Bab 9

Drama Completed 10175

Aku sudah sampai di hotel besar dua puluh tingkat itu. Entah berapa bilik hotel ini ada, tetapi yang pentingnya aku sudah berjaya mendapat kerja di sini. Hip hip... hooorey! Aku sampai awal kerana terlalu teruja. Aku berjalan-jalan melihat kawasan sekitarnya. Dalam kepala aku tumbuh pelbagai idea macam cendawan tumbuh selepas hujan.

Aku masuk ke dalam, berjalan-jalan di hadapan lobi. Aku menyusun atur keadaan lobi di dalam otakku. Banyak betul kena ubah! Hotel ini ada tema tetapi sudah old style sangat, jadi kita harus kekalkan tema itu dengan gaya moden pula. Baru ngam habis! Aku berkata-kata sendirian di dalam hati. Tidak sedar ada orang memerhatikan aku.

"Belum apa-apa dah jadi pekerja terbaik ni!"Langkah aku terhenti. Idea aku tersentak. Arghhh... mana sahaja aku ada, kenapalah mamat ini selalu ada? Aku menepuk dahiku. Emir dengan kemeja petak berwarna biru, slim fit dengan seluar jeannya. Dia cukup suka memakai kasut sport berwarna putih itu.

"Encik Emir ni tak ada kerja ke? Ikut-ikut orang ni, tak malu ke?"

"Cik Melisa Karissa ni.... Saya pun kerja sini jugak,buka kedai..." ujar Emir selamba.

"Eleh... selalunya bukan awak yang bukak kedai. Paling cepat kedai bukak pun pukul sepuluh pagi. Sekarang ni baru pukul lapan pagi. Cakap... awak skodeng saya, kan? Aku mencekak pinggangku, sengaja marah... marah-marah sayang! Aik... Melisa Karissa??? Dalam hati ada cinta ke?

Emir tergelak.

"Lambat lagi awak nak masuk kerja, kan? Teman saya pergi breakfast dulu." Selamba Emir memasukkan tangannya ke dalam tanganku yang sedang mencekak pinggang. Hesy... memang selamba badak betullah dia ni!

"Awak ni, kan! Saya tak tahu nak buat apa lagi dengan awak ni."

"Tak yah buat apa, cintai saya dah cukup buat saya bahagia."

"Masya-Allah!" Aku menepuk dahiku.

"Perasannya Encik Emir ni!" Gara-gara dia menarik aku, aku terlanggar bahu seseorang di hadapan pintu masuk hotel. Mamat ni betul betul tak senonohlah!

"Sorry..." ujarku.

"Mel, kenapa?" Emir berpatah balik.

"Tu la awak, saya dah terlanggar orang!" Aku memarahinya.

Lelaki itu memandang kami setelah membetulkan dirinya. Ya Allah! Aku menekup mulutku. Mamat jiwa kacau.

"Eh, abang! Sorry abang. Emir tak perasan abang tadi.

"Patutlah abang tunggu Emir nak bersarapan, mom kata Emir dah ke hotel..." ujar Irfan. Irfan memandangku. Aku jadi serba tak kena.

Adoiii... sah aku kena 'bambu' masuk kerja nanti.

Emir menggaru kepalanya yang tidak gatal. "Oh. hari ni bukak kedai awal sikit. Nak pergi breakfast ni. Abang nak follow kita orang?"

"Takpelah. Abang dah breakfast. Jangan lupa,masuk kerja pukul sembilan pagi." Aku mengangguk. Aku tahu 'pesanan penaja' itu ditujukan kepadaku. Jam pun baru menunjukkan ke pukul lapan pagi, ada sejam lagi.

"Bye bang.... Jom Mel!"

Irfan berlalu ke lif di lobi.

"Eee, buat malu oranglah Emir ni!" Aku memukul belakangnya.

"Sakitlah, Mel. Sejak bila Mel suka pukul ni?"

Dia menyuruh aku mengusap belakangnya. Tak dapatlah.... Nak, usap sendiri. Apa ingat ini bibik ke?

"Sejak awak ni suka sangat melampaui batas. Saya ni bukan muhrim awak tau!" Aku memarahi Emir.

"Sorry... saya tak buat dah! Tak lama lagi jadi muhrimlah. Sekarang kena biasa-biasakan," kata Emir selamba.

Aku mengucap panjang!

Emir tergelak. "Sorry... tak buat dah. Janji!" Aku tidak jadi hendak mengetuk kepalanya dengan beg aku. Tahu takut!

"Mel..." panggil Emir sewaktu aku mahu membuka pintu keretanya. "Awak tu jangan pakai lawa-lawa sangat pergi kerja. Jangan mekap, jangan senyum, jangan....."

"Nanti saya pakai jubah dengan purdah," sambungku. Dah semuanya jangan, baik tak payah pergi kerja. Bukannya aku pakai tak senonoh pun, aku pakai baju kurung ni! Jarang ke? Tak pulak! Kalau jarang, abah mesti dah tegur pagi-pagi tadi. Aku melihat bajuku. Tidak seksi pun!

"Saya tak sedap hatilah nak lepaskan awak kerja kat sini. Saya dah rasa menyesallah pulak. Irfan tu tengok awak macam nak telan saja, tau!"

"Itulah saya dah beritahu awak...!" Aku pernah cakap, dia yang tidak percaya. Tadi tengok sendirilah, mamat jiwa kacau itu tengok aku macam tidak makan sebulan!

Emir seakan bermenung.

"Encik Emir, nak sarapan ke tak ni? Nanti saya lewat."

"Ops... sorry, sayang. Jom kita pergi Vanggey!" Aku tersenyum. Vanggey... Vanggey... Vanggey! Sesudah bersarapan, aku terus ke hotel. Aku melaporkan diri sebaik sahaja sampai waktu pejabat. Aku ingatkan Irfan itu seorang yang serius tetapi baik hati.... rupanya aku tersilap. Serius dan berlagak adalah! Aku diberikan 'ceramah percuma' oleh Irfan pagi tadi sebelum dia memperkenalkan aku kepada pekerja-pekerja yang lain.

Yang aku sakit hati tu bila dia cakap: "Awak kerja di sini jangan asyik nak bercinta saja, kerja betul-betul!" Terngiang-ngiang di telinga aku sampai sekarang. Sudah tentulah semua kerja yang aku hendak buat, semuanya tidak jadi. Hampeh betul! Nasib baik Emir tidak kacau aku sampai ke sini. Dia tahu batasnya. Nasib baik dia tahu, kalau dia buat bodoh sahaja...? Arggghhh... rasa bosan pula kerja pejabat nil Mengantuk semacam sahaja. Kak Amira pun tidak ada, bercuti hari ini. Kalau di kedai bunga tu, kalau tidak ada pesanan, tidak adalah hendak buat apa-apa. Lepak-lepak, berborak atau baca majalah. Sekarang ni? Tidak ada kerja pun, kena cari kerja juga. Bosannya hidup!

"Karissa, meeting..." ujar Irfan, tiba-tiba muncul di partition kerjaku.Aku mengangguk-angguk.

Di bilik mesyuarat, aku, dia dan setiausahanya sahaja. Setiausahanya, Puan Munirah, yang lebih dikenali sebagai Kak Moon, bersedia untuk mencatat minit.

"Sekarang ni, hotel kita akan lalui beberapa fasa refurbishment. Ini adalah arahan daripada GM. Saya nak awak start design untuk lobi terlebih dahulu. Saya tak mahu terhadkan kreativiti awak. Ikutlah macam mana hasilnya," arah Irfan tegas.

Naya aku kalau aku buat silap!

"Tema?" tanyaku. Aku mahu tahu juga kehendak GM itu macam mana. Nanti aku buat ikut kepala aku nanti, dia tidak suka pula!

"It's up to you. Saya tahu awak boleh buat, Karissa. Kalau tidak masakan awak dapat kerja di sini. Dismiss." Irfan bangun langsung keluar.

Aku terpinga-pinga. Macam ni ke meeting? Bagi arahan terus blah.... Baik bagi aku e-mel saja, sombong betul! Entah berapa lama aku boleh tahan, aku pun tidak tahu.

Haihhh...! Aku pun keluar dari bilik mesyuarat itu Macam bengong sahaja kepala aku. Rasa kerja dengan orang Rusia pun ada walaupun aku tidak pernah pula kerja dengan orang Rusia! Heh... macam-macam hal! Waaa... rindu dekat bunga-bunga aku. Benci!

Sejak aku terima arahan itu, aku tengok-tengok juga dalam Internet gaya-gaya hotel dalam dan juga luar negara. Aku juga melihat majalah dekor yang aku beli di lobi, adalah sikit-sikit idea yang aku dapat. Aku mula membuat lakaran, adalah dua tiga jenis tema yang aku buat.

Jam di dinding sudah pun menunjukkan pukul empat tiga puluh minit petang. Leka melukis sampai tidak sedar lagi setengah jam aku sudah boleh pulang! Aku sudah berjanji dengan Kak Zara hendak singgah di kedai bunga dulu sebelum pulang terus ke rumah. Aku sudah pun cakap dengan ibu, ibu okey sahaja.

"Kak Moon, bos ada ke?" tanyaku.

"Keluar, Sa. Kenapa?" jawabnya.

"Tadikan dia suruh saya buat drawings, saya dah siapkan. Tolong letakkan atas meja dia." Aku menyerahkan rekaanku kepada Kak Moon.

Kak Moon memuji lukisanku, aku gembira. Ada juga yang gembira dengan hasil rekaanku. Tetapi yang penting, GM itu nanti hendak kata apa. Huh... berdebar pula bila sebut GM.

"Kalau betul hotel kita jadi macam ni, cantiknya!"

Aku tergelak. "Kak Moon, selalu habis kerja pukul berapa?"

"Pukul lima petang tu, semua admin dah balik kecualilah orang yang kerja syif."

"Sya nak siap-siaplah, tak sabar nak balik!" ujarku,tidak sabar hendak keluar dari sini.

"Mesti bosan, kan...? Kerja tak banyak sekarang. Nanti benda ni dah siap. Kairssa tak menang tangan kut!"

"Agaknyalah. GM tak masuk kerja ke?"

Seharian aku di sini, aku tidak nampak pun batang hidung Datuk Zakuan. Hendak juga aku tengok lagak orang tua itu, macam Irfan ke macam Emir?

"Masuk seminggu sekali. Datuk Zakuan tu orang tua yang cerewet. Kata dia, kata dialah. Sama macam anak dia tu!"

"Anak dia yang mana satu?"

"Irfan. Emir tak macam Irfan, dia tu relaks sikit. Dengar kata, kamu ni kawannya Emir, ye ke?" tanya Kak Moon.

Huish... orang tua ni suka bergosip jugak ya! "Kawan saja. Butik dia sebelah kedai bunga saya kerja dulu."

"Ohhh...!" Kak Moon mengangguk-angguk.

Aku meminta diri. Bercakap dengan Kak Moon sahaja sudah ambil masa setengah jam. Yeah... boleh balik! Cepat-cepat aku mengemaskan begku. Aku hendak balik cepat, tidak mahu terserempak dengan Irfan. Sat lagi dia suruh aku tunggu pula.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience