Aku masih belum berjaya mendapatkan kerja lagi. Hotel tadi tak boleh dah, sah-sah aku kena palang dengan Encik Irfan tu. Suka benar aku ni tuduh melulu, kan susahkan diri sendiri! Aku mengambil sekuntum bunga ros yang agak layu di hadapanku. Aku buang satu-satu kelopak bunganya, kerja sini ke... berhenti, kerja sini ke... berhenti! Aku mencongak-congak sambil kelopak bunga itu dibuang.
"Putus cinta ke?"
Setahu aku semua sudah balik! Suara siapa pula tu? Aku melihat ke arah pintu masuk, kelihatan Emir sedang tersengih memandangku.
"Siapa suruh masuk? Kedai dah tutup!" marahku.
"Siapa kata tutup? Kat pintu ni open lagi! Besar lagi hah!" Emir menunjukkan tanda OPEN di hadapan pintu kedai.
Aku bingkas bangun. Aku terbalikkan sign itu. "Sekarang dah close. Silalah balik, Encik Emir."Aku tidak kuasa nak melayan mamat ini lagi,membantutkan lamunan aku saja!
"Tak apalah, kedai saya tak ada orang, kedai awak pun tak ada orang. Bolehlah lepak-lepak jap menghilangkan rasa bosan," ujar Emir.
Aku merengus. Ikut suka kaulah 'labu'. Aku kembali ke tempatku.
"Awak ke mana tadi, Cik Bunga? Saya tunggu awak dari pagi tadi tau...! Boyfriend awak tu bukan main mesra dengan sorang pekerja perempuan kat sini, yang pakai baju warna pink tadi. Siapa ntah?"
Boyfriend aku? Heh! Mesti mamat ni ingat Si Abang Meon.
"Kak Irah!" sambungku. Aku tidak ada mood! Aku tengah pening hendak cari kerja ni, aduhaiii... resah betullah!
"Hah, dialah! Saya tak sangka Cik Bunga yang cantik orangnya ni, boleh pilih mamat yang tak berapa..." Dia mula membebel.
Eh, sibuk saja!
"Handsome?" sampukku.
"Hah, tu la.... Lepas tu main kayu tiga pulak!"
"Itu bini dialah!" ujarku. Aku malas mahu bermain teka-teki dengan mamat ini, aku tidak kuasa nak menipu dah! Sat lagi dia pergi cakap apa-apa dekat Kak Irah atau Abang Meon, tak ke mati aku nanti!
"Apa?"
"Kak Irah tu bininya Abang Meonlah! Yang awak fikir saya ada affair dengan Abang Meon tu kenapa?" Aku menepuk dahi. Betullah sangkaan aku semalam, mesti Emir fikir yang bukan-bukan!"Saya ingat boyfriend!"
"Merepeklah awak ni!"
Tiba-tiba telefon bimbit aku berbunyi. Abah call! "Waalaikumussalam.... Mel nak baliklah ni, nak tutup kedai jap. Ibu suruh Mel beli apa? Kuetiau goreng? Berapa nak? Dua? Okey, nanti Mel beli. Bye! Waalaikumussalam."
Klik! Aku menutup telefon bimbitku "Oh! Nama awak ni Mel, la ya? Barulah saya faham." Emir mengangguk-angguk. Aku tergelak. Entah dari planet mana mamat ni datang, aku pun tidak tahu! "Sudahlah, saya nak balik dah ni!"
"Saya temankan awak beli kuetiau goreng tu okey,?"
Aku memandangnya geram. Muka je handsome, perangai boleh blah! "Panggil Cik Bunga lagi betterlah daripada awak panggil saya Mel!"
Naik bulu roma aku!
"Tak mahulah...."
"Awak panggil saya Karissa," suruhku.
"Karissa?" Emir memandangku pelik. Mungkin dia tertanya-tanya mana datangnya "Mel"? kena panggil Mel
"Nama saya Melisa Karissa, jadi awak panggil
saya Karissa! Mel, tak boleh!"
"Kenapa tak boleh?" tanya Emie lagi.
"Mel tu untuk panggilan orang tertentu saja!" jawabku separuh menjerit. Aku hilang sabar betul dengan mamat ini. Sampai tudung aku pun naik senget-senget jadinya. Dia menarik-narik hujung tudungku. Kenapa suka sangat mencabar kesabaran aku hah, 'labu'?
"Kenapa saya bukan sebahagian daripada orang tertentu tu?"
"Awak ni memang selalu banyak soal ke?" Hah ambik kau! Aku dah hilang sabarlah tu...!
Emir tergelak. "Tak apalah kalau tak bagi. Suatu hari nanti saya dapat panggil jugak!"
Lantaklah kome... aku tak larat nak melayan! Aku menolak Emir keluar setelah aku memastikan semua lampu telah pun ditutup. Emir menolongku menarik grille pintu, aku lantas menguncinya. Aku berjalan beriringan dengannya ke warung di hadapan kedai. Setelah memesan dua bungkus kuetiau goreng, aku duduk di meja sambil menunggu.
"Awak duk main kelopak bunga tu kenapa, Sa? Macam orang putus cinta saja. Awak baru putus cinta ke?" tanya Emir selamba.
Cara dia bertanya macamlah dia sudah lama kenal aku, walhal baru semalam sahaja kami kenal!
"Taklah, tak mainlah putus-putus cinta ni! Abah saya suruh berhenti kerja, dia suruh saya cari kerja lain yang lebih kukuh. Tapi saya suka kerja sini..." ceritaku. Aku pun tidak tahu macam mana dengan Emir aku boleh direct sahaja bercerita!
"Kerja apa dia suruh cari?"
"Interior designer."
"Oh! Esok awak bawa resume, saya bawa awak pergi interview. Tapi saya tak janji awak boleh dapat ke tak, tau!" ajak Emir."Tak kisahlah, at least abah tahu saya cari kerja walaupun saya tak dapat." Aku tersenyum riang. Akhirnya.... "Jadi boleh saya panggil awak Mel ke?" tanya Emir
"Belum cukup syarat!" aku membalasnya. Emir mencebik. "Ingatkan tolong carikan kerja,dah boleh."
Aku tergelak."Ingatkan ikhlas, rupa-rupanya nak balasan!" Aku menjuih bibir. Menyampah!
"Eh! Saya ikhlas, tadi saya main-main saja."
"Terima kasih, Emir!"
"Sama-sama. Asalkan awak sudi jadi kawan saya. saya dah cukup berpuas hati!"
"Boleh...."
Emir tersenyum.
Setibanya aku di rumah, malam itu juga aku sibuk menyediakan portfolio aku. Ibu di sebelah tidak henti-henti memberi pandangan yang mana satu design yang patut aku bawa esok. Abang ngah pula malam ini senyum memanjang, agaknya sudah berbaik dengan Kak Amira kut? Aku pula malas nak layan kerenahnya malam ini. Aku sibuk, sibuk nak temu duga! Arghhh... gila tak sabar!
"Jadi esok, temu duga?"
Aku mengangguk sahaja sebagai menjawab pertanyaan abah. Aku malas nak bercakap, kang dia tanya macam-macam. Aku pun tidak tahu tempatnya, aku hanya ikut Emir sahaja! Kalau Emir bawa aku lari ke Siam pun bukannya aku tahu. Takkanlah Emir nak buat macam tu.
"Bagus. Buat elok-elok!" ujar abah.
Abah, manalah tahu nak memuji. Dulu aku belajar sambil bekerja, dapat anugerah dekan pun tidak ada pujian apa pun! Lainlah Harith, abang sulung aku tu, Si Harith Azman. Kalau buat apa pun, abah puji sahaja. Maklumlah, ikut jejak abah! Kita orang berdua ni, aku dan abang ngah, memanjang sahaja tidak kena. Walaupun abah tegas sedikit, tidak adalah pernah aku nak melarikan diri dari rumah! Asalkan buat apa yang abah suka, abah tidaklah marah sangat. Abah tu nampak kejam, tetapi dalam hati baik saja. Macam Encik Shadan juga! Alah bisa tegal biasa....
Aku teringat dekat Emir, mamat yang suka mengacau aku itu. Sanggup juga dia nak menolong aku mencari kerja. Entah apa niatnya pun aku tidak tahu, tetapi aku ikut sahajalah. Kalau dia buat yang macam-macam, aku karate sahajalah. Apa guna ilmu karate yang abah hantar aku pergi belajar dulu.
"Adik!"
Aku membuka pintu bilikku. Abang ngah tersengih- sengih di hadapan pintu.
"Nak apa? Mel mengantuklah!" Barulah nak lelap sekejap, ada sahaja yang mengganggu. "Adik tulis apa dekat Kak Amira tadi?" tanya Haraz.
"Abang ngah nak bayar berapa? Duit bunga pun tak bayar lagi tau! Servis penghantaran pun kena bayar jugak. Kata ada elaun ekstra? Mana?" tanyaku.
"Nanti abang ngah bagilah. Adik punya ayat powerlah.... Kak Amira suka gila! Tapi kalau Kak Amira tanya, abang ngah nak jawab apa?" Aku tergelak. "Cakap abang ngah ambil dari lirik lagulah! "
"Lirik lagu apa?"
"Lirik lagu Tercipta Untukmu dari kumpulan Ungu."
"Ooo... lagu tu! Abang ngah tahu. Adik memang hebat. Walaupun tak pernah bercinta, adik boleh jadi seorang pencinta yang hebat!"
Aku menjuih bibir. "Lain kali kalau gaduh cari idea sendiri, okey! Mel tak larat nak fikirkan untuk abang ngah. Macamlah Mel ni bercinta, walhal seekor kumbang pun tak pernah melekat, tau!"
"Bukan tak pernah, adik yang tak pernah nak ambil kisah! Bukan adik tak cantik, cantik macam Norjuma dulu- dulu...."
"Banyaklah abang ngah punya Norjuma! Dahlah, pergi balik bilik sendiri.... Orang nak tidur ni! Esok nak interview."
Abang ngah keluar dari bilikku. Tidak henti-henti mengucapkan terima kasih. Termakan juga Kak Amira dengan lirik lagu tu! Memang dasar perempuan, sangat lemah! Cepat sangat termakan dengan pujuk rayu. Kalau dapat bunga, lagilah cepat cair. Cakap orang, diri sendiri pun belum tentu....
Share this novel