•bab 7•

Romance Series 12832

        "IBU, Mawar dah balik ni" sapanya di hadapan pintu utama. Ruang tamu yang kosong itu sedikit menarik perhatiannya. Dia langsung tidak mendengar sebarang bunyi apatah lagi suara yang menyahut sapaannya. Laju sahaja kakinya melangkah masuk ke dalam rumah, risau sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diingini.

Tatkala itu terdengar bunyi kocakan air di halaman belakang malah suara jeritan yang nyaring turut kedengaran di gegendang telinganya. Mawar mempercepatkan langkahnya dan ketika itu juga dia menghembuskan nafas lega. Wajah Ibu Ayana yang sedikit terkejut melihatnya itu diberikan senyuman. Aduhai, ibu. Kalau ya pun nak bertafakur kat belakang ni, sekurang-kurangnya kuncilah pintu depan. Tidaklah dia memikirkan yang bukan-bukan.

"Ha, Mawar. Bila sampai ni?" soal Ibu Ayana sewaktu tangannya disalam. Wajah keletihan anaknya itu memenuhi ruangan matanya. Aik, baru separuh hari. Dia hanya memandang anaknya yang turut sama merendamkan kaki di dalam kolam cetek itu.

"Ibu ni, mesti tak dengar orang bagi salam kan. Mawar baru je sampai tadi" balasnya sebelum memandang tubuh Aathif yang masih lagi seronok menyelam di dalam kolam cetek itu. Patutlah tak dengar orang menyahut, suara budak ni menjerit pun dah macam pakai dua speaker.

"Ibu dah masak tengah hari, lepas makan nanti kamu balik butik ke?" Soalnya lagi, kali ini disertakan bersama sebelah kening yang terjongket. Dia bukannya tidak tahu waktu sibuk anaknya itu, namun Mawar bukan seorang anak yang mengabaikannya. Walaupun sering dihujani dengan waktu kerja yang berterusan namun anak perempuannya itu tidak pernah membiarkannya sendirian. Sanggup berpenat lelah untuk meluangkan masa dengannya tidak kira waktu makan ataupun hujung minggu. Tidak pernah meninggalkannya untuk makan bersendirian.

Mawar tersengih memandang ibunya.
"Harini, Mawar half day. Tiba-tiba rasa penat pula" ujarnya sendikit mengadu. Tetapi apa yang dia katakan itu benar, entah mengapa badannya terasa penat benar harini. Tenaganya pada hari ini juga kurang berbanding hari-hari yang lain.

Lembut sahaja Ibu Ayana mengusap kepala anak perempuannya yang dilitupi tudung itu. Seolah-olah terasa juga penat lelah itu pada tubuhnya.

"Janganlah paksa diri kamu, rehatlah kalau rasa tak larat. Bukannya ibu tak boleh jaga kamu pun'' nadanya semakin risau apabila kata-katanya itu hanya dibalas dengan segaris senyuman pucat. Mata anaknya itu juga terkelip-kelip perlahan memandangnya. Seakan-akan memaksanya dirinya untuk membuka mata.

"Mawar okay, harini je yang terlebih penat" kata-katanya itu diakhiri dengan tawa kecil. Matanya dialihkan tatkala terasa sentuhan di lututnya. Dia cuma tersenyum memandang mata bulat Aathif yang tekun melihatnya. Tangan kecil itu juga tidak lepas dari mengusap lututnya, cuba memujuknya.

"Kenapa sayang?" Soal Mawar apabila tangan itu masih tidak berhenti dari mengusapnya.

"Ermm awar enat?" pelat Aathif memujuk kesayangannya itu. Eh, mestilah kesayangan. Ucu Mawar je yang selalu tukarkan lampin dia.

Pipi tembam itu dicubit oleh Mawar, geram.
"Tak penatlah, ucu bertenaga ni haa" lengannya diangkat menunjukkan lengannya yang tidak berapa berotot tetapi cukup membuat anak kecil itu melepaskan tawanya. Penuh satu halaman belakang itu dengan tawa comelnya.

"Shayang ucuu" ucap Aathif pelat lalu memberikan flying kiss kepada ucunya itu. Jelas kedengaran bunyi 'mmuahh' sewaktu dia menarik tangannya dari bibir. Lagi bertambah geram apabila bibir kecil itu memuncung ke arahnya meminta ciuman.

Terus sahaja Mawar mengangkat tubuh kecil itu lalu digomolnya geram. Langsung tidak peduli dengan pakaiannya yang sudah separuh basah, memang tak boleh sabar dah ni!. Terlalu geram dengan bibir manis Aathif yang pandai mencuri hati orang.

"Sudahlah tu, Mawar. Lemas Aathif tu" tahan Ibu Ayana tatkala melihat cucunya itu termengah-mengah mengeluarkan tawa. Suka sampai semput, haih.

"Geram sangatlah, ibu. Manis sangat mulut dia ni" sekali lagi pipi tembam itu dicium-cium sehingga puas. Tangan kecil Aathif yang sedari tadi menahan wajahnya itu dikemam, semakin kuat tawa anak buahnya itu. Suka diperlakukan sebegitu. Tidak kira lagi dengan suara mengahnya yang tidak henti-henti ketawa, masih lagi suka walaupun sudah semput. Ai kennotlah, Aathif so adorable!.

''Abang Ferhadh dengan Kak Cinta, bila balik sini ibu?" Soal Mawar apabila tawa Aathif sudah reda. Tubuh kecil itu juga sudah kembali bermain di kolam. Kini hanya tinggal mereka bertiga sahaja di rumah itu bersama orang gaji. Itu pun hanya seorang sahaja, yang hampir sebaya dengan Ibu Ayana. Sekadar untuk mengisi kekosongan wanita itu malah membantu mereka mengenai hal rumah. Tidaklah ibunya berasa sunyi nanti walaupun ditemani oleh cucu kepohnya itu.

"Abang kamu kata lusa, sebab flight dia kena delay sehari" terang Ibu Ayana ringkas sambil merendamkan kaki ke dalam kolam cetek itu. Baru terasa sunyinya rumah apabila melihat kesibukkan anak-anaknya itu. Namun dia bersyukur dengan kejayaan mereka, walaupun kekangan masa bersama mereka semakin berkurangan.

Lebih-lebih lagi bersama dengan anak sulungnya itu, Ferhadh. Kadangkala sebulan hanya beberapa kali sahaja wajah itu berada di penglihatannya memandangkan perkerjaan anaknya itu adalah pilot malah dipertemukan pula dengan jodoh yang bekerja satu tempat dengannya. Seorang wanita sopan yang bekerja sebagai pramugari, Cinta Assyura. Namun begitu, menantunya itu seorang yang menjaga aurat dan berwajah manis. Itu yang menyebabkan Ferhadh jatuh hati dengannya.

"Nathan macam mana?" Soal Ibu Ayana tiba-tiba apabila keadaan menjadi sunyi seketika. Hanya bunyi kocakan air sahaja yang menemani mereka tatkala itu. Alah, budak kecil tu main kuak rentang dalam kolam.

Mawar mengerutkan dahinya, kenapa tanya pasal Nathan?. Tanyalah pasal hal ehwal negara ke? Harga minyak ke? Ini tidak, Nathan juga menjadi topik perbualan ibunya itu. Dia menjuihkan bibir, menyampah.

"Entah dia" ujarnya malas mahu memberikan jawapan. Lelaki itu kan sibuk dengan kehidupan hariannya, takkanlah dia mahu menyibuk dan menempel. Karang dia kata aku gatal merenyam kang naya je, sudahlah lelaki itu menyakitkan hati.

Bibir memuncung itu dicubit lembut oleh Ibu Ayana. Terdengar aduhan kecil di bibir anaknya itu. Orang tanya baik-baik, jawab baik-baik lah. Ini tidak, mahu bertikam lidah sahaja.

''Apa ni, ibu?" balasnya perlahan, merajuk. Dengar tidak dengar sahaja suaranya itu.

"Tak baik tau, buat dia macam tu. Kan dia dah tolong adik, adik kenalah layan dia baik-baik" ujar Ibu Ayana berbaur nasihat. Masih terngiang-ngiang lagi di fikirannya mengenai situasi makan malam mereka pada hari itu. Walaupun hanya mereka berempat sahaja namun suasananya sungguh riuh. Riuh dengan usikan Nathan dan bantahan Mawar. Sungguhpun begitu, dia kurang berkenan dengan sikap anak perempuannya yang rajin membalas. Langsung tidak mementingkan dirinya sebagai seorang wanita, laju sahaja bibirnya bergerak membantah.

Walaupun Nathan tidak pernah bersuara apa-apa, namun dia masih berasa segan. Risau akan pandangan lelaki itu terhadapnya.

"Ibu tak tahu nak balas jasa dia macam mana, dia dah lukakan diri dia untuk adik. Takkan adik tak nak hargai dia?'' nasihat Ibu Ayana lagi, kali ini nadanya dilembutkan. Berharap agar anaknya itu memahami maksud yang ingin dia sampai. Dia tahu, Mawar seorang anak yang baik dan mendengar kata. Jadi, tidak mungkin, kata-katanya itu dipandang remeh.

"Tapi.. dia kata itu memang tugas dia, dia tak harapkan balasan pun ibu" mendung sahaja wajahnya, seolah-olah tidak mengerti mengapa Ibu Ayana bersungguh mahu membela lelaki itu. Cuba kalau ibunya itu berada di tempatnya, pasti dia akan merasai benda yang sama. Nathan tu depan ibu pijak semut tak mati, tapi belakang ibu terus keluar tanduk dia tu.

''Itu memang betul. Tapi Mawar sendiri, Mawar tak rasa bersyukur ke? Dia ada dengan Mawar masa tu" pipi anaknya itu diusap lembut. Dia bukan apa, dia hanya ingin mengajar Mawar untuk bersabar dan menghargai. Bukan membantah dan memaksa.

"Tapi masa tu Mawar tak tahu nak minta tolong siapa, Abang Ferhadh sibuk masa tu" bibirnya masih tidak berhenti untuk mempertahankan diri. Bukannya dia beria ingin meminta pertolongan lelaki itu pun, cuma masa itu dia di dalam dilema dan mengharapkan bantuan. Tiada sesiapa lagi yang terlintas difikirannya selain lelaki itu.

"Kalau macam tu, kenapa Mawar tak telefon polis? Dalam keadaan macam tu Mawar sepatutnya mengharapkan polis bukan mengharapkan Nathan. Tetapi sekarang? siapa yang Mawar fikirkan, Nathan kan" kata-kata Ibu Ayana itu berjaya menyentakkan hatinya.

Dia terkedu seketika. Cuba menghadamkan maksud yang disampaikan oleh ibunya itu. Dan ketika itu, baru dia tersedar betapa benarnya kata-kata Ibu Ayana. Mengapa di dalam situasi genting seperti itu dia tidak menelefon polis? dan mengapa di fikirannya terus memikirkan lelaki itu? Sedangkan boleh sahaja dia mendail nombor polis ketika. Tetapi, Nathan juga merupakan polis.

"Ibu, Nathan pun polis-"

"Ya, ibu tahu. Maksud ibu, kenapa kamu tak telefon polis terus? Kenapa kamu mesti fikirkan Nathan dulu? Lagipun masa tu, kamu tak tahu dia polis. Tapi kamu masih dail nombor dia juga." Ibu Ayana tersenyum memandang wajah terkedu anaknya. Bukannya dia tidak tahu apa yang dirasai Mawar, anaknya itu terlalu ego untuk berterus-terang. Masih mahu mempertahankan diri sendiri yang sudah terang-terangan salah.

Mawar hanya menundukkan kepalanya. Niatnya balik adalah untuk menjenguk ibu dan makan tengah hari bersamanya. Namun lain pula yang jadi, dia pula yang termakan kata-kata wanita itu.

"Haritu, ibu nampak lengan Nathan berbalut. Kenapa?" sudah lama dia ingin menyoal perkara itu kepada anaknya tetapi asik terlupa sahaja. Memandangkan Mawar ada bersamanya sekarang ini, baik dia bertanya terus.

Mawar terus mengangkat kepalanya memandang Ibu Ayana. Berbalut?. Berkerut dahinya cuba mengingati perkara tersebut dan baru dia tersedar, lengan lelaki itu luka akibat terkena pisau!.

"Ibu! lengan dia kena pisau! Kenapa Mawar boleh lupa benda tu?! berjahit ke ea?" Spontan hujung jari telunjuknya digigit, memikirkan kesakitan tatkala luka terkoyak itu dijahit. Ya Allah, seramnya!.

Membulat mata Ibu Ayana mendengar kata anak perempuannya itu. Berjahit? patutlah lengan anak itu berbalut.

"Subhanallah, kamu ni. Boleh pula terlupa" pantas sahaja bahu Mawar dipukul lembut. Itulah, dikawal dengan perasaan amarah habis semuanya dilupakan.

"Pergilah jumpa dia, tanya keadaan dia" pujuk Ibu Ayana. Dia tersenyum kecil apabila pujukannya itu dibalas dengan cebikan di bibir. Jelas sangat riak tidak rela itu.

"Dia bukan budak kecillah ibu" bantah Mawar perlahan. Mengapa perlu dilawat bagai sedangkan lelaki itu bukannya cedera parah pun, hanya terluka sedikit sahaja. Alah, tapi dia luka sebab selamatkan kau. Ermm, rasa bersalah pula.

"Mawar Maylea"

Mendengar suara tegas itu membuatkannya menunduk patuh. Ibu ni, suka ugut orang macam ni.

          SCREEN komputer yang besar itu dipandang tekun. Keyboard yang sedikit berbeza rekaannya itu ditaip laju, tidak mahu terlepas satu perkataan pun. Jika tidak difikirkan pemergian mereka pada esok hari, pasti dia tidak akan terbeban seperti ini. Kerja yang ada sedikit tertangguh akibat tugas yang satu ini.

"Bro, aku dah hilangkan record and maklumat kita waktu kat sana, even identiti setiap anggota pun aku dah hapuskan. Sekarang tinggal kau untuk hapuskan record cctv and kamera pengawasan, aku akan gantikan dengan record yang baru" Hujan meletakkan setin coca cola di sisi sahabatnya itu sebelum dia menghabiskan air kepunyaannya. Pandangannya juga tidak teralih dari skrin yang memaparkan pelbagai maklumat itu. Setiap maklumat itu dibaca dengan terperinci sebelum dia mengangguk-anggukkan kepalanya.

"Aku dah hapuskan bukti dalam rakaman tu but aku perlukan copy sebab aku tahu diorang dah save awal-awal rakaman yang asal but I will destroy it" bibirnya mengukir senyuman sinis. Nathan mula merenggangkan jarinya lalu papan kekunci itu ditekan pantas dengan pandangan yang tidak teralih dari skrin. Komputer Kerajaan Tehran digodam dan dia tersenyum lebar tatkala fail yang dicari kini terpampang besar di skrin.

"Nampaknya diorang dah bersedia lebih awal" Segala maklumat mengenai kedatangan mereka ke Kerajaan itu dipandang kagum, cepat betul buat kerja.

"Maklumat tu pun tak sepenuhnya betul. Nampak ni, cuma maklumat anggota je yang terpapar tapi maklumat kita tak ada. Maksudnya anggota Tehran cuma nampak anggota Versailles dan bukan kita" Hujan menunjukkan jarinya ke arah beberapa anggota Versailles yang terpapar. Malah, anggota yang terpapar juga tidak sampai separuh daripada bilangan asal. Maksudnya, hanya beberapa orang sahaja yang dikesan.

"Biodata anggota pun tak lengkap. Dan muka-muka ni, hampir separuhnya bukan anggota kita" berkerut dahinya melihat wajah-wajah anggota Versailles yang disimpan. Ada separuhnya yang benar manakala separuh lagi adalah wajah yang tidak dikenali. Nama malah maklumat yang lain juga seperti direka.

"Aku rasa diorang cuba untuk reka cerita memandangkan Tuanku tidak terlibat sepenuhnya dalam pemilihan anggota. Dan aku agak, Kerajaan Tehran cuma beranggapan hanya Tuanku dan Setiusaha Diraja sahaja yang hadir. Diorang tak syak yang kita akan ikut sama" tambah Nathan lagi. Tangannya masih lagi laju mencari maklumat, seperti tidak berpuas hati dengan apa yang dilihat. Kerajaan Tehran seolah-olah ingin menjatuhkan Kerajaan Versailles dengan cara yang halus.

"Nampaknya aku kena senaraikan semua maklumat anggota" keluh Hujan lemah. Baru sahaja selesai satu kerja, ditambah pula dengan kerja yang baru.

"Aku rasa ada pembelot dalam Kerajaan kita" perlahan sahaja suara Nathan menuturkan kata-kata itu. Jika benar dia menjumpai manusia tersebut, dia sendiri yang akan memancung kepalanya.

Maklumat mengenai anggota itu dibiarkan manakala rakaman yang hanya kelihatan kelibat mereka itu dihapuskan. Sengaja dia membiarkan maklumat penipuan Kerajaan Tehran itu, dia sendiri akan mengemukakan kebenaran dan menjelaskan satu persatu wawasan dan tanggungjawab Kerajaan Versailles. Dia mahu Kerajaan Tehran sedar, bukan mudah untuk menjatuhkan sesebuah kerajaan itu dengan penipuan.

Pandangan Hujan mula tertumpu kepada sahabatnya itu.
"Pembelot?" Soalnya sepatah, sedikit keliru.

Nathan menganggukkan kepalanya.
"Aku agak je, but aku akan cuba cari" balasnya lalu komputer itu ditukarkan kepada rakaman cctv Kerajaan Versailles. Setiap sudut istana terpapar di skrin tersebut. Ini juga di atas arahan Raja Syeikh Luthfan, mahu mereka memerhatikan kawasan istana.
"Weyh, Nubhan. Awasi istana" arah Hujan sebelum dia melangkah keluar dari bilik khas itu bersama Nathan. Dia hanya melihat tubuh Nubhan yang melabuhkan duduk di skrin lalu meneruskan langkahnya. Bilik itu direka khas dalam balai polis di atas arahan Raja Syeikh Luthfan dan hanya beberapa orang yang diamanahkan oleh Raja sahaja yang dibenarkan untuk masuk. Malah, bilik tersebut sudah tersedia dengan kawalan khas yang dapat mengecam identiti pasukan. Jadi risiko untuk dipecah masuk itu, tipis.

Nathan masuk ke pejabatnya diikuti Hujan. Mereka berdua melabuhkan duduk di sofa yang tersedia, ingin meluruskan tubuh kembali. Sudah berjam-jam mereka menguruskan maklumat Diraja sehingga tiada masa untuk berbuat.

"Tuanku arahkan kita untuk pergi istana esok pagi, selepas tu terus fly ke Kerajaan Tehran" kata Nathan dalam lelah. Rasa tidak mahu bersuara sahaja. Mata pun terasa ingin ditutup. Mereka berdua juga tidak mendapat tidur malam yang cukup semata-mata ingin menyiapkan tugas Diraja.

"Kenapa pagi do, lewat petang sikitlahh" rungut Hujan dengan mata yang terpejam. Tubuhnya bersandar lemah di sofa, melepaskan penat yang bersarang.

"Kau minta aku buat apa, minta Tuanku sanalah" hendak tidak hendak sahaja keluar suara Nathan membalas. Dia mulai rasa mengantuk.

"Aku nak Doraemon" minta Hujan perlahan. Kalau penat tu rehatlah! Ini tidak asik nak bersuara je.

"Diamlah" rungut Nathan. Masing-masing sudah memejamkan mata, ingin berehat.

"Doraemon"

"Diam"

"Doraemon"

"Diam mangkuk"

"Doraemon mangkuk"

Bingitnya. Aku rasa nak tampar si Hujan ni.

"Diam-" ketukan di pintu menghentikan kata-katanya. Dia memandang wajah pegawai polis wanita itu dengan tanda tanya.

"Ada orang nak jumpa Tuan, di luar balai" ujarnya lalu melangkah pergi.

Nathan sedikit terpinga-pinga, namun dia bangkit juga dari sofa dan melangkah ke luar balai. Tubuh seorang wanita yang sedang berdiri memandang langit itu dipandang dengan senyuman kecil, Mawar.

"Haa, nenek kebayan. Nak apa?" Tanpa sapaan dan salam dia menerjah wanita itu. Bibirnya tersenyum senget tatkala dihadiahkan satu jelingan tajam.

"Awak ni, cuba beri salam sikit" Mawar mengurut dadanya perlahan, mujur sahaja dia tidak melayangkan flying kick ketika itu. Jika tidak, bersepai gigi lelaki itu.

"Salam aku tak banyak, nak bagi kau sikit" ujarnya sekadar loyar buruk.

Mawar menghembuskan nafas perlahan sebelum mengukirkan senyuman. Ibu kata kena sabar, hargai dia. Walaupun dihatinya saat ini ingin menendang lelaki itu namun ditahan niatnya itu setelah mengingati kata-kata Ibu Ayana.

"Tak apalah, saya tak nak salam awak" balasnya, masih lagi bersama senyuman manis yang sedikit ikhlas.

Nathan melahirkan riak kurang percaya. Tidak membantah pula wanita ini?.
"Kau nak apa?" Soalnya terus kepada topik perbualan mereka. Tidak mahu melengahkan masa memandangkan hari sudah hampir lewat petang. Risau pula jika wanita itu lambat pulang ke rumahnya.

"Lengan awak okay?" Soal Mawar kembali. Dia memandang ke arah lengan yang berbalut itu memandangkan lelaki itu hanya mengenakan t-shirt hitam, jelas kelihatan lilitan balutan bewarna putih itu.

Nathan memandang sekilas lengannya sebelum mengalihkan semula pandangan memandang wanita itu.
"Baru nak tanya?" Perlinya lebih kepada bergurau.

Mawar mengemam bibirnya. Memanglah baru nak tanya, sebab orang baru ingat.

"Saya minta maaf, saya tak ingat" lagipun ketika kejadian itu dia hanya ingat-ingat lupa sahaja apa yang berlaku, dirinya ditemani dengan ketakutan yang kuat.

"Dahtu, tiba-tiba ingat ni kenapa?" Soalan Nathan itu sedikit menyakitkan hati Mawar. Entah mengapa, terasa berkepul-kepul asap yang keluar dari telinganya.

"Awak ni orang dah-- eh, bukan. Saya baru teringat yang awak luka masa kejadian tu. Sebab tu saya datang, nak tanya pasal keadaan awak" laju sahaja Mawar membetulkan ayat yang hampir meletuskan kemarahannya. Sejak dua menjak ini, rajin pula kemarahannya datang menziarahi. Memanglah rajin, rajin sejak jumpa mamat ni.

"Aku okay, 6 jahitan je" kata-kata Nathan itu membuatkan Mawar sedikit ternganga.

6 jahitan je? Mamat ni no feeling ke?!.

"Errr, tak sakit ke?" Pertanyaan Mawar itu meletuskan tawa kecil di bibir Nathan. Bukan apa, riak wajah Mawar ketika bertanya itu seolah-olah dia pula yang terasa kesakitannya.

"Biasa je, janganlah over react sangat" rasa ingin ditonyoh sahaja wajah wanita itu, riak wajah wanita itu seperti baru lepas melihatnya membuang air besar.

"Bukan over lah, saya... takut je" ujar Mawar membalas pandangan lelaki itu. Walaupun peristiwa itu sudah hampir beberapa hari berlalu namun rasa bersalahnya masih lagi tidak luntur. Dia sendiri tidak tahu sama ada lelaki itu menyembunyikan kesakitannya atau dia benar-benar tidak berasa sakit. Kerana riak wajah lelaki itu hanya tenang sahaja, seakan-akan tidak merasai apa-apa kesakitan.

"Awak nak saya buat apa-apa? Untuk tebus pertolongan awak" soal Mawar apabila suasana senyap seketika. Tiba-tiba terasa lain pula apabila berdua bersama lelaki itu. Bukan apa, tapi.. entahlah.

Nathan seperti tersedar dari lamunan yang pendek. Akhirnya dia cuma melemparkan senyuman nipis kepada Mawar.

"Tak perlulah, cuma..." dia berfikir seketika. Seperti ada sesuatu yang terlintas di fikirannya.

"Cuma?" Ulang Mawar kembali, sabar menanti kata-kata lelaki itu.

"Aku akan keluar, beberapa hari ni..." ayatnya tergantung lagi. Pandangannya merenung ke dalam sepasang mata milik Mawar yang turut memandang ke arahnya. Seolah-olah ingin mengatakan sesuatu.

"Nathan?" Panggil Mawar apabila ayat lelaki itu dirasakan sedikit lama tergantung.

Nathan melemparkan senyuman kecil kepada Mawar.

"Tunggu aku balik"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience