arah Ibu Ayana sambil memandang ke arah Mawar. Seronok sahaja anak perempuannya itu bermain dengan wajah kecil Aathif, langsung tidak mengendahkan arahan ibunya. Yang ibu ni pun, baru jumpa lelaki tu sehari dah layan aku macam anak tiri.

"Suruh dia pergi sendirilah ibu, dia ada kaki kan" balasnya enggan, wajah Aathif dicium kuat. Geram dengan mata bulat budak itu yang memandangnya, rasa nak kunyah-kunyah je.

"Mawar..." nada Ibu Ayana yang panjang itu membuatkannya mengeluh. Dia memeluk tubuh Aathif yang sudah sedia memaut lehernya. Tubuhnya dipaksa untuk berdiri, tidak mahu mengundang kemarahan ibunya.

"Jomlah" hendak tak hendak sahaja suara itu mengajak. Kakinya diatur perlahan ke meja makan, lauk pauk sudah tersedia di atas meja yang sederhana besar itu.

"Terpaksanya" ujar suara itu benar-benar ditelinga. Dia mencebik, sudah mengagak tubuh Nathan yang berdiri di sisinya.

"Duduklah" kerusi ditarik lalu duduknya dilabuhkan. Tubuh Aathif diangkat lalu diletakkan atas meja, menghadap ke arahnya.

Mawar menoleh apabila kerusi sebelahnya ditarik. Dia mendongak memandang wajah Nathan yang selamba sahaja melabuhkan duduk di sebelahnya. Dia ni tak ada tempat lain ke nak duduk? Kerusi bukan satu do kat meja ni.

"Kenapa duduk sini?" soalnya dengan dahi yang berkerut.

"Lah, kau nak aku duduk atas lantai ke?" balasnya, sengaja mengusik. Walhal, dia sudah tahu maksud wanita itu.

"Bukanlah, pergilah duduk tempat lain" halaunya geram. Tangannya diayunkan membuat isyarat pergi. Suka suki je duduk sebelah aku, banyak lagi kerusi kosong ni.

"Tak nak, aku nak duduk sini" pandangannya sengaja dialihkan memandang anak kecil yang sedari tadi memandangnya. Mata bulat itu terkebil-kebil melihatnya dengan ibu jari yang dihisap. Dia mengukirkan senyuman manis, comel.

"Hish" rengus Mawar bersama wajah yang masam.

"Mana mak ayah Aathif ni?" soalnya apabila keadaan menjadi senyap.

"Keluar, ada urusan" ringkas sahaja Mawar membalas, malas mahu melayan.

"Hai Aathif" usik Nathan sambil melambaikan tangannya. Laju sahaja anak kecil itu membalas lambainya, bibirnya sudah menjerit nyaring. Aku dah agak, dia pandang aku lama-lama tu mesti sebab nak ajak main.

"Bang" balas Aathif dengan air liur yang sedikit menjejes. Jari telunjuk kecilnya ditunjuk ke arah Nathan sambil memandang Mawar. Tersengih dia menunjukkan dua batang gigi atasnya yang baru tumbuh.

"Bukan sayang, itu monyet" tisu diambil lalu mulut yang kepoh itu dilap. Pantang jumpa orang baru, semua mahu dijadikan kawan.

Nathan menarik hujung tudung wanita itu, monyet kau panggil aku.

"Apa ni, awak?!" marah Mawar lalu membetulkan tudungnya. Dia meniup bahagian atas tudungnya yang hampir menggelembung. Tipikal perempuan, kena tarik sikit tapi betulkan tudung tu macam baru lepas kena cabut.

"Mari sini" tangannya mengambil tubuh Aathif yang tidak lepas dari memandangnya.

"Jimbenaa naakaami acaaa" Nathan hanya mengangguk-anggukkan kepalanya mendengar leteran budak kecil itu. Macam bahasa jepun pun ada.

"Patuuu haaaagiirrraaajee" kali ini dia membalas dengan wajah terkejut, sengaja.

"Oh yeke? Sedih betul" balasnya seolah-olah faham. Kali ini Aathif pula yang mengangguk-anggukkan kepalanya.

"Ermm tedih" bibirnya dicebikkan seakan-akan mempersetujui kata-kata Nathan itu.

"Bangangnya" sampuk satu suara. Pantas sahaja Nathan menjeling wajah disebelahnya. Kau tahu apa? Budak ni tengah cerita kisah sedih dia.

"Kau apahal? Kau tak dengar dia kata apa?" sudahlah main terjah sahaja perbualannya, selepas itu mengutuknya pula. Itulah orang tua-tua kata, jika orang sedang bercakap jangan menyampuk. Kan dah tunjukkan kelemahan diri tu, blur je memanjang.

Mawar mengerutkan dahinya. Ewah ewah, cara dia cakap macam faham sangat je.

"Haaa, apa yang Aathif kata?" soalnya dengan nada mengejek. Dia sendiri tidak faham ada hati nak serang orang.

"Dia kata kau hodoh sangat, kan?" dia memandang Aathif dengan wajah teruja. Laju Aathif menjatuhkan kepalanya, mempersetujui kata-kata Nathan itu.

Mawar membulatkan matanya. Sejak bila Aathif suka dengan orang luar ni, siap setuju lagi. Amboi, macam dah sekepala nampak.

"Maaf ibu lambat tadi, tiba-tiba rasa nak pergi tandas pula" suara Ibu Ayana menghentikan pergaduhan kecil mereka. Jika terlambat tadi, pasti segala pinggan mangkuk sudah terbang. Ibu Ayana menyembunyikan senyumannya, bukannya dia tidak dengar pergaduhan mereka tadi. Dengan suara Mawar yang kuat membantah, jelas benar di pendengarannya.

"Tak apa, makcik. Lagipun, Mawar ada temankan saya" Allahuakhbar, Nathan. Sejak bila pandai tipu sunat ni? Walhal tadi mereka lebih banyak berbalas kata berbanding berbual.

Ibu Ayana tergelak kecil. Lebih-lebih lagi apabila terpandang wajah cemberut anak perempuannya itu. Jelas betul riak tidak sukanya itu.

"Jemput makan, maaflah ini je yang ibu masak" jemput Ibu Ayana sambil menghulurkan semangkuk nasi kepada Mawar, menyuruh anaknya itu untuk mengisi pinggan mereka.

Teragak-agak Mawar menyambutnya. Nak suruh aku buat apa ni? Tonyoh kat muka mamat ni.

"Eh, banyak dah ni. Bau dia sedap pula tu" suara Nathan yang memujuk itu membuatkannya tercebik.

Dia bangkit mahu mengisi nasi. Pinggan Ibu Ayana diambil lalu diisi nasi diikuti oleh pinggannya. Pinggan Nathan sahaja sengaja dibiarkan kosong. Biarkan dia isi sendiri.

"Lah, Mawar. Kenapa tak isi nasi kat pinggan Nathan tu" ujar Ibu Ayana apabila anaknya melabuhkan duduk kembali. Rasa mahu dilanyak anaknya itu, langsung tiada riak bersalah membiarkan tetamu seperti itu.

"Dia kan ada tangan, ibu" jawab Mawar mula mengisi lauk ke pinggan ibunya. Tidak senonoh langsung perangainya, melayan tetamu ibarat melayan tiang. Siapa suruh, sakitkan hati aku lagi. Kalau tidak macam raja aku layan kau, haa amik.

"Ibu tak ada tanganlah, kamu isikan nasi ibu" ayat Ibu Ayana itu berjaya mengundang tawa Nathan yang ditahan sedari tadi. Dia mendiamkan kembali mulutnya tatkala melihat wajah Mawar yang seolah-olah ingin menikamnya, marah sangat tu. 

Mawar memandang Nathan dengan riak wajah tidak puas hati. Sukalah tu, ibu bahan aku.

"Isikan lah nasi aku, takkan nak makan lauk je" pinggannya dihulurkan pada Mawar. Aathif yang sedari tadi duduk di hadapannya itu mula menghulurkan tangan kepadanya, pantas sahaja dia mengangkat tubuh itu lalu meribanya.

Mawar hanya memandang sahaja pinggan yang dihulur, tiada niat langsung untuk mengambilnya.

"Isilah" ujar Nathan lagi. Aku hempuk pakai pinggan ni karang, berfikir guna lutut pula kau nanti.

Pandangannya dialihkan melihat lelaki itu, dia tersenyum sinis.

"Apa?" soalnya bersama kening yang bercantum.

"Awak fikir, awak suami saya?" ayat yang diterima olehnya sewaktu di halaman rumah itu kembali dibalas kepada lelaki itu.
Sengaja.

Kali ini Nathan pula yang tersenyum sinis, dia tahu wanita itu sengaja menembaknya kembali dengan ayat sendiri. Heh. Nampaklah tu, berdendam betul.

"Kau setuju, aku jadi suami kau?" tanpa segan silu dia menuturkan ayat itu. Sebelah keningnya dijongket nakal. Hah, baguslah tu. Depan Ibu Ayana juga mahu buat perangai, macam tidak ada waktu lain sahaja.

Mawar mendengus geram. Kenapa lelaki itu tidak rasa sakit hati? Jelas benar wajah yang tenang itu, cubalah rasa sakit hati dengan ayat sendiri, macam aku ni. Hish.

Nathan menyembunyikan senyumannya. Suka sangat menyakitkan hati Mawar.

         UDARA segar pagi dihirup sehabis mungkin, menghilangkan penat lelah semalam. Badannya direnggangkan. Orang tua-tua kata tak baik juga asik renggangkan badan ni, nanti tiba-tiba badan kejang. Tapi nak buat macam mana, dah terbiasa.

"Hujan mari sarapan dulu" dia menoleh memandang tubuh tua yang berdiri di pintu utama. Wajah Ummi Dahlia dipandang dengan senyuman.

Ummi Dahlia adalah wanita yang paling penyayang dia kenali, manjaga makan dan pakainya walaupun dia hanya menumpang. Nathan juga tidak pernah mengungkit mahupun meminta balasan padanya untuk menetap. Sudah lama dia menginap di rumah 3 tingkat itu bersama mereka, duit sewa yang hendak diberi pun ditolak mentah-mentah. Bak kata Ummi Dahlia,dia juga sama ibarat cucu kesayangan wanita itu, sama seperti Nathan.

Memandang kehidupan mereka yang tinggal bertiga, kedatangannya dijemput dengan tangan yang terbuka luas. Dilayan dan dijaga ibarat darah daging, membuatkan dia amat bersyukur.

"Tok Ummi makanlah dulu, Hujan nak duduk kat luar ni dulu" balasnya masih lagi berdiri tegak di tempatnya. Lagipun waktu masih awal lagi, perutnya juga masih kenyang kerana makan terlalu banyak semalam.

Tubuh Nathan muncul di sisi Ummi Dahlia. Lelaki itu masih lagi mamai dengan rambut yang serabai. Badannya juga tidak tersarung baju, mendedahkan tubuh sasanya. Kalau perempuan tengok memang hensem, tapi kalau aku yang lelaki ni tengok jawabnya memang hodoh gila. Aku sendiri dah kacak, tak payah nak pandang orang lain sangat.

"Haa, baru bangun" dagu cucunya dicuit.

Manja Nathan melabuhkan kepalanya pada bahu Ummi Dahlia. Tangannya memeluk kemas tubuh itu. Rindu pula dengan neneknya, padahal baru beberapa jam tak jumpa. Itupun sebab tidur.

Kepalanya terasa ditunjal oleh seseorang menyebabkan pelukannya terlepas. Wajah Ayah Syah menyapa pandangannya sewaktu dia mengangkat kepala. Agak dah, atok memang dengki dengan dia.

"Yang kamu peluk bini aku tu buat apa? Nak kena sepak" gurau Ayah Syah bersama wajah serius. Dia menjongketkan kening apabila sepasang mata cucunya itu merenungnya tidak berkelip. Adalah tu dia nak balas.

"Atok ni memang jepun betul-" kolarnya ditarik oleh Hujan ke meja makan. Terus tergantung kata-katanya, tangan sahabatnya itu ingin dipulas namun cepat sahaja dia melepaskan genggamannya. Bagaikan sudah mengagak.

"Jebon" kutuknya sepatah. Rambut Hujan yang berikat dibelakang itu ditarik kuat. Suka sangat ikat rambut dia ni, lagipun panjang di hadapan sahaja bukan seluruhnya panjang.

"Asal mangkok sangat ni?!" kakinya naik ingin menendang tetapi ditepis. Besar langkah Nathan berlari menjauhkan diri darinya.

"Sudahlah tu, depan rezeki ni. Nantilah gaduh tu" henti Ayah Syah sudah melabuhkan duduk di atas kerusi. Sarapan pagi yang terhidang di atas meja makan itu menaikkan seleranya, nasi lemak ayah berempah. Bau dia dari depan dah dapat dihidu.

Mereka masih bercakaran di ruang tamu. Habis bersepah segala bantal dan alas meja. Meja kopi pun turut terbalik. Bunga juga sudah terasing dari pasunya, bersepah di atas lantai. Ini kalau Ummi Dahlia nampak, dua-dua tak boleh keluar rumah. Kena ikat dekat pokok mangga belakang rumah tu.

"Ini yang Tok Ummi tak suka ni! Pergi bergaduh kat luar! Sepah ruang tamu aku, siapa yang nak kemas?!" akhirnya suara petir itu kedengaran. Sambaran kilat terkena di perut mereka, dicubit kuat oleh Ummi Dahlia. Menyeringai suara mereka menjerit kesakitan, taubat tak nak buat lagi.

"Tok umi kata apa?" soal Ummi Dahlia yang masih tidak melepaskan cubitan di peput mereka berdua.

"Gaduh kat luar! Gaduh kat luar!" jawab mereka tidak sekata. Tidak tahan dengan cubitan yang lebih sakit dari ketam.

Muka pun kemain hodoh cam badut.

Pergaduhan yang mengambil masa hampir satu jam lebih itu akhirnya terhenti apabila mereka ingin bersiap ke kerja. Sekarang ini, di dalam kereta. Dalam perjalanan ke Istana Versailles.

"Tuanku panggil kita kali ini sebab apa ea? Nak kata pencarian Raja Syeikh Lais, kan ditangguhkan buat sementara waktu" Hujan menggaru kepalanya dengan sebelah tangan manakala sebelah lagi digunakan untuk pemanduan. Punyalah bergaduh dengan Nathan, siapa yang drive. Last-last bergaduh sampai setengah jam, aku juga yang pandu.

"Entah, dapat panggilan dari Setiusaha Diraja suruh datang je" pandangannya dilemparkan memandang keluar tingkap, melihat matahari yang sudah terik. Silau.

Akhirnya kereta itu membelok ke halaman istana, tubuh Setiusaha Diraja sudah kelihatan di pintu utama istana.

Serentak Nathan dan Hujan mengeluarkan tubuh mereka dari kereta, terus sahaja mengikuti langkah Setiusaha Diraja ke pejabat Raja Syeikh Luthfan. Dari jauh sudah kelihatan tubuh Raja mereka yang bersandar di meja kayunya. Seolah-olah mengetahui kedatangan mereka.

"Leave us" arah Raja Syeikh Luthfan kepada Setiusaha Diraja. Dia menundukkan kepalanya lalu melangkah keluar setelah memberi tanda hormatnya.

"Tuanku" sapa mereka hormat seperti biasa.

"Kerajaan Tehran dah tahu kedatangan anggota Versailles, semalam istana disambut dengan kedatangan Tun Sri Mustafa, Perdana Menteri Kerajaan Tehran" ujar Raja Syeikh Luthfan terus kepada perbicaraan utama, dia berpeluk tubuh. Mendatar sahaja nadanya, jelas tidak suka dengan kata-katanya sendiri.

Nathan dan Hujan masih lagi berdiri di dalam keadaan bersedia dengan pandangan yang lurus memandang ke hadapan. Di fikiran mereka juga masih menghadam kata-kata Raja mereka, mereka juga tahu maksud itu. Amaran.

"Raja diorang nak penjelasan..." dia mengambil secawan kopi lalu menghirupnya perlahan. Jelas wap yang kelihan setelah Raja Syeikh Luthfan menghembuskan nafasnya, panas.

"Lepas habis mesyuarat, aku dapat kata-kata amaran walhal aku sendiri tak jejak kaki kat situ..." ayatnya tergantung lagi. Kali ini pandangannya dialihkan memandang anggota terkuat Versailles.

"Sekarang ni... kau pandai buat kerja ke tak?!" tengkingnya kuat. Serentak cawan kopi itu dihempas ke lantai, berkecai. Benar-benar menunjukkan kemarahannya yang semakin memuncak.

"Kau bodoh ke? Aku suruh buat pencarian bukan tayang diri kau kat khalayak ramai, tak guna!" tengkinya lagi, nadanya juga semakin lama semakin kuat. Jelas kelihatan urat-urat yang timbul sewaktu dia menengking.
Tangannya juga digenggam kuat, cuba menahan amarah yang semakin mendatang.

"Aku sendiri tak sangka, perisik bodoh macam ni" rambunya diraup ke belakang. Cuba menenangkan kemarahannya. Dia menghembuskan nafasnya pula, cuba menyejukkan hati dan menenangkan fikirannya. Serabut.

"Sebarang anggota kami langsung tidak menunjukkan diri, Tuanku. Kami melakukan kerja secara tersembunyi, malah rakyat Tehran juga tidak mengetahui kewujudkan kami" terang Nathan teragak-agak, tidak mahu mengundang kemarahan Raja mereka. Cukuplah mereka dimaki dan taraf mereka direndahkan.

"Tersembunyi? Kau ulang balik pada aku, kau buat kerja tersembunyi?" tiba-tiba Raja Syeikh Luthfan tergelak sinis. Mengejek.

"Itu rakyat, tak guna. Sekarang ni anggota dia yang nampak kau, memang buat kerja tak pakai akal? Asal lembap sangat kerja kau? Macam budak hingusan" sinisnya lagi. Masih tidak puas hati. Dia juga tidak mahu membuang masanya dengan melangkah masuk ke Kerajaan Tehran itu, tidak berfaedah. Tetapi sekarang ini, dia terpaksa hanya kerana namanya yang telah naik di perbualan istana.

"Segala pencarian kami dilakukan tanpa sebarang kesilapan. Maklumat dan kedudukan Raja Tehran juga berada dalam pengawasan kami" balas Hujan sedikit tercabar. Raja Syeikh Luthfan seakan-akan merendahkan kemahiran mereka, malah menghina kelebihan diri mereka. Dia cuba memujuk dirinya supaya bersabar agar tidak melebihi batasan.

"Maksudnya cara kau tu lemah lagilah, sebab dah kena notice awal. Lain kali, buat baik-baik sikit ya. Bukan macam budak baru belajar" tidak henti-henti kata sindiran meniti di bibir lelaki itu. Benar-benar memandang rendah kemahiran anggotanya. Lagipun apa yang dia kata itu benar, kalau mahir pasti tidak akan tertangkap.

Nathan dan Hujan hanya mendiamkan diri. Tidak mahu bersuara lebih. Jika tidak, pasti kelebihan mereka dijadikan bahan hinaan dan sindiran. Langsung tidak bertapis kata-katanya malah cuma menanggap dirinya sahaja yang betul. Kalau begitu, ambil alih tempat mereka dan rasainya sendiri.

"Aku tak peduli. Lusa, aku nak korang berdua ikut aku pergi sana" pantas sahaja mereka berdua mengalihkan pandangan kepada lelaki itu.

"Nampaknya, aku sendiri yang akan beri penjelasan" tajam matanya membalas pandangan bersama anggotanya. Menunjukkan yang dia tidak bermain dengan kata-katanya.

"Dan pastikan, segala kewujudan korang tidak kira dalam cctv mahupun kamera pengawasan dihapuskan. Aku nak perkara tu nampak natural. Seolah-olah korang tak pernah jejakkan kaki ke situ. Aku nak pergi sana dalam keadaan aman, sama juga waktu aku balik. Aku tak nak ada sebarang kesilapan dan masalah"  arah Raja Syeikh Luthfan, tegas. Perlahan-lahan langkahnya diaturkan sehingga dia benar-benar berdiri di hadapan mereka berdua.

"Pastikan, buat tugas korang guna akal" sambungnya lagi sebelum melangkah keluar dari pejabatnya itu. Malas mahu menghabiskan masa di situ. Tidak mahu kemarahannya semakin meningkat mengingatkan kecuaian anggotanya itu.

Bunyi hentakan pintu yang terhempas kuat itu sedikit melegakan hati mereka. Nampaknya sehingga hari itu tiba mereka tidak boleh melelapkan diri dengan tenang. Lebih-lebih lagi apabila mengingatkan kelebihan diri mereka yang bakal dihina lagi. Menjatuhkan maruah mereka sebagai anggota ternama.

Nathan dan Hujan mula berpandangan sesama sendiri, faham akan perasaan masing-masing.

Good luck for us.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience