BAB 18

Romance Completed 21965

“URGH! Aku tak tahulah apa benda kau simpan dalam kepala hotak kau tu, benda begini pun tak boleh ingat” Adam gelengkan kepala beberapa kali, geram. Yana diam. Terguris hatinya dikatakan begitu oleh Adam.

“Pelik. Macam mana kau boleh lupa benda penting begini hah, Yana?” Adam memandang sekilas ke arah Yana yang masih menangis di sebelahnya. Yana hanya menunduk. Tidak bergerak. Tidak juga membalas pertanyaan Adam. Hanya tangisan yang teresak-esak sahaja kedengaran.

“Dahlah tu, lap air mata tu” Adam mengeluarkan sehelai sapu tangan berwarna putih daripada kocek bajunya dan menyerahkannya kepada Yana. Dia memang selalu membawa sapu tangan tersebut untuk mengelap peluhnya apabila dia merasakan sesak dada yang teramat sangat. Yana mengambil sapu tangan tersebut dan mengelap airmatanya. Wangian sapu tangan itu menusuk hidungnya. Itu adalah wangian Adam. Dia sukakan wangian Adam. Apa dah gila kau ni Yana! Bukan ini sepatutnya yang kau kena fikirkan sekarang! Fikirannya berusaha membawanya ke realiti. Tetapi, dia sekali lagi menghidu perlahan wangian sapu tangan itu. Wangian itu menenangkannnya. Gila Yana! Teriaknya dalam hati. Cepat-cepat dia meletakkan sapu tangan itu di ribaannya.

“Bila diorang kena keluar dari rumah sebenarnya?” Adam sebenarnya tidak tahu hujung pangkal cerita. Yana bercerita kepadanya dalam keadaan menangis. Satu perkara yang pasti, rumah ibu bapa Yana disita oleh pihak bank kerana ayah dan rakannya telah hilang segala pelaburannya.

“Esok” jawab Yana perlahan.

“Bila lagi perkara ni berlaku? Baru sekarang bagitahu kat aku. Yana, Yana...” Adam berkata dalam suara yang ditahan-tahan. Dia merupakan orang paling akhir mengetahui masalah keluarga Yana.

“Aku tahu lima hari yang lalu. Waktu tulah aku ke office kau, nak bincang dengan kau tapi kau takde. Akhirnya, aku lupa nak bincang bila kau balik rumah. Lagipun, aku takut nak susahkan kau. Kau kata nak jumpa pemaju pasal kondo tu” Yana menangkap Adam menggelengkan kepalanya dari ekor matanya. Nak mengejeklah tu.

“Kenapa tak bagitahu je waktu aku ada kat rumah hari tu? Macam mana boleh terlupa perkara besar macam ni?”

Maaflah, aku lupa sebab kau kacak sangat waktu terlelap kat sofa sampai aku dah tak boleh nak berfikir waras hari tu, jawab Yana dalam hati. Malu hendak mengakui bahawa kekacakan Adam membuatkannya lupa. Perasaannya kepada Adam telah membuatnya lupa tentang masalah besar yang dihadapi oleh keluarganya sendiri. Dia sendiri tidak percaya dia boleh terlupa perkara tersebut. Teruknya Yana! Yana menutup mata rapat, berusaha menghilangkan betapa bodoh dirinya apabila sudah bersama dengan Adam sedangkan Adam langsung tidak mempunyai perasaan kepadanya.

“Aku tak nak susahkan kau lagipun itu masalah keluarga aku” luah Yana perlahan. Adam mencebik mendengar jawapan Yana. Entah berapa banyak kali dia perlu beritahu Yana yang dia sedang membalas budi Adien.

“Aku tak tahu berapa banyak kali aku kena bagitahu kau benda ni, Yana. Aku kahwin dengan kau sebab nak balas budi. Aku kahwin dengan kau bermakna aku kahwin dengan ahli keluarga kau. Aku balas budi kau dan keluarga kau maknanya aku balas budi kat Adien. Biarpun aku dah outlinekan yang kita hidup sebagai stranger, jangan layan aku macam outsider bila perkara macam ni muncul lagi di masa hadapan. Faham tak, Yana?” Adam geram. Entah berapa banyak kali dia perlu mengulang perkara tersebut. Dia akan berusaha membantu. Dia mahu membalas budi insan yang membolehkannya hidup sehingga hari ini!

“Maaf”

“Maaf jelah yang kau tahu”

“Maaf. Lain kali aku tak buat lagi. Aku janji” Yana membuang pandang ke luar tingkap. Bagaimana aku tak jatuh cinta kat kau kalau kau layan aku dan eluarga aku dengan baik sekali? Menjaga dengan baik sekali? Please, jangan layan aku dan keluarga aku dengan baik. Aku tak kuat menahan perasaan ini.

YANA dan Adam melangkah keluar dari dalam perut kereta serentak. Encik Zaydy dan Isaac yang berada di ruang tamu keluar menyambut mereka.

“Assalamualaikum, ayah” mereka bersalaman. Yana memeluk ayahnya. Dia mahu ayahnya tahu bahawa dia akan sentiasa berada di sisinya menyokong.

“Mana mak, ayah?” soal Yana apabila mereka sudah berada di dalam rumah.

“Ada, kat dalam dapur. Pergilah tengok mak kamu, mungkin ada yang perlu dibantu” Yana menurut. Selepas meletakkan beg sandangnya di sofa, dia terus menghiliangkan diri di dapur. Adam pula duduk bersama dengan Encik Zaydy dan Isaac di ruang tamu. Tidak ada apa yang dapat mereka tonton kerana bil Astro belum dapat dilunaskan. Sudah dua bulan tidak berbayar. Ia bukan satu kepentingan saat ini.

Adam agak kagum melihatkan wajah ayah mentuanya. Wajah itu sangat relaks dan tenang seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Sedangkan realitinya, mereka akan keluar dari rumah sendiri dalam beberapa jam lagi.

“Aku ada dengar dari Yana pasal rumah ni” Adam memulakan perbualan. Lama mereka berdiam diri, tidak ada seorang pun yang mahu bersuara. Jika dia tidak bersuara, tidak ada yang akan bersuara, itu pendapat Adam. Mahu tidak mahu, dia kena memulakannya. Dia agak takut menyentuh hal tersebut sebenarnya. Lagipun, Encik Zaydy merupakan ketua keluarga, ia akan mengguris maruah dan perasaannya. Apatah lagi, ia sudah menjadi tanggungjawabnya untuk mempertahankan rumah tersebut walau apa pun yang terjadi.

“Jangan risau, Adam. Ayah dah fikirkan jalan. Benda belum berlaku tak baik difikirkan sangat” Encik Zaydy berusaha kelihtan tenang samada melalui wajahnya ataupun intonasi suaranya. Tidak ada sesiapa yang tahu apa yang bergolak di hatinya saat ini. Rumah itu adalah usahanya berkerja selama berpuluh tahun. Akhirnya, dia akan kehilangan rumah tersebut dalam umurnya begini, akhir hujung lima puluhan, apabila dia di ambang pencen.

Fikirnya, pelaburan tersebut akan membawa perubahan. Oh ya, ia memang membawa perubahan, menjadikan kehidupan mereka sekeluarga menjadi lebih teruk! Dan kawan? Hmph! Tidak ada maknanya kawan pada zaman sekarang ini. Dia terasa hendak pengsan apabila beberapa orang pegawai bank datang ke rumah mereka sebulan lalu. Pegawai-pegawai tersebut dengan tidak sopannya mengetuk pintu rumahnya kuat dan masuk tanpa kebenaran. Sangat kurang adab! Sambil meletakkan tag disita pada setiap barang di dalam rumah tersebut, dia diisytiharkan muflis. Diisytiharkan muflis pada umur lanjut begini adalah mimpi buruk bagi sesiapa pun.

Isaac memandang ayahnya. Tahu bahawa dia tidak maksudkan apa yang diperkatakannya tadi. Dia selalu tertangkap ahanya mengeluh apabila menghubungi orang yang Isaac sendiri tidak kenal pada waktu malam. Dia berdiri di anak tangga teratas, diam dan mendengar segala perbualan ayahnya meminjam duit daripada rakan-rakan. Sebagai anak lelaki, dia berasa kecewa dengan diri sendiri kerana dia tidak mampu untuk menolong. Dia sudah menjual semua barang berharganya, laptop dan komputer di kedai dan juga kepada kawan-kawannya. Berapa sahajalah yang dia dapat peroleh hasil daripada jualan benda terpakai tersebut. Meskipun orang hanya nampak benda tersebut sebagai benda terpakai, ia adalah hidupnya. Ada ketikanya, dia terfikir bahawa seseorang sedang bermain dengan hidup mereka.

“Apa rancangan ayah esok?” Adam menyoal. Dia melihat barang-barang yang berada di dalam rumah itu semuanya sudah ditag dengan perkataan ‘disita’. Mesti pihak bank dah datang.

“Ayah masih ada beberapa ribu ringgit lagi untuk survive sebulan dua. Tak payahlah risau. Jom, jemput makan kuih tu” Encik Zaydy berdiri mengajak Adam. Dia tidak mahu membincangkan perkara tersebut. Malu dengan anak menantu sendiri. Yana dan Puan Laila yang menjadi pendengar setia sejak dari tadi cepat-cepat mengisi minuman ke dalam cawan.

“Tak, ayah. Aku risau, aku tak boleh biarkan je benda ni bila aku dah ada jalan keluar” Adam menarik nafas. Memberi peluang kepada Encik Zaydy untuk menarik nafas juga.

“Aku dah ada plan untuk ayah. Maaflah kalau ayah kata saya ni penyibuk atau busybody ke, aku takkisah, aku cuma nak membantu. Yana kata hutang ayah dalam tujuh ratus ribu. Dari pengiraan aku, kalau bank tarik rumah ni pun, rumah ni cuma dalam tiga ratus ribu, ia takkan capai kepala empat. Kalau bank tarik kereta ayah sekali bermakna ayah dah bayar separuh dari hutang tu. Ayah dah bayar separuh dan tu dah kira bagus” Adam berhenti sebelum menyambung semula. Memberikan ruang untuk semua orang mencerna apa yang dikatakannya.

“Saranan aku adalah, biarkan aje diorang tarik rumah dan kereta ayah. Tu adalah yang terbaik walaupun banyak memori dalam rumah ni, ayah dan yang lain-lain kena lepaskan jugak. Dan untuk itu, aku hadiahkan sebuah rumah sewa kat Cheras untuk ayah. Hutang ayah yang selebihnya biar aku tolong langsaikan, sangat susah nak mulakan sesuatu bila dah diisytiharkan muflis. Aku pernah diisytiharkan muflis dulu, aku tahu macam mana keadaannya bila dah muflis. Banyak benda tak boleh dilakukan. Jadi, izinkan aku tolong ayah. Untuk kali ni aje” terang Adam perlahan. Niatnya bukan hendak memalukan ayah mentuanya. Dia benar-benar hanya ingin membantu. Encik Zaydy memandang Adam dengan pandangan tidak berkelip.

“Ayah tak nak susahkan kamu. Ni semua sebab ayah yang gila melabur. Ayah kena terima semua ni” Yana memandang dua individu yang disayanginya itu dengan sayu. Ibunya memegang bahunya dari belakang dengan mata yang merah. Cepat-cepat dipeluk ibunya itu. Dia tahu mesti ibunya sangat sedih dengan apa yang menimpa mereka sekeluarga sekarang. Krisis ini lebih besar berbanding krisis kewangan mereka sekeluarga sewaktu negara dilanda kegawatan ekonomi sewaktu mereka kecil dahulu.

“Aku tak susah pun, ayah. Ni adalah hadiah dari Yana dan aku. Lagipun, ayah dah langsaikan hutang tu separuh, aku tolong langsaikan separuh aje” suasana sepi. Tidak ada seorang pun yang berada di ruang tamu itu.

“Jadi, aku fikir ayah setuju dengan cadangan tu bila ayah diam begini” Adam menyengih. Encik Zaydy memandangnya.

“Ayah tak tahu nak kata apa” luah Encik Zaydy.

“Tak payah nak kata apa-apa, ayah. Aku akan lakukan benda yang sama dengan mak dan ayah aku jugak. Lagipun, aku sebahagian dari keluarga ni, kan?”

“Ayah masih tak tahu nak kata apa” luah Encik Zaydy lagi.

“It’s okay, ayah. Jomlah makan. Tiba-tiba perut ni lapar pulak” seloroh Adam seraya bergerak ke meja makan. Yana memberikan secawan kopi kepada Adam. Betapa dia terharu dengan kesungguhan Adam membantu keluarganya yang dalam kesempitan. Semakin hatinya terpaut dengan budi baik Adam. Ah! Dia cuma membalas budi!

“Terima kasih, Adam. Ayah tak tahu macam mana nak balas budi kamu” ucap Encik Zaydy lalu duduk bersebelahan dengannya.

“Takpe, ayah. Ayah tak perlu nak balas-balas. Yana ada, dia boleh tolong balaskan” Yana terus pandang Adam, Adam mengenyitkan mata. Urgh, kau sedang buat apa ni? Teriknya dalam hati. Tapi, aku sanggup balas budi kau selamanya. Kau maksudkan ke apa yang kau cakapkan tu? Kalau balas budi dengan tinggal dengan kau selamanya, akau sendiri yang akan tawarkan diri, bisik Yana perlahan.

Tersembur ketawa Isaac mendengar jawapn Adam.

“Tapi, rumah kat Cheras tu takde perabot jadi ayah kena beli perabot sendirilah ye” selorohnya sekali lagi. Dia sebenarnya mahu melengkapkan rumah tersebut dengan perabot sebelum mereka masuk ke rumah itu esok. Namun hatinya menyatakan bahawa ayah mentuanya sudah cukup malu dengan pemberiannya itu. Akhirnya, rancangan melengkapkan rumah tersebut dengan perabot terpaksa dibatalkan.

“Takpe. Isaac tolong carikan perabot. Ayah bayarkan” Isaac ketawa mengekek cuba menceriakan suasana. Gila hebat abang iparnya dapat menyelesaikan masalah mereka dengan sekelip mata. Lantas, Puan Laila mencubit Isaac.

“Mak ni dah kenapa?” Isaac mengurut cubitan menyengat ibunya.

“Mak dah kata dari dulu, pergi kerja kat syarikat abang Adam kamu ni bukannya asyik depan komputer je” Puan Laila sudah mula membebel.

“Nanti Zek pergilah. Lima puluh tahun akan datang” Isaac menyengih. Kali ni malas hendak membalas kerana hari itu adalah hari bahagia mereka selepas lebih kurang dua bulan disinggahi kegelapan. Adam senyum melihat gelagat ibu mentuanya dan Isaac. Yana pula curi-curi memandang suami sendiri. Rasa bahagia menjalar dalam dirinya tatkala melihat senyuman Adam. Perlahan-lahan dia menyuapkan kuih karipap ke dalam mulutnya.

Macam mana aku tak jatuh hati kat kau kalau kau asyik tolong aku dan keluarga aku? Please¸sila jatuh hati kat aku Adam...

“THANKS” ucap Yana apabila mereka sudah berada di dalam kereta dan bergerak pulang ke kondo. Sungguh, dia terharu dengan kebaikan Adam kepada keluarganya. Esok, Adam akan membawa keluarganya ke rumah yang dihadiahinya.

“Keluarga kau, keluarga aku juga”

“Aku terharu sangat, thank you”

“Tak payah nak terharu sangatlah Puan Iman Iryana” Yana gelak sendiri mendengar Adam menyebut namanya begitu. Makin cairlah aku kalau macam ni.

“Tapi, aku tak faham satu benda”

“Apa?”

“Apa yang aku perlu balas kat kau? Kau kata macam tu tadi kat ayah”

“Aku cakap macam tu?” kening Adam berkerut.

“Ha’ah”

“Tak ingat pun. Takpelah, lupakan. Takde apa yang perlu kau balas pun”

“Bagitahu aku kalau kau perlukan sesuatu, ya? Aku akan cuba lakukan untuk kau”

“Hurm...” Adam bergumam.

“Apa kata kalau kita tamatkan perkahwinan ni lebih awal? Tamatkan sebelum kau dapat cari pengganti Adien?” Yana terkesima. Bukan itu yang dimaksudkannya. Maaf, benda tu tak boleh. Benda lain silakan. Kedua-duanya diam.

“Jangan risau, benda tu takkan terjadi dalam masa terdekat ni. Aku taklah jahat sangat nak tambahkan kerisauan mak ayah kau. Sekurang-kurangnya, bukan masa ni” Yana berusaha menyembunyikan perasaannya. Dia tidak mahu Adam membaca riak wajahnya saat itu. Sedaya upayanya dia membuat muka innocent.

“Kau dah ada seseorang ke?” Yana menyoal. Hatinya gatal untuk tahu.

“What?! That was the funniest question one ever asked me. That was the second from you, right?”

“Kau nampak macam ada seseorang yang kau tak boleh dapatkan”

“Adoilah, Yana. Aku boleh dapatkan mana-mana perempuan kalau aku nak. Bersusun perempuan yang nakkan aku, Yana. Banyak yang nakkan aku walaupun aku dah kahwin dengan kau”

“Jadi kenapa nak tamatkan perkahwinan ni lebih awal? Aku belum jumpa seseorang sebagai pengganti Adien lagi” tak, sebenarnya aku dah jumpa. Orang tu adalah kau.

“Kau ni dah jatuh cinta kat aku ke soal benda-benda macam ni, hurm, Yana?”

“Aku cuma nak tahu”

“You’re deluded, Yana. Kau tak berhak tahu personal life aku” Yana bungkam, hilang kata-kata. Diri sendiri sengaja mencari kesedihan. Bukannya Adam tidak pernah memberitahu kedudukannya dalam hidup Adam. Cuma dia sendiri yang gatal hendak bertanya. Ni bukannya perkahwinan yang diimpikannya. Lebih teruk lagi, mereka akan berpisah suatu hari nanti. Erk, berpisah? Tak, tak nak. Aku tak nak berpisah dengan Adam. Aku nak habiskan hidup aku dengan dia seorang. Please, Adam. All you have to do is, love me like I do. Lupakan semua peraturan dan syarat yang kau dah tetapkan tu. Kita boleh hidup berdua selamanya.

“Satu perkara lagi” Adam memandang Yana sekilas. Meneliti samada Yana sedang memberikan perhatian kepada dirinya atau sebaliknya. Yana pandang Adam. Pandangan mereka bertaut dan Yana tidak mahu melarikan pandangannya. Adam cepat kembalikan perhatiannya ke jalan raya.

“Apa dia?”

“Pengangkutan” sepatah Adam menjawab.

“Pengangkutan? Pengangkutan untuk esok ke?” Yana menyoal tidak faham.

“Tak. Pengangkutan untuk mak, ayah dan Isaac. Mesti diorang perlukan kereta nak ke mana-mana tapi aku tak berani nak hadiahkan sebuah kereta kat ayah. Apa perasaan ayah asyik dapat pertolongan aku. Aku fikir, lebih baik kau hadiahkan MyVi kau tu kat ayah. Aku boleh hantar dan ambil kau kat tempat kerja. Ataupun, kau guna je Fair Lady tu buat masa ni. Aku guna Porsche ni je. Apa kau fikir?” Yana terpempan mendengar penjelesan daripada Adam. Tidak sangka Adam meneliti kesusahan keluarganya dengan begitu dalam sekali. Hatinya semakin tercuit dengan kebaikan Adam terhadap keluarganya. Muncul sahaja Adam di dalam hidupnya, Adam menunaikan impian keluarganya untuk melancong keluar dari Malaysia. Dan sekarang, Adam membantu keluarganya keluar daripada kesusahan yang mereka sedang alami. Dia fikirkan hingga ke masa depan kehidupan keluarganya juga. Sungguh, dia terharu.

“Yana, dengar ke apa aku cakapkan ni?”

“Aah? Dengar, dengar” Yana memalingkan mukanya dari melihat muka Adam. Betapa dia malu tertangkap begitu.

“Jadi, apa pendapat kau?”

“Aku setuju. Aku akan hadiahkan ayah kereta tu”

“Kereta tu dah habis bayar ke?”

“Belum. Ada dalam lima tahun lagi”

“Okey. Macam ni” Adam berdehem.

“Esok, kau langsaikan hutang kereta tu separuh. Aku akan keluarkan duit supaya diorang tak perlu bayar banyak sangat setiap bulan. Dan oleh sebab rumah tu tak ada apa-apa perabot, aku nakkau tunaikan cek sepuluh ribu. Tolong diorang beli barang keperluan. Jangan cakap duit tu dari aku, biar ayah dan mak anggap duit tu dari kau. Kalau kau nak tambah beberapa ribu pun boleh juga. Boleh ke? Aku tak dapat temankan nak cari barang esok. Aku cuma dapat tunjukkan rumah tu dan serahkan kunci. Aku kena jumpa klien” Adam menerang panjang lebar dengan suara pemilik syarikat. Yana berusaha sebaik mungkin untuk menangkap setiap butir bicara Adam kerana dalam masa yang sama, dia semakin cair dan kagum dengan Adam yang membantu keluarganya. Hanya Adam sahaja yang membantu mereka sewaktu mereka dalam kesusahan. Orang yang dah lama mereka kenali pun melarikan diri.

Oh, Adam. Macam mana aku tak jatuh cinta kalau kau sangat baik macam ni?

“Dengar ke? Kenapa asyik mengelamun je dari tadi. Macam bercakap dengan tunggul pun ada”

“Dengar, jangan risau. Aku akan buat semua yang kau cakap tu. Kau dah tolong begini pun dah cukup. Terima kasih ye, awak...”

“Entah berapa banyak terima kasih yang kau nak cakap”

“Sebab kau je yang sudi tolong kami bila orang lain berpaling. Terima kasih sekali lagi, Adam. Aku akan bayar budi kau jugak. Suatu hari nanti”

“Hmmm, yelah. Jangan lupa apa yang aku pesan tadi” Yana mengangguk.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience