Bab 1

Drama Completed 10175

"AH BOK! Lu tengok wa punya tayar ni, Bok! Wa ada dengar bunyi-bunyilah... macam drive shaft rosak!" Aku menjerit memanggil Ah Bok, mekanik merangkap pencacai aku dua puluh empat jam!

Ah Bok yang berbadan gemuk menghampiri aku, lagak seperti tauke tetapi pencacai sama juga macam aku! "Hah... wa kasi check dulu la. Bila mau angkat? Ini hari ka?" tanya Ah Bok.

"Hari nilah.... Wa nak naik Cameron Highlands ni. Nak ambik bunga!" Aku mengangguk-angguk.

Sebenarnya bukan aku yang nak pergi, tetapi pencacai lagi seorang dekat kedai. Aku tukang hantar kereta sahaja, memandangkan aku dan Ah Bok memang kawan baik! Kalau orang lain yang hantar, sure siap lambat ataupun bilnya melambung tinggi.

"Wa kasi lu tip top punya, siap wa kasi hantar!" "Kasi tip top, jangan kasi tingtong ar! Nah, kunci." Aku menyerahkan kunci kereta kepada Ah Bok, lalu berjalan kaki ke kedai bunga milik hos aku. Kedai bunga segar ini walaupun besarnya dua unit kedai, yalah, kedai bunga segar terbesar di Ipoh, pekerjanya sedikit sahaja. Bos memang kedekut orangnya. Kalau boleh jimat, nak jimat memanjang... kalau boleh kerah tenaga pekerja, kerah memanjang! Sampai nak cuti pun susah!

Aku masuk ke dalam kedai. Aku cukup terpesona dengan haruman bunga di dalam kedai ini. Teringat sewaktu mula bekerja dulu.....

"Kamu tahu macam mana nak gubah bunga?" Aku menggeleng kepala. "Tapi saya boleh belajar! Saya memang cepat belajar."

"Kamu tahu macam mana nak kenal bunga ni bunga apa?"

Aku menggeleng kepala. "Tapi saya suka bau bunga ni, bos. Wangi, buat saya tenang saja. Kedainya pun cantik, tapi kalau dekornya mantap lagi, saya rasa kedai ini mesti lagi mantap!"

"Aku bagi kamu gaji dua ratus ringgit seminggu dulu, percubaan! Aku bagi kamu try dulu, kamu belajar dengan Kak Zara kamu ni dulu. Kamu nampak CCTV tu?" Aku mengangguk-angguk. Aku melihat CCTV dipasang di setiap penjuru kedai.

"CCTV tu bukan untuk tangkap orang datang mencuri kat sini, tapi untuk tangkap orang curi tulang kat sini, tau!" ujar bosku, Encik Shadan.

Orangnya kalau tengok lembut lembut, tetapi nampak garang di luar, baik di dalam hati. Masih belum berkahwin dan aku rasa umurnya sekitar hujung tiga puluhan "Okey bos, terima kasih bos!"

Itu kisah empat tahun yang lepas sewaktu aku disuruh oleh abah mencari kerja selepas SPM. Akhirnya aku melekat di sini, tidak pergi ke mana-mana pun walaupun aku sudah berjaya mendapatkan segulung ijazah! Yang aku risaukan sekarang ini, abah duk sibuk suruh aku tukar kerja, dapatkan kerja yang betul-betul tetap. Tetapi aku suka kerja dekat sini. Ada bos, ada Kak Zara, ada Kak Irah, ada Abang Meon, ada semua yang aku sayang. Macam sebuah keluarga rasanya! Aku pening!

"Yang, kau termenung jauh ni kenapa Mel? Akak tengok gubahan bunga kau lately ni macam tak cantiklah, Mel. Tak berseri!"

"Mel peninglah, Kak Zara. Abah suruh Mel berhenti kerja ni, macam mana ni? Kalau bos tahu ni, habislah Mel!" Aku merungut. Mana tak, semua bunga aku gubah tidak cantik kalau hati tidak tenang!

"Akak pun tak nak berpisah dengan kau, Mel. Kalau kau jadi orang besar-besar nanti, bukan kau nak ingat dekat kami!"

"Mana mungkin Mel lupakan orang dekat sini!" ujarku memujuk hati Kak Zara. "Kau nak pergi mana, Mel?" sampuk Kak Irah yang sedang sibuk merenjis pokok bunga ros segar. "Si Mel ni, abahnya suruh cari kerja lain. Kerja sesuai dengan sijil yang dia dapat." "Loh Mel... akak sure rindu kat kau. Abang Meon pun sure rindu jugak..." ujar Kak Irah.

"Sudahlah. Perkara ni jangan kecoh-kecoh. Kang bos tahu, habis Mel! Kita buat tak tahu saja. Lagipun, Mel belum dapat kerja kat mana-mana lagi. Dah... kita buat kerja, Mel nak kena gubah bunga untuk majlis perasmian butik Mak Datin sebelah ni. Semalam baru dapat jobnya, nak petang ni jugak."

"Semalam akak tengok baju-baju yang dia bawak masuk, perghhh... dahsyat!" ujar Kak Zara. "Siapalah nak beli kalau harga satu bajunya mencecah ratusan ringgit!" ujar Kak Irah.

"Apalah sangat baju tu, banglo lima juta pun ada orang boleh beli la ni.... Ate, orang berduit!" ujarku sambil menarik bunga-bunga yang hendak dibuat gubahan perasmian itu. Terkeluar pula loghat Perakku, walaupun asalnya aku bukan orang Perak. Duduk di Ipoh dari kecil telah memantapkan sedikit sebanyak loghat Perakku, tetapi tidak boleh lawan abahlah.

Dalam banyak-banyak bunga yang ada di dalam kedai ini, bunga dari Belanda inilah yang menarik minat aku, si bunga tulip. Walaupun tidak berbau wangi, bunganya simple tetapi sangat menarik perhatian. Bos selalu pesan bunga ini dari Belanda dan jarang-jarang ada kerana mengikut musim. Kalau ada, selalunya aku yang leka menilik bunga ini. Pernah sekali aku gubah bunga tulip putih bersama bunga lavender berwarna ungu dan dihiasi dengan lily berwarna merah jambu, ada mamat beli dengan harga 500 ratus ringgit satu gubahan! Argh... kalaulah ada mamat macam tu, sanggup menghabiskan ratusan ringgit untuk bunga demi kekasih yang sangat dicintai... wahhh... aku rasa sangat bertuah!

Klink! Klink...! Bunyi loceng di pintu. "Kak Zara, customer!" jerit Kak Irah.

Kak Zara sekarang bos! Apabila bos tidak ada, Kak Zaralah tukang jaga kaunter dan ambil pesanan. Kak Zara berlari ke kaunternya. "Ya, nak beli bunga?"

Aku yang duduk di belakang kaunter, hanya memerhatikan jejaka berkaca mata hitam itu. Aku macam kenal! Bukan mamat tu ke yang....

"Saya memang nak beli bunga, bukan bunga biasa tapi bunga luar biasa!" ujar jejaka itu.

Jejaka itu membuka kaca mata hitamnya, memandang aku. Aku mengerut dahiku. Aku macam kenal mamat ni, tapi di mana ya???

Kak Zara merenungnya pelik."Bunga apa yang luar biasa? Kalau bunga Rafflesia, memang tak ada kat sini. Kalau nak kat Gunung Kinabalu, paling dekat Gerik!" ujar Kak Zara dengan selamba.

Aku tergelak mendengar jawapan Kak Zara yang bersahaja. Ambik kau!

"Saya nak bunga yang tergelak-gelak tu!"

Mamat itu menuding kepadaku. Aku terdiam. Haram jadah betul! Dia tidak tahu ke, dalam banyak-banyak bunga dekat dalam kedai ini, aku yang paling brutal! Hampeh! Tak kena siku, kena hentak dengan kaki ni karang...!

"Hah, nak apa???" tanyaku, ganas lagi brutal. Duri pokok bunga ros ni, kira mainanlah....

"Huish... garangnya! Saya nak tanya, bunga yang saya pesan tu dah siap ke belum?" tanya mamat itu.

Aku terdiam. Aku fikir-fikir balik, lor... baru aku teringat! Mamat nilah yang pesan bunga untuk perasmian semalam. Alamak... tak siap lagi! Aku menepuk dahiku. "Errr... errr... sekejap ye encik, nanti siap saya hantar ke sana. Bukan jauh pun, sebelah kedai je."

Aku terus memperlahankan suaraku. Hilang lagak aku tadi! Silap aku sendiri juga, lambat buat pesanan,akhirnya terkena batang hidung sendiri.

"Tadi nampak macam kuat sangat... relakslah, saya just tanya saja. Tak apalah, dah siap nanti hantar ya!"

Aku mengangguk, cepat-cepat aku ke workstation aku semula.

Kak Zara dan Kak Irah sudah gelak-gelak. Haram...bukan nak menolong! "Emir! Tolong mom ni Emir!" jerit seorang wanita dari luar.

Aku memandang ke luar, ke arah suara itu. Itu agaknya Mak Datinnya, mengancam habis! "Okey mom, Emir datang!" jerit mamat itu.

"Cik Bunga... jangan lupa ya, cepat sikit!" sambung jejaka yang bernama Emir itu lagi kepadaku.

Cik Bunga dia panggil aku???

Aku buat tidak kisah dengan kata-katanya, aku leka mencucuk bunga-bunga itu ke dalam span yang telah aku basahkan. Kata perasmiannya esok, tetapi hendak bunga cepat-cepat. Apa maknanya? Nantikan layu juga! Baik ambil bunga tiruan, kalau hendak jimat! Tetapi dekat kedai ini hanya ada bunga segar sahaja, bunga tiruan tak mainlah. Aku pening, arrrghhh.... Tak payah fikirlah Melisa Karissa oiii...! Yang penting siap!

Hampir setengah jam jugalah aku mengambil masa untuk menyiapkan satu gubahan itu. Bukannya susah untuk aku gubah, tetapi ketelitian itu amat penting dalam setiap gubahan ciptaan aku! Barulah pelanggan datang berkali-kali. "Okey Kak Zara?" tanyaku kepada Kak Zara. Pendapat Kak Zara merangkap sifu aku ini sangatlah bernas.

"Wah... cantik! Grand openinglah beb..." ujar Kak Zara.

Aku tersenyum gembira. Aku mengangkat bunga itu dan membawanya ke sebelah. Aku mencari-cari kelibat si budak kaca mata hitam itu, tetapi tidak jumpa pula. Aku masuk ke dalam, aku agak kagum dengan rekaan dalaman butik yang sememangnya high class itu. Terfikir juga aku, siapalah orang kaya di Ipoh ini yang hendak beli? Kalau di KL bolehlah terjual!

"Hah... datang pun. Mom, bunga dah sampai, nak letak dekat mana ni?"

"Letak dekat meja tengah tu, okey."

Aku meletakkan di tempat yang diarahkan oleh Mak Datin itu. Tadi tengok dari jauh dah mengancam, bila tengok dari dekat, memang cantik! Tidak sangka dia itu mak kepada budak kaca mata hitam yang sudah besar ini! Apa agaknya supplement yang dia makan ek? Boleh aku suggest dekat ibu!

"Cik Bunga... kedai Cik Bunga tu tutup pukul berapa?" tanya Emir.

"Pukul lapan malam," jawabku bersahaja. Aku leka membetulkan kedudukan bunga gubahanku di atas meja itu sambil mata meliar melihat baju-baju yang dijahit manik. yang sangat menawan mataku. Kalau beli untuk ibu ni, sure ibu menangis air mata darah punya!

"Nanti Cik Bunga datanglah sini. Perasmian mula pukul lapan malam ni, ada makan-makan sikit. Saya jemputsemua yang ada dalam kedai Cik Bunga tu," "Tengoklah, tak janji, Okeylah, saya balik dulu!"

"By the way... nama saya Emir Harith Zakuan."

"Tak tanya pun!" Aku terus berlalu. Emir menjerit-jerit memanggil aku 'Cik Bunga' pun aku buat tidak dengar. Tak ada kelas langsung nak mengurat! Ingat nama dia sedap, aku terpikat ke? Pergi mampuslah...! Bagi selori pun aku tak inginlah!

Aku kembali ke kedai. Aku tersengih mengingatkan hal tadi. Macam-macam orang zaman sekarang hendak mengurat! Nasib baik tidak tanya jam pukul berapa, sungguh lame!

Aku tidak ambil tahu apa yang berlaku di luar, sedar-sedar sudah malam. Malam itu aku menutup kedai tepat pukul sembilan malam, lewat satu jam sebab hari ini stok bunga masuk. Tengah hari tadi, bos dengan Abang Meon pergi ke Cameron Highlands untuk mengambil stok yang telah dipesan. Maklumlah, hari kekasih bakal menjelang tiba. Ramai orang akan tempah bunga sewaktu Valentine's Day! Argh... bagi aku, lantaklah bila pun hari kekasih itu. Kalau aku jatuh cinta, setiap hari yang aku lalui adalah hari kekasih bagi aku!

"Siap semua, Mel?" tanya Encik Shadan.

Aku mengangguk. Selalunya aku yang paling akhir balik dari kedai sebab aku leka menggubah bunga sehingga tidak sedar semua sudah balik dan malam telah tiba. Itu punca abah selalu marah dengan aku, sebab dia selalu terpaksa menjemput aku apabila kereta Kancil selalu mati sebelum aku start! Kalau bukan abah yang marah, abang- abang akulah yang membentak bentak!Aku menuju ke keretaku. Aku melihat butik itu, ramai orang yang datang. Banyak juga kereta yang besar- besar parkir, mungkin semuanya menuju ke situ. Aku mahu cepat-cepat masuk ke dalam kereta, rasa seperti ada yang memerhati! Takut juga....

"Cik Bunga!"

Aku menoleh ke belakang. Si Emir ini betul-betul menyusahkan aku seharian. Aku menepuk dahi!

"Apa lagi? Bungakan saya dah hantar?" Aku mula nak marah. Emir menghampiri aku dan menyandarkan tubuhnya di keretaku. Kalau sandar dekat pintu belakang tidak apa, ini sandar dekat pintu bahagian pemandu! Macam mana aku nak masuk ke dalam kereta?

"Kenapa awak tak singgah ke kedai saya tu? Kan saya dah jemput. Tak baik tau, kalau jemput tapi tak datang. Kitakan sesama Islam, kena bantu dan saling memberi sokongan. After all we are neighbours."

Adehhh... berceramah pulak 'ustaz' ni.

"Dah lewat, saya nak balik."

"Ramai orang puji bunga awak tu..." ujar Emir sambil tersenyum.

"Tak payah bagi tahu, saya dah tahu!"

"Berlagak betul ya awak ni, tapi saya suka sikap confident awak yang tinggi tu."

Aku pening. Bilalah lelaki ni nak berhenti bercakap.

"Mel, okey ke?" tanya Abang Meon yang kebetulan lalu dengan van kedai.

Emir seakan tersentak. Dia langsung terdiam.

"Okey, Mel nak baliklah ni. Mamat ni...." Kata-kata itu sengaja tidak kusudahkan. Mataku melirik ke arah mamat itu.

Emir bangun daripada sandarnya lantas berdiri di sebelah keretaku. Aku masuk ke dalam kereta. Enjin kereta aku hidupkan dulu, nasib baik boleh hidup. Aku menurunkan tingkap....

"Saya balik dululah, Encik Emir. Bye! Jom abang, kita balik sekali. Mel takut jugak kereta Mel ni mati tengah jalan pulak."

"Mel jalan dulu, abang ikut dari belakang."

Aku melambai-lambai tanganku kepada Emir yang berdiri tegak melihat aku macam menyanyi lagu Negaraku. Hendak tergelak pun ada.

Sah! Mesti dia ingat Abang Meon, boyfriend aku! Haha haha... padan muka! Tahu takut...!

Abang Meon tu suami Kak Irah, la! Bukannya dia

tahu....

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience