Emir akhirnya mengaku Dania merupakan teman baiknya suatu waktu dahulu setelah aku mendesak dia untuk berkata jujur denganku. Aku mahu dia mengaku dengan kata-kata yang Irfan ceritakan pada aku. Dia memang tidak ada hati dengan Dania kerana Dania waktu itu milik orang lain. Dania bukanlah bekas kekasih, hanya kawan baik. Dania juga bukan budak Komunikasi Massa yang dia betul-betul minat dulu. Dania budak sekelas dan Irfan tidak pernah kenal. Irfan hanya tahu cerita sahaja dan tidak pernah bersua muka! Emir tidak mahu cerita perihal itu kerana dia kata dia memang tidak ada apa-apa dengan Dania.
Dania mempunyai idea yang bernas. Jadi idea-idea Dania telah memberikan ilham untuk Emir mencoretkan lakaran-lakaran itu, mereka cipta pakaian.
Aku yang melebih, ingatkan Dania itu kekasih Emir! Irfanlah menghasut aku! Cerita yang diceritakan oleh Emir tidak seperti kata-kata Irfan kepadaku. Hesy, aku rasa nak maki sahaja Irfan berdas-das.
Kasihan pula aku mendengar cerita Emir. Emir kata Dania itu daripada keluarga yang agak susah. Dia banyak kali cari kerja tetapi tidak dapat. Oleh kerana dia pandai menjahit, dia jadi tukang jahit sebelum dia dapat kerja dengan Emir. Emir memberikan dia kerja kerana nak membantu Dania sahaja. Adik Dania ada sakit jantung berlubang, banyak ubat yang dia perlukan. Bapa dia pula sudah meninggal dunia, tinggallah dia dengan emak dan lima orang adiknya. Sudahnya, Dania tidaklah jadi untuk diberhentikan!
Setahun Emir hilang sumber inspirasi bukanlah disebabkan oleh Dania seperti kata-kata Irfan itu. Emir hilang tumpuan kerana desakan Datuk Zakuan yang melampau ke atas perniagaan keluarga dan tidak langsung menyokong Emir untuk membuat sebarang runway! Sehinggalah suatu hari, dia ternampak gubahan aku dan membeli bangunan sebelah kedai Encik Shadan. Perasaannya melonjak, ilhamnya mencurah-curah dan dia mahu mula semula. Itu dibantu oleh mummynya walaupun tidak disokong oleh Datuk Zakuan.
Ingat tak mamat yang aku kata beli bunga aku yang harganya lima ratus ringgit tu? Itulah Emir! Aku pun terkejut. Mulanya aku tidak percaya tetapi bila dia menunjukkan gambar bunga yang aku gubah dulu dekat dalam sketch booknya, aku tergamam.
"Muka Dania tu kalau dia senyum, persis muka
seseorang..." kataku kelmarin.
"Muka Abang Irfan, kan?" jawab Emir.
"Yalah! Mana tahu jodoh depan mata, tapi tak sedar. Boleh kita kenalkan, kan Emir?" cadangku. Itu juga salah satu bagi mengelakkan Dania berlama dengan Emir dan Irfan melupai aku!
Emir tersengih mendengar cadanganku. Sebut pasal Irfan, Emir marah pada aku kerana percaya sangat kata-kata Irfan. Dia juga marah kerana aku hari-hari bersama Irfan. Bukan aku nak bersama dengan dia, dia merupakan pelanggan aku, nak buat macam mana? Stage untuk submit projek di Sabah itu pun sudah di peringkat akhir. Lepas ini aku tidak akan deal dengan Irfan lagi. Kenapa pula tidak percaya pada aku? Walhal, sudah tahu aku takkan dengan Irfan. Kalau aku mahu Irfan, sudah lama aku pilih dia! Walaupun dia mendesak, kasih dan sayang aku pada Emir tidak pernah tertumpah sedikit pun kepada Irfan! Cuma hati kecil aku ini selalu membandingkan Irfan dan Emir sejak akhir-akhir ini. Yalah, sudah Emir sibuk sahaja memanjang.
"Cincin mana, sayang? Dah decide?" tanya Emir.
"Mana elok? Yang ini ke?" Aku meletakkan di jariku. Aku menunjuk kepada Emir.
"Cantik jugak."
Tiba-tiba telefonnya berdering. "One moment."
Emir berlalu keluar. Aku masih memilih lagi. Memang cantik semuanya, aku jadi gelap mata. Emir masuk kembali.
Dia tersenyum memandangku. "Dah ke?"
"Gelap matalah."
"Ini cantik jugak." Emir menunjukkan sebentuk cincin yang ringkas, tetapi reka bentuknya menarik, bersilang-silang berliannya.
Aku menyarungkan ke jariku. Telefonnya berdering lagi.
"One moment please!" Emir keluar lagi menjawab panggilan telefonnya.
Aku yang nak memilih ini pun jadi tidak senang. Lebih baik kahwin dengan telefon! Aku baling telefon tu karang! Geramnya...!
"Yang ini agaknya." Aku mengambil pilihanku dan memakainya. Aku rasa yang ini sudah cantik. Cincin tunang biar biasa, cincin kahwin barulah canggih. Aku tersenyum. Berangan sendirilah nampaknya!
"Sorry sayang. Dah pilih?" tanya Emir.
"Ini tunang, ini kahwin."
"Nice. Good choice. Bila boleh ambil?" tanya Adam.
"Hmmm...." Pekerja itu mengambil kalendarnya. Telefon Emir berdering lagi.
"Sekejap ya, sekejap. It's urgent." Emir keluar lagi. Akhirnya aku juga yang deal sendiri. Aku masih boleh bersabar. Tidak apalah dia nak jawab panggilan telefon, asalkan hari ini dia bersamaku, aku tidak kisah yang lain. Dia ada di sisi sudah cukup baik.
Usai memilih cincin, Emir membawa aku ke tempat untuk mencetak kad kahwin. Oleh kerana tempoh aku bertunang sangat cepat, hanya seminggu, aku rasa tidak sempat untuk aku lakukan apa-apa. Jadi aku menetapkan untuk siapkan semua sebelum aku bertunang. Tarikh dan tempat telah pun ditetapkan termasuk borang-borang kahwin semua sudah aku hantar ke pejabat agama minggu lepas, selepas aku jumpa tuk kadi dengan abah. Itu yang boleh buat kad kahwin.
Tiba-tiba telefon bimbit aku pula yang berbunyi. Irfan? Aku angkat juga. Aku sengaja hendak menyakitkan hati Emir!
Biarkan..Pembalasan Si Pitung
"Helo, assalamualaikum."
"Waalaikumussalam."
Suara Irfan kedengaran di hujung talian.
"Ya, abang. Kenapa bang?"
"Design tu ada kena tukar sikitlah."
"Design kena tukar, ya bang? Bahagian mana tu, bang?"
"Dekat bilik air tu, singkinya tak boleh menghadap situ, situ tak apa paip. Arkitek dah ubah pelan..." ujar Irfan.
"Ohhh... tahu, tahu. Nanti Sa tukar. Bila abang nak?"
"Next week boleh, Sa?"
"Okay, as soon as possible!"
"Thanks, bye!"
Klik.
"Ya, apa bang? Lunch? Boleh, tak ada masalah. Dekat mana? Okey, ambil dekat pejabat. Okay bye, see you then!"
Sengaja aku banyakkan perkataan abang di situ. Biarkan... Sebenarnya Irfan sudah pun mematikan talian, tetapi sengaja aku sambung perbualan. Buat-buat macam Irfan mengajak aku makan tengah hari, walhal tiada orang di talian.
Aku menutup telefon. Emir memandangku, aku hanya senyum dan pura-pura tidak tahu.
"Siapa call?" tanya Emir.
"Abang Irfan."
"Kenapa?"
"Hal kerja."
"Owh... sampai lunch?"
"Biasa... client," jawabku selamba badak.
"Okey."
Bunyi macam cemburu, padan muka! Biarkan dia cemburu. Biar dia tahu yang Dania sibuk menelefon dia tu, aku punya perasaan ni seperti tunggul kayukah? Sengaja aku menyakitkan hati Emir!
Kemudian telefon aku berdering lagi. Kak Zara?
"Ya, Abang Irfan? Kenapa ya?"
"Wehhh... akak ni Kak Zara. Apa benda Abang
Irfannya?"
Aku hendak tergelak, tetapi aku tahan juga! Biar
sakit telinga Emir, aku menekankan panggilan abang kepada
'Irfan'.
"Kenapa?" tanyaku.
"Akak nak cakap, bunga tulip yang Mel nak tu dah ada. Bolehlah buat bunga tangan untuk bersanding nanti. Macam yang kau nak tu..." ujar Kak Zara.
"Hesy... buat susah-susah sajalah abang ni. Terima kasih banyak-banyak..." ucapku.
Dalam hati menjerit keseronokan. Mesti Encik Shadan bersusah payah tempah dari Belanda untuk aku!
"Kau ni sengaja, kan? Okeylah! Mel miring tapi nasib kau cantik. Mel... Mel..." ujar Kak Zara.
"Okey, bye."
Klik
Aku tersenyum-senyum. Emir bengang melihatku.
"Siapa lagi? Abang Irfan?" tanya dia.
"Haah...." Aku ketawa.
"Apa dia nak pulak?"
"Dia belikan Mel oleh-oleh dari Sabah..." ujarku. Pantas sahaja mulut aku ini menipu Emir.
"Itu pun nak beritahu."
"Orang nak beri, kita tadahkan tangan sajalah!"
"Kalau orang bagi hati, cinta, kasih dan sayang, ambik jugaklah?" marah Emir tiba-tiba.
Woopppsss... aku sudah melebih! Emir sudah
marah. Aku terdiam.
Share this novel