Selesai sudah semua majlis di dalam keluargaku. Giliran aku pula yang bakal mengadakan majlis pertunangan. Seperti yang dijanjikan dek Emir, keluarganya datang bertandang ke rumahku. Seperti yang dicadangkan, hujung tahun ini, majlis pertunangan dan majlis perkahwinan dibuat sekali dalam minggu itu. Maknanya, bertunang hanya seminggu sahaja kemudian minggu selepasnya diadakan upacara pernikahan dan kenduri kahwin. Abah dan ibu bersetuju. Sewaktu perbincangan itu, Emir tidak ada. Hanya Irfan yang mengikut.
Aku agak marah waktu itu. Yalah, siapa yang nak bertunang? Emir ke Irfan? Aku geram sebab dia semakin bersikap acuh tak acuh dalam hal ini. Sibuk betul dengan urusan kilang pakaiannya itu. Bila aku buka mulut, mula kata aku membebel. Perangai Emir semakin hari. semakin menyakitkan hati.
Boleh pula dia batalkan di saat-saat akhir. Bukan perbincangan ini sahaja, lain-lain perjumpaan yang memerlukan dia, semuanya ikut suka hati dia sahaja bila nak pergi. Bila ikut jadual dia, sesedap rasa sahaja nak ubah. Geram betul! Aku ni? Macam lembu kena cucuk hidung. Ikut sahaja rentak dia. Aku pun sibuk juga! Tidak ada pula aku macam dia. Hishhh... sebut nama dia sekarang rasa nak cekik diri aku... kenapa pilih dia! Mula timbul kembali rasa berbelah bahagi!
"Sa pernah dengar tak cerita Hikayat Seribu Satu Malam?" tanya Irfan sewaktu malam keluarga kami berbincang.
"Cerita Sheherazad yang berkahwin dengan Shahrayar tu?"
Irfan mengangguk.
Aku tahu cerita Hikayat Seribu Satu malam. Ceritanya berkisarkan seorang isteri raja ini telah berlaku curang kepadanya. Oleh yang demikian, dia berkehendakkan isteri yang baharu setiap hari dan pada malamnya, dia membunuh isterinya itu sehinggalah dia berkahwin dengan seorang anak perempuan wazir yang bijak bernama Sheherazad. Malam pertama perkahwinan mereka, Sheherazad akan menceritakan cerita-cerita hikayat dan akan memberhentikan babak terakhir. Itu menyebabkan Shahrayar sering tertanya-tanya akan akhirnya setiap penceritaan itu sehinggalah Shahrayar jatuh cinta kepada isterinya itu dan tidak jadi membunuhnya.
Huh, aku suka cerita itu. Betapa bersungguh Sheherazad mencari jalan untuk dicintai suaminya supaya tidak dibunuh! Tetapi... apa kena-mengenanya cerita ini dan Irfan? Aku memandang Irfan.
"Kalau Sa tahu cerita itu... Sa tahulah betapa banyaknya jalan abang buat untuk Sa jatuh cinta kepada abang. Tapi sekarang abang sedar, Sa bukan Shahrayar tu.Walaupun segigih mana abang seperti Sheherazad, abang tak akan dapat cinta Shahrayar biar beribu malam pun! Biarpun lebih dari seribu satu malam pun sebab Sa cintakan Emir, bukan abang."
Aku terdiam.
"Abang tak nak Sa sia-siakan cinta Sa itu."
"Tapi dia terlalu sibuk, bang!"
"Itulah, abang nak Sa jadi Sheherazad, cari cinta
tu balik."
Aku terfikir cerita dia hari ini. Mencari cinta aku balik! Huh... mana nak cari kalau nak cakap dengan Emir pun susah! Apa lagi nak berjumpa. Ini hal tunang dan kahwin ni? Aku tidak kisah kalau semuanya aku kena buat sendiri, tetapi at least berikanlah aku keputusan bersama atau masa untuk berbincang.... Ini semua aku yang tentukan, baik aku sahaja berkahwin seorang. Aku masih boleh memendam rasa lagi, jangan sampai aku meletup! Satu apa pun tidak jadi nanti. Sudahlah nak jumpa pun susah!
"Macam mana rekaan ini?" tanya aku kepada Irfan.
"Good. Cantik. As always," jawab Irfan.
Aku tersenyum. Aku agak lesu, penat berfikir, penat badan, penat otak, penat dengan Emir, penat dengan persiapan pertunangan dan perkahwinan... aduh!
"Letih nampaknya, Sa?"
"Penat sikit."
"Kalau penat, ambil cuti..." ujar Irfan.
"Rehatkan diri, tenangkan fikiran...."
"Mana boleh nak ambil cuti, Sa baru start kerja, kan? Nak kahwin, nak kena cuti jugak."
"Hmmm... kahwin. Macam mana persiapan? Okey?" tanya Irfan.
"Okeylah kut."
"Kut? Macam tak bersemangat aje?" soalnya.
Aku hanya tersenyum. Aku tidak mahu berkata apa- apa. Aku yang pilih Emir, aku kena tanggung sendiri. Aku tidak mahu dia salahkan Emir sebab tidak pandai menjaga hati aku. Aku masih ingat dengan apa yang dia cakap dahulu. Huh... untuk perkara itu berulang, aku tidak mahu! Masa sudah semakin suntuk, aku tidak sanggup kehilangan Emir, walaupun dia sangat-sangat sibuk.
"Semangat. Cuma letih sikit."
"Kena buat semua kerja sendiri?" tanya Irfan lagi.
Seperti memerangkap aku, seperti tahu apa yang berada di dalam benak aku. Patutkah aku luahkan? Hesy.... janganlah, Mel!
"Emir kan sibuk sikit."
"Sibuk dengan Dania?" tanya dia.
"Sibuk dengan kerja. Ada ke pulak Dania! Dia tu pengurus kilang Emirlah, bang." jawabku. Aku masih menaruh kepercayaan pada Emir.
"Sa tahu Dania tu sebenarnya siapa?"
"Tahulah, Emir kenalkan dulu. Abang kenal ke?"
"Abang tak pernah tengoklah orangnya siapa, tapi abang tahu dia tu siapa," ujar Irfan.
Gulppp!!! Siapa? Aku mengerut dahi. "Mungkin dia ex-girlfriend Emir masa dekat UITM dulu."
"Hah! Girlfriend ke?"
Aku terkejut. Kalau sumber inspirasi, bukan girlfriendkah? Emir kata dia tidak pernah ada girlfriend Emir kata dia pernah ada crush saja dengan budak Komunikasi Massa. Emir tidak pernah cakap pasal Dania pun!
"Setahu abang, Dania tu la sumber inspirasi Emir masa dia di UITM dulu dan dia jugalah penyebab Emir hilang sumber inspirasi hampir setahun, sebelum dia kenal Sa," cerita Irfan.
Aku tergamam. Emir memang pernah cakap dia pernah hilang sumber inspirasinya selama setahun. Selama itu dia tidak boleh nak mereka fesyen sehinggalah gubahan bunga aku menarik dia untuk melukis kembali.
"Betul ke?"
"Betul! Sa tak percaya Sa tanya Emir sendiri..."
tegas Irfan. Aku memandangnya tajam. Atau ini sengaja buat propaganda untuk memisahkan aku dan Emir? Aku meragui cerita Irfan. Aku takut kejadian seperti flight delayed dulu terjadi kembali. Mati-mati aku percaya padanya dan bertindak melulu pula. Hati aku jadi tidak sedap!
"Okeylah, Sa fikirlah. Keputusan ada di tangan Sa. Abang tak mengharap apa-apa. Untuk Sa kembali kepada abang, satu Stadium Ipoh abang tadahkan!" ujar Irfan tersenyum.
"Ada saja!" Aku sengaja buat-buat tergelak. Sebaik sahaja Irfan pergi, aku termenung di mejaku. Benarkah, betulkah? Semua berada di dalam benakku, berlegar-legar macam kereta api mainan yang bunyi tut-tut! Annoying! Aku mahu pedulikan, tetapi aku tidak boleh. Aku tidak boleh endahkan perkara macam ini, makan dalam nanti!
Tiba-tiba telefon bimbit aku berbunyi. Emir!
"Helo, sayang"
Suara dia ceria sahaja.
"Helo."
"Emir mintak maaf sangat-sangat. Emir tak boleh nak pergi ukur cincin tu. Apa kata Mel pergi dengan mom? Apa yang Mel pilih, itulah pilihan Emir. Boleh sayang?
Aku terdiam. Aku mahu menjerit! Aku mahu menangis. "Emir, we need to talk"
"Aik, bunyi macam serius aje?"
"Sekarang ini, Emir nak kahwin dengan Mel ke tidak? Semua Mel kena buat sendiri. Dari pilihan baju, pelamin, kek, hantaran, makanan sampai ke cincin semua Mel kena buat keputusan... semua pergi dengan mom! Mel ini siapa bagi Emir? Bibik ke?" Aku sudah mula menangis. Aku rasa sangat terbeban terpaksa menanggung semuanya ini. Tambahan lagi dengan cerita yang baru aku dengar daripada Irfan.
Emir terdiam.
"Mel tahu Emir busy. Mel pun busy jugak. Mel pun kerja jugak. Tapi inikan hari bahagia kita, kenapa Emir buat macam ini dekat Mel? Kalau Emir tak mahu, kalau Emir ada orang lain, kita batalkan saja... Mel dah tak kisah!"
Klik
Aku menutup telefon .Aku matikan terus? Aku tidak mahu dia menelefon dan memujuk aku. Kalau dia betul sayangkan aku, dia akan cari jalan untuk memujuk aku. Betullah kata Kak Zara dengan Kak Irah, kalau tidak berhati- hati, pengurus kilang bukan sahaja jaga kilang, tetapi jaga tuan kilang!
Aku mengesat air mataku yang laju mengalir. Tidak ada mood nak buat kerja. Aku mematikan komputer dan mahu berlalu keluar.
"Syam, saya cuti kecemasan, half day. Penatlah."
Aku memberitahu setiausaha pejabat, Syamsinar. Syamsinar hanya mengangguk.
Dalam kepala aku, hanya kedai bunga yang aku nampak. Kereta aku akhirnya meluncur laju ke situ.
Sampai di hadapan kedai, aku melihat kereta Emir tidak ada. Aku jadi senang hati. Aku masuk terus ke dalam kedai bunga, tetapi Kak Irah dan Kak Zara tiada. Van kedai pun tiada. Takkan semua orang pergi hantar bunga? Tidak ada seorang pun yang tinggal. Lepas tu, tinggalkan pintu tidak berkunci? Pelik!
"Kak Zara! Kak Irah...!" jeritku.
Tiba-tiba aku dengar bunyi tapak kasut Mikaeel Yusuff. Dia berjalan terkedek-kedek menghampiriku. Di bajunya terlekat nota dan bunga lily kegemaranku. Aku mengambilnya dan menggendong Mikacel Yusuff.
Maafkan Emir, sayang. Emir dah buat Mel menangis.
Aku memandang sekeliling. Mana Emir? Ini mesti kerja Emir. Dalam hati aku tersenyum. Tetapi tidak mahu menunjukkan kesejukan hatiku apabila dia berbuat begitu. Jual mahal sikit. Aku buang nota yang dia berikan. Aku gumpal dan baling ke dalam tong sampah. Sakit hati masih belum hilang walaupun sayang pada Emir tidak pernah berkurangan.
"Jaga kedai kejap. Kak Irah pergi kedai sebelah." Kak Irah cepat-cepat mengambil Mikacel Yusuff dari tangan aku.
"Eh... eh... nak pergi mana?"
"Jangan campak pasu-pasu pulak. Bincang elok elok." ujar Kak Zara, kemudian dia pun menghilang sama macam Kak Irah.
Emir mendekati aku, aku buat tak tahu. Aku masih berkeras hati. "Mel, maafkan Emir." Dia duduk di bawah, melutut padaku.
"Emir tak patut buat Mel macam ni..." ujarku
mulai sebak.
"Emir tinggalkan Mel sorang buat semua kerja. Ini hari bahagia siapa? Mel sorang saja ke? Bukan dengan Emir?"
"Penat tau, buat itu... buat ini, semua Mel buat! Dari set appointment dengan wedding planner sampai jumpa tuk imam pun Mel buat! Emir langsung tak ambil tahu."
Emir diam sahaja. Memang nampak dia rasa bersalah sangat-sangat.
"Tak mahu cakap lagi, buat penat saja." Aku mengesat air mataku.
"Mel nak balik." Aku mahu bangun dan pergi. Emir menyentap tanganku.
"Emir mintak maaf. Alasan Emir sibuk memang tak boleh diterima pakai. Sepatutnya persiapan hari bahagia kita, Emir patut ada bersama Mel. Emir janji, lepas ni Emir ikut semua acara. Sibuk mana pun, Emir janji akan ada masa untuk Mel. Kalau Emir mungkir janji, Mel buatlah apa saja... tapi jangan ugut untuk tak mahu bertunang atau berkahwin. Emir tak nak kehilangan Mel, tak sanggup kehilangan Mel!" ujar Emir bersungguh- sungguh.
"Janji?"
"Sumpah!"
"Kalau Mel call, Emir janji angkat?" tanyaku, meminta kepastian.
"Janji!" jawab Emir.
"Kalau Yang suruh buat, Adam janji buat?"
"Janji!"
"Berhentikan Dania!" ujarku.
"Hah???" Dia terkejut!
Share this novel