BAB 1

Romance Completed 21965

“I LOVE YOU, sayang. Sayang, sayang abang tak?”

Adam Reza Ryan menyaksikan tayangan gambar hitam putih di hadapannya. Melihatkan tayangan gambar tersebut, hatinya terasa sangat sakit dan pedih, seperti dicucuk berjuta jarum. Tangan kanannya cepat memegang dadanya yang sakit, menggenggam dan menekan dadanya untuk menghilangkan rasa sakit itu namun rasa itu tidak ingin berlalu pergi. Sukar bernafas, sesak dan sakit menjadi satu. Meskipun begitu, dia tidak dapat melarikan diri daripada terus menonton adegan hitam putih tersebut yang bagaikan sudah menjadi suatu kewajipan padanya saban malam.

“Tak, tak sayang pun” gadis itu gelak. Dia gemar menjawab begitu apabila diajukan soalan cheesy oleh lelaki yang akan bergelar suami beberapa bulan lagi. Prinsipnya, tidak akan sekali-kali menyatakan sayang selagi lelaki itu belum sah menjadi suaminya biarpun lelaki itu adalah seorang yang istimewa. Baginya, perkataan magis itu sangat berharga dan hanya layak diujarkan kepada insan yang benar-benar halal kepada dirinya. Sehingga saat itu, silakan bermimpi!

“Sakitnya tuh disini..” lelaki itu menyanyi, gadis itu menyambutnya dengan ketawa.

“Hurm, tak pernah disayangi pulak selama ni” jawab si lelaki setelah habis menyanyikan lagu. Membuat gaya ala-ala menyambut hatinya yang jatuh dek kerana cintanya yang tidak berbalas. Gadis itu hanya senyum melihat lelaki itu berbuat demikian. Meskipun tidak pernah mendengar kata sayang daripada gadis yang dicintai, lelaki itu tahu gadis itu menyayanginya. Kerana sebab itu, dia sangat tertarik, sayang dan hormat akan gadis tersebut.

“Cepatlah pilih mana satu yang cantik, dah takde masa dah ni. Mak pun dah bising baju pengantin belum ada lagi” pinta si gadis yang sedang membelek baju-baju pengantin di hadapannya.

“Warna tema apa?” tanya si lelaki yang sudah meletakkan tangannya pada salah satu baju pengantin yang tersangkut cantik pada reel pakaian. Pada pandangannya, semua baju yang bersangkut itu cantik belaka. Pilihlah mana-mana pun, dia yakin gadis yang bakal memakai dan duduk bersebelaZek dengannya di atas pelamin nanti akan nampak cantik. Itu tentunya tidak lain tidak bukan adalah gadis yang sedang mencari sepasang baju pengantin yang sedondon bersamanya dalam butik saat ini.

“Hijau lumut” balas si gadis. Lelaki itu mengangguk sekali tetapi dalam kepalanya tidak terbayang langsung apakah warna tersebut. Hijau lumut? Lumut pun ada warna ke? Bisiknya. Warna yang diketahuinya hanyalah hijau, tidak tahu pula hijau lumut. Lantaklah, aku hanya menemankan bukan menentukan, bisiknya berpura-pura mencari baju berwarna hijau lumut. Sekurang-kurangnya aku nampak berusaha, dia sengih sendiri.

“Ni cantik ke?” tanya si gadis mengeluarkan satu daripada beratus baju pengantin yang berwarna hijau di kedai tersebut.

“Ni ke hijau lumut?” si lelaki mengerutkan dahi.

“Tak, tapi warnanya dah agak hampir.”

“Okey je,” jawab si lelaki.

“Tapi, orang tak berapa berkenanlah dengan batu-batu tu. Macam serabut sangat.” Dah mula dah. Well, girl. Everything must be perfect! Bisik hati si lelaki. Adam tidak faham mengapa dia dapat membaca segala isi hati yang terdetik di dalam hati lelaki itu. Semakin terasa sakit di dalam hatinya. Nafasnya juga sudah tidak menentu.

“Sayang carilah. Abang duk kat sana, penat!” luah si lelaki. Si gadis menoleh ke arahnya cepat. Matanya dijegilkan keluar menyampaikan mesej ‘jangan nak berani tinggalkan aku seorang diri kat sini!’. Seperti terkena renjatan elektrik si lelaki berdiri tegak, kakinya terasa seperti digam pada lantai. Oops! Tindakan yang kurang bijak saat ini, gerutunya dalam hati.

“Baru setengah minit membelek dah penat. Nanti, sampai bila-bila pun tak siap,” si gadis juih bibir.

Habis aku. Kalau tak tolong, meletus nanti!

“Kejap je. Abang nak minum kat cafe seberang sana tu,” si lelaki mengunjuk kedai yang terletak di seberang jalan. Meskipun samar-samar, Adam dapat melihat nama kedai tersebut, Old Town White Coffee. Si gadis mengangguk.

“Cepat tau.”

“Jangan risau,” lelaki itu senyum, merasakan kemenangan pada pihaknya. Sekurang-kurangnya untuk beberapa ketika, dia dapat melarikan diri daripada melihat baju-baju yang menyesakkan fikiran dan dadanya.

“Jangan lupa nak datang balik kat sini,” balas si gadis melihat si lelaki yang sudah mula bergerak. Dia faham, lelaki adalah lelaki. Spesies yang takkan bertoleransi dalam hal membeli-belah apatahlagi sekiranya ia memakan masa lebih dari tiga puluh minit. Sama je dengan ayah dan Isaac. Gadis tersebut melihat dari ekor mata, lelaki itu menolak daun pintu butik dan melangkah keluar. Sejurus selepas itu, dia kembali membelek dan mencari pakaian yang dibayangkannya cantik apabila dia menggayakannya pada hari bahagia mereka nanti. Impiannya untuk menjadi ratu sehari bakal terlaksana dalam beberapa bulan lagi. Seronok! Teruja!

Lelaki itu berhenti seketika di tepi jalan untuk memberikan laluan kepada kereta-kereta yang bergerak laju. Memeriksa kiri dan kanan, line clear! Lalu kakinya mula melangkah agak laju melintasi jalan tersebut.

Srettt...

Si gadis terlepas baju yang dipegangnya. Ya Allah! Pantas dia memandang keluar tingkap. Sebuah kereta berhenti mengejut dan terus memecut. Kereta-kereta lain beransur perlahan dan orang ramai mula mengerumuni tempat kejadian. Tidak! Ni bukan petanda buruk, bisik si gadis. Tanpa berlengah, dia melangkah keluar dari butik itu dan turut sama mengerumuni jalan raya yang semakin dipenuhi orang ramai.

Ya Allah, tidak! Hatinya berteriak. Tangan dan tubuhnya mula menggeletar. Dia kenal tubuh yang dipenuhi darah merah itu. Hatinya menafikan tetapi fikirannya kerap mengiyakan. Tak, ini tak mungkin berlaku! Dia berteriak lagi dalam hati. Dia dapat rasakan sesuatu yang tidak baik telah berlaku. Setelah berlari selaju yang mampu, akhirnya kakinya bergerak perlahan mendekati tubuh lemah yang terbaring di atas jalan raya. Tangannya bergegar selaju getaran jantungnya. Dia mengangkat muka itu, tunangnya!

“Tidak, tak, tak! Tolong... Tolong...” teriak si gadis. Airmatanya mengalir laju. Darah merah mengalir laju keluar dari mulut dan hidung lelaki yang disayangi. Si gadis menangis sekuat hati.

“Tolong, please... Someone call an ambulance!”

Adam terjaga. Nafasnya turun naik. Dia mengelap peluh dingin yang berada di dahinya. Fikirannya kembali kepada mimpinya sebentar tadi. Sudah beberapa kali dia bermimpikan adegan yang sama dengan watak lelaki dan perempuan yang sama sedangkan dia pasti, dia tidak mengenali langsung watak-watak yang muncul dalam mimpinya itu di alam realiti. Kedatangan mereka seperti ingin menyampaikan sesuatu, dia dapat rasakannya tetapi sehingga saat ini dia masih tidak tahu apakah maksud disebalik mimpi tersebut. Damn! Dia marah sendiri kerana mimpi sama yang berulang saban malam mengganggu tidurnya.

Sakit itu datang lagi. Secepat itu dia memegang dadanya, menahan rasa sakit itu sambil berusaha menyusun nafas. Itulah cara yang diaplikasi selepas disarankan oleh doktor peribadinya selama bertahun-tahun. Dia tahu rasa sakit yang dialaminya sejak beberapa minggu ini bukan sakit yang dirasakan sebelum mendapat penderma hati. Dia yakin, rasa sakit itu berbeza.

Adam turun dari katil dan melangkah ke dapur. Mengambil air botol mineral dari dalam peti sejuk dan menuangnya ke dalam gelas kaca lalu meneguknya. Dia kemudian ke sinki dan membasahkan muka. Lama dia membiarkan paip itu memuntahkan air yang jernih, hanya memandang air yang mengalir turun laju sambil tangannya didepakan memegang kaunter sinki. Itulah kebiasaan yang dilakukan apabila dia terjaga pada tengah malam mengalami mimpi yang sama setiap malam. Dia menutup pili air lalu bergerak ke luar balkoni yang terletak bersebelahan ruang tamu milik kondominiumnya.

Adam melihat keriuhan kota Kuala Lumpur dari balkoni kondominium tingkat dua puluh tiga. Terdapat dua, tiga buah kereta yang masih lalu lalang. Telinganya juga mendengar ketawa hilai perempuan yang diumpamakan seperti rama-rama sedang melepak di tepi-tepi jalan raya. Dia berpeluk tubuh, membiarkan angin malam menyapa tubuhnya yang hanya bersinglet. Fikirannya kembali kepada mimpi yang selalu bertandang apabila dia melelapkan mata. Dia tidak dapat melupakan mimpi-mimpi tersebut. Kadangkala dia takut untuk tidur kerana mimpi tersebut akan datang dan menghantuinya. Kalau boleh, dia tidak mahu melelapkan mata tetapi lumrah seorang manusia perlukan tidur. Ia sesuatu yang dia sendiri tidak dapat elakkan.

Dia mengeluh.

ADAM berpusing-pusing dalam kawasan yang sama untuk mencari parkir. Kalau bukan kerana rakannya yang satu ini memaksanya untuk datang berjumpa, dia tidak akan melakukan perkara tersebut. Nak berjumpa pun dalam kawasan yang sesak. Haihlah, kawan... Dia mengeluh.

Demi seorang rakan, dia sanggup menghabiskan hampir setengah jam hanya untuk mencari tempat meletakkan kereta kesayangannya, Porsche 918 Spyder. Smartphonenya berdering. Seperti profesional yang terlatih, dia menjawab panggilan tersebut menggunakan tangan kirinya.

“Kat mana?” soal suara tersebut. Tanpa menyapa, tanpa salam, terus sahaja menyoal. Seperti mereka sudah lama menjadi kawan karib.

“Dah dekat dah ni, sedang cari parking. Lain kali wahai sahabat, sila adakan meeting kat tempat yang sesak, ya. Tak payahlah aku susah payah nak tunjuk muka. Okey, dah dapat parking. I’ll be there in five or maybe ten” Adam menjawab, tidak terbayang wajah sesiapa semasa menjawab panggilan tersebut. Walaubagaimanapun, fikirannya berusaha untuk mengingat wajah si pemilik suara. Hairan mengapa dia tidak mampu memperoleh jawapan kepada persoalan tersebut. Pelik.

“Yelah, yelah. Cepat sikit, aku dah tak tahan dah ni” balas si pemilik suara. Kedengaran sedih dan sunyi.

“Tak tahan? Apa yang kau tak tahan ni? Kau tahu kau sangat pelik sekarang ni, kan?” Adam gelak. Kawannya itu semakin bertambah pelik pada pendengaran Adam. Entah apalah yang tidak mampu ditahannya lagi. Jika ia melibatkan perkahwinan atau kematian, sudah pastilah dia tidak mampu untuk menolong.

Hish, apalah yang aku merepek ni? Gerutunya dalam hati.

“Aku serius, Adam. Sprint cepat!”

“Haish, yelah” kedua-duanya mematikan talian pada masa yang sama. Entah apa-apa entah. Adam mempercepatkan langkah memasuki cafe tersebut. Entah mengapa, dia dapat merasakan bahawa tempat itu sangat familiar dan dekat dengan hatinya. Segalanya seperti dejavu. Dia berjalan perlahan untuk mengingat sebelum mendapati seseorang melambaikan tangan kepadanya.

“Adam!” teriak si pelambai. Adam berjalan ke arah pelambai itu dan duduk berhadapan dengannya selepas bersalaman. Dia mengimbas muka lelaki dihadapannya. Hatinya menyatakan bahawa itu adalah rakannya namun, fikirannya berkata sebaliknya. Dia tidak pernah berjumpa dengan lelaki itu dalam realiti. Dia pasti bahawa dia mengenali setiap seorang rakan dan kliennya meskipun dalam keadaan tidak sedar. Ohmy! Dia, lelaki tu, Adam menggerutu. Dia dah ingat. Itulah lelaki yang...

“Minum?” tanya lelaki di hadapannya menghilangkan perkara yang bermain dalam fikiran Adam.

“Taklah, takpe”

“Betul? Aku belanja ni”

“Takpe, I’m okay. Apahal tiba-tiba nak jumpa kat sini?” Adam menyoal. Wajah lelaki di hadapannya itu tiba-tiba berubah kelam, seperti ada perkara yang sangat membebankannya. Tangannya juga bergetar, rambutnya pula tidak terurus dan misainya, menampakkan dia lebih tua berbanding usia sebenarnya. Melihatkan cara duduknya pula, Adam tahu masalah yang dihadapi lelaki itu sangat besar.

We’re in the same boat, bisik Adam. Kita berdua mempunyai masalah tetapi mungkin masalah kita berbeza. Masalah terbesar aku sekarang adalah mencari tahu siapakah kau yang sebenar. Fikirannya berusaha mencari dan mengingat nama lelaki yang sedang duduk di hadapannya namun tidak berjaya. Dahinya berkerut-kerut berusaha mencari dan mengingat.

Argh, siapa kau? Siapa nama kau, kawan? Kenapa aku tak tahu kau siapa? Mungkin, kita patut berkenalan antara satu sama lain dulu, bisiknya. Tidak pula keluar suaranya untuk bertanyakan siapakah gerangan lelaki di hadapannya itu. Lidahnya kelu. Bibirnya terikat.

“Aku dah tak tahan, tak tahan sangat-sangat. Aku tak aman...” lelaki itu menggeleng-gelengkan kepalanya. Adam perasan, air mata mula bergenang di tubir mata kawannya itu. hanya menunggu kebenaran daripada pemiliknya untuk melepaskannya jatuh.

“Aku tak faham langsung apa yang kau cakap ni. Dari tadi cakap tak tahan, tak tahan. Apa kena dengan kau ni? Tak tahan apa? Tak tahan nak kahwin ke? Kalau pasal tu, kau dah wajib kahwin dah ni...” Adam berseloroh. Bagi lelaki, perkara tak tahan nak kahwin adalah satu perkara yang serius. Apa yang dia boleh lakukan adalah menggalakkan rakannya untuk berkahwin. Tapi, Adam tidak boleh mempercayai telinganya saat ini. Kawannya itu memberitahu perkara tersebut di tempat terbuka? Nak bagitahu benda macam ni kat Old Town White Coffee? Carilah tempat yang sunyi sikit, kawan. Ni perkara serius.

Kawan, kawan... Giliran Adam menggeleng. Dia merasakan topik yang diutarakan oleh rakannya itu sangat lucu.

“Aku tak tahan rindu dia, Adam. Aku rindu dia. Aku rindu dia sangat-sangat!” luah lelaki itu seraya menyeka airmata yang jatuh. Adam bingung, bertanya diri sendiri mengapa dia bersetuju untuk berjumpa dengan kawannya itu hanya untuk mendengar betapa menggunungnya kerinduannya kepada entah siapa yang dimaksudkan. Lagi, kenapa nak menangis? Macam drama tak berskrip pun ada juga, bisik hati Adam. Dia mendengus kecil.

“Rindu? Rindu dekat siapa?” Adam berubah serius melihatkan airmata lelaki itu. Bukan calang-calang orang yang mereka sedang perkatakan sekarang ini kerana dapat membuatkan seorang lelaki menangis. Dia lelaki, dia tahu. hanya lelaki yang benar-benar jatuh cinta sahaja yang akan menangis. Kawannya ini benar-benar parah.

“Tolong aku, Adam. Tolong aku cari dia” Adam mendengus. Perbincangan mereka tidak akan kemana-mana. Lelaki itu asyik meminta pertolongan tetapi tidak langsung memberikan apa-apa maklumat berguna.

“Oh, please. Don’t just cry like a sissy. It takes a lot to make me angry but I am angry as hell right now! Bagitahu aku detail. Aku tak suka cakap benda takde hujung pangkal. Sekarang, siapa yang aku kena cari?” ujar Adam tegas. Kalau ya pun nakkan bantuan, bagitahu secara terperinci. Ni tidak, ayat sepotong-sepotong ditambah dengan tangisan. Nak tumbuk pun ada.

Lelaki itu hanya berdiam diri. Matanya memandang tepat ke arah minumannya dengan pandangan yang menakutkan. Merah sahaja mata itu, Adam pula yang menjadi kecut.

“Kalau ya pun nak minta tolong, bagitahu aku segala-galanya. Jangan nak nangis je!”

“Janji dengan aku...” kawannya menatap tajam mata Adam. Tatapan mata rakannya itu seperti memberikannya isyarat bahawa walau apa pun, Adam mesti membantunya. Dia tidak akan sesekali menerima perkataan tidak. Adam telan liur.

“Apa?”

“Janji dengan aku dulu” mata lelaki itu tidak berkelip memandang Adam. Adam semakin gerun melihat rakannya itu. Meremang bulu romanya dengan pandangan tajam tersebut. Adam ragu-ragu dan dalam masa yang sama, dia mula merasakan bahang perbincangan mereka. Menyesal mula bertandang kerana bertanya lebih-lebih.

“Ye, aku janji aku akan tolong kau” Adam bersuara perlahan dalam mahu tidak mahu, terpaksa.

“Janji? Aku tak yakin dengan cara kau cakap” sekali lagi lelaki itu menyoal. Dia mahukan kepastian.

“Janji.” Adam mengangguk.

“Aku tak yakin!” Adam mengeluh. Dia menutup mata dan menarik nafas panjang. Selepas tarikan dan hembusan nafas yang ketiga, dia berasa yakin. Keyakinan tiba-tiba datang dalam dirinya. Dia yakin dia boleh membantu rakannya itu.

“Aku janji kat kau apa-apa pun masalah kau, aku akan tolong bantu. Semua orang tahu, I’m a man of my words. Jadi, apa benda yang aku kena tolong?” lantas sebuah senyuman terukir di bibir lelaki itu.

“Tolong aku cari Iman Iryana dan jaga dia seumur hidup kau! Ingat, Adam. Iman Iryana!”

Mata Adam terbuka besar, terkejut dengan mimpi yang baru dialami. Dia beristighfar. Kepalanya terasa sakit membuatkan dia mengurut kepalanya perlahan. Buat sekian kalinya, dia bermimpi lelaki yang sama yang didakwa sebagai kawan oleh hatinya. Dia tidak dapat mempercayai mimpi tersebut. Segalanya bagaikan benar-benar terjadi. Bertanya diri sendiri samada dia betul-betul berjanji dengan lelaki tersebut.

Betulke dengan mimpi yang aku alami itu? Betulke aku dah berjanji dengan lelaki itu?

Berbeza dengan mimpi-mimpi sebelum ini, lelaki yang didakwa sebagai kawan itu tidak pernah menyatakan tujuan dan objektif kemunculannya. Adam turun dari katil dan melakukan rutin malam sejak mendapat hati baharunya sejak beberapa minggu yang lalu. Rutin yang selalu dilakukan apabila terjaga selepas bermimpi watak yang sama setiap kali. Kali ini, dia mengeluarkan botol Twister dan membawa botol tersebut ke balkoni, membiarkan angin malam mengenai lembut wajah dan tubuhnya. Dia membuka penutup botol tersebut dan menghirupnya. Fikirannya berusaha mengingati nama yang disebut oleh lelaki yang tidak dikenali. Iman? Iman Iryana.

“Kau lupa nak bagi aku nama bapa dia, kawan...” luahnya perlahan seraya mengeuk jus tersebut. Bagaimana aku nak cari dia? Berapa banyak Iman Iryana ada kat Malaysia ni? Kalau ya pun nak minta tolong, bagilah sekali nama bapa, senang sikit aku nak cari, gumamnya dalam hati. Sempat berseloroh.

“Siapa dia, kawan? Isteri kau ke? Atau adik kau? Atau, anak perempuan kau? Apa kaitannya dengan baju pengantin yang korang sedang cari? Kenapa minta aku tolong jagakan dia? Oh no, wait! Seumur hidup aku?!” dia gelengkan kepalanya. Tak masuk akal langsung! Bisiknya. Mustahil dia minta pertolongan aku. Kau dah janji, Adam. Dan kau bukannya lelaki yang tak kotakan janji, bisik hatinya kuat mengingatkannya.

“Iman Iryana...” Adam menyebut nama itu. Dia merasakan ketenangan tatkala menyebut nama tersebut. Dia tekad! Dia akan mencari si pemilik nama Iman Iryana dengan apa cara sekalipun.

Aku akan tolong kau hilangkan rindu kau, kawan! Aku janji!

Adam menghirup seteguk lagi jus tersebut. Perlahan-lahan dia masuk semula ke dalam kondominiumnya dan terus melangkah ke dalam bilik tidurnya. Mengantuk! Suatu perkara yang sudah lama dia tidak rasai dengan baik.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience