"MELISA! Bangun... dah subuh!" jerit ibu.
Aku bermalas- malas di atas katil. Rasa baru sahaja tidur, tiba-tiba sudah pagi. Malas pula rasa nak pergi kerja, tetapi memandangkan kerja agak banyak, aku kena bangun juga. Hari ini nak ganti bunga dekat hotel-hotel pula. Itu yang parah tu...! Banyak pula gubahan yang nak disiapkan dan dihantar!
Cepat-cepat aku bangun, solat dan mandi sebelum terus bersiap nak pergi kerja. Haihhh... kerja sampai bila pun tak pernah habis! Kadang-kadang aku terfikir, kenapalah aku bekerja sedangkan aku tahu ianya tidak pernah habis. Heh... banyaklah kau ni, Melisa Karissa ! Apa, kau ingat kau Perdana Menteri ke, fikir banyak sangat!
Yop dan abang ngah pun sudah bangun, duduk di meja makan dan sedang mendengar ceramah percuma' daripada abah. Itu salah satu sebab aku malas nak bangun awal. Selalunya aku akan tunggu abah pergi kerja dulu, baru aku bangkit. Kalau tidak, dapatlah dengar 'ceramah free!
"Melisa Karissa!" panggil abah. Aku menghampiri dan menyalami abah. Aku ucapkan salam dan selamat pagi. Abah hanya 'hmmm....
"Dah cari kerja?" tanya abah ringkas. Aku menggelengkan kepala.
"Kenapa tak cari lagi? Kan abah dah pesan suruh cari, kenapa degil?" "Bukan tak cari, tapi tak ada masa nak cari.
"Sekarang kerja banyak sikit." Aku memberikan alasan.
Alasan yang sama setiap kali abah menanyakan soalan yang sama. Abang-abang aku hanya diam membatu. Apa ilmu yang abah pakai pun aku tidak tahu. Abang-abang aku berlagak alim, sopan dan santun depan abah. Buatnya abah tidak ada, depalah hantu sebenarnya!
"Harith Azman, Haraz Azmin, cuba kamu nasihatkan adik kamu ni. Sampai bila dia nak kerja dekat kedai bunga tu? Tak menjamin masa depan. Abah nak kamu berdua tengok-tengokkan kerja yang sesuai untuk adik kamu," ujar abah dengan tegas. Abah memanglah tegas orangnya sebab dia tu tentera!
Abang-abang aku menjeling tajam kepadaku. Aku terdiam. Matilah aku lepas ni! Sure kena sekeh punya! "Tak apalah bah, nanti Mel cari sendiri. Tak payah susahkan abang... dia orang tu banyak kerja. Mel boleh cari sendiri. Nanti Mel nak pergi hotel nanti,Mel tanyakan dekat sana."
"Kerja dekat hotel?"
Aku mengangguk. "Dengar cerita hotel nak pakai budak interior designer, Mel try dululah."
Abah mengangguk-angguk. "Okey." Aku menarik nafas lega. Betul ke hotel tu nak pakai budak ID pun aku tidak tahu, aku main cakap sahaja. Kadang-kadang aku rasa aku salah course! Patut ambil law sebab aku banyak jawapan kepada banyak persoalan!
Harith, abang aku yang sulung sudah bertunang dan akan melangsungkan majlisnya hujung bulan ini.
Haraz, abang aku yang kedua. Dia ni rapat sikit dengan aku berbanding Harith.
Harith tu askar macam abah juga, ada protokol! Aku tidak kuasa melayan.
Tetapi dengan Haraz, okey sahaja. Haraz seorang pegawai bank! Tidak ada protokol, semua sapu. Tetapi sekarang agak sedih sebab dia baru putus cinta . Tak apalah abang ngah, kita serupa!
"Pergi dulu, abah... ibu," ujar Haraz.
Setelah menyalami abah dan ibu, aku menyalami tangan abangku, Haraz. Kadang-kadang dia baik hati, dia hulurlah seringgit dua. Abang aku yang seorang ini pemurah orangnya.
"Adik, kejap...!" Abang ngah menarik tanganku. Aku segera mengikut. Sebelum itu aku salam dulu ibu dan abah. Salah satu cara untuk pergi dari situ dengan cepat!
"Kenapa, abang ngah?"
"Adik nak pergi hotel nanti, kalau jumpa Kak Amira, kirim salam ya? Adik sedekahkanlah bunga ros tiga kuntum dekat dia, okey? Kalau ada bunga lily lagi best. Dia suka bunga lily!" ujar Haraz.
Aku menggelengkan kepala. "Abang ngah! Yang sudah tu sudahlah...."
"Abang ngah dalam proses nak merujuk ni! Tolonglah sikit.... Nanti abang ngah bagi elaun ekstra!" Elaun ekstra! Wahhh... mata aku mula keluar tanda RM banyak-banyak macam mesin slot kasino tu!
"Okeylah, kalau jumpa tau!"
"Sayang adik abang." Haraz mencium dahiku.
Hampeh punya abang! Sebab awek, baru nak sayang adik.
Kak Amira itu memang baik orangnya, tetapi aku tidak pasti apa yang abang ngah buat sampaikan Kak Amira sendiri putuskan hubungan. Abang aku itu memang mengada-ada dan manja berlebihan, mesti Kak Amira meluatlah tu!. Entah-entah kes cemburu. Abang ngah... abang ngah... aku menggeleng sendiri.
"Abah, ibu... Mel pergi dulu jugak...!"
Aku sudah masuk ke dalam kereta comelku dan meluncur laju ke kedai. Sampai sahaja di hadapan kedai bunga. Kak Irah dan bos sudah tersenyum-senyum menunggu aku. Van Abang Meon telah pun penuh diisi bunga! Erkkk... aku sudah lambat ke? Aku rasa aku on time!
"Mel lambat ke?"
"Sudah! Tak payah sengih-sengih macam kerang busuk. Masuk cepat!" Huh... cepat-cepat aku masuk ke dalam van. Pagi- pagi lagi sudah kena 'belasah' dengan bos! Nasib bos marah-marah sayang sahaja.
Di hotel, aku ditemani oleh Kak Irah dan bos. Hotel ini memang menjadi pelanggan utama kedaiku setiap tiga bulan sekali untuk menukar bunga-bunga di lobi, admin dan di setiap tingkat hotel. Hotel ini ada dalam dua puluh tingkat, jadinya dua puluh buah gubahan bungalah yang aku kena tukar. Tidak masuk lobi dengan admin lagi!
Aku mengikut bos masuk ke pejabat pentadbiran. Bos kata nak bagi invois, aku pula hendak tukar susunan bunga, Kak Irah tukar dekat lobi. Sambil- sambil aku membetulkan bunga yang aku gubah itu, aku mencari-cari Kak Amira. Aku nampak mejanya, tetapi dia tidak ada. Sengaja aku tinggalkan sekejap bunga aku itu dan pergi ke meja Kak Amira. Aku meletakkan bunga seperti arahan abang ngah. Aku sudah tulis ayat-ayat cinta paling romantis di dalam kad itu, tidak seperti arahan abang ngah! Apalah yang abang ngah tahu pasal ayat-ayat cinta ni, orang bank suka nombor saja!Aku kembali semula kepada gubahanku. Aku pelik! Tadi aku letak bunga ros pink dekat tepi ini, mana perginya? Jatuhkah? Aku melihat di sekeliling pasu itu, tidak ada pula. Kalau tidak ada satu ini, cacatlah gubahanku!
Tiba-tiba ada orang menyanyi-nyanyi sambil berjalan di sebelah aku. Entah dari mana, dia dengan secawan kopinya lalu menusuk hidungku. Yang geramnya, aku melihat bunga ros pink aku di dalam poket kotnya. Memang nak kena ni! "Ehem... encik!"
Lelaki itu berhenti. Dia memandang aku dengan senyuman. Arghhh... tidak ada masa untuk aku membalas senyumannya!
"Mencuri satu kesalahan, encik!" ujarku tegas.
Lelaki itu memandangku kehairanan. "Saya curi apa?"
"Encik curi bunga ros saya!" tuduhku. Aku menarik bunga ros di poket kotnya, selamba.
"Ini bunga ros saya! Saya tahu sebab saya yang celup bunga ni. So, tepi bunga ni berwarna terang dari biasa."
Wah...! Aku menerangkan kepadanya ciri-ciri bunga ros kepunyaanku.
"Encik dah mencacatkan gubahan saya. Kalau encik ambil yang ini, jadi tak balancelah gubahan saya!" marahku. "Cik, kalau saya ambil sebelah sini, cik buanglah sekuntum bunga sebelah sana. Kan dah balance!"
Dia menarik sekuntum lagi bunga ros pink aku. Aku bengang! "Cuba jangan usik-usik boleh tak? Ini siapa nak bayar, kalau gubahan tak cantik?"
"Saya bayar kalau tak cantik pun. Saya bayar untuk gadis penggubah bunga yang cantik macam awak ni."
Aku mencebik. Kenapalah aku selalu berjumpa dengan lelaki gatal macam ni dalam hidup aku?
"Encik Irfan! Saya cari encik dari tadi." Bos berlari-lari ke arah lelaki di hadapanku.
"Bos, dia curi bunga saya!" Aku terus mengadu kepada Encik Shadan.
"Biarlah, memang bunga dia pun! Diakan manager hotel ni. Ini invoisnya. Saya cari setiausaha Encik Irfan, cuti katanya."
Gulp! Manager hotel ni? Baru aku nak riki kerja kat hotel, aku pulak dah buat hall Mulut capui...!
Irfan mengangguk-angguk. "Itu yang kena buat air sendiri ni. By the way, bunga-bunga ni sangat cantiklah, Encik Shadan. Siapa yang menggubahnya? Kak Irah ke? Saya rasa ini bukan air tangan Kak Irah ni, lain aje."
Encik Shadan tersenyum. "Gubahan budak ni."
"Budak baru ke?"
"Eh, lama dah... tapi dia tak gubah untuk hotel, kali ni saja dia gubah," terang Encik Shadan.
Aku yang ada di situ sudahnya jadi macam patung. berdiri tegak sahaja mendengar orang bercerita tentang aku. Helo!!! Aku ada kat sini daaa.... Tiba-tiba telefon bimbit aku berbunyi, tanda mesej masuk. Aku melihatnya, mesej daripada Kak Irah, tunggu di lobi katanya. "Errr... bos! Kak Irah dah tunggu dekat lobi." Aku menyampuk
Irfan memandangku, tajam. Aku buat tidak tahu sahaja. Orang lelaki memang pantang tengok yang berdahi licin sikit. Cepatlah bos ni pun! Aku dah tak kuasa menahan pandangan tajam lelaki perasan ala Robert Pattinson ni!
"Okeylah Encik Irfan, kami minta diri dulu."
"Okey, jumpa lagi...!" ujar Irfan. Dia senyum sahaja. Senyumannya memang manis. Kalau sekali pandang, sangat menawan. Dua kali pandang, terus tertarik. Tiga kali pandang, terus melekat! Arghhh... apalah yang aku merepek ni? Jangan cepat sangat jatuh cinta, Mel.... Umur masih muda, perjalanan hidup masih panjang!
Share this novel